Sabtu, 31 Mac 2012

Catatan Perjalanan - Kota Kinabalu - Keningau – Sipitang: Satu Memorabilia

SMAHADZIR

Tanggal 24 Mac 2012 saya datang ke Kota Kinabalu, Sabah selama seminggu untuk memberi ceramah kepada para peserta kursus anjuran ASFON Multimedia. Tiga tajuk ceramah telah disediakan untuk saya dan tempat penginapan serta berlangsungnya tugasan ialah Hotel Tang Dinasty, yang terletak di kawasan strategik pusat perniagaan Kota Kinabalu.

Suasana di Lapangan Terbang Kota Kinabalu

Hari pertama tiba di Kota Kinabalu dengan penerbangan Air Asia sedikit meletihkan namun tatkala melihat kereta sewa yang sudah menunggu di hadapan Lapangan Terbang Kota Kinabalu sedikit menceriakan. Kami terus ke sebuah restoran makanan Islam di Putatan untuk menjamu selera sebelum bergerak ke Keningau, Beaufort dan Sipitang.

Hotel Tang Dinasty tempat di mana saya dan rakan-rakan bermalam dan melaksanakan tugasan memberi ceramah anjuran Asfon Multimedia

Sebelum menyelongkar isi alam sepanjang perjalanan ke Keningau, sedikit maklumat tentang Kota Kinabalu dirasakan wajar dipaparkan. Nama Kota Kinabalu diambil sempena nama gunung yang tertinggi di Sabah dan juga tertinggi di Asia Tenggara, iaitu Gunung Kinabalu. Kota Kinabalu terletak di Bahagian Pantai Barat Sabah, ia merupakan pusat perdagangan, pentadbiran, peranginan, pendidikan dan perindustrian yang utama di negeri Sabah. Bandar ini mencapai taraf bandar raya pada 2 Februari 2000. Kota Kinabalu berada pada latitud 5.983° dan longitud 116.067°. Sehingga banci pada tahun 2000, jumlah penduduknya ialah 354,153 orang, dengan populasi metropolitan seramai 900,000 orang.


Ruang lobi dan meja resepsi tetamu hotel

Sepanjang pemerhatian saya semasa berada di Kota Kinabalu, ramai warganya terdiri dari pelbagai bangsa termasuk warga Filipina yang mencari rezeki di sini. Khabarnya ada yang masuk ke sini secara halal malah ada yang secara tidak sah. Pekerjaan yang mereka lakukan pun begitu juga, ada yang halal dan ada yang tidak sah sama ada di segi undang-undang negara mahupun agama.

Ruang bilik tidur hotel

Menurut catatan sejarah, semasa pemerintahan British di negeri Sabah (dikenali sebagai British North Borneo pada waktu itu), pusat pemerintahannya Pulau Gaya. Satu peristiwa kebakaran telah melanda Pulau Gaya dan pihak British terpaksa mengalihkan pusat pemerintahan ke sebuah perkampungan nelayan di persisiran Pantai Barat Sabah yang dipanggil Api-Api. Petempatan tersebut bertukar nama kepada Jesselton sempena memperingati Sir Charles Jessel. Apabila Sandakan, yang pada waktu itu merupakan ibu negeri British North Borneo, musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua, pentadbiran British telah dipindahkan ke Jesselton.

Para peserta yang terlibat dengan kursus anjuran Asfon Multimedia

Jesselton kemudiannya bertukar nama kepada Kota Kinabalu pada tahun 1967, iaitu 4 tahun selepas Sabah menyertai gagasan Malaysia yang baru. Bandar raya ini telah melihat perkembangan yang pesat sekali pada tahun 1970-an dan 1990-an. Beberapa pekan yang baru telah muncul akibat daripada pembukaan paya bakau dan hutan belantara.

Suasana di LCCT dengan kapalterbang Air Asia sedang menunggu para penumpang untuk ke Kota Kinabalu

Kota Kinabalu diisytiharkan menjadi bandar raya Malaysia yang pertama di alaf baru pada 2 Februari 2000. Datuk Ghani Rashid adalah Datuk Bandar Kota Kinabalu yang pertama. Datuk Iliyas Ibrahim dilantik sebagai Datuk Bandar kedua pada 2 Februari 2006, sempena ulangtahun keenam pengisytiharan bandar raya ini, dan masih memegang jawatan tersebut sehingga digantikan dengan Datuk Abidin Mangikir sebagai datuk bandar ketiga.

Suasana di ruang berlepas LCCT

Antara tempat-tempat menarik yang sempat saya tandangi di sekitar Kota Kinabalu ialah Pasar Tamu Dongonggon (pasar mingguan), Menara Tun Mustapha (menempatkan jabatan-jabatan kerajaan negeri Sabah), Muzium Negeri Sabah, Masjid Negeri Sabah, Pantai Tanjung Aru, Karambunai Resort, Sutera Harbour Resort, Padang Merdeka Kota Kinabalu, Menara Jam Atkinson, Taman Zoologi, Muzium Tamadun Islam dan Tinggalan Rumah Besar Kinarut.

Saya berehat kerana terlalu penat di ruang lobi Hotel Tang Dinasty, maklumkan usia dah tua... kalau remaja dulu taklah sepenat begini...

Memang mendamaikan perasaan bila dapat menyelusuri jalan-jalan berliku dari Kota Kinabalu ke Sipitang melalui Keningau dan beberapa buah kampung etnik minoriti Sabah. Keindahan alam semulajadi yang sentiasa menemani perjalanan begitu memukau, indah sehingga sukar untuk dilakarkan dengan kata-kata. Apatah lagi setiap detik perjalanan itu penulis ditemani oleh tiga orang rakan dari Semenanjung.

Sewaktu memberi ceramah di Bilik Seminar Manukan, Hotel Tang Dinasty

Sebenarnya penulis sengaja mengajak rakan-rakan ke Keningau dan Sipitang semata-mata untuk menggarap keindahan alam semulajadi yang menghijau sepanjang jalan. Kami melalui jalan raya berliku dan berbukit-bukau dari Kota Kinabalu menuju ke pantai barat melalui Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut, Beaufort hinggalah ke Sipitang.

Salah seorang peserta sedang menerima sijil penyertaan kursus

Sebenarnya saya ada mencadangkan kepada rakan pemandu supaya meneruskan perjalanan melewati Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu hinggalah ke Kudat, Kundasang, Ranau, Telupid, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau namun masa tidak mengizinkan. Sudah lama penulis berhasrat hendak ke Kuala Penyu dan Menumbok tetapi mungkin pada kesempatan yang lain hasrat tersebut akan tercapai!

Salah satu pojok di pekan Keningau

Paling penting perjalanan kali ini penulis dapat melihat keindahan bumi Sabah di samping mengaut pelbagai pengajaran, ikhtibar, kematangan dan kedewasaan. Sabah memang indah, begitu banyak tarikan yang wajar dikunjungi. Keningau dan Sipitang khususnya merupakan dua tempat yang tenang dan mendamaikan perasaan.

Jalan Kimanis-Keningau dari dalam kenderaan yang sempat diambil

Sepanjang perjalanan dari Kota Kinabalu kelihatan pemandangan belantara hijau yang memukau cantiknya. Ditambah lagi suhu yang segar, benar-benar mewujudkan persekitaran yang nyaman. Di pekan Keningau terdapat beberapa deretan kedai para peniaga. Selain itu terdapat juga penduduk tempatan yang menjual produk makanan seperti jeruk buah bambangan, tuhau dan beberapa jenis beras tempatan. Terdapat juga rokok-rokok seludup yang dijual oleh pendatang Filipina.

Ini pula merupakan jalan Keningau-Tambunan. Keindahan alam semulajadi yang menghijau sepanjang kiri dan kanan perjalanan memang mengasyikkan – damai dan tenang serta segar...

Keningau adalah sebuah daerah yang terletak di kawasan pedalaman Sabah, dan terbesar di Bahagian Pedalaman. Daerah Keningau boleh dihubungi menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu melalui Tambunan atau melalui Kimanis di mana masing-masing mempunyai jarak sekitar 128 kilometer yang mengambil masa kira-kira 2.5 jam perjalanan. Selain pengangkutan darat, terdapat juga perkhidmatan pengangkutan udara di Keningau. Bagaimanapun Lapangan Terbang Keningau hanya sesuai untuk kegunaan kapal terbang jenis foker sahaja.

Suasana masyarakat yang terdapat di pekan Keningau

Menurut catatan sejarah yang penulis perolehi, daerah Keningau pada suatu masa dahulu terkenal dengan pokok kayu manis atau lebih dikenali sebagai pokok koningau oleh penduduk tempatan. Mengikut istilah botani, kayu manis disebut dengan nama Cinnamomun burmannii dan tergolong dalam keluarga Lauraceae. Kayu koningau ini memang terkenal di kalangan penduduk tempatan sebagai bahan rempah dalam masakan sehingga mendapat jolokan Raja Rempah Ratus. Kemasyhurannya telah menarik perhatian ramai saudagar asing untuk memperdagangkannya di pasaran antarabangsa.

Perjalanan ke Sipitang. Sebuah papan tanda Kg Lubang Buaya yang terpacak di tepian jalan sedikit menggerunkan hati penulis kerana mengenangkan Sabah memang terkenal dengan kisah-kisah buaya membaham manusia. Pastinya di kampung ini banyak terdapat buaya...

Permintaan ramai yang tinggi terhadap kayu manis menyebabkan daerah ini begitu terkenal di mata saudagar-saudagar tempatan dan asing. Mereka inilah yang memberi gelaran Kampung Keningau pada daerah ini sempena nama pokok kayu koningau yang memudahkan mereka mengenali kawasan sumber utama kayu manis. Nama Keningau terus masyhur dan terkenal serta kekal sehingga ke hari ini sebagai sebuah daerah yang tertua dan terbesar di Bahagian Pedalaman.

Ucapan Selamat Datang Ke Pekan Sipitang menyambut kedatangan kami dari Keningau

Di Keningau terdapat sebuah objek wisata yang wajar dilawati iaitu Batu Sumpah. Batu Sumpah ini telah didirikan pada tahun 60-an atas perjanjian di antara Parti Pasok Momogun yang diketuai oleh mendiang Datuk G. S. Sundang @ Datuk Gunsanad Samson Sundang dan mendiang OKK Sodomon Bin Gunsanad dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk menghormati hak kebebasan beragama, adat istiadat anak rakyat negeri Sabah oleh Kerajaan Malaysia dan rakyat negeri Sabah, penduduk bahagian pedalaman atas (Keningau) bersumpah taat setia kepada Kerajaan Malaysia. Batu Sumpah tersebut kini diletakkan di pekarangan Bangunan Urusetia Keningau.

Suasana alam semulajadi tepian pantai yang terdapat di bahagian belakang motel penginapan kami di Sipitang

Gunung-gunung yang terdapat di daerah Keningau antaranya ialah Gunung Pisagan, Gunung Paling-paling, Gunung Sigapon, Gunung Lingan, Gunung Rinangisan, Gunung Kauran dan Gunung Tinutudan. Manakala kampung yang terdapat di daerah ini antaranya ialah Kampung Kepayan Baru, Kampung Pantai Baru, Kampung Ambual, Kampung Dongiluang, Kampung Bunga Raya, Kampung Tonobon Baru, Kampung Bayangan, Kampung Tudan Baru, Kampung Baginda, Kampung Merapok, Kampung Panui, Kampung Merasak, Kampung Sodomon, Kampung Luanti, Kampung Magatang, Kampung Penagatan, Kampung Menawo dan Kampung Bomboy.

Lagi suasana alam semulajadi tepian pantai yang terdapat di bahagian belakang motel penginapan kami di Sipitang. Ketika ini waktu pagi sebelum kami berlepas ke Beaufort. Penulis sempat mengambil gambar ini sebagai kenang-kenangan sebelum meninggalkan motel penginapan

Dari Keningau kami terus ke Sipitang. Sipitang juga merupakan pekan, daerah dan juga kawasan parlimen yang terletak di Bahagian Pedalaman, Sabah. Jumlah penduduk di daerah Sipitang dianggarkan seramai 12,076 pada tahun 1980, 24,349 pada tahun 1991 dan meningkat kepada 56,634 pada tahun 2010 . Sipitang adalah pekan negeri Sabah yang paling dekat dengan sempadan Sabah-Sarawak. Pekan Sipitang terletak sejauh 44 kilometer ke selatan Beaufort, dan 145 kilometer ke selatan Kota Kinabalu.

Pandangan hadapan motel tempat kami menginap di Sipitang. Terletak di tepian pantai, harganya amat murah, hanya RM 80.00 semalam, biliknya luas dan selesa.

Menurut catatan sejarah yang sempat saya telusuri, sebelum tahun 1884, Sipitang adalah di bawah naungan Kesultanan Brunei. Pada 5 November 1884, Sultan Brunei menyerahkan kawasan jajahannya dari Sipitang ke Kuala Penyu kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Penyerahan ini berikutan daripada sogokan yang diberikan oleh Gabenor SBBU, William Treacher, kepada pihak Sultan.

Di pinggir motel terdapat sebuah kawasan perniagaan yang kebanyakan peniaganya orang Filipina beragama Islam. Saya sempat bergambar di tepian sebuah menara yang khabarnya digunakan untuk panduan sampan-sampan dan perahu nelayan yang pergi ke laut.

Pada 7 September 1901 pula, Sultan Brunei menyerahkan kawasan dari Sungai Sipitang sehingga ke Sungai Trusan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Sehubungan itu, SBBU memperoleh kawasan Mengalong dan Merantaman di Sipitang pada 12 September 1901. Pemberian ini diperoleh daripada geran yang diberikan oleh Pangiran Tengah Damit ibni al-Marhum Pangiran Anak Bongsu. Kawasan-kawasan tersebut diperoleh secara berasingan kerana kawasan sebegitu adalah hak milik persendirian pangeran-pangeran (putera-putera) melalui hak tulen mereka, maka tidak terletak di bawah kuasa Sultan.

Menara yang digunakan untuk panduan sampan-sampan dan perahu nelayan yang pergi ke laut. Mungkin juga sebagai mercutanda tempat ini.

Sungai Sipitang menandakan sempadan British Borneo Utara dan Kesultanan Brunei sehingga tahun 1900. Pada tahun 1901, iaitu setelah Syarikat Berpiagam Borneo Utara memperoleh tanah dari Sungai Sipitang ke Sungai Trusan, pejabat pentadbiran ditubuhkan di Sipitang dan kawasan tersebut diletakkan di bawah nama Province Clarke. Daerah ini dinamakan sempena nama Sir Andrew Clarke. Matlamat penubuhan pejabat adalah untuk mengembangkan kawasan jajahan SBBU. Walau bagaimanapun, keadaan politik pada tahun-tahun berikutnya menyebabkan Syarikat Berpiagam Borneo Utara menjual kembali beberapa kawasan berdekatan dengan Sungai Trusan, dan sempadan Borneo utara menyusut ke Mengalong (Sindumin).

Sebuah restoran yang terdapat di tepian motel penginapan kami. Pemiliknya orang Filipina beragama Islam. Hanya restoran ini saja yang wujud di depan mata kami. Jadi terpaksalah kami bersarapan di sini meskipun selera penulis langsung tak terbuka di sini.... tak sedap... roti canainya keras, kuah dalnya entah apa-apa rasa...

Kegiatan ekonomi utama di daerah Sipitang ialah kegiatan pembalakan. Sebuah kilang kertas dan pulpa dibina pada tahun 1987 di Sipitang dan dikendalikan oleh Sabah Forest Industries. Pada amnya, kegiatan pembalakan tidak menguntungkan orang-orang tempatan secara langsung, kerana kebanyakan mereka hanyalah terlibat dalam kegiatan perladangan dan perikanan kecil-kecilan.

Kenangan terakhir sebelum meninggalkan motel penginapan penulis abadikan dalam gambar ini

Sipitang menjadi sebahagian daripada wilayah Sabah pada tahun 1901. Sebelumnya, Sipitang merupakan sebuah wilayah bebas yang menjadi ancaman kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British kerana ia menjadi tempat perlindungan penjenayah melakukan penyeludupan senjata dan peluru.

Di satu tempat menuju ke Beafort penulis sempat merakamkan keindahan tempat ini. Tempatnya masih lagi di daerah Sipitang

Kerajaan Negeri Sabah telah memperoleh daerah Sipitang pada awal abad ke-20. Dalam usahanya untuk menetapkan sempadan negeri Sabah, kerajaan berpendapat bahawa sempadan negeri di bahagian selatan Pulau Borneo harus diperluaskan agar dapat menjadikan wilayah-wilayah seperti Mengalong, Merapok dan Lawas sebahagian dari negeri Sabah. Tetapi perbelanjaan yang tinggi untuk memperolehi kawasan-kawasan tersebut dan kesukaran untuk menembusinya telah menyebabkan sempadan negeri ditetapkan di sepanjang pinggir Sungai Mengalong sahaja.

Salah seorang peserta kursus sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Setelah sempadan ditetapkan, kerajaan telah memulakan pentadbiran daerah Sipitang yang digabungkan dengan Mempakul untuk menjadi kawasan pentadbiran Wilayah Clarke atau Province Clarke. Pentadbirannya terletak di bawah kuasa Pegawai Daerah di Beaufort. Mempakul kemudiannya dipisahkan daripada Sipitang dan kedua-dua stesen pentadbiran ini masing-masing dinamakan Wilayah Dent (Province Dent) dan Wilayah Clarke (Province Clarke)

Dari bilik penginapan di Hotel Tang Dinasty dapat dilihat suasana pusat membeli belah di sisinya

Pada tahun 1938, sebuah pelan pembangunan Pekan Sipitang telah dirancang oleh kerajaan. Pelan ini melibatkan penyediaan tanah untuk pembinaan 18 lot kedai, rumah-rumah kediaman dan tanah simpan untuk kegunaan kerajaan. Malangnya, Perang Dunia Kedua telah meletus dan perlaksanaan pelan ini terpaksa diketepikan sehingga keadaan ekonomi pulih.

Hotel Tang Dinasty dilihat dari jalan raya

Selepas perang, pembangunan mula dilaksanakan pada lewat tahun 1949 dan didapati bahawa permintaan terhadap lot-lot kedai di Sipitang amat rendah sehingga tahun 1952. Ketika itu, hanya lapan lot sahaja yang telah disewa. Sungguhpun demikian, kerajaan bercadang untuk memperluaskan lagi kawasan Pekan Sipitang kerana pada masa itu, terdapat cadangan untuk melaksanakan skim hidro elektrik Sipitang.

Lagi salah seorang peserta kursus dari Sabah sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Daerah Sipitang merangkumi kawasan yang agak luas yang sebahagian besarnya terletak di kawasan yang sukar ditembusi. Walaupun sebilangan besar penduduknya tinggal di kawasan berdekatan pantai dan di persekitaran Sungai Mengalong tetapi kepentingan terhadap penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman tidak dilupakan.

Suasana bilik penginapan Hotel Tang Dinasty yang selesa

Oleh yang demikian, kerajaan penjajah telah berusaha untuk menggalakkan penduduk-penduduk di kawasan pedalaman agar berpindah ke kawasan yang lebih mudah untuk dihubungi supaya mereka dapat merasai kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan. Pada tahun 1953, hasil daripada galakan dan seruan yang disampaikan oleh pihak kerajaan, seramai 53 buah keluarga telah berpindah daripada kawasan terpencil ke kawasan penempatan semula.

Hotel Tang Dinasty

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, pentadbiran daerah Sipitang dikendalikan oleh seorang Penolong Pegawai Daerah di bawah kuasa Pejabat Daerah Beaufort. Majlis daerahnya telah ditubuhkan pada 1 Januari 1955. Pada awalnya Penolong Pegawai Daerah hanya mempunyai seorang kakitangan bagi membantu tugas-tugas am. Namun pada tahun 1963, bilangan kakitangan mulai ditambah bagi membantu mengendalikan tugas dan tanggungjawab yang semakin bertambah.

Hotel Tang Dinasty menyediakan air minuman dan juga akhbar setiap hari untuk para pelanggannya

Kini selepas melalui beberapa fasa pembangunan dan pemodenan, daerah Sipitang boleh berbangga atas segala usaha yang telah diberikan oleh pelbagai pihak. Antara perubahan yang paling ketara ialah penyediaan jalan raya yang baik dan kemudahan pengangkutan awam yang selesa. Selain itu, beberapa kemudahan awam seperti kesihatan dan keselamatan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar semata-mata bahkan turut terdapat di kawasan pedalaman.

Ruang makan di Hotel Tang Dinasty

Di bawah pentadbiran negeri Sabah, daerah Sipitang kini telah berkeluasan 2,732.49 kilometer persegi atau 273,249.69 hektar. Sipitang mempunyai kawasan hutan simpan yang besar iaitu 73.6 kilometer persegi. Pekan Sipitang yang berkeluasan 303.3 hektar merupakan pusat pentadbiran daerah ini. Pekan Mesapol merupakan pekan yang kedua terbesar dengan keluasan 134.7 hektar disusuli pekan Sindumin yang berkeluasan 5.2 hektar.

Salah seorang peserta kursus dari Jabatan Kewangan, Putrajaya sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Kedudukan deerah Sipitang agak strategik kerana terletak bersempadan dengan daerah Beaufort di utara, daerah Tenom di timur dan negeri Sarawak serta Kalimantan Indonesia di bahagian selatan. Lokasi daerah ini juga agak baik kerana di bahagian baratnya berjiran dengan Wilayah Persekutuan Labuan dan negara Brunei Darulsalam.

Ais Asia di Lapangan Terbang di Terminal 2 Kota Kinabalu

Oleh kerana hampir jam 8.30 malam baru kami tiba di Sipitang, jadi kami terpaksa tidur di sini sebelum esok memulakan perjalanan pulang semula ke Kota Kinabalu kerana urusan tugasan ceramah di Hotel Tang Dinasty. Di sini kami memilih sebuah motel tepian pantai yang boleh dikatakan selesa juga untuk merehatkan badan dan melelapkan mata.

Lagi salah seorang peserta kursus dari Jabatan Kewangan, Putrajaya sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Esok pagi sebaik selesai solat subuh dan bersarapan pagi di sebuah restoran tepian pantai Sipitang, kami meneruskan perjalanan ke Beaufort. Beaufort bererti kota yang indah dalam bahasa Perancis silam, ia merupakan bandar dan daerah di Sabah di kepulauan Borneo. Penduduknya dianggarkan sekitar 61,698 pada 2000. Ia merupakan bandar provincial sekitar 90 kilometer selatan Kota Kinabalu, dengan rumah kedai dibina tinggi dari jalan bagi mengelakkan banjir berkala dari Sungai Padas. Pada asalnya ditubuhkan bagi membantu kemajuan ekonomi dalaman Sabah, kemakmuran awalnya berkait rapat dengan penanaman getah. Semasa Perang Dunia Kedua, ia merupakan tepak pertempuran antara tentera Jepun dan Australia. Kemakmurannya kini bergantung kepada industri kelapa sawit.

Ruang kursus di Hotel Tang Dinasty

Beaufort merupakan perhentian kereta api Borneo Utara yang dikendalikan oleh Sutera Harbour Resort. Stesen kereta api di Beaufort bertarikh 1905. Khidmat harian biasa dikendali oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah. Beaufort biasanya dilawati oleh tetamu bagi berakit air putih melalui Jeram Padas di Sungai Padas berhampiran yang dinilai sungai Grade 2 hingga 3.

Salah seorang petugas di ruang makan di Hotel Tang Dinasty

Pasar terbuka, yang dikenali sebagai tamu diadakan setiap minggu pada petang Jumaat sehingga petang Sabtu. Keluaran tempatan seperti buah segar, sayuran, daging segar, dan ayam hidup dijual di situ. Hari ia diadakan berbeza dari daerah ke daerah yang lain. Beaufort juga terkenal di Sabah bagi hidangan Cina yang dikenali sebagai mee Beaufort, hidangan mee dihidang kering atau berkuah. Beaufort juga merupakan bandar berkembar kepada Beaufort, Carolina Utara.

Salah seorang peserta kursus dari Institut Latihan Perindustrian (ILP), Labuan sedang menerima sijil penyertaan dari penulis pada hari akhir kursus

Kami tiba semula di Kota Kinabalu sekitar jam 11.30 pagi dan berehat sebentar di ruang lobi Hotel Tang Dinasty sebelum dibenarkan membawa bagasi ke dalam bilik.

Hari Itu Mencatat Sebuah Pertemuan

(sempena pertemuan dengan Abang Nordin Mehat, Zamri Hassan dan Md Desa Man di Baling, Kedah – 13 Mac 2012)


Tuhan, hari itu disapa dalam rindu,

dan dunia lama kembali terbentang,

terungkap kembali hari demi hari yang berlalu di SMSAH,

di lebaran pertemuan dan Baling jadi saksi,

pertemuan dalam dasawarsa yang diam sekian lama,

betapa pertemuan ini penuh dengan senyuman,

betapa pertemuan ini penuh dengan kocakan kenangan silam,

dan betapa jalan yang kita lalui penuh dengan liku,

betapa doa telah digeletakkan di halaman perjuangan,

kita terus menari dalam limpahan kudrat dan hayat.

Penulis bersama Abang Nordin Mehat, Zamri Hassan dan Mohd Desa Man sewaktu sedang menjamu selera di Restoran Abah, pekan Baling


Tuhan, izinkan aku memungut kembali doa sebelum pertemuan,

ini sebuah perjalanan yang panjang,

melangkaui lebih 30 tahun,

nadiku sentiasa merakam setiap kata dan peristiwa,

dalam kenangan yang bersimbahan air mata,

padang SMSAH yang kini sudah kering kerontang dengan peluh,

ketika anak-anak didiknya berlarian membina stamina,

langit jadi bungkam, bunga ilalang terpaksa mengembang tanpa isi,

para penoreh dengan leher tergorok diserbu nyamuk,

daun-daun pucat penuh debu dan angin berhembus malu-malu,

ternyata SMSAH milik kita yang mahu berbakti,

dan sejumlah rakan-rakan hebat yang bertakhta di singgahsana,

adalah bukti gedung itu sarat dengan ilmu yang bermaruah.

Abang Nordin Mehat sedang berbual dengan Zamri Hassan

Penulis bersama Abang Nordin Mehat, di hadapan rumahnya di Bukit Puyuh, Baling

Penulis bersama Mohd Desa Man sahabat sekelas sewaktu di SMSAH dulu


Tuhan, hari itu telah membasahi pelupuk mata dengan ingatan yang gersang,

terbongkarlah sebuah kenangan yang temaram,

tak ada yang lebih menarik selain pertemuan yang sekian lama bungkam,

dalam pejam sukmaku berenang ke selokan yang maha jauh,

tergenang air mata menyaksikan tarian rumput di jalan kenangan,

dari lagu yang dimainkan ranting dan dedaunan di setiap pojok SMSAH,

selamat bertemu kembali sahabat dalam alunan restu,

kini kita adalah bait-bait puisi Mac dalam dakapan dingin,

bagai merindukan kekasih di setiap malam yang sepi,

bisakah pertemuan ini menimbulkan kehangatan dalam tahiyat yang hikmat,

sepanjang hayat.


SMAHADZIR

Banting, Selangor

19 Mac 2012

Pabila Cucuku Mengalunkan Azan


Langit senja disepuh sepi sepia dan di tengah laut tenggara,

menyeruakkan keagungan-Nya,

dengan Yang Menciptakan lidah-lidah ombak bertasbih menujunya,

suara azan cucuku di rimbun dedaunan begitu gemersik,

saat senja sebagai isyarat solat telah tiba.

Azan yang dialunkan cucuku telah mengimbau satu lambaian,

membisikkan aku pada kejernihan air wuduk penebus dosa,

lalu segera kubasuhkan urat nadi penghubung hasrat,

deburkan segala kotoran yang melekat di seluruh jasadiah,

rasakan nikmat sesaat yang disuguhkan suara kecil alunan muazin,

teduhkan masa yang berlalu dengan naungan munajat dan zikir,

sucikan zahir dan hati yang sarat dengan mazmumah.

Cucuku Mohd Rayyan Darwish sedang mengalunkan azan


Pabila cucuku mengalunkan azan,

temani kekusyukkan di langgar kecil bermuara syurga,

untukku bacakan sejuta tahmid menggamit malaikat rahmat,

sebarkanlah keampunan biar subur di serata jagat,

keagungan Maha Wisesa, syukur tak terkira di sudut linangan air mata,

lalu kujatuhkan tubuh di atas hamparan sejadah,

kusemarakkan kudup senyum hati yang lama tak berkembang,

kulontarkan api dendam ke gurun gersang yang diam,

lalu suara azan cucuku itu menggema di ufuk keinsafan.

Pabila cucuku mengalunkan azan,

menciumku di tengah ramah-tamah penghuni jannah,

lalu beralirlah madu dan susu di depan hati,

sepikan waktu sementara, tenggelamkan aku di sudut langit-Nya,

mendayu mentari, kepakkan sayap-sayap pengantar rezeki,

hingga azan membuahkan tempat terindah,

bagiku yang haus cinta di subuh perindu sepi.


SMAHADZIR

Banting 2012

Cucuku Mohd Rayyan Darwish sewaktu masih kecil

Jumaat, 30 Mac 2012

Bermandi-manda Di Ulu Legong, Satu Kenikmatan Tersendiri

SMAHADZIR

Bagi orang Kedah khususnya warga yang tinggal sekitar daerah Baling, kalau sebut Ulu Legong, akan sinonim dengan komunis. Sekitar tahun 70-an, kawasan ini digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai markas operasi untuk memburu pengganas komunis. Masa saya masih bersekolah rendah sekitar tahun 60-an, setiap hari boleh melihat trak tentera dan melambai-lambai anggota tentera yang berulang alik di sekitar jalan raya di kampung kami. Pada tahun 1980 berlaku tragedi serangan komunis terhadap penduduk kampung di Ulu Legong dan seingat saya peristiwa terakhir yang terjadi adalah pada tahun 1981 apabila komunis telah menyerang hendap konvoi tentera sehingga mengorbankan 7 anggota.

Pusat rekreasi Ulu Legong dapat dilihat dengan jelas oleh para pengunjung

Justeru, bila bercakap soal Ulu Legong juga, saya teringatkan sebuah novel yang berjudul Serang Hendap Ulu Legong. Dalam novel tersebut dikisahkan bagaimana perjuangan askar-askar Melayu menentang pengganas komunis. Selalunya, hanya satu daripada berjuta yang boleh selamat dalam kejadian serang hendap pihak komunis. Serang hendap oleh pengganas komunis ke atas pasukan keselamatan di Ulu Legong termasuk dalam kumpulan berjuta yang tidak selamat.


Salah sebuah kolam air panas yang terdapat di sini

Serang hendap Ulu Legong juga adalah saksi atau bukti kepada dua perkara sejarah iaitu kekejaman pengganas komunis dan keberanian Askar Melayu yang telah berjuang bermati-matian hingga ke hujung nyawa. Sungguhpun menyedari akan kelemahan kumpulan seperti jumlah yang sangat sedikit (9 vs >38), kedudukan yang tidak strategi dan tidak mempunyai senjata bantuan, 9 orang perajurit tanahair telah berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Menyerah kalah adalah pantang pejuang dan sama sekali tidak biarpun nyawa melayang. Perajurit-perajurit yang cedera parah telah diseksa bagi mendapatkan maklumat.


Penulis bersama sahabat-sahabat lama bekas pelajar SMSAH - Abang Haji Nordin Mehat (seorang usahawan hebat), Mohd Desa Man (Jurutera Daerah Baling), Zamri Hassan (Pengurus FAMA Baling) sewaktu menjamu selera di Restoran Abah, pekan Baling

Membocorkan maklumat sama sekali tidak dan menyerahkan senjata pun sama sekali tidak, mereka lebih rela mati. Jenazah-jenazah perajurit yang syahid telah dizalimi sekejam-kejamnya oleh pengganas komunis yang berbadan manusia tetapi berhati binatang dan bertindak seperti iblis. Mata dicungkil, perut dirobek, telinga dipotong, isi perut diburaikan, kemaluan di potong dan segala-galanya tidak tercapai oleh sifat seorang manusia. Kisah yang sangat eksklusif dan belum terbongkar.


Antara resort yang terdapat di pusat rekreasi ini. Harganya berpatutan. Sesuai untuk sekeluarga

Lantaran itu, sesekali pulang ke kampung halaman di Kampung Bukit Hijau, Baling, Kedah - selain bertemu dengan rakan-rakan lama sewaktu bersekolah di SMSAH, Jitra dulu, saya sekeluarga kerap juga bermandi-manda di kolam air panas Pusat Rekreasi Ulu Legong yang letaknya sekitar 20 km dari pekan Baling. Selalunya kalau musim cuti, pusat rekreasi ini sendat dengan pengunjung namun tempat letak kereta yang luas sedikit mendamaikan perasaan. Saya lebih selesa datang ke sini pada waktu malam kerana suasananya yang sejuk dan terasa segar bila merendamkan badan dalam air panas.


Kolam yang berpagar dikatakan airnya lebih panas dari yang lain. Saya dapati tak ada orang mandi di kolam ini

Kolam Rekreasi Air Panas Ulu Legong ini merupakan satu-satunya Pusat Rekreasi Air Panas yang beroperasi 24 jam di Malaysia dengan kemudahan penginapan yang terbaik dalam mempertingkatkan pertumbuhan industri pelancongan tempatan yang disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. Dengan kemudahan penginapan yang selesa serta aktiviti jungle traking bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak, Pusat Rekreasi Air Panas Legong merupakan pilihan yang tepat sebagai destinasi percutian. Antara pusat destinasi pelancongan yang berhampiran dengan Kolam Rekreasi Air Panas Ulu Legong ini ialah Air Terjun Lata Bayu, Asam Jawa, Air Terjun Lata Bukit Hijau, Air Terjun Celak, Kampung Iboi, Gua Batu Kapur, Gunung Baling dan Pemandangan Indah Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Inas.

Adik dan isteri saya sewaktu tiba di sini

Kolam Rekreasi Air Panas Ulu Legong ini juga merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Kedah dan negeri-negeri yang berhampiran seperti Pulau Pinang dan Perlis. Ada juga pengunjung yang datang dari Perak, Selangor, Melaka dan lain-lain negeri, kebanyakkan mereka bermalam di chalet dan homestay yang banyak terdapat di sini. Kolam rekreasi air panas ini merupakan mata air panas semulajadi yang menawarkan kolam air panas dengan suhu antara 38-49 darjah Celsius, dibuka 24 jam dan disediakan dengan kemudahan seperti bilik bersalin pakaian, kawasan duduk, bilik air, dan kafeteria. Terdapat juga kolam khas untuk wanita dan kanak-kanak. Dari Kampung Bukit Hijau, Kupang (kampung saya) ia memakan masa lebih kurang 45 minit berkereta untuk sampai ke sini.

Pengunjung semakin ramai apabila hari semakin petang atau tatkala malam menjelang

Menurut catatan sejarah yang disediakan oleh Majlis Daerah Baling, diriwayatkan bahawa suatu ketika dahulu, Sultan Kedah (Sultan Abdul Hamid, nenda kepada Sultan Abdul Halim) telah berkenan berkunjung dan bersiram di Kolam Air Panas Kampung Ulu Legong ini. Penduduk kampung telah bergotong royong membina kolam simen empat segi berukuran lebih kurang 100 kaki persegi yang mana bahan-bahan binaan ini telah diangkut masuk menggunakan gajah.

Novel Serang Hendap Ulu Legong. Dalam novel ini dikisahkan bagaimana perjuangan askar-askar Melayu menentang pengganas komunis. Selalunya, hanya satu daripada berjuta yang boleh selamat dalam kejadian serang hendap pihak komunis. Serang hendap oleh pengganas komunis ke atas pasukan keselamatan di Ulu Legong termasuk dalam kumpulan berjuta yang tidak selamat.

Tentera Jepun sekitar tahun 1940-an telah menjadikan persekitaran Kampung Ulu Legong sebagai salah satu kawasan operasi tentera yang merupakan laluan masuk dari Thailand. Sekitar tahun 1970-an Angkatan Tentera Malaysia turut menggunakan kawasan sekitar kolam air panas ini sebagai markas operasi tentera untuk memburu anggota pengganas Komunis. Pada tahun 1980 berlaku tragedi serangan komunis terhadap penduduk Kampung 15, Kampung Ulu Legong dan kemudiannya berlaku satu lagi serang hendap komunis ke atas Konvoi Tentera pada akhir tahun 1981.

Ada lima buah kolam yang disediakan untuk para pengunjung. Setiap kolam mempunyai kepanasan yang berbeza. Kolam yang berpagar terlalu panas dan tidak dibenarkan masuk ke sana. Tetapi jika anda inginkan cabaran yang ekstrim, bolehlah cuba mandi di kolam yang berpagar ini. Keselamatan anda tidak dijamin oleh pihak pengurusan dan sebarang kecederaan, anda tanggunglah sendiri.

Apabila berada di Kolam Rekreasi Air Panas Ulu Legong ini, para pengunjung akan dapat merasai sendiri nikmat berendam di dalam air panas semulajadi sama ada dengan berenang di kolam yang disediakan atau sekadar merendam kaki dengan suasana kedamaian dikelilingi bukit bukau. Selain dari itu pengalaman meredah hutan dengan melalui denai-denai dan merentas kesejukan jeram air Lata Gading dan Lata Parit serta dikelilingi kehijauan alam semulajadi Hutan Simpan Ulu Muda yang pasti akan menguji kekuatan mental dan fizikal anda.

Aluan selamat datang untuk para pengunjung antara paduan aksara yang boleh menyejukkan hati

Bagi para pengunjung yang tidak biasa bermandi-manda di sini atau pertama kali datang ke sini, dinasihatkan supaya jangan terus terjun ke dalam kolam mandi kerana dikhuatiri mengejutkan saraf dan sendi tubuh anda. Air di sini lebih panas dari lain-lain kolam air panas di Malaysia. Sebagai permulaan eloklah anda merendamkan kaki terlebih dahulu, kemudian perlahan-lahan merendamkan badan. Itupun kalau anda mampu tahan dengan kepanasannya. Apabila sudah mangli bolehlah anda terus mandi, berenang atau menyelam.

Mandi di sini dikatakan boleh melancarkan perjalanan darah setiap pojok tubuh

Ada lima buah kolam yang disediakan untuk para pengunjung. Setiap kolam mempunyai kepanasan yang berbeza. Kolam yang berpagar terlalu panas dan tidak dibenarkan masuk ke sana. Tetapi jika anda inginkan cabaran yang ekstrim, bolehlah cuba mandi di kolam yang berpagar ini. Keselamatan anda tidak dijamin oleh pihak pengurusan dan sebarang kecederaan, anda tanggunglah sendiri.

Saya mengesyorkan, jika anda berkelapangan, datanglah bersama keluarga bermandi-manda di sini

Kolam Rekreasi Air Panas Ulu Legong ini bertambah meriah pada waktu malam. Ada yang ambil kesempatan berkhemah di sini sepanjang malam. Riuh-rendah terutama suara jeritan keriangan kanak-kanak hingga ke pagi. Menjelang tengah malam, ketika semua pengunjung sudah beredar, akan kelihatanlah pekerja-pekerja sibuk membersihkan kolam untuk kegunaan pengunjung seterusnya.

Pusat rekreasi air panas Ulu Legong ini bersuasanakan alam sekitar yang segar, masih jauh dari proses modenisasi kota, tenang, nyaman dan sesuai untuk rekreasi keluarga

Sekiranya anda inginkan kedamaian yang lebih panjang, anda bolehlah menyewa homestay yang banyak terdapat di sekitar Kolam Rekreasi Air Panas Ulu Legong ini. Dengan panorama hutan dan tumbuhan menghijau subur segar pasti akan membuatkan anda berasa tenang dan tenteram. Jika anda seorang penyair, penyajak atau penulis, pelbagai ilham akan cagun menyarati minda anda dengan suana tenang di sini.

Bagi saya, kewujudan Kolam Rekreasi Air Panas Ulu Legong ini merupakan satu usaha yang baik dan bijak oleh kerajaan Negeri Kedah. Dengan memiliki aset alam semula jadi yang mempesona, kerajaan Negeri Kedah telah berjaya memanfaatkan sungai, air terjun, dusun buah-buahan, penempatan Orang Asli dan kolam air panas sebagai produk pelancongan Homestay Keda Ulu Legong (HSKUL). Setahu saya, melalui projek pelancongan Inap Desa Keda itu, kampung berkenaan yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Baling kini telah menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Dari maklumat yang saya baca, Homestay Kampung Keda berkonsepkan program penginapan keluarga angkat bagi tempoh tertentu menyediakan dua jenis pakej penginapan iaitu Legong Satu dan Legong Dua. Legong Satu untuk penginapan (tanpa sarapan) sehari semalam dengan bayaran bilik antara RM50 dan RM60. Manakala Pakej Legong Dua untuk penginapan tiga hari dua malam. Bayaran penginapan bagi pakej ini cuma RM50 seorang termasuk sarapan pagi, tengah hari dan makan malam.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA