SMAHADZIR
Lantaran usaha
gigihnya sejak muda menebang buluh untuk membuat wau, membuat sangkak, sangkar
burung dan bubu, dia digelar orang-orang kampung sebagai ‘Pak Awang Buluh’. Kini
sudah seminggu dia meninggal dunia. Rumah usang itu kelihatan sepi sejak kepulangannya
ke rahmatullah. Mak Sodah isterinya juga sudah pergi lebih sepuluh tahun yang
lalu. Sejak Mak Sodah tiada, Pak Awang Buluh kesunyian, tinggal sendirian meski
mempunyai lima orang anak yang sudah dewasa.
Semasa hayat Pak Awang
Buluh, dia sering rindukan gelak tawa anak cucunya, namun itu semua hanya
terubat sekali dua saja setahun. Menjelang raya puasa atau musim buah-buahan, Pak
Awang Buluh akan tersenyum lebar mengarak kitab Berzanji dengan marhabannya,
menebang buluh untuk membuat wau, membuat sangkak, sangkar burung dan bubu juga
mencari kayu api untuk membakar lemang. Tak ketinggalan mengejar ayam kampung
peliharaannya untuk dibuat lauk, khas untuk anak cucu yang akan pulang,
biasanya malam hari raya.
Kehadiran anak-anak
dan cucu-cucunya disambut girang, kepulangan mereka juga dihantar dengan senyum
tawar. Seboleh-bolehnya Pak Awang Buluh tidak mahu anak-anaknya bersusah hati
melihat gerhana di wajahnya.
Biar derita
ditanggung sendiri. Sering juga Pak Awang Buluh dipelawa supaya menjadi
penghuni bandar, duduk menumpang di rumah anak-anak yang berjawatan kesemuanya.
Namun dia menolaknya dengan lembut, tidak biasa katanya. Sebenarnya dia tidak
mahu menyusahkan anak-anaknya.
Bagi Pak Awang Buluh,
seorang bapa tidak sepatutnya menumpang anak menantu, cukup dengan membesarkan
mereka, diberi pelajaran dunia dan akhirat sebagai bekalan untuk mereka melayari
kehidupan sendiri, memimpin keluarga, baik anak lelaki mahupun anak perempuan. Dia
tidak mahu dipersalahkan jika anak-anaknya buta akhirat dan duniawi. Melihat
anak-anaknya berjaya di hadapan mata sudah cukup menggembirakan hati Pak Awang
Buluh.
“Seminggu lagi durian
mula gugur, pulanglah bawa anak-anak!”
Isi whatsApp Pak
Awang Buluh tiap kali musim buah menjengah. Pak Awang Buluh tidak pernah
kedekut, baginya rezeki Allah harus dikongsi bersama bukan sahaja dengan anak
cucunya tetapi dengan orang ramai juga.
Berduyun-duyun anak
menantu serta cucu-cucu Pak Awang Buluh pulang melenjan rumput halaman. Pak Awang
Buluh tersenyum girang. Dua hari hasil kutipan di dusun tidak merasalah Chong
Meng. “Aku tak jual, dua hari untuk anak cucu aku makan, kamu cari durian orang
lainlah!”
Tegas alasan Pak Awang
Buluh. Seperti biasa Ah Chong dan Pak Dolah peraih durian faham kerana sudah bertahun-tahun
mereka berurus niaga dengan Pak Awang Buluh.
“Bawa balik buah-buah
ini, sedekahkan pada kawan-kawan, jiran tetangga. Biar ramah berbuahnya lain
kali.”
Pak Awang Buluh
mengisi sepenuhnya buah-buahan ke dalam bonet kereta anak-anaknya. Semusim buah,
disusuli hasil perkebunan dan menjual pelbagai jenis wau, sangkak, sangkar
burung dan bubu yang dbuatnya cukup menampung kehidupan Pak Awang Buluh.
Tidak pernah Pak Awang
Buluh mengharapkan duit ringgit anak-anaknya. Kata Pak Awang Buluh, membesarkan
anak-anak sudah menjadi kewajipannya. Tetapi kalau anak-anak menghulur sepuluh
dua puluh ringgit tiap kali mereka balik menziarahinya di kampung, dia tidak
pernah tolak. Akan disimpannya ke dalam bank atau di bawah tikar mengkuang
penutup lantai berlubang rumahnya.
Yang nyata anak-anak Pak
Awang Buluh sering kesempitan duit dan tidak segan silu minta dipinjamkan
sejumlah wang yang mereka sendiri tidak pernah peruntukan untuknya. Dihulur RM100
setahun, diminta dua ke tiga ribu ringgit. Janji hanya pinjam, sebulan dua lagi
akan dibayar.
Pak Awang Buluh tidak
pernah bertanya apatah lagi minta dipulangkan kembali pinjaman. Tidak pernah
juga dia mengeluh malah telah lama dia menghalalkan. Hingga akhir hayat Pak Awang
Buluh, masih ada anak-anaknya yang berhutang padanya. Kata-kata terakhir daripadanya
ialah pinjaman anak-anaknya sudah dihalalkan.
Sewaktu Pak Awang
Buluh mula batuk-batuk dan demam menjelang senja dan malam, dia tidak pernah
merasakan ajalnya semakin hampir. Padanya selagi ada hayat dikandung badan,
kehidupan mesti diteruskan.
Harta dunia mesti
terus dikumpul, wau, sangkak, sangkar burung dan bubu – tradisi budaya bangsanya
mesti dibuat, tanah yang sedikit perlu diusahakan sebaiknya supaya dapat
mengeluarkan hasil bagi menampung kehidupan yang entah bila akan berakhir. Pak Awang
Buluh masih berharap agar dapat hidup sehari dua lagi untuk mencurahkan bakti
kepada Allah.
Besar pahalanya
berbudi kepada tanah kata Pak Awang Buluh. Berdosa membiarkan tanah kering
kontang berhutan banat tanpa dipelihara dan bercucuk tanam katanya. Biar ada
orang mengatakan Pak Awang Buluh tamak, tak sedar diri dah tua, dia hanya tersenyum.
Yang pasti dia tidak pernah melupai mati dan Penciptanya.
Tiap kali ke madrasah,
Pak Awang Buluh adalah orang pertama memberi salam untuk para jemaah yang ada
di rumah Allah itu. Dari Subuh membawa ke Isyak, Pak Awang Buluh tidak pernah
jemu melaungkan azan dengan suara garaunya meski kadang-kadang dialah imam,
dialah juga makmum, bilal juga dia, siak pun dia juga. Pendek kata, apa saja
tugas di surau tersebut, Pak Awang Buluh sering melakukannya.
Meski berapa tebalnya
cinta Pak Awang Buluh kepada Khalik, dia tidak pernah menghabiskan masa dengan
berwirid dari matahari terbit hingga tenggelam, disambung ke dinihari kembali.
Katanya, perjuangan hidup di dunia mesti diteruskan
Hidup Pak Awang Buluh
dari bersandarkan kepada tanah sebidang tapak rumah bersama Mak Sodah sembari
membesarkan anak-anak, sehinggalah dia kini sudah mempunyai berelong-relong
tanah yang kesemuanya membuahkan hasil. Pak Awang Buluh masih tidak mendabik
dada memuji dirinya hebat.
Namun Pak Awang Buluh
sudah mampu tersenyum lebar melihat cucu-cucunya bebas makan apa sahaja buah
yang terhasil dari peluhnya sendiri.
“Tanggungjawab bapa
sudah selesai. Kini bapa tidak mampu lagi membajak dan menanam apatah lagi
untuk menebas. Sekarang bapa hanya mampu meraut buluh untuk membuat pelbagai
jenis wau, sangkak, sangkar burung dan bubu saja. Jadi kini tugas kamu semua
meneruskan usaha di kebun dan cita-cita bapa menjaga dan menyimpan semua hasil
kerja tangan buatan bapa ini. Selepas bapa mati, bapa harap kamu dapat mencegatkan
cita-cita bapa yang satu ini!”
Anak-anak Pak Awang
Buluh mengganguk tanpa berfikir apakah mereka mampu menjadi insan setabah Pak Awang
Buluh, sekuat Pak Awang Buluh, seberani Pak Awang Buluh dan mampu menjaga semua
hasil kerja tangan bapa mereka itu. Apakah mereka mampu
Pak Awang Buluh berasa
puas dengan pengakuan anak-anaknya. Cuma setelah dia pergi barulah anak-anaknya
terfikir siapa yang akan menjaga semua hasil kerja tangan bapa mereka yang
lebih dari seratus buah itu, bagaimana harus meneruskan segala usahanya, dan dari
mana harus memulakannya. Tanah yang ada jangan dipecah-pecahkan kerana setiap
yang besar akan menjadi kecil akhirnya tidak berguna lagi. Itu juga pesan Pak Awang
Buluh lama dulu. Siapa pula yang harus bertanggungjawab menyelenggarakannya.
Itu juga harus difikir dan dibincangkan.
Hamidi, anak sulung
begitu arif setiap inci hasil karya tangan berupa wau, sangkak, sangkar burung,
bubu dan tanah Pak Awang Buluh. Hamidi paling rapat dengan Pak Awang Buluh dan
sering membantu Pak Awang Buluh sewaktu kecilnya dulu.
Tetapi Hamidi kurang
berminat untuk menyimpan semua hasil kerja tangan itu juga menjadi pekebun atau
petani. Makan gaji menjanjikan pulangan yang pasti setiap bulan dan tahun
katanya. Sufian, anak yang kedua telah juga memberi alasan yang hampir serupa
dengan Hamidi.
Sufian sebenarnya
kurang berkeyakinan dapat meraih rezeki seperti mana Pak Awang Buluh dulu
kerana katanya kemahiran dan rezeki seseorang tidak sama. Kemahiran Pak Awang
Buluh membuat wau, sangkak, sangkar burung dan bubu juga bekerja di kebun.
Tetapi kepandaian Sufian di bandar, di pejabat berhawa dingin. Tidak berdaya
dia menggantikan Pak Awang Buluh.
Hamidi dan Sufian kini
berharap kepada Fikri, anak yang ketiga kerana kedua-dua adik selepas Sufian
adalah perempuan. Apalah yang terdaya dilakukan oleh seorang perempuan. Meski
cita-cita mereka menebal, keinginan membara namun semuanya tidak akan menjadi
nyata. Bukan tidak pernah kaum hawa berjaya tetapi mereka lebih terikat dengan
keluarga.
Hamidah selaku anak keempat
terlalu ingin menyambung usaha Pak Awang Buluh. Namun bagaimana harus dimulakan
memandangkan keluarga dan kerjayanya tidak mengizinkan. Hamidah menyarankan agar
semua karya kerja tangan dan harta peninggalan Pak Awang Buluh dibahagi sahaja
sama rata, sama rasa. Terpulanglah kepada tuan punya masing-masing sama ada
untuk menjaga dan mengusahakannya atau tidak.
Itu cara paling mudah
untuk menyelesaikan perselisihan tanggungjawab menyambung segala cita-cita Pak Awang
Buluh katanya. Cara itu juga akan menyelamatkan waris-waris terkemudian agar
tidak berlaku perbalahan kepada generasi baru.
Pun begitu Zuraidah
selaku anak bongsu terkena tempiasnya. Dia dituduh kononnya tidak mempunyai hasrat
langsung untuk mencegatkan cita-cita arwah bapa mereka. Itu sudah tentunya
mengundang hiba di hati Zuraidah yang sememangnya tidak tahu bagaimana mahu
mengerjakan tanah lebih-lebih lagi menjaga semua barangan kraftangan bapanya.
Kebetulan waktu itu suaminya sedang mengalami penyakit asma.
Pak Awang Buluh pasti
sedih jika mengetahui ini semua. Usaha murninya menyemarakkan pertelingkahan
anak-anak. Bertahun-tahun Pak Awang Buluh ditemani isterinya menebang buluh
untuk membuat wau, sangkak, sangkar burung dan bubu, menerangi belukar menjadi
kebun, juga membajak paya menjadi sawah yang subur. Tanpa pelajaran dan
pendidikan dia mampu menjadi penggiat budaya iaitu seorang pembuat wau, sangkak,
sangkar burung dan bubu di samping menjadi seorang petani yang berjaya. Dengan
hasil tersebutlah dia membesar dan menyekolahkan anak-anaknya.
“Semua bapa lakukan
untuk bekalan anak cucu bapa…” ujar Pak Awang Buluh seraya tersenyum bila Zuraidah
melarang dia terus bertungkus-lumus dalam usia lanjut.
“Bapa tidak mahu
dipersalahkan cucu-cucu bapa nanti, melihat hasil karya bapa iaitu pelbagai
jenis wau, sangkak, sangkar burung dan bubu ini hilang begitu saja, dan tanah
atuk mereka cuma subur dengan lalang dan semak-samun. Nanti mereka kata bapa makan
buah dengan biji-bijinya sekali hinggakan tidak ada satupun yang bercambah
menjadi pokok,” gurau Pak Awang Buluh yang sebenarnya satu hakikat.
Akhirnya Fikri
mengalah, demi kepentingan semua serta menjamin perpaduan Hamidi, Sufian, Hamidah
dan Zuraidah. Fikri sedia mengorbankan kerjayanya sebagai pengawal keselamatan di
bandar demi menyambung usaha arwah Pak Awang Buluh.
Fikri memang amat berminat
dengan kampung. Padanya, hembusan bayu sawah, kedinginan dan keredupan kebun
juga dusun berjaya mendamaikan jiwanya. Cita-cita Fikri bukan sahaja menjadi
petani moden tetapi juga ingin muncul sebagai pengumpul wau, sangkak, sangkar
burung dan bubu hasil tangan bapanya sendiri juga sebagai ahli perniagaan
kampung. Oleh itu satu perubahan perlu dilakukan demi mencapai hasrat murni
itu. Cara Pak Awang Buluh sudah ketinggalan zaman, sudah tidak laku lagi dan
hasilnya tidak seberapa. Jadi sebuah ruang pameran wau, sangkak, sangkar burung
dan bubu di samping sebuah teknologi moden perlu disuntik. Itu angan-angan Fikri.
Wau, sangkak, sangkar
burung dan bubu perlu dikilatkan dengan varnis atau syelek supaya nampak
berkilat dan tahan lama. Dusun buah-buahan Pak Awang Buluh sudah tua dan tidak
subur lagi, ia perlu diganti dengan benih-benih kacukan. Nasihat wakil
pertanian perlu diperolehi untuk tujuan itu. Benih, baja serta racun juga perlu
diperolehi dari sana.
Hamidi, Sufian, Hamidah
dan Zuraidah cuma mengangguk sembari berdoa agar cita-cita murni itu berjaya.
Selain ruang pameran wau, sangkak, sangkar burung, bubu dan kebun tersebut, Fikri
juga merangka untuk melangkah ke dunia perniagaan. Dia ingin membina sebuah
inapdesa secara perkongsian di tanah milik Pak Awang Buluh yang sudah menjadi
milik abang-abang dan adik-adiknya itu.
Pak Awang Buluh
sendiri mungkin tidak faham dengan plan cadangan Fikri itu jika dia masih
hidup. Namun tidak salah mencuba asalkan tanah Pak Awang Buluh yang luas tidak
tersia-sia atau dikecai-kecai menjadi kecil dibahagi kepada anak-anak, kemudian
nanti cucu-cucunya, akhir yang tinggal hanyalah batu sempadan berceracak sana
sini.
Namun kini sudah
hampir empat tahun berlalu. Tidak satu pun rancangan Fikri menampakkan hasil
malah dia masih bergelar pengawal keselamatan di bandar. Rumah tua Pak Awang
Buluh makin usang dimamah masa. Kini menunggu waktu untuk reban menyembah bumi.
Tiang birai tepi rumah sudah mula diunggis oleh asai dan anai-anai yang
sentiasa mencari peluang untuk mereputkannya.
Wau, sangkak, sangkar
burung dan bubu hasil tangan Pak Awang Buluh banyak yang sudah dimakan asai dan
reput. Kebun dan dusun Pak Awang Buluh menjadi hutan dan tidak berapa lama lagi
mungkin bergelar belantara tebal. Pokok-pokok durian, rambutan, duku, sawa, langsat
dan pulasan sudah hampir tidak kelihatan dan nampaknya pohoh-pohon kesayangan Pak
Awang Buluh itu sudah berselindung sebalik lalang dan mengkirai rendang.
Di sana-sini orang-orang
kampung mulai memperkatakan tentang wau, sangkak, sangkar burung, bubu, dusun,
rumah dan kebun arwah Pak Awang Buluh. Mereka mula mengakui tidak salah selama
hayat Pak Awang Buluh, dia berusaha memelihara hasil karyanya juga tanah-tanahnya
serta rajin bercucuk tanam. Kalau dulu mereka menuduh Pak Awang Buluh tamak
kini mereka mula sedar.
Meskipun usaha dan hasrat
Pak Awang Buluh amat sukar dilaksanakan oleh anak-anaknya, namun ingatan kepada
Pak Awang Buluh tetap segar di sanubari anak-anak, cucu-cucunya juga
orang-orang kampung. Yang pasti mereka semua tetap menghargai dan menyanjung
tinggi segala usaha Pak Awang Buluh. Namanya bagaikan sudah terpateri di prasasti
ingatan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan