Selasa, 26 Disember 2023

MENYONGSONG WARNA SENJA

SMAHADZIR

 

ANGIN kering sesekali bertiup kencang, menerbangkan daun-daun yang bergelentangan di tengah halaman rumah. Pokok-pokok kelapa dan pisang yang berjajaran di sepanjang jalan, bagaikan menari-nari tarian kipas. Alangkah indahnya suasana desa ini biarpun sudah lama Zahirah menghilangkan diri darinya. Begitu setia keindahan dan kedamaian itu seolah-olah tidak terusik sedikit pun oleh pelbagai peristiwa yang berlaku.

            Gerak daun hijau rimbun berjurai di batang pokok mempelam, nangka, rambutan dan durian turut melambai-lambai lemah gemalai. Decit jerijit sesekali membingar berselerak. Tamparan angin gersang itu bagaikan tidak mahu mereda, bagaikan enak dan leka membelai pipi gebu Zahirah yang masih terpaku di muka jendela.

            Angin terus menyapa mesra, seolah-olah keriangan menyambut kepulangan seorang gadis dari kota yang jauh. Zahirah mengeluh panjang seraya menghimbau ingatan silam yang luka dan lara perlahan-lahan ke ruang benak.

            Pemergianku dulu memang diharap dan dipinta oleh masyarakat kampung. Kehilanganku juga tidak pernah ditangisi atau dirindui sesiapa. Justeru itu, kepulanganku ini juga pasti tidak ditunggu. Tentunya kehadiranku ke kampung ini akan mengundang senyum sinis yang tidak berkesudahan.

Namun, aku sudah membulatkan tekad dan keazaman. Biar apa pun corak penerimaan masyarakat kampung, aku tetap akan berada di sini, di sisi ibu dan adikku. Demikian bisik hati Zahirah seraya mengeluh lagi. Sekilas dicuplik kerling ke wajah langit biru memutih. Betapa langit itu terlalu jauh untuk dicapai tangan. Ayu wajahnya mengundang pesona namun tidak berdaya untuk dicinta.

            Zahirah sedar semua itu. Dia harus pulang juga ke kampung kelahiran ini biar sejuta umpat keji bersipongang. Dia rela dan akan lebih tabah dari suatu ketika dulu. Kepulangannya kali ini bukan kerana rindu pada jejaka yang pernah merobek luka di dada. Tidak juga kerana mahu mengenang semua kisah cinta silam yang lara dan penuh duka.

Jauh sekali untuk menyambungkan semula tali ikatan yang suatu waktu dulu pernah terjalin akrab dan erat. Apalagi untuk mengingati kembali musim-musim indah silam ketika bersamanya. Siapa pun tidak tahu bahawa kepulangan Zahirah kali ini adalah kerana rindu kepada adiknya Safiah, ibu yang sudah lama menderita juga untuk mencari ketenangan hati sekiranya masih ada.

            Setibanya Zahirah di desa kelahiran ini, terasa benar dirinya terasing, bagaikan terbuang di sebuah dunia yang entah di mana. Kampung Batu Kecubung ini sudah banyak berubah jika dibandingkan dari dulu. Jalan raya sudah menjalar hingga ke depan rumah. Beberapa buah kedai batu tersergam cantik di simpang jalan. Masjid sudah berubah wajah. Kalau dulu kecil, sekadar mampu menampung dua atau tiga puluh jemaah, kini sudah mampu memuatkan hampir seratus orang. Sekolah rendah juga sudah bertambah blok bangunannya.

Memang kampung ini sudah banyak menerima angin kemajuan lantaran kestabilan ekonomi dan politik. Zahirah bersyukur namun memorinya sedikit pun tidak berubah. Terlalu kemas dan erat terpasak kukuh di dasar nubari lebih-lebih lagi kala mengenangkan kisah cinta yang tragis itu. Kisah pilu dan lara yang menimpanya enam tahun yang lalu tidak semudah itu untuk dinyahkan dari diri. Semakin cuba dilupakan, semakin kuat pula ia bergayut di tangkai hati. Semakin cuba disisihkan, semakin kukuh pula pautannya di jiwa.

Zahirah yakin, sampai akhir hayat sekali pun, kisah getir itu tak akan lenyap dari kalbunya biar daging-dagingnya telah luruh dari badan. Begitu mendalamnya kesan luka yang ditinggalkan oleh peristiwa tersebut.

            Bagaimana harus Zahirah melupakan? Wajah jejaka yang pernah dicintai itu tidak pernah padam dari ingatannya. Seperti mana teguh tersimpan segala kenangan manis yang dilalui bersama. Keras hati Zahirah sekeras besi waja yang tak mungkin dapat dilentukkan oleh api yang membara.

            Bagi Zahirah, jejaka itu adalah seorang lelaki yang paling disayangi yang pernah dia kenali. Lelaki itu amat memahami, bertolak ansur, berakhlak baik, lemah lembut, bersopan santun, tahu menghormati orang tua dan pelbagai lagi sifat positif yang mempersonakan hati Zahirah. Atas permintaan jejaka tersebut, Zahirah memanggilnya dengan panggilan abang. Menepati adat susila bangsa Melayu. Orang yang lebih tua dipanggil abang, yang muda dipanggil adik dan yang terlalu tua dipangil nenek. Begitulah yang sering diamalkan oleh masyarakat kampung.

            Waktu itu, jejaka tersebut sanggup lakukan apa saja demi Zahirah. Dia sanggup memperjuangkan kebenaran semata-mata mahu menegakkan turus cinta yang telah mereka bina. Tatkala itu tiada sedikit pun cacat cela Zahirah di matanya. Semuanya indah, semuanya cantik, semuanya manis dan semuanya molek belaka. Begitulah adatnya orang yang bercinta.

            Bagi Zahirah, dialah lelaki yang telah bertanggungjawab mengheretnya ke lautan cinta yang tidak bertepi. Cinta pertama yang tidak pernah luput dari ingatan sehingga kini. Mungkin juga sehingga akhir hayat nanti. Cinta masa remaja itu amat manis untuk dilupakan. Zahirah sentiasa saja dibuai asmara yang bergelora. Dia selalu berdoa agar cinta yang telah mereka bina akan kekal buat selama-lamanya bersama anak cucu dalam sebuah kehidupan yang bahagia. Segalanya Zahirah belum lupa.

            “Irah, abang berjanji yang abang tak akan tinggalkan Irah biar apa pun yang terjadi!” ujar Razif suatu petang tatkala mereka sedang berehat di bawah sepohon tembusu pinggir sawah. Para petani begitu tekun membanting padi. Musim padi masak begitu menguning dengan suasana. “Cinta di hati abang hanya satu dan satu itulah untuk Irah. Tak ada orang lain lagi yang mampu bertakhta di hati ini selain Irah!”

Zahirah senyum. Betapa amat bahagia dirasakan. Hatinya bagai diruntun ke langit biru bersama mega jingga yang kian melatari ufuk senja.

“Percayalah Irah! Hanya ajal dan maut dari Tuhan saja yang dapat memisahkan kita. Andainya kita ditakdirkan tidak dapat bersama mengharungi hidup dalam sebuah rumah tangga, abang rela bersendirian untuk selama-lamanya!”

Masih terngiang-ngiang segala kata-kata dan janji-janji manis itu di telinga Zahirah. Malah kata-kata dan janji-janji itulah yang terus menamani di setiap atur langkah kakinya ke kota Kuala Lumpur enam tahun yang lalu.

Malangnya, Razif sendiri yang telah meruntuhkan segalanya. Jejaka itu tergamak menghumban segala yang menjadi kata-kata dan janji sebelum Zahirah sempat menjelaskan perihal sebenar. Dia bagaikan tidak mahu mendengar malah berpura-pura tidak mahu percaya akan kesetiaan dan kejujuran Zahirah dalam percintaan. Lebih empat tahun mereka menjalinkan ikatan mesra, tidakkah dalam jarak waktu yang sebegitu lama masih belum memahami hati dan perasaan orang yang tersayang? Razif seolah-olah mahu menyeksa Zahirah dengan segala tindakannya malam itu.

Sungguh! Zahirah sunguh terseksa. Malam itu, Razif sedikit pun tidak mahu membelanya malah memberi peluang kepadanya untuk membela diri. Razif lebih lantang menjatuhkan hukuman sendiri tanpa mahu menimbang segala aspek secara wajar. Zahirah terhukum tanpa pembelaan dan yang lebih pilunya, Zahirah mendengar sendiri segala hukuman itu terluah lancar dari mulut Razif, jejaka yang amat disayanginya.

Zahirah merenung jauh ke tengah halaman rumah. Keluhan yang terpantul dari bibir jelas menggambarkan betapa kesalnya dia terhadap kejadian yang telah berlaku enam tahun yang lalu. Sungguh tergamak kau Razif perlakukan aku begitu rupa. Percayalah, aku tidak berlaku curang pada cinta kita, Razif! Aku tidak pernah cuba walau sejenak untuk menghancurkan tugu kesetiaan dan kejujuran yang ada dalam hatiku terhadap cinta kita. Cuma kau saja yang tidak mahu percaya.

Razif... apakah sehingga kini engkau masih belum mengetahui tragedi pada suatu malam enam tahun yang lalu itu adalah satu perancangan yang paling licik dan teratur oleh seorang insan yang tidak berperikemanusiaan? Sayangnya aku sendiri tidak berpelung membantah atau menegakkan segala kebenaran kerana sedari kecil aku telah diajar supaya tidak melawan cakap orang tua walaupun cakap mereka penuh dusta. Aku tidak mahu dianggap anak gadis yang biadap lebih-lebih lagi kala itu aku berdepan dengan ibumu sendiri.

Zahirah masih ingat...

Malam itu tercetus sebuah peristiwa yang amat ngeri dalam sejarah hidupnya. Peristiwa yang tidak mungkin dapat dia lupakan sepanjang hayat. Peristiwa itu merupakan satu tragedi yang telah membentuk jiwanya menjadi keras bak kursani. Tak cair biar dilancip api yang memijar.

Memang, malam itu dia ditangkap basah bersama dengan Razman di dalam kereta. Tetapi bukan kerana berbuat maksiat seperti yang telah dituduh oleh sebahagian besar masyarakat kampung. Malam itu Zahirah terpaksa menumpang kereta Razman untuk pulang selepas ketinggalan bas terakhir dari Pekan Jeniang yang jauhnya lebih kurang 28 kilometer dari kampung.

Sebagai jiran Zahirah rasa wajar untuk menerima pelawaan Razman. Kebetulan Razman adalah rakan karib Razif. Tidak ada apa-apa salahnya dia menumpang lebih-lebih lagi malam sudah terlalu larut. Itu pun kerana beberapa buah teksi yang ditahan tidak mahu menghantarnya pulang. Lantaran itu, dia terpaksa menumpang kereta Razman tanpa sedar yang segalanya sudah dirancang begitu teliti oleh seseorang yang tidak suka akan perhubungannya dengan Razif.

Setibanya mereka di hujung kampung, mereka terpaksa berhenti. Kata Razman, keretanya kehabisan minyak. Kebetulan tempat tersebut sungguh gelap, di pinggir hutan belukar tanah simpanan kerajaan yang belum terusik untuk sebarang pembangunan.

“Ya Allah, macam ni Man? Aku takutlah!” rungut Zahirah dengan wajah yang pucat. “Macam mana kalau tak ada orang lalu di sini?”

“Sabarlah Irah!” pujuk Razman. “Aku yakin, kalau ada orang lalu di sini, bolehlah aku tumpangkan kau atau suruh beli minyak di pekan!”

“Kalau tak ada juga?” Zahirah semakin gentar.

“Jawabnya, kita terpaksa tidur dalam kereta ni!” Razman bersahaja.

“Jangan merepeklah, Man!” bantah Zahirah tegas. “Biarlah aku jalan kaki pulang ke rumah!”

“Kau beranikah?” tanya Razman.

“Kau temanlah aku!” rayu Zahirah.

“Habis, macam mana dengan kereta aku?” tanya Razman.

“Kenapa pula dengan kereta kau? Kan tak ada minyak!”

“Yalah, tapi takkan nak biar di sini semalaman?”

“Apa salahnya? Bukan ada orang nak curi kereta buruk kau ni!”

“Huh, kereta buruk kau kata? Buruk-buruk pun banyak orang berkenan, tau tak?” Razman ketawa.

“Siapa yang berkenan, Man! Aku rasa yang berkenan mungkin penjual besi buruk saja!”

“Ooo... di sini rupanya tempat kau orang buat maksiat rupanya ya?” tiba-tiba satu suara kasar lagi garau kedengaran di luar kereta serentak suluhan lampu picit menyilau ke muka. Zahirah terkelih beberapa orang lelaki berketayap putih sudah mengelilingi kereta Razman.

“Keluar!!” tengking salah seorang dari mereka.

Terketar-ketar Zahirah dan Razman keluar.

“Kamu berdua akan dihadapkan ke mahkamah syariah kerana berkhalwat dan buat maksiat dalam kereta di tempat gelap!”

Zahirah seperti mahu menangis. Dia ingin bersuara menegakkan hakikat sebenar namun lidahnya serasa terpotong pendek. Mulutnya terkaku.

Mereka diheret ke masjid malam itu juga. Ramai orang kampung yang hadir. Malam tulah Zahirah mendengar dia dituduh sebagai jalang, perempuan pelacur, gadis tidak bermaruah dan pelbagai lagi tuduhan yang amat pedih untuk diterima. Dan yang paling tidak munasabah, dia telah dituduh berzina dengan Razman di dalam kereta sedangkan sewaktu diserbu, semua AJK Masjid itu telah lihat dengan mata kepala sendiri mereka tidak melakuan apa-apa pun.

Aku rebah, Razif! Duniaku rasakan terlalu gelap waktu itu. Sekali gus pandanganku menjadi tidak keruan. Akhirnya aku pengsan di tengah-tengah keriuhan suara orang-orang kampung.

Apabila aku sedar semula, aku sudah berada di rumah. Sebaik aku membukakan mata, aku dicemuh, diseranah dan dimaki hamun oleh ayahku. Dia terlalu malu dengan kejadian tersebut. Hilanglah segala tempat untukku mengadu dan patahlah dahan untukku berpaut. Tiada lagi pembelaan daripada sesiapa pun meski dari ayahku sendiri. Betapa mudahnya kalian menerima cemuhan dan tuduhan orang tanpa sedikit pun menaruh rasa simpati terhadapku, Razif! Aku lemas di tengah-tengah segara luas yang tidak bertepi.

Razif, mulutku berbuih menerangkan cerita yang sebenar. Memang tiada siapa yang mahu mempercayainya termasuk juga kau. Malah kau yang paling banyak sekali mencerca dan menghinaku.

“Sungguh aku tak sangka, Irah! Entah gelaran apa yang harus aku berikan pada perempuan seperti kau. Aku sangka kau seorang perempuan yang baik tapi rupa-rupanya jalang yang tak bermaruah! Aku benci kau Irah. Aku benci nak tengok muka kau lagi!”

Begitulah kata-kata cemuhan yang terbit dari bibir kau malam enam tahun yang lalu, Razif! Aku tidak pernah melupakan setiap patah perkataan itu. Aku terlalu sukar untuk mempercayai bahawa kau tergamak mengeluarkan kata-kata begitu terhadapku. Aku sekali-kali tidak berkecil hati sekiranya kau memberi peluang kepada terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan. Tetapi, di mana sifat tolak ansur, sabar dan kesopananmu malam itu? Kau menghukum seseorang tanpa memberi peluang kepadanya membela diri. Aku sungguh sedih dengan sikapmu, Razif!

Barulah aku sedar, betapa hati seorang lelaki sepertimu cepat benar berubah. Umpama kiambang di atas tasik yang dibawa alun. Ke mana haluan alun, di situ ia terayun. Sepantas kilat menyabung, cinta bertahun berkubur sekelip mata. Razif... pada malam itulah mahligai impian kita ranap tanpa meninggalkan sebarang bekas. Aku bagai orang gila, tidak dapat menerima kenyataan tersebut dengan rela.

Seminggu aku berkurung dalam bilik. Makan dan minum tidak menentu. Seleraku lenyap dibawa arus penyesalan yang tidak berpenghujung. Kesal kerana terlalu mudah menumpang Razman yang akhirnya aku terjerumus ke dalam jerat yang amat beracun. Sesungguhnya jerat itu sudah dipasang sejak lama. Sekadar menantiku untuk mencaing-caingkan maruahku yang suci ini. Malam itu aku tidak berdaya untuk mengelak. Semuanya sudah ditakdirkan Tuhan.

Aku terima segala-galanya dengan redha dan pasrah kerana aku yakin, Allah tidak akan terus meranapkan aku di lembah kehinaan. Suatu hari nanti, maruahku yang tercemar itu pasti akan dijernihkan kembali. Neraca Tuhan itu maha adil, Razif!

Akhirnya, aku mengambil keputusan meninggalkan kampung kelahiran ini demi mendamaikan segala rusuh yang menghenyak jiwa. Aku bertekad untuk mengubah nasib di kota Kuala Lumpur demi sebuah masa depan yang lebih gemilang. Aku benar-benar sudah tawar hati untuk menetap di kampung halaman sendiri.

Lagipun, aku sudah tidak punya sesiapa lagi dalam hidup. Mana mungkin aku mampu hidup setenang dan seriang dulu. Kiri kanan depan dan belakang rata-rata kejian dan cemuhan yang berkumandang dari mulut orang-orang kampung. Mereka terus mengumpat, mengeji dan menggelar aku dengan pelbagai gelaran sumbang yang amat memedihkan telinga. Semuanya kerana tragedi malam itu.

Tanpa restu sesiapa, aku berangkat mengikut arah haluan langkahku. Kecuali ibuku yang mengiringi pemergianku dengan jujuhan air mata yang membasahi pipi.

“Izinkan Irah pergi, mak! Kampung ini bukan tempat yang sesuai untuk Irah lagi!” ujarku hari itu.

Ibuku tidak mampu berkata apa-apa kerana jegilan mata ayah seperti mahu menelannya. Dia terlalu takut dengan ayah yang begitu menyinga. Sewaktu aku melangkah meninggalkan halaman, ayahku langsung tidak memandang wajahku. Betapa marahnya dia hanya Tuhan saja yang tahu.

Enam tahun lamanya aku meredah dunia perantauan. Pelbagai getir dan maung kutempuh dengan hati yang cekal dan tabah. Dunia perantauan telah mengajar aku mengecap asam dan garam sebagai rencah perjalanan hidup. Enam tahun lamanya aku belajar hidup sendiri dan berdikari. Aku bekerja dan menyewa sebuah bilik. Di situ aku cuba mendamaikan hatiku yang remuk redam itu.

Sesungguhnya di bumi milik Allah yang luas terbentang ini telah dikurniakan dengan pelbagai sumber rezeki yang melimpah-ruah. Aku mampu menyara hidupku di tengah-tengah kepesatan kota Kuala Lumpur tanpa mengemis dari sesiapa.

Enam tahun juga aku belajar menelan pahitnya hempedu. Aku belajar menghirup duka dan yang paling getir, aku belajar merempuh arus rindu yang bergelora. Sukar amat aku melupakan wajahmu, Razif! Sering saja datang menggangguku terutama kala aku kesepian dan keseorangan di bilik sewaanku. Kau akan datang mengirap dengan senyum manis, dengan kelembutan tutur kata dan kemurnian budi pekerti.

Aku bagaikan tidak berdaya untuk mengusir wajahmu jauh dari diriku namun aku cekal juga. Aku berusaha melupakan wajahmu itu dengan selalu membaca Al-Quran, berdamping dengan usrah yang selalu diadakan di Masjid Negara dan juga menghadiri acara-acara keagamaan.

Sesungguhnya Razif, biarpun hukuman yang engkau jatuhkan pada malam enam tahun yang lalu itu, hampir-hampir memusnahkan sebahagian dari hidupku, namun engkau tetap kurindu separuh mati. Malah tidak pernah wujud walau sebesar zarah sekali pun kebencian terhadapmu. Aku cuba melupakan tragedi lara itu tetapi semakin aku cuba semakin membara ingatan terhadapnya. Kadang-kadang aku terlalu sebak dan terharu lalu aku menangis sepanjang hari.

“Irah, aku gembira engkau telah pulang semula ke kampung ini!” Razif memecah kesepian pertemuan.

“Aku pun pulang dengan kegembiraan, Razif!” Zahirah membalas dengan nada penuh sindiran.

Razif jelas terjeda seraya menundukkan wajahnya merenung tanah merah di kaki jalan raya yang bertar cantik. Angin petang nyaman berkesiuran diiring lajuardi yang indah di pundak langit. Zahirah tahu, jejaka itu faham sindiran tajamnya. Memang Razif itu bijak dan berminda kreatif, pandai menelah apa saja yang tersirat.

Zahirah memang mengakui. Razif yang pernah menjadi kekasihnya itu memang seorang jejaka yang bijak lagi tampan. Badannya tegap pagan, menyerlah pesona mata wanita. Berwibawa dan berpendirian tegas.

Namun budi bahasa dan sifat rendah diri dan tahu menghormati orang lain itu yang lebih menambat hati. Meruntun cinta dan kasih yang asyik. Sepanjang percintaan mereka, Razif tidak pernah mencalari hati Zahirah walau secoret cuma. Cuma pada malam enam tahun yang lalu itu saja buat kali pertama mulut dan lidah jejaka itu terlalu lancang dan biadap sekali mencerluskan tuduhan tidak berasas.

Cinta yang dipupuk dan dibajai bersama adalah cinta yang ikhlas dan murni. Mereka tidak pernah melewati batas-batas susila, adat dan agama. Pertemuan mereka membincangkan perkara-perkara masa depan bersama. Namun, ada manusia yang tersalah tafsir akan keikhlasan dan kemurnian cinta tersebut.

Manusia itu adalah ibu Razif sendiri. Perempuan itu seolah-olah menolak ketentuan dan takdir yang sudah ditetapkan oleh Allah. Cinta yang dijadikan Allah untuk hamba-Nya itu tidak mengenal pangkat, darjat dan keturunan. Zahirah tahu, perempuan itulah yang berusaha keras dengan pelbagai cara demi memisahkan cinta yang sudah bersemi erat di jiwa anak tunggalnya sendiri.

Razman telah digunakan sebagai umpan untuk membunuh keharmonian cinta kita, Razif! Aku tidak tahu berapa banyakkah keping-keping RM biru ungu yang telah disumbatkan ke poket Razman oleh ibumu malam itu sehingga lelaki itu tergamak menghancurkan maruah aku sebagai seorang gadis kampung yang kesuciannya masih teguh aku pertahankan hingga ke hari ini.

Ya Razif, perempuan yang bergelar ibu itulah yang merancang semua tragedi busuk itu. Sekali gus mencemarkan nama, maruah dan keindahan hidup yang aku dambakan.

Sungguh aku kesal, Razif! Bukankah tidak ada cara lain lagi yang lebih baik untuk memisahkan kita dari merancang pertuduhan tidak berpijak di bumi nyata itu? Bukankah berterus terang itu antara cara yang paling baik dan terpuji? Tidak menjatuhkan maruah sesiapa, tidak merosakkan nama sesiapa? Ibumu terlalu kejam, Razif! Aku masih waras dan dapat menerima kenyataan andainya dia mahu kita berpisah secara baik. Aku tidak kesal sekiranya dia memberitahu aku bahawa aku ini bukan menantu pilihannya.

Aku rela dan boleh berundur diri secara terhormat tanpa rasa kecewa begini kerana aku masih mampu berdiri di garis takdir dan ketentuan Tuhan. Tetapi, ibumu telah memilih jalan yang amat bercanggah dengan sifat-sifat murni seorang manusia yang beragama. Jalan itu bukan saja telah membunuh jiwaku malah nyaris-nyaris meragut nyawaku seandainya aku gagal mengawal perasaan. Namun, aku masih bersyukur kerana tindakanku tidak sejauh itu. Membunuh diri bukanlah jalan terakhir yang masih ada.

Razif, rupa-rupanya ibumu itu ingin bermenantukan anak orang berada yang setaraf dengan kedudukanmu! Sedang aku, anak seorang penoreh getah yang kotor dan jijik. Setiap hari bergelumang dengan sekerap dan getah keping, amat jelek di pandangan mata ibumu. Aku madi kerdil yang mahu terbang seiring kenyalang. Manakan setaraf. Itulah yang menjadi sebab utama ibumu berusaha gigih mahu memisahkan perhubungan suci kita.

Yang menjadi mangsa paling hina ialah aku, Razif! Bukan Razman dan bukan juga kau. Akulah seorang hamba Allah yang lemah, yang menjadi mangsa keadaan dan objek memuaskan nafsu materialistik perempuan syaitan yang kejam itu. Aku menjadi mangsa fitnah yang licik lagi teratur. Konspirasi yang ibumu telah rancang bersama Razman begitu berjaya sekali.

Akibatnya aku telah disingkir oleh keluarga sendiri. Aku benar-benar merana dan menderita kerananya. Jiwaku terseksa dan seluruh hidupku tertekan. Aku terhenyak dalam duka dan lara yang terlalu sukar untuk sembuh. Wajar orang seperti ibumu dihukum bunuh kerana fitnah itu sendiri telah membunuh jiwaku. Jasadku hidup tetapi hati dan kalbuku mati reput dibaham sengsara. Pemfitnah sebenarnya adalah pembunuh, Razif!

Luka dan lara di hatiku ini terlalu parah, Razif! Enam tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat namun aku tetap gagal menyembuhkannya. Malah dendam yang menggulatinya bergejolak subur, semakin hari semakin bersemarak berakar umbi di seluruh pojok diri.

Kau pun tahu, Razif! Malam itu aku dihina, dikeji, dinista, dicemuh kerana dituduh berkhalwat dan berzina dengan Razman, aku menerimanya dengan tangan terbuka tetapi segala tuduhan yang telah dilemparkan itu terlalu berat dan amat memilukan. Sejahil-jahil aku pun masih dapat membezakan antara yang halal dan haram. Masih tahu dosa dan pahala.

Sejak kecil lagi aku sudah diasuh serta dididik dengan ajaran agama. Setiap gerak geriku berlandaskan tuntutan agama. Sebagai anak Melayu pula, aku masih belum lupa adat dan susila bangsa. Budaya bangsa kita kujunjung dan adatnya kusanjung sepenuh raga.

Kasihan Fitri, Razif! Dia seorang lelaki yang baik, bekerja sepejabat denganku di kota Kuala Lumpur ini. Dia menyayangiku seperti engkau pernah menyayangiku dahulu. Lelaki serba sederhana itu sering mengambil berat tentang diriku. Aku sering menceritakan tentang kisah silam kita dan dia sering pula menyuruh aku tabah, cekal dan redha. Lupakanlah segala apa yang sudah terjadi, banyakkan berdoa semoga Allah tenangkan hati dan mulakan sebuah hidup baru bersamanya. Namun, Fitri juga gagal mengubah pendirianku untuk mencintai insan yang bernama lelaki. Pintu hatiku seolah-olah sudah tertutup rapat untuk kaum sejenismu, Razif!

Akhirnya, aku menolak lamaran pemuda itu tanpa sedikit pun rasa terkilan dan kesal. Bagiku, hati lelaki semuanya sama. Cepat jatuh cinta dan cepat pula berubah bila-bila masa. Sekali air bah sekali juga pantai berubah.

“Bukan semua lelaki begitu, Irah!”

“Bagiku semua, Fitri!”

“Aku terlalu sedih dengan tukasan bersifat prejudis itu!”

“Maaf, Fitri! Bukan niatku hendak melukakan hatimu!”

“Habis, kenapa menolak lamaran ikhlas ku ini?”

“Aku tidak menolak, Fitri! Tapi hatiku masih lagi dihantui kenangan lama yang lara!”

“Lupakan itu semua, Irah! Hidup kita bukan hanya semalam dan hari ini saja tetapi juga untuk esok yang entah bagaimana lagi. Berilah aku peluang untuk mencorakkan hidupmu bersamaku dengan warna-warna yang gemilang dan indah!”

“Terlalu sukar untukku terima dan hadapi kehidupan hari esok, Fitri! Bagiku, kehidupan hari esok bermula hari ini. Kalau hari ini sudah diselimuti warna-warna kelam, tak mungkin esok akan berubah warna gemilang. Parut dan kesan kekelaman itu tetap akan membayanginya. Kau faham maksudku?”

“Hati kau terlalu keras dan tegar, Irah! Aku telah gagal biarpun sudah berbuih mulut ini memujukmu!”

“Maafkan aku, Fitri!”

“Aku akan tetap menunggumu, Irah! Aku yakin, suatu hari nanti kau akan datang padaku juga. Kejujuran dan keikhlasan tidak dapat dikalahkan oleh kekerasan dan kekuatan. Lambat laun kejujuran dan keikhlasan akan menang juga!”

Aku tahu Fitri kecewa dengan ketegaran hatiku tetapi aku sendiri tidak berdaya untuk berganjak dari keputusan yang sudah aku buat ini. Dia sekadar kecewa kerana tidak berdaya memiliki cintaku sedangku aku lebih kecewa lagi kerana nasi yang sudah kusuapkan ke mulut, berderai dikitar silir.

“Irah, ibuku meninggal dunia setahun yang lalu!” suara Razif tiba-tiba gesit melenyapkan lamunanku yang bergeluyur di kota Kuala Lumpur.

Aku mengangguk perlahan. “Aku dah tahu, Razif!”

“Sebelum dia meninggal dunia, dia telah berpesan supaya aku mengahwini gadis yang aku cintai!” ujar Razif.

“Hanya itu?”

“Ya, Irah?”

“Bagaimana dengan kemaafan dariku?”

Razif diam dan segera tunduk.

“Dia ingat, semudah itu aku akan memaafkannya?”

“Lupakanlah perkara yang sudah berlalu itu, Irah! Ibuku sudah pun meninggal dunia!”

“Tidak semudah yang engkau sangkakan, Razif!”

“Biarlah aku yang memohon ampun dan maaf bagi pihak ibuku!”

Aku terhimbau untuk ketawa sinis. “Orang lain yang berdosa, orang lain pula yang nak tebuskan dosa? Hei, dari ustaz mana kau belajar ni, Razif? Tak pernah pula aku dengar ada ilmu agama yang macam tu...”

“Yang penting, kau dapat memaafkan segala kesalahan dan kesilapan ibuku!”

“Sempatkah dia bertaubat sebelum mati?” aku terus meluahkan sebahagian rasa dendam yang membuku sekian lama.

Lagi sekali Razif tunduk.

Aku sedar, aku tidak seharusnya mendendami orang yang sudah meninggal dunia. Sewajarnya aku memaafkan saja kesalahan insan yang sudah tiada itu tetapi sebelum aku melangkah meninggalkan Razif di tepi jalan itu, aku perlu melampiaskan segala yang membara sejak lama.

“Irah, tunaikanlah hajat terakhir arwah ibuku itu!” rayu Razif.

“Mengahwini orang yang kau cintai?”

“Ya!” Razif angguk.

“Siapa?”

“Kau, Irah! Kaulah insan yang paling aku cintai sejak dulu dan masih ke hari ini!” Suara Razif agak bergetar namun tidak berupaya untuk mencuit hatiku.

“Percayalah kataku ini, Irah!”

“Tunaikanlah amanat arwah ibumu itu tapi bukannya dengan aku,” aku bersahaja dalam sinis yang pekat.

Razif terjeda dan terkesima.

“Sekurang-kurangnya untuk menghargai pengorbanan perasaan seorang ibu buat seorang anak tunggalnya!” tokokku lebih sinis.

“Sebab itulah aku menunggu kepulanganmu, Irah!” ujar Razif. “Aku gembira bila dapat tahu kau dah pulang semula ke kampung. Enam tahun hidupku sepi tanpa kau. Aku benar-benar terasa kehilanganmu selama ini. Marilah kita lupakan semua yang sudah berlalu dan bina hidup baru selepas ini. Kasihanilah aku, Irah!” Semakin berani dan bersemangat sekali mengeluarkan rasa hati sekali gus rayuan sukma.

Aku tersenyum hambar. “Maafkan aku Razif! Kepulangan aku ni bukan untuk mengulangi semula musim-musim silam yang indah. Ada datang berjumpa dengan kau hari ni sekadar untuk memberi penjelasan sebenarnya aku memang tidak bersalah pada suatu malam enam tahun yang lalu. Satu-satunya pengertian yang aku harapkan darimu. Engkau menderita hanya kerana kehilangan aku tapi aku lebih menderita kerana kehilangan segala-galanya - engkau, keluarga, maruah dan harga diri sebagai seorang gadis. Namaku telah tercemar. Aku telah telan terlalu banyak cemuhan dan umpat keji. Aku telah lemas di laut penghinaan dan remuk seluruh jiwaku di gaung malu!”

“Aku dah tahu segala-galanya tentang kejadian malam itu, Irah! Sebab itulah aku tabah menunggu kepulanganmu!”

“Sudah terlambat, Razif!”

“Tapi Irah, macam mana dengan amanat arwah ibuku dan derita hatiku yang bakal aku tanggung ini?”

“Beginilah Razif, sementara aku belajar untuk melupakan semua kenangan indah lalu, engkau belajarlah mencintai gadis lain!”

Razif terkedu.

Dadaku sendiri sebak dengan luahan kata-kata itu. Sayu dan jelu menyelubungi. Aku tidak pasti entah kenapa. Sebelum babak yang seterusnya terjadi, aku segera berpaling dan terus mengatur langkah meninggalkan Razif. Sejurus kemudian, dari kejauhan, sayup-sayup aku mendengar suara lelaki itu memanggil-manggil namaku.

Sudah aku katakan, Razif! Hatiku kini sudah keras, sekeras besi kursani. Aku terus mengatur langkah tanpa rasa mahu berpaling walau sekilas. Aku tabah menyongsong warna senja yang kian tua di pundak langit.

Aku sungguh puas kerana Razif sudah tahu cerita yang sebenarnya terjadi malam enam tahun dulu. Nyata aku tidak bersalah dan segala tuduhan itu tidak berasas langsung. Alhamdulillah, Allah telah meletakkan kebenaran di mercu yang paling tinggi!

“Usahlah dikenangkan lagi peristiwa hitam tu, Irah!”

Sapaan ibu gesit menempiarkan segala ngeluyur fikiran Zahirah yang berjela-jela. Cepat-cepat diseka air mata yang sudah mengalir di pipi. Wajah Mak Limah disorot sehingga perempuan separuh umur menghilang di ruang dapur.

Sejurus kemudian, perlahan-lahan Zahirah turun ke halaman. Dari situ, dia terus ke pangkin di bawah rumah. Beberapa ekor anak ayam yang berkeliaran di kaki, dikuis-kuis dengan hujung jari seraya pandangan mata jatuh ke hujung jalan. Fikirannya menerawang lagi...

Enam tahun aku meninggalkan ibu dan ayah serta seorang adik yang amatku sayang. Selama itulah aku tidak langsung menjengukkan diri, sekadar menitipkan khabar berita buat mereka. Dengan berita-berita itu, aku kira ibu, ayah dan adikku tahu keadaan hidupku. Aku sihat dan selamat di perantauan.

Selepas dua tahun aku menghilang, ayah juga turut pergi meninggalkan keluarga. Pergi yang tidak akan kembali lagi ke rahmatullah. Safiah adikku, mengirimkan telegram untukku di perantauan tentang kematian ayah. Aku menerimanya dengan linangan air mata. Aku hanya mampu berdoa dari jauh agar roh ayah akan ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman.

Kakiku meronta-ronta mengajakku pulang untuk mengiringi jenazah ayah ke tanah perkuburan tetapi hatiku meronta-ronta pula menghalang. Ia masih berdendam dengan perbuatan ayah. Bekas tapak kaki ayah masih terasa melekat di mukaku. Tapak tangan keras kematu ayah masih terasa bahang peritnya di seluruh tubuhku. Aku mendendami ayah kerana lebih mempercayai cemuhan orang-orang kampung dari penerangan anaknya sendiri.

Hanya ibu seorang saja yang mengerti perasaanku waktu itu. Tetapi, apakan daya, kudrat ibu terlalu lemah untuk menghalang kemarahan ayah yang menggila. Ibu turut menjadi habuan tapak tangan ayah kerana melindungi tubuhku. Seminggu selepas itu, aku meninggalkan kampung halaman dan keluarga dalam keadaan hati yang amat sebak dan terharu. Aku tidak tahan lagi dengan sikap orang-orang kampung.

Ke mana saja aku pergi, aku dicebek dan diludah. Kehadiranku tidak dipedulikan malah mereka menjuih-juihkan bibir masing-masing seolah-olah terlalu meluat dengan aku. Kala itu aku terlalu hina sungguh di mata mereka umpama seekor anjing kurap yang masuk ke pekarangan masjid. Begitu hina sekali aku waktu itu.

“Lama Kak Irah cuti?”

Suara adiknya Safiah yang mencerlus tiba-tiba itu membebarkan lagi lamunan Zahirah. Gesit dia menoleh ke arah Safiah yang sudah pun melabuhkan punggungnya di sisi. Pangkin papan yang masih utuh biar sudah lebih enam tahun didirkan oleh arwah ayah mereka berkeriut menahan berat tubuh dua gadis adik beradik itu. Enam tahu Zahirah menghilangkan diri dari Safiah. Satu jangka waktu yang telah melarikan usia adiknya itu menjadi seorang gadis sunti yang cantik. Keayuan yang diwarisi dari ayah dan ibu. Macam Zahirah juga tentunya.

“Seminggu saja, Piah!” jawab Zahirah. “Esok kak akan pulang semula ke KL.”

“Kenapa seminggu saja?” tanya Safiah.

“Itu pun dah lebih dari cukup. Lagipun, emak dan kau sihat. Cukup menyenangkan hati kakak!”

Ada sedikit bias kehampaan terturap di wajah Safiah. Enam tahun berpisah dengan kakak tersayang, cuma seminggu saja dapat bermesra. Terlalu singkat dirasakan.

“Tak usahlah sedih sangat, Piah! Kalau ada masa kak akan pulang lagi!” Zahirah cepat memujuk. “Selepas ni, kak akan pulang selalu. Hati kak dah seronok pulang ke kampung ni. Maruah kak sudah pun bersih. Cerita silam yang sedih dulu, dah lama kak buang jauh-jauh dari dalam diri. Kak betul-betul seronok sekarang!” Tubuh Safiah segera dipeluk erat-erat. Terasa kemesraan begitu agung sekali meresap ke ruang dadanya.

“Tapi, kak Irah jangan lupa pulang lagi bulan depan!” Safiah bersuara setelah agak lama masing-masing mendiamkan diri. Perlahan-lahan Zahirah merungkaikan pelukan di tubuh adiknya.

“Kenapa, Piah? Tak puas bermesra dengan kakak ke?” tanya Zahirah seraya tersenyum senang.

“Errrr, kakak tak marah kalau Piah katakan sesuatu?”

“Katakanlah, apa dia?”

“Kak kena janji dulu!”

“Okey, kak janji!”

Safiah membisu beberapa jenak. Bibir halusnya terkumat-kamit seolah-olah terlalu berat untuk mengeluarkan apa yang sudah mahu dikhabarkan. Namun begitu, naluri ingin tahu Zahirah begitu melonjak-lonjak untuk mengetahu pelawaan Safiah supaya dia pulang lagi bulan depan. Wajah Safiah direnung dalam dan lama.

Safiah memalingkan mukanya ke arah Zahirah. Mata dua beradik itu bertentangan. Riak mata Safiah kelihatan berkaca. Zahirah disergap kehairanan dengan riak wajah adiknya itu.

“Kenapa diam saja ni, Piah?”

“Errr, Piah minta maaf kalau berita yang nak Piah sampaikan ini melukakan hati kak!” Safiah mulai bersuara namun agak gementar.

“Cakap sajalah apa yang Piah nak cakapkan tu!” desak Zahirah bagaikan tidak sabar lagi dengan sikap acuh tak acuh adiknya itu.

“Kak Irah nak tahu juga kenapa Piah suruh pulang?”

Zahirah mengangguk-angguk.

“Baiklah!” Safiah menarik nafas panjang.

Zahirah berasa lega seraya menunggu dengan penuh minat.

“Sebenarnya Piah akan bertunang bulan depan!” ujar Safiah membeliakkan biji mata Zahirah secara mendadak. Safiah akan bertunang dan tak lama lagi dia akan mempunyai seorang adik ipar! Zahirah tidak dapat membayangkan betapa gembiranya dia waktu itu. Sekali lagi tubuh Safiah dipeluk erat.

“Tahniah, Piah! Kak doakan semoga hubungan kalian akan berkekalan hingga ke anak cucu!” ujar Zahirah.

“Tapi kak belum tahu lagi siapa bakal tunang Piah tu!” balas Safiah seraya tersenyum.

“Oh ya, kak terlupa sayang!” Zahirah gesit menepuk dahi. “Siapa agaknya bakal adik ipar kak tu ye? Tentu semanis Piah juga, kan?”

“Tapi...” Safiah tidak jadi meneruskan.

“Katakan saja, kakak tak marah!”

“Piah takut kakak tak dapat menerima kenyataan ni!”

“Kan kakak dah kata, kak seronok sekarang. Beritahu saja, apa yang nak dirahsiakan lagi pada kakak?”

“Piah bimbang hati kak akan tergores!”

“Eh, apa ni Piah? Buat kakak resah saja. Cepatlah berterus terang!”

Safiah diam dan tunduk. Mendadak saja hati Zahirah diruntun debar yang menggunung. Kenapa adikku masih berat mahu meluahkan segala yang menjadi teka teki benakku? Wajah Razif tiba-tiba saja menjelma di ruang mata. Apakah lelaki ini yang bakal menjadi pilihan adikku? Pilihan ibu? Barangkali juga, tak dapat rotan, akar pun berguna, tak dapat kakak, adik pun berguna juga. Argh...

Seandainya ini menjadi kenyataan, bagaimana dengan aku? Apakah aku akan terus meninggalkan lagi kampung ini? Hati Zahirah tiba-tiba menjadi tidak keruan. Pelbagai bayangan ngeri bergentayangan di ruang dadanya.

“Kak...” suara Safiah mencerlus agak lirih.

“Katakan Piah... siapa lelaki itu!” Zahirah sudah tidak sabar lagi menunggu kebisuan Safiah dari terus menggelodak hati. Bahu Safiah gesit digoyang-goyang. Debar jantungnya kian bergemirap kasar dan kencang.

Tiba-tiba sepasang tangan mengusap lembut bahu Zahirah. Rupanya sudah lama ibu mereka mengikuti perbualan dua beradik itu. Pandangan Zahirah beralih ke wajah ibunya. Hatinya berdoa supaya ibunya itu tidak terus menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya. Dia benar-benar inginkan kepastian.

Berterus teranglah, dia sudah bertekad akan menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Dia tidak akan merobohkan sebuah masjid yang bakal dibina oleh adikknya sendiri. Walau sepahit mana sekali jadam yang akan tersumbat ke mulutnya, dia akan telan juga. Dia tidak rela Safiah menerima nasib yang serupa pernah dialaminya dulu.

“Adik kau akan bertunang dengan Razman, Irah!” Perlahan suara Mak Limah memecah keheningan suasana serentak Safiah menyembamkan mukanya ke ribaan Zahirah.

“Betulkah Piah?” Zahirah merayu kepastian seraya mengusap-ngusap rambut Safiah.

“Ya kak! Piah minta maaf, kak! Piah minta ampun!” suara Safiah tertahan-tahan dalam tangisan.

Sekilas dunia dirasakan sungguh pilu dan sayu. Kotak memori Zahirah berkocak kembali. Ya Allah, bagaimana harus aku berdepan dengan adik iparku yang pernah berkomplot mengecaikan kebahagiaanku dulu? Bagaimana harus aku lalui hari-hari mendatang dengan adikku sendiri? Suaminya? Anak-anaknya? Ya Allah...

Zahirah memekup mukanya dengan telapak tangan. “Ya Tuhan Yang Maha Pengasih... tunjukkanlah jalan hidup yang mendamaikan. Aku lemas dalam kenyataan ini. Razif dan Razman adalah dua orang lelaki yang telah membuatkan hatiku menjadi keras bak besi waja kursani. Merekalah insan yang sama-sama merosakkan kedamaian jiwaku selama ini!” hatinya merintih sendiri. Sebak yang menyekang menyebu di ruang dada.

Tidak dia sedar, tangan Safiah gesit dicapai. Digenggam kemas. Air mata Zahirah terus mengalir deras menjujuh di pipi. Terasa keras besi waja kursani hatinya yang dipertahankan selama ini, berderai jatuh satu persatu. Hari terus menyongsong warna senja.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA