Selasa, 18 Oktober 2011

Tsunami Nias

SMAHADZIR

PADA wang kertas 1,000 Rupiah Indonesia, ada lakaran aksi orang melompat batu di Bawomataluo, selatan Pulau Nias, Indonesia. Itu sebenarnya dianggap satu penghormatan besar kepada penduduk tempatan kerana ia dijadikan simbol tarikan pelancongan republik berkenaan. Asalnya, tradisi melompat batu itu adalah tempat latihan sebagai persediaan generasi muda menghadapi peperangan. Dulunya, jika sesiapa berjaya melompat melepasi batu itu, mereka dianggap matang dan layak untuk berjuang di medan perang.

Selepas perang tamat, batu setinggi dua meter itu masih kekal dan kini dijadikan tarikan utama pelancong. Tradisinya masih kekal dengan pelompat akan mengenakan pakaian tradisional mempamerkan aksi mereka di hadapan pelancong yang berkunjung. Aktiviti itu turut dipersembahkan bersama seni budaya Fataele dan Maluaya atau tarian perang, Ho Ho dan Mogaele.

Perkampungan budaya di Teluk Dalam, Pulau Nias.

Itu hanya satu daripada tarikan di Pulau Nias yang terletak di barat Pulau Sumatera. Tarikan utama pulau yang beribukotakan Gunung Sitoli dan menghadap Lautan Hindi itu adalah pantainya yang cantik serta ombak tinggi, cukup sesuai untuk aktiviti meluncur ombak. Mungkin ramai tidak tahu, keseronokan meluncur di Teluk Dalam, Pulau Nias sebenarnya sama taraf dengan kehebatan meluncur di Hawaii dan Bali, Indonesia. Dalam kalangan peluncur sendiri, mereka mengiktiraf Teluk Dalam adalah lokasi kedua terbaik dunia selepas Hawaii.

Teluk Dalam yang terletak di selatan Pulau Nias cukup beruntung mempunyai Pantai Sorake dan Lagundri yang sering menjadi pilihan lokasi pertandingan luncur antarabangsa. Ombak di Pantai Sorake boleh mencapai ketinggian 15 meter kerana kedudukannya menghadap Lautan Hindi, sekali gus menghasilkan ombak tinggi yang memang menjadi kegilaan peluncur. Kajian mendapati ombak yang terbentuk di situ mempunyai lima lapisan yang jarang ditemui di tempat lain.

Tradisi melompat batu di Bawomatalou, Pulau Nias untuk memilih pejuang.

Sebab itulah peluncur cukup gemarkan Teluk Dalam dan bagi peluncur baru, mereka mempunyai banyak pilihan. Bak kata penduduk tempatan, jika gagal di ombak lapisan pertama, peluncur masih mempunyai peluang menghadap empat lagi lapisan ombak. Hasil aktiviti itu, sepanjang kedua-dua pantai berkenaan dipenuhi pelbagai jenis penginapan dan kafe. Sudah pasti penduduk tempatan turut menerima tempias manfaatnya dengan mendirikan banyak inap desa yang dijadikan tempat penginapan murah pelancong.

Lebih meriah ketika berlangsungnya pertandingan luncur antarabangsa yang diadakan ketika musim ombak besar sepanjang Jun hingga Julai setiap tahun. Penulis yang berpeluang ke Teluk Dalam mendapati kawasan itu memang dilengkapi semua kemudahan pertandingan meluncur.

Ombak 5 lapis, cecah ketinggian 15 meter

Ketika tsunami melanda Aceh pada Disember 2004, kawasan Teluk Dalam turut dilanda musibah menyebabkan kemudahan dan rumah musnah. Kawasan itu dibangunkan semula tetapi diancam gempa bumi pada Mac 2005 menyebabkan penduduk takut tsunami menyusul lagi, namun tragedi itu tidak berulang.

Kini selepas empat tahun dilanda bencana alam yang menggemparkan, kawasan itu kembali aktif. Tidak hairanlah, ia sering menjadi tumpuan peluncur terutama dari Australia, Jepun dan Eropah yang menempuh perjalanan ribuan kilometer semata-mata untuk berhadapan ombak besar dan pulang dengan hati yang puas.

Terapi Kota 2 Zaman

SMAHADZIR

BEIJING bukan satu kota asing bagi pengembara berikutan statusnya sebagai bandaraya kaya keunikan bangunan lama, tempat bersejarah, keindahan taman dan kota sejarah sehinggakan turut diiktiraf Tapak Warisan Dunia. Apa yang menarik, biarpun diulit kemodenan, Beijing masih mengekalkan ciri-ciri keagungan silamnya sehinggakan layak dilabelkan Kota Dua Zaman - purba dan moden. Ada dua cara mudah serta murah mengelilingi kota kosmopolitan ini iaitu menggunakan ‘subway train’ atau rangkaian kereta api bawah tanah Beijing dan menaiki bas bagi yang gemar berjalan kaki. Penulis dan isteri yang berpeluang ke sana memilih kereta api bawah tanah sebagai pengangkutan utama kami sepanjang kami melawat destinasi-destinasi pelancongan utama di ibu kota negara China itu.

Kami ke Olympic Green yang menempatkan banyak stadium dibina China sempena temasya Olimpik Beijing 2008. Biarpun destinasi ini terkenal dengan beberapa stadium olimpik yang menjadi kebanggaan China tetapi kami cuma melawat Stadium Nasional Beijing yang terkenal dengan jolokan Stadium Sarang Burung. Seterusnya, saya dan isteri ke Taman Jingshan yang juga satu-satunya tanah tinggi tersergam di kota ini dan di sebelah utara Kota Terlarang. Taman Jingshan adalah bukit buatan manusia setinggi 45.7 meter yang dibina pada zaman Maharaja Yongle - Maharaja ketiga Dinasti Ming di kawasan seluas 230, 000 meter persegi. Ada lima puncak bukit dan setiap puncak mempunyai satu menara peninjau dan dari sini boleh melihat hampir keseluruhan Kota Beijing.

Kami kemudian menuju Kota Terlarang - bekas istana terbesar di dunia dan menjadi istana rasmi Maharaja China dari zaman Dinasti Ming sehingga Dinasti Qing. Di sini kita dapat mengimbau sejarah silam melalui artifak serta reka bentuk istananya yang tetap utuh sehingga ke hari ini. Memang layak ia diiktiraf UNESCO sebagai tapak warisan dunia. Kami kemudian ke masjid terbesar Beijing iaitu Masjid Niujie. Bertuah rasanya dapat menemui saudara seagama di negara asing yang datang bersolat di masjid itu.

Pada hari berikutnya, kami ke Tembok Besar China melalui salah satu pintunya Badaling yang juga bahagian paling sesak dan paling kerap dikunjungi pelancong luar dan pelancong tempatan China kerana ada kemudahan pengangkutan seperti kereta api dan bas. Pendakian kami memang cukup memenatkan tetapi rasa penat itu terubat dengan sajian panorama indah lagi menakjubkan dari atas Tembok Besar itu.

Kami turut bertandang ke Zoo Beijing dan pusat membeli-belah termasuk Korean China Market dan Silk Market ataupun Pasar Sutera. Kami turut melawat Bangunan CCTV Beijing dan bangunan Pusat Dagangan Dunia Beijing. Namun pengalaman bertandang ke Zoo Beijing sememangnya tidak dapat dilupakan. Terletak di kawasan seluas 89 hektar, termasuk 5.6 hektar tasik dan kolam, ia adalah antara zoo tertua di China dengan koleksi haiwan yang terbesar di negara itu. Ia ada lebih 450 spesies haiwan darat dan lebih 500 spesies haiwan marin. Diasaskan pada 1906, suasana di dalamnya tidak ubah taman lama tetapi cukup menarik. Berbaloi rasanya dapat melihat aksi beruang panda secara ‘live.’

Destinasi lain Kuil Lama Yonghegong, Tasik Qianhai dan Masjid Dongsi. Begitu juga dengan Bangunan CCTV Beijing dan Bangunan Pusat Dagangan Dunia Beijing yang menjadi mercu tanda kemodenan Bandaraya Beijing. Destinasi terakhir kami sebelum berlepas pulang ialah Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing - terminal paling cantik dan termoden sekali di antara ketiga-tiga terminal di lapangan terbang itu. Akhir sekali, kami berlepas pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines dengan membawa memori indah Beijing yang tidak mungkin dilupakan.

Tarikan 3 Pekan

SMAHADZIR

KETINGGALAN 40 tahun. Itu kesimpulan penulis sebaik tiba di Donsao, sebuah pekan di Laos dalam kembara ke kawasan Segi Tiga Emas meliputi Thailand, Myanmar dan Laos. Tiada bangunan konkrit di sini, hanya deretan kedai diperbuat daripada bambu dan beratap rumbia, tak ubah seperti Pekan Tuaran di Sabah, empat dekad lalu. Kedai berkenaan menjual pelbagai jenis produk seperti pakaian, rantai kunci, beg pakaian, pelekat magnet peti sejuk, tas tangan serta makanan dan minuman yang kebanyakannya dibawa masuk dari Thailand.

Jangan terkejut melihat bangkai ular tedung selar gergasi dalam bekas kaca berair menunggu dijadikan hidangan buat pengunjung. Air dalam bekas itu turut dijual, kononnya boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk lemah tenaga batin. Penulis bersama rakan menaiki bot pelancong dari Mae Sai ke Donsao menyeberangi Sungai Khong, tanpa perlu melalui pos pemeriksaan imigresen. Untuk makluman, sungai adalah nadi pengangkutan Segi Tiga Emas.

Kami turut menelusuri Sungai Khong untuk melihat pemandangan sekitar kawasan Segi Tiga Emas termasuk perumahan daif di tebing sungai, tugu serta pusat perjudian. Pengembaraan seterusnya dari Mae Sai ke Tachileik di Myanmar menggunakan van. Perjalanan hanya 30 minit, tetapi pemeriksaan imigresennya ketat hingga penulis nyaris tidak dapat masuk kerana borang khas ketibaan ke Thailand dari Malaysia ditampal dalam pasport pula tertanggal. Cari punya cari, nasib baik dokumen itu ada dalam van yang dinaiki.

Lega kerana dibenarkan memasuki negara Junta Tentera itu. Di Tachileik, kebanyakan barangan yang diniagakan juga dari Thailand dan urus niaga dalam mata wang Baht dibenarkan sama seperti di Donsao. Orang Islam seperti Melayu Champa dan Thailand turut berniaga di pekan ini. Seronok melihat motosikal yang dipasang treler dijadikan pengangkutan utama termasuk mengangkut barang dari Thailand untuk diniagakan di Myanmar, jelas menggambarkan tahap sosio ekonomi penduduk di sini masih rendah.

Sebelum memasuki Donsao, konvoi kami yang menggunakan van bertolak dari Universiti Mae Fah Luang (MFU), Chiang Rai ke Mae Sai yang mengambil masa dua jam. Di Mae Sai, kami melawat sekitar pekan yang kaya dengan pelbagai tinggalan sejarah seperti tokong purba, arca gajah dan berhala Buddha berwarna kuning keemasan. Di sini juga ada Muzium Candu mempamerkan pelbagai khazanah mengenai bahan itu namun pengunjung tidak dibenar merakamkan gambar. Kerajaan Thailand serius memerangi dadah termasuk memusnahkan penanaman kanabis di Mae Sai, mengambil iktibar Perang Candu Kedua pada 1856-1858 yang memberi pengajaran mengenai bahaya candu.

Chiang Mai mempunyai pelbagai daya tarikan pelancong seperti Menara Jam Chiang Mai berwarna kuning keemasan yang kemudian bertukar kepada pelbagai warna setiap jam 9 malam antaranya hijau, ungu, merah dan putih kristal, selain ada Bazar Malam. Pikap atau lori kecil antara pengangkutan penting di sini, sama seperti Kota Belud di Sabah. Di Chiang Rai pula, ada Masjid Darun Aman untuk memudahkan umat Islam di utara Thailand beribadah dengan kebanyakan penganut Islam di situ dari etnik Chin Haw yang mirip puak Hui di China.

Penulis turut sempat singgah di Chiang Mai yang mempunyai pelbagai daya tarikan seperti menara jam kuning keemasan yang bertukar kepada pelbagai warna setiap jam 9 malam antaranya hijau, ungu, merah dan putih kristal, selain ada Bazar Malam. Pikap atau lori kecil antara pengangkutan penting di sini, sama seperti Kota Belud.

Begitulah catatan ringkas kembara penulis di Segi Tiga Emas. Terasa bagai dibawa kembali ke zaman retro era 70-an ketika berada di Donsao sebelum melangkah ke dalam `muzium hidup’ di Mae Sai yang penuh dengan tinggalan sejarah, manakala Tachileik pula umpama pekan lama Goshen di Kota Marudu.



Syurga Manado

SMAHADZIR

Kalau menyebut nama Manado, tentu kita terus mengaitkannya dengan nama primadona filem Melayu popular pada era 1950-an, Maria Menado, jelitawan berasal dari ibu kota wilayah utara Sulawesi ini. Manado juga tempat asal Imam Bonjol, ulama dan pendakwah Islam terkemuka di Indonesia satu ketika dulu.

Manado di Sulawesi Utara menempatkan Taman Marin Negara Bunaken yang begitu mendamaikan dan indah bak syurga. Kawasan perairan habitat lebih 2,500 spesies ikan dan 70 jenis karangan laut ini pernah disenaraikan 10 lokasi snorkeling terbaik dunia. Namun Manado menawarkan pelbagai destinasi pelancongan lain yang wajib dikunjungi.

Contoh rumah tradisional Minahasa.

Penulis melalui pengalaman amat menarik ketika melawat bandar Manado, baru-baru ini bersama rakan dalam Kelab G15. Kami sempat ke makam ulama terkenal itu walaupun pada mulanya memang tiada dalam senarai lawatan kami. Untuk makluman, Manado juga kadang-kala dieja Menado. Kami berangkat ke Manado dengan menempuh penerbangan selama empat jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi. Ternyata ia bandar yang amat menarik, dikelilingi kawasan pergunungan dengan panorama menghijau.

Manado adalah ibu kota Wilayah Sulawesi Utara yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 405,000 orang dan bandar kedua terbesar di Kepulauan Sulawesi selepas Makasar di Sulawesi Selatan. Jika mahu ke Makasar dari sini, perlu menaiki penerbangan selama satu setengah jam lagi. Kawasan ini terkenal dengan pelancongan eko dan menjadi tumpuan penggemar selam skuba serta aktiviti snorkling yang berpusat di Pulau Bunaken dalam kawasan Taman Marin Negara Bunaken yang menempatkan 2,500 spesies ikan dan 70 jenis karangan laut.

Pelabuhan di bandar Manado.

Malah, Bunaken dimasukkan dalam senarai 10 lokasi ‘snorkeling’ 2008 oleh majalah maya, ForbesTravel.com dan destinasi terawal diisytiharkan sebagai taman laut di Indonesia. Aktiviti pelancongan eko di sini menjadi tumpuan pelancong asing. Tidak hairanlah Manado pernah menjadi tuan rumah Persidangan Lautan Dunia 2009 yang dihadiri wakil kerajaan 70 negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bahasa yang digunakan di sini adalah ‘Manado Malay’ atau ‘Minahasa Malay’ yang sesetengahnya ada persamaan dengan bahasa Melayu di negara kita. Jika kita menyebut ‘anda’, mereka merujuknya sebagai ‘ngana, kami (torang), sapu tangan (lenso) dan kasut atau sepatu (chepatu).

Makam Tuanku Imam Bonjol.

Pemandangan bandar Manado dari udara memang menawan dan ia dinikmati kami pada hari kedua ketika dibawa melawat Minahasa, sebuah kawasan tanah tinggi yang terkenal dengan kecantikan bunga-bungaan segar, gunung berapi dan sawah padi.

Kami juga melawat Woloan di mana ada warga tempatan membuat replika rumah tradisional Minahasa untuk jualan. Makan tengah hari disediakan di sebuah restoran berlatarbelakangkan Danau Tondano yang segar, nyaman dan mengasyikkan. Kemudian kami dibawa menyegarkan diri di kolam air panas di Rano Lewo.

Bila badan kembali segar, kami membuat keputusan menziarahi Makam Tuanku Imam Bonjol atau nama sebenarnya Peto Syarid Ibnu Pendito Bayanuddin. Cuaca ketika itu hujan gerimis, namun tidak mematahkan semangat kami untuk singgah di tempat persemadian tokoh pejuang Indonesia dan pendakwah terkenal ini. Makam ini terletak di kawasan Lota, Minahasa. Imam Bonjol yang berasal dari Tanjong Bungo/Bonjol di Sumatera Barat, lahir pada 1774 dan meninggal dunia pada 6 September 1854. Pada 1847 beliau ditangkap oleh pihak Belanda dan dibuang daerah ke Cianjur, Jawa Barat sebelum dipindahkan ke Ambon dan akhirnya ke Lota.

Kesempatan berkunjung ke makam ini memberi peluang kami menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham dan menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas. Atas jasa Allahyarham, pemerintah Indonesia memberikan penghormatan dengan memberikan status Pahlawan Nasional Indonesia pada 6 November 1973.

Nama Allahyarham diabadikan pada jalan, stadium dan universiti, manakala gambarnya dicetak pada wang kertas 5,000 rupiah Indonesia. Bagi kami, kembara bersejarah ini memberikan satu memori indah betapa luhurnya perjuangan seorang hamba Allah dalam menegakkan kebenaran dan maruah bangsa walaupun nyawa sendiri terancam.

Lawatan kami seterusnya lebih bertumpu di sekitar bandar Manado di mana terdapat pusat beli-belah seperti Manado Town Square dan Megamall. Makan malam kami dihidangkan dalam bentuk masakan Padang di Restoran Duta Minang dan pelancong yang ingin mencari cenderahati kenangan tidak perlu risau kerana peniaga jalanan ada di mana-mana.

Senjata Sihir Afrika

SMAHADZIR

DENDAM dan hasad dengki menjadi gabungan paling bahaya yang mendorong manusia sanggup bertindak luar batasan. Antara ‘senjata’ yang kerap jadi pilihan - penggunaan sihir untuk menghancurkan kehidupan orang lain yang bukan perkara baru malah melepasi sempadan agama, keturunan dan budaya.

Di Malaysia, santau mungkin menjadi perantara yang kerap digunakan untuk menganiaya orang lain sehingga dikatakan boleh membawa maut tetapi di seluruh dunia, amalan voodoo jauh lebih popular dan mengerikan.


Kita sendiri pernah dikejutkan dengan laporan akhbar Utusan Melayu tidak lama dulu mengenai sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika di Malaysia yang dipercayai mengamalkan sihir pukau kuno, voodoo untuk memperdayakan wanita tempatan bagi pelbagai tujuan jenayah, termasuk sebagai penyeludup atau keldai dadah. Difahamkan, mangsa turut menjadi habuan seks anggota sindiket sebelum dilacurkan, selain diperalatkan untuk kegiatan pemalsuan wang dan kad kredit hingga ke luar negara. Mangsa biasanya tidak sedar mereka dipukau dengan pemikiran dan kelakuan mereka dikawal anggota sindiket.

Di peringkat antarabangsa pula, sekumpulan polis menyerbu sebuah rumah yang juga ‘kilang bayi’ di Lagos, Nigeria dan menyelamatkan 32 remaja perempuan berusia 15 hingga 17 tahun yang dipaksa mengandung dan bayi mereka dijual kepada sindiket antarabangsa, termasuk dijadikan korban bagi upacara voodoo.


Minggu lalu, di New York, seorang warga bandar raya itu mengakui membakar anak perempuannya yang masih kecil dalam satu upacara voodoo. Pada akhir Mac lalu, misteri penemuan cebisan anggota badan seorang budak lelaki di Sungai Thames, London, pada 2001, terungkai apabila dia disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam voodoo.

Pada tempoh sama, di Roquetas de mar, Sepanyol, polis menahan 10 orang dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran yang mana saudara mara wanita itu akan diugut dengan sihir voodoo dan diculik jika enggan menyerahkan anak perempuan mereka untuk dilacurkan. Wanita itu dibawa dari beberapa wilayah Nigeria ke Maghribi sebelum dijual di Sepanyol. Malah, rangkaian sindiket pelacuran antarabangsa, khususnya yang bertapak di Nigeria, lazimnya menggunakan amalan voodoo bagi memperdaya dan memperalatkan mangsa. Kepercayaan terhadap voodoo itu amat kuat di beberapa bahagian Nigeria dan mangsa sering dipaksa bersumpah oleh ketua voodoo itu supaya patuh kepada anggota sindiket atau bapa ayam.

Apa sebenarnya voodoo ini sehinggakan pengaruhnya menebar sehingga ke pelusuk dunia? Secara tradisinya, voodoo adalah sebahagian daripada upacara keagamaan di Afrika Barat sebelum amalan itu berkembang ke seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat berikutan aktiviti perhambaan oleh penjajah kolonial.

Amalan voodoo itu sendiri mungkin setua benua Afrika itu sendiri tetapi kini sudah meluas jutaan penduduk dunia dari Afrike ke Kepulauan Carribbean, Amerika Utara, Tengah dan Selatan, dalam pelbagai bentuk. Ia dikatakan kepercayaan animisme bagi kaum Fon, Ewe dan Yoruba di benua itu, yang biasanya dimulakan dengan bacaan mantera menyeru semangat roh nenek moyang mereka sebelum menggunakan patung jerami untuk mengenakan mangsa.

Voodoo dipercayai bermula di Haiti pada 1724 dan ramai tidak tahu voodoo itu satu bentuk keagamaan yang mempercayai kewujudan Tuhan. Amalan itu dibawa ke Barat oleh hamba Afrika. Bagi penduduk Afrika, voodoo bukan sekadar agama tetapi juga bentuk perubatan tradisi mereka, pelindung dan cara mengekalkan kebebasan dan identiti.

Malangnya, pihak tidak bertanggungjawab mengamalkan bentuk ilmu hitam yang menuntut manusia dikorbankan. Sisi gelap voodoo digunakan untuk menyeru semangat jahat dan membaca mantera ke atas musuh selain penggunaan patung yang memaparkan diri mangsa atau sasaran. Dalam voodoo - si hidup ‘melahirkan’ si mati dan si mati menjadi roh. Dan roh nenek moyang atau digelar sebagai Loa atau Orisha, melindungi penduduk itu menerusi proses pemulihan dalam bentuk menari, sumpahan dan upacara rahsia. Upacara yang menjadi simbol hidup dan mati dalam bentuk penyerahan tengkorak dan tulang.


Malah, tarian pemulihan itu adalah prinsip utama voodoo. Kesakitan atau penyakit dianggap sebagai pengaruh roh jahat daripada si mati. Semakin lama tarian itu dipersembahkan, ia menjadi kian ‘ganas’ dengan penari itu sebegitu terpukau dan seperti dirasuk bagi memulihkan mereka yang sakit. Namun, hakikatnya, seperti diakui ramai penyelidik, upacara voodoo dilakukan dalam bahasa rahsia, tarian selepas dirasuk dan diet khas yang dimakan pengamalnya. Roh nenek moyang dikatakan berjalan dalam kalangan orang hidup.

Antara upacara voodoo turut membabitkan pembelian dan penjualan tangkal. Ia juga diubah suai menjadi patung mewakili Tuhan, kepala haiwan yang dikeringkan atau bahagian badan lain. Ia dijual untuk tujuan perubatan dan mempunyai kuasa ghaib. Amalan voodoo asli atau lama turut mengutamakan penggunaan patung yang mewakili semangat atau roh individu tertentu. Patung ini juga boleh dihias berpakaian seperti individu sasaran perbuatan sihir itu.

Pawang voodoo itu akan memuja semangat menerusi perantaraan patung itu dengan tujuan memastikan keinginan tuan punya patung itu dipenuhi. Ini termasuklah soal cinta, perhubungan di tempat kerja selain memenuhi hasad dengki serta membunuh. Namun, pemujaan bagi tujuan cinta, penganiayaan dan bunuh itu hanya boleh disempurnakan jika barangan mangsa seperti gambar, rambut, kuku yang dilekatkan pada patung itu. Menggunakan alat tajam seperti pin dan paku yang menusuk patung dan menyebabkan mangsa sakit dan seterusnya mati.

Bukti hidupnya amalan itu boleh dilihat di Lome, Togo, yang menjadi pasar pelbagai bahan pelengkap amalan dan sihir voodoo ini. Di sinilah segala macam bahan daripada tengkorak haiwan, pelbagai kepala monyet, buaya, ular, kucing selain bangkai burung hantu yang dikeringkan, dijual.

Seorang pengamal voodoo dari Benin, Joseph mendakwa tulang temulang haiwan itu yang dicampur dengan herba lain digunakan bagi tujuan merawat pesakit. “Bagi mendapatkan bahan mentah, kami perlu ke pasar ini. Ia umpama farmasi perubatan tradisional,” katanya.

Seperti diakui Profesor Antropologi Universiti Michigan-Flint, Judy Rosenthal, biarpun pengamal voodoo lebih bersifat secara sukarela, beliau sendiri sepanjang kajiannya mengenai amalan ini, pernah berdepan dengan sekurang-kurangnya satu kes yang mana kanak-kanak diberikan sebagai hadiah kepada pawang voodoo. “Amalan ini ada banyak syarat dan peraturannya. Mereka yang mengamalkannya dan kemudian melanggar ajaran itu boleh jatuh sakit dan mati,” katanya.

Voodoo

  1. Ketika upacara voodoo, beberapa pengikut mendakwa tubuh mereka dirasuk ‘Iwa’ iaitu roh voodoo.
  2. Voodoo ialah antara sebutan paling biasa di kalangan penganut agama di Afrika Barat manakala vodun dipercayai sistem amalan puak Ewe, Kabye, Mina, Fon dan Youba iaitu penduduk di tenggara Ghana, selatan dan tengah Benin, selatan dan tengah Togo serta barat daya Nigeria.
  3. Amalan voodoo yang diamalkan di Haiti berkembang di Amerika Syarikat pada lewat tahun 1960-an dan awal 1970-an, hasil kedatangan penduduk negara itu yang mendapatkan perlindungan daripada rejim Duvalier. Lokasi diduduki pendatang Haiti di Amerika termasuk di Miami, New York dan Chicago.
  4. Majoriti upacara voodoo membabitkan pengorbanan haiwan. Ia dipercayai memberikan nyawa kepada si mati. Amalan itu juga dilihat sebagai cara memberikan makan dan minum kepada roh.
  5. Ada dua perbezaan voodoo iaitu Rado dan Petro. Rado dinilai amalan secara aman manakala Petro dilihat lebih bahaya kerana membabitkan penggunaan ilmu hitam. Dengan Petro, pengamal terlalu asyik dengan sumpahan maut dan mewujudkan zombi.
  6. Kaedah sumpahan membabitkan mencucuk pin kepada patung voodoo dikaitkan dengan apa yang digelar voodoo New Orleans. Bagaimanapun, pendekatan itu lebih mengingatkan kepada beberapa kepercayaan sihir dari Eropah.
  7. Voodoo membabitkan pemujaan kepada Tuhan yang digelar Bondye. Ia dilihat sebagai memiliki tiga bahagian berbeza iaitu Iwa, Si Kembar dan Si Mati. Iwa - adalah roh yang membentuk tiga kuasa besar di alam semesta dan dilihat dalam semua aspek kehidupan seharian. Ia dipercayai mengadakan hubungan dengan orang hidup dengan wujud ketika keadaan baik dan buruk. Mewakili keseimbangan baik dan jahat adalah Si Kembar dan Si Mati ialah roh yang tidak dituntut oleh keluarga.
  8. Antara objektif utama amalan voodoo bertumpu kepada usaha penyembuhan dengan kira-kira 60 peratus daripada aktiviti dan upacara memberi tumpuan kepada matlamat itu.

Siam Bukan Thai?

SMAHADZIR

BILA bercakap tentang Siam, penulis teringat seorang rakan lama penulis iaitu Sam Bhoon yang pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Kalai, Sik. Sewaktu penulis bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kota Bukit suatu ketika dulu, penulis dan Sam Bhoon telah terpilih mewakili daerah Sik dalam Kejohanan Sukan Seluruh Kedah. Sam Bhoon merupakan sahabat penulis yang fasih berbahasa Melayu, maklumlah sejak kecil hidup di sekeliling kampung Melayu. Apabila penulis bertanya kepada beliau: 'Apakah beliau sayangkan Thailand atau Malaysia?', dengan gesit beliau menjawab: 'Tentulah Malaysia, sebab Malaysia adalah negara tumpah darah aku!'

Tetapi bagi penulis, Siam atau Thai sama saja. Sebab Siam berasal dari Thailand. Benarkah begitu? Ya, Siam atau Thai? Bukankah ia membawa maksud serupa kerana kedua-duanya berasal daripada rumpun yang sama iaitu di negara jiran Thailand. Adakah masyarakat Siam di negara ini pendatang yang merantau masuk ke sini kerana pelbagai sebab, sama seperti beberapa etnik lain di Malaysia?

Tidak ramai, malah mungkin tidak ada sebenarnya yang membahaskan isu ini dengan kebanyakannya mengambil jalan mudah menggelar masyarakat Siam di negara ini sebagai pendatang dari Thailand meskipun realitinya sangat berbeza. Berapa kerat sangat masyarakat di negara ini yang merujuk kepada sejarah bagi mengkelaskan sesiapa sebagai anak tempatan atau pendatang sedangkan realitinya, masyarakat Siam di negara ini mungkin menjadi waris terawal menjejak kaki di bumi Malaysia, mungkin juga lebih lama daripada masyarakat Melayu sendiri.

Makanan masyarakat Siam hampir sama dengan makanan masyarakat Melayu

Tidak boleh dinafikan kebanyakan masyarakat di negara ini, termasuk Melayu sendiri adalah penghijrah dari negara tertentu. Malah, menurut Al-Tarikh Salasilah Kedah 1928 menyebut, kerajaan Kedah sejak dulu adalah berasal dari darah keturunan Parsi dengan Sultan pertamanya digelar Maharaja Derbar Raja dan Maharaja Derbar Raja II iaitu pemerintah kesembilan ditukar kepada Sultan Mudzaffar Syah selepas memeluk Islam.

Namun, dalam satu versi berlainan pula, dikatakan Sultan Mudzaffar Syah (1136 - 1179) dulu pernah digelar Phra Ong Mahawangsa, satu gelaran dalam bahasa Thai yang bermaksud Tuanku Mahawangsa. Penggunaan gelaran itu dikatakan disebut dalam Hikayat Merong Mahawangsa, sekali gus mewujudkan satu tanggapan bahawa masyarakat Siam sudah bertapak di Kedah sejak sekian lama. Ia dinafikan pula Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, yang menyifatkan Hikayat Merong Mahawangsa bukan fakta sejarah untuk diterima pakai. Justeru, beliau melihat fakta berkenaan sejarah institusi diraja Kedah yang berakar dari Parsi lebih sesuai diterima.

Seni mempertahankan diri - Tomoi Siam terkenal di kalangan masyarakat Siam

Apapun, tidak dapat tidak, kewujudan masyarakat Siam di Kedah sebagai antara penduduk awal di negara ini tidak boleh dinafikan. Banyak sebenarnya bukti kewujudan mereka terutama di negeri bersempadanan Thailand iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu. Sebagai contoh, di Kedah sendiri, wujud beberapa nama tempat menggunakan bahasa Siam seperti Kodiang, Kalai, Berona, Changlun, Napoh dan Jitra. Malah, banyak juga nama kampung menggunakan bahasa Siam.

Masyarakat Siam di negara ini, kebanyakannya mendiami di lima negeri itu bukanlah ramai, malah lebih sesuai dikatakan minoriti terkecil dengan keseluruhan tidak sampai 60,000 orang. Namun, mereka mempunyai sejarah tersendiri yang menjadikan mereka unik untuk didekati terutama apabila dikaitkan sebagai antara penduduk awal di sini.

Berniaga di atas sampan terkenal di Bangkok

Sejarah persempadanan negara membabitkan Tanah Melayu dan Thailand juga membuktikan bahawa masyarakat Siam di sini bukan pendatang. Ini kerana, sebelum 1909 lagi, masyarakat Siam sudah ada di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Persempadanan akibat Perjanjian Inggeris-Siam 1909, dikenali juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909, membolehkan semua negeri itu menjadi milik Tanah Melayu. Ia menguatkan dakwaan masyarakat Siam di Kedah bahawa mereka bukan pendatang tetapi sudah sekian lama berada di negeri itu yang sebelumnya berada di bawah takluk Kerajaan Siam.

Sebenarnya, ada beberapa versi mengenai kewujudan masyarakat Siam di negara ini tetapi versi paling relevan ialah mengaitkan mereka dengan penduduk Siam di selatan Thailand. Ini dibuktikan dengan kebanyakan penempatan masyarakat itu berada di kawasan berhampiran sempadan Malaysia - Thailand seperti di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Baling dan Sik serta di Kota Star, Kedah.

Etnik Siam di Malaysia dakwa berasal dari Mongolia

Apapun, menurut penduduk Siam yang ditemui di Kampung Kubang Chenok, Kubang Pasu, Kedah, kemasukan masyarakat Siam ke Kedah sudah berlaku sebelum negeri itu diserahkan kepada Tanah Melayu, malah mungkin lebih lama, iaitu sebelum zaman pemerintahan Sultan Mudzaffar Syah berdasarkan penggunaan nama Phra Ong Mahawangsa dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Kemasukan ke beberapa negeri di Tanah Melayu didorong oleh sifat semula jadi masyarakat itu sebagai pemugar (peneroka) yang gemar membuka penempatan baru di kawasan hutan selain mengembangkan aktiviti pertanian mereka.

Malah, menurut catatan Phraboriharn Thepdhani dalam bukunya, Phongsawadarn Chart Thai yang diterbitkan di Bangkok pada 1953, bangsa Thai sebenarnya berasal dari kawasan pergunungan Altai, Mongolia sebelum berhijrah secara besar-besaran dan penghijrahan itu turut membabitkan kawasan di Tanah Melayu, iaitu di utara Semenanjung Malaysia. Justeru, Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Charun Em, 43, tegas mempertahankan kenyataan bahawa orang Siam di Kedah bukan pendatang dari Thailand tetapi bersusur galur dengan keturunan asal dari Mongolia yang turut berpindah sehingga ke beberapa negeri utara Semenanjung Malaysia.

“Kami bukan pendatang. Kami juga tidak ramai saudara mara di Thailand kerana kami memang sudah sedia ada di sini (Kedah). Rumit sebenarnya untuk mengaitkan kewujudan kami di sini dengan sejarah orang Thai tetapi bukti sejarah mencatatkan kami memang anak jati Kedah. Malah, dalam Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah, ada disebut bahawa orang Siam adalah salah satu daripada komuniti Melayu, sekali gus mengiktiraf orang Siam di sini sebagai anak jati Tanah Melayu. Cuma, kami tak pasti sejauh mana kami turut diiktiraf sebagai Bumiputera meskipun sering kali dikatakan kami sebahagian mereka,” katanya yang lebih selesa menggunakan masyarakat Thai berbanding Siam, selepas merujuk kepada sejarah tamadun masyarakat itu di China.

Mengupas lanjut mengenai sejarah dan latar belakang mereka, nyata banyak sekali kupasan menjurus kepada keunikan masyarakat minoriti itu. Justeru, kunjungan penulis bersama beberapa orang penggiat budaya ke Kubang Chenok untuk mendekati dan melihat sendiri cara hidup serta latar belakang mereka menemui lebih banyak misteri dalam kehidupan mereka. Sejarah sebagai peneroka jelas mempengaruhi gaya hidup mereka sehingga kini kerana dikatakan majoriti masyarakat itu masih menjadi petani, dengan sebahagian kecil menceburi bidang profesional tetapi sangat sukar menemui orang Siam yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Sejarah sebagai peneroka itu juga jelas dapat dilihat sehingga kini kerana kebanyakan perkampungan orang Siam adalah di sekitar kawasan berhampiran hutan. Kerana itu jugalah, penempatan mereka terperosok di ceruk pedalaman. Sukar untuk mengatakan mereka adalah kumpulan penduduk awal di Kedah tetapi pengaruh masyarakat itu amat kuat di Kedah.

Selain nama kawasan yang menggunakan bahasa Siam, boleh dikatakan ramai juga orang Melayu di Kedah yang mahir berbahasa Siam. Malah, ada juga perkampungan dikategorikan sebagai kampung Melayu Siam kerana keupayaan mereka menggunakan bahasa Siam sepenuhnya dalam perbualan harian.

Merujuk kepada sejarah juga menunjukkan yang pengaruh Hindu - Buddha menguasai kebanyakan negeri di Tanah Melayu sebelum kemasukan Islam. Justeru, tidak dapat tidak, ia turut mempengaruhi kehidupan orang Siam yang masih kuat mengamalkan kepercayaan kepada dukun dan bomoh yang sama sekali bukan ajaran Buddha. Malah, masih banyak bomoh Siam boleh ditemui di semua kampung Siam. Misalnya, di Kubang Chenok saja, ada tiga bomoh yang masih aktif menjalankan aktiviti perubatan mistik dengan kebanyakannya hebat dalam ilmu pengasih.

Berbalik kepada isu Thai atau Siam, ia terus menjadi tanda tanya kerana kedua-duanya disokong oleh bukti tersendiri. Ada yang mengatakan Siam adalah sebuah negara manakala Thai adalah bangsa.

Loghat Berbeza Dengan Penduduk Thai

Sebut saja Kubang Pasu, pasti ramai yang mengaitkannya sebagai daerah terakhir di Kedah sebelum sampai ke sempadan Thailand iaitu di Bukit Kayu Hitam. Tidak ada laluan lain ke sempadan itu selain melalui Kubang Pasu, sekali gus menjadikannya sebagai antara daerah paling sibuk setiap kali musim cuti. Apa tidaknya, ketika itulah ramai rakyat Malaysia akan mengambil kesempatan berkunjung ke Selatan Thailand, sama ada sekadar ke Danok atau terus ke Haadyai untuk membeli-belah dan tak kurang juga untuk berhibur. Siapa yang tidak tahu mengenai dua lokasi itu sebagai lokasi hiburan popular orang Malaysia.

Pergi saja ke situ, pasti akan terserempak dengan rakan senegara, sama ada di kedai makan, pusat hiburan atau di jalan raya. Namun, paling utama ialah dalam perjalanan ke Bukit Kayu Hitam, pasti tidak ramai yang perasan mereka akan melalui Napoh iaitu satu pekan kecil sebelum Changlun, lebih kurang 15 kilometer dari pintu masuk ke Thailand. Di situlah, antara lokasi paling ramai masyarakat Siam berada iaitu antara Napoh menghala ke Padang Sera.

Malah, di Napoh saja, sudah terasa bahang masyarakat Siam kerana sepanjang perjalanan ke Padang Sera, singgahlah di mana kedai makan atau runcit, jelas bahasa Siam mendominasi perbualan mereka, tak kira sesama orang Siam atau dengan orang Melayu. Nyata, pengaruh Siam masih kuat menguasai kawasan itu meskipun penyerahan Kedah kepada British dari Kerajaan Siam sudah berlaku hampir 100 tahun dulu.

Napoh ke Padang Sera berjarak 10 kilometer dan di pertengahan jalan itulah letaknya Kampung Kubang Chenok iaitu penempatan masyarakat Siam terbesar di situ. Dikatakan ia tidak seramai masyarakat Siam di Pendang tetapi ada kemungkinan mereka adalah penduduk Siam terawal yang mendirikan perkampungan sejak ratusan tahun dulu. Ketua Kampungnya, Nuam Din Tiong, 74, turut diangkat sebagai Ketua UMNO Cawangan sekali gus membuktikan masyarakat Siam diterima sebagai satu daripada komuniti Melayu di situ. Malah, difahamkan, di Kedah, mereka dianggap sebagai Bumiputera meskipun tidak menikmati hak Bumiputera seperti orang Melayu.

Sukar sekali membezakan mereka dengan orang Melayu, apatah lagi kebanyakan mereka fasih dan tidak pelat berbahasa Melayu. Pakaian mereka yang sama dengan orang Melayu sekali lagi menambah kerumitan itu. Raut wajah mereka juga tak ubah seperti orang Melayu.

“Orang Siam seperti berada di tengah-tengah antara Cina dan Melayu. Kami boleh tinggal dan makan bersama orang Melayu dan tidak pula ada masalah bercampur dengan orang Cina. Tidak pernah timbul rasa tidak selesa jika kami bercampur dengan sesiapa saja. Malah, kepercayaan kami yang ada dipengaruhi pengaruh Hindu dan Buddha memudahkan lagi pergaulan kami dengan sesiapa saja,” cerita Nuam ketika ditemui di rumahnya di Kubang Chenok.

Namun, jika diamati, pertuturan orang Siam di Kedah ada kelainannya dengan orang Siam di Thailand. Mereka ada loghat mereka tersendiri dan kebanyakannya sama dengan orang Melayu yang berbahasa Siam. Apapun, keunikan masyarakat Siam di Kubang Chenok bukan setakat itu saja kerana banyak lagi berkaitan budaya dan cara hidup untuk diceritakan. Kemesraan dan keramahan mereka juga menunjukkan mereka begitu selesa dengan sesiapa saja.

Safari Bali

SMAHADZIR

WOW! Itulah gambaran awal penulis apabila menjejaki kaki ke Bali Safari & Marine Park ini. Siapa sangka Bali yang terkenal dengan keindahan pantai dan keunikan kebudayaan memiliki taman safari sebagai tarikan terbaru mereka. Penulis bersama rombongan media yang dibawa khas dari Kuala Lumpur oleh pengurusan Taman Safari Indonesia dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia terus dibawa ke bilik penginapan, Mara River Safari Lodge yang tersedia di taman ini.

Sebaik melangkah masuk ke kamar penginapan yang dinamakan ‘Swala’, penulis yang berkongsi bilik dengan rakan setugas dari RTM dikejutkan dengan kehadiran badak sumbu yang dapat dilihat terus dari pintu kaca kamar, seolah-olah ‘menyambut’ kehadiran kami ke situ.

BALI kerap dikaitkan dengan keindahan pantai dan keunikan budayanya tetapi mungkin ramai tidak tahu, ia juga mempunyai taman safari yang menempatkan 60 spesies haiwan berasal dari India, Afrika dan Indonesia sendiri. Lantas, mengunjungi Bali Safari & Marine Park membuatkan anda merasakan pengalaman seperti berada di sebuah safari di Afrika.

Mengintai dari tirai kamar kelihatan haiwan lain termasuk sekumpulan kuda belang, zirafah dan oryx bebas berkeliaran di hadapan bilik kami. Amat menggerunkan tetapi pengalaman menarik. Itulah kelebihan Mara River Safari Lodge disediakan di Bali Safari & Marine Park ini yang begitu sesuai bagi penginapan keluarga yang mahukan kelainan dan keunikan dalam percutian mereka. Penginapan berkelas antarabangsa ini direka tidak ubah seperti sebuah safari di Afrika kerana anda boleh melihat haiwan dilepas bebas, terus dari bilik penginapan.

Namun jangan risau soal keselamatan kerana sungai buatan dan aliran elektrik menjadi penghalang antara anda dan haiwan terbabit. Bali Safari & Marine Park yang baru berusia tiga tahun ini terletak dalam kawasan seluas kira-kira 40 hektar di Gianyar, kira-kira 20 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.

Taman ini dimiliki Taman Safari Indonesia yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mengendalikan dua lagi taman safari di Pulau Jawa. Dengan menjanjikan kelainan untuk anda sekeluarga menikmati percutian sambil mengenali kehidupan haiwan dengan lebih dekat, Bali Safari & Marine Park mempunyai tarikan bertaraf dunia - sesuai dengan destinasi Pulau Dewata ini yang sering menjadi tumpuan pelancong asing terutama Australia, Jepun dan Amerika Syarikat.

Sekurang-kurangnya 400 ekor haiwan daripada lebih 60 spesis boleh ditemui di taman ini, kebanyakannya berasal dari India, Afrika dan Indonesia sendiri. Kemudahan tram disediakan kepada pengunjung untuk melihat haiwan yang lepas bebas di kawasan safari yang dibina tidak ubah seperti habitat asal mereka.

Taman ini direka sedemikian untuk membolehkan pengunjung pulang dengan mempunyai mesej bagi setiap haiwan yang kami pamerkan, kebanyakannya sudah semakin berkurangan dan hampir pupus. Kami mempunyai misi serius termasuk kejayaan program penternakan tetapi ia pasti menyeronokkan anda,” kata Pengurus Besar Bali Safari and Marine Park, Hans Manansang.

Selain perjalanan safari, pengunjung juga boleh menikmati persembahan pertunjukan binatang yang menghiburkan - gabungan aksi lincah haiwan dan penjaganya. Di taman safari ini, pengunjung boleh mendekati haiwan dengan lebih rapat lagi termasuk melihat aksi anak gajah mandi atau berpeluang bergambar dengan binatang seperti anak singa, orang utan dan juga harimau bintang. Semuanya bergantung kepada keberanian anda sendiri.

Satu lagi tarikan utama di Bali Safari dan Marine Park ialah persembahan pentas teater, Bali Agung. Kompleks teater pentas mega yang mampu menampung 1,200 penonton untuk setiap persembahan ini dilengkapi teknologi multimedia terkini selain sistem lampu dan bunyi bertaraf antarabangsa. Bali Agung, pertama kali dipentaskan 29 Ogos tahun lalu memaparkan persembahan tradisional Bali dan tarian kontemporari membabitkan 150 artis termasuk penari, dalang wayang kulit serta ahli muzik. Malah persembahan teater yang diadakan jam 2.30 petang setiap hari kecuali Isnin turut diiringi haiwan terlatih termasuk gajah, unta dan helang.

Jika anda merancang berkunjung ke Bali, mengapa tidak mencuba pengalaman baru menikmati percutian di safari ini dan pasti menarik untuk pengalaman dalam hidup anda.

Pertahan Pusaka Nusantara

SMAHADZIR

SENI pembuatan, keindahan dan tarikan dimiliki tekstil ‘ikat’ menjadikannya cukup popular dalam kalangan masyarakat beberapa negara seperti Argentina, Bolivia, Ecuador, Guatemala, Mexico, Uzbekistan, India dan Jepun. Di kepulauan Sumba, Indonesia, ikat dikenali Ikat Hinggi dilihat berkait rapat dengan budaya masyarakatnya sehingga dianggap khazanah yang cukup disanjung, dihargai serta dipelihara sehingga saat ini.

Malaysia pula berbangga dengan ikat dinamakan Pua Kumbu, tekstil popular dimonopoli kaum Iban di Sarawak yang menjadi lambang keunikan budaya dan kebanggaan masyarakatnya. Kerana corak yang cantik dan unik, ditambah pula penghasilannya yang amat halus menggunakan teknik tenunan, Ikat Hinggi dan Pua Kumbu menjadi antara ikat paling diminati. Namun, jika tiada usaha memperkenalkannya secara lebih meluas, tidak mustahil dua pusaka nusantara ini bakal lenyap ditelan peredaran zaman.

Proses pembuatan Ikat Hinggi.

Menyedari ikat khazanah nusantara yang sangat bernilai, Muzium Tekstil Negara dengan kerjasama Cultural Impact kini menganjurkan Pameran Ikat Keramat: Dari Pusaka Ke Perdagangan di Galeri Saindera secara percuma. Pameran tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai terutama golongan muda terhadap sejarah dan budaya penting nusantara, sekali gus memupuk rasa cinta serta menghargai khazanah negara. Pengunjung juga berpeluang membeli hasil tenunan di sini sebagai koleksi.

Rambu Ata menunjukkan cara menenun Ikat Hinggi.

Sukarelawan Cultural Impact, Marie Christine Tseng, berkata lebih 50 koleksi Ikat Hinggi dan Pua Kumbu dipamerkan sepanjang program itu, setiap satu lengkap dengan penerangan terperinci.Ada di antara tekstil itu koleksi peribadi saya sendiri yang dikumpul ketika menetap tiga tahun di Indonesia manakala sebahagian lagi milik Muzium Negara. Keistimewaan Pua Kumbu jelas terlihat pada kombinasi warna kemerah-merahan pada tenunan itu dan biasanya, corak ditenun bermotifkan hidupan seperti tumbuh-tumbuhan, binatang seperti cicak serta buaya selain manusia. Bagaimanapun sekarang, penenun lebih tertumpu menghasilkan motif moden seperti corak geometrik,’ katanya.

Katanya lagi, Pua Kumbu yang dihasil dan digunakan secara meluas di Sarawak sebenarnya bermaksud ‘selimut’ bagi perkataan Pua dan ‘membaluti’ untuk Kumbu, namun hakikatnya tekstil itu turut dijadikan pakaian tradisi termasuk skirt, cawat, jaket dan kain selempang. Ia turut digunakan secara meluas dalam upacara adat istiadat, majlis keraian serta acara keagamaan seperti kelahiran anak dan penutup mayat sebelum pengebumian.

Antara koleksi yang dipamerkan di Pameran Ikat Keramat.


Menurutnya, Ikat Hinggi pula mempunyai banyak persamaan dengan Pua Kumbu seperti bermotifkan hidupan dan geometrik serta menggabungkan warna alam semula jadi. ‘Istimewanya, motif Ikat Hinggi yang banyak digunakan bagi acara perkahwinan masyarakat setempat dan penutup mayat sebelum pengebumian, biasanya tercetus melalui mimpi seseorang. Bagi saya, kedua-dua tekstil ini sangat bernilai kerana memaparkan keindahan dan nilai estetika yang tinggi, jadi ia seharusnya dihargai terutama oleh penduduk negara yang kaya dengan tekstil sebegini,’ katanya.


Pameran khas tenunan warisan Pua Kumbu, Ikat Hinggi

Justeru, beliau meminta orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi pameran berkenaan yang pastinya menawarkan pengalaman berharga terutama dalam menambah ilmu berkaitan budaya bangsa. Akuinya, rata-rata generasi muda sama ada di negara ini atau Indonesia kurang meminati khazanah bangsa kerana kurang diberi galakan dan pendedahan berhubung keindahan serta kepentingannya.

‘Jadi, kami berharap ibu bapa membawa anak mereka ke pameran ini kerana ia faktor penting yang mampu menggalakkan minat generasi muda terhadap khazanah tekstil negara seperti ikat supaya dicintai dan dihargai selama-lamanya,’ katanya.

Sempena pameran itu juga, turut diadakan Forum Kisah Kebaya: Cerita Daripada Nyonya yang berlangsung semalam serta Forum Ikat Keramat: Dari Pusaka Ke Perdagangan pada jam 3 petang 30 Oktober 2011 yang akan menampilkan penceramah berpengalaman, Edric Ong dan Judi Knight Achjadi selain Tseng sendiri. Penganjur turut menyediakan sukarelawan untuk mengiringi rombongan pelajar, syarikat atau keluarga yang berhasrat melawat pameran berkenaan, tetapi perlu memaklumkannya terlebih dulu dengan menghubungi Muzium Tekstil.

Sementara itu, penenun Ikat Hinggi, Rambu Ata, 56, berkata pada awal kewujudannya, tekstil berkenaan hanya digunakan untuk acara berkaitan adat resam masyarakat setempat, bukan untuk dijual. Beliau yang berasal dari Timur Waingapu, Sumba menyifatkan Ikat Hinggi yang banyak dihasilkan penenun wanita, cukup istimewa kerana ia melambangkan keindahan dan kemegahan masyarakatnya.

‘Nilai setiap Ikat Hinggi bergantung pada saiz, corak atau tempoh ia dihasilkan kerana lebih besar saiz, banyak corak atau semakin lama usia, lebih mahal harganya sehingga mencecah ribuan ringgit. Warna Ikat Hinggi amat cantik dan nampak semula jadi kerana menggunakan warna asli bahan alam seperti daripada tumbuh-tumbuhan. Bagaimanapun, khazanah ini dikhuatiri tidak mampu bertahan jika tiada kesedaran tinggi dalam usaha memartabatkannya. Pada zaman ini, generasi muda termasuk di tempat saya kurang berminat mempelajari dan menceburi kemahiran ini, sebaliknya ramai berhijrah ke bandar untuk bekerja,’ katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA