KISAH ini berlaku kepadaku beberapa tahun yang lalu. Ketika itu aku sedang bercuti di sebuah kampung di utara Malaysia. Kampung tersebut agak ketinggalan berbanding dengan kampung-kampung lain yang pernah aku lawati. Bekalan elektrik sering saja terputus dan air yang disediakan oleh pihak kerajaan pula sering saja kering. Akibatnya, penduduknya lebih banyak menggunakan lampu gasoline dan pelita minyak tanah sebagai sumber cahaya sementara air pula diambil dari telaga dan sungai yang mengalir jernih di pinggir kampung.
Aku
bercuti di rumah seorang rakan lamaku di kampung tersebut. Sebenarnya, sebagai
seorang penulis novel dan cerpen, aku sengaja bercuti di kampung sahabatku itu
kerana ingin meladeni suasana kampung sebagai sumber ilham untuk hasil-hasil
karyaku. Rata-rata penduduk kampung berminda positif dan bijak menyesuaikan
diri dengan arus kemodenan yang galak berlaku dalam negara.
Di samping itu, soal sembahyang dan
ibadat-ibadat yang lain amat ditaati dan diakuri sepenuh hati. Madrasah
berhampiran sebatang sungai di pinggir kampung selalunya sendat dengan penduduk
setiap waktu solat. Anak-anak kecil dipaksa mengaji Al-Quran dan Muqaddam
setiap petang di madrasah. Gurunya seorang tua yang dikenali sebagai Lebai Seman.
Dia seorang yang warak dan amat dihormati di kampung ini. Selain dari menjadi
guru Al-Quran kepada anak-anak kampung, Lebai Seman juga menjadi imam dan juga
ketua kampung. Pendek kata, sebarang masalah yang berlaku dalam kampung,
beliaulah yang akan menjadi tempat rujukan.
Yusof, sahabatku
merupakan seorang guru lepasan Universiti Utara Malaysia. Aku dan Yusof pernah
belajar di universiti yang sama tetapi berbeza fakulti. Selepas kami menamatkan
pengajian masing-masing, aku bertugas di sebuah syarikat penerbitan di Kuala
Lumpur sedang Yusof pula menjadi guru di sebuah sekolah di Sungkai, Perak.
Sewaktu musim cuti semester ketiga, kebetulan aku juga mempunyai
cuti tahunan yang masih berbaki, Yusof telah mengajakku menghabiskan cuti di
kampungnya. Kebetulan waktu itu aku sedang mencari-cari isi dan fakta untuk
sebuah novel tentang kehidupan penduduk kampung, jadi kesempatan tersebut aku
terima dengan hati yang sungguh gembira.
Pada
hari ke sembilan aku di kampung tersebut, seluruh juzuk kampung sudah aku
telusuri. Setiap kegiatan penduduknya telahku catatkan di dalam sebuah buku
kecil. Begitu juga dengan tabiat, adat resam, ragam gelagat, tutur kata,
kepercayaan, pergaulan, permasalahan dan sebagainya tentang penduduk kampung
tersebut sudahku hafal dan bakal dipindahkan ke muka kertas sebagai jalinan
cerita yang pastinya berkesan kerana didapati secara berdepan.
Aku
bercadang untuk meninggalkan kampung tersebut pada hari yang ke lima belas
kerana aku berhasrat menyiapkan novel secepat yang boleh. Isi-isi penting yang
telah tercatat dalam buku kecilku seolah-olah meronta-ronta untuk disingkapkan
ke muka kertas. Perihal ini telahku khabarkan kepada Yusof dan dia tidak
keberatan mengizinkan aku pulang sendirian.
Pada
hari yang keempat belas, ketika itu waktu senja. Aku di tepian telaga kerana
sedang mengambil wuduk untuk bersembahyang maghrib. Tiba-tiba aku telah
mendengar suara riuh sekawan jeladan terbang rendah melintasi kawasan rumah
Yusof. Aku tergamam jola kerana ia gesit mengingatkan aku kepada pesanan
gemulah nenekku sewaktu aku kecil dahulu.
“Ingat,
Man! Jika pada suatu hari nanti, tiba-tiba kamu terdengar bunyi gelicau atau
riuh rendah sekawan jeladan terbang senja melintasi rumah, hubaya-hubayalah,”
“Kenapa,
nek?” soalku tercolek ingin tahu.
“Itulah
alamat hantu perewang sedang meminta darah atau meminta nyawa,” ujar nenek.
“Apa
maksudnya, nek?” aku bertanya lagi.
“Kalau
permintaan tersebut tidak ditunaikan, hantu perewang akan marah. Dia akan
menyembur kuman penyakit atau anak-anak syaitan untuk mengganggu kedamaian dan
kesejahteraan penduduk kampung.”
Mendadak aku dijerba seram yang amat sangat.
“Bukan
itu saja,” tokok nenek lagi. “Musibah atau malapetaka yang dibawa oleh hantu
perewang itu akan menimpa salah seorang dari ahli keluarga di mana rumahnya
dilintasi jeladan tadi. Maknanya, kalau jeladan itu melintasi rumah kamu, kamu
atau ahli keluarga kamulah yang akan kena hubaya,”
Cerita
nenek itu mendadak melenyap dari cuping telinga kerana suara azan sudah
berkemundang dari corong radio, membuatkan aku tergesa-gesa naik ke atas rumah
untuk bersembahyang maghrib bersama Yusof dan ayahnya.
Setelah
selesai solat berjemaah berimamkan ayah Yusof yang aku panggil Pakcik Ya, kami
menjamah makanan malam. Selepas makan, kami berehat di anjung rumah sembari
bersembang pelbagai kisah. Kesempatan itu telah kuambil untuk menceritakan
tentang bunyi riuh suara jeladan yang aku dengar senja tadi. Walaupun aku
begitu serius membentangkan kisah yang pernah aku dengar dari mulut gemulah
nenekku, namun tidak sedikit pun berupaya menimbulkan sebarang rasa bimbang di
hati keluarga Yusof. Sebaliknya Pakcik Ya menasihatkan aku supaya tidak
berfikiran kolot seperti arwah nenekku.
“Itu
semua cerita karut,” katanya seolah-olah menafikan ceritaku.
“Saya
pun tak percaya sangat, pakcik,” ujarku. “Tetapi, saya pernah mendengar suara
jeladan begitu sewaktu saya masih kecil dulu.”
“Habis,
apa yang terjadi?” tanya pula Yusof.
“Selang
dua hari selepas itu, abang saya meninggal dunia kerana terjatuh dari pokok
petai,” jelasku.
“Maksud
kamu, kematian abang kamu tu ada kena mengena dengan bunyi jeladan?” soal Pakcik
Ya.
“Mungkin
satu kebetulan saja,” ujarku seraya mengeluh berat.
Pakcik
Ya tersenyum. “Sebagai orang Islam, kita harus percaya dan meyakini bahawa
segala yang berlaku sama ada baik atau buruk adalah ketentuan dari Allah SWT. Pakcik
tak mudah mempercayai bahawa sebarang kematian dan malapetaka dibawa oleh
burung atau hantu jembalang.”
“Memang
betul, pakcik,” aku menyokong lunak. “Setiap kejadian yang berlaku di atas muka
bumi ini, semuanya dengan kehendak Allah. Namun begitu, kita harus juga akur
bahawa kadang-kadang ada juga kebenarannya cerita orang tua-tua tentang syaitan
dan iblis yang kerjanya merosakkan itu,”
“Orang
tua-tua dulu kebanyakannya tak berilmu, Man,” tukas Pakcik Ya beriak jengkel.
“Mereka juga tak dapat berfikir dengan sempurna. Sebab itulah mereka terlalu
percayakan tahayul dan mahyul begitu. Orang-orang kampung ni pun ramai yang
begitu. Tapi, pakcik tidak seperti mereka. Walaupun pakcik tak bersekolah
tinggi, sekadar berguru dengan beberapa orang guru agama saja, tapi pakcik
tetap meyakini kuasa Allah SWT. Iblis dan syaitan tidak mempunyai apa-apa kuasa
lebih-lebih lagi nak mencabut nyawa seseorang hamba Allah atau anak Adam. Dia
cuma boleh mengganggu, menghasut supaya berbuat mungkar tapi tak berupaya
membunuh orang.”
Ungkapan
panjang lebar dari Pakcik Ya itu membuatkan aku terus bungkam. Aku tidak
langsung berkesempatan menerangkan kefahamanku tentang cerita gemulah nenek.
Memang aku tidak mempercayai bahawa syaitan dan iblis berkuasa mencabut nyawa
seseorang hamba Allah, tetapi sebagai manusia yang lemah, kita mesti berwaspada
selalu.
Apa yang perlu dilakukan untuk
mencegah sebarang kerosakan yang dibawa oleh makhluk Allah yang jahat itu ialah
dengan cara bertindak mengikut petua yang sudah ditetapkan. Aku berkeyakinan
bahawa petua adalah antara usaha terakhir kita untuk mencegah sesuatu musibah
selain berdoa ke hadrat Al-Khalik. Contohnya, untuk menghindarkan sesuatu
penyakit, petuanya ialah dengan mengurangkan memakan secara berlebihan.
Untuk menghindarkan dari mudah
terlupa, jangan makan kepala ikan. Untuk mengatasi masalah sukar menerima ilmu,
pastikan tidak menjamah makanan yang terdiri dari organ-organ dalam badan
seperti hati, limpa, perut dan sebagainya. Walaupun petua-petua ini tidak
terdapat di dalam kitab-kitab fekah tetapi tercatat dalam kitab-kitab tasauf.
Inilah yang aku cuba terangkan kepada Pakcik Ya tetapi gagal kerana orang tua
itu menolak total sebarang pendapat. Akibatnya, aku tidak nyedar tidur pada
malamnya mengenangkan peristiwa tersebut.
Keesokkan
hari, sebaik selepas bersolat zohor, aku meninggalkan sahabatku Yusof dan
kampung kelahirannya dengan rasa yang penuh resah dan bimbang. Gelisar
perasaanku terbawa-bawa hingga ke dalam kereta api malam. Pelbagai bayangan
bergentayangan, pelbagai gambaran membuncah di cepu kepala dan pelbagai
persoalan menghenyak benak.
“Bila
kita boleh jumpa lagi?” Aku masih ingat, itulah pertanyaanku kepada Yusof
sewaktu di stesen kereta api. Dia menghantarku dengan sedikit bekalan dari
kampungnya berupa beberapa papan petai, tempoyak, nasi goreng dan rendang
kambing gurun. Semuanya diisi di dalam plastik dan diikat rapi.
Kalau kedatanganku dulu hanya
menjinjit sebuah beg pakaian berserta alat-alat tulis, tapi kepulanganku ini
bersama dua beg yang agak berat juga untuk digalas. Namun aku bersyukur, rezeki
pemberian Allah ini tidak boleh ditolak. Nanti dimurkai-Nya sebagai insan yang
kufur nikmat. Nau’zubillah!
“Insya-Allah!
Jika diizinkan Tuhan, kita akan berjumpa lagi,” balas Yusof. “Aku bercadang
hendak ke kampung kau pula pada cuti yang akan datang.”
“You’re welcome,” ujarku tak dapat
ditahan-tahan. “Kecil tapak tangan padang bola aku tadahkan. Tapi, kampungku
tak sedamai kampung kau, Sof! Ala… takkan kau tak tahu, di Batu Berdinding tak
ada apa yang menarik. Sekadar tercatat dalam sejarah sebagai tempat Datok Sagor
melancarkan penentangan terhadap penjajah saja,”
“Yang
penting, aku akan datang ke kampung kau sebagai seorang sahabat baik. Soal
seronok atau tidak, damai atau tidak, cantik atau tidak, tak jadi soal,” balas
Yusof sambil tersenyum.
Aku
turut tersenyum dan dalam kami saling berbalas senyuman dan lambaian itulah
kereta api bergerak lancar meninggalkan Yusof. Sedih juga meninggalkan seorang
sahabat baik. Entah bila akan berjumpa lagi. Tugas dan tanggungjawab kami
terlalu sibuk untuk berjumpa selalu.
Lagipun, Yusof di Perak
sedangkan aku di Kuala Lumpur. Untuk bertemu bukanlah sesuatu yang mudah nak
dilaksanakan. Tambahan tugasku sebagai editor, amat sarat dengan kesibukan yang
sesekali begitu mencengkam seluruh perasaan dan kehidupan. Di samping itu, aku
terpaksa berkejar dengan masa untuk menyiapkan cerpen dan novelku sendiri.
Inilah antara sebab mengapa aku tidak mempunyai banyak masa terluang.
Gegar
kereta api bagai berjalan atas batu kerikil. Menggerutup dan menggetarkan
seluruh juzuk tubuh. Train channel sedang
menayangkan Anna and The King tetapi
tidak berupaya menarik minat. Wajah ceria Yusof, wajah kedut tua Pakcik Ya, wajah-wajah
warga kampung dan sebagainya acap benar mengirap ke sepasang mata. Perasaanku
jadi libang-libu. Tatkala suara riuh jeladan menjerba gegendang telinga,
mendadak ingatanku kepada gemulah nenek gesit bertandang ke ruang benak.
“Jika
pada suatu hari nanti tiba-tiba kamu terdengar bunyi riuh rendah sekawan
jeladan terbang senja melintasi kawasan rumah kamu, hubaya-hubayalah! Itu
tandanya malapetaka akan menimpa diri salah seorang dari keluarga atau penduduk
kampung,”
Begitulah
mukadimah cerita gemulah nenekku.
Aku
masih ingat, sebaik nenek berkata begitu, aku gesit mengensot rapat ke arah
nenek. Aku sudah agak, tentunya cerita seram yang akan nenek paparkan.
Selalunya kisah hantu dan seramlah yang akan membuatkan aku tidur cepat,
berkerekot di celah ketiak nenek.
“Tapi,
ada penyakit ada ubatnya. Ada hantu yang datang mengganggu ada caranya boleh
dihalang. Begitu juga kalau ada racun, adalah penawarnya. Sebab itulah, orang
tua-tua dulu, kalau terdengar saja bunyi riuh jeladan terbang waktu senja melintasi
rumah, mereka akan segera keluar dari rumah sambil di tangan masing-masing
membawa sengkalan. Mereka akan memukul sengkalan itu dengan senduk atau sudip,”
ujar nenek.
Aku
diam. Rongga dada mulai berdebar kecil.
“Sambil
mengetuk sengkalan dengan senduk atau sudip, mereka juga akan melaung ke langit
senja,” jelas nenek lagi.
“Melaung
macam mana nek?” aku gesit bertanya, tak sabar sungguh ingin tahu.
“Nenek! Nenek! Bawalah jantungnya,” ujar nenek tentang laungan yang perlu
disuarakan oleh orang-orang tua dahulu.
“Kenapa
perlu melaung begitu?” aku bertanya lagi.
“Sebab,
kononnya bunyi jeladan itu adalah alamat, ‘hantu perewang’ atau ‘hantu pemburu’
sedang melintas dengan membawa sebatang panah, sebilah keris, sebilah sundang,
sebilah kelewang dan didahului beberapa ekor anjing buruan,” jelas nenek.
Menurut
nenek lagi, hantu perewang atau hantu pemburu tersebut selama-lamanya akan
berburu di segenap hutan belantara dan kampung halaman terutama kampung yang
terletak berhampiran dengan hutan rimba yang besar. Jika seseorang telah
terkena kelintasannya, orang itu akan diserang penyakit berbahaya yang boleh
membawa mati. Orang itu juga mungkin boleh ditimpa sebarang malapetaka berupa
kematian yang ngeri.
Tapi, sebelum itu, akan
didahului penyakit lalai atau seronok yang berlebihan sehingga menyebabkan dia
tidak sedar yang maut sedang menantinya di hadapan. Jika orang itu sekadar
terkena ‘keteguran’ oleh hantu perewang atau hantu pemburu ini, dia hanya akan
diserang demam panas saja.
“Errr…
macam mana kalau kita nak selamat, nek?” aku tak jemu jelak bertanya.
“Menurut
orang dulu-dulu, apabila hantu perewang atau hantu pemburu itu terdengar bunyi
sengkalan diketuk dengan senduk atau sudip serta memanggilnya dengan panggilan
‘nenek’ dan meminta supaya ‘dibawa jantungnya’, dia menyangka bahawa orang itu
adalah salah seorang dari anak cucunya,” jawab nenek.
“Errr,
apa pula maksudnya ‘dibawa jantungnya’?” soalku lagi, sambil bersenggeng di
atas paha nenek. Ketika itu nenek telah pun menggobek sireh pinang kegemarannya.
“Maksudnya…
sebahagian dari binatang yang diburu oleh hantu perewang atau hantu pemburu itu,”
jawab nenek. “Hantu tu dah pasti tak dapat memberikannya tapi dia tahu yang
melaung itu adalah salah seorang dari anak cucunya yang mesti dilindungi dan
diselamatkan.” Nenek bersahaja namun tangan tetap usil menghancurkan campuran
pinang, sireh, gambir dan kapur di dalam gobek buluh. Bunyi berkeletuk keletak
bergerapak di cuping telinga membuatkan aku terpaksa mengangkat kepala dari
atas paha nenek. Tersenyum lega orang tua itu kerana beban berat di paha
melenyap sudah.
Sejurus
selepas pinang gobek berpindah ke dalam mulut, nenek terus menyambung semula
ceritanya. Pada anggapanku, tentu saja nenek mengharapkan supaya aku cepat
tidur. Tetapi, mataku sengaja disengkangkan. Biar acap benar terkuap menahan
kantuk. Aku begitu berminat untuk mendengar pengakhiran cerita.
“Pada
zaman dulu, di sebuah negeri yang bernama Mambangan, tinggal seorang petani
bernama Perewang. Pada suatu ketika, isterinya yang bernama Rapek sedang sarat
mengandung dan mengidam pula daging kijang bunting anak jantan,” ujar nenek
memulakan ceritanya.
Aku
menggelisar sejenak mencari bantal busuk yang nyalar setia di sisi. Bantal itu
segera kuletakkan atas lantai setelah kepala berlabuh selesa di atasnya. Aku
kira dengan cara begitu, lebih seronok dan tenang mendengar cerita nenek.
“Rapek
telah merayu pada suaminya Perewang itu supaya pergi ke hutan untuk memburu
kijang yang dimaksudkan dengan kadar yang segera. Sesungguhnya, dia sudah tidak
dapat tahan lagi untuk menjamah daging kijang bunting anak jantan itu,”
Aku
diam seraya mencapang cuping telinga, kanan dan kiri.
“Dengan
membawa empat jenis senjata bersama anjing buruannya yang bernama Kumbang,
Nibung, Pintar dan Aru-Aru, Perewang pun pergilah ke dalam hutan untuk memburu
kijang idaman isteri kesayangannya Rapek,” jelas nenek.
Kelopak
mata acap meluyut. Tentu sekali sudah jauh malam, fikirku. Namun, kukuatkan
semangat supaya cerita nenek ini tidak terputus di tengah jalan.
“Malangnya,
apa yang dicari oleh Perewang tidak berjaya ditemui…,”
“Eh,
kenapa pula nek?” aku gesit mencelah. “Err… bukankah dalam hutan tebal banyak
kijang berkeliaran?”
“Itu
memang benar,” jawab nenek. “Dalam hutan tebal memang banyak kijang
berkeliaran. Tapi, Perewang telah tersalah faham. Dia menyangkakan, isterinya
mengidam kijang jantan bunting. Jadi, apa yang dicarinya ialah kijang jantan
bunting. Tentulah tak mudah dijumpai,”
“Bodoh
juga Perewang tu, ye nek?” aku bersahaja seraya mencebek jengkel.
Nenek
tersengih lebar. “Jangan tuduh orang lain bodoh, tak baik! Nanti Tuhan marah,”
ujar nenek lunak. “Siang malam Perewang terus memburu kerana sebelum
meninggalkan rumah dia telah bersumpah tak akan pulang selagi kijang jantan
bunting yang menjadi buruannya tak berjaya ditemui. Dia tak sampai hati melihat
isterinya kecewa. Seboleh-bolehnya, dia mahu juga mendapatkan kijang tersebut.
Walaupun dah banyak kijang yang berjaya dibunuh dan dibelah perutnya, tapi
Perewang masih belum berjumpa lagi dengan kijang jantan bunting.”
Aku
semakin tertarik walau kuap acap benar cagun, rengsa merayap ke seluruh juzuk
kelopak mata. Mengganggu konsentrasi.
“Akhirnya
Perewang berkata kepada dirinya sendiri, ‘Sudah seluruh pelosok dan juzuk hutan
belantara ini aku jelajahi tapi kijang jantan bunting idaman isteriku tidak
juga ditemui. Sekarang, aku berazam untuk memburu di langit pula,”
“Memburu
di langit?” aku ketawa kecil. “Di langit ada hutan ke nek?”
“Janganlah
menyampuk!” marah nenek. “Dengar dulu cerita nenek,”
Aku
gesit diam. Tergamam dengan kemarahan nenek.
“Perewang
pun melaung-laung menyuruh semua anjingnya naik ke langit sementara dia sendiri
berjalan di bumi sambil mendongak ke langit. Setelah beberapa lama mendongak ke
langit, dia tetap juga tidak berhasil bertemu dengan kijang jantan bunting
tersebut. Oleh kerana terlalu lama mendongak, akhirnya kepalanya sendiri
terlekat ke belakang sehingga tak boleh tunduk dan memandang ke bumi lagi,”
Dalam
terkuap-kuap itu aku terhimbau untuk ketawa gelihati. Namun kecil saja. Aku
bimbangkan kemarahan nenek berulang kerana ketawakan orang.
“Pada
suatu hari, selehai daun selimbak telah jatuh ke atas leher Perewang. Tumbuhlah
tunas dari daun itu sehingga akhirnya jadi sepohon selimbak, berakar umbi di
lehernya. Walaupun begitu, Perewang terus juga berburu untuk mendapatkan kijang
idaman isteri kesayangannya.”
Kala
ini aku bukan saja sudah acap terkuap malah terangguk-angguk pula. Kepala
terasa amat memberat. Mata meluyut tidak keruan. Namun berjaya terbeliak
setelah kopi pekat lebihan nenek ditogok rakus.
“Sementara
itu, Rapek di kampung halaman telah melahirkan dua orang cahaya mata. Seorang
lelaki bernama Nyiang dan seorang lagi perempuan bernama Nuni,”
Pelik
sungguh nama orang-orang dulu, bisik hatiku.
“Begitu
lama menunggu kepulangan Perewang, akhirnya Nyiang dan Nuni pun membesar dalam
jagaan Rapek seorang. Pada suatu hari, Nyiang bermain-main dengan seorang rakan
sebaya. Akibat merebut sebiji buah kedondong masak, dia telah bergaduh dengan
rakannya itu. Dengan marah rakannya itu menyebut-nyebut nama bapa Nyiang yang
lenyap entah di mana.”
“Apa
yang budak tu kata, nek?” soalku.
“Dia kata, ‘Betullah kau ni
macam bapa kau juga. Dah jadi hantu pemburu. Berburu di hutan siang malam.
Makan minum, anak isteri dah tak diingat lagi. Oi anak hantu! Pergilah kau ikut
bapa kau di hutan tu!”
Menurut nenek seterusnya, Nyiang
gesit berlari pulang dan mengadu kepada Rapek.
“Benar kata budak tu, Nyiang,”
ujar Rapek. “Bapa kau memang dah jadi hantu pemburu. Entah berapa lama berada
di hutan belantara. Sampai sekarang tak balik-balik. Emak sendiri tak tahu sama
ada dia dah berjaya bertemu dengan kijang idaman emak atau tidak,”
Mendengar
penjelasan ibunya, Nyiang menangis tersedu-sedu. Dia sungguh sedih dan terharu
dengan nasib yang menimpa ibunya. “Kalau begitu, izinkan saya mencari bapa di
hutan, mak,” ujarnya sebaik tangisannya mereda.
“Buat
apa kau nak cari bapa kau?” tanya Rapek.
“Saya
mahu dia pulang ke pangkuan kita, mak,” jawab Nyiang.
“Tak
mungkin dia akan pulang lagi,” ujar Rapek. “Bapa kau dah jadi hantu pemburu,”
“Saya
tak peduli. Saya nak cari juga,” bentak Nyiang.
Kerana
terlalu mendesak, akhirnya hasrat Nyiang itu terpaksa ditunaikan oleh Rapek
“Ingat,
bapa kau bernama Perewang. Nama anjingnya, Kumbang, Nibung, Aru-Aru dan Pintar,”
ujar Rapek. “Apabila kau berjumpa dengan seorang hantu pemburu yang sentiasa
mendongak ke langit, membawa empat bilah senjata iaitu panah, keris, sundang
dan kelewang, dia itulah bapa kau,”
Nyiang
mengangguk-angguk.
“Apabila
mendengar bunyi angkatannya mara ke arah kau, panggillah nama bapamu iaitu
Perewang dan sebut juga nama anjing-anjingnya. Kemudian sebut nama kau dan
namaku juga. Tentu dia akan mengenali kau iaitu anaknya sendiri,” tambah Rapek.
“Saya
akan membunuh rakan saya itu setelah saya berjumpa dengan bapa nanti,” ujar Nyiang.
“Baru dia tahu siapa anak hantu ini sebenarnya,”
Setelah
berkata begitu, Nyiang pun masuk ke dalam hutan untuk mencari bapanya. Di
pertengahan jalan, dia telah bertemu dengan seorang tua yang bertanyakan tentang
tujuannya. Nyiang segera menjelaskan hasratnya.
“Jadi,
kau ini anak Perewanglah?” orang tua tersebut tersenyum lebar. “Baguslah kalau
begitu. Kalau kau dah bertemu dengan bapa kau itu, tolong tanyakan, di mana dia
telah menyimpan sebilah pahat. Pahat itu milikku, telah dipinjam oleh bapamu
sebelum dia menjadi hantu pemburu dulu,” ujarnya.
Setelah
berjanji akan mencari dan memulangkan semula pahat tersebut kepada orang tua
itu, Nyiang pun meneruskan perjalanannya. Beberapa lama kemudian, dia terdengar
bunyi suara orang berburu sedang mara ke arahnya. Sebaik suara itu hampir, Nyiang
pun segera melaung nama bapanya dan juga nama anjing-anjing yang telah dinyatakan
oleh Rapek. Dengan semerta dia dapati dirinya kini sudah berdepan muka dengan
bapanya.
Selesai
Nyiang menyampaikan pesanan emaknya dan permintaan orang tua yang dijumpai di
pertengahan jalan, Perewang pun berkata, “Benarlah kau ini anak aku. Aku
sungguh terharu kerana tidak berjaya memeliharamu sampai besar begini. Namun,
emak kau telah berjaya menggantikan aku. Baguslah! Tentang pahat itu pula,
memang ada aku pinjam dari orang tua tersebut waktu membuat sebatang tangga
dulu. Aku telah menyimpannya dalam seruas buluh. Cari dan ambillah pahat tu dan
segera pulangkan kepada tuan yang empunya. Sekarang baliklah. Jaga emak dan
adik perempuan kau baik-baik,”
“Sebelum
saya datang dulu, saya telah berazam akan membunuh seorang budak,” ujar Nyiang
kepada bapanya.
“Kenapa
mahu membunuhnya?” tanya Perewang.
“Dia
telah mencerca, menghina dan memburuk-burukkan nama saya dan bapa,” jawab Nyiang.
“Kalau
begitu, bunuhlah budak yang celupar itu,” tegas dan gerah suara Perewang.
“Makanlah jantungnya dan minumlah darahnya. Bapa izinkan,”
“Terima
kasih, bapa,” balas Nyiang dengan azam yang mulai menyala di dada.
“Sebelum
kau pulang, ini ada satu pesanan bapa,” ujar Perewang. “Jika kau tiba-tiba
terdengar bunyi jeladan pada waktu senja, itulah tandanya bapa sedang melintas,”
Setelah berkata begitu, tiba-tiba Perewang ghaib dari pandangan mata Nyiang.
Nyiang
meneruskan perjalanan pulang dengan hati yang puas. Dia puas kerana berjaya
bertemu dengan bapanya sendiri setelah sekian lama berpisah. Apabila sampai di
rumah, Nyiang segera menceritakan segala-galanya kepada Rapek serta
menyampaikan juga segala pesanan bapanya. Pahat orang tua tersebut juga dicari
dan diserahkan semula.
Rapek
amat terharu mendengar cerita Nyiang. Kerana kasih dan tidak mahu berpisah
terus dengan suaminya, Rapek pun masuk ke dalam hutan untuk turut berburu
bersama Perewang. Nyiang dan Nuni juga turut serta. Mereka bersama-sama menjadi
hantu pemburu.
“Dan
sehingga sekarang, kononnya ada orang yang masih kena kelintasan atau keteguran
hantu perewang atau hantu pemburu itu,” ujar nenek. “Sebab itulah, kalau kamu
mendapati orang yang terkena kelintasan atau keteguran macam tu, inilah petua
yang mesti dilakukan,”
“Macam
mana petuanya, nek?”
“Ambil
saja daun bonglai, resam, gasing-gasing dan daun pisang hutan. Ricih
halus-halus dan ramas dalam air di mangkuk jeluk. Masukkan sedikit pinang dan
kemudian sapukan airnya pada badan orang itu dengan daun sireh,” ujar nenek.
“Bagaimana
kalau jeladan sekadar melintas atas rumah?” tanyaku lagi.
“Lakukan
perkara yang sama pada setiap ahli keluarga yang ada di rumah tu,” jawab nenek.
“Kalau
gagal melakukannya?”
“Terimalah
malapetaka yang bakal terjadi,”
Ngeluyur
benakku gesit bubar tatkala kereta api tiba di Kuala Lumpur. Bagai kemamar dan
kelinglungan aku bangun. Yongyat mencapai beg galas. Setelah dua hari di
pejabat, entah kenapa tiba-tiba saja hatiku berdebar-debar tidak keruan. Wajah
Yusof di kampung halamannya mengirap mesra ke sepasang mata. Seharian aku
dijerba rusuh jiwa yang amat menghenyak.
Sewaktu aku mahu melangkah
pulang dari pejabat, Amri, rakan sepejabatku tiba-tiba meluru mengatakan ada
panggilan telefon untukku. Dan aku hampir pengsan kala mendapat berita bahawa
Yusof telah meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan yang dahsyat.
Tak semena-mena aku meraung bagai dirasuk jembalang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan