(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah diantologikan dalam Satu Dimensi)
SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
DUA tiga hari lagi akan berakhir bulan November. Aku bagaikan menanti saat itu. Saat untuk beristirehat dan melupakan segala warna-warna yang sering bermain di kanvas. Juga saat untuk menimba ilmu dan secebis pengalaman secara informal.
Dua bulan yang lalu aku terlalu sibuk dengan pameran solo yang pertama di Galeri Maybank juga di Japannes Culture Centre. Syukur, berkat ketekunan, kedua-dua pameran tersebut berjaya dilaksanakan dengan cemer-lang. Hasilnya sukses dan aku bangga dengan beberapa buah hasil karyaku telah dibeli pencinta seni.
Sekarang aku mahu berehat. Aku ingin membebaskan diri dari tekanan buana senilukis dan juga pameran-pameran hasil karyaku. Bilik lukisku juga kelihatan buar berselerak di sana sini. Sesungguhnya, di sinilah tempat aku menterjemahkan segala panorama indah alam yang mendatangi kotak fikir ke alam realiti di kanvas dengan sapuan-sapuan warna-warna akrilik dan juga cat air kegemaranku.
Komputer ADLAS pc w/o Software model RP0200MX seolah-olah setia menunggu. Kertas dalam pencetar DeskJet 695Cnya juga belum terusik lagi. Cerpen, manuskrip novel, esei kritikan sastera dan juga puisi-puisiku juga masih di pertengahan jalan. Semuanya tergen-dala.
Tiba-tiba aku teringat akan sepucuk surat yang baru kuterima padi semalam. Bersampul belang-belang merah biru bertulis airmail dari daerah Wanchai, Hong Kong. Dering jam kotak di meja komputer mendadak mengejutkan aku dari khayalan namun surat udara itu gesit dicapai. Bucu sampul berbelang cantik itu kusiat dengan dada yang agak bergemirap juga.
Zel,
Apa khabarmu di Malaysia?
Szie di bekas tanah jajahan British ini sihat-sihat saja dan berharap agar Zel juga begitu. Bergembira hendaknya di sisi keluarga.
Katamu, kau akan berkunjung lagi ke Hong Kong Disember nanti. Katamu lagi, kau belum puas menjelajah negeriku ini pada kedatangan pertama dulu. Kalau betul kata-katamu itu, Szie akan menantimu di Chek Lap Kok. Szie seronok sekali menerima wisatawan Melayu yang kaya dengan budi bahasa dan tutur kata sepertimu, Zel!
Sekian, terima kasih.
Salam muhibah.
Rhu Szie,
Canal Road West,
Hong Kong.
Surat itu gesit kulipat kembali. Perlahan-lahan pula kusisipkan di celah-celah fail cerpen lama yang tidak pernah mendapat tempat di mana-mana akhbar atau pun majalah. Aku memejamkan mata sejenak seraya meladeni semilir dingin malam yang menghembus segar ke segenap ruang bilik lukisku. Sesekali daun jendela bilik itu terkuak lebar diterajang, diseli gerapak bunyi berisek cengkerik di luar rumah. Agaknya, makhluk malam ciptaan Tuhan itu sedang memadu kasih mencipta puisi-puisi cinta! Begitu telahanku.
Angin malam yang enak menderu semakin menggigit tulang temulang. Aku bingkas bangun bersedakap. Daun jendela yang terkuak itu cepat kututup rapat-rapat. Sejenak kemudian melangkah perlahan-lahan ke ranjang, rengsa menghempaskan sekujur tubuh yang kian letih. Kelopak mataku terus memberat. Aku tidak tahu entah bila aku terlelap. Sesedarku, suara muadzin begitu gemersik dan mendayu sekali mengejutkan insan-insan ciptaan Tuhan supaya bangun menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Keesokan harinya aku terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tiket dari kaunter Cathay Pacific yang aku booking melalui internet segera kuambil. Kota Hong Kong kian miang melambai-lambai kedata-nganku. Figura ayu seorang gadis yang bernama Rhu Szie juga acap mengirap di sepasang mata, seolah-olah sedang tersenyum manis bagaikan tidak sabar menanti kedatangan seorang pengembara Melayu dari Malaysia.
Sebenarnya, perkenalan aku dengan Rhu Szie, segala-galanya bermula dari kedatanganku ke Hong Kong pada bulan Januari tahun lalu. Aku mengikuti Culture Diversions Tour mengadakan pameran lukisan bersama beberapa orang pelukis Malaysia di sebuah pusat kebudayaan negera itu. Rhu Szie selaku penyelaras pameran, menunggu kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kai Tak (waktu itu Lapangan Terbang Antarabangsa Chek Lap Kok masih di dalam pembinaan). Selepas tiga minggu di Hong Kong, aku pun kembali ke Malaysia.
Hubungan dengan Rhu Szie tetap berterusan selepas itu. Warkah-warkah persahabatan sering kali berutusan seperti juga gambar-gambar kenangan. Demikianlah Rhu Szie, gadis kacukan Hakka dan Tanka, wajah iras seniwati Vivian Chow dalam filem Heart Again Heart, berasal dari Wanchai itu.
Kapal terbang Cathay Pacific gesit dan gagah melewati kebiruan Laut China Selatan dengan megahnya. Di dalam perutnya, aku bagai dilambung ombak mimpi siang yang panjang.
“Zel, apa yang menarik hatimu di Hong Kong?”
“Banyak, Szie! Yang lebih menarik, seorang gadis Wanchai bernama Rhu Size!”
“Err, maksud saya tempat-tempat yang menarik!”
“Banyak, Szie! Tempat yang menarik, Wanchai. Tempat tinggal seorang gadis bernama Rhu Szie!”
Tiba-tiba wajah manis ayu Rhu Szie hilang melenyap namun menjelma pula wajah-wajah warga kota Hong Kong bersimpang siur menerjah panas siang mengutip rezeki masing-masing. Wajah-wajah tua nelayan Tai O dengan semangat waja mengharungi cabaran hidup bersama anak beranak di atas sungai di tengah-tengah kemajuan Pulau Lantau. Segalanya bergentayangan di ruang mata.
“Fasten your seat belt, please sir!” satu suara lunak menyergap cuping telinga serentak tubuhku terasa digoyang. Kala mataku terbuka, seorang pramugari Cathay Pacific yang manis menggoda sedang menjalankan tugas rutinnya. Kapal terbang terus berlegar-legar di ruang angkasa Hong Kong, meredah pagi yang semakin tinggi diring mentari suam melebarkan sayapnya. Aku tiba di Chek Lap Kok pada waktu tengah hari, tepat jam dua belas.
Sebaik bertemu, Rhu Szie mengajakku makan tengah hari di rumahnya. Dia juga telah mengambil cuti selama seminggu semata-mata kerana mahu meraikan kedatanganku. Rumah kediaman keluarganya biasa saja, sebuah pangsapuri lima tingkat di Canal Road West. Tidak banyak perbezaannya jika mahu dibandingkan dengan pangsapuri yang terdapat di Malaysia, tetapi pangsapuri di sini lebih moden dengan ciri-ciri keselamatanyang lebih sofisticated dan up to date. Pangsapuri di sini juga lebih luas ruangnya, tentu harganya mahal. Khabarnya, hampir menyamai harga sebuah kereta Ferrari.
Aku dapat berkenalan dengan ahli keluarga Rhu Szie. Mesra, akrab, kaya dengan budi bahasa dan tatasusila masyarakat Cina Hong Kong. Dengan kebenaran kedua ibu bapanya, Rhu Szie menemaniku berdarmawisata ke tempat-tempat indah di sekitar kota Hong Kong.
“Zel, kamu melukis dan menulis lagi?” tanya Rhu szie agak lembut. Waktu itu kami berlegar-legar di Hollywood Road. Aku tetap kagum dengan gerak langkahnya yang masih menampilkan susur galur susila sopan gadis timur. Walaupun dilahir dan dibesarkan di Hong Kong, tetapi kelembutannya tak ubah gadis-gadis Melayu di Malaysia.
“Ada sikit-sikit, tapi tak serancak dua tiga bulan yang lalu,” jawabku sejurus kemudian. Itu pun setelah ditanya lagi oleh Rhu Szie.
“Novel atau cerpen terbaru?”
“Cerpen banyak, tapi novel cuma satu. Plot cerita tentang seorang gadis Wanchai jatuh cinta dengan seorang teruna Malaysia!” ujarku seraya tersenyum.
“Wataknya tentu cantik macam saya!”
“Sudah tentu!”
“Err, bagaimana dengan lukisan terbaru?”
“Semi abstrak. Persoalan hati yang sedang dilamun rasa gelisah entak kenapa!”
“Zel, kamu ni suka sangat bergurau! Saya serius tau!” Satu cubitan lunak hinggap di lenganku. Aku tersenyum senang. Sejurus kemudian kami sudah tiba di Pulau Lantau.
Pulau Lantau dua kali ganda besarnya dari Pulau Hong Kong tetapi penduduknya cuma seramai 16,000 orang sahaja. Demikian jelas Rhu Szie. Tempat yang menarik di pinggir laut utara ialah garisan Kota tung Cheung yang dibina dalam tahun 1817. Khabarnya, pertama kali tentera China ditempatkan di situ untuk menentang pendatang Eropah. Cuaca sederhana sejuk dengan purata suhu 15 darjah celcius itu seakan-akan mengalukan kehadiran kami. Ini membuatkan aku berasa sedikit segar.
Destinasi pertama di sini ialah Biara Po Lin. Menurut Rhu Szie, di biara ini terdapat sebuah patung Budhha yang terbesar di dunia, setinggi 34 meter, didirikan di luar Biara Po Lin yang unik itu. Aku dapat rasakan, memang kompleks yang aman tenteram itu bagaikan pencetus suasana yang harmonis lebih-lebih lagi berlatar belakangkan Dataran Ngong Ping dengan pemandangan gunung ganang yang sayup-sayup di kejauhan. Oh, sungguh mengasyikkan jika waktu senja menjelang. Tentunya sisik-sisik emas akan bertebaran di atas air.
“Zel, di Pulau Lantau ni ada rumah-rumah dibina di atas sungai, tau!” Rhu Szie bagaikan mahu mengisi pengetahuanku.
“Itu saya dah tahu!” jawabku bersahaja. “Mereka ialah nelayan Tai O, kan?”
Rhu Szie senyum.
“Di Malaysia pun ada rumah-rumah begitu, Szie!” jelasku. “Nelayan Sandakan tinggal di atas sungai. Tapi, pada era pasca modenisme dan era multimedia ni, berkemungkinan besar suasana begitu akan semakin hilang. Sedikit demi sedikit mereka akan dipindahkan. Rumah-rumah mereka akan digantikan dengan rumah-rumah yang lebih moden demi mengimbangi kemajuan zaman yang pesat!” Kukira hujah ini sesuatu yang rasional berpandukan apa yang sudah berlaku di Sandakan. Ramai penduduk di rumah air sudah dipindahkan demi kemajuan Sandakan sebagai sebuah pelabuhan berdaya maju alaf baru.
“Tapi, di sini lain, Zel! Nelayan Tai O sengaja dibiarkan hidup di atas sungai begitu. Satu budaya bangsa mereka, juga satu keunikan untuk tatapan pelancung dari luar yang bertandang ke Hong kong!” jelas Rhu Szie pula.
Aku mengangguk.
“Ayuh kita ke Pantai Cheung Sha pula!” ajak Rhu Szie setelah melihat aku habis mencatatkan sesuatu ke dalam diari.
“Di mana pantai tu?” soalku.
“Masih di pulau ini,” jawab Rhu Szie.
“Apa yang menarik di sana?” aku terus bertanya.
“Hmmm, kalau Zel nak tahu… pantainya terpanjang, pasirnya putih, paling cantik!” Rhu Szie tersenyum lebar.
“Itu saja!”
“Di pantai ni ada petugas menyelamat nyawa!”
“Hmmm, macam Kwan Yum dan Tin Hau di Teluk Repulse tu?” aku sekadar menduga.
“Itu lain, Zel!” balas Rhu Szie. “Itu dewa pelindung kaum nelayan, Eh, macam mana Zel tahu tentang itu?”
“Banyak membaca luas pengetahuan!” ujarku seraya tersengih.
Rhu Szie sekadar mengangkat pundak.
Aku mengekori gadis Wanchai itu dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Memang hebat dan mengkagumkan. Rupanya Hong Kong juga kaya dengan khazanah sejarah bangsanya. Selepas menyusuri pantai-pantai di Pulau Peng Chau dan Pulau Lamma, kami melawat sebuah Kuil Tao di Pulau Cheung Chau. Ternyata kuil ini unik, dibina pada tahun 1783 dan dibaktikan kepada Pak Tai, seorang lanun yang memerintah Cheung Chau dan kononnya telah menjadi dewa selepas beliau mati. Kesan sejarah kuil ini sungguh unik sekali termasuk sebilah pedang yang dipercayai dibuat dalam zaman Dinasti Sung (AD960-1275) dan juga sebuah kerusi tandu kayu berwarna emas.
“Itu Kuil Man Mo, Zel!”
Aku segera memaling ke arah yang ditunjukkan Rhu Szie. Di pinggir Hollywood Road tersergam berkilau keemasan sebuah kuil yang paling terkenal di Hong Kong.
“Apa yang istimewanya kuil tu?” soalku ingin tahu.
“Kuil ni dibaktikan kepada Manusia, Dewa Perang, Mo dan Dewa Sastera!” jelas Rhu Szie.
“Tapi saya kagum dengan keindahan siling kanopi dan lingkaran dupa di atasnya!” ujarku terus terang.
“Ada lagi yang lebih hebat dari kuil ini, Zel! Kalau kamu nak tahu, di New Territories ada Kuil Ching Chung atau Biara Mui Fat!” ujar Rhu Szie lagi.
“Apa yang hebat sangat tu?” suaraku bernada menduga.
“Kuil penganut Tao paling terkenal di Hong Kong! Dibaktikan kepada Liu Tung Bun, salah satu dari lapan dewa-dewa metos China. Biara di sebelahnya pula mempunyai lebih 10,000 buah patung Buddha!” jelas Rhu Szie.
“Tentu ada yang lebih unik dan hebat dari kuil tu!” aku mencungkil pula.
“Kalau nak tahu, sudah tentulah Cheuk Lam Sim Yuen!” jawab Rhu Szie sambil tersenyum.
“Ooo… Biara bambu hutan tu?”
“Kamu masih ingat lagi rupanya…”
“Mestilah! Terutama seorang gadis bernama Rhu Szie. Cantik, ayu dan menarik di pandangan mata!”
Satu cubitan kecil hinggap di lenganku Mendadak sebuah kemesraan terasa murup bermukim di hati. Tanpa disedari kami sudah sampai ke Perkampungan Dinasti Sung. Menurut Rhu Szie, di kompleks ini terdapat pewujudan semula sebahagian dari 1000 tahun cara hidup dalam perkampungan Dinasti Sung (AD960-1275). Pertunjukan tradisi China dan kraftangan zaman silam seperti membuat pewangi boleh dilihat di sini. Di jalan tepi sungai pula terdapat gula-gula dan snek lazat yang dimasak cara tradisi dengan arang kayu.
Menyusur ke bahagian timur, sebuah lagi kuil tersergam indah. Kuil Wong Tai Sin, sempena nama dewa juga, digunakan sebagai tempat ibadat dan pusat kreativiti masyarakat. Bangunan ini berseni bina tradisi China yang unggul, kebanyakkan batu bata binaanya termasuk genting, bumbung kuning cerah dan sebagainya diimpot dari daerah Kwantung, China.
Ke selatan sedikit, aku dan Rhu Szie ke perkampungan Nelayan Lei Yue Mun. Terletak di bahagian yang sempit di pelabuhan antara Pulau Hong Kong dan Kowloon. Tidak seperti di perkampungan Sam Tung Uk yang bertembok. Walaupun perkampungan Sam Tung Uk yang dibina oleh Cham Yam Shing pada tahun 1786 ini lebih merupakan sebuah muzium tetapi ianya adalah satu contoh kampung bertembok suku Hakka dan diisytiharkan sebagai tinggalan sejarah yang terunggul di Hong Kong. Sungguh-sungguh aku diundang kagum dengan keunikannya.
Mengalir lagi ke selatan, kami singgah di Institute Yuen Yuan. Terletak dekat bandar baru Tsuen Wan. Menurut Rhu Szie, institut ini dibaktikan kepada tiga agama utama yang diamalkan di Hong Kong iaitu Taoisme, Buddhisme dan Konfucianisme. Struktur pusat-nya adalah replika istana diraja.
Sebelum senja mendakap ruang maya kota Hong Kong, aku dan Rhu Szie menyingkap alam silam 13 Dinasti dan melihat demontrasi membuat kertas, tembikar dan menenun kain sutera tradisi di Middle Kingdom. Di sini juga terdapat replika besar kuil, rumah suci, pemandangan kesibukan jalan raya, pagoda, pavilion dan istana. Replika-replika ini dibina dengan penuh teliti.
Tangan dan jejariku terasa lenguh dan kebas menyucuk-nyucuk. Rupa-rupanya sudah hampir 30 helaian diariku tercoret dengan catatan. Belum pun sempat aku menghabiskan catatan terakhir, Rhu Szie gesit mencuit bahuku. Ajak pulang. Istirehat dulu katanya, sebelum esok memulakan darmawisata baru.
* * *
Malam sungguh dingin sekali. Cuaca di luar mungkin lebih mencokot lagi. Mataku juga susah mahu dilelapkan. Keindahan tanah air sendiri acap pula mengirap. Perlahan-lahan aku menghayunkan langkah menuju balkoni. Aku pasti, pada ketika ini Rhu Szie tentu sudah lama enak dibuai mimpi syahdu. Hanya aku yang masih bersendiri, lalu aku lemparkan pandangan jauh-jauh keluar balkoni.
Kota Hong Kong marak bercahaya dengan cerlang jutaan neon yang berwarna warni. Angin sejuk yang galak berkesiuran sesekali menerkam lunak ke wajahku. Gesoit pula mengingatkan aku kepada Puncak Victoria yang aku dan Rhu Szie tandangi dua hari yang lalu. Aku dapati, dari puncak itu, satu pemandangan panoramik 360 darjah seluruh keindahan Pulau Hong Kong, Kowloon, New Territories dan pulau-pulau di selatan Lautan China. Segalanya sungguh mententeramkan nubari, cantik dan mengesankan.
Pagi-pagi lagi aku sudah bangun. Badan terasa segar semula selepas mandi air panas. Air sejuknya mencecah bawah 15 darjah celcius. Sejuk sungguh. Selesai aku menyempurnakan solat Subuh, aku dikejutkan dengan ketukan di pintu kamar. Rhu Szie terjengul dan mempersilakan aku bersarapan pagi.
Enak… nasi goreng seperti di rumahku. Rhu Szie yang sediakan? Apakah nasi goreng ini Rhu Szie yang sediakan? Pantas benar hatiku tertanya-tanya.
“Saya yang sediakan!” Rhu Szie tersenyum seolah-olah faham dengan persoalan yang bermain di benakku.
Aku mengangguk namun sepantas itu aku diterkam kagum lagi dengan gadis Wanchai itu. Betapa Rhu Szie amat peka dengan sarapan kegemaranku. Ya, nasi goreng berperisa ayam. Tetapi menghairankan juga, kenapa pula nasi goreng yang menjadi pilihan Rhu Szie sebagai sajian untukku? Dia bukannya tidak tahu masakan Hong Kong yang lain, yang tentunya lebih enak untuk seorang tetamu dari luar.
Hah, apa salahnya sediakan saja dim sun Kantonis atau itik Peking rangup yang terkenal itu. Atau hidangan chiu chow yang berkhasiat di dahului teh iron Buddha sebagai pembuka selera. Kalau tidak pun masakan szechuanese yang pedas itu.
Atau seperti makanan di daerah Shanghai, roti dan mee menjadi makanan utama berbanding nasi. Boleh juga masakan Taiwanese dari campuran pelbagai etnik. Atau setidak-tidaknya masak cara fukien dan chiu chow untuk aku.
Apa pun rasionalnya, Rhu Szie memang memahami seleraku. Gadis Wanchai ini bijak menyelami kesukaanku, hatiku berbisik sendiri. Galak dan agak gelicau dalam benak. Selepas bersarapan, aku rasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena. Puas aku tercenung mencari dan memikirkannya.
Oh ya, akhbar sajian minda! Selalunya, kalau di malaysia aku akan bersarapan bersama akhbar terbitan harian dan tabloid mingguan kegemaranku. Tetapi di sini semua akhbar-akhbar itu tidak ada. Yang ada di kediaman Rhu Szie hanyalah akhbar South China Morning Post dan Hong Kong Standard.
Satu persatu helaian kedua-dua akhbar tersebut kuselak. Tidak ada yang menarik perhatianku. Cuma di satu sudut akhbar South China Morning Post, terpampang wajah Tun Dr. Mahathir Mohammad. Diulas editor akhbar tersebut bahawa perletakkan jawatannya satu kehilangan besar kepada Malaysia, OIC dan ASEAN khususnya.
“Hari ini kita ke satu tempat paling bahagia!” tiba-tiba suara lunak Rhu Szie menerobos gegendang telinga.
Aku gesit tersentak. Wajah Tun Dr Mahathir pantas melenyap, serentak akhbar di tangan kuletakkan ke sisi.
“Kenapa nampak macam terperanjat?” soal Rhu Szie lagi. Dicerlungnya wajahku tunak-tunak. Mata kami bertentangan, terasa ada sesuatu yang maha aneh menyelusup ke seluruh ruang sukma nubari. Menggelodar dan mendamaikan perasaan.
“Errr, apa kata Szie tadi?” aku tiba-tiba bertanya seolah-olah inginkan kepastian.
“Saya tanya kenapa kamu terperanjat?”
“Bukan itu, kata-kata Szie sebelum itu!” ujarku bagai tidak sabar.
“Oh itu!” Rhu Szie tersenyum. “Hari ini saya nak ajak Zel ke satu tempat yang paling bahagia sekali!”
“Bahagia?” aku terkesima sejenak.
“Ya, bahagia!”
“Ke mana?”
“Ammar!” jawab Rhu Szie sambil tersenyum lagi. Dua liang seni di pinggir bibir mungilnya terserlah, mempamerkan lagi keayuan figuranya. Aku bagaikan terpesona.
“Jadi, kita akan naik teksi lagi?”
“Tidak, Zel! Tentu sekali kamu teringin nak naik tram kan?”
Pertama kali aku menaiki tram. Sudah lama tram di gunakan di sini rupanya. Sejak 85 tahun yang lalu. Dari Kennedy Town di sebelah barat hingga ke Shau Kei Wan di sebelah timur. Tramnya antik, lengkap dengan pemasangan tembaga berkilat sebagai tempat pemegang. Beberapa minit saja kami sudah sampai ke Oi Kwan Road. Masjid Ammar tersergam megah. Sebenarnya tempat ini tidak berapa jauh dari pangsapuri Rhu Szie.
Dalam hati mendadak saja memuji sisitem pengangkutan di kota ini. Cepat, bersih dan efisien. Melintasi kawasan-kawasan utama dengan pemandangan yang menarik, melintasi bangunan-bangunan kolonial diseli moden, yang dibina dengan batu-batu marmar serta gelas yang bersinar menjadikan kombinasi bangunan-bangunan ini satu pandangan kontras yang sungguh istimewa.
“Errr, kenapa Szie bawa saya ke sini?” aku bertanya tatkala kaki menjengah peka-rangan Masjid Ammar.
“Bukankah sudah saya katakan. Di sini ada kebahagiaan!” jawab Rhu Szie agak tegas.
“Maksud kamu?”
“Islam itu sebenarnya satu kebahagiaan bagi saya!”
“Err, apa kamu tidak bergurau?”
“Tidak, Zel! Soal beragama bukan satu gurauan. Sejak pertama kali kita bertemu dan seringakali pula berutus surat selepas itu, saya selalu ke sini, mendalami ilmu tentang Islam!” jelas Rhu Szie terus terang. Dapat aku rasakan keikhlasan hatinya tatkala itu.
“Ooooo, jadi di sini pusat penyebaran Islam rupanya!” aku seolah-olah tidak percaya.
“Ya, Zel! Benar kata-kata kamu. The Incorporated Trustees of the Islamic Community of Hong Kong telah dikhtiraf oleh karajaan Hong Kong sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran hal ehwal Islam tempatan. Berpejabat di Pusat Islam Osman Ramju Saddick di Wanchai!” jelas Rhu Szie panjang lebar.
“Osman Ramju Saddick? Saya macam pernah dengar nama itu!” aku terkesip-kesip seraya cuba mengingatkan kembali sebuah artikel dari sebuah majalah yang pernah aku baca.
“Kamu tahu siapa Osman Ramju Saddick tu?” Rhu Szie terkesan perubahan pada wajahku.
“Errr, bukankah dia yang membina Masjid Ammar?” aku menduga kebenaran.
Rhu Szie tersenyum. “Benar, Zel! Nama pusat ini pun diambil dari namanya. Tapi, disebabkan kesempitan ruang, reka bentuk bangunan lapan tingkat ni tidak mengikut senibina orang-orang Moor sebagaimana biasa. Lihatlah, hanya mempunyai sebuah menara saja tanpa kubah!”
“Itu tak penting, Szie! Asalkan cukup lengkap untuk menyempurnakan fungsinya!” balasku bersahaja.
“Itu pun benar juga, Zel! Syukurlah kerana ianya lengkap dengan dewan serbaguna, perpustakaan, bilik-bilik mesyuarat, klinik, sebuah pusat belia, kantin, ruang pejabat dan sebagainya!” Rhu Szie seperti berpuas hati.
Kami sama-sama tersenyum sejurus kemudian.
Kemudahan untuk mengerjakan amal ibadat seharian dan mendapatkan makanan halal tidak menjadi masalah besar bagiku. Benar kata Rhu Szie, melawat ke negara tumpah darahnya ini adalah satu pengalaman yang sungguh menarik. Kota raya Hong Kong ini sentiasa hidup dan menjadi pusat kepada negara-negara di rantau ini di samping tempat tinggal rakyat dari pelbagai negara.
Walaupun majoriti penduduknya berbangsa Cina yang mengamalkan agama dan budaya mereka sendiri, namun terdapat lebih kurang 50,000 penduduk beragama Islam. Kebanyakkan mereka adalah golongan peniaga Cina-Arab yang menyebarkan agama Islam di China beberapa kurun yang lalu.
Selain dari itu, terdapat juga orang Islam dari Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, negara-negara Islam Timur Tengah dan juga Afrika. Oleh kerana itu, agama-agama seperti Kristianiti, Judaisme dan Hinduisme bebas diamalkan di sini.
“Szie ikhlas nak peluk Islam?” aku bertanya tatkala kami menyusur Aw Boon Haw Garden sekembali dari Masjid Ammar.
“Ya! Keikhlasan yang terbit dari kesedaran sendiri!” jawab Rhu Szie.
“Ibu bapa Szie bagaimana? Apa mereka tidak menghalang?”
“Mereka rasional, Zel! Soal memilih masa depan, saya punya kebebasan penuh!”
Aku tersenyum senang. “Tapi, jangan pilih Islam kerana saya. Pilih Islam kerana kesucian Islam itu sendiri. Kerana kesedaran yang benar-benar tulus dari hati kamu sendi- ri!” aku sekadar mengingatkan.
Rhu Szie mengangguk akur.
Petang itu kami terus ke Causeway Bay. Berlegar-legar, merayap dan mengalir ke setiap kawasan pusat bandar di Pulau Hong Kong, Tsim Sha Tsui dan Nathan Road di Kowloon. Sebentuk cincin bertatahkan dua butir berlian kusarungkan ke jari manis Rhu Szie. Cincin itu tanda setuju. Juga sepasang anak patung bermata biru dari Ladder Street di Hollywood Road. Anak patung itu kukira sebagai teman Rhu Szie sepeninggalanku nanti.
Pagi esoknya, selepas bersarapan bersama keluarga Rhu Szie, aku mengorak langkah pulang. Pulang ke negara tanah airku Malaysia. Pulangku kali ini bersama sebuah janji yang aku akan kembali semula ke kota ini bulan depan untuk menggapai nur Ammar dan menyunting sekuntum bunga yang sedang murup mengharum di pekarangannya.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan