SMAHADZIR
MEMANG setiap minggu ada majlis usrah.
Bergilir-gilir dari rumah ke rumah antara warga kampung. Lokman berasa bahagia
sekali kerana sewaktu tinggal di Kampung Molek, dia tidak pernah dikenalkan
majlis ilmu seperti ini. Tetapi sejak berpindah ke Kampung Indah ini barulah
dia tahu, berjinak-jinak, dan akhirnya terus jatuh cinta. Sekali tidak
menghadiri usrah rasa kehilangan yang besar.
Di Kampung Molek, warganya tidak
pernah menganjurkan usrah begini. Setiap perjumpaan sarat dengan bicara tentang
kuasa, wang dan tanah. Itu yang Lokman dapat bezakan sejak dia berpindah ke
sini. Caci-mencaci, kata-mengata, umpat-cela, keji-mengeji,
kecurian, pecah rumah dan pelbagai lagi gejala tidak sihat sering berlaku.
Anak-anak muda terlalu liar sehinggakan tiada batas sempadan antara lelaki dan
perempuan. Boleh dikatakan setiap malam minggu, ramai anak muda bersama
pasangan masing-masing akan berlumba haram di jalan raya. Akibatnya, berlakulah
pelbagai gejala sosial yang sumbang di pandangan mata. Kes-kes penyalahgunaan
dadah, pil esktasi, minuman haram dan sebagainya semarak di mana-mana. Sungguh
jelek hidup di kampung tersebut.
Ada
seorang rakan Lokman di kampung itu yang bernama Murad. Lokman pernah
menasihati Murad supaya mengambil berat soal punca ekonominya namun segala
teguran tidak dipedulikan. Malah Lokman pula yang dijadikan seteru.
“Kau
siapa nak nasihatkan aku?” marah Murad. Ketika itu mereka sedang duduk di
warung kopi di kepala simpang Kampung Molek.
“Aku
sekadar nak nasihatkan kau supaya kembali ke jalan yang disuruh agama!” ujar
Lokman tenang. “Agama kita tak suruh umatnya berjudi, tikam ekor, ‘menurun’ di
kubur-kubur keramat dan sebagainya. Kita mesti berkerja kuat sambil berdoa.
Insya-Allah, hidup akan diberkati. Rezeki kita akan melimpah-ruah.”
“Ahhhh,
selama aku hidup nipun, aku tak pernah susahkan sesiapa!” tukas Murad kurang
senang. “Walaupun gaji aku kecil, tapi aku mampu tanggung anak isteri aku. Kau
tak perlu masuk campur urusan hidup aku, Lokman!”
“Sebagai
kawan rapat, aku rasa wajar menegur apa yang tak baik!” balas Lokman penuh
kesedaran.
“Habis,
kau ingat kau baik sangat? Kau ingat sembahyang kau dah tentu masuk syurga? Hei
Lokman, kalau kau nak bagi ceramah agama, pergilah masuk Forum Perdana. Di situ
kau boleh berceramah... dapat upah lagi.”
Itulah
detik-detik terputusnya sebuah persahabatan antara Lokman dan Murad. Kehidupan
Lokman di Kampung Molek juga bagaikan terasing. Dia seolah-olah dipulaukan
masyarakat. Kebanyakan suka menyinisnya dengan gelaran seperti ulama, ustaz, penceramah
dan sebagainya. Sebab itulah dia mengambil keputusan berpindah dari kampung
tersebut. Dia tidak sanggup hidup di sebuah kampung yang masyarakatnya telah
lalai dengan ajaran agama.
Di
kampung itu, hiburan bagaikan sinonim. Setiap majlis perkahwinan mesti ada persembahan
kugiran dan joget lambak pada sebelah malam. Ramai warga kampung akan berhibur
sampai pagi. Percampuran lelaki perempuan bagaikan perkara biasa. Orang-orang
tuapun ramai yang ikut sama. Mereka bagaikan memberi contoh tidak baik kepada
generasi muda. Lokman amat terkilan dengan perangai mereka. Bukan sahaja sukar
menerima nasihat, malah setiap nasihat akan dibalas dengan cemuhan dan ejekan.
“Hanya
Islam saja berupaya mencegatkan kehidupan sejahtera. Islam itu penyelamat dan
penyelesai sesuai dengan sifat rahmatallila’lamin,
tak pernah mengabaikan soal kesejahteraan dalam kehidupan. Sebab itulah, untuk menjadi manusia yang mampu hidup aman,
harmoni, berkah dan sebagainya, kita harus kembali kepada ajaran Islam,” ujar
Haji Hamdi dalam satu majlis usrah.
Begitulah juga tekad yang terpancang kukuh
dalam dada Lokman sekarang. Dia berazam untuk mengubah corak hidupnya mengikut
lunas-lunas agama yang benar. Dia tidak mahu menjadi khalifah di muka bumi yang
terseleweng dan terlandai jalan hidupnya. Dua anak gadisnya sudah besar
panjang. Milah dan Tijah sudah bergelar gadis sunti dan bila-bila masa saja
akan dipinang orang. Dia mahukan anak-anaknya itu menjadi solehah terpuji.
Sifat-sifat mulia terpuji akan diserapkan di jiwa mereka. Lantaran itulah, dia
tidak pernah jemu mengajar anak-anaknya itu ilmu-ilmu agama yang berjaya dikaut
dari majlis-majlis ilmu sejak berpindah ke kampung ini.
Ustaz
Hamdi memulakan majlis usrah dengan bacaan Al-Ma’dhurat.
Sebaik majlis selesai dan selepas halalbilhalal
sesama jemaah, Lokman terus pulang. Tatkala itu jarum panjang dan pendek sudah
bersatu di angka sebelas.
Melewati
warung makan di persimpangan menghala rumahnya, tiba-tiba namanya dipanggil.
Lokman gesit menoleh. Terkelih Murad dan Osman, dua sahabat baik itu sedang
santai menjamu selera.
“Singgahlah
dulu Lokman!” laung Osman, tangan polos menggamit.
Lokman
agak keberatan kerana hari sudah lewat malam tetapi mengenangkan innamalmukminunaikhwah masih erat
membuhul atma, mahu tak mahu rengsa kakinya melangkah, duduk sebaik tiba di
hadapan Murad dan Osman.
“Tak
baik tolak rezeki,” Osman cuba memancing. “Takkan kerana dah pindah tak sudi
nak makan semeja dengan kami lagi!” Wajah Lokman dicerlung mesra.
Murad
sekadar mengangguk. Tangan akas mencapai cawan. Kopi panas diteguk waspada.
“Eh,
mintalah apa nak makan. Aku belanja!” Osman mempelawa sebaik cawan di tangan
mendarat atas meja.
“Terima
kasihlah, Man! Sebenarnya aku dah kenyang. Makan mi goreng lepas usrah tadi,”
Lokman mencegatkan hakikat.
“Ala,
takkan secawan kopipun tak boleh!” Osman memujuk.
Lokman
tersenyum dan mengangguk seraya meminta secawan kopi. Kala itu tetamu warung
tak berapa ramai.
“Kau
rugi, Lokman!” ujar Osman sewaktu kopi O yang dipesan berasap di atas meja.
Aroma menyegarkan.
“Apa
yang rugi?” Mata Lokman terkesip-kesip
kurang faham.
“Kalau
kau tak pindah dulu, dah tentu kau jadi Imam sekarang. Sungguh-sungguh kau
tolak tuah!”
Lokman
tersenyum nipis. “Aku tak rasa itu satu kerugian atau tolak tuah kalau jawatan tu
bukan hak aku sebenarnya.”
“Siapa
kata bukan hak kau?” Osman nyata kurang senang. “Jawatan Imam Masjid tu memang
layak untuk kau. Tak ada seorangpun layak jadi imam di Kampung Molek tu!
Pegawai dari Majlis Agama ada datang mencari dan melantik Imam tapi semua yang
ditemuduga, bacaan fatihah pun tak
betul. Akhirnya terpaksalah mereka lantik orang dari Kampung Muhibah jadi imam
di Kampung Molek!”
“Itu
satu tamparan hebat kepada penduduk Kampung Molek!” Lokman menyinis dalam
senyum. “Sebenarnya, aku berpindah sebab tak tertanggung tengok warga kampung
mencintai azab Allah. Soal agama dipandang lewa. Hukum-hakam dibuat tak kisah.
Bila aku tegur, mereka kata aku ni ustaz, penceramah, dan macam-macam lagi.
Mereka perli... sinis aku,” Lokman melepaskan gelodar rasa hatinya seraya
menjeling wajah Murad yang nyata pudar. Dia sengaja mencegatkan hakikat
pegangannya dalam usaha memberi kesedaran kepada Murad.
“Hei,
Lokman! Siapa maksud kau ni, hah?” Osman mendadak kurang senang. Wajah jelas
menyinga. “Bukan semua orang Kampung Molek begitu. Kau dah salah menuduh.
Takkan kerana jarang bersembahyang di masjid, kau kata kami menyeleweng?
Takkanlah kerana selalu berjoget lambak, kami tak Islam?” Suara nyata bernada
gerah.
“Memang
aku tak kata kau tak Islam, Man!” tukas Lokman lunak. Wajah Osman dicerlung
mesra. “Tapi, masyarakat Kampung Molek boleh dikatakan rata-rata dah dijajah
jiwa, mental dan fizikal, itu maksud aku. Lebih teruk lagi jajah moral dan
akhlak. Kalau kita dah dijajah oleh syaitan, mata hati kita akan tertutup dan
keindahan Islam tak akan nampak lagi. Kita akan menganggap yang Islam tu
terlalu mengongkong. Kita akan membenci ajaran Islam yang baik lalu menerima
benda-benda yang tak baik sebagai satu kebaikan. Itu yang aku nampak dalam
masyarakat.”
“Tapi,
kami semua mahu bebas,” tukas Osman. “Bukankah Islam itu memberi kebebasan
kepada penganutnya asalkan tak menduakan Tuhan atau meragui rukun-rukun Islam
yang lain.”
“Betul
kata Osman tu, Lokman!” tiba-tiba Murad yang selama ini mendiamkan diri
terpanggil untuk bersuara. “Walaupun kami tak berapa alim dalam soal agama,
tapi kami tetap Islam. Kami tetap mengaku bahawa tiada Tuhan lain melainkan
Allah dan Nabi Muhammad tu pesuruh Allah.”
“Islam
bukan sekadar lafaz pada kalimah syahadat, Murad! Kita kena faham hakikat ini,”
ujar Lokman tenang. “Islam harus dipraktikkan dengan iman dan amal. Segala
rukun Islam mesti dilaksanakan tanpa sebarang bantahan. Semua larangan mesti
ditinggalkan. Semua suruhan mesti diakuri sepenuh jiwa.”
“Jadi,
kau ingat kami ni tak ikut suruhan Tuhanlah?” Osman separuh jengkel. “Jadi, kau
seorang sajalah Islam? Kami semua di Kampung Molek tu tak Islam. Begitu maksud
kau agaknya?” Murad pula mencebek.
“Seperti
aku katakan tadi, Islam itu perlu ditunjukkan dengan perbuatan,” Lokman
bersuara tegas. “Kalau kita Islam, kenapa kita masih nak main judi atau tikam
ekor? Kenapa biarkan anak-anak kita bebas tanpa sekatan? Kenapa bersama-sama
mereka berjoget lambak santak pagi sampai tak tahu masa sembahyang dan
sebagainya? Ini semua menunjukkan jiwa kita dah dijajah syaitan. Syaitan itu
musuh Allah. Kalau kita ikut perangai syaitan, bermakna kita juga musuh Allah.”
“Huh,
balik-balik soal jajah itu juga kau sebut!” Osman mula mencebek jengkel.
“Selama aku hidup di kampung tu, tak pernah pula aku rasa aku ni dijajah. Hidup
bebas, tak siapa menghalang. Cuba kau bandingkan zaman British atau Jepun dulu.
Hidup datuk nenek kita susah dan terhimpit. Kita halau mereka semata-mata nak
memerintah sendiri. Bila dah memerintah ada pula rakyat yang rasa dijajah.
Pelik sungguh! Karut dan tak masuk akal langsung!”
“Itu
kata-kata orang yang tak faham istilah jajah, Man!” Lokman tersenyum sinis.
“Lagipun, kau tak rasa dijajah sebab kau tak rasa kenikmatan hidup dalam Islam
yang sebenar. Bila kau dah rasa kenikmatan Islam, barulah kau akan rasa yang
selama ini jiwa dah dijajah syaitan. Yang rasa dijajah ialah orang yang
bencikan akhlak bawaan syaitan.”
“Apa
kau cakap ni, Lokman? Jangan sesenang itu menuduh orang lain syaitan. Setahu
aku, orang yang benar-benar Islam tak akan menuduh orang lain tak betul. Betul
atau tidak bukan kerja manusia tetapi kerja Allah. Dia yang berhak menilai
seseorang hamba-Nya sama ada betul atau tidak,” tukas Osman.
Lokman
tenang menghabiskan kopi O yang masih tinggal separuh di dalam cawan. Pelanggan
warung kian meminggir. Satu-satu melenyap.
“Aku tak
menuduh, Man! Aku sekadar berkata bentuk-bentuk atau ciri-ciri orang yang sudah
dijajah syaitan. Itu saja,” balas Lokman sejurus kemudian. “Menilai sesuatu
kebajikan atau kejahatan, memang kerja Allah. Manusia macam kita ni tak layak
nak ambil alih tempat Tuhan lalu membuat hukum.”
“Habis,
atas alasan apa lagi kau nak kata kami semua salah dan tak Islam?” Osman jelas
belum puas. Wajah Lokman dicerlung tunak minta jawapan. Murad di sisi tersenyum
lega. Dalam hati biar Lokman terduduk.
“Aku
tak pernah tuduh kau tak Islam!” tukas Lokman cuba mencegatkan hakikat diri.
“Kau
ni dah macam orang Yahudi. Cakap berbolak-balik!” Murad membeliakkan biji
matanya. “Tadi cakap lain, sekarang cakap lain pula! Macam mana ni?” Sinis
hebat seraya jengkel mencebek. Osman menggeleng macam kesal berbaur.
“Siapa
kata aku macam Yahudi?” Lokman kurang selesa.
“Hanya
orang Yahudi saja suka cakap macam tu!” Murad bersahaja.
“Yahudi
musuh Islam. Mereka yang membawa unsur-unsur hiburan berlebihan bertujuan untuk
melalaikan umat Islam dari ajaran agama. Mereka cipta tv, radio, internet,
alat-alat muzik dan sebagainya supaya umat Islam jadi leka. Orang Islam yang
terleka dengan semua unsur bawaan Yahudi itulah yang sebenarnya macam Yahudi.”
Murad
dan Osman bungkam setagal. Bukan kerana pengetahuan terbatas tetapi untuk
menyangkal hujah Lokman agak sukar.
“Sebab
itulah aku melarikan diri dari Kampung Molek tu. Asas kehidupan masyarakat di
kampung yang aku duduk sekarang ni lebih murni, nak mewujudkan satu cara hidup
secara Islam dalam kehidupan secara menyeluruh. Ikut hukum Allah dan suruhan
Nabi supaya kesejahteraan cegat. Tak ada sifat-sifat mazmumah dan yang lebih
penting hidup selamat!” Lokman tersenyum yakin di hujung kata-katanya.
“Kau
yakinkah cara hidup yang kau kata baik ni boleh menjamin kehidupan sejahtera
tanpa sebarang masalah?” tukas Murad, memanaskan kembali perbualan.
Lokman
rasa seperti diperkecilkan. “Jangan terlalu takbur, Murad! Kita sebagai manusia
yang dijadikan-Nya, berteguh kepada janji Allah. Allah itu bersifat qadim Yang Maha Sempurna. Tak akan ada
masalah selagi berpegang kepada hukum Allah dan Rasul-Nya!” waras membidas
penuh keyakinan, terpacul dari iman yang kukuh.
Perkataan
takbur itu benar-benar menyirap darah ke muka Murad dan Osman. Nyata benar
mereka menyinga. Muka masing-masing merah padam. Bagai tak sabar mahu
berlengan.
Lokman
pantas terkesan. “Sabar, jangan cepat marah. Kata ulama, marah tandanya diri
sudah dijajah syaitan!” dia separuh menenangkan. “Takbur maksud aku mendahului fitratullah, ketentuan Allah. Dakwaan
kau tadi seolah-olah mendahului ketentuan Allah. Jangan terlalu merendahkan
kemampuan Islam, konon tak mampu mewujudkan kesejahteraan dalam hidup manusia.
Ingat, Islam itu addin, menyeluruh
dalam aspek hidup. Yakinlah, Islam itu penyelamat, adil, lengkap dan akmal!”
Murad
dan Osman bagai dipalu beluti. Bungkam.
Lokman mengambil
kesempatan menghulurkan tangan, menghubungkan kembali tali siraturrahim sebelum melangkah pulang meninggalkan warung yang
sudah dibalut hening. Malam terus berinsut semakin gelintin sepekat hati Murad
dan Osman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan