Ahad, 14 Mac 2010

SAJAK-SAJAK LAMA UNTUK SIMPANAN

SAJAK-SAJAK 2002

Di Jabal Uhud

Berdiri di Jabal Uhud,
ingatan lama bergentayangan mengasak kotak fikir,
ada perjuangan dan titisan airmata,
pengorbanan dan simbahan darah,
para kekasih Allah memancang tugu tekad penuh pasrah,
menjulang agama di mercu megah,
dari henyakan musuh helahnya seribu arah,
wayu sejarah mencengkam gundah,
mujahid berhati waja meredah prahara meredam amarah,
di lipatan kisah menghimbau rasa resah.

Berdiri di Jabal Uhud,
tak terduga ada khabar datang menjengah,
kota Madinah gempita maha hebat,
menghadapi ancaman peperangan besar,
dicetuskan para musyrikin,
selitan riwayat sebuah sejarah terpatri erat,
terpahat terus tak bernoktah di lipatan hati,
bersama Muhammad; mujahid pilihan Allah,
insan al-amin pengutus rindu kedamaian,
memupuk semangat cinta kasih dakapan Rabbi,
antara tawakal tusukan tajam pedang panah kafirun,
syurga di bawah kilatan mesiu berterbangan,
mari bersama Kekasih Allah berjihad di Jabal Uhud,
beriman denganmu isytihar kebenaran,
mengagumi Talhah dimakan pedang,
kehilangan tangan di puncak menjulang panji kebenaran,
mencemburui Abu Dajjanah,
mengorban diri menahan panah datang mengarah,
demi mempertahankan Nabi-Nya.

Berdiri di Jabal Uhud,
mengiang suara surah al-Anfal ayat 60:
“Siapkan memerangi mereka,
dengan apa saja kekuatan mampu,
dari kuda-kuda ditambatkan untuk berperang,
menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu,
serta orang-orang selain mereka,
tidak kamu ketahui, sedangkan Allah mengetahuinya.”

Berdiri di Jabal Uhud,
aku jadi rindu pada Rasulullah,
melangit tinggi impian entah bila akan berlaku,
menyertai barisan depan pasukan berkuda,
memegang menghayun pedang tombak ke dada musuh,
menambah cintaku kepada Allah,
mengulang rindu padamu Muhammad,
biarlah kutahan panah mengancam tubuh,
aku ingin mati dalam redha-Nya.


SMAHADZIR
Masjid Qiblatain,
Madinah


Anugerah Khidmat Cemerlang

Semarak bakti di laman khidmat sepolos nurani,
serata pelosok bumi keringat  tertumpah,
harumnya budi memurup segar ke langit warga,
wanginya keluar menyeruak antara tawa dan derita,
selama bertahun tak kunjung padam pedih mendera,
mengharung getir prahara membuar nikmat keluarga,
menumpah taat setia pada kerja, pada agama, bangsa dan negara,
inilah ketentuan dan harga yang diterima,
anugerah khidmat cemerlang yang didamba sekian lama,
sebagai peletak jasa di mercu jaya.

Anugerah bukan pengukur budi dan jasa,
keringat yang mengalir dan lara yang ditempa,
semata-mata untuk kesentosaan nusa dan warga,
Engkau yang Esa memberikan petunjuk jalan bahagia,
dengan doa dan pasrah mendepani semua dupa petaka,
membina astaka bahagia untuk semua, tiada untaian kata seindah hamdalah,
sarat syukur atas tibanya hari bersinarnya anugerah,
akhir dari sebuah penantian untuk jawapan segala payah,
pendamping perjuangan sepanjang sejarah,
perkhidmatan yang sentiasa disergap api amarah,
warga penjenayah yang dahagakan darah, jika tersalah langkah.

Jasaku tak senilai nikmat yang telah Kau beri,
izinkan syukur ini terungkap dari lubuk hati,
atas pelita iman sebagai penunjuk jalan,
atas bimbingan pemimpin yang mencerahkan,
atas keyakinan hati yang meneguhkan,
atas pengorbanan keluarga yang membanggakan,
atas bantuan sahabat sejabatan yang menguatkan,
atas ketetapan tugasan yang menenangkan,
atas takdir indah yang Kau sempurnakan.


Banting, Selangor



Telurku Besar


Telurku besar,
bukan sebesar bola raga,
tapi besarnya membeliakkan biji mata,
sesiapa saja,
tiada tandingannya,
jadi bual bicara sepanjang masa,
bercengkerang kukuh nyata,
berisikan emas permata.

Telurku besar,
dilingkung lendir bongkak dan bangga,
meluruhkan ranggi-ranggi syukur,
dari bunga tawaduk,
teguh berpaut,
di dahan insaf,
betapa rapuh utuh sebiji telur,
mampu remuk dihempap batu,
bergolek dari gunung takdir.

Telurku besar,
kerana aku seekor raksasa,
yang pules tidur di gebar bangga,
alpa kehendak yang berkuasa,
dengan kun fa yakun-nya.

SMAHADZIR


Tahajud Malam Sepi 

Dalam kegelapan malam sepi,
aku bangun mengadap Rabbi,
dengan curahan air dingin bening,
mencari susur galur tenang hakiki,
air curahan, penyegar jiwa kehausan,
merayap dingin ke seluruh jasadiah,
membasuh segala kekotoran,
lenyap segala kekusutan,
atas hamparan sejadah suci,
takbir kuangkat mengapung langit kirmizi,
ya Rabbi, terimalah segala pengampunan ini.

Hari silam - lembaran sarat noda,
kejahilan menjadikan aku manusia gila,
hedonistik, kebendaan merajalela,
rumah Allah jarang bermain di mata,
terlalu jauh dalam jurang kealpaan,
sehingga tersungkur di lembah serakah,
syukur aku akas bingkas, menyarung kedok insaf,
taubat nasuha kucegatkan,
mohon maghrifah rayu redha,
agar segala dosaku diampunkan.

Tahajud malam sepi,
membawa aku ke langit jauh, di bawah lautan luas,
terbentang sayup membawa tenang,
terdampar di pantai sejahtera, niat hadir menyusul qiam diam,
rukuk, iktidal, sujud, iftirasy sarat ketakwaan,
tasyahud dengan linangan airmata insaf,
segala dosa silam kubiarkan lenyap dalam taslim muhasabah.

Ya Rabbi, berilah petunjuk-Mu teruskan langka,
maya ini penuh lorong ke neraka,
jauhkan aku dari anasir durjana,
tetap imamat teguh mujahadah,
ingin khali dalam iman akidah,
moga tahajud jadi pendorong,
untukku terus bermuhasabah,
agar hidup dilingkung berkah.

SMAHADZIR
Masjid KLIA


Janji Anak Palestin

Belum kering titisan darah saudara tumpah,
lantaran kejam tangan kotor,
belum berhenti tangis adik ditinggal ibu tercinta,
oleh kebusukan jemari najis,
belum habis kepulan debu rumah dilanyak hancur,
oleh kereta kebal laknat,
belum reda laungan takbir ayah pertahan izzatul Islam,
kerana paksaan propaganda dusta,
anak Palestin meneguh janji,
tidur mereka tak akan nyenyak, makan tak akan nikmat,
tiap tarikan nafas akan tersekat,
meski roh saudara menguap ke angkasa,
semangat jihad sentiasa bergejolak untuk membela,
jadi syaitan pengganggu ketenangan.

Mereka adalah zionis;
dajjal berwajah Amerika, syaitan berupa Israel,
dajjal berseragam tentera sekutu bermuka khinzir,
anak Palestin katakan, mereka tak akan rasa kemenangan,
mereka akan telan kehinaan dunia keburukan akhirat,
mengekor menjadi bayang hitam tiap detik,
hingga Dia menurunkan azab sengsara.

SMAHADZIR
Paka, Terengganu

Kemboja Tanah Moyang

Dalam taman tanah moyang,
sekuntum kemboja menggerbak harum,
tersembunyi kembang indah permai,
tiada tersentuh angin kasar,
tiada terjirus hujan keras,
dibelai siulan unggas bersenandung merdu,
dengan lirik santunan budaya bangsa tercinta,
tiada disentuh jejari ganas,
tiada dicumbu cinta nan asyik,
mempersona di puncak gunung,
mekar berkembang di jantung dunia.

Bak kemboja disiram air penawar,
dipupuk dijaga dibelai cumbu,
daun bersemi, ranting merendang jadi teduhan,
harum menghias jendela bumi,
dialah serikandi, puteri tanah moyang,
api juang tak pernah padam,
berkobar sepanjang zaman,
darah merah sentiasa mengalir,
membahang bergelora membela negara,
dia bukan petualang kecundang,
bukan penderhaka jalang,
hanya sekuntum kemboja tanah moyang.

SMAHADZIR
Kuala Lumpur



Syuhada Uhud

i

Jabal Uhud; gema peri purbakala,
menjelma tanpa kata,
masa sekelip mata, nabi datang ke puncak Uhud penuh waspada,
sontak, sekujur tubuh gunung bergetar tanpa suara,
“apakah itu gempa bumi melanda?”
persoalan dua sahabat mengasak minda,
bimbang satu malapetaka,
bakal mengancam nyawa.

Sabda baginda mulia, “ini bukan satu malapetaka,
tapi Uhud sedang gembira,
menyambut kehadiranku menginjak tubuhnya!”
betapa kaki baginda,
mulia seluruh buana,
terhimpun kesucian seorang anbia,
kekasih Allah, pembimbing umat, penjana akhlak,
semua manusia.

Uhud bergetar, batu-batu bergegar,
Nabi berkata datar: “Jabal Uhud, usah bergetar,
berhentilah bergegar, menggugah gelentar,
sebab aku telah sedar, engkau sangat gembira,
menyambut kedatangan manusia mulia,
di sisi Azzawajalla.”

Uhud berhenti bergegar,
takzim pada lidah kekasih Allah akbar,
sebalik bukit para syuhada riang debar,
syurga menanti sebagai ikhtibar,
perjuangan menegakkan kalimah Allah Maha Besar,
pembela agama benar.

ii

Buat syuhada Uhud,
di sini terbaring sementara waktu,
terus hidup sejahtera menikmati anugerah ilahi,
sebalik longgokan nisan batu,
jerit takbir, hempasan tubuh nafas bersatu,
dalam kalimah suci mengapung ke langit biru,
riang bertahmid berzikir memuji Rabbi,
kalah mengukir takhta para syuhada,
dengan harta dunia, istana kaya singgahsana,
bukan cita seorang pejuang agama suci,
Saiyidina Hamzah pahlawan terbilang,
gilang gemilang terbujur di medan perang,
gugur mengikis dendam sahara,
jantung putih dari gigi pengunyahnya,
derap kaki lebih gempita,
hingga nanar mata baginda.

Salam untukmu para syuhada pilihan Azzawajalla,
kulihat singgahsana kencana di pusara mereka,
kemenangan Badar hanyalah debu,
dan nisan beku,
dengan bait puisi restu.

SMAHADZIR
Hadapan Jabal Uhud
Mekah Ar-Mukaramah


Dirgahayu Bentala Nusa

i

Telah bersipongang pekik merdeka,
menggegar, berkumandang ke seluruh pelosok bentala,
peluh darah pahlawan bangsa,
suka duka kehidupan warga, berbuah nyata,
sedar sebagai tunas bangsa,
penerus sejarah pemandu jalan sejahtera,
perjuangan menegak pilar agama,
mari kita jaga ibu pertiwi tanah merdeka,
junjung martabat raja-raja negeri,
dirgahayu tanah moyang nusa tercinta,
nyalakan terus semangat kemerdekaan hakiki,
sekali merdeka tetap merdeka abadi lestari.

Semangat pahlawan darah para pejuang,
di sempadan, pahlawan menjulang lading membela,
tak menyerah patah arang teguh jiwa,
tak gentar geguntur dan genderang musuh,
tetap merempuh biar nyawa rebah terkujur.

Gegak gempita gendang kemenangan,
letih raga mencengkam membebat rasa,
rebah bukan bermakna kalah,
tapi strategi merenda muslihat untuk meredah musuh,
di sini kelun-kelun doa membumbung ke langit terbuka,
bangkit menyerang petualang mengancam,
mentari tersenyum tanda melawan,
walau tulang tak lagi menyatu,
tapi jiwa semangat maju takkan luntur,
kini, mimpi ngeri telah usai bubar berkecai,
tapi cita takkan berhenti terus membuar,
perjalanan hidup panjang di bentala,
semangat pahlawan kembali tegak berdiri.

ii

Hari ini aku berdiri menghadap jata negara,
garang harimau menjaga gagah jalur gemilang,
hentak berani menyongsong hasrat menjulang nusa,
suci jiwa menggapai harapan gemilang bangsa,
aku anak jati bentala merdeka,
semangat jati menyuar pengorbanan membela,
merdeka tetap lestari selamanya,
majulah tanah moyangku,
berdaulat sepanjang masa.

31 Ogos 1957,
hari kemerdekaan tanah moyang,
hari kebangsaan nusa tercinta,
hari lahir bangsa Malaysia,
semangat juang para pahlawan,
gugur tenang di medan perang,
harum namanya di kandung badan,
tetap dikenang tetap dijulang,
sebagai pejuang kemerdekaan.

SMAHADZIR
Dataran Merdeka,
Kuala Lumpur

TANAH IBUNDA


Tanah ibunda; berdiri di dadanya,
sebuah perjuangan, gunung bersalut emas,
dahulu, bertakung nanah membuak,
mengalir darah hanyir,
pejuang mulus berbakti,
kujelajahi juzuk tubuhnya,
parut luka tak lagi bernanah,
cergas menunas, pohon merimbun redup,
tasik mengalir jernih,
gelicau unggas bersenandung ria,
dengan lagu bahagia, cerita gembira,
anugerah mesra, bentala sejahtera.

Tanah ibunda; menginsafkan,
dengan kasih, menyelusur hari silam,
dibalut gebar cabuh, dibakar mentari,
memesrakan aku dengan sayang,
mengenang perkasa diri,
kala menjinak ganas gelombang,
memujuk terjang angin,
membawa kolek ke pantai putih.

Tanah ibunda; puisi kasih tercipta,
dari satuan ikhlas,
dalam cerlang kehidupan,
membebat erat perasaan,
kuhadiahkan, kala imbauan rasional,
merayapi mindaku.

SMAHADZIR
Banting, Selangor
@Hakcipta Terpelihara



ALAM CAMERON HIGHLAND

Gunung-gunung dan bukit-bukit hijau
tinggi tajam menongkat alam
menjulang menusuk awan
air sungai berkelok
bermain di celahan kakinya
makmur fauna flora bersyukur
segar bugar dalam lingkungnya
bilakah agaknya
Tuhan menurunkan tangan-Nya
mengukir mencalit warna alam
memahat mencoret sebegini cantik mempersona

Belantara menghijau membiru kejauhan
ladang sayur membentang kekayaan
bunga pelbagai warna menggerbak memekar
kebun teh menghijau saujana
kumbang rerama berterbangan riang
unggas gelicau bersenandung tembang gembira
pawana berhubub mesra manja
semua mengarak senyum pesona
semilir sejuk segar membelai nyaman
molekul bahagia bertebaran
menyerap ke pori kehidupan

SMAHADZIR
Cameron Highland


Kalung Emas Ibu yang Tercampak di Longkang Kota

Kalung ibu bersalut emas,
tercampak jatuh dari seorang perempuan muda kala membuka bajunya,
di tepi longkang hadapan orang ramai,
manik-manik bertatah permata, kemerlap kemilau,
berderai di atas sampah kohong, bertaburan merata-rata,
ibu sedih lalu bersenandung dengan lidah sakit,
dan bernanah santak ke hujung jantung hati,
yang parah dan terobek sukma,
sehinggakan rokib dan atid tak tergamak mencatat,
setiap ketar suara, setiap gigil kata, yang bergema dari jelunya,
izrailpun terkaku lalu berdoa ditugasan terakhir,
jangan biarkan ia tercampak.

Pesan ibu; tebarkan gebar-gebar kasih,
kejapkan selimut-selimut cinta,
jangan berkecai dihenyak bongkah harta,
namun sirna juga di gelora haloba,
ibu membelainya dengan kelembutan dan manis kata,
janji semalam; usah bimbang, usah curiga,
tidak bergema suara menyambut,
kosong, lampung, tidak pernah bersahut.

Seorang kanak-kanak tahfiz berasa hiba,
melihat kalung kencana berharga,
berserakan di longkang kota,
lalu dikutip dan dicantumkan semula,
dan disarungkan ke lehernya,
menjadi hiasan paling bermakna,
dijaga dan digilap sepanjang masa,
kemilau hingga ke lawang senja.

SMAHADZIR


Angan-Angan


Mesra menguak lawang minda, terbang ke langit jauh,
bersama bidadari, bersama bahtera kencana,
bersama beburung berkepak permata,
menyelusup ke samudera terdalam,
bersama karang, bersama mutiara,
sampai ke mahligai antah-berantah, mempersona.

Membina istana kehidupan sarat kemewahan,
duit ringgit harta bertimbun,  emas permata membukit terhimpun,
kereta besar tersergam berkilau anggun,
bersarapan di hotel berbintang besar,
disaji pelayan manis dan pintar, tiada masa berhati gusar,
pabila malam disenandung bidadari cantik,
berparas pesona bersuara lunak senyum menarik,
pipi pauh dilayang alis bagai dipantis,
gigi melepak telapak lunak jejari melentik,
betis bunting padi ghairah melirik-lirik.

Datang kala sepi mengapung rasa,
menyelinap celahan hati mengetuk pintu masa,
senyum pun menguntum memekar pesona,
andainya aku kaya raya, harta bertimbun wang berjuta,
tentu dipandang mulia, dirai hormat di mana saja,
apa dikata semua dikota,
itulah mainan angan-angan entah bila jadi nyata,
hanya bergentayangan depan mata,
membuai rasa melayang ke mana saja,
selalunya ke taman syurga.

Bila jelak bercengkerarama di kamar impian,
melenyap tanpa kesan, terkebil-kebil dengan senyuman,
jadi kaya hanya angan-angan,
mustahil jadi kenyataan.

Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Segamat, Johor




Tiada ulasan:

Catat Ulasan