Khamis, 21 Disember 2023

ANAK DAUN BULUH

SMAHADZIR

 

LELAKI tua itu berbaring di kerusi buluh yang dibuatnya sendiri beberapa tahun lalu. Kepalanya panggung sesuai dengan bentuk kerusi. Di hadapannya ada sebuah televisyen kesayangannya tetapi kadang-kadang menjadi musuhnya. Dia sayang kepada televisyennya terutama jika muncul program-program kegemarannya seperti program kebudayaan, pertanian, perikanan, penternakan, lebih-lebih lagi kerajinan atau pertukangan buluh. Kalau televisyen tersebut menayangkan program berbentuk budaya, sehari suntuk dia mampu duduk di situ.

Selain itu dia juga sangat tertarik pada tayangan bercorak adat resam seperti adat resam perkahwinan, adat resam kematian juga permainan-permainan tradisi rakyat. Duduk sembari meluruskan kaki di kerusi buluhnya, begitu asyik dia menyelami pelbagai budaya bangsa yang wujud di negara ini.

Akan tetapi kalau ada warta berita dalam negeri, lalu muncul para pemimpin politik yang tidak fasih berbahasa Melayu, memberi pendapat tentang krisis budaya dan paparan tentang budaya-budaya bangsa yang kian langka atau pupus, dia tersentak duduk dan mula merintih kerana tikaman kebas di persendian, tulang belikat dan belakangnya lalu meludah kotak ajaib itu berkali-kali, kemudian dibuka kemejanya untuk melap ludahnya kembali.

Tatkala lelaki tua itu sedang asyik meludah kaca televisyennya kerana tayangan beberapa adat tradisi bangsa yang kian pupus, isterinya masuk. Isterinya Zaharah, seorang bidan merangkap jururawat yang mengetuai sebuah rumah bersalin milik peribadi, melihat tingkah laku suaminya sambil menggeleng-geleng. Dengan sabar dia mematikan televisyen dan mengambil kain buruk untuk mengesat air liur suaminya.

Lelaki tua itu bangun dan menghempaskan badannya di atas tikar rotan di sisi isterinya seraya berkata, “Zaharah, tolong panggil Pak Cha datang ke mari!”

Zaharah segera ke luar menuju bilik menunggu rumah bersalin yang bersebelahan dengan rumah tinggal mereka lalu tidak lama kemudian datanglah Pak Cha, tukang urut buta yang selalu menunggu di bilik menunggu, mengurut ibu-ibu selepas bersalin, jika diminta.

“Selamat malam, Pak Cha!” kata lelaki tua itu.

“Selamat malam tuan!” balas Pak Cha.

“Puan Zaharah kata, tuan ludah lagi televisyen, ya!” kata Pak Cha.

“Habis sudah kesabaran saya. Sekarang timbul lagi pelbagai budaya bangsa kita yang kian pupus. Lebih separuh abad lalu, permainan tradisional seperti kaki hantu, kelereng, cakpelong, capteh, ketuk keli, ketinting, tuju getah, tuju tin dan banyak lagi jadi sebahagian daripada aktiviti kanak-kanak dan ia begitu menyeronokkan…”

“Zaman dah berubah, tuan! Permainan-permainan itu kian langka dan pupus dek kemajuan teknologi serta penggunaan gajet canggih sebagai ganti,” cantas Pak Cha.

“Sedih sangat, permainan-permainan tu sepatutnya disemarakkan sebab boleh jadi platform membina perpaduan, setiakawan, keharmonian, sikap bertolak-ansur dan rasa hormat antara satu dengan yang lain walaupun berbilang kaum,” balas lelaki tua itu pula.

“Sekarang ni bukan saja main kaki hantu, kelereng, cakpelong, capteh, ketuk keli, ketinting, tuju getah, tuju tin… kita sebut saja pada anak-anakpun mereka tak tahu. Zaman dah berubah, tuan!” ujar Pak Cha bersahaja. “Pada masa kini, permainan tradisional ini dah semakin dipinggir dalam kalangan masyarakat kita terutama generasi muda yang terlalu mengutamakan permainan moden. Mereka juga lebih suka menghabiskan masa dengan melayari internet, malas nak bergaul dengan orang lain dan sebagainya.”

Tuan Dolah mengeluh berat. Lama juga dia terdiam. Setagal kemudian dia berkata,”Sedih, sedih! Sedih saya memikirkan soal ini. Errr.. besok saya harus terbang ke Kuala Lumpur, melihat anak perempuan saya, Dr Julia dan menantu saya Dr Imran. Tolong urut kaki saya yang kebas ni, biar sihat sikit atas kapal terbang nanti,” kata Tuan Dolah.

“Beres tuan! Err, nak berangkat bersama Puan Zaharah ke?” tanya Pak Cha ingin tahu.

“Oh, tidak. Isteri saya harus menjaga ibu-ibu yang melahirkan generasi baru dari rahim mereka. Tugas saya ke Kuala Lumpur bukannya sebab nak jalan makan angin. Kebetulan sempadan negeri sudah dibuka oleh kerajaan. Jadi saya nak ke sana. Sudah lama saya tak menjenguk anak perempuan dan menantu saya di sana. Mereka juga sudah lama tak balik sejak Covid-19 melanda dan sejak PKP dikuatkuasakan, anak menantu saya terpaksa bekerja tanpa rehat kerana ramai warga yang terkena serangan Covid-19. Ramai yang sudah mati, masih ramai lagi yang nazak di wad kecemasan, menunggu masa saja untuk mati. Saya rasa, tak lama lagi kerajaan akan mengenakan semula PKP dan sekatan rentas daerah juga negeri kerana kes covid ni akan meningkat sebab ramai warga yang tak ikut SOP,” kata Tuan Dolah panjang lebar.

Bidan Zaharah, membawa dua cangkir kopi dan meletakkannya di atas meja.

“Kalau dengan Pak Cha, tak ada lain, asyik bersembang soal Covid-19 saja, tak habis-habis” omel bidan Zaharah. “Sudah, ya! Saya nak tidur. Kalau ketawa jangan kuat-kuat. Kalau boleh jangan berbual benda yang tak senonoh. Sambil dengar muzik, nikmatilah seni mengurut dan seni diurut,” kata bidan Zaharah lagi sembari tersengih kemudian bergerak mengambil kaset lagu klasik lalu memasukkannya ke alat perakam. Pak Cha dan Tuan Dolah diam menikmati muzik.

Kenangan mulai mengeluyur ke dimensi silam. Lelaki tua yang oleh masyarakat sekitar dipanggil Tuan Dolah itu, sebaik tamat sekolah, meneruskan usaha orang tuanya membuat kraftangan buluh. Dia membuka sebuah kedai kraftangan buluh kerana ayahnya mewariskan tanah dua hektar yang telah ditanami buluh.

Ada buluh kuning, ada buluh hitam, ada buluh hijau. Ada buluh betung dan ada buluh yang kecil-kecil. Sebagai pengusaha, dia dapat mengahwini seorang gadis cantik yang bekerja sebagai bidan di sebuah hospital bersalin.

Kedua-duanya menikah dan beberapa tahun kemudian, mendirikan sebuah rumah bersalin di samping rumah warisan orang tua yang terletak di atas dua hektar tanah yang telah dihutani buluh.

Pada musim kemarau dua puluh tujuh tahun lalu, serumpun buluh hitam ditebang. Buluh-buluhnya diambil dan daun-daunnya ditumpuk di kebun menunggu kering untuk dibakar menjadi baja. Kemudian dimasukkan ke dalam guni plastik dan dijual kepada penanam sayur.

Bangun pagi-pagi, Tuan Dolah terus ke kebun buluh untuk membakar longgokan daun yang telah kering. Ketika lidah-lidah api mulai menjilat, terdengar suara bayi menangis dalam longgokan daun buluh itu.

Dengan segera dia menguak longgokan daun buluh itu dan betapa terkejutnya dia melihat ada bayi yang terbungkus kain batik dan sehelai baju sejuk. Tanpa lengah, dia mengambil bayi tersebut, membawanya ke rumah bersalin dan menyerahkannya kepada isterinya. Bidan Zaharah menyambut bayi malang itu dan segera mengenali bahawa bayi itu milik Nurhayati, penjual cucur udang di hadapan rumah bersalin mereka.

Tidak lama kemudian orang ramai berkumpul di rumah bersalin itu. Semuanya ingin melihat bayi dan ibunya. Lalu seorang anggota polis datang, menyeruduk masuk ke dalam rumah bersalin tersebut. Dia disambut oleh bidan Zaharah dan Tuan Dolah dengan mesra. Setelah memandang bayi mungil yang comel itu, polis bertanya di mana Nurhayati.

Kedua-dua suami isteri itu menghantar polis tersebut ke gerobok sorong milik penjual cucur udang. Ketika pintu di gerobok itu dibuka, kelihatan Nurhayati sedang tidur. Dia dikejutkan kemudian keluar dan berjalan menuju rumah bersalin. Bidan Zaharah menggeleng-gelengkan kepala mengagumi kekuatan fizikal Nurhayati.

“Bersalin di dalam gerobok, sendirian?” tanya polis dengan biji mata terkesip-kesip.

“Tidak. Jam empat pagi saya bersalin di timbunan daun buluh kering,” ujar Nurhayati.

“Di atas daun buluh kering? Tak miang ke?” tanya polis itu lagi.

“Tak. Saya lahirkan bayi itu sambil berdiri,” kata Nurhayati. “Saya dengar dari seorang pelanggan yang minum kopi dan makan cucur udang di gerai saya bahawa wanita Indian di hutan Amazon, beranak sambil berdiri, tetapi wanita Indian itu memegang pokok hutan sedangkan saya biasa saja. Kedua-dua tangan saya memegang pinggang. Lalu meluncurlah bayi saya, jatuh ke atas daun-daun buluh. Kemudian saya bungkus dengan kain batik dan baju sejuk pemberian Puan Zaharah dan saya timbus bayi itu dengan daun buluh,”

“Wau, kamu memang hebat. Tak pernah saya dengar ada perempuan yang begitu kuat, bersalin sambil berdiri dan tangan memegang pinggang dengan penuh yakin. Kamu memang seorang perempuan muda yang hebat,” puji polis tersebut.

“Akan tetapi, kamu perlu ditahan kerana kesalahan membuang bayi. Kamu perlu didakwa atas kesalahan ini,” polis itu meneruskan.

Nuryahati berdiri, “Saya tak berniat nak membuang anak saya. Saya ingin menyelamatkannya. Saya sering melihat, pagi-pagi Tuan Dolah ke kebun buluh untuk membakar daun-daun kering. Sebab itu saya sengaja meletakkannya di sana agar Tuan Dolah mengambilnya. Lagipun, suami saya tak bertanggungjawab. Hisap dadah, malas dan asyik khayal saja..,” kata Nurhayati dengan nafas yang termengah-mengah dan mata kuyu minta simpati.

Untuk menjaga perasaan isterinya, Tuan Dolah memeluk isterinya lalu berbisik, “Dia bohong. Kita kena periksa DNA bayi itu. Mungkin anak haram!”

Mereka membawa Nurhayati ke rumah lalu membaringkan Nurhayati di atas sofa dan ketiga-tiganya duduk menghadap ibu muda yang malang itu. Setelah minuman dibawa pembantu, anggota polis itu berkata, “Ini satu perbuatan jenayah. Saya akan hubungi pihak hospital untuk menghantar ambulans ke mari,”

“Tak perlu, encik! Saya yang menyuruh Nurhayati menyerahkan anak itu dengan cara begitu. Tak ada rancangan untuk membuangnya,” kata bidan Zaharah.

Mata Tuan Dolah terbelalak. Dia menarik nafas berat dan bertanya dalam hati mengapa isterinya membela wanita muda tersebut.

“Kalau begitu, soalnya jadi lain, tetapi melahirkan anak di atas daun buluh kering, lebih-lebih lagi berdiri sambil memegang pinggang, adalah bersalin gaya kuda. Bayi itu jatuh ke atas daun kering seperti anak kuda. Tapi anak kuda mampu segera berdiri sendiri lalu menyusu,” kata polis.

“Tapi bayi manusia boleh menangis ketika lidah-lidah api di rumpun buluh mulai menjilat-jilat udara,” kata Tuan Dolah lalu tertawa terkekeh-kekeh.

“Lebih-lebih lagi ada rancangan untuk membakar bayi itu oleh ayahnya sendiri. Waktu Tuan Dolah menyalakan mancis api, tentulah terlintas rancangan untuk membakar bayi itu. Tetapi untung ada jalan penyelesaiannya. Nah, dalam hubungan itu, mari kita selesaikan saja...” kata anggota polis itu lagi.

“Selesaikan saja?” Tuan Dolah membisik ke telinga isterinya. “Apa maksudnya?”

Isterinya berbisik membalas, “Ssst, duit!!!”

“Oh, itu mahunya,” kata Tuan Dolah dalam hati sambil mengangguk-angguk penuh pengertian. “Encik, nak selesai macam mana?” soalnya pula.

“Empat ribu setengah. Bukan rupiah Indonesia. Ringgit Malaysia...”

Begitulah ceritanya. Nurhayati menyerahkan anaknya kepada suami isteri pemilik rumah bersalin tersebut. Anak itu diberi nama Julia. Kemudian, berita tentang Nurhayati tidak kedengaran lagi. Khabarnya sudah berpindah ke Indonesia.

Julia diasuh oleh kedua-dua suami isteri yang berada itu. Dia bagaikan ratu dalam rumah tangga kerana ayah dan ibu angkatnya tidak punya anak. Dia disekolahkan sehingga ke peringkat universiti dan berjaya menjadi seorang doktor. Sebaik menjadi doktor, dia ditugaskan di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Setahun kemudian dia dilamar Dr Idham, seorang doktor muda asal Johor. Kedua-duanya menikah lalu terus bekerja di Kuala Lumpur bersama.

Pak Cha, dengan gembiranya mengurut urat belikat di belakang Tuan Dolah. Setagal kemudian tugas mengurut selesai. Namun yang diurut mulai mendengkur. Tukang urut buta itu segera mengambil tongkatnya serta beg berisi minyak lalu melangkah keluar dari ruang tersebut.

Bangun pagi-pagi dengan tubuh yang agak segar, Tuan Dolah terus menuju ke lapangan terbang, membeli tiket dan terbang ke Kuala Lumpur. Tiba di tempat kerja Dr Julia dan suaminya Dr Idham, dia agak terkejut melihat Nurhayati dan suaminya yang sudah dimakan usia. Khabarnya mereka berdua datang untuk bertemu dengan Dr Julia juga. Rupa-rupanya suami Nurhayati adalah anggota polis yang mengambil duit empat ribu ringgit setengah tempoh hari. Setelah ditanya, rupanya dia bukan anggota polis tetapi warga Indonesia yang menyamar, kekasih Nurhayati yang juga warga Indonesia. Datang ke Malaysia jadi pembantu rumah, dapat modal buka gerai niaga cucur udang.

Terkena juga Tuan Dolah dan bidan Zaharah tetapi mereka masih bangga kerana mempunyai Julia, anak daun buluh yang kini sudah menjadi seorang doktor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA