SMAHADZIR
SEBAIK sahaja gagasan atau konsep ini dijelma dan
disebarluaskan di pelbagai dada media massa perdana negara, pelbagai peringkat
masyarakat bercakap tentang 1Malaysia. Di mana-mana sahaja ianya diperkatakan.
Ada pelbagai pandangan, spekulasi, pendapat, argumentasi, dijelmakan. Ada yang
sengaja memutarbelitkan pengertiannya yang sebenar untuk kepentingan tertentu
dan menyedapkan halwa telinga.
Akibatnya sehingga kini masih ramai
warganegara yang keliru dan tertanya-tanya apakah definasi sebenarnya gagasan
1Malaysia terutamanya generasi muda termasuk para pelajar sekolah dan
universiti. Tidak kurang juga kakitangan kerajaan sendiri yang masih ramai lagi
belum faham akan makna gagasan 1Malaysia sebenarnya yang seharusnya sudah fasih
dalam diri masing-masing.
Sebagaimana yang sudah mangli ditegaskan oleh
YAB Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep atau
formula baru dan matlamat akhirnya ialah perpaduan nasional yang juga merupakan
wawasan utama semua Perdana Menteri negara kita terdahulu yang telah
diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih
lima dekad negara
merdeka.
Dalam erti kata yang lain, gagasan 1Malaysia
adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang
berbilang kaum, berbilang budaya, berbilang kepercayaan, berteraskan beberapa
nilai penting yang seterusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Jika
dikaji secara mendalam, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja
menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti. Begitulah yang harus
difahami oleh kita sebagai rakyat Malaysia terhadap gagasan terbaru 1Malaysia
cetusan minda YAB Datuk Seri Najib Tun Razak ini.
Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang
berpendidikan dan terpelajar, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina
bangsa dan negara. Pemimpin yang dapat mengkosepsikan satu amalan biasa di
dalam masyarakat bertujuan untuk menjadikannya satu plan tindakan yang konkrit
untuk dilaksanakan sebagai agenda negara, adalah pemimpin yang berwibawa dan
dapat mengorak langkah untuk menyusun satu strategi bagi membangunkan bangsa
dan negara dalam mencapai kemajuannya.
Di samping mengkonsepsikan sesuatu amalan yang dianggap biasa dan mudah
di dalam masyarakat itu, maka pemimpin tersebut juga dapat menginstitusikan
konsep tersebut di dalam satu visi dan gagasan yang lebih konfrehensif untuk
menjadi agenda perjuangan bangsa. Maka pemimpin tersebut adalah merupakan pemimpin
yang cemerlang. Hal inilah yang saya rasa menjadi inspirasi dan pandangan
pemimpin kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika merangka satu gagasan
perjuangan yang hendak dilaksanakannya seperti gagasan 1Malaysia ini.
Gagasan 1Malaysia merupakan satu konsep yang dikonsepsikan oleh YAB
Perdana Menteri untuk menjadikannya satu tindakan strategik dalam mewujudkan
kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya.
Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai yang menjadi
teras gagasan ini, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan,
kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai ini semua
merupakan amalan baik yang dilaksanakan oleh masyarakat kita selama ini, sama
sahaja seperti amalan tolong menolong dan hormat menghormati yang merupakan
budaya bangsa Malaysia di kalangan semua kaum dan etnik sejak sekian lama.
Tidak dapat dinafikan bahawa gagasan 1Malaysia merupakan satu usaha yang
teratur untuk mengumpul segala nilai dan amalan baik agar dapat difahami oleh
semua kalangan dalam masyarakat Malaysia, dan seterusnya dapat menghayati dan
merealisasikannya dengan penuh kesedaran demi kepentingan bersama. Generasi
yang baru mungkin tidak memahami perjuangan mencapai kemerdekaan dan
pengisiannya oleh Perdana Menteri yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman
Putra bersama-sama dengan rakan seperjuangannya Tun Tan Siew Sin dan Tun
Sanbanthan. Mungkin ramai orang muda sekarang tidak mendalami falsafah
perjuangan ketiga-tiga pemimpin yang ketika itu mewakili tiga kaum terbesar di
tanah air kita, dan yang benar-benar memahami sensitiviti kaum masing-masing,
sehingga mereka bertiga terpaksa mengamalkan dasar toleransi yang cukup tinggi
untuk menjaga kesepaduan kaum dan bersama-sama membangunkan bangsa dalam semua
aspeknya.
Gagasan 1Malaysia diwujudkan berdasarkan kepada konsep keadilan kepada
semua. Ini bermakna tidak ada kumpulan yang akan dipinggirkan, dan bantuan
serta peluang akan diberikan berdasarkan kepada keperluan dan merit. Namun demikian,
hak yang termaktub dalam Perlembagaan tetap akan dipatuhi dan pembangunan pada
tahap yang berbeza bagi kumpulan yang berlainan harus diambil kira. Prinsip
‘Rakyat Didahulukan’ bermakna kerajaan akan menumpukan perhatian kepada bidang
yang sangat diperlukan dan dikehendaki oleh rakyat dan kerajaan akan
mengagihkan sumber yang terhad lebih kepada bidang-bidang itu.
Bagaimanapun, kerajaan akan mengimbangi keperluan jangka masa pendek
dengan membuat pelaburan dalam bidang yang akan mendatangkan kesejahteraan
dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Dengan ‘Pencapaian
Diutamakan’, satu tahap baru telah ditetapkan bagi ketelusan dan
kebertanggungjawaban kerajaan. Keberhasilan yang ketara yang dapat dilihat dan
dirasai oleh rakyat dan disampaikan dengan serta merta adalah diperlukan.
Kita harus faham bahawa dalam semua perjuangan untuk kesepaduan dan
keamanan, terutamanya di dalam negara kepelbagaian kaum dan keturunan,
masing-masing kaum tentulah seharusnya sanggup berkorban demi kesejahteraan dan
perdamaian, dan menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh sedar untuk menjaga
kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan untuk satu kaum yang tertentu.
Bidang-bidang keberhasilan negara yang diinstitusikan untuk mencapai matlamat
1Malaysia juga merupakan satu pelan tindakan yang akan dijalankan bagi mencapai
matlamat gagasan tersebut, terutamanya apabila telah dilibatkan beberapa
kementerian yang tertentu untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan tugas
masing-masing dalam merealisasikan matlamat tersebut.
Yang penting bagi rakyat ialah memahami hakikat bahawa segala sesuatu
yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan perundangannya masih tetap
kekal terpakai sebagai sesuatu yang telah diterima oleh semua rakyat. Demikian
juga dengan beberapa konsep, seperti kesamarataan, keadilan, hak istimewa,
status Raja berperlembagaan dan sebagainya haruslah ditafsirkan dalam konteks
yang betul dengan fakta walaupun gagasan 1Malaysia kelihatannya boleh
dimengertikan sebagai sesuatu yang mutlak dan mengatasi peruntukan Perlembagaan
dan undang-undang. Gagasan 1Malaysia adalah merupakan satu institusi dan
mekanisme pelan tindakan untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang
bersatu.
Sesungguhnya kita berbeza etnik, bahasa, warna kulit, agama dan cara
hidup tetapi kita disatukan di bawah langit Malaysia dan sedang berdiri di
buminya yang makmur. Demi Malaysia kita sanggup melupakan perbezaan untuk
berkongsi nilai yang serupa iaitu kedamaian dan kemakmuran. Di mana bumi
Malaysia dipijak di situlah langit Malaysia dijunjung. Kita berbeza dalam
banyak perkara tetapi kita berkongsi Malaysia yang satu. Di sinilah kita
mencari rezeki, beribadat, belajar dan menikmati hidup dengan aman dan
tenteram. Di atas tanah Malaysia nan satu ini kita 1Malaysia hanya ingin hidup
aman, bahagia dan sejahtera. Tiada sebarang peperangan dan tiada sebarang
kekacauan.
Lantaran itu kita harus sedar dan meyakini
bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah satu pendekatan yang terpisah daripada
dasar-dasar kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada
pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin
kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi
rakyat dan negara. Lantaran itu gagasan 1Malaysia dijelmakan sebagai satu
formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status
negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari
rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.
Jika ‘Bangsa Malaysia’ yang diilhamkan melalui
Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka gagasan 1Malaysia
adalah penunjuk haluan ke arah matlamat tersebut. Perpaduan yang digambarkan
oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di
negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan digantikan
dengan satu identiti nasional yang sama.
Gagasan 1Malaysia juga sangat berbeza daripada
konsep ‘Malaysian Malaysia’ kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada roh
Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat
atau tersirat. Gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah
mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep
ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakat oleh
bapa-bapa negarawan suatu ketika dulu. Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan
menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya
sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
Gagasan 1Malaysia menekankan sikap
‘penerimaan’ di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima
keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan
saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah
peningkatan ketara daripada sikap toleransi semata-mata. Apa yang menjadi asas
gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum dan ini bermaksud
nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan
dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum
yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan
peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan
yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Gagasan 1Malaysia merupakan penerusan agenda
membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan
terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara
kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka
urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
Formula 1Malaysia yang digagaskan akan
terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan Teras-Teras Perpaduan,
manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-nilai Aspisari. Teras-teras
perpaduan ini didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian
daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti
hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata
serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.
Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan
elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya
maju dan berjaya. Elemen-elemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam
melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi
menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan
meneroka peluang-peluang baru serta meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada
yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan
dasar negara.
Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi
kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang
mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan
nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan masyarakat Malaysia yang berwibawa,
dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang
maju dan berjaya.
Dalam melaksanakan komitmennya terhadap
rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan’ sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia. Tema ini membawa
maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia,
kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting
oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua
kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat
memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam
meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi
keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.
Sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI)
akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua
menteri. Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk
memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan menteri berkenaan akan memberi
penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan
dilaksanakan bagi menterjemah hasrat kerajaan. Segala inisiatif-inisiatif ini
diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan
pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada
kualiti hidup rakyat Malaysia.
NKRA telah diidentifikasi sebagai bidang utama bagi negara. Ianya
mewakili sebuah gabungan keutamaan jangka masa pendek untuk menangani tuntutan
terdesak rakyat dan tidak kurang pentingnya isu jangka masa panjang yang
memberi kesan kepada rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan sekarang. Untuk
menunjukkan bagaimana pentingnya NKRA itu, ianya merupakan tanggungjawab
bersama Kabinet, dengan akauntabiliti untuk menyampaikan keberhasilan terletak
pada menteri peneraju, yang mana mereka ini telah dilantik dan akan dipantau
secara formal oleh Perdana Menteri. Kewujudan NKRA bukan bererti bidang lain
tidak akan mendapat perhatian. Bidang-bidang yang lain ini akan diliputi di
peringkat Menteri dan disebut sebagai MKRA.
Setiap menteri yang berkaitan akan dipertanggugjawabkan untuk
menyampaikan keberhasilan masing-masing. Zaman ‘kerajaan maha mengetahui’ telah
berlalu. Bagi memastikan yang kerajaan mempunyai ukuran yang tepat dan
merasakan bidang apa yang perlu diutamakan untuk rakyat, berbilang sumber input
telah dipertimbangkan termasuk undian pendapat rakyat, kaji selidik persepsi,
analisis media (alternatif dan aliran perdana), dialog dengan ahli akademik dan
pemimpin dari sektor awam dan sektor swasta.
Selepas dibincangkan dengan cermat oleh Kabinet, enam NKRA dan menteri
peneraju masing-masing telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika menyampaikan
ucapan beliau semasa meraikan 100 hari dalam pentadbiran pada 11 Julai 2009,
iaitu: mengurangkan jenayah (diterajui oleh Menteri Dalam Negeri), membanteras
rasuah (diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bahagian
Undang-undang), mempertingkatkan pencapaian pendidikan (diterajui oleh Menteri
Pelajaran), mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah
(diterajui oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat),
mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar (diterajui oleh Menteri Luar
Bandar dan Wilayah) dan memperbaiki pengangkutan awam bandar (diterajui oleh
Menteri Pengangkutan).
Di atas segalanya, 1Malaysia ‘Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ diyakini akan menjana satu transformasi
ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang
utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia. Kita
harus sedar bahawa matlamat perpaduan kebangsaan tidak akan mampu
direalisasikan jika pendekatan ke arah pencapaiannya tidak berpijak di bumi
nyata dan bersifat utopia. Mana mungkin juga ia akan berjaya jika mengabaikan
sensitiviti dan realiti kontemporari. Sebenarnya, dalam sejarah ketamadunan
manusia telah acap kali menyaksikan bagaimana niat baik sahaja tanpa
kebijaksanaan yang bersandar kepada realiti telah membuka laluan kepada
ketidakadilan.
Dalam aspek
pengurusan kemajmukan kaum seperti di Malaysia yang menuntut hemah dan hikmah
yang tinggi, seandai dan sekiranya kita tidak berwaspada, sudah tentu akan muncullah
sama ada satu suasana rasisme di mana kaum minoriti ditindas oleh kaum majoriti
ataupun situasi aparteid di mana kaum minoriti pula akan menindas kaum
majoriti. Lantaran itu, kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib kini telah
mengangkat gagasan 1Malaysia sebagai paksi pentadbiran. Gagasan ini ditunjangi
oleh beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang
berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan
nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan
keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.
Sejarah telah
mencatatkan bahawa semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah
air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan
tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana semua pihak sedar bahawa tanpa
perpaduan yang mantap dan jitu tidak mungkin segala matlamat dan wawasan
nasional akan dapat diterjemahkan.
Mantan Perdana
Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah mengasaskan penubuhan Parti
Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah negara bagi
mencapai perpaduan kaum di bidang politik. Terbukti apabila masyarakat pelbagai
ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat
mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling
curam dan menyelami lautan yang paling dalam. Perkara ini terbukti apabila
negara mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia
pada tanggal 16 September 1963.
Kendati begitu
tragedi hitam 13 Mei 1969 pula telah menyentak hati dan perasaan rakyat
Malaysia kepada realiti bahawa penyuburan perpaduan nasional tidak boleh
dianggap sebagai usaha bermusim sebaliknya ia memerlukan komitmen yang
berterusan. Bertitik tolak dari situlah, Allahyarham Tun Razak selaku Perdana
Menteri Malaysia Kedua telah pun meluaskan konsep kerjasama antara kaum melalui
penubuhan Barisan Nasional termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan
penciptaan ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara. Usaha-usaha murni ini telah
dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa-prakarsa
ini telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr. Mahathir melalui konsep Bangsa
Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun
Abdullah melalui Misi Nasional.
Justeru, wajar
dipertegaskan di sini bahawa gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang
daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada
secara tersurat ataupun secara tersirat. Malahan Kerajaan kekal menjunjung
kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara
153, Bahagian 2 dan Bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan
Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah-gulana
atau menaruh syak wasangka ataupun bimbang bahawa gagasan ini akan terpesong
dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh negarawan-negarawan
kita suatu ketika dahulu.
Selanjutnya,
salah satu teras utama perpaduan adalah keadilan sosial berasaskan kepada
pengagihan yang saksama. Untuk hal ini dimanifestasikan, negara memerlukan
kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan dan dinamik. Lagipun, kekayaan tidak
boleh diagihkan jika kek ekonomi tidak tumbuh dan membesar. Lantaran itulah
baru-baru ini kerajaan telah membuat kemas kini dan penggubahan kepada
dasar-dasar bagi mendepani kemelut ekonomi global. Kerajaan mempunyai tiga
matlamat utama iaitu memastikan negara akan mengalami impak yang seminima
mungkin kesan kegawatan ekonomi global, berusaha untuk keluar dari kemelut
ekonomi dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas dan secara keseluruhan
membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami.
Bagi
memastikan matlamat negara untuk berubah dari negara berpendapatan menengah
tinggi kepada negara berpendapatan tinggi tercapai, maka kerajaan akan
melakukan pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif kepada
ekonomi negara berasaskan satu model baru ekonomi. Model baru ekonomi ini akan
menuas kreativiti, menuil inovasi serta menunjang nilai tinggi. Sehubungan
dengan itu sebuah majlis penasihat ekonomi telah dibentuk untuk menjayakan
hasrat pembentukan model baru ekonomi ini. Dalam mencapai matlamat ini kerajaan
akan menimbang semua opsyen termasuklah yang bersifat tidak konvensional dan di
luar kotak pemikiran lazim untuk diperhalusi.
Bak kata
pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka salah satu
inisiatif bagi menjayakannya ialah dengan melihat semula sistem pendidikan
negara dengan memasukkan elemen-elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan
nilai-nilai budaya tinggi. Langkah ini diharap akan dapat melahirkan guna
tenaga yang akan mampu menghadapi cabaran dan persaingan era ekonomi baru.
Kerajaan juga
dilihat begitu komited dengan mengambil langkah-langkah yang jitu bagi
merangsang pelaburan terus asing di dalam membantu merealisasikan model baru
ekonomi ini. Untuk menjayakan matlamat ini kerajaan telah menyemak kembali
dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang sedia wujud bagi memastikan
persekitaran pelaburan yang lebih kondusif.
Semoga gagasan ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’
ini dapat memberi manfaat kepada seluruh warganegara Malaysia. Marilah kita
bersama merealisasikan gagasan 1Malaysia sebagai wadah utama pembangunan negara
menuju tahap negara maju pada tahun 2020. Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan YAB
Perdana Menteri ini adalah sesuatu yang bertepatan dengan kehendak Islam. Sifat
kehidupan manusia yang diciptakan oleh Allah s.w.t secara berbeza keturunan,
etnik, budaya dan latar belakang secara alami adalah cabaran yang wajib manusia
laksanakan untuk mendekatkan diri antara satu sama lain. Manusia perlu
berkongsi aspirasi dan keperluan, dan sebahagian keperluan itu tidak terdapat
dalam semua orang, maka dari situlah proses perkenalan, perundingan dan persefahaman
menentukan arah yang perlu dilaksanakan. Hal ini adalah selaras dengan
kandungan Al-Quran, yang menjadi pegangan dan keyakinan utama masyarakat
Islam.
Kesimpulannya,
gagasan 1Malaysia adalah sebuah gagasan
yang dijelmakan sebagai prakarsa kesinambungan usaha pengukuhan perpaduan
nasional. Kita wajar bersyukur kerana dikurniakan Allah sebuah kerajaan yang
begitu bertanggungjawab terutama dalam usaha-usaha mengukuhkan perpaduan antara
kaum di negara kita dengan pelbagai gagasan.
Kendati apa
pun dasar dan program pembangunan yang telah digubal, semuanya telah mengarah
kepada cita-cita perpaduan merentas kaum dan wilayah sebagai satu integrasi
dalam kepelbagaian bangsa Malaysia. Apa yang jelas dengan tuntutan gagasan
1Malaysia ialah bukan sekadar batas fizikal dari sudut geografi dan demografi
bahkan ia merangkumi pengertian luas fikiran dan semangat yang menyeluruh.
Kesimpulannya,
untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia, sekalian rakyat haruslah beriltizam
untuk mendaki puncak-puncak yang baru, memecah tembok-tembok prasangka,
menyemai bibit-bibit persamaan dan mencipta ramuan-ramuan baru dalam satu saf
yang padu bagi membangunkan ‘baldatun
tayyibatun wa rabbun ghafur’ yakni sebuah negara aman makmur lagi dirahmati
Tuhan.
Rujukan:
1. Abdul Rahman Embong. (2001). Negara Bangsa:
Proses dan Perbahasan. Bangi, Selangor D.E.: Penerbit UKM [Universiti
Kebangsaan Malaysia].
2. Ahmad Fawzi Basri. (1987). Isu-isu Perpaduan
Nasional. Sintok, Kedah: Sekolah Pengajian Asasi UUM [Universiti Utara Malaysia].
3. Akhbar Utusan Malaysia. Kuala Lumpur: 13
Ogos 2009.
4. Atan Long. (1984). Pendidik dan Pendidikan. Kuala
Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
5. Awang Had Salleh. (1980). Pendidikan ke Arah
Perpaduan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
6. Berita “Wawasan 2020” dalam akhbar Utusan
Malaysia. Kuala Lumpur: 28 Februari 1991.
7. Fauzi, M. (1987). Isu-isu Perpaduan Nasional. Kuala
Lumpur: Penerbit Seasons.
8. Mahathir Mohamad. (1991). Melangkah ke Hadapan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
9. Miall, H., O. Ramsbotham & T. Woodhouse.
(1999). Contemporary Conflict Resolution. UK: Polity Press.
10. PPM [Pejabat Perdana Menteri]. (2009). Booklet
1Malaysia. Putrajaya, Malaysia: Pejabat Perdana Menteri.
11. Rita Sim. (2010). What it Takes to Make
1Malaysia a Success. Putra Jaya, Malaysia: PPM [Pejabat Perdana Menteri].
Shamsul Amri Baharuddin. (1990). Masyarakat Malaysia yang Membangun.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.