SMahadzir
DI MANA monumen tepian daik itu? Di mana jagat cadai itu? Di mana?
Aku kembali mencari monumen itu
di Kampung Kuala Jeneri ini. Kepulangan setelah lebih tiga puluh sembilan tahun
meninggalkan monumen yang pernah dicegatkan di tepian daik suatu ketika dulu,
lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu. Kini berselerak di celah
gulang-gulang, petak-petak bendang, denai-denai sempit di kebun-kebun kelapa,
ban-ban besar antara parit juga di arus deras sungai berbatu.
Di sini, lebih tiga puluh
sembilan tahun yang lalu kami pernah dipeluk dingin mencokot tulang temulang,
menurap keriangan bermain hagur batu dan celempung air tanpa peduli bingar
gelicau gatalbirah di dahan ara lempung apalagi pergolakan yang berlaku di sekeliling.
Aku cuba mengumpul semula serpihan-serpihan monumen yang bertaburan itu untuk
ditegakkan kembali di tepian daik persis dulu kendati sengoti menyelak
hutan-hutan batu yang berceracak. Betapa ghobar...
Di
mana monumen-monumen itu sekarang? Di mana jagat cadai itu kini?
Lebih
tiga puluh sembilan tahun yang lalu, di Kampung Kuala Jeneri ini, pernah aku
dirikan sebuah dangau kecil tepian daik pesisir bendang sesapan, bawah teduhan
keriang dot rimbun yang atapnya pelepah kering nyiur gading. Sebiji tempurung
kelapa jantan yang aku gosok sagat setiap malam sebelum tidur dengan daun
mempelas yang kebiasaannya aku ambil selepas mandi petang di belakang rumah
dari rumpunan mempelas tembun pinggiran telaga, tak pernah lekang ke mana saja.
Tempurung jantan itu aku jadikan
gelok buat simpan air telaga. Air itu untuk sajian kepada tetamu yang datang ke
dangau kecilku. Alangkah seronok dan indahnya waktu itu. Aku masih ingat pada
Ani - rakan cadai bertahi lalat gabai tercatuk di hujung bibir, rambutnya
panjang mengurai sampai ke pinggang, nyalar senyum bercawak manis, calak manja
dan dialah yang sering menjadi pasanganku di atas pelamin olok-olok.
Tidak
ada sepatah perkataan pun yang menerjah keluar dari mulut Ani kalau kami
disandingkan. Nyalarnya majlis persandingan itu dibuat di pinggir dangau,
mengarah ke bendang, ketika para petani getol menuai. Panen yang indah dengan
alunan merdu serunai batang padi disisip gelicau tiak, cicip jerijit - sungguh
mengesankan garisah.
Ketika
itu kami semuanya seia sekata. Aku masih belum melupakan, Topa, Udin, Sopi,
Maung, Seman, Latip, Ijah, Mail, Umi dan Peah - semuanya mengangguk setuju
dengan persandingan kami sambil menutup mulut dengan telapak tangan
masing-masing, seakan-akan mahu ketawa kegelian. Masing-masing akur tidak ada
pasangan lain yang lebih cocok dan sepadan selain dari kami berdua. Aku dan
Ani.
Di
sinilah, di tepian daik pesisir bendang inilah dan di Kampung Kuala Jeneri
inilah, Topa, Udin, Latip, Sopi, Maun, Mail, Seman, Ijah, Umi dan Peah bercadai
galak dan bersenandung lagu Oh Bulan Mana
Bintang sambil ketawa terhinggut-hinggut melihat aku bersanding pada pagi
itu, sewaktu matahari mencanak sepenggalah, selepas menyerok pagi, nyalarnya
ubi kayu rebus cicah gula kabung di rumah masing-masing. Persandingan olok-olok
itu adalah sebuah monumen kisah silam, sejarah purba kami yang tak mungkin akan
terulang lagi. Era amat jauh membezakan, jarak terlalu lebar meninggalkan.
Serasa-rasa bagai sebuah jagat kontradiksi yang kekadangnya meyongyatkan.
Sungguh,
sungguh indah waktu itu. Selepas lebih tiga puluh sembilan tahun berlalu, aku
kembali semula ke tepian daik ini untuk melihat bekas tapak kaki yang pernah
kami redah dahulu. Mengirap mesra ke benak, belum pamit bagaimana dangau
kendati sempit kecil dan centang perenang binaannya, tetapi itulah mahligai
indah buat kami bercadai setiap pagi, setiap petang tanpa peduli perjalanan
waktu.
Kami keriangan di celah-celah
silir, kami ketawa di bawah simbahan mentari dan kami akan terus-terusan riang
dan ketawa terapung-apung ke langit biru lalu menghilang dipeluk gumpalan awan
gemawan putih serlah. Alangkah, alangkah indahnya waktu itu, amat sukar untuk
dinyahkan dari hati.
Lebih
tiga puluh sembilan tahun yang lalu, pada hari ini dan di tepian daik pesisir
bendang ini, aku dan Ani pernah disandingkan. Walaupun tanpa bunga manggar,
bunga telur, paluan kompang atau laungan hadrah, ucap mulus selawat untuk
Junjungan buat diambil berkatnya, namun majlis itu tetap juga berlangsung
dengan persetujuan aku dan Ani. Seman akan menepuk-nepuk perut boyotnya,
berirama gendang raya atau merdangga mengiringi langkah silat pulut dan bunga
Latip dan Sopi. Maun akan membulat-bulat bibir mulutnya, mendesah angin
menghibur lagu serunai pahlawan menggegar gelanggang. Satu kenangan daripada
seluruh peristiwa, manis, indah dan menyeronokkan. Gerbaknya bagai kenanga dan
seroja pinggiran bendang.
Aduhai...
alangkah meriahnya majlis persandingan olok-olok itu. Walaupun nasinya hanya
tanah kering dari bendang yang dikecai-kecai, lauknya dedaun cekur dan senduduk
bauran ranting-ranting halban, sirapnya air telaga bening, namun itulah
keseronokan dan kemeriahan majlis itu. Mata Ani akan kuyu terkesip-kesip,
mungkin kerana seronok bersanding. Mungkin juga kerana dihubub pawana dari
jihat tengah bendang yang sesekali garang menerjang. Tetapi yang nyatanya, kuyu
itu bukan sengaja dibuat-buat, cagun spontan sarat riang, kuyu penuh
keikhlasan.
Keriangan
yang murup mengapung dalam senyum tawa Topa, Udin, Mail, Latip, Sopi, Maun,
Seman, Ijah, Umi dan juga Peah. Semuanya terleleh air liur kerana asyik ketawa
terhinggut-hinggut. Topa getol mengernyehkan giginya yang kuning rongak
berkarat, Ijah cabuh mengerisin kerana sumbingnya gagal dikawal, Maun nyalar
menggenyeh-genyeh hidungnya yang buar berhingus acap benar meleleh masuk ke
mulut.
Sementara Seman galak pula merais
menggodek-godek lubang hidung, kemudian dicecap dengan hujung lidah. Sesekali
tersengih. Lepas itu semuanya akan menyanyi lagu Oh Bulan Mana Bintang, meraikan acara persandingan olok-olok aku
dengan Ani. Waktunya lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu, pada hari ini,
di tepian daik pinggiran bendang ini, di Kampung Kuala Jeneri ini. Belum
menggelongsor luput lagi semua itu dari ingatan.
Jagat
cadai kami meruah asyik dan buar menyeronokkan. Sarat melimpah dengan gelak
mencabuh dan gerapak nyanyian. Jagat cadai kami adalah jagat gelicau tawa yang
luas, panjang, murup riang dan menggelinyau senang. Berkali-kali aku cuba untuk
menggapai semula keriangan jagat cadai itu tetapi jarak perjalanannya terlalu
jauh untuk disentuh, muhal untuk ditawan semula. Ianya sudah melepasi jangkauan
fitrah. Tidak berupaya aku lantaran lebih tiga puluh sembilan tahun terpisah
dan terpinggir.
Di
mana mereka sekarang? Di mana mereka selepas lebih tiga puluh sembilan tahun
meninggalkan jagat cadai kami? Di mana Ani, di mana Topa, di mana Udin, Latip,
Sopi, Maun, Mail, Seman, Ijah, Umi dan di mana Peah? Apakah mereka juga sudah
meninggalkan Kampung Kuala Jeneri ini kerana mengikut arus perubahan zaman?
Apakah mereka semua tidak akan kembali lagi memeriahkan semula jagat cadai kami
seperti lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu?
Sesungguhnya,
keriangan kami sewaktu kecil-kecil dulu, lebih tiga puluh sembilan tahun dulu,
acap cagun mengiang, figura rakan-rakan itu nyalar mengirap, kemesraan dan
keakraban kami bagaikan sari gemuyu bolong yang manisnya masih melepa erat di
rongga tekakku ini. Sukar sekali mahu disisihkan, mahu dinyahkan dari diri
kendati masa sudah berlalu lebih tiga puluh sembilan tahun.
Tetapi,
daripada seluruh keriangan, kegembiraan, gerapak tawa dan nyanyian mesra itu,
akulah anak Kampung Kuala Jeneri ini yang nyalar digulat sengsara. Dihenyak
fatamorgana. Dijerba pelbagai derita. Menjadi gelandangan melarat di bumi
asing.
Aku
sebenarnya rengsa terkujur dalam hidup tersendiri, terasing dari kebenaran
hakiki kerana cuba melarikan diri daripada lajur suratan dan takdir. Aku juga
persis lupa mewa bahawa jodoh, pertemuan, perpisahan, rezeki dan ajal maut
semuanya dalam kehendak masyi’atullah dan
fitratullah. Aku telah terlempar ke
satu dimensi jauh dari hakikat kebenaran hidup lalu menggelincir jatuh ke gaung
nihil dengan imamat.
Aku nyalar menyalahkan takdir,
tidak meyakininya lantas memberang tanpa sedar hakikat kejadian sunnan al-khaun. Aku muflis akhlakul karimah. Hidupku tersasar jauh
dari tauhid uluhiyyah. Namun muhasabah lekas membawa aku ke jagat
kebenaran dan aku mulai mengagungi keagungan purbawisewa.
Kini
aku mengharapkan hidup ini akan teranyam dalam satu jalinan indah sepanjang
detik. Kalau boleh hingga akhir hayat. Murad sejak aku meninggalkan bumi asing
itu dan kembali ke sini, ke Kampung Kuala Jeneri ini selepas lebih tiga puluh
sembilan tahun. Di sini aku telah menemui segalanya yang karar, hakiki,
zat-Nya, keesaan-Nya. Namun, kala aku mencari monumen tepian daik, jagat cadai
kami lebih tiga puluh sembilan tahun dulu, segalanya kejur, merengap dalam
remang langking hari dan muhal sekali untuk dijejak.
Semuanya sudah menghilang,
semuanya telah melenyap dan semuanya khali tanpa suara. Yang tinggal kini
hanyalah murup hampa dan buar rindu membara. Tersuar tinggi melangit. Tidak
lagi aku mengharapkan urna riang manis ini berulang, selain lebih tiga puluh sembilan
tahun yang lalu, di sini dan di Kampung Kuala Jeneri ini. Detik manis indah itu
nyata begitu jauh meninggalkan aku, meninggalkan Maun, meninggalkan Topa,
meninggalkan Udin, Mail, Seman, Peah, Latip, Sopi, Ijah, Umi dan meninggalkan
Ani malah sewaktu aku memijakkan kaki semula ke kampung ini selepas lebih tiga
puluh sembilan tahun kemudiannya, semuanya bungkam, sebam, udam, pudar, ilam
bagaikan punggur puhu tepian bendang. Tiada lagi urna bianglala persis dulu
yang nyalar melengkung di ufuk langit.
Sesekali
terasa bagaikan semalam aku meninggalkan segala jagat cadai indah itu. Aku
dijerba rindu menggelodar, keinginan kembali ke jagat itu semula amat
menggelecak. Amat riang sekali kiranya dapat bercadai kembali di dalam dangau
centang perenang tepian daik pesisir bendang. Aku disergap gelecak rindu untuk
bersenandung semula lagu Oh Bulan Mana
Bintang, dalam calak dan cangip riang di bawah cerlang urna bersama Topa,
Udin, Mail, Seman, Latip, Sopi, Umi, Peah dan Ani.
Biarlah sekali lagi aku diberi
peluang bercadai mesra, menjamah nasi dedaun cekur berlauk ranting-ranting kayu
kering dan menogok air sejuk perigi bening di dalam gelok tempurung jantan.
Biarlah sekali lagi aku dianugerahi peluang bersenandung penuh asyik lagu Oh Bulan Mana Bintang, bersanding di
samping Ani yang calak manja, nyalar tersengih dan getol benar tersenyum itu.
Biarlah sekali lagi...
Aduhai...
Sesungguhnya, majlis persandingan itu semeriah cerlang mentari pagi, Oh Bulan Mana Bintang yang kami
senandungkan itu bergelombang menggerbak menyuar ke pundak awan gemawan,
mencelah antara gunung gemunung, bersipongang melantun menggelicau ke lawang
tujuh petala langit dan aku merasa begitu bahagia, karar, ceria dan diapung
gembira dalam jagat cadai kami yang buar ketawa, melimpah senda dan calak mesra
itu.
Terlalu
gesit detik berjalan. Melihat tepian daik pesisir bendang di Kampung Kuala
Jeneri ini persis mencerlung cermin diri yang semakin singkat dan dewasa. Lebih
tiga puluh sembilan tahun berlalu bagaikan mimpi semalam yang cagun mendadak,
rindu berbaur jelu, sendu berbaur pilu. Manis riang dan indah mengasyikkan.
Kampung Kuala Jeneri ini bagaikan hilang serinya tanpa mereka semua. Tanpa
Udin, tanpa Topa, tanpa Sopi, tanpa Mail, tanpa Seman, Ijah, Umi, Ani dan Peah.
Ya.
Kampung Kuala Jeneri ini khali dan bungkam. Kejur dan kedu. Tanpa mereka. Tanpa
monumen tepian daik. Tanpa jagat cadai kami. Tanpa semuanya. Segalanya bening
dan hening bagaikan sudah disergap meditasi selepas lebih tiga puluh sembilan
tahun kemudiannya dan kala aku menjijakkan kaki semula ke sini selepas lebih
tiga puluh sembilan tahun itu, gumpal awan gemawan gabak gerawan persis
mengejek diri. Ejekannya menggelodak seperti gelodaknya rinduku kepada Topa,
kepada Udin, kepada Sopi, kepada Latif, Maun, Mail, Seman, Ijah, Peah dan juga
Ani.
Semak-samun tepian daik di
pinggiran bendang, tapak monumen jagat cadai kami, bekas dangau silam kami,
sudah pun gondol gersang sebagaimana melenyapnya mereka semua. Malah, di
Kampung Kuala Jeneri ini tidak ada lagi pokok mengkudu, pokok mengkirai, pokok
cenerai, raksamala, senduduk, halban, menerung dan segalanya yang menaung kami
bercadai. Tiada lagi tempat untuk kami bersanding, menjamah nasi dedaun cekur
dan tembak menembak setiap musim panen. Bungkam dengan gelicau jerijit, ceridau
madi juga gatalbirah. Semuanya khali dan merajuk sebagaimana merajuknya aku dan
mereka semua. Dengan rajukan yang panjang tanpa dapat dipujuk-pujuk lagi.
Mana
monumen tepian daik itu? Mana jagat cadai kami?
Di Kampung Kuala Jeneri ini aku
tidak lagi bersua dengan monumen tepian daik dan jagat cadai kami itu.
Segalanya sudah melenyap persis embun di hujung senayan tatkala ditampar sinar
mentari ledang. Begitulah juga lenyapnya Ani, Topa, Udin, Sopi, Latip, Ijah,
Mail, Seman, Maun, Umi dan Peah. Entah ke mana! Barangkali sudah berselerak
sebagaimana berseleraknya monumen tepian daik dan jagat cadai kami, mengalir
deras dibawa arus perubahan zaman.
Tatkala
ini aku masih cuba mengutip semula perca-perca perjalanan silam yang telah kami
tinggalkan. Biarpun aku tahu semua itu muhal tanpa Topa, Udin, Seman, Mail,
Latif, Sopi, Peah, Umi, Ani dan juga Maun. Sesungguhnya tidak ada lagi murup
cerianya aku pulang ke Kampung Kuala Jeneri ini setelah lebih tiga puluh
sembilan tahun kemudiannya. Silir galak lunak yang miang berhimpang berkesiur
saban pagi dan petang, bagaikan kehilangan jihat puputannya.
Bukit-bukau, cerok lurah tempat
kami tercangip merengap mencari durian burung dan tempat aku menolong emak Ani
menuai padi huma sudah pun gondol, bagaikan orang tua renta kehilangan rambut.
Sekadar ceracak perdu tolang dikapak langkisau beliung. Kata Haji Badri yang
aku temui tiga hari lalu, tempat itu akan menjadi tapak padang golf eksklusif,
siap dengan kolam renang dan pusat rekreasi. Sesekali mengirap bergentayangan
gelagat kami di situ. Beragaman mengelut cepu kepala.
Kamilah
yang nyalar mengurai dan mengirik padi malinja emak Ani untuk ditugal di huma.
Aku yang getol mencongkah lubang tugal dengan kayu sebatang, Ani menyumbat biji
benih dan gesit pula tumit kaki menguis tanah untuk menutup lubang itu.
Berpetang-petang kami menugal padi huma emak Ani, berelong emak Ani berhuma.
Tatkala panen padi remaja menguning emas, aku bersama rakan-rakan sebaya yang
lain bingar menghalau tiak, ketitir, merbok dan upahnya ialah emping padi muda
emak Ani.
Emping itu kami yang mengindiknya
dengan lesung indik teras resak yang tak makan asai biar seratus tahun. Padi
itu adalah buah-buah rindu yang selama ini acap cagun menjerba, kuning emasnya
urna kemesraan yang tidak pernah larut dalam cepu ingatan. Segalanya galak
mengheret aku dalam sejuta kenangan yang manis tanpa tepi dan lajur watasnya.
Alangkah
kerdilnya aku! Selepas lebih tiga puluh sembilan tahun menjadi petualang dan
gelandangan di bumi orang dan kemudiannya pulang ke tanah kelahiran sendiri.
Sebenarnya jagat ini juga kerdil!
Benar,
di Kampung Kuala Jeneri ini keterasingan cagun berhimpang dari pelbagai sudut
membuatkan gelinyau keluh kesah yang selama ini tidak pernah ada belas kasihan
menjerba galak, mencanak membusut dan suar membukit. Jiwaku terlalu cabuh
mencari serpihan monumen tepian daik itu, jagat cadai kami itu.
Apakah
segalanya ini rentetan imbalan terhadap rusuh fikiran yang nyalar dijerba
kenangan silam yang bolong, tidak berupaya direalisasikan semula kerana zaman
yang nyata berubah? Mungkin kerana cabuh dan kelut jiwa dihenyak oleh pelbagai
derita? Entahlah! Aku tidak tahu, apakah zuriat mereka yang semakin melonjat
usia itu pula yang akan menyambung segala cadai kami? Apakah kanak-kanak itu
berupaya melaksanakannya semeriah dan seasyik persis yang pernah kami cagunkan
dulu?
Apakah aku masih mengharapkan
zuriat mereka yang kian membesar itu melagukan kembali lagu Oh Bulan Mana Bintang seperti dulu?
Muhal, bagai menunggu mentari tengah malam yang tak mungkin akan cagun.
Mana
monumen tepian daik itu dan mana jagat cadai kami?
Sesekali
berada di Kampung Kuala Jeneri ini, lebih tiga puluh sembilan tahun
kemudiannya, terasa sekali beruntungnya aku. Kerana aku dilahirkan di kampung
pingitan ini dan aku dibesarkan di sini. Kampung Kuala Jeneri ini adalah
kampungku, tempat lahirku. Tepian daik pinggiran bendang, gulang-gulang di
sekitar kampung ini adalah mandala cadai kami di mana itulah satu-satunya
tempat yang selesa kepunyaan kami. Walau bagaimanapun buruk, comot, selekeh dan
naif rumah-rumah kampungnya tetapi itulah mandala indah kenangan aku berpusar
dan berkelintar.
Mungkin
kepulanganku ini serasa masih belum terlewat tetapi cukuplah untuk aku
mengenangkan kembali perjalanan silam yang panjang dan jelu itu. Pedih ghobar
merengsa tetapi mengesankan, getir pahit memaung tetapi mengasyikkan.
Realitinya, waktu ini, selepas lebih tiga puluh sembilan tahun aku dipisahkan
oleh waktu, banyak perkara yang aku telah tinggalkan - Topa, Udin, Sopi, Latip,
Maun, Mail, Seman, Ijah, Umi, Peah dan Ani mungkin sedang membilang jari zuriat
kurniaan Tuhan kepada mereka. Tentu suara pekik gerapak bingar anak-anak itu
bagaikan mahu meredum, menghogeh rumah masing-masing tetapi pekik gerapak
bingar anak-anak itulah sebenarnya imejan kami.
Larian cadai anak-anak itulah
sebenarnya ulang tayang filem silam kami, imejan daripada ribuan dan jutaan
cadai silam kami, refleksi daripada berlaksa-laksa sorak bingar dan senandung
purba yang pernah kami cagunkan mengapung jagat Kampung Kuala Jeneri lebih tiga
puluh sembilan tahun yang lalu. Di mana selut bendang bolong kohong likat
adalah taman kami.
Hujung kampung adalah watas
mandala cadai kami dan kami akan terus bergelicau berlari dan getol menggeru
kejar mengejar, warawiri merengap tercangip bersama-sama Topa, Udin, Seman,
Mail, Maun, Latip, Sopi, Ijah, Umi, Peah dan juga Ani.
Mana
monumen tepian daik dan jagat cadai kami itu? Mana...
Berhari-harian,
bermingguan dan berbulan-bulan aku berada di tempat ini, dari waktu pagi yang
cerlang ceria dengan ciuman suam mentari hinggalah ke remang senja, aku
habiskan seluruh kemanisan kenangan ini di tempat ini, pada waktu ini dan pada
saat ini untuk kujadikan satu monumen sejarah diri yang tidak ternilai
harganya. Aku berharap dan nyalar berdoa semoga pada suatu ketika nanti,
anak-anak mereka akan menatap dan mengenang serta menghayatinya sebagai monumen
sejarah purba anak-anak Kampung Kuala Jeneri lebih tiga puluh sembilan tahun
yang lalu.
Anak-anak Kampung Kuala Jeneri
lebih tiga puluh sembilan tahun yang lalu itu adalah aku, Topa, Udin, Sopi,
Latif, Mail, Maun, Seman, Peah, Umi, Ani dan Ijah. Sekiranya sesiapa saja
antara mereka bertanya, katakan kepada mereka bahawa di tempat ini dulunya
pernah terjadi peristiwa dua belas kanak-kanak yang comot dan naif riang
bercadai dan selepas tiga puluh sembilan tahun kemudiannya dipisahkan oleh
takdir Ilahi.
Amat pedih sukar dilupakan, amat
menyayat payah disisihkan.
Di
antara dua belas kanak-kanak Kampung Kuala Jeneri itu akulah yang ditakdirkan
banyak sekali disergap derita, dihenyak sengsara. Sehingga kini aku belum
berupaya melenyapkan segala kesan yang melepa dalam hidup. Aku tidak berupaya
menyekang masyi’atullah dan fitratullah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan