Sabtu, 23 Oktober 2010

KAEDAH MENULIS PUISI ATAU SAJAK

Saya banyak menerima panggilan telefon dari segelintir sahabat dan juga peminat-peminat saya agar menjelaskan kaedah menulis puisi moden atau sajak dalam facebook ini. Agak lama juga untuk saya menunaikan permintaan itu lantaran beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Antaranya ialah saya telah banyak mengendalikan bengkel penulisan puisi atau sajak ini di pelbagai tempat oleh pelbagai penganjur seperti Perpustakaan Negara, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Jabatan Kebudayaan, Kesenian & Warisan Selangor, Dewan Bahasa & Pustaka, Persatuan Penulis & Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan pelbagai lagi.

Justeru saya merasakan tidak berapa sesuai untuk diterangkan kaedah penulisan puisi moden atau sajak tersebut di sini. Kendati begitu, tidak sampai hati pula rasanya saya menghampakan sesama insan yang memerlukan ilmu ini dan saya terpanggil untuk berkongsi ilmu penggarapan puisi moden atau sajak ini dan berharap agar apa yang dipaparkan ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berminat.

Definisi Puisi Moden Atau Sajak

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai, ‘khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.

Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba lebih merupakan definisi dari sudut pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang penyair dan sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair dengan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.

Daripada penyair Inggeris di Barat pula, Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang. S.T. Coleridge, juga seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.

Masih banyak lagi definisi puisi yang dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi.

Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara Ringkas

Penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk ‘Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu pada 18 Januari 1913. Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya, mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan ekonomi dan politik.

Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi ‘O Sariku’, karya Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan disiarkan dalam majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah, ‘Keluh Kesah’, ‘Selalu Merayu’, ‘Tak Disangka-sangka’, ‘Pujukan Hati’, dan ‘Ibuku’. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.

Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden disusuri.

Persediaan Menulis Puisi

Seseorang yang hendak menulis puisi haruslah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya ramai penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain untuk tujuan memperluaskan kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mestilah sering menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan keterampilan dalam penulisan puisi. Untuk itu, dia juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia untuk menyendiri. Semua ini merupakan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan sebagai persediaan untuk seseorang itu menulis puisi.

Panduan Penulisan Puisi

Puisi yang bermutu ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini.

Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.
Struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi, dan politik.

Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah, dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.

Semoga serba sedikit ilmu yang dipaparkan ini dapat dimanfaatkan dan saya berharap kepada sesiapa saja yang berminat dalam bidang puisi moden dapat menghasilkan karya yang baik dan kaya dengan mesej untuk tatapan dan pemikiran masyarakat.

KAEDAH MENULIS CERPEN

Jika anda ingin menjadi seorang penulis cerpen, berikut ini adalah kaedahnya yang dapat saya paparkan secara ringkas. Namun saya rasa ianya padat dari segi isi dan penyampaian kerana bukan mudah untuk mendapatkan panduan menulis cerpen begini kerana kurangnya ruang yang diberikan oleh media dalam soal ini. Kaedah menulis cerpen juga selalunya disampaikan melalui bengkel penulisan yang dianjurkan oleh pelbagai organisasi penulisan dengan bayaran tertentu.

Dewasa ini bengkel penulisan cerpen amat digemari oleh golongan remaja dan boleh dikatakan bengkel-bengkel sebegini mendapat penyertaan yang amat menggalakkan dari golongan tersebut. Genre atau cerpen dalam kesusasteraan Melayu termasuk dalam kategori cereka, merupakan satu bidang yang popular. Terdapat lima genre atau bidang dalam kesusasteraan Melayu moden iaitu cerpen, drama, esei atau kritikan, novel dan puisi.

Cerpen ialah cerita berdasarkan fakta dicampur dengan imaginasi. Manakala sastera pula payah diberikan definisi yang universal, justeru sastera bukan sesuatu yang dijumpai tetapi sebuah nama yang diberikan kepada sesebuah karya tertentu dalam lingkungan budaya tertentu. Bagaimanapun boleh disimpulkan bahawa kesusasteraan ialah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Di dalamnya ada bahan yang indah, bahasa yang indah dan teknik penceritaan yang indah. Yang indah dalam kesusasteraan juga bukan hanya yang cantik di mata tetapi mempunyai nilai estatika.

Dengan ini cerpen ialah satu gabungan yang tidak seimbang antara pengalaman (realiti atau benar berlaku) dengan rekaan (imaginasi) pengarang. Panjangnya cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan. Oleh sebab makna dari segi istilah cerpen itu ialah cerita pendek maka ada yang menyebutkan panjang cerpen ialah sehabis meminum secawan kopi atau sehabis menghisap sebatang rokok.

APA YANG MESTI ADA DALAM KARYA SASTERA SEPERTI CERPEN?

Yang Pertama

Intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

Yang Kedua

Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail atau gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.

Yang Ketiga

Peristiwa atau persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.

Yang Keempat

Sesebuah cerpen ada teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya.

BENTUK CERPEN

Pertama

Mimesis atau peniruan iaitu meniru atau merakamkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ditambah dengan imaginasi pengarang.

Kedua

Cerpen beralasan iaitu mengadakan satu dasar atau alasan untuk mengubah bentuk biasa seperti menciptakan watak daripada makhluk asing.

Ketiga

Cerpen mimpi iaitu cerita seperti dalam mimpi, dengan sifat luar biasanya, perlambangan tertentu sehingga ada waktunya tidak boleh diterima akal.

TEKNIK PENCERITAAN CERPEN

Boleh dengan dialog untuk menghidupkan pemikiran. Dengan aksi pula cerita bergerak pada dasarnya, dengan perlukisan cerita bergerak dengan latar pilihannya dan pendedahan akan memberikan gambaran atau tema tertentu cerpen.

Ciri-Ciri Khas Cerpen (Cerpen Konvensional)

1. Singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan)
2. Ada adengan, watak, gerak.
3. Bahasa tajam dan menarik
4. Interpertasi pengarang kepada kehidupan
5. Dapat menimbulkan satu kesan
6. Menarik perasaan pembaca
7. Penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih
8. Ada cerita atau persoalan utama, watak utama, latar dan suasana

SIFAT-SIFAT PENULIS

Bagaimana Nak Menulis Karya Kreatif?

Penulisan kreatif seperti cerpen ini sebenarnya tidak dapat diajar. Pembimbing tidak dapat memberitahu seseorang bagaimana hendak menulis namun pembimbing dapat menerangkan bagaimana hendak menulis dengan lebih baik.

Yang Penting Penulis:

1. mestilah peka terhadap keadaan manusia dan berusaha memaparkan perasaannya.
2. mestilah cintakan kata-kata supaya frasa yang dicipta akan mengharukan pembaca.
3. mestilah meminati dunia penulisan dan mengasingkan diri dengan tulisan supaya dapat melihat apa yang baik dan yang buruk tentang tulisannya.
4. mestilah ada sikap yang teliti.
5. mestilah menjadikan tulisannya sebagai amalan harian, bukan hasil sekali skala.
6. mestilah menulis kerana mahu menulis bukan kerana sebab yang lain seperti kewangan misalnya.
7. mestilah berani menghadapi cabaran. Menggunakan karya yang ditolak sebagai dorongan untuk menulis dan bukan sebagai tanda dunianya telah kiamat.

Bagaimana Nak Menjadi Penulis?

Bakat

Bakat anugerah Allah yang sukar dilihat. Ada percanggahan pendapat oleh para pengarang mengenai hal ini. Contohnya : SN Keris Mas menyebutkan bakat sangat penting sementara SN A. Samad Said menyatakan bakat kurang penting tetapi usaha dan minat lebih penting.

Minat

Ada keinginan untuk menulis.

Rajin membaca

Hal ini diakui oleh ramai penulis seperti Anwar Ridhwan dan Khadijah Hashim. Pembacaan akan memberi idea untuk menulis persoalan yang lain. Pembacaan akan melibatkan pengamatan dan akan menimbulkan idea pertama.

Ada cita-cita untuk menjadi penulis

1. Hasrat atau harapan akan menjadi pendorong.
2. Rajin menulis

Fanatik Dan Taksub Kepada Guru

Banyak pihak melihat antara punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam terhadap akidah mereka. Bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang salah. Antara fenomena yang dapat dilihat ialah tidak ada lagi kesederhanaan (al-tawassut) sehingga mereka terdedah kepada ifrat atau tafrit, ghuluw atau tasahul. Ini semua jelas melalui cara mereka berfikir dan bertindak.

Al-wasat atau al-I’tidal adalah satu paksi yang telah membawa kecemerlangan kepada umat Islam dahulu. Apabila hilang ciri al-wasat itu, maka umat Islam terdedah kepada penambahan dan tokok tambah atau sebaliknya pengurangan.
Penambahan atau pengurangan ini adalah menjadi salah satu punca perpecahan umat Islam. Soalnya bagaimana satu umat itu boleh maju ke hadapan apalagi boleh memimpin umat Islam jika mereka sendiri berpecah belah. Mereka bermusuhan dalam perkara titik bengik sesama sendiri dan hilang kesederhanaan kerana rasa fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila ada orang yang mengambil kesempatan dari kejahilan orang ramai, dengan membawa ajaran sesat dan salah dan mempamerkan diri mereka sebagai ketua kepada sesuatu ajaran atas nama Islam, tarekat atau sebagainya.

Pengertian

Fanatik bermaksud; sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian yang biasanya berkaitan dengan keagamaan. Ia disamaertikan dengan taksub. Lawan bagi fanatik dan taksub ialah tasamuh dan toleransi; yang bermaksud lapang dada, luas fikiran dan sabar.

Melampau-lampau diistilahkan sebagai al-ghuluww, al-tanattu’ dan al-tashdid.
Sikap melampau bertentangan dengan sikap adil dan sederhana. Maksud firman Allah s.w.t: “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus). Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah 143)

Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahupun guru atau kumpulan adalah salah satu dari gejala melampau. Ia memberi gambaran kebekuan fahaman seseorang yang tidak mahu melihat maslahah ummah dan tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat sendiri dengan pendapat orang lain, bagi mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.

Taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat darinya sebagai jahil, bodoh, fasiq dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan. Ijmak semua ulama salaf dan khalaf, semua orang boleh diambil dan ditinggal pendapatnya melainkan Nabi Muhammad s.a.w.

Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat, apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan bid’ah, kufur, kafir dan keluar dari agama. Dalam tindakan secara kekerasan, fanatik dan taksub ini menjadi lebih bahaya, seperti mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah s.w.t., mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.

Fenomena ketaksuban juga boleh berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh, kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka sahaja. Ketaksuban ini boleh membawa kepada menghalalkan darah dan harta orang yang di luar jamaah, kerana telah dianggap murtad, kafir dan kufur.

Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap pra-sangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil. Selalunya ia ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t atau menangguhkan pelaksanaan syariat dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan manusia. Golongan ini akan melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam.

Golongan di atas sebenarnya keliru dan tidak boleh membezakan antara tugas pemerintah dengan tugas individu. Saidina Abu Bakar r.a. memerangi orang yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan tugas sebagai pemerintah. Pada peringkat individu mereka hanya perlu melakukan amr bil maaruf wa nahyu anil munkar. Mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya atas semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Bapa terhadap anak, majikan ke atas pekerjanya atau pemerintah terhadap rakyatnya.

Larangan

Beberapa maksud hadis cukup menjelaskan bahawa Islam tidak suka apa juga perkara yang melampau-lampau. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya dan al-Hakim pada Mustadraknya dari Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: ‘Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama’.

Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: ‘Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seseorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar ...’. (Riwayat Bukhari dan Nasaai)

Sikap fanatik dan taksub adalah dilarang oleh Allah s.w.t terhadap umat yang dahulu khasnya Ahli Kitab. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, “Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (Surah al-Ma’idah: 77 )

Antara perkara diingkari ialah bersikap keras bukan pada tempat dan masanya.
Sikap melampau diistilahkan dengan al-ghuluww, al-tanattu’ dan al-tashdid.
Sikap ini adalah bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti yang dituntut oleh Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah 143)

Sikap tasamuh dan berlapang dada hendaklah diutamakan terutamanya apabila berhadapan dengan mereka yang baru memeluk Islam atau berada di negara bukan Islam. Sifat kulli hendaklah diutamakan dari yang bersifat juz’i.

Begitu juga perkara pokok adalah diutamakan sebelum furu’. Allah memerintahkan hamba-Nya berdakwah secara bijaksana dan pengajaran yang baik seperti maksud Firman Allah s.w.t bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah an-Nahl 125)

Bersikap kasar dalam pergaulan dan kesat kata-kata adalah sangat dilarang.
Perkataan yang kesat dan sikap yang keras hanyalah digunakan dalam medan perang ketika menghadapi musuh. Ini dijelaskan melalui Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu, dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolongan).”

Awas Dengan Fanatisme Mazhab

Boleh saya katakan bahawa penangkapan Dr Asri (bekas Mufti Perlis) tidak berapa lama dulu menyerlah wujudnya satu lagi golongan yang bersifat fanatik mazhab yang selama ini berlindung di sebalik kuasa. Tetapi sebab kuasa berada di tangan mereka, mereka boleh bercakap apa sahaja bila di wawancara wartawan.

Saya kehairanan bila baca sebuah akhbar beberapa hari selepas penangkapan Dr Asri, seorang pegawai JAIS mengatakan bahawa penangkapan tersebut ada kaitannya dengan pemantauan akidah (saya ingin bertanya, akidah siapa yang sesat?)

Saya bukannya nak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi tak payahlah fanatik sangat sampai nak tuduh Mazhab Mujassimah (memang saya tak nafikan ada wahabi yang fanatik yang menyesatkan ramai orang) tetapi kalau kita juga menyesatkan orang lain, kita juga fanatik. Adakah kita juga sesat? Wallhua’lam!

Pada pandangan saya yang jahil ini, kalau tidak setuju dengan orang yang tidak mahu takwil ayat Mutasyabihat, jangan difitnah ulama sehebat Ibn Taymiyyah. Kalau nak takwill, takwillah. Meskipun ada tempat tak perlu takwil.

Sedikit lagi, sebarang tajdid, walau atas kerangka usul fiqh Mazhab Syafie pun akan dituduh wahabi. Saya nampak pendekatan baru guru saya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi sekarang ini lebih lunak untuk mengambil hati masyarakat Malaysia dengan memperkenalkan tajdid fiqh berasaskan kerangkan usul fiqh Mazhab Syafie. Cuma saya sendiri belum faham sepenuhnya macamana caranya hendak dilaksanakan.

Dalam kertas kerja beliau yang dibentang di Seminar Hukum Islam Semasa di Universiti Malaya suatu ketika dulu, nampaknya ia agak bertentangan dengan idea gagasan fiqh Malaysia dahulu yang lebih cenderung untuk menerima pakai pandangan semua mazhab. Mungkinkah sebab idea gagasan fiqh Malaysia itu sukar diterima oleh mufti-mufti dari golongan kuat berpegang mazhab menyebabkan beliau tukar tajid ikut kerangka Mazhab Syafie? Wallahua’alam.

Tetapi menurut kertas kerja beliau, apa yang perlu adalah proses ijtihad semua berasaskan kerangka usul fiqh Mazhab Syafie. Tidak dinafikan, kerangka usul fiqh aliran syaf’iyyah adalah agak konsisten kerana ia diasaskan secara deduktif, iaitu bermula dengan teori, kepada cabang mazhab. Tetapi mungkin hasilnya tetap sama dengan pendapat-pendapat mazhab yang ada selain Mazhab Syafie.

Itu salah satu contoh tajdid fiqh yang agak lunak berbanding cara Dr Asri yang kadang-kadang agak ‘kasar’. Seperti yang saya pernah baca dalam salah sebuah akhbar, katanya, Dr Asri menyifatkan pendapat yang menyamakan golongan kafir tidak boleh masuk masjid sama dengan wanita haid adalah pendapat ulama dahulu yang ‘tidak mantap’. Memanglah orang akan marah sebab ayatnya bunyinya kasar seolah-olah pandangan imam-iman Mazhab Syafie tidak mantap dari sudut analisisnya sedangkan mereka bertungkus-lumus membuat penyelidikan. Dari sudut itu saya sendiri tidak bersetuju juga dengan pandangan yang menyamakan golongan kafir tidak boleh masuk masjid tetapi bukan kerana pandangan itu tidak mantap, tetapi tidak sesuai untuk diamalkan di negara kita. Bahkan kalau ikut Imam Bukhari, wanita haid pun tidak dihalang masuk ke masjid.

(Kita pakai Mazhab Syafie tetapi dalam bab hadis rujuk Imam Bukhari. Kalau orang bawa pendapat Imam Bukhari pun dituduh wahabi, banyak pandangan Imam Bukhari yang tidak selari dengan Mazhab Syafie. Contohnya najis anjing, babi, kes-kes jenayah yang melibatkan wanita, kes bunuh orang murtad, hukum pegang Al-Quran bagi orang berhadas, hukum baca Al-Quran bagi wanita haid dan lain-lain lagi. Pelik juga kadang-kadang, bab hadis kita percaya kitab Bukhari paling sahih, tetapi tak nak terima hukum yang diistinbatkan oleh Imam Bukhari sendiri?)

Hakikatnya, pandangan semua ulama mujtahid adalah mantap dari sudut analisis dan sandarannya, tetapi kesesuaiannya mungkin perlu dikaji semula. Contoh kajian orang zaman dahulu adalah bergantung kepada realiti mereka. Jadi mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai.

Apa pun, tajdid yang kita inginkan akan sia-sia dengan wujudnya golongan yang sangat-sangat FANATIK yang tidak memberi peluang kepada keterbukaan idea dan peluang kepada golongan yang ingin kembali kepada Al-Quran dan hadis yang sahih.

Saya bukan wahabi untuk mempertahankan Ibn Taimiyyah tetapi jika kita tidak bersetuju, tak payahlah menyesatkan ulama dan membawa fitnah-fitnah yang tidak tepat. Sedangkan kita berada atas kapasiti GOLONGAN PENGAWAL AKIDAH ORANG!

Ambillah jalan tengah, jalan yang sederhana, bak dalam matan jawharah al-tauwhid.

وكل نص اوهم التشبيها = = اوله او فوض ورم تنزيها

Saya berharap guru-guru j-QAF tidak terpengaruh dengan idea-idea sempit golongan yang fanatik ini dan kembali kepada idea tawazun dan i’tidal, tidak ifrat dan tidak tafrit.

(Artikel ini cuma sekadar meluahkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku dalam negara kita.)

Pentingnya Generasi Muda Faham Sejarah

Saya amat tertarik dengan kata-kata Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) dalam sebuah rancangan Soal Jawab TV3 bahawa generasi muda kini masih belum memahami makna sejarah negara yang sebenarnya. Makna sejarah negara yang dimaksudkan di sini bukanlah matapelajaran sejarah seperti yang kita pelajari di sekolah tetapi sejarah pembinaan negara berlandaskan kepada kesefahaman pelbagai bangsa tanpa menggugat kendati sedikit pun Perlembagaan negara.

Hakikatnya, generasi muda di negara kita hampir suku dari penduduk negara. Dengan angka yang meningkat kepada lebih kurang 7 juta generasi muda yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak maka sudah tentu faktor kemenangan parti-parti yang bertanding sangat bergantung kepada golongan ini. Tetapi sesetengah golongan ini sehingga kini masih tidak mengerti atau memahami tentang betapa pentingnya kuasa politik dalam kehidupan mereka. Ini kerana golongan ini mempunyai pandangan yang tersendiri berhubung dengan makna politik.

Mereka tidak pernah sedar bahawa kuasa politik ada hubungkaitnya dengan kesejahteraan hidup pada masa akan datang. Bagi mereka kuasa politik itu biasa saja dan tidak mempengaruhi sebarang bentuk kesejahteraan dan kebahagiaan kehidupan anak cucu mereka pada masa akan datang. Mereka juga tidak pernah sedar bahawa kuasa politik berhubungkait dengan perubahan dasar-dasar dan polisi pentadbiran kerajaan yang mana boleh mengubah struktur kehidupan masyarakat secara menyeluruh dalam semua aspek termasuk agama, pendidikan, bahasa, ekonomi, budaya, raja-raja dan sebagainya. Mereka juga tidak pernah menjadikan pemencilan dan penindasan terhadap bangsa peribumi Inka, Gitanos, Maori, Red Indian dan sebagainya sebagai teladan. Lantaran itu mereka tidak peduli langsung tentang kuasa politik.

Juga bagi mereka umumnya, politik itu sesuatu yang busuk dan tidak harus bagi golongan seperti mereka terlibat sama kerana sudah merasa selesa dengan keadaan semasa hinggakan mereka lupa untuk menoleh ke belakang tentang asas-asas yang telah membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu hingga ke hari ini. Golongan ini terlalu dimomokkan dengan cerita-cerita yang tidak pernah membawa pengertian yang mendalam kepada mereka kerana kegagalan mereka untuk mengenali sejarah yang begitu penting dalam asas sesebuah negara.

Apa lagi dengan teknologi canggih yang ada dari semasa ke semasa telah merubah persepsi golongan ini terhadap usaha pejuang-pejuang kebangsaan dan menganggap seolah-olah para pejuang ini tidak pernah wujud serta penting dalam kehidupan hari ini, sedangkan hakikatnya terlalu penting pada mereka demi untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.

Kejahilan golongan ini terhadap memahami sejarah telah membawa mereka kepada hidup tanpa asas sempadan yang mengakibatkan kekeliruan yang amat besar. Apatah lagi kepada generasi yang dulunya daripada bangsa yang datang untuk menggarap ekonomi di negara ini. Hasilnya kita dapati generasi muda ini tidak lagi menghormati prinsip kerukunan dan Perlembagaan yang telah diguna pakai semenjak penubuhan sebuah negara yang merdeka.

Bahkan mereka melaung-laungkan api kebencian kepada bangsa tuan tanah ini yang cuba mempertahankan hak-hak mereka agar tidak terlepas pandang mahupun tertanam sebegitu sahaja setelah pengorbanan yang memeritkan dilalui oleh tuan tanah ini demi mendapatkan sebuah negara yang merdeka.

Generasi muda bangsa Melayu juga ramai yang tidak memahami sejarah apatah lagi untuk mengenali para pejuang bangsa kerana kealpaan mereka untuk mengejar kehidupan yang semakin hari semakin pantas hasil daripada pertumbuhan ekonomi sejagat yang tidak lagi mementingkan sebuah kehidupan yang berlandaskan kepada faktor-faktor terhormat. Generasi ini dengan begitu mudah melupakan asal usul dan sebahagian mereka sanggup untuk bersekongkol bersama-sama dengan mereka yang boleh dianggap sebagai pengkhianat negara. Mereka ‘termakan’ segala janji palsu yang sehingga kini masih lagi gagal dikotakan bahkan semakin buruk terjadi apabila perjuangan mereka yang boleh dianggap pengkhianat ini terbantut di tengah-tengah jalan sehinggakan menghadirkan kekacauan dalam negara.

Sesuatu yang wajar dan gesit perlu dilakukan oleh pihak kerajaan khususnya daripada pihak yang berwajib untuk menjadikan generasi muda agar lebih memahami betapa pentingnya mengenali sejarah tanah air. Ini kerana mereka yang akan mewariskan sejarah ini kepada generasi baru tanpa ada sedikit pun kehilangan dari segi fakta dan peristiwa. Hakikat pahit kadangkala harus dirungkaikan agar lipatan sejarah ini akan terus kekal dan dihayati oleh generasi muda agar mereka tidak hanyut dan lupa tentang sejarah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA