Khamis, 21 Disember 2023

BILA CETONG BERBUNYI

SMAHADZIR

 

Buluh cetong di tangan Simah, Maidah dan Bona, terus dihentakkan ke kayu beluti di atas tanah mengiringi Tarian Sewang. Irama ketukan cetong bergema memecah kedamaian Kampung Aman. Tarian Sewang yang dipersembahkan oleh lapan gadis suku kaum Jahai berkostumkan kain batik, selempang dan tanjak daun kelapa itu, menarik perhatian ramai. Kebanyakan mereka adalah para pelancong yang datang untuk melawat kampung tersebut yang letaknya di tepian Tasik Temenggor berhampiran Pulau Banding dalam kawasan Hutan Simpan Royal Belum di Grik, Perak.

Di satu sudut tidak jauh dari tempat Simah dan rakan-rakannya mengadakan persembahan, Tok Batin Sukim bersama beberapa orang pegawai dari Jabatan Kebudayaan dan Warisan Negeri Perak kelihatan tersenyum ceria kerana anak-anak buahnya telah memberi persembahan yang baik kepada pelancong.

          Namun bagi Simah, ketukan buluh cetongnya kali ini dirasakan amat tidak bermaya sekali. Tidak seperti semasa Baim ada bersama suatu ketika dulu. Sewaktu Baim ada bersama dulu, persembahan budaya bangsa Jahai ini dirasakan amat seronok dan dilakukan dengan penuh rasa bahagia. Tetapi sejak Baim meninggalkan Kampung Aman bersama Pongsu kerana ingin mengubah nasib, Simah merasakan hidupnya amat sepi, ketukan buluh cetongnya juga dirasakan tidak segembira dulu.

“Aku akan melamarmu pada musim bunga ilalang mekar dan berterbangan. Ketika itu langit di atas kampung kita ini dikelilingi bunga ilalang yang melayang-layang seperti burung putih yang larut oleh hembusan angin,” kata Bain pada suatu senja di tepi Tasik Temenggor. Sepasang kakinya terjulur ke tebing yang memiliki ketulan batu. Sesekali air memercik dingin. Melepaskan serpihan kekotoran yang mengering di atas buku lali.

“Aku tidak ingin mendengar apa-apa janjipun,” balas Simah sembari memandang langit yang mulai dijalari warna kesumba. Dia membayangkan gumpalan bunga ilalang yang melepaskan diri dari selaput bunga, bukan terbang merendah, melainkan terbang semakin jauh. Simah sungguh takut jika cinta Bain suatu ketika nanti akan menjauh seperti bunga ilalang yang dibawa angin itu.

“Aku betul-betul, Simah! Cuba pandang mataku.” Wajah Bain mendekat.

Simah tahu dari hembusan nafas Baim yang menyapu pipi. “Sudah aku katakan, aku tidak ingin mendengar apa-apa janji.”

Simah bertahan tidak menoleh. Julai ilalang di atas kepala mereka nampak seperti coretan tangan seorang pelukis. Batang kecil keperangan menjulang, bergoyang-goyang ke kiri ke kanan seolah-olah Tarian Sewang.

“Aku janji, masanya tidak sampai tahun depan,” tegas Baim.

Selanjutnya Simah merasakan hidung Bain menyentuh kulit jejari tangannya. Rambutnya berkibar oleh angin yang berhembus sepanjang Tasik Temenggor. Suara gemerisik air yang membentur tunggul-tunggul pokok memperdengarkan simfoni seorang komposer muzik.

Bain terus mencium tangannya. Memaut kelopak matanya jadi kuyu. Bain menyebutnya sebagai tanda cinta. Simah tahu. Simah sangat faham kerana dia juga memiliki rasa cinta pada lelaki itu. Rindu akan memenuhi rongga dadanya setiap kali Bain tidak berada di sisinya terutama ketika sedang mengetuk buluh cetong.

Simah juga ingin menyampaikan perkembangan perasaan ibunya terhadap Bain, sewaktu lelaki itu sedang berada di hutan membuat sumpit serta damak untuk memburu. Kadang-kadang Baim membuat perangkap atau jerat, iaitu rutin harian bangsa mereka untuk mendapatkan makanan. Dan selalunya baru petang hari dapat dia berikan khabar itu, tetapi tentu dengan letupan perasaan yang mulai layu.

Bain masih mencium jejari tangannya. Misai jarangnya kadang-kadang menerobos ke dalam celahan jejari Simah. Simah kegelian, tetapi sedikit disembunyikan. Serasa Simah ingin terbang bersama Bain dengan kedua-dua tangan yang dengan gesit berubah menjadi sayap kemudian bergulingan pula di atas rumput seperti heroin filem Kuch-Kuch Ho Ta Hey.

Jika kehilangan kendali, mungkin akan menggelongsor ke tubir tebing hingga tubuh tercelup ke dalam Tasik Temenggor. Mungkin menjadi adegan yang sangat menarik: bercinta sekaligus berenang melawan kocakan air.

Tetapi tidak. Bain memandang wajah perempuan pujaannya itu dengan mata yang berbinar. Simah sungguh terharu melihat api semangat menyala di sana. Pasti tekadmu untuk melamarku begitu tinggi, fikir Simah. Seraya membayangkan sebuah pelamin dan ranjang buluh, juga sebuah percintaan yang bebas.

Sayangnya, mengapa Bain menjanjikan waktunya? Padahal Simah ingin semuanya mengalir dan terjadi begitu saja. Seperti Tasik Temenggor di hadapannya. Simah tidak ingin kecewa jika janji itu melenyap.

“Bagaimana?” Bain masih mengharap jawapan Simah.

“Terserah pada kamu,” Simah hanya tersenyum. Selalu tidak tergamak untuk membuatkan perasaan lelaki itu patah.

“Apa maksudmu dengan terserah?” tanya Bain. “Tidak bermaksud meragukan janjiku, bukan?”

“Aku percaya. Bukankah selama ini aku percaya padamu?”

Simah memandang mata Bain. Ingin menangkap sesuatu yang mungkin tersembunyi.

“Ya,” akhirnya Bain menghela nafas seperti melepaskan beban. Dia kembali duduk di samping gadis itu. Matanya memandang langit, seperti ingin menyambung pemandangan berhias julai-julai ilalang.

“Mari kita pulang,” ajak Simah.

Sebentar lagi senja akan berakhir.

 

* * *

 

Kini, senja yang cantik di tepi Tasik Temenggor itu, tidak lagi ditemui Simah. Dia memang mampu mengunjungi tempat yang sama, seperti sekarang ini, tetapi tidak dengan kehadiran Bain. Tidak dengan hembusan nafasnya di sekitar jejari tangan. Tidak dengan ucapannya yang mengandungi banyak harapan.

Tasik Temenggor itu masih juga mengalir ke arah yang sama. Bening dan mempertontonkan samar-samar kontur di dasarnya. Kadang-kadang mata Simah berkaca-kaca jika membongkokkan badan sambil berpegangan pada batang petai belalang yang tumbuh di tebing Tasik Temenggor. Kadang-kadang dapat dilihatnya bunga-bunga ilalang yang bergoyangan di hujung julai seperti cebis-cebis kapas yang melekat di hujung rerumput, dan sesetengahnya berterbangan bersama awan-awan yang berserak sebagai latar.

Tetapi, seperti ucapan seorang ahli falsafah, Tasik Temenggor hari ini berbeza dengan Tasik Temenggor kelmarin dan esok pagi. Air itu tidak diam. Ia terus mengalir sehingga ke Pulau Banding.

Yang ditemui Simah sekarang, andai mampu bicara, tidak mungkin menjadi saksi janji Bain senja itu. Kini dia hanya sanggup mengenangnya sendiri. Entah kenapa, merasa sangat bahagia jika yang dikenangnya adalah peristiwa manis sebelum Bain menghilang. Simah akan menyebutnya sebagai nostalgia bersama bekas kekasih.

“Aku akan mengirim berita melalui whatsApp setiap hari. Aku ada banyak waktu pada hari Ahad. Ketika berehat, aku akan duduk di sebuah pondok papan yang kami bina tidak jauh dari tapak projek.”

Hari Ahad, biasanya Simah menerima banyak cerita dan kata-kata rindu Bain melalui whatsApp. Perasaannya bahagia, kerana tulisan Bain mengandungi cinta. Mengandungi rasa rindu yang dalam. Simah sanggup mengulang baca beberapa kali.

Simah juga bersemangat membalasnya. Meskipun kemudian harus berjalan kaki jauh dari rumah kerana tidak mahu diketahui oleh adiknya, Sukun ‘kaki penyibuk’ itu yang tentunya akan dijaja cerita kepada seisi keluarga. Simah sanggup mengatur langkah kaki ke tepian Tasik Temenggor untuk membalas whatsApp Bain. Di tepian tasik itulah selalunya Simah akan menjalin aksara satu-satu sesedap mungkin untuk dibaca oleh buah hatinya di perantauan. Simah yakin, Bain tentu akan gembira dan rasa bahagia apabila membaca karangannya yang berbunga-bunga itu.

Sebelum tulisan itu benar-benar tiba di tangan Bain, dia selalu membayangkan lelaki pujaannya menerima dan membacanya dengan perasaan yang tidak sabar. Mungkin tidak menunggu keringatnya kering atau mandi terlebih dulu. Ah, pasti telefon yang mulanya bersih menjadi ternoda kerana tangannya tidak sempat dicuci sebaik habis dari kerja.

“Mungkin ketika Hari Genggulang nanti aku tidak boleh pulang, kerana bangunan yang kami bina harus segera disiapkan. Aku akan kirim ‘hadiah’ saja melalui Pongsu yang pulang ke kampung. Ya, sekadar hadiah Hari Genggulang. Mudah-mudahan selepas perayaan Hari Genggulang nanti, aku benar-benar memiliki cuti yang panjang.”

Simah membaca whatsApp Bain di awal bulan itu dengan rasa sedih. Seperti ada yang tercerabut. Ketika semua orang berbahagia kerana berkumpul dengan handai-taulan, kekasihnya tidak muncul. Seolah-olah Bain telah merancang untuk tidak pulang. Meskipun itu bukan kehendakmu, bisik Simah, tetapi aku menganggapnya seperti itu. Kamu telah merancang untuk tidak pulang menemuiku!

Mudah-mudahan whatsAppmu ini hanya gurauan.

Sebenarnya dulu Simah ingin menghalang pemergian Bain. Sebagai anak muda suku kaum Jahai yang budayanya amat bernilai sebagai pusaka milik negara, dia lebih diperlukan di Kampung Aman ini sebagai pemain centong dan sekali-sekala menari Tarian Sewang bersama rakan-rakannya yang lain. Kampung di pinggiran Tasik Temenggor ini telah menjadi destinasi para pelancong yang datang dari pelbagai tempat semata-mata untuk menyaksikan keunikan budaya yang ada pada suku kaum Jahai. Ah, Bain tidak terlampau bodoh. Bahkan dalam berbicara kelihatan luas perbendaharaan katanya. Kelihatan kaya dengan gagasan meskipun kadang-kadang terasa aneh.

Simah yakin, Bain juga berkemampuan untuk menjadi pemandu pelancong atau pemandu bot pelancong yang boleh membawa para pelancong mengeliling Tasik Temenggor dan juga Pulau Banding. Tetapi entah mengapa, lelaki Jahai berbadan rendah dengan kulit gelap dan rambut kerinting itu lebih tertarik dengan suasana pembangunan di kota. Di Johor Bahru pula. Katanya, dia ingin menjadi anak muda Jahai pertama yang mempersembahkan tarikan ototnya dengan membina bangunan bertingkat puluhan, yang tingginya sampai ke awan. Ketinggian yang akan membuatkan orang berasa gayat, gementar dan berkunang-kunang biji mata.

“Aku seronok membaca whatsAppmu, Simah! Kamu tak pernah habis bercerita soal buluh cetong, soal Tarian Sewang dan budaya-budaya lain milik bangsa kita. Kamu juga banyak memiliki cerita lucu, yang ketika aku di kampung tidak pernah muncul. Aku jadi sering merasa rindu. Tetapi perjuangan memang tidak ringan, tidak sederhana, dan untuk mencapai keinginan selalu diperlukan pengorbanan.”

Simah suka menyeka air mata setiap kali perasaannya tersentuh jelu. Begitu besar hasrat Bain untuk menjadi seorang yang akan dihormati kerana memiliki banyak wang. Tetapi dia tidak pernah bertanya kepadaku, bisik Simah, apakah yang sesungguhnya aku perlukan?

Dia tidak pernah tahu, bahawa aku lebih bangga ketika dia bersedia membangunkan kampungnya sendiri. Menggarap hutan atau kebun yang pasti membuatnya lebih sihat. Tanpa keluar dari kampung bukan bererti tidak memiliki kehidupan yang senang.

Ternyata benar, segala janji Bain segera menjadi serpihan kertas ditiup angin. Selepas Hari Genggulang tiada khabar dia akan pulang menjenguk Simah. Acap kali ibunya menanyakan kepastian lelaki itu akan melamar, atau setidak-tidaknya pulang menunjukkan diri bahawa masih setia terhadap kekasihnya.

Diam-diam, di sudut malam, ketika hawa dingin meresap ke sela anyaman dinding rumah, disaksikan bulan yang sedang purnama, Simah menangis. Dia merasa lemas dengan keadaan seperti itu. Kesepian seorang diri selama berbulan-bulan. Dia menyesal telah mendengar janji Bain. Kerana yang terjadi kemudian adalah yang selama ini ditakuti.

“Bain sudah berangkat ke Singapura,” kata Pongsu beberapa hari yang lalu. “Kebetulan aku bertemu dengan dia di Tambak Johor.”

Mata Simah terbelalak, namun bibirnya terkatup sembari menggeletar.

“Apakah dia tidak beritahu kamu terlebih dahulu sebelum pergi ke Singapura?” tanya Pongsu sejurus kemudian.

Mata Simah terasa panas. Tetapi tidak mungkin waktu itu juga mencurahkan perasaan sedihnya kepada Pongsu.

Memang, awalnya, Bain tinggal di bilik sewa Pongsu sebelum mampu menyewa bilik sendiri. Sebagai penjual madu tualang dari hutan, Pongsu memiliki ramai pelanggan di Johor Bharu. Pongsu juga telah berjaya hidup di perantauan. Kejayaan Pongsu itulah yang mendorong Bain untuk meninggalkan kampung halaman.

Mungkin whatsApp Simah yang terakhir, yang mengkhabarkan bahawa orang tuanya telah berulangkali menanyakan niat Bain untuk melamarnya, tidak sempat dibacanya. Simah menggeleng kerana Pongsu masih memandangnya. “Aku menunggu whatsAppnya, Pongsu! Lama tidak kunjung tiba.”

“Boleh jadi, whatsApp kamu yang terakhir itu tidak sampai ke tangannya.” Pongsu sedikit cemas. “Aku bercadang nak pergi berjumpa dengannya di bilik sewanya tapi sehari kemudian aku bertemu dengannya di Tambak Johor sudah bersiap-sedia nak berangkat bersama rakan-rakannya yang aku kurang kenal. Mereka nak ke Singapura dan bekerja di sana. Katanya, gaji di sana lebih lumayan!”

 

* * *

 

Pelancong dari luar akan datang lagi hari ini untuk melawat Kampung Aman. Seperti biasa Tok Batin Sukim telah mengarahkan Simah, Maidah dan Bona, supaya bersedia dengan buluh cetong masing-masing untuk mengiringi Tarian Sewang sebagai persembahan menerima tetamu dari luar, tetapi Simah sudah bertekad untuk tidak mengetuk buluh cetong hari ini. Dia terlalu sedih mengenangkan Bain. Biarlah Maidah dan Bona, yang mengetuk buluh cetong itu. Tanpa dia seorang tidak akan menjejaskan persembahan.

Bunga ilalang telah merekah. Angin semilir membuatkan julai ilalang itu berayun, sebelum menebarkan serpihan gebu putih. Sudah ketikanya ia lepas bebas, ditiup angin, dan dipisahkan antara bunga ilalang dengan julai-julainya. Lalu diterbangkan angin kemudian jatuh ke tanah untuk menghimpang anak-anak ilalang yang baru.

Simah selalu menutup hidungnya yang pesek itu setiap kali bunga-bunga ilalang itu berterbangan ke mukanya. Tidak seperti Maidah atau Bona, yang tidak pernah bersin oleh hembusan bunga ilalang yang berterbangan.

“Kau tak pergi main buluh cetong, Simah?” tanya ayahnya. “Bukankah hari ini ada pelancong yang akan datang melawat kampung kita?”

Simah berpura-pura tidak mendengar suara ayahnya yang sengaja dikuatkan. Dia hanya berfikir tentang Bain dan berasa amat hairan kenapa lelaki itu lebih terpikat membangunkan negara orang, sementara di kampung tepian Tasik Temenggor ini masih ada hamparan tanah berbukit yang ditumbuhi pelbagai pokok hutan yang boleh dimanfaatkan dengan pelbagai cara.

Apa yang telah membuatkan mata lelaki Jahai itu nanar dan perasaannya terpukau dengan Singapura? Sedangkan di sini ada seorang kekasih setia yang boleh dicium jejari tangannya di tepi Tasik Temenggor, sambil memandang langit senja dengan bunga-bunga ilalang yang melayang-layang berterbangan.

Perasaan nyeri itulah yang kemudiannya membawa kaki Simah berlari ke arah belukar kecil di belakang rumah. Menerobos pagar yang dibuat dari batang-batang berduri pokok salak, menyusuri jalan kecil yang semakin menurun.

Rerimbun petai belalang, pokok menerong, dan perdu halban dilalui dengan rakus. Sampailah Simah di tempat landai tepi Tasik Temenggor, tempat dia biasa duduk-duduk bersama Bain lebih dua tahun yang lalu.

Dan di kejauhan terdengar bunyi ketukan buluh cetong menandakan para pelancong sudah tiba di Kampung Aman. Tarian Sewang juga sudah dipersembahkan. Simah teringat janji Bain. Janji yang sesungguhnya tidak ingin didengarnya. Kerana ketika ini, sambil berbaring dia mampu memandang bunga-bunga ilalang pecah merekah, mempamerkan tarian bunga-bunga itu dibawa angin.

Sementara seseorang yang berjanji akan melamarnya namun tidak terdengar khabar beritanya. Kecuali tentang nasib buruk tenaga kerja dari luar yang bekerja di sana. Mata wang negara itu lebih besar. Kehidupan di sana juga amat mencabar. Adakah Bain termasuk di antara mereka yang bakal tercabar di negara itu?

Simah menggeleng seraya tersenyum pahit. Mungkin akan terasa nyaman jika perlahan-lahan kakinya yang menggantung di tebing Tasik Temenggor itu dicelupkan ke dalam air yang mengalir gemericik. Dingin arus bening itu akan meresap ke kulit.

Lalu perlahan-lahan pula dia pejamkan mata, agar tidak kelihatan pemandangan yang membuatnya selalu teringat masa-masa indah dulu. Kemudian, siapa tahu dasar Tasik Temenggor itu berminat menarik tubuhnya untuk lemas dan hanyut. Ya, siapa tahu?

Di kejauhan suara hentakan buluh cetong terus bersipongang.

 

 

Glosari

 

Suku kaum Jahai adalah salah satu daripada 19 kumpulan Orang Asli yang terdapat di Malaysia. Suku ini diklasifikasikan di bawah susur galur puak Negrito atau Semang. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai Jah Jehai atau Orang Semang.

 

Hari Genggulang ialah sambutan Tahun Baru Orang Asli atau dalam bahasa suku kaum Jakun dikenali sebagai ‘Tahon Baro’ manakala dalam bahasa Semai disebut ‘Jis Pai’ atau ‘Tahut Pai’, dalam bahasa Temuan disebut ‘Tahun Bahauk’, dalam bahasa Semelai disebut ‘Nyulung Tahun’, dalam bahasa Mahmeri disebut ‘Tawun Empai’ dan dalam bahasa Temiar disebut ‘Is Pai’. Dari segi sebutannya berbeza, namun pengertian atau maksudnya adalah sama iaitu perayaan menyambut tahun baru. Masyarakat Orang Asli memeriahkan sambutan tahun baru sebagai hari perayaan rasmi bagi suku kaum mereka. Contohnya Yayasan Orang Asli Perak menjadikan ‘Jis Pai’ atau ‘Tahut Pai’ sebagai program induk tahunan badan tersebut. Bagi masyarakat Orang Asli di negeri Selangor dan Negeri Sembilan ia dikenali sebagai sambutan atau perayaan ‘Hari Moyang’. Di Perak dikenali sebagai ‘Genggulang’ manakala di Pahang pula dikenali sebagai ‘Bla Kampung’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA