Isnin, 11 Disember 2023

HARI KEDUA Lawatan Kerja Sempena Program Silang Budaya Selangor Indonesia 2023: Semarak Budaya Serumpun

Selepas bersarapan pagi di hotel, tepat jam 9.00 pagi, delegasi Selangor dibawa ke Saung Angklung Udjo yang berlokasi di Jalan Padasuka Nombor 118, Pasirlayung, Cibeunying Kidul, Kota Bandung. Saung of Angklung atau Saung Angklung Udjo ini adalah sebuah sanggar budaya yang terkenal di Bandung, terutama sebagai pusat pembelajaran dan persembahan seni angklung. Sanggar ini juga dikenali sebagai salah sebuah tempat persembahan angklung terbaik di Indonesia. Di sini ada sebuah pentas, ruang persembahan dan juga tempat duduk untuk para pengunjung menyaksikan persembahan yang diadakan.

 
A group of people performing on a stage

Description automatically generated 
Persembahan angklung di Saung Angklung Udjo
 
Di sanggar ini, para gelegasi Selangor dipersembahkan dengan pelbagai kesenian yang berasaskan angklung. Persembahan pertama ialah permainan muzik angklung secara beramai-ramai oleh kanak-kanak junior yang berumur antara 8-15 tahun. Mereka mendapat pendidikan di Saung Angklung Udjo sejak kecil dan sering membuat persembahan untuk para pengunjung. Persembahan kedua berupa Tarian Topeng khas Cirebon dari tiga orang gadis remaja Sunda.
 
Menurut Teteh Milah yang sudah lebih 10 tahun sebagai pengacara majlis di Saung Angklung Udjo, Tarian Topeng Cirebon adalah salah sebuah tarian di wilayah kesultanan Cirebon. Tarian topeng bermula sejak era Jawa Kuno di Jawa Timur. Pada masa-masa selanjutnya berkembang dan menyebar ke Jawa Tengah, Cirebon bahkan juga Banjar dan Kutai. Tarian Topeng Cirebon berkembang di daerah Cirebon termasuk Subang, Indramayu, Jatibarang, Majalengka, Losari, dan Brebes. Disebut tarian topeng kerana penarinya menggunakan topeng sewaktu menari. Dalam pementasan Tarian Topeng Cirebon, penarinya disebut sebagai dalang, sebab mereka memainkan karakter topeng-topeng tersebut.
 
A person in a white dress

Description automatically generated 
Teteh Milah
 
Tarian topeng ini banyak sekali ragamnya dan mengalami perkembangan dalam aspek gerakan, juga cerita yang ingin disampaikan. Kadang-kadang tarian topeng dipsersembahkan oleh seorang penari tarian solo, atau boleh juga ditarikan oleh beberapa orang.
 
Thomas Stamford Raffles dalam bukunya yang berjudul The History of Java mendeskripsikan bahawa kesenian topeng Cirebon merupakan persembahan cerita Panji dari Jawa Timur di mana dalam satu kumpulan kesenian topeng terdiri dari dalang (yang menarasikan kisahnya) dan enam orang pemuda yang mementaskannya diiringi oleh empat orang pemuzik gamelan (bahasa Cirebon: Wiyaga)
 
A close-up of a person

Description automatically generated 
Udjo Ngalagena, pengasas Saung Angklung Udjo
 
Tarian Topeng Cirebon pada zaman dahulu biasanya dipentaskan menggunakan tempat terbuka berbentuk separuh lingkaran, misalnya di halaman rumah, di blandongan (khemah atau tenda pesta) atau di bale (pentas) dengan obor sebagai sumber penerang, tetapi dengan berkembangnya zaman dan teknologi, Tarian Topeng Cirebon pada masa moden juga dipersembahkan di dalam bangunan dengan lampu elektrik sebagai tata cahayanya.
 
Dalam Tarian Topeng Cirebon terdapat beberapa gaya tarian yang telah diakui secara adat. Gaya-gaya ini berasal dari kampung-kampung asli tempat di mana Tarian Topeng Cirebon lahir dan juga dari kampung lainnya yang menciptakan gaya baru yang secara adat telah diakui bebas dari gaya asalnya. 
 
A group of people performing on a stage

Description automatically generated 
Tarian Topeng Cirebon
 
Seterusnya, tentang Saung Angklung Udjo, menurut Teteh Milah, sanggar ini didirikan oleh Ngalagena Udjo pada tahun 1966, yang juga merupakan salah sebuah tempat mempromosikan dan mengembangkan kesenian angklung sebagai instrumen muzik dan budaya Indonesia. Udjo Ngalagena atau sering juga dipanggil Mang Udjo adalah seorang seniman dan pemain angklung yang terkenal, yang telah banyak memperkenalkan angklung ke berbagai belahan dunia. Saung Angklung Udjo sekarang ini telah menjadi tempat yang populer bagi pelancong yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang seni angklung dan menyaksikan persembahannya.
 
Saung Angklung Udjo menyajikan persembahan angklung yang memukau, di mana para pemain angklung tampil dengan penuh kehebatan dan keterampilan dalam memainkan instrumen tersebut. Persembahan yang ada di sini juga menampilkan berbagai tarian dan muzik tradisional Indonesia. Sehingga menjadi salah satu tempat yang menarik untuk dikunjungi bagi pelancong domestik atau mancanegara yang ingin mengetahui lebih jauh tentang budaya Indonesia.
 
 
Persembahan tarian dan angklung di Saung Angklung Udjo
 
Seni angklung sendiri merupakan salah satu bentuk muzik tradisional yang berasal dari Indonesia. Instrumen utama dalam seni angklung adalah sebuah alat muzik berbentuk buluh yang disebut angklung. Angklung terdiri dari beberapa batang buluh yang disusun secara bersama-sama dan dipasang pada sebuah bingkai yang disebut sebagai jegog.
 
Selain menyajikan persembahan angklung, Saung Angklung Udjo juga menawarkan berbagai kegiatan lain, seperti workshop angklung, pembelajaran angklung, dan pengajaran tentang sejarah dan asal-usul angklung. Memang tersedia berbagai macam kegiatan menarik yang boleh dilakukan oleh pengunjung di sini. Mulai dari pembelajaran tentang cara memainkan angklung, menyaksikan persembahan angklung, dan juga mencicipi makanan khas Sunda yang disajikan di tempat ini.
 
Selain itu, Saung Angklung Udjo juga menyediakan berbagai macam produk angklung yang boleh dibeli oleh pengunjung sebagai kenang-kenangan. Tempat pelancongan ini adalah salah satu tempat yang wajib dikunjungi bagi pelancong yang berkunjung ke Bandung. Dengan mengunjungi tempat ini, pengunjung dapat mempelajari lebih lanjut tentang seni angklung serta menyaksikan persembahan langsung dari para ahli angklung.
 
A group of children holding wooden objects

Description automatically generated 
Kanak-kanak berumur antara 8-12 tahun sudah mahir bermain angklung di Saung angklung Udjo
 
Menyentuh sejarah hidup pengasas Saung Angklung Udjo, menurut Teteh Milah, Udjo Ngalagena yang juga dikenali sebagai Mang Udjo adalah seniman unggul angklung Indonesia, anak keenam dari pasangan Wiranta dan Imi. Pada usia antara empat hingga lima tahun, Udjo Ngalagena sudah akrab dengan angklung berlaras pelog dan salendro yang kerap dimainkan di lingkungannya dalam acara mengangkut padi, arak-arak khitanan, peresmian jambatan, dan acara-acara yang melibatkan keramaian lainnya.
 
Berdirinya Saung Angklung Udjo tidak dapat dipisahkan dari peranan Udjo Ngalagena yang boleh dikatakan sangat erat kaitannya dengan kajian tentang biografi beliau dan keluarga. Selain belajar angklung, beliau juga mempelajari pencak silat, gamelan dan lagu-lagu daerah dalam bentuk kawih dan tembang. Beliau mempelajari lagu-lagu bernada diatonis berupa lagu-lagu berbahasa Indonesia dan Belanda. 
 
Bakat serta kemampuannya makin berkembang ketika beliau mulai terjun sebagai guru kesenian di beberapa buah sekolah di Bandung. Untuk mempertajamkan lagi kemampuannya, Udjo Ngalagena telah mendatangi orang yang pakar dalam bidangnya. Teknik permainan kacapi dan lagu-lagu daerah dipelajari beliau dari Mang Koko. Gamelan dipelajari dari Raden Machjar Angga Koesoemadinata, dan untuk angklung do-re-mi (diatonis) beliau mendapat bimbingan dari Pak Daeng Soetigna (pencipta angklung bernada diatonis).
 
A group of children holding wooden objects

Description automatically generated 
Sejak kecil kanak-kanak Indonesia diserapkan sikap mencintai budaya bangsa
 
Pengetahuan-pengetahuan tersebut kemudiannya diolah dalam bentuk pakej persembahan untuk para pelancong dengan mengutamakan material sajian angklung di sanggarnya iaitu di Saung Angklung Udjo. Kewujudan sanggar ini merupakan sebuah sarana bagi Udjo Ngalagena mencurahkan jiwa kependidikan yang dimilikinya melalui seni angklung, sekali gus sebagai sarana penyaluran jiwa kewirausahaannya dengan menjual persembahan juga menjual alat muzik buluh.
 
Menurut Teteh Milah lagi, tetamu-tetamu luar dan dalam negeri berdatangan setiap hari (pagi dan petang) untuk menikmati sajian persembahan kesenian tradisional berkualiti tinggi khas Jawa Barat, kadang-kadang para tetamu atau pengunjung ini akan ikut larut dalam permainan angklung dan tarian kanakkanak juga para remaja yang terlibat. Di sanggar Saung Angklung Udjo juga dipersembahkan Wayang Golek. Ini semua mampu membuatkan para pengunjung berasa takjub untuk datang berkali-kali ke sini.
 
Persembahan kedua di sanggar Saung Angklung Udjo ialah dari pelajarpelajar junior sebuah sekolah dasar berupa kompilasi beberapa buah lagu Sunda yang diberi tajuk Bunga Boneka. Seterusnya nyanyian dalam bahasa Sunda oleh Citra Puja, seorang penyanyi budaya Kumpulan Alunan Rumpun Bambu (ARUMBA). Citra Puja merupakan antara mantan pelajar di Saung Angklung Udjo, berkecimpung di sanggar ini sejak berumur 8 tahun lagi, menyampaikan lagu-lagu Sunda. Beliau mula menyanyi di depan khalayak sewaktu berumur 9 tahun dan kini Citra Puja sudah berusia 30 tahun. Begitulah Indonesia melahirkan citra seorang penyampai budaya bangsanya di pentas dunia.
 
 
Citra Puja, penyanyi lagu Sunda dari Kumpulan Alunan Rumpun Bambu
(ARUMBA)
 
Menyentuh soal Wayang Golek yang dipersembahkan di sini, Teteh Milah menjelaskan bahawa umumnya wayang ini sering dipentaskan di wilayah Parahyangan, Jawa Barat dengan menggunakan Bahasa Sunda. Namun wayang ini juga dipentaskan di luar wilayah tersebut seperti di Brebes dan Cilacap di Jawa Tengah. Watak yang dimainkan dalam Wayang Golek adalah kisah Mahabharata dan Ramayana. Wayang Golek ini dipercayai mulai berkembang di Jawa Barat sejak abad ke-19, dipelopori oleh Bupati Bandung Wiranatakusumah III. Persembahannya pada waktu itu dikhususkan untuk kaum menak (bangsawan), sebelum akhirnya menyebar luas dalam kalangan masyarakat Sunda.
 
Kehadiran Wayang Golek tidak dapat dipisahkan dari kewujudan wayang kulit. Penyebaran wayang di Jawa Barat bermula pada masa pemerintahan Raden Patah dari Kerajaan Demak, kemudian disebarluaskan para Wali Songo. Termasuk Sunan Gunung Jati yang pada tahun 1568 memegang kendali pemerintahan di Kasultanan Cirebon. Beliau memanfaatkan persembahan wayang kulit sebagai media dakwah untuk penyebaran agama Islam.
 
 
 Watak-watak Wayang Golek dalam kisah Mahabharata dan Ramayana
 
Sekitar tahun 1584, di Jawa Tengah, Sunan Kudus dari Dewan Wali Songo mencipta Wayang Golek Pertama. Dalam perjalanan sejarahnya, persembahan Wayang Golek mula-mula diadakan oleh kaum bangsawan. Terutama peranan para bupati di Jawa Barat, mempunyai pengaruh besar terhadap berkembangnya Wayang Golek tersebut. Pada awalnya persembahan Wayang Golek diselenggarakan oleh para priyayi (kaum bangsawan Sunda) di lingkungan Istana atau Kabupaten untuk kepentingan peribadi mahupun untuk keperluan umum.
 
Menurut Teteh Milah, persembahan Wayang Goleh dilakukan pada siang hari. Wayang ini tidak memerlukan kelir atau tirai. Bentuknya menyerupai patung yang dibuat dari kayu (bukan dari kulit sebagaimana wayang kulit). Jadi, seperti golek atau patung. Oleh kerana itu, ia disebut sebagai Wayang Golek.
 
A group of puppets in clothing

Description automatically generated 
 Patung-patung Wayang Golek yang terdapat di Saung Angklung Udjo
 
Ada empat jenis Wayang Golek, iaitu wayang golek cepak, wayang golek purwa, wayang golek menak dan wayang golek moden. Wayang golek papak (cepak) terkenal di Cirebon dengan cerita babad dan legenda serta menggunakan bahasa Cirebon. Wayang golek purwa dengan cerita Ramayana Mahabrata. Wayang golek menak dengan cerita Amir Hamzah. Manakala, wayang golek moden adalah wayang golek kreasi baru dengan menggabungkan teknologi moden dalam persembahan seperti asap, pencahayaan warna-warni dan lain-lain lagi.
 
Beberapa jenis Wayang Golek yang populer ialah Wayang Golek gaya Sunda dengan cerita purwa, Wayang Golek gaya Cirebon dengan cerita purwa, cepak dan menak, Wayang Golek gaya Yogyakarta dengan cerita menak, Wayang Golek gaya Surakarta dengan cerita menak, Wayang Golek gaya Kebumen dengan cerita menak dan Wayang Golek gaya Tegal dengan cerita purwa dan menak.
 
Wayang Golek dibuat dari kayu Albasia atau kayu Lame. Cara pembuatannya adalah dengan meraut dan mengukirnya, hingga menyerupai bentuk yang diinginkan. Untuk mewarnai dan mengukir mata, alis, bibir dan motif di kepala wayang, digunakan cat duko. Cat ini menjadikan wayang kelihatan lebih cerah. Pewarnaan wayang merupakan bahagian penting kerana boleh menghasilkan berbagai karakter watak. Adapun warna asas yang biasa digunakan dalam wayang ada empat iaitu merah, putih, perada dan hitam.
 
 
Dalang sedang mempersembahkan Wayang Golek di Saung Angklung Udjo
 
Menurut Teteh Milah, Wayang Golek sebagai satu kesenian tidak hanya mengandungi nilai estetika semata-mata, tetapi juga meliputi keseluruhan nilai-nilai yang terdapat dalam masyarakat pendukungnya. Nilai-nilai itu disosialisasikan oleh para seniman dan seniwati pedalangan yang mengemban kod etika pedalangan. Kod etika pedalangan tersebut dinamakan ‘Sapta Sila Kehormatan Seniman Seniwati Pedalangan Jawa Barat’.
 
Begitulah semaraknya seni dan budaya Indonesia di Saung Angklung Udjo. Jiwa penghibur Ngalagena Udjo mampu menyatukan antara kesenian, kanakkanak dan lingkungan menjadi sebuah sajian persembahan yang harmonis di depan para pengunjungnnya.
 
A group of puppets in a glass case

Description automatically generated 
 Pelbagai patung Wayang Golek yang dijual di Saung Angklung Udjo
 
Kepiawaian dan pepakaran Ngalagena Udjo ternyata menurun kepada anakanaknya. Awal tahun 90-an mulailah era anak-anaknya yang meneruskan Saung Angklung Udjo. Lantaran keadaan kesihatan Ngalagena Udjo yang tidak mengizinkan, beliau mulai jarang memimpin persembahan, hanya sesekali beliau muncul di atas pentas sekadar untuk mengucapkan salam kepada para pengunjung dalam berbagai bahasa iaitu Inggeris, Belanda, Perancis, Jerman serta bahasa negara lainnya. 
 
Sepeninggalan Ngalagena Udjo, Saung Angklung Udjo diteruskan oleh anakanaknya. Tidak ada yang berubah, Saung Angklung Udjo tetap menjadi pilihan ramai untuk dikunjungi sama ada dari dalam ataupun luar negeri.  Pengakhir persembahan, para pengunjung diajar oleh salah seorang anak lelaki Ngalagena Udjo iaitu Pak Yayan Udjo cara-cara bermain angklung. Pak Yayan Udjo berdiri di tengah-tengah ruang pentas dengan para pengunjung diberi seorang sebuah angklung Menurut Pak Yayan Udjo, angklung adalah alat muzik tradisional dari Jawa Barat. Cara memainkannya tergolong mudah, hanya menggoyangkannya sehingga menghasilkan suara. Dari beberapa alat muzik asli Indonesia, angklung didaftarkan sebagai Masterpiece of Oral and Intangible Heritage of Humanity dari UNESCO sejak November 2010. 
 
 
 Pak Yayan Udjo mengajar para pengunjung bermain angklung
 
Kata Pak Yayan Udjo, angklung adalah alat muzik yang dibuat dari susunan beberapa batang buluh. Dalam sejarah Kerajaan Sunda (abad 12-16), angklung dimainkan untuk memuja Nyai Sri Pohaci sebagai lambang Dewi Sri (dewi padi). Manakala dalam Kidung Sunda diceritakan bahawa angklung digunakan untuk menyemangati mereka sewaktu peperangan.
 
Angklung mulai dikenali pada abad-19 melalui tangan seorang seniman. Beliau menggunakan alat muzik ini untuk pertunjukkan teater dan wayang. Seiring berjalannya waktu, angklung akhirnya dikenali oleh dunia. Sebuah kumpulan seniman Indonesia yang dipimpin oleh Daeng Soetigna membawa angklung ke luar negeri dan tampil di Paris pada tahun 1938. Pada waktu itu, Indonesia masih dijajah oleh Belanda.
 
A person wearing a hat

Description automatically generated 
 Pak Yayan Udjo, anak lelaki Ngalagena Udjo
 
Menurut Pak Yayan Udjo, ada empat jenis angklung yang perlu diketahui iaitu Angklung Dogdog Lojor, Angklung Kanekes, Angklung Gubrag dan Angklung Padaeng. Angklung Dogdog Lojor boleh ditemui di sekitar Gunung Halimun, Jawa Barat, yang digunakan oleh masyarakat Kesepuhan Pancer atau kesatuan adat Banten Kidul. Mereka menggunakan angklung ini untuk mengiringi ritual bercucuk tanam dalam tradisi Dogdog Lojor.
 
Semenjak agama Islam masuk ke wilayah tersebut, kesenian Angklung Dogdog Lojor juga digunakan untuk mengiringi majlis perkahwinan dan khitan. Diperlukan enam instrumen dalam kesenian tersebut iaitu 2 buah dogdog lojor dan 4 buah angklung besar yang terdiri dari angklung gonggong, kingking, panembal, dan inlock.
 
Angklung Kanekes pula boleh ditemui di daerah Banten. Alat muzik ini dimainkan oleh masyarakat Kanekes, Baduy untuk mengiringi aktiviti bercucuk tanam. Meskipun angklung yang mereka miliki kuno, namun masyarakat Baduy tetap melestarikannya sewaktu menanam padi di bendang seperti yang dicontohkan oleh para leluhur. Sayangnya, tidak semua orang Baduy boleh membuat angklung. Hanya mereka yang berketurunan pembuat angklung yang berhak membuat alat muzik tersebut.
 
 
 Kumpulan Tunas Sinar Cempuling SK Sungai Lang turut mempelajari cara-cara bermain angklung yang diajar oleh Pak Yayan Udjo
 
Angklung Gubrag pula adalah alat muzik tertua yang digunakan untuk menghormati dewi padi. Angklung ini terdapat di Kampung Cipinang, Cigudang, Bogor, Jawa Barat. Sewaktu Kampung Cipinang dilanda musim kemarau, Angklung Gubrag pun muncul. Angklung ini digunakan untuk ritual meminta air kepada Dewi Sri (dewi padi) yang enggan menurunkan hujan. Hingga kini, Angklung Gubrag masih digunakan dalam kegiatan melak pare (menanam padi), ngunjal pare (mengangkut padi), dan ngadiukeun (menempatkan) ke leuit (jelapang padi).
 
Manakala Angklung Padaeng pula dipopulerkan oleh Bapak Angklung Diatonis Kromatis iaitu Daeng Soetigna pada tahun 1938. Angklung ini merupakan bentuk inovasi yang dilakukan oleh Daeng Soetigna dengan menggunakan komponen dasar teori muzik dunia Barat. Secara khusus, Angklung Padaeng dibahagi menjadi dua kumpulan iaitu angklung melodi dan angklung akompanimen. Selepas inovasi tersebut, muncullah angklungangklung lainnya yang terus berkembang seperti Angklung Sarinande, Arumba, Angklung Toel, dan Angklung Sri Murni.
 
 
 Antara angklung yang terdapat di Saung Angklung Udjo
 
Menurut Pak Yayan Udjo lagi, setiap orang boleh memainkan alat muzik angklung jika mengetahui tekniknya. Salah satunya adalah dengan cara memegang rangka angklung dengan sebelah tangan, kemudian tangan lainnya menggoyangkannya hingga menghasilkan suara. Ada teknik-teknik asas dalam menggoyangkan angklung teknik iaitu karalung (getar), teknik cetok (sentak) dan teknik tangkep.
 
Tenik Kurulung (getar) merupakan teknik umum yang sering digunakan dalam bermain angklung. Teknik ini menggunakan dua tangan untuk memainkannya. Hanya memegang rangka angklung, kemudian tangan satunya lagi menggoyangkannya hingga nada yang diinginkan muncul. Teknik Cetok (sentak) pula boleh dilakukan dengan cara menarik tabung dasar dengan cepat oleh jari ke telapak tangan kanan. Nantinya, angklung akan menghasilkan bunyi sekali yang disebut sebagai stacato. Teknik Tangkep pula hampir sama dengan teknik kurulung. Namun yang membezakannya adalah salah satu tabung ditahan sehingga tidak ikut bergetar.
 
 
Menurut Pak Yayan Udjo, ada empat jenis angklung yang perlu diketahui iaitu
Angklung Dogdog Lojor, Angklung Kanekes, Angklung Gubrag dan Angklung
Padaeng
 
Selain dihiburkan oleh pelbagai kesenian di sanggar ini, delegasi Selangor juga dibawa melawat ke sekitar kawasan Saung Angklong Udjo iaitu ke bangunan pentadbiran, bangunan pendidikan, ruang membuat angklung dan laion-lain lagi. Para delegasi berpeluang belajar dan meladeni usaha-usaha pembuatan alat muzik angklung secara komersial sehingga boleh dihantar ke seluruh dunia.
 
A group of people watching a performance

Description automatically generated 
Pengunjung menyaksikan persembahan budaya di Saung Angklung Udjo
 
Kemudian para delegasi Selangor dibawa ke sebuah ‘rumah makan’ (restoran) iaitu Restoran Mitra Sederhana Pasteur Masakan Padang yang berlokasi di Jalan Pelajar Pejuang 45 No. 64, Turangga, Kecamatan Lengkong, Kota Bandung, Jawa Barat untuk makan tengah hari. Sebaik usai solat Zuhur dan Asar secara jamak, delegasi Selangor di bawa ke Kawah Putih Ciwidey, terletak sekitar 2.5 jam perjalanan dari kota Bandung. Kawah Putih Ciwidey adalah sebuah tasik semulajadi yang muncul akibat letusan Gunung Berapi Patuha.
 
Menurut Dadang Dabot, Gunung Patuha dikatakan datang dari nama ‘Pak Tua’. Gunung Patuha ini pada masa dahulu merupakan kawasan larangan yang amat menakutkan penduduk setempat yang dikatakan berhantu dan tidak berani dimasuki oleh penduduk. Haiwan seperti burung yang terbang di atasnya juga dikatakan boleh mati secara tiba-tiba.
 
Misteri Kawah Putih hanya terjawab pada tahun 1837 apabila seorang ahli botanikal Belanda iaitu yang bernama Dr. Franz Wilhelm Junghuhn masuk ke kawasan tersebut dan menemui sebuah tasik yang merupakan tempat letusan lava gunung berapi beserta belerang. Belerang inilah yang menyebabkan haiwan dan burung-burung tidak mahu masuk ke kawasan ini.
 
A wooden rack with sticks

Description automatically generated with medium confidence 
 Saung Angklung Udjo juga menghasilkan pelbagai jenis angklung
 
Sewaktu dijajah Belanda dan Jepun, kawah ini merupakan kawasan pengumpulan sulfur yang penting buat kedua-dua kuasa tersebut. Yang menariknya, tasik yang cukup luas ini mempunyai air berwarna putih kehijauan dan dikelilingi tanah bercampur belerang. Warna ini terhasil hasil dari campuran batu kapur dan belerang, dan warna air ini dikatakan bakal berubah-ubah mengikut suhu udara dan cuaca. Di dalam suhu yang sejuk (sekitar 8-22 celcius) tasik dengan air yang tenang ini cukup memukau dan seakan-akan sebuah tasik misteri, ditambah pula dengan iringan alat muzik tradisi dari pemuzik tempatan.
 
Di sini, agak sukar menemui binatang hidup kecuali beberapa spesies burung hantu. Oleh kerana suasananya yang pelik, putih dan luas, kawasan ini sering menjadi tempat tumpuan pengantin mengadakan ‘photo-shoot’ dan pengunjung luar melihat fenomena alam yang sukar dijumpai di tempat lain di Asia Tenggara.
 
Kata Dadang Dabot, oleh kerana kedudukannya yang agak jauh dari Bandung, beliau menasihatkan agar tidak memandu sendiri ke sini tetapi sebaliknya menggunakan khidmat tourist guide agar tidak bermasalah mencari kerana kawasan ini jalannya berliku-liku. Selain itu, dengan khidmat pemandu, kita juga mungkin boleh dibawa ke tempat lain seperti kawasan tanaman strawberi, kolam air panas atau ke tasik di bawah Gunung Patuha yang mempunyai sebuah kawasan yang dipanggil Pulau Cinta. Oleh kerana gas sulfur tidak baik untuk kesihatan, para delegasi Selangor dinasihatkan tidak tinggal melebihi 15 minit di sini.
 
 
 Suasana di Situ Patenggang
 
Dalam perjalanan pulang dari Kawah Putih, bas yang ditumpangi degelasi Selangor singgah di Situ Patenggang, jaraknya sekitar 10 minit saja dari Kawah Putih. Situ Patenggang adalah sebuah tasik berpanorama amat indah. Di Situ Patenggang ini terdapat sebuah batu yang bernama ‘Batu Cinta’. Menurut Dadang Dabot, Situ Patenggang berasal dari Bahasa Sunda iaitu ‘situ’ yang bererti tasik dan ‘patenggang’ atau dalam Bahasa Sunda disebut ‘pateangan-teangan’ yang bererti saling mencari. Ternyata asal muasal nama Situ Patenggang ini juga berasal dari cerita rakyat, yang mengisahkan cinta antara Ki Santang dan Dewi Rengganis yang telah terpisah lama. 
 
A blue water in a mountain

Description automatically generated with medium confidence 
 Kawah Putih Ciwidey
 
Lantaran cinta mereka yang teramat dalam, kedua-duanya tidak henti saling mencari antara satu sama lain, sehingga pada akhirnya mereka dipertemukan di sebuah batu besar yang kini dinamakan ‘Batu Cinta’ oleh masyarakat.
 
Sekian lama terpisah membuatkan kedua-duanya berpegang teguh tidak akan berpisah lagi, sehingga akhirnya Dewi Rengganis meminta kepada Ki Santang supaya dibuatkan sebuah tasik (situ) dan juga sebuah perahu. Dewi Rengganis ingin menghabiskan seluruh waktunya belayar bersama dengan Ki Santang.
 
Namun sehingga sekarang tidak ada yang mengetahui kewujudan perahu yang digunakan untuk belayar Ki Santang dan Dewi Rengganis. Menurut Dadang Dabot, kononnya perahu itu kini telah berubah menjadi sebuah pulau yang berbentuk hati, yang dipercayai masyarakat bahawa pulau tersebut dulunya adalah perahu yang dibuat oleh Ki Santang. Pulau yang kini bernama Pulau Asmara atau sering disebut sebagai Pulau Sasaka, menurut rakyat setempat, bila sepasang kekasih datang ke Batu Cinta dan mengelilingi Pulau Asmara maka cinta mereka akan abadi.
 
Jelas Dadang Dabot, Situ Patenggang ini berada di ketinggian lebih dari 1,600 meter di atas permukaan laut. Tasik ini juga memiliki keluasan sekitar 45,000 hektar. Yang penting, Situ Patenggang memiliki fasiliti yang amat memadai kerana tempat ini dikelola dengan baik oleh Kerajaan Indonesia. Antara fasiliti yang terdapat di sini ialah rumah makan dan gazebo agar pengunjung dapat beristirahat dengan nyaman, penginapan untuk setiap pengunjung yang ingin bermalam di sini juga surau agar pengunjung dapat beribadah dengan selesa. 
 
 
Di Kebun Strawberi Ciwidey, pengunjung boleh memetik sendiri buah strawberi sesuka hati. Tetapi buah strawberi yang dipetik harus dibayar, harganya relatif murah iaitu berkisar antara Rp.30.000-Rp.50.000 sekilogram
 
Dari Situ Patenggang, delegasi Selangor singgah di Kebun Strawberi Ciwidey pula. Kebun Strawberi Ciwidey ini sangat sesuai untuk melepaskan penat dan gerah setelah menyedut udara kota Bandung yang penuh dengan polusi, pemandangan yang indah dan udaranya yang sejuk serta segar, membuatkan tubuh berasa tenang dan nyaman.
 
Di Kebun Strawberi Ciwidey ini juga kita boleh memetik sendiri buah strawberi sesuka hati. Tetapi buah strawberi yang dipetik harus dibayar, harganya relatif murah iaitu berkisar antara Rp.30.000-Rp.50.000 sekilogram. Tentu harga itu sebanding dengan pengalaman yang berjaya digarap. Selain memetik buahnya, kita juga dapat belajar bagaimana cara menanam strawberi yang baik dan benar agar hasilnya bagus dan berkualiti.
 
Menurut Dadang Dabot, di Kebun Strawberi Ciwidey ini juga terdapat berbagai tempat untuk mengolah strawberi menjadi berbagai makanan seperti dodol strawberi, manisan strawberi, selai strawberi dan juga keropok strawberi.
 
 
Pekebunan Teh Rancabali
 
Dari perkebunan strawberi, singgah pula di Pekebunan Teh Rancabali. Di perkebunan ini delegasi Selangor disajikan pemandangan menawan dengan hamparan pokok-pokok tehnya yang kelihatan sangat indah dan sejuk di mata. Permaidani hijau mulus tersusun oleh deretan rapat pokok teh yang sangat luas ini juga dapat dilihat dari atas bas dalam perjalanan delegasi Selangor menuju ke Situ Patengan.
 
Tanaman teh milik Perkebunan Teh Rancabali ini berada di tanah yang bergelombang indah di pinggiran jalan antara Kawah Putih dan Situ Patengan. Melihatnya saja tidak cukup, oleh kerana itu Dadang Dabot mengarahkan pemandu bas supaya memberhentikan bas yang dipandunya di sini untuk memberi peluang kepada para delegasi Selangor melihat dan menikmati pemandangannya dari jarak yang lebih dekat.
 
Secara peribadi, saya selaku penulis memang sudah lama tidak menyedut udara segar di daerah perbukitan yang hamparan perkebunan tehnya juga kelihatan sangat indah seperti di Cameron Highlands, namun pemandangan Perkebunan Teh Rancabali ini rasanya lebih mengesankan buat saya. Ada sentuhan tangan kreatif yang membuatkan tanaman teh di perkebunan ini kelihatan begitu menarik perhatian.
 
 
 Sepanjang jalan berliku terdapat banyak perkebunan teh
 
Deretan pokok teh Perkebunan Teh Rancabali yang terletak tepat di pinggir jalan terhampar luas dengan pucuk hampir rata. Berbeza dengan beberapa perkebunan teh yang berada di Cameron Highlands, Perkebunan Teh Rancabali ini umumnya berlokasi di kedudukan yang lebih rendah dari pinggiran jalan. Susunan pokok teh yang rapat dan rapi, menjadikannya seperti hamparan luas permadani hijau segar yang sangat sejuk dan nyaman dipandang. Memetik daun teh dan membelai pokok teh mungkin merupakan perkara yang berbeza, dan boleh juga dilakukan oleh orang yang berbeza.
 
Memandang hamparan hijau Perkebunan Teh Rancabali ini layaknya seperti sedang menikmati seni instalasi yang sesungguhnya. Di sana-sini terdapat pokok-pokok kecil yang ikut memberi suasana pada pemandangan. Sayang sekali hampir tidak ada pokok besar yang boleh dijadikan sebagai tempat berteduh.
 
 
 Pucuk-pucuk teh sedang dipetik
 
Pucuk-pucuk pokok teh dengan daun yang berwarna hijau kekuningan segar, berketinggian hampir merata mengikuti kontur tanah yang bergelombang. Dari dekat kelihatan daun-daun teh itu tidak ada yang terpotong separuh atau sebahagian untuk membuat permukaan pokok teh kelihatan rata. Tetapi dari jarak agak jauh, ketinggian setiap pokok teh itu kelihatan hampir sama. Lintasan jalan yang dibuat untuk para pemetik daun teh di Perkebunan Teh Rancabali ini kelihatan seperti sebuah mozaik yang menawan pada bentangan baldu hijau pepohonan teh. Perkebunan Teh Rancabali yang dikelilingi perbukitan hijau yang tinggi, menambahkan keindahan pemandangan.
 
Keindahan mozaik Perkebunan Teh Rancabali seperti inilah yang amat menggoda para delegasi Selangor untuk sejenak berhenti dan mengambil gambar sewaktu melihatnya ketika melintas di jalanan berhampirannya. Lalu lintas yang tidak begitu sesak, serta adanya bahu jalan yang agak luas, membuatkan delegasi Selangor boleh berhenti di mana saja dengan tenang.
 
A group of people standing in a garden

Description automatically generated 
 Kebun Strawberi Ciwidey
 
Dari sepotong ruas jalan kelihatan beberapa buah air terjun kecil bertingkat di tepian deretan pokok-pokok teh di Perkebunan Teh Rancabali. Air terjun itu berada agak jauh di sebelah kanan jalan yang menuju ke Situ Patengan. Menurut Dadang Dabot, di sana juga terdapat penginapan yang boleh disewa oleh pengunjung jika hendak berwisata di seputaran kawasan Ciwidey yang memiliki sejumlah tempat wisata yang sangat mempersonakan.
 
Selepas lebih kurang setengah jam di kawasan Perkebunan The Rancabali, delegasi dibawa pula ke Glamping Lake Side. Menurut Dadang Dabot, Glamping Lake Side merupakan sebuah kawasan berkonsep resort wisata di Ciwidey terbaru dan lengkap dengan aneka fasiliti dan juga pakej kegiatan wisata moden berasaskan alam di dalamnya. Objek wisata di Ciwidey ini mulai dikenali oleh umum pasca soft opening salah satu fasiliti restonya tanggal 7 Julai 2016 lalu. Masih sangat baru, tetapi melihat daya tarik wisatanya, lokasi wisata ini dipercayai akan menjadi destinasi wisata baru yang sangat menarik untuk dikunjungi.
 
A boat with people on it

Description automatically generated 
Kapal layar kayu di Glamping Lake Side
 
Glamping Lake Side Rancabali sebenarnya boleh dikatakan hampir sama dengan salah sebuah resort di Bandung Selatan iaitu Ciwidey Valley Resort atau tempat wisata yang baru iaitu Glamping Legok Kondang. Lokasinya yang berada di hujung Ciwidey, tepatnya berada di salah sebuah tempat wisata alam Bandung yang terkenal iaitu Situ Patenggang, membuatkan akses ke lokasinya ini sangat mudah untuk dijangkau, sama ada dengan kenderaan umum mahupun dengan kenderaan peribadi.
 
Menurut Dadang Dabot lagi, lokasi wisata Glamping Lake Side Rancabali Ciwidey tepat berada di dataran tinggi Pergunungan Ciwidey, membuatkan para pengunjung berasa takjub dan terpesona dengan molek alam yang tersendiri dan semulajadi daerah ini. Kapal kayu yang dibina di Rancabali Ciwidey ini juga boleh dikatakan unik, kerana ia mampu memikat sesiapa saja yang datang ke sini, lantaran kedudukan bangunan restorannya berbentuk kapal dan tepat berada di atas bukit di pinggir Situ Patenggang.
 
Jika kita pernah membaca kisah kapal Nabi Nuh semasa banjir besar yang akhirnya terdampar di sebuah puncak gunung, maka lokasi Glamping Lake Side ini juga hampir sama. Berlokasi di dataran tinggi Pergunungan Ciwidey yang di sekelilingnya dibalut hamparan hijau perkebunan teh serta air terjun Situ Patenggang yang luas dan berwarna jernih.
 
A restaurant with a pond and a bridge

Description automatically generated with medium confidence 
 Sindang Reret Hotel & Restaurant di Chidiwey
 
Menurut Dadang Dabot, bangunan restoran berbentuk kapal layar kayu ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian dalam yang terdiri dari dua tingkat ruangan restoran. Untuk bahagian dalam tingkat pertama adalah tempat untuk memesan makanan dengan kawasan makan tertutup. Manakala tingkat dua adalah juga kawasan makan, tetapi ada indoor dan outdoor-nya.
 
Sementara bahagian luar ruangan tingkat satu yang lokasinya tepat berada di bahagian dek bangunan resto berbentuk kapal layar ini ternyata merupakan lokasi kegemaran para pengunjung untuk menikmati hidangan sambil bebas menikmati indah dan suasana alam sekitar Clamping Lake Side Rancabali Ciwidey.
 
Menurut Dadang Dabot lagi, menu makanan dan minuman yang tersedia di sini ternyata sangat beragam, mulai dari aneka makanan khas barat, Asia cuisin hingga kepada makanan Indonesia. Makanan atau hidangan yang boleh dicuba di sini ialah sandwich beef teriyaki, atau makanan khas Bandung yang juga tersedia untuk para pengunjung. 
 
A lake surrounded by trees and buildings

Description automatically generated 
Glamping Lake Side menjanjikan daya tarikan yang tersendiri
 
Lebih kurang sejam berada di Clamping Lake Side Rancabali Ciwidey, delegasi Selangor dibawa ke sebuah restoran makanan Sunda iaitu Sindang Reret Hotel & Restaurant di Chidiwey. Menurut Dadang Dabot, masakan Sunda merupakan antara makanan yang paling popular di Indonesia. Makanan Sunda dicirikan oleh kesegarannya; lalab yang terkenal dimakan dengan sambal dan juga karedok menunjukkan kesukaan Sunda terhadap sayuran mentah segar. Tidak mempunyai rasa yang berempah dan pedas, diiringi dengan santan dan kari seperti masakan Minangkabau, masakan Sunda memaparkan rasa yang mudah dan jelas; dari rasa masin, masam segar, manis sederhana, hingga pedas.
 
Sambal belacan atau terasi ialah bahan perasa yang paling penting dan paling lazat dalam masakan Sunda, dan dimakan bersama dengan lalab atau tauhu dan tempe goreng. Sayur asem dan juga sup sayuran adalah hidangan yang paling popular dalam masakan Sunda. Satu lagi sup popular ialah Soto Bandung, sup lembu dan lobak putih, dan sup mi kocok dengan daging lembu dan kikil.
 
A group of houses by a lake

Description automatically generated 
 Antara resort penginapan yang terdapat di Glamping Lake Side
 
Ikan air tawar seperti ikan kap, kaloi, tilapia dan keli biasanya sama ada dibakar atau digoreng dan biasanya disajikan dengan sambal atau kicap manis. Orang Sunda telah mengembangkan kesukaan mereka kepada makanan laut masin. Ikan masin, ikan bilis dan sotong masin popular dalam diet harian Sunda. Cara memasak pais atau pepes yang menggunakan daun pisang sebagai bungkusan makanan juga biasa dalam masakan Sunda. Antara lain, pais lauk emas atau pepes ikan kap adalah hidangan pepes kegemaran.
 
Ayam biasanya sama ada digoreng atau dipanggang, juga disajikan dengan sambal atau kicap manis. Bakakak hayam adalah ayam bakar gaya Sunda. Kadang-kadang ayam juga boleh dibuat sebagai pepes atau sup. Daging seperti daging lembu, kerbau, kambing, atau bebiri boleh diperap dengan campuran rempah dan gula kelapa dan digoreng untuk membuat empal gepuk, ditaburi dengan bawang goreng. Daging lembu dan kentang kadang-kadang dibakar dalam kicap manis dan rempah sebagai semur daging. Hati lembu dan jering juga boleh dibuat sebagai semur. Daging kambing dan bebiri juga boleh dibuat sebagai sate gaya Sunda, seperti sate maranggi. Gulai kambing dan empal gentong kambing dan kari organ juga popular.
 
A plate of food with vegetables

Description automatically generated 
Nasi timbel
 
Jika orang Jawa telah mengembangkan kesukaan mereka dalam bentuk tempe, orang Sunda pula telah mengembangkan oncom, kedua-duanya adalah produk yang ditapai tetapi dengan jenis kulat dan kacang yang berlainan. Tempe adalah dari kacang soya sementara oncom adalah dari kacang tanah. Sunda telah membangunkan kaedah penapaian untuk mencipta bahan makanan yang berbeza. Fermentasi digunakan sama ada untuk membuat makanan yang difermentasi seperti oncom, membuat sos seperti taucu (makanan dari masakan Cina Indonesia), atau makanan ringan seperti peuyeum yang merupakan tapai dari beras atau ubi kayu.
 
Menurut Dadang Dabot, di tempat yang menghidangkan masakan Sunda, lazimnya seseorang itu akan makan dengan tangan. Mereka biasanya menyediakan kobokan, iaitu semangkuk air dengan hirisan limau di dalamnya untuk memberi bau segar. Semangkuk air dengan limau ini tidak boleh diminum, bagaimanapun; ia digunakan untuk membasuh tangan sebelum dan selepas makan.
 
A bowl of food on a table

Description automatically generated 
 Karedok
 
Restoran tradisional Sunda selalunya menampilkan gaya makan tradisional yang dipanggil lesehan; iaitu tempat makan dengan ruang duduk di atas lantai ditutup dengan tikar jerami atau buluh. Hidangan juga dihidangkan di atas meja berkaki pendek atau terus disajikan di atas tikar. Gaya makan ini agak serupa dengan gaya makan tatami tradisional Jepun. Restoran tradisional Sunda di kampung dan luar bandar juga mungkin mempunyai restoran gaya saung. Ia mempunyai beberapa astaka makan kecil yang selalunya akan dibina berhampiran kolam ikan air tawar. Kolam ikan mengandungi ikan air tawar segar seperti ikan kap dan kaloi, yang boleh dipilih dan dipesan oleh pelanggan untuk dimasak dengan segera.
 
Selepas makan malam di sini, delegasi Selangor terus ke hotel penginapan untuk berehat.

A plate of food with a spoon

Description automatically generated 
Gepuk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA