Selasa, 26 Disember 2023

PAK DOLAH IKAN TEMENUNG

SMAHADZIR


Tekad Pak Dolah sudah bulat. Dia akan berniaga melalui online. Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dia tiada pendapatan lagi. Kerjanya sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang telah dicutikan tanpa gaji. Lagipun, menurut Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan yang dilihatnya dalam televisyen, kebenaran diberikan kepada masyarakat berniaga secara online, terutama barangan keperluan dapur. Barangan yang dibeli oleh pelanggan boleh dihantar dari rumah ke rumah. Sebab itulah Pak Dolah sudah mengambil keputusan untuk berniaga.

“Sebenarnya kau nak jual apa, Dol?” soal Haji Man ingin tahu. Waktu itu mereka baru saja selesai membungkus beberapa barangan dapur bagi pihak surau untuk diedarkan kepada beberapa buah keluarga fakir miskin. Barangan dapur tersebut merupakan pemberian dari Wakil Rakyat dan menjadi tugas Pak Dolah dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa Surau membungkusnya.

“Aku cadang nak jual ikan,” jawab Pak Dolah sungguh-sungguh.

“Bagus, Dol! Dapat juga kau membantu masyarakat yang susah nak ke pasar beli ikan, terutama yang tak ada kenderaan sendiri,” balas Haji Man bekas kerani sekolah merangkap Pengerusi Surau itu seolah-olah memberi sokongan kepada Pak Dolah.

“Sebab itulah aku pilih ikan sebagai barang jualan aku di internet. Lagipun, musim-musim PKP ni ramai orang tak boleh keluar rumah,”

“Tak kisahlah apapun yang kau nak jual,” balas Haji Man polos. “Yang penting kau kena luaskan juga media iklan supaya pasaran kau lebih besar. Untuk perniagaan di internet aku cadangkan kau guna teknik blogging ketimbang buat website. Kau boleh reka bentuk wordpress blog hampir serupa laman web. Kau boleh juga guna wordpress untuk buat lebih dari itu. Aku cadang kau guna wordpress berbanding blogger sebab platform wordpress lebih canggih. Terma-terma yang ada juga nampak lebih komersial untuk digunakan bagi menampakkan sifat profesional perniagaan kau tu,”

          “Kau ni buat patah semangat aku saja. Aku ni seorang pengawal keselamatan saja, sekolah tak tinggi, manalah tahu tentang tu semua. Yang aku tahu whatsApp saja... yang lain tu manalah aku tahu,” ujar Pak Dolah seraya mengeluh panjang.

Haji Man gesit ketawa. “Aku bergurau saja. Melalui whatsApp pun bagus juga. Aku yakin kau akan berjaya, Dol! Tapi janganlah jual ikan yang mahal-mahal pula. Jual ikan yang murah sudahlah...”

”Memanglah aku nak jual ikan yang murah saja, Haji!” cantas Pak Dolah. “Aku ni bukannya ada modal banyak sangat nak jual ikan yang mahal. Aku kena beli tunai dari pembekal di pasar tu. Manalah aku ada duit yang banyak nak beli ikan yang mahal-mahal.”

“Maksud aku, kalau kau jual ikan yang murah, boleh dapat pembeli yang ramai,“ ujar Haji Man membetulkan salah faham Pak Dolah. “Kawasan flat kediaman kita ni rata-rata masyarakatnya berpendapatan rendah. Jarang mereka beli ikan yang mahal-mahal. Tambahan pula musim PKP ni, ada sesetengah keluarga tu tak ada langsung pendapatan.”

“Itu yang akan aku lakukan,” balas Pak Dolah.

 

* * *

 

“Odah, aku bercadang nak berniaga. Kalau tak kerja macam mana kita nak dapat duit!” ujar Pak Dolah suatu malam kepada Mak Sodah.

          “Abang nak berniaga apa?” tanya Mak Sodah ingin tahu.

          “Ikan…” jawab Pak Dolah sepatah.

          Mak Sodah gesit saja terkesip-kesip mendengar perkataan ‘ikan’ yang diluahkan oleh Pak Dolah. “Nak berniaga macam mana sekarang ni... kan PKP?”

          “Awak tak usahlah terkebil-kebil begitu,” ujar Pak Dolah sembari tersengih. “Sekarang ni semua orang berniaga guna internet. Kita tak perlu ada kedai, tak perlu banyak modal nak mulakan perniagaan...”

          Mak Sodah mengeluh panjang. “Suka hati abanglah! Odah ikut saja apa yang abang fikirkan baik untuk keluarga kita!”

Untuk merealisasikan hasratnya menjual ikan melalui online, Pak Dolah telah membuat sebuah kumpulan whatsApp yang diberi nama ‘Pak Dolah Ikan Temenung’. Untuk ahli-ahlinya, Pak Dolah memasukkan nama-nama dan nombor-nombor telefon yang didapati dari senarai ahli khariah surau dan juga dari rakan kenalannya. Lebih kurang enam puluh nama dan nombor telefon saja yang berjaya dimasukkannya dalam kumpulan itu.

Selepas kumpulan ‘Pak Dolah Ikan Temenung’ ditubuhkan, Pak Dolah terus menghantar iklan perkhidmatan jualan ikannya melalui whatsApp kepada semua ahli kumpulan. Selepas beberapa hari, berita tentang rancangan Pak Dolah mahu menjual ikan secara online mulai gah diperkatakan oleh orang-orang kampung dan kawasan flat kediaman sekitar yang mengenalinya. Ada yang memberi semangat dan tidak kurang juga yang kurang percaya. Mampukah seorang pengawal keselamatan menukar kerjayanya sebagai penjual ikan? Ibu-ibu tunggal yang tak punya kenderaan untuk ke pasar pula seolah-olah tak sabar lagi ingin membuat tempahan.

          Sesungguhnya Mak Sodah tidak tahu, bagaimana rupanya perniagaan ikan online yang hendak dilakukan oleh Pak Dolah. Selepas perbualan singkat itu, dia tidak pernah bertanya lagi kepada Pak Dolah. Pak Dolahpun tidak pernah membuka mulut. Tetapi Mak Sodah tahu, Pak Dolah ingin berniaga kerana sejak PKP ini suaminya itu tidak dibenarkan bekerja. Sebagai pengawal keselamatan, tugas Pak Dolah tidak berapa diperlukan oleh kilang tempatnya bekerja. Kerana tidak bekerja, Pak Dolah juga tidak ada gaji. Sebab itulah Pak Dolah beria-ria benar hendak berniaga.

Sebagai seorang isteri pula, Mak Sodah dapat merasakan yang Pak Dolah resah sejak negara diserang Covid-19 ini. Apa akan jadi jika penguatkuasaan PKP terus berlanjutan selama setahun? Bantuan Prihatin Nasional yang diterima pula tidaklah cukup untuk menampung perbelanjaan sepanjang tahun. Lantaran itulah Pak Dolah berhasrat mahu menjual ikan. Selain dapat menampung perbelanjaan harian, dapat pula membantu masyarakat yang sukar untuk ke pasar membeli ikan. Begitulah yang diucapkan oleh Pak Dolah.

          Malam itu selepas selesai solat Isyak, berzikir dan berdoa, Pak Dolah terus melangkah ke dapur. Di situ dia meneguk secawan kopi, menjamah dua keping sukun goreng kemudian duduk di kerusi mengadap muka tingkap yang terkuak lebar. Angin malam yang menderu segar sedikit menyejukkan badannya yang masih berpeluh. Peluh juga kelihatan merenik di dahinya. Sejurus kemudian Mak Sodah turut melabuhkan punggung di hadapan Pak Dolah.

          “Tiga hari lagi aku nak mulakan perniagaan aku tu, Odah! Sudah dua hari aku buka tempahan melalui whatsApp. Sesiapa yang nak beli ikan, aku minta mereka bagi nama, berapa kilo ikan yang mereka nak dan alamat rumah mereka. Dengan cara itu senanglah aku nak beli berapa banyak ikan. Selepas aku tahu berapa kilo ikan yang pelanggan nak beli, barulah aku telefon pembekal ikan di pasar,” jelas Pak Dolah panjang lebar.

“Ikan apa yang abang nak jual tu?” soal Mak Sodah.

“Ikan temenung,” jawab Pak Dolah pendek.

“Ikan lain?” soal Mak Sodah lagi.

“Ikan temenung tak terlalu mahal,” jawab Pak Dolah. “Kalau aku jual ikan senangin, ikan jenahak, ikan bawal emas, ikan kerapu... siapa nak beli?”

Mak Sodah ketawa kecil. “Betullah tu... di kawasan flat kediaman kita ni mana ada orang kaya yang makan ikan mahal-mahal. Err... siapa yang nak bantu abang hantar ikan-ikan tu?” Mak Sodah ingin tahu.

“Yang dekat-dekat dengan rumah, anak kita Karim boleh tolong hantarkan... yang jauh akulah yang menghantarnya,” ujar Pak Dolah

Mak Sodah mengangguk-angguk mendengar kata-kata Pak Dolah. “Dah ada ke orang yang nak beli ikan abang tu?” soalnya setagal kemudian.

“Setakat ni aku dah ada lima orang pembeli, Odah! Mereka dah buat tempahan melalui whatsapp,” jawab Pak Dolah. “Seorang dua kilo, semuanya sepuluh kilo.”

“Banyak juga tu...”

“Ya, Odah!” cantas Pak Dolah cepat. “Ni baru hasil dari iklan yang aku buat dalam whatsApp. Kalau aku buat iklan dalam facebook, dan yang lain-lain... tentu banyak lagi tempahan,”

“Abang pandai ke main facebook?” Mak Sodah ketawa terkekek-kekek. “Setahu Odah, kalau Karim tak ajar abang buka whatsApp, entah-entah sampai mati pun abang tak tahu nak guna whatsApp tu,”

Pak Dolah turut ketawa dengan kata-kata isterinya. Dia tidak menafikan. Memang dia tidak tahu banyak berkenaan telefon zaman sekarang ini yang ada pelbagai aplikasi seperti facebook, wechat, viber, skype, twitter, instagram, whatsApp dan entah apa-apa lagi yang dia sendiri tak tahu nak menyebutnya.

“Kalau permintaan terlalu banyak, tak mampu kita nak menghantarnya,” ujar Mak Sodah mematikan sejenak ngeluyur benak Pak Dolah.

“Itu awak jangan bimbang, Odah! Jika pelanggan kita dah terlalu ramai, aku akan upah pekerja untuk tolong kita,”

          “Jangan beranganlah, bang! Nak berniaga ikut kemampuanlah”

          Pak Dolah tersengih, “Tak salah nak berangan, kan?”

 

* * *

 

Pagi Ahad tenang. Kabus sudah lama menghilang diserap cahaya matahari yang menerjah agak panas dari pundak langit. Ceridau unggas-unggas hutan sekitar jalan yang dilalui Pak Dolah hingar seperti ghalib.

          Pagi ini selepas menunaikan solat Subuh, Pak Dolah mulai bergerak ke pasar untuk mengambil ikan dari pembekal seterusnya membuat penghantaran ikan-ikan tersebut yang telah ditempah oleh para pelanggannya. Dengan motosikal Kriss Modenas 100cc-nya, Pak Dolah menempuh jalan-jalan berliku dan lorong-lorong sempit sekitar kampung berhampiran flat kediaman tempat tinggalnya.

Hari pertama memulakan khidmat penghantaran ikan kepada para pelanggan, amat menggembirakan hati Pak Dolah. Semua ikan yang ditempah habis diambil oleh para pelanggan. Hari itu Pak Dolah menghantar dua belas kilo ikan temenung ke enam buah rumah. Setiap pelanggan membeli dua kilo ikan temenung. Masing-masing mengucapkan terima kasih kepada Pak Dolah kerana menyediakan perkhidmatan menghantar ikan ke rumah mereka. Tak perlulah mereka ke pasar lagi untuk membeli ikan. Tidak perlulah juga mereka beratur sebelum masuk ke pasar, dan yang lebih penting tak perlulah mereka memakai topeng mulut dan hand sanitizer atau pembersih tangan.

Perkhidmatan yang Pak Dolah sediakan ialah seminggu sekali. Oleh itu Pak Dolah menasihati para pelanggannya supaya membuat tempahan lebih sikit, kalau boleh untuk kegunaan selama seminggu.

“Takkan saya nak makan ikan temenung saja selama seminggu, pak cik!” ujar salah seorang suri rumah muda yang menjadi pelanggan Pak Dolah. “Naklah juga makan ayam, daging, ikan selangat, ikan bawal...”

“Pak Dolah tak jual ayam ke?” tanya pula Mak Siti yang suaminya amat dikenali Pak Dolah iaitu Pak Seman yang sering bersolat jemaah di surau sebelum PKP dulu.

“Buat masa ini aku hanya jual ikan saja,” jawab Pak Dolah. “Itupun ikan temenung saja. Ikan lain belum lagi aku mampu nak jual,”

Masuk minggu kedua, Pak Dolah mulai rasa letih sedikit. Ini kerana dia terpaksa menghantar ikan kepada pelanggan yang tinggal jauh dari rumahnya. Ada yang sejauh lapan kilometer dari rumahnya. Memang Pak Dolah berasa amat letih sekali. Tercungap-cungap dia dibuat dek keletihan itu. Maklumlah, umurnya juga sudah menjangkau 58 tahun. Di samping terpaksa meredah pelbagai halangan di atas jalan dan lorong, Pak Dolah juga terpaksa menghadapi pelbagai soalan dari anggota polis dan tentera bertugas yang membuat sekatan di jalan raya. Ada juga pelanggan yang kurang puas hati terhadap kualiti ikan yang kononnya tidak berapa segar, ada yang mencebek kerana lambat menerima tempahan walaupun hanya tiga atau empat minit saja lambatnya, dan tak kurang juga yang membatalkan tempahan pada saat-saat akhir dengan alasan yang pelbagai. Yang paling sedihnya, apa pelanggan yang berhutang dengan Pak Dolah. Alasannya, tak ada duit. Namun semangat Pak Dolah tidak mudah cair dengan semua dugaan tersebut.

Bagi Pak Dolah, itu adalah kendala atau hambatan kecil yang harus dihadapinya. Selagi ada sabar dan tawakal, pasti ada kejayaan dalam apa juga kerja. Sekali-kali Pak Dolah tidak menyesal memilih ikan sebagai sumber rezekinya pada musim PKP ini. Baginya, ikan adalah satu keperluan bagi setiap keluarga. Walaupun Pak Dolah hanya menjual ikan temenung saja tetapi suatu hari nanti jika wangnya sudah banyak dia bercadang nak jual juga ikan bawal, ikan talapia, ikan siakap, ikan kerisi, ikan gelama, ikan keli dan semua ikan yang ada di pasar. Tetapi biarlah buat sementara ini dia menjual ikan temenung dulu. Ikan temenung ini harganya tidak berapa mahal dan mampu dibeli oleh para pelanggannya yang kebanyakannya adalah pekerja yang berpendapatan rendah.

Pak Dolah yakin, menjual ikan ini adalah satu usaha yang sangat murni mertabatnya. Ia juga termasuk dalam kumpulan petugas barisan hadapan untuk negara. Walaupun tugasnya tidak seperti doktor, jururawat, polis atau tentera, tetapi dia juga berkhidmat untuk kesenangan masyarakat. Tidak semua pelanggannya yang dapat keluar dari rumah untuk mencari ikan yang dijual di pasar. Lagipun, dalam waktu-waktu PKP ini, jika lambat ke pasar, ikan akan habis kerana diborong oleh orang ramai. Mereka membeli secara banyak memandangkan kesukaran untuk keluar dari rumah selalu. Lagipula, hanya lima orang saja yang dibenarkan masuk ke dalam pasar dalam sesuatu masa di samping jarak sosial telah ditetapkan sejauh satu meter. Ini menyebabkan masa yang lama untuk seseorang itu pergi ke pasar membeli ikan. Justeru lebih baiklah membeli ikan melalui perkhidmatan whatsApp yang disediakan oleh Pak Dolah.

Alhamdulillah, lebih kurang dua minggu saja berita tentang perkhidmatan online ikan temenung Pak Dolah sudah tersebar seperti angin. Masuk minggu ketiga, tempahan sudah mulai meningkat dari 20 kilogram kepada 30 kilogram. Namun begitu, apabila semakin banyak tempahan, semakin banyak juga kendala yang Pak Dolah hadapi.

          “Kita kena upah orang hantar ikan kita, bang!” ujar Mak Sodah senja itu sebaik dia dan Pak Dolah selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah.

          “Tapi, siapa yang nak bekerja hantar ikan, Odah? Si Karim hanya mampu hantar kepada para pembeli yang dekat dengan rumah kita saja. Yang jauh, dia nak hantar dengan apa? Kita ada sebiji saja motosikal,”

“Cubalah tanya kawan-kawan Karim yang ada motor. Nak tak mereka bekerja hantar ikan,” ujar Mak Sodah memberi pandangan.

          “Saya dah tanya kawan-kawan saya, ayah... tapi tak ada seorang pun yang nak bekerja hantar ikan,” ujar Karim.

          Pak Dolah mengeluh panjang dan dalam. Beberapa jenak dia mencerlung tunak-tunak wajah Mak Sodah seolah-olah memohon pandangan. Tapi isterinya itu hanya terkebil-kebil saja.

“Walau macam manapun aku terpaksa hantar juga semua tempahan orang,” tegas Pak Dolah.

“Abang larat ke... terutama nak naik tangga tingkat lima flat tu?” tanya Mak Sodah. “Abang tu dah tua, tenaga tak macam masa muda dulu.”

“Larat tak larat pun, aku kena buat juga. Ini tanggungjawab dan amanah orang,” tegas Pak Dolah. “Kalau aku tak hantar, bermakna anak-anak mereka makan tak berlauk. Berdosa aku, Odah! Menghampakan harapan orang.”

 

* * *

 

Masuk minggu kelima. Malam itu wajah Pak Dolah agak muram. Sebaik selesai solat Isya, dia termenung di ruang tamu sambil menyandarkan badannya ke dinding. Gelagatnya dapat dikesan oleh Mak Sodah.

          “Kenapa dengan abang ni? Macam orang mati bini saja!” tanya Mak Sodah lalu melabuhkan punggungnya di hadapan Pak Dolah.        

          “Tak ada apa-apa!” ujar Pak Dolah acuh tak acuh.

          “Hai, tak kan tak ada apa-apa!” Mak Sodah sedikit tersenyum. “Abang ni berangan nak kahwin lagi agaknya?”

          “Tak adalah! Takkan aku nak kahwin pula! Sekarang ni musim PKP, nak ke mana pun tak boleh,” jawab Pak Dolah.

          “Habis, yang abang termenung tu, kenapa?” Mak Sodah cuba mencungkil.

          “Aku memikirkan soal perniagaan aku ni!” ujar Pak Dolah polos.

          “Kenapa?” tanya Mak Sodah tercolek ingin tahu.

“Aku dah ambil keputusan tak nak berniaga lagi!” ujar Pak Dolah lirih.

Mulut Mak Sodah gesit melopong. “Kenapa? Bukankah ramai yang tempah ikan temenung dari abang?”

“Memang ramai tapi ramai juga yang berhutang dengan aku,” jawab Pak Dolah sedih. “Sampai makan pokok, macam mana aku nak berniaga?”

Biji mata Mak Sodah terkesip-kesip. Mulutnya pelohong lagi. “Kenapa abang bagi mereka hutang?” soalnya setagal kemudian.

“Tak sampai hati pula aku tengok, Odah! Mereka yang berhutang tu memang orang susah. Kebanyakannya tak ada suami, ibu tunggal... pendapatan tak ada. Anak-anak nak makan. Aku terpaksa bagi... aku niat sedekah,” suara Pak Dolah bernada sayu.

Bagi Pak Dolah, hanya itu saja pahala yang dapat dia cari dalam waktu-waktu negara dibelenggu PKP ini. Dia tidak kesal malah bersyukur kerana dapat juga bersedekah walaupun dia sendiri bukanlah orang yang berada.

Malam merangkak semakin jauh. Alam sekeliling semakin sepi kerana erat didakap PKP. Pak Dolah hanya mampu berdoa dalam hati. Cepat-cepatlah Covid-19 ini menghilang dari bumi nan makmur ini. Semoga PKP tiada lagi. Dalam kalangan masyarakat masih ramai yang menderita hidupnya kerana virus durjana ini. Jangan biarkan mereka terus hidup dalam kesengsaraan di tanah air sendiri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA