Isnin, 11 Disember 2023

HARI KELIMA: Lawatan Kerja Sempena Program Silang Budaya Selangor Indonesia 2023: Semarak Budaya Serumpun

Selepas bersarapan pagi di Hotel Santika Premiere Jakarta, Jalan K.S. Tubun, Slipi, Kecamatan Palmerah, Jakarta Barat, delegasi Selangor dibawa ke Monumen Nasional atau lebih dikenali dengan sebutan MONAS. MONAS berlokasi di Jakarta Pusat tepatnya di Lapangan Merdeka, Jalan Medan Merdeka, Kecamatan Gambir.

 

MONAS merupakan tempat bersejarah yang menjadi simbol Jakarta dan Indonesia. Salah satu tempat yang mencuri perhatian iaitu bahagian puncak yang dibalut emas berbentuk lidah api sedang menyala. Menurut Dadang Dabot, idea pembinaan Monas dari Presiden Soekarno yang menetapkan bahawa monumen ini harus mencerminkan keperibadian bangsa Indonesia, melambangkan api yang berkobar, bersifat dinamis dan memberikan kesan bergerak.

 

 

Monumen Nasional atau lebih dikenali dengan sebutan MONAS

 

Menurut Dadang Dabot, MONAS adalah sebuah tugu yang dibina bertujuan untuk mengenang sejarah perjuangan di Jakarta. MONAS mulai dibina pada 17 Ogos 1961. Arkiteknya adalah Soedarsono, Frederich Silaban, dan Ir. Rooseno. MONAS diresmi dan dibuka untuk umum pada tahun 1975. Gagasan untuk mendirikan MONAS sudah ada sejak 1954 lagi. Beberapa hari setelah peringatan proklamasi kemerdekaan Indonesia ke-9, dibentuk Panitia Tugu Nasional yang bertugas untuk pembinaan Tugu Monas. 

 

Panitia ini diketuai oleh Sarwoko Martokusumo, dengan dibantu oleh S Suhud sebagai penulis, Sumali Prawirosudirdjo sebagai bendahari, dan empat anggota lainnya, iaitu Supeno, KK Wiloto, EF Wenas dan Sudiro. Panitia Tugu Monas bertanggungjawab untuk mempersiapkan segala hal yang diperlukan untuk membina Tugu Monas sekali gus mengumpulkan kos pembinaannya. Selepas itu, Presiden Soekarno membentuk panitia pembinaan MONAS yang bernama Pasukan Yuri. Pasukan ini melakukan dua kali pertemuan, iaitu pada 17 Februari 1955 dan 10 Mei 1960, untuk merancang bentuk bangunan Tugu Monas. 

 

 

 MONAS adalah sebuah tugu yang dibina bertujuan untuk mengenang sejarah perjuangan di Jakarta

 

Sayangnya, setelah dua kali pertemuan, belum ada rancangan yang dianggap memenuhi kriteria yang diinginkan panitia. Akhirnya, Soekarno melantik beberapa arkitek ternama, iaitu Soedarsono dan Frederich Silaban untuk melukis rancangan Tugu Monas. Kedua-duanya memutuskan untuk melukis sendiri dan kemudian gambar yang dipilih oleh Soekarno adalah milik Soedarsono. Bentuk tugu yang menjulang tinggi dengan pelataran cawan yang luas mendatar merupakan representasi dari lingga dan yoni. 

 

Dalam ajaran Hindu, penyatuan lingga dan yoni akan menghasilkan kekuatan tertinggi. Selain itu, lingga dan yoni juga melambangkan kekhususan Indonesia, di mana lingga menyerupai alu dan yoni menyerupai wadah yang berupa lumpang. Alu dan lumpang adalah dua alat yang dianggap penting dan dimiliki oleh setiap keluarga di Indonesia, khususnya warga kampung. 

 

Dalam rancang bina yang dibuat, Soedarsono mengambil beberapa unsur sewaktu proklamasi kemerdekaan Indonesia dilaksanakan. Misalnya, di atas tugu terdapat bahagian yang menyerupai api menyala dan seakan-akan tidak kunjung padam. Ini melambangkan keteladanan semangat bangsa Indonesia yang tidak pernah surut berjuang sepanjang masa. 

 

 

 Pagi-pagi lagi MONAS sudah dikunjungi warga

 

Selepas rancangan disetujui, proses pembinaan Tugu Monas dilaksanakan melalui tiga tahap. Tahap pertama tahun 1961-1965, tahap kedua antara 19661968 dan tahap ketiga pada tahun 1969-1976. Pada tahap pertama, proses pembinaan MONAS diawasi terus oleh Panitia Monumen Nasional dan kos yang digunakan berasal dari sumbangan masyarakat. Pada tahap kedua, proses pembinaan masih diawasi oleh panitia MONAS, tetapi kos bersumber dari Anggaran Pemerintah Pusat. 

 

Pada tahap terakhir, pembinaan MONAS diawasi oleh Panitia Pembina Tugu Nasional dengan sumber dana berasal dari Pemerintah Pusat atau Direktorat Jenderal Anggaran melalui Rancangan Pembangunan Lima Tahun (Repelita). MONAS secara perlahan-lahan mulai dibuka untuk umum pada 18 Mac 1972, berdasarkan Surat Keputusan Gabenor DKI Jakarta Ali Sadikin Nombor CB 11/1/57/72. Waktu itu, Gabenor Ali Sadikin membuka kawasan untuk rombongan atau pertubuhan atau siswa ke ruang tenang dan ruang muzium. Pada tahun 1973, Gabenor Ali Sadikin mengizinkan pengunjung naik hingga ke pelataran puncak MONAS. 

 

 

 Muzium Fatahillah

 

Pada 10 Jun 1974, Gabenor Ali Sadikin meresmikan taman di bahagian barat MONAS atau dikenali dengan nama Taman Ria. MONAS akhirnya dibuka untuk umum selepas diresmikan oleh Presiden Soeharto pada 12 Julai 1975 ketika pembinaannya berakhir. Keseluruhan dana yang dikeluarkan untuk membina MONAS sejak 1961 hingga 1965 adalah sebesar Rp 58 milion.

 

Dari MONAS, delegasi Selangor terus ke Muzium Fatahillah yang terletak di Jalan Fatahillah 1, Jakarta Barat. Muzium ini memberikan nuansa nostalgia yang kuat kerana terdapat bangunan yang belum diubah sejak dibina pada masa kolonial Belanda. Menurut Dadang Dabot, bangunan ini dibina oleh Jenderal Jan Pieterszoon Coen pada tahun 1620. Muzium ini memiliki 23,500 bahan bersejarah yang boleh dilihat dari zaman yang berbeza.

 

Menurut Dadang Dabot lagi, Muzium Fatahillah dulunya merupakan bangunan balai kota Batavia. Bangunan ini didirikan pada tahun 1707 hingga 1712 atas perintah Gabenor Jenderal Joan van Hoorn. Pada tahun 1620 didirikan pertama kali sebuah balai kota di Batavia di tepi timur Kali Besar. Bangunan ini bertahan selama enam tahun sebelum akhirnya diruntuhkan demi menentang serangan dari pasukan Sultan Agung pada tahun 1626. Untuk menggantikannya, pada tahun 1627, dibina kembali balai kota ini atas perintah Gabenor Jenderal Jan Pieterszoon Coen. 

 

 

Muzium Fatahillah dulunya merupakan bangunan balai kota Batavia

 

Pada tahun 1628, keadaan balai kota sudah memburuk. Akibat ketidakseimbangan tanah di Batavia serta beratnya bangunan, membuatkan bangunan ini perlahan-lahan turun dari permukaan tanah. Lalu, diputuskan pada tahun 1797, atas perintah Gabenor Jenderal Joan van Hoorn, bangunan ini diruntuhkan dan dibina semula. Peresmian balai kota ketiga dilaksanakan pada tanggal 10 Julai 1710. Selama dua abad, bangunan ini dijadikan pejabat pentadbiran Kota Batavia. 

 

Selain itu, bangunan ini juga digunakan sebagai College van Schepenen (Dewan Kotapraja) serta Raad van Justitie (Dewan Pengadilan). Di akhir abad ke-19, Kota Batavia mulai meluas hingga ke wilayah selatan. Oleh sebab itu, kedudukan Kota Batavia pun ditingkatkan menjadi Gemeente Batavia atau Kotamadya. Akibatnya, aktiviti di balai kota Batavia dipindahkan pada tahun 1913 ke Tanah Abang dan dipindahkan lagi ke Koningsplein Zuid pada tahun 1919. Pada tahun 1942, masa pendudukan Jepun, bangunan ini digunakan sebagai pejabat pengumpulan logistik Dai Nippon atau kemaharajaan Jepun. Kemudian, selepas Indonesia merdeka, bangunan ini digunakan sebagai Pejabat Pemerintah Provinsi Jawa Barat. 

 

 

Muzium Katedral

 

Hingga tahun 1961, pernah digunakan sebagai Pejabat Komando Tentera Kota I dan kemudian digunakan sebagai Pejabat Pemerintah Provinsi DKI Jakarta. Tahun 1970, bekas bangunan balai kota Batavia ini ditetapkan sebagai bangunan Cagar Budaya. Pada 30 Mac 1974, Gabenor DKI Jakarta, Ali Sadikin, merenovasi ulang bangunan ini dan diresmikan sebagai Muzium Sejarah Jakarta. 

 

Delegasi Selangor juga dibawa ke Muzium Katedral. Di sini, masa yang diberikan hanya sekitar 15 minit sahaja untuk para delegasi mengambil gambar kenangan. Ujar Dadang Dabot, tempat ini tidak hanya tempat ibadah, juga muzium koleksi berbagai benda keagamaan masyarakat Kristian Katolik. Di sini juga boleh dapatkan pelbagai informasi mengenai perkembangan agama Katolik di Indonesia.

 

Seterusnya delegasi Selangor dibawa ke Taman Mini Indonesia Indah atau TMII. Menurut Dadang Dabot, di sini lengkap rumah adat dan pelbagai peninggalan sejarah seperti pakaian adat, bahan sejarah, peralatan kesenian, hasil kerajinan tangan, dan lain-lain lagi dari 34 wilayah yang ada di Indonesia.

 

 

Antara rumah adat yang terdapat di Taman Mini Indonesia Indah

 

Taman Mini Indonesia Indah mempunyai keluasan kira-kira 250 ekar. Taman ini merupakan sinopsis kebudayaan Indonesia, dengan hampir semua aspek kehidupan sehari-hari di wilayah Indonesia, diungkapkan dalam pavilion terpisah dengan koleksi rumah adat sebagai contoh seni bina, pakaian, tarian dan tradisi bahasa Indonesia yang semuanya digambarkan tanpa cela. Selain itu, terdapat sebuah tasik dengan sedikit kepulauan di tengah-tengahnya, kereta kabel, muzium, Keong Emas Imax Cinema, teater yang dipanggil Teater Tanah Airku dan kemudahan rekreasi lain yang menjadikan Taman Mini Indonesia Indah salah satu destinasi pelancongan paling popular di Jakarta.

 

Sejak 2007 Taman Mini Indonesia Indah melancarkan logo baru dengan slogan berjenama Pesona Indonesia. Pada 31 Disember 2014 Jawatankuasa Keamanan Dunia memutuskan Taman Mini Indonesia Indah sebagai Taman Tamadun Antarabangsa dan Taman Tema Keamanan Dunia. Menurut Dadang Dabot, idea untuk mempersembahkan Indonesia secara kecil-kecilan difahami oleh bekas wanita pertama Indonesia iaitu Siti Hartinah, yang lebih dikenali dengan nama Tien Suharto. Ia berlaku pada sebuah konvensyen di Jalan Cendana pada 13 Mac 1970. 

 

 

Monumen Pembebasan Irian Jaya

 

Melalui laman rekreasi ini, beliau berharap dapat memupuk kebanggaan negara di lebih banyak rakyat Indonesia. Projek yang dipanggil ‘Projek Miniatur Indonesia’ ini dimulakan oleh Yayasan Harapan Kita pada tahun 1972. Konsep kawasan rekreasi berasaskan budaya ini diilhamkan oleh kekayaan semulajadi Indonesia yang tidak tertandingi dan kepelbagaian rakyat tempatan.

 

Seterusnya delegasi Selangor dibawa ke Monumen Pembebasan Irian Jaya yang terletak di Sawah Besar, Jakarta. Menurut Dadang Dabot, selain MONAS, Presiden Soekarno juga mencetuskan pembinaan Monumen Pembebasan Irian Jaya ini, untuk mengenang para pejuang Trikora dan masyarakat Irian Barat yang memilih menjadi sebahagian dari Republik Indonesia. Monumen ini berada di tengah-tengah Lapangan Banteng dan tingginya mencapai 35 meter. Bentuk monumen berupa patung yang dibuat dari perunggu atau gangsa. Patung itu dibuat oleh Pasukan Pematung Keluarga Area Yogyakarta di bawah pimpinan Edhi Sunarso. Arkitektur monumen ini dirancang oleh Friedrich Silaban dan Henk Ngantung. Peresmian monumen ini dilakukan oleh Presiden Soekarno pada 17 Ogos 1963.

 

 

Tugu Proklamasi

 

Pada tahun 2017, Lapangan Banteng direvitalisasi oleh Dinas Kehutanan dan Pemakaman DKI Jakarta. Projek ini menonjolkan Monumen Pembebasan Irian Barat yang sebelumnya ditutup oleh pepohonan. Perlaksanaannya memakan waktu lebih kurang setahun. Peresmian dilakukan oleh Gabenor DKI Jakarta iaitu Anies Baswedan pada 25 Julai 2018.

 

Dari Monumen Pembebasan Irian Jaya, delegasi Selangor dibawa pula ke Tugu Proklamasi, letaknya di Jakarta Pusat. Ujar Dadang Dabot, tugu ini pertama kali dibina pada tanggal 1 Januari 1961, peresmiannya pada tanggal 17 Ogos 1972, oleh Presiden Soeharto. Di sini, kita disuguhkan dengan patung Bung Karno dan Bung Hatta yang sedang membaca teks proklamasi. Selain itu, kita juga boleh mengenang kembali sejarah proklamasi di sini.

 

 

 Muzium Perumusan Naskah Proklamasi

 

Dari Tugu Proklamasi, delegasi Selangor ke Muzium Perumusan Naskah Proklamasi pula. Muzium ini letaknya di Jalan Imam Bonjol, Menteng Jakarta Pusat dan dibina pada tahun 1927. Kata Dadang Dabot, di sinilah Soekarno dan Mohammed Hatta merumuskan teks proklamasi kemerdekaan Indonesia, selepas dijemput Achmad Soebardjo dari Rengasdengklok, Karawang. Bangunan ini dulunya merupakan tempat tinggal Laksamana Maeda. Rumah ini dianggap selamat kerana Maeda adalah sahabat baik Achmad Soebardjo. Bangunan yang sudah diresmikan pada tahun 1920-an ini, memiliki koleksi antara lain naskhah proklamasi yang asli ditulis tangan, teks proklamasi asli yang sudah dikompilasikan dan berbagai ruangan yang digunakan dalam rangka penyusunan teks proklamasi.

 

Dari Muzium Perumusan Naskah Proklamasi, delegasi Selangor terus dibawa ke Taman Ismail Marzuki yang terletak di Jalan Cikini Raya 73, Jakarta Pusat. Menurut Dadang Dabot, Taman Ismail Marzuki atau nama sebenarnya Pusat Kesenian Jakarta Taman Ismail Marzuki, merupakan sebuah pusat kesenian dan kebudayaan yang terkenal di Jakarta. Di sini juga terletak Institut Kesenian Jakarta dan Planetarium Jakarta. Selain itu, Taman Ismail Marzuki juga memiliki enam buah teater moden, balai pameran, galeri, bangunan arkib dan pawagam.

 

 

 Taman Ismail Marzuki

 

Acara-acara seni dan budaya dipersembahkan secara rutin di pusat kesenian ini, termasuk pementasan drama, tarian, wayang, muzik, pembacaan puisi, pameran lukisan dan persembahan filem. Berbagai jenis kesenian tradisional dan kontemporari, baik yang merupakan tradisi asli Indonesia mahupun dari luar negara juga dapat dilihat di tempat ini. Nama pusat kesenian ini berasal dari nama pencipta lagu terkenal Indonesia iaitu Ismail Marzuki.

 

Taman Ismail Marzuki telah dirasmikan pembukaannya oleh Gabenor Pemerintah Daerah Wilayah DKI Jakarta iaitu Jeneral Marinir Ali Sadikin, pada 10 November 1968. Taman Ismail Marzuki ini dibina di atas kawasan tanah seluas sembilan hektar. Dahulu tempat ini dikenali sebagai ruang rekreasi umum ‘Taman Raden Saleh’. Pengunjung Taman Raden Saleh selain dapat menikmati kesejukan paru-paru bandar dan melihat sejumlah haiwan, juga dapat melihat perlumbaan anjing di treck ‘Perlumbaan Anjing’ yang kini telah berubah menjadi pejabat dan ruang kolej mahasiswa fakulti perfileman dan televisyen IKJ. 

 

 

 Petugas Didik Soebadjo menceritakan sejarah Taman Ismail Marzuki

 

Ada juga lapangan bermain kasut roda berlantai simen. Kemudahan lainnya ialah dua buah bangunan pawagam, garden hall dan podium melengkapi suasana hiburan malam bagi warga yang suka menonton filem. Tetapi sejak 37 tahun lalu, suasana seperti itu tidak lagi boleh ditemui. Khususnya setelah tempat ini bertukar menjadi Pusat Kesenian Jakarta Taman Ismail Marzuki.

 

Sejak Taman Ismail Marzuki berdiri tahun 1968 hingga kini telah menjadi ruang ekspresi seniman yang menyajikan karya-karya inovatif. Pertunjukkan eksperimen, suatu dunia atau karya seni yang sarat dengan dunia idea. Membuka pintu seluas-luasnya bagi ruang berfikir dan berkreasi menuju seni yang berkualiti. Untuk beberapa waktu lamanya harapan muncul suatu karya dalam dunia penciptaan, menjadi kenyataan. 

 

 

Taman Ismail Marzuki ialah Graha Bhakti Budaya iaitu sebuah bangunan persembahan yang besar, mempunyai ruangan yang memuiatkan 800 buah kerusi, 600 kerusi berada di bawah dan 200 buah kerusi lagi di balkoni

 

Pentas Taman Ismail Marzuki menjadi semarak dengan karya-karya eksperimen yang sarat idea. Ini ditandai oleh sejumlah kreator seni yang sempat membuka peta baru di atas pentas. Di antaranya ialah sasterawan Rendra, pimpinan Bengkel Teater Yogya dari Kampung Ketanggungan Wetan Yogyakarta. Awalnya karya Rendra, berupa drama Be Bop atau drama mini kata SSSTTT ditayangkan di layar kaca televisyen Republik Indonesia. Menyusul pentas drama klasik Yunani Oedipus Rex, Menunggu Godot, Hamlet dan karya pentas mini kata lainnya.

 

Koregrafer terkenal iaitu Sardono W. Kusumo, melalui pentas tari ‘Samgita Pancasona’ telah menyuguhkan konsep gerak yang memiliki skala tidak terbatas. Penari balet terkemuka iaitu Farida Oetojo pula telah mewarnai Taman Ismail Marzuki dengan karya baletnya yang berani. Slamet Abdul Syukur, yang lama bermukim di Perancis menggegarkan masyarakat dengan konsert piano ‘Sumbat’ yang membuatkan para penonton terpana. Pengarah teater Arifin C. Noer, Teguh Karya, Suyatna Anirun (Bandung), turut mempesona masyarakat umum. Koreografer senior iaitu Bagong Kusudiardjo, Huriah Adam, pelukis Affandi, Trisno Soemardjo, Hendra Gunawan, Agus Djaya, Oesman Effendi, S. Sudjojono, Rusli, Rustamadji, Mustika tutut mengisi Taman Ismail Marzuki dengan karya-karya mereka yang indah dan artistik.

 

 

 Patung Ismail Marzuki

 

Kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di Taman Ismail Marzuki ialah Graha Bhakti Budaya iaitu sebuah bangunan persembahan yang besar, mempunyai ruangan yang memuiatkan 800 buah kerusi, 600 kerusi berada di bawah dan 200 buah kerusi lagi di balkoni. Pentas GBB berukuran 15 meter x 10 meter x 6 meter. Bangunan ini boleh digunakan untuk persembahan konset muzik, teater sama ada tradisional mahupun moden, tarian, filem, dan dilengkapi dengan tata cahaya, sound system akustik, serta penyejuk ruangan.

 

Selain itu terdapat juga Galeri Cipta II iaitu ruang pameran yang lebih besar dari Galeri Cipta III. Kedua-dua ruang tersebut sering digunakan untuk pameran seni lukis, seni patung, perbincangan, seminar, dan pemutaran filem pendek. Bangunan ini boleh memuatkan sekitar 80 buah lukisan, 20 buah patung dan dilengkapi dengan pendingin ruangan, tata cahaya khusus, tata suara serta panel yang boleh dipindah-pindahkan. Terdapat juga Teater Kecil atau Teater Studio iaitu sebuah bangunan persembahan yang dipersiapkan untuk 200 orang. Bangunan ini mempunyai banyak fungsi seperti seni persembahan teater, muzik, pembacaan puisi, seminar,dan lain-lain lagi. Teater Kecil mempunyai ukuran pentas 10 meter x 5 meter x 6 meter. Bangunan ini juga dilengkapi sistem akustik, tata cahaya dan pendingin ruangan.

 

 

 Pusat membeli-belah di Tanah Abang

 

Satu lagi ruang yang terdapat di Taman Ismail Marzuki ialah Teater Halaman (Studio Persembahan Seni). Disediakan untuk persembahan seni eksperimen bagi seniman muda teater dan puisi, mempunyai ruangan penonton yang fleksibel. Taman Ismail Marzuki juga mempunyai kawasan parkir yang cukup luas, yang merupakan lahan serba guna dan sering digunakan untuk berbagai pertunjukkan kesenian terbuka.

 

Dari Taman Ismail Marzuki, delegasi Selangor dibawa jalan-jalan seputar Tanah Abang iaitu salah satu kecamatan yang ada di Kota Jakarta Pusat. Menurut Dadang Dabot, nama Tanah Abang kononnya diambil dari Bahasa Jawa ‘abang’ yang ertinya merah. Tapi ada juga yang menyatakan bahawa pemberian nama ‘abang’ merujuk kepada kata sapaan kakak. Tanah Abang ini populer dengan pusat membeli-belah, banyak kios yang menjual berbagai tekstil juga produk keagaman. Tanah Abang selalunya ramai pengunjung, sering sesak dengan pelbagai etnik dari seluruh Jakarta..

 

     

    Mangga Dua

 

Selepas Tanah Abang, merayau pula seputar kawasan Mangga Dua, yang terletak di Pademangan, Jakarta Utara. Kawasan ini dibatasi oleh Jalan Gajah Mada di sebelah barat. Kata Dadang Dabot, Mangga Dua ni merupakan sebahagian dari sejarah panjang Jakarta, bermula dari Pelabuhan Sunda Kelapa dan Glodok. Mangga Dua dan Glodok ni merupakan salah satu kawasan membeli belah terbesar di Asia Tenggara. Di Jakarta, Mangga Dua telah menjadi destinasi membeli-belah paling populer dalam kalangan wisatawan asing dan wisatawan dalam negeri, terutama yang tinggal di luar Pulau Jawa. Pusat membeli-belahnya majoriti terletak di Jalan Mangga Dua Raya.

 

Seterusnya delegasi Selangor dibawa ke Thamrin City atau Thamrin City Mall yang merupakan sebuah pusat membeli-belah besar yang berada di Jakarta Pusat, yang lokasinya terletak lebih kurang 150 meter dari bulatan Hotel Indonesia dan sekitar 300 meter dari Pasar Tanah Abang, yang tepatnya berada di Jalan Thamrin Boulevard (Kebun Kacang Raya) dengan akses berbagai arah antara lain dari Jalan Thamrin, Jalan Teluk Betung, juga dari Jalan K H Mas Mansyur.

 

 

Thamrin City atau Thamrin City Mall

 

Menurut Dadang Dabot, pusat membeli-belah Thamrin City Mall ini dilengkapi beberapa zon yang terbahagi kepada zon Pusat Batik Nusantara, Pusat Busana Muslim, Pusat Tenun, Pusat Perlengkapan Haji dan Umrah serta beberapa big tenant seperti Hypermart, Gold Gym, Perbankan dan tenant F&B yang berlokasi di Thamrin Terrace.

 

Pada awalnya, Thamrin City Mall dikenali sebagai Brand Jakarta City Community (JaCC). Secara konsep, dua nama ini memiliki perbezaan. Sewaktu masih dengan nama JaCC, konsepnya lebih kepada trade centre. Tetapi selepas diubah menjadi Thamrin City Mall, berubah dari trade centre menjadi trade mall. 

 

 

Salah sebuah sudut perniagaan di Thamrin City atau Thamrin City Mall

 

Menurut Dadang Dabot yang sentiasa mengiringi delegasi Selangor sepanjang 5 hari di Bandung dan Jakarta, perubahan brand dari JaCC kepada Thamrin City untuk memudahkan orang mengenali brand Thamrin City sebagai pusat perdagangan dan membeli-belah. Perubahan nama dari JaCC kepada Thamrin City untuk menanamkan brand image Thamrin City kepada konsumen kerana pusat membeli-belah ini ada di wilayah Thamrin. Jika diucapkan, JaCC memiliki persamaan dengan sejumlah nama. Khususnya dengan salah satu convention centre. Sehingga boleh menimbulkan kerancuan. Selain itu, alasan perubahan nama yang lebih koseptual, kerana ada perubahan konsep, yang tadinya sebagai trade centre menjadi trade mall, lease mall dan citywalk.

 

Thamrin City mempunyai konsep trade mall yang memasarkan produk yang murah namun tetap berkualiti. Manakala lease mall disediakan untuk customer yang mengutamakan kenyamanan. Kemudian citywalk adalah tempat hang out dengan konsep restoran dan café indoor dan outdoor. Meski begitu, konsep trade mall tetap digunapakai oleh Thamrin City kerana tidak ingin meninggalkan pelanggan yang sudah lama setia berbelanja di Thamrin City. 

 

 

Cianjur Batu Tulis Ikan Bakar, Kecamatan Gambir, Kota Jakarta Pusat

 

Konsep trade mall, lease mall dan citywalk ini sangat strategik kerana Thamrin City terletak di tengah-tengah dua pusat membeli-belah yang berlainan segmentasinya, sehingga sesuai dengan misi Thamrin City iaitu One Stop Bussines and Shopping, dapat diraih. Bahkan, sebagai pusat grosir tekstil, busana, dan lain-lain lagi, harga yang ditawarkan di Thamrin City boleh bersaing dibandingkan dengan pusat grosir lain. Perubahan brand dan konsep dari JaCC menjadi Thamrin City dan dari trade centre ke trade mall telah dilakukan sejak akhir tahun 2008. 

 

Setelah membeli-belah di sini, delegasi Selangor dibawa makan tengah hari di Cianjur Batu Tulis Ikan Bakar, Kecamatan Gambir, Kota Jakarta Pusat. Ikan bakar di sini agak berbeza sikit dengan ikan bakar di Selangor iaitu ada satu rasa tersendiri terutama pada ikan bakar dan air asamnya. Ikan bakarnya persis ikan goreng dan pencicahnya bak sambal cabai merah Padang.  

 

Selepas menjamu selera di sini, delegasi Selangor dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Penerbangan Air Asia ke KLIA 2 berlepas pada jam 9.35 malam dan para delegasi Selangor tiba di KLIA 2 dengan selamat pada jam 11.30 malam. 

 

 

Program Silang Budaya Selangor-Indonesia 2023 telah berjaya mencapai matlamatnya

 

Bagi saya semua delegasi Selangor yang terlibat, Program Silang Budaya Selangor-Indonesia 2023 ini telah berjaya mencapai matlamatnya. Rata-rata anggota delegasi Selangor yang ditanya menyatakan banyak ilmu budaya yang berjaya digarap sepanjang lima hari berada di Bandung dan Jakarta. Sesungguhnya, program anjuran Kerajaan Negeri Selangor ini telah berjaya memberi impak yang besar bukan sahaja kepada para anggota delegasi, tetapi juga kepada organisasi budaya dan negeri Selangor itu sendiri. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA