Selepas bersarapan pagi di hotel, tepat jam 9.00 pagi, delegasi Selangor dibawa ke Saung Angklung Udjo yang berlokasi di Jalan Padasuka Nombor 118, Pasirlayung, Cibeunying Kidul, Kota Bandung. Saung of Angklung atau Saung Angklung Udjo ini adalah sebuah sanggar budaya yang terkenal di Bandung, terutama sebagai pusat pembelajaran dan persembahan seni angklung. Sanggar ini juga dikenali sebagai salah sebuah tempat persembahan angklung terbaik di Indonesia. Di sini ada sebuah pentas, ruang persembahan dan juga tempat duduk untuk para pengunjung menyaksikan persembahan yang diadakan.
Persembahan angklung di Saung
Angklung Udjo
Di sanggar ini, para gelegasi Selangor
dipersembahkan dengan pelbagai kesenian yang berasaskan angklung. Persembahan
pertama ialah permainan muzik angklung secara beramai-ramai oleh kanak-kanak
junior yang berumur antara 8-15 tahun. Mereka mendapat pendidikan di Saung
Angklung Udjo sejak kecil dan sering membuat persembahan untuk para pengunjung.
Persembahan kedua berupa Tarian Topeng khas Cirebon dari tiga orang gadis
remaja Sunda.
Menurut Teteh Milah
yang sudah lebih 10 tahun sebagai pengacara majlis di Saung Angklung Udjo,
Tarian Topeng Cirebon adalah salah sebuah tarian di wilayah kesultanan Cirebon.
Tarian topeng bermula sejak era Jawa Kuno di Jawa Timur. Pada masa-masa selanjutnya
berkembang dan menyebar ke Jawa Tengah, Cirebon bahkan juga Banjar dan Kutai.
Tarian Topeng Cirebon berkembang di daerah Cirebon termasuk Subang, Indramayu,
Jatibarang, Majalengka, Losari, dan Brebes. Disebut tarian topeng kerana
penarinya menggunakan topeng sewaktu menari. Dalam pementasan Tarian Topeng
Cirebon, penarinya disebut sebagai dalang, sebab mereka memainkan karakter
topeng-topeng tersebut.
Teteh Milah
Tarian topeng ini
banyak sekali ragamnya dan mengalami perkembangan dalam aspek gerakan, juga
cerita yang ingin disampaikan. Kadang-kadang tarian topeng dipsersembahkan oleh
seorang penari tarian solo, atau boleh juga ditarikan oleh beberapa orang.
Thomas Stamford
Raffles dalam bukunya yang berjudul The
History of Java mendeskripsikan bahawa kesenian topeng Cirebon merupakan
persembahan cerita Panji dari Jawa
Timur di mana dalam satu kumpulan kesenian topeng terdiri dari dalang (yang
menarasikan kisahnya) dan enam orang pemuda yang mementaskannya diiringi oleh
empat orang pemuzik gamelan (bahasa Cirebon: Wiyaga)
Udjo Ngalagena, pengasas Saung
Angklung Udjo
Tarian Topeng Cirebon
pada zaman dahulu biasanya dipentaskan menggunakan tempat terbuka berbentuk
separuh lingkaran, misalnya di halaman rumah, di blandongan (khemah atau tenda pesta) atau di bale (pentas) dengan obor sebagai sumber penerang, tetapi dengan
berkembangnya zaman dan teknologi, Tarian Topeng Cirebon pada masa moden juga
dipersembahkan di dalam bangunan dengan lampu elektrik sebagai tata cahayanya.
Dalam Tarian Topeng
Cirebon terdapat beberapa gaya tarian yang telah diakui secara adat. Gaya-gaya
ini berasal dari kampung-kampung asli tempat di mana Tarian Topeng Cirebon
lahir dan juga dari kampung lainnya yang menciptakan gaya baru yang secara adat
telah diakui bebas dari gaya asalnya.
Tarian Topeng Cirebon
Seterusnya, tentang
Saung Angklung Udjo, menurut Teteh Milah, sanggar ini didirikan oleh Ngalagena
Udjo pada tahun 1966, yang juga merupakan salah sebuah tempat mempromosikan dan
mengembangkan kesenian angklung sebagai instrumen muzik dan budaya Indonesia.
Udjo Ngalagena atau sering juga dipanggil Mang Udjo adalah seorang seniman dan
pemain angklung yang terkenal, yang telah banyak memperkenalkan angklung ke
berbagai belahan dunia. Saung Angklung Udjo sekarang ini telah menjadi tempat
yang populer bagi pelancong yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang seni
angklung dan menyaksikan persembahannya.
Saung Angklung Udjo
menyajikan persembahan angklung yang memukau, di mana para pemain angklung
tampil dengan penuh kehebatan dan keterampilan dalam memainkan instrumen
tersebut. Persembahan yang ada di sini juga menampilkan berbagai tarian dan
muzik tradisional Indonesia. Sehingga menjadi salah satu tempat yang menarik
untuk dikunjungi bagi pelancong domestik atau mancanegara yang ingin mengetahui
lebih jauh tentang budaya Indonesia.
Persembahan tarian dan angklung
di Saung Angklung Udjo
Seni angklung sendiri
merupakan salah satu bentuk muzik tradisional yang berasal dari Indonesia.
Instrumen utama dalam seni angklung adalah sebuah alat muzik berbentuk buluh
yang disebut angklung. Angklung terdiri dari beberapa batang buluh yang disusun
secara bersama-sama dan dipasang pada sebuah bingkai yang disebut sebagai jegog.
Selain menyajikan
persembahan angklung, Saung Angklung Udjo juga menawarkan berbagai kegiatan
lain, seperti workshop angklung,
pembelajaran angklung, dan pengajaran tentang sejarah dan asal-usul angklung.
Memang tersedia berbagai macam kegiatan menarik yang boleh dilakukan oleh
pengunjung di sini. Mulai dari pembelajaran tentang cara memainkan angklung,
menyaksikan persembahan angklung, dan juga mencicipi makanan khas Sunda yang
disajikan di tempat ini.
Selain itu, Saung
Angklung Udjo juga menyediakan berbagai macam produk angklung yang boleh dibeli
oleh pengunjung sebagai kenang-kenangan. Tempat pelancongan ini adalah salah
satu tempat yang wajib dikunjungi bagi pelancong yang berkunjung ke Bandung. Dengan
mengunjungi tempat ini, pengunjung dapat mempelajari lebih lanjut tentang seni
angklung serta menyaksikan persembahan langsung dari para ahli angklung.
Kanak-kanak berumur antara 8-12
tahun sudah mahir bermain angklung di Saung angklung Udjo
Menyentuh sejarah
hidup pengasas Saung Angklung Udjo, menurut Teteh Milah, Udjo Ngalagena yang
juga dikenali sebagai Mang Udjo adalah seniman unggul angklung Indonesia, anak
keenam dari pasangan Wiranta dan Imi. Pada usia antara empat hingga lima tahun,
Udjo Ngalagena sudah akrab dengan angklung berlaras pelog dan salendro yang
kerap dimainkan di lingkungannya dalam acara mengangkut padi, arak-arak
khitanan, peresmian jambatan, dan acara-acara yang melibatkan keramaian
lainnya.
Berdirinya Saung
Angklung Udjo tidak dapat dipisahkan dari peranan Udjo Ngalagena yang boleh
dikatakan sangat erat kaitannya dengan kajian tentang biografi beliau dan
keluarga. Selain belajar angklung, beliau juga mempelajari pencak silat,
gamelan dan lagu-lagu daerah dalam bentuk kawih
dan tembang. Beliau mempelajari lagu-lagu bernada diatonis berupa lagu-lagu berbahasa Indonesia dan Belanda.
Bakat serta
kemampuannya makin berkembang ketika beliau mulai terjun sebagai guru kesenian
di beberapa buah sekolah di Bandung. Untuk mempertajamkan lagi kemampuannya,
Udjo Ngalagena telah mendatangi orang yang pakar dalam bidangnya. Teknik
permainan kacapi dan lagu-lagu daerah
dipelajari beliau dari Mang Koko. Gamelan dipelajari dari Raden Machjar Angga
Koesoemadinata, dan untuk angklung do-re-mi
(diatonis) beliau mendapat bimbingan dari Pak Daeng Soetigna (pencipta
angklung bernada diatonis).
Sejak kecil kanak-kanak Indonesia
diserapkan sikap mencintai budaya bangsa
Pengetahuan-pengetahuan
tersebut kemudiannya diolah dalam bentuk pakej persembahan untuk para pelancong
dengan mengutamakan material sajian angklung di sanggarnya iaitu di Saung
Angklung Udjo. Kewujudan sanggar ini merupakan sebuah sarana bagi Udjo Ngalagena
mencurahkan jiwa kependidikan yang dimilikinya melalui seni angklung, sekali
gus sebagai sarana penyaluran jiwa kewirausahaannya dengan menjual persembahan
juga menjual alat muzik buluh.
Menurut Teteh Milah
lagi, tetamu-tetamu luar dan dalam negeri berdatangan setiap hari (pagi dan
petang) untuk menikmati sajian persembahan kesenian tradisional berkualiti
tinggi khas Jawa Barat, kadang-kadang para tetamu atau pengunjung ini akan ikut
larut dalam permainan angklung dan tarian kanakkanak juga para remaja yang
terlibat. Di sanggar Saung Angklung Udjo juga dipersembahkan Wayang Golek. Ini
semua mampu membuatkan para pengunjung berasa takjub untuk datang berkali-kali
ke sini.
Persembahan kedua di
sanggar Saung Angklung Udjo ialah dari pelajarpelajar junior sebuah sekolah
dasar berupa kompilasi beberapa buah lagu Sunda yang diberi tajuk Bunga Boneka. Seterusnya nyanyian dalam
bahasa Sunda oleh Citra Puja, seorang penyanyi budaya Kumpulan Alunan Rumpun
Bambu (ARUMBA). Citra Puja merupakan antara mantan pelajar di Saung Angklung
Udjo, berkecimpung di sanggar ini sejak berumur 8 tahun lagi, menyampaikan
lagu-lagu Sunda. Beliau mula menyanyi di depan khalayak sewaktu berumur 9 tahun
dan kini Citra Puja sudah berusia 30 tahun. Begitulah Indonesia melahirkan
citra seorang penyampai budaya bangsanya di pentas dunia.
Citra Puja, penyanyi lagu Sunda
dari Kumpulan Alunan Rumpun Bambu
(ARUMBA)
Menyentuh soal Wayang
Golek yang dipersembahkan di sini, Teteh Milah menjelaskan bahawa umumnya
wayang ini sering dipentaskan di wilayah Parahyangan, Jawa Barat dengan
menggunakan Bahasa Sunda. Namun wayang ini juga dipentaskan di luar wilayah
tersebut seperti di Brebes dan Cilacap di Jawa Tengah. Watak yang dimainkan
dalam Wayang Golek adalah kisah Mahabharata dan Ramayana. Wayang Golek ini
dipercayai mulai berkembang di Jawa Barat sejak abad ke-19, dipelopori oleh
Bupati Bandung Wiranatakusumah III. Persembahannya pada waktu itu dikhususkan
untuk kaum menak (bangsawan), sebelum
akhirnya menyebar luas dalam kalangan masyarakat Sunda.
Kehadiran Wayang Golek
tidak dapat dipisahkan dari kewujudan wayang kulit. Penyebaran wayang di Jawa
Barat bermula pada masa pemerintahan Raden Patah dari Kerajaan Demak, kemudian
disebarluaskan para Wali Songo. Termasuk Sunan Gunung Jati yang pada tahun 1568
memegang kendali pemerintahan di Kasultanan Cirebon. Beliau memanfaatkan
persembahan wayang kulit sebagai media dakwah untuk penyebaran agama Islam.
Watak-watak Wayang Golek dalam
kisah Mahabharata dan Ramayana
Sekitar tahun 1584, di
Jawa Tengah, Sunan Kudus dari Dewan Wali Songo mencipta Wayang Golek Pertama.
Dalam perjalanan sejarahnya, persembahan Wayang Golek mula-mula diadakan oleh
kaum bangsawan. Terutama peranan para bupati di Jawa Barat, mempunyai pengaruh
besar terhadap berkembangnya Wayang Golek tersebut. Pada awalnya persembahan
Wayang Golek diselenggarakan oleh para priyayi
(kaum bangsawan Sunda) di lingkungan Istana atau Kabupaten untuk kepentingan
peribadi mahupun untuk keperluan umum.
Menurut Teteh Milah,
persembahan Wayang Goleh dilakukan pada siang hari. Wayang ini tidak memerlukan
kelir atau tirai. Bentuknya
menyerupai patung yang dibuat dari kayu (bukan dari kulit sebagaimana wayang
kulit). Jadi, seperti golek
atau patung. Oleh kerana itu, ia disebut sebagai Wayang Golek.
Patung-patung Wayang Golek yang
terdapat di Saung Angklung Udjo
Ada empat jenis Wayang
Golek, iaitu wayang golek cepak, wayang golek purwa, wayang golek menak dan
wayang golek moden. Wayang golek papak (cepak) terkenal di Cirebon dengan
cerita babad dan legenda serta
menggunakan bahasa Cirebon. Wayang golek purwa dengan cerita Ramayana Mahabrata. Wayang golek menak
dengan cerita Amir Hamzah. Manakala, wayang golek moden adalah wayang golek
kreasi baru dengan menggabungkan teknologi moden dalam persembahan seperti
asap, pencahayaan warna-warni dan lain-lain lagi.
Beberapa jenis Wayang
Golek yang populer ialah Wayang Golek gaya Sunda dengan cerita purwa, Wayang
Golek gaya Cirebon dengan cerita purwa, cepak dan menak, Wayang Golek gaya
Yogyakarta dengan cerita menak, Wayang Golek gaya Surakarta dengan cerita
menak, Wayang Golek gaya Kebumen dengan cerita menak dan Wayang Golek gaya
Tegal dengan cerita purwa dan menak.
Wayang Golek dibuat
dari kayu Albasia atau kayu Lame. Cara pembuatannya adalah dengan meraut dan
mengukirnya, hingga menyerupai bentuk yang diinginkan. Untuk mewarnai dan
mengukir mata, alis, bibir dan motif di kepala wayang, digunakan cat duko. Cat
ini menjadikan wayang kelihatan lebih cerah. Pewarnaan wayang merupakan
bahagian penting kerana boleh menghasilkan berbagai karakter watak. Adapun
warna asas yang biasa digunakan dalam wayang ada empat iaitu merah, putih,
perada dan hitam.
Dalang sedang mempersembahkan
Wayang Golek di Saung Angklung Udjo
Menurut Teteh Milah,
Wayang Golek sebagai satu kesenian tidak hanya mengandungi nilai estetika
semata-mata, tetapi juga meliputi keseluruhan nilai-nilai yang terdapat dalam
masyarakat pendukungnya. Nilai-nilai itu disosialisasikan oleh para seniman dan
seniwati pedalangan yang mengemban kod etika pedalangan. Kod etika pedalangan
tersebut dinamakan ‘Sapta Sila Kehormatan Seniman Seniwati Pedalangan Jawa
Barat’.
Begitulah semaraknya
seni dan budaya Indonesia di Saung Angklung Udjo. Jiwa penghibur Ngalagena Udjo
mampu menyatukan antara kesenian, kanakkanak dan lingkungan menjadi sebuah
sajian persembahan yang harmonis di depan para pengunjungnnya.
Pelbagai patung Wayang Golek yang
dijual di Saung Angklung Udjo
Kepiawaian dan
pepakaran Ngalagena Udjo ternyata menurun kepada anakanaknya. Awal tahun 90-an
mulailah era anak-anaknya yang meneruskan Saung Angklung Udjo. Lantaran keadaan
kesihatan Ngalagena Udjo yang tidak mengizinkan, beliau mulai jarang memimpin
persembahan, hanya sesekali beliau muncul di atas pentas sekadar untuk
mengucapkan salam kepada para pengunjung dalam berbagai bahasa iaitu Inggeris,
Belanda, Perancis, Jerman serta bahasa negara lainnya.
Sepeninggalan
Ngalagena Udjo, Saung Angklung Udjo diteruskan oleh anakanaknya. Tidak ada yang
berubah, Saung Angklung Udjo tetap menjadi pilihan ramai untuk dikunjungi sama
ada dari dalam ataupun luar negeri.
Pengakhir persembahan, para pengunjung diajar oleh salah seorang anak
lelaki Ngalagena Udjo iaitu Pak Yayan Udjo cara-cara bermain angklung. Pak
Yayan Udjo berdiri di tengah-tengah ruang pentas dengan para pengunjung diberi
seorang sebuah angklung Menurut Pak Yayan Udjo, angklung adalah alat muzik tradisional
dari Jawa Barat. Cara memainkannya tergolong mudah, hanya menggoyangkannya
sehingga menghasilkan suara. Dari beberapa alat muzik asli Indonesia, angklung
didaftarkan sebagai Masterpiece of Oral and Intangible Heritage of Humanity
dari UNESCO sejak November 2010.
Pak Yayan Udjo mengajar para
pengunjung bermain angklung
Kata Pak Yayan Udjo,
angklung adalah alat muzik yang dibuat dari susunan beberapa batang buluh.
Dalam sejarah Kerajaan Sunda (abad 12-16), angklung dimainkan untuk memuja Nyai
Sri Pohaci sebagai lambang Dewi Sri (dewi padi). Manakala dalam Kidung Sunda diceritakan bahawa angklung
digunakan untuk menyemangati mereka sewaktu peperangan.
Angklung mulai
dikenali pada abad-19 melalui tangan seorang seniman. Beliau menggunakan alat
muzik ini untuk pertunjukkan teater dan wayang. Seiring berjalannya waktu,
angklung akhirnya dikenali oleh dunia. Sebuah kumpulan seniman Indonesia yang
dipimpin oleh Daeng Soetigna membawa angklung ke luar negeri dan tampil di
Paris pada tahun 1938. Pada waktu itu, Indonesia masih dijajah oleh Belanda.
Pak Yayan Udjo, anak lelaki
Ngalagena Udjo
Menurut Pak Yayan
Udjo, ada empat jenis angklung yang perlu diketahui iaitu Angklung Dogdog
Lojor, Angklung Kanekes, Angklung Gubrag dan Angklung Padaeng. Angklung Dogdog
Lojor boleh ditemui di sekitar Gunung Halimun, Jawa Barat, yang digunakan oleh
masyarakat Kesepuhan Pancer atau kesatuan adat Banten Kidul. Mereka menggunakan
angklung ini untuk mengiringi ritual bercucuk tanam dalam tradisi Dogdog Lojor.
Semenjak agama Islam
masuk ke wilayah tersebut, kesenian Angklung Dogdog Lojor juga digunakan untuk
mengiringi majlis perkahwinan dan khitan. Diperlukan enam instrumen dalam
kesenian tersebut iaitu 2 buah dogdog lojor dan 4 buah angklung besar yang
terdiri dari angklung gonggong, kingking, panembal, dan inlock.
Angklung Kanekes pula
boleh ditemui di daerah Banten. Alat muzik ini dimainkan oleh masyarakat
Kanekes, Baduy untuk mengiringi aktiviti bercucuk tanam. Meskipun angklung yang
mereka miliki kuno, namun masyarakat Baduy tetap melestarikannya sewaktu menanam
padi di bendang seperti yang dicontohkan oleh para leluhur. Sayangnya, tidak
semua orang Baduy boleh membuat angklung. Hanya mereka yang berketurunan
pembuat angklung yang berhak membuat alat muzik tersebut.
Kumpulan Tunas Sinar Cempuling SK
Sungai Lang turut mempelajari cara-cara bermain angklung yang diajar oleh Pak
Yayan Udjo
Angklung Gubrag pula
adalah alat muzik tertua yang digunakan untuk menghormati dewi padi. Angklung
ini terdapat di Kampung Cipinang, Cigudang, Bogor, Jawa Barat. Sewaktu Kampung
Cipinang dilanda musim kemarau, Angklung Gubrag pun muncul. Angklung ini digunakan
untuk ritual meminta air kepada Dewi Sri (dewi padi) yang enggan menurunkan
hujan. Hingga kini, Angklung Gubrag masih digunakan dalam kegiatan melak pare (menanam padi), ngunjal pare (mengangkut padi), dan ngadiukeun (menempatkan) ke leuit (jelapang padi).
Manakala Angklung
Padaeng pula dipopulerkan oleh Bapak Angklung Diatonis Kromatis iaitu Daeng
Soetigna pada tahun 1938. Angklung ini merupakan bentuk inovasi yang dilakukan
oleh Daeng Soetigna dengan menggunakan komponen dasar teori muzik dunia Barat.
Secara khusus, Angklung Padaeng dibahagi menjadi dua kumpulan iaitu angklung
melodi dan angklung akompanimen. Selepas inovasi tersebut, muncullah
angklungangklung lainnya yang terus berkembang seperti Angklung Sarinande,
Arumba, Angklung Toel, dan Angklung Sri Murni.
Antara angklung yang terdapat di
Saung Angklung Udjo
Menurut Pak Yayan Udjo
lagi, setiap orang boleh memainkan alat muzik angklung jika mengetahui
tekniknya. Salah satunya adalah dengan cara memegang rangka angklung dengan
sebelah tangan, kemudian tangan lainnya menggoyangkannya hingga menghasilkan
suara. Ada teknik-teknik asas dalam menggoyangkan angklung teknik iaitu karalung (getar), teknik cetok (sentak)
dan teknik tangkep.
Tenik Kurulung (getar)
merupakan teknik umum yang sering digunakan dalam bermain angklung. Teknik ini
menggunakan dua tangan untuk memainkannya. Hanya memegang rangka angklung,
kemudian tangan satunya lagi menggoyangkannya hingga nada yang diinginkan muncul.
Teknik Cetok (sentak) pula boleh dilakukan dengan cara menarik tabung dasar
dengan cepat oleh jari ke telapak tangan kanan. Nantinya, angklung akan
menghasilkan bunyi sekali yang disebut sebagai stacato. Teknik Tangkep pula hampir sama dengan teknik kurulung.
Namun yang membezakannya adalah salah satu tabung ditahan sehingga tidak ikut
bergetar.
Menurut Pak Yayan Udjo, ada empat
jenis angklung yang perlu diketahui iaitu
Angklung Dogdog Lojor, Angklung
Kanekes, Angklung Gubrag dan Angklung
Padaeng
Selain dihiburkan oleh
pelbagai kesenian di sanggar ini, delegasi Selangor juga dibawa melawat ke
sekitar kawasan Saung Angklong Udjo iaitu ke bangunan pentadbiran, bangunan
pendidikan, ruang membuat angklung dan laion-lain lagi. Para delegasi
berpeluang belajar dan meladeni usaha-usaha pembuatan alat muzik angklung
secara komersial sehingga boleh dihantar ke seluruh dunia.
Pengunjung menyaksikan
persembahan budaya di Saung Angklung Udjo
Kemudian para delegasi
Selangor dibawa ke sebuah ‘rumah makan’ (restoran) iaitu Restoran Mitra
Sederhana Pasteur Masakan Padang yang berlokasi di Jalan Pelajar Pejuang 45 No.
64, Turangga, Kecamatan Lengkong, Kota Bandung, Jawa Barat untuk makan tengah hari.
Sebaik usai solat Zuhur dan Asar secara jamak, delegasi Selangor di bawa ke
Kawah Putih Ciwidey, terletak sekitar 2.5 jam perjalanan dari kota Bandung.
Kawah Putih Ciwidey adalah sebuah tasik semulajadi yang muncul akibat letusan
Gunung Berapi Patuha.
Menurut Dadang Dabot,
Gunung Patuha dikatakan datang dari nama ‘Pak Tua’. Gunung Patuha ini pada masa
dahulu merupakan kawasan larangan yang amat menakutkan penduduk setempat yang
dikatakan berhantu dan tidak berani dimasuki oleh penduduk. Haiwan seperti
burung yang terbang di atasnya juga dikatakan boleh mati secara tiba-tiba.
Misteri Kawah Putih
hanya terjawab pada tahun 1837 apabila seorang ahli botanikal Belanda iaitu
yang bernama Dr. Franz Wilhelm Junghuhn masuk ke kawasan tersebut dan menemui
sebuah tasik yang merupakan tempat letusan lava gunung berapi beserta belerang.
Belerang inilah yang menyebabkan haiwan dan burung-burung tidak mahu masuk ke
kawasan ini.
Saung Angklung Udjo juga
menghasilkan pelbagai jenis angklung
Sewaktu dijajah
Belanda dan Jepun, kawah ini merupakan kawasan pengumpulan sulfur yang penting
buat kedua-dua kuasa tersebut. Yang menariknya, tasik yang cukup luas ini
mempunyai air berwarna putih kehijauan dan dikelilingi tanah bercampur
belerang. Warna ini terhasil hasil dari campuran batu kapur dan belerang, dan
warna air ini dikatakan bakal berubah-ubah mengikut suhu udara dan cuaca. Di
dalam suhu yang sejuk (sekitar 8-22 celcius) tasik dengan air yang tenang ini
cukup memukau dan seakan-akan sebuah tasik misteri, ditambah pula dengan
iringan alat muzik tradisi dari pemuzik tempatan.
Di sini, agak sukar
menemui binatang hidup kecuali beberapa spesies burung hantu. Oleh kerana
suasananya yang pelik, putih dan luas, kawasan ini sering menjadi tempat
tumpuan pengantin mengadakan ‘photo-shoot’ dan pengunjung luar melihat fenomena
alam yang sukar dijumpai di tempat lain di Asia Tenggara.
Kata Dadang Dabot,
oleh kerana kedudukannya yang agak jauh dari Bandung, beliau menasihatkan agar
tidak memandu sendiri ke sini tetapi sebaliknya menggunakan khidmat tourist guide agar tidak bermasalah
mencari kerana kawasan ini jalannya berliku-liku. Selain itu, dengan khidmat
pemandu, kita juga mungkin boleh dibawa ke tempat lain seperti kawasan tanaman
strawberi, kolam air panas atau ke tasik di bawah Gunung Patuha yang mempunyai
sebuah kawasan yang dipanggil Pulau Cinta. Oleh kerana gas sulfur tidak baik
untuk kesihatan, para delegasi Selangor dinasihatkan tidak tinggal melebihi 15
minit di sini.
Suasana di Situ Patenggang
Dalam perjalanan
pulang dari Kawah Putih, bas yang ditumpangi degelasi Selangor singgah di Situ
Patenggang, jaraknya sekitar 10 minit saja dari Kawah Putih. Situ Patenggang
adalah sebuah tasik berpanorama amat indah. Di Situ Patenggang ini terdapat
sebuah batu yang bernama ‘Batu Cinta’. Menurut Dadang Dabot, Situ Patenggang
berasal dari Bahasa Sunda iaitu ‘situ’
yang bererti tasik dan ‘patenggang’
atau dalam Bahasa Sunda disebut ‘pateangan-teangan’
yang bererti saling mencari. Ternyata asal muasal nama Situ Patenggang ini juga
berasal dari cerita rakyat, yang mengisahkan cinta antara Ki Santang dan Dewi
Rengganis yang telah terpisah lama.
Kawah Putih Ciwidey
Lantaran cinta mereka
yang teramat dalam, kedua-duanya tidak henti saling mencari antara satu sama
lain, sehingga pada akhirnya mereka dipertemukan di sebuah batu besar yang kini
dinamakan ‘Batu Cinta’ oleh masyarakat.
Sekian lama terpisah membuatkan
kedua-duanya berpegang teguh tidak akan berpisah lagi, sehingga akhirnya Dewi
Rengganis meminta kepada Ki Santang supaya dibuatkan sebuah tasik (situ) dan juga sebuah perahu. Dewi
Rengganis ingin menghabiskan seluruh waktunya belayar bersama dengan Ki
Santang.
Namun sehingga
sekarang tidak ada yang mengetahui kewujudan perahu yang digunakan untuk
belayar Ki Santang dan Dewi Rengganis. Menurut Dadang Dabot, kononnya perahu
itu kini telah berubah menjadi sebuah pulau yang berbentuk hati, yang
dipercayai masyarakat bahawa pulau tersebut dulunya adalah perahu yang dibuat
oleh Ki Santang. Pulau yang kini bernama Pulau Asmara atau sering disebut
sebagai Pulau Sasaka, menurut rakyat setempat, bila sepasang kekasih datang ke
Batu Cinta dan mengelilingi Pulau Asmara maka cinta mereka akan abadi.
Jelas Dadang Dabot,
Situ Patenggang ini berada di ketinggian lebih dari 1,600 meter di atas
permukaan laut. Tasik ini juga memiliki keluasan sekitar 45,000 hektar. Yang
penting, Situ Patenggang memiliki fasiliti yang amat memadai kerana tempat ini
dikelola dengan baik oleh Kerajaan Indonesia. Antara fasiliti yang terdapat di
sini ialah rumah makan dan gazebo agar pengunjung dapat beristirahat dengan
nyaman, penginapan untuk setiap pengunjung yang ingin bermalam di sini juga
surau agar pengunjung dapat beribadah dengan selesa.
Di Kebun Strawberi Ciwidey,
pengunjung boleh memetik sendiri buah strawberi sesuka hati. Tetapi buah
strawberi yang dipetik harus dibayar, harganya relatif murah iaitu berkisar
antara Rp.30.000-Rp.50.000 sekilogram
Dari Situ Patenggang,
delegasi Selangor singgah di Kebun Strawberi Ciwidey pula. Kebun Strawberi
Ciwidey ini sangat sesuai untuk melepaskan penat dan gerah setelah menyedut
udara kota Bandung yang penuh dengan polusi, pemandangan yang indah dan
udaranya yang sejuk serta segar, membuatkan tubuh berasa tenang dan nyaman.
Di Kebun Strawberi
Ciwidey ini juga kita boleh memetik sendiri buah strawberi sesuka hati. Tetapi
buah strawberi yang dipetik harus dibayar, harganya relatif murah iaitu
berkisar antara Rp.30.000-Rp.50.000 sekilogram. Tentu harga itu sebanding
dengan pengalaman yang berjaya digarap. Selain memetik buahnya, kita juga dapat
belajar bagaimana cara menanam strawberi yang baik dan benar agar hasilnya
bagus dan berkualiti.
Menurut Dadang Dabot,
di Kebun Strawberi Ciwidey ini juga terdapat berbagai tempat untuk mengolah
strawberi menjadi berbagai makanan seperti dodol strawberi, manisan strawberi,
selai strawberi dan juga keropok strawberi.
Pekebunan Teh Rancabali
Dari perkebunan
strawberi, singgah pula di Pekebunan Teh Rancabali. Di perkebunan ini delegasi
Selangor disajikan pemandangan menawan dengan hamparan pokok-pokok tehnya yang
kelihatan sangat indah dan sejuk di mata. Permaidani hijau mulus tersusun oleh
deretan rapat pokok teh yang sangat luas ini juga dapat dilihat dari atas bas
dalam perjalanan delegasi Selangor menuju ke Situ Patengan.
Tanaman teh milik
Perkebunan Teh Rancabali ini berada di tanah yang bergelombang indah di
pinggiran jalan antara Kawah Putih dan Situ Patengan. Melihatnya saja tidak
cukup, oleh kerana itu Dadang Dabot mengarahkan pemandu bas supaya
memberhentikan bas yang dipandunya di sini untuk memberi peluang kepada para
delegasi Selangor melihat dan menikmati pemandangannya dari jarak yang lebih
dekat.
Secara peribadi, saya
selaku penulis memang sudah lama tidak menyedut udara segar di daerah
perbukitan yang hamparan perkebunan tehnya juga kelihatan sangat indah seperti
di Cameron Highlands, namun pemandangan Perkebunan Teh Rancabali ini rasanya
lebih mengesankan buat saya. Ada sentuhan tangan kreatif yang membuatkan
tanaman teh di perkebunan ini kelihatan begitu menarik perhatian.
Sepanjang jalan berliku terdapat
banyak perkebunan teh
Deretan pokok teh
Perkebunan Teh Rancabali yang terletak tepat di pinggir jalan terhampar luas
dengan pucuk hampir rata. Berbeza dengan beberapa perkebunan teh yang berada di
Cameron Highlands, Perkebunan Teh Rancabali ini umumnya berlokasi di kedudukan yang
lebih rendah dari pinggiran jalan. Susunan pokok teh yang rapat dan rapi,
menjadikannya seperti hamparan luas permadani hijau segar yang sangat sejuk dan
nyaman dipandang. Memetik daun teh dan membelai pokok teh mungkin merupakan
perkara yang berbeza, dan boleh juga dilakukan oleh orang yang berbeza.
Memandang hamparan
hijau Perkebunan Teh Rancabali ini layaknya seperti sedang menikmati seni
instalasi yang sesungguhnya. Di sana-sini terdapat pokok-pokok kecil yang ikut
memberi suasana pada pemandangan. Sayang sekali hampir tidak ada pokok besar
yang boleh dijadikan sebagai tempat berteduh.
Pucuk-pucuk teh sedang dipetik
Pucuk-pucuk pokok teh
dengan daun yang berwarna hijau kekuningan segar, berketinggian hampir merata
mengikuti kontur tanah yang bergelombang. Dari dekat kelihatan daun-daun teh
itu tidak ada yang terpotong separuh atau sebahagian untuk membuat permukaan pokok
teh kelihatan rata. Tetapi dari jarak agak jauh, ketinggian setiap pokok teh
itu kelihatan hampir sama. Lintasan jalan yang dibuat untuk para pemetik daun
teh di Perkebunan Teh Rancabali ini kelihatan seperti sebuah mozaik yang
menawan pada bentangan baldu hijau pepohonan teh. Perkebunan Teh Rancabali yang
dikelilingi perbukitan hijau yang tinggi, menambahkan keindahan pemandangan.
Keindahan mozaik
Perkebunan Teh Rancabali seperti inilah yang amat menggoda para delegasi
Selangor untuk sejenak berhenti dan mengambil gambar sewaktu melihatnya ketika
melintas di jalanan berhampirannya. Lalu lintas yang tidak begitu sesak, serta
adanya bahu jalan yang agak luas, membuatkan delegasi Selangor boleh berhenti
di mana saja dengan tenang.
Kebun Strawberi Ciwidey
Dari sepotong ruas
jalan kelihatan beberapa buah air terjun kecil bertingkat di tepian deretan
pokok-pokok teh di Perkebunan Teh Rancabali. Air terjun itu berada agak jauh di
sebelah kanan jalan yang menuju ke Situ Patengan. Menurut Dadang Dabot, di sana
juga terdapat penginapan yang boleh disewa oleh pengunjung jika hendak
berwisata di seputaran kawasan Ciwidey yang memiliki sejumlah tempat wisata
yang sangat mempersonakan.
Selepas lebih kurang
setengah jam di kawasan Perkebunan The Rancabali, delegasi dibawa pula ke
Glamping Lake Side. Menurut Dadang Dabot, Glamping Lake Side merupakan sebuah
kawasan berkonsep resort wisata di Ciwidey terbaru dan lengkap dengan aneka
fasiliti dan juga pakej kegiatan wisata moden berasaskan alam di dalamnya.
Objek wisata di Ciwidey ini mulai dikenali oleh umum pasca soft opening salah satu fasiliti restonya tanggal 7 Julai 2016
lalu. Masih sangat baru, tetapi melihat daya tarik wisatanya, lokasi wisata ini
dipercayai akan menjadi destinasi wisata baru yang sangat menarik untuk
dikunjungi.
Kapal layar kayu di Glamping Lake
Side
Glamping Lake Side
Rancabali sebenarnya boleh dikatakan hampir sama dengan salah sebuah resort di
Bandung Selatan iaitu Ciwidey Valley Resort atau tempat wisata yang baru iaitu
Glamping Legok Kondang. Lokasinya yang berada di hujung Ciwidey, tepatnya berada
di salah sebuah tempat wisata alam Bandung yang terkenal iaitu Situ Patenggang,
membuatkan akses ke lokasinya ini sangat mudah untuk dijangkau, sama ada dengan
kenderaan umum mahupun dengan kenderaan peribadi.
Menurut Dadang Dabot
lagi, lokasi wisata Glamping Lake Side Rancabali Ciwidey tepat berada di
dataran tinggi Pergunungan Ciwidey, membuatkan para pengunjung berasa takjub
dan terpesona dengan molek alam yang tersendiri dan semulajadi daerah ini.
Kapal kayu yang dibina di Rancabali Ciwidey ini juga boleh dikatakan unik,
kerana ia mampu memikat sesiapa saja yang datang ke sini, lantaran kedudukan
bangunan restorannya berbentuk kapal dan tepat berada di atas bukit di pinggir
Situ Patenggang.
Jika kita pernah
membaca kisah kapal Nabi Nuh semasa banjir besar yang akhirnya terdampar di
sebuah puncak gunung, maka lokasi Glamping Lake Side ini juga hampir sama.
Berlokasi di dataran tinggi Pergunungan Ciwidey yang di sekelilingnya dibalut
hamparan hijau perkebunan teh serta air terjun Situ Patenggang yang luas dan
berwarna jernih.
Sindang Reret Hotel &
Restaurant di Chidiwey
Menurut Dadang Dabot,
bangunan restoran berbentuk kapal layar kayu ini terbahagi kepada dua bahagian,
iaitu bahagian dalam yang terdiri dari dua tingkat ruangan restoran. Untuk
bahagian dalam tingkat pertama adalah tempat untuk memesan makanan dengan kawasan
makan tertutup. Manakala tingkat dua adalah juga kawasan makan, tetapi ada indoor dan outdoor-nya.
Sementara bahagian
luar ruangan tingkat satu yang lokasinya tepat berada di bahagian dek bangunan
resto berbentuk kapal layar ini ternyata merupakan lokasi kegemaran para
pengunjung untuk menikmati hidangan sambil bebas menikmati indah dan suasana
alam sekitar Clamping Lake Side Rancabali Ciwidey.
Menurut Dadang Dabot
lagi, menu makanan dan minuman yang tersedia di sini ternyata sangat beragam,
mulai dari aneka makanan khas barat, Asia cuisin
hingga kepada makanan Indonesia. Makanan atau hidangan yang boleh dicuba di
sini ialah sandwich beef teriyaki,
atau makanan khas Bandung yang juga tersedia untuk para pengunjung.
Glamping Lake Side menjanjikan
daya tarikan yang tersendiri
Lebih kurang sejam
berada di Clamping Lake Side Rancabali Ciwidey, delegasi Selangor dibawa ke
sebuah restoran makanan Sunda iaitu Sindang Reret Hotel & Restaurant di
Chidiwey. Menurut Dadang Dabot, masakan Sunda merupakan antara makanan yang
paling popular di Indonesia. Makanan Sunda dicirikan oleh kesegarannya; lalab yang terkenal dimakan dengan
sambal dan juga karedok menunjukkan
kesukaan Sunda terhadap sayuran mentah segar. Tidak mempunyai rasa yang
berempah dan pedas, diiringi dengan santan dan kari seperti masakan
Minangkabau, masakan Sunda memaparkan rasa yang mudah dan jelas; dari rasa
masin, masam segar, manis sederhana, hingga pedas.
Sambal belacan atau
terasi ialah bahan perasa yang paling penting dan paling lazat dalam masakan
Sunda, dan dimakan bersama dengan lalab
atau tauhu dan tempe goreng. Sayur asem
dan juga sup sayuran adalah hidangan yang paling popular dalam masakan Sunda.
Satu lagi sup popular ialah Soto Bandung, sup lembu dan lobak putih, dan sup mi
kocok dengan daging lembu dan kikil.
Antara resort penginapan yang
terdapat di Glamping Lake Side
Ikan air tawar seperti
ikan kap, kaloi, tilapia dan keli biasanya sama ada dibakar atau digoreng dan
biasanya disajikan dengan sambal atau kicap manis. Orang Sunda telah
mengembangkan kesukaan mereka kepada makanan laut masin. Ikan masin, ikan bilis
dan sotong masin popular dalam diet harian Sunda. Cara memasak pais atau pepes
yang menggunakan daun pisang sebagai bungkusan makanan juga biasa dalam masakan
Sunda. Antara lain, pais lauk emas atau pepes ikan kap adalah hidangan pepes
kegemaran.
Ayam biasanya sama ada
digoreng atau dipanggang, juga disajikan dengan sambal atau kicap manis. Bakakak hayam adalah ayam bakar gaya
Sunda. Kadang-kadang ayam juga boleh dibuat sebagai pepes atau sup. Daging
seperti daging lembu, kerbau, kambing, atau bebiri boleh diperap dengan
campuran rempah dan gula kelapa dan digoreng untuk membuat empal gepuk, ditaburi dengan bawang goreng. Daging lembu dan
kentang kadang-kadang dibakar dalam kicap manis dan rempah sebagai semur daging. Hati lembu dan jering juga
boleh dibuat sebagai semur. Daging
kambing dan bebiri juga boleh dibuat sebagai sate gaya Sunda, seperti sate maranggi. Gulai kambing dan empal gentong kambing dan kari organ
juga popular.
Nasi timbel
Jika orang Jawa telah
mengembangkan kesukaan mereka dalam bentuk tempe,
orang Sunda pula telah mengembangkan oncom,
kedua-duanya adalah produk yang ditapai tetapi dengan jenis kulat dan kacang
yang berlainan. Tempe adalah dari
kacang soya sementara oncom adalah
dari kacang tanah. Sunda telah membangunkan kaedah penapaian untuk mencipta
bahan makanan yang berbeza. Fermentasi digunakan sama ada untuk membuat makanan
yang difermentasi seperti oncom,
membuat sos seperti taucu (makanan dari masakan Cina Indonesia), atau makanan
ringan seperti peuyeum yang merupakan
tapai dari beras atau ubi kayu.
Menurut Dadang Dabot,
di tempat yang menghidangkan masakan Sunda, lazimnya seseorang itu akan makan
dengan tangan. Mereka biasanya menyediakan kobokan,
iaitu semangkuk air dengan hirisan limau di dalamnya untuk memberi bau segar.
Semangkuk air dengan limau ini tidak boleh diminum, bagaimanapun; ia digunakan
untuk membasuh tangan sebelum dan selepas makan.
Karedok
Restoran
tradisional Sunda selalunya menampilkan gaya makan tradisional yang dipanggil lesehan; iaitu tempat makan dengan ruang
duduk di atas lantai ditutup dengan tikar jerami atau buluh. Hidangan juga
dihidangkan di atas meja berkaki pendek atau terus disajikan di atas tikar.
Gaya makan ini agak serupa dengan gaya makan tatami tradisional Jepun. Restoran tradisional Sunda di kampung dan
luar bandar juga mungkin mempunyai restoran gaya saung. Ia mempunyai beberapa astaka makan kecil yang selalunya akan
dibina berhampiran kolam ikan air tawar. Kolam ikan mengandungi ikan air tawar
segar seperti ikan kap dan kaloi, yang boleh dipilih dan dipesan oleh pelanggan
untuk dimasak dengan segera.
Selepas
makan malam di sini, delegasi Selangor terus ke hotel penginapan untuk berehat.
Gepuk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan