SMAHADZIR
‘SESUNGGUHNYA
Allah SWT telah memberi anugerah kepada orang-orang yang beriman ketika Allah
mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri yang
membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan
mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah. dan sesungguhnya sebelum
kedatangan Nabi itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.’ (surah Ali
‘Imran: 164 )
Menurut teks ayat di atas, bahawa manusia berpotensi untuk tersesat dari kehidupan yang sebenarnya. Mereka hidup tanpa konsep yang benar dan tanpa arah. Sehingga Allah SWT mengutus seorang Rasul untuk membawa manusia kepada petunjuk dan hidup yang terarah. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, masyarakat Arab dikenali sebagai masyarakat jahiliyah (tidak ma’rifah kepada Allah SWT dan manhaj yang benar). Beberapa ciri masyarakat jahiliyah adalah seperti berikut:
1. Tidak Bersatu, Sering Berperang
Masyarakat jahiliyah amat sering berperang, kesombongan, kedengkian, keserakahan dan kebanggaan kelompok seringkali menjadi penyulut api peperangan. Kehidupan masyarakat penuh dengan gejolak, tanpa ada ketenteraman dan kedamaian kerana perselisihan dan peperangan boleh terjadi waktu sahaja.
2. Hidup dalam Kemiskinan
Ekonomi masyarakat pada masa jahiliyah sangat rapuh. Meski perdagangan mereka sampai ke taraf eksport-import dan negeri mereka banyak menyimpan kekayaan alam, namun kemiskinan dan kesenjangan sosial sangat ketara. Hal ini disebabkan adanya sistem monopoli dan riba yang membudaya. dan riba tidak dapat memberikan keberkahan dan kemakmuran.
3. Tidak Berilmu, Jahil atau Bodoh
Masyarakat jahiliyah (dulu, sekarang dan yang akan datang) adalah masyarakat yang tidak berilmu, jahil atau bodoh dalam menentukan jalan hidup dan peraturan-peraturan yang berlaku dalam masyarakat. Mereka hanya menduga-duga dan mengikuti ajaran nenek moyang dahulu. Beberapa contoh tingkah-laku tidak berilmu, jahil atau bodoh yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah ialah:
1. Menjadikan
berhala-berhala yang mereka buat sendiri sebagai sembahan. Akal sihat mereka
sendiri sebenarnya menentang hal ini, namun kerana budaya yang sudah melekat,
mereka tetap melakukannya.
2. Tukar
menukar isteri. Dua keluarga dapat mempertukarkan isteri mereka masing-masing.
Si isteri harus mahu kerana itu merupakan aturan yang berlaku di dalam
masyarakat.
3. Poliandri
yang bebas. Seorang wanita mempunyai banyak pasangan. Pelacuran berkembang
pesat, dan sebagai akibatnya lahirlah bayi-bayi tanpa ayah yang jelas.
4. Pembunuhan terhadap bayi-bayi perempuan. Masyarakat jahiliyah amat merendahkan golongan wanita. Bagi mereka yang memiliki bayi perempuan akan merasa malu dan segera mengubur bayi tersebut hidup-hidup untuk menutup aibnya.
4. Lemah, tiada Harga Diri, Terhina
Kerana selalu diliputi peperangan antara suku dan
ekonomi yang tempang, maka masyarakat jahiliyah
menjadi masyarakat yang lemah, yang tidak ada harga diri. Mereka dipandang
sebelah mata oleh bangsa yang kuat, negara kuasa besar menganggap mereka bangsa
yang bodoh, sebagai bangsa yang hina yang mudah dihancurkan bila-bila masa
saja.
Keadaan yang demikianlah yang diungkap ayat di atas sebagai kesesatan yang nyata dan itulah inti dari jahiliyah (Al-Quran surah 62/3). Di tengah-tengah keadaan seperti itu Allah SWT menurunkan Rasul-Nya untuk mengubah dan membimbing masyarakat jahiliyah menjadi masyarakat Islamiyah. Rasulullah SAW memikul tugas sebagai seorang pembina umat (murobbi dan da’i) dengan langkah-langkah seperti berikut:
a. Tilawah
Melalui tilawah seseorang akan berinteraksi dengan kalam Allah SWT. dari tilawah lisan, mata (bagi yang dapat melihat) dan hati mendapat sentuhan bimbingan Rabbani. Tilawah yang disertai dengan tadabbur yang khusyuk dapat mempertajamkan pandangan yang sudah tumpul, memusnahkan pandangan-pandangan yang sempit dan mengubati hati yang sedang sakitt (spiritual dan moral). Seseorang yang konsisten membaca Al-Quran dengan taddabur, maka akan terbukalah belenggu-belenggu yang memborgol hati dan akan terpancar pula cahaya Al-Quran di dalam jiwa.
b. Membersihkan Jiwa
Menyedarkan apa yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah selama ini adalah salah dan membersihkan jiwa mereka dari syirik, dengki, dendam dan penyakit maksiat lainnya. Di samping itu menanamkan kesedaran dan semangat iman kepada Allah SWT, semangat ibadah yang sah dan berakhlak mulia.
c. Mengajarkan Al-Kitab dan Al-Hikmah
Setelah jiwa mereka bersih, maka Rasul menanamkan
nilai-nilai yang terdapat dalam Al-Quran, memberi contoh cara melaksanakannya,
dan mengamati secara cermat perkembangan masyarakat yang dibinanya.
Keseluruhan proses di atas itulah yang disebut dengan nama tarbiyah. Hasil dari tarbiyah ini adalah terbentuknya individu-individu muslim yang terwarnai nilai-nilai Qur’ani secara menyeluruh. dengan tarbiyah itu manusia mendapat nikmat, anugerah yang dapat menghantarnya menuju khoiru ummah. Adapun ciri-ciri khoiru ummah adalah seperti berikut:
1. Memiliki harga diri yang disegani
Pada masa itu masyarakat Islam menjadi pemimpin dunia, suara mereka amat berpengaruh dan diambil kira oleh musuh. Bahkan nama-nama seperti Umar bin Khattab, Ali bin Abi Thalib dan lain-lain lagi adalah nama-nama yang cukup disegani.
2. Kaya
Kerana memang pada dasarnya negeri muslim adalah negeri yang kaya, maka ketika monopoli dan riba dihilangkan maka kemakmuran dirasakan oleh seluruh lapisan masyarakat. Orang kaya yang sewenang-wenang akan diambil tindakan. Zakat sebagai tiang ekonomi yang dapat memberdayakan masyarakat luas.
3. Persaudaraan
Masyarakat hasil tarbiyah Rasulullah SAW adalah masyarakat yang tidak membeza-bezakan bangsa, warna kulit, bahasa, dan kedudukan. Lantaran itu terdapat persaudaraan yang erat dalam masyarakat, sebuah persaudaraan yang hakiki dan abadi.
4. Pandai
Kemajuan peradaban dunia dipelopori oleh masyarakat Islam. Masyarakat Islam amat cenderung mengkaji ilmu pengetahuan kerana dimotivasi dan berpijak kepada Al-Quran. Ibnu Rusyd, Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina adalah beberapa di antara sekian ramai ilmuwan Islam.
Sekarang ini merupakan zaman globalisasi. Rasulullah SAW sudah tidak ada, tetapi peranan tarbiyah tetap memegang tugasan penting, setidak-tidaknya ada 3 aspek yang menguatkan betapa pentingnya tarbiyah Islamiyah dalam kehidupan manusia iaitu:
Pertama:
Dalaman ajaran Islam, Rasulullah SAW diutuskan untuk membina dan mengarahkan manusia untuk keluar dari jahiliyah menuju kehidupan yang islami dan Rabbani (surah2/257)
Kedua:
Hakikat jiwa menghadapi dua persoalan.
1. Dalaman: Fitrah jiwa yang pada dirinya terdapat:
Kecenderungan kepada takwa dan kecenderungan kepada kesesatan. Kecenderungan kepada takwa hanya dapat dibimbing melalui Al-Quran.
· Sementara kecenderungan kepada kesesatan mendapatkan godaan dan rayuan syaitan, kecintaan dunia dan nafsu syahwat. untuk menghindari itu semua, maka diperlukan tarbiyah yang berfungsi mengarahkan, membangun, menjaga dan memelihara jiwa untuk senantiasa berhubungan dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
2. Luaran: Adanya musuh yang tidak hanya membuat
perencanaan yang matang tetapi juga merealisasikan, yang keduanya adalah
sebahagian langkah-langkah syaitan. untuk menangkal serangan musuh diperlukan
kesedaran kolektif, dan tindakan terpadu (amal
jama’i) sebab berbagai persoalan tidak akan mampu dipecahkan dan
diselesaikan oleh seorang diri, sehebat atau sesoleh apapun dia.
Untuk itu Rasulullah SAW
menekankan wajibnya berjemaah, ‘Barangsiapa
menghendaki pelataran yang luas, maka komitmenlah dengan jemaah kerana syaitan
suka dengan orang yang menyendiri sedangkan terhadap dua orang syaitan
menjauh.’ (Hadis riwayat Tarmidzi, hasan sahih).
Akan tetapi amal jama’i dalam kalangan kaum muslimin tidak akan terjadi kecuali jika didahului dengan proses tarbiyah. Sering kita temui orang-orang berkumpul dalam sebuah yayasan, organisasi, atau politik; mereka tidak mampu beramal jama’i tetapi justeru terjadi perpecahan dan permusuhan. Sangat mungkin hal itu terjadi kerana tidak ada tarbiyah di dalamnya.
Ketiga:
Waqiul ummah (kenyataan
masyarakat dewasa ini). Masyarakat dewasa ini telah diserang oleh sejenis virus
yang mematikan iaitu virus buih (qutsa’)
yang meringankan bobot masyarakat dan membiat umat tidak ada arus. yang menjadi
penyebab virus qutsa’ ini adalah
kecintaan kaum muslimin terhadap kehidupan dunia sekali gus membenci kematian.
Virus qutsa’ ini menyebabkan kaum
muslimin menjadi santapan yang nikmat bagi para musuh Allah SWT.
Untuk membunuh virus tersebut,
diperlukan terapi (‘ilaj) yang
namanya tarbiyah yang insya-Allah
dapat menambah berat timbangan, bobot dan syaukah
serta mendatangkan arus, sehingga dapat menghancurkan thaghut.
Pembinaan ini harus rutin dilakukan, sebab sesaat saja kita lengah, maka ketika itu juga syaitan dan pengikutnya akan mendorong kita untuk kembali ke lembah jahiliyah. Beberapa contoh perbuatan dalam masyarakat sekarang ini yang menunjukkan kemiripan bahkan lebih parah dari masyarakat jahiliyah adalah:
1. Penyembahan
terhadap berhala berupa keris, kuburan, jawatan, pangkat, wang dan sebagainya.
2. Kalau pada
zaman jahiliyah dulu hanya bayi
perempuan yang dikuburkan, tetapi pada zaman sekarang bayi yang belum diketahui
laki-laki atau perempuan dibunuh hanya kerana mahu menutup aib dari perbuatan
bejat orang tuanya.
3. Pelacuran
pada zaman sekarang lebih hebat dan lebih canggih. Di samping diberikan
kebenaan operasinya, juga tempat dan fasilitinya. dan yang lebih hebat lagi
pelacuran ini melibatkan anak-anak remaja bahkan laki-laki sebagai pelakunya.
4. Pergaulan
bebas remaja-remaja usia sekolah menengah yang semakin menyemarak.
5. Perjudian
pada zaman sekarang dikemas rapi. Pelakunya tidak merasa berjudi bahkan menjadi
bangga kerana dicap sebagai seorang dermawan.
6. Kenyataan lain adalah mudahnya masyarakat Islam dipecah-pecah oleh bangsa atau masyarakat lain.
Persoalan tarbiyah bukanlah persoalan ‘boleh atau tidak boleh. Sebab kalau
disebut ‘boleh, maka semua orang boleh mendengar ayat Al-Quran, boleh menyemak
ketika diajarkan Al-Kitab dan Al-Hikmah dan boleh menahan diri untuk
meninggalkan perbuatan yang mengotori jiwa.
Persoalan tarbiyah bukan sekadar hanya di situ saja tetapi persoalan tarbiyah
adalah persoalan ‘mahu atau tidak mahu’. Betapapun orang boleh mendengar,
menyemak dan mengamalkan Al-Quran tetapi kalau orang tersebut tidak mempunyai
kemahuan yang kuat, maka proses pembinaan tidak akan berjalan.
‘Sebaik-baik
kalian adalah yang belajar Al-Quran dan mengamalkannya.’ (Al-Hadis)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan