Selasa, 26 Disember 2023

BINTANGORKU TIADA LAGI

SMAHADZIR

NYALAR begini. Ghalib. Sekarar pagi begini, aku sudah mengitari mandala perbukitan lapan hektar menghijau leanigerum dan tesymanii. Direalisasikan dari belantara tebal sejak meninggalkan jawatan pakar penyelidik sintesis organik University of Illinois, Chicago. Serasa ada bayu sendalu membelai lunak, mesra manja. Gelicau unggas berselerak. Aku karar di sini dengan kesuburan leanigerum dan tesymanii. Sentosa hati.

“Engkau sudah nyanyuk, Profesor!”

Sesiapapun sukar mengerti. Entah apakah hasilnya pokok-pokok ini? Entah apa faedahnya dua spesies ini jika mahu dibandingkan dengan rambutan, durian, mangga siam, dokong? Biar tuduhan prejudis itu bersipongang. Biar meledak menggerutup di mana-mana. Realitinya, mandala perbukitan lapan hektar ini sudah sarat menghijau dengan leanigerum dan tesymanii.

“Kenapa memilih dua spesies ini untuk disuburkan?”

Mereka makhluk Allah! Berbangsa bintangor, susur galur dari hutan hujan Sarawak, dan aku suburkan di sini semata-mata kerana Murni.

“Murni? Siapa Murni?”

Dia isteriku, yang telah menganugerahkan aku sepasang zuriat dambaan kasih - Kuntum dan Dahan. Sayang, Murni telah pergi meninggalkan aku sewaktu ujikaji kami di peringkat pengumpulan sampel. Jelu amat mengenangkan.

“Teruskan!”

Sungguh, Murni isteriku yang baik. Luhur penyayang. Nyalar mengingatkan aku tanggungjawab memelihara kelestarian alam supaya dapat dimanfaatkan oleh semua. Aku penyambung misi cita-cita dan harapannya yang berakhir dengan renggutan maut virus durjana itu.

Ya, Murni meninggal dunia kerana HIV. Tidak sekali-kali aku mahu menyalahkan takdir. Siapalah aku mahu menghalang nahas itu dari menjerba perjalanan Murni sewaktu pulang dari Kota Chicago. Akibat kemalangan itu dia mengalami pendarahan yang banyak.

Aku juga tidak menyalahkan para doktor yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawanya. Tugas mereka murni dan berjaya biarpun beberapa tahun kemudian isteriku terpaksa bertarung dengan virus HIV dari darah yang dipindahkan ke tubuhnya.

Betapa rakusnya serangan virus durjana itu. Murni kecundang. Sungguh-sungguh aku sedih dengan kehilangannya.

“Bermakna kau tidak redha?”

Bukan begitu maksudku. Kesedihanku buar menghenyak hidup kerana Murni tidak sempat melihat kejayaan ujikaji kami pada sampel (+)-calanolide diekstrak dari bintangor spesies calophyllum lanigerum. Kajian in-vitro yang telah kami jalankan menunjukkan (+)-calanolide A, sejenis bahan bukan nucleoside memberi tindakbalas berbalik kepada enzim perencat atau transcriptase (NNRTI), bertindak aktif terhadap virus HIV-1 termasuk strain rintang terhadap ubat-ubatan seperti azt, nevirapine dan pelbagai NNRTIs.

“Lagi?”

Kami dapati, bahan itu juga menunjukkan kemampuan bersinergi bila digunakan secara in-vitro bersama-sama analog nucleoside seperti AZT, ddC, ddI, d4T dan 3TC; juga dengan bahan perencat bukan nucleoside seperti nevirapine; dan perencat protease seperti saquinavir dan nelfinavir. Kajian atas haiwan menunjukkan kompaun bahan itu boleh menembusi takungan virus... menembusi halangan bahagian otak dan memasuki otak, seterusnya berkumpul pada nidus limfa.

“Cuma itu?”

Tidak! Ujikaji kami pelbagai - berjujukan, rawak, kawalan placebo termasuk ujian ciri-ciri keselamatan, pharmacokinetics serta kesan dua dos (+)-calanolide A dijalankan atas pesakit HIV positif. Keputusannya memberangsangkan. Diserap dan beredar baik melalui saluran darah kendati wujud sedikit loya, pening radangan dan nausea ringan.

Apakah tidak wajar aku menyesali kehilangan Murni? Penawar yang kami usahakan tidak sempat dinikmati Murni. Kesal dan jelu sungguh.

“Tapi, kau masih ada dua zuriat tinggalan Murni! Dahan dan...”

Argh... usah disebut nama anak jantan itu. Dahan lebih mementingkan pembangunan, wang ringgit, langsung melupakan kelestarian hijau alam.

“Saya malu, bapa! Tuan PB (Pegawai Besar) Daerah Maju punya bapa bekas profesor bijak selidik sintesis organik tapi berwawasan beku. Era sudah berubah, bapa! Kita tidak lagi dibelenggu kokun negatif, diborgol kejur diselimut gebar fatalis, mandom, pesimis dan statik. Kita merealisasikan wawasan pembangunan untuk kesejahteraan semua,”

Jadi, kamu malu berbapakan Profesor Lestari tua ini? Bapa tidak menghalang kamu berasa malu berbapakan bapa. Itu hak kamu. Tapi bapa ingin membetulkan tanggapan prejudis kamu terhadap bapa. Dengar sini Dahan... err Tuan PB!

Usaha bapa menghijaukan perbukitan lapan hektar itu dengan bintangor bukan bermakna bapa menolak pembangunan total. Bagi bapa, pembangunan tetap penting dan diperlukan selagi tidak mengabaikan kelestarian alam. Bapa punya alasan aspek biologi. Ingat... andai kelestarian alam terabai, akan cagun pelbagai bencana. Kehidupan sentosa makhluk akan tergugat.

“Siapa mahu menafikan hujah bapa? Bekas pakar penyelidik sintesis organik antara penemu penawar AIDS dan kanser! Hujah bapa tidak lagi relevan dewasa ini, perlu dikorbankan. Pembangunan juga bermatlamatkan kesejahteraan hidup. Yang lebih penting, bapa harus sedar, tikar pembangunan telah dianyam dalam sebuah sistem yang bernama kuasa dan wang! Bapa tentu sekali tidak berkudrat menentang sistem itu bukan?”

Mendadak lidah kejur, aku bungkam. Suaraku lampus diborgol ungkapan itu. Memang aku lemah. Profesor tua ini terlalu lemah untuk menentang sistem itu. Dahan... bapa kesal! Pembangunan telah mengajar kamu memberhalakan kuasa dan wang.

“Jangan biarkan kesalan itu melarut! Kau masih punya Kuntum,”

Ceria wajah serlah mendadak. Tidak dinafikan. Memang Kuntum persis indungnya. Menyayangi fauna, flora dan makhluk sejagat. Pemuja cempaka putih spesies michelia alba membuatkan pojok halaman rumah sarat memutih kala musim bunga. Menggerbak mengapung malam.

Sayang, Kuntum tidak punya sifat-sifat lembut kewanitaan seperti ibunya, gesit memberontak, kasar, agresif. Menggelumangi jagat NGO memungkinkan dia begitu.

Ahh... mentari sudah mencanak di puncak kepala. Membahang melengas. Ada lawang perpisahan antara kita. Bintangor, aku pulang dulu!

* * *

Bilik empat persegi, dingin hawa menyengat. Meja kayu nyatuh. Kerusi pusing empuk. Dahan bersandar segar, mata meneliti fail-fail bersusun cantik atas meja. Jam baru sembilan pagi kala hand-phone melengking.

Gesit diangkat dan ditekapkan ke telinga. Persis ghalib, dia yakin, tentu saja panggilan dari kontraktor-kontraktor yang sering berurusan dengannya.

“Hello!”

Diam.

“Hello!!!”

Cit! Putus pula! Hand-phone gesit diletakkan atas meja. Mata mengitari semula fail di hadapan. Namun mendadak pula benak menerawang, menghimbau wajah Tuan Usahawan dari Konsortium Cekauwang Bhd, mengirap mesra ke sepasang mata.

“Projek ini mampu menarik jutaan pelancong ke Daerah Maju, Encik Dahan! Saya yakin, nama Encik Dahan sebagai PB Daerah akan turut harum!”

“Tapi taman rekreasi lengkap resort dan chalet mewah yang nak dibangunkan tu melibatkan kemusnahan bintangor milik bapa saya, Tuan Usahawan!”

“Itu saya tahu, Encik Dahan! Kewujudan bukit itu amat menjolok mata kalau tidak dibangunkan...”

“Saya sedar itu, Tuan Usahawan! Malah, sudah lama saya fikirkan. Bintangor bapa saya tidak menjamin pulangan besar. Barangkali juga bapa saya sudah nyanyuk, meracau dengan impian masa depan yang kosong...”

“Orang tua memang begitulah, Encik Dahan!”

“Ya, cepat merajuk, sensitif dan kadang-kadang kepala saya jadi yongyat. Banyak lagi tanaman lain boleh diusahakan tapi bintangor itu juga jadi pilihan!”

“Sudahlah, Encik Dahan! Kita lupakan soal remeh-temeh tu... err... saya dah berbincang dengan Datuk OB (Orang Besar). Dia setuju dengan pendapat saya. Cuma satu pesanannya: Projek Taman Rekreasi itu mesti direalisasikan secepat yang boleh!”

Dia mengangguk.

“Errr, satu lagi! Lembaga Pengarah Konsortium Cekauwang Bhd dah bersetuju melantik Encik Dahan sebagai salah seorang pemegang kepentingan taman rekreasi tu!”

Dia angguk terus.

“Encik Dahan! Ada tetamu nak jumpa encik!”

Lamunan gesit bubar. Berkecai. Kelinglungan melihat Siti Aisyah di muka pintu bilik.

“Suruh dia masuk!”

Sebaik setiausaha muda itu berlalu, seorang lelaki agam terjengul di situ.

“Selamat pagi Tuan PB!”

“Selamat pagi eh... Encik Tong-Kang! Sila duduk!”

“Tuan PB sudah minum?”

Dalam senyum. “Baru lepas!”

“Tadi saya ada telefon tapi fikir-fikir... lebih baik datang jumpa sendiri!” bersuara mesra sewaktu punggung berlabuh.

“Oooo... talian yang putus tadi?”

“Sengaja diputuskan!”

“Tentu ada hal mustahak!”

Lelaki agam itu tersengih lebar. Pengusaha kuari bijak, workholic dan pemurah. Tidak terlalu lama untuk melunaskan hajat hati. Sekeping enverlope 11cm X 22cm iseng dihulurkan kepada Encik Dahan.

“Eh, surat apa ni?” Pura-pura terjeda.

“Bukan surat tuan, errr... angpau!!” Encik Tong-Kang tersengih lagi.

“Bukan rasuah?”

“Jangan cakap macam tu, tuan! Alaa... sikit saja angpau untuk anak-anak tuan!”

“Kenapa bawah meja?” Encik Dahan separuh berbisik.

“Takut orang lain nampak, tuan!” Encik Tong-Kang tersengih-sengih.

Encik Dahan turut tersengih. Tangan menyambut cepat. Enverlope bertukar tangan. Terbayang dalam kepala. Bukit batu kapur pinggiran laut hujung Daerah Maju yang dulunya teguh terpasak dalam bumi, sudah terpokah diledak granite Tong-Kang Sdn Bhd.

Pelbagai flora dan fauna unik di bukit itu melenyap termasuk sebuah gua kaya stalaktait dan stalagmait. Jutaan makhluk spesies cheiromeles torquatus, megaderma lyra, scotophilus kuhli dan megaderma spasma kehilangan zuriat-zuriat kecil setelah kediaman mereka berkubur bawah tanah.

Beberapa tagal kemudian, Encik Tong-Kang pamit. Encik Dahan gesit menyelak enverlope 11cm X 22cm. Ada kepingan-kepingan kertas biru kelabu cair di situ. Ada ubi ada batas! Angpau untuk anak-anak! Spontan bibir memurup senyum.

* * *

TV4 mengungkap pelbagai petaka yang menjerba dunia sebagai mukadimah lawang alaf baru. Gempa di Turki. Taufan di Florida. Ribut di California. Ledakan gunung berapi di Kepulauan Haiti. Banjir besar di China. Termasuk juga di Malaysia. Diseli tanah runtuh, jambatan roboh, lebuh raya reban. Pengakhir rancangan, suara latar bergema surah ar-Rum ayat 41: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Sedikit tidak terkesan. Dahan bersahaja menghirup susu high calcium sajian isteri. Cepu kepala bergentayangan pelbagai. Beraduk-baur. Pertemuan dengan Kuntum beberapa malam lalu gesit cagun. Perbualan antara adik-beradik yang bermula mesra, akhirnya terus membahang.

“Kuntum! Masuklah!” Hanizah mempelawa lunak sebaik menguak daun pintu teras cengal. “Eh, mana bapa?”

“Dia di rumah. Baca kitab!” senyum Kuntum bersahaja dan terus ke ruang tamu. Melabuhkan punggung di sofa kulit sisi Dahan yang asyik mengelus perut. Kekenyangan. Sekilas melirik ke arah kakak ipar yang sudah ke dapur.

“Kenapa tak ajak bapa ke mari?” tanya Dahan.

“Errr... sebenarnya bapa ke bukit!” Kuntum bersahaja.

“Malam-malam buta begini?” Dahan agak terkejut.

“Entahlah, bang! Katanya, nak lihat bintangor bersujud kepada Allah!”

“Dah sah, Kuntum! Memang sah orang tua tu dah nyanyuk!” Dahan gesit menggeleng dan berdecit.

“Tak baik abang cakap macam tu pada bapa. Bapa belum nyanyuk, bang!” Kuntum menegak hakikat.

“Habis, tak nyanyuk apa lagi kalau ke bukit tu malam-malam begini?” tukas Dahan kurang senang. “Sepatutnya, bapa berehat saja selepas bersara. Buat ibadat banyak-banyak sebelum mati.”

“Abang tak ada hak nak menentukan kehidupan bapa baik sebelum mahupun selepas bersara. Begitu juga kecintaan bapa kepada kehijauan dan kesuburan bintangor di bukit tu!” Kuntum sungguh kurang senang. Suara sedikit gerah.

“Itu kata kamu, Kuntum!” Dahan tersenyum nipis. “Sebagai anak lelaki, menjadi tanggungjawab abang untuk melihat bapa tidak dihenyak masalah. Bapa perlu disedarkan, usahanya menanam bintangor tu sia-sia saja!”

“Itu kata abang! Bapa ada alasan tersendiri!”

“Apa juga alasan, pembangunan perlu diutamakan. Abang sebagai PB daerah ni, berasa malu jika bukit tu tak dibangunkan dengan sesuatu yang berfaedah untuk semua!”

Hening sejenak.

“Beginilah, Kuntum! Tak usahlah kita dua beradik bergaduh fasal bukit tu lagi. Lagipun, pentadbir daerah sudahpun memutuskan. Warga Daerah Maju memerlukan sebuah taman rekreasi untuk berehat. Secara tak langsung, akan menarik minat para pelancong ke sini. Bukit tu dikira tempat paling strategik untuk dibangunkan!”

“Kerana warga Daerah Maju atau ada kepentingan lain?” Kuntum menyinis.

Dahan terjeda. Tergamam jola dengan ungkapan tersebut.

“Bermakna juga, abang terpaksa berhadapan dengan saya dan NGO!” Kuntum terus menambah persis mengingatkan.

“Maksud kamu?”

“Kami sudah sepakat akan mengadakan demontrasi membantah sebarang kemusnahan terhadap bintangor milik bapa!” tegas dan waras Kuntum bersuara.

“Ooooo... demontrasi! Barangkali itu tindakan paling rasional dari warga terpelajar macam kamu!”

“Rasional atau tidak, terpelajar atau tidak, itu bukan persoalan. Yang penting, hasrat kami untuk menyedarkan. Pembangunan perlu mengambil kira aspek kelestarian alam, tidak komersial semata, kepentingan bintangor untuk perubatan dan yang lebih penting, cita-cita bapa untuk kelangsungan hidup makhluk sejagat!”

“Wah... wah! Mengalahkan pidato ahli politik!” Dahan mencebek jengkel. “Negeri kita demokrasi, Kuntum! Kamu boleh berpiket sehebat mana yang kamu mahu tapi harus ingat, tindakan itu tak ubah anjing menyalak bukit! Kami tak pernah gentar apalagi tergugat!”

Kuntum gesit bungkam.

“Barangkali kamu lupa agaknya! Pokok pembangunan berpaut kukuh pada tunjang kuasa dan wang! Tahu itu?” Dahan tersenyum sinis.

Figura Kuntum mendadak berubah jerau. Pedih gesit membuar mengganyang rongga dada. Sewaktu kaki melangkah ke muka pintu, dia persis dapat merasakan bapanya tidak akan melihat lagi bintangor bersujud kepada Allah tetapi bersujud akur kepada pembangunan.

Denting jam antik bersipongang mengejutkan. Lamunan berjela-jela Dahan terburai. Kemamar sejenak sebelum bangun menuju bilik tidur. Terasa puas dan lega namun sedikit kesal. Kuasa dan wang juga boleh merenggangkan tali persaudaraan. Ah, biarkan!

* * *

Nyalar begini. Ghalib. Sekarar pagi begini, aku sudah mengiseng langkah mengitari mandala perbukitan lapan hektar yang dulunya menghijau subur leanigerum dan tesymanii tetapi kini sudah meriah sebuah taman rekreasi lengkap resort dan chalet. Serba mewah.

Serasa ada bayu langkisau menerjang garang. Membalun dan menghenyak. Bintangorku tiada lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA