Ahad, 28 November 2021

PANTUN
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan tahniah kepada semua peserta yang telah menghadiri Lokakarya Menulis Pantun anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Selangor yang mana saya telah menjadi penceramah dan pembimbingnya. Berikut adalah sedikit penjelasan saya tentang pantun.

Sesungguhnya pantun adalah imejan kebijaksanaan minda orang Melayu zaman dulu. Suatu binaan pola berfikir yang mencerminkan bangsa Melayu secara keseluruhan. Pilihan kata perlu tepat, akan memberikan makna yang hebat. Oleh yang demikian manifestasi penciptaan pantun daripada pelbagai latar belakang sosial seseorang seniman menunjukkan hasil yang beragam, iaitu ada pantun yang baik, sederhana dan kurang baik. Pantun yang baik haruslah mencerminkan ketepatan pilihan kata, bunyi berentak dengan muzik bahasa yang mengasyikkan serta memancarkan makna yang dimengertikan oleh pendengarnya. Kata-kata yang lebih diutamakan ialah kata-kata yang bersuku dua kerana kata-kata ini lebih seimbang. Dalam bilangan perkataan, sebaiknya tidak lebih dari empat dan kurang dari tiga perkataan pada tiap-tiap kerat. Sukatan-sukatan ini penting kerana bunyi dan bilangan rentaknya.
 
Oleh sebab pantun adalah hasil komunikasi bersemuka, saling mendepani maka pantun yang dilontarkan harus bijaksana, halus dan berkias. Dalam kespontanan inilah kecekapan dalam memilih perkataan yang tepat sangat dituntut agar kelangsungan pembicara tidak dianggap biadab, bebal atau mengguris perasaan si penerima. Menerusi pantunlah sindiran, kritikan dan teguran disuguhkan secara halus tersirat namun dapat dimengertikan dalam konteks sesuatu situasi. Ada beberapa syarat yang harus dipenuhi dalam sesebuah pantun yang baik iaitu:
  1. Pantun ada 2 bahagian iaitu pembayang maksud atau sampiran atau pembawa maksud, dan bahagian kedua disebut maksud pantun sebenarnya. Perlu ada perhubungan antara bahagian pembayang maksud dengan maksudnya.
  2. Perhubungan antara pembayang maksud dengan maksud, sebenarnya dapat dilihat dalam bayangan bunyi.
  3. Mesti ada asonansi yakni bunyi yang sama.
  4. Pembayang harus memaparkan suasana alam, maksud herus memaparkan sikap atau sifat
  5. Ada rima tengah dan rima hujung.
  6. Pembayang pada baris pertama mesti ada hubung kait dengan pembayang pada baris kedua dalam setiap rangkap pantun.

Pantun yang indah menggunakan alam sebagai pembayang. Penulis pantun perlulah mempunyai pengetahuan tentang sesuatu unsur alam yang digunakan agar ia dapat digunakan secara betul. Adakalanya seorang penulis tidak arif tentang unsur alam yang digunakan sehingga menyebabkan gambaran tidak logik, tidak jelas malah tidak ketentuan maknanya. 

Contoh:
 
Pokok tualang di tanah rata
Jalar keladi melilit batangnya
Jangan dihalang lidah berkata
Memang menjadi hak miliknya
 
Pembayang yang digunakan menunjukkan bahawa penulis tidak arif tentang pokok tualang. Pokok tualang tidak tumbuh di tanah rata tetapi tumbuh di tanah berbukit. Pokok keladi berbatang lembut dan jalarnya tidak pernah memanjat, hanya menjalar saja di atas tanah lalu bagaimana ia akan melilit batang pokok tualang.
 
Satu lagi contoh:

Memancing tengas di tepi muara
Pokok pisang menjulang ke awan
Orang yang punya lembut suara
Barulah boleh dibuat kawan
 
Baris pertama ‘memancing tengas di tepi muara’ memberi gambaran yang tidak tepat. Ini kerana ikan tengas tidak hidup di muara tetapi di aliran air yang deras seperti air terjun dan sebagainya. Hendak memancing ikan tengas perlu di tempat yang airnya deras kerana ikan tengas suka melawan arus. Pokok pisang juga tidak meninggi hingga ke awan. Pokok pisang rendah saja.
 
Baris-baris pembayang berfungsi untuk membayangkan apa yang akan terjadi pada baris-baris maksud. Sebuah pantun yang baik mestilah mempunyai suasana yang sama di dalam pembayang dan maksud. Jika maksud gembira maka pembayang juga sepatutnya menggembirakan.
 
Contoh:
 
Kusangka selasih di tengah bendang
Rupanya tepus yang berduri
Kusangka kasih hingga ke petang
Rupanya putus di tengah hari
 
Di sini terdapat pembayang yang baik, tidak lari dari makna dan suasana dalam maksud. Suasana dan makna dalam pembayang adalah sama dengan maksud iaitu harapan yang kecewa. Apa yang disangka tidak menjadi kenyataan. Yang diharap ialah selasih rupanya bukan. Ia hanya pokok tepus yang berduri.
 
Lihat pula bercanggahnya dua baris pembayang dengan dua baris maksud dalam pantun ini:
 
Sudah tumbang batang kerasnya
Patah melentuk bak kena parang
Kasih sayang tiada duanya
Hanya untuk adinda seorang
 
Maksud yang hendak disampaikan ialah kasih sayang yang tiada duanya, sedangkan di dalam pembayang terdapat pokok yang tumbang dan patah seperti ditetak parang. Pembayangnya sedih tetapi maksudnya gembira. Ini dikatakan pantun yang pembayang dan maksudnya bercanggah.
 
Sebaik-baiknya pantun tidak menggunakan nama orang seperti Ali, Ahmad, Salmah, Samad dan sebagainya kecuali tokoh yang dikenali masyarakat seperti Hang Kasturi, Hang Jebat, Hang Tuah, Dang Anum, Tun Mutahir atau nama-nama am seperti Datuk Panglima, Datuk Bendahara, Temenggong, Laksamana, Raja Muda dan sebagainya. Ada juga pengarang pantun yang menulis menggunakan nama orang. Ini dianggap sebagai mengambil jalan mudah untuk mendapatkan rima. Contoh:
 
Pergi ke kota rumah Pak Ali
Pergi bersama Puan Salina
Intan permata tidak terbeli
Kerana hamba miskin dan hina
 
Sebenarnya banyak lagi ilmu tentang pantun yang ingin saya sampaikan tetapi waktu-waktu begini bukanlah waktu yang tepat. Perlu ada satu lokakarya khas untuk memperkatakannya sehingga segalanya dapat dihadam dengan jelas oleh tuan2 dan puan2.  Semoga ilmu yang sedikit ini dapat juga diladeni dan dijadikan panduan untuk mencipta pantun pada masa akan datang. Insya-Allah
 
Sekian, terima kasih.

pantun: (45 rangkap)
NEGERI SELANGOR MAJU BERBUDAYA
 
Kebarung basah dijemur puteri,
Istana bahari tepian sumur;
Dengarlah kisah hamba berperi,
Sebuah negeri maju dan makmur.
 
Pohon bintangor pinggiran paya,
Tempat bermadah pujangga berhelah;
Negeri Selangor maju berbudaya,
Terkenal sudah sembilan daerah.
 
Besi karat bersepuh gangsa,
Dibuat baju pahlawan Persia;
Terletak di barat Banjaran Titiwangsa,
Negeri termaju dalam Malaysia.
 
Ikan temoleh berat timbangan,
Keli bersengat di dalam balang;
Diairi oleh empat lembangan,
Sungai Langat dan Sungai Klang.
 
Pokok bongor akar terbenam,
Dibebat rotan anak petani;
Sungai Selangor dan Sungai Bernam,
Lembangan selatan negeri ini.
 
Malinja ditanam padi berhuma,
Rancak nian benih ditabur;
Sabak Bernam daerah pertama,
Tanah pertanian makmur dan subur.
 
Rajin bersenam tempawan puteri,
Di sumur segar bersintok mandi;
Sahabat Berenam legenda berperi,
Di kubur keramat tempat semadi.
 
Sulur keladi dan cabai rawit,
Subur sama tepian jerami;
Nyiur, padi dan kelapa sawit,
Tanaman utama sumber ekonomi.
 
Tumbuh subur pohon bongor,
Berbunga indah tepian puri;
Daerah mashyur Hulu Selangor,
Ampang Pecah sejarah berperi.
 
Akar bintangor dalam ke dasar,
Naung saga longgok jerami;
Hulu Selangor daerah terbesar,
Projek mega pemacu ekonomi.
 
Burung pegar memakan padi,
Di dalam tajau tersimpan keri;
Daerah segar alam semulajadi,
Kawasan hijau kehidupan lestari,
 
Pokok bongor tepian telaga,
Ditakek parang berbentuk pusar;
Kuala Selangor daerah ketiga,
Tanjung Karang mukim terbesar.
 
Bayu berhembus segar terasa,
Tepian rawa itik berlari;
Tarian dabus kesenian bangsa,
Budaya Jawa warisan lestari.
 
Batang bintangor ditarah-tarah,
Bakar jerami panggang haruan;
Kuala Selangor Indah Bersejarah,
Slogan resmi penjana kemajuan.
 
Masak gula inti ketupat,
Sajian bermusim bersama jiran;
Gombak pula daerah keempat,
Lima mukim kawasan pentadbiran.
 
Gagak melanda rebah punggur,
Ganas bertempur mengundang kesal;
Daerah termuda negeri Selangor,
Kuala Lumpur tempat berasal.
 
Terkumpul di arkib ruang biara,
Semua koleksi agama disanjung;
Batu Caves dan Zoo Negara,
Dua lokasi ramai pengunjung.
 
Bunga delima madu sialang,
Pinggiran telaga berair tohor;
Daerah kelima ialah Klang,
Bandar Diraja sudah tersohor.
 
Pokok saga pokok bintangor,
Subur keladi tumbuh berdiri;
Bandar ketiga terbesar di Selangor,
Pernah menjadi ibu negeri.
 
Hujan membasah rumpunan bayam,
Dipagar batu dikawal selia;
Istana Alam Shah tempat semayam,
Duli Tuanku Yang Maha Mulia.
 
Pokok pala subur ditanam,
Benih terpilih dari kuala;
Petaling pula daerah keenam,
Lombong bijih petempatan bermula.
 
Memasang tanju di naung bintangor,
Pencerah sajian untuk tetamu;
Daerah termaju Negeri Selangor,
Pusat pengajian pelbagai ilmu.
 
Dihulur salam hati tertarik,
Pedagang jauhari batu delima;
Shah Alam Bandaraya Anggerik,
Ibu negeri Selangor ternama.
 
Nasi lengat musim tengkujuh,
Penganan dikacau di atas bara;
Hulu Langat daerah ketujuh,
Kaya menghijau nyaman sejahtera.
 
Panglima bercakak di naung rambai,
Sembari berbalah makan ketupat;
Sungai Congkak dan Sungai Gabai,
Tempat berkelah warga setempat.
 
Ayat dikarang berjela panjang,
Untuk pesanan si gadis ayu;
Sudah terkenal Sate Kajang,
Simbol makanan tradisi Melayu.
 
Ikan selangat di atas papan,
Dijemur kering di luar bangsal;
Kuala Langat daerah kelapan,
Bandar Temasya tapak berasal.
 
Sungguh tenang waktu maghrib,
Azan beralun jemaah menunggu;
Pantai Kelanang dan Pantai Morib,
Ramai pengunjung setiap minggu.
 
Hinggap mari burung tekukur,
Merdu suaranya tiap ketika;
Mah Meri etnik tersohor,
Budaya bangsanya kaya estetika.
 
Dahan lekir pucuk berhimpang,
Pokok tualang tingginya sama;
Daerah terakhir ialah Sepang,
Bagan Lalang pantai ternama.
 
Gadis megah indah kurnia,
Molek berhemah laksana ratu;
Sudah gah seantero dunia,
Tuan rumah Formula Satu.
 
Tidur baring si anak lanang,
Turun menjala di angin semilir;
Tarian Piring masyarakat Minang,
Seni bermula di Jenderam Hilir.
 
Jangan dimakan putik mengkudu,
Buah gedangsa gugur di taman;
Selangor tegakkan warisan Melayu,
Kejora bangsa zaman berzaman.
 
Subur lalang di tanah rata,
Hinggap di dahan burung pekaka;
Mantap cemerlang budaya kita,
Nadi keutuhan Selangor merdeka.
 
Pohon sena di tanah lanar,
Akar keduduk disayat-sayat;
Budaya laksana jamung bersinar,
Memandu hidup sepanjang hayat.
 
Bunga semambu gerbak setanggi,
Di atap genting hinggap sang helang;
Budaya Melayu martabatnya tinggi,
Aset terpenting Selangor gemilang.
 
Hinggap kelkatu di dahan senduduk,
Kemboja subur tepian pangkalan;
Budaya Melayu penyuluh hidup,
Laksana obor penerang jalan.
 
Pohon pauh pinggiran paya,
Istana kayu ukiran di tangga;
Pancang teguh pilar budaya,
Warisan Melayu khazanah berharga.
 
Logam gangsa dibuat acuan,
Buatan tangan berhias tiara;
Warisan bangsa katalis penyatuan,
Di bawah naungan wawasan negara.
 
Bunga sendalu hiasan nyonya,
Teruna bersila riang bersenda;
Warisan Selangor tinggi nilainya,
Maruah bangsa murup di persada.
 
Akar kayu dibuat tongkat,
Batang pelam keras bersaka;
Warisan Melayu kejora hikmat,
Citra keunggulan bangsa merdeka.
 
Burung gagak terbang bergaya,
Mentari jingga berbaur gangsa;
Budaya tonggak negara berjaya,
Penyatu warga sepanjang masa.
 
Anak gahara bergurau senda,
Lenggok mendayu tarian randai;
Biar prahara datang melanda,
Warisan Melayu tidak digadai.
 
Ukiran kayu dijaga selia,
Batang punggur reput di bawah;
Warisan Melayu di persada mulia,
Negeri Selangor penjana maruah.
 
Sungguh santun gadis Sekincan,
Mesra menegur berbaju kebaya;
Begitulah pantun hamba paparkan,
Peri Selangor Maju Berbudaya.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
@Hakcipta terpelihara

 

syair:
CERITERA SELANGOR NEGERI JAUHARI
 
Dengan Bismillah hamba berperi,
Ceritera Selangor negeri jauhari,
Usaha kerajaan bijak bestari,
Berlangkas sudah sejak bahari.
 
Ceritera hamba bukan sembarang,
Terbit dari hati nan seorang,
Ingin berkongsi kisah bersarang,
Buat ibarah pedoman nan terang.
 
Kerajaan Selangor nan mulia hati,
Kepada rakyat polos berbakti,
Layaknya air ma’al hayati,
Suci dan ikhlas murni sejati.
 
Negeri Selangor bersalut sejarah,
Suka dan duka dibuat ibarah,
Jasa kerajaan ikhlas dicurah,
Walau sengsara terluka parah.
 
Semarak usaha tak pernah layu,
Kerana mertabatkan warisan Melayu,
Tak gentar kalah pujuk dan rayu,
Bercura tekadnya bak sebatang kayu.
 
Budaya Melayu sangat sempurna,
Warisan nan indah terlalu behena,
Sopan melimpah anta permana,
Diamal warga mulia dan hina.
 
Negeri Selangor negeri berdaulat,
Budaya Melayu menjadi alat,
Penyatu hubungan menjunjung adat,
Gemilang menempa nama dan kudrat.
 
Bak jentayu terbang handalan,
Dengan semangat dahulu berjalan,
Diiring tekad berambal-ambalan,
Demi terjulang di puncak rembulan.
 
Laksana petani  gagah berladang,
Serata dunia Selangor berdendang,
Tiada gelugut prahara menghadang,
Asal warisan gagah kumandang.
 
Wa’ad kerajaan sudahlah terang,
Budaya Melayu sejarah terbilang,
Laksana manikam terang benderang,
Khazanah bangsa permata gemilang.
 
Teguh semangat maruah bangsa,
Warisan Melayu semarakkan bisa,
Meski kuasa tertinggal sisa,
Jangan sekali berputus asa.
 
Pemimpin Selangor menjaga negeri,
Cakna warisan bangsa sendiri,
Budaya Melayu gagah berdiri,
Teguh merempuh onak dan duri.
 
Cinta kasihlah warisan Melayu,
Sepanjang hayat nan dirgahayu,
Laksana gemala cahaya tak layu,
Takkan terhakis diterjang bayu.
 
Demikianlah syair hamba berperi,
Ceritera Selangor negeri jauhari,
Bersama pemimpin bijak bestari,
Lestari budaya sejak bahari.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
@Hakcipta terpelihara

 
sajak:
PETALING JAYA; KOTA WARISAN ILMU
 
Kuatur langkah-langkah memaknai sejarah
menyusur Petaling Jaya maju terserlah
semarak gemilang dari ladang getah
kini menjadi bandar kebanggaan nan megah
di sini tersergam astaka teguh serambi ilmu
berkat perancangan pemimpin berminda jitu
kuntum-kuntum ekonomi telah menggerbak
obor kekayaan dan jamung kemakmuran
 
Langkahku menyusur Tasik Taman Jaya
suam disiram mentari menyinar embun pagi
belai wayu menjulur cintaku berhimpang
pada air tenang dan unggas berterbangan
di sini hanya sipongang kidung angin
mandala berkat dek perancangan hebat
gabungan umarak dan cendekia pintar
mengatur kota megah terhampar
Petaling Jaya permata berharga senilai nyawa
kemerlap mutiara seharga sekoyan kencana
rimba-rimba batu megah berdiri melakar ekonomi
jamung-jamung universiti penyuluh jiwa perindu ilmu
warga galak mengutip ranggi-ranggi kemajuan
di tengah meriah dan semarak kehijauan
mesra semilir laksana taman syurgawi
inilah bentala berbudi yang tulus berbakti
untuk kemakmuran seluruh anak negeri
 
Langkahku terhenti di Masjid Abu Bakar Asy-Siddiq
yang damai berzikir di kemeriahan kota
kubentangkan sejadah syukur di mihrab tafakur
seluruh sayangku kulekapkan pada mimbar tulus
atas limpah rahmat-Mu nan mulus
merestui mercu tanda kegemilangan Petaling Jaya
dengan kemajuan sebagai aras tanda antarabangsa
menjulang kemegahan seantero negara

SMAHADZIR
Banting, Selangor 


Jumaat, 19 November 2021

 
pantun:
PROGRAM EHSAN PEDULI RAKYAT
 
Batang lemuju tidak bertulang,
Bongkah kulat dijarak-jarakkan;
Selangor maju terus menjulang,
Program rakyat tidak dilupakan.
 
Pokok keladi di naung bongor,
Ditanam Tok Batin sebatang kara;
Inisiatif peduli rakyat Selangor,
Kerajaan prihatin warga sejahtera.
 
Pokok berangan rumpun selasih,
Di tanah rata tumbuh bersilang;
Pakej rangsangan huluran kasih,
Buat derita rakyat menghilang.
 
Kasih yamtuan sepanjang hayat,
Ukiran tertera di batu nesan;
Pelbagai bantuan peduli rakyat,
Program budaya adat warisan.
 
Cantik rerama dipuja ratu,
Indah gemala istana cahaya;
Kerajaan bersama rakyat bersatu,
Semarakkan semua program budaya.
 
Pujangga berkarya manisan dijamu,
Kisah daeng kuat berzikir;
Warisan budaya penjana ilmu,
Megah bersaing era mutakhir.
 
Pohon pauh pinggiran paya,
Istana tegak tidak bertangga;
Pancangkan teguh pilar budaya,
Selangor penegak khazanah berharga.
 
Loket gangsa dijaga selia,
Untuk pengantin hiasan tiara;
Budaya bangsa di persada mulia,
Selangor prihatin rakyat sejahtera.
 
Dahan gedangsa melekat sialang,
Kayu bintangor disekat-sekat;
Pusaka bangsa takkan menghilang,
Warga Selangor pancangkan tekad.
 
Anak gahara bergurau senda,
Lelaki sasa menari randai;
Biar prahara datang melanda,
Budaya bangsa tidak digadai.
 
Jalar telang di dahan markisa,
Tabur garam di atas papan;
Selangor menjulang pusaka bangsa,
Pelbagai program di pentas kehidupan.
 
Masak di julai buah bidara,
Batang bongor dibuat acuan;
Khazanah bernilai milik negara,
Negeri Selangor wadah penyatuan.
 
Ubi kemala di atas papan,
Dibuat gulai gadis bertiga;
Pelbagai budaya di pentas kehidupan,
Pusaka bernilai milik warga.
 
Gadis Pangkor berkain satin,
Corak cemara menjulang angkasa;
Kerajaan Selangor amat prihatin,
Rakyat sejahtera warga sentosa.
 
Teduhan bongor pinggiran sawah,
Ikan haruan disayat-sayat;
Negeri Selangor penegak maruah,
Pelbagai bantuan semarak rakyat.
 
Cecair gangsa di dalam cawan,
Buatan tangan berhias tiara;
Budaya bangsa katalis penyatuan,
Di bawah naungan wawasan negara.
 
Jangan dimakan putik mengkudu,
Buah gedangsa gugur di taman;
Jangan lenyapkan budaya Melayu,
Kejora bangsa zaman berzaman.
 
Bunga cendana hiasan nyonya,
Teruna bersila riang bersenda;
Adat budaya tinggi nilainya,
Maruah bangsa jangan dinoda.
 
Pohon papaya tepian halaman,
Teruna dara asyik bersembang;
Pancang budaya sejak berzaman,
Di bumi Selangor semarak berkembang.
 
Bunga hiasan gerbak setanggi,
Di atap genting hinggap sang helang;
Adat warisan martabatnya tinggi,
Aset terpenting Selangor gemilang.
 
Harum setanggi di atas palang,
Daun jarak dimakan rusa;           
Julang tinggi di mercu gemilang,
Rancak semarak budaya bangsa.
 
Hinggap kelkatu di dahan senduduk,
Kemboja subur tepian pangkalan;
Adat budaya penyuluh hidup,
Laksana obor penerang jalan.
 
Akar raya dibuat tongkat,
Anak pelam di naung bintangor;
Warisan budaya kejora hikmat,
Citra keunggulan warga Selangor.
 
Pohon bongor tumbuh berselerak,
Akar merayap tepian kolam;
Budaya Selangor biar bersemarak,
Melebar sayap seantero alam.
 
Pohon jambu tumbuh di paya,
Bunga tualang seharum setanggi;
Adat Melayu di persada mulia,
Maruah terjulang di puncak tinggi.
 
Burung gagak terbang bergaya,
Mentari jingga berbaur gangsa;
Budaya tonggak Selangor berjaya,
Penyatu warga sepanjang masa.
 
Cantik rerama dipuja ratu,
Bagai gemala hamba sahaya;
Mari bersama kita bersatu,
Julang semula adat budaya.
 
Pohon sena di tanah lanar,
Akar keduduk disayat-sayat;
Adat laksana jamung bersinar,
Memandu hidup sepanjang hayat.
 
Dedaun layu di atas para,
Masak di kawah si gadis kaya;
Adat warisan budaya bangsa,
Negeri Selangor tanah berbudaya
 
Subur tualang di tanah rata,
Hinggap di dahan burung pekaka;
Mantap cemerlang budaya kita,
Nadi keutuhan Selangor merdeka.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor
@Hakcipta terpelihara

syair:
CERITERA BAHASA PERMATA JAUHARI
 
Dengan Bismillah fakir berperi,
Ceritera bahasa permata jauhari,
Usaha pejuang bijak bestari,
Berlangkas sudah sejak bahari.
 
Bacalah ini syair riwayat,
Bahasa Melayu satuan rakyat,
Jangan biarkan disayat-sayat,
Hancur berkecai seperti mayat.
 
Ceritera fakir bukan sembarang,
Terbit dari hati nan seorang,
Ingin berkongsi kisah bersarang,
Buat ibarah pedoman nan terang.
 
Bak jentayu terbang handalan,
Dengan semangat dahulu berjalan,
Diiring tekad berambal-ambalan,
Demi terjulang di puncak rembulan.
 
Bahasa Melayu bersalut sejarah,
Suka dan duka dibuat ibarah,
Jasa pejuang ikhlas dicurah,
Walau sengsara terluka parah.
 
Semarak usaha tak pernah layu,
Kerana mertabatkan Bahasa Melayu,
Tak gentar kalah pujuk dan rayu,
Bercura tekadnya bak sebatang kayu.
 
Bahasa Melayu sangat sempurna,
Diksi nan indah terlalu behena,
Nahu melimpah anta permana,
Ditutur warga mulia dan hina.
 
Dalam sejarah negara nan panjang,
Ramai petualang telah mendatang,
Pusaka bangsa cuba dicincang,
Bahasa Melayu mahu ditentang.
 
Pejuang bahasa nan mulia hati,
Kepada bangsa polos berbakti,
Layaknya air ma’al hayati,
Suci dan ikhlas murni sejati.
 
Laksana petani  gagah berladang,
Serata dunia bahasa kumandang,
Tiada gelugut prahara menghadang,
Asal bahasa gagah berdendang.
 
Bahasa Melayu bahasa ilmu,
Diguna disanjung usahlah jemu,
Pesona aksara semarak diramu,
Indah ditutur kepada tetamu.
 
Bahasa Melayu pernah berdaulat,
Serata nusantara menjadi alat,
Penyatu hubungan menjunjung adat,
Gemilang menempa nama dan kudrat.
 
Wa’ad pejuang sudahlah terang,
Bahasa Melayu sejarah terbilang,
Laksana manikam terang benderang,
Khazanah bangsa permata gemilang.
 
Teguh semangat maruah bangsa,
Bahasa Melayu semarakkan bisa,
Meski kuasa tertinggal sisa,
Jangan sekali berputus asa.
 
Pemimpin Melayu menjaga negeri,
Caknalah pusaka bangsa sendiri,
Bahasa Melayu gagah berdiri,
Teguh merempuh onak dan duri.
 
Meski ditentang pujangga kata,
Makinlah hati bertambah cinta,
Laksana mendapat banjaran permata,
Dijulang tinggi rakyat jelata.
 
Cinta kasihlah Bahasa Melayu,
Sepanjang hayat nan dirgahayu,
Laksana gemala cahaya tak layu,
Takkan terhakis diterjang bayu.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA