(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Kosmik terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam Dunia Ketiga)
SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
Kontradiksi 1:
Tragedi Gua Ariex
TAHUN 2005.
Gua Ariex dipenuhi stalaktaik dan stalakmaig. Ribuan kelelawar bermastautin di situ sejak zaman berzaman namun kian pupus setelah kawasan sekitarnya pesat membangun. Kalau dahulunya dipenuhi belantara tebal, kini telah ditumbuhi hutan batu yang tinggi menjulang ke awan.
Suatu ketika, Gua Ariex itu telah dijadikan sebagai sebuah tempat bersejarah yang sering menerima kunjungan para pelawat dari segenap ceruk rantau. Namun begitu, satu kejadian tidak diingini telah berlaku suatu hari. Kejadian tanah runtuh di dalamnya telah mengorbankan puluhan nyawa pelawat. Lalu kerajaan telah mengambil tindakan drastik dengan menutupnya buat selama-lamanya. Pakar kaji tanah dan pemetaan mendapati ianya tidak selamat lagi untuk para pengunjung. Gua Ariex kini telah dijadikan kawasan larangan kerana terdapat banyak lagi tanah runtuh di dalamnya.
* * *
Tahun 3020.
Gua Ariex waktu ini telah dianggap sebagai sebuah gua purba yang bersejarah. Tragedi yang telah berlaku di dalamnya telah pun dilupakan orang malah tidak pula tercatat dalam sejarah.
Lantaran itu generasi tahun 3020 tidak langsung tahu bahawa pada suatu ketika dulu iaitu pada tahun 2005, Gua Ariex itu pernah meragut puluhan nyawa manusia yang tidak berdosa. Kini Gua Ariex yang unik lagi mempunyai nilai purba yang hebat itu telah dijadikan sebuah markas penyelidikan sains yang canggih. Di dalamnya telah diubahsuai untuk menempatkan sebuah kaburator pembekuan makhluk-makhluk bernyawa untuk tujuan ujikaji.
Ahli-ahli sains dan teknologi serta pakar-pakar genetik DNA telah menjalan banyak ujikaji pembekuan dan penghidupan semula. Mereka berjaya namun tragedi yang berlaku telah melumpuhkan tenaga pakar yang mana ramai daripada mereka telah terkorban di dalamnya.
Ya, tragedi tahun 3020 yang telah mengubah wajah muka bumi sekitar kawasan tersebut secara total. Kalau pada tahun 2005 dulu ianya merupakan sebuah kawasan hutan batu yang tinggi menjulang awan, kini ianya telah menjadi sebuah kawasan tandus yang bisu dan menampung sebarang makhluk. Semuanya disebabkan oleh satu kejadian gempa bumi yang amat dahsyat lagi menggerunkan.
Cuma yang tidak terjejas langsung dengan malapetaka tersebut ialah Gua Ariex dan komponen-komponen sains dan teknologi di dalamnya. Barangkali, ada iktibarnya mengapa Tuhan tidak menghancurkan gua purba tersebut.
Kononnya, gempa bumi itu disebabkan oleh perbuatan penghuninya yang tidak langsung mengendahkan kelestarian alam sekitar. Pelbagai pencemaran dilakukan. Binatang dan haiwan dihapuskan, hutan rimba digondol-kan, bukit bukau diratakan, semata-mata untuk pembangunan makhluk manusia sahaja.
Selain dari itu, mereka juga tidak membuang sampah di tempat yang betul. Banyak sampah sarap kumuh memenuhi sungai, parit dan di mana-mana saja. Pembakaran terbuka juga dilakukan sewenang-wenangnya.
Akibatnya, sungai, parit, longkang dan sebagainya tercemar teruk. Udara menjadi kotor, penuh dengan racun-racun yang tidak sesuai untuk disedut oleh makhluk bernyawa. Selalu berlaku banjir besar, ribut taufan yang besar dan akhirnya gempa bumi yang besar, yang mana menyebabkan kawasan tersebut menjadi tandus dan gersang.
Kehidupan manusia pada waktu itu dihimpit kemiskinan yang menghenyak. Berlaku banyak kecurian, rompakan, pembunuhan dan sebagainya demi kesinambungan sebuah hidup.
Dan kisah yang akan dipaparkan di bawah ini adalah rentetan dari semua gejala-gejala tersebut. Penjenayah-penjenayah telah menjadikan Gua Ariex tersebut sebagai tempat persembunyian mereka dari buruan pihak berkuasa.
Pada suatu hari berlakulah satu kejadian rompakan di sebuah bank terbesar. Beberapa orang kakitangan bank dan orang awam terbunuh akibat peluru yang dilepaskan oleh para perompak terbabit. Perompak dipercayai sebuah kumpulan yang elit, pakar dalam pelbagai bidang. Kerugian berbentuk bongkah-bongkah emas dianggarkan jutaan ringgit. Penjenayah gagal ditemui. Pihak berkuasa berusaha mencarinya juga namun hampa. Penjenayah-penjenayah tersebut rupanya bersembunyi di dalam Gua Ariex.
* * *
Seribu tahun kemudian...
Tahun 4020
Suasana sepi diserata juzuk Gua Ariex bagaikan di sebuah benua asing yang dirungkup oleh wabak petaka. Namun begitu, tiba-tiba saja berdenyut sebuah peristiwa.
Kelopak mata yang sekian lama bertaup, kembali terbuka. Mereka laksana peristiwa enam pemuda Asyhabul Kaffi yang tidur di dalam gua selama lebih 150 tahun gara-gara kekejaman seorang maharaja yang zalim.
Di ruang Gua Ariex yang dingin menusuk tulang temulang itu, lima jasad yang ratusan tahun membeku, mula bernafas kembali. Denyut jantung mula bergema menggerutup ruang dada. Detik nadi mulai berdegup. Masa untuk kembali hidup telah pun bermula. Punat kawalan komputer yang terhenti sejak lama mulai memancarkan cahaya di skrin monitornya.
Tik… tik… tik…
Waktu berjalan perlahan.
Farouk Hambali telah pun bangun dari dalam kaburator pembekuan alias kaburator kurungan alias kaburator persembunyian. Perlahan-lahan dia mengitari kawasan sekitar dengan rasa penuh ketakjuban yang amat sangat. Sudah terlalu lama kiranya dia dibe-kukan tanpa sedar yang masa sebenar ialah seribu tahun. Bangunnya adalah untuk melaksanakan tugas yang terbantut sekian lama.
Suasana di dalam Gua Ariex itu samar-samar. Temaram di mana saja. Sedikit cahaya yang menerjah masuk dari pintu gua yang terkuak kecil cukup untuk menyuluh tubuh-tubuh empat orang lagi teman-temannya yang sehati sejiwa seiya sekata suatu ketika dulu.
“Hari apakah ini?” tanya hati Farouk Hambali. “Barangkali juga hari Ahad atau Sabtu… Entahlah!” Dia mengeluh sejenak sebelum mundar mandir sekitar kawasan gua tersebut. Pelbagai peralatan komputer, mesin-mesin genetik dan kaburator pembekuan kelihatan masih utuh, tidak terjejas sedikit pun.
Sejurus kemudian, di sebuah bangku batu dilabuhkan punggungnya. Dicuba ingatkan kembali sejarah diri yang gah itu. Dia adalah seorang manusia pakar dalam pengendalian bahan letupan. Sebuah bank yang berdinding tebal dengan pelbagai kawalan keselamatan berjaya diletupkan dalam masa yang tidak sampai pun dua saat. Memang dia seorang pakar.
Selain dari itu, Farouk Hambali juga merupakan turus dalam setiap kegiatan jenayah yang paling mengancam jiwa sekitar abad ke 30 dulu. Namun begitu, dia bukanlah seorang pemimpin yang jujur. Sikap tamaknya pernah terserlah sewaktu kumpulannya melakukan rompakan sebuah kapal dagang antarabangsa di Perairan Laut China Selatansuatu ketika dulu. Perjanjian awal untuk membahagikan hasil rompakan sama rata dan samarasa telah dinodai.
Akibatnya dia memperolehi dua pertiga dari hasil rompakan tersebut dengan membunuh tiga orang rakan sendiri. Selepas itu dia menubuhkan pula sebuah kumpulan baru yang terdiri dari lima orang yang kesemuanya merupakan pakar dalam bidang-bidang tertentu.
Farouk Hambali tersenyum seraya bangun semula. Dia menghampiri kaburator pembekuan, melihat serta mengamati satu-satu rakan-rakan seperjuangannya.
“Bangunlah!! Bangunlah, jangan terlalu lama kalian tidur di dalam tempat kurungan ini!” ujarnya dengan suara yang agak kuat.
Sepi.
Hening.
Tiada sebarang jawapan yang didengarnya selain dari suara kesepian yang sekian lama menjadi tetamu Gua Ariex itu.
“Wahai sahabat-sahabatku! Bangunlah segera! Kita telah tidur terlalu lama kiranya. Entah hari apa, bulan apa dan tahun apakah ini? Kita tiada sebarang hubungan dengan dunia luar sejak menjadi pelarian. Ayuh bangun!”
Sepi.
Hening juga.
“Bangunnnnnn!! Mari kita mulakan sebuah kehidupan baru. Aku yakin, pihak berkuasa tidak akan dapat menjejaki kita lagi!” Farouk Hambali bersuara lagi. Kali ini lebih panjang dalam usaha mengejutkan rakan-rakannya dari tidur yang panjang.
Sewaktu melihat rakan-rakannya satu persatu bergerak-gerak untuk bangun dari dalam kaburator pembekuan, Farouk Hambali segera menyediakan seteko kopi O. Dia sudah bercadang untuk menyegarkan tubuh rakan-rakannya yang sekian lama tidur itu.
“Kesegaran kopi ini mampu membuka mata kalian untuk melihat realiti depan mata!” ujarnya setelah kopi itu siap di atas meja. “Sebagai seorang turus yang prihatin dan bertanggung jawab, aku tidak sekali-kali mahu membiarkan kalian dahaga setelah bangun dari tidur. Ayuh, mari segarkan tubuh kalian dengan kopi O panas yang aku sediakan ini!”
Farouk Hambali senyum penuh erti se-raya melirik di genggamannya yang berisi beberapa pil beracun. Dengan pil-pil beracun tersebut, rakan-rakannya itu akan tidur kembali. Kali ini tidur mereka tidak akan bangun-bangun lagi. Tidur mereka adalah abadi. Dia sudah bertekad untuk merealisasikan tujuan jahat tersebut. Ya, dengan pil beracun yang ada di tangannya itu, Farouk Hambali akan laksanakannya. Segala hajat di hati tidak wajar dilengah-lengahkan.
“Bangunlah! Bangunlah rakan-rakanku semua!!”
Kejituan kawalan komputer begitu baik sekali. Sebagaimana yang telah direncanakan, keempat-empat sahabatnya pun bagun dari kaburator pembekuan. Sekian lama dikejutkan oleh suara garau Farouk Hambali, baru kini berupaya menegangkan kembali segala urat sarat yang begitu lama tidak berfungsi. Lemah longlai langkah masing-masing mencari kesegaran kopi panas yang dijanjikan oleh turus operasi.
Yusouf Sanggora, seorang pakar dalam bidang kimia, merangkap pembantu kanan Farouk Hambali. Fatimah Buyung seorang pakar dalam bidang analisa komputer dan setiausaha peribadi kepada turus operasi. Yaacoub Lubis seorang pakar dalam bidang teknik peperangan dan akhir sekali sahabat termuda, Nong Sulaiman. Nong Sulaiman merupakan seorang pakar dalam strategi rompakan. Mereka berempat hampir serentak bangun seraya membetulkan lenguh urat dan saraf serta mengumpulkan tenaga baru dalam diri.
“Mari! Aku di sini bersama seteko kopi O yang sudah tersedia untuk kalian semua!” Farouk Hambali gesit melambai-lambaikan tangannya.
Langkah keempat-empat sahabatnya segera tertuju ke arahnya di tengah-tengah ruang Gua Ariex.
“Pukul berapa sekarang?” tanya Nong Sulaiman sewaktu melabuhkan punggungnya berdepan dengan Farouk Hambali.
“Entah, aku sendiri tidak tahu!” jawapan Farouk Hambali dirasakan begitu hampas. “Jam di tanganku sudah tidak berfungsi lagi. Bagaimana mahu tahu jam berapa sekarang!”
“Barangkali sudah tengah hari!” duga Yusouf Sanggora sekadar mahu menyedapkan hati sendiri.
“Waktu tidak penting buat masa sekarang!” ujar pula Yaacoub Lubis. “Yang penting, kita masih hidup dan bebas dari buruan pihak berkuasa,”
“Benar katamu!” sokong Fatimah Buyung. “Itu yang lebih penting supaya kita dapat membahagi-bahagikan semua hasil rompakan kita,”
“Sabar dulu sahabat-sahabatku!” balas Farouk Hambali.
“Kenapa harus sabar? Bukankah kita sudah begitu lama mengidamkannya?” tanya Fatimah Buyung.
“Benar katamu! Kita sudah terlalu lama bersembunyi di gua ini. Aku juga rasa tidak sabar lagi mahu mendakap jongkong-jong-kong emas itu ke ribaan!” sokong Nong Sulaiman.
“Sabar! Tubuh kalian semua masih lemah dan tidak bermaya. Aku sudah menyediakan seteko kopi O panas untuk kalian. Segarkan dulu tubuh kalian itu dengan kopi O panas ini. Selepas itu, barulah kita berbincang tentang hasil rompakan tersebut!” Farouk Hambali separuh memujuk. Wajahnya jelas manis dan beriak jujur serentak sebuah senyuman terukir mesra di bibir.
Nong Sulaiman senyum. Yusouf Sang-gora senyum. Fatimah Buyung turut senyum seraya mengangguk-angguk. Yaacoub Lubis juga tidak ketinggalan. Senyumannya lebih lebar dari rakan-rakan yang lain.
Farouk Hambali segera menuangkan kopi O dari dalam teko di hadapannya ke dalam empat cawan. Selepas itu satu persatu diedarkan kepada rakan-rakan sekongkol. “Silakan! Ini kopi O paling istimewa untuk kalian!”
Mata masing-masing segera tertumpu kepada cawan kopi panas yang masih berasap. Kelun-kelunnya melegar-legar ke udara kemudian melenyap. Aromanya memintal-mintal deria bau. Tanpa sebarang syak wasangka, keempat-empat sahabat itu menyiram kelesuan yang menyelimuti tubuh dengan rakus sekali.
“Wow!! Kepanasan kopi O ini telah menyegarkan tubuhku!” ujar Nong Sulaiman sambil tersengih puas.
“Benar, Nong!” balas Fatimah Buyung. “Ianya telah melegakan kekaburan ilusiku! Segala keindahan jagat raya di luar sana bagaikan sudah terbayang di ruang mata!”
“Aku juga begitu!” tokok pula Yaacoub Lubis. “Bagaimana wajah Kuala Lupur? Aku terlalu rindukan kelab-kelab eksklusif seperti yang pernah kita nyalar tandangi dulu. Aku juga rinduan kunang-kunang malam yang berterbangan asyik di dada kotanya!”
“Hmmmm… apa lagi mahu ditunggu? Kopi O sudah kita hirup. Tubuh masing-masing sudah segar dan bugar. Kelesuan sudah melenyap dari badan. Ayuh, bahagikan segera jongkong dan bongkah emas rompakan kita dulu!” Yusouf Sanggora seperti tidak sabar memulakan usul. Kerakusannya seolah-olah meronta-ronta dalam dada. Wajahnya begitu bersungguh-sungguh benar seraya melirik wajah Farouk Hambali memohon sokongan.
“Sabar dulu, Yusouf!” tingkah Fatimah Buyung yang lebih sabar orangnya. “Memang bongkah-bongkah emas itu bakal menjadi milik kita berlima tapi…”
“Tapi apa lagi yang harus ditunggu?” Yusouf Sanggora mencantas persis kurang senang.
“Siapa yang harus membahagikan bongkah-bongkah emas itu?” balas Fatimah Buyung.
“Soal nak membahagikan hasil rompakan itu bukannya perkara sukar. Aku pun boleh!” ujar Nong Sulaiman seraya tersengih lebar.
“Aku pun boleh juga!” tokok Yaacoub Lubis bersahaja. “Dalam soal nak membahagikan emas-emas itu, aku rasa aku lebih adil dari kalian semua!” Dia tersenyum senang.
“Jangan bergaduh soal yang kecil itu!” Farouk Hambali mententeramkan suasana. “Selaku turus dalam setiap gerakan rompakan kita selama ini, biarlah aku yang memutuskan siapa yang berhak untuk membahagikan bongkah-bongkah emas tersebut!”
“Hah, siapa?” Yusouf Sanggora tercolek ingin tahu, tidak sabar.
“Siapa lagi, Yusouf? Akulah!” jawab Farouk Hambali agak tegas dan waras. “Bukankah aku ini ketua kalian semua? Bukankah aku ini turus kepada setiap ranca-ngan yang telah kita atur itu? Bukankah aku ini yang paling pakar, paling licik dan paling berstrategi dalam semua perkara? Dan bukankah kalian juga sudah sepakat mengangkat serta menabalkan aku sebagai ketua kalian?”
“Betullllll!!!! Betullll!!!!!!” Nong Sulaiman menokok sokongan.
Semua terpaksa mengangguk akur.
Farouk Hambali gesit ketawa diikuti ledakan ketawa yang lain. Ruang Gua Ariex jadi bingar seketika.
“Ayuh, mari kita ambil bahagian ma-sing-masing!” ujar Farouk Hambali sejurus kemudian lalu bangun dari tempat duduknya.
Namun, belum sempat bongkah-bongkah emas itu disentuh oleh Farouk Hambali, pil-pil beracunnya terlebih dahulu menjalar ke seluruh ruang tubuh empat rakan-rakannya. Keampuhannya begitu pantas sekali. Dalam masa tidak sampai pun dua saat selepas mereka berada di hadapan kilauan emas impian, masing-masing tertidur kembali ke alam tidur yang lebih abadi.
Mangsa pertama - Yusouf Sanggora. Disusuli Yaacoub Lubis dan Fatimah Buyung, seterusnya Nong Sulaiman. Menyepikan kembali ruang Gua Ariex, gua purbawi yang menyimpan sejuta misteri yang amat sukar untuk dihuraikan oleh minda moden.
Cuma yang terdengar ialah gema dekah ketawa dari bibir Farouk Hambali memerhatikan sahabat-sahabatnya satu-satu tersungkur menyem-bah bumi. Tubuh mereka nyata tidak berupaya melawan kekuatan racun yang disuntikkan oleh turus operasi.
“Setelah bangkit dari tidur yang panjang, rupanya kalian semua akan tidur semula! Maafkan aku wahai sahabat-sahabatku yang bodoh lagi tolol! Nampaknya segala peranca-ngan dan operasiku sungguh sukses. Rompakan tahun 3020 ini sudah pun menjadi milikku seorang. Hak milik peribadiku yang abadi,”
Farouk Hambali segera berdiri gagah di sisi para sahabatnya yang sudah terguling kejur. Dia mengulit senyum yang panjang dan lebar. Gemerlap cahaya emas hasil rompakan bersama mereka pada musim akhir abad ke 23 kini menyilau masuk ke ruang mata halobanya. Farouk Hambali terus menguak senyum meleret. Kepuasan terasa menyelinap ke seluruh juzuk nubarinya.
Alam ini umpama sebuah papan catur, bisik Farouk Hambali. Manusianya adalah bidak-bidak yang celaka digumam nafsu. Kepuasan tidak ada watas penghujung. Tamak dan haloba tidak mempunyai koma dan noktah. Aku adalah bidak-bidak yang celaka itu. Aku berjaya mencelakakan manusia yang bodoh lagi tolol. Farouk Hambali tersenyum terus.
Sejenak mundar mandir sekitar ruang Gua Ariex, Farouk Hambali duduk semula di bangku batu mendepani kaburator pembekuan yang telah kosong. “Jongkong-jongkong emas ini sudah lama terperap dalam lipatan sejarah alam. Sekarang ia sudah menjadi milikku. Dengan emas-emas ini aku pasti dapat meneruskan hidup dengan lebih bermakna di tengah-tengah kecanggihan kota seperti dulu,”
Sejurus kemudian, dia bangun semula lalu menuju ke tempat bongkah-bongkah emas itu dilonggokkan. Karung berisi bongkah-bongkah emas segera dipikul di bahunya dan terus melangkah keluar dari daerah Gua Ariex. Dia telah berhasrat untuk menuju ke satu daerah yang pernah dia gelumangi dulu. Daerah tersebut terletak di bahagian utara dan Farouk Hambali yakin, sebelum malam menjelang, dia akan sampai ke daerah itu.
Namun begitu, tiba-tiba sahaja dia dihimpit tanda tanya yang amat mencengkam sukma sebaik saja kakinya melangkah keluar dari Gua Ariex. Metropolitan canggih, gelanggang kehidupannya sekitar tahun 3020 dulu telah lenyap. Di sekelilingnya sekarang sudah tumbuh sebuah daerah perbukitan tandus, gersang dan maha luar biasa. Di seluruh juzuk mandala itu, dipenuhi batu-batu dan padang pasir yang kontang lagi kering. Tiada secubit pun tumbuhan hijau atau rumah-rumah serta bangunan-bangunan canggih seperti yang pernah dilihatnya dulu. Tempat apa ini?
Farouk Hambali masih ingat, operasi-nya dulu bermula di tengah-tengah sebuah kotaraya canggih yang pesat membangun. Banyak bangunan-bangunan tinggi sehingga mencecah awan. Banyak kenderaan moden seperti monorel, sistem LRT ringan, rel bus dan sebagainya yang melambangkan sebuah metropolitan moden lagi canggih. Kota ini dulu juga kaya dengan para jutawannya.
“Hah, di mana aku kini? Apakah aku sekarang berada di sebuah planet asing?” Farouk Hambali mulai diterpa gelisah. “Tak mungkin aku sudah terperangkap dalam sebuah dunia asing! Mungkinkah ini dunia ilusi atau sebuah dunia kontradiksi?”
Persoalan demi persoalan datang menghenyak cepu kepalanya. Semuanya itu tidak mampu dijawab. Tenaga fikirnya meluncur mengejar titik mula operasinya dulu. Tahun 3020.
Apakah Nong Sulaiman telah tersalah mengatur strategi rompakan?
Apakah Fatimah Buyung telah tersilap merancang data komputernya ketika menyelusup masuk ke tempat persembunyian sehingga tersesat ke alam lain?
Atau inikah tapak kota metropolitan azali?
Akhirnya Farouk Hambali terpaksa menyerah kepada hakikat hidup. Dia yakin, bumi yang dipijaknya kini adalah bumi kota metropolitan canggih yang belum wujud tetapi pernah dilewatinya suatu ketika dulu. Dia merasakan dirinya kini terasing di sebuah dunia yang sunyi dan bungkam. Lantas jiwanya meronta-ronta memerlukan seorang teman sekurang-kurangnya untuk berkongsi cerita.
“Di mana kalian semua wahai sahabat-sahabatku… di mana kalian…” hatinya mulai mengeluh dan merintih sendirian.
* * *
Seminggu berlalu.
Farouk Hambali masih belum bertemu dengan daerah yang dicarinya.
Sudah terlalu banyak keringatnya yang tumpah ke tanah. Sudah terlalu banyak atur langkah kakinya meredah gurun padang pasir yang berbatu kerikil. Sudah terlalu banyak jiwanya merintih kesepian dan keterasingan. Sudah terlalu lama kiranya dia menjalar di atas muka bumi asing itu. Beban emas yang ditanggung di bahunya semakin memberat. Semakin jauh dia melangkah, semakin luas dan lebar kebingungannya dan semakin susut pula arus tenaga di dalam tubuhnya.
Namun semangat sebagai bekas turus operasi yang paling digeruni dan licik suatu ketika dulu masih menebal kukuh dalam diri. Dan dengan sisa-sisa semangat itulah Farouk Hambali mengumpulkan seluruh kudrat lemahnya mencari jalan lain ke daerah yang diimpikannya.
Akhirnya, jalan penghujungnya hanyalah maut yang menanti. Nafasnya menjadi lemah, denyut nafasnya menjadi lesu, degup jantungnya menjadi kaku dan dia rengsa tersungkur menahan cangip yang memburu. Farouk Hambali terguling rebah. Batu dan kerikil tajam menunggu debuk jatuh tubuhnya. Kematian pun menyambar licik bagai sang sewah menerkam mangsa.
Satu kebetulan dan takdir Tuhan yang tidak mampu dipersoalkan oleh sesiapa pun juga. Dari kejauhan, sayup-sayup sebuah objek berpacuan empat roda menuju laju ke arah tubuhnya yang kejang dan kejur itu. Objek itu, sebuah kenderaan tercanggih tahun 4020, segera singgah sebaik tiba di sisi jasad Farouk Hambali. Dua manusia turun untuk melihat apa yang terjadi. Mata masing-masing tersilau oleh jongkong-jongkong emas yang bertaburan dari mulut karung.
“Hei Frankey! Kalau tak silap aku, benda inilah yang pernah nenek aku ceritakan dulu!” ujar salah seorang dari mereka.
“Ketul-ketul emas?”
“Ya, tepat sekali Frankey! Emas ini pernah menjadi simbol kekayaan manusia abad 23 dulu. Tapi sekarang, orang dah tak gunakannya lagi!”
“Benar Yusmein! Di belakang rumah aku berlambak-lambak. Tak tahu kat mana nak buang!”
“Aku ingatkan ketul-ketul besi tadi! Huh, kalau tidak dah tentu kita kaya raya!”
Sejurus kemudian, kenderaan Frankey dan Yusmein meluncur laju meninggalkan simbol kemagahan dan ketamakan Farouk Hambali bertaburan di situ dengan sinarnya yang semakin pudar di tengah-tengah kegemilangan sinar besi di abad ke 24.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan