(Cerpen ini telah memenangi hadiah saguhati Sayembara Formula Malaysia)
SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
WAKTU rehat baru saja bermula. Razman bersandar di pohon ketapang pinggir kantin melihat rakan-rakan sekolah yang lain menjamu selera. Sebak rasanya kerana tidak mampu berbelanja seperti mereka. Kalau ayah masih hidup, tak mungkin nasibku begini, fikirnya.
Seingat Razman, kehidupan keluarganya dihimpit kemiskinan begini sejak ayahnya meninggal dunia setahun yang lalu. Kini, yang mencari rezeki hanyalah emak seorang. Pendapatan dari keringat yang emaknya curahkan di kebun getah tidak mencukupi untuk dia bermewah seperti rakan-rakan yang lain. Namun, dia tetap bersyukur kerana masih dapat bersekolah. Kesedaran itulah yang mendorong Razman rela berlapar semata-mata tidak mahu membebankan emak. Pun begitu, kepada siapa harus dia mengadu segala kesempitan hidup yang dialami ini. Saudara mara tentunya tidak dapat membantu kerana mereka juga susah.
Sesekali, rasa sedih timbul di hati kerana dilahirkan dalam keluarga yang miskin. Alangkah seronoknya jika dia anak orang berada! Tentulah dia tidak perlu memikirkan soal wang begini.
Razman sedar, kemiskinanlah yang selalu menjadi punca terhalang segala impian dan cita-cita. Lebih-lebih lagi seperti zaman sekarang ini, duit amat diperlukan dalam apa juga tindakan terutamanya dalam menggarap ilmu. Untuk membeli sebuah buku rujukan pun memerlukan duit.
Apakah aku akan gagal menjejakkan kaki ke menara gading disebabkan kemiskinan hidup ini? Pertanyaan yang tiba-tiba menerkam benak itu membuatkan wajahnya berubah pudar dan muram. Serasa alam sekeliling turut sebam bersamanya. Berjenak-jenak dia mengeluh.
Bising suara rakan-rakan sekolah di ruang kantin tidak mengizinkan Razman melayan ngeluyur perasaan lebih lama di bawah redup pohon ketapang itu. Mengeluh lagi dia kemudiannya. Ah, lama-lama di sini pun membuang masa juga, fikirnya.
Sejurus kemudian, dengan perut yang menggelodak lapar, dia mulai mengatur langkah perlahan-lahan. Niatnya mahu ke perpustakaan. Moga-moga dengan membaca buku di perpustakaan akan melenyap segala rasa lapar yang ditanggung itu.
Sebaik sahaja tiba di perpustakaan, Razman terus mendapatkan sebuah buku. Suasana agak lengang ketika itu. Di sebuah meja pinggir tingkap cermin, dia berlabuh tenang. Buku segera dibuka, diselak helaian demi helaian namun amat sukar untuk dihayati.
Fikirannya masih mahu menerawang kepada kesempitan hidup. Dia cuba menyisihkannya tetapi tidak berjaya. Pelbagai perkara datang menghenyak namun semua itu lenyap mendadak kala sebuah tapak tangan hinggap di bahunya serentak suatu suara menyergah.
“Hei Man! Kenapa termenung?”
Razman tersentak kecil lalu segera menoleh. Kim Seng berdiri di belakangnya sambil tersengih.
“Apa yang kamu menungkan, Man?” tanya Kim Seng lagi seraya melabuhkan punggungnya di sisi Razman.
“Err, tak ada apa-apa, Seng!” acuh tak acuh dia menjawab, cuba menyembunyikan hakikat sebenar.
“Jangan tipu saya, Man! Sebenarnya saya dah perhatikan gerak geri kamu sejak tadi!” ujar Kim Seng, polos. “Waktu rakan-rakan kita yang lain sedang makan di kantin, kamu termenung di bawah pokok ketapang. Lepas tu, kamu datang ke mari. Saya lihat, di sini pun kamu termenung juga. Bukan hari ini saja, Man! Malah sejak kebelakangan ini saya nampak kamu selalu begini. Tentu kamu ada masalah!”
Razman agak terkejut dan tidak menyangka sama sekali yang dirinya selama ini menjadi perhatian teman baiknya itu.
“Betul kamu ada masalah kan!” Kim Seng bersuara lagi, seolah-olah mendesak.
Razman tidak menjawab sebaliknya mengeluh berat dan panjang. Terasa sukar untuk dijelaskan kepada Kim Seng.
“Tak usah sembunyi lagi, Man! Saya tahu apa masalah sebenar kamu. Tentang yuran SPM, kan?” Kim Seng tersenyum dan mencuit hidung Razman dengan hujung jarinya.
“Eh, macam mana kamu tahu?” Razman terjeda sejenak.
“Alah, bukan saya seorang saja yang dah tahu, Man! Semua rakan-rakan sekelas kita yang lain pun dah tahu juga. Tiap-tiap hari Cikgu Hamid tanya kamu fasal yuran SPM tu, tentulah semua orang tahu!” ujar Kim Seng mencegatkan hakikat.
Razman pantas mengeluh. Tidak berdaya lagi untuk menafikan kata-kata Kim Seng. Segalanya benar dan kadang-kadang dia berasa amat malu sekali untuk berhadapan dengan Cikgu Hamid. Guru berkumis nipis itu selalu sahaja bertanya fasal yuran SPM yang belum dijelaskannya dan seolah-olah tidak mahu menerima segala alasan yang diluahkan.
“Kamu boleh bayar yuran tu, Man!” Kim Seng bersuara lagi, penuh yakin.
“Keluarga saya miskin, Seng!” balas Razman. “Bukan kamu tak tahu, emak saya sekadar menoreh getah orang secara pawah. Dua orang adik saya juga perlukan duit untuk sekolah. Makan pakai kami pun tak cukup, inikan pula nak jelaskan yuran SPM yang beratus tu!” tambahnya tanpa segan silu.
“Itu saya tahu, Man!” balas Kim Seng. “Keluarga saya pun bukannya kaya sangat tapi itu semua tak penting. Yang penting, kita mesti ada kemahuan, rajin dan tak malu nak cari duit sendiri tanpa membebankan orang tua!”
“Err, maksud kamu bekerja sambilan?” soal Razman inginkan kepastian.
Kim Seng pantas mengangguk. “Itu saja cara kita nak dapatkan duit, Man!” ujarnya tegas. “Saya pun kerja sambilan juga, Man! Kamu jangan sangka yuran SPM yang saya bayar tu duit dari ayah saya. Itu duit hasil titik peluh saya sendiri. Walaupun saya bekerja di kebun sayur ayah sendiri tapi saya dibayar gaji seperti orang lain juga.”
Razman benar-benar terkejut dan berasa sukar hendak meyakini sama sekali penjelasan rakannya itu sehingga mendorong dia bersuara. “Betul ke ni? Jangan-jangan kamu sengaja nak menyedapkan hati saya saja!”
“Tak, Man! Saya tak berbohong!” bantah Kim Seng lembut. “Lagipun, buat apa saya nak berbohong dengan kamu. Bukannya ada faedah apa-apa. Mungkin kamu sukar nak percaya tapi inilah hakikat yang sebenar, Man! Sejak di tingkatan tiga lagi saya bekerja dengan ayah saya. Lepas sekolah, saya akan bekerja dari pukul 3.00 sampai 6.30 petang. Malam pula saya masih boleh mengulang kaji pelajaran.”
Razman terdiam sekadar mengangguk kekaguman mendengar cerita Kim Seng.
“Sebenarnya, Krishnan pun bekerja dengan ayah saya juga!” ujar Kim Seng lagi.
“Errr, Krishnan rakan sekelas kita tu?” Razman sungguh-sungguh terjeda.
Kim Seng mengangguk. “Ya, Man! Dah hampir tiga bulan dia bekerja bersama saya,” ujarnya. “Kamu bukan tak tahu, Krishnan pun anak orang miskin macam kamu juga. Berapalah sangat gaji ayahnya sebagai penjual roti tu. Emaknya tak bekerja. Adik beradik ramai. Enam orang adiknya masih bersekolah. Sebab itulah dia cari wang sendiri untuk belanja persekolahannya.”
Razman mulai tertarik. Betapa rakan-rakannya itu sanggup mengorbankan diri dengan bekerja secara sambilan semata-mata tidak mahu membebankan bahu orang tua. Kenapa saya tidak sanggup bekerja seperti mereka, soalnya kepada diri. Saya juga mesti bekerja sambilan. Dia terus memancangkan tekad.
“Kamu tak suka ke cari duit sendiri?” soalan yang mencerlus dari mulut Kim Seng secara tiba-tiba itu pantas mematikan lamunan singkat Razman. Dia terpinga-pinga sejenak.
“Kalau kamu suka, saya boleh tolong uruskan!” ujar Kim Seng lagi.
“Suka, Seng! Suka! Saya memang suka!” balas Razman sungguh-sungguh. Dia mengangguk-angguk ceria kemudiannya. “Tapi, saya nak kerja di mana?” soalnya pula dengan wajah kembali pudar.
“Kerja dengan ayah saya!” jawab Kim Seng.
“Kerja dengan kamu dan Krishnan di kebun sayur tu?”
Kim Seng mengangguk cepat.
“Tapi, mahukah ayah kamu ambil orang macam saya ni bekerja di kebun sayurnya?”
Kim Seng tersenyum. “Kebetulan seorang pekerja dari Indonesia dah pulang ke negerinya. Kamu boleh ganti tempatnya. Err... kalau setuju, saya boleh berbincang dengan ayah saya malam nanti!”
“Saya memang setuju, Seng!” balas Razman. “Kalau boleh esok pun saya nak kerja tapi macam mana kerjanya, Seng?”
“Macam-macam, Man!” jawab Kim Seng. “Tapi, taklah teruk sangat. Contohnya, siram sayur, cabut rumput-rumput di batas sayur, sembur racun serangga, bubuh baja, gembur tanah, buat batas-batas baru errr... kamu tahulah bila dah bekerja nanti!”
Razman mengangguk-angguk senang. “Baiklah, Seng! Kamu pujuklah ayah kamu tu. Saya memang perlukan duit secepat yang boleh. Tolonglah ye!” ujarnya bagaikan memohon simpati.
Kim Seng tersenyum lebar. “Itu kamu jangan bimbang, Man! Ditanggung beres,” balasnya lalu hujung jari pantas mencuit hidung Razman.
Razman tersenyum dengan gelagat rakannya itu. Tatkala itulah loceng berbunyi nyaring dan panjang menandakan waktu rehat sudah tamat. Razman dan Kim Seng segera bangun dan keluar dari perpustakaan. Mereka berjalan beriringan menuju ke kelas. Kala itu Razman dapat merasakan seolah-olah ada keceriaan sedang menantinya di hadapan. Dia tersenyum sendiri.
* * *
Sebaik selesai solat maghrib, Razman berteleku lama di atas sejadah. Dia memohon doa ke hadrat Allah semoga dilimpahkan rezeki dan kesihatan yang baik untuk berusaha membantu meringankan bebanan emaknya. Selepas kedua tapak tangan diraupkan ke muka, perlahan-lahan dia bangun mendapatkan Mak Sepiah di ruang tamu untuk menyatakan hasrat yang telah dipersetujui bersama Kim Seng di sekolah tadi.
“Apa? Nak kerja sambilan?” Mak Sepiah terperanjat seraya merenung wajah Razman tunak-tunak. Kain yang sedang dilipat jadi terbantut.
“Ya mak!” ujar Razman lunak. “Ini saja cara Man nak bantu emak. Man kasihan tengok emak, peluh tak pernah kering di badan semata-mata nak cari duit untuk kami adik beradik!”
“Itu dah tanggungjawab emak, Man! Mak tak pernah kesal langsung!” balas Mak Sepiah ikhlas.
“Man tahu itu tanggungjawab mak! Tapi, niat Man ikhlas nak bantu mak!” Razman bagaikan merayu persetujuan emaknya.
“Habis, bagaimana dengan pelajaran kamu?” si emak ingin tahu.
“Tentang itu, mak jangan risau. Man berjanji tak akan mengabaikan pelajaran,” ujar Razman lalu menceritakan tentang Kim Seng dan Krishnan yang cemerlang di dalam pelajaran walaupun mereka bekerja secara sambilan.
Mak Sepiah terdiam sejenak sebelum mengangguk-angguk kemudiannya. “Kalau itu janji kamu, emak izinkan. Tapi, ingat Man! Pelajaran penting untuk masa depan. Emak tak mahu kamu gagal. Emak mahu kamu berjaya sampai ke universiti. Ini juga cita-cita arwah ayah kamu. Ingat tu!”
Razman mengangguk menyetujui syarat yang diluahkan emaknya dengan semangat yang membara di dada. Dia bertekad untuk bekerja dan belajar bersungguh-sungguh untuk mencegatkan segala cita-cita diri, hasrat arwah ayah dan harapan menggunung emaknya itu.
Keesokannya dia ke sekolah agak awal dari selalu kerana tidak sabar hendak mendengar keputusan dari Kim Seng pula.
* * *
Sudah hampir seminggu Razman bekerja sambilan di kebun sayur kepunyaan Ban Heng. Ayah Kim Seng itu seorang yang peramah, tidak kedekut dan suka bergurau. Kebun sayurnya seluas lima hektar, sarat ditanam dengan pelbagai jenis sayur seperti terung, kacang panjang, bendi, bayam merah, lobak, sawi, kangkung, kobis, salad, kailan, keledek, kacang buncis, peria, kacang sireh dan sebagainya.
Menurut Kim Seng, peraih dari pasar-pasar borong dan pasar tani akan datang setiap minggu untuk mendapatkan bekalan di sini. Pun begitu, ada juga orang-orang kampung yang datang membeli secara runcit. Ini kerana sayur yang dijual oleh Ban Heng lebih murah jika mahu dibandingkan dengan sayur yang dijual di pasar. Dan lagi, layanan dari Ban Heng amat mesra, tanpa mengira waktu.
“Kita hidup satu negara. Mesti berbaik-baik sesama kita, tak boleh kira bangsa atau agama. Barulah hidup boleh senang, aman dan tenteram!”
Demikian ungkapan Ban Heng sewaktu Razman, Krishnan dan Kim Seng berehat sebentar di pondok kayu pinggir batas keledek selepas kerja-kerja menyembur racun serangga selesai. Sebagai pembasah tekak, Ban Heng menyediakan seteko kopi dan sepaket roti potong untuk mereka. Begitulah setiap hari yang dilakukan ayah Kim Seng itu.
Selesai berehat, mereka menyambung semula kerja yang diamanahkan Ban Heng. Razman mencabut rumput-rumput yang tumbuh meliar di batas sawi sementara Krishnan menyediakan batas baru untuk keledek. Kim Seng pula menggembur tanah di perdu-perdu bendi. Sewaktu jam menunjukkan 6.30 petang, masing-masing berkemas untuk pulang. Segala peralatan yang digunakan, dikumpul dan disimpan di dalam sebuah setor kecil.
Setelah menerima upah dari Ban Heng untuk hari itu, Razman dan Krishnan pun melangkah pulang. Sebaik keluar dari pekarangan kebun sayur, mereka melihat Cikgu Hamid bersama isterinya datang ke situ.
“Nak beli sayur ke cikgu?” tegur Krishnan dengan mesra sewaktu Cikgu Hamid dan isterinya tiba di hadapan mereka.
Cikgu Hamid hanya mengangguk dan tersenyum. “Eh, kamu pun bekerja sambilan di sini juga?” soalnya tatkala melihat Razman di sisi Krishnan.
“Terpaksa cikgu!” jawab Razman sambil tersengih. “Nak cari duit lebih kenalah bekerja sendiri!”
“Baguslah kalau ada kesedaran begitu!” balas Cikgu Hamid ikhlas. “Dari membuang masa dengan melepak tak tentu hala, dapat juga bantu keluarga. Cikgu pun suka jika kamu buat kerja-kerja sebegini. Secara tak langsung, kamu akan sedar betapa susahnya nak cari duit. Tapi ingat, jangan sampai terabai pelajaran pula. Peperiksaan percubaan SPM tak lama lagi. Jangan asyik fikir fasal duit saja, pelajaran untuk masa depan pun penting juga!” tokoknya panjang lebar.
Razman dan Krishnan hanya mengangguk. Mereka akur dengan nasihat berharga dari Cikgu Hamid itu. Sewaktu melangkah meninggalkan Cikgu Hamid, Razman terpanggil untuk tersenyum lagi bila teringatkan yuran SPM yang sudah pun dijelaskannya lima hari yang lalu.
Pada hari kedua dia bekerja, Kim Seng telah meminjam dari ayahnya untuk yuran tersebut. Ban Heng tidak banyak soal lebih-lebih lagi Razman telah berjanji akan membayar balik secara potongan dari upahnya setiap hari. Setiap hari Razman akan dibayar sebanyak lima ringgit selepas lima ringgit lagi dipotong untuk hutang. Sementara Krishnan pula dibayar sebanyak dua belas ringgit kerana telah lama bekerja. Mengingatkan itu semua, Razman berasa bangga kerana berjaya meringankan bebanan emaknya tambahan wang yang diterima dapat pula membantu adik-adiknya yang lain.
“Penat?” tanya Krishnan suatu ketika, sewaktu mereka di dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.
“Penat juga tapi taklah teruk sangat!” ujar Razman. “Kalau nak dibandingkan dengan menoreh atau kerja kontrek, sepuluh kali lebih ringan dari kerja kita!”
“Yang penting kita dapat duit!” balas Krishnan sambil tersengih bangga. “Di samping itu dapat pula pengalaman. Pengalaman tak boleh dibeli atau dipelajari baik di sekolah atau universiti. Betul tak?”
“Betullllll!” Razman turut tersengih. “Eh, kamu seolah-olah nak jadi penanam sayur macam Pak Cik Heng pula nampaknya!” tambahnya cuba menduga.
“Memang itu cita-cita saya, Man!” jawab Krishnan tegas.
“Tapi, kamu kata nak masuk universiti?”
“Mestilah! Nak jadi petani moden mestilah mempunyai ilmu yang lengkap!” balas Krishnan. “Saya nak jadi petani intelek, bukan tradisi. Jadi, bila masuk universiti, saya akan dapatkan sebanyak yang boleh ilmu tentang agronomi. Ilmu itu akan dipindahkan kepada tanah secara intensif!” beria-ria benar dia mencerluskan impiannya kepada Razman.
“Wau, hebat!” puji Razman seraya tersenyum dan kagum.
“Kamu bukan tak tahu, Man! Ini wawasan baru pemimpin negara kita,” ujar Krishnan lagi. “Perdana Menteri kita mahukan Malaysia jadi negara pertanian menjelang tahun 2020. Selepas berjaya jadi negara industri berjaya pula jadi negara pertanian supaya ekonomi jadi seimbang. Kita tak perlu lagi import makanan dari luar negeri. Barulah kemajuan negara kita lengkap dalam semua segi.”
“Kalau begitu, kamulah rakyat Malaysia dari keturunan India pertama jadi petani intelek yang berjaya!” seloroh Razman sambil ketawa mengekek.
“Terima kasih. Ini satu cabaran!” balas Krishnan. Dia turut ketawa bersama Razman.
Jauh di dasar hati Razman, dia berasa kagum dengan impian Krishnan. Betapa rakannya itu kaya dengan cita-cita yang tinggi melangit. Minta-minta akan berjaya dilaksanakan, doanya dalam hati. Selepas itu mereka berpisah di satu persimpangan jalan. Kala itu senja sudah menebarkan cahayanya. Razman mempercepatkan perlangkahannya supaya tidak ketinggalan bersolat maghrib berjemaah bersama emak dan adik-adiknya.
Masa beredar terlalu pantas. Peperiksaan percubaan SPM baru saja berlalu. Razman yakin akan memperolehi keputusan yang cemerlang. Keyakinan itu berdasarkan usahanya yang gigih, tekun dan berterusan tanpa mengenal jemu dan penat. Mengingatkan itu, dia tersenyum puas dan berasa tidak sabar menunggu keputusan tersebut untuk ditunjukkan kepada emaknya.
Seperti malam-malam yang lalu, malam ini juga dia tetap mengulang kaji pelajaran di samping membantu dua orang adiknya menyiapkan kerja sekolah mereka. Lebih kurang pukul 11.00 malam, barulah mereka masuk tidur.
“Dah pukul 12.30 ni, tak mengantuk lagi?” tanya Mak Sepiah. Secawan kopi segera dihulurkan kepada Razman. Dia tahu, kopi buatan sendiri itu mampu untuk menegangkan urat mata terus terjegil sampai pagi.
“Buat apa susah-susah, mak! Man tahu buat sendiri!” ujar Razman lembut. Tangan segera menyambut cawan pemberian emaknya lalu diletakkan di atas meja. “Mak tak tidur lagi?” soalnya pula, kopi segera diteguk.
“Kamu tu yang mesti masuk tidur. Esok nak sekolah. Mak takut nanti tertidur pula dalam kelas!” Mak Sepiah menggeleng-geleng nipis. Sejurus kemudian dia masuk ke dalam bilik.
Razman tersenyum dengan perhatian yang diberikan emaknya. Cukup bertanggungjawab dan penuh kasih seorang emak. Memercup pula rasa bangga kerana dikurniakan seorang emak seperti itu. Emaknya bukan sekadar gigih dan tabah mengharung hidup tanpa suami tetapi juga kaya dengan sifat penyayang terhadap anak-anak. Razman merasakan tidak rugi dia mengorbankan diri dengan bekerja sambilan selepas waktu sekolah, mengorbankan masa bermain seperti rakan-rakan yang lain semata-mata untuk meringankan bebanan emaknya. Kini sudah berjaya dilaksanakan. Ibunya tidak perlu lagi memikirkan soal yuran SPM dan juga wang untuk adik-adik ke sekolah. Semuanya ditanggung beres.
Jarum panjang dan pendek jam sudah bersatu pada angka satu. Angin yang bertiup dari luar sesekali menerpa masuk dan menyapa tubuh Razman. Perlahan-lahan dia bangun dan mengatur langkah ke biliknya. Sewaktu menghempaskan badannya di atas tikar mengkuang untuk tidur, entah kenapa kebun sayur Ban Heng mengirap ke mata.
* * *
Suasana di kebun sayur Ban Heng petang itu menjadi gempar. Krishnan yang melihat kejadian tersebut tergamam dan terkaku di pinggir batas keledek. Ban Heng bersama beberapa orang peraih yang sedang menaikkan sayur-sayuran ke dalam lori turut menerpa dan tatkala mereka tiba, masing-masing cemas melihat Razman terlentang di atas tanah. Kim Seng di sisi Razman pula kelihatan terduduk, memegang betis dan mengerang kesakitan.
“Apa yang dah terjadi ni?” tanya Ban Heng dengan wajah yang pucat kerana terperanjat.
“Kim Seng dipatuk ular kapak, pak cik!” jawab Krishnan tergagap-gagap. Dia turut cemas dengan kejadian yang berlaku.
“Habis, apa kena dengan Razman pula?” tanya Ban Heng lagi.
“Dia sedut bisa ular dari betis Kim Seng dan pengsan sejurus kemudian,” jawab Krishnan. “Barangkali dia dah tertelan racun ular tu, pak cik!”
Mendengarkan cerita Krishnan itu, dengan segera Ban Heng mencempung Razman ke lori. Beberapa orang peraih yang lain diarahkan mengusung Kim Seng. Kedua-dua remaja itu segera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Sebaik tiba di hospital, kedua remaja itu dimasukkan ke wad kecemasan. Ban Heng dan Krishnan di ruang menunggu, menggelisar dan dada masing-masing berdebar kencang. Mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu.
“Minta-minta mereka selamat!” ujar Krishnan cuba mententeramkan hati Ban Heng.
Ban Heng sekadar mengeluh panjang. Sejurus kemudian, seorang lelaki yang berpakaian doktor keluar dari bilik rawatan mendapatkan mereka.
“Saya Doktor Azmi. Err, encik ni Ban Heng?” tanya lelaki tersebut.
Ban Heng mengangguk-angguk seraya menyalami tangan doktor tersebut. “Bagaimana dengan anak-anak saya?” soalnya pula dengan wajah yang sungguh ingin tahu.
“Err, yang mana satu anak encik?” tanya Doktor Azmi.
“Kedua-duanya!” pantas Ban Heng menjawab sambil melirik wajah Krishnan di sisinya.
Doktor Azmi terjeda sejenak namun dia tidak berminat untuk bertanya lebih lanjut. “Anak encik yang bernama Kim Seng tak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Kami dah memberi rawatan yang sewajarnya!” jelasnya. “Cuma Razman agak serius...”
“Kenapa doktor?” Krishnan mencelah tak dapat ditahan-tahan.
“Dia dah tertelan racun ular kapak!” jelas Doktor Azmi sambil menggeleng kecil. “Saya hairan, macam mana perkara ni boleh terjadi. Bisa ular kapak ni amat berbahaya, boleh membawa maut kalau lambat menerima rawatan!”
“Barangkali Razman tertelan secara tak sengaja sewaktu menyedut bisa pada patukan di betis Kim Seng!” ujar Krishnan.
“Kenapa dia lakukan tindakan yang berbahaya itu?” Ban Heng pula mencelah.
“Saya dah cuba menghalangnya, pak cik! Tapi Razman tak sampai hati tengok Kim Seng mengerang kesakitan!” jelas Krishnan mencegatkan hakikat kejadian tersebut.
Ban Heng menggeleng-geleng sambil melepaskan sebuah keluhan panjang.
“Tak apalah, perkara dah berlaku. Kita tak dapat berbuat apa-apa lagi!” ujar Doktor Azmi. “Yang penting sekarang, kami akan cuba mengeluarkan semua racun yang sudah ditelan oleh Razman tu. Kami yakin, semuanya akan berjaya tapi errr... boleh saya tanya sesuatu?” soalnya pula sambil merenung wajah Krishnan.
“Err, nak tanya apa doktor?” Krishnan terkesip-kesip.
“Apakah mereka berdua tu berkawan baik?” tanya Doktor Azmi.
“Ya, ya doktor!” jawab Ban Heng bagi pihak Krishnan. “Mereka memang berkawan baik sejak kecil lagi. Belajar satu kelas dan jarang berenggang!”
“Sebenarnya, kami bertiga doktor!” Krishnan tak mahu lepas peluang. “Saya pun berkawan baik dengan Razman dan Kim Seng juga. Di sekolah, kami bertiga sering digelar Three Stooges oleh rakan-rakan.”
Doktor Azmi tersenyum lebar. “Seorang kawan baik rela melakukan apa saja demi kawannya walau nyawa sendiri terancam!” ujarnya sebaik senyuman hilang dari bibir.
Ban Heng terdiam. Mendadak dia merasakan amat terhutang budi kepada Razman yang telah menyelamatkan nyawa anaknya. Selepas Doktor Azmi masuk semula ke dalam bilik kecemasan, Ban Heng mengajak Krishnan pulang.
Empat hari kemudian, Razman dan Kim Seng dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Peristiwa ini turut menjadi buah mulut warga sekolah. Semua guru tumpang berbangga dengan keberanian yang dilakukan Razman. Mereka juga amat memuji semangat setiakawan yang ditunjukkan pelajar tersebut.
Selepas lima berehat di rumah, Razman mulai bersekolah dan ke kebun sayur seperti biasa. Walaupun Kim Seng masih belum dapat berjalan dengan selesa kerana terpaksa bertongkat tetapi dia juga tetap ke kebun itu bersama Razman. Dia sekadar duduk di pondok melihat rakannya bekerja.
“Eh, ke mana Krishnan pergi bercuti?” tanya Razman kepada Kim Seng sewaktu berehat di pondok.
“Dia ke rumah bapa saudaranya,” ujar Kim Seng. “Minggu depan Krishnan tak bekerja lagi di sini, Man!”
“Kenapa?” Razman agak tersentak.
“Bapa saudaranya tak benarkan!” ujar Kim Seng.
“Barangkali, bapa saudaranya tu orang kaya!” duga Razman.
“Begitulah! Kemampuannya tidak terbatas, sebab itu dia tak benarkan Krishnan bekerja lagi!” jelas Kim Seng.
Razman terdiam. Sejurus kemudian dia mengeluarkan sebuah buku latihan dari dalam beg kusamnya lalu dihulurkan kepada Kim Seng.
“Buku apa ni?” soal Kim Seng sambil membelek-belek buku tersebut.
“Kamu dah ketinggalan banyak subjek, Seng!” ujar Razman. “Saya pun ketinggalan juga tapi tak banyak macam kamu. Ramai rakan sekelas kita tolong pinjamkan buku mereka dan memberitahu saya dua tiga perkara yang saya tak faham!”
“Terima kasih, Man. Kamu... kamu memang seorang kawan yang baik!” ujar Kim Seng sambil merenung betisnya yang masih bengkak. Bekas patukan ular kelihatan berlubang menyerlahkan isi. Sesekali berdenyut-denyut, perit dan ngilu. Beberapa ekor lalat yang cuba hinggap di situ, segera dikibas oleh Kim Seng dengan sehelai kain.
“Masih sakit?” tanya Razman.
“Kadang-kadang sakit dan berdenyut-denyut juga!” jawab Kim Seng.
“Kamu mesti rajin makan ubat, kalau tidak lambat baik!” nasihat Razman.
Kim Seng mengangguk sambil menuangkan air kopi dari dalam teko ke dalam cawan yang sudah tersedia di situ. “Minum dulu, Man! Nanti sejuk pula air ni!”
Razman mengambil cawan kopi lalu dihirupnya perlahan. Sekeping roti turut dijamah. Mata menyeluruhi kawasan sekitar yang menghijau dengan pelbagai sayuran. Hatinya berasa tenang dan damai tatkala menikmati kehijauan tersebut.
“Saya dah berhutang nyawa dengan kamu, Man!” suara Kim Seng bergema tiba-tiba membuatkan Razman segera menoleh ke arahnya.
“Berhutang nyawa apa pula ni, Seng!” Razman bersahaja. “Kita dah lama berkawan. Mestilah ada sifat tolong menolong, bantu membantu sesama kita!”
“Kalau tak kerana kamu sedut bisa ular tempoh hari, mungkin saya dah tak ada lagi di dunia ni!” ujar Kim Seng dengan wajah yang pudar.
“Dah, dahlah Seng! Tak usahlah kita bercakap soal tu lagi,” Razman berasa kurang senang. Dia segera meneguk air kopi dari dalam cawan. “Saya tak anggap itu satu budi atau hutang nyawa dari saya. Apa yang dah saya buat semata-mata kerana seorang kawan baik. Sebenarnya, waktu itu saya tak sampai hati tengok kamu mengerang.”
“Apa pun kamu kata, saya tetap menganggap yang saya dah berhutang nyawa dengan kamu, Man! Saya tak tahu macam mana nak membalas segala budi baik kamu tu!” Kim Seng berteguh dengan pendiriannya.
Razman tersenyum nipis lalu bangun untuk meneruskan kerja-kerjanya semula. Seperti biasa, dia menajak rumput-rumput yang tumbuh meliar di batas-batas sawi dan lobak. Beberapa ekor kumbang berterbangan tatkala tangan Razman tersentuh dedaun yang subur menghijau.
Setelah matahari hampir condong, dia berkemas untuk pulang. Batang-batang cangkul, pungkis, baldi, alat semburan dan sebagainya disimpan ke dalam setor. Kala itu Kim Seng sudah pun beredar ke dalam rumahnya tidak berapa jauh dari situ.
Sewaktu menerima upah kerja pada petang itu, Razman terkejut besar kerana hutangnya tidak dipotong oleh Ban Heng malah melebihi dari apa yang dijangkakan. Pada mulanya dia menyangka Ban Heng telah tersalah kira. Ini membuatkan dia segera bertanya.
“Eh, kenapa pak cik beri saya sampai tujuh puluh ringgit pula? Sepatutnya lima ringgit saja! Pak cik tersilap kira agaknya!”
Ban Heng tersenyum. “Pak cik tak silap, Man!” ujarnya tenang. “Duit tu pak cik beri dengan ikhlas. Mulai hari ini juga semua hutang kamu dengan pak cik pun tak payah dipotong lagi.”
Pada mulanya Razman berkeras tidak mahu menerima wang tersebut tetapi setelah didesak oleh Ban Heng, akhirnya dia mengalah. Dia terpaksa menerima juga wang tersebut dengan hati yang amat berbelah bagi. Namun, jauh di sudut hatinya, Razman berasa terharu kerana peristiwa tempoh hari telah dihargai begitu tinggi sekali oleh keluarga Ban Heng.
* * *
Peperiksaan SPM sudah lama berlalu. Sebagaimana yang diduga, Razman, Krishnan dan Kim Seng telah mendapat keputusan yang cemerlang. Masing-masing telah ditawarkan ke kolej matrikulasi. Kegembiraan jelas mengapung diri dan keluarga namun bagi Razman, kegembiraannya tidak seperti yang disangkakan. Dia menjadi murung tidak menentu lebih-lebih lagi tatkala melihat wajah emaknya yang jelas muram dengan kejayaannya. Lantas dia tunduk memandang borang tawaran ke kolej matrikulasi di hadapannya. Dadanya menjadi sebak dan terharu.
“Mana emak nak cari duit sebanyak itu, Man?”
Suara Mak Sepiah yang lirih itu sudah cukup untuk menerbitkan rasa kecewa di hati Razman. Dia tahu, itu adalah kenyataan. Memang sukar untuk mendapatkan wang lebih lapan ratus ringgit sebagai belanja permulaan untuk memasuki kolej matrikulasi tersebut.
“Emak bukan tak suka kamu ke kolej matrikulasi, Man! Tapi, perbelanjaannya besar. Kalau ada barang kemas boleh juga emak gadaikan tapi kamu tengoklah sendiri. Apa yang ada di badan emak ni, sebentuk cincin pun tak ada!”
Kata-kata Mak Sepiah menambahkan lagi sebak di dada Razman. Air matanya pantas mengalir ke pipi namun cepat-cepat diseka dengan lengan baju. Cita-cita untuk menjejakkan kaki ke universiti serasa hancur berkecai.
“Maafkan emak, Man!”
“Emak tak bersalah apa-apa dengan Man. Ini semua dah takdir hidup kita, mak!” ujar Razman cuba mententeramkan hati emaknya.
Malam itu Razman tidak dapat tidur dengan nyenyak. Kata-kata emaknya amat mengusik gegendang telinga. Dia sedar, emaknya tidak berdaya melakukan apa-apa ikhtiar lagi. Memang kemiskinan telah menggagalkan segala impian yang diharapkan selama ini. Kekecewaan begitu sukar untuk digambarkan.
Ketika itu alam sekeliling dirasakan seolah-olah dipeluk hening dan lampung. Kala kokokan ayam jantan menyambut ketibaan dinihari, barulah dia dapat melelapkan mata. Itu pun cuma sepicing kerana digugah oleh suara azan subuh. Cepat-cepat dia bangun untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba Alah yang lemah.
Kala matahari menjengah melalui tingkap rumah, Razman termenung di atas tangga. Fikirannya melayang entah ke mana. Daun-daun hijau yang merimbun di pokok-pokok kopi sekitar rumah dirasakan seperti kering dan layu. Mak Sepiah yang sedang menyapu sampah di halaman diundang resah dengan gelagat Razman. Dia tahu, segalanya kerana kegagalan untuk melanjutkan pelajaran ke kolej matrikulasi. Apa boleh buat, dia sendiri tidak berdaya untuk melakukan apa-apa.
Sewaktu Mak Sepiah mahu membakar sampah di hujung halaman, dia tertancap tiga tubuh sedang mengatur langkah ke arah rumahnya. Setelah diamati, kenallah dia tetamu yang datang tersebut. Mereka ialah Kim Seng, Krishnan dan Ban Heng. Nampak jelas wajah mereka ceria dan gembira. Sebaik tiba di halaman, suara Kim Seng terus mencerlus.
“Apa khabar mak cik?”
“Baik, Seng!” jawab Mak Sepiah sambil tersenyum.
“Mana Man?” tanya pula Krishnan.
Mak Sepiah sekadar memuncungkan bibirnya ke arah Razman yang masih termangu di depan tangga. Ketiga-tiga tetamu tersebut segera mendapatkan Razman.
“Sebenarnya kami datang ni ada hal mustahak, Man!” ujar Kim Seng sebaik tiba di hadapan Razman. “Saya tahu kamu tentu memerlukan duit untuk masuk ke kolej matrikulasi!”
Razman pantas terjeda. Spontan dia bangun seraya merenung wajah Kim Seng tepat-tepat. “Apa maksud kamu, Seng? Saya tak faham!”
“Kenapa berbual di situ. Ajaklah naik ke atas rumah!” celah Mak Sepiah mengingatkan Razman. Sebaik berkata begitu, dia segera ke dapur. Jawapan yang diharapkan dari Kim Seng terbantut di situ saja.
Dengan mesra Razman mengajak Kim Seng, Krishnan dan Ban Heng naik ke atas rumah. Di anjung, masing-masing bersandar pada dinding sambil menikmati tiupan angin yang menderu dari muka tingkap.
“Minggu depan saya akan ke Kolej Matrikulasi Londang, Man!” jelas Krishnan sejurus kemudian tanpa diminta. “Saya bernasib baik sebab bapa saudara saya sanggup membiayai semua perbelanjaan saya nanti. Kalau tidak, terpaksalah saya ke tingkatan enam saja,!” tambahnya lagi sambil tersenyum bangga dengan kejayaannya.
Razman mengeluh panjang. “Nasib setiap manusia tak sama, Krishnan! Nasib kamu dan saya berlainan. Kamu bernasib baik sebab ada bapa saudara yang sanggup membantu sedang saya...” dia tidak berdaya meneruskan kerana terlalu sedih dengan nasib yang menimpa diri. Tidak semena-mena kelopak matanya bergenang. Air mata rasa mahu menjujuh namun cuba dibendung.
Kim Seng ingin bersuara tetapi terbantut kerana waktu itu Mak Sepiah datang sambil menatang sebiji dulang buluh bersama empat biji cawan, seteko kopi dan sepiring biskut kering. Dulang tersebut diletakkan di hadapan tetamu. Sejurus menuangkan air kopi dari teko ke dalam cawan, Mak Sepiah melabuhkan punggungnya di sisi Razman.
“Lama tak nampak kamu, Heng!” ujar Mak Sepiah. “Kata Razman, kebun sayur kamu dah semakin luas sekarang. Wah-wah, semakin sibuklah ye!”
Ban Heng yang memang fasih berbahasa Melayu itu tersengih lebar dengan pujian Mak Sepiah. Sudah lama dia kenal dengan perempuan sebaya mendiang isterinya itu. Pun begitu, dia mengenali Mak Sepiah kerana mereka satu kampung. Boleh dikatakan semua penduduk kampung yang lain juga dikenalinya.
“Apa hal datang ni?” tanya Mak Sepiah lagi.
“Hal penting, mak cik!” jawab Kim Seng. Dia melirik wajah ayahnya sekilas sebelum berpindah kepada Krishnan dan Razman.
“Apa halnya?” Mak Sepiah bagaikan ingin tahu.
Hening sejenak. Masing-masing saling pandang memandang. Razman dapat merasakan, ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Kim Seng. Barangkali tentang kejayaan ditawarkan ke kolej matrikulasi di Pulau Pinang, fikirnya. Dia sudah berkira-kira hendak mengucapkan tahniah dan ucapan selamat berjaya kepada rakan-rakannya itu. Tetapi segalanya meleset kala Kim Seng menjelaskan segala yang bermain di benaknya.
“Begini mak cik! Mak cik dan Razman tak usahlah bersedih lagi. Saya dan ayah saya datang ke sini dengan hati yang ikhlas nak menolong Razman. Kami tahu mak cik tak mampu.”
“Betul Piah!” sokong Ban Heng pula, “Saya dah anggap Razman macam anak saya sendiri. Sebab itu, saya sanggup tolong membiayai segala perbelanjaannya untuk masuk ke kolej matrikulasi tu! Saya tak sanggup tengok dia kecewa. Jadi, tak perlulah kamu bersusah payah lagi. Saya akan tanggung semua perbelanjaan Razman!”
Mak Sepiah terlopong mendengar penjelasan tersebut. Sedang Razman sendiri berasa bagai bermimpi. Tidak semena-mena dia menerkam dan memeluk Kim Seng dan Ban Heng sambil menitiskan air mata gembira.
Sewaktu meninggalkan pekarangan rumah Mak Sepiah, Ban Heng tersenyum bangga kerana budi berupa nyawa yang Razman taburkan kepada anaknya dulu bagaikan sudah berbalas dengan pengorbanannya ini.
Dari Lensa Ego dan Kaca Cermin
9 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan