Isnin, 11 Disember 2023

HARI PERTAMA: Lawatan Kerja Sempena Program Silang Budaya Selangor Indonesia 2023: Semarak Budaya Serumpun

Delegasi dari Selangor seramai 44 orang berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) tepat jam 8.00 pagi. Delegasi menaiki pesawat Air-Asia pada jam 9.30 pagi meninggalkan KLIA 2 lebih kurang jam 10.00 pagi. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta mengambil masa sekitar 4 jam sahaja dan sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada jam 2.00 petang. Di lapangan terbang ini delegasi telah disambut oleh wakil pihak travel iaitu Pak Dadang Rustandi atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Dadang Dabot, merangkap ‘pemandu pelancong’. Sepanjang 5 hari di kota Bandung dan Jakarta, Pak Dadang Dabot merupakan penyampai maklumat kepada para delegasi Selangor. Beliau berketurunan Sunda dan telah menetap di Bandung sejak kecil.
 
Menurut Pak Dadang Dabot, Lapangan Terbang Antarabangsa SoekarnoHatta adalah lapangan terbang utama yang memberi perkhidmatan penerbangan ke Jakarta, Indonesia. Lapangan terbang ini dinamakan sempena dua nama pelopor kemerdekaan Indonesia iaitu Soekarno dan Mohammad Hatta, yang merupakan Presiden dan Naib Presiden pertama Indonesia. Nama yang popular dalam kalangan masyarakat Indonesia adalah Bandar Udara Cengkareng kerana dekat dengan daerah Cengkareng, Jakarta Barat, walaupun secara geografi terletak di Kecamatan Benda, Kota Tangerang.
 
 
 Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA 2)
 
Lapangan terbang ini dikawalselia oleh PT Angkasa Pura II dan merupakan lapangan terbang utama bagi sebahagian besar kawasan Jakarta di pulau Jawa, Indonesia. Ia terletak sekitar 20 km barat tengah Jakarta, di Cengkareng dalam jajahan Banten. Lapangan terbang ini mula beroperasi pada pertengahan 1980-an, menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kemayoran yang lama di Jakarta Pusat. Lapangan terbang ini mempunyai dua landasan bebas selari dipisahkan pada jarak 2,400 meter dan disambung oleh laluan lintas. Terdapat dua bangunan terminal iaitu Terminal I untuk penerbangan domestik selain Garuda Indonesia, dan Terminal II bagi penerbangan antarabangsa termasuk penerbangan domestik oleh Garuda.
 
 
 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta
 
Setelah mengambil bagasi masing-masing, para delegasi Selangor terus dibawa menaiki bas ke pejabat Kedutaan Malaysia yang terletak di Jalan H. R. Rasuna Said Kav.X/6, No. 1-3, Kuningan, Jakarta Selatan. Di Dewan Besar Kedutaan Malaysia Jakarta, Kumpulan Seri Kenchana dan Kumpulan Tunas Sinar Cempuling SK Sungai Lang telah mengadakan persembahan di hadapan Duta Malaysia ke Republik Indonesia iaitu Dato Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Encik Junus Suhid, Pengarah, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah, Kepala Dinas Pendidikan Jakarta, Encik Ahmad Nazmi bin Razali, Penolong Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Seksyen Sektoral, Puan Dr
 
Nadia Widyawati binti Madhzi, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Awaludin bin Md Jahid, Setiausaha Eksekutif, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS), Encik Nuar bin Md Diah, Setiausaha Pertubuhan Media Negeri Selangor dan para delegasi Selangor yang lain.
 
 
 Penulis bersama Dadang Dabot
 
Dalam ucapan keraiannya, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor, Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah telah melahirkan rasa gembiranya atas layanan mesra pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta dan menjelaskan bahawa Program Silang Budaya Selangor-Indonesia ini diadakan untuk memberi tumpuan kepada pertukaran ilmu dan silang budaya yang melibatkan dua buah negara iaitu Indonesia dan Malaysia. Program anjuran Kerajaan Negeri Selangor ini diharapkan dapat memberi impak yang besar bukan sahaja kepada para peserta, tetapi juga kepada organisasi budaya dan negeri Selangor itu sendiri. Program ini juga merupakan sebahagian daripada hasrat kerajaan negeri untuk menyemarakkan seni budaya dalam kalangan masyarakat Selangor.
 
Manakala, Encik Junus Suhid selaku Pengarah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia sewaktu diwawancara menjelaskan bahawa Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia sentiasa melaksanakan misi jualan di Indonesia bagi menggiatkan promosi pelancongan antarabangsa dengan mempertemukan pemain industri pelancongan Malaysia dan Indonesia dalam sesi perniagaan ke perniagaan (B2B). Misi jualan ini telah berlangsung di dua bandar utama di Indonesia iaitu Jakarta dan Medan bermula 15 hingga 18 November 2022 bagi memperkenalkan pelbagai produk dan pakej pelancongan terkini untuk menarik minat pelancong Indonesia ke Malaysia.
 
A person in a blue shirt

Description automatically generated 
 Encik Junus Suhid, Pengarah, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia
 
Menurut beliau, misi ini memfokuskan kepada segmen pelancongan santai (leisure), beli-belah dan sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) yang dikenalpasti menjadi pilihan bagi pelancong Indonesia. Selain itu, misi ini juga menyaksikan pelancaran promosi pelancongan secara dalam talian bersama Blibli.com serta pelancaran kerjasama antara syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Air Asia.
 
Misi jualan ini disertai oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Malaysia Airlines, Air Asia, 15 ejen pelancongan, 2 operator taman tema dan 12 wakil hotel dari Malaysia. Delegasi Malaysia diketuai oleh Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia.
 
 
Kedutaan Malaysia di Indonesia
 
Encik Junus Suhid berkata, misi jualan ke Indonesia adalah penting untuk menggiatkan promosi pelancongan pasca pandemik Covid-19 bagi menarik minat dan meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan warga Indonesia untuk terus memilih Malaysia sebagai destinasi percutian selamat. “Sejak pembukaan sempadan antarabangsa, Malaysia telah merekodkan ketibaan seramai 435,156 pelancong Indonesia dari Januari sehingga Julai 2022. Secara keseluruhannya seramai 5.5 juta ketibaan pelancong asing telah direkodkan sehingga September 2022 dan jumlah ini dilihat menghampiri sasaran ketibaan 9.2 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini,” tambah beliau.
 
Program di Dewan Besar Kedutaan Malaysia Jakarta tamat sekitar jam 2.00 petang dan delegasi menaiki bas ke kota Bandung yang jauhnya sekitar 4 jam perjalanan dari Jakarta. Dari Jakarta ke kota Bandung, delegasi Selangor dibawa melalui beberapa buah lokasi bersejarah seperti Galeri Pusat Kebudayaan Bandung, di Jalan Naripan, yang berfungsi sebagai tempat persembahan seni dan budaya. Bangunan ini juga sering digunakan untuk acara seminar, kongres, pertemuan, bahkan untuk pesta perkawinan atau pesta perpisahan sekolah.
 
 
Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
 
Menurut sejarah yang disampaikan oleh Dadang Dabot, bangunan Yayasan Kebudayaan Kota Bandung ini dibina pada masa pemerintahan kolonial Hindia Belanda. Bangunan ini dahulunya berfungsi sebagai Sositet atau Balai Pertemuan yang diberi nama Ons Genoegen. Dahulunya di bangunan ini terdapat tempat main billiad, catur, main kad, dan terdapat juga ruang makanminum sambil mendengar muzik dari pancaragam atau orkestra yang ada pada masa itu. Pada zaman pergerakan kemerdekaan pada tahun 1930-an, para tokoh politik nasional juga sering memanfaatkannya untuk vergadering (mesyuarat) ataupun ceramah politik.
 
Yayasan Pusat Kebudayaan Kota Bandung ini memiliki peranan yang penting dalam bidang pembinaan dan pengembangan kesenian juga kebudayaan di kota Bandung. Sejak dahulu bangunan Yayasan Pusat Kebudayaan ini sudah diperuntukan bagi pembangunan, pengembangan dan apresiasi seni budaya dan melahirkan seniman-seniman yang berprestasi. Yayasan ini banyak melahirkan seniman dan pertubuhan kesenian, terutama seni budaya Sunda yang menunjukkan prestasinya dan pembinaan yang ada di Yayasan Pusat Kebudayaan boleh dikatakan amat berjaya. Terdapat berbagai bentuk karya seni seperti seni rupa, seni tari, seni persembahan, seni muzik, dan seni-seni lain. Dalam seni persembahan itu juga terdapat persembahan wayang kulit dan drama.
 
 
Yayasan Kebudayaan Kota Bandung
 
Delegasi Selangor juga melalui Bangunan Persidangan Asia Afrika. Bangunan ini sebenarnya merupakan Muzium Persidangan Asia Afrika, terletak di Jalan Asia Afrika. Muzium ini merupakan memorabilia Persidangan Asia Afrika, memiliki hubungan yang sangat erat dengan Gedung Merdeka. Secara keseluruhan Gedung Merdeka memiliki dua bangunan utama, iaitu Gedung Merdeka sebagai tempat sidang utama, manakala yang berada di sisi Gedung Merdeka adalah Muzium Persidangan Asia Afrika sebagai tempat memorabilia Persidangan Asia Afrika. 
 
Menurut Dadang Dabot, latar belakang pembinaan muzium ini kerana adanya keinginan dari para pemimpin pelbagai bangsa di Asia dan Afrika untuk mengetahui tentang Gedung Merdeka dan sekitar tempat Persidangan Asia Afrika berlangsung. Hal ini membuatkan Menteri Luar Negeri Republik Indonesia iaitu Prof. Dr. Mochtar Kusumaatmadja, memiliki idea untuk membina sebuah muzium. 
 
 
Bangunan Persidangan Asia Afrika, Bandung
 
Idea tersebut disampaikannya dalam forum Panitia Peringatan 25 Tahun Persidangan Asia Afrika (1980) yang dihadiri oleh Pengarah Jenderal Kebudayaan Prof. Dr. Haryati Soebadio sebagai wakil dari Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan. Kemudian muzium ini diresmikan pada tanggal 24 April 1980 bertepatan dengan peringatan 25 Tahun Persidangan Asia Afrika.
 
Menurut Dadang Dabot lagi, Persidangan Asia Afrika yang diselenggarakan di Bandung pada tanggal 18-24 April 1955 telah mencapai kejayaan yang besar, baik dalam mempersatukan sikap dan menyusun pedoman kerjasama di antara bangsa-bangsa Asia Afrika mahupun dalam penyertaan serta membantu terciptanya ketertiban dan perdamaian dunia. 
 
Persidangan ini melahirkan Dasa Sila Bandung yang kemudiannya menjadi pedoman kepada bangsa-bangsa terjajah di dunia dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaannya dan yang kemudian menjadi prinsip-prinsip dasar dalam usaha memajukan perdamaian dan kerjasama dunia. Kejayaan persidangan ini tidak hanya kelihatan pada masa itu, tetapi juga kelihatan pada masa sesudahnya, sehingga jiwa dan semangat Persidangan Asia Afrika menjadi salah satu faktor penting yang menentukan jalannya sejarah dunia.
 
 
Gedung Merdeka
 
Semua itu merupakan prestasi besar yang dicapai oleh bangsa-bangsa Asia Afrika. Jiwa dan semangat Persidangan Bandung telah berjaya membesarkan volume kerjasama antarbangsa-bangsa Asia dan Afrika, sehingga peranan dan pengaruh mereka dalam hubungan percaturan antarabangsa meningkat dan disegani.
 
Dalam rangka membina dan melestarikan hakikat tersebut, adalah penting dan tepat jika Persidangan Asia Afrika beserta peristiwa, masalah, dan pengaruh yang mengitarinya diabadikan dalam sebuah muzium di tempat persidangan itu berlangsung, iaitu di Gedung Merdeka di kota Bandung, kota yang dipandang sebagai ibu kota dan sumber inspirasi bagi bangsa-bangsa Asia Afrika. 
 
Sebagai Menteri Luar Negeri Republik Indonesia, Prof. Dr. Mochtar Kusumaatmadja, sering bertemu muka dan berdialog dengan para pemimpin negara dan bangsa Asia Afrika. Dalam kesempatan-kesempatan tersebut beliau sering disoal tentang Gedung Merdeka dan kota Bandung tempat penyelenggaraan Persidangan Asia Afrika. Berulang kali pembicaraan tersebut diakhiri oleh pernyataan keinginan mereka untuk dapat mengunjungi kota Bandung dan Gedung Merdeka.
 
 
 Alun-alun Bandung
 
Pada 18 Jun 1986, Muzium Persidangan Asia-Afrika ini telah dialihkan dari Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan ke Jabatan Luar Negeri di bawah pengawasan Badan Penelitian dan Pengembangan Masalah Luar Negeri. Pada tahun 2003 dilakukan restrukturisasi di Jabatan Luar Negeri dan Muzium Persidangan Asia Afrika dialihkan ke Ditjen Maklumat, Diplomasi Umum dan Perjanjian Antarabangsa (Sekarang Ditjen Maklumat dan Diplomasi Umum). Kini Muzium Persidangan Asia Afrika berada dalam koordinasi Direktorat Diplomasi Umum. Muzium ini menjadi muzium sejarah bagi perjuangan politik luar negeri Indonesia.
 
Delegasi Selangor juga melalui Alun-alun Bandung. Hakikatnya, kota Bandung memang memiliki banyak destinasi yang menjadi impian para pelancong termasuklah Alun-alun Bandung. Pada hemat saya, sangat sukar untuk menolak sejuta pesona yang selalu bersedia merangkul para pelancong dari berbagai penjuru. Mulai dari Observatorium Bosscha, Farmhouse Lembang, Kawah Putih, Tangkuban Perahu, Gedung Sate, sehingga ke Mall Paris van Java, semuanya akan memberikan kesan yang amat menyenangkan. 
 
 
Masjid Raya Agung
 
Alun-alun Bandung terletak di kawasan pusat kota, spot yang sangat ikonik. Rasanya tidak ada yang sukar menandingi daya tarik Alun-alun Bandung menjelang matahari terbenam. Dan lagi, hamparan rumput sintetik yang membentang luas akan membuatkan pengunjung sangat terpesona.
 
Menurut Dadang Dabot, sebelum nampak elegan seperti sekarang, Alun-alun Bandung memiliki sejarah yang cukup panjang. Peruntukan dan wajahnya sering berubah-ubah seiring berjalannya waktu. Pada masa kolonial, lokasi Alun-alun Bandung hanyalah sebagai tempat persinggahan atau pos penggantian kuda pengantar surat. Memang, kawasan tersebut merupakan Bangunan Pejabat Pos Belanda. Sebuah catatan sejarah ada menyebutkan bahawa kawasan alun-alun didirikan pada tahun 1810. Alun-alun inilah yang dijadikan oleh masyarakat setempat sebagai pusat aktiviti. Tidak jarang pula, warga Bandung menyulap sebagai arena pertandingan sepak bola.
 
 
Bangunan Pejabat Pos Belanda
 
Tidak menghairankan jika Alun-alun Bandung diminati sebagai tempat bercengkerama bagi warga mahupun pelancong. Kawasan seluas 4,000 meter persegi ini berupa hamparan rumput sintetik. Pemilihan rumput sintetik dilakukan kerana dapat bertahan hingga 10 tahun lamanya meskipun kerap diinjak dengan kaki. Jadi, sebelum memasuki kawasan alun-alun, kita perlu menanggalkan kasut terlebih dahulu. Kita boleh menyimpan kasut di tepi alun-alun atau menitipkannya di laci Masjid Raya Bandung yang terletak berseberangan. Kita boleh memakai stoking agar mengurangi sengatan panas. 
 
Selepas memasuki kawasan ruang umum ini, kita boleh menikmati suasana senja di atas rumput dengan nyaman. Pola simetri yang nampak indah dan lembut ini dibuat khusus dari Jepun. Tidak hanya itu, alun-alun ini juga memiliki sistem drainase khusus. Dengan adanya sistem tersebut, air hujan tidak akan menggenang terlalu lama di atas rumput sintetik ketika hujan lebat. 
 
Di samping rumput sintetik dengan pola estetika, pengunjung boleh juga berehat di taman bunga beraneka warna. Taman tersebut pastinya makin mencantikkan Alun-alun Bandung dengan rumput yang bergaris-garis unik. Lantaran itu, tidak sedikit gambar alun-alun yang diambil dari ketinggian untuk memperjelaskan sisi instagramable spot ini. Jika ingin menyaksikan keindahan kota Bandung dari ketinggian, maka kita boleh naik ke atas Menara Masjid Raya Agung. Selain boleh mengabadikan momen menawan, pengunjung juga boleh mencabar adrenalin kerana menara tersebut memiliki ketinggian 81 meter.
 
 
Jalan Braga, Bandung
 
Menurut Dadang Dabot lagi, kalau berkunjung ke Alun-alun Bandung, rugi kalau tidak berjalan-jalan ke sejumlah destinasi pelancongan di sekitarnya. Di antara objek pelancongan yang boleh ditempuh dengan berjalan kaki dari Alun-alun Bandung adalah Muzium Persidangan Asia Afrika. Bangunan bersejarah ini akan mengingatkan kita kepada peristiwa bersejarah tahun 1955. Betapa tidak, dalaman dan luaran bangunan ini masih dipertahankan hingga kini. Dengan berjalan kaki sekitar 450 meter dari Alun-alun Bandung, Muzium Persidangan Asia Afrika akan dijangkau dalam waktu sekitar 5 minit. 
 
Lokasi Alun-alun Bandung sangat strategik kerana berada di pusat kota Bandung. Lantaran itu, kawasan pelancongan urban ini mudah dijangkau dari berbagai fasiliti awam yang menghubungkan pengangkutan dalam kota, baik stesen, terminal, mahupun lapangan terbang. Jika dari Stesen Bandung, Alun-alun Bandung boleh ditempuh dengan naik kenderaan selama 19 minit ke Jalan Asia Afrika. 
 
 
 Jalan Leuwi Panjang
 
Bagi yang memulai perjalanan dari arah Terminal Leuwipanjang, hanya perlu waktu sekitar 15 minit saja untuk ke Alun-alun Bandung dengan melalui Jalan Leuwi Panjang dan Jalan Moch. Manakala, dari Lapangan Terbang Husein Sastranegara ke Alun-alun Bandung sekitar 21 minit saja dengan berkenderaan melalui Jalan Penjajaran. Itulah sejumlah perkara menarik yang perlu kita ketahui tentang Alun-alun Bandung. Alun-alun ini juga boleh diakses oleh masyarakat umum selama 24 jam setiap hari. 
 
Kawasan seterusnya yang dilalui delegasi Selangor ialah Braga. Menurut Dadang Dabot, Braga merupakan jalan utama di kota Bandung yang sudah dikenali sejak zaman pemerintahan Hindia Belanda lagi. Jalan Braga menjadi maskot dan ciri khas bagi kota Bandung. Kawasan ini dikenali dengan gelaran ‘Parijs van Java’ yang bermakna ‘Paris-nya Jawa’. Sepanjang Jalan Braga terdapat kedai dengan arkitektur purba yang tetap dipertahankan sejak zaman Belanda lagi.
 
 
 Braga merupakan jalan utama di kota Bandung yang sudah dikenali sejak zaman pemerintahan Hindia Belanda lagi. Jalan Braga menjadi maskot dan ciri khas bagi kota Bandung. Kawasan ini dikenali dengan gelaran ‘Parijs van Java’ yang bermakna ‘Paris-nya Jawa’
 
Pada awal tahun 1900-an, Jalan Braga merupakan jalan kecil di sekitar pemukiman yang sunyi dan terkenal cukup rawan. Hingga akhirnya mulai muncul pengusaha dari Belanda mendirikan kedau, bar, dan tempat hiburan di sekitar Jalan Braga. Kemudian sekitar tahun 1920-1930 dibina kedai dan butik yang menjual pakaian yang berkiblat ke kota Paris sebagai model pakaian di dunia.
 
Kawasan Braga telah mengalami renovasi tanpa mengubah bentuk aslinya, di mana bangunan-banguna lama tetap berdiri. Sepanjang Jalan Braga menggunakan paving blok yang menguatkan jalan ini seperti di kota Paris. Sehingga kini Jalan Braga tidak pernah sepi pengunjung baik pada hari biasa mahupun pada hari cuti, lebih-lebih lagi kerana lokasinya berada di pusat kota Bandung.
 
 
Kawasan Taman Braga
 
Di kawasan Braga ini terdapat banyak tempat yang boleh disinggahi pelancong. Salah satunya ialah Taman Braga. Taman Braga terletak di hujung Jalan Braga, lokasinya di antara Jalan Braga dengan Jalan Naripan, tepatnya di sebelah Bank BJB Naripan. Taman Braga menjadi ikon bagi kawasan Braga dengan adanya artwork bertuliskan ‘BRAGA’ dan biasa menjadi tempat gambar menarik bagi setiap pengunjung yang datang. Taman Braga sering menjadi tempat bersantai sambil menikmati lalu lintas di pusat kota Bandung, di mana taman ini dilalui oleh kenderaan yang menuju Jalan Asia Afrika dan Alun-Alun Bandung.
 
Untuk membeli barang-barang antik, tempatnya ialah di Pasar Antik Cikapundung, yang terletak di Jalan ABC. Pasar Antik Cikapundung menyediakan radio zaman dulu, hiasan dinding, peralatan masak, peralatan makan, kamera antik, dan banyak lagi barang antik yang boleh dipilih. Pasar Antik Cikapundung ini sering dikunjungi oleh kolektor barang-barang antik kerana barang yang dijual di sini sangat lengkap. 
 
Selain itu, di kawasan Braga juga terdapat Braga City Walk, satu-satunya pusat membeli-belah di Jalan Braga. Braga City Walk menjadi salah satu tempat kegemaran untuk bersantai bagi pengunjung yang datang ke kawasan Braga. Seperti lain-lain pusat membeli-belah pada umumnya, Braga City Walk juga menjadi pusat membeli-belah yang terkenal di kawasan Braga.
 
 
 Braga City Walk
 
Menurut Dadang Dabot, bangunan Gas Negara juga terdapat di kawasan Braga. Bangunan ini merupakan salah satu bangunan bersejarah di Jalan Braga yang boleh dijadikan sebagai tempat untuk bergambar. Bangunan Gas Negara kini bukan hanya menjadi tempat pelancongan sejarah, melainkan sudah menyediakan kafe dan resto dengan konsep bangunan tidak mengalami perubahan
 
Jemu bergambar di Bangunan Gas Negara, kita boleh pula ke Societit Concordia Bandung, yang juga merupakan bangunan bersejarah, dibina pada masa pemerintahan Hindia Belanda, tahun 1895. Pada tahun 1946-1950 iaitu sewaktu Penggal Negara Pasundan, bangunan ini dijadikan sebagai Bangunan Pertemuan Umum, dan pada tahun 1954 menjadi tempat
Persidangan Asia Afrika.
 
 
 Bangunan Gas Negara
 
Societit Concordia Bandung kini menjadi salah sebuah bangunan bersejarah di mana kita boleh mempelajari sejarah tentang kota Bandung, dan kini lebih dikenali dengan nama Gedung Merdeka. Bangunan ini mulai ditetapkan untuk penyelenggaraan peringatan ke-25 Persidangan Asia Afrika pada tahun 1980.
 
Tidak lupa di kawasan Braga ialah De Majestic. De Majestic merupakan panggung wayang pertama di kota Bandung yang dibina pada masa pemerintaha Hindia Belanda. De Majestic dibina dengan gaya art deco yang pada tahun 1920-an menjadi trend arkitektur waktu itu. Awal mulanya, De Majestic diberi nama Concordia Bioscoop, hingga akhirnya diubah menjadi De Majestic.
 
De Majestic sebagai panggung wayang pertama di kota Bandung, menjadi saksi kejayaan filem Loetoeng Kasaroeng yang merupakan filem Indonesia pertama, diterbitkan pada tahun 1926. De Majestic pernah dijadikan sebagai Asia Africa Cultural Centre (AACC) pada tahun 2002, dan kini difungsikan sebagai bangunan persembahan.
 
A building with a sign on the front

Description automatically generated 
De Majestic
 
Menurut Dadang Dabot, ada lagi sebuah bangunan bersejarah di Braga, yakni Bangunan Lembaga Pejabat Berita Antara. Bangunan ini dirancang oleh AF Albers dan dibina pada tahun 1930-an. Dulu, bangunan ini digunakan untuk Pejabat Bala Keselamatan. Kini, sebahagian dari bangunannya masih digunakan sebagai Pejabat LKBN Antara Biro Jawa Barat.
 
Di Braga, ada juga bangunan-bangunan kedai seperti N.V Hellerman, N.V Bavosta, N.V Juweliers De Concurrent yang sudah ada sejak zaman pendudukan Belanda dulu lagi. Sebahagian dari bangunan-bangunan tersebut kini telah beralihfungsi menjadi tempat makan. Namun masih ada yang tetap bertahan seperti Kedai Souvenir Sin-Sin dan juga N.V Juweliers De Concurrent yang masih tetap menjadi kedai perhiasan hingga kini. 
 
 
 Suasana kehidupan warga di Gang Affandi, Bandung
 
Tidak hanya itu, di Braga juga kita boleh menemui satu tempat bersejarah lain iaitu Gang Affandi. Gang Affandi ini dulunya dikenali dengan nama Persimpangan Kompa. Gang Affandi merupakan tempat lahir seorang pemuda berani yang berinisiatif untuk meletupkan bangunan penyimpanan senjata milik tentera Jepun.
 
Selain penuh dengan tempat dan bangunan bersejarah, Braga juga dikenali sebagai salah satu tempat kulineri di Bandung yang tersohor. Di sini terdapat banyak tempat makan bersejarah seperti Braga Permai, Kedai Roti Sumber Hidangan dan Kedai Ais Krim Canary yang sudah berdiri sejak tahun 1910 lagi. Selain itu, ada banyak kafe dan restoran moden seperti JurnalRisa Coffee, Indische Cafe, Bandung Suki, Braga Art Cafe dan Kopi Kedai Djawa yang berlokasi di bangunan bekas Kedai Buku Djawa.
 
Menurut Dadang Dabot lagi, di kawasan Braga juga terdapat Gedung Sate, sebuah bangunan pejabat Gabenor Jawa Barat. Bangunan ini memiliki ciri khas berupa ornamen tusuk sate pada menara pusatnya, yang telah lama menjadi penanda atau markah tanah Kota Bandung yang tidak saja dikenali masyarakat di Jawa Barat, tetapi juga seluruh Indonesia bahkan model bangunan tersebut telah dijadikan pertanda bagi beberapa bangunan dan tanda-tanda kota di Jawa Barat. Misalnya bentuk bangunan bahagian depan Stesen Kereta Api Tasikmalaya. Bangunan berwarna putih ini mulai dibina pada tahun 1920 dan masih berdiri kukuh hingga kini.
 
A circular building with a sign on the front

Description automatically generated 
 Bangunan Lembaga Pejabat Berita Antara. Bangunan ini dirancang oleh AF Albers dan dibina pada tahun 1930-an. Dulu, bangunan ini digunakan untuk Pejabat Bala Keselamatan. Kini, sebahagian dari bangunannya masih digunakan sebagai Pejabat LKBN Antara Biro Jawa Barat.
 
Selama kurun waktu 4 tahun, pada bulan September 1924 berjaya diselesaikan pembinaan induk bangunan utama Gouverments Bedrijven, termasuk pejabat pusat PTT (pos, telefon dan telegraf) dan perpustakaan. Perpustakaan Gedung Sate memuatkan 250,000 buah buku yang didapati dari syarikat kereta api, perkhidmatan pos, telegraf dan telefon, juga perkhidmatan perlombongan. Perpustakaan ini menjadi perpustakan terbesar di Hindia Belanda untuk kategori ilmu pengetahuan. Sementara untuk kategori umum, perpustakaan Gedung Sate menjadi yang kedua terbesar selepas perpustakaan Bataviaasch Genootschap van Kunsten en Wetenschappen.
 
Arkitektur Gedung Sate ialah Ir. J. Gerber dan kumpulannya yang tidak terlepas dari input maestro arkitek Belanda Dr. Hendrik Petrus Berlage, yang bernuansakan wajah arkitektur tradisional Nusantara. Banyak kalangan arkitek dan pakar bangunan menyatakan bahawa Gedung Sate adalah bangunan monumental yang anggun mempesona dengan gaya arkitektur unik mengarah kepada bentuk gaya arkitektur Indo-Eropah, sehingga tidak mustahil bila keanggunan Candi Borobudur ikut mewarnai Gedung Sate.
 
A large building with a fountain in front of it with Gedung Sate in the background

Description automatically generated 
 Gedung Sate, bangunan pejabat Gabenor Jawa Barat.
 
Beberapa pendapat tentang megahnya Gedung Sate di antaranya ialah Cor Pashier dan Jan Wittenberg, dua arkitek Belanda, yang mengatakan bahawa ‘langgam arkitektur Gedung Sate adalah gaya hasil eksperimen arkitek yang mengarah pada bentuk gaya arkitektur Indo-Eropah’. D. Ruhl dalam bukunya yang berjudul Bandoeng en Haar Hoogvlakte 1952, mengatakan: ‘Gedung Sate adalah bangunan terindah di Indonesia.’ Ir. H. P. Berlage, sewaktu berkunjung ke Gedung Sate pada April 1923, menyatakan: ‘Gedung Sate adalah sebuah karya arkitektur besar, yang berjaya memadukan langgam timur dan barat secara harmonis.’ Seperti gaya arkitektur Itali pada masa renaiscance terutama pada bangunan sayap timur. Manakala menara bertingkat di tengah bangunan mirip atap meru atau pagoda. Banyak lagi pendapat arkitek Indonesia yang menyatakan tentang kemegahan Gedung Sate misalnya Slamet Wirasonjaya dan Ir. Harnyoto Kunto.
 
 
 Hotel Savoy Homann
 
Kuat dan utuhnya Gedung Sate hingga kini, tidak terlepas dari bahan dan teknik pembinaan yang digunapakai. Dinding Gedung Sate dibuat dari kepingan batu ukuran besar (1 × 1 × 2 meter) yang diambil dari kawasan perbukitan batu di Bandung timur sekitar Arcamanik dan Gunung Manglayang. Pembinaan bangunan Gedung Sate menggunakan cara konvensional yang profesional dengan memperhatikan standard teknik.
 
Di kota Bandung, para degelasi Selangor ditempatkan di Hotel Savoy Homann yang terletak di Jalan Asia Afrika, Cikawao, Kecamatan Lengkong, Kota Bandung, Jawa Barat.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA