Isnin, 18 Mac 2013

PANTUN ENAM KERAT: BAHASA KEBANGSAAN JIWA BANGSA


SMAHADZIR


Ceria nelayan memunggah pelata,
Tangan bertepuk hati gembira,
Beli seraga dibawa pulang,
Bahasa kebangsaan jiwa kita,
Dijaga dipupuk segenap warga,
Jatidiri bangsa negara gemilang,

Kain basahan dihinggap kelekatu,
Anak disakat harimau mengaum,
Berangan tumbang menimpa tempua,
Berbahasa kebangsaan menerjah waktu,
Penyatu masyarakat berbilang kaum,
Semarak berkembang ke serata benua.

Ke rumah penghulu di Taman Setanggi,
Bawa sejadah tanda ziarah,
Singgah di Jengka membeli toman,
Bahasa Melayu martabatnya tinggi,
Tercatat sudah di lipatan sejarah,
Lingua franca zaman-berzaman,

Pokok sugi berdaun layu,
Dikerat-kerat dibuat jambatan,
Tempat asmara dua pahlawan,
Tidak rugi berbahasa Melayu,
Warga erat sejahtera watan,
Kukuh negara teguh perpaduan.

Bakar jerami tepian pengandar,
Kain basahan tersidai di telaga,
Biji cemara disebar merata,
Bicara difahami wasangka terhindar,
Bahasa kebangsaan penyatu warga,
Kukuhlah negara Malaysia tercinta.

Kain basahan dibawa ke huma,
Pondok papan di hujung laman,
Perdu berangan nampak berbalam,
Bahasa kebangsaan milik bersama,
Kita ungkapkan sepanjang zaman,
Hasil perjuangan pahlawan silam.

Dibuang sembilu jadi mengkawan,
Akar kedangsa dibebat-bebat,
Tempat berlari sekawan rusa,
Bahasa Melayu bahasa perpaduan,
Kesantunan bahasa tinggi martabat,
Pembentuk jatidiri bangsa Malaysia.

Pokok cemara di tanah rata,
Tempat bermesra sepasang murai,
Hinggap di dahan burung pekaka,
Segar dan mesra bahasa kita,
Pusaka negara usah terburai,
Nadi keutuhan negara merdeka.

Di perdu gemuyu tempat bertemu,
Cincin diikat bersalut gangsa,
Pinggan nasi tepian cangkir,
Bahasa Melayu wacana ilmu,
Penyatu masyarakat pelbagai bangsa,
Penjana generasi tuntas berfikir.

Hinggap kenari di kubur keramat,
Berjatuh-jatuhan buah pulasan,
Atas biara berbumbung gangsa,
Bahasa dilestari mendukung matlamat,
Pengukuh perpaduan satu wawasan,
Satu negara satu bahasa.

Enak terasa hirisan keladi,
Buat makanan sekawan angsa,
Masak bendi bersama turi,
Indahnya bahasa santunan budi,
Jadi cerminan sahsiah bangsa,
Teras peribadi nilaian diri.

Burung jentayu di dahan gedangsa,
Berwarna-warni cantik dipandang,
Bersiul ceria senandung merdu,
Bahasa penyatu pelbagai bangsa,
Wawasan murni bakal terjulang,
Satu Malaysia wadah berpadu.

Suara mendayu sekawan angsa,
Dahan patah kenanga mengharum,
Di atas ranting melekat sialang,
Bahasa Melayu maruah bangsa,
Wadah muhibah antara kaum,
Aset terpenting negara cemerlang.

Burung jentayu gagah perkasa,
Di atas gunung makanan disiat,
Girang hatinya tidak terhingga,
Bahasa Melayu mahkota bangsa,
Dijulang dijunjung sepanjang hayat,
Martabat dan mutunya harus dijaga.

Cantik kenari di hujung desa,
Di dahan pulasan terbang turun,
Buah pepaya kuning bersaga,
Bangsa dikenali kerana bahasa,
Budaya warisan sejak berkurun,
Semarakkan ia di hati warga.

Ukiran kayu bersalut suasa,
Mari diikat di atas bata,
Cantik warna memikat hati,
Bahasa Melayu penyatu bangsa,
Semua masyarakat seia sekata,
Perlu dicakna dijiwai dihayati.

PANTUN 4 KERAT: Tulisan Jawi Lambang Budaya Bangsa Bermaruah


SMAHADZIR

Pohon jejawi di jihad tenggara,
Bunga kemangi di atas para;
Tulisan Jawi laksana lantera,
Pernah menerangi pelosok Nusantara.

Air berbani nampak bersisik,
Kayu pangkalan pancang di taman;
Tulisan Jawi khazanah klasik,
Jangan biarkan ditelan zaman.

Anak helang terbang tinggi,
Tinggi menjulang nampak berbalam;
Subur gemilang tulisan Jawi,
Biar cemerlang serata alam.

Batu kawi dibuat acuan,
Acuan seramik hiasan astaka;
Tulisan Jawi wadah perpaduan,
Pelbagai etnik bentala merdeka.

Biola berbunyi bertali tangsi,
Manik di baju kuat jahitan;
Tulisan Jawi amat berpontesi,
Untuk dimaju dan dipopularkan.

Subur di taman bayam dan sawi,
Anak teritip di tengah sawah;
Galakkan penggunaan tulisan Jawi,
Langkah positif martabatkan maruah.

Senandung kediri berhati sayu,
Orang merawi di hujung kuala;
Mantapkan jatidiri tamadun Melayu,
Tulisan Jawi semarakkan semula.

Kain diberus di sisi kanan,
Cantik dasi bercorak rerama;
Media harus mainkan peranan,
Semua organisasi turut bersama.

Molek hiasan mahligai dewata,
Kencana dewi penuh di dada;
Lestarikan warisan bangsa tercinta,
Tulisan Jawi di mercu persada.

Berjurai kawi ayam juara,
Hamba sahaya duduk di bawah;
Tulisan Jawi semarakkan semula,
Lambang budaya bangsa bermaruah.

Pohon jejawi di hujung desa,
Dedaun nangka jatuh ke laman;
Tulisan Jawi warisan bangsa,
Menjadi pusaka zaman berzaman.

Dedaun nangka jatuh ke laman,
Tersekah dahan di tanah rata;
Menjadi pusaka zaman berzaman,
Lambang kemegahan budaya kita.

Tersekah dahan di tanah rata,
Sarang  kelicap tepian taman;
Lambang kemegahan budaya kita,
Jangan lenyap ditelan zaman.

Sarang  kelicap tepian taman,
Lebah tualang di dahan markisa;
Jangan lenyap ditelan zaman,
Lestari terjulang maruah bangsa.

Lebah tualang di dahan markisa,
Dengung lelawi terbang di kuala;
Lestari terjulang maruah bangsa,
Tulisan Jawi perkasakan semula.

Dengung lelawi terbang di kuala,
Masak di julai buah bidara;
Tulisan Jawi perkasakan semula,
Khazanah bernilai milik negara.

Masak di julai buah bidara,
Batu kawi dibuat acuan;
Khazanah bernilai milik negara,
Tulisan Jawi wadah perpaduan.

Batu kawi dibuat acuan,
Buatan tangan hiasan istana;
Tulisan Jawi wadah perpaduan,
Di bawah naungan wawasan perdana.

Buatan tangan hiasan istana,
Pucuk cemara menjulang angkasa;
Di bawah naungan wawasan perdana,
Negara sejahtera rakyat sentosa.

Pucuk cemara menjulang angkasa,
Sayur sawi dicampur lada;
Negara sejahtera rakyat sentosa,
Tulisan Jawi megah di persada.

Pohon jejawi tumbuh berselerak,
Akar merayap tepian biara;
Tulisan Jawi pernah bersemarak,
Melebar sayap bumi Nusantara.

Dahan kuini dihinggap helang,
Tanam sawi dijarak-jarakkan;
Tetapi kini kian menghilang,
Tulisan Jawi sudah dilupakan.

Dahan bertindih pokok dedalu,
Batu kawi berukir di tepi;
Bagai pedih disayat sembilu,
Tulisan Jawi dipinggir sepi.

Cantik rerama dipuja ratu,
Bagai gemala istana syurgawi;
Mari bersama kita bersatu,
Semarakkan semula tulisan Jawi.

Pujangga merawi manisan dijamu,
Kisah daeng kuat berzikir;
Tulisan Jawi tulisan ilmu,
Mampu bersaing di era mutakhir.

Pohon pauh pinggiran paya,
Istana dewi tidak bertangga;
Pancangkan teguh pilar budaya,
Tulisan Jawi khazanah berharga.

Ukiran kayu dijaga selia,
Burung cecawi bersarang di bawah;
Bangsa Melayu di persada mulia,
Tulisan Jawi penjana maruah.

Dahan gedangsa melekat sialang,
Kandang kuda disekat-sekat;
Pusaka bangsa jangan menghilang,
Generasi muda pancangkan tekad.

Anak gahara bergurau senda,
Lenggok berseni tarian randai;
Biar prahara datang melanda,
Tulisan Jawi jangan digadai.

Emas ditawi serelong sawah,
Hati sayu diamuk petaka;
Tegak Jawi megahlah maruah,
Bangsa Melayu bentala merdeka.

Dedaun sawi di atas para,
Masak di kawah si gadis ayu;
Tulisan Jawi khazanah negara,
Penjulang maruah bangsa Melayu.

Jangan dimakan putik jejawi,
Buah gedangsa gugur di taman;
Jangan lenyapkan tulisan Jawi,
Pusaka bangsa zaman berzaman.

Hidangan dijamu sajian nyonya,
Gadis bersari duduk bersila;
Bahasa ilmu tinggi nilainya,
Tulisan Jawi semarakkan semula.

Harum setanggi di atas palang,
Daun pala dimakan rusa;           
Julang tinggi di mercu gemilang,
Tegakkan semula maruah bangsa.

Pohon papaya tepian halaman,
Teruna dara asyik bersembang;
Pancang budaya sejak berzaman,
Seluruh Nusantara pernah berkembang.

Akar jejawi dibuat jamu,
Daun mempelam ditiup bayu;
Tulisan Jawi tulisan ilmu,
Citra keungggulan budaya Melayu.

Beban Pengusaha, Peniaga Jangan Digalas Pengguna


SEJAK awal lagi sudah timbul kekeliruan mengenai tarikh sebenar pembukaan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS). Satu pihak kata mulai 1 Januari manakala pihak lain pula mengumumkannya pada 2 Februari.

Kemudian kecoh pula mengenai ruang niaga yang kadar sewanya terlalu mahal. Kemudian ada lagi beberapa isu lain yang melibatkan pengusaha bas dan penduduk sekitarnya. Keengganan pengusaha bas memasuki terminal itu membuatkan Halimah Mohamed Sadique yang mengetuai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) naik berang dan memberi kata dua. Mujurlah isu ini selesai, jika tidak meranalah pengguna bas ekspres ke selatan. Jelaslah TBS-BTS yang begitu indah dilihat pada waktu malam dari Lebuh Raya Sungai Besi tidak seindah cerita di dalamnya. Begitu jugalah ‘keindahan serta keselesaan’ yang ada di terminal itu perlu ‘dibayar’ dengan harga yang mahal.

Dalam menghadapi isu ini yang boleh dianggap sebagai isu rakyat, tidak perlulah mana-mana pihak menggertak satu sama lain. Memang mudah untuk ‘mengugut’ itu dan ini tetapi apakah kesudahannya? Masing-masing mempunyai alasan dan pandangan tersendiri mengenai TBS-BTS ini. Maka dalam menyelesaikan kemelut ini, semua pihak perlu mewujudkan suasana menang-menang.

Tidak mudah untuk menyelesaikan isu berkaitan pengangkutan awam kerana ia melibatkan banyak pihak. Harus diingat pengangkutan awam biasanya digunakan oleh mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan inilah yang memerlukan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan lebih-lebih lagi selepas kewujudan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Apabila ia melibatkan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, maka ‘semua kos’ juga perlu rendah dan sederhana. Ini termasuk tambang, makanan dan minuman serta kemudahan lain. Semuanya biar murah seperti AirAsia menawarkan tambang murah supaya ‘semua orang boleh terbang.’ Tetapi bagaimana harga murah boleh ditawarkan atau dikekalkan jika pelbagai kos naik disebabkan faktor-faktor lain?

Memang rakyat mengalu-ngalukan kemudahan yang lebih selesa untuk mereka. Sudah berapa lama pengguna tidak selesa dengan Puduraya atau di Hentian Bas Sementara Bukit Jalil.

Seperti yang pernah diselak di ruangan ini tidak lama dulu, banyak perhentian bas tidak selesa dengan persekitaran yang kotor, jalan berlubang serta berbau asap. Tetapi Selak tertarik dengan kemunculan Melaka Sentral yang menjadi hab pengangkutan awam. Bangunannya ringkas tetapi menarik. Tidaklah secanggih TBS-BTS. Tetapi kali pertama menjejak kaki di Melaka Sentral yang berhawa dingin itu seolah-olah berada dalam kemudahan di lapangan terbang. Melaka Sentral cetusan Ketua Menteri, Ali Rustam telah mewujudkan persekitaran yang selesa serta peluang perniagaan kepada seberapa banyak peniaga terutama orang Melayu.

Sebagai pengguna, mereka tidak memerlukan sesuatu yang begitu canggih bertaraf lapangan terbang. Sementara mereka menunggu ketibaan bas, cukuplah disediakan tempat menunggu yang selesa, surau untuk solat, tandas awam, kedai makan yang menawarkan harga berpatutan serta dapat menjenguk dan membeli sedikit barang di kedai-kedai yang menawarkan harga sepatutnya. Suasana sebegini ada di Melaka Sentral.

Bagaimanapun jika kerajaan mahu mewujudkan suasana yang lebih canggih, bertaraf antarabangsa memang dialu-alukan. Maka pembinaan TBS-BTS yang bernilai RM570 juta itu amat bermakna kepada rakyat. Kedudukannya pula dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan seperti komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Express Rail Link (ERL). Dua stesen minyak dan gas juga ada berhampiran di situ. Tetapi akibat terlalu canggih, maka ada kos yang terpaksa dibayar oleh pengguna iaitu pengusaha bas, peniaga/penyewa lot perniagaan dan penumpang bas.

Ketika ini difahamkan hanya enam daripada 51 pengusaha bas ekspres laluan selatan telah beroperasi di situ. Sementara yang lain dijangka berpindah dari Bukit Jalil menjelang 2 Februari ini.

Adalah diharapkan, segala permasalahan yang berlaku sebelum ini seperti caj bagi setiap bas ekspres keluar masuk ke terminal itu tidak akan menjejaskan operasi.

Lebih penting, kita tidak mahu caj yang dikenakan terhadap pengusaha bas terpaksa digalas oleh penumpang. Apakah akan ada tambahan caj tambang untuk menampung kos pengusaha? Begitu juga dengan kadar sewa gerai atau ruang perniagaan. Isu ini masih belum selesai. Diharapkan masalah ini juga dapat diberi perhatian serius. Harus diingat, pengguna terminal ini bukanlah penumpang yang akan menaiki pesawat. Mereka kebanyakannya adalah yang berpendapatan rendah dan sederhana yang memerlukan pengangkutan yang murah. Maka janganlah ‘membebankan’ mereka dengan harga barangan termasuk makanan dan minuman yang setaraf dengan gerai-gerai di KLIA, KL Sentral atau KLCC. Di Puduraya, harga sebotol air minuman (bukan air galian) yang boleh dijual 60 sen dijual sehingga RM1. Inikan pula di TBS-BTS. Kita tidak mahu pengguna terus merungut dengan harga makanan/minuman yang mahal di terminal itu.

Dan lebih penting janganlah beban yang ditanggung oleh pengusaha bas dan peniaga terpaksa dikongsi bersama oleh pengguna.

Terminal itu mungkin akan menjadi ‘gajah putih’ sekiranya ia tidak melibatkan campur tangan pihak kerajaan. Pengusaha bas, peniaga dan penumpang (golongan 3P) tidak ada pilihan - terpaksa juga ke TBS-BTS atas ‘keputusan’ kerajaan. Maka simpatilah kepada golongan 3P ini.

Hanya ‘Hukuman’ Tuhan Selamatkan Palestin


SUDAH sering kali kita mendengar rakyat Palestin dilanyak oleh rejim Zionis. Tidak ada tanda-tanda rejim itu akan berundur walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi dilaksanakan segera gencatan senjata di Genting Gaza. Begitulah apabila sifat kebinatangan menguasai manusia.

Rejim Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) tidak peka sebaliknya pekak dengan tangisan rakyat Palestin. Mereka sengaja memekakkan telinga dengan tidak mempedulikan desakan masyarakat antarabangsa supaya berundur dan menghentikan serangan. Mata mereka buta. Mereka tidak buka mata melihat paparan kesengsaraan yang dialami oleh penduduk Palestin terutama kanak-kanak, wanita dan orang tua.

AS pula berdiam diri. Adakah AS mahu membiarkan Zionis menguji senjata mereka di laman Palestin sebelum mendapatkan senjata baru yang lebih canggih? Kenapa AS harus menunggu sehingga Barack Obama menjadi Presiden? Sikap berat sebelah AS amat jelas. AS mampu menghantar kapal perang, pesawat pejuang, kereta kebal, anggota tentera untuk menghapuskan seorang manusia bernama Saddam Hussein tetapi tidak berupaya mengambil tindakan yang sama terhadap kerakusan seorang pemimpin yang seolah-olah mahu melenyapkan rakyat dan bumi Palestin dari muka bumi ini.

Nampaknya tidak ada apa yang boleh dilakukan. Jika diselak kembali lembaran sejarah pada 1982 ternyata, Ehud Olmert sama seperti tindakan Ariel Sharon pada 1982. Ketika itu, pada 16 September 1982 kem Sabra dan Shatila, yang menjadi khemah pelarian rakyat Palestin di Lebanon digempur oleh rejim Zionis. Ketika itu Sharon bertindak sebagai Menteri Pertahanan. Akibat tindakan ganas itu yang hanya berpunca mahu menghapuskan pejuang PLO, kira-kira 3,000 maut di khemah pelarian tersebut.

Sharon bebas malah ‘kegemilangan’ itu meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri. Apakah tindakan ke atas Sharon? Sharon masih hidup walaupun menerima ‘hukuman’ menderita strok sehingga hilang jawatan Perdana Menteri. Dan impian Sharon yang pernah berkata: ‘Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang Palestin dari Gaza dan Tebing Barat ke Jordan.’ (New York Times 17 Mei 1982).

Itu impian Sharon meskipun dia ‘menderita.’ Tetapi berakhirkah penderitaan rakyat Palestin? Apakah masih ada harapan bagi rakyat Palestin hidup di negara mereka?
Kata seorang ibu di Palestin: ‘Kami akan mati!’ Jika rejim Yahudi sanggup membelakangkan desakan PBB, apakah lagi harapan yang ada bagi penduduk Palestin?

Masyarakat Islam dunia hanya mampu berdoa dan menunaikan solat hajat supaya penduduk Palestin diberikan kekuatan dan dilindungi. Mereka bersama masyarakat pelbagai anutan agama yang lain juga hanya mampu mengutuk dan menganjurkan demonstrasi bantahan - membakar bendera Israel dan AS. Dan mereka juga hanya mampu menangis dan meraung mengenangkan bencana ciptaan manusia yang melanda kehidupan masyarakat Palestin.

Disebabkan tidak ada harapan lagi, ada yang mengharapkan agar peristiwa kemusnahan tentera bergajah yang mahu menghancurkan Kaabah berulang kembali. Ketika itu Allah mengirimkan sekumpulan burung yang menjatuhkan batu dari tanah yang terbakar ke atas tentera bergajah pimpinan Abrahah. Maknanya dalam keadaan seperti di Gaza sekarang, hanya kuasa Tuhan yang dapat menghapuskan kekejaman rejim Zionis itu. Hukuman Tuhan sahaja dapat mengajar keangkuhan rejim Zionis ini.
Namun manusia tidak boleh berputus asa. Selagi mereka masih hidup, ikhtiar dan usaha perlu dilakukan sekali pun sekalipun sekadar menadah tangan berdoa.

Dan salah satu daripada usaha yang giat dilakukan sekarang ialah memboikot produk keluaran AS dan Israel. Tetapi sejauh mana umat Islam berupaya melakukannya? Bukan mudah untuk memboikot barangan yang sudah menjadi satu keperluan atau kemestian seisi keluarga termasuk anak-anak kita. Melihat senarai produk yang dikeluarkan ternyata umat Islam tidak mampu membantu rakyat Palestin melalui kaedah itu.

Jelaslah betapa lemahnya umat Islam dunia dalam bidang ekonomi. Mereka terus bergantung kepada produk berjenama AS. Cuba selak dan belek jenama yang disenaraikan - kebanyakannya adalah satu keperluan kepada umat Islam sama ada diperlukan untuk kegunaan harian walaupun ada pilihan lain atau diperlukan juga untuk mencari rezeki serta meningkatkan ekonomi umat. Maka bagaimana hendak memboikot seratus peratus? Tepuk dada tanya selera!

Memboikot memang mudah. Utusan Malaysia pun ada pihak yang mengajak supaya diboikot dan yang memboikot juga bukannya orang lain, Melayu juga! Hasrat mereka hanya mahu menjahanamkan jenama itu dan pada masa yang sama mahu orang lain mendengar suara mereka sahaja. Tetapi akhirnya manusia tidak boleh disekat untuk mendapat maklumat melalui media.

Berbalik kepada usaha memboikot, umat Islam mulai sekarang perlu berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan jalinan perdagangan mereka. Mungkin syarikat-syarikat berjenama besar yang sudah sebati dengan jiwa umat Islam di serata dunia boleh dikuasai oleh orang Islam melalui negara-negara Arab yang kaya raya. Banyak negara Arab yang menguasai minyak tetapi emas hitam itu tidak dimanfaatkan untuk kekuatan ekonomi umat Islam. Maka sesuatu perlu dilakukan oleh negara-negara minyak ini untuk menguasai empayar perniagaan yang akan didokong sepenuhnya oleh umat Islam dan tidak lagi bergantung kepada Yahudi.

Pada masa yang sama Hamas dan Fatah perlu bersatu. Siapa yang akan menghormati mereka jika di kalangan kaum sebangsa dan seagama pun sanggup berpecah belah? Kuasa dan politik menyebabkan Hamas dan Fatah tidak mampu menunjukkan kepada dunia bahawa mereka benar-benar bersatu demi Palestin. Ini satu lagi pengajaran bahawa apabila kita tidak mempunyai kekuatan yang jitu, orang luar akan mudah mempermain dan memperdayakan kita.

Bukan setakat ekonomi dan perpaduan sebaliknya bidang ketenteraan juga perlu diberi perhatian. Dunia Islam tidak mempunyai kekuatan ketenteraan. Jika ada pun, di kalangan negara Islam sendiri tidak mahu menyokong sebaliknya terpengaruh dengan dunia barat yang akan menuduh negara itu sebagai paksikan kejahatan.

Maka sampai bila umat Islam terpaksa tunduk kepada jenama AS, tentera AS dan telunjuk AS? Jika ini berterusan, maka tidak ada pilihan lain selain kita mengucapkan selamat jalan kepada anak-anak Palestin. Hanya Tuhan mampu menyelamatkan mereka.


Bermukim Di Dua Kota Suci


DUA kota suci, Mekah dan Madinah sering menerima tetamu dari seluruh pelosok dunia. Mereka memasuki kedua-dua kota suci itu sebagai persiapan untuk menunaikan ibadah haji setiap tahun. Bagi jemaah Malaysia, mereka yang mendapat penerbangan awal akan singgah di Madinah untuk ziarah manakala selebihnya akan terus ke Mekah. Bagi jemaah yang singgah di Madinah, mereka akan tinggal di sana sekurang-kurangnya sembilan hari sebelum berangkat ke Mekah.

Bagi menyambut kedatangan jemaah haji yang dijangkakan kira-kira tiga juta orang setiap tahun, pihak berkuasa Arab Saudi seperti pada tahun-tahun sebelumnya telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan ibadah haji setiap tahun berjalan lancar. Setiap tahun, ada saja projek yang dilancarkan sama ada di Mekah atau Madinah. Misalnya pada Oktober 2011 lalu, di kota Madinah, kerajaan melancarkan pelbagai projek pembangunan termasuk pembesaran kawasan Masjid Nabawi, projek bekalan elektrik, air, kesihatan dan sebagainya yang dianggarkan menelan kos 12 bilion Riyal Saudi.

Dalam bidang kesihatan pula, jumlah katil di hospital juga telah ditambah. Begitu juga dengan pembesaran lapangan terbang di Madinah. Langkah ini bukan sahaja untuk keperluan penduduk tempatan tetapi juga bagi menjaga kebajikan para jemaah setiap tahun yang semakin meningkat. Walaupun projek-projek ini mengambil masa yang panjang tetapi matlamatnya adalah untuk kemudahan umat Islam dari seluruh dunia yang setiap tahun berebut-rebut mahu menunaikan haji di Mekah sambil melakukan ziarah di kota Madinah.

Di Mekah pula, pelan komprehensif sentiasa dilakukan bagi menjaga kebajikan, keselesaan dan keselamatan para jemaah setiap kali tiba musim haji. Tidak ketinggalan kemudahan pengangkutan awam, penginapan serta kemudahan asas lain termasuk bekalan air bersih. Sejak awal tahun ini, kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram dilakukan di samping menaik taraf kemudahan di Padang Arafah dan Mina.

Menurut satu laporan media, pihak berkuasa juga mengedarkan risalah pelbagai bahasa kepada jemaah mengenai ibadat haji. Beberapa orang ulama juga dipilih untuk memberi kuliah selepas solat Subuh dan Asar sehinggalah waktu Isyak di Masjidil Haram. Mereka akan menyampaikan ceramah dalam pelbagai bahasa termasuk Arab, Urdu, Indonesia dan Inggeris bagi membimbing jemaah mengenai ibadat haji. Maklumat berkaitan haji juga disediakan melalui perkhidmatan telefon.

Sementara itu, tenaga kerja bagi membantu jemaah turut ditingkatkan. Misalnya di Masjidil Haram sahaja, sebanyak 3,000 petugas dilantik bagi memastikan kebersihan di sekitar masjid terpelihara. Para pekerja ini akan dibekalkan dengan alat pencuci elektrik dan kenderaan kecil bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan dan sampah sarap dibawa keluar daripada masjid. Bagi yang pernah mengerjakan umrah, mereka dapat melihat ketangkasan serta kecekapan para pekerja ini membersihkan lantai di sekitar Baitullah tanpa mengganggu umat Islam melakukan tawaf atau solat.

Sejuk Dan Panas

Para pekerja ini juga akan bertanggungjawab memastikan 18,000 termos air zamzam di dalam Masjidil Haram sama ada sejuk dan panas sentiasa diisi penuh. Bagi kemudahan tawaf dan sai pula, sebanyak 10,000 kerusi roda disediakan untuk memudahkan pergerakan mereka yang kurang berupaya. Kerusi-kerusi roda ini boleh didapati di kawasan luar masjid dan di tingkat pertama pintu masuk Safa. Kerusi roda ini bagaimanapun hanya boleh digunakan di tingkat pertama yang menyediakan ruang khusus untuk jemaah berkerusi roda melakukan tawaf dan sai.

Bagi mengelakkan kes-kes jenayah, pasukan penguat kuasa juga dikerah untuk memastikan kejadian ragut tidak berlaku dan kamera litar diletakkan di semua tingkat masjid untuk memastikan keselamatan para jemaah.

Jumlah petugas yang mengawal masjid juga ditingkatkan. Jika sebelum ini, hanya 300 orang yang bertugas mengawal di 139 pintu masjid tetapi pada musim haji, jumlah itu meningkat kepada 700 orang. Bagi memudahkan jemaah juga, lapan tangga elektronik di dua pintu masuk masjid telah beroperasi 24 jam. Sebuah jambatan juga dibina bagi menyambung kawasan masjid dengan Hospital Ajyad.

Dalam soal kesihatan juga, Kementerian Kesihatan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kesihatan jemaah haji terkawal. Sebanyak 10,000 pekerja kesihatan dilantik termasuk melibatkan 40 doktor dan 147 jururawat dari luar negara. Pasukan perubatan yang terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan juga akan digunakan untuk membantu melicinkan perkhidmatan kesihatan. Terdapat 138 pusat kesihatan di Mekah, 28 di Mina, enam di Muzdalifah, 46 di Arafah dan 19 Madinah.

Jumlah katil di semua hospital di dua kota suci juga ditingkatkan kepada hampir 4,000 katil. Terdapat tujuh buah hospital di Mekah, tiga di Muzdalifah, empat di Mina dan 10 di Madinah. Langkah-langkah keselamatan juga diambil di kawasan melontar dengan menempatkan pasukan doktor dan jururawat serta ambulans. Pada masa yang sama sebagai program pendidikan kesihatan, kementerian berkenaan juga mengedarkan 1.75 juta risalah dalam tujuh bahasa bagi memberi mesej kesihatan kepada jemaah.

Secara keseluruhannya, Arab Saudi sudah bersedia menerima kedatangan tetamu-tetamu Allah dari seluruh dunia tanpa mengira kaum, kedudukan, pangkat atau darjat. Mereka ke situ dengan satu tujuan iaitu untuk beribadat.

Siapa Peduli Apabila Ditipu Penumpang


HENTIAN Puduraya yang selama ini sentiasa sibuk kini sepi. Tiada lagi deretan bas yang beratur untuk masuk ke hentian itu. Begitu juga barisan teksi di sekitar kawasan itu yang ‘mencari penumpang.’ Maksud ‘mencari penumpang’ kerana di sini selalunya berlaku tawar menawar terutama pada waktu malam yang menyebabkan sesetengah penumpang yang baru menjejakkan kaki di Kuala Lumpur atau yang terdesak terpaksa membayar harga lebih tinggi.

Puduraya pernah ditutup selama empat bulan bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf hentian yang sudah sinonim dengan warga desa dan kota itu. Suatu masa dulu, Puduraya adalah tempat pertemuan orang desa dan kota selain stesen Keretapi Tanah Melayu Kuala Lumpur berhampiran Masjid Negara. Kini KL Sentral mengambil alih Stesen Kuala Lumpur.

Dan pada penghujung tahun 2011 ini, dijangka Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan akan menjadi hab pengangkutan awam yang menggabungkan perkhidmatan bas, Transit Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link (ERL) dan Komuter KTMB. Diharapkan terminal yang tersergam indah akan diiringi dengan perkhidmatan yang lebih cekap sama ada melibatkan bas, LRT dan komuter. Tiada gunanya mempunyai bangunan atau prasarana hebat atau gah di luar tetapi ‘isinya’ kurang enak. Perkhidmatan biarlah setaraf dengan kehebatan terminal itu sendiri.

Ketika ini mutu perkhidmatan pengangkutan awam bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Mungkin yang agak baik sedikit ialah khidmat monorel dan LRT. Bas juga kadangkala baik tetapi disebabkan kesesakan di Kuala Lumpur, masa menjadi penghalang. Manakala komuter tidak banyak perubahan pada waktu tertentu termasuk ketika cuti hujung minggu. Jumlah penumpang yang meningkat ditambah tempoh menunggu selama setengah jam menyebabkan penumpang di satu-satu stesen komuter akan bertambah pada satu-satu masa. Tidak perlulah diulas panjang mengenai komuter. Sudah banyak kali ditulis mengenainya, nanti terguris pula perasaan orang di KTMB.

Kepada penumpang komuter bersabarlah! Bersyukurlah dengan perkhidmatan yang tersedia. Ia lebih baik daripada tiada. Memang hasrat hati hendak mengulas lagi sistem komuter atau pengangkutan awam lebih-lebih lagi isu ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri. Semoga nasib penumpang yang menyahut seruan kerajaan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan akan terus mendapat pembelaan. Itu nasib penumpang. Bagaimana pula dengan nasib pemandu khususnya pemandu teksi?

Cerita biasa mengenai teksi ialah pemandu enggan guna meter, pilih destinasi atau enggan ambil penumpang. Nama saja teksi bermeter tetapi jenguklah di luar Kuala Lumpur seperti di Shah Alam, Kajang dan Serdang. Berselerak teksi bermeter tidak guna meter. Jika orang besar Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pun boleh ditipu inikan pula orang biasa. Itulah ragam pemandu teksi di Lembah Klang.

Pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah untuk mendisiplinkan pemandu teksi. Contohnya ‘mewajibkan’ pemandu mengeluarkan resit, melekatkan pengumuman mengenai teksi bermeter dalam bahasa Melayu dan Inggeris di kiri kanan pintu teksi. Baru-baru ini ada lagi risalah perlu dipamerkan berkaitan pelbagai perkara yang perlu dilakukan pemandu. Tetapi ada juga peraturan di risalah itu tidak logik.

Sejauh mana keberkesanan risalah seperti ini? Yang jelas teksi jadi macam papan iklan. Macam-macam pelekat ada. Padahal kebanyakan pengumuman itu sudah diketahui umum. Cuma bagaimana mahu dilaksanakan dan bentuk penguatkuasaannya. Adakah sekadar menampal pelekat atau mempamerkan risalah seseorang pemandu teksi itu sudah melaksanakan tanggungjawabnya?

Baru-baru ini seorang sahabat, cukup disebut di sini sebagai Pak Lang menceritakan bagaimana beliau disapa oleh dua lelaki di hadapan pusat membeli-belah di Jalan Imbi. Dua ‘mamat’ itu mahu ke KLCC. Maka Pak Lang pun ambil dua orang ini tetapi ketika meter baru menunjukkan sedikit peningkatan, si mamat ini minta Pak Lang menghentikan kenderaannya sambil mereka menyeluk saku masing-masing. Berderau darah Pak Lang kerana menyangkakan mamat-mamat itu hendak mengeluarkan senjata. Maklumlah Pak Lang pernah dirompak penumpang dan teksinya lesap selama seminggu.

Rupa-rupanya pegawai berkenaan adalah anggota penguat kuasa. Dua lelaki itu kemudian turun dari teksi menuju ke pusat membeli-belah itu semula tanpa membayar sesen pun. Kenapa ini harus berlaku? Tahukah pegawai penguat kuasa berkenaan bahawa pemandu itu sudah rugi kerana mengambil mereka berdua? Pemandu yang jujur tidak akan memilih penumpang. Tidak bertanya jauh atau dekat. Bila masuk, yang penting meter dipasang dan penumpang dibawa ke destinasi yang diminta.

Memang penguat kuasa tidak tahu mana satu pemandu yang jujur tetapi sekurang-kurangnya sebagai ‘pengguna’ bayarlah walaupun tambang di meter sekadar menunjukkan RM2.50. Ambil resit kemudian buat tuntutan di pejabat kerana menjalankan tugas operasi penguatkuasaan. Sebenarnya banyak tempat lain yang tersedia untuk penguat kuasa mengesan pemandu yang tidak mengikut peraturan. Sudah banyak kali media laporkan.

Itu cerita Pak Lang. Lain pula cerita Pak Long bagaimana beliau ditipu penumpang. Dari Kajang, penumpang wanita berusia 30-an minta beliau bawa ke klinik di Kuala Lumpur untuk mencari ubat. Janji sewa pergi balik. Maka Pak Long yang jujur bawalah wanita itu ke beberapa klinik di Kuala Lumpur. Ketika pulang sampai di sebuah pasar raya, wanita itu minta diturunkan di situ untuk membeli sesuatu. Pak Long sabar menunggu walaupun hampir masuk Maghrib dan berbuka puasa. Meter pula menunjukkan hampir RM100. Tunggu punya tunggu penumpang itu lesap. Pak Long hanya ditipu tetapi Pak Lang dirompak dan rakan-rakan Pak Lang dan Pak Long ada yang dirompak dan dicederakan.

Begitulah nasib pemandu teksi. Persoalannya jika penumpang mempunyai LPKP untuk mengadu di mana pula tempat pemandu teksi mengadu? Pemandu yang menyewa teksi perlu membayar sewa mereka setiap hari tanpa pengecualian (mungkin dua tiga hari dalam setahun sempena perayaan). Jika teksi hilang, mereka terlantar di hospital kerana diserang penumpang, sewa tetap perlu dibayar. Begitulah nasib pemandu yang perlu turut diberi perhatian. Pada masa yang sama pemandu yang benar-benar tidak mengikut peraturan perlu dikenakan tindakan yang berat tanpa sebarang tolak ansur lagi.


Kesungguhan Beribadah Pada Sepuluh Malam Terakhir Ramadhan Di Tanah Suci


SALAM dari pinggir Masjidil Haram. Maksud pinggir di sini kerana kedudukan hotel yang penulis tempati sewaktu mengikuti ziarah umrah baru-baru ini terletak hanya kira-kira 100 meter dari Masjidil Haram. Maka, sedikit sebanyak dapat dilihat dengan jelas perjalanan keluar masuk jutaan umat Islam memasuki kawasan Masjidil Haram sama ada untuk melakukan umrah, tawaf atau sembahyang lima waktu dan solat sunat serta aktiviti ibadah lain.

Ketika Ramadhan memasuki hari-hari terakhir, semakin ramai yang memasuki kota suci Mekah dari seluruh penjuru dunia. Laporan sebelum ini menyebut, kira-kira tiga juta orang melakukan umrah pada bulan Ramadhan. Walaupun cuaca panas tetapi setiap penjuru Masjidil Haram akan dipenuhi umat Islam. Di tengah-tengah panas terik mereka melakukan tawaf sama ada tawaf selamat datang, umrah atau tawaf biasa.

Kebanjiran umat yang ramai ini menyebabkan ramai yang solat di atas jalan raya tanpa mengira waktu. Bagi memastikan tempat di dalam masjid terjamin serta di lokasi yang strategik, ada juga yang tidak akan meninggalkan masjid selepas Zohor atau Asar. Mereka ‘berkampung’ di dalam masjid sehingga tiba waktu berbuka seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isya dan Tarawih. Begitulah mereka memanfaatkan kesempatan akhir Ramadhan.

Kebanyakan hotel di sekitar Masjidil Haram juga penuh dengan kadar harga yang berlipat kali ganda. Tidak ada pakej satu atau dua malam sebaliknya ditetapkan 10 malam. Mahu atau tidak, anda terpaksa menerimanya. Hotel yang bertaraf dua atau tiga bintang mencecah sehingga RM2,200 satu malam. Sebuah hotel bertaraf satu bintang pula dengan tiga atau empat katil menetapkan RM30,000 bagi 10 malam dan kedudukannya pula dianggarkan 600 hingga 800 meter ke Masjidil Haram.

Seorang wakil rakyat yang kebetulan ditemui menginap di hotel empat atau lima bintang ketika ditanya kadar sewanya hanya berkata: ‘Tak payah tanyalah! Sudah pasti harganya lebih tinggi.’ Melihat kadar sewa ini, mungkinkah mereka yang kelihatan 24 jam di sekitar jalan raya berhadapan masjid ‘berkhemah’ di situ untuk beribadat. Tidak semua yang datang untuk melakukan ibadah itu berkemampuan untuk menyewa penginapan sama ada yang berada pada harga rendah atau sederhana. Begitulah kesungguhan ibadah yang ditunjukkan oleh umat Islam bagi mencari pahala berlipat ganda pada hari-hari terakir Ramadhan ini.

Selain solat, umrah dan sebagainya, ibadat lain yang turut akan memberi ganjaran pahalanya tentulah amalan kebajikan kita sesama umat. Di sini, ramai yang berlumba-lumba untuk mencari ganjaran itu. Setiap petang menjelang waktu iftar (berbuka puasa), ada saja tangan yang akan menghulurkan makanan dan minuman untuk berbuka puasa. Ada roti, kurma, kek, teh herba, susu, minuman kotak, botol dan minuman tin.

Bagi yang tidak mampu menyediakan itu, mereka juga ada cara tersendiri untuk ‘memberi’ sesuatu kepada orang yang mahu berbuka. Mereka akan mengambil air zam-zam dan membawa cawan ke kawasan sekitarnya untuk diberikan kepada orang ramai. Di sini dapat dilihat amalan menjamu orang berbuka berbeza dengan negara kita. Mungkin setakat ini kita lebih tertumpu kepada menyediakan bubur lambuk dan diagihkan kepada orang ramai serta majlis berbuka puasa yang dianjurkan di masjid dan surau. Tidak ketinggalan juga moreh.

Menjamu orang berbuka adalah satu amalan yang baik. Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Barang siapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun.’

Begitulah besarnya ganjaran pahala bagi mereka yang menyediakan makanan dan minuman untuk berbuka lebih-lebih lagi bagi mereka yang benar-benar memerlukan. Sebagai bulan ibadah juga, tentunya banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan bagi mendapat ganjaran pahala.

Pada sebelah siang, dapat dilihat gelagat orang yang akan ‘berbakti’ kepada orang lain. Di tengah-tengah panas terik, ketika menunggu solat Jumaat, kelihatan ramai yang membawa penyembur air. Mereka sekali sekala akan menyembur air bagi melembabkan kepala jemaah yang terpaksa bersembahyang di luar masjid. Begitu juga ketika tawaf di Baitullah pada waktu siang. Agak menarik juga ada yang sambil tawaf ‘mempamerkan’ kotak tisu di bahunya. Dan sesiapa sahaja boleh mengambilnya untuk mengelap peluh yang memercik.

Bagi yang tawaf di bahagian atas, mereka juga memerlukan ‘bantuan dan sokongan.’ Ada yang mengambil daya usaha untuk mengisi botol besar dengan air zam-zam dan menanti jemaah yang sedang tawaf yang berhasrat mengurangkan dahaga. Begitu juga ketika solat. Selepas empat atau lapan rakaat, mereka akan menawarkan air zam-zam di kalangan makmum bersebelahan. Maka jemaah berkenaan tidak perlu bangun meninggalkan tempat duduknya. Mungkin jika dia bangun, tempat duduknya akan diambil orang. Begitulah aktiviti mencari keberkatan pada bulan yang mulia ini lebih-lebih lagi di tanah suci Mekah.

Keadaan ini tentulah berbeza dengan tempat kita di Malaysia. Masjid dan surau hanya penuh pada hari-hari terawal bulan Ramadhan. Ketika itu saf melimpah keluar. Tetapi pada hari lain, malam-malam sepuluh terakhir, keadaan sudah berubah. Saf di dalam masjid dan surau berkurangan kerana ramai yang sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri. Lagu-lagu hari raya menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk berkunjung ke pusat-pusat membeli-belah.

Bukan setakat pakaian menjadi perhatian malahan kuih-muih untuk hari raya juga menjadi rebutan. Di pinggir Masjidil Haram, suasana membeli-belah juga hebat. Kompleks membeli-belah di situ termasuk Bin Dawood menjadi tumpuan. Mereka membeli untuk dibawa pulang. Begitulah pelbagai ragam umat Islam menjelang hari-hari terakhir Ramadhan.

Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun lalu dan Ramadhan akan datang kita berupaya memperbaiki keadaan supaya ia terlebih baik. Dan Ramadhan ini masih ada waktu untuk kita mencari keberkatannya walaupun umur kita semakin di penghujung.

Bukan Kerja Mudah Memenuhi Kehendak Rakyat 1Malaysia


KEBELAKANGAN INI, rakan-rakan yang membawa teksi terutama Pak Long dan Pak Lang sibuk bercakap mengenai bantuan tayar 1Malaysia. Mereka sibuk mengisi borang untuk dihantar dengan tangan ke pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Putrajaya. Mulanya saya pun tertanya-tanya mengenai betulkah wujud bantuan seumpama itu? Tayar pun kerajaan nak bagi? Pak Long kemudiannya menunjukkan borang itu. Memang sah. Sementara Pak Lang pula memberitahu, dia telah menghebahkan perkara itu kepada rakan-rakan yang lain termasuk pemandu bukan Melayu dengan membuat salinan borang. Dia tidak mahu ‘makan seorang.’ Ada yang memberinya RM1 untuk minum kopi. Mulanya dia menolak tetapi rakan pemandu itu berkata: ‘Kawan, ambillah untuk minum kopi, ini sudah cukup baik ma, empat tayar free, siapa mahu kasi.’

Begitulah cerita Pak Long dan Pak Lang yang ‘terserempak’ dengan tawaran percuma itu melalui rakan-rakan teksi mereka. Antara percaya dengan tidak. Cuma yang mengecewakan, kenapa perkara itu seolah-olah mahu ‘disembunyi’ tanpa sebarang hebahan yang menyeluruh terutama melalui media. Khabarnya, bantuan itu dikenali sebagai program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma). Kebanyakan yang mendapat tahu perkara ini adalah pemandu yang memandu teksi milik syarikat. Pihak syarikat yang menguruskan semua itu. Saya pun tidak pasti bila laporan berkaitan disiarkan media dan meminta wartawan untuk membuat semakan dengan SPAD di Putrajaya.

Beberapa hari yang lepas cerita tayar muncul lagi ketika saya menaiki kereta sewa dari Nilai ke KLIA. Saya memulakan sesi ramah-tamah dengan pemandu teksi sekadar untuk cakna kerjaya pemandu teksi. Pemandunya memulakan cerita dengan bertanyakan bagaimana pilihan raya kali ini? BN boleh menang ka?

Saya hanya berkata: ‘Tunggulah!’ Kemudian dia bercerita mengenai pelbagai bantuan kerajaan seperti bantuan anak sekolah, bantuan buku teks, baucar buku percuma, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehinggalah katanya yang terbaru tayar 1Malaysia. Seperti Pak Long dan Pak Lang, dia juga tidak tahu sehinggalah diberitahu oleh rakan-rakan lain. Katanya, kelmarin juga, pengerusi persatuan pemandu teksi di tempatnya ke Putrajaya membawa borang berkenaan serta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai bantuan itu. Dan disebabkan statusnya sebagai pemandu kedua, dia mula curiga sama ada permohonannya Berjaya atau tidak. Dia hanyalah pemandu yang menyewa permit. Maknanya, borang perlu diisi oleh pemilik. Kalau tayar itu dapat kepada pemilik kemudian tidak diberi kepada pemandu teksi, apa akan terjadi?

‘Bang, saya berserah saja, dapat baguslah, tak dapat apa nak buat,’ katanya.

Lewat petang itu, setiba di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru, saya memberitahu seorang lagi rakan yang juga pemandu teksi berkaitan bantuan tayar ini. Dia juga terkejut dan ini kali pertama mendengar perkara itu. Saya memberitahunya, esok adalah tarikh tutup.

‘Alamak bos, mana nak dapat tayar empat biji percuma ni?’ katanya.

Dia juga meminta supaya diberi kelonggaran lagi kepada pemandu yang belum membuat permohonan. Katanya, mustahil juga untuk pemandu sepertinya di JB turun ke Putrajaya mendapatkan baucar berkenaan. Dia memohon supaya tarikh itu dilanjutkan. Dan menurut Pak Long, permohonan yang ditutup semalam adalah bagi fasa pertama. Akan ada lagi. Apa pun, semua pemandu teksi tentunya lega dengan bantuan itu. Kebanyakan mereka juga sudah mendapat wang BR1M.

Untuk bercerita mengenai cabaran pemandu yang jujur membawa teksi ini memang tidak ada kesudahannya. Memang, pada mata kasar, empat tayar itu adalah kecil tetapi hakikatnya ada pemandu yang terpaksa meminjam tayar kawan kerana tidak mampu menukar tayar apabila tiba giliran untuk membuat pemeriksaan Puspakom setiap enam bulan.

Seorang pemandu berkata, tayar bolehlah pinjam tetapi kalau benda (peralatan) lain macam mana? Jujur cakap, kebanyakan teksi (tidak perlu disebut jenama) akan menghadapi pelbagai masalah yang memerlukan kos yang tinggi untuk membaikinya. Walaupun harga kereta untuk dijadikan teksi lebih murah tetapi untuk ‘menjaga’ teksi itu bukannya mudah. Teksi memerlukan kereta yang lasak kerana saban hari akan membuat perjalanan yang jauh dan pelbagai saiz badan manusia akan memasuki teksi itu. Ada yang gemuk, ada yang kurus. Bukan sekadar orang tempatan tetapi orang luar sama ada pelancong, pelajar atau pekerja. Maka tidak hairanlah, pemandu teksi menghadapi masalah untuk menjaga teksi mereka supaya hayat lebih panjang.

Berbalik kepada pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan, perbualan dengan pemandu kereta sewa dari Nilai ke KLIA menarik perhatian penulis. Dia, lelaki keturunan India memang gembira dengan bantuan yang diberi oleh kerajaan tetapi kemudiannya bertanyakan adakah bantuan ini akan menyebabkan harga barang naik selepas ini? Satu soalan yang sukar dijawab. Naik atau tidak bukanlah disebabkan bantuan seumpama ini. Dia juga bimbang mengenai had usia bersara 60 tahun bagi pekerja swasta yang akan menyebabkan peluang pekerjaan terbatas. Saya membiarkan beliau bercerita dan melepaskan segala yang terbuku di hati sebagai seorang rakyat yang hidup dengan menyewa permit kereta sewa bagi menyara keluarganya. Ditanya kenapa tidak memohon permit persendirian, beliau menjawab: ‘Saya dah dapat tetapi permit teksi Lembah Klang, macam mana nak bawa di KL?’ Tidak perlulah mengulas kekecewaan pemandu kereta sewa itu untuk bersaing di Lembah Klang.

Tetapi akhirnya, beliau mengakui apa yang dilakukan oleh kerajaan ini baik tidak kira sama ada ia bertujuan untuk menghadapi pilihan raya atau sebaliknya. Baginya, rakyat perlu dibantu dan rakyat akan membantu kerajaan dalam pilihan raya sekiranya bantuan yang diberi benar-benar ikhlas. Rakyat juga perlu bersyukur dengan apa yang diberi. Memanglah tidak semua permintaan rakyat mampu dipenuhi oleh kerajaan.

Kata pemandu itu: ‘Dalam satu keluarga pun, kita sebagai ibu bapa tidak boleh memenuhi kehendak atau berlaku adil kepada semua anak, apa lagi seorang Perdana Menteri mahu jaga rakyat satu Malaysia. Betul ka bang cakap saya.’

Saya hanya mengangguk dan mengakui kadang-kadang dalam keluarga, anak-anak mahu layanan sama rata. Kalau abang dapat telefon jenama A, adik pun nak jenama sama atau mungkin yang lebih baik. Dalam satu keluarga, ada yang menjadi ahli UMNO dan ada yang menjadi ahli Pas atau PKR, Gerakan, MCA, DAP, MIC dan sebagainya. Begitulah lumrah kehidupan dalam sebuah keluarga dan negara. Tidak mungkin semua permintaan akan dipenuhi. Masing-masing ada kelebihan dan keistimewaan. Pandai-pandailah membawa diri.


Sejenak Merenung Sifat-Sifat Rasulullah SAW


SETIAP tahun ini umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul, hari memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sekali lagi, meriahlah seluruh surau dan masjid dengan sambutan yang pelbagai termasuk ceramah, forum dan perarakan. Sambutan ini bukan sekadar untuk mengingati keputeraan baginda semata-mata sebaliknya apa yang lebih penting ialah mengingatkan kembali umat Islam kepada ajaran Rasulullah dan perjuangannya. Pada masa yang sama berusaha mengikuti segala akhlak dan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Secara ringkas, seperti yang kita tahu, banyak sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW yang boleh dipelajari termasuk tawaduk, pemalu, siddiq (benar), amanah (boleh dipercayai), tabligh, fatanah, tabah, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud (hidup soleh tidak dikuasai kemewahan dan keseronokan dunia), lemah lembut dan bijaksana. Sebagai pemimpin, baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur.

Baginda mampu menyusun strategi, berani, tegas dan berprinsip. Sebenarnya bukan sekadar pemimpin negeri atau negara sahaja yang perlu mencontohi sifat-sifat Rasulullah SAW ini, sebaliknya mereka yang memimpin keluarga (ibu bapa), syarikat, persatuan dan sebagainya perlu menerapkan nilai-nilai ini dalam diri mereka. Malangnya kebanyakan umat Islam di dunia termasuk di peringkat pemimpin sudah melupakan sifat-sifat ini. Akhirnya mereka terjebak ke dalam kancah kekalutan, perpecahan, peperangan dan kecelaruan.

Hakikatnya, dunia hari ini mengagumi keperibadian baginda. Michael H. Hart di dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History meletakkan Rasulullah SAW sebagai insan paling berpengaruh di dunia dalam kalangan 100 orang manusia paling berpengaruh di dalam sejarah dunia. Begitulah kehebatan Nabi Muhammad SAW. Baginda memiliki akhlak yang sangat mulia terhadap sesama manusia tanpa mengira status sosial, warna kulit dan bangsa. Baginda berbuat baik termasuk kepada orang jahat atau musuh.

Seperti kita tahu, Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak dan sifat-sifat sangat mulia yang boleh dicontohi khususnya empat sifat iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Siddiq yang membawa maksud benar merupakan sifat pertama yang wajib dimiliki para Nabi dan Rasul bagi membawa wahyu dan agamanya. Rasulullah SAW bukan hanya bercakap benar malah perbuatannya juga benar. Maknanya tidak bersifat pembohong, penipu dan sebagainya.

Sifat kedua yang perlu diberi perhatian adalah amanah yang membawa maksud boleh dipercayai. Jika sesuatu urusan diserahkan kepadanya, nescaya orang percaya bahawa urusan itu akan dilaksanakan sebaik mungkin. Oleh kerana itulah penduduk Mekah memberi gelaran kepada Nabi Muhammad SAW dengan gelaran Al-Amin yang bermaksud ‘boleh dipercayai.’ Apa pun yang baginda ucapkan, dipercayai dan diyakini penduduk kerana baginda terkenal sebagai seorang yang tidak pernah berdusta. Baginda tidak mengkhianati amanah yang diberi terhadapnya.

Ketika Nabi Muhammad SAW ditawarkan kerajaan, harta dan wanita oleh kaum Quraisy agar baginda meninggalkan tugas menyebarkan agama Islam, baginda menjawab: ‘Demi Allah, seandainya mereka dapat meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan tugas suciku, maka aku tidak akan meninggalkannya sampai Allah memenangkan (Islam) atau aku hancur kerananya.’ Baginda juga tidak gentar dengan ugutan bunuh terhadapnya.

Sifat ketiga yang perlu diberi perhatian ialah tabligh yang bermaksud menyampaikan. Segala firman Allah SWT disampaikan oleh baginda tanpa ada yang disembunyikan walaupun ia menyinggung diri baginda sendiri.

Sifat keempat adalah fatanah yang bermaksud bijaksana. Dalam menyampaikan ayat Al-Quran dan menjelaskan kepada kaumnya, ia memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa. Baginda SAW harus mampu berdebat dengan orang kafir dengan sebaik-baiknya supaya mereka dapat memahami firman-firman Allah SWT.

Begitulah sifat-sifat mulia yang ada pada Nabi Muhammad SAW. Adakah dalam menjalani kehidupan seharian pada hari ini, kita memiliki sifat-sifat ini? Di tahap mana manusia dalam dunia hari ini mampu mengikut sifat-sifat ini? Berapa ramai yang jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sesama umat?

Dalam suasana politik hari ini, ada dalam kalangan kita yang mengakui sebagai umat Islam yang tidak bersifat siddiq sama ada pertuturan, tindakan atau perbuatan, tidak amanah, tidak menyampaikan dan tidak bijaksana. Ada pemimpin yang hanya pandai berkata-kata. Berjanji tetapi tidak mampu menunaikannya. Mereka memungkiri janji yang dibuat sama ada secara bertulis atau lisan. Bak kata orang, cakap tidak serupa bikin atau bikin tidak serupa cakap. Kita boleh melihat contoh di depan mata, siapakah yang mampu mengotakan apa yang dikata atau apabila berjanji ditepati.

Dalam menghadapi isu kalimah Allah juga, kita dapat melihat siapakah yang bercakap benar dan siapa pula sanggup ‘menipu diri sendiri.’ Ada yang tidak berani bercakap mengenai kebenaran kerana kepentingan politik atau kemaruk kuasa. Mereka sanggup membiarkan orang lain merobek maruah umat Islam, melukakan hati umat Islam dan memecahbelahkan perpaduan umat. Begitulah yang terjadi. Kita semakin kehilangan sifat-sifat yang ada pada Muhammad SAW. Wahai Rasulullah, seperti sabdamu, apakah umat Islam kini umpama buih di lautan?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA