SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
GELANGGANG Torero bingar suara penonton. Silir kering julai September. Calak manja di sisi, ria Alicia. Aku gelisar dalam hati, berusaha memujuk diri supaya damai. Sukar amat. Surat udara yang diterima dari ibu di tanah nusa beberapa hari yang lalu amat mencabuh isi kepala.
Berharian aku nano. Jiwa rusuh libang libu. Serville seperti muram kelam tidak keruan. Jelu amat menerima kenyataan. Huzair adikku telah ditangkap pihak berkuasa tanah nusa. Penuntut tahun dua jurusan syariah itu terlibat dengan sebuah pertubuhan agama radikal, ditahan ketika sedang melancarkan huru-hara di pusat kota aman.
Sebal sungguh. Huzair terlalu banyak menjujuhkan air mata ibu. Tidak putus dengan kerenah. Tahun pertama cenderung berdemontrasi. Ada saja buruk pada mata. Ada saja yang tak kena pada pandangan. Nama sudah tercatat busuk, masih bernasib baik cuma diberi amaran lisan oleh pihak universiti kala itu. Kini bukan lagi amaran kerana tindakan amat melampau. Realitinya, Huzair sudah dipenjara.
“Hei Khir! Kamu berangan,” suara Alicia mencerlus serentak iga kanan dicuit jari lunak menempiar ingatan di tanah nusa. “Matador sudah masuk gelanggang. Kamu tentunya tak mahu lepas peluang!”
Terpisat-pisat dan kemamar. Cuba memurup senyum namun berperisa resah. Gelanggang Torero tetap bingar. Tepuk sorak recok bergerapak. Ria dan penuh bebas. Beginilah suasana sebuah negara yang aman. Warga hidup tanpa sebarang rasa takut dan curiga. Masing-masing menyuar ceria menyambut Fiesta Nacional.
Seperti nusaku juga, terutama ketika menyambut bulan kemerdekaan negara ke 49 lalu, aman dan harmoni, namun kini sudah ada segelintir warga yang mahu menghancurkannya. Warga itu adalah kau dan konco-koncomu, Huzair! Kalian telah lupa vis-a-vis luka silam yang pedih. Tubuh tanah nusa parah diinjak penjajah.
“Tanah nusa kita menjunjung demokrasi. Tindakan kami tidak menyalahi kehendak demokrasi itu sendiri!” Huzair bertegas dengan tindakannya.
“Tilik kepentingan ilmu dan masa depan, Huzair! Itu tugas kamu sebenar, bukan sekongkol golongan lupa sejarah luka tanah nusa silam,” luahan ingat malam keberangkatanku ke Serville. Ibu tunggal kami baru benar menyeka air mata. Siang tadi mengharumkan pusara bunga bangsa gemulah ayah dengan jirusan mawar.
“Kami mahasiswa prihatin, bang! Ini idealisme dan perjuangan kami berlandaskan kebenaran, semata-mata mahu menyelamatkan tanah nusa!”
“Dengan cara berdemontrasi dan merusuh? Begitu corak idealisme kamu mahu menyelamatkan tanah nusa?”
“Itu alternatif terbaik!”
“Di mana kematangan dan istima minda terpelajar kamu, Huzair? Cara kamu itu menggamit musuh. Lihat dan insaflah catatan sejarah. Negara yang nyalar dirusuh kacau tidak pernah selamat, Huzair! Pelancong geman, pelabur bertukar haluan. Lebih memilukan, penjajahan akan bertaring semula. Anak watan akan diinjak di bawah tapak kaki!”
“Itu persepsi prejudis abang mahu menakutkan kami,” Huzair separuh mengejek. Ketara wajah jengkel amat.
“Terserah, Huzair! Kau berhak kata apa saja. Cuma satu amaran abang. Jangan biarkan air mata emak mengalir kerana tindakan kohong kamu. Gemulah ayah kita bekas pejuang negara, mati disergap mesiu tangan musuh. Jangan kamu rosakkan keharuman namanya.”
“Jangan patahkan semangat saya dengan hujah itu, bang! Saya tahu apa yang saya buat! Cita-cita kami luhur. Menegakkan sebuah negara Islam adalah impian jihad...”
“Rasionalkan minda kamu, Huzair! Hayati pengertian jihad sebenar. Jihad bukan sekadar berperang menjulang senjata…”
“Hei Khir! Since we are here, kamu asyik berangan. Apa yang kamu angankan?” Lenganku dicubit halus. Kelinglungan dan kemamar lagi. Bertagal aku mengerisin tidak tentu arah seraya mata perlahan terlontar ke tengah gelanggang Torero.
Samar-samar sang matador sedang bertarung dengan seekor lembu jantan. Hebat. Sebaik haiwan itu tumbang, gesit ditusuk pedang panjang di kepala. Menggelepar dan menggigir sejenak sebelum diam kejur. Sorai penonton bergema bingar, menggerutup lebih kala telinga dan ekor haiwan itu terjinjing di tangan sang matador.
Samar-samar sang matador sedang bertarung dengan seekor lembu jantan. Hebat. Sebaik haiwan itu tumbang, gesit ditusuk pedang panjang di kepala. Menggelepar dan menggigir sejenak sebelum diam kejur. Sorai penonton bergema bingar, menggerutup lebih kala telinga dan ekor haiwan itu terjinjing di tangan sang matador.
“Waktu Pesta Flamenco tiga hari lalu kamu tidak begini,” Alicia persis kesal, wajahku dicerlung tunak.
Aku sekadar mengangkat pundak. “Hei, lihat tu! Matador sudah mengarak telinga dan ekor lembu keliling gelanggang,”suaraku mencerlus gesit mengubah tunakan iris Alicia.
Lambaian saputangan putih di tangan Alicia pantas berkibar, mengganggu membelai muka. Aku cuba mengelak. Namun sigadis yang leka meraikan kejayaan keperwiraan sang matador tetap tidak peduli. Aku mengeluh dan menggeleng dengan telatah galak metahnya. Jelas keriangan mengapung bagaikan lara diri sudah terkucel lunyai. Fikiranku lepaskan semula ke detik silam. Detik pertemuan dengannya musim lalu, kala warawiri dipelukan La Rambla.
“Boleh saya duduk?”
Tampangku ditenung lama. Iris bening berkaca. Senyum pelukis jalanan itu memurup dan perlahan mengangguk. “Mahu duduk apa salahnya.”
Punggungku segera mendarat. Dari cantuman aksara kecil di pojok bawah karya, aku pasti namanya Gitanos. Dua orang teman sebangsa seperti tidak pedulikan kehadiranku. Masing-masing leka dengan medium cat air dan tempera. Meladeni catan figuratif.
Punggungku segera mendarat. Dari cantuman aksara kecil di pojok bawah karya, aku pasti namanya Gitanos. Dua orang teman sebangsa seperti tidak pedulikan kehadiranku. Masing-masing leka dengan medium cat air dan tempera. Meladeni catan figuratif.
“Cantik, sungguh cantik dan berseni,” kekaguman menggelincir mencelah hiruk pikuk ghalib bandar happening. Sungguh kurang selesa, serasa mahu kembali ke Serville. Bandar selatan itu tidak secabuh La Rambla. Tetamunya simpang siur warawiri menyarat sepanjang tubuh Placa de Catalunya, seakan air sungai mengalir dari puncak gunung. Sambung menyambung tidak putus-putus.
“Terima kasih,” dia senyum tanpa berpaling. Jejari runcing lunak menari getol lancar. Tubuh gagah gereja Sagrada Familia sopan dan matang dengan sapuan arkrilik. Di sisi kanan sudah siap wajah ayu Parc Guell kemas berbingkai. Taman bunga penuh ukiran dan mozek cetusan ilham Gaudi 148 tahun silam itu seperti hidup. Tenang menunggu untuk bertukar tangan jika sudi membeli.
“Kamu asyik sekali,” aku mencerlus serius namun ada keselambaan serlah pada nada. Sengaja mengusik konsentrasinya.
Dia gesit senyum. Menggoda. Serlah pesona. “Hanya ini kebolehan saya. Swakarya untuk mengisi perut dan menyambung nafas hidup.”
“Karya-karya begini disukai pelancong?” aku sekadar ingin tahu.
Dia mengangguk.
Dia mengangguk.
“Saya juga meminati hasil tangan Gaudi,”aku terus memancing bual. Dia senyum lagi, lebih ayu, manis, iras jelitawan Aa Gale Lag Jaa, Urmila Matondkar. Teman sisi menjeling sekilas. “Saya terkesan seni bina Gothic dan Moor, sedikit Nouveau juga pengaruh Andalusia terselit dalam ilhamnya!”
Tarian jejarinya mati. Direnung wajahku hebat. Iris mengesip, seakan tidak percaya seorang remaja asing berperi soal Gaudi, arkitek tersohor Sepanyol (1852-1926).
“Err... saya Alicia… Alicia Andreas.” Tangan dihulur dan kami berjabat mesra walau ada gigir kecil dalam dada. “Nampaknya minat kita serupa. Kamu juga meminati catan?”
Aku mengangguk. “Saya lebih selesa scenery, err… medium cat air, sikit-sikit semi abstrak dan arca kayu!”
“Hebat juga ya?” Alicia senyum.
“Gitanos itu nama samaran kamu?” telunjukku menuding cantuman aksara kecil pojok bawah karya catan Parc Guell.
Alicia senyum seperti mengiyakan. “Ramai beranggapan begitu. Saya tidak kisah apa anggapan pencinta seni. Err, kamu ini tentunya pelancong...”
“Salah andaian kamu. Saya pelajar Melayu jurusan seni bina di Serville. Kelapangan saya ke La Rambla. Menghirup kemesraan Barri Gothic, pusing-pusing sekitar Passeig de Gracia, melayan mata di La Boqueria. Hilang sikit beban minda ditusuk nota-nota kuliah.”Lancar aku meluah taklimat ringkas diri.
“Err, siapa nama kamu?” Alicia semakin berminat. Jelas wajahnya seperti serba salah kerana baru terhimbau untuk mengetahui namaku kendati sudah hampir sejam kami berbual. Jejarinya tidak lagi menari di kanvas namun tangan kiri masih memegang tiub arkrilik magenta.
“Khir…. Khir Mohammad dari Malaysia,” aku senyum bangga. Dia mengangguk bertalu seperti kenal benar tentang Malaysia. “Kamu Katalan?” aku pula dihimbau ingin pasti kendati tidak begitu sukar mengesan perbezaan ras tempatan pada wajahnya. Iris dan rambut setara legam. Epidermis gebu putih serlah tidak comot bintik perang kecil. Cuma keliru pada lenggok bahasa, begitu fasih berbahasa Inggeris loghat Sepanyol. Sesekali aku menduga dia Italian atau berdarah bauran Katalan - Itali. Atau setidak-tidaknya Spanish jati.
“Apa, wajah saya ada iras Katalan…”
“Saya sekadar menduga,” cantasku gesit.
“Anggapkan saja saya Gitanos,” ujarnya bersahaja namun ada pudar pada wajah. Mendadak, seperti ada derita yang membeban jiwa.
Gitanos? Aku terkesip, dahi berkerut serentak. Apa maksud Alicia? Bukankah itu nama samarannya? Rasa ingin bertanya lebih lanjut jadi terbantut oleh suara bingar yang cagun tiba-tiba. Sekumpulan lima lelaki lengkap berpakaian seragam penguatkuasa La Rambla susup sasap buru-buru menguak orang ramai menghala ke arah kami.
Alicia cepat mengesan. Kelam kabut mengemas namun kala mahu melarikan diri, lima lelaki penguatkuasa itu sudah tercegat di hadapan. Alicia dan teman-temannya tergamam jola. Masing-masing sekadar memerhati penuh jelu semua barangan dan hasil karya dirampas. Kenapa? Kenapa karya-karya Alicia dan rakan-rakannya dirampas? Aku tertanya-tanya dan terkedu kemudiannya.
Berjenak Alicia dan teman-temannya menggerumuk jelu bungkam. Orang ramai sekitar tidak langsung peduli. Kemeriahan La Rambla tidak sedikit tercacat.
“Kenapa Alicia? Kenapa ini semua terjadi?” aku bertanya kala Alicia bangun mahu meninggalkan tempat tersebut. Dia tidak menjawab sebaliknya perlahan melangkah gontai ke Placa de les Glores. Aku turut mengekor. Kami menyusur Els Encants, kericuhan menggigir kuping. Bingar suara para peniaga miang menggamit pembeli barangan rendah nilai. Sebuah kafe depan mata. Aku mengajak Alicia ke satu pojok liku mengadap jalan besar. Alicia tidak membantah.
“Saya tak faham kenapa barangan dan hasil-hasil karya kamu dirampas,” aku mengulangi pertanyaan sewaktu tapas dalam pesanan.
Alicia mengeluh berat dan panjang. “Bukan pertama kali hasil-hasil karya kami dirampas begitu,” dia seperti mengadu nasib diri.
“Barangkali di situ sudah diwartakan sebagai tempat larangan kepada pelukis jalanan seperti kamu atau juga aktiviti kamu dianggap menganggu. Barangkali juga dianggap mencomotkan keindahan La Rambla,” aku meluah andaian. Kukira lebih bersifat tukasan.
“Dakwaan kamu sama seperti mereka,” Alicia mencemek dan mendengus kecil. Jelas wajahnya pudar dan kurang senang. “Kamu lihat realitinya, bukan? Apa kamu rasa terganggu dengan kehadiran kami atau kamu rasa aktiviti kami itu mencomotkan pemandangan selesa kamu terhadap La Rambla? Apa kamu rasa semua itu?”
Aku terkelu. Tidak mampu mencari aksara menjawab pertanyaannya. Kebetulan tapas dihulurkan pelayan genit kafe. Aroma mengasak lubang hidung lantas menggamit deria lapar yang menggelodar.
“Mereka tidak pernah mengakui hakikat kami menyuburkan La Rambla dengan seni dan budaya,” Alicia menjamah sopan sajian makanan laut, sayuran dan kacang depan mata seraya melemparkan panahan mata ke luar kafe. Pengunjung Els Encants buru-buru, pusu-pusu dan kalut. Suasana tetap meriah dan hebat. “Kalau tidak ada bangsa kami, bangsa yang dianggap Gitanos ini, La Rambla tidak sesohor dan semeriah ini,”suaranya mencerlus lagi sejurus kemudian, lirih dan agak mendatar.
Aku masih diam. Tapas kujamah perlahan sedang fikiran masih dihujani pelbagai persoalan.
“Ini masalah sebenar yang kami hadapi di sini! Lebih berupa henyakan penghinaan. Kami bukan saja sukar mencari rezeki di sini malah memohon pekerjaan di pejabat-pejabat kerajaan juga selain mahu membeli sebuah rumah kediaman. Akibatnya, ramai bangsa kami merempat di tanah-tanah haram yang sering pula diawasi pemerintah,” Alicia merenung anak mataku lama. Ianya mencerminkan simpati.
“Kalau itu yang menjadi masalah, kamu perlu mencari tempat yang dibenar untuk aktiviti dan pameran hasil karya kamu! Dengan cara itu kamu akan rasa lebih bebas dan aman untuk berkarya,” ujarku polos. “Barri Gotic lebih tepat atau di Passeig de Gracia cukup sesuai. Di situ tempat tumpuan pelancong, paling hebat dan meriah,” menokok cadangan.
Alicia tersenyum nipis seperti menyemarak sinis. “Kamu ingat saya warga cauvinis, suka melanggar undang-undang negara membuta tuli, tanpa sebab?”
Aku terkebil-kebil. “Err, saya tidak anggap kamu begitu...”
“Bukan kamu maksud saya, tetapi... mereka. Mereka yang menganggap kami begitu. Menganggap kami ini Gitanos, Khir! Jadi, kamu harus faham kedudukan kami. Gitanos seperti kami tidak ada tempat di sini!”
“Err, siapa mereka?” soalku ingin tahu.
“Warga yang menganggap mereka saja anak watan mutlak di sini,” suara Alicia agak gerah. Beberapa orang pelanggan kafe tertoleh-toleh ke arah kami. Sepasang lelaki gendut berkumis seiras sisi kiri, garau suara menggelincir dekah ketawa. Entah apa yang melucukan. Di satu pojok, beberapa remaja melayan asyik dunia maya, tidak hirau dunia sekitar.
“Jadi, kamu bukan anak watan? Err, saya… saya kurang faham, Alicia,” suaraku mencerlus beberapa jurus kemudian.
Alicia mengangguk kecil.
“Jelaskan,” pintaku.
“Serasa tidak wajar bertindak begitu,” Alicia diam sejenak kemudian menyambung, “Membuka pekong di dada memalukan negara sendiri,” suaranya bernada tegas .
“Tapi, bukankah kamu sudah katakan tadi yang kamu bukan anak watan negara ini,” aku membidas.
“Itu anggapan mereka, bukan kami… kami tidak pernah menganggap bangsa kami bangsa pendatang walau kami tersisih dan dihimpit diskriminasi, tenggelam dan terhina,” Alicia nampak serius.
“Realitinya, kamu seperti melukut tepian gantang! Rampasan hasil-hasil karya kamu itu satu bukti,” aku seakan mencabar.
Alicia diam. Wajah gesit berubah merah. Barangkali rasa tercabar. Jelas irisnya membeliak. “Benar, Khir! Bangsa kami sebenarnya telah dijajah jiwa raga,” ujarnya waras. “Selama ini kami sinonim dengan gelaran perompak, penyeluk saku dan pencemar budaya. Umpama gelandangan merempat di perut La Rambla cuma untuk sekeping hirisan barcalao, sepotong keju atau sedikit nasi beras paella dan koma-koma. Bangsa kami terluka dalam lembar sejarah yang pahit. Lebih 400 tahun lalu meninggalkan tanah kelahiran di Rajasthan, Barat Laut India, menyusur Iran, menjinjing bahasa, pakaian, undang-undang kemasyarakatan dan segerombolan kambing dan biri-biri…”
“Kamu seperti marah benar,” aku mencantas, ketawa nipis.
Dia mengangguk keras. “Siapa tidak marah. Bangsa kami berkorban melupakan bahasa, pakaian tradisi dan adat resam yang dipegang turun temurun semata-mata mahu menjadi, dianggap dan diterima sebagai anak watan di sini namun segalanya dipandang sepi. Jasa budi dan pengorbanan nenek moyang kami memasyhurkan Barcelona dalam seni dan budaya terpadam lenyap. Budi kami kepada sejarah dan sastera Sepanyol juga tuntas. Peri pahlawan Gitanos silam dalam opera Carmen itu satu bukti,” Alicia kematian kata-kata. Tercangip sejenak lantaran luahan peri yang panjang lebar. Jelas wajahnya sebal pudar. Air mata bergenang. Aku serba salah dengan keadaan.
Sehingga detik meninggalkan La Rambla, Alicia terus membisu. Barangkali dia kelenyapan terus kata-kata dari benak. Namun, kepuasan serasa menyarat cepu kepalaku dengan luahan kisah lara nenek moyangnya itu. Barulah aku tahu apa itu Gitanos. Bukan nama samarannya. Alicia sengaja mencatatkan perkataan itu di pojok bawah swakaryanya seolah-olah melampiaskan protes diri kepada sesiapa saja yang mahu mengerti.
Aku meninggalkan La Rambla dalam rusuh kepala tidak menentu. Awan Serville yang selapis, cantik melepak, tetap tidak enak pada mata bila terkenangkan Alicia. Pertemuan dan berkenalan dengan gadis Gitanos itu telah benar-benar meninggalkan satu kenangan abadi. Beraduk pahit dan manis. Selebihnya pula sudah memurup kesyahduan rasa dalam diri. Ianya bergelojak menggigit-gigit hati.
“Kau dah jatuh cinta!” Amri, rakan sekuliah setanah nusa terkesan riak wajah pada menunganku suatu hari.
Aku mengeluh perlahan. “Entahlah, Amri! Antara cinta dan simpati,” ujarku rengsa.
“Siapa agaknya gadis yang bertuah itu ya?” Amri ketawa kecil. “Minta-minta jangan gadis tempatan…”
“Kenapa? Apa salahnya dengan gadis tempatan?” aku mencantas kurang senang.
“Fikirkan soal visa, soal warga negara, soal perpindahan antara dua negara yang berbeza adat budaya. Hei, masalah besar, beb!” Amri seperti mengingatkan.
“Bagiku itu bukan satu masalah besar, Amri! Tidak sehebat lautan api,” aku bersahaja membidas.
“Ho.. ho.. ho! Hebat…falsafah cinta anak muda sehebat cinta Romeo dan Juliet,” kerisin Amri lebar. Serlah putih gigi kapaknya. “Kalau itu kata kau, aku no comment. Yang penting, kau bahagia dan pulang ke tanahair dengan segulung ijazah harapan nusa dan keluarga!”
Aku senyum senang namun sekonyong-konyong terkedu pahit. Cinta kami masih kabur. Belum ada kata pasti. Aku sendiri belum lagi mendengar kata-kata itu dari bibir Alicia. Kemesraan yang ditunjukkan gadis Gitanos itu bukan cerminan sebuah cinta telah bertunas di hatinya. Lebih mirip kemesraan seorang sahabat dua bangsa berlainan. Jika ini realiti, bermakna aku telah bertepuk sebelah tangan. Tidak semena-mena keluhan menggelincir lirih dari kerongkongan.
Panen Fiesta Nacional seperti bulan jatuh ke riba. Serville meriah Pesta Tomato dan Pesta Flamenco kaum Andalusia. Alicia datang dengan gaun beropol bauran warna bertingkat-tingkat, lengkap tudung renda dan berkipas. Datangnya telah mengecai bongkah rindu dan melarik kata pasti.
“Pertemuan pertama telah menarik hati saya mendalami tentang bangsa dan negara kamu,” ujarnya polos. “Saya amat mengagumi Malaysia. Rakyatnya majmuk tapi mampu hidup sebagai satu bangsa dan akur bertutur satu bahasa. Tidak ada diskriminasi antara ras dan kamu sentosa antara sesama.”
Aku senyum memurup rasa bangga dalam hati dengan pujian. “Benar, Alicia! Itulah formula kejayaan negara kami sehingga mampu mencapai taraf negara maju setanding Eropah walau cuma 45 tahun bebas merdeka dari penjajahan.”
“Menghalusi kecemerlangan negara kamu jadi satu ikhtibar kepada bangsa kami, Khir! Selama ini kami telah dijajah zahir batin. Bangsa kami terhina diinjak di bawah tapak kaki. Semuanya kerana kami tidak bersatu dalam satu ikatan yang kukuh. Kami sering bertelagah sesama sendiri. Akibatnya kami lemah dan sehingga kini tidak mampu bangkit untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan bangsa tempatan,” Alicia mengeluh panjang dan rengsa.
“Benar kata kamu, Alicia! Kamu adalah Gitanos tanah nusa yang terhina. Semuanya lantaran penjajahan. Barat nyalar saja mencari peluang untuk menajamkan kuku runcingnya terhadap bangsa lain yang lemah seperti kita. Mereka sentiasa menunggu masa dan peluang terbaik untuk menjajah jika kita tersalah langkah!”
Alicia mengeluh dalam dan rengsa. “Apa boleh buat, Khir! Gitanos di tanah nusa ini sudah terlewat. Tindakan nenek moyang kami berhijrah ke sini lebih 400 tahun dulu sesuatu yang silap. Akibatnya, kami sekarang tidak berupaya lagi bangun, apalagi mahu menentang arus,” jelas suaranya sebal dan bernada jelu.
“Sesungguhnya, kami tidak ada tempat lagi di sini. Kehidupan di sini amat terhimpit dan mencengkam. Kamu sudah lihat sendiri, bukan? Bagaimana saya dan rakan-rakan sebangsa terpaksa berjuang hanya untuk sebuah kehidupan di tengah kemeriahan dan kemasyhuran La Rambla.”
“Sudahlah, Alicia! Jangan kesali takdir,” aku separuh memujuk. “Saya sudah lihat realiti depan mata tapi kamu masih mampu hidup sentosa andai bijak membuat pilihan.”
“Maksud kamu?”
“Bersama saya pulang ke tanah nusa Malaysia dan mulakan sebuah hidup baru di sana!”
“Kamu bergurau?” Alicia separuh melopong. Mata terkesip-kesip.
“Ada masanya kita harus bergurau, Alicia! Dalam soal ini saya serius,” aku mencegatkan hakikat.
“Apa harapan kamu untuk kehidupan saya di bumi Malaysia?”
“Zuriat kita err…putera dan puteri kita akan membesar dalam aman, tanpa sebarang rasa curiga apalagi digulat penghinaan. Tanah nusa saya sanggup menerima sesiapa saja yang mahu berteduh di bawahnya tapi dengan syarat, pegangan terhadap lima tonggak rukunnegara kukuh terpasak dalam sanubari.”
“Bagaimana kalau saya bersedia terima syarat itu?” Alicia menduga.
“Bermakna cinta kita tidak putus di tengah jalan!”
Senyum Alicia murup pesona. “Tapi…kamu juga mesti berjanji.”
“Janji apa Alicia?”
“Tidak mensia-siakan hidup saya.”
“Janji sudah menjadi turus istikrar, Alicia! Kamu bakal menjadi seorang suri solehah kepada putera dan puteri saya!”
Satu cubitan kecil hinggap di lenganku. Alicia senyum. Manis bersari. Pundak melentok. Angin kering yang berkitar menari-narikan rambutnya mengelus wajahku. Serville diapung pesona menerjah langit kirmizi. Aku turut senyum.
“Hei Khirrrrrr! Kamu tak habis-habis berangan,” suara Alicia menggigir kuping menempiarkan ngeluyur benak yang berjela. Bertagal aku kelinglungan. Mengerisin serba tak kena. Betapa aku terkapai-kapai dalam ingatan sendiri. Gesit ku toleh sekitar gelanggang Torero. Sepi. Penonton sudah lama beredar. Mentari hampir terbenam.
“Lihatlah, Huzair! Lihatlah sejarah bangsa Alicia, bangsa yang terjajah. Tidak terusikkah hati kamu dengan deritanya. Itulah derita bangsa yang dijajah. Insaflah, Huzair! Tindakan kamu dan konco-koncomu hanya akan mengundang Gitanos di tanah nusa. Kita semua akan menjadi seperti Gitanos!”
Alicia gesit merangkul pinggangku. Mesra dan manja. Lamunan singkatku bubar lagi. Langit Serville tersenyum membiru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan