Ahad, 14 Mac 2010

Memelihara Rumahtangga

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 05 Mac 2007

Oleh SMAHADZIR

FAHAMILAH tentang kaedah batas-batas aurat bagi seseorang wanita atau lelaki yang bukan muhrim. Jika perkara ini tidak diberi perhatian secara serius, lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumah tangga keluarga Muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang perkara ini, bukan saja institusi rumah tangga malah negara pun akan runtuh kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa. Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia di dunia dan di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Umamah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Bagi seorang mukmin, setelah bertakwa kepada Allah s.w.t tidak ada sesuatu yang terbaik, selain daripada isteri yang soleh, iaitu isteri apabila disuruh, dia mentaatinya, apabila dipandang menggembirakannya, apabila diberi janji, diterimanya dan apabila ditinggalkan pergi, dirinya dijaga dengan baik begitu juga harta suaminya.’ (Hadis riwayat Ibn Majah)

Dalam sebuah hadis lain, daripada Saad bin Abi Waqqas dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang soleh, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk.’ (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis ini, jelas bahawa seorang perempuan yang soleh, mestilah amanah dan berupaya menjaga maruah diri. Dalam kehidupan berkeluarga, isteri adalah nakhoda dalam rumah. Isteri merupakan penenang jiwa suami tempat bermanja, tempat luahan segala yang tersemat dalam hati. Cukup untuk menghilangkan rasa penat seharian biarpun hanya dengan menjengukkan leher beberapa minit. Isteri adalah pasangan hidup, pengatur rumah tangga, ibu daripada anak-anak yang dilahirkan, tempat menumpahkan rahsia dan mengadu nasib.

Perilaku yang tidak manis menyebabkan fungsi seorang ibu yang menjadi tunjang kebahagiaan itu terhapus. Memang benar sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh mencegah perlakuannya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Demikianlah jaminan Allah s.w.t seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran, surah al-Ankabut ayat 45. Jaminan Allah s.w.t ini pasti benar. Zina adalah perbuatan mungkar dan kejahatan.

Walaupun demikian, biar betapa tetap sembahyang seseorang itu, tetapi kalau hati dan anggotanya pergi menapak, merangkak, menyusuri gedung-gedung maksiat, fungsi sembahyang itu akan terhindar jauh. Dalam keadaan seperti ini, mungkin lebih selamat biarpun seseorang itu tidak sembahyang langsung, tetapi kakinya tidak berjalan mencari lelaki yang memasang lukah ataupun mencari peluang melepaskan nafsunya. Biar dalam keadaan apa sekalipun sembahyang yang cukup dalam waktunya sambil menjaga pergerakan anggota tubuh, itu adalah lebih baik dan selamat.

Suatu hakikat yang tidak dinafikan, hubungan seksual antara suami isteri tidak pernah dipandang kecil oleh Islam. Justeru itu, suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri hendaklah menentukan giliran antara isteri dengan adil. Jika gagal, dibimbangi perjalanannya tempang ketika di akhirat nanti. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Sesiapa yang mempunyai ramai isteri, dia tidak berlaku adil terhadap mereka, akan dibangkit pada hari akhirat dalam keadaan senget.’

Al-Quran menyentuh kerukunan hidup berpasangan adalah suatu nikmat anugerah Allah s.w.t yang sangat dihargai, iaitu dalam ayat 21 surah al-Rum yang bermaksud: ‘Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan hidup daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.’

Ayat ini menjelaskan, ketenangan hati dan kemesraan hidup dengan pasangan, merupakan nikmat yang sangat besar dan tujuan utama perkahwinan didirikan, kerana apalah ertinya bersuami atau beristeri jika hidup sentiasa keruh, kehendak batin tidak terlayan dengan sempurna. Justeru, hubungan seks menentukan kebahagiaan suami isteri, maka Islam menjadikannya sebagai amalan yang ada pahala padanya. Dalam sebuah hadis yang panjang, diriwayat Muslim daripada Abu Zar Al-Ghifari r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

‘Apakah kegiatan hbungan suami isteri itu diberi pahala, sedangkan ia dilakukan semata-mata kerana nafsu? Sabda baginda lagi: Bukankah menjadi dosa jika dilakukannya pada jalan haram? Begitu juga ada pahala, kerana ia melakukannya pada jalan yang halal.’

Seperti yang dikatakan, insan dalam syariat Islam, sama ada lelaki mahupun wanita adalah makhluk yang memikul beban tugas dan pada masa yang sama juga mempunyai hak terhadap segala tanggungjawab yang perlu disempurnakan. Ajaran Islam berbeza daripada budaya yang diamal dalam masyarakat Barat. Mereka selalu bertanya: Apa hak yang patut saya peroleh?

Sebaliknya, Islam mengajar umatnya supaya bertanya: Apakah kewajipan saya yang saya belum penuhi, kemudian baru beralih kepada hak yang patut saya peroleh. Memang majikan dituntut membayar upah, tetapi setelah kerja sempurna dijalankan. Sabda Nabi yang bermaksud: ‘Bayarlah upah kepada pekerja sebelum kering keringatnya.’

Hak seseorang manusia pada hakikatnya adalah suatu kewajipan yang ke atas orang lain. Sebagai contoh, hak anak-anak mendapatkan kasih sayang ibu bapa. Pada masa yang sama ia adalah tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya. Anak-anak seolah-olah berhutang kasih sayang pada kedua-dua ibu bapanya, kerana mereka bertanggungjawab mentaati ibu bapa, terutama setelah mereka uzur atau lanjut usia.

Hubungan antara suami isteri adalah dibuat melalui suatu ‘kontrak’ atau ikatan yang membabitkan sama-sama mempunyai hak dan tanggungjawab secara timbal balas. Setiap tanggungjawab yang disempurnakan, sepatutnya dibayar dengan hak yang dinikmati. Dengan kata lain, suami dan isteri, masing-masing mempunyai hak mengambil dan memberi. Tiada hak yang diambil dengan percuma tanpa tanggungjawab yang diberi.

Ikuti apa kata al-Ghazali yang menyatakan bahawa struktur asas bagi pembinaan rumah tangga bahagia. Katanya: Sesebuah rumah hendaklah dibina di atas tiga struktur asas, iaitu: ‘al-sakinah’ (ketenangan), ‘al-mawaddah’ (kemesraan) dan ‘al-tarahum’ (timbang rasa).

Asas pertama, ketenangan, membawa maksud, hendaklah suami isteri berpuas hati dengan pasangannya. Mereka seharusnya tidak berminat dengan yang lain. Kedua, kemesraan pula membawa erti suka dan duka secara bersama. Ketiga, timbang rasa pula lebih banyak merujuk kepada akhlak yang mulia serta tahu bersyukur atas nikmat yang diperoleh. Sesebuah rumah tangga yang berjaya didirikan di atas tiga struktur ini merupakan keluarga yang paling bahagia, bahkan inilah keluarga yang mampu mengatasi segala cabaran hidup dan ibu bapa yang bakal melahirkan zuriat yang sihat dan keberkatan yang berpanjangan.

Harta benda dan kemewahan hidup tidak menjamin kebahagiaan yang dicari-cari. Kadang-kadang hidup di sebuah rumah usang, pasangan lebih mampu mengukir senyum yang berterusan. Perhatikan sebuah hadis riwayat Sa’d ibn Abu Waqqas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Tiga perkara yang membahagiakan: Isteri yang setia, kenderaan yang senang ditunggangi dan kediaman yang selesa.’

Seseorang yang ada niat mendirikan rumah tangga, hendaklah berhati-hati mencari pasangan yang ada padanya ciri-ciri yang disebutkan di dalam hadis di atas. Lelaki dan perempuan sama sahaja, bahkan perempuan lebih perlu berhati-hati dalam memilih bakal suaminya. Perlu diingat, kalangan lelaki ada juga yang hanya berfikir tentang haknya, tetapi melupakan tanggungjawabnya. Selalunya orang ini sombong atau besar diri, tidak sudi melihat keperluan pada pihak lain. Rumah tangga Islam perlu didirikan di atas hak dan tanggungjawab bersama, mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Al-Quran, iaitu isteri-isteri mempunyai hak yang sama, seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka. Dalam pada itu, orang lelaki mempunyai satu darjah kelebihan, (al-Baqarah: 228). Satu darjah kelebihan yang dimaksudkan ialah menjadi ketua keluarga, atau pengerusi dalam persyarikatan hidup.

Menjadi isteri memerlukan kelayakan yang cukup. Wanita yang berhati batu, tidak pandai memujuk suami, sering menuntut hak dan mengada-adakan masalah, tetapi gagal menunaikan tanggungjawab, tidak layak menjadi suri rumah, lebih-lebih lagi menjadi ibu kepada anak-anak yang bakal menyambung zuriat. Kelayakan yang serupa juga hendaklah ada pada diri lelaki yang ingin menjadi suami.

Suatu kisah yang cukup menarik diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya: ‘Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w kerana anak gadisnya tidak mahu berkahwin.’

Sabda Nabi kepada gadis itu yang bermaksud: ‘Patuhilah kehendak bapamu. Jawab gadis: Saya tidak akan kahwin sehingga Rasulullah s.a.w menyatakan apa tanggungjawab saya sebagai isteri. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Jika suamimu berkudis, lalu engkau rawat kudisnya dengan mulutmu, maka perbuatan itu tidak wajar , dianggap sebagai keterlaluan. Jawab gadis: Demi Allah s.w.t, kalau begitu tugas isteri, aku tidak akan kahwin selama-lamanya. Sabda Nabi kepada bapanya: Jangan engkau paksa dia berkahwin. Biarlah dia membuat keputusan sendiri.’ (Qadaya al-Mar’ah, halaman 128).

Sebenarnya apa yang dikatakan kepada isteri terhadap suami, itulah juga dikatakan kepada lelaki terhadap isterinya. Jika ada suami yang berasa jijik merawat kudis-kudis isterinya, atau isteri hanya pada waktu sihat sahaja, maka lebih baik bagi lelaki ini berpuasa sahaja, sesuai dengan nasihat Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘Sesiapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa, kerana puasa menjadi pengikat nafsunya.’

FAHAMI ASAS PERKAHWINAN

Perkahwinan merupakan keperluan fitrah setiap manusia yang memberikan banyak manfaat, di antaranya adalah: Pembentukan sebuah keluarga yang di dalamnya seseorang dapat menemukan kedamaian fikiran. Orang yang tidak berkahwin bagaikan seekor burung tanpa sarang. Perkahwinan merupakan perlindungan bagi seseorang yang merasa seolah-olah hilang di belantara kehidupan; orang dapat menemukan pasangan hidup yang akan berbahagi dalam kesenangan dan penderitaan. Ghairah seksual merupakan keinginan yang kuat dan juga penting.

Setiap orang harus mempunyai pasangan untuk memenuhi keperluan seksualnya dalam lingkungan yang aman dan tenang. Orang harus menikmati kepuasan seksual dengan cara yang benar dan wajar. Orang-orang yang tidak mahu berkahwin seringkali menderita ketidakaturan baik secara fizikal mahupun psikologi. Ketidakaturan semacam itu dan juga persoalan-persoalan tertentu merupakan akibat langsung dari penolakan golongan muda terhadap perkahwinan. Reproduksi atau sebagai wadah untuk melangsungkan keturunan.

Melalui perkahwinan, perkembangbiakan manusia akan berterusan. Anak-anak adalah hasil dari perkahwinan dan merupakan faktor-faktor penting dalam memantapkan asas keluarga dan juga merupakan sumber kebahagiaan sejati bagi ibu bapa mereka. Di dalam Al-Quran dan hadis, perkahwinan dan anak-anak sangat ditekankan. Allah s.w.t menyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri.’ (QS 30:21)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud’ ‘Tidak ada suatu bentuk yang lebih baik di dalam Islam daripada perkahwinan. Dan barangsiapa memilih untuk mengikuti sunnahku, maka dia harus berkahwin dan melahirkan anak-anak sehingga aku dapat melihat umatku dalam jumlah yang besar.’

Saidina Ali menyatakan, ‘Berkahwinlah kerana ini merupakan sunnah Nabi.’

Imam Ridha menyatakan, ‘Milik seorang lelaki yang paling berharga adalah isteri yang setia yang bila dia melihat isterinya itu, dia menjadi bahagia, dan isterinya itu melindungi harta dan kehormatannya ketika suaminya sedang pergi.’

Apa yang kita bahaskan setakat ini hanya dari segi duniawi dan segi kemakhlukan dalam perkahwinan yang dilakukan oleh haiwan: keuntungan dalam kebersamaan dan reproduksi. Tujuan perkahwinan yang sejati bagi manusia memiliki jenis yang berbeza. Kehadiran manusia di dunia bukan semata-mata untuk makan, minum, tidur, mencari kesenangan atau mengumbar nafsu dan kemudian mati dan dihancurkan. Status manusia lebih tinggi daripada perbuatan-perbuatan seperti itu. Manusia diharuskan melatih diri dan jiwa mereka dengan jalan mencari ilmu, melakukan perbuatan-perbuatan baik, dan bertingkah laku terpuji. Manusia diharuskan mengambil langkah-langkah di jalan yang lurus untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Manusia adalah suatu ciptaan yang mampu membersihkan jiwa dengan jalan menghindari perbuatan-perbuatan buruk dan melatih diri berkelakuan baik bagi mencapai tingkat yang tidak mampu dicapai oleh malaikat. Manusia adalah ciptaan abadi. Manusia telah datang ke dunia dan melalui bimbingan para Rasul dan contoh penerapan program-program yang ditetapkan Islam - untuk memelihara kebahagiaannya di dunia dan akhirat - ia dapat hidup dengan damai secara kekal.

Oleh sebab itu, tujuan perkahwinan harus dicari dalam konteks spiritual. Tujuan sesebuah perkahwinan bagi orang beragama harus merupakan suatu alat untuk menghindarkan diri dari perbuatan jelek dan menjauhkan diri dari dosa. Dalam konteks inilah pasangan yang baik dan sesuai memegang peranan penting. Apabila dua orang beriman melalui perkahwinan membentuk sebuah keluarga, maka hubungan seksual mereka pun akan memberikan keuntungan dalam memperkuatkan rasa saling mencintai dan menyayangi yang ada dalam diri mereka.

Bagi pasangan yang demikian itu, tidak akan ada bahaya yang mengancam dalam hal penyelewengan seksual, kebiasaan-kebiasaan yang membahayakan, ataupun perbuatan-perbuatan yang diharamkan. Rasulullah s.a.w dan semua ulama telah memberikan penekanan yang kuat pada institusi perkahwinan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Barangsiapa yang melaksanakan perkahwinan maka dia telah melindungi sebahagian daripada agamanya.’ Imam Shadiq menyatakan, ‘Solat dua rakaat yang dilakukan oleh orang yang berkahwin lebih baik dari solat 70 rakaat yang dilakukan oleh seorang tidak berkahwin.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA