Ahad, 31 Disember 2023

MENGHINA DIRI ITU AMALAN HATI

SMAHADZIR

MERASAKAN diri hina itu satu sifat yang mulia. Ia satu dari sifat kehambaan. Ia timbul dari merasakan bahawa Tuhan itu Maha Mulia. Merasakan Tuhan itu Maha Mulia ialah satu dari rasa-rasa bertuhan. Sebaik sahaja kita dapat merasakan Allah SWT itu Maha Mulia, maka secara spontan kita akan merasakan bahawa diri kita itu terlalu hina di sisi-Nya. Diri kita ini terlalu lemah tanpa bantuan dari Allah. Diri kita ini tiada apa-apa jika Allah tidak menghulurkan tangan-Nya untuk membantu.

Lawannya ialah rasa diri mulia. Ini satu sifat yang tercela. Rasa diri mulia bukan satu sifat kehambaan tetapi ia lahir dari sifat ketuanan yang bersarang di hati kita. Kita rasa kita tuan. Kita rasa kita lebih dari orang lain. Rasa diri tuan itu syirik khafi (syirik tersembunyi) hukumnya. Kita sudah hampir hendak menyamakan kedudukan dan taraf kita dengan Tuhan. Kita hendak pakai apa yang menjadi pakaian Tuhan. Ia tumbuh dari sifat kibir, ego, angkuh dan sombong.

Sifat kibir, ego, angkuh atau sombong ini, semua orang ada. Hanya ada yang kuat mengawalnya dan ada yang lemah mengawalnya. Kibir atau ego ini ibarat harimau yang sedang tidur. Bagi orang yang kuat mengawalnya, kalau dicabar, harimau itu akan terjaga tetapi ia tidak menerkam dan tidak membaham mangsanya. Tetapi bagi orang yang lemah mengawalnya, kalau dicabar, akan marah dan akan bertindak terhadap orang yang mencabarnya.

Lebih hina kita rasakan diri kita di sisi Tuhan, maka lebih tajam dan lebih mendalamlah sifat kehambaan kita dan lebih tinggilah darjat kita di sisi Tuhan. Sebaliknya, lebih mulia kita rasakan diri kita, maka rosaklah sifat kehambaan kita dan hinalah kita di sisi Tuhan.

Hina diri itu ialah amalan hati. Tidak payah disebut-sebut dan tidak payah ditunjuk-tunjuk. Kalau disebut-sebut, takut-takut ianya bukan datang dari hati. Ini sumah namanya. Kalau ditunjuk-tunjuk dan ia bukan datang dari hati, maka ini riyak pula namanya.

Dalam kita menghina diri, tidak payah kita tunjuk kotor seperti menyapu kotoran atau najis ke tubuh badan kita contohnya. Ini sudah jatuh haram. Ramai orang tunjuk kotor seperti peminta sedekah dan kaki dadah tetapi hati mereka penuh dengan ego dan keangkuhan. Mudah sahaja mereka ini menipu manusia dan berbuat maksiat kepada Tuhan.

Orang yang merasa dirinya mulia, sebenarnya di sisi Tuhan adalah hina. Ini kerana bagi Tuhan, sepertimana yang disebutkan-Nya dalam Al-Quran; orang yang mulia itu ialah orang yang bertakwa. Di mana kemuliaan orang bertakwa? Kemuliaan itu letak pada hatinya. Hati yang cukup tinggi rasa hamba dengan Tuhannya. Rasa hamba itu ada berbagai dan yang paling menonjol adalah rasa hina dengan Tuhan.

Rasa hina ini, biasanya ia menjadi subur di dalam sembahyang. Bila kita sembahyang, terutama pada waktu sujud, pada waktu itulah benar-benar dirasakan diri kita ini terlalu hina di sisi Pencipta-Nya. yang dirasakan dalam hatinya walaupun sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata tetapi bolehlah dimaksudkan sebegini: “Aku ini hina, wahai Tuhan… Kau jadikan aku daripada tanah. Aku ini hina, Tuhan… Kau jadikan aku daripada setitis air mani yang hina. Aku ini hina, Tuhan… Aku hina seperti najis. Kau Tuhan yang Maha Tinggi, aku hamba yang hina. Aku menghina diri di hadapan-Mu Tuhan dan itulah yang selayaknya buat aku sebagai hamba-Mu.”

Rasa hina seperti inilah yang dipandang Tuhan. Rasa seperti inilah yang membuatkan kita dimuliakan Tuhan. Kita tidak minta kemuliaan itu tetapi Allah muliakan kita. Allah iktiraf yang kita itu mulia. Kita dalam kemuliaan di Akhirat, walau di dunia belum tentu. Mungkin manusia memandang kita hina tetapi Tuhan memandang kita mulia. Orang seperti ini, kalau ditakdirkan menjadi pemimpin, rasa hina inilah yang dibawa dalam memimpin. Dia tidak sombong malah sangat berkasih sayang dengan anak buahnya. Cakapnya mesra dan berlemah-lembut. Dia tidak minta dimuliakan biarpun anak buah memuliakannya.

Malah, jika dia tidak dimuliakan oleh mereka, dia tidak terasa hati. Sama sahaja hatinya sama ada dia diberi layanan istimewa atau tidak. Tenang sahaja hatinya biarpun dia tidak dipuji atau disanjung. Pujian atau sanjungan hanya akan mencemaskan hatinya kerana takut-takut dia tidak layak menerimanya. Kalau dia ditakdirkan kaya, dia tidak bermegah-megah dengan kekayaannya. Digunakan kekayaannya itu untuk membantu perjuangan Islam. Juga kepada orang-orang yang memerlukan bantuan.

Samalah juga jika dia ilmuan atau ulamak, dia tidak sombong dengan ilmunya. Dia mengajar dan mendidik tetapi penuh berhikmah. Dia tidak suka menunjuk-nunjuk yang dia itu seorang ilmuan atau ulamak. Dia bercakap bila perlu sahaja. Cakap-cakapnya tidak membuatkan orang sakit hati kepadanya.

Begitulah sifat-sifat orang yang merasa diri hina. Tidak kira apa statusnya, walau diberi kelebihan oleh Tuhan, dirinya tetap merasa hina di sisi Tuhan. Rasa inilah yang menjadikan dia mulia di sisi Tuhan. Orang yang tidak ada rasa seperti ini, jangankan Tuhan, manusiapun tidak suka kepadanya.

Tetapi janganlah pula kita merasa diri kita hina dan tidak berguna di sisi manusia dan makhluk. Sifat begini sangat ditegah oleh Allah SWT. Ia merupakan sifat terkeji yang patut dijauhi. Firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu takut pada seseorang makhluk tapi takutlah kepada-Ku.” (surah Al-Maidah: 44). “Janganlah kamu rasa terhina dan sedih padahal kamulah yang tinggi selagi kamu beriman.” (surah Ali Imran: 139)

Rasa hina dan rasa lemah hanya dibenarkan oleh Allah SWT kepada kita ialah terhadap diri-Nya sahaja. Kita diperintahkan supaya berasa hina dan lemah hanya di sisi Allah. Kita tidak boleh merasa hina dan lemah di sisi manusia dan makhluk yang lain. Tiada sebab mengapa kita mesti melihat ada manusia lain lebih hebat dari kita sehingga kita takut dan rasa terhina di hadapannya.

Jangan sampai kita menghina diri pada sebarang makhluk. Kerana di sisi Allah, manusia itu sama saja kecuali hamba hamba-Nya yang bertakwa. Orang yang bertakwa lebih mulia daripada orang yang tidak bertakwa. Siapa yang lebih takwanya, lebih tinggilah darjatnya di sisi Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (surah Al-Hujarat: 13)

Maka kalau begitu tidak boleh kita mengukur kemuliaan seseorang kerana ilmunya, jawatan, kekayaan, keturunan dan lain-lain lagi. Lagilah tidak boleh kita merasa diri hina, lemah dan kurang di hadapan seseorang yang lebih tinggi jawatannya, hartanya, kekayaannya atau ilmunya dari kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan