Di Jabal Uhud
Berdiri di
Jabal Uhud,
ingatan lama
bergentayangan mengasak kotak fikir,
ada
perjuangan dan titisan airmata,
pengorbanan
dan simbahan darah,
para kekasih
Allah memancang tugu tekad penuh pasrah,
menjulang
agama di mercu megah,
dari henyakan
musuh helahnya seribu arah,
wayu sejarah
mencengkam gundah,
mujahid berhati
waja meredah prahara meredam amarah,
di lipatan
kisah menghimbau rasa resah.
Berdiri di
Jabal Uhud,
tak terduga
ada khabar datang menjengah,
kota Madinah
gempita maha hebat,
menghadapi
ancaman peperangan besar,
dicetuskan
para musyrikin,
selitan
riwayat sebuah sejarah terpatri erat,
terpahat
terus tak bernoktah di lipatan hati,
bersama
Muhammad; mujahid pilihan Allah,
insan
al-amin pengutus rindu kedamaian,
memupuk
semangat cinta kasih dakapan Rabbi,
antara
tawakal tusukan tajam pedang panah kafirun,
syurga di
bawah kilatan mesiu berterbangan,
mari bersama
Kekasih Allah berjihad di Jabal Uhud,
beriman
denganmu isytihar kebenaran,
mengagumi
Talhah dimakan pedang,
kehilangan
tangan di puncak menjulang panji kebenaran,
mencemburui
Abu Dajjanah,
mengorban
diri menahan panah datang mengarah,
demi
mempertahankan Nabi-Nya.
Berdiri di
Jabal Uhud,
mengiang
suara surah al-Anfal ayat 60:
“Siapkan
memerangi mereka,
dengan apa
saja kekuatan mampu,
dari
kuda-kuda ditambatkan untuk berperang,
menggentarkan
musuh Allah dan musuh kamu,
serta
orang-orang selain mereka,
tidak kamu
ketahui, sedangkan Allah mengetahuinya.”
Berdiri di
Jabal Uhud,
aku jadi
rindu pada Rasulullah,
melangit
tinggi impian entah bila akan berlaku,
menyertai
barisan depan pasukan berkuda,
memegang
menghayun pedang tombak ke dada musuh,
menambah
cintaku kepada Allah,
mengulang
rindu padamu Muhammad,
biarlah
kutahan panah mengancam tubuh,
aku ingin
mati dalam redha-Nya.
SMAHADZIR
Masjid Qiblatain,
Madinah
Anugerah Khidmat Cemerlang
Semarak bakti
di laman khidmat sepolos nurani,
serata pelosok
bumi keringat tertumpah,
harumnya budi
memurup segar ke langit warga,
wanginya keluar
menyeruak antara tawa dan derita,
selama bertahun
tak kunjung padam pedih mendera,
mengharung
getir prahara membuar nikmat keluarga,
menumpah taat
setia pada kerja, pada agama, bangsa dan negara,
inilah
ketentuan dan harga yang diterima,
anugerah
khidmat cemerlang yang didamba sekian lama,
sebagai peletak
jasa di mercu jaya.
Anugerah bukan
pengukur budi dan jasa,
keringat yang
mengalir dan lara yang ditempa,
semata-mata
untuk kesentosaan nusa dan warga,
Engkau yang Esa
memberikan petunjuk jalan bahagia,
dengan doa dan pasrah
mendepani semua dupa petaka,
membina astaka
bahagia untuk semua, tiada untaian kata seindah hamdalah,
sarat syukur
atas tibanya hari bersinarnya anugerah,
akhir dari
sebuah penantian untuk jawapan segala payah,
pendamping
perjuangan sepanjang sejarah,
perkhidmatan
yang sentiasa disergap api amarah,
warga
penjenayah yang dahagakan darah, jika tersalah langkah.
Jasaku tak
senilai nikmat yang telah Kau beri,
izinkan syukur
ini terungkap dari lubuk hati,
atas pelita iman
sebagai penunjuk jalan,
atas
bimbingan pemimpin yang mencerahkan,
atas keyakinan
hati yang meneguhkan,
atas pengorbanan
keluarga yang membanggakan,
atas bantuan
sahabat sejabatan yang menguatkan,
atas ketetapan tugasan
yang menenangkan,
atas takdir indah
yang Kau sempurnakan.
Banting,
Selangor
Telurku Besar
Telurku besar,
bukan sebesar
bola raga,
tapi besarnya
membeliakkan biji mata,
sesiapa saja,
tiada
tandingannya,
jadi bual
bicara sepanjang masa,
bercengkerang
kukuh nyata,
berisikan emas
permata.
Telurku besar,
dilingkung
lendir bongkak dan bangga,
meluruhkan
ranggi-ranggi syukur,
dari bunga
tawaduk,
teguh berpaut,
di dahan insaf,
betapa rapuh
utuh sebiji telur,
mampu remuk
dihempap batu,
bergolek dari
gunung takdir.
Telurku besar,
kerana aku
seekor raksasa,
yang pules
tidur di gebar bangga,
alpa kehendak yang berkuasa,
dengan kun fa yakun-nya.
SMAHADZIR
Tahajud Malam Sepi
Dalam kegelapan malam sepi,
aku bangun mengadap Rabbi,
dengan curahan air dingin bening,
mencari susur galur tenang hakiki,
air curahan, penyegar jiwa kehausan,
merayap dingin ke seluruh jasadiah,
membasuh segala kekotoran,
lenyap segala kekusutan,
atas hamparan sejadah suci,
takbir kuangkat mengapung langit kirmizi,
ya Rabbi, terimalah segala pengampunan ini.
Hari silam - lembaran sarat noda,
kejahilan menjadikan aku manusia gila,
hedonistik, kebendaan merajalela,
rumah Allah jarang bermain di mata,
terlalu jauh dalam jurang kealpaan,
sehingga tersungkur di lembah serakah,
syukur aku akas bingkas, menyarung kedok insaf,
taubat nasuha kucegatkan,
mohon maghrifah rayu redha,
agar segala dosaku diampunkan.
Tahajud malam sepi,
membawa aku ke langit jauh, di bawah lautan luas,
terbentang sayup membawa tenang,
terdampar di pantai sejahtera, niat hadir menyusul
qiam diam,
rukuk, iktidal, sujud, iftirasy sarat ketakwaan,
tasyahud dengan linangan airmata insaf,
segala dosa silam kubiarkan lenyap dalam taslim
muhasabah.
Ya Rabbi, berilah petunjuk-Mu teruskan langka,
maya ini penuh lorong ke neraka,
jauhkan aku dari anasir durjana,
tetap imamat teguh mujahadah,
ingin khali dalam iman akidah,
moga tahajud jadi pendorong,
untukku terus bermuhasabah,
agar hidup dilingkung berkah.
SMAHADZIR
Masjid KLIA
Janji Anak
Palestin
Belum kering
titisan darah saudara tumpah,
lantaran kejam
tangan kotor,
belum berhenti
tangis adik ditinggal ibu tercinta,
oleh kebusukan
jemari najis,
belum habis
kepulan debu rumah dilanyak hancur,
oleh kereta
kebal laknat,
belum reda
laungan takbir ayah pertahan izzatul Islam,
kerana paksaan
propaganda dusta,
anak Palestin
meneguh janji,
tidur mereka tak
akan nyenyak, makan tak akan nikmat,
tiap tarikan
nafas akan tersekat,
meski roh
saudara menguap ke angkasa,
semangat jihad sentiasa
bergejolak untuk membela,
jadi syaitan
pengganggu ketenangan.
Mereka adalah
zionis;
dajjal berwajah
Amerika, syaitan berupa Israel,
dajjal
berseragam tentera sekutu bermuka khinzir,
anak Palestin
katakan, mereka tak akan rasa kemenangan,
mereka akan
telan kehinaan dunia keburukan akhirat,
mengekor menjadi
bayang hitam tiap detik,
hingga Dia
menurunkan azab sengsara.
SMAHADZIR
Paka, Terengganu
Kemboja Tanah Moyang
Dalam taman tanah moyang,
sekuntum kemboja menggerbak harum,
tersembunyi kembang indah permai,
tiada tersentuh angin kasar,
tiada terjirus hujan keras,
dibelai siulan unggas bersenandung merdu,
dengan lirik santunan budaya bangsa tercinta,
tiada disentuh jejari ganas,
tiada dicumbu cinta nan asyik,
mempersona di puncak gunung,
mekar berkembang di jantung dunia.
Bak kemboja disiram air penawar,
dipupuk dijaga dibelai cumbu,
daun bersemi, ranting merendang jadi teduhan,
harum menghias jendela bumi,
dialah serikandi, puteri tanah moyang,
api juang tak pernah padam,
berkobar sepanjang zaman,
darah merah sentiasa mengalir,
membahang bergelora membela negara,
dia bukan petualang kecundang,
bukan penderhaka jalang,
hanya sekuntum kemboja tanah moyang.
SMAHADZIR
Kuala
Lumpur
Syuhada
Uhud
i
Jabal Uhud; gema peri purbakala,
menjelma tanpa kata,
masa sekelip mata, nabi datang ke puncak Uhud penuh
waspada,
sontak, sekujur tubuh gunung bergetar tanpa
suara,
“apakah itu gempa bumi melanda?”
persoalan dua sahabat mengasak minda,
bimbang satu malapetaka,
bakal mengancam nyawa.
Sabda baginda mulia, “ini bukan satu malapetaka,
tapi Uhud sedang gembira,
menyambut kehadiranku menginjak tubuhnya!”
betapa kaki baginda,
mulia seluruh buana,
terhimpun kesucian seorang anbia,
kekasih Allah, pembimbing umat, penjana akhlak,
semua manusia.
Uhud bergetar, batu-batu bergegar,
Nabi berkata datar: “Jabal Uhud, usah bergetar,
berhentilah bergegar, menggugah gelentar,
sebab aku telah sedar, engkau sangat gembira,
menyambut kedatangan manusia mulia,
di sisi Azzawajalla.”
Uhud berhenti bergegar,
takzim pada lidah kekasih Allah akbar,
sebalik bukit para syuhada riang debar,
syurga menanti sebagai ikhtibar,
perjuangan menegakkan kalimah Allah Maha Besar,
pembela agama benar.
ii
Buat syuhada Uhud,
di sini terbaring sementara waktu,
terus hidup sejahtera menikmati anugerah ilahi,
sebalik longgokan nisan batu,
jerit takbir, hempasan tubuh nafas bersatu,
dalam kalimah suci mengapung ke langit biru,
riang bertahmid berzikir memuji Rabbi,
kalah mengukir takhta para syuhada,
dengan harta dunia, istana kaya singgahsana,
bukan cita seorang pejuang agama suci,
Saiyidina Hamzah pahlawan terbilang,
gilang gemilang terbujur di medan perang,
gugur mengikis dendam sahara,
jantung putih dari gigi pengunyahnya,
derap kaki lebih gempita,
hingga nanar mata baginda.
Salam untukmu para syuhada pilihan Azzawajalla,
kulihat singgahsana kencana di pusara mereka,
kemenangan Badar hanyalah debu,
dan nisan beku,
dengan bait puisi restu.
SMAHADZIR
Hadapan Jabal Uhud
Mekah Ar-Mukaramah
Dirgahayu
Bentala Nusa
i
Telah bersipongang pekik merdeka,
menggegar, berkumandang ke seluruh pelosok bentala,
peluh darah pahlawan bangsa,
suka duka kehidupan warga, berbuah nyata,
sedar sebagai tunas bangsa,
penerus sejarah pemandu jalan sejahtera,
perjuangan menegak pilar agama,
mari kita jaga ibu pertiwi tanah merdeka,
junjung martabat raja-raja negeri,
dirgahayu tanah moyang nusa tercinta,
nyalakan terus semangat kemerdekaan hakiki,
sekali merdeka tetap merdeka abadi lestari.
Semangat pahlawan darah para pejuang,
di sempadan, pahlawan menjulang lading membela,
tak menyerah patah arang teguh jiwa,
tak gentar geguntur dan genderang musuh,
tetap merempuh biar nyawa rebah terkujur.
Gegak gempita gendang kemenangan,
letih raga mencengkam membebat rasa,
rebah bukan bermakna kalah,
tapi strategi merenda muslihat untuk meredah musuh,
di sini kelun-kelun doa membumbung ke langit terbuka,
bangkit menyerang petualang mengancam,
mentari tersenyum tanda melawan,
walau tulang tak lagi menyatu,
tapi jiwa semangat maju takkan luntur,
kini, mimpi ngeri telah usai bubar berkecai,
tapi cita takkan berhenti terus membuar,
perjalanan hidup panjang di bentala,
semangat pahlawan kembali tegak berdiri.
ii
Hari ini aku berdiri menghadap jata negara,
garang harimau menjaga gagah jalur gemilang,
hentak berani menyongsong hasrat menjulang nusa,
suci jiwa menggapai harapan gemilang bangsa,
aku anak jati bentala merdeka,
semangat jati menyuar pengorbanan membela,
merdeka tetap lestari selamanya,
majulah tanah moyangku,
berdaulat sepanjang masa.
31 Ogos 1957,
hari kemerdekaan tanah moyang,
hari kebangsaan nusa tercinta,
hari lahir bangsa Malaysia,
semangat juang para pahlawan,
gugur tenang di medan perang,
harum namanya di kandung badan,
tetap dikenang tetap dijulang,
sebagai pejuang kemerdekaan.
SMAHADZIR
Dataran
Merdeka,
Kuala
Lumpur
TANAH IBUNDA
Tanah ibunda; berdiri di dadanya,
sebuah perjuangan, gunung
bersalut emas,
dahulu, bertakung nanah membuak,
mengalir darah hanyir,
pejuang mulus berbakti,
kujelajahi juzuk tubuhnya,
parut luka tak lagi bernanah,
cergas menunas, pohon merimbun
redup,
tasik mengalir jernih,
gelicau unggas bersenandung ria,
dengan lagu bahagia, cerita
gembira,
anugerah mesra, bentala
sejahtera.
Tanah ibunda; menginsafkan,
dengan kasih, menyelusur hari
silam,
dibalut gebar cabuh, dibakar
mentari,
memesrakan aku dengan sayang,
mengenang perkasa diri,
kala menjinak ganas gelombang,
memujuk terjang angin,
membawa kolek ke pantai putih.
Tanah ibunda; puisi kasih
tercipta,
dari satuan ikhlas,
dalam cerlang kehidupan,
membebat erat perasaan,
kuhadiahkan, kala imbauan
rasional,
merayapi mindaku.
SMAHADZIR
Banting, Selangor
@Hakcipta Terpelihara
ALAM
CAMERON HIGHLAND
Gunung-gunung dan bukit-bukit hijau
tinggi tajam menongkat alam
menjulang menusuk awan
air sungai berkelok
bermain di celahan kakinya
makmur fauna flora bersyukur
segar bugar dalam lingkungnya
bilakah agaknya
Tuhan menurunkan tangan-Nya
mengukir mencalit warna alam
memahat mencoret sebegini cantik mempersona
Belantara menghijau membiru kejauhan
ladang sayur membentang kekayaan
bunga pelbagai warna menggerbak memekar
kebun teh menghijau saujana
kumbang rerama berterbangan riang
unggas gelicau bersenandung tembang gembira
pawana berhubub mesra manja
semua mengarak senyum pesona
semilir sejuk segar membelai nyaman
molekul bahagia bertebaran
menyerap ke pori kehidupan
SMAHADZIR
Cameron
Highland
Kalung Emas Ibu yang Tercampak di Longkang Kota
Kalung
ibu bersalut emas,
tercampak
jatuh dari seorang perempuan muda kala membuka bajunya,
di
tepi longkang hadapan orang ramai,
manik-manik
bertatah permata, kemerlap kemilau,
berderai
di atas sampah kohong, bertaburan merata-rata,
ibu sedih lalu bersenandung dengan lidah
sakit,
dan bernanah santak ke hujung jantung hati,
yang parah dan terobek sukma,
sehinggakan rokib dan atid tak tergamak
mencatat,
setiap ketar suara, setiap gigil kata, yang
bergema dari jelunya,
izrailpun terkaku lalu berdoa ditugasan
terakhir,
jangan biarkan ia tercampak.
Pesan ibu; tebarkan gebar-gebar kasih,
kejapkan selimut-selimut cinta,
jangan berkecai dihenyak bongkah harta,
namun sirna juga di gelora haloba,
ibu membelainya dengan kelembutan dan manis
kata,
janji semalam; usah bimbang, usah curiga,
tidak bergema suara menyambut,
kosong, lampung, tidak pernah bersahut.
Seorang
kanak-kanak tahfiz berasa hiba,
melihat
kalung kencana berharga,
berserakan
di longkang kota,
lalu
dikutip dan dicantumkan semula,
dan
disarungkan ke lehernya,
menjadi
hiasan paling bermakna,
dijaga
dan digilap sepanjang masa,
kemilau
hingga ke lawang senja.
SMAHADZIR
Angan-Angan
Mesra menguak lawang minda, terbang
ke langit jauh,
bersama bidadari, bersama bahtera
kencana,
bersama beburung berkepak
permata,
menyelusup ke samudera terdalam,
bersama karang, bersama mutiara,
sampai ke mahligai
antah-berantah, mempersona.
Membina istana kehidupan sarat
kemewahan,
duit ringgit harta bertimbun, emas permata membukit terhimpun,
kereta besar tersergam berkilau
anggun,
bersarapan di hotel berbintang
besar,
disaji pelayan manis dan pintar, tiada
masa berhati gusar,
pabila malam disenandung bidadari
cantik,
berparas pesona bersuara lunak
senyum menarik,
pipi pauh dilayang alis bagai
dipantis,
gigi melepak telapak lunak jejari
melentik,
betis bunting padi ghairah
melirik-lirik.
Datang kala sepi mengapung rasa,
menyelinap celahan hati mengetuk
pintu masa,
senyum pun menguntum memekar
pesona,
andainya aku kaya raya, harta
bertimbun wang berjuta,
tentu dipandang mulia, dirai
hormat di mana saja,
apa dikata semua dikota,
itulah mainan angan-angan entah
bila jadi nyata,
hanya bergentayangan depan mata,
membuai rasa melayang ke mana
saja,
selalunya ke taman syurga.
Bila jelak bercengkerarama di
kamar impian,
melenyap tanpa kesan, terkebil-kebil
dengan senyuman,
jadi kaya hanya angan-angan,
mustahil jadi kenyataan.
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Segamat, Johor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan