Sabtu, 9 Mac 2024

DEFINISI SEJARAH

 

Perkataan sejarah (history) yang kita gunakan kini berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘syajaratun’ yang bermaksud pohon. Dari sudut lain pula, istilah ‘history’ merupakan terjemahan dari perkataan Yunani yakni ‘histories’ yang membawa makna satu penyelidikan ataupun pengkajian. Muhd. Yusof Ibrahim dalam makalah beliau yang berjudul ‘Pengertian SejarahBeberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah’,  berkata bahawa Herodotus mengatakan sejarah ialah satu kajian untuk  menceritakan tentang satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban.

Menurut R. Suntralingam dalam tulisan beliau yang berjudul ‘Pengenalan Kepada Sejarah’, definisi yang diberikan oleh Aristotle ialah sejarah merupakan satu sistem yang mengira kejadian semulajadi dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau juga sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh.

Menurut R. G. Collingwood dalam ‘Idea Sejarah’, sejarah ialah sejenis bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau. Manakala Shefer pula berpendapat bahawa sejarah adalah peristiwa yang telah lepas dan benar-benar berlaku. Sementara itu, Drs. Sidi Gazalba cuba menggambarkan sejarah sebagai masa lampau manusia dan persekitarannya  yang disusun secara ilmiah dan lengkap meliputi urutan fakta masa tersebut dengan  tafsiran dan penjelasan yang memberi pengertian dan kefahaman tentang apa yang berlaku. Sebagai usaha susulan dalam memahami sejarah, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka telah memaknakan sejarah sebagai asal-usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo, tawarikh dan kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa yang telah berlaku.

Sejarah dalam erti kata lain digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti yang sahih bagi membolehkan manusia memperkayakan pengetahuan supaya waktu sekarang dan akan datang menjadi lebih cerah. Dengan itu akan timbul sikap waspada (awareness) dalam diri semua kelompok masyarakat kerana melalui pembelajaran sejarah, ia dapat membentuk sikap tersebut terhadap permasalahan yang dihadapi agar peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau dapat dijadikan pengajaran yang berguna. Menurut Collingwood R.G. dalam ‘The Idea Of History’, pengertian sejarah boleh dilihat dari tiga dimensi iaitu epistomologi (kata akar), metodologi (kaedah sesuatu sejarah itu dipaparkan) dan filsafat atau pemikiran peristiwa lalu  yang dianalisa secara teliti untuk menentukan sama ada ia benar atau tidak.

Apakah itu Sejarah Berulang?

Sejarah Berulang (Repeating History) boleh diertikan sebagai  satu keadaan di mana peristiwa-peristiwa sejarah yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu boleh berlaku pula pada masa-masa yang berlainan, iaitu pada masa sezaman mahupun pada masa yang akan datang. Ini kerana sejarah itu dianggap sebagai suatu gejala  yang berulang-ulang yakni sesuatu peristiwa itu berlaku berulang kali di dalam satu proses kitaran yang saling berkaitan serta silih berganti. Proses kitaran yang dimaksudkan itu mempunyai kaitan yang rapat dengan kemunculan sesebuah negara yang mempunyai suatu titik kelahiran. Kemudian meningkat maju sehingga mencapai kejayaan dan seterusnya apabila tiba suatu tempoh masa ia akan mengalami kemerosotan atau keruntuhan. Maka dengan itu, dipercayai kitaran ini akan  sentiasa berulang-ulang dari satu tempoh masa ke satu tempoh masa yang lain mengikut perkembangan politik sesebuah negara. Namun demikian, persoalan yang dibangkitkan sekarang adalah, benarkah sejarah itu memang berulang secara keseluruhannya? Bagi menyelesaikan persoalan ini, perlulah kita meneliti beberapa contoh yang berkaitan dengan Sejarah Berulang.

Salah satu contoh yang kukuh adalah kebangkitan dan seterusnya keruntuhan kerajaan Marxist Rusia. Sebelum tahun 1870, Rusia memang berada dalam era keruntuhan. Keruntuhan itu berpunca dari ketidakseimbangan dalam politik Rusia dan juga  ketandusan pemimpin yang cekap.  Namun demikian Rusia adalah sebuah negara yang terbesar di dunia (dengan keluasan lebih kurang 22402000 km/persegi = 8649000 batu/persegi). Walau bagaimanapun Rusia mula muncul sebagai sebuah kerajaan Marxist yang berwibawa selepas revolusi tahun 1917. Dengan usaha pemimpin-pemimpin mereka seperti Lenin (1870-1924) dan Stalin (1879-1953), Rusia telah berupaya menjadi kuasa besar selepas Perang Dunia Kedua (1945).

Taraf seperti ini dapat dikekalnya sehingga bahagian pertama dekad 1980-an. Mulai pertengahan dekad tersebut, Rusia nampaknya tidak dapat bertahan lagi. Ia mula menghadapi krisis ekonomi yang sangat meruncing. Pemimpinnya pada ketika itu, iaitu Mikhail Gorbachov memperkenalkan satu dasar yang dikenali sebagai Glasnost,  yang bertujuan memperbaiki keadaan ekonomi melalui beberapa pembaharuan dasar ekonomi. Namun gerakan itu tidak menghasilkan kejayaan. Sementara itu, gerakan politik dan ekonomi yang bertujuan menghancurkan struktur dan ideologi Marxist di negara itu, yang pada mulanya tidaklah menonjol, telah menapakkan kecergasannya menjelang hujung dekad tersebut.

Akhirnya, pada tahun 1990, bubarlah atau hancurlah secara rasmi Kesatuan Republik Soviet Rusia. Selepas itu yang tinggal ialah Rusia dan gabungan beberapa republik merdeka yang dahulunya merupakan sebahagian daripada kesatuan tersebut. Kini Rusia sedang berusaha untuk hidup dan mengamalkan  sistem demokrasi Barat serta unsur-unsurnya yang berkaitan. Dalam pada itu, kejayaan  pihak demokrasi itu belumlah betul-betul kukuh kerana menjelang pertengahan dekat 1990-an ini pihak komunis telah menampakkan pula kebangkitan semula mereka.

Melihat kepada contoh tersebut, jelaslah kepada kita bahawa proses kitaran yang silih  berganti memang wujud dalam negara Rusia di mana terdapatnya titik kelahiran, perkembangan dan keruntuhan di dalam pimpinan negara tersebut. Walhalnya adakah sejarah itu berulang? Memang tidak, ini kerana daripada contoh tersebut, kita dapati sejarah hanya berulang dari segi falsafah ataupun fenomena sahaja, tetapi tidak berulang secara khusus  pada zaman, waktu, tempat, pemimpin atau orang yang sama. Malah  pernyataan ini juga disokong oleh sejarawan Leopold Von Ranke yang mengakui bahawa setiap peristiwa sejarah itu adalah unik dalam erti kata lain sejarah hanya berlaku sekali sahaja pada suatu  waktu yang tertentu dan dengan hal  yang demikian tidaklah ada satu peristiwa sejarah pun mempunyai persamaan yang tepat dengan satu peristiwa sejarah yang lain walaupun nampak seakan-akan sama.

Satu lagi contoh yang boleh membuktikan bahawa sejarah itu tidak berulang dapat dikaji di dalam Malaysia iaitu Sejarah Perkembangan Pasukan Bolasepak Malaysia di dalam Kejohanan Pesta Bola Merdeka yang berlangsung di Stadium Merdeka. (Analisa dilakukan dari tahun 1986 hingga 1994). Menjelang tahun 1986, prestasi pasukan bolasepak Malaysia mula menampakkan peningkatan seolah-olah pasukan negara berada di ambang kejayaan. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi  apabila pasukan negara di bawah pengurusan Dato’ Harun Idris telah berjaya menjadi juara Pesta Bola Merdeka yang diadakan di Stadium Merdeka dari 18 hingga 25 Oktober, 1986 dengan menewaskan pasukan Czechoslovakia (3-0). Kejayaan  tersebut membolehkan pasukan negara mendapat ‘lampu hijau’ untuk mengambil bahagian dalam Sukan Asia di Seoul tidak lama kemudian. Pada masa yang sama, kejayaan tersebut benar-benar membanggakan seluruh rakyat rakyat Malaysia dan menjadi sejarah bagi negara.

Walau bagaimanapun, selepas tahun 1986, pencapaian pasukan negara mula menampakkan kemerosotan, terutamanya di dalam kejohanan Pesta Bola  Merdeka, sehinggakan pasukan negara terkeluar di pusingan awal lagi di dalam kejohanan-kejohanan seterusnya dan pada tahun 1988, pasukan Malaysia  telah kecundang di tangan Korea Selatan (0-1) di dalam  perlawanan pembukaan. Senario ini telah menyebabkan pasukan Malaysia dikritik dan dicemuh habis-habisan oleh pihak media mahupun rakyat Malaysia sendiri. Boleh dikatakan selepas tahun 1989 bolasepak Malaysia mengalami detik hitam dan seolah-olah mula mengalami keruntuhan.

Melibatkan keadaan ini, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah berjaya merombak kembali pimpinan persatuan tersebut. Pimpinan baru tersebut telah berjaya mengatur program-program bolasepak yang baru, kem-kem bolasepak yang lebih baik serta kempen-kempen bolasepak  yang berkualiti bagi mencungkil  bakat-bakat  baru dalam arena bolasepak negara. Selain itu FAM juga berjaya membawa masuk pakar-pakar bolasepak Barat termasuk jurulatih, psikologi, teknikal dan sebagainya bagi meningkatkan kembali imej bolasepak negara. Oleh itu, menjelang tahun 1992, bolasepak negara berada di ambang kelahiran. Justeru itu, dalam mengembalikan imej serta maruah bolasepak,  pada tahun 1993, pasukan Malaysia sekali lagi menyertai kejohanan Pesta Bola Merdeka yang berlangsung di Stadium Merdeka dari 7 hingga 14 Jun 1993, di bawah pengurusan Tan Sri Elyas Omar. Hasilnya, pasukan negara yang dibarisi pemain-pemain baru itu telah berjaya menjulang kembali kejuaraan Pesta Bola Merdeka dengan menewaskan pasukan Korea Selatan  dalam perlawanan akhir dengan jaringan 3 berbalas 1. Kejayaan ini telah membukti bahawa bolasepak negara mula berada di ambang kejayaan selepas kebangkitan mereka sejak dari tahun 1992. Walau bagaimanapun, selepas tahun 1994, bolasepak negara mengalami keruntuhan semula.

Kejayaan  bolasepak negara pada tahun 1986 dan 1993 merupakan satu  sejarah yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Malaysia sehingga hari ini. Di sini kita dapati sejarah itu seolah-olah berulang kembali, iaitu  kejayaan Malaysia pada tahun 1986 telah diulang kembali pada tahun 1993. Adakah dengan itu kita  boleh mengatakan sejarah berulang sepenuhnya. Jawapannya, memang terbukti tidak, sejarah tidak berulang sepenuhnya walaupun kejayaan 1986 diulang kembali pada tahun 1993. Kalau dilihat secara tajam, waktu penganjuran pertandingan, pengurusan serta pemain pasukan dan jumlah jaringan pertandingan akhir yang membawa kejayaan kepada pasukan negara pada tahun 1993 memang berbeza dengan waktu penganjuran pertandingan, pengurusan serta pemain pasukan dan jumlah jaringan pada perlawanan akhir pada tahun 1986.  

Tetapi satu perkara yang lebih jelas kepada kita ialah, dalam tempoh masa 7 tahun tersebut, berlaku proses kitaran yang silih berganti dalam bolasepak negara iaitu berlaku pengulangan proses umum ataupun keadaan umum seperti kelahiran ataupun kewujudan, perkembangan serta kejayaan dan akhirnya keruntuhan. Proses kitaran ini juga menunjukkan bahawa hidup bolasepak Malaysia  sentiasa beredar di dalam satu pusingan yang tidak putus-putus di mana  ia bermula, berkembang maju dan kemudian runtuh dan selepas itu bermula semula dengan satu sistem pimpinan yang baru. Namun apa yang jelas adalah proses kitaran itu akan sentiasa berterusan.

Kepentingan Sejarah Berulang

Masyarakat Yunani mempercayai bahawa sesuatu peristiwa yang berlaku pada suatu masa dahulu boleh berlaku kembali dalam tempoh masa berlainan dan ia sukar diagak. Walau bagaimanapun, peristiwa-peristiwa  yang berlaku dianggap oleh mereka mampu memberikan pengajaran kepada mereka untuk berwaspada pada masa-masa yang akan datang serta untuk  mencari langkah untuk mengelak sesuatu peristiwa yang tidak diingini. Selain itu sejarah juga dianggap oleh mereka sebagai satu petunjuk dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan, cabaran dan halangan. Pada masa yang sama, sejarah itu juga merupakan satu falsafah yang memberikan pengajaran melalui contoh-contoh. Sebenarnya peristiwa yang berulang-ulang itu menunjukkan kepada mereka tentang tingkah laku serta pembuatan mereka pada masa yang telah lalu dan juga perbuatan orang-orang yang terdahulu daripada mereka.

Keseluruhannya, jelaslah bahawa sejarah itu tidak berulang walaupun sesetengah golongan  berpendapat bahawa sejarah itu berulang. Ini kerana sejarah itu memiliki fakta yang lengkap dengan masa dan tarikh sesuatu peristiwa  itu terjadi. Walaupun proses kitaran yang silih berganti itu wujud (kelahiran, perkembangan atau kejayaan dan keruntuhan) namun agak sukar  bagi kita untuk melihat sesuatu fakta yang sama muncul pada zaman akan datang di mana tarikh, objek dan tempatnya adalah sama. Oleh itu, sekali lagi saya tekankan di sini bahawa sejarah hanya berulang dari segi falsafah atau fenomena yang mampu memberikan pengajaran, tunjuk ajar serta pengetahuan kepada masyarakat tetapi tidak berulang secara khusus pada zaman, waktu, tempat, pemimpin ataupun orang yang sama. 

Bibliografi

  1. Carr E.H., What Is History. Pelicon Book. London. 1965.
  2. Collingwood R.G. The Ideo Of History. Oxford University Press. 1966.
  3. Dr. Abdul Murat Mat Jan. Nota Kuliah. Pengantar Sejarah.
  4. Dr. Tengku Iskandar. Kamus Dewan Edisi Kedua. 1984. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  5. Drs. Sidi Gazalba. 1966. Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu. Jakarta.
  6. Dunia Sukan. Utusan Melayu (Malaysia). Sdn. Bhd. 1987.
  7. Herbert Butter Field. 1981. The Rise of Classical Historiography.
  8. Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah.   Dewan Bahasa dan Pustaka. 1997.
  9. Muhd.Yusof Ibrahim. Pengertian Sejarah: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1986.
  10. Shafer R.G Jones. A Guide To Historical Method. Illineis.
  11. R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican  & Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. 1985.

 

 

SAJAK-SAJAK RAMADHAN 2024

 

SAJAK-SAJAK INI TERCIPTA MENJELANG RAMADHAN 2024


sajak:
SELAMAT DATANG RAMADHAN
 
hilal menjelma, tersenyum ramah
pintu pahala pun terkuak
cahaya mulia menyelimuti hari
langkah pertama membasuh hati
ikhlas menjalani perintah ilahi
sirnakan karat-karat noda
hadapi dugaan menempuh kemenangan
tumpaskan nafsu meraja
lapar dahaga mendera
prahara gangguan menduga
kesabaran teruji
lisan dijaga dari kejian aksara
pancarkan nurani bersih
pijarkan putih cahaya rohani
baurkan sinar mulia bulan maghfirah
semarakkan jiwa insan beriman
buah-buah pahala memarak gerbak
kutiplah, sarati wadah ketakwaan
hingga akhirnya menggapai jaya
di puncak syawal
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
sajak:
SEMARAK KEMBANG RAMADHAN
 
semarak kembang ramadhan
menyarati mandala
memenuhi segunung asa
menyantuni seribu takwa
manusia-manusia hamba
barukan tekad imamat
tarawih petanda sujud
tadarus petanda syukur
tajahus petanda tafakur
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
sajak:
RAMADHAN DAMBAAN HATI
 
syaaban berganti
ramadhan dinanti
bulan suci dambaan hati
setiap insan beriman menanti
wajah ramadhan ceria
berseri bercahaya
sarat karung pahala
untuk hamba-Nya
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
sajak:
KUPELUK BULAN INI
 
kupeluk bulan kini
dengan sejadah akur
mulut membungkam celupar
redam amarah keji memerah
berganti alunan zikir
memuji maha pencipta
paling berkuasa
 
ya ilahi: dakap-Mu adalah hidayah
kala bersumbar kebejatan
dosa dan maksiat
ya sallam: keampunan-Mu
penyegar kehidupan
di alam nan baru
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
 
sajak:
TEMBANG RINDU
 
pagi berganti petang
malam bertebaran bintang
tembang rinduku pun beralun
merasuk kalbu
liriknya memujamu
aksaranya mencintaimu
setahun kau menghilang
kini menjengul di ambang pintu
kanku sarati gebar rindu ini
dengan tarawih dan tadarus
sepasrah akur
semesra sujud
di sejadah syukur
 
tembang rinduku ramadhan
wadah penuh keampunan
mohon doaku dikabulkan
pintu syurga dibukakan
ruang kesempatan
kekuatan mengharung segala cabaran
demi menggapai keampunan
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
sajak:
RAMADHAN YA KAREEM
 
bak diselimut awan putih
terapung membuai pujian
pelbagai zikir mulai bergema
ramadhan ya kareem
sejadah pun terbentang
lenyapkan rasa mungkar
tafakur walau terasa sukar
jadilah insan yang sedar
 
dalam tembang hujan noda
lirik dari ranting dosa
daun-daun insafpun rontok
satu-satu dan semua
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
sajak:
RINDU DAKAPANMU, RAMADHAN
 
maghfirah kembali menyapa
salam dihulur di pintu senja
melunakkan hati nan mengeras
melegakan kalbu dalam dahaga rindu
ramadhan: semilirmu menghubub
menyapu alfa hamba pendosa
mengusap derita insan bernoda
 
rindu dakapanmu, ramadhan
pahala setiap ibadah
rapatkan kembali serpihan benci
satukan jua pecahan dengki
sulami dengan benang insaf
sucikan semula sagala noda
seranah dan dosa
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
 
sajak:
BETAPA INDAHNYA WARNA RAMADHAN
 
butiran tasbih dihitung satu-satu
mengiringi zikir menyarati ramadhan
mendambakan maghfirah seisi bumi
dengan kalimah-kalimah agung
betapa indahnya warna ramadhan
damainya alunan tadarus bersenandung
melebihi merdu tembang dan kidung
ketimbang irama kalam ilahi
 
dosa-dosa yang dijunjung
tak terhitung tinggi menggunung
ramadhan datang membawa untung
dengan rahmat maha pelindung
Dia yang maha agung
kasih dan rahmat-Nya tak terbendung
seluas alam nan melengkung
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
 
sajak:
TARAWIH DAN KURMA TADARUS
 
tarawih dan kurma tadarus
menggema zikir damaikan jiwa
dalam cakaran lapar dahaga
demi meraih  maghfirah
ramadhan tercinta
 
keampunan yang mengundang debar
dek gelumang dosa memancar
detak jantung kian bergetar
dakapi mesra ramadhan dengan sabar
penuhi rumahnya
tarawih dan kurma tadarus
biar semarak mencuar
kepada Allah tempat memohon
lenyapkan segala dosa membumbung
yang membuak tak terhitung
bak buih-buih laut
setinggi gunung
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
 
sajak:
DOA YANG DIPINTA
 
ramadhan sudah menjelma
ditunggu segenap manusia
yang beriman kepada-Nya
berlumbalah merebut pahala
yang dijanjikan Maha Esa
tabuhlah genderang zikir
akur tausiyah di musala
ikhlaslah beribadah
hanya kepada-Nya
 
doa yang dipinta
munajat hanya kepada-Nya
sejadah tempat bersujud
biarlah mencair segala dosa
meleleh dan lenyap diserap pahala
nan berganda
terangilah kegelapan menutupi nurani
bersimpuhlah sebagai hamba
demi membuka pintu keampunan-Nya
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
 
sajak:
MALAM RAMADHAN
 
genang air mata
hening malam ramadhan
gelintin pekat
bak hitamnya dosa silam
malam ini malaikat turun
dari arasy-Nya menjenguk hamba
teleku atas sejadah
pohonan nasuha
kebejatan noda biar sirna
 
daun-daun alampun bertasbih
pohon-pohonan asyik berzikir
gelora laut bertahajud
semuanya bertafakur pada kebesaran
tersanjung dengan aroma-Mu
hingga fajar di horizon senja
 
dosa-dosaku terampunkan
pada malam ramadhan ini
di sisi-Mu aku berzikir pasrah
demi menggapai mahligai
bercandeliar emas
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
 
sajak:
SEJADAH MALAM
 
pilar rumah bertasbih
anjung luas terbentang
pintu surga menyambut
doa lailatul qadar pun bergema
alam hening
sejadah malam terbentang
tafakur sujud
cairan dosa tak akan mengalir lagi
bumi terbelah
pohon-pohon memanjat syukur
neraka menangis
hamba-Nya telah kembali
ke pangkuan suci
pelukan ilahi
zikir terus membiaskan sinar
rahmat-Nya mengukir syurga
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
 
sajak:
NAZAM KASIH RAMADHAN
 
cahaya malam sejuta kejora
pancaran penembus jiwa kehausan
hati-hati perindu keampunan
terus bersujud
rayuan seorang hamba duafa
mendoa dengan pasrah
segala dosa diampunkan
zikir meluah menukik belahan langit
tangan-tangan tengadah polos
mengetuk pintu-pintu taubat
agar lebar terbuka
di naung redup
sayap putih para malaikat
 
ini nazam kasih ramadhan
sarat kemuliaan sarat keampunan
membawa magfirah dalam sujud tarawih
pembuka jalan bagi dosa berselisih
untuk kembali kepada fitrah
pada hamparan sejadah lurus
kuluahkan segala kesal hati
sucikanlah jiwa nurani
hamba duafa berkeladak noda
luangkan lorong ke syurga
dalam nirwana abadi
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
 
 
 
sajak:
BULAN MAGHFIRAH
 
kala malam jernih bening
kemerlap rindu membakar hati
bulan maghfirah
alam sarat berkah
pahala melimpah
membuar dan merekah
 
berjuta jiwa mengharap maghfirah
lowong mudah ke loka
denganmu ramadhan
katalis obor pencerah
dengan rahmat Allah
hamba duafa nan menyerah
sepenuh jiwa sepasrah nurani
damaikanlah di sana
syurga dambaan
dengan sejambah doa membasahi lidah
secercah asa sepertiga malam
harapan hembusan nafas
mengalahkan pedihnya jarak
keagungan maha cinta
dapat menyatukan
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA