SMAHADZIR
PENGHORMATAN terhadap wanita jelas terbentang dalam ajaran Islam, malahan sehingga di dalam Al-Quran terdapat surah yang membincangkan soal-soal wanita. Surah itu dinamakan An-Nisa’, bererti ‘Surah Perempuan atau Wanita.’ Ini menunjukkan persoalan wanita tidak diabaikan oleh Allah s.w.t. Di dalam surah Al-Ahzab pula diterangkan mengenai hakikat tersebut sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ‘Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan Mukmin, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah s.w.t, Allah s.w.t telah menyediakan untuk mereka pengampunan dan pahala yang besar.’ (Al-Ahzab: 35)
Nabi Muhammad s.a.w telah memberi contoh dan teladan dan penghargaan terhadap kaum wanita. Lemah lembut dan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap isteri-isteri baginda telah ‘melunakkan’ hati-hati orang zalim pada zaman itu, umpama cahaya yang memancar menembusi ceruk dan liku-liku kehidupan. Sebenarnya, lelaki dan wanita itu telah diberi hak yang sama dan kewajipan yang sesuai dengan keadaan jasmani dan peribadi masing-masing. Lelaki yang bertubuh kuat dan berkuasa diberi tugas untuk memimpin dan melindungi wanita yang bertubuh lemah, berperasaan halus, dan sensitif.
Memang sifat semulajadi wanita senang dengan perlindungan dikasihi, dihormat, dipelihara perasaannya, serta diambil berat tentang kebajikannya. Bagi wanita pula, tugas melahirkan anak, memelihara dan mendidik adalah perkara biasa yang memang sesuai dengan kemahuan dan fitrah semulajadi yang dikurniakan Allah s.w.t untuknya. Tentang perkara ini Allah telah berfiraman yang bermaksud: ‘Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita, disebabkan Allah s.w.t telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana lelaki telah menafkahkan harta mereka.’ (An-Niza’: 34)
Walaupun tugas memimpin dan memberi nafkah itu merupakan kelebihan yang diberi kepada kaum lelaki, tetapi tidak timbul sama sekali tentang siapa yang berkuasa dan siapa yang menguasai. Sebab hubungan antara pemimpin dengan yang dipimpin, antara yang memberi nafkah dengan yang diberi nafkah, bukanlah hanya diikat dengan ikatan harta benda dan pengajaran semata-mata, tetapi yang kuat dan teguh mengeratkan ikatan tersebut adalah ikatan ‘kasih sayang.’ Dapat juga dijelaskan bahawa dunia akan menjadi kosong tanpa wanita di dalamnya, sebagai pasangan lelaki untuk memperkembangkan keturunan. Kelahiran seorang wanita itu memang dinanti-nantikan untuk mengubat kesunyian hati seorang lelaki, iaitu Adam a.s. Oleh hal yang demikian, Allah s.w.t telah menjadikan Hawa sebagai teman daripada tulang rusuk Adam sendiri.
Begitulah Allah s.w.t memulakan kehidupan seorang wanita untuk melengkapi kehidupan di dunia ini bagi seorang lelaki, maka jadilah seorang wanita itu daripada tulang rusuk kiri yang bengkok lagi lemah. Oleh sebab itu wanita adalah teman rapat lelaki yang perlu dipimpin kehidupannya dengan penuh kebijaksanaan dan berhati-hati oleh lelaki. Tulang yang bengkok tidak boleh diluruskan secara kekerasan kerana dikhuatiri akan patah dan tidak pula boleh terlalu lembut hingga ia terus bengkok. Ini kerana lemahnya kejadian wanita, Allah s.w.t tidak memberatkan dengan tuntutan syariah yang melebihi kemampuannya.
Wanita adalah sebahagian daripada lelaki kerana ia dicipta dari tulang rusuk lelaki sebelah kiri. Ia dikurniakan dengan ‘sembilan’ nafsu dan ‘satu’ akal. Kelemahan wanita kerana menurut naluri daripada menggunakan akalnya. Lelaki dikurniakan ‘sembilan’ akal dan ‘satu’ nafsu. Kelemahan lelaki adalah kerana mudah terpedaya akan godaan wanita. Kenapa lelaki yang dikurniakan dengan ‘sembilan’ akal masih boleh tewas apabila digoda oleh wanita? Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Dan Dia telah menjadikan hamba-Nya itu berpasang-pasangan. Lelaki dan wanita saling memerlukan di antara satu sama lain. Sebahagiannya menjadi pembantu kepada sebahagian yang lain.
Kemuliaan manusia hanyalah dalam agama, sejauh mana mereka berupaya mentaati perintah Allah s.w.t dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada wanita dengan berbagai-bagai kelebihan. Syarat untuk wanita masuk syurga begitu mudah. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Seorang wanita yang mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti dia akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dikehendakinya.’ (Riwayat Abu Nuaim)
Abdur Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Seorang wanita solehah lebih baik daripada seribu lelaki yang tidak soleh. Dan seorang wanita yang melayan suaminya selama seminggu, maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibuka lapan pintu syurga yang mana dia dapat masuk dari pintu mana saja tanpa hisab.’
Siti Aisyah pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Tidaklah seorang wanita yang didatangi haid kecuali haidnya merupakan kifarah bagi dosa-dosanya yang telah lalu. Dan pada hari pertama haidnya, dia membaca ‘Alhamdulillahi ‘alakulli hal waastaghfirullaha min kulli zanbin’, maka Allah s.w.t menetapkan baginya bebas daripada neraka, dengan mudah melalui sirat, aman daripada seksa, bahkan Allah s.w.t mengangkat ke atasnya darjat 40 orang syuhada apabila dia selalu berzikir kepada Allah s.w.t selama haidhnya.’
WANITA YANG MULIA DI SISI ALLAH
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, apabila engkau perintah dia taat, apabila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya.’
Terdapat sebuah riwayat, bahawa pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, ada seorang lelaki yang bakal berangkat untuk berperang di jalan Allah s.w.t. Dia berpesan kepada isterinya, ‘Wahai isteriku, janganlah sekali-kali engkau meninggalkan rumah ini sehingga aku kembali.’
Secara kebetulan ayahnya menderita sakit, maka wanita tersebut mengutus seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda kepada utusan itu, yang bermaksud: ‘Supaya dia taati suaminya.’ Wanita itu mengutus utusannya bukan hanya sekali sehingga akhirnya dia benar-benar mentaati suaminya dan tidak berani keluar dari rumah. Maka ayahnya meninggal dunia, tetapi dia tetap tidak pergi melihat atau menziarahi jenazah ayahnya. Dia tetap sabar sehingga suaminya pulang. Maka Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi s.a.w yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengampuni wanita tersebut disebabkan ketaatannya kepada suaminya.’ Dalam riwayat yang lain mengatakan bahawa Allah s.w.t turut mengampuni dosa ayahnya disebabkan ketaatan anaknya itu.
Inilah sebenarnya perkara yang menyebabkan wanita diredai oleh Allah s.w.t, bukannya dalam persamaan hak yang seperti dituntut golongan yang jahil agama. Sedangkan dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi s.a.w telah melihat di dalam syurga bahawa Allah s.w.t memasukkan wanita ke dalam syurga 500 tahun lebih awal daripada suami mereka dan apabila melihat ke dalam neraka, Nabi s.a.w dapati dua pertiga daripada penghuninya adalah wanita.
KELEBIHAN WANITA
Abdullah bin Masud meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Apabila seorang wanita mencuci pakaian suaminya, maka Allah s.w.t mencatat baginya seribu kebaikan, diampunkan 2000 kesalahan, bahkan segala sesuatu yang disinari matahari akan memohon ampun baginya dan Allah s.w.t mengangkat seribu darjat untuknya.’
Maulana Syed Ahmad Khan dalam bayannya menceritakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita. Katanya:
1. Seorang wanita yang solehah lebih baik daripada seorang wali Allah.
2. Wanita yang menguli tepung dengan membaca Bismillah akan diberkati Allah s.w.t akan rezekinya.
3. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti membersihkan Baitullah.
4. Wanita yang solehah lebih baik daripada 70 orang lelaki yang soleh.
5. Allah s.w.t akan memberkati rezeki apabila wanita memasak dengan berzikir.
6. Seorang wanita yang menutup auratnya ditingkatkan oleh Allah s.w.t nur wajahnya 13 kali daripada wajah asalnya.
7. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah s.w.t yang Maha Indah di akhirat nanti, tetapi bagi Allah s.w.t sendiri akan datang untuk berjumpa dengan wanita yang menjaga auratnya purdah dengan istiqamah.
PERKARA YANG AMAT DILARANG ALLAH PADA SEORANG WANITA
1. Kepada wanita yang tidak menutup aurat Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Hiduplah dengan apa yang kau suka.’
2. Allah s.w.t melaknati wanita yang sengaja mendedahkan auratnya kepada lelaki yang bukan muhrim.
3. Perempuan yang memakai kain yang nipis dan jarang untuk menarik perhatian lelaki bukan muhrim atau memakai segala yang mendatangkan keghairahan kepada orang lain, maka dia tidak akan mencium bau syurga.
Wanita yang jahat lebih buruk daripada seribu orang lelaki yang jahat. Pengorbanan seorang wanita amat dihargai oleh Allah s.w.t dan rasul-Nya. Cuma kita kurang mengetahui kelebihan yang dikurniakan kepada kita semua. Sehinggakan hari ini manusia Islam mencari sesuatu selain daripada agama kerana merasakan pengorbanan mereka tidak dihargai. Dan mereka turut melaungkan persamaan hak seperti di Barat. Ini semua bukanlah salah mereka, tetapi kitalah yang bersalah kerana kita lupa bahawa kita ini umat yang dianugerahkan dengan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini - memberi harapan dan bimbingan kepada manusia.
KEMULIAAN ISTERI DI DALAM ISLAM
1. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan isteri melayan dengan baik, maka dia memperoleh pahala jihad.
2. Wanita yang menyebabkan suami keluar ke jalan Allah s.w.t dan menjaga adab rumah tangga akan masuk syurga 500 tahun lebih dulu daripada suaminya. Dia akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari. Dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggang dengan menunggang kuda yang diperbuat daripada permata yaqut.
3. Wanita yang menjaga solatnya, puasa, dan taat kepada suami, Allah s.w.t izinkan dia memasuki syurga dari mana-mana pintu yang ia sukai.
4. Kalau isteri melayan suami tanpa khianat, dia mendapat pahala 12 tahun solat.
5. Wanita yang meninggal dengan keredaan suaminya akan masuk syurga.
6. Jika suami mengajar isterinya satu masalah agama, akan dapat pahala 80 tahun ibadat.
7. Isteri yang memandang suami dengan kasih sayang dan suami yang memandang isteri, juga dengan kasih sayang, maka Allah s.w.t memandang dengan penuh rahmat.
8. Jika suami mendatangi isterinya kemarahan, tetapi isteri melayan dengan baik, maka mendapat separuh pahala jihad.
KEMULIAAN IBU DI DALAM ISLAM
1. Dua rakaat solat wanita yang hamil lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.
2. Wanita yang hamil mendapat pahala puasa pada siang hari dan pahala ibadat pada malam hari.
3. Wanita yang bersalin mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa serta setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah s.w.t menganugerahkannya satu pahala haji.
4. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia dikira sebagai mati syahid.
5. Wanita yang memberi minum susu badannya kepada anaknya, akan dapat satu pahala daripada setiap titik susu yang diberikannya.
6. Wanita yang memberi minum susu badannya kepada anaknya yang menangis, maka Allah s.w.t beri pahala satu tahun pahala solat dan puasa.
7. Kalau wanita menyusui anaknya hingga cukup tempoh dua setengah tahun, maka malaikat di langit mengkhabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.
8. Seorang ibu yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit, akan memperoleh pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.
9. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit, akan diampunkan oleh Allah s.w.t akan seluruh dosanya dan apabila dia menghiburkan hati anaknya, Allah s.w.t mengurniakan 12 tahun pahala beribadat.
WANITA YANG DIMURKAI ALLAH
Kemurkaan Allah s.w.t pada hari kiamat amat dahsyat sehinggakan nabi-nabi pun sangat takut. Bahkan Nabi Ibrahim pun lupa bahawa dia mempunyai anak yang bernama Nabi Ismail kerana ketakutan yang amat sangat. Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Seorang wanita yang berkata kepada suaminya, ‘semoga engkau mendapat kutukan Allah s.w.t’, maka dia dikutuk oleh Allah s.w.t dari atas langit ketujuh dan mengutuk pula segala sesuatu yang dicipta oleh Allah s.w.t kecuali dua jenis makhluk, iaitu manusia dan jin.’
Abdur Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermkasud: ‘Seorang isteri yang menyebabkan kesusahan kepada suaminya dalam hal belanja atau membebani sesuatu yang suaminya tidak mampu lakukan, maka Allah s.w.t tidak akan menerima amalannya yang wajib dan sunatnya.’
Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Seandainya apa yang ada di bumi ini merupakan emas dan perak serta dibawa oleh seorang wanita kerumah suaminya. Kemudian pada suatu hari dia terlontar kata-kata angkuh, ‘engkau ini siapa? Semua harta ini milikku dan engkau tidak punya harta apapun.’
Maka hapuslah semua amal kebaikannya walaupun banyak. Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang yang sangat kasih kepada umatnya. Baginda menghadapi segala rupa bentuk penderitaan, kesakitan, keletihan, dan tekanan. Begitu juga air mata dan darah baginda telah mengalir semata-mata kerana kasih sayang terhadap umatnya. Maka lebih-lebih lagi kita sendirilah yang wajar berusaha untuk menyelamatkan diri kita, keluarga kita dan seluruh umat baginda. Ali r.a. meriwayatkan sebagai berikut: ‘Aku bersama Fatimah berkunjung ke rumah Rasulullah dan kami temui baginda sedang menangis. Kami bertanya kepada baginda, ‘Mengapa tuan menangis, wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab, ‘Pada malam aku diisrakkan ke langit, aku melihat orang sedang mengalami berbagai-bagai penyeksaan, maka apabila teringatkan mereka, aku menangis.’ Aku bertanya lagi, ‘Wahai Rasulullah, apakah yang tuan lihat?’ Baginda bersabda:
Wanita yang digantung dengan rambutnya dan otak kepalanya mendidih.
Wanita yang digantung dengan lidahnya serta tangannya dipaut dari belakangnya sedangkan lahar yang mendidih dari neraka dituangkan ke kerongkongnya.
Wanita yang digantung dengan buah dadanya dari belakangnya sedangkan air getah kayu zakum dituang ke kerongkongnya.
Wanita yang digantung, diikat kedua-dua kaki dan tangannya ke arah ubun-ubun kepalanya serta dibelit di bawah kekuasaan ular dan kala jengking.
Wanita yang memakan badannya sendiri serta di bawahnya kelihatan api yang menyala-nyala dengan dahsyat.
Wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka.
Wanita yang bermuka hitam dan memakan ususnya sendiri.
Wanita yang tuli, buta, dan bisu dalam peti neraka, sedang darahnya mengalir dari rongga badannya (hidung, telinga, mulut) dan badannya membusuk akibat penyakit kulit.
Wanita yang berkepala seperti kepala babi dan kaldai yang menerima berjuta jenis seksaan.
Maka berdirilah Fatimah seraya berkata, ‘Wahai ayahku, cahaya mata kesayanganku... ceritakanlah kepadaku, apakah amal perbuatan wanita-wanita itu.’ Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Wahai Fatimah, adapun tentang:
1. Wanita yang digantung dengan rambutnya kerana dia tidak menjaga rambutnya (di jilbab) di kalangan lelaki.
2. Wanita yang digantung dengan lidahnya kerana dia menyakiti hati suaminya dengan kata-kata kesat.
3. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w bersabda: ‘Tidak seorang wanita yang menyakiti hati suaminya melalui kata-katanya kecuali Allah s.w.t akan membuatnya mulutnya kelak pada hari kiamat, selebar 70 zira’ kemudian akan mengikatnya di belakang lehernya.
4. Adapun wanita yang digantung dengan buah dadanya kerana dia menyusui anak orang lain tanpa izin suaminya.
5. Adapun wanita yang diikat dengan kaki dan tangannya itu kerana dia keluar rumah tanpa izin suaminya, tidak mandi wajib daripada haid dan nifas.
6. Adapun wanita yang memakan badannya sendiri kerana suka bersolek untuk dilihat lelaki lain serta suka membicarakan keaiban orang.
7. Adapun wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka kerana dia suka menonjolkan diri (ingin terkenal) di kalangan orang ramai dengan tujuan supaya orang melihat perhiasannya dan setiap orang jatuh cinta padanya kerana melihat perhiasannya.
8. Adapun wanita yang diikat kedua-dua kaki dan tangannya sampai ke ubun-ubunnya dan dibelit oleh ular dan kala jengking kerana dia mampu mengerjakan solat dan puasa, tetapi dia tidak mahu berwuduk dan tidak solat serta tidak mahu mandi wajib.
9. Adapun wanita yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya seperti kaldai kerana dia suka melaga-lagakan orang serta berdusta.
10. Adapun wanita yang berbentuk seperti anjing kerana dia ‘ahli fitnah’ serta suka marah-marah pada suaminya.
Ada di antara isteri para yang mati dalam keadaan tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk walaupun mereka adalah isteri manusia yang terbaik. Di antara sifat buruk mereka:
1. Isteri Nabi Nuh suka mengejek dan mengutuk suaminya.
2. Isteri Nabi Lut suka bertandang ke rumah orang.
KEISTIMEWAAN WANITA
1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w akan hal tersebut, baginda menjawab: ‘Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.’
2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada seribu orang lelaki yang soleh.
3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t dan orang yang ttakut akan Allah s.w.t, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
4. Barangsiapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka, barangsiapa yang menggembirakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail a.s.
5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w) di dalam syurga.
6. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.
7. Daripada Aisyah r.a. ‘Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.’
8. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
9. Apabila ibu bapa memanggil kamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya, akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan walinya serta menjaga sembahyang dan puasanya.
12. Aisyah r.a berkata ‘Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?’ Jawab baginda, ‘Suaminya.’ ‘Siapa pula berhak terhadap lelaki?’ Jawab Rasulullah s.a.w, ‘Ibunya.’
13. Wanita, apabila melakukan solat lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.
14. Setiap wanita yang membantu suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
15. Apabila seseorang wanita mengandungkan janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t mencatatkan baginya setiap hari dengan seribu kebaikan dan menghapuskan daripadanya seribu kejahatan.
16. Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.
17. Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t memberinya pahala seperti memerdekakanya 70 orang hamba dengan ikhlas demi membela agama Allah s.w.t.
Demikianlah besarnya anugerah Allah kepada para wanita yang taat akan perintah Allah, ajaran rasul-Nya, juga kepada suaminya.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan