Isnin, 15 Mac 2010

Mencabar Tuhan

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan telah diantologikan dalam antologi Perjuangan Yang Belum Selesai)

SMAHADZIR

SESUNGGUHNYA, orang yang tidak menghiraukan kemurkaan Allah SWT itu menunjukkan bahawa imannya kepada Allah terlalu lemah. Sebab itulah dia tidak takut kapada-Nya. Dia tidak yakin dan tidak percaya dengan janji-janji Allah serta ancaman-ancaman-Nya.

Lantaran itulah dia tidak langusng mahu berusaha untuk mencari keredhaan Allah itu. Sekiranya imannya kukuh lagi teguh kental dalam hati, tentulah dia tidak akan berani menjerumuskan dirinya di dalam penafian terhadap Allah.
Dia tidak akan menyangkal kewujudan-Nya. Dia tidak menafikan hakikat Allah itu wujud. Allah wujud dengan sifat-sifat yang qadim. Allah bersifat dengan sifat-sifat yang qadim.

Itu semua Anushirwan Amros pernah dengar, pernah meledak hebat di copeng telinga dari rakan-rakan yang beragama Islam. Tetapi dia tidak langsung meyakini itu semua. Baginya, Allah itu tidak wujud. Allah itu tiada. Allah itu nil dan nol. Anushirwan Amros tidak beriman dengan salah satu rukun Islam yang lima itu.
Dan dia juga pernah dengar bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang berbunyi: “Akulah orang yang pertama akan bangkit (dari kubur) apabila tiba hari manusia dibangkitkan dan aku menjadi pemimpin mereka apabila mereka mengunjungiku. Akulah orang yang akan memberi nasihat jika mereka mendengar, akulah orang yang akan mensyufaatkan mereka jika mereka telah berputus asa,”

Pengakuan Nabi Muhammad SAW, nabi atau rasul bagi orang-orang Islam itu bukan ditujukan untuknya. Anushirwan Amros yakin itu. Dia bukannya seorang muslim yang harus mempercayai serta meyakini semua itu. Dia bukan pengikut Nabi Muhammad. Dia juga tidak meyakini akan adanya hari kebangkitan semula atau hidup selepas dimatikan. Inilah pegangannya yang begitu kukuh terpahat dalam hatinya sekian lama.

Begitulah Anushirwan Amros.

“Tidak berguna sesalan lagi, tidak ada taubat lagi, apabila peluangnya tetah ditutup. maka ketika itu dia akan berkata dalam penyesalan: “Aduhai, alangkah baiknya jika aku tidak membelakangkan perintah-perintah Allah, tidak mencuaikan hak-hak-Nya, tidak mengejek janji-janji dan ancaman-Nya,”

Petikan dari Al-Quran itu juga bukan untuknya. Itu firman Tuhan untuk umat yang mengaku beragama Islam. Anushirwan Amros bukan Islam. Dia tidak percayakan dosa dan pahala. Dia tidak percayakan Tuhan. Bagi Anushirwan Amros, dosa dan pahala adalah janji-janji kosong oleh Allah yang tidak wujud. Tidak ada dosa dan pahala dalam fahamannya. Dia bebas.

“Orang yang tidak mempercayai Tuhan, kewujudan-Nya, bermakna tidak menghiraukan kemurkaan-Nya. Sebab itulah dia mudah saja melakukan dosa. Yang mana ini merupakan tanda nifak dan terjauh dari nikmat Allah SWT,”

Lantaran itu, maka sedarlah wahai orang yang lalai, dan bangunlah dari tidur kamu sebelum kamu disesalkan kemudian hari iaitu ketika suatu jiwa mengeluh: “Aduhai, sesalnya aku di atas kelalaianku kepada Tuhan. sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang mengejek Tuhan,”

Anushirwan Amros yakin yang dia tidak mengejek Tuhan. Tidak percayakan adanya Tuhan bukan bermakna dia telah mengejek Tuhan. Begitu fikirnya.

“Usah mereka pelbagai alasan, Anushirwan Amros! Kamu sebenarnya telah mengejek Tuhan!” tukas Haji Imran suatu hari sewaktu Anushirwan Amros datang ke rumahnya untuk berdebat tentang kewujudan Tuhan.

“Apa yang kamu katakan itu sekadar alasan untuk tidak mempercayai adanya Tuhan. Saya harap kamu boleh pulang sekarang dan jangan datang lagi ke rumah saya kecuali selepas kamu ke Pusat Islam untuk bertaubat. Selagi kamu tidak bertaubat dari fahaman yang murtad ini, jangan sekali-kali kamu pijak halaman rumah saya!”

Begitu tegas Haji Imran kepada Anushirwan Amros yang menyebabkan manusia free thinker itu tidak lagi menjijakkan kakinya ke rumah sahabat lamanya itu. Mereka pernah sama-sama menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat jurusan ekonomi.

Anushirwan Amros sedikit pun tidak kesal dengan kehilangan seorang rakan lama yang pernah susah bersama sewaktu terlontar di bumi asing suatu ketika dulu. Semuanya kerana kekentalan fahaman free thinkernya itu.

Dia tetap mempertahankan pegangan tersebut biar pun sering dicemuh oleh ramai lagi rakan dan sanak saudara. Isterinya sendiri seringkali mengingatkan bahawa segala pegangannya itu salah namun tidak dipedulikan.

“Saya tetap akan berusaha untuk mengembalikan dia ke pangkal jalan!” ujar Puan Halimah Marqounah sewaktu dipanggil oleh Pusat Islam. “Berilah peluang kepada saya untuk membawa dia kembali kepada agama Islam yang sebenar. Mungkin terpaksa memakan masa yang agak lama tetapi Insya-Allah, saya akan cuba bersama doa!”

Jadi, tidak sekali-kali kerana tidak siman atau mereng atau sudah gila yang membuatkan Anushirwan Amros mengambil keputusan tersebut. Keputusan itu di luar dugaan sama sekali juga di luar kemampuan orang banyak.

Siapa yang sanggup tidur dalam keranda dan ditanamkan pula ke dalam liang lahad bersama-sama orang mati yang lain? Siapa yang sanggup lakukan perbuatan bodoh itu? Hanya Anushirwan Amros saja yang berani berbuat demikian.

Sesunguhnya, tindakan Anushirwan Amros ini tidak diketahui oleh sesiapa pun termasuk anak dan isterinya kecuali seorang rakan baiknya yang bernama Dr Yusof Gibreal. Dia yakin, kalaulah keputusannya yntuk tidur di dalam keranda dan ditanam ke dalam liang lahad ini diketahui oleh anak atau isterinya atau pihak media, tentulah mereka semua akan mengganggpnya sudah gila.

Pihak polis tentu akan dipanggil oleh isterinya untuk membawanya ke hospital bahagia atau hospital sakit jiwa untuk menerima rawatan mental. Setidak-tidaknya mereka akan menghalangnya dari melakukan tindakan yang bodoh lagi tidak berfaedah itu.

Sebenarnya, tindakan itu ada rahsianya, ada sebabnya dan ada sesuatu yang ingin Anushirwan Amros rungkaikan. Persoalan itu perlu dirungkaikan secara amali. Hanya dengan cara itu saja segala persoalan akan berjawab.

Bagi Anushirwan Amros yang tidak pernah percayakan kewujudan hari hidup semula selepas mati itu, tindakan itu akan membuktikan segala dakwaannya adalah benar. Dia ingin merasai sendiri sebuah kematian di alam lahad.

Dia ingin tahu sama ada benar atau tidaknya ada sebuah kehidupan selepas mati itu. Itulah rahsia yang ingin dia capai kemudian akan diungkapkannya kepada khalayak nanti.

Isterinya cukup setia, begitu juga dengan anak-anaknya. Kalaulah keputusan yang telah diambilnya itu diketahui oleh mereka, tentulah mereka menyangka Anushirwan Amros sudah mereng, sudah gila atau juga sudah sasau.

Apakah dia sudah gila? Atau mereng? Atau juga sasau?

Sesungguhnya lelaki yang mempunyai phD dari Amerika Syarikat bidang ekonomi itu tidak gila. Dia juga tidak mereng atau sasau. Dia sekadar mahu mengetahui apa benarkah ada sebuah kehidupan lain sesudah mati. Kalau tidak ada, benarlah segala pegangannya selama ini.

Benarlah Tuhan itu tidak wujud dan benarlah segala janji dan kata nabi dan Tuhan itu dusta belaka. Itulah yang mendorong segala keputusan yang telah dibuatnya bersama Dr. Yusouf Gibreal itu.

Anushirwan Amros membuat keputusan itu secara sedar dan rela. Tidak dipaksa oleh sesiapa mahupun oleh Dr. Yusouf Gibreal. Nukan juga sebuah keputusan yang nekad, sekadar satu keputusan mendahulu ketetapan yang sepatutnya terjadi terhadap semua manusia dan makhluk Allah yang lain. Ya, dia ingin merasa sebuah kematian sebelum kematian yang sebenarnya datang. Dia ingin merasa itu. Apakah enak sebuah mati?

Anushirwan Amros merasakan yang menunggu kematian sebenar amat lambat. Kematian bukannya senang diperolehi. Bukannya mudah mendatangi diri. Menunggu umur tua untuk mati pun lambat lagi. Umurnya sekarang baharu menjangkau 49 tahun. Falsafah Barat mengatakan life begin fourty.

Jadi nak tunggu mati sewaktu tua, terlalu lama hendak ditunggu, fikirnya. Tidak  pasti pula. Untuk membunuh dirinya sendiri supaya cepat mati pun bukanlah satu cara yang baik. Menyalahi prinsip hidupnya sebagai manusia yang berakal. Walaupun Anushirwan Amros tidak percayakan Tuhan, tetapi membunuh diri adalah satu perbuatan yang keji baginya.

Bukan tidak ada kematian yang lebih baik selain dari membunuh diri sendiri, setidak-tidaknya yang tidak sakit atau menderita. Tetapi, mati cara lain pun kadang kala sakit dan menderita juga seperti terjun dari bangunan Menara Kembar Petronas, terjun dari KL Tower, terjun dari kapalterbang ataupun membiarkan diri digelek oleh monorel atau LRT.

Kalau tidak mati tentu lagi sakit keraan terpaksa menanggung derita sampai akhir hayat. Semua itu merupakan sebuah kematian yang menyeksakan. Jadi, apakah cara yang lebih baik untuk mati yang tidak sakit atau menderita?

Anushirwan Amros sudah fikir masak-masak. Dia sudah lama memasak loyang mindanya yang educated itu. Inilah sebuah keputusan yang terbaik. Bius dengan koroform yang berlebihan adalah satu jaminan untuk menemui kematian yang tidak sakit, tidak menderita malah boleh sedar kembali apabila keampuhan kloroform itu berakhir. Sebenarnya, menyuntik dengan kloroform juga bukanlah mati yang sebenarnya tetapi hanya pengsan yang panjang.

Begitu yang Anushirwan Amros fikirkan dan ianya kini telah menjadi satu formula untuknya menemui sebuah kematian. Sebuah kematian yang olok-olok. 

Anushirwan Amros yakin, mati dalam pengsan atau pengsan yang panjang adalah mati yang tidak terseksa, mati yang nyaman dan mati yang tidak melibatkan tubuh atau jasad menderita sakit.

Dalam hal ini raka karibnya Dr. Yusouf Gibreal juga sudah berjanji untuk bertugas dengan sempurna. Anushirwan Amros berharap, apabila dirinya sudah dibius oleh Dr. Yusouf Gibreal secara berlebihan dengan kloroform dan dimasukkan ke dalam sebuah keranda serta ditanam pula ke dalam sebuah liang lahad sedalam tujuh setengah kaki itu nanti, dia akan mengetahui tentang alam kubur.

Apakah benar ada seksa kubur dan hidup sesudah mati. Satu kepercayaan yang terlalu asing baginya. Karut bagi manusia yang berfahaman free thinker sepertinya. Inilah yang Anushirwan Amros ingin tahu, ingin membuktikan dan ingin merasai sendiri.

Dan bila sudah merasa alam kematian di dalam kubur, Anushirwan Amros akan segera melaporkan secara terperinci kepada orang-orang yang di atas dunia ini sama ada fahamannya benar atau tidak, yang selama ini begitu menyangkal segala pendapat free thinkernya.

Kalau benar apa yang dipegangnya selama ini, akan tertutuplah mulut ulama-ulama Pusat Islam. Sesungguhnya, ulama-ulama itulah yang acap sekali mengajaknya berdebat dalam mencari jalan kebenaran, menggesanya supaya bertaubat dan menasihatinya supaya kembali kepada ajaran al-sunnah wal-jamaah. Namun dia memandang sepi setiap ajakan dan gesaan tersebut. Anushirwan Amros tetap berkeras dengan pegangan free thinkernya.

Baginya, Allah tetap tidak wujud, neraka syurga juga tidak wujud, alam akhir tidak wujud dan apa yang telah disabda serta difirmankan-Nya, palsu belaka. Sengaja direka-reka. Itulah fahamannya, doktrinnya yang tidak bisa diperbetulkan oleh sesiapa pun baik oleh anak isteri mahupun ulama-ulama yang terdapat di Pusat Islam sekali pun.

Anushirwan Amros sudah memasang turus tekad yang teguh, bila selesai segala tugasnya nanti, dia sendiri yang akan membuat pengumuman di hadapan orang ramai, apakah betul fahaman free thinker pegangannya itu bodoh dan kolot. Bakal kayu api di neraka kelak.

Waktu itu dia akan memohon kebenaran dari Menteri Penerangan untuk menghebahkan pegangannya itu di dalam radio dan televisyen. Biar semua rakyat Malaysia tahu. Biar mereka menilai sendiri apakah doktrin yang dianutinya selama ini salah dan menyeleweng.

Pun begitu, Anushirwan Amros berharap agar matinya ini tidak tergolong di dalam kategori mati membunuh diri. Justeru, mati cara begini bukanlah membunuh diri namanya, sekadar mematikan diri dalam pengsan. Bukankah pengsan juga sebahagian dari mati? Pengsan atau tidur itu sama saja. Keduanya sebahagian dari mati.

Matinya hanya sekadar jalan pintas atau jalan cepat semata-mata kerana ingin mengetahui apakah dia tergolong di dalam golongan manusia yang bodoh dan menyeleweng seperti yang nyalar saja dihukum oleh sahabat-sahabatnya termasuk juga ahli keluarganya yang lain, yang kuat berpegang kepada agama Islam.
Bapa mertuanya seorang imam yang warak di kampung hampir-hampir saja mahu bergolok dengannya gara-gara fahamannya itu. Tetapi semuanya berjaya di atasi. Mereka semua tidak berjaya menghalangnya dari meneruskan pegangan terhadap fahaman tersebut.

Lagipun, Anushirwan Amros sekadar hendak mengetahui kebenaran adanya seksa kubur dan kebangkiitan semula sesudah mati seperti yang sering diceritakan oleh para ulama Islam. Sesungguhnya, matinya ini kerana ada sebuah persoalan besar yang hendak dihuraikan. Persoalan-persoalan itu akan berjawab setelah dia selesai menjalankan sebuah kematian di dalam liang lahad nanti.

Amat ampuh sekali suntikan pelali dengan kloroform dari Dr. Yusouf Gibreal itu. Kalau ada sesiapa yang hendak mati, mahu dibawanya kepada sahabat karibnya ini. Betapa dalam masa tidak sampai pun lima minit, semua sel-sel di dalam tubuhnya berjaya dikejurkan.

Sungguh hebat kloroform itu sehinggakan dia langsung tidak merasa apa-apa selain dari rasa nyaman yang amat sangat. Selepas dia dimasukkan ke dalam keranda, perlahan-lahan diturunkan pula ke dalam liang lahad seperti yang sudah dirancangkan. Sejurus kemudian, bertemulah dia dengan apa yang ingin dicarinya selama ini.

Dalam perjalanan ke alam barzakh itu, Anushirwan Amros dapat merasai sendiri sebuah kematian yang amat seni dan unik sekali prosesnya. Tetapi, mujurlah dia bukannya betul-betul mati. Dia cuma pengsan lantaran kloroform yang telah dibiuskan ke dalam tubuhnya. Matinya berupa sebuah pengsan, pengsan yang panjang. Hasil suntikan kloroform tidak akan menghasilkan sebuah kematian yang benar, sekadar sebuah pengsan.

Begitulah yang selalu dilakukan oleh pakar-pakar bedah di hospital dan Dr Yusouf Gibreal lebih arif tentang itu semua. Anushirwan Amros juga sudah dijelaskan oleh Dr Yusouf Gibreal tentang apa yang perlu dilakukan. Usah bimbang dan jangan takut, tidak ada apa-apa yang akan terjadi atau memudaratkan diri selepas dia sedar nanti.

Biarlah masyarakat jadi gempar dengan berita ini. Tentu sekali mereka akan mengatakan dia seorang yang berani atau seorang yang unik. Namanya tentu akan tercatat dalam Book of the World Genieus Record sebagai manusia pertama yang mematikan diri di dalam keranda dan dimasukkan ke dalam liang lahad bersama orang mati yang lain.

Kalau ada segelintir masyarakat yang menuduhnya membunuh diri pun dia tidak kisah. Biarlah apa yang masyarakat nak kata. Pada hal, waktu itu dia hanya pengsan, bukannya mati dan kemudian akan meminta kepada sahabatnya Dr Yusouf Gibreal membangunkannya semula apabila kemapuhan kloroform itu berakhir.

Begitulah yang sudah dijanjikan dan Dr Yusouf Gibreal pun sudah bersedia dengan segala tugasan yang dipertanggungjawabkan. Sebagai seorang doktor bedah, dia tahu keampuhan pelali yang telah disuntikkan ke tubuh Anushirwan Amros itu akan berakhir selepas enam atau tujuh setengah jam. Sahabatnya itu akan sedar semula selepas itu. Inilah yang selalu dilakukannya jika ada apa-apa kes pembedahan.

Lebih kurang setengah jam kemudian, bersualah Anushirwan Amros di dalam pengsannya itu satu keadaan yang tidak pernah terbayangkan sebelum ini. Suasana yang dilihatnya itu amat berbeza sekali dengan dunia biasa.

Suara-suara seperti berbisik bersipongang di sana sini tetapi tidak tahu dari siapa kerana matanya tidak berupaya melihat. Bukan kerana gelap tetapi segalanya seperti bayang-bayang yang berlapis-lapis, tindih menindih dan berkelompok-kelompok. Suasana seperti kelun-kelun kabus yang halus namun sukar untuk dihilangkan.

Di dalam suasana yang berkabus itulah dia nampak kelun-kelun asap keluar dari bumi dan mengapung seluruh juzuk. Segalanya serba samar. Masing-masing roh yang ada di sekitarnya terus hidup seperti menunggu sesuatu. Ya, mereka kelihatan seolah-olah sedang menanti akan kedatangan sesuatu. Apakah yang semua tunggukan? Anushirwan Amros disergap kehairanan yang mendadak.

Pelbagai ragam dapat disaksiakn, tidak ubah semasa masih hidup di atas dunia dulu cuma pada raut wajah masing-masing bagaikan cemas dan gentar untuk menghadapi sesuatu. Mereka juga kelihatan tergesa-gesa, tercangak-cangak serta mundar mandir ke sana ke mari tanpa arah tujuan.

Anushirwan Amros terus tercengang-cengang dengan apa yang dilihatnya itu.

“Hoi! Engkau orang baharu di sini ye?” tiba-tiba ada suatu suara bertanya. Anushirwan Amros tidak pasti sama ada pertanyaan itu ditujukan kepadanya atau kepada orang lain walaupun sebenarnya memang suara itu itu bertanya kepadanya. 
Lantaran itu dia sekadar diam sahaja.

“Hoi, engkau ni pekak ke?”

Anushirwan Amros tercangak-cangak lagi.

“Aku bercakap dengan engkau, engkau pekak ke?” suara itu seperti marah.

“Engkau bercakap dengan akukah?” Anushirwan Amros mulai bersuara kerana suara itu amat jelas di pendengarannya.

“Ya, aku memang bercakap dengan engkau. Hmm, rupanya engkau tidak pekak!” suara itu seperti menyinis.

“Aku tidak pekak tetapi aku tidak tahu dengan siapa engkau bercakap tadi!” Anushirwan Amros menjelaskan perihal sebenar.

“Jadi, betullah engkau ni orang baharu di sini ye?”

“Ya, aku memang orang baharu!” balas Anushirwan Amros seraya mengesip-ngesip biji matanya. Sayup-sayup di tengah sekumpulan orang ramai, sesusuk tubuh sedang memandang ke arahnya. Dia yakin, orang itulah yang bersuara dan melontarkan pertanyaan tadi.

“Kau nampak macam kehairanan saja, kenapa?” suara dari lelaki itu bergema lagi.

“Iya, aku memang diterpa hairan! Aku hairan sungguh!” jawab Anushirwan Amros.

“Pasal itulah aku tanya engkau. Engkau ini macam nak tahukan sesuatu!”

“Aku memang nak tahu tetapi tidak tahu apa yang aku nak tahu!” tekan Anushirwan Amros. Sesungguhnya dia sendiri tidak tahu apa yang sedang ditunggu-tunggu sekian ramai roh di sekelilingnya itu.

“Jadi, engkau tidak tahulah apa yang sedang kami tunggu?”

“Apa yang sedang kamu semua tunggu?” soal Muhammad Atgeis ingin tahu.

“Rupanya engkau tidak tahu yang akhirat tidak lama lagi….,”

“Apa? Akhirat?” Mulut Anushirwan Amros gesit melopong besar. “Mereka semua yang ada di sini sedang menunggu akhirat?”

“Iya akhirat!” balas suara itu dengan nada yang tegas. “Dunia akhir zaman yang kami semua tunggu-tunggukan,”

Anushirwan Amros terkesima dan mendadak mukanya pucat lesi.

“Kenapa engkau nampak macam orang terkejut?”

Anushirwan Amros serba salah untuk menjawab. Sejurus kemudian dia menjawab juga, “Siapa kata aku terkejut? Aku sikit pun tidak terkejut!”

“Barangkali kau pun dah tahu yang hari kiamat akan datang tidak lama lagi dan kami semua sedang menanti-nanti hari yang sudah dijanjikan itu!”

“Mana ada hari kiamat! Buat apa kamu semua tunggu hari yang tidak ada tu!” ujar Anushirwan Amros bersahaja.

Semua yang ada di situ diam.

Anushirwan Amros tersenyum bangga dengan hujahnya dari pegangan yang dianuti selama ini. “Tidak usahkan kamu nak berbohong dan cuba menakut-akutkan aku. Hari kiamat tidak ada, dosa pahala tidak ada, syurga neraka pun tidak ada. Jadi, tidak usahlah kita semua tunggu hari yang tidak ada tu!”

“Hoi, mana kau tahu yang hari kiamat tidak ada? Mana kau tahu yang semua yang kau cakapkan ityu tidak ada? Mana kau tahu, hah?” Tiba-tiba suara itu menerjah kasar seolah-olah kurang senang dengan ungkapan Anushirwan Amros tadi.

“Mana iman kau sebagai seorang Islam? Bukankah setiap orang Islam itu wajib percayakan kewujudan hari kiamat, ganjaran dosa pahala, kewujudan syurga neraka dan sebagainya?”

“Aku ni free thinker!” jelas Anushirwan Amros bangga dan bersahaja. “Aku tidak percayakan kewujudan Tuhan, tidak percayakan kewujudan hari kiamat dan tidak percayakan segala-galanya. Jadi, sewaktu hidup di dunia dulu, aku bebas. Aku tidak perlu sembahyang, tidak perlu berpuasa, berzakat dan lain-lain lagi. Sebab itulah aku tidak percaya bila kamu katakan yang semua orang-orang yang berada di sini sedang menunggu hari kiamat tu!”

“Habis, engkau ingat apa yang kami semua tunggu lagi kalau bukan tidak hari kiamat atau hari akhirat?”

“Entah! Manalah aku tahu!” suara Anushirwan Amros semakin sinis.

“Untuk pengetahuan engkau, kami semua sekarang sedang menunggu pengistiharan dunia akan kiamat. Kalau engkau tidak mahu percaya, engkau boleh lihat buktinya nanti. Waktu itu, barulah engkau akan tahu sama ada pegangan free thinker kau selama ini benar atau salah. Ya, kau akan lihat nanti!” suara itu seolah-olah mencabar Anushirwan Amros. Dia juga bagaikan sudah bosan dengan telatah sesat penghuni alam kubur yang baharu itu.

Anushirwan Amros terus diam.

Roh-roh yang lain nampak ramai lagi. Ada yang berkelompok-kelompok, ada yang berbaris-baris dan ada juga yang duduk berselerak namun kelihatan berbalam-balam saja. Masing-masing punya haluan sendiri seperti semasa hidup di dunia juga. Tiada bezanya dengan suasana hidup seperti yang pernah dialami oleh Anushirwan Amros dulu cuma mereka di sini tidak bekerja dan makan minum.
Mereka hanya duduk dan berdiri, menanti kedatangan hari kiamat itu dengan pelbagai rupa. Ada yang sabar, ada yang gelisah, ada juga yang seolah-olah sudah jemu kerana hari kiamat belum juga tiba.

Sebenarnya, alam kubur ini pun serupa saja, tempat dihimpunkan segala roh manusia yang dahulunya hidup bersenang lenang di atas dunia. Tetapi, apa yang mereka nantikan lagi? Anushirwan Amros semakin dihenyak tanda tanya. Persoalan itu amat sukar hendak dijawab oleh orang yang berfahaman free thinker sepertinya.

Dalam kesuraman suasana, Anushirwan Amros hanya mendengar suara-suara. Entah dari mana datangnya, dia sendiri tidak tahu. Suara-suara itu pula bagaikan suara-suara lebah mengumpulkan madunya. Berdengung-dengung dan memanjang.

Tiba-tiba suasana sekeliling menjadi agak hening. Namun begitu, sesekali telinganya semacam mendengar roh sedang diseksa. Bunyi suara lolongan, jeritan dan raungan pilu berkesipongang di kejauhan. Kadang-kadang kedengaran pula amat mengerikan sekali.

“Kita kini sudah mati. Engkau pun dah mati juga. Kita sekarang sudah menjadi milik alam baqa, alam barzakh. Kita sekarang sedang menunggu dunia kiamat untuk hidup semula menemui Allah yang akan mengadili amalan sewaktu hidup di dunia dulu!” Satu suara tiba-tiba menjelma, bergema halus ke seluruh ruang.
Anushirwan Amros tercangak-cangak mencari arah suara yang datang namun tidak berjaya kerana suasana yang kelam begitu tidak mengizinkan. Kabus dan kelun-kelun asap semakin banyak mengapungi ruang udara membuatkan suasana menjadi lebih temaram. Di sesetngah juzuk lebih gelap dan gelintin.

Pun begitu, kawasan yang diperuntukkan kepadanya dan roh-roh yang lain juga masih samar-samar saja, mengkaburkan seluruh penglihatan. Wajah-wajah manusia-manusia di situ juga tidak mampu dilihat dengan jelas. Suasana begini membuatkan Anushirwan Amros agak terjengket-jengket dan sesekali melompat untuk mengenal pasti suara milik siapa yang sering bergema itu.

Tiba-tiba kedengaran satu lagi pertanyaan. “Di mana kita berada sekarang? Alam apakah yang begitu asing dan aneh ini?”

“Alam kubur! Alam barzakh! Kita sekarang berada di alam kubur atau alam barzakh!” satu suara pula menjawab.

Roh yang bertanya tadi diam. Jawapan itu terasa begitu sinis sekali menusuk gegendang telinga Anushirwan Amros membuatkan dia jadi terkedu mendadak. Kepalanya terasa bagaikan dipukul dengan sebatang kayu beluti yang keras.
Tiba-tiba pula dari jauh kedengaran suara menjerit-jerit, melolong, meraung - sayup-sayup. Amat mengerikan, juga menggerunkan perasaan. Mungkin ada roh-roh yang sedang diazab dan diseksa.

Lantaran itu, muka masing-masing menjadi pucat lesi. Mereka saling berpandangan sesama sendiri. Tidak ketinggalan Anushirwan Amros juga. Wajahnya juga semakin pucat lesi, seluruh tubuhnya mulai menggigir kecil. Ombak dadanya menggerutup menggegarkan seluruh juzuk di ruang jantung.
Hening dan sepi. Semua diam.

“Bila lagi semua manusia dan seluruh makhluk di dunia sana akan mati?”

Entah dari mana soalan itu dicetuskan. Suara itu bergema sekejap saja dan sejenak kemudian keadaan kawasan tersebut kembali tenang, hening dan diam.

“Semua manusia dan makhluk yang hidup di dunia akan mati apabila dunia dah hancur!” jawab satu suara. Pun tidak dapat dikesan dari mana dan dari siapa. 

“Selagi dunia tidak hancur dan tidak fana, selagi itulah kita semua yang ada di sini terpaksa tunggu!”

Suasa sekeliling tetap tidak berubah, tetap suram dan temaram.

“Dunia sudah terlalu tua. Terlalu renta. Sudah berjuta-juta tahun usianya!” Ada lagi suara yang mencelah, seolah-olah berbau hampa.

“Benar! Sepatutnya dunia dah lama fana. Kenapa belum lagi? Aku rasa dah tidak tahan lagi lama-lama di alam barzakh ni!” Semakin galak suara mencelah. Entah dari siapa.

“Marilah kita sama-sama memohon doa supaya Allah memerintahkan malaikat Israfil cepat-cepat meniupkan sangkakala. Roh-roh kita dah tidak tahan lagi diseksa di alam barzakh ni. Jadi, taklah lama sangat kita menanggung azab kubur yang pedih dan sakit ini!”

Sedang dialog-dialog itu semakin rancak berjalan, tiba-tiba terpelanting dan terguling-guling satu roh lalu tersungkur dekat mereka. Ada tanda-tanda roh itu telah diseksa serta diazab dengan begitu teruk sekali. Suara meraung dan melolong amat menggempar dan menggeletarkan isi perut setiap roh yang berada di sekitar kawasan itu. Masing-masing kelihatan menggeletar ketakutan dengan peristiwa tersebut.

Anushirwan Amros seperti kenal dengan suara roh yang terpelanting dan tersungkur itu. Iya, roh sahabat sefahamannya juga, Khalid Khudrouqe - Pengerusi Persatuan Atheis Senusantara. Merekalah yang sama-sama berjuang mempertahankan pegangan mereka sewaktu di dunia dulu.

Mereka sekongkol dalam pelbagai hal terutama dalam menegakkan fahaman free thinker mereka. Mereka pernah berdebat bersama dengan sesiapa saja yang menyangkal pegangan mereka. Mereka sama-sama berusaha mengembang dan menyerapkan doktrin-doktrin atheis di dalam setiap rencana, esei, cerpen, novel dan juga syarahan mereka. Anushirwan Amros masih ingat lagi sahabatnya itu.

“Tolonglah tuan! Tolonglah aku… minta Allah hantar aku balik semula ke dunia. Bagilah aku peluang untuk hidup balik. Lepas ni, aku berjanji, aku mahu jadi seorang Islam yang baik. Aku nak buang semua fahaman free thinker aku yang sesat tu! Memang benarlah Allah itu wujud, akhirat itu ada, hidup sesudah mati itu juga ada!”

Nampak roh Khalid Khudrouqe sedang menyembah-nyembah meminta tolong. Tetapi, siapakah yang dapat menolongnya? Roh-roh lain yang ada di sekeliling sekadar mampu ternganga dengan debaran di dada masing-masing semakin memuncak.

“Aku sungguh menyesal! Masa aku hidup di dunia dulu, aku bebas. Aku jadi free thinker. Bagiku waktu itu, Tuhan tidak ada. Jadi, aku ingat, bila sudah mati, habis cerita. Rupa-rupanya tidak!” jelas roh Khalid Khudrouqe lagi tanpa diminta. Nyata dia amat menyesal akan apa yang sudah dilakukannya di dunia dulu.

Roh sahabat sekongkol Anushirwan Amros itu bagaikan mahu bercerita lagi lebih lanjut, tetapi belum pun sempat, dia sudah disentap dengan rakus dan kasar sekaligus melenyap dan lesap dari pandangan mata. Selepas itu hanya kedengaran satu jeritan yang sungguh kuat dan berpanjangan di tengah-tengah jerit pekik roh-roh yang lain. Suasana ketika itu amat menggerunkan sekali.

Anushirwan Amros tidak dapat berbuat apa-apa. Begitu juga dengan roh-roh yang lain. Sesungguhnya, mereka semua tidak berkuasa untuk menghalang apalagi untuk menentang satu kuasa yang lebih Lama Kuasa. Mereka hanya mampu terpaku, diam, khali dan kejur kaku.

“Cukuplah ini sebagai bukti. Jika engkau masih tetap meragui bahawa Allah SWT itu wujud, hari kiamat itu wujud, ganjaran dosa pahala itu wujud, syurga neraka itu wujud dan sebagainya, kau lihatlah bukti tadi!”

Tiba-tiba suara itu menjelma lagi, bergema sinis ke copeng telinga Anushirwan Amros. Seolah-olah menyindirnya. Anushirwan Amros hnya mampu tertunduk. Memang ada kebenaran pada kata-kata roh itu. Benaknya sudah mula mengakui tetapi dia masih malu untuk terus menafikan segala fahaman free thinkernya selama ini.

Sejurus kemudian, di kejauhan bergema pula suara tasbih dan tahmid sampai memenuhi setiap ruang suram yang entah apa-apa itu. Anushirwan Amros semakin terkejut. Rupa-rupanya roh di alam kubur ini masih boleh beramal ibadat? Dia bagaikan tidak percaya dengan segala yang di dengar dan dialaminya itu. Mereka masih boleh bertasbih dan bertahmid begitu merdu dan seolah-olah tidak takut akan seksa kubur yang telah diterima oleh roh-roh yang lain.

Anushirwan Amros teringat seorang ulama dari Pusat Islam yang pernah berdebat dengannya beberapa tahun lalu mengenai kehidupan selepas mati - kehidupan alam kubur. Apakah ini yang dinamakan kehidupan tersebut? Apakah kini dia sudah sampai ke tempat yang dianggapnya dongeng itu?

Anushirwan Amros masih belum melupakan, Pengarang Bey Arifin juga telah menerangkan melalui karya tersohornya - Hidup Sesudah Mati. Kitab itu cukup gah, masih tersimpan di dalam perpustakaannya tetapi dia cuma membaca sekadar untuk mengisi masa lapang dan memenuhi minatnya terhadap pembacaan tanpa sedikit pun percaya apalagi mahu menyimpannya sebagai pegangan. Kitab Taubat karangan Imam Ghazali juga pernah dibacanya namun tidak juga berjaya mengganggu gugat doktrin free thinker yang begitu kukuh melepa di dadanya.

“Kau lihat lorong cahaya itu!” Roh itu tiba-tiba bersuara lagi.

Anushirwan Amros gesit memalingkan mukanya ke arah yang dimaksudkan. Di satu sudut kawasan tersebut, kelihatan sebuah lorong cahaya sejuk yang berkilauan, sayup mata memandang. Lorong itu merupakan sebuah lorong yang ceria, yang lapang halus dari udara sutera dan pawana seni yang maha lunak. Selonggok roh-roh kelihatan sedang berkumpul di ambang pintu lorong tersebut.

“Lorong apa itu?” tanya Anushirwan Amros ingin tahu.

“Kalau engkau nak tahu, itulah lorong ke Siratal Mustaqim,” roh itu menjawab polos.

“Boleh aku masuk ke dalamnya?” Anushirwan Amros bertanya lagi.

Rasa ingin untuk turut serta bersama roh-roh tersebut memasuki lorong itu begitu melonjak-lonjak dalam dadanya.

Suara itu tidak menjawab sebaliknya menghamburkan dekah ketawa yang meleret-leret, berdekah-dekah dan disambut pula oleh ledakan ketawa sekelian roh yang berada di sekitar tempat tersebut sejurus kemudian. Lucu sungguh permintaan Anushirwan Amros itu.

Masakan seorang yang berfahaman free thinker sepertinya mahu masuk ke lorong menuju kawasan firdaus yang maha suci lagi maha kudus itu. Dia bukannya layak dan bukan orang yang harus diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke pintu syurga. Kalau nak ke neraka jahanam tentulah berpeluang! Hemburan ketawa jadi berpinak-pinak bagaikan melihat lelucon seorang badut di atas pentas bangsawan.

“Kenapa tidak boleh aku masuk ke sana?” Anushirwan Amros seperti tidak puas hati.

“Untuk apa?” balas suara tersebut.

“Untuk apa seperti yang mereka semua inginkan!” jawab Anushirwan Amros.
“Engkau bukannya orang yang layak untuk ke sana!” jelas suara itu agak tegas dan waras.

“Kenapa?”

“Bukankah engkau telah meragui kewujudan Tuhan, kewujudan hari kiamat, hari akhirat, kewujudan syurga neraka dan sebagainya! Bukankah engkau berfahaman free thinker?” suara itu bagaikan menyindirnya. Tajam dan runcing sekali laksana pedang Saidina Ali menerjah rongga dada.

“Untuk meniti jambatan ke syurga Jannatul Naim hanya untuk orang-orang Islam yang beriman dan beramal soleh saja. Untuk engkau, ada sebuah lorong yang sesuai iaitu lorong ke Neraka Jahim. Errr, mahu engkau ke sana?”

Anushirwan Amros terdiam.

“Beginilah! Biar aku ceritakan saja tentang orang-orang yang ada di sana,” suara itu bergema lagi. “Mereka semuanya terdiri daripada orang-orang yang membenarkan kata-kata Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa Atas Sesuatu. Mereka adalah orang-orang yang tidak pernah meragui walau sekumin cuma kewujudan Tuhan. Tuhan itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana. Mereka adalah orang-orang yang beriman dengan rukun Islam yang lima dan rukun iman yang enam. Mereka adalah ahlul Sunnah Waljamaah yang setiap detik bibir mereka memuji dan mengagungkan kebesaran serta kemuliaan Allah Azzawajalla!”

Anushirwan Amros terus bungkam.

“Di dalam sana mereka bersenang lenang seolah-olah telah mendapat ganjaran dari apa yang mereka telah kerja dan lakukan selama hidup di atas dunia dulu. Wajah roh mereka ceria dan bercahaya dengan nur jannah!”

Anushirwan Amros kian terkedu. Keluhan berat dan rengsa perlahan-lahan terpacul keluar dari kerongkongan.

“Untuk pengetahuan engkau, tempat itu sungguh kudus. Terbuat dari marmar yang sangat cantik, bersih putih yang berasal dari perak sehingga beliau menyerupai kaca. Cahaya saat akan munculnya matahari, begitulah cahayanya. Hanya saja di sana tidak ada lagi matahari dan rasa dingit yang menyengat. Sungai-sungai di sana mengalir di atas bumi syurga dan tidak tumpah ke sana ke mari. Allah SWT berfirman kepadanya: “kun fa ya kun!” Maka wujudlah apa saja. Begitulah hebat dan gagahnya kekuasaan Allah itu,”

Anushirwan Amros yang bungkam dan terkelu lidahnya itu semakin tunduk merenung tanah.

“Kalau juga engkau masih nak meragui mereka, maka terserahlah! Sekarang aku bercakap yang benar. Itulah hakikat azali yang perlu engkau tahu!”

Anushirwan Amros meneguk liurnya berkali-kali.

“Apa kau masih nak mempertahankan fahaman free thinker kau yang sesat lagi menyesatkan itu?”

“Ja… ja.. jadi… jadi… betulkah aku tidak berpeluang langsung untuk ke sana?” tergagap-gagap Anushirwan Amros bertanya sejurus kemudian.

“Sudah tentu!” jawab suara itu dengan tegas. “Selagi engkau tidak memohon ampun kepada Allah dan bertaubat dari segala pegangan bodoh bangang kau itu!”

“Ya, aku bertaubat sekarang, aku bertaubat!!” terketar-ketar Anushirwan Amros bersuara.

“Sekarang sudah terlambat! Sudah terlewat!” balas suara tersebut dengan sinis. 

“Sekarang kau sudah mati. Kau hanya boleh bertaubat sebelum kau mati. Bila sudah mati, pintu taubat sudah tertutup dan engkau tidak layak bertaubat lagi. Waktu itu, sebarang taubat sudah tidak memberi apa-apa erti lagi. Engkau faham itu?”

“Tetapi…. tetapi … aku belum mati!” tegas Anushirwan Amros.

Suara itu gesit ketawa.

“Betul!!!! Aku belum mati!! Aku belum mati!!!!” jerit Anushirwan Amros. 

“Sebenarnya, aku belum mati, aku …. aku cuma mengalami pengsan yang panjang!” tokoknya lagi memperincikan hakikat yang sebenar.

“Pembohong!! Semua orang atau roh yang ada di sini sudah mati. Kau juga sudah mati!!!!” suara itu mempertahankan tukasannya.

“Sungguhhhhhhhh… aku belum mati!! Percayalah... percayalah, aku belum mati! Aku belum mati!!!!”

“Hei Amros! Amros!! Kenapa ni?” tiba-tiba satu suara lain pula bergema serentak satu tapak tangan menggoyang-goyangkan bahu Anushirwan Amros.

Anushirwan Amros gesit tersentak. Matanya segera dibukakan, terbeliak mencerlung Dr. Yusouf Gibreal yang jelas terkesima dengan peluhnya mencurah melencun seluruh tubuh.

“Apa yang kau dah dapat, Amros?” Dr Yusouf Gibreal bertanya lagi.

“Aku dah bertaubat! Aku dah bertaubat! Bawakan aku ke Pusat Islam! Aku mahu bertaubat di sana!” suara Anushirwan Amros bergetar dan tertahan-tahan.

Dr. Yusouf Gibreal hanya mampu ternganga dan terbelangah besar. Dia tidak tahu apa yang sudah terjadi kepada Anushirwan Amros selama dipengsankan di dalam liang lahad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA