Ahad, 31 Disember 2023

pantun: PERIBAHASA MELAYU

 

Ikan kedak disiang-siang,
Ikan buntal berenang segar;
Besar pasak daripada tiang,
Besar sandal daripada gelegar.
 
Nasi tambah kelapa parut,
Buah petola di kertas kajang;
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang.
 
Alun gelora pecah kiambang,
Naung redup rimbun kasturi;
Cuba-cuba menanam mumbang,
Jika hidup turus negeri.
 
Raut mengkawan di tepi bendang,
Masak mentarang di bulan Syawal;
Kerbau sekawan boleh dikandang,
Manusia seorang tiada terkawal.
 
Ikan betuk daun cekur,
Masak kukus bersama siput;
Kail sebentuk umpan seekor,
Sekali putus sehari hanyut.
 
Gadis ramah turun mandi,
Kain dilipat di naung geti;
Bukan tanah menjadi padi,
Bukan tempat untuk berbakti.
 
Anak napuh berlari kencang,
Mencari telaga haus dahaga;
Walau disepuh emas lancang,
Kilat tembaga tampak juga.
 
Sungguh harum daun kencur,
Campur cabai dimasak halia;
Garam dikulum tidak hancur,
Sungguh pandai menyimpan rahsia.
 
Bawa nangka ke Batu Kikir,
Tanam labu di tanah lanar;
Intan disangka batu kelikir,
Tidak tahu nilai sebenar.
 
Ikan kedak dalam perigi,
Anak badak pantas berlari;
Kundur tidak melata pergi,
Labu tidak melata mari.
 
Tersenyum puas gadis dipandang,
Wajah seiras teruna berdendang;
Laksana lengkuas di tepi kandang,
Tegak puas badan menyandang.
 
Anak tempua di pokok tepus,
Berdua-dua terbang rendahnya;
Gayung tua gayung memutus,
Orang tua-tua tepat katanya.
 
Baju berkancing pemuda Linggi,
Gadis Serani bergaya ranggi;
Bila kucing tidak bergigi,
Tikus berani melompat tinggi.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA