Rabu, 2 November 2011

Cabaran Bahasa Melayu Dalam Era Globalisasi

SMAHADZIR

NEGARA kita telah pun melangkah ke alaf baru. Dan pada tahun 2020 Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa.

Kita, misalnya, sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi sebenar, ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal. Pada tahun 2020, iaitu sekitar 15 tahun dari kini tentunya serba-serbi berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramal, akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin. Cara hidup kita di Malaysia dan juga di merata dunia akan turut berubah.

Kita sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarab pada zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru.

Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau yang membina bangsa yang dikehendaki kerana proses yang ada pada masa itu ialah yang sesuai dipanggil osmosis di mana proses nilai kuat lagi berpengaruh menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu yang bakal disedut melalui proses osmosis itu nanti ialah menerusi pencabulan bahasa, kebudayaan dan cara hidup yang mencorakkan sifat kemelayuan mereka. Pandangan yang cenderung ke arah fenomena ini mungkin akan dipertikai tetapi pada amatan kebanyakan pemerhati ianya pasti berlaku.

Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Orang kini mengirim berita pantas melalui e-mail dan sms – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet. Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Istilah infotenmen, misalnya, yang menimbulkan kontroversi dalam penggunaan istilah Bahasa Melayu juga merupakan satu istilah baru yang dipertikaikan walaupun Menteri Penerangan telah menghujahkan alasan-alasan penggunaannya di Parlimen.

Hiburan, berita dan maklumat, kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturan adalah lebih kurang 70% dalam bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam Bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang seolah-olah sekerat ular sekerat belut.

Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu bahasa Inggeris. Nisbah perkataan baru yang diceduk dari bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita. Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersediakah kita mempertahankan diri agar jati diri dan kesinambungan bina bangsa terjamin? Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab secara tepat dan kalau dijawab pun ianya belum pasti akur kepada apa yang mungkin terjadi.

Jika diamati generasi muda Melayu di pusat-pusat bandar, akan tersua amalan asas mereka. Mereka leka dengan perkelilingan baru — keluarga, hiburan, sukan, tempat kerja dan tumpuan-tumpuan hidup yang lain lantas dipengaruhi unsur-unsur global yang telah dipopularkan melalui media, dagangan antarabangsa dan hiburan muzik serta wayang gambar Hollywood dan Bollywood. Mereka kian lama kian jauh dari apa yang dahulunya boleh dikesan sebagai belia Melayu. Sementara itu golongan korporat Melayu cuba berlumba-lumba mendapatkan hak mereka dari ‘kuih’ ekonomi yang ada, sekali pun tahap yang dicapai setakat ini masih di paras 18%. Jelaslah 12% lagi masih di awangan dan belum menepati janji serta aspirasi kita yang digurindamkan pada tahun 1971 dahulu.

Dalam perkelilingan beginilah masyarakat Malaysia hidup di negara ini. Dan dalam perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib Bahasa Melayu (Bahasa Melayu). Cuma kali ini ditambah sedikit dengan kaitannya dengan senario global. Sebenarnya memperkatakan tentang Bahasa Melayu hakikatnya ialah kita memperkatakan satu-satunya aspek asas orang Melayu itu sendiri. Survival Bahasa Melayu di peringkat yang maju dan beridentiti lantas juga mencerminkan bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Cuma bangsa Malaysia adalah igauan politik yang hendak dicapai tetapi bangsa Melayu sudah ada dan nyata.

Kebelakangan ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang Bahasa Melayu. Tetapi boleh dikatakan kesemuanya membuat rungutan atau dengusan yang negatif tentang keadaan terumbang-ambing beberapa aspek Bahasa Melayu itu. Dari tahun 1999 hingga 2003 terdapat secara rambang sekitar 94 rencana utama termasuk kertas-kertas simposium dan konvensyen yang memperkatakan tentang Bahasa Melayu dari pelbagai sudut dan aspek. Tajuk-tajuk yang digemari ialah masalah bahasa rojak; keupayaan Bahasa Melayu dalam dunia moden, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, kemampuan Bahasa Melayu sebagai lingua franca di kepulauan Melayu, Bahasa Melayu dalam konteks pembudayaan bahasa persuratan, kelunturan Bahasa Melayu dan pelbagai lagi tajuk pokok yang kesemuanya menyentuh tentang pusaka perhubungan Melayu ini.

Malangnya tiada satu pun di antara rencana-rencana itu yang memuji atau memberi markah tinggi kepada usaha memperkasakan Bahasa Melayu. Sebenarnya usaha memperkasakan Bahasa Melayu semacam sudah dilupai, seolah-olah seperti bidalan terpijak pergi terlanda pulang. Boleh juga dikatakan bahawa piel atau sikap yang ada ialah sikap tangkap muat atau taking things for granted dalam kiasan bahasa Inggerisnya.

Bahasa Melayu dalam era global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar dan penuh permasalahan. Ia berkait rapat dengan soal jati diri orang Melayu dan bangsa Malaysia amnya. Ia juga suatu masalah pembudayaan yang amat berat dan rumit. Tajuk ini walaupun pernah dibincangkan dalam beberapa polemik yang terdahulu lebih banyak menimbulkan masalah daripada jawapan. Ini adalah kerana Bahasa Melayu itu sendiri sedang menghadapi cabaran dan rintangan yang hebat di dalam negara sendiri. Bercakap pasal Bahasa Melayu di era global semestinya memerlukan kita membincangkan terlebih dahulu beberapa isu bahasa secara domestik. Jika tidak, perbincangan kita semacam belum tegak sudah berlari.

Bahasa sebagai alat komunikasi antara manusia mempunyai berbagai-bagai fungsi. Ia berfungsi mengungkapkan konsep, gambaran dan menjelmakan perbuatan. Ia berfungsi menyampaikan kehendak mental. Ia berfungsi mengungkapkan perasaan, rasa hati dan gerak hati. Pendeknya sesuatu yang bermain-main dalam fikiran kita dapat kita ungkapkan melalui bahasa.

Dengan bunyi glottal atau vokal manusia melahirkan bunyi itu. Pengalaman begini memakan masa dan merentas zaman. Perkataan baru sebelum diterima pakai sebagai sebahagian bahasa sesuatu masyarakat itu mengalami ujian ‘penerimaan’ atau ‘penolakan’. Proses menerima atau menolak ini bergantung kepada sekuat mana jati diri bangsa penuturnya. Jika lemah maka lebih banyaklah kata-kata yang diimport sekalipun di dalam himpunan kata-kata bangsa sudah sedia ada kata-kata sendiri.

Sesuatu yang bermain-main dalam fikiran secara umumnya disebut bayangan dan secara khususnya disebut sebagai citra dalam bahasa Sanskrit dan atau imej dalam alih bahasa Inggeris. Citra atau imej muncul dalam bentuk simbol atau perkembangan. Misalnya apabila kita berfikir tentang kuda, kita menuturkan sebagai kuda atau menulisnya dalam istilah-kata ‘kuda’. Ertinya setelah membayangkan konsep ‘kuda’ dalam fikiran, kita jelmakan ianya dalam bentuk lisan atau tulisan sebagai kuda.

Bahasa (kata istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan tahap-tahap ilmu yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud empat tahap keilmuan. Ilmu yang terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya - ilmu sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya), diikuti tahap yang paling tinggi iaitu ilmu rasional (ilmu falsafah dan ilmu pemikiran kreatif), ilmu laduni (intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada Allah dan ilmu tertinggi ialah ilmu makrifat yakni ilmu tentang Ilahi yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam hierarki ilmu.

Setiap tahap ilmu mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang tersendiri. Misalnya bahasa yang diungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah bahasa saintifik. Bahasa saintifik membawa pengertian bahasa yang logik yakni yang berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan erti tepat. Dalam konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat penghasilan tidak didalami sebelum kita mengaku kalah lalu Bahasa Melayu tidak mampu menjadi wahana sains dan matematik.

Isu-Isu Bahasa

Pada amnya terdapat 7 isu pokok yang berkaitan Bahasa Melayu dalam konteks bina bangsa (nation building):

i. Masalah penjiwaan Bahasa Melayu

ii. Masalah bahasa rojak

iii. Masalah pemakaian dan keutamaan Bahasa Melayu

iv. Utiliti atau sifat perlu-guna Bahasa Melayu

v. Unsur-unsur dan amalan yang merosakkan Bahasa Melayu

vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963

vii. Perubahan dasar bahasa ilmui.

Penjiwaan Bahasa

Bagi tempoh tahun-tahun 1960-an, isu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menjadi perkara hangat dan isu yang membakar semangat perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Bahasa Jiwa Bangsa sesungguhnya sebahagian dari jiwa nasionalisme orang Melayu. Begitu penting dan utama Bahasa Melayu sehingga UMNO sendiri menerapkannya ke dalam fasal 3 perlembagaannya tentang Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sementelahan pula istilah Melayu itu sendiri mengikut Perkara 160 Perlembagaan negara mewajibkan seseorang itu berBahasa Melayu selain beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu sebelum layak diiktiraf sebagai seorang Melayu. Kempen Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pimpinan Tuan Syed Nasir Ismail masih diingati sebagai yang terhebat dan berkesan.

Secara rambang, keutuhan Bahasa Melayu tidak banyak dipertikaikan sehingga 1986. Bahasa Melayu itu sendiri mengalami edaran zaman dan evolusi. Sistem ejaan, kerjasama penyeragaman Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia, penulisan novel, cerpen dan penyemarakan bahasa menjadi amalan biasa sehingga apabila menjelang tahun 1985 penulisan novel, cerpen, sajak terus beroleh tempat di kalangan pembaca. Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai semenjak 1959 hingga awal 1980-an terus menjadi kilang guru Bahasa Melayu yang berkesan dan disegani. Kini ianya cuma jadi sejarah. Penekanan kepada Bahasa Melayu dari sudut perguruan khusus sudah kurang mendapat perhatian.

Bila pengkhususan pengajaran bahasa berkeadaan sedemikian, maka hasil penjiwaannya juga turut berkurangan. Sastera Melayu, penulisan kreatif Melayu, bahasa indah Melayu dan pada amnya pembudayaan Bahasa Melayu turut merana. Bila jiwa sudah lemah dalam sesuatu amalan, maka aspek praktisnya juga turut lemah. Lemahnya penjiwaan adalah terasas kepada tuntutan perkelilingan. Lemah penjiwaan ini hanya dapat diatasi dan diperkukuhkan semula jika hala tuju jiwa bangsa tadi bersedia memungut yang cicir, mencari yang hilang. Jika polemik hanya tertumpu kepada hujah yang secara asasnya tidak yakin kepada bahasa ibunda sendiri sebagai bahasa ilmu tentulah ubat yang dicari tidak akan menyembuhkan penyakit. Penyakit lama akan hinggap kembali.

Kini orang Melayu tak pandai sangat berkata halus lagi. Antara ‘Hi’ dan ‘Hello’ dan ‘showtime’ pepatah-petitih sudah dilupai. ‘Apa khabar’ juga sudah dipulas oleh Assalamualaikum. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Buku Kiliran Budi dan Ilmu Mengarang Melayu karya Pendeta Za’ba sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk lagi. Kita menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Di sinilah barangkali tepat dikatakan: ‘koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak’. Kerosakan ini semua adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita:

Jangan disalai ciku kedondong,

Salailah ikan atas para,

Jangan salahkan ibu mengandung,

Salahkan badan yang buruk pinta.

Masalah Bahasa Rojak

Kini kita sudah diserang penyakit campur-aduk seperti yang disebutkan di atas. Penyakit campur-aduk inilah yang menyebabkan berkembangnya bahasa rojak. Bahasa rojak wujud dalam sesuatu ayat yang diselang-selikan dengan bahasa asing sehingga campurannya itu semacam hidangan rojak. Hanya yang berbeza ialah rojak lebih sedap dimakan tetapi bahasa rojak menyebabkan kita sakit telinga mendengarnya dan paling parah, bangsa Melayu malu dipalunya.

Awal-awal lagi boleh diperakukan, mencedok perkataan asing untuk dimuatkan ke dalam sesuatu ayat Bahasa Melayu memang tidak dihalang, malah memang benar seperti kata-kata Pendeta Za’ba dalam buku klasiknya Ilmu Mengarang Melayu bahawa dalam Bahasa Melayu sedia terdapat sekian banyak perkataan yang asalnya adalah dari pelbagai punca: Sanskrit, Inggeris, Portugis, Belanda, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Tidak perlu bagi saya menyatakan perkataan-perkataan itu kerana umum sudah pun mengetahuinya.

Paling mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang ungkapan-ungkapan seperti ‘e-mail’, ‘sms’ ‘internet’, ‘software’, ‘hardware’, ‘ISDN’, ‘html’, ‘computer’ ‘website’ dan sebagainya. Sekarang pun kita secara harian mendengar dialog seperti berikut:

‘Hei, hari ini birthday I lah’

‘Dalam hal ini you yang paling best’

‘How are you today...harap OK lah’

You dah breakfast kah’

‘Hei, kawan-kawan, it’s showtime’

‘Inilah showtime yang ori…’

Ungkapan-ungkapan dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di kaki lima dan di kedai kopi dialog generasi muda begitu juga. Warga emas juga diheret sama. Jelas tiada pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga berterusan wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita sehari-hari. Di samping pengawasan di media barangkali boleh dilakukan, tetapi ianya sukar dikuatkuasakan terhadap individu yang sudah memilih tatabahasa yang baru untuk bercakap antara seorang dengan seorang yang lain.

Jika diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti oleh ratusan contoh lain yang rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah rosak keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak tertarik dengan amalan campur-aduk ini ke tahap yang dialami Bahasa Melayu. Yang merunsingkan ialah kepekaan dan rasa prihatin masih belum tertera di pemikiran yang bertanggungjawab di bidang penggunaan bahasa.

Ada beberapa petua sebelum masyarakat harus membenarkan bahasanya dirasuk bahasa rojak yang tidak indah dan tidak mencerminkan jati diri. Pihak yang mengatakan bahawa apa salahnya diambil perkataan asing, sedangkan perkataan-perkataan asing sudah pun dipinjam semenjak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Ini memang boleh diterima tetapi peminjaman itu berasas kepada beberapa syarat dan ketertiban demi menjaga keutuhan Bahasa Melayu:

i. Istilah atau perkataan baru itu bolehlah diambil jika tiada perkataan yang sama maksudnya dalam Bahasa Melayu; Jika dalam bahasa sendiri ada perkataan yang sesuai, kenapa kita perlu tiru hak orang? Dalam pengertian ini, misalnya kita tak perlu ambil birthday sedangkan hari jadi atau hari kelahiran ada dalam Bahasa Melayu. Showtime boleh diganti dengan masa persembahan atau saat persembahan; ori dengan asli;

ii. Peniruan atau pengambilan kata perbendaharaan orang lain harus menambah ilmu dan jati diri kepada masyarakat.

iii. Pihak pengembang dan pemaju bahasa ibunda harus bertindak dan membetulkan sesuatu ungkapan atau perkataan yang dirasakan menceroboh bahasa sendiri. Malangnya kuasa membetulkan ini tiada pada sesiapa atau mana-mana pihak pada masa ini.

Manakala siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat, seperti yang laksanakan Astro pada masa ini, kita dapat bayangkan betapa besar dan dahsyatnya kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang lain kehidupan kita.

Secara amnya kita terdedah dan terlalu terbuka kepada anasir-anasir luar. Mekanisme penahanan atau mengehadkan penerapan luaran ini tidak cukup ada pada kita sekalipun agama itu tampaknya patut lebih berkesan sebagai penangkis. Apabila bahasa berubah dan diubah soalan yang muncul ialah: siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ianya diubah sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan asing.

Sebaliknya mereka mungkin beranggapan bahawa imej yang mereka perolehi dengan menyelitkan perkataan Inggeris di celah-celah ayat Bahasa Melayu akan meninggikan imej mereka walaupun ini tentunya berupa pendekatan bersifat makjujad (hypocrite); atau dengan Bahasa Melayu rojak mereka berasa boleh mencapai kepuasan berkomunikasi; atau, dan ini penting, mungkin asuhan Bahasa Melayu mereka di sekolah tidak sampai ke tahap mantap.

Juga terdapat di beberapa kalangan, termasuk pemimpin yang tidak berpendidikan aliran Inggeris, lantaran mereka rata-rata dianggap tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, mereka cuba menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam perbualan dengan tujuan supaya orang menganggapnya boleh speaking atau ‘tinggi’ tahap pendidikannya. Walaupun gejala ini barangkali kecil bilangannya, boleh diperakukan bahawa ianya wujud nyata di kalangan masyarakat kita.

Sebenarnya ungkapan sekerat belut-sekerat ular tadi: ‘Hei, hari ini birthday I lah’ boleh dituturkan sebagai ‘Hei, hari ini hari jadi saya (aku) lah’. Semua ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan secara Melayu 100%. Tetapi kenapa tidak dilakukan sebegitu? Ini semua adalah petanda yang bakal membawa kepada kelunturan. Ini bukan sekadar ramalan seorang idealis atau yang semata-mata bersifat tulen tak menentu, tetapi pandangan ini bertapak pada alam nyata:

Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betina

Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka.

Jika demikian cara dan kaedah yang paling berkemungkinan untuk menangani bahasa rojak yang memuramkan imej bahasa kita ialah dengan menjayakan program-program latihan lisan yang membina amalan komunikasi. Ia harus dijalankan di semua institusi persekolahan dan pengajian tinggi.

Personaliti media utama, pemimpin, institusi kawalan kerajaan harus mengutamakan percakapan Bahasa Melayu yang betul. Gejala bahasa rojak tidak akan hapus kerana pembudayaan bahasa ibunda belum wujud sepenuhnya di negara ini. Jati diri tidak dikaitkan dengan pentingnya bahasa ibunda dipersadakan.

iv. Masalah pemakaian dan keutamaan Bahasa Melayu

Dari segi bahasa, bahasa Inggeris sudah nyata akan merobah cara berfikir dan juga cara bertindak di samping cara menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal ditimba.

Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir dalam bahasa Inggeris kemudian bercakap dalam Bahasa Melayu. Malah bermimpi dalam bahasa Inggeris juga kebiasaan. Juga akan ada anak-anak masyarakat Cina dan India Malaysia yang bercakap dalam Bahasa Melayu dan berfikir dalam bahasa Cina dan India. Sekarang pun kecenderungan ini sudah berlaku. Juga tidak dapat dinafikan bahasa Mandarin dan Tamil akan beroleh tempat yang lebih signifikan melalui langkah-langkah pembudayaan bahasa mereka.

Oleh kerana bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu akan disadur banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur Bahasa Melayu mesti bersedia untuk perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat sebagai pengamal keaslian (purist) mungkin akan berduka kerana bahasa lama akan secara perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula akan muncul. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Ia juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat dasar mengglobalkan bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu.

Bila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dari segi keutamaan global bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan posisi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari sudut ini tidak akan meningkat tanpa peningkatan industri buku yang seharusnya diperjuangkan. Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang dicetuskan oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu nanti bakal merubah pemakaian tataBahasa Melayu.

Seharusnya, bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu dikekalkan tetapi berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna kita tidak minta dibuli atau dipijak. Ini termasuklah asuhan Islam positif yang perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam hal ini nilai-nilai yang dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih diminati. Amalan Islam yang mengambil kira tamadun yang berevolusi, konsep dan amalan budi-bahasa, amalan tradisi Melayu seperti sopan-santun, kekeluargaan, hormat-menghormati dan sebagainya akan lebih membimbing.

Pendeknya mesti diteruskan apa yang selama ini dikenali sebagai ‘asuhan budi’. Barangkali falsafah ‘Rukunegara’ yang membentuk masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh disemarakkan semula. Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh dihentikan atau dicanai oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti diadakan. Mewujudkan Kementerian Kebudayaan kesenian dan Warisan hanya sebahagian daripada usaha ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak diwujudkan, soal adab dan tamadun tidak harus dikelasduakan. Bahasalah menjadi penjalin dan penjana bangsa.iv. Utiliti atau sifat perlu guna Bahasa Melayu adalah lumrah manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa menepati tuntutan kegunaan atau utilitinya, perkara atau barang itu akan kurang disimpan, kurang dipakai dan kurang keperluannya.

Dalam satu aspek Bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa ilmu terus menerus disalur oleh bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang satu lagi ialah bahawa Bahasa Melayu masih diperlukan sebagai syarat lulus dan cukup syarat dalam peperiksaan dengan kelulusan dalam Bahasa Melayu. Lagipun sebagai lingua franca negara ini Bahasa Melayu akan tetap digunakan sebagai wahana komunikasi. Sebagai bahasa ilmu Bahasa Melayu dikhuatiri tidak akan terlalu membangun kecuali dasar pembukuan negara diubah dengan erti kata semua teks ilmu moden dan usang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia, kaji cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan baca lantaran buku-buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa Inggeris, bahasa yang dipelajari di sekolah untuk menimba ilmu. Di sini sudah jelaslah kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Sebaliknya pula jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai bahasa Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa. Keadaan serba-salah ini sebenarnya tidak harus digusarkan. Ini adalah kerana jika zaman moden dunia hendak disertai oleh warga Malaysia melalui kebangkitan global, bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi. Ini bererti sekian banyak istilah bahasa Inggeris akan menerpa masuk kepada perbendaharaan kata Bahasa Melayu. Bahasa rojak akan berterusan dituturkan dan dilaungkan.

Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati akan diperolehi kerana nahu semasa akan terus digunakan. Sebagai perbandingan, bahasa Arab juga menghadapi permasalahan yang sama. Mereka belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa ibunda mereka. Justeru saban tahun sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai jurusan sains mengaji di universiti dan institusi pengajian tinggi Barat yang bahasa pengantarnya ialah Inggeris.

v. Unsur-unsur yang merosakkan Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat. Sementara keadaan Bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding Bahasa Melayu tulisan, beberapa sebab dapat diperhatikan:

  • Kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah, mahasiswa dan petugas awam.
  • Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam pembahasaan dan pertuturan.
  • Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah.
  • Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri.
  • Pembelajaran dalam bidang the arts yang tidak disaring dan dikemas.
  • Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran.

Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan rasmi juga dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik. Jika bahasa mesyuarat juga bercampur-aduk dengan selingan bahasa rojak, bagaimana penggunaan bahasa baik dapat dicapai? Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati segan hidup tak mahu lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin terhadap tulisan Jawi.

Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai pencetus nasionalisme Melayu kini sudah jadi edisi sekali seminggu. Itu pun dengan jualan yang kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Ini memalukan. Jika dicari di mana hilangnya, jika dipintas di mana hanyutnya, puncanya ialah pembelajaran bangsa.

vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963

Cinta rakyat kepada Bahasa Kebangsaan meluap-luap sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa Kebangsaan akhirnya diam dan mula segan dan hormat terhadap bahasa ibunda orang Melayu itu. Pada tahun 1963 Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan peruntukan Perkara 152 perlembagaan Persekutuan. Ia tidak memperuntukkan sebarang provisi penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya. Malah jika terdapat penggunaan bahasa pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan.

Apabila Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu lantas dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta bahasa Kebangsaan 1963 adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya Bahasa Melayu. Pada satu hakikat ini mungkin benar tetapi pada pengertian khususnya Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni menyatakan apa yang sudah jelas dan nyata daripada hal Bahasa Melayu itu. Sebaik-baiknya beberapa pindaan harus dilakukan dalam usaha memberi sedikit kuasa penguatkuasaan kepada satu-satunya agensi bahasa di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penguatkuasaan yang dihajati benar ialah apabila disuai penggunaan yang telah disalahgunakan, DBP tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis, misalnya, Biro Bahasa Perancis di bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa membetulkan sesuatu penyelewengan bahasa Perancis. Fenomena ‘pencapaian dan kecapaian’ pada tahun 1996 seharusnya boleh diatasi dengan segera oleh DBP tetapi lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan bahasa yang disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan salah. Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian.

vii. Perubahan dasar:

Benarkah ia melemahkan Bahasa Melayu? Pada suatu hakikat memang boleh diterima bahawa dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran matematik dan sains merobah satu lagi pancang seri yang selama ini menjadi kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut di Sekolah Kebangsaan.

Tetapi realiti perkara ini memerlukan penilaian objektif dan bukan subjektif. Sebelum anjakan dasar ini dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan sains dan matematik di kalangan bukan Melayu berada di tahap baik. Ini adalah kerana pengajaran bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan berkesan sedangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian sains dan matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya, terus meningkat. Ini disebabkan kualiti pengajaran menyumbang kepada pencapaian anak-anak di SRJK.

Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran sains dan matematik. Tetapi pencapaian mereka di bidang-bidang berkenaan terus meningkat sekalipun pencapaian bahasa Inggeris mereka cuma di peringkat sederhana. Apa akan berlaku jika amalan lama tidak dianjak? Pertama anak-anak Melayu akan terus berada di tahap lama, mereka akan terus lemah pencapaian bahasa Inggeris, sains dan matematik.

Sekurang-kurangnya bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik lantas secara teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain dengan lebih mudah. Tetapi ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu kepada murid-murid. Ini bergantung kepada kualiti para guru itu sendiri. Jika kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian di kedua-dua subjek itu juga akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik ialah mewujudkan kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi.

Peranan Maktab Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan.Juga akan berlaku ialah Bahasa Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu tersebut. Dari satu sudut ini kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi dari segi sebenar jika diimbangi ia boleh menjadi rangsangan baru. Tetapi Bahasa Melayu tidak boleh dianggap bahawa lantaran bahasa Inggeris dipilih untuk menyegarkan pengajian matematik dan sains maka Bahasa Melayu akan terus lemah dan menghilang. Ini merupakan sikap mengalah dan pesimis.

Rumusan Tindakan

Tampak sebagai penting iaitu penggunaan Bahasa Melayu perlu dijana semula dan dikempenkan semula. Para pengucapnya mesti dalam keadaan sedar (conscious) selalu supaya megah dan berasa senang berBahasa Melayu dengan baik. Sekolah, universiti, agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan lain harus bersekutu dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat penting ini. Banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan: meningkat dan memperhebatkan dasar buku nasional; menerbitkan buku-buku bermutu dunia dan serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar cintakan bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh diteruskan. Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan terus-menerus.

Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu kita tidak harus terus berasa hilang tenaga dalam menghadapi cabaran global. Untuk menghalang Bahasa Melayu daripada diselangi perkataan dan nilai luar secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi yang berterusan.

Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi Bahasa Melayu zaman depan mesti bersandar kepada situasi menang. Untuk itu pembudayaan bahasa harus nyata.Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, ‘Lorong Touch ‘n Go’. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah ‘Lorong pacu segera’ atau ‘Lorong tekan & pacu’ Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan ‘touch ‘n go’ Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Tepuk dada, tanya selera.

Bahasa Jiwa Bangsa

SMAHADZIR

Rakyat Malaysia sewajarnya berbangga dan harus meningkatkan usaha untuk menggunakan bahasa kebangsaan, bukan sahaja sekadar bertutur, juga dengan memajukan suasananya dalam pembacaan dan penulisan, terutamanya di bidang sastera. Di sinilah dapat dilihat keterampilan bahasa ibunda kita yang menonjol indahnya, murninya, ayunya dan kena dengan bunga-bunga kata yang ekspresif.

Kejayaan yang wajar disemarakkan dan dimegahkan ialah, Malaysia, kini diiktiraf oleh Badan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai negara terkehadapan dalam penerbitan buku di rantau ASEAN dan berada di tempat ke-16 dunia. Syabas Malaysia dalam kecemerlangan ini. Memang berwibawa rakyat Malaysia yang bertauliah.

Semangat untuk mentelaah ilmu demi membangunkan negara haruslah disemai dan diberi setinggi-tinggi keutamaan agar negara kita terus giat dalam membina masyarakat yang berfikir dan berperspektif makroskopik. Ini amat penting untuk memelihara persefahaman dan keseimbangan harmoni rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan kaya dengan budaya dan bahasa unik masing-masing.

Biarlah kekayaan budaya, tradisi dan bahasa ini dijadikan mimbar untuk membuka mata dan hati rakyat mempelajari, memahami dan menghormati keperbezaan yang unik ini, hanya ada di negara kita. Sudah tentu kita boleh menikmati manfaatnya dan meningkatkan hasil pencarian serta mengaut keuntungan dengannya. Potensi untuk menerbitkan lebih lagi buku amat subur memandangkan banyak bahasa yang dipergunakan di sini. Seorang karyawan yang fasih dalam lebih dari satu bahasa mampu menzahirkan lebih dari satu edisi buku, lagi meningkatkan hasil pencarian.

Faedah kepelbagaian bahasa ini terbukti yang ada juga segelintir ibu bapa Melayu yang faham dan mahu anak mereka menyelami bahasa Mandarin agar anak mereka tidak ketinggalan untuk menyahut cabaran dan peluang yang disediakan negeri Cina buat masa depan. Tidak boleh dinafikan yang di SJKC, pendaftaran pelajar melayu kian meningkat. Inilah peluang yang dapat diambil oleh ibu bapa yang peka dan sedar akan kepentingan bahasa yang bertaraf lingua franca. Bak kata perpatah sediakan payung sebelum hujan. Jika mereka tidak dapat mendalami bahasa Inggeris sebagai bahasa untuk mendokong ilmu, maka bahasa Mandarin seterusnya diangkat.

Tidakkah pejuang bahasa, sasterawan Melayu, pakar linguistik bahasa Melayu sedar tentang kesan yang bersabit dari penyekatan mendalami bahasa Inggeris di sekolah secara tidak langsung menaikkan taraf bahasa Mandarin? Walhal saya menghormati permintaan dan pilihan ibu bapa yang mahu mendidik anak mereka mengikut kehendak mereka, tetapi yang saya hairan ialah mengapa sekolah jenis kebangsaan terselamat dari dicerca oleh kononnya pejuang bahasa?

Mengapa hanya menyentapkan segolongan para ibu bapa yang mahukan anak mereka dididik bahasa Inggeris seperti mereka yang mahukan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)? Itu hanya pilihan, seperti pilihan diberikan kepada bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.

Jikalau benar pejuang bahasa hendak memartabatkan taraf bahasa Melayu, haruslah dilakukan dengan cara lain yang aman dan saksama, dan tidak mengganggu perjalanan untuk mencari ilmu. Pejuang bahasa harus sedar yang langkah mereka tegaskan untuk membela bahasa Melayu adalah mengongkong dan hanya menekankan aspirasi agenda Melayu mereka. Ia adalah zalim. Janganlah salah anggap dan begitu tergopoh-gapah melabel mereka yang mahukan ilmu dalam bahasa selain bahasa Melayu sebagai tidak patriotik. Mencari ilmu bebas dan tidak boleh disamakan dengan semangat patrotisme.

Mohon Kementerian Pelajaran agar memberikan peluang untuk perilaku konsumen market forces mengecapi dan memajukan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan. Dengan PPSMI, ramai yang akan menjadikannya sekolah pilihan. Di sinilah rumusan untuk menyatupadukan bangsa Malaysia, agar pengalaman bergaul dan saling memahami antara bangsa majmuk negara ini dapat dipelopori tanpa perasaan curiga, cemburu dan iri hati. Untuk membangunkan negara Malaysia yang maju dan mantap bersaing, haruslah kita bersepadu, berganding bahu dan bersiap — sedia bersaing dengan dunia yang kian kecil dan amat kompetitif. Kalau hendak meluntur buluh biarlah dari rebungnya.

Saya mengharapkan yang pejuang bahasa sedar dan mampu melihat konteks pembelajaran dari kanta untuk membina dan memajukan modal insan yang bercendekiawan agar negara kita tetap aman dan progresif. Sekolah kebangsaan seharusnya diberi mandat dan dorongan untuk mengajar selain dari bahasa Melayu dan MBMMBI, pilihan PPSMI dan memajukan serta meningkatkan prestasi pengajaran bahasa Mandarin, Tamil, Arab dan lain-lain agar ia dapat dijadikan sekolah pilihan rakyat Malaysia dan tapak semaian mesra masyarakat majmuk negara kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita rebah roboh. Bahasa jiwa bangsa.

Aspek Adat Dalam Masyarakat Malaysia Dan Kepentinganya

SMAHADZIR

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.

Adat seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu.

Kerana dua entiti ini terlalu berkait sifatnya, kita pada hari ini selesa menjadikan adat dan budaya itu sebagai satu benda yang sama. Yang berbeza cuma cara sebutannya. Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak tetap iaitu boleh berubah, Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak sama, maka ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah, oleh itu bolehlah kita katakan adat sebagai budaya yang asal.

Justeru dalam membicarakan kepentingan adat dalam membentuk budaya Malaysia pada hari ini, kita akan membicarakan tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk dijadikan budaya bersama rakyat Malaysia bagi mewujudkan identiti dan peribadi rakyat majmuk yang bersifat seragam.

Masyarakat Malaysia ialah suatu masyarakat yang bersifat majmuk dan pelbagai. Ia juga disebut sebagai masyarakat Jawi iaitu masyarakat yang bercampur dari pelbagai latar belakang. Kerana masyarakat Malaysia itu masyarakat Jawi, iaitu yang pelbagai latar belakangnya, maka setiap bangsa atau ras didalam sistem sosial Malaysia pastinya berbeza satu sama lain dari segi latar belakangnya. Tidak terkecuali berbeza dari segi adat dan budaya.

Adat bagi setiap kaum di Malaysia pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Martabat adat itu sendiri berbeza kedudukanya bagi masyarakat Malaysia pada hari ini. Bagi masyarakat Minangkabau sebagai contoh, adat dianggap sebagai sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka. Adat dalam konteks Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika didalam masyarakat mereka wujud istilah-istilah seperti ‘undang-undang adat’, ‘mahkamah adat’, ‘ketua adat’ dan sebagainya. Begitu juga dengan lain-lain kaum di Malaysia, aspek adat masih lagi dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa dan terus dipertahankan walaupun ia sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan perlaksanaanya suatu ketika dahulu.

Dalam membicarakan fokus esei ini iaitu kepentingan aspek adat yang menjadi penyatu bagi mewujudkan peribadi dan identiti kebangsaan, kita seharusnya mengetahui dahulu berkenaan aspek adat yang menjadi identiti masyarakat yang pelbagai di Malaysia. Bagi maksud itu, didalam bahagian ini kita akan melihat aspek adat yang mencerminkan identiti tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Masyarakat Melayu ialah masyarakat asal di Tanah Melayu. Walaupun ada sesetengah sejarawan khususnya sejarawan Barat era kolonial mendakwa masyarakat Melayu juga masyarakat pendatang, namun ianya dapat dinafikan dengan mengetengahkan konsep merantau yang menjadi amalan masyarakat Melayu di Nusantara ketika itu.

Bercakap berkenaan adat di dalam masyarakat Melayu, ramai sarjana mengatakan bahawa adat Melayu merupakan adat jawi iaitu adat yang bercampur. Ini sesuai dengan pemahaman kita berkenaan proses pembentukan Melayu itu sendiri yang merupakan cantuman ras-ras kecil yang beragama Islam, maka wujudlah apa yang dipanggil Melayu itu. Ini menunjukkan pelbagai percampuran dalam pembinaan adat Melayu. Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk pengaruh yang besar dalam proses pembinaan adat Melayu. Pertamanya ialah adat yang dipengaruhi adat Hindu dan Buddha, yang kedua ialah adat yang dipengaruhi zaman Hindu/Buddha dan Islam, yang ketiga ialah adat yang berteraskan Islam.

Adat Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperolehi melalui kitab-kitab lama seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini diamalkan, Islam masih belum sampai ke Nusantara. Ada diantara adat-adat dalam period Hindu dan Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Pastinya kita pernah melihat upacara persandingan didalam majlis-majlis perkahwinan masyarakat Melayu. Ini merupakan salah satu contoh adat-adat Hindu yang ditiru oleh masyarakat Melayu dahulu.

Pemujaan Raja secara melebih-lebih dalam masyarakat Melayu suatu ketika dahulu juga merupakan cerminan kepada pengaruh Hindu Dan Buddha dalam masyarakat Melayu bahkan perkataan ‘Raja’ itu sendiri pun sudah memperlihatkan pengaruh Hindu yang tebal. Begitu juga dari aspek pertabalan dan adat istiadat Istana Melayu, terlihat lagi kekuatan unsur Hindu dan Buddha dalam mencorakkan adat Melayu itu.

Period atau peringkat yang kedua ialah pengaruh unsur campuran Hindu/Buddha dan Islam. Pada zaman ini Islam sudah datang ke Nusantara dan majoriti orang Melayu pun sudah beragama Islam. Namun pengaruh adat lama yang berteraskan Hindu dan Buddha masih diamalkan. Justeru zaman ini digelar zaman campuran adat Hindu/Buddha dan Islam dalam masyarakat Melayu. Pada zaman ini, walaupun masyarakat Melayu sudah Islam, namun mereka mengamalkan adat-adat yang dianggap menyimpang dari ajaran Islam. Sebagai contoh masyarakat Melayu mengamalkan adat mandi Safar yang dianggap sebagai suatu usaha untuk membuang sial bulan Safar dalam kehidupan mereka. Ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menganggap perbuatan itu sebagai khurafat. Begitu juga adat puja kampung, puja pantai dan sebagainya. Ia jelas bertentangan dengan Islam, tetapi tetap diamalkan dengan meluas didalam masyarakat Melayu yang masih tebal dengan pengaruh Hindu dan Buddha ketika itu.

Pengaruh unsur luar yang ketiga didalam masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu pengaruh yang paling kuat sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu. Bagi masyarakat Melayu, adat ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu Islam. Kepatuhan kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas yang mengatakan Islam telah mentamadunkan masyarakat Melayu. Perlembagaan Malaysia sendiri telah mendefinisikan Melayu sebagai mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Ini menunjukkan betapa kuatnya Islam didalam hidup orang Melayu.

Apa yang ingin dijelaskan disini ialah betapa pentingnya agama Islam kepada orang Melayu. Kerana kepentingan itu, pada zaman pengaruh Islam yang kuat ini, masyarakat Melayu menjadikan Islam sebagai teras kepada pembentukan adatnya. Adat-adat yang bertentangan dengan ajaran Islam semakin tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan semakin dikurangkan penggunaanya. Namun pada zaman Islam ini, adat-adat lampau yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam tetap diteruskan pengamalanya.

Adat-adat Melayu yang bercirikan Islam merangkumi adat ketika seseorang dilahirkan, seseorang meningkat remaja, dewasa, adat dalam kehidupan sehari-hari dan adat ketika seseorang itu meninggal dunia. Adat-adat yang diamalkan ini sebenarnya merupakan apa yang disebut sebagai perkara sunat didalam ajaran Islam.

Sebagai petunjuk kepada pengaruh Islam didalam adat Melayu ialah adat ketika seseorang itu baru dilahirkan. Antaranya ialah adat bercukur, melaungkan azan dan iqamat ke telinga bayi dan adat membelah mulut. Bercukur ialah perbuatan mencukur rambut asal bayi sehingga botak, ianya biasa diadakan pada hari-hari ganjil seperti hari ketiga, ketujuh, kesembilan dan seterusnya. Bercukur bertujuan membuang rambut asal bayi yang dianggap kotor dan tidak akan tumbuh dengan baik. Ia sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan.

Azan dan iqamat pula merupakan tuntutan Islam untuk memulakan pendengaran seseorang yang baru dilahirkan itu dengan kalimat-kalimat yang mulia. Ada juga golongan tua Melayu mengatakan ianya merupakan simbolik kepada singkatnya hidup didunia ini iaitu sesingkat masa yang diambil antara iqamat dan solat yang akan didirikan. Ketika dilahirkan kita diazan dan diiqamatkan, dan apabila kita meninggal dunia, kita disolatkan dengan solat jenazah.

Adat membelah mulut pula menjadi tradisi masyarakat Melayu dengan melalukan manisan ke bibir bayi yang baru dilahirkan. Adakalanya juga digunakan emas bagi maksud itu. Adat membelah mulut ini biasanya dilaksanakan oleh orang-orang yang dianggap alim oleh masyarakat. Ada masa-masanya, ia juga dilakukan oleh bidan yang menyambut kelahiran bayi itu. Ia bertujuan supaya bayi yang dibelah mulutnya akan mengikut perangai orang yang membelah mulutnya apabila sudah dewasa nanti.

Masyarakat Cina di Malaysia juga seperti masyarakat-masyarakat lain yang mempunyai adat dan cara hidupnya sendiri. Secara teorinya, dapat kita katakan bahawa adat kaum Cina di Malaysia ialah warisan daripada negara China. Ini memandangkan berlaku proses kemasukan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu pada awal abad ke 19 dahulu, kemasukan kaum Cina ke Tanah Melayu ketika itu secara tidak langsung telah membawa sekali segala adat istiadat mereka.

Kaum Cina di Malaysia mempunyai beberapa pegangan dalam menjalankan proses kehidupan mereka, seperti juga lain-lain kaum, masyarakat Cina juga mempunyai adat tentang perkahwinan, kematian, dan sebagainya. Apa yang menarik berkenaan adat kaum Cina ialah suatu bentuk adat dan petua untuk kehidupan yang mereka namakan ‘Feng Shui’, yang mana pengaruhnya masih menebal dalam kalangan mereka pada hari ini. Lazimnya adat istiadat Cina dipengaruhi oleh unsur Buddha yang menjadi pegangan kebanyakan ahli dalam masyarakat Cina. Falsafah lampau juga banyak mempengaruhi adat istiadat Cina sehingga menyebabkan mereka mempunyai pelbagai acara-acara dan pantang larang yang berorientasikan adat.

Seperti juga masyarakat majoriti Melayu dan Islam, masyarakat Cina juga mementingkan nasab keluarga dari sebelah lelaki. Nama pangkal seseorang iaitu nama keluarga didalam masyarakat Cina ialah nama keluarga disebelah lelaki. Sebagai contoh, nama Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Prof. Wang Gunwu, nama pangkal mereka iaitu Teo dan Wang itu ialah nama warisan keluarga ayah mereka yakni nama keluarga sebelah lelaki. Ini merupakan salah satu aspek adat yang menjadi amalan masyarakat Cina. Kaum lelaki Cina juga seperti kebanyakan lelaki bangsa lain, dilantik menjadi ketua keluarrga dan merupakan waris utama pusaka keluarga.

Kepentingan meneruskan kesinambungan keluarga didalam masyarakat Cina menyebabkan perkahwinan seorang lelaki didalam keluarga adalah amat penting. Secara tradisi, perkahwinan tersebut akan mengikuti beberapa upacara yang bermula dengan merisik oleh seorang perantara hinggalah perkahwinan. Namun, pada zaman yang lebih moden ini, hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan akan diadakan majlis keraian yang mewah di restoran.

Kelahiran anak mengikut adat dan pantang larang Cina ialah sangat penting. Justeru kesihatan si ibu dan kandunganya adalah amat dititik beratkan. Si ibu digalakkan tidur dan makan dengan baik, membaca buku yang baik dan melihat benda-benda yang cantik. Apabila anak itu dilahirkan, anak itu dibersihkan dan akan dibedung. Pada hari ke 29 kelahiran, rambut si anak dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah. Rambut itu akan digantung berdekatan bantalnya selama 100 hari dan kemudian rambut itu dibuang ke sungai. Anak itu diharap akan menjadi berani pada masa hayatnya. Setelah sebulan kelahiran anak itu, upacara Bulan Penuh akan diadakan dengan meriah. Ulang tahun kelahiran seseorang kaun Cina tidak akan diperingati, kecuali diperingati oleh anaknya apabila seseorang itu sudah tua dan ianya akan diadakan secara besar-besaran.

Kematian ibu bapa dalam masyarakat Cina adalah upacara yang amat berharga dan mahal kosnya yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus pastinya memerlukan belanja besar. Bagi masyarakat Cina inilah hadiah terbaik seorang anak kepada ibu bapanya. Jika si anak tidak mampu, masyarakat sekeliling pasti akan membantu. Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan dan bertanggungjawab memasukkan mayat ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda tersebut akan dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang seterusnya akan dikebumikan pada satu hari yang ganjil.

Di dalam masyarakat Cina, upacara pengkebumian adalah acara yang amat meriah dengan dipenuhi dengan peraturan dan adat tertentu. Selepas pengkebumian mayat, akan diadakan pelbagai upacara lain terutama adat pembakaran colok dan alatan yang diperbuat daripada kertas sebagai bekalan hidup si mati di alam akhirat. Upacara ini biasanya akan diketuai oleh seorang Sami yang diamanahkan oleh keluarga si mati. Oleh kerana adat kematian ini dianggap terlalu penting dalam masyarakat Cina, banyak kepercayaan dan pantang larang mesti diperhatikan dan dipatuhi apabila berlaku sesuatu kematian.

Sepanjang tahun dalam kehidupan masyarakat Cina, banyak sekali perayaan yang diikuti dan diraikan oleh orang Cina. Setiap bulan, pasti ada kegiatan dan upacara tertentu serta dewanya yang berlainan untuk dipuja. Adat resam masyarakat Cina amat banyak dan ianya akan diamalkan mengikut perubahan musim pertanian dan negeri China.

Antara upacara-upacara yang diraikan masyarakat Cina selain dari Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh ialah adat Ulang Tahun Kematian, adat Puja Kampung, adat Mencuci Kubur, Sembahyang Hajat dan Menjamu Keramat. Adat-adat ini tampak seumpama perbuatan-perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Namun ianya pastilah berbeza dan dijalankan dengan cara dan matlamat yang berbeza bagi mewujudkan identiti masyarakat Cina yang tersendiri.

Seperti juga kaum Cina, kaum India juga bukanlah penduduk asal Malaysia. Kemasukan masyarakat India ke Tanah Melayu sudah berlaku sejak sekian lama. Samada kemasukan itu suatu bentuk penghijrahan atau sekadar merantau untuk mencari rezeki, hakikatnya kemasukan ini sudah berlaku sejak sekian lama. Apabila Melaka muncul sebagai pusat perdagangan serantau menjelang abad ke 15, masyarakat India yang terdiri daripada golongan pedagang, sami Buddha dan Hindu, tukang dan sebagainya tidak terlepas pandang untuk memasuki Tanah Melayu dengan pelbagai kepentingan. Kemasukan mereka ini juga sudah pasti membawa bentuk adat istiadat mereka yang tersendiri.

Masyarakat India biasanya mengikuti adat resam yang berteraskan agama Hindu meskipun ramai orang India pada hari ini beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia, mereka juga mempunyai budaya berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara serta turut bersedia menerima kunjungan dari jiran tetangga. Didalam masyarakat India, jika kita ingin berkunjung kerumah tetamu, amatlah digalakkan membawa buah tangan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Mereka juga biasanya melangkah kedalam rumah dengan kaki kanan dahulu.

Kaum India juga mengamalkan adat bertegur sapa sesama sendiri. Mereka menyapa dengan sebutan ‘vanakam’ dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya antara rakan dan sanak saudara mereka. Apabila tetamu bertandang ke rumah mereka, tetamu sentiasa dijamu dengan minuman atau makanan dan tetamu mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Didalam masyarakat India juga, jika menerima sesuatu, dimestikan menggunakan tangan kanan sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran.

Keluarga amat penting dalam masyarakat India. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah institusi yang paling dihormati dan dianggap mulia, ‘Ibu adalah umpama Tuhan’ dan anak perempuan juga dipanggil ‘amma’ seperti seorang ibu didalam tradisi India. Oleh itu, penjagaan anak perempuan amat dititik beratkan terutama ketika mereka masih dara.

Seorang suami pula di dalam masyarakat India adalah ‘Tuhan bagi isterinya’ dan mesti sentiasa dihormati. Oleh kerana itu, proses perkahwinan India mesti ditentukan oleh seorang ketua agama yang membuat tilikan masa bertuah serta keserasian pasangan yang akan berkahwin. Masa perkahwinan yang dianggap bertuah amatlah penting bagi menjalankan segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya malapetaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk, maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau waktu matahari akan naik. Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan untuk menyaksikan perkahwinan itu.

Seperti juga adat kaum-kaum lain, kelahiran seorang bayi adalah acara yang penting kepada keluarga dan masyarakat India. Semua saudara mara akan dimaklumkan apabila lahirnya seorang bayi. Selama 16 hari selepas kelahiran bayi, ahli keluarga tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 kelahiran, upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Ketika ini rumah dan buaian akan dihias cantik dan jiran-jiran dijemput bersama meraikan upacara tersebut.

Dalam aspek pemberian nama anak, nama seorang anak diperolehi dari almanak Hindu mengikuti bintang dan hari kelahirannya. Seorang ketua agama akan dirujuk untuk mencari nama bertuah mengikuti aksara bintangnya. Ketika menamakan itu, bayi dipangku oleh orang tua satu persatu sambil dinyanyikan doa agama oleh kaum wanita mereka.

Dari aspek perayaan, terdapat banyak perayaan di kalangan masyarakat India. Di sepanjang tahun, mengikut kalendar Hindu mereka akan mengadakan pelbagai upacara sembahyang berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di negeri India. Masyarakat Hindu akan bersembahyang sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengahari dan petang di tempat tertentu di rumah. Mereka juga pergi ke kuil untuk bersembahyang ataupun mengadakan upacara agama.

Perayaan kaum India diadakan dengan mengikuti peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan mengembang dan bulan menirus. Terdapat 21 jenis perayaan di dalam adat masyarakat India. Perayaan-perayaan itu termasuklah Deepavali, Thaipusam dan Thaiponggal.

Deepavali ialah ‘perayaan cahaya’ sebagai tanda kejayaan ‘cahaya’ ke atas ‘gelap’ atau ‘ilmu’ ke atas ‘kejahilan’ ataupun ‘keadilan’ mengatasi ‘kezaliman’. Inilah perayaan paling utama bagi masyarakat India. Pada hari ini sembahyang akan diadakan terutama untuk mendoakan roh keluarga yang sudah meninggal dunia.

Thaipusam pula adalah perayaan bulan ‘Thai’ untuk membersihkan diri dengan menggunakan susu, madu dan bunga di kuil dan membuat persembahan kepada Dewa Subramaniam. Pada masa perayaan ini diadakan, ‘kavadi’ yang berisi buah-buahan, susu dan akan dibawa pelbagai persembahan.

Thaiponggal pula merupakan perayaan menuai dan ‘masak padi baru’ serta ‘memuja semangat padi’. Ia adalah masa yang amat baik untuk mangadakan perkahwinan dan upacara lain. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi, ‘ponggal’ pula akan dimasak di dalam periuk baru untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan juga disedekahkan kepada jiran tetangga.

Melanjutkan perbicaraan terdahulu berkaitan adat atau disebut juga budaya masyarakat-masyarakat utama Malaysia, apa yang cuba digambarkan bukanlah bagaimana bentuk adat-adat tradisi masyarakat di Malaysia semata-mata, tetapi kita berusaha untuk melihat bagaimana setiap kaum itu mempunyai adat dan kepercayaanya yang membentuk identiti dan keperibadian mereka yang tersendiri. Secara tidak langsung juga didalam bahagian itu kita telah membicarakan kepentingan adat kepada kaum-kaum tersebut. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, namun jika diteliti, kita pasti akan memahami akan kepentingan adat-adat itu sekurang-kurangnya sebagai perlambangan identiti dan peribadi masyarakat mereka.

Bercakap berkenaan identiti dan keperibadian masyarakat. Kita sedia memaklumi bahawa di Malaysia, kita tidak hanya mempunyai satu bangsa sahaja. Malaysia merupakan sebuah negara yang bangsa-bangsa didalamnya adalah bercampur ataupun dalam istilah yang lebih mudah, masyarakat yang majmuk. Justeru apa yang ingin dijadikan topik disini ialah bagaimana kepelbagaian adat didalam masyarakat Malaysia yang membentuk identiti masing-masing ini mampu disatukan dan dijadikan sebagai cerminan peribadi dan identiti kepelbagaian itu secara menyeluruh dan bersifat nasional. Maknanya kita perlu membicarakan tentang bagaimana kepelbagaian adat di Malaysia itu dapat disatukan dan dijadikan sebagai adat yang satu bagi menjadi lambang identiti dan peribadi nasional. Perlu dibincangkan juga ialah apakah aspek teras yang menjadi garis panduan budaya nasional ini.

Dalam mengungkap permasalahan ini, kita sebenarnya hanya perlu mencari aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan adat nasional yang menjadi perlambangan identiti dan keperibadian seluruh rakyat Malaysia dan apakah kepentingan aspek adat itu serta kepentingan identiti dan keperibadian kebangsaan itu sendiri.

Aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional lebih mudah kita fahami melalui pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada 1971. Dasar ini diputuskan melalui Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak dan ianya dihadiri oleh wakil-wakil dari setiap kaum di Malaysia.

Melalui pembentukan ini, secara rasmi telah digariskan beberapa perkara yang menjadi teras kepada pembentukan identiti dan keperibadian seluruh rakyat Malaysia. Justeru melalui kewujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang memang digagaskan bagi maksud itu, kita akan dapat mengungkap aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional yang menjadi fokus tulisan ini.

Antara aspek teras dalam pembentukan identiti dan peribadi nasional ialah identiti dan kepribadian Malaysia haruslah berteraskan adat asal rantau ini. Definisi geografi berkaitan ‘rantau ini’ ialah kawasan yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand, Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik iaitu Polynesia, Melanesia, Oceania sehingga ke Madagascar. Rantau ini adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan warisan adat masyarakat Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa yang juga dipanggil sebagai linguafranca.

Adat serantau ini juga digambarkan melalui persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu iaitu Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Justeru dalam aspek Malaysia, secara mudahnya, aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional ialah adat masyarakat Melayu.

Hal ini tidak dapat dipertikaikan oleh masyarakat lain kerana adat atau budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Maka apabila dipersetujui adat masyarakat asal serantau dijadikan identiti Malaysia, pastilah di Malaysia, adat Melayu yang paling layak diletakkan didalam kategori itu. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim sendiri, walaupun berbangsa Cina, turut mengakui bahawa masyarakat Melayu ialah nuklius ataupun teras dalam masyarakat Malaysia. Justeru adat Melayu dijadikan teras identiti semua kaum di Malaysia adalah sangat berpatutan ataupun dalam istilah arab dipanggil adil.

Aspek teras pembentukan identiti yang kedua ialah menggunakan unsur-unsur adat dan kebudayaan luar yang sesuai dan wajar untuk diterima sebagai identiti Malaysia. Aspek ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai adat dan budaya. Dengan itu unsur-unsur adat Cina, India, Kadazandusun, Arab, Barat dan lain-lain unsur adat yang sesuai, boleh diberi pertimbangan untuk diterima dan dijadikan sebagai identiti kebangsaan.

Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada kerelevenannya yang pasti tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan, prinsip-prinsip Rukun Negara, kepentingan nasional, asas-asas moral serta kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

Dalam penerimaan teras kedua ini, kita melihat berlaku tolak ansur sesama kaum di Malaysia dalam soal pembentukkan keperibadian dan identiti kebangsaan. Bukan sahaja identiti Melayu diangkat sebagai identiti kebangsaan, tetapi juga identiti kaum-kaum lain di Malaysia. Ia juga diterima kerana terdapat unsur-unsur adat yang sama dan seiring dengan adat teras iaitu adat dan kebudayaan Melayu.

Namun, hal ini juga tidak boleh dijadikan isu samada identiti kebangsaan itu orientasinya adalah daripada warisan adat kaum yang mana. Ini kerana pembentukkan identiti dan keperibadian kebangsaan itu bukanlah bertujuan untuk mempromosikan adat masing-masing untuk digunakan oleh semua rakyat Malaysia, sebaliknya ia jelas berperanan untuk menyeragamkan identiti masyarakat yang pelbagai untuk dijadikan identiti Malaysia yang satu. Namun identiti bangsa juga masih boleh dikekalkan dan dipelihara kelangsunganya.

Aspek ketiga yang menjadi teras kepada pembentukkan keperibadian dan identiti kebangsaan ialah agama Islam. Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting didalam proses pembangunan dan perpaduan negara. Agama juga perlu bagi merealisasikan pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.

Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal. Kerana itu ia patut dijadikan unsur yang penting dalam pembentukan identiti kebangsaan. Ini juga memandangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Di samping itu, telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini sejak dahulu lagi.

Bercakap pula tentang kepentingan aspek-aspek adat yang dijadikan teras kepada pembentukan identiti dan keperibadian kebangsaan, aspek teras yang disenaraikan seperti adat masyarakat rantau ini, adat luar yang sesuai dan adat yang berpandukan Islam pasti mempunyai kepentingannya yang tertentu.

Yang pertama, kepentingan adat Melayu dijadikan sebagai teras dalam pembentukan identiti nasional ialah untuk memastikan kestabilan sosial dan politik di Malaysia terus terpelihara. Harus kita fahami apabila kita bercakap berkenaan Malaysia, majoriti penduduknya ialah orang Melayu. Kerana orang Melayu ialah majoriti didalam masyarakat Malaysia, adalah penting untuk menjadikan adat kaum yang majoriti sebagai ikutan kepada kaum-kaum lain yang lebih kecil populasinya. Ini bagi memastikan tidak berlaku pertikaian kepada masyarakat lain di Malaysia khususnya kepada masyarakat Melayu sendiri sebagai entiti yang terbesar dan bertaraf peribumi di Malaysia. Kedudukan masyarakat Melayu yang dianggap nuklius didalam sistem sosial di Malaysia juga merupakan kepentingan yang perlu diambil berat sesuai dengan kedudukan istimewanya yang dijamin Perlembagaan.

Kedudukan Raja-Raja, Yang Dipertua Negeri dan Yang Dipertuan Agong juga merupakan aspek yang penting untuk menjadikan adat Melayu sebagai pemangkin identiti nasional. Raja-Raja dan Yang Dipertuan Agong merupakan tuan kepada negeri-negeri dan negara Malaysia sendiri. Mereka juga merupakan orang Melayu. Kedudukan mereka yang menjadi lambang perpaduan negara ini menyebabkan adat istiadat mereka iaitu adat istiadat Melayu diterima sebagai suatu unsur teras dalam melaksanakan identiti Malaysia secara bersama. Justeru untuk memastikan Institusi Raja-Raja Melayu terus dilindungi dan dihormati, maka dalam usaha untuk membentuk identiti dan peribadi kebangsaan, adat Melayu tidak boleh dikesampingkan.

Kita juga harus melihat kepentingan untuk menerima mana-mana unsur adat dan budaya luar untuk dijadikan adat dan budaya kebangsaan. Walaupun telah dipersetujui bahawa adat Melayu merupakan adat teras yang dijadikan ikutan setiap rakyat Malaysia, namun ketetapan itu tidak bermaksud hanya itu sahaja adat yang akan diterima kearah pembentukan identiti yang seragam dalam masyarakat Malaysia. Adat dan budaya kaum lain yang sesuai juga dapat dipraktikkan asalkan ianya tidak bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. Ini bagi memastikan tiada suara-suara yang mempertikaikan tindakan kerajaan yang menggariskan unsur-unsur penting kearah membentuk budaya kebangsaan. Pendek kata, penerimaan unsur-unsur asing ini ialah supaya keharmonian kaum di Malaysia akan terus berlangsung dengan jayanya.

Unsur-unsur adat dan budaya luar juga penting untuk dijadikan adat dan budaya kebangsaan kerana bagi menghasilkan budaya kebangsaan yang tidak terlalu stereotaip dengan adat dan budaya Melayu, adat lain juga perlu disenaraikan. Budaya kebangsaan diwujudkan untuk menunjukkan peribadi dan identiti masyarakat Malaysia yang pelbagai, bukan hanya untuk melambangkan budaya dan adat Melayu semata-mata. Dengan adanya unsur-unsur yang diluar daripada adat dan budaya Melayu yang sesuai, maka akan terhasil suatu modul identiti masyarakat yang pelbagai dan bersifat luwes.

Unsur Islam yang dijadikan teras kebudayaan kebangsaan juga penting bagi menjamin kedudukannya yang merupakan agama rasmi Malaysia. Islam tidak boleh dan tidak dapat disamakan dengan agama-agama lain kerana ia merupakan agama yang sebenar. Maka dalam usaha menerapkan identiti kebangsaan, Islam tidak boleh dikesampingkan. Selain kerana kedudukan Islam sebagai agama rasmi, ia juga penting kerana Islam merupakan tunjang kepada kehidupan masyarakat Melayu iaitu masyarakat peribumi dan majoriti di Malaysia. Walaupun identiti dan peribadi kebangsaan adalah berteraskan Islam, namun agama-agama lain bebas untuk dilaksanakan dengan syarat amalan agama-agama lain tidak akan menggugat kedudukan agama Islam sebagai agama utama di Malaysia.

Masyarakat Malaysia sudah mempunyai adat yang tersendiri, tetapi kenapa kerajaan masih berkehendak supaya diwujudkan suatu adat dan budaya baru bagi mencerminkan identiti dan keperibadian Malaysia yang seragam? Adakah dengan budaya dan adat kaum-kaum yang sedia ada di Malaysia tidak cukup untuk mencerminkan identiti negara?

Bagi mewujudkan identiti yang seragam seiring dengan kesanggupan pelbagai kaum untuk hidup bersama di Malaysia, tidak dapat tidak, penyeragaman identiti dan keperibadian kebangsaan ini perlu dilakukan. Antara kepentingan masyarakat Malaysia disatukan melalui adat dan budaya kebangsaan ialah untuk melahirkan satu cara hidup masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya dan bahasa pertuturan tetapi dapat hidup berdampingan, berganding bahu, bertimbang rasa dan penuh dengan sikap toleran. Penyeragaman identiti dan keperibadian berbagai-bagai etnik adalah perlu untuk rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan aman daripada persengketaan serta kucar-kacir. Dalam erti kata yang lain, identiti dan keperibadian yang seragam ini akan membolehkan perpaduan nasional berlangsung dengan lebih utuh lagi.

Identiti dan kepribadian kebangsaan juga berkepentingan untuk menghindarkan masyarakat dari me1akukan perkara-perkara yang menyalahi norma-norma dan garis panduan dalam kehidupan bermasyarakat. Budaya kebangsaan ini penting ke arah melahirkan satu negara bangsa Malaysia yang maju, progresif, saintifik dan bersatu padu tanpa ada unsur-unsur negatif dalam kehidupan seharian sesama sendiri. Tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang mengamalkan kebudayaan, adat resarn, agarna dan bahasa masing-masing diharap akan dapat bersatu melalui usaha bersama yang murni ini.

Kebudayaan dan adat ahli masyarakat Malaysia walaupun berbeza, namun mempunyai asas yang sama iaitu membentuk keperibadian dan jati diri individu ke arah yang lebih baik. Melalui usaha membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan, ia membolehkan masyarakat negara kita berinteraksi dengan lebih baik di antara satu sama dalam melaksanakan matlamat yang sama iaitu untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bepegang teguh dengan ajaran agama masing-masing dan mementingkan nilai-nilai murni yang diajar didalarn agama mereka. Interaksi antara kaum ini penting untuk menghindari masyarakat daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi norma-norma kehidupan. Interaksi antara kaum yang baik juga adalah merupakan satu jalan kearah perpaduan nasional dan mencetuskan masyarakat yang harmonis dan bersatu padu.

Budaya yang seragam bagi rakyat Malaysia juga penting bagi memastikan perancangan dan tindakan kerajaan untuk menerap serta menanam nilai-nilai murni ke dalam akal fikiran, hati budi serta perilaku masyarakat Malaysia di pelbagai lapisan masyarakat dapat direalisasikan. Amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang merupakan perkara penting dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan seharusnya ditegaskan sebagai sebahagian dari proses pembangunan identiti untuk mencapai tahap keutuhan peribadi dan perilaku yang mulia dan berbudi bahasa. Maka identiti dan keperibadian kebangsaan ini diharap akan meneguhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.

Segala tindakan idealisme kebangsaan ini juga adalah suatu usaha untuk membina bangsa Malaysia melalui semangat Rukunegara. Perisytiharan Rukunegara dengan jelas meletakkan negara di atas cita-cita perpaduan, kehidupan demokratik, keadilan, tradisi budaya serta masyarakat progresif. Oleh itu, budaya dan identiti seragam ini penting untuk memastikan cita-cita tersebut dapat direalisasikan dengan jayanya.

Berbagai usaha telah dijalankan bagi mencapai matlamat untuk mewujudkan identiti dan keperibadian kebangsaan. Secara umumnya pencapaian matlamat dan objektif hasrat ini telah menunjukkan kejayaan yang boleh dibanggakan. Perlu diingat bahawa didalam pembentukan dan pewujudan satu kebudayaan kebangsaan, proses penyerapan dan penerimaannya akan mengambil masa yang lama dan mungkin melangkaui satu generasi ke satu generasi yang lain.

Penggubalan dan pelaksanaan dasar ini, meskipun masih lagi baru usianya namun pembentukan identiti nasional dan perpaduan kaum dan nilai murni Islam telah pun dilaksanakan. Adalah didapati bahawa pencapaian ke arah ini telahpun jelas kelihatan semenjak ia mula diterapkan. Identiti kewarganegaraan dan adat Malaysia pada hari ini boleh didapati didalam perayaan-perayaan antarabangsa dan juga di dalam kegiatan seni sukan dan perayaan pelbagai kaum di Malaysia sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Secara ringkas bolehlah dikatakan aspek adat yang menjadi teras identiti dan keperibadian negara Malaysia telah dapat diterima dan diikuti secara beransur-ansur oleh setiap golongan rakyat Malaysia. Namun demikian pelaksanaannya pasti rumit dan tidak akan dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu mencapai hasrat dan cita-cita pelaksanaan ini kerana dengan keinsafan itu sahaja adat yang membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan akan dapat dibezakan dengan adat yang bersifat kesukuan atau perkauman. Identiti dan keperibadian yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan akan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.

Bibliografi:

  1. 2004, Buku panduan Budi Bahasa Budaya Kita, K. Lumpur. KEKKWA.
  2. Aziz Deraman, 2001, Masyarakat Dan Kebudayaan Malaysia Edisi Baharu), K. Lumpur, DBP.
  3. Anwar Din Penyunting), 2008, . Asas Kebudayaan Dan Kesenian Melayu, Bangi, Penerbit UKM.
  4. Gullick. J , 1981, Malaysia:Economic Expansion and National Unity, London, Westview Press.
  5. Hanapi Dollah, 1986, Asimilasi Budaya:Kajian Kes Komuniti Cina Di Kelantan, Bangi, Penerbit UKM.
  6. M. Rajantheran & S. Manimaran, 1994, Perayaan Dan Keraian Orang India, K. Lumpur, Fajar Bakti.
  7. Mohd. Taib Osman, 1983, Bunga Rampai Kebudayaan Melayu, K. Lumpur, DBP.
  8. Puti Reno Raudha Thaib, 1989, Peran Adat Dalam Pengembangan Kepariwisataan, Jakarta, Pustaka Aksara.
  9. Wan Abd. Kadir Yusoff & Zainal Abidi Borhan, 1985, Idealogi dan Kebudayaan Kebangsaan, K. Lumpur, Jab. Pengajian Melayu, UMalaya.
  10. Wan Ramli Wan Muhd & Hanapi Dollah, 1999, Pantang Larang Orang Melayu Tradisional, K. Lumpur. Utusan Publications.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA