Selasa, 21 Jun 2011

Pewaris Nabi Palsu

SEMUA nabi membawa tugas yang sama, iaitu menyeru manusia supaya menyembah Tuhan Yang Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa juga pun. Inilah yang dinamakan iman yang menjadi asas kepada semua agama yang diredai-Nya. Mereka adalah daripada pelbagai latar belakang. Nabi Muhammad s.a.w asalnya peniaga. Nabi Daud a.s dan anaknya Nabi Sulaiman a.s adalah raja, manakala yang lain-lain adalah peniaga, penternak dan petani. Apa juga status sosial mereka, sama ada kaya atau orang biasa, tugas utama mereka ialah berdakwah kepada manusia supaya menyembah dan mentaati Allah s.w.t.


Ada yang membawa syariat baru dan ada yang sekadar meneruskan syariat lama. Syariat mungkin berbeza, tetapi asasnya tetap sama. Sembah dan taatlah kepada Allah s.w.t, serta janganlah menyekutukannya. Itulah iman. Ada yang mempunyai ramai pengikut dan ada juga yang boleh dibilang dengan jari sahaja orang yang beriman kepada seruan mereka. Tugas mereka hanyalah berdakwah dan Allah juga yang menentukan kejayaan mereka. Allah tidak menetapkan angka sebagai ukuran kejayaan sebagaimana manusia moden pada hari ini berpandukan Petunjuk Utama Prestasi (KPI).


Kisah sebilangan nabi-nabi ini diwahyukan dalam Al-Quran sebagai teladan kepada umat Muhammad khasnya, dan manusia amnya. Betapa Nabi Nuh a.s berdakwah selama lebih 900 tahun, tetapi hanya mempunyai 80 orang pengikut yang beriman dan akhirnya menaiki bahtera bersamanya untuk menyelamatkan diri apabila Allah menurunkan banjir yang dikatakan paling besar dalam sejarah dunia. Malah anak Nabi Nuh sendiri tidak menyahut seruan keimanan bapanya, lalu turut mati lemas.


Nabi Yunus a.s pula terlalu kecewa apabila tidak seorang pun kaumnya mahu beriman. Baginda merajuk, lalu meninggalkan kaum dan kampung halamannya. Akhirnya Nabi Yunus ditelan oleh ikan besar setelah kapal yang membawanya dalam pelayaran dipukul ribut, lalu baginda terpilih melalui undian supaya terjun ke dalam laut untuk meringankan muatan kapal yang hampir karam kerana terlampau sarat. Di dalam perut ikan besar Nabi Yunus baru tersedar bahawa baginda telah melakukan kesalahan kerana meninggalkan kaumnya setelah terlampau kecewa dakwahnya tidak mendapat sambutan. Lalu bagainda bertaubat dan berdoa ‘Laila hailla antasubhanaka inni kuntu minazalimin.’ Dengan izin Allah, Nabi Yunus dimuntahkan dari mulut ikan dan akhirnya selamat kembali kepada kaumnya. Hasil dakwah fasa kedua, Nabi Yunus berjaya mengimankan kira-kira 100,000 orang kaumnya.


Nabi Muhammad s.a.w juga pernah merasa kecewa kerana dakwah baginda di Mekah tidak membawa hasil yang setimpal dengan usahanya, tetapi tidaklah baginda patah hati sampai meninggalkan kaumnya seperti Nabi Yunus. Baginda terus berdakwah selama 13 tahun di Mekah sehinggalah baginda diperintahkan berhijrah ke Madinah, di mana dakwahnya berterusan selama 10 tahun sebelum baginda wafat. Kemudian Islam berkembang pesat sehingga akhirnya tersebar ke seluruh dunia.


Iktibar daripada kisah-kisah nabi ini ialah kita mesti beristiqamah (tetap pendirian dan tindakan) dalam perjuangan mengembang dan memperkukuhkan agama yang diredai Allah s.w.t. Angka atau hasil berbentuk fizikal tidak menjadi matlamat kerana ia urusan Allah. Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah berganjak sekalipun ditawarkan dengan pangkat, kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya. Malah baginda terus berdakwah sekalipun ditekan, dihina, diejek dan akhirnya hampir dibunuh.


Inilah sikap pejuang agama yang tulen. Pada hari ini kita dapat menilai siapa pejuang Islam sebenar di Malaysia. Adakah mereka dari kalangan yang berserban, berjubah, berkopiah dan gemar memekik Allahuakbar? Lihatlah betapa rapuhnya semangat perjuangan mereka. Mereka menetapkan kuasa memerintah negara sebagai KPI mereka. Kononnya untuk mendaulatkan pemerintahan Islam. Bagi mereka ini, apa juga yang kerajaan sedia ada buat adalah tidak Islam.


Setelah berpuluh tahun berjuang dan masih gagal untuk memerintah negara bagi mendaulatkan Islam, mereka lalu mengubah haluan. Tiba-tiba mereka mengatakan Al-Quran tidak menggariskan corak pemerintahan negara Islam. Lalu mereka melaungkan bahawa yang ada ialah pemerintahan negara kebajikan. Bagi mencapai cita-cita menegakkan negara kebajikan, mereka bersekongkol dan tunduk kepada puak yang terang-terang memusuhi Islam dan puak yang diragui pegangan agama mereka.


Apakah mereka tidak belajar apa-apa daripada perjuangan para nabi yang dikisahkan dalam Al-Quran? Adakah Nabi Muhammad berjaya membentuk masyarakat beriman dan menegakkan Islam dengan matlamat menubuhkan kerajaan? Tidak fahamkah mereka bahawa di akhirat kelak kita akan ditanya apakah yang telah kita buat semasa hidup di dunia? Kita tidak akan ditanya sama ada kita telah berjaya membentuk kerajaan Islam atau tidak. Atau ditanya berapa ramaikah rakyat Malaysia memakai kopiah dan suka bertempik ‘Allahuakbar’ hasil perjuangan kita.


Mereka ini berjubah dan berserban kononnya mengikut sunah rasul. Dengan ijazah-ijazah pengajian agama yang dimiliki, mereka berasa merekalah pewaris nabi. Mereka sahajalah yang berhak bercakap soal agama. Sombong sungguh mereka ini. Disebabkan kesombongan mereka, Allah telah mendedahkan siapa sebenar mereka ini. Sekarang mereka pula yang dipimpin oleh orang-orang yang tidak memakai serban dan jubah. Apa lagi yang mereka mahu?


Di Malaysia yang penduduknya hanya kira-kira 60 peratus Muslim, sudah lama diinstitusikan agama Islam. Kita ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam. Kita ada Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri, mufti, kadi, Majlis Hal Ehwal Agama Islam, universiti Islam, sekolah rendah dan menengah agama, tadika Islam, kelas KAFA, Baitulmal, perbankan Islam dan piawaian halal. Pelbagai sudah dibuat untuk umat Islam. Bandingkan Malaysia dengan Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia. Adakah Indonesia yang dikatakan rakyatnya lebih 90 peratus Muslim itu menginstitusikan agama Islam sebagaimana di negara kita? Raja kita orang Islam. Perdana Menteri dan timbalannya juga orang Islam. Apa lagi yang tidak Islam? Dulu mereka berkata, undang-undang kita tidak Islam. Kita mesti laksanakan hukum hudud yang boleh menyebat penzina 100 kali atau merejam sampai mati.


Apakah di bawah negara kebajikan akan wujud hukum hudud terhadap penzina yang memerlukan empat saksi dari kalangan orang beriman? Kalau video pun tidak diterima sebagai bukti, mudahkah mahu mendapatkan empat orang saksi orang beriman. Bagaimanakah empat orang saksi itu hendak melihat perlakuan zina jika perlakuan zina tersebut berlaku dalam bilik hotel yang tertutup rapat? Akan berleluasalah perlakuan zina kerana empat orang saksi gagal menjadi saksi kerana rakaman video tidak boleh diterima. Begitu juga dengan kes-kes lain seperti liwat, mencuri, merompak, membunuh dan sebagainya. Kita harus sedar bahawa manusia yang pakai ketayap putih memang ramai, tetapi pastikah mereka ini orang beriman? Usahkan berzina, meliwat, mencuri, merompak, membunuh malah orang beriman tidak mengumpat, tidak sombong, tidak memfitnah, tidak melemparkan gelaran buruk kepada orang lain. Malah tidak bersahabat dengan syaitan, tidak bermuafakat dengan orang munafik dan kafir yang memusuhi Islam.


Ketahuilah bahawa undang-undang Islam hanya boleh ditegakkan di kalangan orang-orang beriman. Orang beriman, sekalipun terlanjur melakukan zina, mereka akan mengaku salah dan bertaubat. Mereka lebih takutkan Allah dan hukuman di akhirat daripada hukuman dunia. Tanpa paksaan dan penguatkuasaan, undang-undang Islam pasti wujud dalam setiap jiwa yang beriman. Maka serulah diri kita dan orang lain supaya beriman dengan sebenar-benar iman. Wallahhualam.

Merajut Sutera Kemegahan

REPUBLIK Arab Syria terletak di barat daya Timur Tengah, juga digelar gedung khazanah dunia berpaksikan sejarah tamadun manusia yang penuh dengan pelbagai keunikan. Walaupun Syria kini menuju arus pemodenan, kesan sejarah menjadikan negara ini antara lokasi pelancongan sukar ditandingi, malah tidak keterlaluan untuk Syria mendabik dada atas kelebihan yang ada. Kelebihan negara ini adalah kerana lokasinya di laluan pertemuan dunia, sekali gus menjadi titik pertemuan kalangan pedagang Laluan Sutera dari timur ke pasaran Mediterranean melalui Asia Tengah.

Selain dari sutera, Syria juga terkenal dengan tenunan permaidani

Sutera adalah bahan amat bernilai dan sering digunakan golongan diraja, bangsawan serta pegawai tinggi kerajaan. Penemuan arkeologi menunjukkan bahawa sutera menjadi bahan mewah yang sangat dihargai dan sudah wujud sebelum adanya Laluan Sutera yang dipelopori pedagang China pada abad kedua. Kajian arkeologi juga menemui aktiviti penenunan sutera Syria sebenarnya sudah pun bermula di kota lama Palmyra di tengah Syria pada abad pertama lagi.

Antara identiti yang terkenal di Syria ialah kereta kuda pembawa minyak

Bagaimanapun, China mendominasi pasaran sutera mewah dan mengeksport kain berkualiti tinggi ke Eropah dan negara di timur. Selepas Perang Salib, teknik pengeluaran sutera mula tersebar di Eropah Barat hingga peralatan tenun mereka juga dikatakan jauh lebih unggul ketika itu. Hasil aktiviti perdagangan di laluan yang boleh dianggap ‘lubuk emas’ itu, terbinalah jalinan perniagaan yang turut memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi, komoditi dan pembangunan di sesuatu tempat, malah kerana aktiviti itu jugalah, wujud kubu pertahanan, penyebaran pelbagai agama dan percambahan pelbagai budaya.

Tidak berapa lama dulu, penulis telah berpeluang ke negara berkenaan apabila dipilih menyertai program anjuran Kementerian Pelancongan Syria bagi memperkenalkan produk budaya dan pelancongan negara itu kepada rakyat Malaysia. Tuah bertambah apabila bertemu dengan sebuah keluarga yang begitu lama mengusahakan perniagaan sutera, lantas mengukuhkan keyakinan penulis terhadap kesan kehadiran pedagang sutera di Syria.

Sebuah kedai menjual kain sutera

Keluarga Yousef Mouhamad Hasan, 73, dikenal pasti pewaris tertua yang masih menjalankan perniagaan sutera di republik terbabit. Walaupun sudah dimamah usia, Yousef tewas kepada minat mendalam terhadap sutera yang mendorongnya untuk meneruskan perniagaan turun temurun keluarganya itu sambil bertemankan peralatan mesin kayu dianggarkan berusia ratusan tahun untuk menghasilkan sutera. Sambil dibantu isteri, Bahyjeh Talamoon 68, pasangan suami isteri ini kelihatan amat berbangga apabila usaha mereka turut mendapat perhatian pelancong asing. Ia tidak menghairankan kerana sutera dihasilkan keluarga ini amat bermutu dan tidak putus-putus ditempah pelanggan.

Anak pasangan berkenaan, Jalal Hassan, 25, ketika ditemui, menjelaskan cara bagaimana sutera dihasilkan, bermula dari ulat yang kemudian menjadi pelindung pupa yang terhasil daripada serat dikeluarkan larva ketika membentuk kepompong. ‘Bagi menghasilkan 25 gelung benang sutera sehari, kami memerlukan kira-kira 10 kilogram serat, tetapi segala penat lelah ini berbaloi kerana harga produk sutera yang begitu tinggi. Sifat sutera yang begitu lembut menjadikan harganya mahal, tetapi bagi sesiapa yang menggunakannya, ia adalah lambang kemegahan,’ katanya.

Yousef Mouhamad Hasan, 73, dikenal pasti pewaris tertua yang masih menjalankan perniagaan sutera di republik ini. Walaupun sudah dimamah usia, Yousef tewas kepada minat mendalam terhadap sutera yang mendorongnya untuk meneruskan perniagaan turun temurun keluarganya itu sambil bertemankan peralatan mesin kayu dianggarkan berusia ratusan tahun untuk menghasilkan sutera

Keluarga penghasil sutera di negara ini biasanya membela ulat sutera sendiri pada musim bunga dan menenun pada musim panas dan tetap bersemangat untuk memastikan tradisi sejak berkurun lamanya itu berterusan serta kekal sehingga keturunan berikutnya. Walaupun pengusaha sutera di Syria dilaporkan semakin berkurangan dengan puncanya dikatakan akibat arus pemodenan yang menyebabkan kos kehidupan meningkat sehingga memaksa petani mengalih tumpuan menanam pokok buah-buahan atau zaitun, masih ada yang tetap bersemangat untuk menghasilkan sutera.

Di sebuah pasar di Aleppo terdapat pelbagai barangan dijual untuk para pelancong

Pelanggan sasaran adalah pelancong asing yang mencari bahan seperti selendang sutera berkualiti tinggi yang rata-rata dijual pada harga daripada 3,000 hingga 8,000 pound Syria (RM22 hingga RM53 sehelai) dengan promosi biasanya hanya disampaikan daripada seorang pelanggan kepada pelanggan yang lain. Dilaporkan, pengeluaran kepompong sutera di Syria meningkat daripada 2.6 tan pada 2009 kepada 3.1 tan tahun ini hasil skim galakan yang diperkenalkan kerajaan republik terbabit. Kini, Syria adalah satu-satunya negara di benua Arab yang melaksanakan semua peringkat penghasilan sutera.

Citadel of Aleppo, sebuah istana purba di bandar Aleppo. Ia kini dianggap antara istana tertua dan terbesar di dunia. Kewujudan monumen arkeologi ini diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1986. Struktur kubu Aleppo yang terhasil daripada batuan kapur yang terletak di puncak bukit adalah lambang dalam sejarah kegemilangan tentera Islam. Di bahagian utama benteng ini terdapat ruang takhta dan bilik mandi, selain sebuah masjid kecil dikenali sebagai Masjid Ibrahim yang dibina di menara tinggi.

Kesan Sejarah Di Aleppo

Kembara penulis ke Syria dari Kuala Lumpur melangkau jarak 7,544 kilometer semata-mata untuk mengimbau sejarah laluan pedagang purba melalui program Festival Laluan Sutera 2010 yang dianjurkan Kementerian Pelancongan Syria, suatu ketika dulu. Menurut cendekiawan sejarah, Laluan Sutera adalah saluran penting pertukaran budaya, komersial dan teknologi antara peniaga, tentera, perantau dan penduduk dari China, India, Tibet, Parsi dan negara Mediterranean selama hampir 3,000 tahun. Nama laluan itu jolokan daripada hasil sutera yang diperdagangkan pengembara dari China ke Syria bermula pada zaman Dinasti Han (206-220 Masehi).

Salah sebuah kedai menjual pelbagai barangan keperluan penduduk

Sempena festival berkenaan, penulis bersama pengkaji budaya dan petugas media lain dari seluruh dunia turut melawat beberapa lokasi pelancongan menarik di Syria. Rakan media dari Kyodo News, Tsuchiya Takeshi, nyata begitu kagum dengan tarikan Syria yang disifatkannya sangat kaya dengan tamadun yang lahir hasil gabungan timur dan barat. Sungguh mengagumkan melihat runtuhan bandar lama yang menggambarkan gabungan budaya benua timur, barat, utara dan selatan. Saya percaya Syria mampu bangkit menjadi antara negara tumpuan industri pelancongan di peringkat antarabangsa.

Destinasi pertama dikunjungi ialah Citadel of Aleppo, sebuah istana purba di bandar Aleppo. Ia kini dianggap antara istana tertua dan terbesar di dunia. Kewujudan monumen arkeologi ini diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1986. Struktur kubu Aleppo yang terhasil daripada batuan kapur yang terletak di puncak bukit adalah lambang dalam sejarah kegemilangan tentera Islam. Di bahagian utama benteng ini terdapat ruang takhta dan bilik mandi, selain sebuah masjid kecil dikenali sebagai Masjid Ibrahim yang dibina di menara tinggi.

Masjid Al-Rahman di Aleppo, Syria

Lokasi seterusnya, Pasar Purba dan Khan Alshouna. Pasar lama ini terletak ke arah pintu masuk Citadel of Aleppo manakala Khan merujuk kediaman atau tempat rehat peniaga yang kini berubah menjadi pusat kraftangan dan lokasi utama perniagaan di Aleppo. Kawasan seluas tujuh kilometer persegi ini menempatkan 39 gerai yang penuh dengan hasil perdagangan untuk dijual. Apa yang menarik, pelancong akan melalui laluan sepanjang 10 kilometer merentasi jalan sempit, tetapi berbaloi berkunjung ke sini kerana boleh membeli-belah pelbagai barangan, termasuk cenderahati untuk dibawa pulang.

Merajut sutera di Syria. Sutera merupakan bahan amat bernilai dan sering digunakan golongan diraja, bangsawan serta pegawai tinggi kerajaan. Penemuan arkeologi menunjukkan bahawa sutera menjadi bahan mewah yang sangat dihargai dan sudah wujud sebelum adanya Laluan Sutera yang dipelopori pedagang China pada abad kedua. Kajian arkeologi juga menemui aktiviti penenunan sutera Syria sebenarnya sudah pun bermula di kota lama Palmyra di tengah Syria pada abad pertama lagi.

Ada kedai menjual rempah ratus, sabun, pakaian dan tudung dengan peniaga sentiasa melemparkan senyuman menanti pembeli. Bangunan pasar lama ini yang dijaga rapi dan dinaik taraf seiring dunia moden, mempunyai pintu masuk melengkung tinggi yang diperbuat daripada kayu besar serta diperkuatkan dengan logam dan tembaga. Kami kemudian ke Kimar, Brad (St Maroon) dan Ein Dara. Kawasan St Maroun adalah lokasi keagamaan dan paling penting dalam wilayah Aleppo. Di kawasan runtuhan ini terdapat makam St Maroon, bekas paderi Kristian yang dilahirkan di Syria. Sekeliling makam dikelilingi monumen bukti wujudnya aktiviti keagamaan dan kemusnahan arkeologi. Candi Ein Dara pula adalah kuil yang terletak di barat laut Aleppo, dibina sekitar abad ke-10. Di sini ada dua artifak singa diukir daripada batu kapur, menggambarkan haiwan itu pernah menjadi objek pemujaan atas faktor kekuatannya.

Isnin, 20 Jun 2011

Jogja Kota Sejarah

JOGJAKARTA atau lebih terkenal dengan panggilan Jogja, terletak di tengah kepulauan Jawa, Indonesia dan mengambil masa tidak sampai tiga jam penerbangan dari Kuala Lumpur. Penulis menaiki penerbangan dari Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang jam 7.00 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Adisutjipto di pinggir kota Jogja, kira-kira dua setengah jam kemudian mengikut waktu Indonesia. Tempoh perjalanan yang singkat serta kos yang murah membawa penulis ke kota ini yang terkenal dengan candi Borobudurnya, struktur tinggalan silam terletak kira-kira 45 kilometer atau hanya sejam perjalanan dari pusat bandar.

Jalan Malioboro juga menempatkan banyak gudang beli-belah besar seperti Mall Malioboro dan Matahari, selain hotel ternama seperti Ibis Malioboro dan Inna Garuda yang kadar sewanya antara RM150 hingga RM200 semalam.

Jika Mesir berbangga dengan piramid dan Sphinx, China dengan Tembok Besar, Kemboja dengan Angkor Wat, warga Indonesia pula berbangga dengan Borobudur yang berlokasi di Desa Boro, Kabupaten Magelang. Dibina antara penghujung abad ketujuh dan awal abad kelapan atau antara tahun 750 hingga 850, candi ini terletak di tanah tinggi yang dikelilingi gunung berapi, menjadikannya kelihatan begitu besar dan cantik.

Ada beberapa stupa atau objek berbentuk loceng di candi ini yang amat bermakna bagi penganut Buddha yang di dalamnya disimpan barangan suci bagi memperingati Buddha. Monumen Buddha yang terbesar di dunia ini dibina pada zaman Dinasti Sailendra, pengikut agama Buddha Mahayana yang memerintah dari penghujung abad ketujuh hingga abad kesembilan. Ketinggian candi ini 42 meter mengandungi sembilan tingkat yang menggambarkan alam nirvana.

Beca digunakan untuk membaca pelancong yang datang ke kota ini

Mengikut sejarah, bahan yang digunakan dalam proses pembinaannya adalah batu gunung berapi dari kawasan sekeliling, tetapi struktur itu sudah beberapa kali rosak akibat gempa bumi. Ia kini menjadi salah satu destinasi warisan dunia di bawah Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Kota Jogja juga terkenal sebagai syurga beli-belah terutama di sepanjang Jalan Malioboro yang menempatkan pelbagai aktiviti perniagaan seperti kraftangan. Daripada keris, lukisan cat, busana muslimah, batik ternama Indonesia, baju T atau disebut kaus, semua boleh didapati di kawasan ini yang meriah dari pagi hingga lewat malam.

Salah sebuah gerbang yang menggambarkan identiti kota Jogjakarta

Pasar Beringharjo atau pasar utama Jogjakarta juga terletak di Jalan Malioboro. Ia menjual barangan basah serta kering seperti telekung atau dalam bahasa tempatannya disebut rukuh, pakaian kanak-kanak dan beraneka barangan lain. Jangan tergesa-gesa membeli kerana harga barangan di pasar ini boleh ditawar sehingga 70 peratus, tetapi terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk mendapatkan harga terbaik.

Jalan Malioboro juga menempatkan banyak gudang beli-belah besar seperti Mall Malioboro dan Matahari, selain hotel ternama seperti Ibis Malioboro dan Inna Garuda yang kadar sewanya antara RM150 hingga RM200 semalam. Di sini juga banyak homestay yang menjadi pilihan pelancong kerana kadar sewa jauh lebih murah berbanding hotel. Di penghujung jalan, tersergam istana sultan atau kraton yang dibina pada 1790 oleh Sri Sultan Hamengku Buwono I. Seni bina istana ini yang masih menjadi kediaman Sultan, penuh dengan ciri tradisional Jawa dan ia dibuka kepada orang ramai setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

Indonesia berbangga dengan Borobudur yang berlokasi di Desa Boro, Kabupaten Magelang

Tempat lain boleh dikunjungi adalah Vredeburg Fort, kota lama tinggalan penjajah Belanda selain Kuil Prambanan yang dibina pada zaman Dinasti Sanjaya dan terletak kira-kira 17 kilometer dari Jogja. Lawati juga pusat pasu dan seramik di Kota Gede yang turut menjual barangan kulit dan perak, Muzium Sono Budoyo yang mempamerkan tinggalan etnik dan arkeologi serta Gunung Merapi yang terletak kira-kira 2,968 dari aras laut.

Sepanjang empat hari kembara, penulis tertarik dengan perhentian bas di kota ini yang amat menarik, selain kehadiran pemuzik jalanan membuat persembahan percuma di sepanjang Jalan Malioboro sambil menadah topi. Setiap kali kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat, pasti ada saja insan yang lengkap dengan pakaian tradisional mempersembahkan beberapa langkah tarian untuk mencari rezeki tidak seberapa.

Pasar Beringharjo atau pasar utama Jogjakarta juga terletak di Jalan Malioboro. Ia menjual barangan basah serta kering seperti telekung atau dalam bahasa tempatannya disebut rukuh, pakaian kanak-kanak dan beraneka barangan lain. Jangan tergesa-gesa membeli kerana harga barangan di pasar ini boleh ditawar sehingga 70 peratus, tetapi terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk mendapatkan harga terbaik.

Untuk lebih menikmati persekitaran di kota ini, pelancong boleh menyewa beca atau dalam bahasa tempatan disebut becak dan jika inginkan kelainan, cuba saja kereta kuda. Melancong ke Jogjakarta pasti memberikan pengalaman indah, namun pengajaran paling bernilai bagi penulis ialah apabila melihat rakyatnya yang bekerja keras dan sanggup melakukan apa saja untuk mencari sesuap nasi.

Embhan Dilingkari Kehidupan Tradisi

MASUK sahaja ke ruang penyambut tetamu, rombongan penulis agak terkesima melihat tujuh wanita warga emas tersenyum lebar menampakkan gigi merah pekat sambil tidak henti-henti mengunyah sirih pinang. Di tangan mereka tidak pernah lekang daripada memegang gobek atau lesung (alat menghancurkan pinang), begitu sinonim dalam kehidupan seharian mereka. Badan kurus kecil dengan dihiasi gelang tembaga dari pergelangan tangan sehingga ke siku dan hampir menutupi seluruh betis menjadi aksesori wajib ke mana saja mereka pergi, tidak kira masa termasuk ketika mandi dan sehingga ke bilik tidur. Tidak ada seutas rantai emas menghiasi mereka, cuma yang ada juntaian hiasan sulaman manik berwarna warni yang dipakai saban hari. Tampak ringkas, namun cukup unik. Itulah kebanggaan mereka yang dikatakan penyeri sejak turun temurun dan sebagai lambang kehidupan berada serta kecantikan sejati wanita di situ.

Remaja etnik Embhan

Itulah tarikan utama masyarakat Embhan yang kini mendiami Kampung Semban di kawasan puncak tinggi pada ketinggian lebih 400 meter dari paras laut di Gunung Kepang Sibanyang, berhampiran sempadan Sarawak/Kalimantan, Indonesia. Mereka adalah pecahan etnik Bidayuh tetapi kini menjadi satu-satunya masyarakat yang masih ada wanita generasi tua memakai luyang (gelang tembaga di lengan) dan lasung (di betis). Itupun jumlah pemakainya hanya ada tujuh orang, sekali gus menjadikan tradisi yang hanya ada di Semban itu bakal pupus tidak lama lagi.

Keunikan Kampung Semban juga tidak mampu bertahan lama kerana dalam tempoh dua tahun lagi perkampungan 200 keluarga yang turut mendiami Kampung Rejoi, sejam perjalanan dari Semban bakal dipindahkan ke lokasi baru untuk memberi laluan kepada projek empangan Bengoh.

Kaum lelaki dengan pakaian tradisional

Kesempatan untuk mendekati masyarakat itu amat bertepatan sekali kerana selain kampung itu sendiri yang bakal dipindahkan, keunikan yang masih diteruskan oleh pengamal kepercayaan pagan di situ turut sukar ditemui di mana-mana. Mereka sendiri dengan bangganya mendakwa, hanya tujuh wanita itu yang memakai aksesori sebegitu di Malaysia. Semban bukan saja menarik kerana tujuh wanita itu. Kehidupan dikelilingi hutan dan bukit tinggi itu sendiri mengujakan untuk diterokai. Cara hidup mereka dalam meneruskan kehidupan seharian pasti tidak mudah dijalani sesiapa saja terutama bagi kita yang tinggal di bandar besar.

Bayangkan, perjalanan untuk sampai ke kampung itu jika mengikut jalan darat ialah lebih kurang enam hingga lapan jam perjalanan. Jangan mimpi untuk mendapatkan kenderaan kerana memang tiada jalan ke situ. Hanya laluan kecil yang diterokai penduduk menggunakan parang dan diletak buluh sebagai tangga pendakian menjadi perantara kampung itu dengan Bengoh, lokasi terhampir ke jalan utama.Jika ada yang mahu sampai segera ke sana, hanya helikopter yang kadar sewanya mencecah RM5,000 untuk perjalanan pergi dan balik boleh digunakan. Itupun terhad kerana pasti tidak ada penduduk kampung yang sanggup membayar perkhidmatan itu.

Seorang gadis etnik Embhan yang cantik

Embhan dan Semban memang cukup unik. Hari pertama penulis bersama rombongan budaya di sini sudah berdepan dengan pengalaman luar biasa kerana suhu pada malam itu mencecah hanya berbelas darjah Celsius, sama dengan suhu minimum alat penghawa dingin. Air paipnya sesejuk sebaldi ketulan ais yang dinginnya sampai menusuk ke tulang. Kejutan itu hanya sebahagian kecil pengalaman yang kami peroleh di sini kerana sebenarnya banyak lagi yang mengejutkan terutama apabila mendekati dan mengenali cara hidup mereka yang nyata sekali bagai langit dan bumi dengan kehidupan masyarakat lain terutama di bandar.

Pasti kita boleh mengagak jika hidup di pedalaman sebegitu, malah di kawasan gunung pastinya menjauhkan mereka daripada sebarang kemudahan seperti dinikmati orang lain. Namun, lebih sukar lagi apabila semua kelengkapan harian perlu dibeli di Bengoh yang jaraknya antara enam hingga lapan jam berjalan kaki. Oleh kerana itulah, boleh dikatakan setiap hari kami bertembung dengan beberapa lelaki mahupun wanita yang memikul barang dianggarkan seberat lebih 10 kilogram, malah ada juga membawa tong gas yang beratnya mencecah 20 kilogram mendaki gunung itu. Lebih memeranjatkan, ada juga wanita separuh usia masih larat dan kuat melalui rutin sebegitu.

Meraikan kedatangan tetamu ke kampung mereka

Berkebun adalah sektor ekonomi utama masyarakat Embhan. Mereka menanam apa saja yang boleh mendatangkan hasil sama ada untuk dijual atau sekadar kegunaan sendiri. Padi bukit, lada, nanas, koko, jagung dan pelbagai lagi menjadi taruhan mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lada adalah tanaman paling menguntungkan untuk dijual. Jarak kebun dengan rumah bukan dekat. Ada yang sampai berjam-jam perjalanan. Ia dibuktikan apabila penulis menempuh perjalanan penuh mencabar dan memenatkan dari Semban ke Rejoi, kelihatan seorang wanita pertengahan usia sedang berkebun.

Terkejut juga penulis lantas bertanya: ‘Wah! Hampir sejam dari kampung pun masih ada yang buat kebun?’ Jawapan dilontarkan pengiring, Sagen Adan lebih memeranjatkan: ‘Ini adalah kebun paling dekat, yang lain lebih jauh dari ini.’ Melopong juga penulis mendengar jawapan itu kerana selepas sejam perjalanan itu pun kami sudah rasa separuh mati. Bagaimana mereka boleh saban hari meneruskan rutin yang sama, bukan oleh orang muda, kebanyakannya sudah separuh usia.

Etnik Embhan dalam satu majlis budaya

Paling memeranjatkan, ketika berbual dengan seorang remaja belasan tahun yang sarat mengandung lapan bulan, Jocelyne Ajang, dia memberitahu terpaksa meredah hutan dan puncak tinggi itu setiap bulan, berjam-jam semata-mata untuk ke Bengoh bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan ibu mengandung. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul! Senario sama juga terpaksa dihadapi pelajar sekolah kerana meskipun Sekolah Kebangsaan Semban Pedawan pada awalnya dibina di Kampung Semban, namun sejak 1976 ia sudah dipindahkan ke Kampung Rejoi. Bayangkan betapa seksanya pelajar seusia kanak-kanak itu berjauhan daripada ibu bapa tinggal di asrama dan perlu mendaki puncak berjam-jam untuk pulang ke kampung setiap minggu.

Jalan menuju ke kampung etnik Embhan

Itu pun mujurlah ada asrama kerana sebelum ini mereka terpaksa berulang setiap hari. Sekali lagi kami terlopong memikirkan bagaimana mereka meneruskan rutin sebegitu kerana sukar untuk digambarkan betapa seksanya mendaki puncak dari Semban ke Rejoi. Sudah rasa baru tahu penangannya! Apa pun, itulah keunikan Embhan di Semban dan Rejoi. Mereka tahu hidup mereka dikelilingi kesulitan saban hari. Mereka juga sedar betapa jauhnya mereka daripada pembangunan, namun mereka sebenarnya sayang untuk meninggalkan kampung halaman meskipun ditawarkan bayaran ratusan ribu ringgit untuk projek empangan Bengoh.

Mungkin kerana sejarah sudah tertulis bahawa mereka antara golongan yang sayangkan tanah halaman. Jika tidak, masakan Embhan menjadi antara mereka yang paling kuat berlawan dalam perang potong kepala semata-mata untuk memastikan Semban terus menjadi milik mutlak mereka. Semangat itu masih ada sehingga kini. Ia dibuktikan juga ketika kami berkunjung ke Rejoi yang mana beberapa ratus meter dari kampung itu, iaitu di puncak sebelah kiri kampung, kelihatan beberapa penduduk Embhan sedang tekun menyiapkan rumah. Ia dikatakan kampung baru yang sedang dibina sebagai tanda mereka enggan berpindah jika sampai masa berbuat demikian.

Rumah panjang etnik Embhan

Ada juga yang sudah bersedia menyiapkan sampan besar sebagai satu tanda bahawa mereka tetap mahu tinggal di situ meskipun Rejoi bakal tenggelam dua tahun lagi. Malah, mereka lebih bersedia tinggal di kampung yang sudah menjadi pulau semata-mata kerana mahu terus menjadi orang Embhan di Rejoi. Meskipun kebanyakan penduduk di situ sudah menganut Kristian, masih ada 16 orang, semuanya melebihi usia 50 tahun masih tegar dengan kepercayaan pagan, mempercayai isyarat oleh haiwan dan elemen alam untuk meneruskan kehidupan seharian. Malah, penganut Kristian di situ juga tidak membuang terus kepercayaan lama itu kerana masih percaya kepada beberapa petanda diperoleh terutama daripada burung kusak. Ketika kami dalam perjalanan ke Rejoi dari Semban, suara burung kusak yang kedengaran dari sebelah kanan kami dikatakan memberi petanda buruk.

‘Burung kusak ini bunyinya di sebelah kanan. Maksudnya, kita tidak akan ditimpa malapetaka buruk jika perjalanan ini diteruskan tetapi selalunya apa yang kita mahu buat di tempat dituju tidak akan berhasil,’ kata Sagen.

Salah seorang tua etnik Embhan yang masih mengamalkan budaya tradisi

Bagi orang Islam, perkara sebegitu tidak boleh dipercayai kerana ia boleh menyebabkan syirik, namun secara kebetulan, hampir semua tujuan asal kami ke Rejoi menemui kegagalan. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Semban enggan membenarkan kami meneruskan tinjauan di sekolah kerana katanya tiada kebenaran daripada Pejabat Pelajaran Daerah. Gadis yang kami mahu untuk dijadikan model menyorok kerana malu. Jana kuasa rosak meskipun sudah ditukar dua tiga kali dan paling mengecewakan, komputer riba kami diserang virus apabila cuba menyalin data mengenai sekolah daripada pemacu keras milik guru penolong kanan sekolah itu. Ia terus dikatakan sebagai kejadian buruk akibat isyarat oleh burung kusak, namun kami tidak pula mempercayainya.

Itulah senario yang menambahkan keunikan masyarakat itu yang sebenarnya lebih menarik untuk didekati dan diterokai merangkumi pelbagai elemen terutama cara hidup mereka.

Sabtu, 18 Jun 2011

Melihat Khazanah Nabi

SUATU ketika dulu Muzium Negara pernah menganjurkan pameran Khazanah Nabi dan penulis berpeluang melihat rambut baginda, pedang Saidina Ali, baju besi Saidina Abu Bakar, musyaf lama dan pelbagai lagi khazanah yang berharga dipamerkan di sana. Dan selepas mengenali tokoh Islam teragung, junjungan kita Muhammad s.a.w melalui pembacaan dan penceritaan, penulis berasa begitu teruja lagi sekali apabila berpeluang menyaksikan sendiri replika pedang baginda yang dipamerkan di Brunei Darussalam ketika berkunjung ke negara itu suatu ketika dulu.

Sememangnya peluang menyaksikan sendiri kesemua 15 replika dipamerkan, menjadi acara kemuncak pilihan penulis dan dinanti-nantikan dalam keseluruhan siri lawatan empat hari tiga malam ke negara berkenaan. Dibawa khusus daripada Indonesia, kesemua replika pedang berserta capal, busur panah dan tongkat milik Baginda serta sahabatnya itu, dibentuk semula hampir 99 peratus menyamai artifak asal yang kini ditempatkan dan dijaga di Istana Topkapi, Turki. Meskipun sekadar replika, namun bukanlah sesuatu yang mudah untuk menyiapkan kesemua peninggalan Baginda dan sahabatnya itu dan penulis dimaklumkan ia memakan masa sehingga enam bulan untuk disempurnakan.

Pedang Khalid ibni Walid

Lebih menarik lagi, bukan calang orang yang dapat menghasilkan replika itu sebaliknya kesemuanya dihasilkan seorang lelaki warak yang perlu berzikir dan berpuasa selama 40 hari bagi menyiapkannya. Pengarah Piramid Communication, Qalam Gladi M, yang menjadi antara individu bertanggungjawab membawa pameran itu ke Brunei berkata, selain perlu mengikut saiz, berat dan perincian asal artifak asli, masa lama terpaksa diperuntukkan bagi menyiapkan replika itu kerana ia tidak menggunakan bantuan sebarang mesin.

‘Kesemua replika ini disiapkan secara sendirian dan berbekalkan seni tangan seorang lelaki alim Indonesia yang enggan dikenali. Ia bukan proses biasa, sebaliknya individu itu yang mempunyai kemahiran membuat pedang sejak berusia lapan tahun perlu berzikir dan berpuasa selama 40 hari sebelum menyiapkan kesemua replika ini,’ katanya ketika ditemui penulis di Galeri Pameran Islam Sultan Hassanal Bolkiah, Kompleks Darulifta Brunei.

Qalam berkata, kebanyakan umat Islam menganggap peninggalan Baginda ini masih berada sama ada di Kota Makkah atau Madinah, sedangkan ia sudah lama dibawa ke Istana Topkapi oleh Sultan Kesembilan Turki. Lebih penting lagi katanya, masih ramai tidak mengetahui kisah di sebalik pedang dimiliki Rasulullah, termasuk fakta yang ia tidak pernah digunakan bagi membunuh musuhnya. Antaranya termasuk pedang Al-Ma’tsur sepanjang 99 sentimeter (sm) yang diperoleh Rasulullah s.a.w daripada ayahandanya ketika Baginda berusia 15 tahun.

Pedang Rasulullah s.a.w

Dikatakan, Al-Ma’tsur, yang juga pedang utama Rasulullah, tidak pernah dikeluarkan daripada sarungnya sejak kali pertama baginda memilikinya. Ia hanya dibuka di hadapan Bani Hasyim ketika Baginda mahu menikahkan puterinya, Fatimah Az-Zahra. ‘Begitu juga dengan replika busur dan panah yang turut digunakan sebagai senjata di medan perang selain daripada pedang. Di tanah Arab tidak ada buluh dan Rasulullah dipercayai memperolehnya di China atas dasar hubungan Islam yang begitu dekat dengan negara itu. Bukan semua umat Islam berpeluang ke Istana Topkapi, Turki, untuk melihat dengan mata sendiri artifak peninggalan Rasulullah s.a.w serta sahabatnya dan pastinya ia menjadi salah satu peranan Piramid Communication untuk membawa pameran ini kepada umat Islam,’ katanya.

Turut dipamerkan ialah replika tongkat Nabi Musa yang dikatakan ulama sebagai berasal daripada pohon yang terdapat di syurga dan digunakan untuk membelah lautan bagi membolehkan baginda dan pengikutnya melepaskan diri daripada serangan Firaun. Selain daripada itu, pengunjung juga berpeluang melihat pedang paling tua dalam sejarah menegakkan risalah Allah s.w.t ke bumi iaitu Pedang Al-Battar sepanjang 101 sentimeter, Al-Qal’I yang mempunyai mata pedang berbentuk gelombang serta bekas tapak kaki Rasulullah. Sebelum dibawa ke Brunei, kesemua artifak itu sudah terlebih dulu menjelajah 16 bandar di Indonesia sejak September 2009.

Qalam berkata, pihaknya sebelum ini sekadar berhasrat membawa pameran ini menjelajah Indonesia bagi memberi peluang kepada masyarakat di sana untuk melihat sendiri peninggalan Baginda dan sahabatnya. ‘Bagaimanapun, kami kemudian menerima permintaan daripada Mufti Brunei yang mahu pameran ini turut dibawa ke sini. Mungkin selepas ini ia akan dibawa ke negara jiran lain sekiranya wujud permintaan selain mendapat kelulusan daripada kerajaan Turki yang memegang hak artifak asli itu sendiri,’ katanya. Penjelajahan ke baki 14 buah bandar di Indonesia akan diteruskan sebaik selesai pameran tiga minggu di Brunei. ‘Di Indonesia sendiri, lebih 800,000 pengunjung sudah melawat pameran Pedang Nabi dan paling membahagiakan apabila beberapa individu bukan Islam mengucap dua kalimah syahadah selepas mengunjungi pameran ini,’ katanya.

Pameran itu pertama kalinya dibawa ke negara berkenaan bersempena Majlis Pelancaran dan Pameran Pelancongan Islam 2011 turut dihadiri dan disempurnakan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Ia sebahagian pengisian Pameran Pelancongan Islam 2011 yang menyaksikan Brunei Tourism turut memperkenalkan brosur bertemakan ‘Brunei Darussalam: Menelusuri Keindahan Islam’ bagi mempromosi tempat tarikan pelancongan di negara berkenaan.

Kesenian Sumpit Masyarakat Orang Asli

MENGHASILKAN sumpit buluh bukan sesuatu yang mudah dilakukan kerana ia memerlukan kemahiran tinggi serta membabitkan kerja tangan yang berkualiti bagi mengukir setiap batang sumpit supaya ia kelihatan menarik dan cantik. Masyarakat Orang Asli mempunyai kepakaran dalam menghasilkannya kerana alat itu sudah digunakan sejak zaman nenek moyang mereka lagi malah sumpit banyak kegunaan bagi kaum terbabit untuk memburu haiwan di hutan serta sebagai senjata menjaga keselamatan ahli keluarga.

Orang Asli di Kampung Jedip, di Gua Musang, antara kampung yang terkenal dengan pengeluaran sumpit serta mempunyai dua tenaga mahir dalam membuat peralatan itu bagi dipasarkan di merata tempat. Kemahiran yang ada pada Atan Along, 50, dan Harun Sayang, 40, menjadikan perniagaan mereka yang dikongsi bersama di tepi jalan Gua Musang - Cameron Highlands sebagai tumpuan utama orang ramai terutama pelancong asing. Malah, gerai mereka juga menyediakan tempat untuk orang ramai dan pelancong mencuba sumpit itu sebelum membelinya.

Kemahiran Atan dan Harun menghasilkan sumpit buluh berkualiti adalah diwarisi daripada orang tua mereka sehingga ia menjadi punca pendapatan utama. Bagi menghasilkan sumpit yang berkualiti, ia bergantung kepada buluh tua yang panjang serta lurus supaya tidak mengambil masa lama untuk dibentuk dan perlu dijemur terlebih dulu untuk dikeringkan.

Harun yang ditemui di gerainya berkata, selepas dijemur beberapa jam, proses seterusnya adalah meletakkan buluh itu berhampiran api supaya ia lebih berkilat. ‘Proses ini sebenarnya tidak rumit, tetapi perlu penelitian supaya buluh itu tahan lama dan tidak menjadi rapuh atau dimakan ulat. Hanya selepas itu barulah ia digosok dengan kertas pasir bagi menghalus keseluruhan buluh terbabit. Selepas itu baru diukir dengan pelbagai bunga menggunakan kepakaran yang ada, tetapi perlu ada kesabaran kerana kerja mengukir adalah paling rumit dan jika tidak dihalusi ia boleh menjadi rosak sekali gus hilang tarikan,’ katanya.

Sumpit buluh hasil tangan Orang Asli Kampung Jedip, di Gua Musang, siap untuk dijual. Kemahiran warisan, teknik pembuatan antara kelebihan produk ini

Harun juga berkata, sumpit yang dihasil itu dijual antara RM25 hingga RM70 itu mendapat sambutan terutama pelancong asing. ‘Saya dan Atan mampu menyiapkan antara tiga hingga lima sumpit sehari bergantung kepada corak lukisan dan jika corak lebih kreatif serta menarik mengambil masa sedikit.

Namun, kita mampu memenuhi permintaan pelanggan hingga ada ketikanya ia habis di borong pelancong asing untuk dibawa balik ke negara mereka,’ katanya.

Atan pula berkata, pelancong akan diajar cara menggunakan sumpit di tempat yang disediakan sebelum membelinya supaya mereka mahir sebaik dibawa pulang ke negara mereka. ‘Setiap pelancong yang datang begitu gembira apabila saya mengajar cara menggunakan sumpit dan mereka sebenarnya cepat pandai,’ katanya.

Jumaat, 17 Jun 2011

Menoreh Getah Waktu Malam

BAGI orang yang tidak pernah menoreh getah pada waktu malam, mungkin perbuatan ini pelik dan agak mustahil untuk dilakukan. Tetapi bagi penulis, menoreh getah pada waktu malam adalah perkara biasa yang dilakukan oleh ramai penoreh getah di kampung kelahiran penulis iaitu Kg Bukit Hijau, Baling, Kedah.

Penulis lahir dalam keluarga yang miskin, daif, papa kedana, susah, dan serba serbi kekurangan. Makan nasi dengan garam adalah perkara biasa bagi penulis. Ke sekolah tak pakai kasut, berseluar koyak, berbaju rabak juga adalah perkara biasa bagi penulis. Sewaktu kecil dulu penulis selalu menolong ayah dan ibu penulis menoreh getah. Biasanya pada musim kemarau yakni waktu daun getah luruh, kami akan keluar menoreh pada waktu malam. Ini adalah kerana pada waktu siang angin terlalu kuat menderu. Kata arwah ayah penulis, bila angin menderu kuat, susu getah akan lari ke pucuk atau ke atas. Sebab itulah kami menoreh pada waktu malam. Penulis tidak pasti apakah kata-kata arwah ayah penulis itu benar atau tidak.

Seorang penoreh getah sedang menoreh demi sesuap nasi

Zaman sekarang, apabila disebut menoreh waktu malam, pasti ramai yang bukan saja kehairanan, tetapi tertanya-tanya apakah faedah menoreh pokok getah pada waktu itu berbanding kelaziman pada awal pagi atau siang hari. Itulah yang dilakukan sekumpulan penduduk yang juga penoreh getah di Kampung Sawa atau Kampung Teknologi RISDA di Pendang, Kedah, yang memanfaatkan tempoh ‘kegemilangan’ usaha menoreh getah yang sebelum ini profesion yang dipinggirkan. Ini berikutan harga komoditi itu yang diramal kekal tinggi sepanjang tahun 2011 ini dengan memberi pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit sebulan kepada pemilik kebun.

Namun, ada sebabnya mengapa penduduk Kampung Sawa atau Kampung Teknologi RISDA ini sanggup menoreh pada waktu malam. Ia berikutan suhu dingin pada waktu malam yang menjadi faktor penggalak kepada penghasilan susu getah secara lebih banyak, berbanding pada waktu siang ketika musim daun luruh berlaku. Bermula kira-kira jam 9.00 malam iaitu selepas waktu solat Isyak seramai lebih 30 penduduk kampung itu akan berkumpul di satu kawasan lapang berhampiran persimpangan masuk ke ladang getah untuk bersiap bagi menjalankan aktiviti itu bersama-sama. Mereka akan memasuki kawasan ladang masing-masing beramai-ramai sebelum keluar semula bersama-sama sekitar jam 11.00 malam dan pulang ke rumah masing-masing.

Pokok getah yang setia mengeluarkan susunya untuk kehidupan manusia

Kampung Sawa atau Kampung Teknologi RISDA ketika ini mempunyai seramai 200 keluarga dan keluasan kebun getah pula kira-kira 270 hektar dengan purata pendapatan penduduk hasil menoreh getah ialah antara RM6,000 dan RM8,000 sebulan. Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mohd Nasri Lateh, 45, aktiviti menoreh malam bukan perkara yang asing kepada penduduk kampung berkenaan dan ia sudah diamalkan ketika musim panas dan daun luruh sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan pendapatan mereka yang bergantung dengan hasil getah terus stabil. Katanya, pada musim daun luruh penghasilan susu getah boleh menurun sehingga 50 peratus dan jika tidak keluar menoreh pada waktu malam ia akan menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk.

Pasangan suami isteri sedang menoreh getah

Justeru, bagi mengambil kesempatan di atas harga getah sekerap yang mahal iaitu kira-kira RM7.50 sekilogram ketika ini dia bersama penduduk kampung berpakat untuk keluar menoreh malam bermula Januari. ‘Ia berhasil apabila kebanyakan kami mampu mendapat 50 kilogram (kg) getah sekerap bagi setiap hektar dalam sehari, berbanding hanya 35 kg jika menoreh pada waktu siang. Kami mula menoreh pada waktu malam sejak Januari lalu kerana tidak mahu pendapatan terjejas berikutan musim panas dan daun luruh yang dijangka berlarutan dua bulan lagi. Kami lega apabila usaha ini berhasil kerana hasil yang dicatatkan lebih berbaloi. Penduduk juga tidak bimbangkan keselamatan mereka kerana kami keluar beramai-ramai menoreh sehingga kecoh suasana dalam kebun getah,’ katanya ketika ditemui penulis.

Pokok getah yang sedang ditoreh

Beliau yang juga Pemaju Masyarakat RISDA kampung itu berkata, pengeluaran susu getah lebih tinggi pada waktu malam kerana suhu yang lebih sejuk membolehkan susu getah mengalir lebih lama kerana lambat kering berikutan waktu malam yang panjang. Seorang lagi penduduk, Mat Saad Hussin, 50, berkata, dia dan keluarganya tidak berasa takut untuk keluar menoreh pada waktu malam kerana sudah biasa melakukannya di samping keadaan kebun yang bersih.

‘Kami tidak takut sebab sudah biasa dengan aktiviti ini, lagi pun kami keluar ramai-ramai bersama jiran serta rakan-rakan yang lain. Saya tidak pernah mengalami apa-apa masalah malah saya rasa lebih seronok kerana ramai kawan. Selain itu menoreh getah pada waktu malam juga secara tidak langsung mengekang masalah kecurian getah di kampung kami kerana susu getah tidak sempat kering sehingga pagi. Biasa kes kecurian adalah membabitkan getah sekerap dan dalam hal ini getah tidak beku sepanjang malam jadi lebih selamat sehingga kami sendiri yang mengutipnya pada sebelah pagi,’ katanya.

Menoreh getah waktu malam menggunakan lampu yang diikatkan di kepala

Zakiah Mahmud, 57, pula berpendapat menoreh pada waktu malam lebih selesa kerana keadaan lebih sejuk, berbanding menoreh pada waktu siang. ‘Kalau keluar awal pagi pun boleh tetapi lebih rumit sebab kena tunggu lama sedikit. Kalau malam kami toreh dan tinggal esoknya sekitar jam 6.00 hingga 7.00 pagi kami kutip dan terus jual. Masa yang terluang biasanya kami isi dengan aktiviti lain seperti bersawah atau menghadiri jemputan kenduri di sekitar kawasan kampung,’ katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA