SMAHADZIR
MALAM gelemat. Pekarangan Taman Quantum
bening. Jaluran cahaya meteoroid bergerak perlahan, menggaris separuh bahagian
cakerawala. Zel di bingkai jendela kaca gelisar. Dia cuba membayangkan saiz
‘jasad di angkasa’ itu. Bagaimana kalau jasadnya sebesar Zon-X? Sukar
membayangkan meteoroid sebesar itu jatuh menimpa kota canggih ini.
Namun,
ini bukan mustahil, fikir Zel. Kawah besar di Yucatan itu buktinya, berdiameter
antara 180-300 km. Dinasour pupus dengan hentamannya. Ngeri mengenangkan jika
tragedi sama berulang di Zon-X. Zel menutup lawang ingatan yang gelisar lalu
kembali mendepani Xeon Mvidia-IA.
Mia
tersenyum sebaik Zel melabuhkan punggung di sisi. Sejenak melirik wajah remaja
tampan bertampang bujur itu, Mia meneruskan semula kerja-kerjanya - membantu Zel
melengkapkan perisian Xeon Mvidia-IA. Lima perisian utiliti dalam PC, utiliti
uninstaller canggih, clean sweep,
clean sweep deluxe, internetsweep,
smartsweep, safesweep dan pelbagai lagi.
Xeon Mvidia-IA adalah perangkat yang menggunakan prinsip
fenomena mekanikal kuantum dapat digunakan untuk mewakili dan struktur data.
Dalam Xeon Mvidia-IA jumlah data dihitung dengan menggunakan
qubit (Quantum Bits).
Spesifikasi Xeon Mvidia-IA memiliki kecepatan super komputer diperkirakan 9.900
kali lebih cepat dari komputer konvesional juga mampu melakukan kalkulasi
secepat 8,000 triliun per saat dan dapat mencatat kecepatan kalkulasi 2.6
petaflop per saat.
Xeon Mvidia-IA dicipta dengan kos 99 juta dollar, dilengkapi 88.336
unit prosesor Xeon X5670 dan 7.168 Nvidia Tesla M2050 pemproses grafik. Sistem
komputer ini tersusun dari 7,112 almari komputer, 8,900 almari penyimpanan, 9,570
almari komunikasi, dan 8,900 almari I/O. Setiap almari komputer terdiri dari 79
frame yang masing-masing memiliki 900 kipas dan 700 port papan pengalih. Total
penyimpanan sistem Xeon Mvidia-IA sebesar 98 Petabytes dengan total memori sebesar 9,262
terabytes.
Dalam
waktu sama Zel meneliti buat kali terakhir antara kehebatan perisian melalui
data informasi di atas meja.
“Okey,
semuanya beres!”
Penelitian
Zel menyemak data-data tersebut tiba-tiba digugah suara Mia.
“Kejayaan
ini satu kegemilangan mutakhir dalam teknologi komputer,” ujar Mia lagi. “Tak
rugi kita bertungkus-lumus siang malam. Ini hasilnya,”
Zel tersenyum puas. Xeon Mvidia-IA ciptaan
mereka berdua ini merupakan pengeluaran pemproses generasi tahun 2080 mainframe berasaskan complementary metal oxide semiconductor iaitu
Model P12 MaxII yang mempunyai prestasi setanding sistem E/420 ciptaan mereka
sebelum ini.
Produk
yang disasarkan bagi persekitaran Parallel Sysplex dan E/420 standalone, Xeon Mvidia-IA turut
mempunyai fungsi pelbagai guna tahap asas 12 (1 - cara melalui 12-cara), model
turbo berkuasa tinggi 8 (1-cara melalui 20 cara) dan model Coupling Facility.
Sebagai
tambahan pada Xeon Mvidia-IA, Zel dan Mia telah menambah ciri-ciri sokongan
kepada E/420 sepenuhnya, OS/870, MVS/ESA, VSE/ESA dan TPF[RPQ], menggandakan
kemampuan Parallel Sysplex sepenuhnya, Stanby IP, sokongan 19.LPARs,
Cryptographic pemproses bersama untuk menyokong transaksi perdagangan elektronik
selamat dan seni bina menyokong sehingga 99 GB storan pemproses. Pendek kata, Xeon
Mvidia-IA adalah komputer tercanggih tahun 2080 yang mampu dalam pelbagai
tugasan manusia.
“Ayuh
kita pulang dulu!” ajak Mia sejurus kemudian, melirik jam di pergelangan tangan
sambil mencuit bahu Zel. “Profesor Ray tentu gembira dengan kejayaan kita!”
Zel tersenyum. Mia mengangguk dan turut
tersenyum.
Lampu
Bilik X Makmal XXOI segera dipadamkan.
* * *
HENING malam dibebar satu dentuman kuat
seolah-olah sebutir bom digugurkan dari pesawat perang. Warga penghuni Zon-X
gempar. Pelbagai spekulasi cagun. Paling heboh mengatakan sebuah piring terbang
UFO telah terjunam jatuh lalu terbakar. Buktinya, kawasan lebih kurang 100 X
200 meter persegi hangus dijilat api. Pelmacam spesies flora dan fauna turut
rentung.
Berminggu-minggu
kawasan itu menjadi tumpuan pelbagai golongan; orang awam, wartawan,
televisyen, pak menteri, ahli sains, polis, tentera, pakar pertanian dan tidak
ketinggalan pakar-pakar astronomi dan astrofizik dari Jabatan Angkasa Lepas
& Pertahanan Zon-X (JAPN-Zon-X). Masing-masing membuat siasatan dan mencari
bukti untuk mengukuhkan hujah dan kajian lanjut.
Zel dan Mia turut berminat dengan kejadian
yang berlaku. Lebih kurang seminggu mereka bersama Profesor Ray dari JAPN-Zon-X
mundar-mandir di kawasan itu untuk mengambil gambar dan merakam segala
tinggalan dari ledakan tersebut.
“Barangkali
ini ledakan meteoroid!” Zel sekadar menduga.
“Lebih
seminggu pihak kami menjalankan kajian di sini. Hasilnya, bukan disebabkan oleh
meteoroid,” Ujar Prof Ray.
“Maksud Prof?”
“Analisis
spektrum cahaya meteroid hanya nitrogen, hidrogen, oksigen dan sodium. Tidak
terdapat unsur-unsur uranium tapi di kawasan ini sekarang penuh dengan molekul
uranium.”
Zel dan Mia terbelangah. Uranium? Masing-masing
saling berpandangan.
“Kami
masih menjalankan kajian lanjut. Mulai besok, kami akan minta pihak berkuasa
mewartakan kawasan ini sebagai kawasan larangan kerana soal-soal keselamatan,”
ujar Prof Ray lagi.
“Kalau
begitu, Prof mesti bantu kami,” minta Zel.
Profesor
Ray tersenyum dan mengangguk. Sebelum mereka meninggalkan tempat tersebut, dia
telah berjanji akan membantu Zel dan Mia.
* * *
Maklumat yang tertera di skrin Xeon Mvidia-IA
diulang baca satu persatu. Mia di sisi turut membantu. Tiba-tiba muncul satu
sinar menyilaukan. Berbentuk jaluran warna spektrum. Beberapa jenak kemudian,
dari jaluran cahaya spektrum itu muncul pula tiga molekul atom seperti bebola
perak berkilau.
Bebola-bebola perak tersebut berkitar-kitar di skrin Xeon Mvidia-IA sebelum berputar membuat bulatan 360 darjah. Beberapa jenak kemudian, ketiga-tiga bebola perak itu berhenti berputar. Salah satunya tiba-tiba terbelah dua dan memaparkan catatan:
“OBJEK YANG MELEDAK BUKAN DARI PLANET TETAPI HASIL CIPTAAN KOMPUTER LUAR. DILEPASKAN MELALUI BANTUAN SETELIT DI CAKERAWALA.”
Zel dan
Mia mengambil keputusan untuk menyiasat perkara tersebut. Zel bertindak
menghubungkan sistem Xeon Mvidia-IA dengan super komputer Mega KXPP 5000 yang
terdapat di JAPN-Zon-X melalui talian rahsia KOD 6280120. Penyiasatan dan
pengesahan talian Mega KXPP 5000 yang mempunyai talian 9980 di seluruh dunia
itu dilakukan dengan penuh berhati-hati.
Kemudian Xeon Mvidia-IA pun mengeluarkan output:
“TALIAN KOD 6280120 PERISIKAN RAHSIA ZON-X TELAH LIMA KALI DICEROBOHI. DATA TERKAWAL. PERTAHANAN TEGUH.”
Zel dan Mia berasa lega dengan output tersebut. Laporan bercetak secara
automatik segera dikeluarkan melalui mesin pencetak di sisi Xeon Mvidia-IA. Zel
menyalin beberapa salinan untuk disimpan dan ditunjukkan kepada Prof Ray.
* * *
“Saya meyakini cerita kamu kerana hasil
kajian kami juga menunjukkan bukan meteoroid yang jatuh tempoh hari tetapi
sebuah bom uranium buatan manusia,” jelas Profesor Ray sambil memberi semangat
kepada Zel supaya berbuat sesuatu. Dia yakin, kecanggihan sistem perisian
maklumat Xeon Mvidia-IA mampu menyelesaikan segala masalah.
“Barangkali
mereka mahu merosakkan alam sekitar Zon-X,” duga Zel.
“Dengan
cara itu, seluruh dunia akan mengutuk kita seterusnya mengenakan tindakan
ekonomi. Akibatnya, tentulah Zon-X akan dilanda pelbagai krisis,” ujar Prof Ray.
“Demontrasi rakyat akan berlaku dan akhirnya Zon-X akan tumbang!”
“Memang
jahat niat mereka, Prof!”
Zel
meninggalkan bilik Prof Ray menuju ke Makmal XXOI. Sewaktu dia tiba di situ, Mia
sudah berada di hadapan Xeon Mvidia-IA.
“Malam
ini kita mesti di sini!” ujar Zel.
“Apa
yang perlu kita lakukan di sini?” soal Mia.
Zel segera menceritakan segala yang telah
dibincangkannya dengan Prof Ray tadi. “Kita mesti musnahkan sistem super
komputer yang menceroboh. Hasil siasatan JAPN-Zon-X, mereka guna Talian
Antarabangsa 980 sewaktu menceroboh sistem kita. Mereka juga guna satelit untuk
menjatuhkan objek di Zon-X tempoh hari. Kita mesti musnahkan sistem super
komputer mereka.”
* * *
JAM 2200 malam. Zel dan Mia sudah bersedia. Zel
segera menghidupkan bekalan kuasa Xeon Mvidia-IA dan terus berhubung dengan
Mega KXPP 5000 melalui talian sulit KOD 6280120.
Sementara
itu Mia menghubungi Prof Ray yang ketika itu sudahpun dapat melihat apa yang
berlaku di Makmal XXOI melalui skrin televisyen. Segalanya ditindak dari sebuah
kamera sesentuh canggih yang diletakkan di satu pojok Makmal XXOI.
Beberapa
ketika kemudian, terpaparlah satu maklumat di skrin Xeon Mvidia-IA. Sebuah
agensi perisikan Zon-X luar telah berjaya menceroboh dan mencuri maklumat
tentang alam sekitar Zon-X. Benar seperti dugaan Zel dan Prof Ray selama ini
bahawa mereka ingin merosakkan alam sekitar Zon-X.
Sebuah satelit telah diprogramkan untuk melepaskan sebuah jisim berbentuk meteoroid di cakerawala. Di dalam jisim tersebut dipadatkan dengan gas-gas beracun yang mampu mematikan tumbuhan hijau, menambah-nipiskan lapisan ozon, menutrealkan ubatan, dan mengurangkan kandungan oksigen udara yang boleh memusnahkan terus manusia atau apa saja.
“Cepat
hubungi Prof Ray!” arah Mia kepada Zel. Zel segera akur.
“Kamu
dah bersedia?” tanya Prof Ray.
“Sudah,
Prof! Kita mulakan sekarang!” balas Zel dengan penuh semangat
“Okey,
beri arahan perlindungan kepada Xeon Mvidia-IA dan mulakan pengesanan
penggunaan keseluruhan talian sulit. Kita tunggu dan lihat,” Prof Ray memberi
arahan. Arahan segera dilaksanakan Mia. Zel sekadar memerhatikan segala
perkembangan.
“Prof,
adakah Prof dapat output dari Mega
KXPP 5000?” tanya Zel sejurus kemudian.
“Ya,
dapat!” jawab Prof Ray. “Saya akan cuba siasat punca perhubungan.” Diam sejenak.
Kemudian bersuara lagi. “Perhubungan berpunca dari sebuah super komputer
XYXY/101 yang terdapat di sebuah negara moden adikuasa. Kendalian automatik!”
Mia dan Zel sekarang berhadapan dengan kecanggihan teknologi komputer. Mungkin lebih canggih dari Xeon Mvidia-IA. Namun, mereka tidak cepat putus asa. Apapun terjadi, semangat melawan tetap bersemarak dalam dada masing-masing. Tiba-tiba Xeon Mvidia-IA memaparkan maklumat:
“STAR XR = kawal keseluruhan komputer dan satelit di cakerawala. Misi - melancarkan objek berbentuk meteoroid jenis XANIUS SUPER COMMA. Objek dibekalkan bahan 1 tan uranium. Akan dijatuhkan di tengah-tengah pusat pentadbiran Zon-X. Nisbah: 1,000 miligram uranium boleh membunuh satu nyawa, 3,000 miligram boleh mengeringkan semua daun hijau seluas 2 hektar tanah.”
“XYXY/101 = mengawal dan mengarahkan komputer dan satelit di cakerawala. Mengawal sebiji peluru berpandu seberat 1 tan. Kandungan, bahan kimia beracun boleh membantut pembesaran semua organisma. Arah pelancar - Banjaran Gunung. Misi bermula tepat jam 0000 waktu rahsia.”
Zel tersentak besar.
“Jangan
resah dan kuatkan semangat!” ujar Mia.
“Errrr…
saya sekadar terkejut!” balas Zel. “Tak usahlah kamu bimbang!”
“Zel!
Kamu dah baca maklumat di Xeon Mvidia-IA?” tiba-tiba Prof Ray bertanya.
“Sudah
Prof! Apa tindakan kita seterusnya?” soal Zel.
“Gabungan
tenaga kita diperlukan bagi membentuk satu pertahanan. Kemudian tukarkan arahan
asal kepada arahan terbaru. Selepas itu musnahkan sistem pengarahan kedua-dua
super komputer tersebut sebelum mereka bertindak. Sebelum itu, salin semua
maklumat dan data yang terdapat di super komputer mereka!” arah Prof Ray.
Zel segera mengarahkan Mia bertindak. Sistem
pertahanan dibentuk. Arahan baru diprogramkan. Sasaran ditukar kepada punca
arahan. Kedua-dua arahan ditukar serentak. Sasaran Meteoroid XANIUS SUPER COMMA
ke punca arahan peluru berpandu beracun yang diarahkan ke Banjaran Gunung.
Sasaran peluru berpandu beracun ditukar ke punca arahan Meteoroid XANIUS SUPER
COMMA. Prof Ray terus memberi arahan, “Bersedia! Dalam kiraan 10 saat, tekan
kekunci ENTER.”
“Baik
Prof!”
10…
09.. 08.. 07.. 06.. 05.. 04.. 03.. 02.. 01.. 00..
Gihh…
gihhhh… gihhhhh… bizzzztttt… Bizzzzzztttttttt…
Kekunci
ENTER serentak ditekan. Sejurus kemudian satu garisan hitam berlajur di skrin Xeon
Mvidia-IA. Meteoroid XANIUS SUPER COMMA meledak di punca arahan peluru berpandu
beracun sementara peluru berpandu beracun pula meledak di punca arahan
Meteoroid XANIUS SUPER COMMA. Imej api dan asap terpampang jelas di skrin Xeon Mvidia-IA.
Memberi makna satu letupan dan kebakaran besar telah berlaku.
Sementara
itu, sebanyak 9 juta data dari kedua-dua super komputer tadi sempat dirakam ke
dalam pusat penyimpanan data Xeon Mvidia-IA. Maklumat tersebut akan digunakan
oleh Zon-X sebagai bahan bukti dan penyiasatan menyeluruh pakar pertahanan.
Talian
KOD 6280120 kini tidak lagi boleh dicerobohi sebarang kecanggihan komputer
asing. Taliannya telah dipagar serta dikawal sistem pengawalan canggih Xeon Mvidia-IA.
Keesokan
hari, akhbar-akhbar perdana telah melaporkan satu letupan besar telah berlaku
di bahagian pemerosesan maklumat komputer XYXY/101 milik pusat satelit sebuah negara
asing. Letupan tersebut telah memusnahkan seluruh data yang terdapat di
dalamnya.
Satu
letupan lagi lebih menggemparkan. Pusat pemprosesan maklumat komputer STAR XR
milik sebuah lagi pusat angkasa lepas negara itu turut musnah termasuk semua
maklumat di dalamnya.
“Biarlah
perkara di sebalik kejadian ini menjadi rahsia kita!” ujar Zel. Senyum lebar
memurup di bibir. Mia turut tersenyum.
Xeon Mvidia-IA
diam di sisi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan