Khamis, 21 Disember 2023

DI WARUNG KOPI

SMAHADZIR

 

MEMANG setiap minggu ada majlis usrah. Bergilir-gilir dari rumah ke rumah antara warga kampung. Lokman berasa bahagia sekali kerana sewaktu tinggal di Kampung Molek, dia tidak pernah dikenalkan majlis ilmu seperti ini. Tetapi sejak berpindah ke Kampung Indah ini barulah dia tahu, berjinak-jinak, dan akhirnya terus jatuh cinta. Sekali tidak menghadiri usrah rasa kehilangan yang besar.

               Di Kampung Molek, warganya tidak pernah menganjurkan usrah begini. Setiap perjumpaan sarat dengan bicara tentang kuasa, wang dan tanah. Itu yang Lokman dapat bezakan sejak dia berpindah ke sini. Caci-mencaci, kata-mengata, umpat-cela, keji-mengeji, kecurian, pecah rumah dan pelbagai lagi gejala tidak sihat sering berlaku. Anak-anak muda terlalu liar sehinggakan tiada batas sempadan antara lelaki dan perempuan. Boleh dikatakan setiap malam minggu, ramai anak muda bersama pasangan masing-masing akan berlumba haram di jalan raya. Akibatnya, berlakulah pelbagai gejala sosial yang sumbang di pandangan mata. Kes-kes penyalahgunaan dadah, pil esktasi, minuman haram dan sebagainya semarak di mana-mana. Sungguh jelek hidup di kampung tersebut.

               Ada seorang rakan Lokman di kampung itu yang bernama Murad. Lokman pernah menasihati Murad supaya mengambil berat soal punca ekonominya namun segala teguran tidak dipedulikan. Malah Lokman pula yang dijadikan seteru.

               “Kau siapa nak nasihatkan aku?” marah Murad. Ketika itu mereka sedang duduk di warung kopi di kepala simpang Kampung Molek.

               “Aku sekadar nak nasihatkan kau supaya kembali ke jalan yang disuruh agama!” ujar Lokman tenang. “Agama kita tak suruh umatnya berjudi, tikam ekor, ‘menurun’ di kubur-kubur keramat dan sebagainya. Kita mesti berkerja kuat sambil berdoa. Insya-Allah, hidup akan diberkati. Rezeki kita akan melimpah-ruah.”

               “Ahhhh, selama aku hidup nipun, aku tak pernah susahkan sesiapa!” tukas Murad kurang senang. “Walaupun gaji aku kecil, tapi aku mampu tanggung anak isteri aku. Kau tak perlu masuk campur urusan hidup aku, Lokman!”

               “Sebagai kawan rapat, aku rasa wajar menegur apa yang tak baik!” balas Lokman penuh kesedaran.

               “Habis, kau ingat kau baik sangat? Kau ingat sembahyang kau dah tentu masuk syurga? Hei Lokman, kalau kau nak bagi ceramah agama, pergilah masuk Forum Perdana. Di situ kau boleh berceramah... dapat upah lagi.”

               Itulah detik-detik terputusnya sebuah persahabatan antara Lokman dan Murad. Kehidupan Lokman di Kampung Molek juga bagaikan terasing. Dia seolah-olah dipulaukan masyarakat. Kebanyakan suka menyinisnya dengan gelaran seperti ulama, ustaz, penceramah dan sebagainya. Sebab itulah dia mengambil keputusan berpindah dari kampung tersebut. Dia tidak sanggup hidup di sebuah kampung yang masyarakatnya telah lalai dengan ajaran agama.

               Di kampung itu, hiburan bagaikan sinonim. Setiap majlis perkahwinan mesti ada persembahan kugiran dan joget lambak pada sebelah malam. Ramai warga kampung akan berhibur sampai pagi. Percampuran lelaki perempuan bagaikan perkara biasa. Orang-orang tuapun ramai yang ikut sama. Mereka bagaikan memberi contoh tidak baik kepada generasi muda. Lokman amat terkilan dengan perangai mereka. Bukan sahaja sukar menerima nasihat, malah setiap nasihat akan dibalas dengan cemuhan dan ejekan.

               “Hanya Islam saja berupaya mencegatkan kehidupan sejahtera. Islam itu penyelamat dan penyelesai sesuai dengan sifat rahmatallila’lamin, tak pernah mengabaikan soal kesejahteraan dalam kehidupan. Sebab itulah, untuk menjadi manusia yang mampu hidup aman, harmoni, berkah dan sebagainya, kita harus kembali kepada ajaran Islam,” ujar Haji Hamdi dalam satu majlis usrah.

                Begitulah juga tekad yang terpancang kukuh dalam dada Lokman sekarang. Dia berazam untuk mengubah corak hidupnya mengikut lunas-lunas agama yang benar. Dia tidak mahu menjadi khalifah di muka bumi yang terseleweng dan terlandai jalan hidupnya. Dua anak gadisnya sudah besar panjang. Milah dan Tijah sudah bergelar gadis sunti dan bila-bila masa saja akan dipinang orang. Dia mahukan anak-anaknya itu menjadi solehah terpuji. Sifat-sifat mulia terpuji akan diserapkan di jiwa mereka. Lantaran itulah, dia tidak pernah jemu mengajar anak-anaknya itu ilmu-ilmu agama yang berjaya dikaut dari majlis-majlis ilmu sejak berpindah ke kampung ini.

Ustaz Hamdi memulakan majlis usrah dengan bacaan Al-Ma’dhurat. Sebaik majlis selesai dan selepas halalbilhalal sesama jemaah, Lokman terus pulang. Tatkala itu jarum panjang dan pendek sudah bersatu di angka sebelas.

               Melewati warung makan di persimpangan menghala rumahnya, tiba-tiba namanya dipanggil. Lokman gesit menoleh. Terkelih Murad dan Osman, dua sahabat baik itu sedang santai menjamu selera.

               “Singgahlah dulu Lokman!” laung Osman, tangan polos menggamit.      

Lokman agak keberatan kerana hari sudah lewat malam tetapi mengenangkan innamalmukminunaikhwah masih erat membuhul atma, mahu tak mahu rengsa kakinya melangkah, duduk sebaik tiba di hadapan Murad dan Osman.

               “Tak baik tolak rezeki,” Osman cuba memancing. “Takkan kerana dah pindah tak sudi nak makan semeja dengan kami lagi!” Wajah Lokman dicerlung mesra.

               Murad sekadar mengangguk. Tangan akas mencapai cawan. Kopi panas diteguk waspada.

               “Eh, mintalah apa nak makan. Aku belanja!” Osman mempelawa sebaik cawan di tangan mendarat atas meja.

               “Terima kasihlah, Man! Sebenarnya aku dah kenyang. Makan mi goreng lepas usrah tadi,” Lokman mencegatkan hakikat.

               “Ala, takkan secawan kopipun tak boleh!” Osman memujuk.

               Lokman tersenyum dan mengangguk seraya meminta secawan kopi. Kala itu tetamu warung tak berapa ramai.

               “Kau rugi, Lokman!” ujar Osman sewaktu kopi O yang dipesan berasap di atas meja. Aroma menyegarkan.

               “Apa yang rugi?” Mata Lokman  terkesip-kesip kurang faham.

               “Kalau kau tak pindah dulu, dah tentu kau jadi Imam sekarang. Sungguh-sungguh kau tolak tuah!”

               Lokman tersenyum nipis. “Aku tak rasa itu satu kerugian atau tolak tuah kalau jawatan tu bukan hak aku sebenarnya.”

               “Siapa kata bukan hak kau?” Osman nyata kurang senang. “Jawatan Imam Masjid tu memang layak untuk kau. Tak ada seorangpun layak jadi imam di Kampung Molek tu! Pegawai dari Majlis Agama ada datang mencari dan melantik Imam tapi semua yang ditemuduga, bacaan fatihah pun tak betul. Akhirnya terpaksalah mereka lantik orang dari Kampung Muhibah jadi imam di Kampung Molek!”

               “Itu satu tamparan hebat kepada penduduk Kampung Molek!” Lokman menyinis dalam senyum. “Sebenarnya, aku berpindah sebab tak tertanggung tengok warga kampung mencintai azab Allah. Soal agama dipandang lewa. Hukum-hakam dibuat tak kisah. Bila aku tegur, mereka kata aku ni ustaz, penceramah, dan macam-macam lagi. Mereka perli... sinis aku,” Lokman melepaskan gelodar rasa hatinya seraya menjeling wajah Murad yang nyata pudar. Dia sengaja mencegatkan hakikat pegangannya dalam usaha memberi kesedaran kepada Murad.    

“Hei, Lokman! Siapa maksud kau ni, hah?” Osman mendadak kurang senang. Wajah jelas menyinga. “Bukan semua orang Kampung Molek begitu. Kau dah salah menuduh. Takkan kerana jarang bersembahyang di masjid, kau kata kami menyeleweng? Takkanlah kerana selalu berjoget lambak, kami tak Islam?” Suara nyata bernada gerah.

               “Memang aku tak kata kau tak Islam, Man!” tukas Lokman lunak. Wajah Osman dicerlung mesra. “Tapi, masyarakat Kampung Molek boleh dikatakan rata-rata dah dijajah jiwa, mental dan fizikal, itu maksud aku. Lebih teruk lagi jajah moral dan akhlak. Kalau kita dah dijajah oleh syaitan, mata hati kita akan tertutup dan keindahan Islam tak akan nampak lagi. Kita akan menganggap yang Islam tu terlalu mengongkong. Kita akan membenci ajaran Islam yang baik lalu menerima benda-benda yang tak baik sebagai satu kebaikan. Itu yang aku nampak dalam masyarakat.”

               “Tapi, kami semua mahu bebas,” tukas Osman. “Bukankah Islam itu memberi kebebasan kepada penganutnya asalkan tak menduakan Tuhan atau meragui rukun-rukun Islam yang lain.”

               “Betul kata Osman tu, Lokman!” tiba-tiba Murad yang selama ini mendiamkan diri terpanggil untuk bersuara. “Walaupun kami tak berapa alim dalam soal agama, tapi kami tetap Islam. Kami tetap mengaku bahawa tiada Tuhan lain melainkan Allah dan Nabi Muhammad tu pesuruh Allah.”

               “Islam bukan sekadar lafaz pada kalimah syahadat, Murad! Kita kena faham hakikat ini,” ujar Lokman tenang. “Islam harus dipraktikkan dengan iman dan amal. Segala rukun Islam mesti dilaksanakan tanpa sebarang bantahan. Semua larangan mesti ditinggalkan. Semua suruhan mesti diakuri sepenuh jiwa.”

               “Jadi, kau ingat kami ni tak ikut suruhan Tuhanlah?” Osman separuh jengkel. “Jadi, kau seorang sajalah Islam? Kami semua di Kampung Molek tu tak Islam. Begitu maksud kau agaknya?” Murad pula mencebek.

               “Seperti aku katakan tadi, Islam itu perlu ditunjukkan dengan perbuatan,” Lokman bersuara tegas. “Kalau kita Islam, kenapa kita masih nak main judi atau tikam ekor? Kenapa biarkan anak-anak kita bebas tanpa sekatan? Kenapa bersama-sama mereka berjoget lambak santak pagi sampai tak tahu masa sembahyang dan sebagainya? Ini semua menunjukkan jiwa kita dah dijajah syaitan. Syaitan itu musuh Allah. Kalau kita ikut perangai syaitan, bermakna kita juga musuh Allah.”

               “Huh, balik-balik soal jajah itu juga kau sebut!” Osman mula mencebek jengkel. “Selama aku hidup di kampung tu, tak pernah pula aku rasa aku ni dijajah. Hidup bebas, tak siapa menghalang. Cuba kau bandingkan zaman British atau Jepun dulu. Hidup datuk nenek kita susah dan terhimpit. Kita halau mereka semata-mata nak memerintah sendiri. Bila dah memerintah ada pula rakyat yang rasa dijajah. Pelik sungguh! Karut dan tak masuk akal langsung!”

               “Itu kata-kata orang yang tak faham istilah jajah, Man!” Lokman tersenyum sinis. “Lagipun, kau tak rasa dijajah sebab kau tak rasa kenikmatan hidup dalam Islam yang sebenar. Bila kau dah rasa kenikmatan Islam, barulah kau akan rasa yang selama ini jiwa dah dijajah syaitan. Yang rasa dijajah ialah orang yang bencikan akhlak bawaan syaitan.”       

               “Apa kau cakap ni, Lokman? Jangan sesenang itu menuduh orang lain syaitan. Setahu aku, orang yang benar-benar Islam tak akan menuduh orang lain tak betul. Betul atau tidak bukan kerja manusia tetapi kerja Allah. Dia yang berhak menilai seseorang hamba-Nya sama ada betul atau tidak,” tukas Osman.

               Lokman tenang menghabiskan kopi O yang masih tinggal separuh di dalam cawan. Pelanggan warung kian meminggir. Satu-satu melenyap.

“Aku tak menuduh, Man! Aku sekadar berkata bentuk-bentuk atau ciri-ciri orang yang sudah dijajah syaitan. Itu saja,” balas Lokman sejurus kemudian. “Menilai sesuatu kebajikan atau kejahatan, memang kerja Allah. Manusia macam kita ni tak layak nak ambil alih tempat Tuhan lalu membuat hukum.”

               “Habis, atas alasan apa lagi kau nak kata kami semua salah dan tak Islam?” Osman jelas belum puas. Wajah Lokman dicerlung tunak minta jawapan. Murad di sisi tersenyum lega. Dalam hati biar Lokman terduduk.

               “Aku tak pernah tuduh kau tak Islam!” tukas Lokman cuba mencegatkan hakikat diri.

               “Kau ni dah macam orang Yahudi. Cakap berbolak-balik!” Murad membeliakkan biji matanya. “Tadi cakap lain, sekarang cakap lain pula! Macam mana ni?” Sinis hebat seraya jengkel mencebek. Osman menggeleng macam kesal berbaur.

               “Siapa kata aku macam Yahudi?” Lokman kurang selesa.

               “Hanya orang Yahudi saja suka cakap macam tu!” Murad bersahaja.

               “Yahudi musuh Islam. Mereka yang membawa unsur-unsur hiburan berlebihan bertujuan untuk melalaikan umat Islam dari ajaran agama. Mereka cipta tv, radio, internet, alat-alat muzik dan sebagainya supaya umat Islam jadi leka. Orang Islam yang terleka dengan semua unsur bawaan Yahudi itulah yang sebenarnya macam Yahudi.”

               Murad dan Osman bungkam setagal. Bukan kerana pengetahuan terbatas tetapi untuk menyangkal hujah Lokman agak sukar.

               “Sebab itulah aku melarikan diri dari Kampung Molek tu. Asas kehidupan masyarakat di kampung yang aku duduk sekarang ni lebih murni, nak mewujudkan satu cara hidup secara Islam dalam kehidupan secara menyeluruh. Ikut hukum Allah dan suruhan Nabi supaya kesejahteraan cegat. Tak ada sifat-sifat mazmumah dan yang lebih penting hidup selamat!” Lokman tersenyum yakin di hujung kata-katanya.

               “Kau yakinkah cara hidup yang kau kata baik ni boleh menjamin kehidupan sejahtera tanpa sebarang masalah?” tukas Murad, memanaskan kembali perbualan.

               Lokman rasa seperti diperkecilkan. “Jangan terlalu takbur, Murad! Kita sebagai manusia yang dijadikan-Nya, berteguh kepada janji Allah. Allah itu bersifat qadim Yang Maha Sempurna. Tak akan ada masalah selagi berpegang kepada hukum Allah dan Rasul-Nya!” waras membidas penuh keyakinan, terpacul dari iman yang kukuh.

               Perkataan takbur itu benar-benar menyirap darah ke muka Murad dan Osman. Nyata benar mereka menyinga. Muka masing-masing merah padam. Bagai tak sabar mahu berlengan.

               Lokman pantas terkesan. “Sabar, jangan cepat marah. Kata ulama, marah tandanya diri sudah dijajah syaitan!” dia separuh menenangkan. “Takbur maksud aku mendahului fitratullah, ketentuan Allah. Dakwaan kau tadi seolah-olah mendahului ketentuan Allah. Jangan terlalu merendahkan kemampuan Islam, konon tak mampu mewujudkan kesejahteraan dalam hidup manusia. Ingat, Islam itu addin, menyeluruh dalam aspek hidup. Yakinlah, Islam itu penyelamat, adil, lengkap dan akmal!”

               Murad dan Osman bagai dipalu beluti. Bungkam.

               Lokman mengambil kesempatan menghulurkan tangan, menghubungkan kembali tali siraturrahim sebelum melangkah pulang meninggalkan warung yang sudah dibalut hening. Malam terus berinsut semakin gelintin sepekat hati Murad dan Osman.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA