SMAHADZIR
HIDUP adalah
memilih. Pada pilihannya kali ini dia berharap apa yang akan terjadi kemudian
hari justeru lebih baik dari apa yang dia jalani kini. Dia masih mencintai
lelaki itu. Dia tidak ingin lelaki itu larut terjerumus dalam zina. Dia telah
melihat lelaki itu berzina dan dia tidak hanya wajib memberi nasihat, tetapi
juga mencari jalan keluar terbaik.
Duduk di bahagian belakang
teksi yang meluncur deras di lengang malam, dia lebih banyak menunduk
menyembunyikan kesedihannya sebalik jilbab. Segala keindahan telah lama lenyap
dari hatinya, sejak lelaki yang kini duduk di sebelahnya resmi menjadi
suaminya. Seorang lelaki tampan yang awalnya pendiam dan romantis, dulu sering
menatapnya tanpa berkedip.
Tetapi kini telah menyulut api
di rumahnya. Api yang kian lama kian besar, menggulung hari-harinya menjadi
serpihan abu, menjulang tinggi bak neraka jahanam. Bermula ketika lelaki itu
pulang tengah malam sembari mabuk ditemani perempuan seksi bergaun singkat, rambut
perang dan bau pewangi menyengat.
Dia menyambut lelaki itu di
hadapan pintu dan berhasrat memapahnya ke dalam rumah. Tetapi lelaki itu
menampar mukanya sembari meludah. Itulah api pertama yang disulut lelaki
tersebut, hanya tiga bulan selepas hari pernikahan.
Setiap ketika dia terus berdoa
agar api tidak menghanguskan rumahtangganya. Dia tahu, jika tidak segera
dipadamkan, api akan terus berkobar semakin besar. Apa yang terjadi jika rumahtangganya
yang masih seumur jagung hangus terbakar api? Apa yang akan dikatakan oleh
kedua-dua orang tuanya tentang hal itu? Apa yang akan dikatakan rakan-rakannya
yang hadir di majlis pernikahannya beberapa waktu lalu?
Tetapi lelaki itu terus
menyulut api. Hampir setiap malam pergi, pulang subuh dengan mata merah, mabuk.
Mungkin kalah judi. Tetapi dia sering mencium aroma pewangi perempuan di tubuh
lelaki itu. Aroma pewangi menyengat yang selalu membuatnya mahu muntah.
Berkali-kali dia cuba menasihati lelaki itu. Tetapi lelaki itu meradang dan
memaki-hamunnya.
Dia tahu, ada perempuan lain
yang singgah di hati lelaki itu. Perempuan dengan gaun singkat, rambut perang
dan pewangi menyengat. Dia tidak kenal perempuan itu, tetapi tahu perempuan itu
cantik.
Kadang-kadang dia merasa
cemburu dan ingin berpenampilan seperti perempuan itu. Memakai gaun singkat,
mengecat rambut, memakai pewangi menyengat lalu pergi ke kafe, bar atau kelab
malam. Dia tidak tahu apakah dengan berbuat begitu lelaki tersebut akan memadamkan
api di rumahnya.
Apakah lelaki itu akan memeluknya
dalam satu dakapan mesra.
Tetapi segala keinginan itu
mustahil dilakukan lantaran ingat bahawa dia memakai jilbab bukan disebabkan
oleh lelaki itu. Dia telah memakai jilbab jauh sebelum kenal lelaki itu. Dia
faham bahawa menutup aurat hukumnya wajib bagi setiap muslimah. Dia tidak ingin
menggugurkan kewajibannya hanya kerana lelaki itu mulai berpaling mencintai
perempuan bergaun singkat tersebut.
Tiba-tiba dia mendapat satu ilham.
Dia ingin merengkuh perempuan itu menjadi sebahagian dari keluarganya bersama
lelaki itu. Siapa tahu semua itu akan menjadi permulaan terbaik untuk
mewujudkan sebuah keluarga sakinah mawadah warahmah, meneruskan
keturunan, menjalankan sunah Rasulullah SAW.
Dia sedar tindakannya ini
mungkin akan menuai protes keras dari berbagai pihak, terutama orang tua.
Tetapi dia sudah sedia menanggung semua risiko. Hidup adalah memilih. Pada
pilihannya kali ini dia berharap apa yang akan terjadi kemudian hari akan lebih
baik dari apa yang dia jalani ketika ini. Dia masih mencintai lelaki itu. Dia
tidak ingin lelaki itu larut terjerumus dalam dosa zina. Dia telah melihat
lelaki itu berzina dan dia tidak hanya wajib memberi nasihat, tetapi juga
mencari jalan keluar terbaik.
Ah, dia menyesal kenapa
kesedaran itu terlambat cagun? Dia melihat lelaki itu seperti sudah kalap,
marah besar sejak dia menjemputnya dari sebuah kelab malam lantaran sudah dua
malam tidak pulang. Dia sangat bimbangkan keselamatan lelaki itu yang sering
mabuk, pulang dini hari. Apapun mampu menimpa lelaki itu ketika mabuk kerana
sebahagian kesedarannya hilang. Dia tidak ingin lelaki itu mendapat celaka
ketika sedang terjerumus dalam lembah kesesatan.
Tetapi dia bingung, tidak tahu
dari mana harus memulai pembicaraan. Dia merasa darahnya terus berdesir dan
degup jantungnya berdetak kencang. Tiba-tiba dia diamuk kebimbangan andai teksi
yang kini dia tumpangi lebih gesit sampai ke rumah sebelum dia memulai
pembicaraan. Dia tahu, seperti biasa lelaki itu akan mengurung diri dalam bilik
sebaik tiba di rumah. Dia akan kehilangan kesempatan bicara dengan lelaki itu,
entah sampai bila.
“Besok pagi aku akan
menceraikan kamu!” Tiba-tiba lelaki itu bersuara.
“Kenapa mesti bercerai? Kita
masih mampu…” Dia tidak meneruskan kata-katanya kerana lelaki itu lebih cepat
memotong.
“Kemas semua barang dan
pulanglah ke rumah orang tua kamu. Aku tidak mahu melihat kamu lagi!” lelaki
itu bersuara tegas. Aroma alkohol menyuar dari mulutnya.
“Kita mampu bincangkan masalah
ini dengan tenang,”
“Apa lagi yang harus kita
bincangkan?!”
“Tentang perempuan itu. Saya
tahu kamu mencintainya. Atas izin Allah, saya tidak keberatan kamu menikah
dengannya tanpa menceraikan saya.”
Lelaki itu tertawa. Mulutnya
menyeringai. Hidungnya kembang-kempis seperti menahan sesuatu yang mulai
bergejolak di dadanya. Tetapi lelaki itu tidak segera bersuara. Membuatkan
malam di dalam teksi terasa mencengkam. Dia menunggu lelaki itu bersuara.
Tetapi cukup lama lelaki itu diam.
“Aku harus menceraikan kamu.
Itu syarat agar aku mampu menikahinya.” Lelaki itu tiba-tiba memecah kebisuan.
Kata-kata yang sangat
mengejutkan. Langit seperti runtuh menimpa kepalanya. Matanya nanar menatap
cahaya lampu di kanan kiri jalan. Seketika kemudian dia merasa ada sesuatu yang
mulai mengambang di sudut matanya, basah, panas. Dia buru-buru mengusap matanya
dengan hujung jilbab. Dia tidak ingin wajahnya terbakar.
“Izinkan saya bertemu dengan
perempuan itu.” Dia berkata lirih, mendatar, setelah setagal mampu menguasai
diri.
Kembali lelaki itu tertawa.
Matanya kelihatan mulai menyala. “Dia tidak mahu bertemu denganmu. Itu lebih
baik!” jawab lelaki itu seperti bicara pada dirinya sendiri.
Dia tidak mampu bersuara lagi.
Perasaannya hancur berkeping-keping. Segala rancangan yang sudah disusun rapi,
kini hancur berantakan seperti abuk kayu dari mata gergaji.
Lelaki itu akan menceraikannya.
Ya, perceraian itu akan segera terjadi. Perceraian yang sangat menyakitkan, yang
tidak disukai Allah. Tetapi benarkah lelaki itu bersuara dengan penuh
kesedaran?
Bukan di bawah pengaruh
alkohol yang memabukkan? Allah, apa yang harus kulakukan ketika ini? Apa yang
akan terjadi dengan hidupku? Apa hikmah sebalik semua ini? Kenapa niat baik
tidak selalu berbalas dengan kebaikan pula? Allah, Engkau Maha Tahu segala niat
jahat dan niat baik, aku pasrah pada-Mu. Perlahan-lahan dia menunduk. Hatinya
terus meratap.
Dia tersentak sewaktu teksi
memasuki halaman rumah. Dia segera mengangkat kepalanya. Tiba-tiba dia merasa
hatinya begitu tenang, damai. Ketenangan dan kedamaian yang sudah lama tidak
dia rasakan. Usai membayar tambang teksi, dia segera turun. Dia tidak tahu
kenapa lelaki itu tetap duduk di dalam teksi. Dia menduga lelaki itu akan pergi
semula, entah ke mana.
Mungkin kembali ke kelab malam
atau menemui perempuan tersebut, kekasihnya. Dia membiarkan teksi itu meluncur
menembus malam remang dan lengang bersama lelaki itu. Dia terus melangkah ke
dalam rumah. Dia harus cepat-cepat mengemas barangnya, sebelum lelaki itu
pulang besok.
* * *
Semalaman
dia tidak dapat tidur. Selesai solat Subuh dia terus mengemas barang-barang
miliknya. Tidak terlalu banyak, hanya beberapa buah beg berisi pakaian. Kini
dia tinggal menunggu lelaki itu pulang sahaja.
Tetapi hingga siang hari
lelaki itu belum juga pulang. Dia mulai cemas, bimbang, bingung, apakah perlu
menunggu lelaki itu atau tidak. Bagaimana jika lelaki itu tidak pulang? Betapa
sia-sia menunggu. Dia kemudian memutuskan untuk tidak menunggu lelaki itu. Dia
beranjak menghampiri telefon. Dia perlu teksi untuk membawa barang-barangnya.
Dia segera menelefon agen teksi yang nombornya sudah tersimpan dalam diarinya.
Duduk di bangku anjung rumah
dia menunggu teksi yang akan membawanya pergi. Mungkin inilah kali terakhir dia
duduk di bangku itu. Dia cuba menikmati pohon-pohon bunga di halaman rumah.
Selama ini dia yang menjaga pohon-pohon bunga itu. Dia tidak tahu siapa kelak
yang akan menjaganya.
Ah, pohon-pohon bunga itu
kelihatan hijau segar. Dia ingin menghampiri pohon-pohon bunga itu. Tetapi
tiba-tiba langkahnya terhenti ketika mendengar deru kereta memasuki halaman
rumah. Dia berharap itu adalah teksi yang akan menjemputnya.
Tetapi dugaannya meleset. Yang
dia lihat bukan teksi melainkan kereta ambulan dengan beberapa orang turun
tergesa-gesa. Firasatnya mengatakan sesuatu yang buruk telah terjadi. Dia ingin
menghampiri kereta itu, tetapi mendadak dia seperti kehilangan seluruh tenaga.
Yang mampu dia lakukan hanya berdiri mematung hingga salah seorang penumpang
ambulan datang menghampiri.
“Maaf, suami puan tidak sempat
diselamatkan. Terlalu banyak darah yang keluar,” kata orang itu dengan wajah
pucat berkeringat. “Saya yang melanggarnya. Tetapi demi Allah, sebelumnya saya
tidak melihat suami puan. Tiba-tiba suami ibu melintas jalan. Saya tidak mampu
berbuat apa-apa lagi. Menurut beberapa saksi, suami puan sedang mabuk ketika
kemalangan itu berlaku. Tetapi bagiamanapun, mungkin sayalah yang salah. Saya
sedia mempertanggungjawabkan perbuatan saya...” suara orang itu kian lirih dan
sayup.
Dia hanya menunduk, tidak tahu
apa yang harus dilakukannya. Bahkan tidak tahu apa perasaan yang sedang
berkecamuk di hatinya ketika itu. Apakah sedih? Ataukah gembira? Segala macam
perasaan bercampur-aduk tidak karuan. Tetapi satu hal yang pasti, dia tahu,
Allah pasti mempunyai rencana lain untuk dirinya. Entah apa?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan