SMAHADZIR
Prolog:
SAMPAI bila kamu harus tunggu, Herman? Kamu harus ambil kata putus sama ada mahu terus di sini atau merantau ke sana!”
“Kenapa
harus sampai ke sana, Sumarni? Kota Medan juga tidak kurang dengan toko-tokonya
yang bisa memberikan kita kerja?”
“Loh,
selumayan di sana?”
“Aku
tidak pasti. Tapi, dengan bekerja di Medan, kamu tidak berjauhan dengan
keluarga, dengan sanak saudara, dengan sahabat handai dan yang pentingnya kamu
tidak berjauhan dengan aku,”
“Itu
bukan soal yang penting bagiku, Herman! Bagiku, mengubah nasib diri lebih
penting dari segalanya. Keluargaku sudah merestui dan kamu tidak perlu memberi
apa-apa keizinan kepadaku lantaran antara kita belum punya apa-apa ikatan.
Selebihnya, aku punya wawasan masa depan yang lebih jelas jika dibandingkan
dengan kamu!”
“Jadi,
keputusan ini sudah muktamad?”
“Tentu
sekali!”
“Kamu
tidak menyesal?”
“Hei
Herman! Untuk apa aku harus menyesal? Aku meninggalkan desa kelahiran bukan
untuk tujuan berfoya-foya tetapi untuk mencari rezeki...”
“Itu
aku tahu, Sumarni!”
“Habis,
kalau sudah tahu kenapa kamu masih lagi mahu tinggal di sini? Mata kamu sudah
buta pada realiti ekonomi negara kita sekarang? IMF telah merudumkan nilai
matawang kita ke paras yang sungguh kecil. Apa kamu bisa lakukan lagi di sini?
Mana ada peluang pekerjaan yang lumayan untuk kamu garap di sini? Hampir tiga
juta rakyat kita sudah menetap di sana. Semuanya pulang dengan senyum tawa,
kantung sarat berisi dan mereka mampu hidup senang. Aku akan ikut jejak
mereka!”
“Habis,
bagaimana dengan hubungan kita, Sumarni?”
“Tepuk
dada kamu dan tanyakan selera kamu! Kamu bisa mendapat jawapannya!”
“Sumarniiii!!”
“Jangan
jadi bodoh, Herman! Apa ada pada cinta?”
“Kebahagiaan...”
“Huh,
kebahagiaan konon! Kamu fikir, cinta boleh mengenyangkan perut? Cinta boleh
mendirikan kamu sebuah rumah yang besar, membelikan kamu sebuah mobil yang
cantik atau menyaluti tubuh kamu dengan pakaian-pakaian yang indah?”
Diam.
“Jangan
fikir aku masih lagi mahu asyik dengan irama cinta yang tidak bermatlamat itu,
Herman! Selepas SMA, aku tidak lagi berfikiran seperti kanak-kanak kecil. Aku
sudah pandai membina wawasan masa depan. Aku sudah pandai membina cita-cita
untuk hari muka. Jika kamu masih lagi berfikiran seperti dulu dan tidak mahu
mengubahnya, aku fikir hubungan kita putus di sini saja!”
“Jangan
begitu, Sumarni! Jangan terlalu mudah melupakan segala kenangan indah kita
bersama. Lagipun, apa yang kamu kejar sekarang belum lagi nampak di mata. Kamu
membayangkan yang indah-indah yang belum tentu bisa kamu capai. Kamu ingat,
begitu senang mahu jadi kaya? Kamu ingat begitu mudah mahu ubah nasib
lebih-lebih lagi di bumi asing? Fikir masak-masak Sumarni! Ayuh, mari kita ke
Medan atau ke Jakarta. Aku yakin, di sana juga kita bisa hidup senang...”
“Arghh,
persetankan itu semua, Herman!”
“Sumarnii!!”
“Selamat
tinggal Herman!”
“Sumarniiiiii!!!!!!!!!!”
Perjalanan yang jauh memang menjelakkan. Kesesakan di pelabuhan tadi menjadikan Herman sedikit kalap. Inilah pertama kali kakinya akan menjejak bumi Malaysia yang terkenal makmur itu.
Menurut
kata Delsi Sumarni dulu, Kuala Lumpur tidak seperti Medan. Desa-desa di
Malaysia tidak seperti desa-desa seluruh Sumatera. Masyarakat di sana juga
berbeza. Apa lagi dengan jejaka dan anak gadisnya. Dan sewaktu meninggalkan
pelabuhan, dalam kepala Herman hanya membayangkan betapa jauhnya lagi destinasi
yang harus dilewati untuk bertemu dengan Delsi Sumarni. Dia kira, lebih empat
atau lima jam lagi tibalah dia ke tempat yang akan ditujui itu.
Herman
dapat membayangkan wajah Kuala Lumpur kendati belum pernah menjejakkan kakinya
ke sana. Melalui kaca televisyen, Herman selalu juga ditayang rupa paras ibu
kota Malaysia itu. Tentu sekali kota itu cantik seperti juga kota Jakarta.
Bangunan-bangunannya tentu tinggi-tinggi belaka.
Yang
pastinya, dia tidak akan kesepian kerana ramai warga ke tanah kelahiran sudah
menetap di sana sehingga mampu membangunkan perkampungan tersendiri biarpun
dianggap secara haram.
Delsi
Sumarni - seperti ingin aku berpatah balik ke desa kita. Seperti ingin
kusambung lagi harapan-harapan yang terbengkalai itu. Seperti ingin kukunyah
lagi segala kenangan indah kala bersamamu dulu. Kala itu kamu tidak pernah
membayangkan bahawa Kuala Lumpur bakal menjadi tempatmu mencari rezeki dan aku
sendiri rasa bagai bermimpi kala kamu mengambil kata putus untuk meninggalkan
kaum keluarga, sahabat handai, desa tercinta dan juga bumi Sumatera.
Tetapi
apakan daya. Aku tidak mampu menghalang segala kemahuanmu. Kata kamu, Kuala
Lumpur mampu mengubah bentuk dan corak kehidupan kamu pada masa akan datang.
Kuala Lumpur bisa menjadikan kamu kaya raya. Kuala Lumpur akan mendewasakan
kamu dengan erti hidup, kesusahan, kesempitan dan pelmacam lagi.
Sekarang,
semuanya sudah terjawab. Dan kamu seperti menghukum aku supaya turut
meninggalkan tanah kelahiran dan tidak akan pulang-pulang lagi ke desa kita.
Kalau aku pulang, tentulah aku tidak akan berjaya mengubah nasib hidup dan
ingatan silam itu pasti akan kembali murup segar dan air mataku tentunya akan
menitis lantaran terlalu banyak kesan-kesan manis yang kita telah tinggalkan di
sana.
Ruang
kenderaan laut yang membawa Herman ke destinasi agak sesak dengan penumpang.
Semuanya dengan tujuan yang sama. Masing-masing berwajah pudar, pucat dan sebam
seolah-olah membayangkan nasib yang bakal ditempuhi di negara orang. Jam besar
yang tergantung di dinding feri pula menunjukkan angka sembilan malam. Sewaktu
badan feri dibalun badai Selat Melaka, Herman melemparkan panahan matanya
keluar melalui tingkap kecil di sisi. Tiada apa yang dapat dikelih dengan mata.
Ombak laut jelas beralun dengan tiupan angin menderu kencang. Cuma yang nyata
ialah kebisingan badai mencecah badan feri yang sesekali mendebarkan perasaan.
Sudah
banyak kali Herman membaca berita di dalam akhbar juga melalui kaca televisyen.
Feri karam. Bot karam. Semua penumpang lemas dan berkubur di lautan gara-gara
mahu ke Malaysia. Apakah nasib yang serupa bakal menimpanya juga?
Di
dalam hati Herman sering berdoa agar dia akan selamat tiba di Malaysia dan
dapatlah dia berjumpa dengan Delsi Sumarni yang sudah lama tidak ditatap
wajahnya.
Aku
kepingin benar mengajak kamu bersama seperti dulu, Delsi Sumarni.
Setidak-tidaknya untuk makan-makan bersama di warung tepi sungai di hujung desa
kelahiran kita. Atau mengajak kamu menghirup udara segar di tepian Danau Toba.
Pernah
aku beritahu kamu suatu masa dulu bahawa Danau Toba punya legendanya yang
tersendiri. Tentu kamu masih ingat bukan? Riwayat Tano Ponggol Pulau Samosir! Kamu
pernah menyanyikan aku lagu dendangan Ernie Djohan - Teluk Bayur.
Ataupun boleh juga kita berpeleseran di Brastagi, menikmati Air Terjun
Sipiso-piso.
Warung-warung
di sana penuh dengan masakan ala Minangkabau, Jawa, Batak Karo, hmm... sungguh
menyelerakan. Aku lihat kamu begitu asyik sekali menjamah paru goreng berlada
dan aku pula tentunya sukakan belut goreng. Khabarnya, punya potensi menguatkan
tenaga batin. Argh... semuanya seperti tidak mungkin akan berlaku lagi, Delsi
Sumarni!
Kamu
telah memutuskannya! Kamu telah menghancurkannya dan kini aku persis seorang
nakhoda kapal yang tak punya haluan. Kala aku membaca kisah cinta Haryati dan
Zainudin dalam Tenggelamnya Kapal Vandevick karya Hamka, aku
membayangkan aku adalah Zainudin dan kamu pula adalah Haryati. Betapa tragis
cinta mereka, Delsi Sumarni!
Kamu
tahu? Sepeninggalan kamu, aku membawa diri ke Surabaya dan seterusnya ke
Jakarta. Bagiku, aku lebih suka mencari rezeki di tanah air sendiri. Di kota
Jakarta, aku sering singgah di warung-warung soto Madura sekitar Mangga Dua.
Aku
sendiri tidak tahu kenapa aku mesti berbuat begitu sedangkan aku bukannya suka
sangat pada soto Madura. Makanan kegemaranku tentulah masakan Minang yang pedas
itu. Hmm, barangkali juga kerana di Mangga Dua ini aku dapat berjumpa dengan
berbagai lapisan masyarakat kota yang ramah. Dari pekerja-pekerja kilang
hinggalah mereka yang berjawatan tinggi. Dari berkereta mewah sampailah kepada
rakyat jembel yang rata-ratanya capek dan melarat.
“Kamu
terlalu memuji Jakarta...”
“Kota
cantik, kota indah dan semuanya ada di sana,”
Kamu
tidak pernah nampak kejelekannya. Cantik dan indah pada pandangan mata tapi...
ahhh, itu tidak penting, Delsi Sumarni! Yang pentingnya ialah keindahan di kota
Jakarta ini terutama pada waktu malam. Lampu-lampu neon berwarna-warni dan
cahayanya yang tersangkut di dedaun pepohon di tepi sungai kelihatan sungguh
mengasyikkan.
Di
sepanjang tepian sungai dibina tempat duduk bersimen buat para pengunjung
bersantai menenangkan fikiran. Aku pernah melihat pasangan remaja duduk di satu
pojok mengadap aliran sungai sambil berbual dan bergurau senda penuh kemesraan.
Kala
itulah ingatanku jauh menjalar ke desa kelahiran. Kala musim padi sedang
menguning emas dan kita bersama para petani yang lain getol bergotong-royong
memungut hasil setelah berbudi kepada tanah.
“Bantu
aku, Sumarni!”
“Bantu
apa?”
“Hulurkan
tangan kamu dan ambil gemal padi ini!”
“Selepas
ini aku tak mahu lagi, Herman!”
“Kenapa?”
Memang
aku tidak dapat melupakan detik manis itu, Delsi Sumarni!
“Kenapa
Sumarni? Kenapa kamu tak mahu membantuku lagi selepas ini?” soal Herman sambil
menanti jawapan dari gadis ayu itu.
Delsi
Sumarni sekadar mendiamkan diri tetapi jejari halus lunaknya tetap menyambar
perdu-perdu padi manakala tangan kanannya begitu cepat mengumpulkan
tangkai-tangkai padi yang sudah dijadikan gemal itu di atas ban bendang. Herman
sempat menoleh ke wajah Delsi Sumarni. Biar keringat merenik di dahi namun
kejelitaan dan keayuan masih jelas terpancar.
Tetapi
tidak ada tanda-tanda yang gadis itu mahu memandang ke arahnya walaupun
sekilas. Herman jadi terkilan.
“Katakan
kenapa kamu tidak sudi lagi membantuku selepas ini, Sumarni!”
“Aku
sudah bosan, Herman!
“Bosan
apa?”
“Bosan
dengan pekerjaan ini!”
“Loh,
kamu mahu kerja apa kalau tidak jadi seorang petani?”
Diam.
Herman
mengerti. Memang telah gadis itu putuskan! Dan telah Herman campakkan segala
harapannya yang indah-indah itu ke alun bendang.
Delsi
Sumarni - matahari yang bergayut di puncak pergunungan sering menjadikan aku
terkenang masa lalu. Sesungguhnya aku tidak menyangka bahawa perkenalan kita
sewaktu bersekolah dulu berlarutan hingga ke zaman remaja walaupun kita dari
ras yang berlainan.
Kamu
Jawa sedang aku Minang. Namun begitu, terima kasihlah kepada sekolah kita yang
suatu ketika dulu telah membawa kita kepada alam persahabatan. Aku masih ingat,
ketika itu sekolah aku dan sekolah kamu telah berpadu mengadakan sebuah majlis
kesukanan.
Aku
belum dapat melupakan bagaimana aku, kamu, Tanti dan Hetty turut terlibat dalam
satu kumpulan membantu guru menyelesaikan tugas menyambut para tetamu. Tempat
tugasan kita di tepian rimbunan bunga bulang yang sedang mekar berkembang.
Kita
begitu mesra seolah-olah sepasang rama-rama berterbangan di taman firdausi.
Suatu ketika kamu jadi lelah dengan kedatangan tetamu yang ramai lalu kamu
menyuruh aku mengambil alih tugas menghulurkan buku atur cara kepada mereka
sedangkan tugasku hanyalah sebagai pengawas kepada tugasan kumpulan kita.
Aku
menyambutnya dengan rela kerana aku tidak tergamak melihat kamu keletihan
begitu. Selepas itu kamu tersenyum dan aku juga tersenyum kerana tugas kita
beres.
Delsi
Sumarni - masa yang terus berlalu kadang-kadang seperti menjarakkan kita.
Beberapa lama kita tidak berjumpa dan kita juga saling melupakan. Tetapi siapa
sangka, kita akan bertemu lagi.
Dan
takdir juga yang menyusun atur kita bahawa kita mesti duduk dalam kelas yang
sama semasa menghadapi SMA. Ini semua kerana aku telah ditukarkan ke sekolah
kamu. Sebenarnya aku sengaja meminta supaya aku ditukarkan ke sekolah kamu
dengan tujuan untuk mendekatkan lagi diriku dengan kamu.
Syukurlah
kerana impianku telah tercapai. Ah, mesranya kita pada zaman itu.
“Bagaimana
dengan soalan peperiksaan tadi, Herman?”
“Perit
juga otak aku memikirkannya!”
“Barangkali
kamu malas mengulang kaji pelajaran di rumah!”
“Barangkali
benar tukasan kamu!”
“Loh,
kenapa harus malas begitu, dong?”
“Lantaran aku tak dapat menerima
pelajaran!”
“Sebabnya?
“Otak
aku sudah sarat!”
“Dengan
apa?
“Dengan
wajah dan nama kamu, Sumarni!”
Delsi
Sumarni ketawa.
“Kenapa
kamu ketawa?”
“Aku
kegelian kerana ada orang jatuh dalam sumur asmara!”
“Bukan
satu kesalahan tentunya!”
“Itu
kata kamu!”
“Habis,
apa pula kata kamu?”
“Ngeri
sekali aku mahu memikirkan soal cinta buat masa sekarang, Herman!”
“Jadi,
apa ertinya persahabatan kita ini?”
“Nanti
aku beritahu kamu!”
“Bila?”
“Bila
tiba masanya nanti!”
“Loh,
bikin aku bingung!”
Masa
terus juga berlalu.
“Siapa
nama gadis itu, Herman?” Pak Mandar meluahkan pertanyaan suatu hari.
“Yang
mana satu, bapa?”
“Itu!
Yang memakai kerudung ungu muda itu!” Pak Mandar menuding ke arah Delsi Sumarni
yang ketika itu sedang berjalan pulang dari sekolah.
“Oh,
itu Delsi Sumarni! Err, kenapa bapa?”
“Anak
gadis Pak Iskandar yang bekerja di sawah kita, bukan?”
“Err,
ya!”
“Bapanya
malas sebab itu hidupnya susah!”
Diam.
“Kamu
berkawan dengan dia?”
“Errr...
err... ya, pak!”
Delsi
Sumarni - mula-mula aku tidak mengesyaki apa-apa. Tetapi lama-kelamaan, setelah
aku cuba mencari-cari maksud pertanyaan bapaku, akhirnya barulah aku mengerti
sendiri.
Bapaku
tidak merestui hubungan kita rupanya. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin juga
kerana aku datang ke sekolah dengan mobil sedang kamu berjalan kaki. Barangkali
juga kerana status hidup antara kita yang agak berbeza itulah penyebabnya.
Suatu
hari, sewaktu mereka berdua sedang berbual di bawah sepohon angsana pinggiran
kantin sekolah, Tanti telah melontarkan sebiji gula-gula. Delsi Sumarni gagal
menyambutnya lalu gula-gula tersebut jatuh ke tanah berhampiran kaki.
Ketika
itulah Herman terpandang kasut gadis itu yang koyak di bahagian depan sehingga
membuatkan sedikit hujung jari tertonjol keluar. Ada dua tiga lubang kecil pada
stoking kanan. Herman memandang pula pada baju dan kain yang dipakai Delsi
Sumarni. Agak lusuh dan ada bahagian-bahagian yang bertampal.
“Memang
aku anak orang miskin, Herman!” kata Delsi Sumarni sambil merenung jauh ke
hadapan. Kemudian tertunduk pilu.
Herman
diam kerana baginya diam lebih baik daripada berkata-kata yang mungkin akan
menyentuh hati kecil gadis itu.
Delsi
Sumarni - aku masih ingat bagaimana bapaku tidak membenarkan aku berkawan baik
dengan kamu lagi. Bapaku kata, kamu tidak setaraf denganku. Keluarga kamu
adalah kuli kepada keluargaku. Keluarga kamu miskin sedang keluargaku kaya.
Jadi, tidak cocok orang kaya berkawan dengan orang miskin. Tetapi aku tidak
mempedulikannya. Lagipun, ibuku selalu menyebelahiku. Kamu pun tahu, bukan?
Bukankah
kamu pernah bertandang ke rumahku dan lihat sendiri bagaimana ibuku melayan
kamu.
“Herman,
kenapa kamu berkawan dengan aku?”
“Aku
sukakan kamu!”
“Aku
orang miskin, Herman!!”
“Kenapa
kamu sering saja menyebut soal itu?”
“Sebab
kita tidak setaraf, Herman!”
“Orang
kaya dan orang miskin sama sahaja di sisi Tuhan, Sumarni!”
“Itu
kata kamu tapi kata orang tua kamu berbeza!”
Delsi
Sumarni - selepas SMA, takdir telah menentukan bahawa kita akan berpisah. Aku
telah ditawarkan belajar di sebuah sekolah di kota Medan. Tetapi kamu terpaksa
berhenti sekolah kerana keperitan hidup tidak membenarkan kamu meneruskan
pelajaran lagi. Aku begitu sedih bila mengetahui bahawa kamu gagal meneruskan
persekolahan kamu akibat kemiskinan keluargamu itu. Barangkali kematian bapa
kamu itu lebih membebankan. Apalah yang mampu aku lakukan, Sumarni? Aku telah
gagal dalam usahaku memohon bapaku membantumu. Yang aku dapat ialah kemarahan
bapaku yang tidak terduga.
Sebelum
aku berangkat ke kota Medan, aku bertandang ke rumahmu secara tiba-tiba.
Kuredah lorong-lorong becak dengan basikal yang dihadiahkan oleh bapaku kerana
kejayaanku. Aku sungguh sedih kerana semasa aku tiba di halaman rumahmu, kamu
terus melarikan diri dariku. Sungguh aku sebak lantaran itu yang kamu hadiahkan
kepadaku sedangkan aku terlalu mengambil berat tentang nasib hidupmu.
Aku
tahu kenapa itu yang kamu lakukan. Barangkali kerana malu dengan keadaan
rumahmu. Memang rumahmu amat daif. Aku mengakui hakikat itu. Tangganya hampir
rebah ke bumi. Persekitaran rumahmu begitu muram. Seperti tiada berpenghuni.
Halaman rumahmu tidak berseri. Rumput-rumput tumbuh berkeliaran. Kulihat di
sudut sebelah kanan rumahmu, ada seorang perempuan separuh umur sedang meranduk
padi jemuran di atas tikar yang sudah lusuh. Barangkali ibu kamu. Dia tidak
menyedari kedatanganku. Tetapi setelah beberapa ketika aku di situ, barulah dia
menyedarinya.
“Kamu
cari siapa?” tanya ibumu sambil melangkah ke arahku dengan pandangan hairan.
“Delsi
Sumarni, bu! Saya mencari Delsi Sumarni!”
“Err,
kamu ini Herman kan? Anak Pak Mandar!” tanya ibumu lagi. Mesra. Ada kejernihan
di wajahnya walaupun kulihat ada titik-titik peluh yang sedang bergayutan di
dahinya yang sudah berkedut itu.
Aku
masih ingat bagaimana gembiranya hatiku ketika itu, Sumarni! Ibumu sudah
mengenaliku. Itulah yang kuharapkan. Dan aku sudah berani membayangkan bahawa
selama ini kamu banyak menceritakan tentang diriku pada ibumu. Tetapi
kegembiraan itu tidak lama.
“Herman,
buat apa kamu datang ke mari?” tiba-tiba kamu muncul dari arah sisi. Aku jadi
tersentak dengan kemunculan kamu yang tidak diduga itu.
“Untuk
berjumpa dengan kamu, Sumarni!”
“Untuk
apa?”
“Untuk
kali terakhir sebelum aku ke Medan!”
“Ahhh,
tak perlu!”
“Kenapa
kamu harus berkata begitu, Sumarni?”
“Aku
malu, Herman! Aku anak orang miskin sedang kamu anak orang kaya. Anak orang
kaya tidak layak berkawan dengan anak orang miskin!”
Delsi
Sumarni - Aku benar-benar terkilan dengan kata-katamu. Kukira, kemesraan kamu
selama ini lebih banyak kepura-puraannya.
Tetapi
sewaktu aku pulang, aku melihat kamu mengekoriku di lorong-lorong yang becak
itu sehinggalah ke hujung desa. Dan waktu kita mula terpisah oleh pohon-pohon
yang merimbun di hujung selekoh jalan petang itu, aku lihat kamu melambaikan
tangan kepadaku.
Terasa
benar pedihnya perpisahan. Tetapi dalam diam-diam, aku dapat membayangkan -
kamu juga sukakan aku tetapi lantaran perbezaan status hidup yang membuatkan
kamu tidak dapat menerima kenyataan.
Sewaktu
aku di kota Medan, aku jadi sepi tidak menentu. Walaupun aku mendapat ramai
kenalan baru, tetapi ingatannya tetap pada Delsi Sumarni. Ingatan itu juga
masih tidak dapat melupakan segala kenangan indah sewaktu di desa dulu. Pada
sekolah kita yang lama. Seperti ada satu pertalian erat antara aku dengan
sekolah itu. Pernah aku memberitahu kamu semua itu melalui surat, kamu
menyambutnya dengan senang. Dan kadang-kadang kesepian itu hilang bila aku
menerima suratmu yang banyak menceritakan tentang pelajaranmu malah tentang apa
sahaja di daerah kita.
Tetapi
yang pastinya, rinduku padamu semakin menebal. Herman seperti ingin bersama
gadis ayu itu di bawah pohon angsana sambil menikmati tiupan wayu desa yang
segar dan nyaman. Dan yang lebih pentingnya, Herman ingin mengembalikan semula
segala-gala yang indah kala bersama Delsi Sumarni. Biarlah segala kenangan
indah itu berlanjutan tanpa ada penghujungnya.
Delsi
Sumarni - Seperti ingin kutatap selalu wajahmu yang lembut itu. Aku tidak tahu
kenapa. Masa terus berlalu. Kemesraan kita tetap sama. Aku masih ingat Sumarni!
Suatu waktu, ketika cuti penggal kedua sekolah, aku pulang ke desa kita dan
berkunjung ke rumahmu.
“Herman,
sudah berapa lama persahabatan kita?”
“Hampir
empat tahun, kenapa?
“Apa
perasaan kamu terhadapku?”
“Aku
benar-benar cintakan kamu, Sumarni!!”
“Apa
kamu tidak berdusta, Herman?”
“Tidak,
Sumarni! Apa yang aku katakan ini lahir dari hatiku yang ikhlas!”
Kamu
termenung dan mengeluh berat.
“Kenapa,
Sumarni? Kamu tidak percaya padaku?”
“Bukan
begitu, Herman!”
“Habis?”
“Yang
jelasnya, aku masih belum dapat menerima kenyataan!”
“Loh,
kenyataan apa, dong?”
“Kedudukan
antara kita yang jauh berbeza, Herman!”
“Ah,
itu juga yang kamu sebut!”
“Ini
hakikat, Herman! Aku anak orang miskin!”
“Aku
bukan hendakkan kemiskinan itu!”
Delsi
Sumarni - Aku tidak pasti kenapa kamu sering saja berkata begitu. Kenapa soal
kemiskinan itu juga yang sering kamu sebut-sebutkan. Kamu juga tidak pernah
mengucapkan apa-apa jawapan tentang cinta bila berdepan denganku. Tetapi suatu
hari, selepas aku pulang semula ke Medan untuk meneruskan pelajaran, aku telah
menerima sepucuk surat darimu.
“Herman,
aku hargai cintamu. Tetapi kejarlah dulu cita-citamu. Aku sentiasa berdoa agar
kamu akan berjaya!”
Herman
seperti mendapat satu kekuatan. Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya dia
saat itu. Dan perhubungan mereka terus akrab selepas itu. Tetapi alangkah
terkejutnya Herman apabila mengetahui Delsi Sumarni akan meninggalkan desa
kelahiran untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur. Kemiskinan telah merampas
segala kemesraan yang mulai berbunga mekar. Herman bergegas pulang ke desa.
Herman cuba memujuk Pak Mandar supaya membantu keluarga Delsi Sumarni dari
terus tersungkur di lembah kemiskinan tetapi gagal.
Rupa-rupanya
Pak Mandar masih serperti dulu. Herman kehampaan. Apalah yang mampu dia lakukan
lagi.
Delsi
Sumarni - tinggallah aku bersendirian meneruskan cita-citaku. Tetapi aku telah
berjanji pada diri bahawa cita-cita ini adalah untukmu juga. Syukurlah, aku
telah berjaya, Sumarni! Aku telah ditawarkan ke Universiti Gajah Mada jurusan
kesusasteraan. Aku sendiri tidak dapat menghubungimu kerana kamu sudah jauh di
bumi asing. Tetapi aku, kamu tentunya sudah berjaya mengaut kesenangan di kota
Kuala Lumpur itu.
Aku
masih ingat, Sumarni! Selepas pengajianku tamat, aku bergegas pulang ke desa
kita. Selepas meletakkan beg pakaian, aku terus ke rumahmu dengan basikal.
Kuredah lorong-lorong becak itu seperti selalu. Sesampainya aku, rumahmu
kelihatan sunyi. Seperti ada sesuatu yang sudah berlaku. Kulihat sekitar
rumahmu usam dan sebam bagaikan hilang serinya. Bunga-bunga mawar yang
dahulunya mekar berkembangan, gugur satu persatu ke tanah. Hatiku terlalu
sebak.
“Buuu!!”
jeritku.
Diam
dan sepi.
“Buuuuuu!!!”
suaraku bersipongang ke seluruh juzuk desa kita.
Aku
menjadi amat terharu dengan suasana yang ada di depan mataku waktu itu.
“Buuuu!!!”
“Ada
apa, Herman?”
“Bagaimana
dengan keadaan Sumarni di Malaysia, bu?” soalku.
“Ibu
tidak pernah mendapat apa-apa khabar dari dia sejak dia ke sana, Herman!”
Delsi
Sumarni - seperti ada seketul batu menimpa kepalaku ketika itu. Kenapa kamu
tergamak lakukan itu semua pada ibumu sendiri? Seandainya kamu terlalu sibuk di
Kuala Lumpur, masakan mahu mengutuskan sebaris ayat pun tidak berkesempatan?
Ah,
aku tidak percaya yang kamu terlalu sibuk begitu sekali. Inikah hadiahmu kepada
seorang ibu miskin di desa tinggalan yang sekian lama mendidik kamu?
Sungguh-sungguh
aku tidak mengerti sikapmu, Sumarni! Kata ibumu, sudah hampir tiga tahun di
Malaysia tetapi sepucuk surat pun kamu tidak pernah utuskan kepadanya. Sebak
sungguh hatiku.
“Tolonglah
ibu, Herman!”
“Tolong
apa, bu!”
“Cari
Sumarni!”
“Errr,
maksud ibu, Herman harus ke Kuala Lumpur untuk mencari Sumarni?”
“Ya,
Herman! Bukan itu saja, bawa saja dia pulang semula ke desa!”
“Baiklah,
bu!”
Itulah
yang menyebabkan Herman berada di atas feri ini yang sekarang sedang meredah
Selat Melaka. Sesekali Herman menjengah keluar melalui tingkap cermin di
sisinya. Nampak berbalam-balam cahaya lampu elektrik di kejauhan dan dia yakin,
bumi Malaysia sudah semakin hampir. Mendadak saja wajah ayu Delsi Sumarni
mengirap ke sepasang mata.
* * *
Antara air dan hanyir, dua jasad yang amat ketara bezanya, Sumarni! Aku amat terharu kerana bukan air yang kamu cari tetapi hanyir yang membelit dirimu. Siapa yang akan menyangka bahawa aku akan bertemu dengan kamu di sebuah rumah pelacuran dalam keadaan yang sungguh mengaibkan.
“Bukan
salahku, Herman!”
“Habis,
siapa yang membawa kamu ke jurang hina ini?”
“Aku
telah ditipu dengan janji-janji yang manis!”
Aku
terpegun sebak. Tetapi aku sudah berani membuat telahan bahawa ada juga manusia
yang sanggup bertindak begitu kejam. Mereka sanggup mengambil kesempatan di
atas kelemahan orang lain tanpa memikirkan bahawa ada hati-hati yang terluka.
Takdirkah yang menyusun atur begitu, Sumarni?
“Kamu
harus ikut aku pulang semula ke desa!”
“Aku
malu, Herman!”
“Kenapa
harus malu?”
“Aku
sudah menjadi seorang manusia kotor. Tentu ibuku akan lebih menderita jika dia
tahu pekerjaanku di sini!”
“Aku
akan merahsiakannya!”
Diam.
“Kenapa
diam, Sumarni?”
“Aku
tidak akan pulang lagi, Herman!”
“Sumarni!!!”
“Biarlah
aku dengan kejelekan ini!”
“Tapi,
masih ada lagi orang yang sayang padamu, Sumarni!”
“Siapa?”
“Aku!”
“Aku
sudah kotor, Herman!”
“Aku
tidak pernah menganggap begitu, Sumarni!”
“Kamu
menipu hakikat!”
“Biarlah
hakikat itu cuma antara kita, Sumarni!”
“Kamu
ikhlas?”
“Ya!
Sesungguhnya, menamatkan pengajian di universiti adalah kerana kamu. Pernah
kukatakan dulu - kukejar cita-cita ini semata-mata untuk kita berdua, Sumarni!”
Diam.
“Kenapa
kamu diam, Sumarni? Pandanglah wajahku!”
“Aku
terharu dengan kejujuran hatimu, Herman!”
“Aku
masih seperti dulu, Sumarni!”
“Kenapa
kamu harus mempersiakan hidup kamu, Herman? Bukankah kamu mampu mencari
penggantiku yang lebih cocok dan baik?”
“Tidak
pernah terlintas di hatiku untuk mencari pengganti kamu, Sumarni!”
“Herman!”
“Ayuh
ikut pulang ke desa kita. Di sana nanti kita akan bina sebuah kehidupan baru!”
“Bagaimana
dengan bapamu?”
“Aku
yang harus menentukan hidupku sendiri. Bukan dia!”
Delsi
Sumarni senyum. Itulah pertama kali Herman melihat senyuman itu terukir di
bibir setelah menghilang lebih dari tiga tahun. Terasa hanyir yang membelit
tubuh gadis itu luruh satu persatu ke dasar suratan. Herman redha semuanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan