Khamis, 21 Disember 2023

BAHASA ORANG TAKUT

SMAHADZIR

WAKTU keberangkatan kapal terbang yang akan saya tumpangi menuju sebuah bandar raya di negara asing, ditunda dua jam. Seorang ibu bertubuh gempal mengomel kerana dia pasti terlambat menghadiri majlis penganugerahan ijazah anaknya di bandar raya yang kami tuju itu.

Seorang lelaki separuh baya yang tidak putus-putus merokok sewaktu menunggu waktu keberangkatan memicit keningnya. “Aduh, jadual yang dah disusun jadi kelam kabut,” katanya separuh mengeluh.

Berbagai suara sebagai reaksi atas kelewatan keberangkatan itu terlontar dari hampir setiap mulut bakal penumpang yang akan berlepas. Saya yang merasa tidak perlu menambah carut-marut seperti itu melangkah ke restoran yang tidak jauh dari ruang menunggu. Beberapa orang bakal penumpang lain juga mulai melangkah meninggalkan ruang menunggu tersebut.

Di restoran itu saya hanya memesan secawan kopi dan sepotong croissant. Saya memilih duduk di pojok agar dapat membaca buku yang baru saya beli dengan tenang. Saya tenggelam dalam Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan, karya yang ditulis oleh Shahnon Ahmad dalam buku setebal 566 muka surat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Belum setengah jam dengan keasyikan membaca buku itu tiba-tiba seseorang menghampiri dan menarik kerusi di hadapan saya. Saya menoleh ke arahnya. Dia menghulurkan tangan sambil menyebut namanya. Saya menyambut huluran tangannya sembari menyebut nama saya. Iskandar Zulkarnain namanya. Dan saya, Yusof Ismail.

“Perjalanan niaga?” Iskandar Zulkarnain bertanya.

“Oh, bukan. Seminar bahasa,” jawab saya.

Dia mengangguk. Setelah mengeluarkan sebungkus rokok Marlboro dari saku kotnya, dia menawarkan sebatang kepada saya. Saya menolak mesra sembari mengucapkan terima kasih.

“Tuan tahu mengapa tuan yang saya datangi, bukan yang lain-lain itu?” dia bertanya sambil mengarahkan ibu jarinya kepada bakal penumpang lain yang juga ramai di restoran itu.

Saya gesit menggeleng.

“Kerana itu,” ujarnya sambil menunjuk ke arah buku nipis yang saya pegang. “Dari tadi saya lihat tuan tekun membaca di balai berlepas itu. Tuan orang yang tahu menghargai waktu dan serius. Maaf, saya mengganggu keasyikan tuan kerana memilih duduk di sini. Silakan terus membaca,” ujarnya sambil membongkok mengeluarkan sebuah majalah Dewan Ekonomi terbitan DBP dari beg yang dibawanya.

Setelah membolak-balik beberapa halaman majalah tersebut, dia menyandar dan mulai membaca. Saya kembali membaca tulisan Shahnon Ahmad sambil sesekali melirik ke arahnya. Melihat kot yang dipakai dan majalah yang dibacanya, saya merasa lelaki berusia sekitar 48 tahun ini adalah seorang usahawan. Ahli perniagaan biasanya sangat mementingkan penampilan seperti itu di samping hanya tertarik pada majalah ekonomi.

Ketika dia menoleh ke arah saya, kebetulan saya sedang mengangkat cangkir kopi. Dengan santun saya mengajaknya minum. Dia baru sedar bahawa dia belum memesan apa-apa. Dengan bahasa isyarat dia memanggil pelayan dan memesan segelas cappucino, yang lima minit kemudian diletakkan oleh pelayan di hadapannya. Dia segera menghirup perlahan minuman hangat itu. Selepas itu dia kembali membaca majalahnya. Kalau tadi dia mengatakan bahawa saya sangat menghargai waktu, kini sayapun beranggapan begitu tentang dirinya. Dia lebih suka membaca daripada berbicara dengan saya. Dan serius, seperti tadi dia menilai saya.

Apakah hanya kerana persamaan itu dia memilih duduk di sisi saya di restoran ini? Ataukah keasyikannya membaca itu hanya pretensi dan merupakan pengantar ke arah tujuan yang sebenarnya? Saya tidak berani membuat apa-apa kesimpulan.

Satu jam berlalu dan kami belum saling mengenali lebih jauh. Setelah membaca beberapa muka surat karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, saya menutup buku tebal itu dan meletakkannya di meja sisi cawan kopi. Pada waktu yang hampir bersamaan dia menutup majalahnya dan memasukannya kembali ke dalam beg galasnya.

“Shahnon Ahmad,” katanya. “Saya suka juga dia. Sastera pun saya suka, cuma saya lebih banyak membaca buku-buku bercorak ekonomi dan kewangan,” ujarnya bersahaja.

Saya menyambut kata-katanya dengan senyuman. Rupanya dia juga suka membaca karya berunsur sastera. Dugaan saya bahawa dia hanya gemar membaca buku yang ada kaitannya dengan perniagaan saja ternyata meleset.

“Ke London?” dia bertanya.

Saya gesit mengangguk.

“Saya harus ke beberapa buah bandar raya. London, Paris, Zurich dan Rome. Sebenarnya saya sudah jemu mundar-mandir begini, tetapi bos tetap juga mengarahkan saya,”

‘Pasti dia ini orang penting,’ ujar saya dalam hati. Paling tidak orang kepercayaan pihak atasan. Berhadapan dengan orang seperti ini saya lebih suka mendengar daripada berbicara.

“Sebagai frequent traveller saya suka menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang berbeza. Tapi, baru kali ini jadual keberangkatan tertunda. Saya tidak mahu lagi naik kapal terbang syarikat ini. Buang masa saya saja,” ujarnya melontarkan kekesalannya.

Selepas sekali lagi menghirup cappucino di hadapannya, dia bercerita tentang dirinya tanpa saya minta. Dia bekerja di sebuah bank asing di Kuala Lumpur dengan ibu pejabat di kota London.

Mulanya dia bertugas sebagai ketua jabatan kakitangan, kemudian dipindahkan ke bahagian kredit, dan terakhir memegang jawatan ketua bahagian pertukaran wang asing. Jadi, ketika bertugas di bahagian terakhir inilah dia banyak melancong ke negara asing. Saya percaya saja kerana saya memang tidak tahu apa-apa tentang dunia perbankan.

Pada awalnya dia tidak tertarik bekerja di bank tetapi kerana lamarannya ditolak di beberapa tempat akhirnya dia melamar di bank tempatnya bekerja sekarang. Kerana dia lulus temuduga dan bahasa Inggerisnya bagus, dia diterima dengan gaji awal yang lumayan. Kemudian, kerana dia telah akrab dengan dunia perbankan, dia merasa bahagia bekerja di bank asing itu.

Iskandar Zulkarnain yang mempunyai dua orang anak perempuan dan kedua-duanya sedang belajar di sekolah menengah itu tidak sempat menyudahi kisahnya kerana panggilan terdengar melalui pembesar suara di restoran agar semua penumpang segera kembali ke balai menunggu kerana kapal terbang akan berlepas sebentar lagi.

* * *

Setelah beberapa jam terbang, saya terjaga dari tidur. Saya adalah penumpang yang senantiasa tertidur dalam setiap kali perjalanan dengan menggunakan kapal terbang, kendatipun jarak penerbangan pendek.

“Nyenyak betul tidurnya,” suara Iskandar Zulkarnain terdengar dari kerusi belakang.

Saya segera menoleh ke arahnya.

“Sejak dua jam lalu saya pindah ke kerusi ini,” katanya.

“Maksudnya mahu meneruskan perbualan, eh, ternyata tuan tidur,” ujarnya lagi sambil tersengih. Dia boleh berpindah tempat seperti itu kerana banyak kerusi penumpang kosong.

Ternyata dia ini benar-benar tidak menghargai waktu, fikir saya. Dalam perjalanan sejauh ini dia masih saja ingin berbual. Dan dia masih saja duduk di kerusi belakang itu walaupun tahu di sebelah saya ada penumpang lain dan perbualan tidak mungkin dapat dilakukan dengan baik.

Tiba-tiba penumpang di sebelah saya menawarkan diri untuk berpindah ke tempat Iskandar Zulkarnain jika beliau memang ingin berbual dengan saya. Malangnya, tawaran itu diterima oleh Iskandar Zulkarnain. Saya tidak mungkin dapat menyelamatkan diri lagi.

Ketika dia mulai berbicara, kantuk saya mulai menyerang. Ceritanya sampai ke telinga saya antara dengar dengan tidak. Mata saya tiba-tiba terbelalak ketika dia mengatakan di kerusi belakang di tempatnya duduk tadi ada beberapa orang Arab yang agak mencurigakan.

“Jangan-jangan mereka perampas,” katanya.

Jantung saya gesit berdebar kencang.

“Sebagai seorang anggota keselamatan, tentunya tuan tahu bagaimana nak mengatasi keadaan seandainya mereka melakukan rampasan atau bagaimana nak mencegah jangan sampai rampasan itu terjadi,” ujarnya separuh berbisik.

Saya menatapnya dengan perasaan hairan. Anggota keselamatan? Mengapa dia mengatakan saya seorang anggota keselamatan? Apakah kerana itu dia senantiasa ingin berada di sisi saya sejak di lapangan terbang tadi? Saya menggeleng kerana tidak percaya kepada pendengaran saya dan sekali gus membantah dugaannya. Namun saya dapat merasakan ini adalah bahasa orang takut.

“Cuba tuan pura-pura ke belakang dan amati mereka, barangkali dugaan saya benar,” ujar Iskandar Zulkarnain membuat saranan.

 “Saya bukan seorang anggota keselamatan,” jawab saya tegas kerana saya keberatan dengan saranannya itu.

“Demi keselamatan semua penumpang, tuan harus berbuat sesuatu. Cubalah ke belakang dan amati mereka,” katanya lagi sambil menarik lengan saya.

“Saya bukan anggota keselamatan,” balas saya agak keras.

“Cubalah,” balasnya pula tanpa mempedulikan penjelasan saya.

Entah apa yang mendorong saya, walaupun saya tahu itu adalah bahasa orang yang takut, tiba-tiba saja permintaannya saya penuhi. Saya melangkah ke jajaran kerusi belakang sambil berpura-pura ingin ke tandas dan memerhatikan penumpang di setiap kerusi yang saya lewati. Dua orang penumpang berkulit putih kedengaran berdebat sambil berbisik membincangkan sesuatu di sebuah peta. Kerana jarak kerusi mereka dengan tandas hanya satu meter dan mereka berbahasa Inggeris, saya dapat menangkap sekilas pembicaraan mereka.

Kelewatan kapal terbang, menurut salah seorang dari mereka, membuatkan mereka tidak mungkin sampai ke bandar raya yang tertera pada peta itu seperti yang sudah dirancang. Sedangkan yang seorang lagi dengan yakin mengatakan mereka akan tiba di bandar raya itu walaupun kecepatan kereta yang mereka pandu hanya 50 batu sejam.

Setelah masuk ke tandas sebentar dan keluar, saya melangkah ke kerusi saya dengan perasaan lega. Iskandar Zulkarnain si pengecut itu telah mendramatisasikan keadaan secara berlebihan. Akhirnya, dia sendiri yang ketakutan. Kerana itu, sebaik saja saya duduk dia segera menyambut saya dengan pertanyaan beruntun.

“Apa yang harus saya lakukan? Mungkinkah kita mampu menyelamatkan diri? Apakah tidak perlu kita beritahu pilot dengan segera?”

Saya memandang wajahnya yang ketakutan itu dengan tenang. “Jangan bimbang,” jawab saya. “Mereka hanya akan melakukan rampasan kapal terbang dalam penerbangan dari London ke Paris, bukan sekarang.”

Mendengar kata-kata saya dia menarik nafas lega seraya mengelus dadanya. “Alhamdulillah,” ucapnya perlahan.

Setelah menyandarkan tubuhnya ke kerusi, mulutnya kumat-kamit berdoa. Baru selepas itu dia memandang saya dengan wajah berseri. “Tuan,” katanya. “Saya dah naik takut mundar-mandir ke negara asing seperti ini bukan kerana jaraknya yang jauh. Tetapi kerana rasa takut yang menyerang saya setiap kali naik kapal terbang. Ketakutan itu terus menghantui saya. Sebab itu, saya selalu mencari rakan berbual dalam penerbangan, tak kira berapa lamapun penerbangan itu. Tadi, sebelum saya pindah ke kerusi ini, saya berbual dengan penumpang di sebelah saya. Kerana dia mengantuk dan tertidur saya harus mencari kawan lain, sebab itu saya berpindah ke kerusi belakang tadi. Selama menunggu tuan bangun, rasa takut saya itu semakin menjadi-jadi terutama sewaktu mendengar orang asing itu berbisik-bisik tidak henti-henti membuka beg, mengambil kertas lalu berbisik-bisik lagi.”

“Apa yang tuan takutkan?” saya bertanya.

“Saya takut kalau kapal terbang ini mengalami kemalangan, mendarat secara tergesa-gesa atau dirampas oleh pengganas dan diletupkan. Perasaan seperti itu terus menghantui saya setiap kali naik kapal terbang termasuk sekarang ini.”

Saya terdiam. Lama saya berfikir. Perasaan itu mungkin mulai menghantuinya sebaik sahaja dia menginjakkan kaki di lapangan terbang. Kerana itu sejak di sana dia mulai mencari rakan untuk membunuh rasa takut itu. Hal yang sama juga mungkin dilakukannya sebaik memasuki kapal terbang.

Saya yakin dia sebenarnya tahu bahawa saya bukan seorang anggota keselamatan dan saya yakin dia juga tahu bahawa rampasan akan dilakukan antara London dan Paris seperti yang saya katakan tadi hanyalah bohong belaka. Tetapi, itu sudah cukup untuk mententeramkan hatinya.

Saya memandangnya. Dia menyandar sambil menutup mata. Saya tahu dia hanya berpura-pura tidur kerana tangannya memegang erat lengan kiri saya. Saya turut menutup mata.

Sebelum tertidur saya telah mengambil keputusan. Sewaktu akan berpisah di lapangan terbang London nanti, kepadanya akan saya berikan kad nama saya. Sebenarnya, selain bahasa saya juga seorang pakar motivasi. Dia boleh menemui saya pada waktu saya menyampaikan seminar motivasi petang hari. Sebagai tanda persahabatan, saya akan membebaskannya dari sebarang bayaran. Berdasarkan pengalaman, saya tidak merasa ragu sedikitpun bahawa pesakit yang saya temui di dalam penerbangan ini boleh disembuhkan.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA