Selasa, 26 Disember 2023

KETAR LUTUT

 SMAHADZIR

“Huh, muka tak tau malu! Badan busuk macam sekerap ada hati nakkan anak dara aku!”

 Pagi hening dibebar cemuhan Munah Janda. Pelanggan Kedai Kopi Pak Coh tersentak. Masing-masing menunak mata ke arah Munah Janda yang sudah seperti orang gila di luar kedai.

 “Cermin sikit muka hang tu, Junuh! Muka macam tepung gomak, tak ingin aku nak bermenantukan penoreh getah macam hang, tau takkkkkkkkkkkkk!!”

Semua yang ada di Kedai Kopi Pak Coh di kepala simpang Kampung Setoi itu menikus. Tiada siapapun berani bersuara. Junuh di satu sudut tunduk membungkam. Mukanya merah padam, cawan kopi O depan mata direnung penuh pedih. Rasa malu bukan kepalang.

          “Anak aku Si Leha tu hanya padan dan layak dengan pegawai saja. Bukan orang macam hang! Tuiiiihhhhh!!”

          Seketul kahak kuning pekat terloncat keluar bersama ludah di hujung penghinaan terakhir Munah Janda sebelum meninggalkan hening berjenak-jenak ruang Kedai Kopi Pak Coh. Kampung Setoi pagi itu jadi heboh dengan kejadian tersebut. Ada yang menggeleng-geleng, ada yang mendecit-decit dan boleh dikatakan semua warga kampung kurang setuju dengan tindakan janda tersebut.

Walaupun Junuh memang seorang penoreh getah, tetapi penghinaan begitu tidak sepatutnya terluah lebih-lebih lagi di depan khalayak.

          “Munah Janda tu memang dah melampau sungguh!” rungut Pak Coh sewaktu bercerita tentang peristiwa tersebut kepada Lebai Senapi suatu hari. “Kalau dah tak suka Si Junuh tu, janganlah sampai maki-hamun dia di kedai aku. Aku turut tumpang malu. Bergantang biji mata tengok kejadian tu. Dua tiga pelanggan aku tak jadi nak beli kuih yang aku jual kerana depa malu dengan maki-hamun yang janda tu luahkan!”

Lebai Senapi sekadar mengeluh panjang. Tidak mampu membuat sebarang komen. Dia tahu benar perangai Munah Janda yang memang lantang dan celupar sikit mulutnya dan dia juga tahu tentang Junuh. Sudah lama Junuh tergila-gilakan Leha. Itu bukan satu kesalahan besar. Adat muda memang begitulah.

Setahunya, Junuh telah masuk meminang secara beradat tetapi ditolak oleh Munah Janda. Dia menyangkakan peristiwa tersebut tamat di situ saja. Tidak sangka pula marah janda itu masih membengkak dengan pinangan yang dilakukan oleh Junuh sampai sanggup memalukan pemuda itu di kedai kopi pula.

Perbualan yang mahu dilanjutkan jadi terbantut kerana Munah Janda tiba-tiba saja sudah berada di depan kedai. Pak Coh tersengih-sengih seraya bangun lalu menghilang di bahagian dapur.

“Ha, di sini rupanya Pak Lebai!” ujar Munah Janda tatkala melihat Lebai Senapi. “Aku ke rumah Lebai tadi tapi bini Lebai kata Lebai ke kedai. Jadi, akupun terus ke mari!”

          “Apa halnya cari aku?” tanya Lebai Senapi.

          “Aku nak jemput Lebai datang ke rumah lepas maghrib malam ni! Nak buat kenduri kesyukuran sikit!” jelas Munah Janda sambil tersengih. Sentil tembakau kasi di mulutnya dikunyah-kunyah.

          “Eh, aku tak dijemput sama ka?” Pak Coh tiba-tiba bersuara. Bungkusan mi goreng permintaan Lebai Senapi diletakkan atas meja.

          “Ha, kaupun mailah! Aku memang nak jemput semua orang kampung. Kenduri ni tanda syukur sebab cita-cita aku nak bermenantukan seorang pegawai dah dimakbulkan Tuhan...”

          “Maksud kau, Leha tu dah dipinang orang?” Lebai Senapi sedikit terbeliak.

Munah Janda tersengih lebar. “Dah Lebai! Seorang pegawai dari Sungai Petani. Besaq pangkatnya. Huh, baru padan muka Junuh tu! Dia sangka aku sukakan dia. Mentang-mentang aku selalu panggil dia mai ke rumah tolong tebas semak-samun belakang rumah, dia sangka aku nak jadikan dia menantu! Dasar budak tak tau malu!”

          “Sudahlah Munah! Tak usahlah hang dok hina Junuh tu. Dah hang tak suka, diam sudahlah. Buat apa nak hina dia lagi!” Lebai Senapi seolah-olah kurang senang.

          “Aku bukan hina dia Lebai! Tapi, aku nak bagi dia sedar. Cermin dulu mukanya sebelum nak pinang anak dara orang!” dengus Munah Janda seraya mencebek. Bibirnya yang memang tebal sejak azali itu terjuih-juih hodoh.

          Lebai Senapi dan Pak Coh diam tidak bersuara. Masing-masing tak kuasa lagi nak layan janda separuh umur yang angkuh dan bongkak itu. Sejurus selepas Munah Janda menghilang, Lebai Senapi turut meninggalkan pekarangan kedai Pak Coh.

          Begitulah peristiwa yang berlaku beberapa bulan lalu. Sekarang Leha sudahpun menjadi isteri seorang pegawai bernama Leman.

 Munah Janda semakin sibuk mencanangkan pangkat besar yang dimiliki menantunya. Semua orang Kampung Setoi seolah-olah terpukau dengan cerita Munah Janda lebih-lebih lagi apabila mereka melihat Leman sering saja berpakaian kemas, berjenama mahal dengan dasi tersemat di dada dan sebuah beg hitam tidak pernah lekang dari tangan. Pakaiannya pelbagai corak dan warna, sering pula singgah di Kedai Kopi Pak Coh untuk menjamu selera selepas pulang kerja.

          Walaupun rata-rata warga kampung kurang senang dengan sikap Munah Janda tetapi mereka amat senang pula dengan sikap ramah dan mesra yang ditunjukkan oleh Leman. Menantu Munah Janda ini tidak suka bermegah-megah malah selalu pula merendah diri.

          “Kerja saya biasa saja, Pak Coh! Sekadar pegawai kecik di Sungai Petani!” ujarnya mesra dan lunak sewaktu disoal oleh Pak Coh suatu hari.

          “Janganlah merendah diri sangat, Leman! Dari gaya kau, kami semua tau yang kau ni pegawai besar!” balas Pak Coh.

          Leman tersengih. “Janganlah memuji tinggi-tinggi sangat, Pak Coh! Saya takut nanti jadi riyak pula!” ujarnya bersahaja.

          Namun begitu, orang-orang Kampung Setoi sedikit hairan kerana Leman tidak mempunyai kereta. Setahu mereka, jika seseorang itu bergelar pegawai tentunya mempunyai kereta sekurang-kurangnya Kancil. Apa yang mereka lihat ialah, setiap pagi sebuah van Rusa akan datang mengambil Leman untuk ke tempat kerja. Di dalam van tersebut terdapat beberapa orang lagi lelaki yang berpakaian kemas. Masing-masing bertali leher.

“Menantu aku tu tak suka bermegah-megah dengan kereta. Dia lebih suka tumpang kawannya untuk ke tempat kerja. Lebih jimat belanja dan masa!” jelas Munah Janda kala disoal oleh Sepiah jirannya.

          “Baguslah kalau ada niat baik macam tu!” Sepiah menyokong. “Duit gaji boleh simpan untuk anak isteri.”

          “Memang menantu aku tu begitu, Sepiah oi! Duit gajinya semua diserahkan kat Leha. Sayang sungguh dia pada isterinya!” balas Munah Janda. Seperti selalu sentil tembakau tidak pernah lekang dari bibir. Gigi hitamnya terserlah kala sentil tembakau itu digonyoh-gonyoh dengan hujung jari.

 * * * * *

Pak Coh sedikit terperanjat apabila Junuh tercegat depan kedainya seraya memesan dua cawan kopi O. Wajahnya ceria dengan kotak rokok Salem dalam poket depan baju. Di sisinya, Harun seorang pemuda berpakaian kemas. Di sebuah kerusi panjang mengarah ke jalan besar mereka melabuhkan punggung masing-masing.

“Amboi… seronok sungguh jumpa hang hari ni, Junuh!” tegur Pak Coh sambil meletakkan dua cawan kopi O di depan Junuh dan Harun. “Lama tak mai, ke mana hang pi selama ni?”

          “Nak pi mana pula Pak Coh? Kan Kampung Setoi ni kampung saya. Ke mana lagi saya nak pi!” balas Junuh bersahaja. Cawan kopi dibawa ke mulut. Air yang masih berasap di dalamnya dihirup sopan dan berhati-hati. Harun turut menghirup kopi yang terhidang.

          “Habis tu, lama sangat hang tak mai ke sini. Aku ingat hang dah pi luar negeri!” seloroh Pak Coh.

          “Mengarutlah Pak Coh ni! Penoreh getah macam saya ni mana mampu nak pi luar negeri. Lainlah kalau saya ni pegawai besar macam Leman tu!”

          Pak Coh tidak jadi meneruskan perbualan kerana Setopa, Keria dan Salleh tiba-tiba saja masuk ke kedainya. Masing-masing memesan minuman. Sewaktu melihat Junuh, Setopa mengajak rakan-rakannya yang lain duduk di depan Junuh.

          “Mimpi apa jumpa hang hari ni!” tegur Keria. “Lama sungguh kami tak nampak kelibat hang. Hari ni hang kena loteri kot?”

          “His, aku tak pernah sentuh benda-benda haram tu, Keria oi!” balas Junuh kurang senang. Seketul karipap dicapai lalu disumbatkan ke dalam mulut. “Eh, aku lupa nak kenalkan kawan baru aku dari Sungai Petani ni!” Segera rakannya yang bernama Harun itu diperkenalkan kepada Setopa, Keria dan Salleh. Masing-masing berjabat salam sambil bertukar senyum.

          “Habis tu, yang hang nampak macam seronok sangat ni pasai apa?” tanya Salleh pula. “Setahu aku, sejak Leha menikah dengan Leman pegawai tu, hang moyok saja macam ayam berak kapoq, berkurung, bertapa sampai tak nampak muka. Tup-tup hari ni keluar dari bertapa nampak ceria semacam pula. Itu yang kami musykil sangat ni!”

          Junuh tersengih. “Aku dah tak ingat dia lagi, Leh oi! Buat apa aku nak ingatkan Leha tu. Bukannya ada faedah apa-apa. Lagipun, bunga bukannya sekuntum. Aku seronok dan mai ke kedai Pak Coh hari ni sebab ada sebab yang hangpa semua patut dengaq!” ujarnya bersahaja. Sebiji lagi karipap disuapkan ke dalam mulut.

          “Bagi taulah! Menatang apa yang kami semua patut dengaq tu!” Pak Coh yang datang membawa minuman untuk Setopa, Keria dan Salleh tiba-tiba bertanya. Kerana amat berminat nak ambil tahu, punggung dilabuhkan di sisi Junuh.

          Junuh tidak terus menjawab sebaliknya rokok dari dalam poket baju dikeluarkan. Beberapa batang rokok dingin itu dihulurkan kepada Setopa, Keria dan Salleh. Sebatang diselitkan di celah bibir, dicucuh dan disedut dengan gaya pelakon filem. Asap berkelun-kelun dari lubang hidung, cawan kopi dicapai lalu diteguk sekali.

 “Sejak aku selalu pi Sungai Petani, aku dah tahu apa kerjanya menantu Munah Janda tu!” ujar Junuh sejurus kemudian. “Kalau setakat kerja pegawai macam dia, kita semuapun boleh. Tak perlu masuk universiti atau sekolah tinggi!”

“Eh, apa yang hang cakap ni?” Pak Coh sedikit terbeliak. Wajah Harun dijeling sekilas. “Macam mana boleh jadi lagu tu pula?”

          “Pegawai macam Leman tu tak perlu sekolah tinggi atau ada ijazah dari mana-mana universiti, Pak Coh!” balas Junuh. “Saya ramai kawan di Sungai Petani yang kenal dengan Leman. Harun nipun pegawai macam Leman juga. Sebenarnya Harun mai ke sinipun kerana nak ajak kita semua jadi pegawai macam Leman tulah. Kalau semua setuju, esokpun boleh mula kerja!”

          Masing-masing saling pandang memandang seolah-olah kurang percaya dengan cerita Junuh. Wajah Harun di sisi Junuh direnung dalam seolah-olah meminta kepastian.

          “Betul apa yang dikatakan oleh Junuh ni!” ujar Harun. “Saya kenal baik dengan Leman walau saya tak tau di syarikat mana dia bekerja. Kami adalah Pegawai Pemasaran. Saya Pegawai Pemasaran barangan elektrik sementara Leman tu Pegawai Pemasaran barangan dari Siam!” tokoknya lagi bersungguh-sungguh benar.

          “Errr, betul ka hang mai sini nak ajak kami jadi pegawai macam menantu Munah Janda tu?” tanya Keria. “Kami ni bukannya sekolah tinggi. Setakat sijil darjah enam ada la!”

          Harun tersengih. “Nak jadi Pegawai Pemasaran macam saya atau Leman tu, tak perlukan kelulusan tinggi. Cukup kalau pandai baca dan tulis. Yang penting ada semangat nak maju, ada minat, tak malu, tak segan dan berani nak pasarkan barangan kepada pelanggan. Kita juga kena pandai bercakap supaya pelanggan jadi tertarik dengan barangan yang kita nak jual. Kita kena pandai pujuk sampai pelanggan jadi lemah lalu membeli barangan kita!” jelasnya panjang lebar.

          Pak Coh ingin bertanya lebih lanjut tetapi jadi terbantut kerana sebiji trak polis tiba-tiba berhenti di depan kedainya. Dua orang anggota polis segera turun.

          “Pak cik kenal orang di dalam gambar ni!” tanya salah seorang anggota polis tersebut sebaik sahaja tiba di depan Pak Coh. Sekeping gambar milik Leman turut dihulurkan.

          “Eh, ini gambar Si Leman, menantu Munah Janda tu… tapi awat tok tanya tentang dia pula?” Pak Coh sedikit gugup.

          “Dia dikehendaki polis kerana mengedar dan menjual barangan seludup tanpa cukai dari Siam!” ujar anggota polis tersebut.

          Sewaktu trak polis itu menghala ke rumah Munah Janda, Setopa, Keria, Salleh, Junuh, Pak Coh dan Harun saling pandang memandang. Masing-masing bagaikan tidak percaya dengan berita yang didengar. Mereka yakin, Munah Janda pasti ketar lututnya bila menantu kebanggaan dan kemegahannya digari dan diseret ke muka pengadilan.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA