SMAHADZIR
Buluh cetong di tangan Simah, Maidah dan Bona,
terus dihentakkan ke kayu beluti di atas tanah mengiringi Tarian Sewang. Irama
ketukan cetong bergema memecah kedamaian Kampung Aman. Tarian Sewang yang
dipersembahkan oleh lapan gadis suku kaum Jahai berkostumkan kain batik, selempang
dan tanjak daun kelapa itu, menarik perhatian ramai. Kebanyakan mereka adalah
para pelancong yang datang untuk melawat kampung tersebut yang letaknya di
tepian Tasik Temenggor berhampiran Pulau Banding dalam kawasan Hutan Simpan Royal
Belum di Grik, Perak.
Di satu sudut tidak jauh dari tempat Simah
dan rakan-rakannya mengadakan persembahan, Tok Batin Sukim bersama beberapa
orang pegawai dari Jabatan Kebudayaan dan Warisan Negeri Perak kelihatan tersenyum
ceria kerana anak-anak buahnya telah memberi persembahan yang baik kepada
pelancong.
Namun
bagi Simah, ketukan buluh cetongnya kali ini dirasakan amat tidak bermaya
sekali. Tidak seperti semasa Baim ada bersama suatu ketika dulu. Sewaktu Baim
ada bersama dulu, persembahan budaya bangsa Jahai ini dirasakan amat seronok
dan dilakukan dengan penuh rasa bahagia. Tetapi sejak Baim meninggalkan Kampung
Aman bersama Pongsu kerana ingin mengubah nasib, Simah merasakan hidupnya amat
sepi, ketukan buluh cetongnya juga dirasakan tidak segembira dulu.
“Aku akan melamarmu pada musim bunga ilalang mekar
dan berterbangan. Ketika itu langit di atas kampung kita ini dikelilingi bunga ilalang
yang melayang-layang seperti burung putih yang larut oleh hembusan angin,” kata
Bain pada suatu senja di tepi Tasik Temenggor. Sepasang kakinya terjulur ke
tebing yang memiliki ketulan batu. Sesekali air memercik dingin. Melepaskan
serpihan kekotoran yang mengering di atas buku lali.
“Aku tidak ingin mendengar apa-apa janjipun,”
balas Simah sembari memandang langit yang mulai dijalari warna kesumba. Dia membayangkan
gumpalan bunga ilalang yang melepaskan diri dari selaput bunga, bukan terbang
merendah, melainkan terbang semakin jauh. Simah sungguh takut jika cinta Bain
suatu ketika nanti akan menjauh seperti bunga ilalang yang dibawa angin itu.
“Aku betul-betul, Simah! Cuba pandang mataku.”
Wajah Bain mendekat.
Simah tahu dari hembusan nafas Baim yang
menyapu pipi. “Sudah aku katakan, aku tidak ingin mendengar apa-apa janji.”
Simah bertahan tidak menoleh. Julai ilalang
di atas kepala mereka nampak seperti coretan tangan seorang pelukis. Batang kecil
keperangan menjulang, bergoyang-goyang ke kiri ke kanan seolah-olah Tarian
Sewang.
“Aku janji, masanya tidak sampai tahun depan,”
tegas Baim.
Selanjutnya Simah merasakan hidung Bain menyentuh
kulit jejari tangannya. Rambutnya berkibar oleh angin yang berhembus sepanjang Tasik
Temenggor. Suara gemerisik air yang membentur tunggul-tunggul pokok
memperdengarkan simfoni seorang komposer muzik.
Bain terus mencium tangannya. Memaut kelopak matanya
jadi kuyu. Bain menyebutnya sebagai tanda cinta. Simah tahu. Simah sangat faham
kerana dia juga memiliki rasa cinta pada lelaki itu. Rindu akan memenuhi rongga
dadanya setiap kali Bain tidak berada di sisinya terutama ketika sedang mengetuk
buluh cetong.
Simah juga ingin menyampaikan perkembangan
perasaan ibunya terhadap Bain, sewaktu lelaki itu sedang berada di hutan membuat
sumpit serta damak untuk memburu. Kadang-kadang Baim membuat perangkap atau jerat,
iaitu rutin harian bangsa mereka untuk mendapatkan makanan. Dan selalunya baru
petang hari dapat dia berikan khabar itu, tetapi tentu dengan letupan perasaan
yang mulai layu.
Bain masih mencium jejari tangannya. Misai
jarangnya kadang-kadang menerobos ke dalam celahan jejari Simah. Simah kegelian,
tetapi sedikit disembunyikan. Serasa Simah ingin terbang bersama Bain dengan
kedua-dua tangan yang dengan gesit berubah menjadi sayap kemudian bergulingan
pula di atas rumput seperti heroin filem Kuch-Kuch
Ho Ta Hey.
Jika kehilangan kendali, mungkin akan menggelongsor
ke tubir tebing hingga tubuh tercelup ke dalam Tasik Temenggor. Mungkin menjadi
adegan yang sangat menarik: bercinta sekaligus berenang melawan kocakan air.
Tetapi tidak. Bain memandang wajah perempuan
pujaannya itu dengan mata yang berbinar. Simah sungguh terharu melihat api
semangat menyala di sana. Pasti tekadmu untuk melamarku begitu tinggi, fikir Simah.
Seraya membayangkan sebuah pelamin dan ranjang buluh, juga sebuah percintaan
yang bebas.
Sayangnya, mengapa Bain menjanjikan waktunya?
Padahal Simah ingin semuanya mengalir dan terjadi begitu saja. Seperti Tasik
Temenggor di hadapannya. Simah tidak ingin kecewa jika janji itu melenyap.
“Bagaimana?” Bain masih mengharap jawapan Simah.
“Terserah pada kamu,” Simah hanya tersenyum.
Selalu tidak tergamak untuk membuatkan perasaan lelaki itu patah.
“Apa maksudmu dengan terserah?” tanya Bain.
“Tidak bermaksud meragukan janjiku, bukan?”
“Aku percaya. Bukankah selama ini aku percaya
padamu?”
Simah memandang mata Bain. Ingin menangkap
sesuatu yang mungkin tersembunyi.
“Ya,” akhirnya Bain menghela nafas seperti
melepaskan beban. Dia kembali duduk di samping gadis itu. Matanya memandang
langit, seperti ingin menyambung pemandangan berhias julai-julai ilalang.
“Mari kita pulang,” ajak Simah.
Sebentar lagi senja akan berakhir.
* * *
Kini, senja yang cantik di tepi Tasik
Temenggor itu, tidak lagi ditemui Simah. Dia memang mampu mengunjungi tempat
yang sama, seperti sekarang ini, tetapi tidak dengan kehadiran Bain. Tidak
dengan hembusan nafasnya di sekitar jejari tangan. Tidak dengan ucapannya yang
mengandungi banyak harapan.
Tasik Temenggor itu masih juga mengalir ke
arah yang sama. Bening dan mempertontonkan samar-samar kontur di dasarnya.
Kadang-kadang mata Simah berkaca-kaca jika membongkokkan badan sambil
berpegangan pada batang petai belalang yang tumbuh di tebing Tasik Temenggor.
Kadang-kadang dapat dilihatnya bunga-bunga ilalang yang bergoyangan di hujung
julai seperti cebis-cebis kapas yang melekat di hujung rerumput, dan sesetengahnya
berterbangan bersama awan-awan yang berserak sebagai latar.
Tetapi, seperti ucapan seorang ahli falsafah,
Tasik Temenggor hari ini berbeza dengan Tasik Temenggor kelmarin dan esok pagi.
Air itu tidak diam. Ia terus mengalir sehingga ke Pulau Banding.
Yang ditemui Simah sekarang, andai mampu
bicara, tidak mungkin menjadi saksi janji Bain senja itu. Kini dia hanya
sanggup mengenangnya sendiri. Entah kenapa, merasa sangat bahagia jika yang
dikenangnya adalah peristiwa manis sebelum Bain menghilang. Simah akan
menyebutnya sebagai nostalgia bersama bekas kekasih.
“Aku akan mengirim berita melalui whatsApp
setiap hari. Aku ada banyak waktu pada hari Ahad. Ketika berehat, aku akan duduk
di sebuah pondok papan yang kami bina tidak jauh dari tapak projek.”
Hari Ahad, biasanya Simah menerima banyak cerita
dan kata-kata rindu Bain melalui whatsApp. Perasaannya bahagia, kerana tulisan Bain
mengandungi cinta. Mengandungi rasa rindu yang dalam. Simah sanggup mengulang
baca beberapa kali.
Simah juga bersemangat membalasnya. Meskipun
kemudian harus berjalan kaki jauh dari rumah kerana tidak mahu diketahui oleh
adiknya, Sukun ‘kaki penyibuk’ itu yang tentunya akan dijaja cerita kepada
seisi keluarga. Simah sanggup mengatur langkah kaki ke tepian Tasik Temenggor
untuk membalas whatsApp Bain. Di tepian tasik itulah selalunya Simah akan
menjalin aksara satu-satu sesedap mungkin untuk dibaca oleh buah hatinya di
perantauan. Simah yakin, Bain tentu akan gembira dan rasa bahagia apabila membaca
karangannya yang berbunga-bunga itu.
Sebelum tulisan itu benar-benar tiba di
tangan Bain, dia selalu membayangkan lelaki pujaannya menerima dan membacanya
dengan perasaan yang tidak sabar. Mungkin tidak menunggu keringatnya kering
atau mandi terlebih dulu. Ah, pasti telefon yang mulanya bersih menjadi ternoda
kerana tangannya tidak sempat dicuci sebaik habis dari kerja.
“Mungkin ketika Hari Genggulang nanti aku
tidak boleh pulang, kerana bangunan yang kami bina harus segera disiapkan. Aku
akan kirim ‘hadiah’ saja melalui Pongsu yang pulang ke kampung. Ya, sekadar
hadiah Hari Genggulang. Mudah-mudahan selepas perayaan Hari Genggulang nanti,
aku benar-benar memiliki cuti yang panjang.”
Simah membaca whatsApp Bain di awal bulan itu
dengan rasa sedih. Seperti ada yang tercerabut. Ketika semua orang berbahagia
kerana berkumpul dengan handai-taulan, kekasihnya tidak muncul. Seolah-olah Bain
telah merancang untuk tidak pulang. Meskipun itu bukan kehendakmu, bisik Simah,
tetapi aku menganggapnya seperti itu. Kamu telah merancang untuk tidak pulang
menemuiku!
Mudah-mudahan whatsAppmu ini hanya gurauan.
Sebenarnya dulu Simah ingin menghalang
pemergian Bain. Sebagai anak muda suku kaum Jahai yang budayanya amat bernilai
sebagai pusaka milik negara, dia lebih diperlukan di Kampung Aman ini sebagai
pemain centong dan sekali-sekala menari Tarian Sewang bersama rakan-rakannya
yang lain. Kampung di pinggiran Tasik Temenggor ini telah menjadi destinasi
para pelancong yang datang dari pelbagai tempat semata-mata untuk menyaksikan
keunikan budaya yang ada pada suku kaum Jahai. Ah, Bain tidak terlampau bodoh.
Bahkan dalam berbicara kelihatan luas perbendaharaan katanya. Kelihatan kaya
dengan gagasan meskipun kadang-kadang terasa aneh.
Simah yakin, Bain juga berkemampuan untuk
menjadi pemandu pelancong atau pemandu bot pelancong yang boleh membawa para
pelancong mengeliling Tasik Temenggor dan juga Pulau Banding. Tetapi entah
mengapa, lelaki Jahai berbadan rendah dengan kulit gelap dan rambut kerinting itu
lebih tertarik dengan suasana pembangunan di kota. Di Johor Bahru pula.
Katanya, dia ingin menjadi anak muda Jahai pertama yang mempersembahkan tarikan
ototnya dengan membina bangunan bertingkat puluhan, yang tingginya sampai ke
awan. Ketinggian yang akan membuatkan orang berasa gayat, gementar dan berkunang-kunang
biji mata.
“Aku seronok membaca whatsAppmu, Simah! Kamu
tak pernah habis bercerita soal buluh cetong, soal Tarian Sewang dan budaya-budaya
lain milik bangsa kita. Kamu juga banyak memiliki cerita lucu, yang ketika aku
di kampung tidak pernah muncul. Aku jadi sering merasa rindu. Tetapi perjuangan
memang tidak ringan, tidak sederhana, dan untuk mencapai keinginan selalu
diperlukan pengorbanan.”
Simah suka menyeka air mata setiap kali perasaannya
tersentuh jelu. Begitu besar hasrat Bain untuk menjadi seorang yang akan
dihormati kerana memiliki banyak wang. Tetapi dia tidak pernah bertanya
kepadaku, bisik Simah, apakah yang sesungguhnya aku perlukan?
Dia tidak pernah tahu, bahawa aku lebih
bangga ketika dia bersedia membangunkan kampungnya sendiri. Menggarap hutan
atau kebun yang pasti membuatnya lebih sihat. Tanpa keluar dari kampung bukan
bererti tidak memiliki kehidupan yang senang.
Ternyata benar, segala janji Bain segera
menjadi serpihan kertas ditiup angin. Selepas Hari Genggulang tiada khabar dia
akan pulang menjenguk Simah. Acap kali ibunya menanyakan kepastian lelaki itu
akan melamar, atau setidak-tidaknya pulang menunjukkan diri bahawa masih setia
terhadap kekasihnya.
Diam-diam, di sudut malam, ketika hawa dingin
meresap ke sela anyaman dinding rumah, disaksikan bulan yang sedang purnama, Simah
menangis. Dia merasa lemas dengan keadaan seperti itu. Kesepian seorang diri
selama berbulan-bulan. Dia menyesal telah mendengar janji Bain. Kerana yang terjadi
kemudian adalah yang selama ini ditakuti.
“Bain sudah berangkat ke Singapura,” kata Pongsu
beberapa hari yang lalu. “Kebetulan aku bertemu dengan dia di Tambak Johor.”
Mata Simah terbelalak, namun bibirnya
terkatup sembari menggeletar.
“Apakah dia tidak beritahu kamu terlebih
dahulu sebelum pergi ke Singapura?” tanya Pongsu sejurus kemudian.
Mata Simah terasa panas. Tetapi tidak mungkin
waktu itu juga mencurahkan
perasaan sedihnya kepada Pongsu.
Memang, awalnya, Bain
tinggal di bilik sewa Pongsu sebelum mampu menyewa bilik sendiri. Sebagai penjual
madu tualang dari hutan, Pongsu memiliki ramai pelanggan di Johor Bharu. Pongsu
juga telah berjaya hidup di perantauan. Kejayaan Pongsu itulah yang mendorong
Bain untuk meninggalkan kampung halaman.
Mungkin whatsApp Simah yang
terakhir, yang mengkhabarkan bahawa orang tuanya telah berulangkali menanyakan
niat Bain untuk melamarnya, tidak sempat dibacanya. Simah menggeleng kerana Pongsu
masih memandangnya. “Aku menunggu whatsAppnya, Pongsu! Lama tidak kunjung
tiba.”
“Boleh jadi, whatsApp kamu
yang terakhir itu tidak sampai ke tangannya.” Pongsu sedikit cemas. “Aku bercadang nak pergi
berjumpa dengannya di bilik sewanya tapi sehari kemudian aku bertemu dengannya
di Tambak Johor sudah bersiap-sedia nak berangkat bersama rakan-rakannya yang
aku kurang kenal. Mereka nak ke Singapura dan bekerja di sana. Katanya, gaji di
sana lebih lumayan!”
* * *
Pelancong dari luar akan datang lagi hari ini
untuk melawat Kampung Aman. Seperti biasa Tok Batin Sukim telah mengarahkan Simah,
Maidah dan Bona, supaya bersedia dengan buluh cetong masing-masing untuk mengiringi
Tarian Sewang sebagai persembahan menerima tetamu dari luar, tetapi Simah sudah
bertekad untuk tidak mengetuk buluh cetong hari ini. Dia terlalu sedih
mengenangkan Bain. Biarlah Maidah dan Bona, yang mengetuk buluh cetong itu.
Tanpa dia seorang tidak akan menjejaskan persembahan.
Bunga ilalang telah merekah. Angin semilir
membuatkan julai ilalang itu berayun, sebelum menebarkan serpihan gebu putih.
Sudah ketikanya ia lepas bebas, ditiup angin, dan dipisahkan antara bunga ilalang
dengan julai-julainya. Lalu diterbangkan angin kemudian jatuh ke tanah untuk
menghimpang anak-anak ilalang yang baru.
Simah selalu menutup hidungnya yang pesek itu
setiap kali bunga-bunga ilalang itu berterbangan ke mukanya. Tidak seperti Maidah
atau Bona, yang tidak pernah bersin oleh hembusan bunga ilalang yang
berterbangan.
“Kau tak pergi main buluh cetong, Simah?”
tanya ayahnya. “Bukankah hari ini ada pelancong yang akan datang melawat
kampung kita?”
Simah berpura-pura tidak mendengar suara
ayahnya yang sengaja dikuatkan. Dia hanya berfikir tentang Bain dan berasa amat
hairan kenapa lelaki itu lebih terpikat membangunkan negara orang, sementara di
kampung tepian Tasik Temenggor ini masih ada hamparan tanah berbukit yang
ditumbuhi pelbagai pokok hutan yang boleh dimanfaatkan dengan pelbagai cara.
Apa yang telah membuatkan mata lelaki Jahai itu
nanar dan perasaannya terpukau dengan Singapura? Sedangkan di sini ada seorang
kekasih setia yang boleh dicium jejari tangannya di tepi Tasik Temenggor, sambil
memandang langit senja dengan bunga-bunga ilalang yang melayang-layang
berterbangan.
Perasaan nyeri itulah yang kemudiannya
membawa kaki Simah berlari ke arah belukar kecil di belakang rumah. Menerobos
pagar yang dibuat dari batang-batang berduri pokok salak, menyusuri jalan kecil
yang semakin menurun.
Rerimbun petai belalang, pokok menerong, dan
perdu halban dilalui dengan rakus. Sampailah Simah di tempat landai tepi Tasik
Temenggor, tempat dia biasa duduk-duduk bersama Bain lebih dua tahun yang lalu.
Dan di kejauhan terdengar bunyi ketukan buluh
cetong menandakan para pelancong sudah tiba di Kampung Aman. Tarian Sewang juga
sudah dipersembahkan. Simah teringat janji Bain. Janji yang sesungguhnya tidak
ingin didengarnya. Kerana ketika ini, sambil berbaring dia mampu memandang bunga-bunga
ilalang pecah merekah, mempamerkan tarian bunga-bunga itu dibawa angin.
Sementara seseorang yang berjanji akan
melamarnya namun tidak terdengar khabar beritanya. Kecuali tentang nasib buruk
tenaga kerja dari luar yang bekerja di sana. Mata wang negara itu lebih besar. Kehidupan
di sana juga amat mencabar. Adakah Bain termasuk di antara mereka yang bakal tercabar
di negara itu?
Simah menggeleng seraya tersenyum pahit.
Mungkin akan terasa nyaman jika perlahan-lahan kakinya yang menggantung di tebing
Tasik Temenggor itu dicelupkan ke dalam air yang mengalir gemericik. Dingin
arus bening itu akan meresap ke kulit.
Lalu perlahan-lahan pula dia pejamkan mata,
agar tidak kelihatan pemandangan yang membuatnya selalu teringat masa-masa
indah dulu. Kemudian, siapa tahu dasar Tasik Temenggor itu berminat menarik
tubuhnya untuk lemas dan hanyut. Ya, siapa tahu?
Di kejauhan suara hentakan buluh cetong terus
bersipongang.
Glosari
Suku kaum Jahai adalah salah satu daripada 19
kumpulan Orang Asli yang terdapat di Malaysia. Suku ini diklasifikasikan di
bawah susur galur puak Negrito atau Semang. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai
Jah Jehai atau Orang Semang.
Hari Genggulang ialah sambutan Tahun Baru Orang Asli atau dalam bahasa
suku kaum Jakun dikenali sebagai ‘Tahon Baro’ manakala dalam bahasa Semai
disebut ‘Jis Pai’ atau ‘Tahut Pai’, dalam bahasa Temuan disebut ‘Tahun Bahauk’,
dalam bahasa Semelai disebut ‘Nyulung Tahun’, dalam bahasa Mahmeri disebut ‘Tawun
Empai’ dan dalam bahasa Temiar disebut ‘Is Pai’. Dari segi sebutannya berbeza,
namun pengertian atau maksudnya adalah sama iaitu perayaan menyambut tahun
baru. Masyarakat Orang Asli memeriahkan sambutan tahun baru sebagai hari
perayaan rasmi bagi suku kaum mereka. Contohnya Yayasan Orang Asli Perak menjadikan
‘Jis Pai’ atau ‘Tahut Pai’ sebagai program induk tahunan badan tersebut. Bagi
masyarakat Orang Asli di negeri Selangor dan Negeri Sembilan ia dikenali
sebagai sambutan atau perayaan ‘Hari Moyang’. Di Perak dikenali sebagai ‘Genggulang’
manakala di Pahang pula dikenali sebagai ‘Bla Kampung’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan