SMAHADZIR
WAKTU keberangkatan kapal terbang yang akan saya tumpangi menuju sebuah bandar raya di negara asing, ditunda dua jam. Seorang ibu bertubuh gempal mengomel kerana dia pasti terlambat menghadiri majlis penganugerahan ijazah anaknya di bandar raya yang kami tuju itu.
Seorang lelaki separuh baya yang tidak
putus-putus merokok sewaktu menunggu waktu keberangkatan memicit keningnya.
“Aduh, jadual yang dah disusun jadi kelam kabut,” katanya separuh mengeluh.
Berbagai suara sebagai reaksi atas kelewatan
keberangkatan itu terlontar dari hampir setiap mulut bakal penumpang yang akan
berlepas. Saya yang merasa tidak perlu menambah carut-marut seperti itu
melangkah ke restoran yang tidak jauh dari ruang menunggu. Beberapa orang bakal
penumpang lain juga mulai melangkah meninggalkan ruang menunggu tersebut.
Di restoran itu saya hanya memesan secawan
kopi dan sepotong croissant. Saya memilih duduk di pojok agar dapat
membaca buku yang baru saya beli dengan tenang. Saya tenggelam dalam Sastera
Sebagai Seismograf Kehidupan, karya yang ditulis oleh Shahnon Ahmad dalam
buku setebal 566 muka surat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.
Belum setengah jam dengan keasyikan membaca
buku itu tiba-tiba seseorang menghampiri dan menarik kerusi di hadapan saya.
Saya menoleh ke arahnya. Dia menghulurkan tangan sambil menyebut namanya. Saya
menyambut huluran tangannya sembari menyebut nama saya. Iskandar Zulkarnain
namanya. Dan saya, Yusof Ismail.
“Perjalanan niaga?” Iskandar Zulkarnain
bertanya.
“Oh, bukan. Seminar bahasa,” jawab saya.
Dia mengangguk. Setelah mengeluarkan
sebungkus rokok Marlboro dari saku kotnya, dia menawarkan sebatang kepada saya.
Saya menolak mesra sembari mengucapkan terima kasih.
“Tuan tahu mengapa tuan yang saya datangi,
bukan yang lain-lain itu?” dia bertanya sambil mengarahkan ibu jarinya kepada
bakal penumpang lain yang juga ramai di restoran itu.
Saya gesit menggeleng.
“Kerana itu,” ujarnya sambil menunjuk ke arah
buku nipis yang saya pegang. “Dari tadi saya lihat tuan tekun membaca di balai
berlepas itu. Tuan orang yang tahu menghargai waktu dan serius. Maaf, saya
mengganggu keasyikan tuan kerana memilih duduk di sini. Silakan terus membaca,”
ujarnya sambil membongkok mengeluarkan sebuah majalah Dewan Ekonomi
terbitan DBP dari beg yang dibawanya.
Setelah membolak-balik beberapa halaman
majalah tersebut, dia menyandar dan mulai membaca. Saya kembali membaca tulisan
Shahnon Ahmad sambil sesekali melirik ke arahnya. Melihat kot yang dipakai dan
majalah yang dibacanya, saya merasa lelaki berusia sekitar 48 tahun ini adalah
seorang usahawan. Ahli perniagaan biasanya sangat mementingkan penampilan
seperti itu di samping hanya tertarik pada majalah ekonomi.
Ketika dia menoleh ke arah saya, kebetulan
saya sedang mengangkat cangkir kopi. Dengan santun saya mengajaknya minum. Dia
baru sedar bahawa dia belum memesan apa-apa. Dengan bahasa isyarat dia
memanggil pelayan dan memesan segelas cappucino, yang lima minit
kemudian diletakkan oleh pelayan di hadapannya. Dia segera menghirup perlahan
minuman hangat itu. Selepas itu dia kembali membaca majalahnya. Kalau tadi dia
mengatakan bahawa saya sangat menghargai waktu, kini sayapun beranggapan begitu
tentang dirinya. Dia lebih suka membaca daripada berbicara dengan saya. Dan
serius, seperti tadi dia menilai saya.
Apakah hanya kerana persamaan itu dia memilih
duduk di sisi saya di restoran ini? Ataukah keasyikannya membaca itu hanya
pretensi dan merupakan pengantar ke arah tujuan yang sebenarnya? Saya tidak
berani membuat apa-apa kesimpulan.
Satu jam berlalu dan kami belum saling
mengenali lebih jauh. Setelah membaca beberapa muka surat karya Sasterawan
Negara Shahnon Ahmad, saya menutup buku tebal itu dan meletakkannya di meja
sisi cawan kopi. Pada waktu yang hampir bersamaan dia menutup majalahnya dan
memasukannya kembali ke dalam beg galasnya.
“Shahnon Ahmad,” katanya. “Saya suka juga
dia. Sastera pun saya suka, cuma saya lebih banyak membaca buku-buku bercorak
ekonomi dan kewangan,” ujarnya bersahaja.
Saya menyambut kata-katanya dengan senyuman.
Rupanya dia juga suka membaca karya berunsur sastera. Dugaan saya bahawa dia
hanya gemar membaca buku yang ada kaitannya dengan perniagaan saja ternyata
meleset.
“Ke London?” dia bertanya.
Saya gesit mengangguk.
“Saya harus ke beberapa buah bandar raya.
London, Paris, Zurich dan Rome. Sebenarnya saya sudah jemu mundar-mandir
begini, tetapi bos tetap juga mengarahkan saya,”
‘Pasti dia ini orang penting,’ ujar saya
dalam hati. Paling tidak orang kepercayaan pihak atasan. Berhadapan dengan
orang seperti ini saya lebih suka mendengar daripada berbicara.
“Sebagai frequent traveller saya suka
menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang berbeza. Tapi, baru kali ini
jadual keberangkatan tertunda. Saya tidak mahu lagi naik kapal terbang syarikat
ini. Buang masa saya saja,” ujarnya melontarkan kekesalannya.
Selepas sekali lagi menghirup cappucino
di hadapannya, dia bercerita tentang dirinya tanpa saya minta. Dia bekerja di
sebuah bank asing di Kuala Lumpur dengan ibu pejabat di kota London.
Mulanya dia bertugas sebagai ketua jabatan
kakitangan, kemudian dipindahkan ke bahagian kredit, dan terakhir memegang
jawatan ketua bahagian pertukaran wang asing. Jadi, ketika bertugas di bahagian
terakhir inilah dia banyak melancong ke negara asing. Saya percaya saja kerana
saya memang tidak tahu apa-apa tentang dunia perbankan.
Pada awalnya dia tidak tertarik bekerja di
bank tetapi kerana lamarannya ditolak di beberapa tempat akhirnya dia melamar
di bank tempatnya bekerja sekarang. Kerana dia lulus temuduga dan bahasa
Inggerisnya bagus, dia diterima dengan gaji awal yang lumayan. Kemudian, kerana
dia telah akrab dengan dunia perbankan, dia merasa bahagia bekerja di bank
asing itu.
Iskandar Zulkarnain yang mempunyai dua orang
anak perempuan dan kedua-duanya sedang belajar di sekolah menengah itu tidak
sempat menyudahi kisahnya kerana panggilan terdengar melalui pembesar suara di
restoran agar semua penumpang segera kembali ke balai menunggu kerana kapal
terbang akan berlepas sebentar lagi.
* * *
Setelah beberapa jam terbang, saya terjaga dari tidur. Saya adalah penumpang yang senantiasa tertidur dalam setiap kali perjalanan dengan menggunakan kapal terbang, kendatipun jarak penerbangan pendek.
“Nyenyak betul tidurnya,” suara Iskandar
Zulkarnain terdengar dari kerusi belakang.
Saya segera menoleh ke arahnya.
“Sejak dua jam lalu saya pindah ke kerusi
ini,” katanya.
“Maksudnya mahu meneruskan perbualan, eh,
ternyata tuan tidur,” ujarnya lagi sambil tersengih. Dia boleh berpindah tempat
seperti itu kerana banyak kerusi penumpang kosong.
Ternyata dia ini benar-benar tidak menghargai
waktu, fikir saya. Dalam perjalanan sejauh ini dia masih saja ingin berbual.
Dan dia masih saja duduk di kerusi belakang itu walaupun tahu di sebelah saya
ada penumpang lain dan perbualan tidak mungkin dapat dilakukan dengan baik.
Tiba-tiba penumpang di sebelah saya
menawarkan diri untuk berpindah ke tempat Iskandar Zulkarnain jika beliau
memang ingin berbual dengan saya. Malangnya, tawaran itu diterima oleh Iskandar
Zulkarnain. Saya tidak mungkin dapat menyelamatkan diri lagi.
Ketika dia mulai berbicara, kantuk saya mulai
menyerang. Ceritanya sampai ke telinga saya antara dengar dengan tidak. Mata
saya tiba-tiba terbelalak ketika dia mengatakan di kerusi belakang di tempatnya
duduk tadi ada beberapa orang Arab yang agak mencurigakan.
“Jangan-jangan mereka perampas,” katanya.
Jantung saya gesit berdebar kencang.
“Sebagai seorang anggota keselamatan, tentunya
tuan tahu bagaimana nak mengatasi keadaan seandainya mereka melakukan rampasan
atau bagaimana nak mencegah jangan sampai rampasan itu terjadi,” ujarnya
separuh berbisik.
Saya menatapnya dengan perasaan hairan.
Anggota keselamatan? Mengapa dia mengatakan saya seorang anggota keselamatan?
Apakah kerana itu dia senantiasa ingin berada di sisi saya sejak di lapangan
terbang tadi? Saya menggeleng kerana tidak percaya kepada pendengaran saya dan
sekali gus membantah dugaannya. Namun saya dapat merasakan ini adalah bahasa
orang takut.
“Cuba tuan pura-pura ke belakang dan amati
mereka, barangkali dugaan saya benar,” ujar Iskandar Zulkarnain membuat
saranan.
“Saya
bukan seorang anggota keselamatan,” jawab saya tegas kerana saya keberatan
dengan saranannya itu.
“Demi keselamatan semua penumpang, tuan harus
berbuat sesuatu. Cubalah ke belakang dan amati mereka,” katanya lagi sambil
menarik lengan saya.
“Saya bukan anggota keselamatan,” balas saya agak
keras.
“Cubalah,” balasnya pula tanpa mempedulikan
penjelasan saya.
Entah apa yang mendorong saya, walaupun saya
tahu itu adalah bahasa orang yang takut, tiba-tiba saja permintaannya saya
penuhi. Saya melangkah ke jajaran kerusi belakang sambil berpura-pura ingin ke
tandas dan memerhatikan penumpang di setiap kerusi yang saya lewati. Dua orang
penumpang berkulit putih kedengaran berdebat sambil berbisik membincangkan
sesuatu di sebuah peta. Kerana jarak kerusi mereka dengan tandas hanya satu
meter dan mereka berbahasa Inggeris, saya dapat menangkap sekilas pembicaraan
mereka.
Kelewatan kapal terbang, menurut salah
seorang dari mereka, membuatkan mereka tidak mungkin sampai ke bandar raya yang
tertera pada peta itu seperti yang sudah dirancang. Sedangkan yang seorang lagi
dengan yakin mengatakan mereka akan tiba di bandar raya itu walaupun kecepatan
kereta yang mereka pandu hanya 50 batu sejam.
Setelah masuk ke tandas sebentar dan keluar,
saya melangkah ke kerusi saya dengan perasaan lega. Iskandar Zulkarnain si
pengecut itu telah mendramatisasikan keadaan secara berlebihan. Akhirnya, dia
sendiri yang ketakutan. Kerana itu, sebaik saja saya duduk dia segera menyambut
saya dengan pertanyaan beruntun.
“Apa yang harus saya lakukan? Mungkinkah kita
mampu menyelamatkan diri? Apakah tidak perlu kita beritahu pilot dengan segera?”
Saya memandang wajahnya yang ketakutan itu
dengan tenang. “Jangan bimbang,” jawab saya. “Mereka hanya akan melakukan
rampasan kapal terbang dalam penerbangan dari London ke Paris, bukan sekarang.”
Mendengar kata-kata saya dia menarik nafas
lega seraya mengelus dadanya. “Alhamdulillah,”
ucapnya perlahan.
Setelah menyandarkan tubuhnya ke kerusi,
mulutnya kumat-kamit berdoa. Baru selepas itu dia memandang saya dengan wajah
berseri. “Tuan,” katanya. “Saya dah naik takut mundar-mandir ke negara asing
seperti ini bukan kerana jaraknya yang jauh. Tetapi kerana rasa takut yang
menyerang saya setiap kali naik kapal terbang. Ketakutan itu terus menghantui
saya. Sebab itu, saya selalu mencari rakan berbual dalam penerbangan, tak kira
berapa lamapun penerbangan itu. Tadi, sebelum saya pindah ke kerusi ini, saya
berbual dengan penumpang di sebelah saya. Kerana dia mengantuk dan tertidur
saya harus mencari kawan lain, sebab itu saya berpindah ke kerusi belakang
tadi. Selama menunggu tuan bangun, rasa takut saya itu semakin menjadi-jadi
terutama sewaktu mendengar orang asing itu berbisik-bisik tidak henti-henti
membuka beg, mengambil kertas lalu berbisik-bisik lagi.”
“Apa yang tuan takutkan?” saya bertanya.
“Saya takut kalau kapal terbang ini mengalami
kemalangan, mendarat secara tergesa-gesa atau dirampas oleh pengganas dan
diletupkan. Perasaan seperti itu terus menghantui saya setiap kali naik kapal
terbang termasuk sekarang ini.”
Saya terdiam. Lama saya berfikir. Perasaan
itu mungkin mulai menghantuinya sebaik sahaja dia menginjakkan kaki di lapangan
terbang. Kerana itu sejak di sana dia mulai mencari rakan untuk membunuh rasa
takut itu. Hal yang sama juga mungkin dilakukannya sebaik memasuki kapal
terbang.
Saya yakin dia sebenarnya tahu bahawa saya
bukan seorang anggota keselamatan dan saya yakin dia juga tahu bahawa rampasan
akan dilakukan antara London dan Paris seperti yang saya katakan tadi hanyalah
bohong belaka. Tetapi, itu sudah cukup untuk mententeramkan hatinya.
Saya memandangnya. Dia menyandar sambil
menutup mata. Saya tahu dia hanya berpura-pura tidur kerana tangannya memegang
erat lengan kiri saya. Saya turut menutup mata.
Sebelum tertidur saya
telah mengambil keputusan. Sewaktu akan berpisah di lapangan terbang London
nanti, kepadanya akan saya berikan kad nama saya. Sebenarnya, selain bahasa saya juga seorang pakar
motivasi. Dia boleh menemui saya pada waktu saya menyampaikan seminar motivasi
petang hari. Sebagai tanda persahabatan, saya akan membebaskannya dari sebarang
bayaran. Berdasarkan pengalaman, saya tidak merasa ragu sedikitpun bahawa
pesakit yang saya temui di dalam penerbangan ini boleh disembuhkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan