OLEH:
SYED
MAHADZIR SYED IBRAHIM
MUKADIMAH
DARI PENYELIDIK
MELIHAT arah
perkembangan seni muzik tradisional Melayu khususnya keroncong semenjak
beberapa tahun kebelakangan ini yang tidak begitu memberang-sangkan, maka
dibimbangi seni ini akan bertambah terpencil, langka dan akhirnya mungkin
melenyap sama sekali dari alam kesenian Melayu. Sekitar tahun 20-40-an, seni
muzik keroncong begitu diminati dan disanjung tinggi oleh seluruh rakyat. Namun
begitu, sejak akhir-akhir ini seni muzik keroncong ini mulai memasuki zaman
kemalapan dan hanya segelintir kecil saja masyarakat yang meminatinya. Penulis
yakin, seni muzik keroncong ini akan bertambah terpencil seandainya tiada
usaha-usaha konkrit diambil untuk menyelamatkannya daripada terus pupus dan
melenyap dari kamus warisan kita.
Kita harus menerima
hakikat bahawa zaman kian hari kian berubah. Begitu juga dengan kesenian pada
keseluruhannya yang pastinya akan berubah dari masa ke semasa mengikut
peredaran zaman dan peralihan selera. Apabila ini berlaku maka kebudayaan
masyarakat juga turut berubah. Malangnya perubahan yang berlaku adakalanya telah
merosakkan bentuk seni yang sedia ada.
Seni muzik
tradisional bagi sesuatu masyarakat mesti mengandungi ciri-ciri tempatan yang
tulen. Ia mestilah berasal daripada kawasan di mana masyarakat itu tinggal. Ia
adalah hasil ciptaan penduduk tempatan dan yang diwarisi sejak turun temurun.
Tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang boleh menjamin bahawa seni muzik
mereka bebas daripada pengaruh muzik asing terutama dari negara-negara jiran.
Kebudayaan sesuatu bangsa atau masyarakat diketahui dipengaruhi oleh unsur luar
pada suatu ketika dalam sejarahnya, melainkan jika masyarakat itu sangat
terpencil dan tidak pernah langsung mengadakan hubungan dengan bangsa lain
sepanjang sejarahnya.
Pengaruh tersebut
wujud dalam pelbagai cara, ada yang meninggalkan kesan yang mendalam dan ada
juga yang hanya meninggalkan kesan yang sedikit sahaja. Kesan yang ditinggalkan
oleh unsur asing tersebut boleh didapati dalam kebudayaan masyarakat yang
terlibat sehingga sekarang.
Kajian ini cuba
memberi maklumat kepada masyarakat mengenai salah satu jenis muzik tradisional
Melayu iaitu keroncong yang sudah lama bertapak di bumi Malaysia ini. Menurut
catatan sejarah, seni muzik keroncong ini berasal dari Pulau Jawa dan dibawa
oleh orang-orang Jawa yang berhijrah beramai-ramai pada akhir abad ke-19 dan
awal abad ke-20 untuk mencari kerja di Johor dan di beberapa buah kawasan di
pantai barat Semenanjung Malaysia terutama di Selangor dan Perak. Semenjak itu
seni muzik keroncong mulai diterima oleh masyarakat tempatan. Lama kelamaan
corak muzik ini telah bertukar sedikit demi sedikit kendatipun bentuk asalnya
masih kekal.
Sehinggga tahun
1950-an, hampir semua lagu keroncong adalah yang dibawa dari negara Indonesia.
Tetapi selepas itu ada pencipta tempatan yang telah berjaya menghasilkan lagu
keroncong bercorak Melayu. Di dalam kajian ini ada dipaparkan beberapa orang
tokoh penggiat, kumpulan penggiat, pencipta lagu dan penyanyi lagu keroncong
tempatan yang berusaha gigih menyemarakkan kesenian ini di kalangan masyarakat.
Adalah diharapkan
kepada masyarakat peminat seni muzik keroncong khasnya dan pencinta muzik
tradisional Melayu amnya, akan dapat membaca kajian ini seterusnya
menjadikannya wadah informasi demi menambah pengetahuan mereka dalam bidang
muzik keroncong, seterusnya menjaga, mempertahan dan terus menyemarakkan
kesenian ini biar lestari sepanjang zaman. Penulis amat menyanjung tinggi
kepercayaan yang telah diberikan oleh Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara
Negeri Selangor kepada penulis dalam menghasilkan kajian ini.
SYED
MAHADZIR SYED IBRAHIM
PENDAHULUAN
TIDAK dapat dinafikan bahawa penulisan dan kajian mengenai seni muzik sudah
agak banyak dilakukan sama ada secara ilmiah mahupun bukan ilmiah. Ini
termasuklah usaha-usaha penulis, sarjana dan juga pengkaji budaya yang telah
membuat penyelidikan dalam pelbagai aspek yang tentunya turut menyentuh tentang
seni muzik. Namun begitu, kajian yang penulis lakukan
hanya terbatas kepada seni muzik keroncong sahaja. Dalam menyelusuri aspek ini, penulis cuba mendapatkan sebanyak boleh fakta
yang berkaitan daripada pelbagai sumber yang terdapat di Selangor terutama
melalui individu yang penulis ketahui mempunyai maklumat dan pengetahuan
mengenai kesenian terbabit.
Melalui beberapa
bahan bacaan, penulis dapati muzik keroncong bermula pada zaman keagungan agama
Islam lagi. Keroncong mula bertapak di Indonesia dan kemudian berkembang ke
Tanah Melayu. Oleh kerana faktor kekurangan hiburan di Tanah Melayu, kemasukan
lagu keroncong ke Tanah Melayu diterima baik oleh masyarakatnya pada masa itu
dan ianya dijadikan sebagai salah itu hiburan. Muzik keroncong juga bukan
sahaja untuk dijadikan lagu, malah turut dijadikan sebagai persembahan dalam
sesuatu majlis seperti perayaan, konsert-konsert beraneka ragam dan pertunjukan
di hotel.
Muzik keroncong
boleh dipelbagaikan. Hal ini dapat dilihat dari dulu lagi kerana keroncong
digunakan sebagai persembahan tetapi sekarang sudah terdapat perubahan dalam
melodinya kerana telah diubahsuai dan telah ditambah dengan melodi baru zaman
sekarang. Keadaan seperti ini membolehkan muzik keroncong menarik minat
anak-anak muda zaman sekarang agar dapat mewujudkan perasaan minat akan muzik
tradisional seperti ini. Kebiasaannya, keroncong memaparkan suatu sifat baik
yang boleh memupuk nilai-nilai murni kepada orang yang mendengarnya dengan penuh
penghayatan.
Kemasukan seni
muzik keroncong ke Tanah Melayu dapat menambahkan lagi seni kebudayaan kepada
masyarakat Tanah Melayu dalam aspek kesenian dan budaya. Pada mulanya seni
muzik keroncong yang dimainkan oleh masyarakat tempatan adalah lagu yang
berasal dari Indonesia, namun secara perlahan masyarakat Tanah Melayu semakin
berminat dan mencipta lagu-lagu keroncong bercorak kemelayuan. Perkara yang
mengecewakan ialah seni muzik keroncong telah berubah dari yang asal akibat
peredaran zaman, dan kini seni muzik ini semakin kurang mendapat perhatian
terutamanya dalam kalangan remaja.
Hal ini
disebabkan golongan remaja pada masa ini terdedah kepada muzik yang popular
sahaja. Walaupun seni muzik ini berasal dari negara jiran namun ia tetap
dikekalkan dalam kebudayaan Melayu. Hal ini dapat dibuktikan dengan pelaksanaan
program muzik keroncong yang telah dilancarkan pada tahun 1997. Pelaksanaan
program ini adalah untuk menjadikan muzik keroncong sebagai muzik alternatif
yang digemari ramai di samping dapat membina jati diri generasi muda.
Hasil daripada
proses pembentukan jati diri ini menghasilkan modal insan yang memahami realiti
diri, bangsa dan dapat memahami kekuatan budaya serta tamadun sendiri. Akhirnya
generasi muda dapat menggunakan kekuatan pemahaman ini untuk mengharungi
cabaran globalisasi ke arah menghasilkan masyarakat Melayu glokal.
PERMASALAHAN KAJIAN
Kajian ini
adalah untuk mendokumentasikan pelbagai aspek tentang seni muzik keroncong di
Selangor secara amnya termasuk sejarah asal usul, tokoh-tokoh penggiat,
peralatan muzik yang digunakan, langgam lagu, jenis-jenis muzik keroncong,
evolusi alat muzik dan lain-lain lagi. Selain itu kajian ini juga bermatlamat
untuk mencari apakah keistimewaan seni muzik keroncong berbanding dengan kesenian
lain di negeri Selangor di samping melihat apakah sebab kesenian ini kurang
mendapat perhatian generasi remaja atau generasi muda dan langkah-langkah yang
harus diambil agar ianya tidak pupus ditelan gelombang zaman.
OBJEKTIF KAJIAN
Pertama sekali penyelidikan dibuat untuk mengkaji
sejarah dan asal usul seni muzik keroncong di Selangor. Keduanya adalah untuk
mendokumentasikan nama tokoh-tokoh dan kumpulan penggiat,
peralatan muzik yang digunakan, langgam lagu, jenis-jenis muzik keroncong,
evolusi alat muzik dan lain-lain lagi. Seterusnya adalah untuk mengangkat dan
memartabatkan seni muzik keroncong ini sebagai salah satu kesenian tradisional
negeri Selangor. Penyelidik juga berharap agar seni muzik keroncong ini dapat
diperkenalkan dan diperkembangkan di kalangan generasi muda sekarang agar tidak
pupus ditelan zaman.
Kajian ini
memperlihatkan asal usul seni muzik keroncong mula bertapak di Selangor. Di
samping itu kajian ini ingin mencari mengapa dan kenapa seni muzik keroncong
ini kurang diminati dan jarang diberi perhatian oleh generasi remaja atau
generasi muda. Apakah disebabkan oleh pengaruh dari luar atau disebabkan oleh
ketidaksesuaian zaman yang semakin hari semakin berubah.
BATAS KAJIAN
Kajian telah dijalankan dengan membuat wawancara dengan beberapa orang individu
tempatan yang dipercayai mempunyai banyak maklumat tentang seni muzik keroncong di Selangor. Selain itu kajian juga didapati dari
bahan-bahan bacaan seperti majalah lama, buku, jurnal, kertas kerja dan
sebagainya di perpustakaan, internet dan juga orang-orang perseorangan.
Individu yang ditemui penulis ialah Encik Wahid bin
Bahari, 64 tahun, pemimpin Kumpulan Keroncong Gema Sari. Encik Wahid
bin Bahari merupakan seorang penggiat yang banyak
pengalaman dalam mengendalikan kumpulan muzik keroncong dan kumpulan ini banyak
mengadakan persembahan di pelbagai program di seluruh negara. Beliau telah
diwawancara penulis pada tanggal 8hb April 2013 di rumah beliau di No 5, Taman
Seri Bayu, Morib, Kuala Langat, Selangor.
Individu seterusnya yang ditemui penulis ialah Encik Bakri Darus, pemimpin
kumpulan Badan Budaya Seri Kayangan (BBSK) Klang atau Kombo Keretapi Tanah
Melayu (KTM). Encik Bakri
Darus merupakan seorang tokoh yang banyak pengalaman dalam mengendalikan sebuah
kumpulan muzik keroncong dan kumpulan ini banyak mengadakan persembahan di
pelbagai program di serata negeri. Beliau telah diwawancara penulis pada 16hb
April 2013, di Lot
5340, Jln Dato’ Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru, Klang, Selangor.
Turut juga
diwawancara ialah Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali, pemimpin Kumpulan Keroncong
Warisan, yang beralamat di Lot 1450, Lorong Bahagia, Sijangkang, Telok Panglima
Garang. Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali merupakan seorang penggiat seni muzik
keroncong yang tidak asing lagi di daerah Kuala Langat. Beliau juga telah
banyak melahirkan album genre asli, langgam, ago-go dan keroncong penyanyi-penyanyi
tempatan. Wawancara telah diadakan pada tanggal 3hb Mei 2013.
Selain itu turut
juga diwawancara bagi memenuhi kajian ini ialah Encik Bunadi bin Ridzuan,
pemimpin Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden pada tanggal 18hb Mei 2013. Kumpulan
Sri Gabungan Keroncong Moden beralamat di Jalan Haji Yusof Dua, Batu 14,
Jenjarom. Encik Bunadi bin Ridzuan bersama kumpulannya juga aktif
mempersembahkan lagu-lagu keroncong kepada warga seluruh Selangor terutama
untuk majlis-majlis perkahwinan dan juga majlis-majlis rasmi kerajaan.
Tidak lupa juga
penulis mewawancara Encik Abdul Rahman bin Basuni, ketua Kumpulan Seri Warisan
Cempuling Moden yang beralamat di Batu 39, Kampung Olak Lempit, Banting. Wawancara
telah diadakan pada tanggal 20hb Mei 2013. Seperti kumpulan-kumpulan keroncong
yang lain, Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden ini juga banyak mengadakan
persembahan lagu-lagu keroncong di serata daerah di seluruh negeri Selangor.
Juga
turut diwawancara ialah Puan Raftah Bachik, seorang penyanyi lagu-lagu Asli berirama
keroncong yang tidak asing lagi di negeri Selangor. Lagu
keroncong sudah sebati dengan dirinya. Apa tidaknya seawal usia 11 tahun lagi Raftah
Bachik sudah didedahkan dengan irama ini. Jadi tidak hairanlah dalam usia 58
tahun beliau masih lagi aktif menyanyi dan menerima undangan persembahan. Tanpa
publisiti meluas beliau tetap aktif menyanyi malah kerap menerima undangan
persembahan untuk majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan, pusat pengajian tinggi,
jabatan kebudayaan dan lain-lain. Tidak hairanlah beliau pernah menerima
pencalonan untuk Anugerah Tokoh Wanita Selangor 2006 yang bertemakan seni dan
budayanita. Raftah Bachik berjaya meraih tempat ketiga. Beliau telah diwawancara penulis pada 16hb
April 2013 di
Lot 5340, Jln Dato’
Abdul Wahid, Bukit
Kapar, Meru, Klang, Selangor.
Selain itu,
tokoh seni muzik keroncong yang turut diwawancarai penulis ialah Encik Samsudin
Lamin. Beliau juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu keroncong yang tidak
asing lagi di negeri Selangor. Beliau yang juga merupakan pengusaha Bengkel
Seni Samsudin Lamin sering mengadakan pelbagai persembahan nyanyian di serata
negeri Selangor termasuk di radio dan televisyen. Namanya
mula dikenali menerusi lagu Tatih Tatih
Adik, manakala lagu wajibnya jika diundang menjayakan persembahan adalah Kasih Sayang, Buah Hati Kasih Orang dan Cinta Wayang. Beliau telah diwawancara penulis pada 26hb Mei 2013 di Tingkat
3, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Di atas sebab-sebab yang
telah dijelaskan tadi, penulis memilih individu-individu ini sebagai tokoh yang
wajar ditemui dan diwawancara untuk pengisian kajian budaya ini. Penulis yakin,
dengan pengalaman, pengetahuan dan penglibatan mereka yang begitu lama dalam
bidang kebudayaan khususnya dalam seni muzik keroncong, dapat membantu
menambahkan lagi maklumat untuk kajian budaya ini.
METODOLOGI KAJIAN
Dalam usaha
untuk menjalankan kajian penyelidikan ini terdapat beberapa kaedah yang telah
penulis gunakan bagi memudahkan proses pengumpulan maklumat. Kajian yang telah
penulis jalankan ini mempraktikkan dua kaedah utama iaitu kajian lapangan atau field research dan kajian perpustakaan
atau library research. Sementara
sumber-sumber sekunder pula diperolehi daripada maklumat-maklumat yang relevan.
Kaedah
perpustakaan meliputi usaha-usaha pengumpulan sumber-sumber bertulis di
institusi seperti perpustakaan daerah, perpustakaan peribadi, makalah, jurnal,
kertas kerja, majalah dan buku termasuk bahan-bahan yang didapati dari arkib.
Kaedah lisan digunakan untuk mendapatkan maklumat lisan mengenai seni muzik
keroncong daripada individu yang sudah diakui pengetahuannya. Rumusan akan
dibuat untuk disesuaikan dengan kajian yang dijalankan di Selangor.
SUMBER KAJIAN
Dalam kajian
ini, penulis telah menggunakan dua jenis sumber iaitu sumber sekunder dan
sumber lisan. Sumber sekunder meliputi bahan-bahan dan maklumat-maklumat
bercetak seperti buku, makalah, majalah, kertas kerja, jurnal, internet dan
kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan seni muzik keroncong di Selangor.
Sumber lisan
pula diperolehi daripada wawancara atau temubual dengan individu dan penggiat
yang berpengetahuan dalam seni muzik keroncong di Selangor. Rujukan serta
kajian telah dijalankan di Perpustakaan Negeri Shah Alam, Perpustakaan Majlis
Kebudayaan Negeri Selangor dan Perpustakaan Daerah Banting.
Kajian ini akan
menyentuh secara ringkas tentang latar belakang serta sejarah asal usul seni
muzik keroncong yang terdapat di Selangor ini. Juga tentang tokoh-tokoh dan
kumpulan penggiat, langgam lagu, jenis-jenis muzik keroncong, karakteristik
muzik keroncong, keroncong sebagai seni muzik
tradisional negeri Selangor, muzik
keroncong sebagai satu hasil evolusi seni, evolusi
alat muzik keroncong, peralatan dan jenis muzik keroncong, tokoh penggiat seni keroncong awal, penerus seni keroncong, lagu keroncong yang popular, dan lain-lain lagi.
Seterusnya mendokumentasikan seni muzik keroncong
sebagai salah satu kesenian tradisional negeri Selangor. Turut disentuh ialah usaha-usaha yang perlu
dilakukan oleh badan-badan kesenian dalam memajukan lagi seni muzik keroncong,
demi masa depan seni muzik keroncong lebih cemerlang supaya kebudayaan tempatan
yang bakal pupus ini dapat disemarakkan semula. Penyelidik juga berharap agar seni
muzik keroncong ini dapat diperkenalkan dan diperkembangkan di kalangan
generasi muda sekarang agar tidak pupus ditelan zaman.
.1
SENI MUZIK KERONCONG
SEJARAH telah
mencatatkan bahawa seni muzik keroncong mulai masuk ke Malaysia sekitar awal
abad ke-19 dan awal abad ke-20 atau tepatnya sekitar tahun 1940. Muzik
keroncong dibawa masuk ke negara ini oleh masyarakat Pulau Jawa yang merantau
ke negara ini untuk berdagang, mencari pekerjaan dan sebagainya. Para pendatang
yang merupakan berbagai bangsa dan kaum ini kebanyakannya terus menetap dan
bermastautin di sini secara tidak disedari. Sebagaimana yang berlaku, ramai
pekerja itu yang membawa keluarga mereka dan memulakan kehidupan baru di negara
yang baru.
Seperti
kebanyakan para pendatang asing, selain mereka mencari nafkah, mereka juga
membawa kesenian dan kebudayaan mereka. Seperti pendatang dari Sumatera Barat
misalnya, mereka membawa kesenian caklempong, demikian juga pendatang dari
Jawa. Pendatang dari Jawa membawa kesenian mereka berupa gamelan, wayang kulit,
barongan, kuda kepang, ketoprak, silat dan juga keroncong.
Daerah-daerah
yang banyak kegiatan-kegiatan seni tradisi Jawa seperti gamelan, barongan,
silat dan keroncong ini adalah pastinya daerah yang banyak didatangi masyarakat
Jawa seperti di negeri Johor, Perak, Selangor dan juga Pulau Pinang. Di
daerah-daerah ini terutamanya di negeri Johor dan Selangor masih boleh kita temui
persembahan-persembahan keroncong. Pada mulanya lagu-lagu yang dinyanyikan
adalah lagu-lagu dari Indonesia tetapi lama kelamaan selepas Perang Dunia Kedua
ada pencipta tempatan yang mencipta lagu keroncong bercorak Melayu seperti Allahyarham
Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham Zubir Said, Allahyarham Johan Bahar dan ramai
lagi.
Keroncong adalah
sejenis muzik Indonesia yang memiliki hubungan sejarah dengan sejenis muzik
Portugis yang dikenal sebagai fado.
Sejarah keroncong di Indonesia dapat ditarik hingga akhir abad ke-16, sewaktu
kekuatan Portugis mulai melemah di Nusantara. Keroncong bermula dari muzik yang
dimainkan para hamba dan opsir
Portugis dari daratan India (Goa) serta Maluku. Bentuk awal muzik ini disebut moresco.
Keroncong
dikatakan bermula di Pulau Jawa pada abad ke-16 sewaktu pengaruh Portugis mula
bertapak di kawasan Tenggara Asia. Ketika itu, seni muzik gamelan digemari di
seluruh Pulau Jawa. Alat-alat muzik Barat telah digunakan untuk memainkan
lagu-lagu daerah termasuk gamelan. Proses penyesuaian ini mengambil masa yang
lama. Hasilnya seni muzik keroncong menjadi sempurna pada akhir abad ke-19.
Namun begitu corak muzik keroncong ini berubah dari semasa ke semasa.
Menurut
Allahyarham Dr Ariff Ahmad dalam bukunya yang berjudul Seni Muzik Keroncong terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
bentuk seni keroncong dengan seni muzik gamelan mempunyai beberapa aspek yang
hampir sama misalnya rentak dan bentuk melodinya. Muzik gamelan dimainkan
dengan cara yang teratur, tetapi muzik keroncong dapat ditokok tambah mengikut
perasaan pemain-pemainnya. Alat melodi dan bentuk suara yang digunakan dalam
persembahan keroncong juga lebih luas.
Muzik keroncong
berkembang ke Malaysia dengan kedatangan orang-orang Jawa pada awal abad ke-20.
Di kalangan kaum Baba dan Nyonya Melaka, lagu keroncong sangat digemari. Di
Indonesia, ramai keturunan Cina yang meminati lagu keroncong dan ada antara
mereka yang menjadi pencipta terkenal.
SEJARAH KERONCONG
Maksud keroncong
menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
ialah lagu irama dan lagu Melayu dan sejenis irama lagu yang lembut biasanya
menggunakan alat muzik yang dipetik dan digesek.
Keroncong
berasal dari Betawi (Jakarta) pada abad ke-16 dan ke-17 sewaktu Portugis mula
bertapak di kawasan Asia Tenggara. Pada mulanya, melodi Portugis dinyanyikan
dengan iringan beberapa buah gitar oleh orang Portugis berkulit hitam yang
dikenali sebagai Mardijkers. Lama-kelamaan pada akhir abad ke-19 hasil seni
muzik keroncong menjadi sempurna, namun begitu muzik keroncong ini berubah dari
semasa ke semasa. Ia dimainkan oleh orang Serani dari kelas bawahan (orang
peranakan dari bangsa Belanda dengan bangsa Indonesia) di Betawi.
Keroncong
dinyanyikan oleh kaum lelaki Serani yang dipanggil ‘Budaya Keroncong’. Mereka
berjalan-jalan di bandar-bandar Betawi pada waktu malam sambil menyanyikan pantun
bertemakan kasih sayang dan asmara yang ditujukan kepada kaum perempuan. Selain
itu, melodi-melodi keroncong dinyanyikan dalam teater komedi stambul yang
muncul di Surabaya pada tahun 1981. Pada awalnya, melodi-melodi ini diiringi
oleh kod yang dimainkan dengan gitar, piano, atau alat muzik yang sedia ada
dalam komedi stambul. Melodi-melodi ini dikenali sebagai Stambul I dan Stambul
II.
Namun menurut Allahyarham
Dr Ariff Ahmad, seni muzik keroncong di Malaysia dikatakan berasal dari
Indonesia, dibawa oleh para pedagang yang datang berdagang ke Tanah Melayu
suatu ketika dulu. Di Indonesia sendiri, menurut Erant Heins (dalam Harmunah,
1987: 7) sebelum abad XVI, datanglah kapal-kapal Portugis ke kepulauan ini.
Mereka mengadakan perhubungan perdagangan hampir di seluruh pelosok Indonesia di
samping mengembangkan agama Kristian Katolik.
Perdagangan
Portugis ini hanya menggunakan kapal-kapal, tetapi menimbulkan perhambaan-perhambaan.
Dan akhirnya meninggalkan bekas di Afrika, India, Sri Lanka, dan Malaysia yang
dikenali dengan istilah Indo Portugis dan disebut pula dengan istilah ‘Portugis
Hitam’. Orang-orang hitam ini merupakan keluarga baru yang disebut sebagai Mahardika dalam bahasa Sanskrit.
Di Eropah pada
suatu ketika dahulu, masyarakat Barat memandang bangsa Indo itu sebagai bangsa
yang rendah darjatnya dan yang hanya mewarisi tabiat-tabiat tidak baik dari
orang tua mereka. Pendapat ini ditentang oleh ahli atau pakar sejarah dan bukti
menyatakan bahawa orang yang berdarah campuran pada umumnya ulung dalam
berbagai ilmu, termasuklah orang yang berdarjat tinggi. Pandangan yang salah
seperti inilah yang mungkin mempengaruhi tabiat para ahli, sehingga mereka
hanya berniat untuk menyelidiki apa yang dipandang asli sahaja, dan nyatalah bahawa
sejarah muzik keroncong telah diketepikan oleh para ahli muzikologi serta para
ahli sejarah muzik (Tobing dalam Harmunah, 1987: 8)
Pada tahun 1511,
bangsa Portugis di bawah pimpinan Alfonso d’ Albuquerque telah menawan Melaka
yang waktu itu dipimpin oleh Sultan Alaudin Riayat Syah. Setelah 11 tahun
berada di Melaka, maka pada tahun 1522 pedagang-pedagang Portugis meneruskan
perjalanan mereka ke Ternate dan Ambon dan telah singgah di beberapa buah pulau.
Kerana datang dari jauh mereka kesepian disebabkan berpisah dengan ahli
keluarga masing-masing.
Untuk mengisi
kesepian tersebut mereka membawa alat muzik ukulele iaitu alat muzik seperti
gitar kecil. Bunyi yang keluar dari alat tersebut dan nyanyian merdu yang didendangkan
oleh pedagang Portugis tersebut terasa asing dan aneh kedengarannya di telinga masyarakat
peribumi Nusantara, kerana masyarakat peribumi biasa mendengar notasi
pentatonik pelog dan slendro sedangkan ketika itu yang mereka
dengar adalah notasi diatonik.
Berbekalkan
hanya alat muzik ukulele yang dimulai dari muzik soliter (dimainkan seorang diri), maka berabad-abad kemudian
tumbuhlah menjadi muzik keroncong yang kita kenali sekarang. Bermain alat muzik
secara seorang diri menimbulkan kebosanan, sehingga mereka mulai bermain dengan
rakan-rakan yang lain dengan menambah alat muzik yang lain seperti tempurung
kelapa, kentung buluh, rebana dan lain-lain lagi. Dengan demikian alat muzik
keroncong tidak wujud seperti yang ada sekarang tetapi memerlukan waktu atau
evolusi yang sangat panjang.
Dari riwayat ringkas
tersebut, kita tidak menafikan bahawa ada unsur muzik keroncong yang berasal
dari luar ialah alat muziknya, tetapi bentuk muziknya (muzik keroncong)
bukanlah bentuk muzik asing melainkan benar-benar hasil karya nenek moyang kita
sendiri. Adapun terjadi adaptasi terhadap corak muzik yang datang dari luar
justeru merupakan kreativiti nenek moyang kita yang sewajarnya kita hargai.
Sejak mulai
masuknya muzik keroncong ke Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) pada penghujung
abad 19 oleh orang-orang dari Indonesia, khususnya dari Jawa yang bekerja di negara
ini, keroncong pun mulai berkembang dan mulai diminati oleh penduduk setempat. Di
kalangan kaum Baba dan Nyonya Melaka, lagu keroncong sangat digemari.
Menurut
Allahyarham Dr Ariff Ahmad lagi, pada mulanya lagu-lagu keroncong yang
dimainkan oleh orang setempat adalah lagu-lagu yang berasal dari Indonesia.
Akan tetapi lama-kelamaan, selepas Perang Dunia Kedua, ada pencipta lagu yang
mencipta lagu-lagu keroncong bercorak Melayu seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar,
P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad, Zainal Ibrahim dan pada
akhir-akhir ini Mahzan Manan dan beliau sendiri (Dr Ariff Ahmad).
Pada tahun 1950-an,
di negeri Johor khususnya di Johor Bahru telah terbentuk beberapa kumpulan muzik
keroncong seperti ‘Suara Timur Keroncong Orkes’ di Kampung Setulang Darat, ‘Pepat
Keroncong Party’ di Kampung Tambatan dan Mohd. Amin Johor Bahru, dan ‘Mawar
Puteh Keroncong Party’ di Kampung Chik Ami Ngee Heng yang diketuai oleh Encik
Omar bin Abu Samah.
Ketika itu, muzik
keroncong biasanya dipersembahkan di majlis jamuan atau pesta. Kini keroncong
telah mulai bertukar corak, sesuai dengan peredaran masa dan selera terutama
cara persembahannya. Gubahan muzik keroncong dibuat untuk permainan pancaragam
(orkestra) dan kumpulan gitar rancak (kugiran).
Di Malaysia,
program pengembangan muzik keroncong telah dilaksanakan sejak tahun 1997.
Program ini bermula dengan pengambilan 5 orang tenaga pengajar keroncong dari
Indonesia. Dari sini muncul pembentukan bengkel-bengkel muzik atau tempat
latihan muzik keroncong. Bengkel ini telah diadakan dengan perasmiannya pada
15-18 Jun 1999 di Pusat Kegiatan Seni, Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Bengkel-bengkel muzik
keroncong itu telah melahirkan banyak kumpulan muzik keroncong di beberapa buah
daerah, antara lain di Johor seperti Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota
Tinggi, Pontian, Mersing dan Segamat. Sepanjang tahun 2000, sering
diselenggarakan pertandingan muzik keroncong dan nyanyian lagu-lagu keroncong
di seluruh daerah negeri Johor oleh Dewan Kesenian di sana, yakni Yayasan
Warisan Johor. Setiap tahun pertandingan keroncong seperti ini rutin
dilaksanakan.
MUZIK TRADISIONAL
Apakah muzik
tradisional mempunyai jawapan yang berbeza mengikut pengetahuan dan pengalaman
seseorang. Ada orang yang berpendapat bahawa muzik tradisional bagi sesuatu
bangsa haruslah mengandungi ciri-ciri tempatan yang tulen dan ia mestilah
berasal dari kawasan di mana bangsa itu tinggal. Ia adalah hasil ciptaan
penduduk tempatan dan yang telah diwarisi turun-temurun. Ini tidak semestinya
benar kepada kesemua bangsa.
Menurut Dr.
Ariff Ahmad dalam Keroncong - Selangor
Traditional Music, tidak ada bangsa yang boleh mengatakan bahawa seni muzik
tradisional kepunyaannya itu adalah bebas daripada apa-apa pengaruh asing atau
pengaruh luar. Dalam sejarah kesenian tiap-tiap bangsa dalam dunia ini,
kebudayaan semua masyarakat adalah dipengaruhi oleh orang-orang luar pada
sesuatu ketika, melainkan bangsa itu sangat terpencil dan tidak pernah
berhubung dengan bangsa lain. Pengaruh ini adalah dalam berbagai bentuk, ada
yang mendalam dan ada yang sedikit sahaja tetapi meninggalkan kesan yang masih
boleh dilihat dalam kebudayaan bangsa itu sehingga sekarang.
Seni muzik dari
Timur Tengah pada suatu ketika dahulu dibawa oleh orang-orang Islam dari sana
ke Eropah semasa mereka menguasai sebahagian besar benua Eropah. Seni muzik
mereka masih boleh dikesan dalam beberapa seni muzik tradisional di Sepanyol,
Portugal, Greece, Itali dan beberapa buah negara lain walaupun pada masa ini
bentuk seni muzik itu sudah berubah.
Pada mulanya
seni muzik yang dibawa ke sesuatu tempat oleh kaum-kaum yang menjelajah atau
yang mempunyai hubungan rapat melalui perniagaan atau perkongsian dalam hal-hal
tertentu mungkin menjadi hiburan sahaja kepada orang-orang asing itu. Tetapi
lambat-laun, penduduk tempatan yang selalu terdedah kepada seni itu mula
berminat kepada seni muzik orang-orang asing tersebut dan ingin pula
memainkannya. Setelah mempelajari cara memainkan alat-alat muzik asing itu
mereka cuba pula memainkan lagu-lagu mereka dengan mengubah-suai cara permainan
dan penggunaan alat-alat muzik asing itu kepada cara mereka sendiri.
Ini berlaku pada
permainan muzik tradisional ghazal, khususnya Ghazal Johor. Jenis muzik ini wujud
dengan cara pendedahan seni muzik Timur Tengah kepada seni muzik masyarakat di
India dan di sana bentuk aslinya telah bertukar kepada bentuk tradisional
India. Ia kemudian dibawa pula oleh pedagang-pedagang India ke Malaysia di mana
perubahan baru pula berlaku.
SENI MUZIK TRADISIONAL DI MALAYSIA
Mengikut sejarah
kawasan ini, Tenggara Asia telah dijelajahi oleh bangsa-bangsa lain dari Timur
dan Barat seperti pedagang-pedagang China, India, Arab dan akhirnya oleh
penjajah-penjajah dari Eropah. Masing-masing telah meninggalkan banyak kesan
kesenian mereka dalam kesenian penduduk tempatan dan ini termasuk dalam seni
muzik orang-orang di kawasan ini. Daripada bentuk lagu dan rentak kepada jenis
alat-alat muzik yang digunakan seni muzik tradisional tempatan boleh dikatakan
penuh dengan pengaruh-pengaruh seni muzik asing itu.
Namun demikian,
pengaruh-pengaruh asing itu ada yang bertukar bentuk mengikut keadaan hidup
atau kebudayaan masyarakat tempatan. Mereka mempunyai pegangan kepada adat
resam tradisi dan kepercayaan mereka yang asli. Keadaan ini tidak mudah
bertukar atau diubah dalam masa yang singkat dan ada kalanya ia tidak bertukar
tetapi disesuaikan sahaja dengan bentuk baru. Contohnya dalam rentak muzik
seperti joget, inang, zapin dan asli, bentuk asalnya tidak berubah. Cuma yang
berubah adalah alat-alat yang digunakan. Ini berlaku dengan adanya perubahan
cara permainan muzik dan selera peminat mengikut keadaan masa.
Seperti yang
telah berlaku di Malaysia semenjak beberapa tahun yang lalu, berbagai jenis
muzik asing telah mempengaruhi seni muzik di negara ini. Berbagai cara
permainan muzik telah diperkenalkan seperti jazz,
rock and roll, latin, twist, ago-go
dan berbagai lagi tetapi cara permainan muzik tradisional masih juga kekal
walaupun tidak begitu terdedah.
KARAKTERISTIK MUZIK KERONCONG
Menurut Dr.
Ariff Ahmad seterusnya, muzik keroncong termasuk kelompok muzik yang nikmatnya
bila disajikan di dalam ruangan. Ritme yang mendayu-dayu, mengalir, dan seolah
tanpa hambatan serta sentakan yang mengejutkan. Meskipun dalam permainan muziknya
sering muncul hentakan vokal mahupun jeritan filler biola serta flute
(seruling) namun semua masih dalam koridor akord yang sedang dimainkan. Rupanya
semua lentingan yang melesat itu justru menambah tatanan sajian muzik keroncong
semakin cantik.
Manakala menurut Encik Bakri Darus
pula, muzik keroncong secara umum dibawakan dengan tempo andante, moderato. Pemilihan tempo
demikian bukan tanpa alasan. Dengan tempo lambat memberi kesempatan pada para
pemain untuk boleh mencacah ketukan dalam ritme-ritme permainannya. Tempo
lambat juga memberi kesempatan pada para pemain atau penyanyi untuk boleh
leluasa berimprovisasi pada bahagian-bahagian frase tertentu di mana mereka boleh melakukan itu.
Menurut beliau
lagi, tempo lambat juga dimaksudkan untuk lebih boleh menyampaikan ‘pesan’ dari
lagu yang dibawakan. Hal paling utama tempo lambat lebih boleh membawa suasana
damai, tenang, dan tenteram. Rupa-rupanya perkara inilah yang akhirnya
membentuk karakter genre muzik ini ‘lambat’ dan lebih dekat kepada ‘mengantuk’
bahkan ada yang menilainya sebagai ‘malas’. Bila hal ini yang menonjol dalam
tampilan muzik keroncong maka ada benarnya jika generasi muda akhirnya kurang
meminati muzik dari genre ini.
Sementara itu, menurut Encik
Bunadi bin Ridzuan, pemimpin Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden, Jenjarom, tempo
permainan muzik keroncong cenderung lambat. Harmoni yang telah pakem membuatkan
sajian muzik keroncong boleh hadir seperti apa yang dimahukan, semua teratur
sesuai dengan susunan. Puncaknya muzik keroncong boleh membawa penikmatnya
berada pada suasana damai, tenang, dan tenteram (tidak bising). Hal ini
signifikan dengan perkembangan psikologi orang tua. Kalangan orang tua suka kepada
benda yang namanya keteraturan, suka segala sesuatu yang sesuai dengan rencana
dan tidak keluar dari tatanan. Keadaan ini tentu agak bertentangan dengan jiwa
generasi muda yang suka akan cabaran. Masa yang sedang berada pada masa
keemasan untuk memunculkan daya kreasi yang ditandai dengan munculnya
keinginan-keinginan untuk membuat yang serba berbeza, penuh kejutan dan tentu glamour.
Namun menurut Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali, pemimpin
Kumpulan Keroncong Warisan, Teluk Panglima Garang pula, muzik keroncong
memiliki kekhususan yang unik dan berbeza dengan muzik-muzik yang berkembang di
kalangan muda zaman sekarang. Kerana unik, ternyata menimbulkan kesan sukar.
Apabila diajukan
soalan, ‘Apakah muzik keroncong memang sukar untuk dipelajari dan dimainkan?’
Beliau berkata, ‘Jawabannya boleh tidak dan boleh ya.’
Seperti yang telah
dijelaskan sebelumnya, secara menyeluruh kekhususan muzik keroncong boleh digolongkan
kepada beberapa segi, iaitu tampak pada bentuk, harmoni, ritme, jenis alat muzik
yang digunakan, dan pembawaan. Untuk boleh bermain muzik keroncong, sesebuah kumpulan
muzik dituntut supaya memiliki kemampuan asas dalam bermain muzik. Kemampuan asas
ini yang nantinya akan membawa pemain hingga boleh mencerna teknik permainan
pada muzik keroncong. Kemampuan mencerna teknik permainan muzik keroncong akan
menghasilkan individu pemain yang mampu dengan mudah memainkan muzik keroncong
secara teknik individu mahupun kekompakan secara kelompok.
Kumpulan Keroncong Gema Sari sedang menjalani latihan sebelum
mengadakan persembahan
Menurut Tuan
Haji Mohd Khir bin Ghazali seterusnya, ‘Kita harus berprinsip bahawa segala apa
pun yang sukar kalau kita ikuti, perhatikan, pelajari dan lakukan dengan bersungguh-sungguh
tentu boleh. Begitu juga dengan muzik keroncong, jadi tidak benar ada alasan bahawa
bermain muzik keroncong sukar.’
LAGU KERONCONG ASING DAN MONOTON
Lagu-lagu
keroncong di telinga kalangan muda memang terasa asing dan aneh. Penyajian
vokal yang dibawakan oleh para penyanyi keroncong memberi kesan lamban dan
melankolik. Lamban kerana memang lagu keroncong sebahagian besar menggunakan
tanda tempo andante yang bererti
lambat. Pembawaan melodi dan syairnya (vokal) bersifat improvisatoris, bercengkok dan gregel,
juga secara portamento, sedangkan
ritme sering tidak tepat pada pukulan yang seharusnya.
Jadi agak
ditunda sedikit, yang dalam istilah keroncong disebut ‘menggantung matt’, atau istilah lain dalam bahasa
Jawa disebut ‘nggandhul’. (Harmunah.
1987: 30). Pembawaan vokal yang demikian memberi kesan tidak tegas dan semahu-mahunya.
Hal ini bertentangan dengan karakteristik jiwa generasi muda yang serba
menghentak, tegas, cepat, dan gemerlap, meskipun kadang-kadang muncul juga
lembut dan manisnya.
Dari segi
lagu-lagu yang dibawakan, rupa-rupanya khazanah kekayaan lagu-lagu dari muzik
keroncong lamban dalam pertambahan referensinya. Sehingga yang muncul dalam
setiap kali penampilan lagu-lagunya cenderung monoton. Ditambah bila dilihat
dari bentuk lagunya, lagu-lagu keroncong memiliki beberapa bentuk yang sudah
tetap (baku). Bentuk-bentuk itu adalah keroncong asli, langgam keroncong,
stambul I, dan stambul II.
Meskipun pada
perkembangannya, akhirnya muncul lagu bentuk ‘ekstra’. Untuk lagu-lagu dari
jenis keroncong asli, langgam keroncong, stambul I, dan stambul II memiliki
pola baku. Memang ada benarnya bila ada pandangan bahawa lagu dan muzik
keroncong itu monoton bahkan cenderung kurang boleh berkembang. Namun perlu dilihat
juga bahawa pada bentuk lagu ekstra, muzik dan lagu keroncong memiliki keluasan
untuk boleh digarap dan berkembang dalam permainannya sesuai dengan keinginan
individu mahupun kelompok penyaji. Contoh-contoh tersebut boleh dilihat pada
lagu-lagu pop keroncong (Hetty Koes Endang), lagu-lagu pop keroncong manca
negara, lagu-lagu pop keroncong instrumental, dan lain-lain lagi. Sedangkan kumpulan
muzik keroncong yang boleh membawa keinginan jiwa muda boleh dicontohkan
seperti kumpulan Kembara M Nasir.
2
SENI MUZIK KERONCONG NEGERI SELANGOR
MENYENTUH soal
apakah jenis muzik tradisional bagi sesuatu kawasan, misalnya negeri Selangor,
jawapannya tidak mudah diberi oleh kerana sukar ditetapkan apakah yang
dimaksudkan dengan ‘kawasan’. Ia boleh menjadi satu daerah kecil atau satu
kawasan yang luas. Ia juga mungkin satu kawasan geographical atau politikal.
Ini bermakna
sempadan kawasan itu berbeza, satu disebabkan oleh keadaan alam seperti adanya
lautan atau banjaran gunung dan yang lagi satu sempadan buatan yang ditetapkan
oleh manusia yang berpihak-pihak. Kedua-dua jenis sempadan ini menghasilkan dua
bentuk perhubungan atau interaksi di antara penduduk yang berjiran, berasingan
sama sekali atau rapat seolah-olah tidak ada perbezaaan langsung.
Negeri Selangor
adalah termasuk dalam kategori yang kedua iaitu kawasan politikal dan
perbezaannya dengan negeri Perak di utara dan dengan Negeri Sembilan di selatan
tidaklah begitu ketara apatah lagi di kawasan sempadan. Negeri Selangor adalah
kecil dalam pengertian kawasan kesenian. Keadaan ini memerlukan kita membuat
peninjauan ke kawasan yang lebih luas seperti seluruh Semenanjung dan mungkin
Nusantara. Kita perlu fikir adakah kesenian Selangor berbeza daripada kesenian
kawasan-kawasan di sekelilingnya dan jika ada apakah bentuknya dan apa sebabnya
menjadi begitu serta adakah kesenian itu istimewa bagi negeri Selangor sahaja.
Ini mungkin tidak benar.
Mengikut kajian
sejarah, Selangor banyak dipengaruhi oleh orang-orang dari Sumatera terutama
dari daerah Aceh dan orang-orang Bugis dari Sulawesi Selatan. Kebudayaan mereka
itu boleh dikesan dalam cara hidup orang-orang Selangor. Keadaan yang sama juga
berlaku di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung Malaysia seperti di
Kedah, Perak dan Johor di mana orang-orang Aceh dan Bugis dipercayai telah lama
mengadakan lawatan dan perhubungan perdagangan dengan orang-orang tempatan.
Kemudian berlaku
pula fenomena kedatangan pekerja-pekerja atau buruh kasar dari Jawa dalam
tahun-tahun 20-an dan 30-an yang bekerja sementara di pantai barat Semenanjung
dan ada di antara mereka terus menetap di kawasan tempat mereka bekerja seperti
di Kuala Selangor, Kelang dan Sijangkang. Pada masa yang sama juga orang-orang
dari Sumatera Tengah (Mandiling dan Rawa) telah datang untuk meneroka beberapa
kawasan di Selangor seperti di Ulu Langat, Kajang dan beberapa daerah lain dan
setelah beberapa ketika, ada di antara mereka balik ke negara asal mereka. Mereka
juga ada yang terus menetap di tempat yang mereka terokai. Ini juga berlaku di
beberapa buah negeri lain. Dengan ini maka bertambahlah lagi pengaruh-pengaruh
Sumatera Tengah di beberapa kawasan di Selangor.
Tetapi dalam
bidang seni muzik, pengaruh mereka ini tidak pula terkemuka. Yang lebih banyak
meninggalkan kesan adalah seni muzik yang dibawa oleh orang-orang dari Jawa
yang banyak didapati di daerah Kuala Selangor, Kelang dan Banting. Di antara
seni muzik tradisional yang mereka perkenalkan ialah keroncong, satu seni muzik
yang masih dimainkan di beberapa tempat di Selangor dan dalam siaran radio dan
televisyen. Pada masa ini masih ada lagi beberapa kumpulan keroncong di
Selangor. Tetapi di negeri-negeri lain sudah tidak ada lagi kumpulan muzik seperti
itu melainkan satu dua di Melaka dan Pulau Pinang.
KERONCONG SEBAGAI SENI MUZIK TRADISIONAL NEGERI SELANGOR
Pada masa ini
belum ada mana-mana negeri yang mengambil seni muzik keroncong sebagai seni muzik
tradisional negeri seperti ghazal di Johor, boria di Pulau Pinang, dan gamelan
di Pahang dan Terengganu. Pada suatu pertemuan tidak lama dahulu, Selangor
telah bercadang untuk mengambil keroncong sebagai seni muzik tradisional negeri
Selangor. Tetapi tidak ada tindakan tegas atau tindakan susulan yang konkrit diambil
untuk menggalak dan memberikan taraf yang sewajarnya kepada seni tersebut.
Dari segi bentuk
aslinya, seni muzik keroncong boleh diterima sebagai mempunyai sifat
tradisional terutama rentak, lagu dan alat-alat muzik yang digunakan. Ia juga
memerlukan penyanyi khas yang mempunyai suara dan gaya yang terlatih. Jika
dibandingkan dengan seni muzik tradisional yang lain yang boleh didapati di
Selangor seperti muzik asli, kompang, hadrah dan sebagainya, cuma muzik
keroncong sahaja yang difikirkan boleh diketengahkan. Ia masih mempunyai ramai
peminat terutama di kalangan orang-orang dewasa dan ada juga di kalangan
anak-anak muda. Ia masih boleh mempertahankan kedudukannya dalam zaman rock, malah ia juga boleh meresap dalam
muzik sezaman. Jenis-jenis muzik tradisional lain mungkin tidak dapat berbuat
demikian.
Sebagai salah satu bentuk
kesenian yang berkembang di kalangan masyarakat, kehadiran muzik keroncong
mempunyai beberapa fungsi, iaitu fungsi pendidikan, fungsi hiburan, fungsi
ekonomi dan fungsi sosial.
1. Fungsi Pendidikan
Karya seni dalam bentuk
lagu-lagu keroncong merupakan salah satu media penting untuk pendidikan
informal bagi masyarakat. Nilai-nilai pendidikan dapat diperoleh melalui lirik
atau senikata yang tertuang dalam lagu. Masyarakat dapat memahami ajaran agama,
budi pekerti dan ajaran lainnya yang berguna dalam meningkatkan eksistensinya.
2. Fungsi Hiburan
Muzik atau lagu merupakan
salah satu jenis bentuk konsumsi bagi keperluan batin manusia yang tergolong
dalam keperluan sekunder. Ketika mereka mengalami ketegangan atau tekanan
perasaan setelah menyelesaikan suatu pekerjaan, atau sedang mengalami masalah,
dengan mendengar muzik merupakan salah satu usaha untuk melepaskan ketegangan.
Muzik merupakan salah satu hiburan yang cukup mudah untuk didapati baik melalui
radio, televisyen, komputer, MP3, mahupun hand
phone.
3. Fungsi Ekonomi
Sebelum menjadi sebuah hasil
komoditi, muzik keroncong hanyalah sebagai karya seni yang berfungsi sebagai
penyegar rohani atau hiburan kala sedang beristirahat. Namun, kewujudannya kini
telah beralih fungsi, di samping berfungsi sebagai hiburan juga berfungsi
ekonomi. Hal ini berkat hasil sentuhan teknologi moden yang merupakan hasil
budaya populer sehingga menjadikan lagu-lagu tersebut mulai memperlihatkan
eksistensinya melalui bentuk penyajian.
Berbagai bentuk modifikasi
dicipta untuk mengemaskini lagu-lagu tersebut agar dikenali dan populer di
kalangan masyarakat. Kemasan dalam bentuk kaset dan VCD ternyata mendapat
sambutan yang hangat dari masyarakat, terutama bagi penggemar lagu-lagu
keroncong. Larisnya peredaran kaset dan VCD tidak saja menguntungkan bagi
pemilik modal iaitu studio rakaman, tetapi juga penyanyi, pemuzik dan pencipta
lagu turut mendapat keuntungan dari segi material.
4. Fungsi Sosial
Ungkapan-ungkapan seni, baik
seni diluhung mahupun ‘hiburan’ di
samping memiliki nilai estetika, tentulah juga mempunyai fungsi-fungsi
sosialnya. Fungsi sosial dalam kesenian dapat dilihat dari isi yang terdapat
pada suatu bentuk kesenian yang bertujuan untuk mempengaruhi masyarakat atau
penonton agar boleh berbuat sesuatu yang positif terhadap lingkungan
sekitarnya.
Fungsi sosial dalam muzik
keroncong, boleh dilihat dari peranan lagu-lagu keroncong yang dinyanyikan
untuk kepentingan sosial dalam masyarakat, seperti misalnya dalam kegiatan
kesyukuran, acara pernikahan dan lain-lain lagi, dengan tujuan untuk menghibur
para undangan yang menghadiri acara tersebut.
MUZIK KERONCONG SEBAGAI SATU HASIL EVOLUSI SENI
Seni muzik
keroncong boleh diterima sebagai satu hasil evolusi seni yang istimewa lahir
daripada gabungan kesenian tempatan. Ia juga adalah penyesuaian selera peminat
seni muzik tempatan yang secara sedar berusaha mempertahankan seni muzik asli
mereka sambil menerima perubahan dan selera baru.
Tidak dinafikan
jika dilihat dari segi alat-alat yang digunakan dalam permainan muzik
keroncong, kesemua alat itu adalah alat-alat yang dibawa dari Barat. Cuma
fungsi dan cara memainkan tiap-tiap alat itu sahaja yang berbeza. Ada
pendapat yang mengatakan muzik keroncong dibawa oleh orang Portugis pada zaman
mereka berkuasa di Asia Tenggara. Tetapi jika dikaji dengan teliti tidak ada tanda-tanda
yang menunjukkan ciri-ciri muzik keroncong sebagaimana yang ada sekarang ini
ada dalam seni muzik di Portugal.
Mungkin ada juga
yang berpendapat kerana ramainya orang keturunan Portugis yang menetap di
beberapa daerah di Jakarta yang diketahui sangat gemar kepada lagu-lagu
berentak keroncong, maka dikatakan keroncong berasal dari Portugal. Kemungkinan
ada pendapat mengatakan bahawa alat-alat muzik yang berasal dari Barat
digunakan dalam muzik keroncong seperti gitar, ukulele, biola dan sebagainya.
Ada sejenis alat muzik tradisional dari beberapa daerah di Portugal dan
Sepanyol yang masih dimainkan dikenali sebagai charanga. Ia mempunyai bentuk seakan-akan ukulele dan dimainkan
sebagai alat pengiring untuk penyanyi.
Oleh kerana alat
itu sangat dominan dan ada persamaannya dengan cara permainan alat yang
menggantinya iaitu ukulele yang mengikut cara dahulu, dimainkan untuk mengiring
penyanyi dalam persembahan lagu keroncong, maka seni itu dikaitkan dengan seni
muzik dari Portugal. Ia tidak mudah diterima.
Jika dilihat
dari segi cara permainan muzik keroncong dan dibandingkan dengan muzik gamelan
yang sangat terkenal di Pulau Jawa terutama di Jawa Tengah dan di Jawa Barat
atau Sunda, banyak boleh diperhatikan persamaannya daripada rentaknya hingga kepada
melodinya.
Kemasukan seni
muzik Barat pada ketika itu mulanya tidak diterima oleh peminat-peminat muzik Jawa,
tetapi lama-kelamaan dengan adanya pendedahan kepada muzik asing itu ada di
antara peminat muzik Jawa terpengaruh dan ingin menguasai permainan alat-alat Barat
tersebut. Apa yang berlaku adalah pengaruh permainan muzik orang Portugis itu
dapat dimanfaatkan oleh pemuzik-pemuzik yang tinggal berdekatan dengan membuat
penyesuaian permainan alat-alat Barat itu ke dalam permainan gamelan mereka.
Alat-alat muzik
Barat yang mempunyai fungsi dan bunyi yang hampir sama dengan muzik gamelan
digunakan untuk memainkan lagu-lagu gamelan. Akhirnya, kacukan antara alat
muzik Barat dengan gamelan ini melahirkan sejenis muzik yang dinamakan keroncong.
EVOLUSI ALAT MUZIK KERONCONG
Menurut Dr.
Ariff Ahmad, Gelang Keroncong merupakan istilah yang telah digunakan sebelum
Muzik Keroncong. Ukulele merupakan asal muzik keroncong. Ukulele diiringi oleh
tempurung kelapa, kentung buluh, dan sebagainya. Pada awal abad ke-16, alat
muzik rebana dimasukkan ke dalam alat muzik keroncong. Kemudian masuk pula alat
muzik mandolin, tetapi hanya bertahan sehingga abad ke-19 sahaja.
Pada tahun 1930,
(keterangan oleh Supardi dari Radio Orkestra Surakarta, Indonesia) harmonika
digunakan sebagai alat yang memainkan melodi. Kemudian violin atau biola juga digunakan sebagai alat yang memainkan melodi.
Seterusnya, rebana digantikan dengan petikan gitar. Pada tahun 1934, gitar
digantikan dengan cello yang dipetik secara pizzicato. Akhir tahun 1940, flute dan juga tenor banyo (cak) dimasukkan ke dalam ensemble keroncong.
Akhirnya alat
muzik keroncong terdiri daripada 7 jenis alat iaitu biola (violin), seruling (flute),
gitar, ukulele (cuk), tenor banyo
(cak), cello dan double bass.
3
PERALATAN DAN JENIS MUZIK KERONCONG
MENURUT Encik Wahid bin Bahari, 64 tahun, pemimpin
Kumpulan Keroncong Gema Sari, alat-alat
muzik yang lazim digunakan terdiri daripada 7 jenis alat yang kesemuanya berasal
dari Eropah. Alat itu ialah biola (violin),
seruling (flute), gitar, ukulele
(cuk), tenor banyo (cak), cello dan double bass. Kesinambungan alat-alat ini sangat penting kerana ia
saling memerlukan antara satu sama lain. Setiap alat akan memainkan rentak
masing-masing kerana setiap alat mempunyai peranan masing-masing.
1. Biola Atau Violin
Biola merupakan
alat yang tidak asing lagi di dalam seni muzik semenjak mula digunakan pada
kurun ke-11 lagi. Menurut Dr. Ariff Ahmad, alat ini telah digunakan pada kali
pertama pada tahun 1520. Pada masa dahulu ia dibuat dengan tangan. Antonio
Stradivari (1640-1737) merupakan pembuat biola terkenal yang berasal dari
Itali. Beliau berjaya menghasilkan biola yang paling tinggi mutunya dan dapat
mengeluarkan suara yang baik. Sehingga sekarang beberapa biola buatannya masih
ada lagi dan setiap satunya berharga berjuta-juta dolar.
Biola merupakan
alat muzik terkecil dalam keluarga gesek. Biola boleh dimainkan dengan cara
digesek ataupun dipetik bergantung kepada keinginan pemainnya. Biola termasuk dalam
alat muzik chordophone. Chordophone adalah alat muzik yang
sumber bunyinya berasal dari dawai (tali) (Banoe, 2003: 83). Biola moden mulai
berkembang di Itali sekitar tahun 1600 (Prier, 1993: 68). Biola kemudiannya
mulai dibuat dengan cara yang halus, proses atau teknologi reka bentuknya
sesuai dengan teknologi dan prinsip estetika (Nawang, 2009: 14).
Biola
menggunakan 4 tali yang diperbuat dari dawai dan dilaras dengan tali terbuka
dari tertinggi iaitu:
- Tali pertama - E
- Tali Kedua - A
- Tali Ketiga - D
- Tali Keempat - G
Menurut Encik Wahid bin Bahari, kompas atau jarak di antara not
yang paling rendah kepada yang paling tinggi yang boleh dimainkan dengan biola
adalah 31/2 oktaf iaitu mulai dari not ke bawah di tali keempat terbuka (Not G)
kepada (Not D) yang dipicit di tali pertama hampir kekuda alat itu. Suara atau
bunyi biola dihasilkan dengan menggunakan penggesek kayu (bow) yang dipasang dengan tali-tali halus biasanya dari ekor kuda.
Manakala pada masa sekarang ia diperbuat daripada tali nylon.
Menurut Encik
Abdul Rahman bin Basuni, ketua Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden, Kampung
Olak Lempit, Banting, adakalanya ia boleh dipetik (pizzicato) seperti memetik tali gitar untuk mengeluarkan bunyi yang
berbeza daripada digesek. Tetapi ia jarang dilakukan di dalam muzik klasik.
Peranan Biola
Manakala menurut Encik Bakri Darus, pemimpin kumpulan Badan Budaya
Seri Kayangan (BBSK) Klang atau Kombo Keretapi Tanah Melayu (KTM) pula, peranan
biola adalah sebagai pemimpin atau sebagai alat yang membawa melodi. Adakalanya
ia memainkan iringan secara counter
melody atau melodi pengiring. Selain itu, ia boleh digunakan sebagai permulaan
lagu mengikut gubahan atau susunan lagu. Hal ini selalunya dibuat semasa
memainkan lagu-lagu jenis keroncong asli.
Kata beliau, pemain
keroncong haruslah bersefahaman dengan pemain alat pembawa melodi yang satu
lagi supaya tidak timbul pertelingkahan sesama sendiri. Jika tidak hasil
persembahan akan menjadi tidak kemas dan kurang teratur. Biasanya masing-masing
akan muncul ke tengah atau bermain secara solo atau berseorangan untuk membawa
melodi atau meneruskan permainan secara perlahan di belakang atau tidak
seharusnya menonjol. Hal ini sama juga dilakukan semasa penyanyi sedang
menyanyi.
Menurut Encik Wahid bin Bahari, kebiasaannya pemain biola ini berperanan
sebagai pemimpin dan dia akan memainkan melodi apabila berhenti sementara
daripada menyanyi di tengah-tengah lagu. Pemain biola juga haruslah mengkaji
dan memahami cara mengiringi yang bercorak keroncong iaitu ada not-not hiasan
(bunga-bunga), asli yang digunakan dalam permainan muzik keroncong sahaja.
Corak yang pelbagai ini diperolehi dari penghayatan dari seorang pemain biola
terhadap seni muzik keroncong melalui pengalaman atau pendedahan kepada seni
itu.
Nada panjang pendek biola
Ujar beliau
lagi, belum ada lagi satu teori mengenainya seperti yang terdapat dalam cara at leap
dalam muzik Barat. Pada masa ini sudah ada percubaan untuk menulis dengan
menggunakan notasi muzik tetapi ia agak susah kerana setiap pemain bermain
mengikut caranya tersendiri yakni mengikut coraknya yang bebas.
Sebuah biola
terdiri dari beberapa bahagian iaitu scroll,
peg box, pegs, fingerboard, tali
(strings), soundboard, bridge, f-hole, tuner, tail piece, chin rest, dan end button (Corbeil, 1987: 477). Badan
biola terdiri dari dua papan berbentuk melengkung, umumnya permukaan biola
dibuat dari kayu spruce (sejenis kayu
cemara) yang dipahat sehingga memiliki bentuk simetris (Nawang, 2009: 19).
Apabila dilihat, terdapat dua lekukan di badan biola yang menyerupai huruf C
pada kedua sisinya. Lekukan ini berfungsi untuk memberikan ruang bagi penggesek
biola (bow) untuk bergerak. Pada
permukaan atas biola terdapat dua lubang resonansi (f-hole) yang berbentuk menyerupai huruf F. Leher biola (neck) biasanya dibuat dari kayu mapel (Nawang, 2009: 20). Pada bahagian
ini terdapat papan jari (fingerboard)
yang biasanya dibuat dari kayu eboni
(Carvello, 1991: 133). Kayu eboni
sering dipilih kerana sifatnya keras dan tahan lama.
Bahagian tengah
biola terdapat sound post yang
dipasang di dalam badan biola (Sadie, 2002: 703). Sound post ini berfungsi sebagai penahan jambatan biola (bridge). Lengkungan di bahagian atas bridge berfungsi untuk menahan tali
supaya dapat digesek sendiri-sendiri ataupun secara bersamaan. Selain itu, bridge juga berfungsi untuk
menghantarkan getaran suara dari tali ke badan biola.
Biola mempunyai
empat tali yang masing-masing mempunyai penalaan berbeza, iaitu g, d’, a’, dan
e”. Dahulu tali dibuat dari perut binatang, tetapi lama kelamaan pembuatan tali
mulai dikembangkan dengan cara dicampur dengan logam (Nawang, 2009: 24). Hasil
yang diperoleh dari proses ini adalah tali lebih kuat, lebih padat, dan lebih
seimbang sehingga menghasilkan volume
yang lebih besar. Sekarang ini tali biola dibuat dari besi padat, besi untingan,
atau berbagai bahan sintetik yang dilapisi dengan bermacam-macam logam untuk
menyesuaikan massa, diameter, dan kadar airnya (Nawang, 2009: 25). Tali
berbahan sintetik ini lebih sensitif dengan perubahan kelembaban.
Sebuah biola
dilengkapi dengan penggesek biola (bow)
yang berfungsi untuk menghasilkan suara atau nada. Gesekan yang dihasilkan oleh
tali dan penggesek biola (bow)
menyebabkan tali bergetar dan menghasilkan nada. Perancang penggesek biola (bow) moden adalah Francois Tourte
(Carvello, 1991: 136). Penggesek biola (bow)
terdiri dari beberapa bahagian, iaitu point,
stick (kayu penggesek), hair (bubat), nut, dan screw (sekrup)
(Corbeil, 1987: 478). Pada hujung bawahnya terdapat screw yang digunakan untuk mengetatkan hair sewaktu digunakan untuk bermain dan untuk mengendurkan hair pada waktu akan disimpan. Di sisi screw tersebut juga terdapat pegangan
untuk jari. Jika busur biola rajin digosok dengan rosin akan membuatkan cengkaman
busur ke tali menjadi lebih stabil dan dapat membantu teknik getaran (Nawang,
2009: 23).
Biola mempunyai register dari nada g-e’’’’, tetapi register yang boleh dihasilkan dengan
baik dari nada g-b’’’ (c’’’’) (Harmunah, 2004: 76).
a. Teknik Permainan Biola
Kemampuan
seorang pemain biola untuk memainkan sebuah karya muzik harus didukung oleh keterampilan
dalam menguasai sebuah alat muzik. Hal ini bertujuan supaya pemain dapat
memainkan sebuah karya muzik sesuai dengan apa yang diharapkan oleh komponis,
baik secara intonasi mahupun ekspresi pembawaannya. Pada permainan biola
diperlukan kepekaan solfegio yang
baik agar bunyi dapat dihasilkan tepat sesuai dengan tinggi-rendahnya nada (pitch). Menurut Banoe (2003: 384), solfeggio merupakan kaedah latihan
pendengaran. Solfegio menjadi hal
yang sangat penting kerana alat muzik biola tidak memiliki fret (garis-garis papan nada) seperti pada alat muzik gitar sebagai
penanda untuk menentukan tinggi-rendahnya nada (pitch).
Untuk mengetahui
letak suatu nada dengan intonasi yang benar diperlukan latihan terus menerus
sehingga jari-jari tangan kiri dapat secara automatik menekan nada-nada yang
diinginkan dengan intonasi tepat. Selain itu, seorang pemain biola juga harus
berlatih berulang-ulang mendengar nada untuk mempertajamkan daya pendengaran
sehingga dapat membezakan nada-nada dengan intonasi yang kurang tepat walaupun
hanya sedikit saja.
Teknik permainan
biola meliputi kelincahan jari tangan kiri dalam memainkan nada-nada yang
berpengaruh pada intonasi dan kekuatan tangan kanan untuk menggesek biola yang
sangat berpengaruh pada suara terutama tone
colour, panjang pendek nada dan volume
yang dimainkan.
- Legato
adalah cara main secara bersambung sebagai lawan staccato (Banoe, 2003: 248). Menurut Sukohardi (2001: 54) legato adalah garis lengkung yang
ditempatkan di atas atau di bawah nada, yang menghubungkan dua nada atau
lebih. Dari pendapat tersebut dapat disimpulkan bahawa legato adalah teknik memainkan nada
untuk menghasilkan suara yang menyambung dan tidak terputus-putus dalam
satu gesekan.
- Staccato
adalah cara main pendek-pendek, yang ditandai dengan satu titik di atas
atau di bawah sebuah not bersangkutan (Banoe, 2003: 392). Sedangkan
menurut Sukohardi (2001: 55) staccato
adalah tanda untuk memendekkan bunyi suatu nada. Dari pendapat tersebut
dapat disimpulkan bahawa staccato
adalah teknik memainkan nada untuk menghasilkan suara yang pendek-pendek
dan putus-putus dengan letak hair
penggesek tetap menempel pada tali.
- Detache
adalah terpisah; terputus-putus (Kodijat, 2004: 28). Detache adalah teknik menggesek dengan terputus-putus dan
penggesek tidak diangkat dari tali, setiap nada satu gesekan.
- Spiccato
adalah teknik gesekan biola dengan sentuhan penggesek yang
dilompat-lompatkan, caranya sama cepat namun jatuh gesekan dengan teknik detache (Banoe, 2003: 390). Dalam
teknik ini tiap nada dimainkan dengan cara melompat-lompatkan penggesek
untuk menghasilkan suara yang sangat pendek.
- Glissando
adalah teknik permainan muzik dengan cara menggelincirkan satu nada ke
nada lain yang berjarak jauh secara berjinjang baik jinjang diatonik mahupun kromatik (Banoe, 2003: 166). Glissando merupakan teknik
membunyikan nada dengan memainkan serentetan nada menyambung secara cepat
dan halus.
- Tremolo
adalah getar; bergetar; cara main dengan menggetarkan nada; pukulan roffel pada drum; gesekan pendek bolak-balik pada kedudukan nada tertentu
dengan kecepatan tinggi (Banoe, 2003: 419). Dalam permainan biola, teknik tremolo adalah teknik gerakan bow naik dan turun dengan sangat
cepat, biasanya dimainkan di bahagian hujung penggesek.
- Pizzicato
adalah dengan cara dipetik; teknik permainan alat muzik dawai dengan cara
dipetik (Banoe, 2003: 337). Pizzicato
adalah teknik memainkan nada dengan cara memetik tali. Teknik ini tidak
hanya dimainkan pada tangan kanan, namun boleh juga dimainkan pada tangan
kiri. Dalam sebuah karya muzik, setelah ada tanda pizzicato biasanya terdapat tanda arco. Menurut Banoe (2003: 30) arco adalah gesek; digesek. Cara main dengan digesek. Arco dalam permainan biola ertinya
sesudah permainan pizzicato tali
kembali digesek menggunakan penggesek (bow).
- Accent
adalah aksen; tekanan (Kodijat, 2004: 2). Accent terletak di atas atau di bawah nada. Accent adalah memainkan nada dengan
cara memberikan penekanan pada nada tertentu.
- Col
legno adalah perintah memainkan alat muzik gesek dengan dibalik,
bukan digesek dengan dawai geseknya melainkan dengan belakang penggesek
sesuai dengan tuntutan komposisi bagi mendapatkan kesan suara seram
(Banoe, 2003: 248). Dalam permainan biola, col legno merupakan teknik tangan kanan iaitu menggesek biola
dengan menggunakan belakang penggesek (bahagian kayu).
- Double
stop adalah teknik permainan alat muzik berdawai, yakni dengan
cara menekan dua dawai sekali gus (Banoe, 2003: 122). Double stop dalam teknik tangan kanan adalah teknik memainkan
biola dengan cara menggesek dua nada secara bersamaan sehingga
menghasilkan bunyi akor. Selain dua nada, tiga atau empat nada juga boleh
dimainkan secara bersamaan masing-masing disebut triple stop dan quadruple
stop.
Selain teknik
permainan tangan kanan, teknik permainan tangan kiri mempunyai peranan yang
sangat penting kerana berhubungan dengan intonasi dan kecepatan tangan kiri
dalam menekan nada-nada.
- Penjarian adalah tata jari; petunjuk
penggunaan jari (Banoe, 2003: 145). Kode penjarian biola untuk tangan kiri
menggunakan kode angka, iaitu 0, 1, 2, 3, dan 4. Kode angka 0 digunakan
untuk memainkan nada dalam kedudukan tali terbuka (jari tidak menekan tali).
Kode angka 1 untuk jari telunjuk, kode angka 2 untuk jari tengah, kode
angka 3 untuk jari manis, dan kode angka 4 untuk jari kelingking.
- Double
stop adalah teknik permainan alat muzik berdawai, yakni dengan
cara menekan dua dawai sekali gus (Banoe, 2003: 122). Selain terdapat di
dalam teknik tangan kanan, double
stop juga terdapat di dalam teknik tangan kiri. Double stop dalam teknik tangan kiri adalah teknik memainkan
biola dengan cara menekan dua nada secara bersamaan sehingga menghasilkan
bunyi akor.
- Vibrato
adalah bergetar, dengan gelombang getaran menurut pilihan pemain atau
sesuatu nada tertentu (Banoe, 2003: 430). Vibrato merupakan teknik tangan kiri, iaitu menggerakkan jari tangan
kiri yang menekan pada tali dengan cepat secara maju mundur sehingga
menimbulkan suara bergetar.
- Ornamen
adalah suatu simbol dalam notasi muzik, yang berfungsi sebagai hiasan
nada-nada dalam sebuah karya muzik (Mudjilah, 2004: 68). Menurut Banoe (2003:
313) ornament adalah hiasan;
nada hias. Berikut adalah beberapa penjelasan tentang ornamen:
- Acciaccatura
adalah nada hiasan yang ditulis dengan simbol not kecil dengan garis
melintang (miring) tepat pada not tersebut, cara memainkan nada hias
tersebut iaitu dimainkan tepat sebelum jatuh ketukan (Mudjilah, 2004:
68).
- Appogiatura
adalah nada hiasan yang ditulis dengan simbol not kecil tanpa garis
melintang, cara memainkan nada hias tersebut iaitu dimainkan tepat pada
ketukan sehingga nada pokok yang mendapat nada hias menjadi bergeser
(Mudjilah, 2004: 69).
- Gruppetto
adalah nada hiasan yang terdiri dari empat nada, iaitu nada atas, nada asas,
nada bawah, dan nada asas (Mudjilah, 2004: 71). Menurut Banoe (2003: 174)
gruppetto adalah not hias (ornamen) berupa lambang berbentuk
huruf S yang diletakkan melintang pada sebuah not tertentu.
- Mordent
adalah nada hiasan yang terdiri dari tiga nada, iaitu nada asas, nada
atas, dan nada asas (Mudjilah, 2004:70). Menurut Banoe (2003: 281) mordent adalah not hiasan (ornamen) yang ditandai dengan
lambang garis patah-patah di atas not tertentu.
- Trill
adalah nada yang dimainkan secara bergantian dengan nada terdekat di atasnya
dan dimainkan secara cepat (Banoe, 2003: 420). Trill ditandai dengan tanda di atas not tertentu.
b. Teknik Permainan Biola Keroncong
Teknik permainan
biola yang digunakan dalam muzik keroncong pada dasarnya menggunakan gaya
pembawaan vokal keroncong (Harmunah, 1987:24). Adapun teknik permainan tersebut
adalah seperti berikut:
1. Teknik cengkok
Teknik cengkok
merupakan salah satu teknik yang menjadi ciri khas muzik keroncong. Setiap
pemain biola keroncong menggunakan teknik ini dalam setiap permainannya sebagai
ciri dan gaya pembawaan permainan biola keroncong. Cengkok ialah nada hiasan yang
memperkembangkan kalimat lagu, ertinya mengisi, memperindah, dan menghidupkan
kalimat lagu (Harmunah, 1987: 28). Kadang-kadang teknik cengkok tidak tertulis
dalam partitur tetapi dimainkan
secara improvisasi.
2. Teknik gregel
Teknik gregel
ialah hiasan yang terdiri dari dua nada dan bergerak cepat (Harmunah, 1987:
28). Seperti teknik cengkok, teknik gregel kadang-kadang juga tidak tertulis
dalam partitur tetapi dimainkan
secara improvisasi.
3. Teknik
nggandul
Menurut Soeharto
(1996: 103), dalam muzik keroncong, nggandhul bermakna jatuhnya nada sengaja
dibuat tidak tepat dengan ketukan tetapi sengaja dibuat agak sedikit terlambat.
Teknik nggandul dalam permainan biola keroncong merupakan teknik gaya pembawaan
melodi-melodi iaitu bermain dengan ketukan lebih lambat dari ketukan dasarnya
yang tertulis dalam notasi atau sedikit tidak tepat dengan tempo.
2. Seruling Atau Flute
Seterusnya menurut Encik Bakri Darus, seruling
juga dikenali sebagai flute
dipercayai telah digunakan sejak kurun ke-12 lagi. Tetapi dari dahulu lagi seruling
atau flute juga digunakan untuk alat
muzik yang hampir sama bentuknya, cuma ia ditiup pada pangkal alat dan dipegang
tegak bukannya melintang seperti sekarang. Jenis itu dipercayai digunakan sejak
tahun 2000 Sebelum Masehi lagi. Mulai kurun ke-17 seruling atau flute telah memegang peranan penting
dalam pemainan muzik klasik dan gubahan yang memberikan seruling peranan
sebagai alat solo.
Seruling atau flute pada masa kini telah direka oleh
Theobald Beohm (1793-1881). Ia dibuat dengan berbagai jenis, yang kecil sekali
dikenali sebagai Picollo, yang besar sedikit dikenali sebagai Alto Flute yang
biasanya digunakan dalam gubahan klasik Barat. Alto Flute mengeluarkan bunyi
yang lebih rendah.
Kompas Flute
bermula dengan not C yang di bawah sekali kepada not yang tertinggi iaitu not
A, lebih sedikit 21/2 oktaf jaraknya.
Menurut Encik
Bunadi bin Ridzuan, pemimpin Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden, Jenjarom, alat
muzik seruling atau flute pada masa
kini tidak sama dengan seruling bambu atau seruling buluh. Seruling merupakan sejenis
alat muzik tradisional yang diperbuat daripada buluh manakala flute ini dibuat daripada perak atau
logam yang bersalut dengan perak. Selain itu, ada juga flute yang diperbuat daripada sejenis kayu hitam. Pada asalnya
permainan keroncong menggunakan seruling dan akhirnya ditukar kepada flute. Hal ini kerana pemain lebih bebas
bermain flute disebabkan oleh
kemampuan alat itu yang mempunyai kompas yang tinggi.
Peranan Flute
Menurut Encik
Bunadi bin Ridzuan seterusnya, peranan flute
sama seperti biola iaitu memainkan melodi dan juga mengiringi secara counter melody serta memainkan not-not
hiasan. Bunyi flute memberi keasyikkan
kepada peminatnya jika pemain mempunyai banyak pengalaman dan berkebolehan
dalam menggunakan aliran not bercorak keroncong. Adakalanya flute dan juga biola bermain secara duet
sama ada secara harmonik atau unisen.
3. Cuk
Menurut Dr
Ariff Ahmad, cuk merupakan satu alat yang diadaptasi daripada alat ukulele yang
diperkenalkan oleh pelajar-pelajar Eropah yang menjelajah di kawasan Timur pada
kurun ke-16. Cuk berperanan sebagai alat pengiring kerana ia cuma digunakan
untuk bermain kord-kord sahaja. Ukulele berasal daripada satu alat yang
dikenali dengan nama charanga yang dibawa
dari Eropah.
Menurut Encik Bakri Darus
pula, alat ini menggunakan 8 tali nilon yang mempunyai fungsi yang sama
dengan ukulele. Cuk dipasang dengan 3 atau 4 tali nilon dan larasnya boleh
ditukar ikut nada lagu. Pemain harus mahir menukar laras dengan cepat. Pemain
juga perlu menukar kedudukan jari untuk bermain kord-kord untuk lagu yang
dipersembahkan.
Peranan Cuk
Menurut Encik Bakri Darus
lagi, cuk dimainkan untuk mengiringi lagu secara kord, dipetik secara strumming. Cara itu sudah berubah kepada
memainkan secara petikan dan arpegio
dengan kord yang berasaskan kord yang sedang dimainkan. Terdapat juga kumpulan
keroncong yang menggunakan dua alat cuk dalam persembahan mereka. Biasanya
petikan tiap-tiap pemain berlainan dan biasanya bertingkah.
Laras tali cuk
adalah seperti berikut:
1. Untuk jenis
lagu yang menggunakan 4 tali yang berkembang secara madura.
- Tali Pertama - A
- Tali Kedua - B
- Tali Ketiga - C
- Tali Keempat - D
2. Untuk jenis 3
tali:
- Tali Pertama - E
- Tali Kedua - B
- Tali Ketiga - G
Ada beberapa
cara memetik cuk sambil mengiringi lagu-lagu mengikut kemahiran pemain. Asasnya
adalah seperti berikut:
4. Cak
Cak ialah satu
alat muzik pengiring dalam permainan keroncong. Ia bergabung dengan alat cuk
dan bertingkah. Pada masa dahulu alat yang digunakan untuk mengiringi keroncong
adalah banjo atau mandolin dan alat itu dimainkan dengan
cara memetik not asas pada kord yang dimainkan dengan cara tertentu.
Peranan Cak
Menurut Tuan
Haji Mohd Khir bin Ghazali, pemimpin Kumpulan Keroncong Warisan, Teluk Panglima
Garang, cak memainkan kord menggunakan rentak up beat. Cak direka baru oleh pemuzik Indonesia berbentuk
seakan-akan cuk tetapi menggunakan 3 tali dawai yang berpasangan seperti mandolin.
Tiada lubang bulat pada badan alat tetapi digantikan dengan lubang-lubang
kecil. Dengan itu suara yang dihasilkan lebih nyaring dan tinggi.
Laras tali cak
adalah mengikut kesukaan pemain biasanya adalah seperti berikut:
- Tali Pertama - A
- Tali Kedua - B
- Tali Ketiga - C
Jika tali
pertama ditukar nadanya, maka tali kedua dan ketiga ditukar mengikut susunan di
atas. Cara petik cak biasanya bertingkah dengan cuk tetapi ditukar coraknya
sedikit untuk menyedapkan persembahan.
5. Gitar
Alat
gitar yang digunakan adalah jenis kotak atau akustik dan menggunakan tali dawai
untuk tali pertama dan kedua. Tali ketiga hingga keenam dibuat daripada dawai
yang dibalut dengan logam. Tali nylon
tidak digunakan kerana ia tidak mengeluarkan suara yang sesuai.
Menurut Encik Wahid bin Bahari, pemimpin Kumpulan Keroncong Gema Sari,
Kampung Kancong Darat, Banting, gitar memainkan iringan yang berbentuk counter melody atau adakalanya rangkaian
not-not yang naik ke atas menurun berasaskan kod yang dimainkan. Kord saja yang
jarang dipetik melainkan untuk memberi tekanan kepada sesuatu lagu ataupun pada
permulaan lagu.
Melaras tali
gitar adalah seperti biasa iaitu:
- Tali pertama - E
- Tali kedua - B
- Tali ketiga - G
- Tali keempat - D
- Tali keenam - E
Peranan Gitar
Cari menjari
kord adalah seperti biasa, walaupun tidak selalu dimainkan. Kebanyakkan pemain
gitar keroncong bermain sekitar tali pertama, kedua dan ketiga sahaja. Menurut Encik Wahid bin Bahari lagi, pemain lebih
banyak menggunakan jari telunjuk, jari tengah dan jari manis sahaja.
Kebiasaannya pemain gitar kurang menonjol. Biasanya alat cuk berbunyi lebih
jelas.
6. Cello
Menurut Encik Bakri Darus, cello
ialah alat yang tergolong dari keluarga biola tetapi dalam keroncong asli ia
dipetik (pizzicato) dan mempunyai
peranan yang lebih dinamik dan lincah untuk menambahkan ketegasan rentak.
Kini cello telah diubah dengan menggunakan tiga tali sahaja. Hal ini untuk
memudahkan ia dimainkan kerana biasanya hanya tiga tali sahaja yang digunakan.
Menurut Encik Bakri Darus, di
Indonesia terdapat syarikat yang membuat cello khas untuk keroncong. Alat cello
pertama kali diperkenalkan pada tahun 1572 direka oleh Andrea Amati dari
Cremona. Cello dilaras mengikut pilihan pemain.
Laras cello yang
menggunakan empat tali ialah:
- Tali pertama - C
- Tali kedua - G
- Tali ketiga - D
- Tali keempat - A
Laras cello yang
menggunakan tiga tali ialah:
- Tali pertama - C
- Tali kedua - G
- Tali ketiga - D atau C (bawah)
Peranan Cello
Menurut Encik
Bunadi bin Ridzuan, pemimpin Kumpulan Sri Gabungan Keroncong Moden, Jenjarom, cello
adalah alat yang menggantikan gendang yang digunakan dalam muzik gamelan.
7. Double Bass
Seterusnya,
menurut Encik Bunadi bin Ridzuan lagi, double bass merupakan alat
terbesar dalam keluarga biola dan mula terkenal pada awal kurun ke-16. Ada
pelbagai saiz double bass yang
digunakan mengikut kehendak pemain. Tali double
bass diperbuat daripada dawai dan juga nylon.
Double bass merupakan alat yang
paling mudah dimainkan kerana ia menekankan rentak seperti yang dilakukan oleh
gong dalam gamelan. Ia dilaras mengikut laras biasa jika menggunakan 4 tali iaitu:
- Tali pertama - G
- Tali kedua - D
- Tali ketiga - A
- Tali keempat - E
Laras double bass tiga tali iaitu:
- Tali pertama - G
- Tali kedua - D
- Tali ketiga - A
Peranan Double Bass
Menurut Encik
Wahid bin Bahari, double bass biasanya
hanya dimainkan satu bit sahaja dalam satu bar. Adakalanya, ia dimainkan pada
bit pertama atau ketiga pada bit pertama, ketiga dan keempat. Cara terakhir itu
diberi nama cara ‘rumba’. Pemian double bass selalunya akan bermain tidak lebih dari apa yang ditetapkan.
Jika tidak ia akan mengganggu cello.
JENIS-JENIS MUZIK KERONCONG
Terdapat empat
jenis muzik keroncong iaitu:
- Keroncong Asli
- Keroncong Langgam
- Keroncong Ekstra
- Stambul
- Stambul 1
- Stambul 2
Menurut Encik Bakri Darus, lagu-lagu
keroncong dicipta mengikut jenis-jenis yang sudah ditetapkan iaitu keroncong
asli satu dan dua, keroncong langgam, stambul 1 dan 2 dan keroncong ekstra.
Ujar beliau, keroncong
asli hanya menggunakan 28 bar sahaja iaitu tidak termasuk intro dan terdiri dari 3 bahagian. Pada permulaan lagu hanya satu
atau dua alat solo sahaja dimainkan dan ianya menggunakan tempo bebas. Penutup
lagu ataupun dipanggil coda, ianya
sama sahaja dengan permulaan iaitu menggunakan satu atau dua alat solo sahaja.
Manakala pada bar ke 8 dan 9 ianya mempunyai selingan. Muzik keroncong asli
tidak diulang dan menggunakan key major.
Seterusnya ialah
keroncong langgam. Menurut Tuan Haji Mohd
Khir bin Ghazali, muzik keroncong langgam mempunyai bentuknya tersendiri.
Jumlah bar yang terdapat dalam keroncong langgan ialah 32 bar tidak termasuk
permulaan dan penutup. Ianya menggunakan tanda masa 4/4, manakala bentuk atau form keroncong langgam ialah A A B A.
Ianya berbeza dengan keroncong asli dari segi menggunakan alat semasa
permulaan. Keroncong langgam tidak dimulai dengan alat solo dan tidak mempunyai
bridge. Keroncong langgam menggunakan
tanda nada major atau minor.
Stambul juga
dikategorikan dalam jenis-jenis ciptaan. Menurut Encik
Wahid bin Bahari, terdapat 2 jenis stambul iaitu stambul satu dan dua. Jumlah
bar yang digunakan oleh stambul satu ialah 16 bar dan menggunakan tanda masa
4/4. Lagu stambul satu tidak begitu terkenal kerana lagunya pendek dan biasanya
tidak meninggalkan kesan. Stambul satu menggunakan form A B. Intro dan
penutup adalah bebas. Stambul satu dimainkan dengan tempo yang sederhana dan
berbunyi sedih.
Stambul dua pula
hampir sama dengan stambul satu tetapi jumlah barnya adalah 16x2 iaitu 16 bar
pertama diulang. Stambul dua menggunakan tanda masa 4/4 dan bentuk formnya A B.
Senikatanya berupa rangkap pantun, ada juga yang tidak menggunakan patun
sebagai senikata. Ianya bebas menggunakan alat solo atau suara tanpa iringan
muzik.
Selain itu, menurut Encik Bakri Darus, keroncong
ekstra adalah lagu-lagu yang diadaptasikan daripada lagu-lagu tradisional atau
rakyat yang sudah ada. Ianya bersifat riang dan jenaka. Keroncong ekstra sangat
terpengaruh oleh bentuk-bentuk lagu tradisional. Ianya tidak mempunyai bentuk
tertentu pada jumlah bar atau rangkapnya oleh kerana lagu asal boleh diambil
dari mana-mana sahaja.
Manakala
menurut Dr Ariff Ahmad,
muzik keroncong lebih condong pada progresi akord dan jenis alat yang
digunakan. Sejak pertengahan abad ke-20 telah dikenali paling tidak tiga macam
keroncong, yang dapat dikenali dari pola progresi akordnya. Bagi pemuzik yang
sudah memahami alurnya, mengiringi lagu-lagu keroncong sebenarnya tidaklah
susah, sebab cukup menyesuaikan pola yang berlaku. Pengembangan dilakukan
dengan menjaga konsistensi pola tersebut. Selain itu, terdapat pula
bentuk-bentuk campuran serta adaptasi.
1. Keroncong Asli
Menurut Encik Bakri Darus, keroncong asli memiliki bentuk lagu A - B - C. Kebanyakan dibawakan
sebanyak dua kuplet utuh (dari atas). Alur chordnya seperti tersusun di bawah,
iaitu:
*| I , , , | I , , , | v , , , | V , , , | II , , ,
| II , , , | V , , , | V , , , | V , , , | V , , , |
*| IV , , ,| IV , , ,|IV , , , | V , , , | I , , , |
I , , , | V , , , | V , , , | I , , , | IV , V , |
*| I , , , | IV , V , | I , , ,| I , , , | V , , , |
V , , , | I , , ,|
Keroncong asli kadang-kadang juga dimulai oleh
prospel terlebih dahulu. Prospel adalah seperti intro yang mengarah ke nada
atau chord awal lagu, yang dilakukan
oleh alat muzik melodi seperti seruling atau flute, biola, atau gitar.
2. Langgam
Menurut Tuan
Haji Mohd Khir bin Ghazali pula, bentuk lagu langgam ada dua versi. Yang pertama ialah A - A - B - A
dengan pengulangan dari bahagian A kedua. Beza sedikit pada versi kedua, yakni
pengulangannya terus pada bahagian B. Meski sudah memiliki bentuk baku, namun
pada perkembangannya irama ini lebih bebas diekspresikan. Penyanyi serba boleh
Hetty Koes Endang misalnya, beliau sering merakam lagu-lagu bukan keroncong dan
langgam menggunakan irama yang sama, dan kebanyakan tetap dinamakan langgam.
Alur chord-nya seperti berikut:
*| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , ,
| I , , , | I , , , |
*| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , ,
| I , , , | I , , , |
*|IV , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | II , , ,
| II , , , | V , , ,| V , , ,|
*| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , ,
| I , , , | I , , , |
Bentuk adaptasi keroncong terhadap tradisi muzik gamelan
dikenali sebagai langgam Jawa, yang berbeza dari langgam yang dimaksudkan di
sini. Langgam Jawa memiliki ciri khusus pada penambahan instrumen antara lain
siter, kendang (boleh diwakili dengan modifikasi permainan cello ala kendang),
saron, dan adanya bawa atau suluk berupa introduksi vokal tanpa instrumen untuk
membuka sebelum irama dimulai secara utuh.
3. Stambul
Stambul merupakan jenis keroncong yang namanya
diambil dari bentuk sandiwara yang dikenali pada akhir abad ke-19 hingga separuh
awal abad ke-20 di Indonesia dengan nama komedi stambul. Nama ‘stambul’ diambil
dari Istambul di Turki.
Stambul memiliki dua jenis progresi akord yang
masing-masing disebut sebagai Stambul I dan Stambul II. Stambul dimulai oleh
penyanyi itu sendiri, atau intro lagu
bukan dari alat muzik melainkan dari penyanyi tanpa iringan instrumen terlebih
dahulu.
4
TOKOH DAN PENGGIAT SENI MUZIK KERONCONG SELANGOR
SEMENJAK seni
muzik keroncong bertapak di bumi Tanah Melayu khususnya dan di negeri Selangor
amnya, ramai tokoh penggiat seni ini muncul. Kemunculan mereka telah
menyemarakkan dunia seni keroncong dengan pelbagai bentuk aktiviti tersendiri
sehingga ada yang diberi anugerah tertentu hasil dari usaha yang telah mereka
sumbangkan.
TOKOH PENGGIAT SENI KERONCONG AWAL
Menurut Dr
Ariff Ahmad, penggiat keroncong kebanyakannya berasal dari Singapura dan
penglibatan awal mereka adalah dalam kumpulan-kumpulan yang memainkan alat
muzik pada ketika itu. Pengiat seni muzik keroncong ini berasal dari keluarga
yang menetap di kawasan kampung. Oleh kerana itu, mereka mudah terdedah kepada
muzik keroncong yang banyak dimainkan oleh masyarakat terutamanya golongan tua
pada masa itu.
Dengan
pendedahan sebegitu, minat dalam jiwa mereka terhadap lagu keroncong telah
menyebabkan mereka ingin belajar lebih mendalam terhadap muzik keroncong.
Mereka bermula dengan mempelajari not-not muzik, kemudian bermain alat muzik
dan akhirnya menghasilkan lagu keroncong. Pendedahan yang besar terhadap lagu
keroncong pada masa dahulu telah memudahkan penggiat seni muzik keroncong ini
menghasilkan lagu keroncong dan diterima oleh semua golongan masyarakat pada
ketika itu. Ditambah pula dengan kekurangan genre muzik lain, muzik keroncong
mendapat tempat di hati masyarkat pada masa itu dan menggalakkan lagi penggiat
seni muzik keroncong untuk menghasilkan lagu keroncong.
Kini lagu
keroncong ciptaan mereka masih lagi kedengaran di corong-corong radio tetapi
kurang mendapat sambutan daripada masyarakat dan seni muzik keroncong ini masih
diteruskan oleh beberapa nama baru seperti Tan Sri S. M Salim dan M. Nasir sehingga
kini. Antara tokoh-tokoh awal penggiat seni keroncong ialah:
1. Johar Bahar
Lagu Selamat Tinggal Bungaku kini menjadi
ucapan terakhir kepada penciptanya, Allahyarham Johar Bahar kepada dunia seni
dan orang yang disayangi. Sejak diciptakan pada 1948, Selamat Tinggal Bungaku tidak pernah usang. Hasil karya ini menjadi
khazanah seni dan salah satu daripada lagu yang meniupkan semangat cintakan
tanah air kepada yang menghayatinya.
Selamat Tinggal Bungaku adalah sebuah
karya roman perjuangan yang dalamnya ada nilai-nilai romantis dan kecintaan
kepada negara. Irama daripada sentuhan Allahyarham Johar Bahar yang lembut
telah menghantar semangat juang yang tinggi kepada perwira negara. Ketika
negara menjadi rebutan penjajah kemudian bertelingkah dengan saudara serumpun
Indonesia, kemudian pula diceroboh oleh tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu,
Sabah, irama dan lagu menjadi wadah untuk mencari ketenteraman, semangat dan
penawar kekecewaan. Di sinilah hadirnya manusia seperti Allahyarham Johar Bahar
yang bercakap dalam bahasa muziknya.
Malah lagu Selamat Tinggal Bungaku dihasilkan
daripada milieu zaman perang. Hal yang sama juga berlaku di Indonesia di mana
pencipta lagu-lagu patriotik mengambil pendekatan roman perjuangan. Allahyarham
Johar Bahar menjadi kesinambungan kepada Ismail Marzuki di Indonesia yang
banyak mencipta lagu-lagu patriotik yang popular di negara itu seperti Selendang Sutera, Melati Di Tapal Batas,
Bandung Selatan Waktu Malam dan
Terang Bulan Di Malaysia.
Tetapi ketika
menggelegak semangat berjuang, sebahagian besar lagu-lagu patriotik memilih
irama march yang rancak. Tetapi Allahyarham
Johar Bahar mencipta lagu berirama perlahan seperti keroncong untuk
menyemarakkan perjuangan. Menerusi lagu-lagu ciptaannya, Allahyarham Johar
Bahar memilih untuk menyemaikan kecintaan kepada keindahan negara sebagai pendekatan
patriotisme. Apa lagi dengan irama yang perlahan yang memberi ruang kepada
minda menterjemah laras kata dan seninya.
Biarpun Allahyarham
Johar Bahar telah hilang dari pandangan tetapi tetap subur di jiwa sebahagian
besar daripada kita. Karya lagu yang ditinggalkan menyeru kepada kecintaan
kepada keindahan alam negara ini dan kasih sayang kepada manusianya. Allahyarham
Bahar Johar telah menghembuskan nafas terakhir, pada hari Sabtu tanggal 24
September 2005 pada usia 84 tahun sebenarnya telah lama ‘hilang’ apabila
keuzuran membataskan rutin hidupnya. Tetapi Allahyarham terus berbakti kepada
negara ini apabila kita terasa betapa indahnya negara yang satu ini dalam lagu Banjaran Titiwangsa, Gunung Kinabalu atau Malaysia Tanah Airku.
Hati kita pasti
akan berdetik dan berkata, “Oh indahnya tanah airku” sebaik saja selesai
mendengar lagu Banjaran Titiwangsa
yang dinyanyikan semula oleh Broery Marantika akhir tahun 1980-an lalu. Malah
kita juga pasti terasa betapa cinta itu menjadi obor perwira ke perbatasan
apabila menghayati lagu Pahlawanku
nyanyian Saloma dan Selamat Tinggal
Bungaku dinyanyikan oleh Tan Sri S.M Salim, Mariam Ahmad dan juga
Allahyarham Rafeah Buang.
Bagi penulis,
Allahyarham Johar Bahar yang dilahirkan pada 25 Februari 1921 itu adalah seorang
nasionalis. Allahyarham berjuang dengan mencipta lagu bercorak patriotik kendatipun
memilih irama yang perlahan dan romantis. Allahyarham Johar Bahar tentu percaya
bahawa irama yang lembut juga boleh membuatkan manusia dibakar semangat
perjuangannya.
Biarpun Allahyarham
Johar Bahar telah lenyap daripada pandangan kita tetapi peninggalannya akan
terus memberi manfaat terhadap penghayatan kepada tanah air. Lagu-lagunya
adalah karya besar yang tidak akan mengalah dek peredaran zaman, tidak luput
dalam lipatan sejarah.
Ketika ini
mungkin namanya tidak kerap disebut. Tetapi setiap kali lagunya berkumandang di
radio, orang akan mendapat manfaat sekurang-kurang membuatkan mereka berfikir
sejenak tentang negara ini. Selain meninggalkan khazanah muzik, Allahyarham
Johar Bahar juga meninggalkan anak didiknya yang tidak kurang hebatnya.
Antaranya ialah Datuk Ibrahim Bachik dan Datuk Johari Salleh. Sementara salah
seorang anaknya iaitu Profesor Madya Khairil Johari Johar menjejaki langkahnya
hingga menjadi ahli akademik dalam bidang muzik.
Keindahan seni
kata dan irama lagu Banjaran Titiwangsa,
Malaysia Tanah Airku atau Gunung
Kinabalu adalah hujan emas di negera kita, hujan batu di negara orang. Pesan
orang tua-tua, harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama.
Tetapi apalah yang ada pada nama kalau tanpa khazanah yang ditinggalkan untuk
dimanfaatkan zaman berzaman kemudiannya? Justeru itu Allahyarham Johar Bahar bukan
saja telah meninggalkan nama, Allahyarham juga telah meninggalkan pesan supaya
kita mencintai negara ini. Allahyarham juga telah meninggalkan ceritera tentang
kasih sayang sesama manusia yang tertera dalam syahdunya susun atur irama serta
baik senikatanya.
Apa kata mereka
tentang Allahyarham Johar Bahar:
1. Tan Sri Dato’ S. M Salim
Tan Sri Dato’ S.
M Salim atau nama sebenarnya Salim
Sheikh Mohammad, berkata lirik lagu Selamat
Tinggal Bungaku ciptaan Johar Bahar yang liriknya dihasilkan oleh Hasnah
Mohd. Yunus itu menyentuh perasaan kerana ia menggambarkan isi hati perajurit
yang terpaksa berpisah dengan orang tersayang. Sebenarnya lagu itu sering
dinyanyikan oleh Orkes Rindu Malam dan S. M Salim sendiri selalu menyanyikan
lagu tersebut setiap kali diundang mengadakan persembahan menghiburkan
perajurit di seluruh negara. Waktu itu lagu tersebut belum dirakamkan dalam
mana-mana album.
“Lama kelamaan,
lagu itu seperti sudah sebati dan saya pun minta izin untuk merakamkannya pada
tahun 60-an. Allahyarham Johar Bahar bersetuju,” ujar S.M Salim. Menurut S.M
Salim, dia mengenali Allahyarham Johar Bahar kerana mereka sama-sama bekerja di
Radio Televisyen Malaysia (RTM). Katanya, sepanjang tempoh mengenali Allahyarham,
belum sekali dia melihat Allahyarham meninggikan suara atau bermasam muka
dengan orang lain. Sebab itu, kata S. M Salim, dia sering mencari ruang
mengusik Allahyarham dan menunggu masa untuk melihat Allahyarham naik angin.
“Allahyarham
adalah seorang yang pendiam tetapi disenangi oleh semua orang kerana dia jenis
yang tidak suka ambil tahu hal orang lain. Dia akan buat kerja dia sahaja. Saya
sering tertunggu-tunggu nak tengok wajahnya bila marah. Tetapi sampai akhir
hayatnya, saya tidak berpeluang melihat,” ceritanya lagi. Tegasnya, Allahyarham
Johar Bahar amat kental dengan semangat patriotik dan pegangannya itu
disalurkan menerusi lagu. “Allahyarham adalah seorang anak seni jati.
Karya-karyanya lahir daripada jiwa dan sebab itulah lagu-lagu ciptaannya mampu
bertahan hingga kini. Bezanya lagu ciptaan Allahyarham banyak berentak
keroncong,” katanya.
2. Datuk Ibrahim Bachik
Sementara itu
seorang lagi aktivis seni yang rapat dengan Allahyarham Johar Bahar ialah Datuk
Ibrahim Bachik. Menurut Datuk Ibrahim Bachik, dia mula mengenali Allahyarham
Johar Bahar pada tahun 1968 ketika bertugas di Radio Malaysia, Bahagian Melayu
di Rumah Persekutuan. Perkenalannya dengan Allahyarham amat erat.
“Apabila kami
dipindahkan ke Angkasapuri, saya bertugas sebagai juruhebah dan Johar pula di
bahagian perpustakaan. Dia juga yang banyak memberi dorongan kepada saya untuk
menghasilkan lagu-lagu berirama puisi,” katanya. Malah sewaktu bertugas sebagai
Penerbit Rancangan Orkestra di radio, Datuk Ibrahim Bachik banyak memberi
peluang kepada Orkestra Bertali Johar Bahar mengadakan persembahan setiap
minggu. Datuk Ibrahim Bachik yang merupakan guru vokal bebas untuk korporat
atau individu itu berkata bahawa kebanyakan lagu ciptaan Johar Bahar lahir
daripada jiwa.
Katanya, sebagai
pemimpin orkestra, Johar Bahar tidak pernah garang dengan pemuzik atau
penyanyi. Sebaliknya, kalau mana-mana ahli melakukan kesilapan, dia akan tegur
dengan nada bergurau. “Sikapnya yang susah marah itu membuatkan dia disenangi
oleh semua orang. Selain itu satu lagi tanda yang dia ada berhampiran kita
adalah bau cerutnya,” katanya sambil tersenyum. Baginya, Allahyarham Johar Bahar
adalah seorang komposer dan sahabat yang sukar untuk dicari ganti.
3. Jamaluddin Alias
Jamaluddin
Alias, penyanyi lagu-lagu patriotik menganggap usaha dan kesungguhan Allahyarham
Johar Bahar yang lebih mesra dengan panggilan Abang Jo dalam memupuk semangat
cintakan tanah air sukar dicari ganti. “Kelebihan Allahyarham sebagai komposer
lagu patriotik ialah penghayatan beliau semasa mencipta sesebuah lagu yang
mampu menyentuh emosi pendengar. Semua lagu beliau cukup hebat. Sebagai
penyanyi, saya dapat menghayati keindahan melodi serta menyelami liriknya
setiap kali mengalunkan hasil ciptaan beliau,” katanya.
Walau memiliki
kebolehan serta bakat dalam bidang seni, kata Jamaluddin, Allahyarham Johar
Bahar seorang yang tidak kedekut ilmu serta tidak pernah menolak apabila ada
sesiapa meminta tunjuk ajar. Jamaluddin mendapat bimbingan Allahyarham Johar
Bahar ketika menyertai Orkes Rindu Malam pimpinan arwah pada 1955. “Terlalu
banyak kenangan saya bersama arwah. Walau beliau seorang yang pendiam, tetapi
kami akrab bagaikan adik-beradik. Lagipun kami sama-sama tinggal di Kampung
Semarang, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Masa lapang banyak dihabiskan bersama
untuk berlatih menyanyi dan sebagainya. Dengan bimbingan arwah juga saya muncul
sebagai juara Bintang Radio 1961 kategori irama langgam dan asli,” jelasnya.
Mengenali Allahyarham
Johar Bahar yang tidak gemar mencampuri urusan orang lain, katanya, hasil
gubahan beliau sering menjadi sanjungan penyanyi dan komposer Singapura dan
Indonesia. “Tetapi arwah bukan jenis yang suka menonjolkan diri atau merungut
itu ini. Dia hanya buat kerja dia tanpa banyak soal. Bagaimanapun, jasa beliau
dalam menaikan semangat patriotik melalui lagu-lagu wajar dikenang dan diberi
penghargaan yang sewajarnya,” katanya.
4. Datuk Johari Salleh
Bagi Datuk Johari
Salleh, Allahyarham Johar Bahar mempunyai gaya dan keistimewaan tersendiri
dalam mencipta lagu-lagu patriotik berirama perlahan. Mengenali Allahyarham Johar
Bahar sejak menyertai RTM pada 1961, katanya lagu-lagu beliau mampu memberi
semangat tanpa perlukan melodi rancak.
“Jika kebanyakan
lagu patriotik lain berentak rancak, Allahyarham lebih cenderung pada lagu-lagu
patriotik berirama sentimental sesuai dengan sifat beliau yang pendiam dan
lemah lembut. Itulah istimewanya ciptaan beliau. Walau berirama sentimental,
gubahannya terbukti mampu memupuk semangat patriotik dan menjadi ingatan dan
sanjungan hingga ke hari ini,” katanya.
Masing-masing
berkhidmat sebagai komposer di RTM, katanya, Allahyarham Johar Bahar banyak
memberi tumpuan pada muzik keroncong dan asli untuk rakaman siaran radio. Jarang
berbincang tentang muzik mahupun lagu-lagu gubahan masing-masing, hubungan
mereka lebih sebagai sahabat baik yang berterusan sehingga ke akhir hayat Allahyarham.
Kedua-duanya pernah bergabung tenaga dalam menghasilkan lagu Selamat Pergi Pahlawan semasa
Konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963.
“Allahyarham
lebih dihormati sebagai seorang yang lebih senior dan berpengalaman dalam
gubahan lagu-lagu patriotik. Beliau umpama mentor kepada komposer-komposer muda
dengan sikap beliau yang tidak lokek walau tidak begitu ramah serta lebih
memberi tumpuan kepada kerjanya,” jelasnya.
Mengenali Allahyarham
Johar Bahar yang sentiasa merendah diri, beliau tidak pernah merungut walau
hasil ciptaan beliau ke udara tanpa menyebut namanya sebagai komposer. Walau
jauh lebih berpengalaman, namun beliau sentiasa menghormati kebolehan
komposer-komposer muda serta suka membantu apa yang perlu. Kata Datuk Johari
lagi, kenangan paling manis apabila Allahyarham menyuarakan hasrat untuk
menamakan anaknya sempena nama beliau.
Bagi Datuk Johari
Salleh, itu merupakan satu penghormatan yang amat besar kerana komposer
berbakat seperti Allahyarham Johar Bahar, ingin menjadikannya sebagai idola
untuk anak beliau. Kini, ternyata impian tersebut bukan satu mimpi kerana
Profesor Madya Khairil Johari Johar bukan sahaja komposer, tetapi juga
pensyarah muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
5. Profesor Madya Khairil Johari Johar
Profesor Madya
Khairil Johari Johar (Ketua Jabatan Seni dan Persembahan di Universiti
Teknologi Mara Shah Alam, Selangor) pula memberitahu, bapanya yang dipanggil babah
itu seorang yang amat penyabar, tidak banyak cakap dan sangat merendah diri. “Dia
tidak menonjol tetapi amat kreatif. Sayang sekali, dia tidak sempat mencipta
lagu untuk menceritakan tentang kegemilangan Putrajaya,” kata Khairil.
Profesor Madya
Khairil Johari Johar yang juga aktif dalam penciptaan lagu serta banyak
menyertai pertandingan mencipta lagu mengakui, bapanya menjadi mentor dan
pendorong utamanya dalam bidang penciptaan. “Babah selalu berpesan jika mahu
mencipta lagu, ciptalah irama dan lirik yang mudah tetapi berkesan. Babah juga
banyak mengajar saya tentang erti kesabaran. Katanya, kalau buat sesuatu mesti
sabar. Mungkin itu juga yang membuatkan dia mempunyai jati diri yang tinggi,”
kata Profesor Madya Khairil Johari Johar.
Malah bagi
Profesor Madya Khairil Johari Johar, walaupun nama bapanya tidak segah seniman
lain namun dia yang berkelulusan dari Berklee School Of Music, Boston, Amerika
Syarikat ini tetap berbangga apabila saban tahun lagu ciptaan bapanya seperti Malaysia Tanah Airku berkumandang dan
didendangkan dalam setiap acara sambutan hari kemerdekaan.
2. Zubir Said
Zubir Said
dilahirkan pada 22 Julai 1907. Beliau merupakan anak sulung kepada seorang
penghulu bernama Mohamad Said bin Sanang. Beliau memulakan karier muziknya di
Singapura pada awal tahun 1930-an dengan kumpulan bangsawan City Opera. Kerjaya
sebagai pemimpin Orkestra Studio Malay Film Production (MPF) milik Shaw
Brothers bermula pada tahun 1949 di mana beliau banyak menghasilkan lagu-lagu
untuk filem. Lebih dikenali sebagai Pak Zubir, beliau dianggap guru kepada
ramai penggubah lagu termasuk P. Ramlee.
Lagu-lagu
ciptaan beliau kebanyakkannya berunsurkan tradisional, moden dan patriotik.
Antara lagu-lagu Zubir Said yang popular sehingga hari ini ialah lagu Sayang Disayang nyanyian asal Rubiah dan
telah dirakamkan semula oleh Katrina Dahari. Zubir Said juga menghasilkan
lagu-lagu untuk kanak-kanak seperti Semoga
Bahagia, Orang Singapura dan satu kejayaan besar dalam hidupnya ialah lagu
ciptaan beliau Majulah Singapura
telah dipilih sebagai lagu kebangsaan Republik Singapura. Zubir Said meninggal
dunia pada tahun 1987 di Singapura. Antara lagu keroncong Zubir Said yang
terkenal ialah Sayang Disayang.
Sayang Disayang
Angin menderu
Dahan jatuh menimpa batu
Kuburan... kuburan
Murai terkejut berkicau-kicauan
Langit mendung diliputi awan
Alamat bumi disirami hujan
Sayang disayang
Hatiku rindu
Orang jauh tak lupa dari
Kenangan… kenangan
Fikiran kusut berisau-risauan
Sakit untung ditinggalkan abang
Ibarat kapal tidak berhaluan
Sayang disayang
Angin menderu
Dahan jatuh menimpa batu
Kuburan... kuburan
Murai terkejut berkicau-kicauan
Langit mendung diliputi awan
Alamat bumi disirami hujan
Sayang disayang
Hatiku rindu
Orang jauh tak lupa dari
Kenangan… kenangan
Fikiran kusut berisau-risauan
Sakit untung ditinggalkan abang
Ibarat kapal tidak berhaluan
Sayang disayang
3. Ahmad Ja’afar
Ahmad Ja’afar
dilahirkan di Sumatera, Indonesia pada 30 Ogos 1919. Bapanya seorang ejen wayang
gambar bisu sementara bapa saudaranya pula ialah seorang tukang biola yang
menjadi penghias lagu-lagu hiburan semasa filem-filem bisu ditayangkan.
Penglibatan seriusnya dalam bidang muzik bermula setelah berhijrah ke Singapura
pada tahun 1946. Perkenalannya dengan pemuzik Osman Ahmad memudahkan laluannya
untuk menjadi pemuzik di kota tersebut.
Pada tahun 1950,
beliau berpeluang mencipta lagu Ibu
sebagai lagu tema filem yang sama tajuknya dan dinyanyikan oleh P. Ramlee.
Beliau kemudian diberi kepercayaan menghasilkan lagu-lagu untuk filem Penghidupan dan beberapa buah lagu lagi.
Antara lagunya yang masih segar ialah Selamat
Hari Raya nyanyian biduanita Saloma.
Lagu-lagu
ciptaannya turut didendangkan oleh Ahmad Daud, Nona Asiah, dan R Azmi. Ahmad Ja’afar
pernah mengasaskan Orkes Rayuan Kencana yang amat popular pada tahun 1950-an
kerana sering diundang oleh Radio Malaysia di Singapura. Beliau turut memimpin
Orkestra HMV untuk mengiringi rakaman lagu-lagu P. Ramlee ke piring hitam.
Beliau kini mengajar muzik setelah bersara dari Perbadanan Penyiaran Singapura
pada tahun 1992.
4. P. Ramlee
P. Ramlee
dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Rabu, Hari Raya Aidilfitri, 22 Mac 1929,
dengan nama asal Teuku Zakaria merupakan anak tunggal kepada pasangan Teuku Nyak
Puteh dan Che Mah Hussin. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu
Kampung Jawa, seterusnya di Penang Free School sehingga Free School sehingga
Perang Dunia Kedua di mana beliau memasuki sekolah tentera Laut Jepun (Kaigun).
Penglibatan P.
Ramlee dalam dunia muzik bermula dengan menganggotai pancaragam ‘Sinaran
Bintang Sore’ pancaragam ‘Teruna Sekampung’ seterusnya berpindah ke pancaragam ‘Mutiara’
dan menggabungkan diri dengan pancaragam keroncong pemuda Indonesia sebagai
pemain biola utama. Kariernya dalam bidang seni muzik bermula selepas menang
dalam pertandingan nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang di mana beliau dilamar oleh
B.S. Rajhans seorang pengarah filem dari Shaw Brothers, Singapura.
Di Studio Malay
Film Production, Jalan Ampas Singapura, P. Ramlee ditugaskan sebagai penyanyi
latar (playback singer) kepada S. Rommai
Noor. Beliau berlakon dalam filem pertamanya iaitu Chinta dan diberi peluang untuk mengarah filem pertamanya, Penarik Beca yang membawa anugerah ‘Pengarah
Terbaik’ pada tahun 1956.
P. Ramlee
menimba ilmu dalam bidang seni muzik dari komposer veteran seperti Zubir Said,
Osman Ahmad dan Yusof B. Selain mencipta dan menggubah lagu, P. Ramlee juga
menulis lirik bagi lagu-lagu ciptaannya. Oleh kerana hambatan tugas beliau
meminta rakan setugasnya untuk membantu menulis lirik lagu iaitu S. Sudarmaji,
Jamil Sulong, H. M. Rohaizad dan muridnya, Yusnor Ef.
Air Mata Di Kuala Lumpur merupakan lagu
perpisahannya sementara Laksamana Do Re
Mi adalah filem terakhir beliau. Sepanjang hayatnya beliau telah berlakon dalam
66 filem, mengarah 37 filem, mencipta banyak lagu di mana 250 buah lagu telah
menjadi popular. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat serangan sakit
jantung.
5. Wawang Wijaya
Seniman ini
barangkali namanya tidak sesohor seniman-seniman lain yang kita kenali. Namun,
kekebalan jiwanya terhadap kesenian keroncong membuatkan Wawang Wijaya muncul
sebagai satu-satunya pemuzik tersohor yang tiada tolok bandingnya di rantau Nusantara.
Sebilangan besar
rakyat Malaysia kurang kenal siapa itu Wawang Wijaya. Andai yang mengenali
seniman ini sekalipun, mereka barangkali, orang-orang yang pernah rapat dengan
beliau, individu yang pernah berguru dengannya atau penonton dan peminat setia
beliau. Sayang sekali, Wawang sudah tiada lagi di muka bumi ini untuk terus
mengalunkan muzik keroncong yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Bahkan, kerugian
besar dapat dirasakan oleh para karyawan muzik muda khususnya serta
pengkaji-pengkaji muzik Melayu kerana di dada Wawang Wijaya sarat dengan ilmu
yang boleh mengajak kita untuk sama-sama meningkatkan apresiasi terhadap
kesenian muzik serantau umumnya dan tentunya keindahan muzik keroncong.
Berdasarkan
perbualan penulis dengan beberapa orang kenalan Allahyarham Wawang Wijaya,
beliau lebih banyak memberi tumpuan terhadap kerja-kerja kesenian seperti
memenuhi undangan bermain muzik di acara-acara yang melibatkan tokoh-tokoh
kenamaan negara. Wawang Wijaya juga sangat gemar berkongsi ilmu dan mengajar
dan mengasah bakat anak-anak muda dalam muzik keroncong serta mengajar di
pusat-pusat pengajian tinggi selain diundang memberikan ceramah mengenai
keroncong adalah keutamaannya.
Sebetulnya,
pengaruh lelaki yang dilahirkan di Jogyakarta, Indonesia pada penghujung era
penjajahan Jepun ini sangat besar dalam perkembangan muzik keroncong di rantau
ini. Lalu, bukan sesuatu yang mengejutkan pemergian Wawang Wijaya ke rahmahtullah akan terus dikenang di
kalangan rakan-rakan rapat serta sebilangan besar tokoh-tokoh kenamaan negara
yang sering dihiburkan oleh seniman yang berasal dari negara jiran itu.
“Saya pasti akan
merindui beliau. Allahyarham banyak membantu saya mengasah bakat dalam bidang
nyanyian khususnya lagu-lagu keroncong. Sebagai seorang guru, banyak ilmu dan
nasihat Allahyarham yang akan menjadi bekalan buat saya selama-lamanya,” ujar
Jamilah Abu Bakar, salah seorang anak murid yang sangat dikasihi Allahyarham Wawang
Wijaya.
Hubungan Wawang
dengan Jamilah Abu Bakar bukan sekadar hubungan guru dan anak murid, sebaliknya
sudah seperti saudara kandung. Masakan tidak, keluarga Jamilah khususnya ayah
dan ibunya, Abu Bakar Ismail serta Kamariah Che’ Soh sudah begitu akrab dengan
Allahyarham sementelah Wawang sebatang kara di Malaysia.
“Oleh kerana
beliau bersendirian di sini, maka kami antara yang mempunyai hubungan rapat
dengan Allahyarham. Cuma, saya serta isteri dan Jamilah agak sedih dan ralat
kerana tidak berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas terakhir,” kata
Abu Bakar. Kesedihan Abu Bakar ada sebabnya kerana Wawang Wijaya disedari
meninggal dunia sendirian di kediamannya di sebuah apartmen di Apartmen
Lestari, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor oleh polis yang memecah masuk
pintu rumahnya.
Beberapa jam
sebelum meninggal dunia, Abu Bakar ada menerima panggilan telefon daripada
Allahyarham Wawang Wijaya memaklumkan kelas muzik keroncong Jamilah terpaksa
dibatalkan memandangkan beliau kurang sihat. Itulah perbualan terakhir antara
Abu Bakar dengan Allahyarham Wawang Wijaya. Sebetulnya persahabatan antara Abu
Bakar sekeluarga dengan Allahyarham Wawang Wijaya bermula pada 2007 pada acara
Festival Pertandingan Akhir Keroncong Remaja Peringkat Negeri Selangor di Shah
Alam.
Mengimbas
kenangan silam itu, Abu Bakar berkata, pada malam itu Jamilah yang baru berusia
11 tahun dijemput sebagai penyanyi undangan menyampaikan dua buah lagu
keroncong, Stambul Baju Biru dan Sate Kajang. “Kami diperkenalkan kepada
Wawang Wijaya oleh tokoh pemuzik keroncong tanah air, Abdullah Safri. Tertarik
dengan persembahan nyanyian Jamilah, Wawang Wijaya menawarkan diri untuk
melatih anak saya,” kata Abu Bakar bercerita detik permulaan perkenalan dengan
Allahyarham Wawang Wijaya.
Kasih sayang
sebagai seorang guru terhadap anak muridnya terpancar pada peribadi Allahyarham
Wawang Wijaya yang begitu mengagumi minat Jamilah kerana jarang sekali Wawang Wijaya
bertemu dengan si kecil yang mempunyai kecenderungan pada muzik keroncong. Keakraban
itu juga membuatkan Wawang Wijaya menganggap Jamilah seperti anak kandungnya
sendiri dan memanggil anak muridnya itu dengan panggilan Puteri. Jamilah dan
Wawang Wijaya juga sering bersama-sama memenuhi undangan persembahan di banyak
tempat.
Biarpun jasad
Wawang Wijaya sudah tiada lagi, namun dalam diri Abu Bakar dan Jamilah
terutamanya, kekentalan semangatnya, ketabahannya menghadapi pancaroba
kehidupan seorang diri tetap bersemadi dalam sanubari mereka.
Mengimbas
kembali fasa kehidupan Wawang, apa yang perlu pembaca ketahui mengenai seniman
ini ialah beliau didedahkan dengan muzik keroncong melalui datuknya. Pada tahun
1977, Wawang Wijaya berhijrah ke Kuala Lumpur dan semenjak itu, beliau aktif
dengan kumpulan keroncong O.K. Malindo (sebuah kumpulan keroncong dari Melaka
yang dianggotai oleh pemuzik-pemuzik keroncong Indonesia dan Malaysia).
Selang tujuh
tahun, Wawang Wijaya ditawarkan sebagai pensyarah keroncong Indonesia di
Universiti Teknologi Mara dan pada tahun 1995 di Universiti Sains Malaysia.
Beliau juga antara pengasas Orkes Keroncong Putra Malaysia yang pernah diundang
mengadakan persembahan di Belanda pada tahun 2003 dan 2005. Ketika di sana
juga, beliau bersama rombongan yang lain mengadakan persembahan di Den Haag.
Dalam satu
tulisan beliau, Allahyarham Wawang Wijaya pernah menyuarakan kebimbangan
terhadap minat dan kecenderungan masyarakat terhadap muzik keroncong yang sudah
semakin pudar. Paling utama, beliau ada mempersoalkan ke mana destinasi masa
depan muzik keroncong seandainya minat dan kecenderungan generasi muda terhadap
genre muzik itu sudah berakhir.
PENERUS SENI KERONCONG
Di negeri
Selangor ada beberapa buah kumpulan penggiat seni muzik keroncong yang masih
aktif mempersembahkan irama keroncong dalam setiap persembahan mereka.
Kumpulan-kumpulan penggiat tersebut adalah seperti Kumpulan Gema Sari, dipimpin
oleh Encik Wahid bin Bahari yang bertapak di Kampung Kancong Darat, Kuala
Langat, Kumpulan Warisan, diketuai Tuan Haji Mohd Khir bin Ghazali yang
bertapak di Sijangkang, Telok Panglima Garang, dan Kumpulan Sri Gabungan
Keroncong Moden diketuai Encik Bunadi bin Ridzuan bertapak di Jenjarom.
Juga Kumpulan
Seri Warisan Cempuling Moden yang diketuai Encik Abdul Rahman bin Basuni
bertapak di Olak Lempit, Banting, Kumpulan Gema Irama diketuai Bakri bin Darus
bertapak di Meru, Klang, Kumpulan Keroncong Lukisan diketuai Samsudin Mohammad
bertapak di Ampang, Kumpulan Keroncong Bunga Mawar diketuai Encik Mohd Yatim
bin Haji Shukor bertapak di Bestari Jaya, Kumpulan Keroncong Carmala diketuai
Encik Hashim bin Malek bertapak di Shah Alam, termasuk satu lagu kumpulan iaitu
Kumpulan Keroncong Port Klang yang diketuai Encik Harry bin Ismail bertapak di
Pelabuhan Klang.
1. Kumpulan Gema Sari
Kumpulan Gema Sari
telah ditubuhkan pada tahun 2004 oleh Encik Wahid bin Bahari. Encik Wahid bin
Bahari yang dilahirkan pada tanggal 3hb Februari 1949 di Kampung Kancong Darat,
Kuala Langat kini sudah berusia 64 tahun dan mula berkecimpung dalam bidang
muzik sejak di bangku sekolah menengah lagi. Ketika itu beliau bersama-sama
rakan-rakannya bergiat dalam kugiran. Kugiran pertama yang beliau tubuhkan
bersama rakan-rakannya mengetengahkan lagu-lagu pop dan beberapa tahun kemudian
barulah bertukar kepada irama keroncong.
Beliau bertukar
ke irama keroncong kerana amat meminati irama ini yang katanya begitu lembut
dan sarat dengan ketenangan. Sewaktu ditubuhkan, Kumpulan Gema Sari terdiri
daripada Encik Yahya Osman (sudah meninggal dunia) selaku pemain cak dan cuk,
Encik Wahid sendiri sebagai pemain ukulele, Encik Mohd Salleh pemain biola,
Encik Mohd Sehap pemain gitar, dan Encik Jumi bin Misran pemain double bass dan cello. Dua orang
penyanyi kumpulan ini ialah Encik Mohd Rais dan Cik Yong Mohd Salleh (anak
kepada Encik Mohd Salleh, pemain biola).
Sepanjang
Kumpulan Gema Sari berdiri sebagai sebuah kumpulan seni muzik keroncong,
kumpulan ini telah mengadakan pelbagai persembahan di seluruh negara. Sekitar
tahun 1960-an kumpulan ini telah diberi kesempatan untuk memberikan persembahan
mereka di kelab-kelab malam sekitar bandar raya Kuala Lumpur, Kelang dan
Petaling Jaya. Sekitar tahun 1970-an mereka beralih ke rumah-rumah kenduri, fun-fare dan juga menerima undangan
organisasi-organisasi kerajaan. Sekitar tahun 1980-an, kumpulan ini mengorak
langkah ke hotel-hotel di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Petaling Jaya.
Antara penyanyi
terkenal yang pernah diiringi oleh Kumpulan Gema Sari ialah Allahyarham Dato’
Ahmad Jais, Mariam Ahmad, Raftah Bahik, Samsudin Lamin, Dato’ Malik Ridzuan,
Alias Shah, Lela Shahrin dan juga Ana Rafali. Menurut Encik Wahid bin Bahari,
sekitar tahun 1970-an, kumpulan ini menerima bayaran sekitar RM700-RM800 pada
setiap kali persembahan namun kini telah bertambah melebihi RM2,000 mengikut
jarak ke tempat persembahan.
2. Kumpulan Warisan
Kumpulan Warisan
mempunyai keahlian seramai 15 orang dan diketuai Tuan Haji Mohd Khir bin
Ghazali. Kumpulan ini bertapak di Lot 1450, Lorong Bahagia Batu 8, Kg. Sijangkang 42500 Teluk Panglima Garang,
Selangor. Kumpulan ini sering
mengadakan persembahan bukan saja di sekitar daerah Kuala Langat tetapi juga di
seluruh negeri Selangor. Di samping mengadakan persembahan muzik keroncong,
Kumpulan Warisan juga sering membuat rakaman untuk penyanyi-penyanyi baru.
Lagu-lagu yang dirakam merupakan lagu-lagu lama yang diberi nafas baru termasuk
juga lagu-lagu keroncong dan asli.
Sehingga kini Kumpulan Warisan telah menjelajah seluruh negeri
Selangor, Perak, Melaka dan juga Negeri Sembilan untuk memenuhi undangan
persembahan di pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, majlis anjuran
pelbagai organisasi, majlis keraian dan juga majlis-majlis sambutan perayaan
tertentu.
3. Kumpulan Seri Warisan Cempuling Moden
Kumpulan Seni Warisan Cempuling Moden Olek Lempit mempunyai keahlian seramai 20 orang. Kumpulan ini diketuai Encik Abdul Rahman bin Basuni bertapak di Batu 39, Kg. Olak Lempit Banting, 42700 Kuala Langat, Selangor. Setiausaha kumpulan ini ialah Encik Abd. Rahman bin Abd.
Rahim.
Kumpulan Seni Warisan Cempuling Moden Olek Lempit bukan saja terkenal
di daerah Kuala Langat tetapi juga terkenal di lain-lain daerah berdekatan
seperti Sepang, Hulu Langat dan juga Klang. Kumpulan ini sering dijemput untuk
mengadakan persembahan dalam pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, majlis
anjuran pelbagai jabatan dan organisasi. Asalnya Kumpulan Seri
Warisan Cempuling Moden ini adalah kumpulan keroncong asli namun apabila
permintaan terhadap lagu-lagu keroncong semakin berkurangan, kumpulan ini
bertukar kepada kontemporari namun masih mengekalkan identiti keroncong dalam
setiap persembahan mereka.
4. Kumpulan Gema Irama
Kumpulan Gema
Irama merupakan sebuah kumpulan keroncong yang tidak asing lagi di sekitar
daerah Klang, Selangor. Kumpulan ini diketuai Ahmed Bakri bin Mat Darus
bertapak di Lot 5340, Jln
Dato’ Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru 42200 Klang, Selangor. Setiausaha kumpulan ini ialah
Puan Raftah Bachik, seorang penyanyi lagu-lagu keroncong yang tidak asing lagi
di negara kita.
Sehingga kini Kumpulan Gema Irama telah menjelajah seluruh negeri Selangor, untuk
memenuhi undangan persembahan di pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan,
majlis anjuran pelbagai organisasi, majlis keraian dan juga majlis-majlis
sambutan perayaan tertentu. Kumpulan ini juga sering mendapat pelbagai tempatan
sama ada di hotel-hotel mahupun di majlis-majlis orang kenamaan.
5. Kumpulan Keroncong Lukisan
Kumpulan Keroncong Lukisan mempunyai keahlian seramai 15 orang dipengerusikan oleh
Encik Samsudin Mohammad. Kumpulan Keroncong Lukisan bergerak aktif di E-3-11, Pangsapuri Sri Melor,
Jalan Ukay Perdana 4, Taman Ukay Perdana, 68000 Ampang, Selangor.
Sepanjang Kumpulan Keroncong Lukisan berdiri
sebagai sebuah kumpulan seni muzik keroncong, kumpulan ini telah mengadakan
pelbagai persembahan di seluruh negara. Kumpulan ini telah diberi kesempatan
untuk memberikan persembahan mereka di pelbagai program anjuran orang-orang
kenamaan dan juga menerima undangan organisasi-organisasi kerajaan.
6. Kumpulan Keroncong Bunga Mawar
Kumpulan Keroncong Bunga Mawar mempunyai keahlian seramai 15 orang dan diketuai Encik Mohd Yatim bin Haji Shukor. Kumpulan ini bergiat aktif di
alamat Batu 8, Kampung Asahan, 45600 Batang Berjuntai,
Selangor.
Sehingga kini Kumpulan Keroncong Bunga Mawar telah menjelajah seluruh
negeri Selangor, untuk memenuhi undangan persembahan di pelbagai majlis seperti
majlis perkahwinan, majlis anjuran pelbagai organisasi, majlis keraian dan juga
majlis-majlis sambutan perayaan tertentu. Kumpulan ini juga sering mendapat
pelbagai tempatan sama ada di hotel-hotel mahupun di majlis-majlis orang
kenamaan.
7. Kumpulan Keroncong Carmala
Kumpulan Carmala yang beralamat di No. 604, Blok 9 Seksyen 7, 40000
Shah Alam, Selangor
merupakan sebuah kumpulan seni muzik keroncong yang bergerak aktif sejak sekian
lama. Kumpulan ini mempunyai keahlian seramai 15 orang dan diketuai Encik Hashim bin Malek.
Seperti kumpulan-kumpulan seni muzik keroncong yang lain, sehingga kini
Kumpulan Keroncong Bunga Mawar juga telah menjelajah seluruh negeri Selangor,
untuk memenuhi undangan persembahan di pelbagai majlis seperti majlis
perkahwinan, majlis anjuran pelbagai organisasi, majlis keraian dan juga
majlis-majlis sambutan perayaan tertentu. Kumpulan ini juga sering mendapat
pelbagai tempatan sama ada di hotel-hotel mahupun di majlis-majlis orang
kenamaan.
Pengggiat Individu
Sehingga kini,
lagu keroncong masih lagi dimainkan oleh penggiat seni yang meminati muzik
keroncong di persada seni muzik Malaysia. Dengan adanya penerus-penerus yang
masih memperjuangkan seni muzik ini seperti M. Nasir, Tan Sri S.M. Salim,
Katrina Dahari, Yusni Hamid dan ramai lagi, lagu keroncong tidak akan berkubur
begitu sahaja dan ianya akan terus dikenali oleh generasi akan datang. Syarikat
EMI (M) Bhd merupakan syarikat yang masih giat merakamkan lagu-lagu keroncong
yang dihasilkan oleh penggiat-penggiat seni masa kini.
Manakala penerus
seni muzik keroncong yang dapat dipaparkan dalam kajian ini antaranya ialah
Allahyarham Dr Ariff Ahmad, Raftah Bachik, Dato’ M. Nasir, Mariam Ahmad dan
Samsudin Lamin.
1. Allahyarham Dr Ariff Ahmad
Allahyarham Dr. Ariff
Ahmad ialah seorang yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan merupakan
seorang karyawan tamu di Unit Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau
telah menceburkan diri dalam bidang kesenian selama 40 tahun dan berkhidmat di
Radio Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan, Universiti
Malaysia, Institut Teknologi Mara dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selain menjadi
pensyarah, beliau juga pernah menerbitkan album dan filem untuk Radio Malaysia,
Filem Negara Malaysia dan Universiti Malaysia. Antara lain, beliau pernah
menerbitkan album sulung gesekan biola solo Hamzah Dolmat, album Gamelan Malaysia dan album Keroncong Selangor.
Sebagai seorang
penggiat seni muzik, beliau amat menggemari seni muzik keroncong. Hasil minat yang
mendalam terhadap muzik keroncong, beliau telah berjaya menghasilkan sebuah
buku yang bertajuk Seni Muzik Keroncong
dan diterbitkan di Malaysia oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.
Di dalam buku tersebut beliau menulis mengenai seni muzik keroncong, bentuk
asas seni muzik keroncong, perkembangan lagu keroncong, lirik lagu keroncong
dan nota lagu keroncong.
Antara lagu-lagu
yang telah beliau hasilkan ialah Alam
Ria, Batu Belah, Bukit Kayangan, Bukit Melawati, Bumi Ilhamku, Dalam Ingatanku,
Di Kala Senja, Empang Pecah, Jangan Menjeling, Suara Kasih, Yang Dipuja, Siapa
Itu, Di Samping Mu dan Tiada Tanda.
Semua lagu ini adalah hasil ciptaan beliau dan lagu yang dihasilkan adalah
bercorak Melayu.
2. Raftah Bachik
Raftah Bachik atau
nama sebenarnya Siti Ramlah Md Sotan, penyanyi veteran yang sinonim dengan
lagu-lagu asli dan keroncong sekitar tahun 1960-an sehinggalah sekarang. Walaupun
telah melalui perjalanan yang panjang dalam bidang seni, rasa cintanya terhadap
irama itu tidak pernah pudar. Semangatnya kuat untuk mempopularkan keroncong
dan asli walaupun ia kurang mendapat tempat di hati masyarakat kini.
Mengimbau
kembali detik-detik awal pembabitan beliau dalam bidang seni, Raftah Bachik
berkata dirinya amat bertuah kerana bapa dan bapa saudaranya berdarah seni.
Beliau mula menyanyi seawal usia 11 tahun lagi. Bapa beliau adalah pelakon
bangsawan manakala bapa saudara Bachik Abdul Hamid, adalah pemimpin Orkes
Rangkaian Seni Pelabuhan Klang. Waktu itu bapa saudara beliau sering membuat latihan
di rumahnya dan beliau pula selalu datang tengok. Dari situlah minat beliau
timbul dan bapa saudara beliau juga memahami minat beliau. Demikian ujar beliau
yang mengakui dua orang anak lelakinya turut meminati bidang seni.
Tambahnya, bapa
saudaranya yang bertanggungjawab menggilap bakat seni beliau sehinggakan nama
Raftah itu pun diberi olehnya. Dengan bimbingan bapa saudaranya, Raftah Bachik bersama
Orkes Rangkaian Seni Pelabuhan Klang selalu mengadakan persembahan dengan
menyanyikan lagu Gadis Remaja, Oh Bulan
dan sebagainya selain lagu asli dan keroncong.
Menurutnya,
tahun 1966 mencatatkan kenangan paling indah buatnya apabila menjuarai Bintang
Radio seluruh Malaysia. Waktu itu beliau membawa lagu Bacang Manis. “Alhamdulillah sejak menjadi juara rezeki semakin
murah dan saya sering menerima jemputan. Undangan menyanyi semakin meluas
seperti di hotel-hotel, di Istana Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Istana
Negara,” katanya yang mula menjejak kaki ke Radio Malaysia pada usia 15 tahun.
Menurut Raftah Bachik,
sepanjang membuat persembahan beliau akan diiringi Badan Budaya Seri Kayangan
(BBSK) Klang atau Kombo Keretapi Tanah Melayu (KTM) di bawah pimpinan suaminya,
Bakri Darus. Beliau juga pernah menyertai Kumpulan The Wanderes awal tahun 1963
di bawah Ramlee Hashim dan hanya menjadi anggota kumpulan itu pada lewat tahun
60-an. Manakala dengan J Sham yang turut menjadi penyanyi utama The Wanderes,
kumpulan itu sempat menghasilkan tiga EP (piring hitam) dari tahun 1968 hingga
1970.
Mengimbas
kembali perjalanan seninya, Raftah Bachik berkata banyak pengalaman manis yang
sukar dilupakan oleh beliau sehingga kini. “Paling manis apabila saya diberi
peluang menyanyi di depan Almarhum Sultan Selangor. Saya bukan setakat menyanyi
malah bersyair tentang riwayat keluarganya. Pernah juga satu ketika saya
mengadakan persembahan di Kedah, seorang peminat menangis-nangis bila saya mula
menyanyi. Saya sendiri hairan kenapa dia boleh menangis dan saya rasakan
mungkin lagu itu ada kena mengena dengan dirinya,” katanya.
Menurut Raftah Bachik,
penyanyi generasi sekarang lebih beruntung berbanding zamannya dulu yang
terpaksa belajar sendiri jika ingin berjaya sebagai penyanyi. “Zaman saya dulu
semuanya kena lakukan sendiri sebab tidak ada televisyen. Nak belajar sesuatu
kena banyak dengar radio dan siaran ulangan,” katanya yang menyifatkan penyanyi
sekarang ini bertuah kerana semua kemudahan lengkap.
Tambah beliau
antara sebab beliau masih bertahan sehingga kini adalah berkat sokongan suami
dan anak-anak. “Walau sesibuk mana pun menerima undangan menyanyi, sebagai
isteri dan ibu, keluarga tetap menjadi keutamaan saya,” katanya. “Selagi saya
diterima dan masih sihat saya akan terus menyanyi,” katanya lagi yang pernah
merakamkan enam album dalam bentuk kaset dalam tahun 80-an secara solo, berduet
dan kompilasi lagu.
Beliau akan
terus memperjuangkan dan memperkembangkan muzik keroncong selaras dengan hasrat
Selangor menjadikan keroncong sebagai muzik identiti Selangor atau irama Selangor.
3. Mariam Ahmad
Muzik keroncong
mempunyai kelas dan kedudukan tersendiri berbanding dengan muzik pop yang lain.
Kerana muzik keroncong juga, nama penyanyi Mariam Ahmad tersebar di kalangan
kerabat diraja. Ini kerana Mariam Ahmad merupakan salah seorang penyanyi yang
sering diundang menyanyi di majlis yang membabitkan kerabat diraja. Sehingga
hari ini, Mariam antara pilihan utama kerana kemerduan suaranya setiap kali
mengalunkan lagu-lagu keroncong.
Mariam Ahmad
ketika dihubungi memberitahu, mungkin ini antara keistimewaan penyanyi
keroncong dan asli yang kelihatan tidak popular tetapi kerap muncul di
majlis-majlis rasmi di seluruh negara. “Ini penghormatan kepada saya dan
rakan-rakan yang menyanyikan lagu keroncong. Walaupun lagu ini agak terpinggir
tetapi keroncong tidak mati ditelan zaman,” ujar beliau.
Ketika
mengadakan persembahan, dia kerap membawakan lagu-lagu Rindu Malam, Sepasang Bola, Keroncong Kemayuran dan Keroncong Batik Lepas. Katanya, lebih
membanggakan lagi baginya apabila Kerajaan Negeri Selangor sendiri telah
memberi pengikhtirafan muzik keroncong. Ujar
Mariam, pengikhtirafan tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang amat
membanggakan kerana keroncong tidak lagi terpinggir dari kelompok muzik
popular.
Mengulas
mengenai pembabitannya sebagai penyanyi, Mariam Ahmad memberitahu
segala-galanya bermula ketika dia berada di alam persekolahan lagi hingga
memasuki Maktab Perguruan Perempuan Melayu Durian Daun, Melaka. Tetapi segala
pembabitannya dalam pertandingan nyanyian atau majlis keraian terpaksa
dirahsiakan daripada ibu bapanya kerana mereka tidak bersetuju dia terlibat
dalam dunia nyanyian.
Selepas
berkahwin dengan Allahyarham Yusuf Yunus, Mariam Ahmad mendapat kebenaran untuk
serius dalam bidang nyanyian kerana suaminya sendiri menggalakkan dia
berkecimpung dalam bidang seni suara. Malah selama tiga tahun berturut-turut,
Mariam menjuarai Pertandingan Bintang Radio Bahagian Keroncong pada tahun 1967,
1968 dan 1970. Katanya, selama dia menjadi penyanyi keroncong, hanya sekali dia
merakamkan lagu menerusi EP dan berduet bersama Abdullah Harun dengan judul EP
Ranjau Kasih. Rakaman tersebut dibuat pada akhir 60-an.
Mariam Ahmad
yang berasal dari Tanjung Bidara, Melaka yang telah pun bersara sebagai guru
sejak empat tahun lalu, kini memenuhi undangan menyanyi. Dia kini menetap di
Taman Maluri, Kuala Lumpur. Katanya, dia masih berminat untuk merakamkan sebuah
album keroncong dan asli tetapi sedar suasana muzik tempatan agak keberatan
menerima lagu keroncong. “Syarikat rakaman di Malaysia mungkin tidak berminat
untuk menerbitkan album keroncong kerana tidak ada pasaran. Tambahan pula
keroncong di negara ini tidak sehebat keroncong di Indonesia,” katanya.
Mariam berkata,
walaupun dia sudah lama menjadi penyanyi, dia tidak begitu berminat membenarkan
ketiga-tiga anaknya mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi. Katanya, jika
mereka berminat untuk bergelar penyanyi, mereka perlu mendalami ilmu muzik dari
bawah sebelum benar-benar mengambil keputusan menjadi penyanyi.
4. Dato’ M. Nasir
Dato’ M. Nasir
atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Bin Mohamad ialah seorang penyanyi,
penggubah lagu, pelakon serta pelukis yang menetap di Malaysia. Beliau dilahirkan
di Singapura pada 4 Julai 1957. Beliau juga dikenali dengan jolokan sifu dalam
industri muzik Malaysia. Selain itu, Dato’ M. Nasir merupakan pengasas Kumpulan
Kembara pada tahun 80-an dan beliau adalah pemilik Luncai Emas Sdn. Bhd.
Selaku komposer,
Dato’ M. Nasir merupakan insan yang bertanggungjawab terhadap kegemilangan artis-artis
terkenal tanah air antaranya Dato’ Siti Nurhaliza, Hattan, Misha Omar, Ziana
Zain dan Mawi. Antara lagu ciptaannya ialah Sekuntum
Mawar Merah, Mustika, Hati Emas, Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Lagu Jiwa Lagu
Cinta, Keroncong Untuk Ana dan lain-lain lagi.
Beliau juga
telah banyak merakamkan album antaranya Sang
Pecinta (2006), Kembara (1991), M. Nasir vs Ebiet G. Ade-Penyanyi Nusantara
(2002) dan Senandung Sayang duet
bersama Aishah (2001). Salah satu filem yang dibintanginya dan memberi impak
yang cukup besar kepada rakyat Malaysia ialah Puteri Gunung Ledang dan beliau memegang watak sebagai Hang Tuah yang
turut digandingkan dengan Datin Tiara Jacquelina.
Selain itu,
beliau juga merupakan salah seorang penggiat aktif yang meneruskan perjuangan
seni muzik keroncong di Malaysia. Lagu keroncong beliau yang paling popular
ialah Keroncong Untuk Ana. Oleh sebab
itu, minatnya terhadap lagu keroncong amat mendalam. Beliau telah menyanyikan
lagu Seri Kandi Cinta dalam versi
irama keroncong.
3.
Samsudin Lamin
Meskipun berusia 74 tahun, cinta penyanyi dan
pemuzik veteran, Samsudin Lamin terhadap lagu Melayu asli tidak pernah surut.
Sehingga kini, dia yang pernah mendapat bimbingan Tan Sri P. Ramlee terus giat
memperjuangkan lagu irama tradisional, malah ilmu diraih sepanjang lebih lima
dekad diwariskan kepada generasi muda yang berminat.
Bapa
empat anak, sembilan cucu dan tiga cicit ini gagah mengusahakan Bengkel Seni
Samsudin Lamin yang berdiri megah di laman kediamannya demi melahirkan pelapis
yang bakal menyemarakkan kembali irama tradisional yang kian terpinggir. Karier
seni Samsudin Lamin bermula dengan persembahan bangsawan pada tahun 1959. Bukan
saja memiliki suara yang bagus, Samsudin Lamin juga mampu bermain instrumen
tradisional dengan baik. Kelebihan dimiliki berjaya menarik perhatian ramai
penggiat seni zaman itu, tidak terkecuali Tan Sri P. Ramlee.
Samsudin
Laimn yang bekerjasama erat dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
menerusi program Seni Budaya Negara, meluahkan kebimbangannya terhadap genre
Melayu asli terutama genre keroncong yang kian suram dan pandangan sinis
generasi muda terhadap muzik yang sepatutnya menjadi kebanggaan negara.
“Selagi ada hayat, saya akan terus berjuang.
Terus-terang, saya risau melihat lagu Melayu asli makin terpinggir apabila
golongan muda lebih ghairah memuja pengaruh muzik asing. Jika tidak
diperkasakan, irama keroncong akan hilang dalam tempoh tidak lama lagi. Sewajarnya
kita berbangga dengan irama tradisional, tetapi sangat menyedihkan apabila ada
anak muda langsung tidak mahu mendengarnya. Kalau dulu, wujud macam-macam
program yang menyemarakkan irama tradisional seperti joget, ghazal, keroncong
dan sebagainya tetapi kini tidak lagi. Kalau ada pun, lebih kepada tarian. Saya
masih berpegang kepada pesanan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ketika mengiringi
persembahannya selama dua tahun, ‘pelihara irama Melayu asli kerana ia warisan
bangsa kita,” ujar beliau sewaktu diwawancara.
“P.
Ramlee mahu saya terus setia dengan irama ini meskipun zaman berubah. Saya
faham apa yang ingin dia sampaikan dan kerana itu masih perkembangkan irama ini
meskipun orang tak suka. Mungkin orang muda pandang rendah pada irama ini
tetapi tahukah mereka, genre ini juga boleh raih pendapatan lumayan? Saya
mendapat undangan menyanyi di banyak acara anjuran kerajaan dan majlis diraja.
Paling minimum, bayaran untuk dua lagu RM3,500. Tak mustahil satu hari nanti,
satu lagu RM5,000. Jadi siapa cakap lagu irama Melayu asli tidak ada harga dan
permintaan?”
LAGU-LAGU KERONCONG SELANGOR
1. Bukit Kayangan
Berdiri megah bersejarah
Suasana kini indah
Bukit Kayangan terkenal sudah
Bukit bertuah
Dipandang puncak jelas bersih
Mencapai awan putih
Bukit Kayangan bagaikan dicipta
Yang Maha Esa
Korus:
Tersergam indah istana raja
Bukit Kayangan terletaknya
Seperti mahligai kayangan
Dipandang
Berdiri megah serta gagah
Bentuknya yang terpilih
Bukit Kayangan tak berubah
Lambang pengasih
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
2. Semalam Di Morib
Teringat daku
Waktu duduk di sampingmu, sayang
Bagaikan syurga dalam dunia
Dilamun cinta
Baru semalam
Kita bertemu di Morib, sayang
Mata bertentang mmeberi salam
Cinta ajaib
Korus:
Di saat itu kita janji
Akan cuba lagi berjumpa
Tapi kini apa terjadi
Kau hilang tanpa kata
Ketika mana
Ombak memukul di pantai, sayang
Ingin kuserah jiwa raga
Kasih disemai
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
3. Pertemuan
Pertemuan pertama
Di persimpangan desa
Sewaktu kuberkhidmat jasa
Pertemuan menggoda
Memanah jantung kalbu
Aku resah dalam gelora
Hasrat untuk berjuang
Untuk negeri tercinta
Negeri Selangor yang kujulang
Aku tak rela lupa
Janji sumpah setia
Pada tanah air tercinta
Korus:
Kuulang ke desa
Kuharap berjumpa
Mungkinkah kita bersua
Harapan hampa
Kau yang kutunggu
Tak kunjung tiba
Kini aku bersedia
Menyerahkan segala
Untuk mempertahankan negara
Agar hasrat jiwa
Tidak tersisa saja
Mengubat rasa hati duka
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
4. Tanah Yang Subur
Tanah yang subur
Di negeri yang satu
Kusanjung kubersyukur
Setiap waktu
Korus:
Sepanjang doa
Aku memuja alam semesta
Di negeri yang kusanjung tinggi
Selangor
Kan kurindu dikau
Jika di rantau
Kan kukenang jua
Lambang bahagia
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
5. Semalam Di Morib
Bersamalah menuju Subang Jaya
Kini alam nyata
Tanda yakin diri
Mencapai hasrat hati
Di sana kita lihat kemajuan
Tempat bertumpuan
Bandar yang dicipta
Untuk mencapai bahagia
Korus:
Walau apa pun menghalang
Tidak gentar menentang
Yakin diri membina cita
Negara yang dijulang
Di Subang Jaya sudah ternyata
Kini bandar maju
Bandar yang dicipta
Tetap berwajah ayu
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
6. Ampang Pecah
Di Kuala Kubu
Kisah konon berlaku
Ampangnya pecah
Melanda air melimpah
Korus:
Ditiup bayu
Hujan lebat berlalu
Ampang yang kukuh
Musnah akhirnya roboh
Kampung hanyut ke hilir
Dilanda air mengalir
Musnah bangun semula
Yang lalu dilupa saja
Di Kuala Kubu
Kisah dalam cerita
Kisah dahulu
Tinggal kenangan saja
Ampangnya roboh
Kesan air nan laju
Kampungnya runtuh
Kisah Kuala Kubu
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
7. Bukit Melawati
Memang indah bak dicipta
Suasana alam murni
Pandangan serata
Di Bukit Melawati
Di sanalah tinggal kisah
Sejarahnya jiwa sateria
Memperjuang maruah
Menentang sengketa
Tanah nan luas lebar
Nampak ke pantai permai
Hijau terbentang jua
Nyiur melambai
Korus:
Jauh di tepi ladang
Kampung yang aman damai
Tempat tumpuan orang beramai
Disanjung rakyat jelata
Dikunjung dipuja puji
Bukit bersejarah
Bukit Melawati
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
8. Penjual Tapai
Mari abang dan kakak
Marilah beli tapai manis ini
Mari cuba mari, mari merasa
Kalau cuba nanti tuan tak lupa
Korus:
Dari pagi sampai petang
Di tepi jalan banting
Kududuk menjual tapaiku
Tetap habis dibeli orang
Tapai enak rasanya
Cubalah jangan kau berasa sangsi
Sebungkus saja tetap tak puas rasa
Tentu tuan mahu sebungkus lagi
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
9. Batu Belah
Di Kelang asal kisah
Ibu merajuk ke batu
Hilang kasih musnah sayang
Di batu belah
Sejarah dikenang
Kisah anak tersayang
Walaupun terhalang bertunas kembang
Di Kelang bandar setia
Kisah batu belah sakti
Kisah ibu merajuk diri
Kisah berseni
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
10. Sumpah Abadi
Aku berdoa agar aman sentiasa
Negeri Selangor maju dan bahagia
Aku bersumpah akan taat setia
Berpegang tangan bekerjasama
Aku berdoa akan terus ke depan
Negeri selangor gagah dan mulia
Kan kupertahan dengan jiwa dan raga
Saling membantu usaha tenaga
Korus:
Mari kita bersama
Menempuh dugaan
Mari kita sepakat
Mencapai idaman
Mari bersumpah
Menyahut seruan
Jejak langkah ke depan
Menuju impian
Aku bercita terus memberi jasa
Untuk Selangor negeriku cinta
Rela berjuang demi kebahagiaannya
Rela berkorban harta dan nyawa
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
11. Tiupan Bayu
Di kala kuterima berita
Darimu yang lama kukenang
Kusedang asyik duduk berlega
Di dalam taman Kota Kelang
Kutatap apa yang dikata
Ingatanku melayang jua
Di tiupan bayu nun melanda
Jiwaku yang bergelora
Korus:
Di angin lalu aku menyeru
Kubisik hasrat hati
Kujawab dengan harapan
Janjiku tetap suci
Di dalam taman Kota Diraja
Di mana bermulanya cerita
Daun-daun jadi saksinya
Janji-janji sumpah setia
Lagu: Ariff
Ahmad
Lirik: Ariff
Ahmad
LAGU KERONCONG YANG POPULAR
Secara umumnya,
lirik lagu keroncong memuja rasa cinta dan asmara, alam sekeliling, tanah air,
dan bangsa atau mesej moral yang menjadikan keroncong sangat digemari. Antara
lagu irama keroncong yang popular di Malaysia ialah Selamat Tinggal Bungaku yang dihasilkan oleh Allahyarham Johar
Bahar. Beliau merupakan seorang komposer yang terkenal pada zaman 1940-an. Lagu
Selamat Tinggal Bungaku ini
dinyanyikan oleh Tan Sri S.M. Salim.
Selain itu,
antara lagu-lagu keroncong yang dihasilkan oleh Allahyarham Johar Bahar yang
popular ialah Malaysia Tanah Airku,
Banjaran Titiwangsa, dan Gunung
Kinabalu. Lagu-lagu ini pernah dinyanyikan oleh beberapa orang penyanyi
terkenal seperti Mariam Ahmad, Allahyarhamah Rafeah Buang, dan mendiang Broery
Marantika. Semasa hayatnya, Johar Bahar giat memperjuangkan lagu-lagu dengan
irama keroncong kerana beliau percaya bahawa irama yang lembut juga boleh
membakar semangat patriotisme anak bangsa.
1. Selamat Tinggal Bungaku
Selamat tinggal bungaku
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruanku
Jasamu untuk diriku
Ke timur atau ke utara
Tak tentu di mana nak tujukan
Setitik airmata
Dititiskan dibuang jangan
Sekiranya aku masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembira ku kirimkan
Inikah akhir bertemu
Bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku
Jaga baik diri mu sendiri
Lagu: Johar
Bahar/ Ahmad Wan Yet
Lirik: Johar
Bahar
2. Keroncong Untuk Ana
Benarkah tiada bagiku
Ruang di hatimu untukku bertapak
Walaupun sejengkal jari
Agar dapatku berdiri
Di ambang pintumu
Ke mana hilangnya keroncong
Oh! Cinta yang kita
Nyanyikan bersama
Ataupun aku yang bersalah
Hanya menepuk tangan
Sebelah saja
Ana.. Ana..
Ana.. Ana..
Tiadaku sangka akhirnya
Kau tutup semua
Pintu cinta untukku
Hinggaku termanggu tiada
Arah nak ku tuju
Membawa hatiku
Lagu: M. Nasir
Lirik: S. Amin
Shahab
3. Kuala Lumpur
Kuala Lumpur ibu negeri
Sangat masyhur sangat permai
Kotanya bersih
Hawa nyaman saban hari
Hidup aman kelak bangsa
Satu hati
Ibu negeri Malaysia
Memperkenalkan makmur
Diserata dunia
Jikalau tuan ingin akan menghibur
Sila datang Kuala Lumpur
Kuala Lumpur ibu negeri
Sangat mashyur sangat permai
Kotanya bersih
Hawa nyaman saban hari
Hidup aman kelak bangsa
Satu hati
Ibu negeri Malaysia
Memperkenalkan makmur
Diserata dunia
Jikalau tuan ingin akan menghibur
Sila datang Kuala Lumpur
Muzik: P. Ramlee
Lirik: Ainol
Jamal
Penyanyi: Saloma
Filem: Ragam P. Ramlee
4. Pahlawanku
Pahlawanku
Pergilah berjuang untuk bangsa
Jangan ragu
Namamu tetap dipuja
Biar mati
Sebagai pahlawan yang sejati
Jangan undur
Jasamu kelak bertabur
Selamat kau pergi
Selamat kembali
Dengan hati suci
Dan tak takut mati
Pahlawanku
Menuju ruang ke medan perang
Jangan takut
Sebagai askar berjuang
5. Malaysia Tanah Airku
Malaysia oh tanah airku
Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok amat kucinta
Yang kupuja sepanjang masa
Sawah mu terbentang meluas
Tumbuh-tumbuhan hijau merendang
Bukitmu lurusnya terbentang
Tak jemu mataku memandang
Sungguh indah di Malaysia
Negeri yang kaya raya
Tempat pusat berniaga
Terkenal di seluruh dunia
Malaysia negeriku Malaysia
Pusaka tinggalan moyangku
Tetap sentosa hidup merdeka
Malaysia tanah airku
Lagu-lagu
keroncong yang dihasilkan ini mempunyai nilai-nilai sentimental yang
tersendiri. Setiap lagu mempunyai gaya penyampaian yang berbeza. Selain itu,
setiap baris ayat mengandungi maksud yang mendalam berdasarkan tema lagu
tersebut. Kebanyakan lagu yang dihasilkan bertemakan kenegaraan, percintaan
terhadap ibu bapa mahupun kekasih serta semangat patriotik.
Lagu-lagu ini
bukan sahaja diminati oleh golongan tua malah golongan muda juga turut mula
meminati karya seni lagu keroncong ini. Ini kerana, rentak irama keroncong ini
tidak terlalu berat untuk didengar. Rentak iramanya yang lembut pasti akan
membuat pendengarnya merasakan ketenangan jiwa dan mengasyikkan.
Kini, rakyat
Malaysia yang menggemari lagu-lagu keroncong ini boleh mendengar terus di
corong-corong radio seperti Radio FM Klasik terbitan Radio Televisyen Malaysia
(RTM). Di sini, para peminat lagu keroncong boleh mendapatkan maklumat
berkaitan penyanyi serta lagu keroncong itu sendiri.
Oleh itu,
lagu-lagu keroncong yang dicipta mempunyai nilai-nilai tertentu yang boleh
dijadikan panduan serta pengajaran untuk kita semua. Dalam hal ini, anak-anak
muda zaman sekarang perlu menanamkan minat untuk mendengar lagu-lagu seperti
ini kerana ia dapat memberi impak yang besar dalam diri mereka serta dapat
mengubah persepsi mereka terhadap lagu-lagu seperti ini.
SESUAI DENGAN DASAR KEBUDAYAAN NEGARA
Dari segi sifat
dan konsep serta strukturnya, seni muzik keroncong sangat sesuai dengan Dasar
Kebudayaan Negara kita kerana seni muzik keroncong merupakan hasil adunan
kesenian yang berteraskan kebudayaan asal masyarakat Melayu di rantau ini. Seni
muzik keroncong di negara ini dilihat mempunyai masa depan yang baik kerana
cita rasa muzik ini mempunyai keserasian dalam kebudayaan masyarakat berbilang
kaum di negara ini.
Seni muzik
keroncong ternyata mempunyai falsafah keindahan tersendiri kerana alunannya
yang sopan dan tertib. Namun kini seni muzik keroncong terhad kepada golongan
orang-orang dewasa sahaja. Bagi mereka yang berjiwa muda, muzik keroncong
seolah-olah tidak dapat masuk ke dalam jiwa mereka. Oleh kerana itu, muzik
keroncong kini semakin dipinggirkan kerana genre muzik hiburan yang lain lebih
mendapat tempat di dalam jiwa mereka. Justeru, satu usaha yang
bersungguh-sungguh perlu dilakukan supaya seni muzik keroncong ini dapat
diterima secara sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat.
5
USAHA-USAHA YANG PERLU DILAKUKAN
BANYAK
kebudayaan, kesenian, adat, tradisi dan sebagainya milik masyarakat di Selangor
zaman dahulu telah langka, sudah lenyap dan ada sesetengahnya bakal pupus
sekiranya tidak dilakukan sesuatu bagi menghidupkannya semula. Demikanlah juga
dengan seni muzik keroncong ini.
Dari kajian
yang telah penulis laksanakan, penulis dapati antara sebab-sebabnya yang
dikenal pasti ialah pemain-pemain muzik pada zaman ini
tidak begitu berminat untuk mempelajari muzik keroncong kerana ia memerlukan
ketekunan mengikut peraturan yang dikehendaki. Hanya segelintir penggiat seni
yang berminat untuk mengembangkannya dan menjadi penerus kepada seni muzik ini.
Dari segi nilai
komersial, seni muzik keroncong ini tidak begitu tinggi dan menarik. Mungkin
disebabkan perkara inilah juga ramai penerbit muzik tidak berani mengambil
risiko menanggung kerugian bagi menghasilkan album keroncong ini kerana
pasarannya yang terhad. Tetapi seni muzik ini tidak boleh dibiarkan terus
lenyap dalam industri muzik tanah air bagi menghargai perjuangan
penggiat-penggiat terdahulu yang berusaha mengembangkan seni muzik ini.
Namun, pada
hakikatnya, seni muzik ini mungkin boleh diperkembangkan lagi jika adanya
usaha-usaha untuk mempopularkannya kembali. Pihak-pihak tertentu seperti radio,
televisyen, penerbit-penerbit album muzik dan video seharusnya memberi
penumpuan kepada perkembangan muzik ini. Selain itu, seni muzik ini juga boleh
dijadikan salah satu mata pelajaran dalam subjek muzik di Institusi-institusi
Pengajian Tinggi.
Oleh itu,
sebagai generasi penyambung warisan, nilai sezaman harus disuntik agar generasi
baru dapat mengenali dan menerima seni muzik ini. Namun begitu, nilai
tradisional seni muzik ini tidak perlu diubah secara total agar keaslian
muziknya dapat dikekalkan.
AKTIVITI BADAN-BADAN KESENIAN
Badan-badan
kesenian harus digalakkan menubuhkan kumpulan keroncong mereka sendiri dan
latihan-latihan boleh diadakan dengan kerjasama orang-orang perseorangan yang
berpengalaman dalam bidang seni ini. Pelatih-pelatih dari Indonesia juga boleh
dijemput untuk membantu dalam program ini. Cara permainannya tidak begitu sukar
dan boleh dipelajari oleh mereka yang berminat dan berbakat. Persembahan
keroncong di Indonesia sangat diminati dan berbagai program seperti
pertandingan nyanyian lagu-lagu keroncong dan persembahan kumpulan diadakan
tiap-tiap tahun. Program ini mendapat sokongan yang hebat daripada rakyat di
seluruh negara.
Adalah elok jika
dicontohi kegiatan-kegiatan yang sedang diusahakan dalam memperkembangkan seni
muzik gamelan di negara ini. Seni muzik gamelan sekarang ini sedang mendapat
galakan yang baik dan banyak kumpulan ditubuhkan oleh badan-badan tertentu
seperti pusat-pusat pengajian tinggi, badan-badan berkanun, sekolah-sekolah dan
sebagainya. Sambutan umum juga telah menunjukkan bahawa seni muzik gamelan
mempunyai masa depan yang cerah.
Untuk menentukan
supaya tindakan menghidupkan kembali seni muzik keroncong berjalan dengan baik
dan berkesan, program-program yang berupa jangka panjang harus difikirkan.
Selain daripada latihan, seni ini juga perlu diperkenalkan sebagai satu mata
pelajaran muzik di sekolah. Ini bukan setakat memperkenalkan seni itu sahaja.
Kegiatan memainkan seni muzik ini juga harus diadakan di kalangan murid-murid
supaya mereka mengenalinya dengan lebih dekat lagi dan seterusnya menghayati
seni itu.
Mungkin untuk
menggalakkan generasi muda memainkan seni keroncong, boleh juga dirancangkan
supaya permainannya bercampur dengan cara moden iaitu dengan menggunakan
alat-alat elektronik. Begitu juga dengan gaya suara yang dikatakan istimewa
untuk menyanyikan lagu-lagu keroncong, boleh juga disesuaikan dengan gaya moden
jika perlu.
AKTIVITI MEMAJUKAN SENI MUZIK KERONCONG
Pertandingan
juga boleh diadakan dalam bidang mencipta lagu-lagu keroncong, menyanyi dan
persembahan kumpulan. Ini harus dihebahkan ke seluruh negara seperti yang
pernah diadakan pada satu ketika dahulu oleh pihak Radio Televisyen Malaysia
(RTM). Untuk Selangor pula boleh juga diadakan pertandingan di peringkat negeri
dengan menyediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Pertandingan seperti ini
mestilah diadakan selalu, sekurang-kurangnya sekali setahun dan
kegiatan-kegiatan yang ada hubungannya dengan seni muzik itu haruslah diadakan
sepanjang tahun.
Selain daripada
mendapat galakan dari pihak media massa, siaran radio dan televisyen, pihak
pengeluar album, kaset dan cakera padat juga harus memberi kerjasama mengeluarkan
lebih banyak album yang mengandungi lagu-lagu keroncong dan dipasarkan secara
meluas. Penyanyi-penyanyi yang sudah terkenal boleh juga membantu dalam
rancangan ini dengan memilih beberapa lagu keroncong semasa mereka mengadakan
persembahan.
Untuk menjamin
seni ini kekal dimajukan, generasi muda perlu sentiasa didedahkan kepada seni
muzik keroncong. Selain daripada mengadakan pendidikan di bangku sekolah,
anak-anak muda juga mestilah digalakkan memainkan seni muzik ini. Mungkin
bentuk permainannya diubahsuai kepada bentuk baru dengan tidak banyak
menukarkan bentuk aslinya.
Kumpulan pop
misalnya boleh juga digalakkan supaya memainkan lagu-lagu keroncong walaupun
berbentuk moden iaitu cuma menggunakan rentak keroncong sahaja seperti yang
dilakukan di Indonesia. Walaupun ini menjejaskan sedikit bentuk aslinya, kesenian
muzik itu masih boleh dimaju dan dipertahankan.
Peredaran masa
dan pertukaran selera perlu juga diambil kira dalam merancang kemajuan sesuatu
jenis seni kerana sesuatu seni itu harus hidup dan bukan statik. Cara ini
bukanlah yang paling sesuai tetapi ada kalanya ia adalah tindakan yang perlu
dibuat untuk menjaga masa depan sesuatu seni itu.
MASA DEPAN SENI MUZIK KERONCONG
Untuk seni muzik
keroncong terus berkembang, banyak rancangan perlu disediakan terutama
mendedahkan seni itu kepada khalayak ramai dengan cara-cara yang berkesan dan
yang boleh menarik perhatian umum. Ini bermakna, tindakan keras harus diambil
untuk meletakkan kembali seni itu ke mercu yang tinggi. Pihak-pihak yang
berpengaruh dan mempunyai kuasa seperti kerajaan negeri misalnya, haruslah
menentukan supaya seni ini diberi perhatian yang serius.
Ia sangat
memerlukan sokongan semua pihak, bukan sahaja kerajaan tetapi pihak swasta
juga. Bantuan dan galakan yang lebih positif harus diberikan kepada
kumpulan-kumpulan muzik keroncong. Sebagai tindakan awal, mereka haruslah
diundang untuk mengadakan persembahan di setiap majlis keraian rasmi dan di
persembahan-persembahan pentas. Jika perlu mereka boleh ditaja secara tetap
oleh badan-badan tertentu seperti syarikat-syarikat mewah di Selangor.
Perbelanjaan
yang terlibat untuk menubuhkan sebuah kumpulan keroncong tidaklah begitu besar
jika dibandingkan dengan perbelanjaan yang perlu disediakan untuk menubuhkan
kumpulan rock misalnya. Untuk membeli
alat-alat muzik yang digunakan dalam kumpulan keroncong perbelanjaan yang diperlukan
dianggarkan tidak melebihi RM 6,000 sahaja. Ini adalah untuk membeli alat-alat
penting seperti biola, seruling (flute),
gitar, cello, ukulele, cak dan double bass.
Pelbagai cara
dan usaha telah dijalankan dalam proses pengembangannya, namun penerimaannya
masih di tahap yang lama. Media elektronik khususnya yang merupakan satu media
yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu yang efektif kepada masyarakat perlu
mengambil langkah sewajarnya untuk mengembangkan lagi seni muzik keroncong
kepada masyarakat masa kini.
Pihak berkuasa
media elektronik khususnya radio dan televisyen harus memainkan peranan yang
lebih agresif bagi mempopularkan muzik tradisional khususnya muzik keroncong.
Pihak siaran televisyen pula, program muzik keroncong harus diperkenalkan agar
dapat ditonton, didengar, dan dihayati oleh seluruh rakyat.
Secara
keseluruhannya, diharapkan seni muzik keroncong dapat diperkembangkan lagi
kepada generasi sekarang supaya tidak luput ditelan zaman. Muzik keroncong
boleh dipelbagaikan agar dapat diterima di dalam jiwa remaja masa kini yang
lebih berminat kepada genre muzik yang lain seperti hip hop dan rock. Hal ini
membolehkan muzik keroncong akan terus dimartabatkan oleh generasi kini dan
akan datang agar khazanah lagu rakyat dan tradisional ini terus hidup di dalam
jiwa mereka.
Dengan mengenali
sejarah evolusi dan perkembangan lagu keroncong, serta lagu-lagu tradisional di
dalamnya, diharapkan dapat menarik minat masyarakat tua dan muda, kemudian
menghayati dan akhirnya melibatkan diri dalam menghargai nilai seni budaya
bangsa.
Harapan dan
aspirasi semua agar muzik keroncong menjadi satu gagasan untuk mengangkat dan
memperkasakan muzik warisan bangsa dan akan diteruskan kesinambungannya
sehingga berada di singgahsana persada muzik dan dapat menyaingi mana-mana
genre muzik bertaraf dunia.
SUMBER, RUJUKAN DAN BIBLOGRAFI
- Ahmad Sarji bin Abdul Hamid (1999). ‘Erti Yang Sakti - P. Ramlee’.
Pelanduk Publication 12-13
- Arrif Ahmad (2001). ‘Seni Muzik Keroncong’. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Buku Ensiklopedia. Utusan Publication and Distribution.
- Buku Senandung Warisan, 2004
- Buku Seni Muzik Keroncong, 2001
- Hajah Noresah bt Baharom (1997). ‘Kamus Dewan Edisi Ketiga’. Hulu
Kelang: Dewan Bahasa dan Pustaka. 657
- Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias
(2006). ‘Lagu Rakyat Memupuk
Kesantunan Melayu’. Hulu Kelang: Dewan Bahasa dan Pustaka. 276-289
- Tan Sooi Beng dan Patricia Matusky
(1997). ‘Muzik Malaysia: Tradisi
Klasik, Rakyat dan Sinkretik’. Pulau Pinang: Sinaran Bros Sdn. Bhd.
343-451
- Tan Sooi Beng dan Patricia Matusky
(1999). ‘Pengantar Muzik Malaysia,
Buku II’. Pulau Pinang: Practical Printer. 46-51
- Zubir Said (2004). ‘Senandung Warisan’. Arkib Negara
Malaysia
- Wawancara dengan Encik Abdul Rahman
bin Basuni pada 20hb Mei 2013, di Batu 39, Kampung Olak Lempit, Banting.
- Wawancara dengan Encik Bakri Darus pada 16hb April 2013, di Lot 5340, Jln Dato’
Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru, Klang, Selangor.
- Wawancara dengan Encik Bunadi bin
Ridzuan pada tanggal 18hb Mei 2013 di Jalan Haji Yusof Dua, Batu 14,
Jenjarom.
- Wawancara dengan Encik Samsudin Lamin
pada 26hb Mei 2013 di Tingkat 3, Majlis
Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
- Wawancara dengan Encik Wahid bin
Bahari pada 8hb April 2013 di No 5, Taman Seri Bayu,
Morib, Kuala Langat, Selangor.
- Wawancara dengan Puan Raftah Bachik pada 16hb April 2013 di Lot 5340, Jln Dato’
Abdul Wahid, Bukit Kapar, Meru, Klang, Selangor.
- Wawancara dengan Tuan Haji Mohd Khir
bin Ghazali pada tanggal 3hb Mei 2013 di Lot 1450, Lorong Bahagia,
Sijangkang, Telok Panglima Garang.
LAMPIRAN
1
Cara Bermain
Biola
Biola adalah alat muzik yang berbentuk hampir sama dengan gitar,
perbezaanya adalah untuk memainkan biola kita harus menggunakan busur agar
dapat membunyikan dawai atau talinya. Tali biola memiliki 4 dawai.
Masing-masing tali mempunyai nada yang berbeza, iaitu (G, D, A, E). Bagi anda
yang masih belum mengetahui bentuk biola, di bawah ini adalah gambar biola.
Kedudukan Memegang Biola
- Kedudukan badan harus berdiri tegak dengan
kedudukan kaki agar sedikit terbuka.
- Telapak kaki membentuk sudut sebesar 30 darjah
dengan kedudukan kepala menghadap ke depan dengan tegak.
- Letakan biola di atas bahu kiri dan sepit biola
di antara dagu dan bahu anda.
- Usahakan tangan kiri dapat bergerak dengan
bebas.
- Selalu rasa selesa dan rileks sewaktu bermain
biola sehingga dapat memberikan kesan yang positif.
Kedudukan Jari Pada Fret Biola
Kedudukan jari pada fret biola menentukan nada yang akan berbunyi sewaktu kita menggesekkan busur biola. Anda harus menghafal atau setidak-tidaknya memahami kedudukan jari pada fret biola, kerana ini adalah pelajaran asas yang harus anda kuasai. Untuk gambar kedudukan jari pada fret biola, dan nada yang akan muncul, lihat gambar di bawah:
Memegang
Busur Biola
- Pegang bahagian busur di tengah dengan
menggunakan tangan kiri, dengan hujung mengarak ke sebelah kiri dan
pangkal ke sebalah kanan.
- Telapak tangan kanan harus dihadapkan ke atas,
dengan ibu jari didekatkan pada ruas jari tengah sehingga akan membentuk
tangan ‘bundar’
- Balik tangan kanan, kemudian gerakan tangan
kanan anda seperti orang menggesek biola.
- Ulangi gerakan ini dengan jari telunjuk
menyentuh di bahagian atas dari penggesek.
- Tempatkan ibu jari tangan kanan di bawah kayu
penggesek dengan kedudukan jari yang lain tetap. Ibu jari sedikit
melengkung dan rileks.
- Hujung jari kelingking ditalakan di atas
pangkal penggesek, kemudian kelingking harus dalam keadaan rileks.
- Jari telunjuk dan jari kelingking berfungsi
untuk mengatur tekanan pada tali biola
- Jari tengah dan jari manis lebih berfungksi
untuk membantu jari telunjuk dan kelingking untuk menguatkan pegangan
tangan pada penggesek biola.
Cara Bermain Cuk
Cuk biasanya memiliki 3 atau 4 dawai atau tali. Jenis tali cuk adalah
nylon, berbeza dengan tali gitar biasa. Untuk memainkan cuk, perlu cara yang
tersendiri. Tidak semua orang yang boleh bermain gitar dapat bermain cuk,
begitu juga sebaliknya. Cuk juga mempunyai sebuah kunci atau chord untuk membentuk sebuah satuan nada
gitar.
Kunci atau chord cuk
untuk yang bertali 3 dan bertali 4 itu berbeza. walaupun hanya ada sedikit
perbezaan. Anda harus menghafal minima kunci dasarnya saja, contohnya: C, D,
Dm, E, Em, F, G, A, Am, B, Bm. Inilah kunci lengkap cuk.
Cara Bermain Cak
Cak adalah alat muzik yang berbentuk seperti
gitar, bezanya alat muzik ini mempunyai ukuran yang 3 kali lebih kecil dari
gitar biasa. Talinya yang hanya 3 atau 4
membuatkannya aneh jika dimainkan. Sama seperti gitar, untuk memainkan
cak, anda juga harus menggunakan chord
atau kunci. Kunci cak sangat sederhana, dan lebih mudah dipelajari daripada
kunci gitar biasa atau gitar elektrik.