Khamis, 21 Disember 2023

SCOLIOSIS

SMAHADZIR

 

HARI terang. Angin berkesiur damai dan tenang. Warga alam bagaikan harmoni kala disapa dan dibelai angin yang segar itu. Sementara awan merah melajur cantik di ufuk masyrik.

Namun begitu, alam mujarad nampak cabuh. Tiga scoliosis pinggir wad ortopedik berdialog megah berbaur riang mendepani tiga pesakit kecil. Sesekali berbahang, menyerlah ego masing-masing.

Conginetal ketawa berpinak-pinak keriangan. Neuromuscular tersenyum galak. Cuma Idiopathic sedikit pudar. Alasannya menyerang Silia Sara Farzana dianggap jenaka.

Silia Sara Farzana seorang anak gadis kecil comel, berambut lurus dan mengurai tetapi sayang idiopathic telah mencacatkan ketempawanan dirinya.

“Hei, kenapa kaum perempuan lebih ramai jadi mangsa pilihan kamu hah?” Conginetal betanya dalam gelak masih meleret. “Nisbah 2-1 : 4-2. Malang sungguh kepada nasib yang diterima oleh kaum perempuan!“

“Alah… dia tu cuma mampu berani dengan kaum yang lemah saja!” Neuromuscular seperti menyinis.

“Tapi kamu amat bijak. Bukan saja bijak malah licik,” balas Conginetal sedikit keras.

“Maksud kamu?” mata Idiopathic terkesip-kesip sembari kening berkerut.

“Kamu buat-buat lupa agaknya. Ujian pakar ortopedik berhubung otot, saraf dan konginetal tak ada hubung kait. Memang kamu bijak sungguh menyembunyikan dirimu dari dikesan, Idiopathic!”

Idiopathic segera memurupkan senyumnya dengan pujian tersebut. “Bukan aku seorang saja yang bijak begitu... errrr... Infantile, Juvenile dan Adolescent pun begitu juga,”

“Mereka tu spesies kamu juga, kan? Kaum keluarga kamu juga, kan?” tanya Conginetal.

Idiopathic gesit mengangguk. “Soal bijak bukan saja spesies atau keluarga aku, kamu pun sama saja...”

“Hei, apa maksud kamu?” cantas Conginetal seolah-olah ingin tahu.

“Mangsa kamu Emiliya Natasya tu, umur tiga tahun baru dapat dikesan ibu bapanya. Itupun sewaktu dia pandai berjalan. Lebih mengharukan, Emiliya Natasya dikatakan bermasalah pada saraf tulang belakang, jantung konginetal dan ketumbuhan saraf. Hmmm, kamu memang bijak, pintar, licik dan satu lagi anugerah untuk kamu …. kejam!!” balas Idiopathic agak kasar dan keras.

“Tapi aku boleh dirawat,” balas Conginetal bersahaja.

“Rawatan melalui pembedahan tu?” Neuromuscular hampir ketawa. “Kamu ingat pembedahan tak ngerikah? Hei, bukan senang nak dirawat, tau tak? Bergantung kepada di peringkat mana kamu dikesan. Kalau lewat, kemungkinan besar kurang berjaya,”

Conginetal diam sejenak. “Hei, kamu pun apa kurangnya? Jangan pandai mengata aku saja!” dia bersuara sejurus kemudian, kurang senang. “Mengata dulang paku serpih!”

“Siapa maksud kamu, hah?” tanya Neuromuscular, pura-pura tidak tahu.

“Siapa lagi, kamulah! Eleh, pura-pura pula dia,” balas Idiopathic seraya mencebek.

“Eh, kenapa pula dengan aku?” Neuromuscular mengerutkan sedikit keningnya.

“Cuba kamu ingat kembali. Apa yang kamu dah buat pada Ahmad Faisal yang keletah waktu berumur tiga tahun tu?” Conginetal cuba mencungkil.

“Salahkah?”

“Bukan saja salah malah lebih kejam dari kami semua, tahu tak!” suara Idiopathic bernada gerah. “Ahmad Faisal jadi lumpuh kerana diserang pada otot-otot dan saraf. Sekarang berkerusi roda,”

Neuromuscular tersengih bangga. “Salah ibu bapa dia juga. Kalau dibantu dengan brace boleh melambatkan perkembangan tulang yang bengkok. Ahmad Faisal tak mungkin lumpuh begitu,”

Brace bukan kaedah yang tepat,” Conginetal menyangkal waras.

Neuromuscular terus bungkam.

 

* * *

 

Wad ortopedik Hospital Alor Setar sesak dengan pesakit dan para pelawat. Kakitangan hospital sibuk dan cekatan tugasnya melayani pelbagai kerenah.

Doktor Haryati mengatur langkah memeriksa pesakit dari katil ke katil. Melihat kad pemeriksaan pada katil bernombor 8, sekilas mata doktor muda itu mencuplik pandang ke wajah Silia Sara Farzana.

Umur sekitar empat tahun, tenang menunggu kedatangan Doktor Haryati. Kedua-dua ibu bapa setia di sisi. Menanti berita penuh debar sama ada anak mereka terpaksa dibedah atau tidak.

“Bagaimana doktor?” bapa bertanya sebaik Doktor Haryati selesai mencatatkan sesuatu di atas kertas pemeriksaan.

“Kebengkokan tulang Silia Sara Farzana sekitar 45 darjah saja, encik! Masih boleh dirawat dengan brace,” tenang doktor itu menjawab.

“Maksud doktor, tak perlu dibedah?” ibu pula bertanya tidak sabar.

          “Hmmm, begitulah!” jawab Doktor Haryati sembari tersenyum.

          Ibu dan bapa menadah syukur. Silia Sara Farzana tidak berkata apa-apa. Dia redha saja. Ini pemberian Allah yang tidak mampu disekat.

          “Pembedahan cuma perlu jika kebengkokan melebihi 50 darjah. Kalau mencecah sampai 70 darjah, pembedahan belakang dan depan perlu dilakukan,” Doktor Haryati polos menjelaskan.

          Ibu dan bapa mengangguk.

          “Syukurlah, Silia Sara Farzana masih boleh diwarat dengan brace,” tambah Doktor Haryati lagi seraya tersenyum tenang. “Pembedahan ada komplikasinya, encik! Mungkin berlaku pendarahan atau masalah pernafasan selepas dibedah. Kecederaan pada tulang belakang agak tinggi, berlaku pada saraf. Ada kalanya pula boleh jadi lumpuh,”

          Ibu memeluk Silia Sara Farzana, rasa terharu menyesak dada. Bapa menitiskan air mata syukur.

          Doktor Haryati dengan dua jururawat beredar. Katil bernombor 9 dilewati. Emiliya Natasya berwajah sugul. Conginetal yang dialami sejak lahir cuma dikesan kala berumur tiga tahun. Emiliya Natasya di sini keseorangan, tidak ditemani sesiapa. Ibu bapa kembali ke alam baqa waktu dia berusia dua tahun lalu dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

          Doktor Haryati meneliti satu persatu catatan jururawat di atas kad pemeriksaan. Setagal melirik wajah comel Emiliya Natasya. Air mata bergenang, jelu mengenang nasib diri anak yatim piatu itu.

          “Selain rawatan scoliosis, jantung dan buah pinggang dia perlu dirawat. Boleh mengakibatkan kelumpuhan!” jelas Doktor Haryati sebelum meninggalkan katil Emiliya Natasya.

          Jururawat pengiring sekadar mengangguk perlahan namun nampak akur.

          Di katil nombor 10, Ahmad Faisal terbaring meniarap. Nampak jelas neurofibroma di belakangnya berbonggol-bonggol. Itu satu neuro-muscular yang serius. Ibu tunggal di sisi kelihatan resah. Pengorbanan menjaga Ahmad Faisal begitu menyiksakan lebih-lebih lagi tempat bergantung harap sudah berpindah ke tangan perempuan lain lalu tanggungjawab terhadap isteri pertama dan anak terabai. Mengingatkan lara diri, si ibu mengeluh berat dan sebak.

          Doktor Haryati memurup senyum kala tiba di hadapan katil. Si ibu membalas senyum dan gesit bertanya, “Errrr, bagaimana dengan penyakit anak saya, puan doktor?” Jelas nadanya tidak dapat ditahan-tahan.

          “Err… sebenarnya kebengkokan tulang belakang yang dialami Ahmad Faisal ni bukan berpunca dari tulang!” ujar Doktor Haryati waras.

Si ibu tunggal kehairanan dengan kata-kata tersebut. “Errr… maksud doktor?”

          “Otot-otot yang lemah!” jawab Doktor Haryati.

          “Saya kurang faham!”

          “Berpunca dari masalah saraf seperti cerebral palsy dan penyakit otot seperti muscular dystrophy,” jelas Doktor Haryati.

          Wajah ibu tunggal gesit pudar mendadak. “Errrrr… maksud doktor, secara tak langsung kelemahan otot-otot ni menyebabkan tulang jadi bengkok?”

          Doktor Haryati mengangguk nipis. “Saya dapati neurofibroma Ahmad Faisal agak serius. Dia memerlukan pembedahan,”

          Si ibu meneguk liur. Mendadak suasana wad ortopedik nampak suram. Gesit merenung tunak belakang anak kesayangan yang semakin membonggol besar. Sejenak kemudian jagat suram terus.

 

* * *

 

Pagi tenang. Awan putih comel berambal di pundak langit. Dahan pohon angsana pinggiran padang Sekolah Kanak-kanak Istimewa bergoyang lembut. Bawah naung redup. Tiga kanak-kanak riang melihat rakan-rakan lain bermain tanpa hirau kecacatan diri. Mesra dan akrab.

          Idiopathic merenung wajah Silia Sara Farzana ceria. Betapa gadis mungil itu pasrah dan redha dengan segala fitratullah dan masyi’atullah. Conginetal di sisi masih erat berpaut pada tubuh Emiliya Natasya. Biar dijadikan lemah namun tabah dan redha juga seperti Silia Sara Farzana.

Cuma Neuromuscular agak kesal. Benar aku ini kejam, bisik hatinya. Angkara durjana Ahmad Faisal terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk ke sana ke mari. Tulang belakangnya tidak mampu menyokong badan.

          “Ayuh kita ke sana!” Silia Sara Farzana menuding ke hujung padang seraya mencuit bahu Emiliya Natasya. Teman angguk dan akur. Ahmad Faisal mengekor.

Roda kerusi bergolek cepat.

 

Rujukan:

Scoliosis didefinisikan sebagai kebengkokan pada bahagian sisi tulang belakang yang dapat dilihat dengan jelas dari belakang. Scoliosis boleh dibahagikan kepada tiga iaitu neuromuscular, conginetal dan idiopathic. Neurofib-roma merupakan salah satu daripada jenis neuromuscular scoliosis. Sementara indiopathic juga boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu infantile, juvenile dan adolescent. Infantile dapat dikesan sejak seseorang itu dilahirkan sehingga berusia tiga tahun. Juvenile dapat dikesan apabila sesorang pesakit berumur 5 hingga 9 tahun. Sementara adolescent pula dapat dikesan sewaktu berumur antara 10 hingga 13 tahun.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA