Ahad, 14 Mac 2010

Peranan Individu Dalam Kebangkitan Islam

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 27 April 2007

Oleh SMAHADZIR

TUBUH umat laksana satu individu makhluk hidup, yang boleh menderita penyakit dan gangguan, seperti halnya tubuh seseorang individu. Dan sebagaimana halnya pemerintah berusaha memelihara individu dan masyarakat daripada ancaman penyakit yang berbahaya dan gangguan buruk, begitu juga syariat dan peradaban-peradaban yang tinggi berusaha menjaga masyarakat daripada penyakit-penyakit sosial dan moral.

Sehingga tubuh umat terus terpelihara dari penyakit; kuat, kukuh, dapat menjalankan kewajipannya dengan penuh bernilai, mampu menghadapi kesukaran dengan tegar, dapat hidup dengan mulia, teguh daya tahannya, mulia tujuannya, terpuji akhlak dan nama baiknya, menikmati keamanan yang menyeluruh, dan memiliki kebahagiaan yang dirasakan oleh seluruh manusia. Sehingga dalam ketenteraman dan ketinggian rohani mereka, mereka umpama malaikat langit yang tidak merasa takut dan sedih.

Barangkali, yang menyebabkan kita ketinggalan dari gerbang kehidupan yang mulia dan terhormat adalah perhatian terhadap penyakit sosial masyarakat kita amat rendah dibandingkan perhatian terhadap usaha mengejar pertumbuhan pendapatan, kekayaan dan berbagai-bagai bidang kehidupan masyarakat. Masih ramai dari kalangan kita yang berkeyakinan bahawa aspirasi dan kedudukan kita tidak akan dihormati serta tidak akan mendapa tempat yang layak, kecuali jika kita telah memiliki semua bentuk kemewahan dan kemegahan dalam kehidupan bangsa-bangsa yang terhormat pada masa kini.

Mereka lupa bahawa kemewahan material adalah hasil daripada kemajuan peradaban, bukan landasan kebangkitan peradaban tersebut. Dan bangsa-bangsa yang ketika ini dikagumi dengan kemajuan ilmu pengetahuan, teknologi, kesenian, dan kekuatan pertahanannya, mereka tidak melupakan penyakit-penyakit sosial dalam masyarakat mereka pada awal kebangkitan mereka; tidak seperti sikap kita yang seolah-olah melupakan perkara itu ketika kita ingin mewujudkan kebangkitan peradaban kita; dan mereka juga tidak terjerumus ke jurang kelalaian seperti yang terjadi pada kita. Oleh kerana umat adalah kumpulan dari individu-individu yang bersatu dengan teguh, maka setiap kali individu itu baik atau sempurna, maka baik jugalah umat itu, dan ketika akhlak umat terpelihara dengan kuat dan bersih, maka arah kemajuannya menjadi baik dan sempura, dan tujuannya menjadi lurus.

Islam adalah agama yang paling banyak memberikan perhatian terhadap keseimbangan antara pelbagai kekuatan yang berbeza dalam masyarakat, dan terhadap usaha membina umat yang kuat dan berperibadi teguh, yang tidak memiliki ruang-ruang kelemahan. Kita akan dapati bahawa Islam begitu memberi perhatian dalam masalah pengaturan kehidupan material manusia, lebih daripada yang apa diberikan oleh aliran-aliran ekonomi; ia juga memberikan perhatian dalam masalah ‘meluruskan’ moral masyarakat, lebih daripada perhatian yang diberikan oleh aliran-aliran moral yang terdapat di dunia ini; demikian juga Islam amat memperhatikan masalah penyucian rohani dan pembersihan jiwa, lebih daripada perhatian yang diberikan oleh agama-agama ‘rohani’ (agnostik).

Islam menyelaraskan semua dimensi tersebut dengan baik dan teratur sehingga kita akan mendapati Muslim yang sejati muncul dengan kekuatan dalam seluruh dimensi kehidupannya: teguh rohaninya, terpuji akhlaknya, gagah fizikalnya, dan hebatt dalam seluruh bidang kehidupan. Alangkah agungnya sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ‘Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah.’ (Riwayat Muslim)

Tidak dinafikan, ketika ini kita berhadapan dan mengalami banyak penyakit sosial yang menakutkan. Kewujudannya menyebabkan umat Islam tidak mungkin dapat meraih kegemilangan. Penyakit sosial tersebut berbeza-beza bentuknya, baik dalam ruang lingkup individu, keluarga mahupun masyarakat. Penyakit itu melanda semua lapisan masyarakat, baik di kalangan golongan terpelajar mahupun golongan orang awam, yang tua mahupun yang muda, orang yang tinggal di bandar mahupun penduduk kampung.

Oleh hal yang demikian itu, pembicaraan ini akan difokuskan pada usaha mengenali penyakit-penyakit tersebut dan usaha mengatasinya. Kaedah yang digunakan adalah berbicara dari hati ke hati meskipun di antara berbeza-beza keyakinan, aliran politik, dan kedudukan sosial. Dengan demikian, kebangkitan masyarakat kita pada era moden ini dapat bergerak pada jalan yang lurus dan tidak menyimpang.

Barangkali, titik ‘keberangkatan’ untuk mengubati penyakit akhlak dan sosial kita dimulai dari ruang lingkup individu kerana individu adalah ‘sel pertama’ dalam ‘bangunan masyarakat’. Gerakan-gerakan reformasi masyarakat sering memulakan usahanya dari ruang lingkup individu, bukan dari ruang lingkup masyarakat. Memperbaiki dan melatih sepuluh orang dari setiap daerah dengan sebaik-baiknya, sehingga membuatkan mereka dapat menjadi pelopor masyarakat dalam mengikuti petunjuk, kebaikan dan istiqamah, inilah yang akan membawa masyarakat kepada kebaikan dan kehidupan sosial yang bersih.

Rasulullah s.a.w sendiri tinggal di Mekah (setelah menjadi utusan Allah) selama tiga belas tahun, memfokuskan diri untuk mendidik dan melatih individu-individu umat baginda, sehingga ketika ‘binaan’ telah mencapai puluhan orang. Baginda mula bergerak untuk membina negara yang sempurna, dan peradaban yang gemilang. Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, dan para sahabat yang lain berperanan penting dalam mendirikan ‘bangunan negara’ dan peradaban Islam yang cemerlang.

Mereka itulah yang diajar dan dididik oleh Rasulullah s.a.w di pelosok-pelosok kota Mekah memperteguhkan rohani, menggembleng jiwa dan raga, dan ‘meluruskan akhlak’. Mereka yang dididik itu berperanan penting membela agama Islam.

Individu-individu yang telah membina negara-negara dan mendirikan peradaban-peradaban, yang meruntuhkan tirai kebodohan, yang menjelajahi segenap cabang ilmu pengetahuan, yang merubah perjalanan sejarah, dan yang telah mencipta pengaruh yang besar dalam kehidupan bangsa atau kehidupan manusia adalah individu-individu yang memiliki kemahuan yang kuat, akhlak yang terpuji, dan kehidupan mereka bebas daripada penyakit kejiwaan mahupun fizikal yang berbahaya.

Kita tidak bermaksud meremehkan masyarakat, dan menafikan peranan dan sumbangsih mereka dalam gerakan reformasi kerana pada dasarnya pada masyarakat terletaknya tonggak semua gerakan reformasi dan revolusi sosial yang besar, namun kekuatan masyarakat itu selalu bersifat seperti tubuh yang memerlukan akal yang menyusun strategi dan berfikir.

Ia adalah seperti kereta yang kewujudannya memerlukan semua elemen kereta, namun ia tidak dapat berjalan tanpa kewujudan pemandu. Jika suatu gerakan reformasi ditakdirkan memiliki pemimpin yang mengendong misinya, menyebarkan prinsip-prinsipnya, dan membuka mata masyarakat akan cahaya yang terang benderang, maka masyarakat akan mampu meniti jalan menuju ke arah kebaikan, dan menunaikan misinya yang besar dalam catatan sejarah.

Untuk mewujudkan individu yang baik dan sempurna, didirikan sekolah dan universiti, masjid dan tempat ibadah, dan pertubuhan. Dari sini, misi sekolah, masjid dan sebagainya saling melengkapi antara satu sama yang lain. Di masjid, roh individu itu dibina, kemudian di sekolah akalnya dikembangkan, sementara di tempat ibadah akhlaknya dibina dan dipupuk subur.

Oleh hal yang demikian itu, kewujudan semua institusi tersebut secara beriringan adalah sebahagian daripada keperluan asas masyarakat Islam yang sihat, manakala ketiadaan salah satu institusi tersebut adalah petunjuk terhadap adanya ketidaklengkapan dan kekacauan dalam masyarakat tersebut. Sekolah tidak lengkap tanpa kewujudan masjid, dan universiti juga tidak sempurna tanpa adanya sekolah.

Golongan yang berpendapat bahawa masjid bukanlah sebahagian daripada asas ‘bangunan masyarakat’, mereka mengatakan demikian kerana mereka hanya ingin membina generasi yang berakal, namun tidak memiliki rohani yang mantap. Sikap mereka itu adalah salah; begitu juga halnya orang yang mengatakan bahawa sekolah bukanlah sesuatu yang penting dalam ‘bangunan masyarakat’ moden, dan mengatakan bahawa masjid atau universiti tidak memerlukannya. Rohani tidak dapat hidup tanpa adanya akal, dan akal serta rohani tidak dapat menjalankan fungsinya jika tidak disertai akhlak yang membimbingnya untuk menjalankan aktiviti sosial yang bermanfaat.

Benar, jika kita mengatakan bahawa masjid atau tempat ibadah memegang peranan pertama dalam membentuk individu yang baik; ia datang sebelum sekolah atau universiti, bahkan pada masa awal sejarah peradaban Islam, masjid juga menjalankan fungsi sekolah dan universiti sekali gus. Pada hari kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah, usaha pertama yang baginda lakukan dan batu asas yang baginda letakkan dalam landasan negara yang akhirnya merubah perjalanan sejarah adalah membina Masjid Nabawi yang mulia itu.

Masjid baginda umpama kilang yang menghasilkan pejuang-pejuang kebenaran, yang dibanggakan oleh gerakan reformasi kemanusiaan. Abu Bakar, Khalid, Saad, Umar, dan Ali adalah ‘anak-anak didik’ yang dihasilkan oleh Masjid Nabawi, yang pada masa hidup Rasulullah s.a.w berfungsi sebagai tempat ibadah, sekolah, dan universiti sekali gus.

Sekolah-sekolah kita, yang mengusung bendera ilmu pengetahuan dan peradaban pada abad pertengahan, semuanya dimulai daripada masjid. Masjid-masjid pada hakikatnya adalah sekolah-sekolah tempat para anak didik belajar pada siang hari, dan tidur di ruang-ruang masjid pada malam hari.

Sejarah telah menceritakan kepada kita tentang masjid-masjid Islam yang besar, seperti Masjid Madinah, Masjid Cordoba, dan Masjid al-Azhar bahawa tiang-tiang masjid itu telah menjadi tempat bersandar para ulama yang dikelilingi oleh para anak didik.

Bahkan ada yang mengatakan bahawa di dalam Masjid Cordoba terdapat banyak tiang, dan padai setiap satu tiang terdapat seorang alim (guru) yang dikelilingi oleh para muridnya. Apabila kita berbicara tentang peranan masjid dalam mengubati akhlak masyarakat, tidak bermakna kita telah keluar dari dasar atau asas kaedah yang telah kitas gariskan dalam mengkaji masalah ini; kerana pada ketika ini, perhatian ilmu jiwa dalam konteks sosial terfokus pada usaha untuk menggunakan agama sebagai wadah penyembuh pelbagai penyakit jiwa yang menimpa banyak orang dalam peradaban moden ini. Kegelisahan, kesedihan, tekanan jiwa, egoisme, keterasingan jiwa, dan jenayah moral, semua itu boleh dibantu dengan nuansa rohani yang diberikan oleh masjid.

Oleh hal yang demikian itu, setiap kali tibanya waktu sembahyang, Rasulullah s.a.w memerintahkan Bilal untuk segera mengalunkan azan, dan bersabda yang bermaksud, ‘Bilal, hiburkanlah diri kami dengan azan dan sembahyang.’ Sabda Rasulullah s.a.w itu mengandungi makna kejiwaan yang mendasarh, yang hanya keluar daripada individu seperti pendidik yang agung itu: Rasulullah s.a.w.

Dalam menceritakan peribadi Rasulullah s.a.w, para sahabat mengatakan bahawa jika baginda mengalami suatu masalah atau ditimpa kesusahan, baginda segera menunaikan sembahyang. Dan Ibrahim bin Adham, salah seorang tokoh sufi terkenal, berpendapat ketika dia bangun pada waktu malam dan menunaikan sembahyang sambil bermunajat ke hadrat Allah,, seperti berikut yang berikut: ‘‘ami sedang berada dalam kelazatan yang tidak terkira, yang seandainya kelazatan itu diketahui oleh para raja, nescaya mereka akan memerangi kami untuk merebutnya.’

Ketenangan, kedamaian, dan kelazatan seperti itulah yang diperlukan oleh dunia kita yang sedang sakit ini, dan masyarakat kita yang dibebani oleh pelbagai deraan, kegelisahan, dan penyakit jiwa. Ukuran kebenaran, keadilan, dan kemuliaan yang lenyap dalam perilaku para ahli politik dan pegawai kerajaan, tidak dapat diubati kecuali jika para pegawai dan ahli politik itu merasakan kelazatan ibadah seperti yang dirasakan oleh masyarakat, dan mencari ketenangan di hadapan Khaliq-nya yang Maha Agung.

Apakah kita pernah mencuba melakukan ibadah dengan cara yang benar, dan kemudian kita mendapati pengaruhnya dalam roh dan akhlak kita? Jika kita tidak melakukan (dan merasakan) perkara itu hingga pada hari ini, maka segeralah melaksanakannya dengan menghadapkan diri kita dalam kekusyukan ke hadapan-Nya, sehingga kita mendapati akan kebenaran firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan keji) dan mungkar.’ (surah al-Ankabut: 45)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA