Selasa, 26 Disember 2023

PAHIT CINTA MABUL

SMAHADZIR

HARIYATI tersenyum riang gembira, sudah sekian lama Effendi melihatnya seriang itu. Keriangan yang memajangkan kecantikannya yang mempesona. Sementara deru enjin perahu bermotor masih meraung-meraung membelah pesisir pantai, suara tawa Hariyati jadi tidak kedengaran sama sekali. Gerakan tubuhnya gemulai lembut seindah buih putih yang mengekor di belakang perahu. Gelak-tawa Hariyati bagai desisan merdu menciptakan sensasi teduh di sanubari Effendi.

Sejak Hariyati sering mendampinginya, Effendi mulai mengagumi keindahan yang dimiliki pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah itu. Meski keakraban mereka sebagai sesama mahasiswa mampu menyelimuti desakan hati Effendi yang sesungguhnya, namun gelora meledak-ledak yang riuh bersorak telah menenggelamkan kekaguman Effendi terhadap Hariyati kepada suatu perasaan yang lain, unik. Tanpa terasa perahu bermotor itu mulai memasuki perairan Pulau Mabul. Pengemudinya melambatkan kelajuan perahu.

Beberapa maklumat mengenai keindahan dan segala kelebihan yang dimiliki Pulau Mabul melancar lepas dari bibirnya, pekerjaan yang mungkin tiap hari dilakukannya. Pulau Mabul terletak di perairan Laut Sulawesi berhampiran dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

Effendi mengeluh jemu, terlalu sering ke Pantai Mabul membuatnya sudah hafal dengan segala kalimat yang setiap kali kedengaran sama itu. Sorot matanya tanpa kedip mengawasi gerak-geri Hariyati, lenggang-lenggoknya indah setara biru cakerawala yang pagi itu berbinar indah memayungi Pulau Mabul.

 “Effendi, kenapa diam saja ni? Gembiralah. Panorama laut sini begitu indah. Bagai sebuah fatamorgana. Sudah lama saya mengimpikan datang ke sini. Menikmati salah satu kreasi indah Sang Pencipta. Pasti panorama di dasar laut lebih indah lagi, kan?” Kagum Hariyati seraya memegang pundak Effendi, bola matanya bersinar tenang menikmati hijaunya air laut.

Ya, ini memang kali pertama Hariyati mengunjungi Mabul semenjak dia belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Secara kebetulan beberapa orang rakan mahasiswa memutuskan untuk tidak ikut kegiatan ilmiah di Pulau Mabul sehingga mereka memiliki kesempatan bercuti bersama sekadar mengisi kekosongan hari kuliah. Dan kegembiraan yang luar biasa terpancar di wajah Hariyati sebaik mereka memastikan bahawa Pulau Mabul menjadi tempat mereka berdarmawisata.

 Perahu merapat ke bibir daratan, dibantunya Hariyati turun dari perahu. Namun buaian ombak mendorong badan perahu ke arah pantai, menyeret dari pasir putih yang nyaris dipijak. Hariyati mendengus kecil ketika kedua-dua belah hujung seluar jeans-nya terbenam dalam air laut hingga ke betis kaki.

Refleks dia merenggut belakang Effendi untuk menahan laju tubuhnya agar tidak tergelincir lebih dalam, segesit itu juga Effendi merengkuh tubuh yang semampai itu. Debar jantungnya seketika berdegup kencang tatkala mendapati gadis itu dalam pelukannya.

Sejenak mereka terdiam dan saling bertatapan mata. Ada binar-binar menggelora yang tersorot dari bola mata Hariyati yang mendadak longlai itu. Effendi juga merasa kakinya seperti hilang ditelan bumi.

 “Hei, ayuh cepat! Masih ada yang mahu turun ni!” Protes Haliza dari belakang menyedarkan Effendi dari lamunan yang mulai menerbang. Didukungnya Hariyati menuju pasir, tangan gadis itu menggantung manja di leher Effendi. Sedikit gugup dan penuh sopan dilepaskannya dakapan tangannya.

 “Terima kasih,” ujar Hariyati lembut dengan pandangan yang penuh makna.

 Effendi mengangguk dalam kerikuhan, kemudian segera mengalihkan tatapannya ke perahu, berusaha menekan hasrat di hati yang dia yakin telah menjadi benih-benih asmara.

 “Wiihh, seronok juga acara dukung-mendukung ni ye! Cinta sudah bersemi. Mesra sekali. Lagipun di mana-mana yang namanya ke pantai itu tidak afdal kalau tidak ada yang basah. Apa salahnya, kan? Sekali-sekala...” Goda Osman, lirikannya pada Arif dalam sorot bergurau memperlihatkan bahawa dia sedang berusaha menyakat Hariyati. Effendi pura-pura bisu.

 “Aah, tak ada apa-apalah! Kamu ni ada-ada saja!” tukas Hariyati segera memaklumi kegelisahan yang menyergap diri Effendi.

 Emilia yang sedang membersihkan pasir di belakang betisnya mengedipkan sebelah matanya, yang dibalas rakan-rakannya yang lain dengan dahi terangkat, menyiratkan cerita kasih yang mereka curigai mungkin saja terukir di pesisir Pulau Mabul.

 Sinar membahang mulai menyapa hari tatkala Effendi mendekati Hariyati yang sedang memerhatikan gerakan cacing laut menyelusup ke dalam pasir di permukaan sisa air surut dengan dua biji kelapa muda dalam pelukan lengannya.

 “Minum Fendi?” Disodorkannya lembut sembari ikut bongkok berhadapan.

 “Terima kasih,” sedikit perhatian yang diberikan Effendi membuatkan gadis itu mengalihkan kesibukannya sebentar.

 “Saya seronok dengan laut. Daerah saya di Kedah terletak di wilayah sawah padi berhampiran dengan Gunung Jerai. Melihat laut bagi sebahagian dari kami merupakan salah satu berkah. Kamu tak merasa aneh kan melihat saya terlalu berlebihan mengagumi pantai ini?” Hariyati merasa resah melihat mata Effendi yang kelihatan seperti janggal menatap jemarinya yang mungil bermain-main dengan cacing laut yang putih itu.

Effendi menggeleng perlahan. “Saya juga seronok dengan laut,”

Hariyati ketawa. “Melihat indahnya panorama bawah laut di sini, membuatkan saya membayangkan diri menjadi ikan, cuba kamu imaginasikan yang saya ada insang seperti mereka dan boleh bernafas di dalam air. Akan saya letakkan tempat tidur di sana, tanpa dinding penghalang agar saya boleh menikmati keajaiban laut sepuas-puasnya. Betapa indahnya jika hidup saya dikelilingi kehidupan yang serba warna-warni itu, seperti di negeri dongeng,” tokoknya lagi sembari menerawang.

 Effendi menggeleng-geleng geli. “Ada-ada saja kamu ni, Hariyati!”

 “Saya serius. Bahkan keindahan laut seringkali tervisualisasikan dalam mimpi bahawa saya akan tertidur lelap di sana,” mimik muka Hariyati sungguh-sungguh.

 Beberapa ketika kemudian, kedua-duanya berdampingan menyusuri pasir putih Pulau Mabul yang membujur gagah di pelupuk tanah milik Sabah. Juraian rambut hitam Hariyati menggerbang diterpa angin, mengejek mentari yang bersinar garang sedang mengusir pagi dengan teriknya. Effendi kembali membatin, ragu dan bimbang menyayat-nyayat hati. Kepulan asmara berbalut selimut cinta dirasakannya kian genit merobek-robek lembaran hatinya.

Namun dia tidak berdaya, apalah ertinya keagungan cinta tanpa kata dan ekspresi? Effendi risau berada dalam jurang perbezaan. Perbezaan budaya dan kultur yang ada antara dia dan Hariyati olehnya dianggap menakutkan. Orang Kedah dan orang Sabah memang banyak bezanya dari segi budaya walaupun sama agama. Dia takut orang tuanya akan menolak kewujudan Hariyati jika dia menerima huluran cintanya, dia takut mengecewakan ibu dan ayah tercinta, dia takut mengalami peristiwa kakaknya yang menjadi sebab semua ini, dia begitu takut, padahal dia sama sekali belum memperolehi cinta Hariyati. Kendatipun untuk menyatakannya!!

* * *

Panas mentari sudah membekaskan rona merah di pipi Hariyati ketika mereka berdua berhenti di hutan bakau. Butir-butir keringat berkilau di dahinya, beberapa helai rambutnya tertahan membasah. Effendi menatap kasihan, tetapi tidak sedikitpun terpancar raut kepanasan atau keletihan dari dirinya, Hariyati betul-betul menikmati hari cutinya.

 “Saya mengagumi kamu Hariyati,” ujar Effendi lirih.

Hariyati gesit menoleh, dahinya sedikit berkerut meminta penjelasan lebih lanjut dari Effendi.

 “Kamu gadis yang baik dan cantik, lebih cantik dari waktu kamu mula-mula mendaftar diri di UMS dulu. Lelaki yang memperolehi cinta kamu pastilah orang yang paling beruntung, setidak-tidaknya dalam sudut pandang saya,” hatinya merintih kecut.

 “Lantas?” Hariyati masih belum mengerti.

 “Aahh, sudahlah,” desah Effendi seraya beranjak berdiri. Menyumpah-nyumpah diri sendiri sebagai lelaki kecundang yang tidak mampu berbuat apa-apa. Mengapa?! Mengapa trauma itu lebih kuat dari cinta ini? Mengapa sekeras itu dia membebat mulut dan pita suaraku? Walau hanya sekadar ingin mengucapkan tiga patah perkataan kata. Saya cinta kamu, Effendi menjerit-jerit menyesali diri.

 Hariyati menggeleng kecewa dengan desahan bodoh itu. Dia tahu, beberapa waktu terakhir, Effendi sering menunjukkan tingkah-laku yang aneh kepadanya. Dia juga kini tahu, bahawa tingkah itu telah sedikit merubah penilaiannya kepada Effendi. Kerana tingkah Effendi secara tersirat terkandung bias-bias indah yang hanya boleh dirasakan oleh manusia dewasa.

 Dia juga seperti mulai suka dengan gelagat-gelagat yang kerap diperlihatkan oleh Effendi. Namun untuk mendapatkan kesan yang jelas, lelaki itu tetap merahsiakannya, dia cukup sedih.

 Tidak terasa petang mulai menjenguk, terik mentari bergeser rona merah di pipi atap langit. Dalam segala tawa gurau, setelah berenang, diving, snorkling dan lunch, mereka bersiap untuk pulang.

Sisa-sisa gelisah masih membungkus jiwa Effendi. Aku munafik, bisiknya dalam hati. Sejak tadi sesungguhnya ekor matanya boleh menangkap makna kasih pada lirikan-lirikan Hariyati, dan dia kini tahu Hariyati sebenarnya memiliki suatu rasa juga kepadanya. Tinggallah dia seperti seorang lelaki bodoh. Yang tidak mampu mengapresiasikan makna dari sastera cinta.

 Enjin perahu itu kembali meraung, bersahut-sahutan dengan sorak-sorai gembira penumpangnya. Pulau Mabul perlahan menjauh, beberapa orang kanak-kanak kecil melambaikan tangan sambil melompat-lompat dengan baju basah. Sisi perahu lama kelamaan kian membiru menandakan kedalaman yang mungkin tiada terkira. Hariyati memberanikan diri mendekati Effendi. Duduk di sampingnya sembari menggenggam jemarinya.

Dada Effendi berdesir tidak beraturan. Tatapan mereka bertembung, Effendi menangkap suatu permintaan yang menggantung di sisi mata Hariyati yang teduh. Permintaan yang mungkin hanya mereka saja yang tahu. Diiring tiupan angin yang kencang, kedua-duanya membisu, menatap bandar Semporna yang masih berbentuk titik-titik kecil dari kejauhan.

* * *

 Sebelas bulan sudah berlalu semenjak mereka mengunjungi Mabul, dan selama itu, Effendi menghabiskan kesendiriannya di Pulau Mabul. Gurat-gurat kesedihan yang mendalam mengukir di wajahnya yang kini dihiasi janggut dan kumis yang panjang tidak dijaga. Tubuhnya kian kurus tidak terurus. Singlet kusam dan seluar kumal membalut tubuhnya, kuliahnya kini terabai. Di sampingnya duduk seorang anak kecil yang senantiasa menemani ke mana dia pergi. Bahkan untuk mengurus keperluannya sehari-hari.

 Effendi tenggelam dalam derita batin dan jiwa yang tiada tara. Dalam perjalanan ke Semporna kala mereka meninggalkan Pulau Mabul waktu itu, tanpa disangka-sangka perahu bermotor yang mereka tumpangi melanggar potongan batang pokok kelapa yang mengapung tanpa kelihatan dengan kecepatan tinggi. Tubuh perahu yang kecil itu tak kuasa menahan goncangan sehingga melayang ke udara dan jatuh ke air dalam kedudukan terlungkup.

 Semua rakannya mengapung di atas laut, termasuk pengemudi perahu. Effendi yang duduk di samping Hariyati tidak sempat menahan tubuh Hariyati yang juga turut terlempar. Dalam hitamnya lautan Effendi berusaha menyelam mencari-cari tubuh Hariyati yang mendadak hilang. Ketika mereka semua muncul di permukaan hanya Hariyati saja yang tidak kelihatan.

Namun apa daya, keterbatasannya sebagai manusia tanpa dilengkapi alat bantu tidak mampu berbuat lebih banyak. Effendi memang tidak menyerah, dia tetap berenang ke sana-sini, menyelam berusaha semampunya mencari Hariyati, jeritan rakan-rakannya agar dia mendekati perahu dan pelampung diabaikannya. Dia merasa bersalah akan ketidakmampuannya menjaga Hariyati padahal mereka duduk berdampingan. Gempuran gelombang yang cukup kuat dan senja yang kian menghitam mengakibatkan pandangan menjadi terbatas dan laut jadi ganas.

Effendi akhirnya nyaris tenggelam. Untunglah ada Zaharan yang cepat-cepat menolong dan membantunya, mengapungkannya ke atas pelampung dalam keadaan separuh tidak sedarkan diri. Setelah pulih, dia menemui dirinya berada di Hospital Semporna, tergolek di ruang ICU. Mereka semua berjaya ditolong oleh pasukan SAR dan beberapa kelab menyelam di Mabul.

Sayang, Hariyati tidak ditemui, pencarian maraton selama seminggu penuh dihentikan. Hariyati disahkan meninggal dunia oleh pihak polis, dijangka gadis itu hanyut terseret arus laut. Dia memang tidak boleh berenang, itulah kesimpulan penyebab sehingga dia terkubur di laut itu.

 Kampus Universiti Malaysia Sabah khususnya Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) berduka. Seluruh mahasiswa sepakat memakai reben hitam pada jaket almamater selama satu minggu.

 Duka yang menimpa rakan-rakannya tidak mampu menandingi kepahitan yang dirasakan Effendi. Dia sungguh tidak mampu menerima kenyataan ini, Effendi mendadak menjadi pemurung. Dalam tidur kerap dia menjerit memanggil nama Hariyati.

 Lama kelamaan kesedihan itu mulai menggerogoti semangat hidupnya, cinta yang semerbak harum di sanubarinya kini hanya boleh menjadi sayatan perih di hatinya yang akan terus menghuni jiwanya hingga putaran waktu bagi hidupnya berakhir. Cinta itu tidak pernah terucap dan tidak akan pernah terucapkan.

Segala usaha keluarga dan rakan-rakannya untuk mengembalikan keyakinan diri dan semangat hidup Effendi tidak berhasil. Bahkan tawaran untuk mengikuti terapi psikiater ditolak mentah-mentah dengan penuh amarah. Dia sedar bahawa dia masih waras. Dia hanya merasa berdosa pada dirinya sendiri dan pada Hariyati. Effendi akhirnya memutuskan untuk menyendiri di Pulau Mabul. Berusaha menggali cintanya yang tertinggal dan tidak sempat diucapkan.

 Hamparan gelombang membiru selalu ditatap Effendi penuh ketenangan, hatinya terus berharap Hariyati akan tenang di bawah sana. Tidur dalam pembaringan yang memang diimpikannya, penuh warna-warni bagaikan hidup di negeri dongeng seperti yang pernah diucapkannya.

Effendi juga tahu Hariyati pasti marah dari pembaringannya, menatap dirinya yang terus menyiksa diri. Tetapi Effendi tidak peduli, sebelum dia merasa yakin bahawa cintanya sudah sampai. Meski hanya melalui tiupan angin laut. Ataupun melalui bisikan ombak samudera yang mengalir ke tempat Hariyati tidur bahkan oleh lumba-lumba yang tidak henti-hentinya melompat-lompat. Cinta Effendi hanya untuk Hariyati seorang, hingga maut menjelang.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan