SMAHADZIR
ANGIN kering sesekali bertiup kencang, menerbangkan
daun-daun yang bergelentangan di tengah halaman rumah. Pokok-pokok kelapa dan
pisang yang berjajaran di sepanjang jalan, bagaikan menari-nari tarian kipas. Alangkah
indahnya suasana desa ini biarpun sudah lama Zahirah menghilangkan diri
darinya. Begitu setia keindahan dan kedamaian itu seolah-olah tidak terusik
sedikit pun oleh pelbagai peristiwa yang berlaku.
Gerak
daun hijau rimbun berjurai di batang pokok mempelam, nangka, rambutan dan
durian turut melambai-lambai lemah gemalai. Decit jerijit sesekali membingar
berselerak. Tamparan angin gersang itu bagaikan tidak mahu mereda, bagaikan
enak dan leka membelai pipi gebu Zahirah yang masih terpaku di muka jendela.
Angin
terus menyapa mesra, seolah-olah keriangan menyambut kepulangan seorang gadis
dari kota yang jauh. Zahirah mengeluh panjang seraya menghimbau ingatan silam
yang luka dan lara perlahan-lahan ke ruang benak.
Pemergianku
dulu memang diharap dan dipinta oleh masyarakat kampung. Kehilanganku juga
tidak pernah ditangisi atau dirindui sesiapa. Justeru itu, kepulanganku ini
juga pasti tidak ditunggu. Tentunya kehadiranku ke kampung ini akan mengundang
senyum sinis yang tidak berkesudahan.
Namun, aku sudah membulatkan
tekad dan keazaman. Biar apa pun corak penerimaan masyarakat kampung, aku tetap
akan berada di sini, di sisi ibu dan adikku. Demikian bisik hati Zahirah seraya
mengeluh lagi. Sekilas dicuplik kerling ke wajah langit biru memutih. Betapa langit
itu terlalu jauh untuk dicapai tangan. Ayu wajahnya mengundang pesona namun
tidak berdaya untuk dicinta.
Zahirah
sedar semua itu. Dia harus pulang juga ke kampung kelahiran ini biar sejuta
umpat keji bersipongang. Dia rela dan akan lebih tabah dari suatu ketika dulu.
Kepulangannya kali ini bukan kerana rindu pada jejaka yang pernah merobek luka
di dada. Tidak juga kerana mahu mengenang semua kisah cinta silam yang lara dan
penuh duka.
Jauh sekali untuk menyambungkan
semula tali ikatan yang suatu waktu dulu pernah terjalin akrab dan erat.
Apalagi untuk mengingati kembali musim-musim indah silam ketika bersamanya.
Siapa pun tidak tahu bahawa kepulangan Zahirah kali ini adalah kerana rindu
kepada adiknya Safiah, ibu yang sudah lama menderita juga untuk mencari
ketenangan hati sekiranya masih ada.
Setibanya
Zahirah di desa kelahiran ini, terasa benar dirinya terasing, bagaikan terbuang
di sebuah dunia yang entah di mana. Kampung Batu Kecubung ini sudah banyak
berubah jika dibandingkan dari dulu. Jalan raya sudah menjalar hingga ke depan
rumah. Beberapa buah kedai batu tersergam cantik di simpang jalan. Masjid sudah
berubah wajah. Kalau dulu kecil, sekadar mampu menampung dua atau tiga puluh
jemaah, kini sudah mampu memuatkan hampir seratus orang. Sekolah rendah juga
sudah bertambah blok bangunannya.
Memang kampung ini sudah banyak
menerima angin kemajuan lantaran kestabilan ekonomi dan politik. Zahirah
bersyukur namun memorinya sedikit pun tidak berubah. Terlalu kemas dan erat
terpasak kukuh di dasar nubari lebih-lebih lagi kala mengenangkan kisah cinta
yang tragis itu. Kisah pilu dan lara yang menimpanya enam tahun yang lalu tidak
semudah itu untuk dinyahkan dari diri. Semakin cuba dilupakan, semakin kuat
pula ia bergayut di tangkai hati. Semakin cuba disisihkan, semakin kukuh pula
pautannya di jiwa.
Zahirah yakin, sampai akhir hayat
sekali pun, kisah getir itu tak akan lenyap dari kalbunya biar daging-dagingnya
telah luruh dari badan. Begitu mendalamnya kesan luka yang ditinggalkan oleh
peristiwa tersebut.
Bagaimana
harus Zahirah melupakan? Wajah jejaka yang pernah dicintai itu tidak pernah
padam dari ingatannya. Seperti mana teguh tersimpan segala kenangan manis yang
dilalui bersama. Keras hati Zahirah sekeras besi waja yang tak mungkin dapat
dilentukkan oleh api yang membara.
Bagi
Zahirah, jejaka itu adalah seorang lelaki yang paling disayangi yang pernah dia
kenali. Lelaki itu amat memahami, bertolak ansur, berakhlak baik, lemah lembut,
bersopan santun, tahu menghormati orang tua dan pelbagai lagi sifat positif
yang mempersonakan hati Zahirah. Atas permintaan jejaka tersebut, Zahirah
memanggilnya dengan panggilan abang. Menepati adat susila bangsa Melayu. Orang
yang lebih tua dipanggil abang, yang muda dipanggil adik dan yang terlalu tua
dipangil nenek. Begitulah yang sering diamalkan oleh masyarakat kampung.
Waktu
itu, jejaka tersebut sanggup lakukan apa saja demi Zahirah. Dia sanggup
memperjuangkan kebenaran semata-mata mahu menegakkan turus cinta yang telah
mereka bina. Tatkala itu tiada sedikit pun cacat cela Zahirah di matanya.
Semuanya indah, semuanya cantik, semuanya manis dan semuanya molek belaka.
Begitulah adatnya orang yang bercinta.
Bagi
Zahirah, dialah lelaki yang telah bertanggungjawab mengheretnya ke lautan cinta
yang tidak bertepi. Cinta pertama yang tidak pernah luput dari ingatan sehingga
kini. Mungkin juga sehingga akhir hayat nanti. Cinta masa remaja itu amat manis
untuk dilupakan. Zahirah sentiasa saja dibuai asmara yang bergelora. Dia selalu
berdoa agar cinta yang telah mereka bina akan kekal buat selama-lamanya bersama
anak cucu dalam sebuah kehidupan yang bahagia. Segalanya Zahirah belum lupa.
“Irah,
abang berjanji yang abang tak akan tinggalkan Irah biar apa pun yang terjadi!”
ujar Razif suatu petang tatkala mereka sedang berehat di bawah sepohon tembusu
pinggir sawah. Para petani begitu tekun membanting padi. Musim padi masak
begitu menguning dengan suasana. “Cinta di hati abang hanya satu dan satu
itulah untuk Irah. Tak ada orang lain lagi yang mampu bertakhta di hati ini
selain Irah!”
Zahirah senyum. Betapa amat
bahagia dirasakan. Hatinya bagai diruntun ke langit biru bersama mega jingga
yang kian melatari ufuk senja.
“Percayalah Irah! Hanya ajal dan
maut dari Tuhan saja yang dapat memisahkan kita. Andainya kita ditakdirkan tidak
dapat bersama mengharungi hidup dalam sebuah rumah tangga, abang rela
bersendirian untuk selama-lamanya!”
Masih terngiang-ngiang segala
kata-kata dan janji-janji manis itu di telinga Zahirah. Malah kata-kata dan
janji-janji itulah yang terus menamani di setiap atur langkah kakinya ke kota
Kuala Lumpur enam tahun yang lalu.
Malangnya, Razif sendiri yang
telah meruntuhkan segalanya. Jejaka itu tergamak menghumban segala yang menjadi
kata-kata dan janji sebelum Zahirah sempat menjelaskan perihal sebenar. Dia
bagaikan tidak mahu mendengar malah berpura-pura tidak mahu percaya akan
kesetiaan dan kejujuran Zahirah dalam percintaan. Lebih empat tahun mereka
menjalinkan ikatan mesra, tidakkah dalam jarak waktu yang sebegitu lama masih
belum memahami hati dan perasaan orang yang tersayang? Razif seolah-olah mahu
menyeksa Zahirah dengan segala tindakannya malam itu.
Sungguh! Zahirah sunguh terseksa.
Malam itu, Razif sedikit pun tidak mahu membelanya malah memberi peluang
kepadanya untuk membela diri. Razif lebih lantang menjatuhkan hukuman sendiri
tanpa mahu menimbang segala aspek secara wajar. Zahirah terhukum tanpa
pembelaan dan yang lebih pilunya, Zahirah mendengar sendiri segala hukuman itu
terluah lancar dari mulut Razif, jejaka yang amat disayanginya.
Zahirah merenung jauh ke tengah
halaman rumah. Keluhan yang terpantul dari bibir jelas menggambarkan betapa
kesalnya dia terhadap kejadian yang telah berlaku enam tahun yang lalu. Sungguh
tergamak kau Razif perlakukan aku begitu rupa. Percayalah, aku tidak berlaku curang
pada cinta kita, Razif! Aku tidak pernah cuba walau sejenak untuk menghancurkan
tugu kesetiaan dan kejujuran yang ada dalam hatiku terhadap cinta kita. Cuma
kau saja yang tidak mahu percaya.
Razif... apakah sehingga kini
engkau masih belum mengetahui tragedi pada suatu malam enam tahun yang lalu itu
adalah satu perancangan yang paling licik dan teratur oleh seorang insan yang
tidak berperikemanusiaan? Sayangnya aku sendiri tidak berpelung membantah atau
menegakkan segala kebenaran kerana sedari kecil aku telah diajar supaya tidak
melawan cakap orang tua walaupun cakap mereka penuh dusta. Aku tidak mahu
dianggap anak gadis yang biadap lebih-lebih lagi kala itu aku berdepan dengan
ibumu sendiri.
Zahirah masih ingat...
Malam itu tercetus sebuah
peristiwa yang amat ngeri dalam sejarah hidupnya. Peristiwa yang tidak mungkin
dapat dia lupakan sepanjang hayat. Peristiwa itu merupakan satu tragedi yang
telah membentuk jiwanya menjadi keras bak kursani. Tak cair biar dilancip api
yang memijar.
Memang, malam itu dia ditangkap
basah bersama dengan Razman di dalam kereta. Tetapi bukan kerana berbuat
maksiat seperti yang telah dituduh oleh sebahagian besar masyarakat kampung.
Malam itu Zahirah terpaksa menumpang kereta Razman untuk pulang selepas
ketinggalan bas terakhir dari Pekan Jeniang yang jauhnya lebih kurang 28
kilometer dari kampung.
Sebagai jiran Zahirah rasa wajar
untuk menerima pelawaan Razman. Kebetulan Razman adalah rakan karib Razif.
Tidak ada apa-apa salahnya dia menumpang lebih-lebih lagi malam sudah terlalu
larut. Itu pun kerana beberapa buah teksi yang ditahan tidak mahu menghantarnya
pulang. Lantaran itu, dia terpaksa menumpang kereta Razman tanpa sedar yang
segalanya sudah dirancang begitu teliti oleh seseorang yang tidak suka akan
perhubungannya dengan Razif.
Setibanya mereka di hujung
kampung, mereka terpaksa berhenti. Kata Razman, keretanya kehabisan minyak.
Kebetulan tempat tersebut sungguh gelap, di pinggir hutan belukar tanah
simpanan kerajaan yang belum terusik untuk sebarang pembangunan.
“Ya Allah, macam ni Man? Aku
takutlah!” rungut Zahirah dengan wajah yang pucat. “Macam mana kalau tak ada
orang lalu di sini?”
“Sabarlah Irah!” pujuk Razman.
“Aku yakin, kalau ada orang lalu di sini, bolehlah aku tumpangkan kau atau
suruh beli minyak di pekan!”
“Kalau tak ada juga?” Zahirah
semakin gentar.
“Jawabnya, kita terpaksa tidur
dalam kereta ni!” Razman bersahaja.
“Jangan merepeklah, Man!” bantah
Zahirah tegas. “Biarlah aku jalan kaki pulang ke rumah!”
“Kau beranikah?” tanya Razman.
“Kau temanlah aku!” rayu Zahirah.
“Habis, macam mana dengan kereta
aku?” tanya Razman.
“Kenapa pula dengan kereta kau?
Kan tak ada minyak!”
“Yalah, tapi takkan nak biar di
sini semalaman?”
“Apa salahnya? Bukan ada orang
nak curi kereta buruk kau ni!”
“Huh, kereta buruk kau kata?
Buruk-buruk pun banyak orang berkenan, tau tak?” Razman ketawa.
“Siapa yang berkenan, Man! Aku
rasa yang berkenan mungkin penjual besi buruk saja!”
“Ooo... di sini rupanya tempat
kau orang buat maksiat rupanya ya?” tiba-tiba satu suara kasar lagi garau
kedengaran di luar kereta serentak suluhan lampu picit menyilau ke muka.
Zahirah terkelih beberapa orang lelaki berketayap putih sudah mengelilingi
kereta Razman.
“Keluar!!” tengking salah seorang
dari mereka.
Terketar-ketar Zahirah dan Razman
keluar.
“Kamu berdua akan dihadapkan ke
mahkamah syariah kerana berkhalwat dan buat maksiat dalam kereta di tempat
gelap!”
Zahirah seperti mahu menangis.
Dia ingin bersuara menegakkan hakikat sebenar namun lidahnya serasa terpotong
pendek. Mulutnya terkaku.
Mereka diheret ke masjid malam
itu juga. Ramai orang kampung yang hadir. Malam tulah Zahirah mendengar dia
dituduh sebagai jalang, perempuan pelacur, gadis tidak bermaruah dan pelbagai
lagi tuduhan yang amat pedih untuk diterima. Dan yang paling tidak munasabah, dia
telah dituduh berzina dengan Razman di dalam kereta sedangkan sewaktu diserbu,
semua AJK Masjid itu telah lihat dengan mata kepala sendiri mereka tidak
melakuan apa-apa pun.
Aku rebah, Razif! Duniaku rasakan
terlalu gelap waktu itu. Sekali gus pandanganku menjadi tidak keruan. Akhirnya
aku pengsan di tengah-tengah keriuhan suara orang-orang kampung.
Apabila aku sedar semula, aku
sudah berada di rumah. Sebaik aku membukakan mata, aku dicemuh, diseranah dan
dimaki hamun oleh ayahku. Dia terlalu malu dengan kejadian tersebut. Hilanglah
segala tempat untukku mengadu dan patahlah dahan untukku berpaut. Tiada lagi
pembelaan daripada sesiapa pun meski dari ayahku sendiri. Betapa mudahnya
kalian menerima cemuhan dan tuduhan orang tanpa sedikit pun menaruh rasa simpati
terhadapku, Razif! Aku lemas di tengah-tengah segara luas yang tidak bertepi.
Razif, mulutku berbuih
menerangkan cerita yang sebenar. Memang tiada siapa yang mahu mempercayainya
termasuk juga kau. Malah kau yang paling banyak sekali mencerca dan menghinaku.
“Sungguh aku tak sangka, Irah!
Entah gelaran apa yang harus aku berikan pada perempuan seperti kau. Aku sangka
kau seorang perempuan yang baik tapi rupa-rupanya jalang yang tak bermaruah!
Aku benci kau Irah. Aku benci nak tengok muka kau lagi!”
Begitulah kata-kata cemuhan yang
terbit dari bibir kau malam enam tahun yang lalu, Razif! Aku tidak pernah
melupakan setiap patah perkataan itu. Aku terlalu sukar untuk mempercayai
bahawa kau tergamak mengeluarkan kata-kata begitu terhadapku. Aku sekali-kali tidak
berkecil hati sekiranya kau memberi peluang kepada terlebih dahulu sebelum
membuat sebarang tuduhan. Tetapi, di mana sifat tolak ansur, sabar dan
kesopananmu malam itu? Kau menghukum seseorang tanpa memberi peluang kepadanya
membela diri. Aku sungguh sedih dengan sikapmu, Razif!
Barulah aku sedar, betapa hati
seorang lelaki sepertimu cepat benar berubah. Umpama kiambang di atas tasik
yang dibawa alun. Ke mana haluan alun, di situ ia terayun. Sepantas kilat
menyabung, cinta bertahun berkubur sekelip mata. Razif... pada malam itulah
mahligai impian kita ranap tanpa meninggalkan sebarang bekas. Aku bagai orang
gila, tidak dapat menerima kenyataan tersebut dengan rela.
Seminggu aku berkurung dalam
bilik. Makan dan minum tidak menentu. Seleraku lenyap dibawa arus penyesalan
yang tidak berpenghujung. Kesal kerana terlalu mudah menumpang Razman yang
akhirnya aku terjerumus ke dalam jerat yang amat beracun. Sesungguhnya jerat
itu sudah dipasang sejak lama. Sekadar menantiku untuk mencaing-caingkan
maruahku yang suci ini. Malam itu aku tidak berdaya untuk mengelak. Semuanya
sudah ditakdirkan Tuhan.
Aku terima segala-galanya dengan
redha dan pasrah kerana aku yakin, Allah tidak akan terus meranapkan aku di
lembah kehinaan. Suatu hari nanti, maruahku yang tercemar itu pasti akan
dijernihkan kembali. Neraca Tuhan itu maha adil, Razif!
Akhirnya, aku mengambil keputusan
meninggalkan kampung kelahiran ini demi mendamaikan segala rusuh yang
menghenyak jiwa. Aku bertekad untuk mengubah nasib di kota Kuala Lumpur demi
sebuah masa depan yang lebih gemilang. Aku benar-benar sudah tawar hati untuk
menetap di kampung halaman sendiri.
Lagipun, aku sudah tidak punya
sesiapa lagi dalam hidup. Mana mungkin aku mampu hidup setenang dan seriang
dulu. Kiri kanan depan dan belakang rata-rata kejian dan cemuhan yang
berkumandang dari mulut orang-orang kampung. Mereka terus mengumpat, mengeji
dan menggelar aku dengan pelbagai gelaran sumbang yang amat memedihkan telinga.
Semuanya kerana tragedi malam itu.
Tanpa restu sesiapa, aku berangkat
mengikut arah haluan langkahku. Kecuali ibuku yang mengiringi pemergianku
dengan jujuhan air mata yang membasahi pipi.
“Izinkan Irah pergi, mak! Kampung
ini bukan tempat yang sesuai untuk Irah lagi!” ujarku hari itu.
Ibuku tidak mampu berkata apa-apa
kerana jegilan mata ayah seperti mahu menelannya. Dia terlalu takut dengan ayah
yang begitu menyinga. Sewaktu aku melangkah meninggalkan halaman, ayahku
langsung tidak memandang wajahku. Betapa marahnya dia hanya Tuhan saja yang
tahu.
Enam tahun lamanya aku meredah
dunia perantauan. Pelbagai getir dan maung kutempuh dengan hati yang cekal dan
tabah. Dunia perantauan telah mengajar aku mengecap asam dan garam sebagai
rencah perjalanan hidup. Enam tahun lamanya aku belajar hidup sendiri dan
berdikari. Aku bekerja dan menyewa sebuah bilik. Di situ aku cuba mendamaikan
hatiku yang remuk redam itu.
Sesungguhnya di bumi milik Allah
yang luas terbentang ini telah dikurniakan dengan pelbagai sumber rezeki yang
melimpah-ruah. Aku mampu menyara hidupku di tengah-tengah kepesatan kota Kuala
Lumpur tanpa mengemis dari sesiapa.
Enam tahun juga aku belajar
menelan pahitnya hempedu. Aku belajar menghirup duka dan yang paling getir, aku
belajar merempuh arus rindu yang bergelora. Sukar amat aku melupakan wajahmu,
Razif! Sering saja datang menggangguku terutama kala aku kesepian dan
keseorangan di bilik sewaanku. Kau akan datang mengirap dengan senyum manis,
dengan kelembutan tutur kata dan kemurnian budi pekerti.
Aku bagaikan tidak berdaya untuk
mengusir wajahmu jauh dari diriku namun aku cekal juga. Aku berusaha melupakan
wajahmu itu dengan selalu membaca Al-Quran, berdamping dengan usrah yang selalu
diadakan di Masjid Negara dan juga menghadiri acara-acara keagamaan.
Sesungguhnya Razif, biarpun
hukuman yang engkau jatuhkan pada malam enam tahun yang lalu itu, hampir-hampir
memusnahkan sebahagian dari hidupku, namun engkau tetap kurindu separuh mati.
Malah tidak pernah wujud walau sebesar zarah sekali pun kebencian terhadapmu.
Aku cuba melupakan tragedi lara itu tetapi semakin aku cuba semakin membara
ingatan terhadapnya. Kadang-kadang aku terlalu sebak dan terharu lalu aku
menangis sepanjang hari.
“Irah, aku gembira engkau telah
pulang semula ke kampung ini!” Razif memecah kesepian pertemuan.
“Aku pun pulang dengan kegembiraan,
Razif!” Zahirah membalas dengan nada penuh sindiran.
Razif jelas terjeda seraya
menundukkan wajahnya merenung tanah merah di kaki jalan raya yang bertar
cantik. Angin petang nyaman berkesiuran diiring lajuardi yang indah di pundak
langit. Zahirah tahu, jejaka itu faham sindiran tajamnya. Memang Razif itu
bijak dan berminda kreatif, pandai menelah apa saja yang tersirat.
Zahirah memang mengakui. Razif
yang pernah menjadi kekasihnya itu memang seorang jejaka yang bijak lagi
tampan. Badannya tegap pagan, menyerlah pesona mata wanita. Berwibawa dan
berpendirian tegas.
Namun budi bahasa dan sifat
rendah diri dan tahu menghormati orang lain itu yang lebih menambat hati.
Meruntun cinta dan kasih yang asyik. Sepanjang percintaan mereka, Razif tidak
pernah mencalari hati Zahirah walau secoret cuma. Cuma pada malam enam tahun
yang lalu itu saja buat kali pertama mulut dan lidah jejaka itu terlalu lancang
dan biadap sekali mencerluskan tuduhan tidak berasas.
Cinta yang dipupuk dan dibajai
bersama adalah cinta yang ikhlas dan murni. Mereka tidak pernah melewati
batas-batas susila, adat dan agama. Pertemuan mereka membincangkan
perkara-perkara masa depan bersama. Namun, ada manusia yang tersalah tafsir
akan keikhlasan dan kemurnian cinta tersebut.
Manusia itu adalah ibu Razif
sendiri. Perempuan itu seolah-olah menolak ketentuan dan takdir yang sudah
ditetapkan oleh Allah. Cinta yang dijadikan Allah untuk hamba-Nya itu tidak
mengenal pangkat, darjat dan keturunan. Zahirah tahu, perempuan itulah yang
berusaha keras dengan pelbagai cara demi memisahkan cinta yang sudah bersemi
erat di jiwa anak tunggalnya sendiri.
Razman telah digunakan sebagai
umpan untuk membunuh keharmonian cinta kita, Razif! Aku tidak tahu berapa
banyakkah keping-keping RM biru ungu yang telah disumbatkan ke poket Razman
oleh ibumu malam itu sehingga lelaki itu tergamak menghancurkan maruah aku
sebagai seorang gadis kampung yang kesuciannya masih teguh aku pertahankan
hingga ke hari ini.
Ya Razif, perempuan yang bergelar
ibu itulah yang merancang semua tragedi busuk itu. Sekali gus mencemarkan nama,
maruah dan keindahan hidup yang aku dambakan.
Sungguh aku kesal, Razif!
Bukankah tidak ada cara lain lagi yang lebih baik untuk memisahkan kita dari
merancang pertuduhan tidak berpijak di bumi nyata itu? Bukankah berterus terang
itu antara cara yang paling baik dan terpuji? Tidak menjatuhkan maruah sesiapa,
tidak merosakkan nama sesiapa? Ibumu terlalu kejam, Razif! Aku masih waras dan
dapat menerima kenyataan andainya dia mahu kita berpisah secara baik. Aku tidak
kesal sekiranya dia memberitahu aku bahawa aku ini bukan menantu pilihannya.
Aku rela dan boleh berundur diri
secara terhormat tanpa rasa kecewa begini kerana aku masih mampu berdiri di
garis takdir dan ketentuan Tuhan. Tetapi, ibumu telah memilih jalan yang amat
bercanggah dengan sifat-sifat murni seorang manusia yang beragama. Jalan itu
bukan saja telah membunuh jiwaku malah nyaris-nyaris meragut nyawaku seandainya
aku gagal mengawal perasaan. Namun, aku masih bersyukur kerana tindakanku tidak
sejauh itu. Membunuh diri bukanlah jalan terakhir yang masih ada.
Razif, rupa-rupanya ibumu itu
ingin bermenantukan anak orang berada yang setaraf dengan kedudukanmu! Sedang
aku, anak seorang penoreh getah yang kotor dan jijik. Setiap hari bergelumang
dengan sekerap dan getah keping, amat jelek di pandangan mata ibumu. Aku madi
kerdil yang mahu terbang seiring kenyalang. Manakan setaraf. Itulah yang
menjadi sebab utama ibumu berusaha gigih mahu memisahkan perhubungan suci kita.
Yang menjadi mangsa paling hina
ialah aku, Razif! Bukan Razman dan bukan juga kau. Akulah seorang hamba Allah
yang lemah, yang menjadi mangsa keadaan dan objek memuaskan nafsu materialistik
perempuan syaitan yang kejam itu. Aku menjadi mangsa fitnah yang licik lagi
teratur. Konspirasi yang ibumu telah rancang bersama Razman begitu berjaya
sekali.
Akibatnya aku telah disingkir
oleh keluarga sendiri. Aku benar-benar merana dan menderita kerananya. Jiwaku
terseksa dan seluruh hidupku tertekan. Aku terhenyak dalam duka dan lara yang
terlalu sukar untuk sembuh. Wajar orang seperti ibumu dihukum bunuh kerana
fitnah itu sendiri telah membunuh jiwaku. Jasadku hidup tetapi hati dan kalbuku
mati reput dibaham sengsara. Pemfitnah sebenarnya adalah pembunuh, Razif!
Luka dan lara di hatiku ini
terlalu parah, Razif! Enam tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat namun
aku tetap gagal menyembuhkannya. Malah dendam yang menggulatinya bergejolak
subur, semakin hari semakin bersemarak berakar umbi di seluruh pojok diri.
Kau pun tahu, Razif! Malam itu
aku dihina, dikeji, dinista, dicemuh kerana dituduh berkhalwat dan berzina
dengan Razman, aku menerimanya dengan tangan terbuka tetapi segala tuduhan yang
telah dilemparkan itu terlalu berat dan amat memilukan. Sejahil-jahil aku pun
masih dapat membezakan antara yang halal dan haram. Masih tahu dosa dan pahala.
Sejak kecil lagi aku sudah diasuh
serta dididik dengan ajaran agama. Setiap gerak geriku berlandaskan tuntutan
agama. Sebagai anak Melayu pula, aku masih belum lupa adat dan susila bangsa.
Budaya bangsa kita kujunjung dan adatnya kusanjung sepenuh raga.
Kasihan Fitri, Razif! Dia seorang
lelaki yang baik, bekerja sepejabat denganku di kota Kuala Lumpur ini. Dia
menyayangiku seperti engkau pernah menyayangiku dahulu. Lelaki serba sederhana
itu sering mengambil berat tentang diriku. Aku sering menceritakan tentang
kisah silam kita dan dia sering pula menyuruh aku tabah, cekal dan redha.
Lupakanlah segala apa yang sudah terjadi, banyakkan berdoa semoga Allah
tenangkan hati dan mulakan sebuah hidup baru bersamanya. Namun, Fitri juga
gagal mengubah pendirianku untuk mencintai insan yang bernama lelaki. Pintu
hatiku seolah-olah sudah tertutup rapat untuk kaum sejenismu, Razif!
Akhirnya, aku menolak lamaran
pemuda itu tanpa sedikit pun rasa terkilan dan kesal. Bagiku, hati lelaki
semuanya sama. Cepat jatuh cinta dan cepat pula berubah bila-bila masa. Sekali
air bah sekali juga pantai berubah.
“Bukan semua lelaki begitu,
Irah!”
“Bagiku semua, Fitri!”
“Aku terlalu sedih dengan tukasan
bersifat prejudis itu!”
“Maaf, Fitri! Bukan niatku hendak
melukakan hatimu!”
“Habis, kenapa menolak lamaran
ikhlas ku ini?”
“Aku tidak menolak, Fitri! Tapi
hatiku masih lagi dihantui kenangan lama yang lara!”
“Lupakan itu semua, Irah! Hidup
kita bukan hanya semalam dan hari ini saja tetapi juga untuk esok yang entah
bagaimana lagi. Berilah aku peluang untuk mencorakkan hidupmu bersamaku dengan
warna-warna yang gemilang dan indah!”
“Terlalu sukar untukku terima dan
hadapi kehidupan hari esok, Fitri! Bagiku, kehidupan hari esok bermula hari
ini. Kalau hari ini sudah diselimuti warna-warna kelam, tak mungkin esok akan
berubah warna gemilang. Parut dan kesan kekelaman itu tetap akan membayanginya.
Kau faham maksudku?”
“Hati kau terlalu keras dan
tegar, Irah! Aku telah gagal biarpun sudah berbuih mulut ini memujukmu!”
“Maafkan aku, Fitri!”
“Aku akan tetap menunggumu, Irah!
Aku yakin, suatu hari nanti kau akan datang padaku juga. Kejujuran dan
keikhlasan tidak dapat dikalahkan oleh kekerasan dan kekuatan. Lambat laun
kejujuran dan keikhlasan akan menang juga!”
Aku tahu Fitri kecewa dengan
ketegaran hatiku tetapi aku sendiri tidak berdaya untuk berganjak dari
keputusan yang sudah aku buat ini. Dia sekadar kecewa kerana tidak berdaya
memiliki cintaku sedangku aku lebih kecewa lagi kerana nasi yang sudah
kusuapkan ke mulut, berderai dikitar silir.
“Irah, ibuku meninggal dunia
setahun yang lalu!” suara Razif tiba-tiba gesit melenyapkan lamunanku yang
bergeluyur di kota Kuala Lumpur.
Aku mengangguk perlahan. “Aku dah
tahu, Razif!”
“Sebelum dia meninggal dunia, dia
telah berpesan supaya aku mengahwini gadis yang aku cintai!” ujar Razif.
“Hanya itu?”
“Ya, Irah?”
“Bagaimana dengan kemaafan
dariku?”
Razif diam dan segera tunduk.
“Dia ingat, semudah itu aku akan
memaafkannya?”
“Lupakanlah perkara yang sudah berlalu
itu, Irah! Ibuku sudah pun meninggal dunia!”
“Tidak semudah yang engkau
sangkakan, Razif!”
“Biarlah aku yang memohon ampun
dan maaf bagi pihak ibuku!”
Aku terhimbau untuk ketawa sinis.
“Orang lain yang berdosa, orang lain pula yang nak tebuskan dosa? Hei, dari
ustaz mana kau belajar ni, Razif? Tak pernah pula aku dengar ada ilmu agama
yang macam tu...”
“Yang penting, kau dapat
memaafkan segala kesalahan dan kesilapan ibuku!”
“Sempatkah dia bertaubat sebelum
mati?” aku terus meluahkan sebahagian rasa dendam yang membuku sekian lama.
Lagi sekali Razif tunduk.
Aku sedar, aku tidak seharusnya
mendendami orang yang sudah meninggal dunia. Sewajarnya aku memaafkan saja
kesalahan insan yang sudah tiada itu tetapi sebelum aku melangkah meninggalkan
Razif di tepi jalan itu, aku perlu melampiaskan segala yang membara sejak lama.
“Irah, tunaikanlah hajat terakhir
arwah ibuku itu!” rayu Razif.
“Mengahwini orang yang kau
cintai?”
“Ya!” Razif angguk.
“Siapa?”
“Kau, Irah! Kaulah insan yang
paling aku cintai sejak dulu dan masih ke hari ini!” Suara Razif agak bergetar
namun tidak berupaya untuk mencuit hatiku.
“Percayalah kataku ini, Irah!”
“Tunaikanlah amanat arwah ibumu
itu tapi bukannya dengan aku,” aku bersahaja dalam sinis yang pekat.
Razif terjeda dan terkesima.
“Sekurang-kurangnya untuk
menghargai pengorbanan perasaan seorang ibu buat seorang anak tunggalnya!”
tokokku lebih sinis.
“Sebab itulah aku menunggu
kepulanganmu, Irah!” ujar Razif. “Aku gembira bila dapat tahu kau dah pulang
semula ke kampung. Enam tahun hidupku sepi tanpa kau. Aku benar-benar terasa
kehilanganmu selama ini. Marilah kita lupakan semua yang sudah berlalu dan bina
hidup baru selepas ini. Kasihanilah aku, Irah!” Semakin berani dan bersemangat
sekali mengeluarkan rasa hati sekali gus rayuan sukma.
Aku tersenyum hambar. “Maafkan
aku Razif! Kepulangan aku ni bukan untuk mengulangi semula musim-musim silam
yang indah. Ada datang berjumpa dengan kau hari ni sekadar untuk memberi
penjelasan sebenarnya aku memang tidak bersalah pada suatu malam enam tahun
yang lalu. Satu-satunya pengertian yang aku harapkan darimu. Engkau menderita
hanya kerana kehilangan aku tapi aku lebih menderita kerana kehilangan
segala-galanya - engkau, keluarga, maruah dan harga diri sebagai seorang gadis.
Namaku telah tercemar. Aku telah telan terlalu banyak cemuhan dan umpat keji.
Aku telah lemas di laut penghinaan dan remuk seluruh jiwaku di gaung malu!”
“Aku dah tahu segala-galanya
tentang kejadian malam itu, Irah! Sebab itulah aku tabah menunggu
kepulanganmu!”
“Sudah terlambat, Razif!”
“Tapi Irah, macam mana dengan
amanat arwah ibuku dan derita hatiku yang bakal aku tanggung ini?”
“Beginilah Razif, sementara aku
belajar untuk melupakan semua kenangan indah lalu, engkau belajarlah mencintai
gadis lain!”
Razif terkedu.
Dadaku sendiri sebak dengan
luahan kata-kata itu. Sayu dan jelu menyelubungi. Aku tidak pasti entah kenapa.
Sebelum babak yang seterusnya terjadi, aku segera berpaling dan terus mengatur
langkah meninggalkan Razif. Sejurus kemudian, dari kejauhan, sayup-sayup aku
mendengar suara lelaki itu memanggil-manggil namaku.
Sudah aku katakan, Razif! Hatiku
kini sudah keras, sekeras besi kursani. Aku terus mengatur langkah tanpa rasa
mahu berpaling walau sekilas. Aku tabah menyongsong warna senja yang kian tua
di pundak langit.
Aku sungguh puas kerana Razif
sudah tahu cerita yang sebenarnya terjadi malam enam tahun dulu. Nyata aku
tidak bersalah dan segala tuduhan itu tidak berasas langsung. Alhamdulillah,
Allah telah meletakkan kebenaran di mercu yang paling tinggi!
“Usahlah dikenangkan lagi
peristiwa hitam tu, Irah!”
Sapaan ibu gesit menempiarkan
segala ngeluyur fikiran Zahirah yang berjela-jela. Cepat-cepat diseka air mata
yang sudah mengalir di pipi. Wajah Mak Limah disorot sehingga perempuan separuh
umur menghilang di ruang dapur.
Sejurus kemudian, perlahan-lahan
Zahirah turun ke halaman. Dari situ, dia terus ke pangkin di bawah rumah.
Beberapa ekor anak ayam yang berkeliaran di kaki, dikuis-kuis dengan hujung
jari seraya pandangan mata jatuh ke hujung jalan. Fikirannya menerawang lagi...
Enam tahun aku meninggalkan ibu
dan ayah serta seorang adik yang amatku sayang. Selama itulah aku tidak
langsung menjengukkan diri, sekadar menitipkan khabar berita buat mereka.
Dengan berita-berita itu, aku kira ibu, ayah dan adikku tahu keadaan hidupku.
Aku sihat dan selamat di perantauan.
Selepas dua tahun aku menghilang,
ayah juga turut pergi meninggalkan keluarga. Pergi yang tidak akan kembali lagi
ke rahmatullah. Safiah adikku, mengirimkan telegram untukku di perantauan
tentang kematian ayah. Aku menerimanya dengan linangan air mata. Aku hanya
mampu berdoa dari jauh agar roh ayah akan ditempatkan di sisi orang-orang yang
beriman.
Kakiku meronta-ronta mengajakku
pulang untuk mengiringi jenazah ayah ke tanah perkuburan tetapi hatiku meronta-ronta
pula menghalang. Ia masih berdendam dengan perbuatan ayah. Bekas tapak kaki
ayah masih terasa melekat di mukaku. Tapak tangan keras kematu ayah masih
terasa bahang peritnya di seluruh tubuhku. Aku mendendami ayah kerana lebih
mempercayai cemuhan orang-orang kampung dari penerangan anaknya sendiri.
Hanya ibu seorang saja yang
mengerti perasaanku waktu itu. Tetapi, apakan daya, kudrat ibu terlalu lemah
untuk menghalang kemarahan ayah yang menggila. Ibu turut menjadi habuan tapak
tangan ayah kerana melindungi tubuhku. Seminggu selepas itu, aku meninggalkan
kampung halaman dan keluarga dalam keadaan hati yang amat sebak dan terharu.
Aku tidak tahan lagi dengan sikap orang-orang kampung.
Ke mana saja aku pergi, aku
dicebek dan diludah. Kehadiranku tidak dipedulikan malah mereka menjuih-juihkan
bibir masing-masing seolah-olah terlalu meluat dengan aku. Kala itu aku terlalu
hina sungguh di mata mereka umpama seekor anjing kurap yang masuk ke pekarangan
masjid. Begitu hina sekali aku waktu itu.
“Lama Kak Irah cuti?”
Suara adiknya Safiah yang
mencerlus tiba-tiba itu membebarkan lagi lamunan Zahirah. Gesit dia menoleh ke
arah Safiah yang sudah pun melabuhkan punggungnya di sisi. Pangkin papan yang
masih utuh biar sudah lebih enam tahun didirkan oleh arwah ayah mereka
berkeriut menahan berat tubuh dua gadis adik beradik itu. Enam tahu Zahirah
menghilangkan diri dari Safiah. Satu jangka waktu yang telah melarikan usia
adiknya itu menjadi seorang gadis sunti yang cantik. Keayuan yang diwarisi dari
ayah dan ibu. Macam Zahirah juga tentunya.
“Seminggu saja, Piah!” jawab
Zahirah. “Esok kak akan pulang semula ke KL.”
“Kenapa seminggu saja?” tanya
Safiah.
“Itu pun dah lebih dari cukup.
Lagipun, emak dan kau sihat. Cukup menyenangkan hati kakak!”
Ada sedikit bias kehampaan
terturap di wajah Safiah. Enam tahun berpisah dengan kakak tersayang, cuma
seminggu saja dapat bermesra. Terlalu singkat dirasakan.
“Tak usahlah sedih sangat, Piah!
Kalau ada masa kak akan pulang lagi!” Zahirah cepat memujuk. “Selepas ni, kak
akan pulang selalu. Hati kak dah seronok pulang ke kampung ni. Maruah kak sudah
pun bersih. Cerita silam yang sedih dulu, dah lama kak buang jauh-jauh dari
dalam diri. Kak betul-betul seronok sekarang!” Tubuh Safiah segera dipeluk
erat-erat. Terasa kemesraan begitu agung sekali meresap ke ruang dadanya.
“Tapi, kak Irah jangan lupa
pulang lagi bulan depan!” Safiah bersuara setelah agak lama masing-masing
mendiamkan diri. Perlahan-lahan Zahirah merungkaikan pelukan di tubuh adiknya.
“Kenapa, Piah? Tak puas bermesra
dengan kakak ke?” tanya Zahirah seraya tersenyum senang.
“Errrr, kakak tak marah kalau
Piah katakan sesuatu?”
“Katakanlah, apa dia?”
“Kak kena janji dulu!”
“Okey, kak janji!”
Safiah membisu beberapa jenak.
Bibir halusnya terkumat-kamit seolah-olah terlalu berat untuk mengeluarkan apa
yang sudah mahu dikhabarkan. Namun begitu, naluri ingin tahu Zahirah begitu
melonjak-lonjak untuk mengetahu pelawaan Safiah supaya dia pulang lagi bulan
depan. Wajah Safiah direnung dalam dan lama.
Safiah memalingkan mukanya ke
arah Zahirah. Mata dua beradik itu bertentangan. Riak mata Safiah kelihatan
berkaca. Zahirah disergap kehairanan dengan riak wajah adiknya itu.
“Kenapa diam saja ni, Piah?”
“Errr, Piah minta maaf kalau
berita yang nak Piah sampaikan ini melukakan hati kak!” Safiah mulai bersuara
namun agak gementar.
“Cakap sajalah apa yang Piah nak
cakapkan tu!” desak Zahirah bagaikan tidak sabar lagi dengan sikap acuh tak
acuh adiknya itu.
“Kak Irah nak tahu juga kenapa
Piah suruh pulang?”
Zahirah mengangguk-angguk.
“Baiklah!” Safiah menarik nafas
panjang.
Zahirah berasa lega seraya
menunggu dengan penuh minat.
“Sebenarnya Piah akan bertunang
bulan depan!” ujar Safiah membeliakkan biji mata Zahirah secara mendadak.
Safiah akan bertunang dan tak lama lagi dia akan mempunyai seorang adik ipar!
Zahirah tidak dapat membayangkan betapa gembiranya dia waktu itu. Sekali lagi
tubuh Safiah dipeluk erat.
“Tahniah, Piah! Kak doakan semoga
hubungan kalian akan berkekalan hingga ke anak cucu!” ujar Zahirah.
“Tapi kak belum tahu lagi siapa
bakal tunang Piah tu!” balas Safiah seraya tersenyum.
“Oh ya, kak terlupa sayang!”
Zahirah gesit menepuk dahi. “Siapa agaknya bakal adik ipar kak tu ye? Tentu
semanis Piah juga, kan?”
“Tapi...” Safiah tidak jadi
meneruskan.
“Katakan saja, kakak tak marah!”
“Piah takut kakak tak dapat
menerima kenyataan ni!”
“Kan kakak dah kata, kak seronok
sekarang. Beritahu saja, apa yang nak dirahsiakan lagi pada kakak?”
“Piah bimbang hati kak akan
tergores!”
“Eh, apa ni Piah? Buat kakak
resah saja. Cepatlah berterus terang!”
Safiah diam dan tunduk. Mendadak
saja hati Zahirah diruntun debar yang menggunung. Kenapa adikku masih berat
mahu meluahkan segala yang menjadi teka teki benakku? Wajah Razif tiba-tiba
saja menjelma di ruang mata. Apakah lelaki ini yang bakal menjadi pilihan
adikku? Pilihan ibu? Barangkali juga, tak dapat rotan, akar pun berguna, tak
dapat kakak, adik pun berguna juga. Argh...
Seandainya ini menjadi kenyataan,
bagaimana dengan aku? Apakah aku akan terus meninggalkan lagi kampung ini? Hati
Zahirah tiba-tiba menjadi tidak keruan. Pelbagai bayangan ngeri bergentayangan
di ruang dadanya.
“Kak...” suara Safiah mencerlus
agak lirih.
“Katakan Piah... siapa lelaki
itu!” Zahirah sudah tidak sabar lagi menunggu kebisuan Safiah dari terus
menggelodak hati. Bahu Safiah gesit digoyang-goyang. Debar jantungnya kian
bergemirap kasar dan kencang.
Tiba-tiba sepasang tangan
mengusap lembut bahu Zahirah. Rupanya sudah lama ibu mereka mengikuti perbualan
dua beradik itu. Pandangan Zahirah beralih ke wajah ibunya. Hatinya berdoa
supaya ibunya itu tidak terus menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya. Dia
benar-benar inginkan kepastian.
Berterus teranglah, dia sudah
bertekad akan menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Dia tidak akan
merobohkan sebuah masjid yang bakal dibina oleh adikknya sendiri. Walau sepahit
mana sekali jadam yang akan tersumbat ke mulutnya, dia akan telan juga. Dia
tidak rela Safiah menerima nasib yang serupa pernah dialaminya dulu.
“Adik kau akan bertunang dengan
Razman, Irah!” Perlahan suara Mak Limah memecah keheningan suasana serentak
Safiah menyembamkan mukanya ke ribaan Zahirah.
“Betulkah Piah?” Zahirah merayu
kepastian seraya mengusap-ngusap rambut Safiah.
“Ya kak! Piah minta maaf, kak!
Piah minta ampun!” suara Safiah tertahan-tahan dalam tangisan.
Sekilas dunia dirasakan sungguh
pilu dan sayu. Kotak memori Zahirah berkocak kembali. Ya Allah, bagaimana harus
aku berdepan dengan adik iparku yang pernah berkomplot mengecaikan
kebahagiaanku dulu? Bagaimana harus aku lalui hari-hari mendatang dengan adikku
sendiri? Suaminya? Anak-anaknya? Ya Allah...
Zahirah memekup mukanya dengan
telapak tangan. “Ya Tuhan Yang Maha Pengasih... tunjukkanlah jalan hidup yang
mendamaikan. Aku lemas dalam kenyataan ini. Razif dan Razman adalah dua orang
lelaki yang telah membuatkan hatiku menjadi keras bak besi waja kursani.
Merekalah insan yang sama-sama merosakkan kedamaian jiwaku selama ini!” hatinya
merintih sendiri. Sebak yang menyekang menyebu di ruang dada.
Tidak dia sedar, tangan Safiah
gesit dicapai. Digenggam kemas. Air mata Zahirah terus mengalir deras menjujuh
di pipi. Terasa keras besi waja kursani hatinya yang dipertahankan selama ini,
berderai jatuh satu persatu. Hari terus menyongsong warna senja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan