Bapa Akil Seorang Pemandu
HARI ini Akil bangun
lebih awal dan sempat bertemu dengan bapanya.
“Semalam Pak Cik
Saiful telefon. Dia akan datang ke rumah kita dari Arab Saudi dua hari lagi,”
Pak Iman memberitahu sebelum pergi bekerja.
Akil memerhatikan bapanya.
Ada rasa kecewa menyelinap di hatinya. Tidak ada yang mampu dibanggakan dari
bapa, fikir Akil. Bapa cuma seorang pemandu. Tidak seperti bapa Damri rakannya
yang suka mengajak Damri bermain badminton. Atau seperti bapa Tika yang jadi
seorang doktor.
Bapa Akil pergi
pagi, pulang malam. Bila pulang terus mandi, makan, menonton televisyen sebentar,
solat, kemudian tidur.
Pada malam minggu,
kalau tidak bekerja, dia akan tidur nyenyak, seolah-olah tenaganya sudah habis.
Atau sibuk membantu ibu menghiris bawang, menggoreng kacang atau ikan bilis. Ibu
Akil bekerja sebagai penjual nasi lemak untuk menampung keperluan keluarga.
Fikiran Akil
beralih pula kepada Pak Cik Saiful, adik bapanya, seorang jurutera, bekerja di
Arab Saudi. Pak Cik Saiful akan datang lusa. Itu ertinya Akil akan mendapat buah
tangan. Sayang, di rumah tidak ada telefon, kalau tidak dapatlah dia
menghubungi pak ciknya itu.
Kalau ada telefon,
tentu semalam Akil boleh berbual, dan minta dibelikan seutas jam tangan dari Pak
Cik Saiful. Pasti semalam bapa menerima panggilan telefon di rumah Pak Hamid,
jiran sebelah.
Selama beberapa hari,
Akil gelisah memikirkan hadiah apa yang akan dibawa oleh Pak Cik Saiful
untuknya. Akil tidak sabar menanti kedatangan bapa saudaranya itu. Namun, pada
hari yang dijanjikan, Pak Cik Saiful yang ditunggu-tunggu Akil itu belum juga
datang. “Pak cik tak datang ke, bu?” tanya Akil.
“Datang, tapi
sekarang ada di rumah nenek. Kita dijemput jam 6.00 petang nanti,” ujar Puan
Inah.
“Tapi, bapa
biasanya pulang jam 7.00,” ujar Akil.
“Hmm, ibu tak tahu
nombor telefon rumah majikan bapa. Tapi, alamatnya ada. Nanti jam
4.00 kamu ke sana. Beritahu khabar gembira ini pada bapa,” kata Puan Inah.
Sekitar jam 4.00
Akil segera berangkat. Dia tahu lokasinya. Perlu juga naik bas, walapun bapa
biasa jalan kaki pagi dan petang. Rumah majikan bapa sangat besar, bahkan ada
seorang jaga bertugas di pintu masuk. Akil memperkenalkan diri dan menyatakan
maksudnya.
“Oh, kamu Akil!
Bapa kamu sering bercerita tentang kamu,” kata jaga itu lalu membukakan pintu
pagar.
Akil masuk ke halaman
yang berjaga rapi dengan pelbagai tanaman hiasan dan bunga-bungaan. Di garaj
kelihatan dua buah kereta besar. Akil diajak ke sebuah ruang di sisi rumah
besar tersebut.
“Kamu tunggu di
sini. Bapa kamu ada di ruang itu. Pak cik akan beritahu Puan Seri dulu. Pak cik
akan memintakan izin supaya bapa kamu boleh pulang sekarang,” kata jaga
tersebut, kemudian masuk ke dalam.
Akil mengintai
melalui jendela bercermin cerah. Dia menguak sedikit tirai jendela berwarna putih
itu. Di dalam ruang itu ada banyak barang mainan.
Ada seorang kanak-kanak
lelaki bertubuh besar. Mungkin baru bersekolah tadika. Kanak-kanak itu duduk
sambil menolak kereta mainan di lantai. Kelihatan juga Pak Iman sedang
membongkok sambil memegang semangkuk bubur kacang hijau dan menyuap kanak-kanak
itu.
Darah Akil mendidih
sewaktu melihat kanak-kanak itu meletakkan kereta mainan di atas kepala bapanya
dan tertawa terkekeh-kekeh. Pak Iman membiarkannya saja.
Ketika Pak Iman
menyuapkan bubur, kanak-kanak itu meluahkannya kembali ke lantai. Dengan sabar
Pak Iman mengambil kain lap, membersihkan lantai. Berbagai perasaan berkecamuk
dalam diri Akil. Katanya bapa jadi pemandu, tetapi rupanya bapa jadi pengasuh
anak cacat mental. Ada perasaan marah, sedih dan kasihan di hati Akil.
“Akil, Puan Seri
kata bapa kamu boleh pulang sekarang,” kata jaga. Sejurus kemudian Pak Iman
keluar sambil membawa mangkuk bubur.
Dia menyerahkan
mangkuk itu kepada jaga dan berkata, “Suruh Mak Leha suapkan Karim tu,”
Setelah memohon
diri, Pak Iman dan Akil pun berjalan beriringan. Akil diam saja.
“Kamu naik apa ke
sini, Kil?” tanya Pak Iman.
“Naik bas, pak,” jawab Akil.
“Pak Cik Saiful
kamu pasti seronok melihat kamu. Dulu waktu kali terakhir dia datang kamu masih
dalam tadika lagi. Sekarang kamu sudah darjah empat,” kata Pak Iman.
“Kata bapa jadi
pemandu,” Akil tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.
“Ya, tapi kalau tak
ada tugas, bapa menemani Karim tu. Dia tu cacat. Kasihan, dia cacat mental.
Walaupun orang tuanya kaya-raya, apalah ertinya. Lebih beruntung bapa ada anak
seperti kamu,” jawab Pak Iman jujur.
Mendadak terasa ada
ketenangan di hati Akil. Juga rasa terharu. Ternyata bapa bangga kerana
memiliki aku, fikir Akil. Selama ini bapa tidak pernah menceritakan isi hatinya
kepadaku.
“Tadi Akil nampak
dia meletakkan kereta mainan atas kepala bapa,” kata Akil jengkel. “Mengapa
bapa tak cari pekerjaan lain saja?”
Pak Iman menghela
nafas panjang. “Nasib orang berbeza-beza, Kil! Bapa cuma bersekolah sampai darjah enam,
lalu bekerja untuk membantu orang tua. Memberi kesempatan pada Pak Cik Saiful, Pak
Cik Sabirin dan Mak Cik Lina kamu agar boleh terus sekolah,” kata Pak Iman.
Akil diam.
“Sekarang cari
pekerjaan sukar, keluar dari universiti pun ramai yang menganggur.”
Akil diam juga.
“Dengan menjaga
Karim tu, bapa dapat tambahan wang. Jadi kamu boleh bersekolah dengan senang,
masuk kelas tuisyen dan membeli buku-buku pelajaran. Bapa senang hati kerana
adik bapa, Saiful sudah berjaya. Kamupun kelak pasti berjaya kalau rajin
belajar,”
Akil mendengar
semua itu dengan hati yang terharu. Ternyata bapanya ini orang yang rela
berkorban. Demi anaknya dia rela melakukan pekerjaan yang mungkin ramai orang
tidak bersedia melakukannya. Akil sungguh terharu.
Tiba-tiba dia
merasa bangga pada bapanya yang sederhana itu. Dia tidak boleh membandingkan
bapanya dengan bapa orang lain. Bapa Akil tetap bapa Akil. Yang rela berkorban
untuk Akil... ya bapanya sendiri, bukan bapa orang lain.
“Kamu larat ke?
Mahu naik bas atau jalan kaki?” tiba-tiba Pak Iman bertanya.
“Kita jalan saja,
pak! Kalau bapa ada masa, mahu tak bapa main badminton dengan Akil?” tanya
Akil.
Tiba-tiba Akil melihat
wajah bapa ceria, dan matanya berbinar-binar. Baru kali ini Akil melihat sinar
kebahagiaan di wajah bapanya.
“Tentu saja mahu.
Bapa sangka kamu tidak mahu bermain atau berjalan-jalan dengan bapa, kerana
bapa ini cuma seorang pemandu,” kata Pak Iman.
Akil tersenyum.
“Tak, pak! Akil tak
tahu yang bapa suka main badminton,” kata Akil.
Pak Iman dan Akil
terus berjalan dengan hati yang gembira. Senja kelihatan sangat indah. Di
rumah, Pak Cik Saiful sudah sedia dengan seutas jam tangan untuk Akil, juga hadiah
pakaian untuk Pak Iman dan Mak Inah.
Semangat Baru
SEMAKIN dekat dengan
rumah, langkah kaki Iman semakin cepat. Dia mahu menelefon Pak Cik Dani yang
bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah kanak-kanak. Besok ada
pertandingan catur untuk murid-murid sekolah rendah di sebuah pusat membeli-belah
dan Pak Cik Dani adalah salah seorang anggota urus setia pertandingan tersebut.
Sabtu lalu Pak Cik
Dani menelefon ibu dan memberitahu tentang pertandingan catur tersebut. Kalau Iman
berminat mesti mendaftar selewat-lewatnya pada hari Isnin. Sekarang sudah hari
Selasa dan Iman belum lagi mendaftar.
Setiba di rumah, Iman
segera menelefon Pak Cik Dani. Ternyata Pak Cik Dani belum pulang. “Bu, saya
nak telefon Pak Cik Dani di handphone-nya,
ya!” Iman minta izin pada ibu.
“Boleh, tetapi
jangan lama-lama,” pesan ibu.
Iman berdiri dekat
meja telefon lalu menelefon Pak Cik Dani. “Hello, pak cik! Saya sudah bersedia
nak menyertai pertandingan catur besok. Jam berapa saya harus tiba di sana? Pak
cik nak jemput saya tak?” bertubi-tubi pertanyaan Iman.
“Iman, kamu tidak
boleh ikut serta. Pendaftaran sudah ditutup pada hari Isnin petang yang lalu!”
“Kenapa begitu? Pak cik kan urus
setia pertandingan. Saya sangka pak cik sudah daftarkan,” kata Iman dengan
perasaan yang kecewa.
“Laa, mana pak cik
tahu yang kamu berminat. Kamu tidak pula menelefon pak cik sebelum ini. Maaf, urus
setia pertandingan tidak boleh mengubah peraturan yang sudah ditetapkan, Sudah,
ya!” Pak Cik Dani mengakhiri perbualannya.
Terus Iman merasa
lututnya lemah. Seminggu ini dia berlatih bermain catur melawan Faiz dan Budi.
Dan sekarang, semuanya sia-sia hanya kerana kelalaAyen, tidak mendaftar dan
tidak menghubungi Pak Cik Dani. Dia juga menyangka Pak Cik Dani sudah
mendaftarkan namanya. Aduh, apa kata Faiz dan Budi kalau mereka tahu hal ini?
Sepanjang petang
sampai malam wajah Iman murung. Esok paginya Iman tidak mahu bangkit dari
tempat tidur. Dia sangat kecewa. Dalam hati dia menyalahkan Pak Cik Dani yang
berlaku kejam dan juga ibunya yang tidak mengingatkannya untuk mendaftar. Jam
8.30 pagi telefon berdering. Tidak lama kemudAyen ibu masuk ke bilik.
“Iman, ada telefon
dari Pak Cik Dani!” Ibu memberitahu.
Dengan perasaan yang
malas Iman ke luar bilik.
“Iman, sebetulnya pak
cik sudah daftarkan nama kamu. Kelmarin pak cik cuma mahu mendidik kamu agar
lain kali jangan lalai lagi,” kata Pak Cik Dani. “Kamu boleh datang ke sini
dalam waktu setengah jam sebelum pertandingan bermula?”
“Aaah...ehhh, saya
belum mandi dan makan. Tetapi, saya akan datang naik teksi,” kata Iman.
Dengan segera Iman
mengambil sehelai tuala lalu bergegas ke bilik mandi. Selesai mandi, dia
membongkar pakaAyen dan memohon diri untuk pergi dari ibunya.
“Sarapan dulu, Iman!”
Ibunya mengingatkan.
“Tidak boleh, bu!
Kata Pak Cik Dani jam 9.00 saya harus ada di sana. Saya akan naik teksi saja.
Wang saya masih ada,” kata Iman dan diapun berlari ke jalan mencari teksi.
Dengan termengah-mengah
akhirnya dia tiba di tempat pertandingan di tingkat tiga. Para ibu bapa hadir
menghantar anak-anak mereka. Selain pertandingan catur, ada juga pertandingan
mewarna lukisan dan pertandingan menyanyi.
Iman menemui Pak
Cik Dani.
“Duduk di meja nombor
4, Iman!” kata Pak Cik Dani.
Setelah duduk, Iman
berhadapan dengan lawannya, seorang budak laki-laki yang kemas dan rapi. Budak
itu tersenyum dan menjabat tangan Iman, menyebutkan namanya sebagai Ayen.
Ketika menoleh ke
kiri, di meja nombor tiga ternyata ada budak yang tinggal di kompleks perumahan
yang sama dengan Iman. Budak itu berkasut biru, menganggukkan kepala dan
tersenyum pada Iman.
Urus setia
pertandingan membacakan peraturan-peraturan yang harus ditaati dan nama-nama
peserta pertandingan, dan sejurus kemudian acara pertandingan pun dimulai.
Lawan Iman ternyata sangat pandai. Dalam sekejap saja dia sudah melahap tiga
bidak milik Iman dan dalam waktu 8 minit Iman kalah.
Iman
menoleh ke kiri dan budak berkasut biru sudah kalah lebih dulu dan meninggalkan
kerusinya. Iman mendekati pak ciknya dengan kecewa dan berkata, “Pak cik, saya
mahu pulang saja sekarang,”
“Jangan pulang,
lihat pertandingan dulu. Kamu boleh belajar dari para peserta yang menang,” Pak
Cik Dani mencegah.
“Untuk apa? Saya sudah
kalah,” kata Iman dengan wajah lesu dan nada yang kurang senang. Dia tiba-tiba
teringat wang yang sudah berpindah ke tangan pemandu teksi tadi. Pak Cik Dani
mengeluarkan wang RM20.00 dan memberikannya kepada Iman.
“Turunlah ke
tingkat dua. Kamu boleh makan ayam goreng dan kentang. Selepas itu kembali ke
sini dan baru ambil keputusan. Kamu belum sempat makan, kan,”
Ketika Iman masuk
ke restoran, budak berkasut biru ternyata sudah ada di sana. Dia baru mulai
makan. Dia memberi isyarat agar Iman duduk di sisinya. Iman memesan makanan dan
kemudian membawanya ke meja budak itu. Kedua-duanya berkenalan.
“Rupanya kita
sama-sama belum sarapan, Iman!” kata Aris, budak berkasut biru itu.
Iman menceritakan
masalah pendaftaran pertandingan catur. “Saya sudah mendaftar. Cuma semalam saya
asyik main catur sendiri. Bila pagi saya masih mengantuk dan sukar bangun. Jadi
tidak sempat sarapan dulu,” Aris menjelaskan. “Benar kata ibu, kalau mahu ikut
bertanding harus menyiapkan diri sebaik-baiknya,”
“Iya, kalau saya
tidak tergesa-gesa tadi pagi, mungkin saya boleh mandi dengan tenang,
bersarapan dan kemudian tidak tergopoh-gapah ke tempat pertandingan,” Iman mengakui.
“Rumah kita satu kompleks, kita boleh pulang sama-sama,” tambah Iman.
“Ya, tetapi saya
tidak mahu pulang sekarang, rugi!” kata Aris. “Saya mahu melihat
cara rakan-rakan kita bertanding dan memerhatikannya. Kata ibu saya, kalau kita
gagal kita harus bangkit dan berusaha lebih giat. Kegagalan adalah awal
kejayaan kalau kita mahu memperbaiki diri,”
“Benar juga. Kalau
begitu kita kembali saja ke tingkat tiga,” Iman setuju. “Bagus juga kalau kita
singgah dulu ke kedai buku, beli pen dan buku kecil untuk mencatat
langkah-langkah para juara,”
“Ya, ada juga
hikmahnya kegagalan kita ini. Saya jadi kenal dengan kamu.
Lain kali kita boleh sama-sama bermain catur. Selama ini kita tinggal satu
kompleks perumahan, kita saling berselisih jalan, hanya memandang wajah, tidak
bertegur-sapa,” kata Aris. “Saya mempunyai beberapa buah buku tentang catur di
rumah, kamu boleh pinjam,”
“Wah, bagus
sekali. Terima kasih!” kata Iman dengan ceria.
Perutnya sudah
kenyang, semangatnya sudah timbul, dan rasa kecewanya hilang. Kesedaran baru
muncul bahawa tidak seharusnya dia menyalahkan ibu dan Pak Cik Dani, kerana dia
sendiri yang bersalah.
Kedua-dua budak
lelaki itu keluar dari restoran, singgah ke kedai buku dan naik ke tingkat
tiga. Iman dan Aris menonton pertandingan catur dengan penuh perhatian.
Sesekali mereka
mencatat. Selepas suatu kegagalan, kita boleh memiliki semangat baru.
kalau mengujar biar pintar
bersama Jebat di pintu istana
berpasalewa hitam berkeris Melayu
mustahil membunuh sahabat sendiri
Hari Jadi Azri
AZRI menandakan haribulan di kalender. “Hmm,
seminggu lagi hari jadiku,” gumamnya gembira.
Beberapa hari lalu, Azri diundang ke majlis
hari jadi Faiz, rakan sekolahnya. Majlis itu sangat meriah. Rumah Faiz yang
besar, penuh dengan para undangan. Faiz mendapat banyak hadiah. Majlis itu
tambah meriah dengan adanya badut-badut yang sengaja diundang. Benar-benar
majlis yang mengesankan bagi Azri. Dalam diam-diam, Azri ingin juga mengadakan
majlis yang sama untuk merayakan hari jadinya.
“Yang penting, aku harus minta dari ayah,
agar hari jadiku dirayakan semeriah mungkin. Kalau boleh seperti majlis hari
jadi Faiz,” tekad Azri dalam hati. Pada waktu makan malam, Azri pun
mengutarakan keinginannya.
“Ayah, seminggu lagi, hari jadi Azri!” ujar
Azri.
“Hmm, kenapa?” tanya ayahnya
“Azri mahu dirayakan secara yang meriah. Ada
badut dan kuih yang sedap seperti majlis hari jadi Faiz,” ujar Azri.
Nani mencebek. “Cantik muka kamu! Duitnya dari mana? Faiz tu memang anak orang
kaya. Anak tunggal pula!” ujar Nani.
“Sudah, jangan bising,” ibu segera meleraikan
kedua-dua orang anaknya. “Azri, kamu boleh undang rakan-rakan sekolah kamu. Nanti
ibu buatkan nasi ayam. Majlisnya kecil-kecilan saja, ya.”
“Cadangan yang cantik,” ujar ayah perlahan.
Mata Azri mulai bergenang. “Azri mahu rayakan
secara yang meriah!” ujar Azri tegas, bangkit dari kerusi lalu berlari ke dalam
biliknya.
“Dasar anak manja!” omel Nani.
Ibu dan ayah saling berpandangan namun tenang
seperti biasa.
Cuaca siang ini sangat panas. Namun Azri
tidak peduli. Dia terus berjalan menyusuri jalan menuju ke taman bunga di
pinggir bandar. Jam tangan Azri menunjukan hampir pukul 2.00 petang. Sepanjang
jalan wajah Azri nampak keruh. Sekarang sudah hari Khamis. Tetapi tidak ada
tanda-tanda yang hari jadi Azri akan dirayakan. Ibu dan ayah kelihatan tenang
saja. Lebih-lebih lagi Kak Nani. Inilah yang membuatkan Azri kesal dan malas
pulang.
Azri menghempaskan tubuhnya di sebuah bangku
simen di taman itu. Dia melihat ke sekeliling taman. Kelihatan seorang budak
laki-laki sebaya dengannya. Budak itu duduk di atas rumput tidak jauh dari
bangku Azri. Rupanya budak itu penjual air kotak. Azri akhirnya menghampiri
budak itu.
“Minta maaf. Kamu ada jual air mineral tak?”
tanya Azri.
Budak itu mengangguk. “Dalam botol, ni?”
soalnya balik.
“Ya,” jawab Azri sambil menghulurkan sekeping
wang kertas satu ringgit. “Satu ringgit kan?”
Budak itu menggeleng sambil tersenyum.
“Seringgit lima puluh sen,”
“Aduh, macam mana ni! Wang saya dah habis,
sedangkan saya sangat haus ni,” ujar Azri sambil menggaru kepalanya. “Begini
saja. Nanti kamu datang ke rumah saya untuk ambil wang yang kurang,” usul Azri.
“Emm... tak apa. Saya halalkan saja.”
Azri hairan. “Benar ni? Nanti kamu rugi, tau!”
“Ah, tak apa!”
Kerana sangat haus, Azri akhirnya minum dan
menghabiskan air mineral itu.
“Nama saya Azri,” ujar Azri setelah
minumannya habis. Mereka saling berjabat tangan.
“Saya Ali.”
“Terima kasih ya kerana bagi diskaun minuman
tadi,” Azri menggoyang-goyangkan botol yang kosong.
Ali tertawa. “Tak apa-apa. Saya dah untung
banyak. Anggap saja saya belanja. Kebetulan hari ini hari jadi saya.”
“Hari jadi kamu hari ini?” tanya Azri
seperti tidak percaya.
Ali mengangguk ceria.
“Tak dirayakan?”
Ali tertawa mendengar pertanyaan Azri.
“Bagaimana mahu dirayakan? Nak makan sehari-hari pun susah.”
Azri terdiam. Lalu mulailah Ali bercerita
tentang kehidupannya sehari-hari. Dia terpaksa mencari duit sebaik pulang dari
sekolah untuk membantu kedua-dua orang tuanya demi menyekolahkan dua orang lagi
adiknya.
Petang itu Azri pulang sambil
berlari-lari. “Ibu, saya pulang, bu!” jerit Azri setibanya di rumah.
“Eh Azri, dari mana ni? Petang begini baru
pulang...” soal ibu dari ruang tengah. Di belakang ibu menyusul ayah dan Kak
Nani.
“Dasar budak nakal. Merajuk ya, gara-gara hari
jadinya tak dirayakan,” tukas Nani.
“Azri sayang, ibu dan ayah setuju kalau hari
jadi kamu dirayakan dengan meriah. Kebetulan ayah ada rezeki. Jadi sekarang
kamu tak usah sedih lagi, ya! Yang penting kamu boleh jemput semua rakan di
sekolah,” ujar ibu sambil tersenyum manis.
Azri menggeleng. “Terima kasih, ibu, ayah.
Tapi sebaiknya hari jadi Azri tak usah dirayakan secara besar-besaran.”
“Hah?! Macam mana pula? Kamu sampai merajuk
kerana nak majlis besar-besaran. Sekarang tak mahu pula!” Nani kehairanan.
“Azri ingin yang sederhana saja. Selain
beberapa orang rakan sekolah, Azri juga nak undang rakan-rakan Azri yang
kekurangan. Misalnya yang di taman asuhan, atau penjual air di sekitar taman.
Itu kan lebih banyak pahalanya,” jelas Azri. “Iya kan, ayah?”
“Terserah kamulah,” sahut ayahnya.
“Dapat idea dari mana ni?” tanya Nani ingin
tahu.
Azri tersenyum. “Itu rahsia.”
Dan seperti yang dirancangkan, Azri pun
merayakan hari jadinya dengan sederhana. Tetapi Azri kelihatan sangat gembira
kerana selain sesuai dengan keinginannya, dia juga didampingi sahabat barunya,
Ali, seorang penjual air kotak miskin yang baik hati.
Kupin Nyanyuk
KUPIN NYANYUK. Itulah gelaran yang diberikan
oleh rakan-rakan kepada Kupin. Setiap hari selalu saja ada perkara atau benda
yang dilupainya. Misalnya, ketinggalan buku teks, ketinggalan buku latihan
kerja rumah, ketinggalan pensil, ketinggalan pembaris, ketinggalan beg sekolah,
ketinggalan duit belanja, ketinggalan baju sukan, dan pelbagai lagi. Sudah
tidak terhitung berapa banyak pensil dan pen yang telah dihilangkan oleh Kupin.
Ini adalah kerana sifat pelupanya itu. Sehinggakan rakan-rakan Kupin pun enggan
meminjamkan barang mereka kepada Kupin kerana terlalu sering dihilangkannya. Walaupun
Kupin tidak bermaksud berbuat demikian.
Tidak hanya itu. Kupin juga sering melupakan
janjinya. Pernah suatu ketika Kupin berjanji hendak bertemu dengan Baharin,
rakan sekelasnya, di kantin. Namun Kupin tidak juga datang walau Baharin telah
lama menunggunya. Begitu pelupanya Kupin sehingga pernah suatu hari dia datang
ke sekolah dengan memakai kasut yang kiri dan kanannya berbeza.
“Kenapa dengan kamu ni, Pin?” tanya Baharin
kala melihat kasut Kupin.
“Ha, kenapa dengan saya?” tanya Kupin kembali
dengan mata terkebil-kebil.
“Kenapa kamu pakai kasut macam ni?”
Dengan segera Kupin membelek-belek kasut di
kakinya. “Apa yang tidak kenanya?”
“Kasut kiri pakai di kaki kanan. Kasut kanan
pakai di kaki kiri. Apa kena dengan kamu ni, Pin? Dah buang tabiat ke?”
Kupin tersengih. “Saya lupa!” ujarnya sambil
ketawa dan menggeleng-geleng.
“Sampai pakai kasut pun kamu boleh lupa?”
“Entahlah, Rin! Saya memang cepat lupa!”
balas Kupin.
“Patutlah rakan-rakan kita yang lain gelarkan
kamu Kupin Nyanyuk! Belum tua lagi dah nyanyuk!”
“Nak buat macam mana, Rin! Ini takdir namanya!”
“Kamu mesti berusaha supaya kamu tidak jadi
pelupa. Bahaya, Pin!”
“Nak berusaha macam mana?” tanya Kupin.
“Kamu tulis apa yang kamu perlu buat. Kamu
mesti lihat dan baca tulisan itu setiap waktu supaya kamu boleh ingat kembali
apa yang perlu kamu lakukan,” jelas Baharin.
Kupin terdiam sejenak. Sejurus kemudian dia
berkata, “Kadang-kadang saya lupa nak tulis apa yang saya nak tulis!”
“Laa... ini dah kes berat, Pin!”
“Tahu pun!”
“Memang kamu dah nyanyuk!”
Kupin tersengih. “Nyanyuk pun nyanyuklah,
asalkan saya tidak bunuh orang sudahlah!” ujarnya bersahaja.
Kupin sebenarnya bukanlah seorang murid yang
malas. Dia hanya sering melupakan hal-hal yang penting. Suatu ketika Kupin
disuruh oleh ibunya memberi makan ayam peliharaan mereka. Ketika sedang memberi
makan ayam, Kupin melihat seekor kupu-kupu yang cantik. Dengan segera Kupin mengejarnya
tanpa menutup pintu reban lalu berpusu-pusulah ayam-ayam berkeliaran di dalam
rumah Kupin.
Pada waktu yang lain, Kupin pernah meninggalkan
singki basuh tangan di dapur dengan paipnya terbuka sehingga airnya melimpah di
lantai.
“Kamu sebenarnya budak baik, Kupin! Hanya kamu
harus lebih berhati-hati terhadap apa yang sedang kamu lakukan,” ujar ibunya
sambil mengelap air yang membasahi lantai dapur.
Ibunya sudah tidak berdaya lagi mahu mengubah
sikap pelupa Kupin, anak bongsunya itu. Ini bukan pertama kali Kupin diberi nasihat.
Biasanya setelah dinasihati, penyakit pelupa Kupin akan hilang. Namun setelah
beberapa jam, penyakit itu akan datang kembali.
Melihat ibu yang penat mengelap lantai dapur,
Kupin merasa bersalah. Dia lalu menemui Milah, kakaknya.
“Kak, bagaimana ya cara nak menyembuhkan
penyakit lupa saya ni?” tanya Kupin.
Milah berfikir sejenak kemudian tersenyum
simpul. “Tunggulah sampai besok. Kakak akan memberi kamu satu kejutan,” ujar
Milah.
“Satu kejutan?” Kupin kehairanan.
“Ya, satu kejutan!” balas Milah.
“Kejutan elektrik ke? Kalau kejutan elektrik,
saya tidak mahulah! Nanti mati terus!” ujar Kupin.
“Hish kamu ni! Takkan kakak nak kejutkan kamu
dengan elektrik pula. Apa.. kamu ingat kakak ni dah gila ke?”
Kupin tersengih.
Keesokan paginya, ketika bangun dari tidur,
Kupin terkejut melihat berbagai kertas di tempel di mana-mana. Di atas singki ada kertas bertuliskan ‘Tutup
Paip’. Di pintu tertulis ‘Tutup Pintu’. Sampai di reban ayam pun ada tulisan
‘Kunci Balik Pintu Reban Ayam Ini’. Dan banyak lagi kertas lain di sekeliling
rumah. Selain itu, Milah juga memberi Kupin sebuah buku kecil.
“Tulislah di dalam buku ini, apa saja yang
harus kamu bawa ke sekolah. Sebelum pulang, kamu baca lagi senarai
barang-barang yang kamu bawa itu. Jadi, kalau ada yang ketinggalan, kamu akan
tahu. Dan kalau ada janji, tulis juga di buku ini,” jelas Milah panjang lebar.
Kupin mengangguk-angguk faham. “Macam yang disuruh
oleh Baharin saja!” bisiknya dalam hati.
Pada awalnya, Kupin merasa kurang senang
melihat banyak kertas bertebaran di rumahnya. Kupin juga merasa malas kerana
harus melihat buku kecil itu. Namun lama-kelamaan, Kupin menjadi biasa. Perlahan-lahan
kebiasaan lupa Kupin menjadi berkurang. Bahkan akhirnya hilang sama sekali.
Rakan-rakan di sekolah hairan melihat perubahan pada diri Kupin.
Sekarang kertas-kertas itu sudah tidak
dipedulikan kerana Kupin tidak lagi memerlukannya. Yang masih disimpan Kupin hanyalah
buku kecil itu kerana dia masih memerlukannya untuk menulis janji.
Kini tidak ada sesiapa lagi yang menyebutnya dengan panggilan ‘Kupin Nyanyuk.
Aman dan Amin
LAGI-LAGI gaduh! Begitulah yang sering terjadi.
Tidak sah kalau tidak bergaduh namun tidak pula sampai mencederakan antara satu
sama lain. Mereka sekadar bergaduh mulut. Bisingnya bukan kepalang. Memekakkan anak
telinga.
“Cepat, aku dah lewat niiiii!!!!!” jerit Amin
dari hadapan bilik mandi.
“Salah sendiri, kenapa bangun lambat!” Aman
menghentikan nyanyiannya untuk menyahut jeritan Amin, lalu kembali meneruskan
nyanyiannya.
“Hentikannnn, telinga aku sakit dengar suara
kamuuuu!!” jerit Amin lagi.
“Kalau tak mahu dengar tutup saja telinga
kamu dengan putik kapas atau kain buruk yang ada di dapur tu!” balas Aman.
Hiruk-pikuk macam itu terdengar setiap pagi,
kecuali hari minggu atau hari cuti am yang lain. Penyebabnya adalah kebiasaan
Aman yang selalu bernyanyi tiap kali ke bilik mandi. Kebiasaan itu membuatkan
dia terlalu lama berada di bilik mandi.
Tentu tidak apa-apa jika di rumah tersebut
ada lebih dari satu bilik mandi. Yang jadi masalah sekarang ialah, hanya ada
satu bilik mandi saja yang perlu dikongsi oleh empat orang iaitu ayah, ibu, dan
dua anak kembar itu!
Puan Endah pening kepala juga menghadapi
perangai Aman. Anak lelakinya itu selalu saja ada alasan mengapa mesti
bernyanyi sewaktu di bilik mandi.
“Ini bakat terpendam yang perlu diasah
selalu,” ujar Aman.
“Di bilik mandi?” Puan Endah mencebek.
“Di mana saja tapi di bilik mandi lebih baik
sebab suasananya segar dan sejuk,” balas Aman.
“Jangan nak melalut, Aman!”
“Saya bukan melalut. Ini kenyataan, bu! Ibu
tahu sendiri kan, brrr... sejuknya air waktu pagi!”
“Itu memang ibu tahu. Air dalam kolam memang
sejuk..”
“Ha, ibu percaya tak? Kalau Aman nyanyi
kuat-kuat, tak ada lipas, lipan, ular atau lain-lain haiwan berbisa yang berani
masuk ke dalam bilik air ni! Secara tak langsung, keluarga kita akan terselamat
dari ancaman binatang-binatang kotor dan berbisa tu!”
Puan Endah mendengus. Memang Aman banyak
alasan. Tidak mampu dinafikan malah dikalahkan. Gayanya bercakap bagai seorang
peguam di mahkamah. Memang cita-citanya juga mahu menjadi seorang peguam suatu
hari nanti.
Puan Endah mati akal dan kebingungan juga bila
berhadapan dengan perangai Amin. Anak laki-laki periang itu tidak suka pula
kepada sebarang nyanyian, tidak banyak cakap, cepat meradang, tidak suka
diganggu dan tidak sabar terutama ketika melakukan sesuatu pekerjaan.
Seperti ketika mahu mandi, dia tidak suka
terlalu lama menunggu. Sebab itulah dia meradang bila Aman berada dalam bilik
mandi. Hampir sejam baru siap mandi saudara kembarnya itu.
“Ibu, buatkan satu lagi bilik mandi,” minta Amin
suatu hari.
“Ayah
ibu kan baru saja menggunakan banyak wang untuk membeli rumah ini. Kecil-kecil
begini pun, ini rumah kita sendiri. Dari dulu, kita tinggal di rumah sewa.
Sabarlah, jika sudah ada wang, pasti ayah kamu buatkan sebuah lagi bilik
mandi,” jawab Puan Endah cuba meredakan rasa tidak senang hati anaknya itu.
“Ah, ibu! Takkan nak buat sebuah lagi bilik
mandi pun tak mampu?”
Amin juga tidak pernah kehabisan kata-kata
untuk meminta. Hari Sabtu Encik Faizal pulang dari pejabat lebih awal.
“Ada satu berita yang menggembirakan,” kata
Encik Faizal sebaik masuk ke dalam rumah.
“Berita apa, ayah?” tanya Amin.
“Nenek kamu akan datang dari kampung petang
nanti,” ujar Encik Faizal.
“Yahuu, tentu ada banyak buah tangan untuk
kami!” ujar Amin gembira.
Namun, apakah yang terjadi keesokan harinya?
Akankah dua saudara kembar tersebut akan membingar juga? Tidak malukah mereka
pada nenek?
Nenek ke luar rumah untuk jalan-jalan pagi
itu. Oleh kerana itu, ketika Aman melakukan kebiasaannya setiap kali di bilik
mandi, dengan tegas Amin memperingatkannya. Dan apa yang terjadi pada hari-hari
sekolah sebelumnya pun berlangsung kembali. Seperti filem yang diputar ulang di
kaca televisyen.
Bagaimanapun Puan Endah sedikit lega kerana
nenek tidak mendengar betapa bising kedua-dua cucu kesayangannya itu. Dia
keluar bersenam. Ketika bersarapan pagi, nenek sudah pulang dan makan bersama
mereka. Ketika sedang asyik menyuapkan makanan, tiba-tiba nenek berkata: “Kamu
tahu? Tadi, ketika nenek melintas di jalan belakang sana, nenek dengar ada
orang sedang bertengkar. Aduh, sedih sekali! Kenapa ada orang yang sanggup
mengeluarkan suaranya begitu kuat sekali seolah-olah mahu menghancurkan dunia
ini. Sepatutnya, pagi-pagi begini mereka berdoa supaya Tuhan murahkan rezeki.
Kalau pagi-pagi sudah bergaduh, macam mana rezeki nak masuk rumah?”
Aman dan Amin terkedu. Masing-masing menghentikan
suapan mereka. Nenek bersahaja makan sambil berkata lagi: “Nenek tak mahu kamu
berdua jadi macam orang tu. Nenek mahu kamu berdua baik dan mesra sesama adik
beradik. Nenek mahu kamu berdoa setiap pagi agar Allah murahkan rezeki,” sambil
memandang kedua-dua cucunya.
Amin dam Aman segera menunduk, tidak berani
menatap mata nenek.
“Nenek membayangkan, betapa sedihnya bila
cucu nenek yang berkelakuan begitu. Nenek sungguh bersyukur, untung bukan cucu
nenek yang berperangai seperti itu!”
Aman dan Amin pandang memandang. Mereka tidak
berani bersuara sehinggalah makanan di pinggan mereka habis. Mereka tidak tahu,
apakah nenek sungguh-sungguh tidak tahu atau pura-pura tidak tahu. Yang jelas,
sejak pagi Selasa itu tidak terdengar lagi nyanyian Aman di dalam bilik mandi.
Bahkan ketika nenek sudah pulang sekalipun.
Membantu Fatin
SEMUA murid tahun
enam di Sekolah Kebangsaan Jitra itu tahu bahawa Fatin adalah murid terpandai
dalam subjek Matematik di dalam kelas. Dengan mudah Fatin boleh
menyelesaikan soalan-soalan yang menurut rakan-rakannya sangat sukar.
Fatin memang suka
kepada pelajaran Matematik. Dan jika markah ujian bulanannya dibahagikan, dia
selalu mendapat markah paling tinggi dalam kelas. Tidak hairanlah bila sebulan
lalu Fatin menjadi juara dalam pertandingan kuiz Matematik peringkat daerah.
“Kuncinya adalah
rajin membuat soalan dan tak putus asa!” jawabnya ketika ditanya rahsia
kejayaannya.
Namun, lain halnya
dengan pelajaran Sains. Dalam pelajaran ini Fatin sangat ketinggalan dibandingkan
dengan rakan-rakannya yang lain. Markah yang diperolehinya tidak sehebat markah
Matematiknya. Dan hal itulah yang terjadi hari ini. Sebaik menerima keputusan
ujian Sainsnya, Fatin melihat angka enam puluh lima menghiasi bahagian atas kertas
jawapan.
“Fatin, markah
kamu berapa?” tanya Zuri rakan sebelahnya.
“Biasa, buruk lagi, buruk lagi! Pening
saya!” jawab Fatin separuh putus asa.
Zuri mendapat
markah lapan puluh lapan. Selain berminat dalam pelajaran Sains, dia juga telah
mempersiapkan diri selama empat hari untuk mengulangkaji sebelum hari
peperiksaan. Dan bagi
dirinya, Sains tidaklah sesukar Matematik yang membingungkan itu. Sains perlu
banyak menghafal dan mengingati. Tidak seperti Matematik yang memerlukan kefahaman
terhadap jalan-jalan penyelesaian.
Sebenarnya Zuri agak sedih dengan
keadaan Fatin. Bayangkan, juara kuiz Matematik peringkat daerah itu, selalu
mendapat markah buruk dalam pelajaran Sains. Fatin pernah berkata padanya
bahawa pelajaran menghafal sangat membosankan.
“Saya tak berapa minat nak mengingatkan
nama-nama sainstifik seperti oksigen, hidrogen, fotosintesis dan sebagainya!
Lagipun, mana ada waktu saya nak menghafal itu semua. Saya sangat sibuk di
rumah!” ujar Fatin pada Zuri.
Memang, Fatin baru mendapat seorang
adik baru. Dia sering mendapat tugas menjaga adiknya yang baru berumur 3 bulan
itu terutama apabila ibunya sedang sibuk di dapur.
Fatin sebenarnya sudah berusaha untuk
belajar lebih giat dalam pelajaran yang bersifat hafalan. Dia berusaha
menghafal pelbagai fakta dalam pelajaran Sains. Fatin tahu, Cikgu Amran, guru
Sainsnya gemar memberi soalan yang ada kena mengena dengan nama gas, bahan
kimia dan sebagainya. Tetapi walaupun dia sudah menghafal bermati-matian
pada malam hari, apabila paginya sudah lupa. Lebih-lebih lagi kalau tersandung
batu di jalan menuju sekolah! Pasti segala yang dihafal Fatin dalam kepala
terus hilang.
Ketika sampai di
rumah, Zuri masih tetap memikirkan kelemahan Fatin itu. Dia merasa kasihan tetapi
tidak tahu apa yang harus dilakukannya untuk membantu rakannya itu. Fatin
adalah rakan baiknya. Dan Fatin sering membantu Zuri dalam pelajaran Matematik.
Mereka juga sering belajar bersama ketika ujian bulanan akan berlangsung.
Itulah sebabnya Zuri berasa ingin sekali menolong Fatin.
Pada suatu petang,
Zuri ingin meminjam sebuah novel di bilik ibunya. Puan Zani yang baru saja
selesai menaip manuskrip novel kanak-kanak itu sedang melipat-lipat kertas
kecil.
“Buat apa mak,
melipat-lipat kertas tu?” tanya Zuri.
“Emak sedang membuat ringkasan jalan
cerita untuk novel emak yang baru. Minggu depan mak akan siapkan…”
“Err, untuk apa kertas yang
dilipat-lipat tu?” tanya Zuri lagi.
“Oh… ini emak
tunjukkan kamu contohnya,” kata Puan Zani sambil membuka laci meja tulisnya. Dia
mengeluarkan kertas yang sudah dilipat tiga seperti katalog pelancongan. Ada juga yang dilipat kecil-kecil agar
dapat dimuatkan di dalam poket bajunya. Kertas-kertas itu ditulis ringkasan
jalan cerita untuk novelnya. Yang lebih menarik lagi, dia memberikan
warna-warna menarik pada setiap judul bab yang diringkaskannya tadi.
“Kenapa diberi
warna-warna seperti itu, mak?” tanya Zuri lagi kehairanan.
“Supaya menarik
untuk dibaca dan mudah untuk menghafalnya. Zuri kan tahu, mak tak suka menghafal
dalam jangka masa semalaman. Emak tak mampu nak menghafalnya! Jadi mak buat
ringkasan catatan yang dilipat-lipat dan boleh disimpan dalam poket ni. Jadi di
mana pun mak berada, dalam bas, atau ketika menunggu sesuatu, ringkasan ni
sekadar dibuka dan dibaca saja! Menghafal sedikit-sedikit akan mudah diingat
daripada menghafal secara banyak sekali gus!” panjang lebar Puan Zani
menerangkan manfaat ringkasan tersebut.
Zuri terus lupa
dengan niatnya mahu meminjam novel ibunya. Dia tiba-tiba teringat pada Fatin.
Ah, seolah-olah dia telah mendapat jawapan untuk mengatasi masalah yang dihadapi
oleh Fatin dalam menghafal pelajaran Sains. Tidak sabar lagi dia menunggu esok
hari untuk bertemu dengan Fatin di sekolah. Dia ingin menyampaikan cara ibunya
mengatasi kesukaran menghafal jalan cerita. Zuri berharap, markah Sains Fatin
nantinya akan sebaik markah Matematiknya.
Bersama Harry Potter
SEBENARNYA hari Ahad ini aku mengantuk
sekali. Semalam aku menemani abang Im menonton pertandingan bola sepak sampai
pagi. Dan paginya aku tidak boleh tidur kerana Pak Cik Onn datang. Berbeza
dengan abang Im yang tidur sampai pukul 10 pagi. Aku menemani Pak Cik Onn yang
datang dari London.
Petangnya ketika Pak Cik Onn memohon diri
untuk pergi ke rumah datuk - ayah, ibu dan abang Im mengajakku ke panggung
wayang. Apa boleh buat, aku pura-pura setuju sedangkan rasa mengantukku masih
lagi menggayut di kelopak mata.
Memang, rasa kantukku garang sekali. Tetapi
kerana ke panggung wayang, aku bersetuju saja. Lebih-lebih lagi kata Pak Cik Onn
filemnya bagus. Dia sudah menontonnya sewaktu berada di London. Filem itu
memang sangat dinanti-nantikan oleh kami sekeluarga. Ayah telah membeli sebuah
bukunya untuk kami.
Tetapi kali lagi, aku betul-betul rasa
mengantuk yang amat sangat! Sejak ayah membeli tiket sebelum masuk ke dalam
panggung wayang, mataku sudah sukar hendak dicelekkan. Ayah, ibu dan abang Im
tentu tidak sedar yang aku mengantuk.
Kini kami memasuki panggung wayang, duduk
menghadap layar. Mataku benar-benar tidak berdaya melihat layar yang tertimpa cahaya
projektor. Sejurus kemudian tayangan filem pun dimulakan.
Kantukku tidak tertahan lagi. Hawa sejuk
panggung wayang terasa amat mencokot tulang. Dan mataku benar-benar terpejam.
Abang Im, ibu dan ayah asyik sekali dengan filem itu sehingga lupa yang aku
juga ikut menonton bersama mereka. Tiba-tiba seorang budak lelaki muncul di hadapanku.
“Kenalkan, aku Harry!” kata budak lelaki tersebut. Dia bertubuh tidak terlalu
besar, berwajah manis dan berkaca mata nipis.
“Harry?! Ka... ka... kamu... Harry Potter!?”
aku seolah-olah tidak percaya.
“Ya, aku Harry Potter! Kalau kamu tak percaya, mari ikut aku.”
Lalu Harry Potter membawaku ke sebuah tempat
yang sepi. Di situ dia menunjukkan aku sebatang penyapu. Penyapu yang kemas
tetapi kelihatan luar biasa. Panjang berkilat, dengan pemegang dari kayu
mahagoni. Anyaman di hujungnya
lurus dan rapi, dengan tulisan emas ‘Tahun 2025’ di hujung puncaknya. Harry
Potter memanggil penyapu itu sebagai ‘Penyapu 2025’. Apabila disebut namanya,
penyapu itu terangkat sendiri ke udara, kira-kira setinggi basikalku.
“Mari, kita naik bersama-sama!” ajak Harry
Potter kepadaku.
Separuh berani separuh takut, aku akur
ajakannya. Kami menaiki penyapu itu seolah-olah naik basikal bersama. Harry
Potter di hadapan dan aku memeluknya di belakang.
“Berangkat!!” Harry Potter menjerit, dan
penyapu itu pun terus terbang! Wwuuuussshhh!!!
Mulanya aku berasa gayat. Tetapi lama-lama
jadi seronok pula.
“Kita nak ke mana?” tanya Harry Potter
sejurus kemudian.
“Hantarkan aku ke kedai buku,” kataku.
“Ke mana?”
“Di Jalan Tunku Abdul Rahman!”
Atas perintah Harry Potter, penyapu itu
terbang menuju ke tempat yang aku kehendaki. Tetapi sebelum tiba di Jalan Tunku
Abdul Rahman, Harry Potter mengajakku berkeliling sekitar bandar raya Kuala
Lumpur. Kami meluncur di atas padang hadapan bangunan Sultan Abdul Samad di
Dataran Merdeka. Lalu kembali
melintasi bangunan Plaza Sogo dan bangunan Pertama Kompleks.
Dan, dengan kekuatan yang luar biasa, penyapu
itu berbalik arah, ke arah Jalan Ampang. Dengan segera aku dan Harry Potter
memandang ke arah bangunan KLCC dan juga Kuala Lumpur Tower. Orang ramai yang
melihat kami menjerit-jerit, “Ada penyapu terbanggg!!!! Ada penyapu
terbangggg!!!!!”
Aku dan Harry Potter hanya melambaikan tangan
ke arah mereka. Beberapa saat kemudian penyapu itu berpusing di atas bangunan
PNB di Jalan Tun Razak. Ciiihuuuuuyyy!!! Penyapu itu berbunyi, miring ke kiri,
ke kanan, tegak ke atas dan kembali meluncur lurus. Cekap sekali Harry Potter
mengawal gerakan ‘Penyapu 2025’-nya.
Setelah beberapa saat berputar-putar,
akhirnya kami keletihan. Dan kami memilih untuk berehat di padang belakang
bangunan KLCC. Aku dan Harry Potter mendarat tepat di atas padang itu!
“Oh ya, nama aku Fendi,” kataku tersenyum sambil
menghulurkan tangan pada Harry Potter. Huh, sombong betul aku, tidak
memperkenalkan namaku sejak tadi.
“Bagaimana, seronok tak naik penyapu
terbang?”
“Memang seronok, Harry!”
“Tapi sayangnya kita tak boleh lama-lama di
sini kerana aku harus kembali ke Sekolah Hogwarts.”
“Sekolah Hogwarts?”
“Ya, kamu tahu tentang sekolah itu?”
“Tentu saja, Harry!”
“Baiklah. Kita ke tujuan asal kita semula. Ke
kedai buku di Jalan Tunku Abdul Rahman!” Kami ke jalan tersebut. Di sepanjang
jalan yang kami lintasi, orang ramai menjerit-jerit, “Harry Potter! Harry Potter!
Ada Harry Potter, heeey!”
Wwwuuuusssshhhh! Penyapu terbang terpelanting
ke udara, melintasi bangunan-bangunan pencakar langit Kuala Lumpur. Namun
ketika penyapu yang membawa kami membelok, tiba-tiba tanganku terlepas dari
pegangan. Dan tubuhku tergelincir ke bawah! Aku menjerit ketakutan.
“Harrry! Harry Potter! Tolong akuuuu!!!!!!”
Tubuhku terus saja meluncur ke tanah. Orang
ramai yang kebetulan melihatku, turut menjerit-jerit ketakutan.
“Toloooooonggg! Tolong aku, Harry Potterrrrr!!!”
“Fendi! Fendi! Kenapa dengan kamu ni? Kamu
mengigau ye? Hey, ayuh bangun! Filemnya dah habis!”
Tiba-tiba ayah, ibu, dan abang Im
membangunkan aku. Orang ramai di dalam panggung wayang tersenyum-senyum ke
arahku. Aku menggesek-gesek mata dengan belakang tanganku.
“Mana Harry Potter, bu?” tanyaku.
“Filemnya dah selesai, sayang!”
Hah? Dah selesai? Laa, aku tak menonton tadi!
Tapi tak apa. Yang penting aku dah
merasa naik ‘Penyapu 2025’ bersama Harry Potter! Meskipun hanya dalam mimpi.
Nasi Impit Kuah Kacang
RIKA dan Amri tinggal bertiga dengan ibu
mereka. Rika kini baru masuk
tahun lima. Dan Amri sudah berada di tahun enam. Puan Ila, ibu mereka bekerja
sebagai pencuci pakaian di beberapa buah rumah orang kaya. Walaupun demikian,
Rika dan Amri tetap bercita-cita tinggi. Mereka rajin belajar dan tidak pernah
berputus asa.
Tahun ini, Rika sangat gembira kerana dia
telah dilantik menjadi pengawas sekolah. Rika harus menjalani latihan sebelum
menjadi pengawas selama tiga hari. Pada masa itu, dia boleh berkenalan dengan
murid sekolah lain yang juga akan menjadi pengawas. Juga dengan guru-guru yang
bertugas.
Pada hari kedua latihan, Cikgu Nina salah
seorang guru bertugas telah membuat satu pengumuman, “Besok kita akan
mengadakan majlis jamuan makan. Jadi kamu semua perlu bawa makanan sendiri.
Kita boleh makan bersama!”
“Cikgu, apakah makanan yang perlu dibawa?”
tanya salah seorang murid.
“Oh, ya! Kalau kamu nak bawa nasi, bawalah
bersama dengan lauknya sekali. Kalau tidak, kamu boleh bawa nasi dagang, bubur
kacang, mi goreng, kuih-muih atau apa saja yang kamu fikir baik,” jelas Cikgu
Nina.
Setelah Cikgu Nina pergi, Rika jadi bingung
sendiri. Dia mahu membawa nasi tetapi apakah lauk yang sesuai? Di rumahnya tidak
ada lauk yang sedap dan istimewa. Yang selalu ada hanyalah ikan masin dan
sardin. Selalunya, apabila makan Rika menambahkan kicap di dalam nasi. Itu
sudah terasa sedap sekali baginya. Tetapi kalau Rika membawa nasi seperti itu
ke sekolah, tentu dia akan diketawakan oleh kawan-kawannya.
Setiba di rumah, Rika menceritakan perkara
itu kepada ibunya.
“Rika, sekarang ibu mahu pergi kerja dulu.
Kamu saja yang memikirkan makanan apa akan akan kamu bawa. Kalau boleh, biarlah
yang murah-murah saja, yang ibu sanggup membelinya,” kata Puan Ila.
Namun, sehinggalah ibunya pulang dari
kerja, Rika belum juga mampu memutuskan jenis makanan yang perlu dibawanya.
Nasib baiklah, pada waktu sedang belajar malam, dia mendapat satu idea. Dengan
segera Rika bergegas menemui ibunya.
“Bu, bagaimana kalau besok Rika bawa nasi impit
saja? Murah dan mudah kan,
bu?” ujar Rika.
“Benar juga. Kalau begitu, besok pagi-pagi
ibu akan buatkan nasi impit,” kata Puan Ila sambil menguap.
Rika kasihan melihat ibunya. Puan Ila
sebenarnya belum terlalu tua. Namun kerana bekerja terlalu kuat, wajahnya
kelihatan lebih tua dari usianya yang sebenar.
Pagi itu Rika membantu ibunya memasak nasi impit.
Nasi impit itu dibungkus dengan daun pisang yang diambil dari belakang rumah.
“Terima kasih, ya bu! Rika pergi ke sekolah
dulu, ya!” ujar Rika.
Dengan gembira dia mengayuh basikal buruknya
menuju ke sekolah. Beberapa ketika kemudian, Rika sudah berada di dalam kelas.
Setelah beberapa ketika berlalu, akhirnya tibalah acara yang dinanti-nantikan.
Majlis makan bersama.
“Kamu sudah membawa makanan masing-masing
kan?” tanya Cikgu Nina.
“Sudah, cikgu!” jawab mereka hampir serentak.
Makanan yang dibawa segera dikumpulkan di
atas meja guru. Rika mulai resah memikirkan nasi impitnya. Bagaimana jika nasi impit
itu dimakan oleh rakannya yang kaya? Apakah mereka akan memakan nasi impitnya
yang sederhana itu? Nasi impit yang hanya diletakkan kuah pekat kacang itu? Rika takut kalau-kalau rakan-rakannya
mencemuh nasi impit tersebut.
Akhirnya waktu pembahagian makanan pun tiba. Rika mendapat makanan dari Yani berupa bihun
goreng bersama sambal ikan bilis. Manakala bungkusan nasi impitnya diterima
oleh Aila. Aila adalah anak orang kaya. Dengan hati yang berdebar-debar dia
melirik ke arah Aila yang sedang membuka bungkusan nasi impitnya itu.
“Wow, nasi impit! Saya memang suka sekali
nasi impit! Wah ini tentu sedap!” ujar Aila. Rika melihat Aila memakan nasi impitnya
dengan berselera sekali.
“Wow, sedap sungguh! Nasi impit siapa ni?”
tanya Aila.
“Itu saya punya!” jawab Rika.
“Oh, kamu Rika, ya?”
“Iya,” jawab Rika.
“Rika, siapa yang memasak nasi impit ni?”
tanya Aila.
“Ibu saya,” ujar Rika sedikit lega.
“Kebetulan, lusa hari jadi saya. Ibu saya
sedang mencari orang yang pandai masak nasi impit seperti ini. Mahu tak ibu
kamu buatkan nasi impit seperti ini?” tanya Aila.
“Boleh! Tentu saja ibu saya mahu! Nanti saya
beritahu ibu saya, ya!” balas Rika senang. Roza dan Maya mendekati Aila dan
Rika.
“Oh, ini ya, nasi impitnya! Boleh saya rasa?”
kata Roza sambil menceduk sedikit nasi impit di hadapan Aila. “Wah, sedap betul!
Ibu saya bekerja di pejabat. Kebetulan ibu sedang mencari orang yang pandai
memasak untuk sarapan pagi di pejabatnya! Ibu saya pasti suka kalau ibu kamu
dapat buatkan nasi impit seperti ini,” tambahnya lagi.
“Oh, tentu saja boleh!” jawab Rika.
Berita itu cepat menyebar. Sehingga pada
waktu rehat, ketika Rika sedang berjalan ke kantin, peniaga kantin memanggilnya
lalu bertanya. “Kamu Rika, ya?”
“Iya. Ada apa, mak cik?” tanya Rika
kehairanan.
“Begini, mak cik nak suruh emak kamu buatkan
nasi impit untuk dijual di kantin. Ramai orang kata nasi impit kuah kacang ibu
kamu sedap. Kalau boleh, lusa mak cik mahu nasi impit tu. Kalau laku, nanti mak
cik akan pesan lebih banyak lagi!”
“Oh ya? Baiklah, nanti saya beritahu ibu saya!”
jawab Rika dengan senang hati.
“Oh ya, untuk modalnya ini ada sedikit wang,”
mak cik peniaga kantin itu menghulurkan sejumlah wang kepada Rika.
Sampai di rumah, Rika bergegas mendekati
ibunya yang sedang memasak. Dia segera bercerita tentang pesanan nasi impit yang diterimanya
tadi.
“Oh, ibu gembira sekali!” Puan Ila memeluk
Rika. Mereka sangat bersyukur dengan rezeki kurniaan Tuhan hari itu.
Di Bawah Naung
Matahari
PAK CIK AKIM seorang penternak ikan di
Kampung Kuala. Ada sebuah tasik buatan
di hujung kampung. Tasik itu luas. Jabatan perikanan telah melepaskan banyak
benih ikan talapia di dalamnya. Bila Kampung Kuala telah maju, tasik itu tidak
digunakan lagi, maka Pak Cik Akim pun beralih menjadi seorang penternak ikan di
tasik tersebut.
Bersama isterinya, Mak Cik Bibi, dia
mendirikan sebuah kedai makan di tepi tasik. Tong-tong dram diikat di
sekeliling kedai itu agar kedai tersebut tidak tenggelam. Orang-orang kampung
menyebutnya sebagai ‘Warung Terapung Pak Akim’.
Warung Terapung Pak Akim itu berupa sebuah
restoran yang menjual pelbagai makanan, nasi berserta lauk-pauknya sekali.
Tasik tetap digunakan untuk memelihara ikan dengan menggunakan jaring-jaring
yang direndam di dalam air. Ikan-ikan peliharaan mahupun hasil tangkapannya
akan dimasak serta disajikan oleh Mak Cik Bibi.
Pelanggan Pak Cik Akim kebanyakannya
pelancong dari jauh. Bila ingin ke Warung Terapung Pak Akim, mereka hanya perlu
memicit punat loceng di pangkalan seberang tasik dan loceng yang ditempatkan di
dalam kedai akan berbunyi. Setelah mendengar bunyi loceng, Seman, pembantu Pak Cik
Akim, akan menjemput mereka dengan sebuah perahu berenjin.
Para pelanggan rasa seronok dapat makan di
Warung Terapung Pak Akim. Mereka boleh menikmati keindahan pemandangan dan
tumbuh-tumbuhan di sepanjang tepian tasik. Juga merasa berdebar ketika berada
di atas perahu diumbang-ambingkan oleh riak air tawar.
Dalam salasilah keluarga, Pak Cik Akim adalah
adik bongsu kepada ibuku. Sehingga hari ini Pak Cik Akim belum dikurniai anak.
Itulah sebabnya, bila cuti sekolah tiba, Pak Cik Akim sering menjemputku ke
rumahnya. Tentu saja untuk diajak bercuti di Warung Terapung Pak Akim itu.
“Hati-hati di sana! Jangan menyusahkan pak
cik kamu, ya!” pesan ibu sewaktu kami mahu berangkat.
Memang tasik itu sangat luas. Kelihatan air
sejauh mata memandang, dengan sempadan-sempadan gunung yang menjulang. Sampan-sampan
kecil nelayan bergerak dan bergoyang-goyang kecil dipermainkan riak air.
“Ayuh, tolong pak cik ambil ikan dalam
tasik,” ujar Pak Cik Akim dari sampan berenjin dua kuasa kuda yang tersangkut
di belakangnya. Mula-mula aku rasa takut. Tetapi Pak Cik Akim mengangkat dan
memasukkan tubuh kecilku di atas sampan. Kurasa mukaku sejuk.
“Hati-hati, bang! Adi kan belum biasa,” ujar Mak
Cik Bibi dari dalam kedai. Pak Cik Akim hanya tertawa.
Sampan itu begitu lincah menyusur membelah
air tasik. Air yang tersimbah di belakangnya seperti ular raksasa yang
kemudiannya lenyap dalam riak. Kami akhirnya tiba di pelampung, iaitu tanda
tempat Pak Cik Akim memasang jaringnya.
Sampan dihentikan dan enjinnya juga matikan.
Tangan-tangan kukuh Pak Cik Akim segera mengangkat jaring. Beberapa ekor ikan
talapia, sebarau, lampam, toman dan sebagainya yang tersangkut pada jaring
kelihatan menggelepar cuba melepaskan diri. Pak Cik Akim segera memegang ikan-ikan
itu dan memasukkannya ke dalam sebuah kotak plastik yang sudah disediakannya.
“Ayuh angkat dan pegang!” ujar Pak Cik Akim.
Aku cuba meniru keberanian Pak Cik Akim
walaupun masih takut. Tetapi lama-lama aku jadi seronok sendiri.
Di sini Pak Cik Akim telah mengajarku banyak
perkara. Dari cara menangkap ikan, membelah, membersihkan sisik, sehingga
kepada cara memasaknya. Aku paling suka menyiang ikan talapia merah.
Rasanya puas sekali ketika mengangkat jaring-jaring
yang sudah dipasang semalam. Jaring-jaring itu kelihatan bergoyangan apabila
ikan-ikan yang tersangkut cuba melepaskan diri masing-masing.
Kemudian kami membawa pulang ikan-ikan itu,
memasaknya dan menyajikannya di Warung Terapung Pak Akim. Yang masih hidup dan
segar kami masukkan ke dalam sebuah tong berisi air.
Di satu sudut pula terdapat beberapa biji tong
yang di dalamnya berisi anak-anak ikan. Kata Pak Cik Akim, itu adalah
benih-benih ikan.
“Anak-anak ikan ini sebagai persediaan untuk
kita lepaskan bila tiba masanya nanti,” kata Pak Cik Akim sambil menaburkan
makanan di dalam tong tersebut. Ribuan anak ikan berebutan menyambutnya. Aku
turut membantu Pak Cik Akim menaburkan makanan untuk anak-anak ikan itu.
Ternyata waktu begitu singkat. Besok
keluargaku akan datang untuk menjemputku kembali ke Kuala Lumpur. Lebih kurang
sepuluh pagi, kereta Proton Exora perak metalik sudah kelihatan sayup-sayup di
tepian tasik. Dari sana ayah, ibu dan adikku melambaikan tangan. Pak Cik Akim
segera bergegas mengambil sampan untuk menjemput mereka.
“Baru beberapa hari di sini kamu dah
kelihatan gemuk. Makan ikan banyak ya?” gurau ayah.
Aku hanya tersengih.
“Cuma agak hitam. Tapi bagus untuk anak
laki-laki,” tambah ibu.
Pak Cik Akim dan Mak Cik Bibi menghidangkan
kami sekeluarga ikan bakar yang sangat harum dan sedap rasanya. Aku sudah
berkali-kali memakan ikan bakar tersebut. Sehingga aku hafal betul
kelazatannya.
“Apa yang paling menarik bagi kamu di sini,”
tanya ayah.
“Menyambut dan menghantar matahari pulang,”
jawabku penuh simbolik.
“Kenapa, di Kuala Lumpur tak ada matahari
ke?” tanya Pak Cik Akim.
“Ada, pak
cik! Tapi terhalang oleh bangunan-bangunan tinggi...”
Bapa dan ibu tertawa kecil dengan
kata-katamu.
“Kamu ajar apa pada dia, Kim? Puisi tentang
kehidupan, ya?” tanya ibu pada Pak Cik Akim sambil tertawa.
Ketika itu matahari begitu indah
menyebarkan cahaya ledangnya di tengah tasik. Warung Terapung Pak Akim bagaikan
tersenyum menyambut cahaya tersebut.
Surat Misteri
SEBAIK pulang dari sekolah, Nia terus masuk
ke dalam biliknya. Di sinilah biasanya Nia belajar dan berehat. Tidak lama
kemudian Puan Zah memanggilnya untuk makan bersama.
“Nia, ada surat untuk kamu!”
“Dari siapa, mak?”
“Tak tahu! Emak ambil dari dalam kotak surat
di depan rumah. Tu, ambil atas almari hadapan.”
Nia beranjak ke ruang tamu. Dia hairan,
siapakah yang telah mengirim surat tersebut? Selama ini dia tidak pernah
menerima surat walau sekalipun. Dipegangnya surat bersampul merah tanpa nama
pengirim itu. Dan mata Nia terus tertuju pada tulisan di sudut kiri sampul
surat yang bertulis: ‘RAHSIA HANYA UNTUK KAMU.’
“Rahsia? Saya tidak pernah ada apa-apa rahsia
dengan orang lain,” gumam Nia di dalam hati.
Setelah makan, Nia tidak sabar membaca surat
yang baru diterimanya itu.
‘Nia... tunggu saya. Saya akan muncul dari sebalik
jendela. Tetapi ingat! Jangan cuba-cuba beritahu emak kamu!’
Begitulah yang tertulis di dalam surat itu.
Terlalu ringkas, tetapi sempat juga membuatkan dada Nia jadi berdegup-degap. Nia
tidak mampu meneka siapa pengirim surat itu dan apa maksudnya.
Apakah surat itu dari kayangan? Dari
pari-pari atau puteri bunian yang cantik jelita yang turun ke bumi untuk
mencari kawan? Apakah dari jin atau syaitan yang sengaja mahu mengganggunya?
Mungkin juga dari ayah atau ibu yang sengaja mahu bergurau dengannya?
Ah, tidak mungkin ayah atau ibu mahu bergurau
begitu? Lagipun, apa yang
mahu diguraukan? Berterus-terang lebih baik dari bergurau cara begini!
Malam itu Nia tidak dapat tidur dengan
nyenyak. Dia benar-benar takut andai ada seseorang yang muncul di hadapannya. Mungkin seseorang yang menakutkan atau
bermuka menyeramkan. Hiii! Ngeri bila membayangkan semua itu.
Tetapi kalau puteri bunian atau pari-pari
yang muncul, cantik juga, fikir Nia. Nia ingin melihat keindahan kayangan
seperti yang pernah dibacanya dalam buku-buku fiksyen. Nia ingin memiliki sayap untuk terbang ke
sana ke mari. Nia mahu tubuhnya tidak dapat dilihat oleh orang lain.
Ah, tetapi itu semua tidak mungkin menjadi
kenyataan, fikir Nia pula. Mana ada orang bunian dalam dunia ini! Mana ada
pari-pari yang akan datang berkawan dengan manusia. Itu semua hanyalah cerita
dongeng orang zaman dahulu. Begitu Nia memutuskan.
Esoknya barulah Nia merasa lega kerana
ternyata apa yang ditakutkannya tidak terjadi. Tetapi Nia tetap bertanya-tanya,
siapakah pengirim surat itu? Dan hari itu... ada lagi surat bersampul merah
terletak di lantai biliknya. Surat dengan sampul dan isi yang sama. Cuma
bezanya surat kali ini dilempar melalui jendela biliknya.
Dengan segera Nia menjenguk keluar jendela
namun dia tidak melihat sesiapa pun di sekitar rumahnya. Apakah surat ini dibawa oleh burung merpati
dari seorang putera raja yang ingin menjadikannya permaisuri? Tetapi, putera
raja mana pula yang telah berkenan dengannya?
Lagipun, zaman sekarang sudah moden. Kenapa
perlu menyuruh burung merpati untuk menghantar surat? Banyak lagi perkhidmatan
penghantaran yang lebih baik dari burung merpati.
Ah, mengarut!!! Tetapi siapakah pengirim
surat ini? Hati Nia semakin kebingungan. Serasa otaknya kian membeku memikirkan surat misteri ini.
“Aneh dan pelik sungguh!!!” bisik hati Nia.
Tepat pukul empat petang, Nia tiba di rumah Alia,
sahabatnya sekali gus jiran terdekatnya.
“Hai, kenapa baru hari ini kamu datang? Dah lama kamu tak datang. Saya ingat kamu dah
lupakan saya,” ujar Alia sewaktu Nia melabuhkan punggungnya di atas kerusi di
ruang tamu rumahnya.
Nia ketawa. “Siapa kata saya telah melupakan
kamu. Sebenarnya saya terlalu sibuk..”
“Hari ini kamu tak sibuk?”
“Sebab itulah saya datang ke rumah kamu?”
“Ada hak yang mustahak?”
“Bukan mustahak tapi misteri..”
“Apa?” Alia terbeliak biji mata.
“Ya, misteri!” balas Nia. “Dua tiga hari
kebelakangan ini saya sering menerima surat misteri,”
“Apa maksud kamu?” Alia sungguh-sungguh ingin
tahu.
“Surat tanpa pengirim, isinya hanya dua tiga
patah perkataan saja. Tanpa alamat pengirim, tanpa setem..”
“Aneh ya, Nia...” kata Alia setelah Nia
menceritakan kejadian itu kepadanya.
“He... eh, semalam saya tak dapat tidur, saya
sangat takut Lia!”
“Kamu tak beritahu ayah dan ibu kamu tentang
surat-surat tu?” tanya Alia.
Nia menggeleng.
“Kenapa?”
“Saya takut ayah dan ibu saya risau,”
“Bagus juga kalau kamu tak beritahu mereka,”
“Maksud kamu?”
“Kalau kamu beritahu mereka, tentu mereka juga
akan risau,”
“Sebab itulah saya tak memberitahu mereka,”
“Tapi, kenapa kamu beritahu saya?”
“Sebab kamu adalah sahabat baik saya,” jawab Nia.
“Ini bermakna kamu memerlukan bantuan saya..”
“Apa yang dapat kamu bantu?” tanya Nia.
Alia diam.
“Saya rasa, kamu pun tak mampu nak buat apa-apa,”
“Ya, saya memang tak mampu nak berbuat
apa-apa,” ujar Alia dengan wajah yang kecewa.
“Habis, apa cadangan kamu?” tanya Nia.
Alia mengeluh panjang.
Ini kali ketiga Nia mendapat surat yang sama.
Nia merasa sangat
jengkel kerana merasa terganggu. Sejak mendapat surat-surat itu perasaan Nia
jadi tidak tenang. Lebih-lebih lagi hari ini, sebaik pulang dari sekolah dia
melihat ada sebuah bungkusan di atas meja belajarnya. Sebuah bungkusan yang
dibalut dengan kertas akhbar berserta tulisan besar di atasnya.
‘HATI-HATI!’
Ah! Ada surat di atasnya. Terus saja Nia
mengoyak sisi kanan sampul surat itu dan segera membaca isinya:
‘Bukalah bungkusan itu. Kejutan ini khusus
untuk kamu. Tapi satu yang harus kamu ingat. Kamu harus hati-hati, benda ini
berbahaya.’
Walaupun hatinya diamuk perasaan takut, Nia
mendekati juga bungkusan itu. Rasa laparnya tiba-tiba saja hilang dan berubah
menjadi gelisah. Perlahan-lahan dia mengoyak kertas akhbar itu dan membuka
kotak tebal di dalamnya.
Ternyata di dalam kotak ada sebuah hadiah
dengan hiasan pita berbunga cantik sehingga kelihatan seperti hadiah yang
mahal. Nia membuka bungkusan dengan hiasan pita itu. Dan...
“Ooooeeeee...”
Suara tangisan bayi memecah keheningan!
Seketika kemudian, setelah sedar dari terkejut,
Nia tersenyum memandang sebuah anak patung cantik di dalam kotak itu. Anak
patung yang sangat manis wajahnya. Patutlah ada suara tangisan bayi. Suis
bateri anak patung bayi itu sengaja diikatkan di penutup kotak. Sewaktu penutup
kotak dibuka, suis pun terpetik dan terdengarlah sebuah tangisan bayi.
Dan lagi-lagi ada surat! Dengan tidak ragu
lagi Nia segera membuka surat itu.
SELAMAT ULANG TAHUN SAHABATKU. Semoga bahagia
selalu.
Dari sahabatmu,
Alia.
“Ah, Alia rupanya selama ini yang menghantar
surat misteri kepadaku. Alia memang suka bergurau!” Nia ketawa lega dan gembira
yang teramat sangat.
Kerana Buah Belimbing
AYAH, ibu, Zian,
dan Nani baru pindah ke rumah baru. Ada tiga perkara yang disukai Zian di
tempat baru itu. Pertama, dia dapat bilik sendiri. Kedua, Zian dapat main pingpong.
Sewaktu barang-barang diturunkan dari lori, tiba-tiba ada seorang budak lelaki
mendekatinya.
“Kenalkan, saya
jiran kamu, Arip! Kalau mahu main pingpong dan catur, kita boleh main di
hadapan balai raya di situ,” budak itu menuding ke arah selatan.
“Saya Zian.
Kebetulan saya memang suka main pingpong,” Zian bersyukur di dalam hati. Tanpa
dicari, kawan baru sudah datang sendiri. Syukur kepada Tuhan.
Ketiga, Zian
paling suka makan buah belimbing. Lebih-lebih lagi yang masak. Nah, di halaman
rumah baru itu, di sebalik pagar, tumbuh pohon belimbing yang sudah berbuah.
Ada tujuh biji buah belimbing yang sudah diidamkan Zian.
Dia membungkus
satu per satu dengan kertas akhbar. Namun, pada hari Ahad, sebaik pulang dari
rumah nenek, ketujuh-tujuh buah belimbing itu lenyap.
“Kurang ajar! Di
sini ada pencuri rupanya,” kata Zian dengan wajah yang marah.
“Sudahlah, bang!
Bungkus saja yang lain. Kan masih ada buahnya yang kecil-kecil,” kata Nani,
adiknya. “Soal belimbing pun dah nak bising,”
Terpaksa Zian
membungkus lagi sembilan biji belimbing dengan kertas akhbar. Sewaktu bermain pingpong
petang itu, Zian menceritakan tentang kehilangan buah belimbing tersebut pada
Arip. “Aah, itu soal kecil. Di kampung ini, belimbing masak sampai jatuh ke
tanah kerana tidak ada yang memetik. Di sepanjang jalan tumbuh pokok-pokok
belimbing,” kata Arip.
“Mana boleh soal
kecil?! Orang yang mengambil hak milik orang lain, itu namanya pencuri. Pencuri
harus dihukum kerana melanggar hukum negara dan agama,” kata Zian dengan nada
tinggi. “Satu batang paku pun, kalau milik orang lain kita ambil, itu tetap mencuri
namanya,”
“Cita-cita kamu
jadi hakim, ya?” tanya Arip sambil tertawa. Dia seperti mendengar sesuatu yang
ganjil. Hati Zian bertambah jengkel.
Ternyata sekali lagi
Zian belum berjaya menikmati buah belimbingnya. Sembilan biji belimbing itupun
lenyap sebelum dipetik. Zian bising lagi.
“Sudahlah, tidak
usah bising. Kalau mahu tangkap pencurinya, abang Zian tunggu saja buah belimbing
tu siang malam,” usul Nani.
“Huh, kali ini saya
akan beri pengajaran pada pencuri tu,” kata Zian bernada kesal.
Zian membungkus
empat biji buah belimbing dan menggantungkan sekeping kertas tebal yang ditulis
dengan kata-kata: ‘YANG MENCURI BELIMBING: TAK SEDAR DIRI.’
Seminggu kemudian
keempat-empat biji buah belimbing itu lenyap. Dan di kertas tebal tersebut ada
tulisan: ‘PEMILIK BELIMBING: TAK SEDAR DIRI JUGA.’
Waaah, Zian
benar-benar menyinga. Masakan tidak, sudah tiga kali membungkus belimbing, belum
sebijipun dapat dimakannya.
“Sudahlah abang Zian,
nanti pencurinya akan jemu juga. Kalau mahu makan belimbing, minta saja ibu
beli di supermarket,” ujar Nani.
“Aaaah, saya mahu
makan buah belimbing ini juga,” tegas Zian.
Sekarang Zian
menuliskan di kertas tebal: ‘MENCURI ITU PERBUATAN TERCELA. MINTA SAJA, PASTI
DIBERI’. Zian membungkus lagi enam biji buah belimbing.
Ketika buah itu
hampir mahu dipetik, yang hilang tiga biji. Ada tulisan di
kertas tebal: ‘MAAFKAN, INI UNTUK ORANG SAKIT.’
Nah, akhirnya Zian
berjaya memakan buah belimbingnya buat pertama kali.
“Bang, hubungan
dengan si pencuri tu sudah selesai kan!” kata Nani ketika melihat Zian makan
belimbing tersebut berselera sekali.
“Belum,
saya masih mahu berkenalan dengan si pencuri itu. Tetapi saya ikhlas, kerana
katanya belimbing itu untuk orang sakit. Mungkin juga ada orang yang sakit
darah tinggi dan tidak mampu beli belimbing,” kata Zian.
Zian kembali
membungkus tujuh biji buah belimbing dan menulis: ‘SILAKAN AMBIL SEPUASNYA.
SUDAH DIMAAFKAN. BILA PERLU BANTUAN LAIN BERITAHU SAJA.’
Beberapa hari
kemudian belimbing itu tidak hilang, tetapi ada tulisan: ‘SAYA INSAF. YANG
SUDAH SAYA CURI AKAN SAYA BAYAR (23 BIJI). HARI AHAD PETANG SAYA DATANG.’
Hati Zian
berdebar-debar. Siapakah pencurinya? Budak-budak? Orang tua? Tetapi, Zian bertekad
tidak akan menerima wang pembayaran untuk buah belimbing itu. Si pencuri sudah
insaf, cukuplah itu!
Hari Ahad petang,
pintu rumah diketuk. Zian meluru ke luar. Ingin sekali dia melihat wajah si
pencuri.
“Eh, Arip! Masuklah!
Nak ajak saya main pingpong ke?” tanya Zian sambil membuka pintu.
Disangkanya si
pencuri, malah Arip yang datang. Arip duduk dan tersenyum.
“Belimbing kamu
sudah tidak hilang lagi, ya!” kata Arip. Zian mengerutkan kening. Arip
tahu? Tetapi Zian tidak cerita soal belimbing itu kepada Arip sejak Arip
berkata itu adalah soal kecil.
“Zian, saya minta
maaf. Selama ini saya yang mengambil belimbing kamu untuk Mak Ida. Jiran kita
itu kan sakit darah tinggi. Saya akan bayar kesalahan saya. Hukum saja saya. Suruh
saya sapu sampah, bersihkan basikal kamu atau apa saja,”
Zian terperanjat.
“Sudahlah, kamu saya maafkan. Tetapi apa yang membuatkan kamu insaf?” tanya
Zian.
Arip menghela nafas. “Selama ini saya fikir mencuri belimbing tidak
apa-apa. Mencuri ayam dan barang-barang berharga saja yang tidak boleh. Tetapi
kamu telah mengajar saya. Apa yang jadi milik orang lain, walaupun sebatang paku,
tetap tidak boleh kita ambil. Sejak itu saya mulai berfikir, mungkin selama ini
saya salah. Lebih-lebih lagi kamu tulis bahawa lebih baik minta daripada mencuri.
Ya, kalau minta kita akan dapat, untuk apa mencuri? Kalau kita boleh jadi orang
baik, mengapa harus jadi orang jahat?”
Zian terdiam. Rasa
hangat mengalir di hatinya.
“Sudahlah, Rip!
Jum, kita bungkus belimbing-belimbing kita,” kata Zian, lalu bergegas mengambil
kertas akhbar.
Hantu Pokok Macang
SEMUA orang di rumahku sudah tahu, aku mudah
sekali takut pada hal yang bukan-bukan. Misalnya pada anjing, atau pada kucing
jiranku. Bahkan bila ada tetamu tidak dikenali melangkah masuk ke dalam rumahku,
aku berlari mencari emak sambil menjerit, “Emak... ada orang asing datang!”
jantungku kemudian akan berdebar kencang, peluh sejuk segera keluar membasahi
badanku.
Anehnya... kejadian demi kejadian berterusan
tanpa aku mampu memahami mengapa aku menjadi seorang yang penakut. Abangku pun
gemar mengejekku dengan kata-kata, “Alip penakut... Alip penakut... ”
Bagaimana dengan cerita-cerita seram, filem
hantu, pontianak? Jangan ditanya! Memang aku tidak mahu lihat. Aku terlalu
takut melihat wajah hantu yang amat menyeramkan itu. Aku rasa, hantu-hantu itu
akan datang mengganggu tidurku. Terbayang-bayang di ruang mataku sambil
menyeringai memperlihatkan gigi yang berlelehan dengan darah.
Sungguh, aku tidak berani menonton
cerita-cerita begitu. Padahal kata Ustazah Alia, guru mengajiku, “Bila kamu
yakin akan kewujudan Allah yang Maha Perkasa, semua rasa takut tentu tidak akan
mengusik hati kita. Hati kita tidak akan berasa takut! Bahkan ada manusia terpilih
yang dapat mengalahkan ketakutan mereka seperti yang terjadi kepada Nabi
Sulaiman.”
Sejak itu aku sering menghadiri pengajian
Ustazah Alia di masjid dekat rumahku. Aku tidak peduli pada cerita abangku
tentang hantu yang selalu berdiri di bawah pokok macang di tepi rumah kami.
Ya... abangku Adi, sering berkata bahawa di
atas pokok macang itu ada penunggunya. Wajahnya sungguh menakutkan, berkepala
botak, bertubuh tinggi besar kira-kira empat meter. Katanya, si penunggu itu
akan menyeringai bila budak-budak memanjat pokok itu, mematahkan ranting-ranting
atau mengambil buah macang yang belum ranum.
“Abang fikir Alip takut dengan cerita-cerita
karut abang tu!” bentakku pada abang Adi. Tetapi aku hairan juga memikirkan
mengapa budak kecil seperti abang Adi sudah mampu berkhayal tentang hantu yang
tinggi besar dan menakutkan. Apakah abang Adi benar-benar pernah melihat hantu
di pokok macang itu? Atau dia hanya ingin menakut-nakutkan aku saja?
“Betul, Alip! Sudah berkali-kali abang lihat
hantu di pokok macang tu bertenggek di atas dahan yang berada atas bilik Alip,”
cerita abangku suatu hari.
“Laa, kenapa hantu tu tak ajak abang bermain?”
ujarku sambil ketawa sinis.
“Hantu tu memang sering turun dari pokok macang.
Dia selalu mengelilingi rumah, dan dia seperti tak suka jika rumah berselerak.
Sebab itulah bilik abang bersih selalu. Seram ooo, tengok muka hantu tu!”
ujarnya dengan riak wajah yang beria-ria benar.
Aku mendadak ketawa geli mendengar cerita
abang Adi.
Petang yang agak mendung, membuatku berasa resah.
Musim hujan sudah tiba rupanya. Air hujan sering membasahi halaman rumahku,
sehingga udara di bawah pokok macang agak lembab. Harum buah macang yang sudah
masak sering memasuki bilikku. Aroma yang memang disukai abangku, tetapi aku
tidak begitu menyukainya.
Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Hujan mulai
turun rintik-rintik, menambahkan kesejukan suhu bilikku. Seketika kemudian
telefon di ruang tengah berdering, bergegas aku mengangkatnya.
“Hallo sayang, ini emak... emak dan ayah tak
dapat pulang petang ni. Nenek kamu sekarang sedang dirawat di wad kecemasan...
”
Wah, macam mana ni, fikirku. Kedua-dua orang
tuaku belum tentu pulang malam ini. Hatiku menjadi gelisah, kerana malam ini
adalah malam Jumaat. Orang kata, pada malam Jumaat, hantu syaitan suka berkeliaran.
Argh, rasa takutku mulai datang lagi.
Malam semakin larut, jam menunjukkan pukul 11.00.
Emak dan ayah belum juga pulang. Aku dan abang Adi masih belum tidur. Kerana
bosan menunggu, akhirnya abang Adi membuka televisyen. Aku membaca buku di dalam
bilik. Tiba-tiba... elektrik terputus. Semua lampu terpadam. Keadaan dalam
rumah menjadi gelap gelemat.
Abang Adi menjerit memanggilku, akupun tidak
kalah kuatnya menjerit memanggil abang Adi. Kami saling panggil memanggil
kerana amat takut pada kegelapan.
Nasib baiklah aku segera sedar! Kenapa aku harus
takut pada kegelapan? Bukannya ada apa-apa yang harus ditakutkan!
Tiba-tiba aku teringat pada hantu pokok macang
di tepi rumah. Apakah dia akan muncul di dalam rumah kami. Tidak terasa peluh
sejuk mengalir di sekujur tubuhku.
“Cepat Alip, kita cari lilin!!!” desak abang Adi
setelah kami bertemu.
Brak brak...
“Aduh!” tiba-tiba beberapa buah buku menimpa abang
Adi. Abangku mengaduh kesakitan.
“Aduh Alip... tolong! Kepala abang sakit...
berdarah Alip! Berdarah, tolong!”
“Sabar bang, ya... ya... Alip akan tolong!!!!”
Aku meraba-raba dinding rumah mencari mancis
api. Dan tentu saja aku harus mencari kotak ubat kerana luka abang Adi harus
diubati. Tidak lama kemudian lampu pun menyala semula.
Aku berasa amat lega! Bergegas kuhampiri abang
Adi. Buku-buku kelihatan bertabur di sisi abang Adi, sementara dia duduk
bersimpuh kesakitan di atas lantai. Kuamati dia dengan teliti.
“Mana luka abang? Mana darahnya?” Aku
mencari-cari darah di tubuh abang Adi. Ah... ternyata tidak ada darah setitis pun
yang keluar. Tidak ada segores luka pun pada tubuhnya. Abang Adi meraba-raba
dahinya yang basah akibat kena titisan air hujan.
“Eh, bocor... atap rumah kita bocor
rupanya!!!” ujar abang Adi.
Kami ketawa terbahak-bahak. Tiba-tiba... tup!
Lampu padam kembali, dengan segera kupeluk abang Adi.
“Ayuh abang, kita masuk bilik saja. Kita tidur
saja... ” ujarku.
Teraba-raba kami berdua mencari bilik tidur.
Hujan di luar rumah semakin lebat. Tiupan angin malam yang menggerakkan daun macang
terdengar jelas di telingaku. Dahan-dahan macang itu berada tepat di atas atap
bilikku. Seer... seer, bunyi daun-daun macang bergeser dengan atap. Kami
terbayangkan hantu pokok macang.
Tiba-tiba terdengar benda terjerembab jatuh
di sisi katil kami. Hii... iihh! Kupejamkan mataku. Kututup telingaku dengan
bantal, kuraih tubuh abangku, kukuatkan dakapan kami. Detak jantung kami
berdegup cepat sekali. Akhirnya kami tertidur.
Keesokkan harinya aku terjaga dari tidur, jam
dinding berdenting enam kali. Segera kukejutkan abang Adi.
“Bang Adi.. ayuh bangun, kita harus pergi ke
sekolah! Ayuh cepat, nanti lambat... ”
“Eh, Alip! Malam tadi kita pakai selimut ini
ke?” tanya abang Adi kehairanan, sambil membukakan selimut tebal yang
menyelimuti tubuh kami berdua.
“Alip rasa tidak... kan ini selimut emak.
Mengapa ada di sini?”
Segera aku berlari keluar bilik. Ha!? Orang tuaku
masih belum pulang. Kunci bilik tidur mereka masih terletak di atas almari hias
di ruang tamu. Aku kehairanan. Abang Adi pun begitu juga.
“Kalau begitu, siapa yang selimutkan kita agaknya
ya?” abang Adi bertanya.
Aku memandang wajah abang Adi, kami saling
berpandangan. Lalu serentak kami menjerit sambil berlari keluar rumah.
“Hantuuuu!!!”
“Eit, eiit... apa hal kamu berdua ni?” tiba-tiba
ibuku datang dari arah dapur. Ketika itu juga aku berasa lega. Lega sekali.
Akui Kesalahan
IMAN berdiri di ruang makan. Sebentar dia menjenguk ke ruang kerja
ayahnya. Di ruangan itu tersimpan buku-buku koleksi ayahnya. Ruangan itu
dialasi tikar mengkuang. Sangat cantik dan tenang. Iman dan Adi sanggup
berlama-lama membaca di situ. Ibu mereka, Puan Masni, seorang guru, juga sering
menggunakan tempat itu untuk memeriksa kerja sekolah murid-muridnya.
Sekarang ini lampu ruangan itu telah terbakar.
Ayah mereka iaitu Encik Zaihan belum sempat menggantikannya dengan lampu baru.
Dapatlah Iman mengambilnya sekali lagi. Namun dia tidak mampu melihat dengan
jelas kerana ruangan itu agak gelap.
Petang itu tidak ada seorangpun di rumah
kecuali Iman. Encik Zaihan dan Puan Masni menghantar Adi ke klinik doktor gigi.
Iman mulai gelisah. Dia ingin sekali masuk ke ruangan itu. Tiba-tiba dia
dikejutkan oleh deringan telefon. Ternyata dari Dani, rakan sekelasnya.
“Kalau kamu tak jumpa juga, bererti kamu
ingkar janji. Kamu pengecut!” kata Dani dengan suara yang garang.
“Tapi Dani...” jawab Iman sedikit gugup.
Belum sempat Iman menyelesaikan kata-katanya,
telefon sudah diletakkan Dani. Lalu Iman berjalan menuju ruang belajar. Besok
ibunya akan memberi soalan ulangkaji matematik. Di ruang itulah biasanya ibunya
menyediakan soalan-soalan ulangkaji.
Perlahan-lahan dibukanya pintu ruangan itu.
Sinar lampu dari ruang makan menerobos masuk ke ruang tersebut.
“Itu dia!” ujar Iman gembira. Sebuah buku
terletak di atas meja. Kelihatan ada sehelai kertas terselit di dalamnya. Iman
sedar benar bahawa menyebarkan soalan sebelum peperiksaan adalah perbuatan yang
salah. Namun ejekan Dani terngiang-ngiang di telinganya.
Iman menarik nafas panjang dan berkata pada
dirinya sendiri, “Aku bukan pengecut. Aku harus mengambilnya!”
Dengan perasaan yang gementar, diambilnya
kertas itu dari atas meja. Lega rasanya sebaik melihat kertas itu benar-benar
soalan ulangkaji matematik. Namun rasa takut kembali muncul di hatinya.
“Pengecut, pengecut!” Mengingatkan kata-kata Dani itu, Iman menjadi nekad
membawa kertas itu keluar. Secepat kilat dia lari ke ruang tamu untuk menelefon
Dani.
“Hebat!” jerit Dani. Iman terus membacakan
soalan matematik itu dan Dani segera mencatatnya.
“Terima kasih, Iman. Besok aku belanja kamu ais
krim Connetto ya!” ujar Dani riang.
Iman tertegun sejenak. Sejurus kemudian dia
bergegas ke ruang belajar dan menyimpan kembali kertas soalan tersebut.
Baru saja Iman hendak menutup pintu ruang
belajar, terdengar suara kereta ayahnya di hadapan rumah. “Hmmm, nasib baik dah
selesai,” gumamnya perlahan-lahan.
Keesokan harinya ujian ulangkaji matematik
berlangsung seperti yang dijadualkan.
“Dasar malas belajar... mahu lulus secara
kotor!!” gumam Iman dalam hati.
Dani berjaya menyelesaikan soalan ulangkaji
itu dalam waktu dua puluh minit. Sewaktu dia menyerahkan kertas jawapan, semua
pelajar memandang dengan wajah kehairanan dan kekaguman kepadanya. Iman
tersenyum dan Dani membalas dengan mengejipkan sebelah matanya.
“Kamu adalah sahabatku yang paling baik di
dunia ini!” ujar Dani ketika mereka menikmati ais krim Connetto di bawah pokok
hadapan sekolah.
Iman tersenyum tersipu-sipu.
Petang harinya, ketika Iman pulang ke
rumah, tiba-tiba ibunya bersuara, “Iman, ibu ada satu kejutan untuk kamu!”
“Wow, chicken pie ye!”
jerit Iman. “Terima kasih, bu!” ujarnya lagi.
Ketika makan malam tiba, dengan bangga Puan Masni menceritakan
kehebatan Iman.
“Bang, Iman dapat markah
matematik paling tinggi di kelas!” ujar Puan Masni.
“Wah hebat! Kalau rajin belajar pasti pandai dan wajar dapat hadiah
istimewa!” tambah Encik Zaihan.
“Saya juga mahu kasi hadiah untuk abang Iman. Tapi rahsia!” ujar
Adi.
Iman menutup mulut dengan tangannya. Alisnya sedikit terangkat. Dia menjadi salah
tingkah. Dia malu dan merasa sangat bersalah. Iman akhirnya menunduk dan
berkata lirih, “Maaf, bu! Saya telah membaca soalan ujian ulangkaji matematik
itu malam tadi, sebab itu saya dapat jawab semua soalan tu!” air mata
menggenang di pelupuk matanya.
Puan Masni segera memeluknya dengan lembut
sambil berkata, “Hmm, ibu gembira kerana akhirnya kamu mengaku juga kesalahan.
Tapi mengapa kamu lakukan itu? Siapa yang suruh?” desaknya lembut.
“Dani ugut saya, bu.. ta... tapi.. saya pun
baca juga soalan tu! Saya malu kalau anak seorang guru matematik tak dapat
jawab soalan matematik…” ujar Iman dengan lirih, tetapi tetap menunduk.
“Kamu sebenarnya rasa serba salah jadi anak
seorang guru, ya?” Puan Masni terus menyelidik secara halus.
“Mmm... sebetulnya kalau saya jujur, hal ini
tak akan terjadi, bu!” jawab Iman berterus-terang.
Puan Masni tersenyum mendengar jawapan
anaknya itu. “Sebenarnya ibu curiga sejak malam tadi lagi. Kamu tak menyelitkan
kembali soalan ujian matematik itu di halaman yang betul,” jelas Puan Masni.
“Dan ibu tambah curiga melihat gerak-geri Dani ketika menyerahkan kertas
jawapan. Dani bukannya seorang murid yang pandai dalam matematik tapi dia dapat
jawab semua soalan ibu. Tapi sudahlah, kamu kan dah mengakui kesalahan kamu,”
tambahnya lagi.
“Jadi, sebetulnya ibu dah tahu sejak malam
tadi lagi?” Iman kehairanan.
Puan Masni tersenyum seraya mengangguk.
“Laa... kenapa abang Iman tak
langsung kena marah, bu?” tanya Adi.
Encik Zaihan tertawa sambil menarik-narik
rambut Adi, “Kamu tu paling suka kalau abang kamu dihukum ye!”
“Menghukum seseorang itu tak harus selalu
dengan marah-marah!” Puan Masni menjelaskan.
“Bu, lebih baik saya dimarah habis-habisan
daripada diperlakukan dengan baik begini,” ujar Iman.
”Yang penting kamu dah mengaku segala kesalahan
kamu dan berjanji tak akan ulangi lagi kesalahan tu,” tegas Puan Masni. ”Er,
kamu juga mesti jujur pada diri sendiri. Belajar rajin-rajin, usaha
bersungguh-sungguh dalam matematik. Ibu pasti kamu akan berjaya,”
Iman mengangguk-angguk. ”Saya berjanji, bu!
Saya akan selalu jujur dan belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam
matematik. Saya akan buktikan yang saya adalah anak seorang guru matematik yang
hebat,”
Puan Masni tersenyum bangga dengan janji anaknya
itu.
“Ayah rasa bangga dengan kamu kerana kamu nak
mengaku segala kesalahan yang kamu dah lakukan,” balas pula Encik Zaihan sambil
tertawa.
Iman menghela nafasnya. Tiba-tiba Encik
Zaihan berkata lagi, “Adi, sini chicken
pie-nya. Ayah habiskan saja ye!”
Adi dan Iman serentak berlari menuju meja
makan Encik Zaihan, dan menjerit, “Jangan ayah!!”
Encik Zaihan dan Puan Masni tertawa melihat
tingkah laku kedua-dua anak mereka itu.
Sebungkus Dua Ringgit
PERSEKOLAHAN untuk
hari itu tamat. Aiman, Mira, dan Ina melangkah sepanjang jalan menuju rumah
masing-masing. Mereka melintas sisi timur sebuah halaman luas. Di situ ada
warung Mekar Indah, menjual bubur kacang hijau yang terkenal sedap. Semangkuk
bubur harganya dua ringgit setengah.
Dimakan
panas-panas rasanya sungguh sedap sekali. Ditaburi pulut pun rasanya sedap
juga. Yang penting,
dimakan! Begitu yang bersarang di kepala murid-murid tahun enam Sekolah
Kebangsaan Kodiang itu.
“Nanti, bubur kacangnya dibungkus saja
lalu dimakan di rumah saya. Saya mahu beli dua bungkus. Sebungkus untuk ibu
saya,” kata Ina sambil tersenyum.
Hi.. hi… hi… dua bungkus?
Setengah bungkus pun tak boleh. Sebab warung Mekar Indah itu tutup. Aiman, Mira,
dan Ina ketawa mengekek. Sejurus kemudian masing-masing pulang dengan langkah
panjang yang penuh dengan kehampaan.
Sampai di rumah, Ina melihat ibunya
iaitu Mak Ipah sedang berbaring di atas katil. Mak Ipah tidak
berapa sihat. “Sudah pulang, Ina?” sapa Mak Ipah.
“Sudah, mak!”
jawab Ina. “Sebenarnya Ina mahu belikan emak bubur kacang di Mekar Indah tadi.
Tapi tutup pula,” tambahnya lagi lalu duduk di birai katil ibunya.
“Oh ya? Kalau tak
sedap badan begini, memang mahu makan makanan yang berkuah. Tu di dapur ada bahan untuk membuat
bubur kacang. Emak belum sempat membuatnya,” suara Mak Ipah jelas parau.
“Oh ya? Ina boleh membuatnya, kan!”
ujar Ina tiba-tiba, lantas tertawa.
“Tentu saja!”
balas Mak Ipah cepat sambil mengacungkan ibu jari tangannya.
Selesai makan dan
solat, Ina pergi ke dapur. Telah ada rendaman kacang hijau dalam sebuah
mangkuk. Apa yang perlu dilakukan oleh Ina ialah menyalakan api dapur dan meletakkan
periuk di atasnya.
Sambil menunggu
kacang hijau empuk, Ina memarut kelapa. Srek srut srek srut… bunyinya. Setelah selesai, Ina
memerahnya dan jadilah santan. Kemudian apa, ya? Ina menepuk dahinya seperti
teringat sesuatu. Lalu bergegas mencuci dan menumbuk sedikit halia dan daun
pandan.
Sebaik kacang
hijau empuk, Ina memasukkan gula merah ke dalam periuk. Campur juga halia dan
daun pandan. Akhir sekali dia memasukkan semangkuk besar santan. Begitulah cara
ibunya membuat bubur kacang hijau, yang ditiru Ina.
“Lebih enak dari
bubur kacang Mekar Indah, laaa!” ujar Mak Ipah di ruang tengah. Lidahnya
berdecap menikmati bubur kacang yang dihidangkan oleh Ina.
“Ah,” sudu Ina
terhenti di udara. “Emak perli Ina agaknya,” sambungnya sambil menahan tawa.
“Betul, emak tak perli kamu!” ujar Mak Ipah.
“Kalau benar, bagaimana kalau saya suruh
Aiman dan Mira rasa bubur kacang ni? Untuk promosi,” ujar Ina. Senyumnya
merekah.
“Boleh! Asal jangan lupa simpan
semangkuk untuk ayah kamu,” ujar Mak Ipah.
“Tentu!” sahut Ina
sambil tersenyum.
Sepuluh minit
kemudian, Ina sudah berada di jalan hadapan. Rumah Ina, Aiman, dan Mira saling
berdampingan. Kebetulan Aiman dan Mira sedang santai di beranda rumah
masing-masing. Ina melambaikan tangan. Kedua-dua rakan sekelasnya bergegas
mendekat.
“Saya bawa bubur kacang hijau untuk
kamu,” kata Ina sebaik Aiman dan Mira berada di hadapannya. Tangannya terangkat
ke udara sambil menggoyang-goyang dua bungkus bubur kacang hijau dalam plastik
kecil. Satu bungkus berisi sekitar dua senduk. “Harganya seringgit saja,” katanya
sambil ketawa.
“Boleh juga,”
sahut Aiman dan Mira serentak, sambil menggapai plastik di tangan Ina.
“Wow, masih
panas!” sambung Mira.
“Beli di mana ni?”
tanya Aiman.
“Di dapur rumah saya,”
jawab Ina jujur.
“Jadi kamu curi
bubur kacang emak kamu, ya? Lalu dijual pada kami!” cetus Mira bersahaja.
Disambut ketawa Aiman dan Ina.
“Kalau sedap
cakap!!!!” cetus Ina disela tawa. “Saya tak minta bayaran, laaa!”
“Tadi kata kamu,
harganya seringgit,” ujar Mira.
Ina tersenyum,
“Hari ni percuma. Selepas ni, mesti bayar kalau mahu makan,” ujarnya bersahaja.
Hari ini, seperti
biasa Aiman dan Mira menunggu Ina di jalan hadapan untuk berangkat ke sekolah. Ina
muncul dari pintu rumahnya, menenteng sebuah bekas plastik. “Bawa apa, tu?”
tanya Aiman dan Mira.
“Bubur kacang. Dua
ringgit satu bungkus!” jawab Ina. Dan memperlihatkan isi bekas plastik tersebut
kepada kedua-dua rakannya.
“Ooo!” cetus Aiman
dan Mira seperti terkejut. Lalu tawa mereka pecah.
“Apa yang lucu?”
tanya Ina kehairanan.
“Ah, tak ada
apa-apa,” ujar Aiman dan Mira.
Tibalah mereka di
sekolah.
“Bubur kacang
hijau! Bubur kacang hijau! Siapa mahu beli, angkat tangan!”
Mira
menjerit-jerit di hadapan kelas. “Rasanya sedap, nikmat, dan berkhasiat!” sambungnya
sambil tercengar-cengir kala melihat Ina mengacungkan penumbuknya.
“Ni, penjualnya!” Aiman
menepuk-nepuk bahu Ina.
Sebaik Ina duduk,
rakan-rakan segera mengelilinginya. Tidak hanya mengelilinginya, mereka membeli
bubur kacang yang dibawanya. Wow, ternyata jualan Ina sungguh laris!
“Sedap… seperti di
warung Mekar Indah,” ujar Iman, salah seorang rakannya.
“Cukup lemak cukup manis,” tambah Udin.
“Ini buatan Ina
sendiri... laaaa!” kata Aiman mempromosi.
“Memang sedap dan kamu ada bakat jadi
seorang peniaga bubur kacang!” balas Maliki. Disambut ketawa
rakan-rakan yang lainnya.
Sejak itu Ina mendapat
gelaran ‘Tokoh Korporat’. Hi.. hi.. hi… Ina ketawa dalam hati. Malahan Aiman
dan Mira juga telah mengikut jejaknya. Aiman membawa kerepek ubi kayu. Mira
membawa kacang kuda rebus. Akhirnya, kedua-duanya juga mendapat gelaran ‘Tokoh
Korporat.’
Namun aktiviti menjual begitu tidak
lama berlangsung. Pihak kantin sekolah telah membuat bantahan kepada guru
besar. Akhirnya Ina, Aiman dan Mira tidak berani lagi hendak berniaga di dalam
kawasan sekolah.
“Tak apalah, Ina! Rezeki yang emak
dapat pun dah cukup untuk hidup kita berdua,” ujar Mak Ipah cuba memujuk Ina.
Ina tersenyum redha.
Basikal Biru
AZIM tidak memahami fikiran ayahnya. Setahu
Azim, ayah amat sayang padanya dan juga adiknya, Tika. Dan kewangan ayah juga
mencukupi. Ayah seorang pengurus! Dan ibu mempunyai sebuah salon kecantikan di sisi rumah. Tetapi, sudah dua kali Azim
minta hadiah. Dan kedua-dua permintaan itu tidak tertunai.
Pertama, Azim minta basikal warna biru.
Sedangkan sahabatnya, Adam dan Fendi, baru dibelikan basikal oleh ibu bapa
mereka.
“Nantilah, Zim! Lebih baik kamu tumpukan fikiran
kepada ujian akhir tahun yang akan tiba tak lama lagi!” kata Encik Fuad, ayah
Azim.
“Basikal tu sangat perlu untuk pergi ke rumah
rakan bila mahu belajar bersama!” ujar Azim. Namun, Encik Fuad tetap dengan
pendiriannya.
“Ya, kali ini saya cuma minta akuarium kecil
dengan beberapa ekor ikan hiasan! Kalau dah letih belajar, saya boleh memandang
ikan-ikan yang cantik tu. Mata akan jadi segar. Fikiran akan jadi lapang,”
“Kalau ini pasti ayah akan kabulkan. Tapi
tidak sekarang. Nanti kalau kamu sudah lulus peperiksaan hujung tahun nanti,
baru ayah belikan untuk kamu!” kata Encik Fuad.
Azim kesal. Pelik tetapi benar. Ayah sudah
jadi kedekut. Azim menceritakan hal ini kepada adiknya. Tika berkata, “Abang
Azim ini yang pelik. Bukan ulang tahun, bukan hari raya, belum lulus periksa,
dah minta dibelikan hadiah?”
Akhirnya Azim tidak mempersoalkan hal itu
lagi. Cuma, dia menampalkan gambar basikal warna biru dan sebuah akuarium
dengan ikan hiasan di pintu biliknya.
Ketika melihat gambar-gambar itu, ibunya Puan
Shida tertawa dan berkata, “Ini kempen atau alat untuk mengingatkan ayah kamu?”
“Terserahlah. Tak dapat pun tak apa. Lihat
gambar saja dah puas!” jawab Azim bersahaja.
Hari demi hari berlalu. Azim sibuk sekolah
dan belajar. Hari peperiksaan
hujung tahun yang menegangkan pun berlalu. “Sehari selepas pengumuman peperiksaan, kita
buat acara di pantai. Naik basikal saja biar tenang sikit fikiran!” kata Fendi
bersemangat.
“Kalau yang tak ada basikal, bagaimana?”
tanya Azim.
“Aah, itu mudah. Kamu boleh membonceng di
belakang basikal Adam atau aku!” jawab Fendi.
“Aku akan pinjam basikal kakakku!” kata Lina.
“Kamu minta saja dibelikan basikal. Ayahku
akan memberikan potongan besar bila kamu membelinya di kedai basikal kami!”
kata Edi.
Di rumah, Azim menuliskan atas kertas putih
di bawah gambar basikal di pintu biliknya. ‘BELI
BASIKAL DI KEDAI AYAH EDI, POTONGAN HARGANYA BESAR.’
Akhirnya tibalah hari yang dinantikan. Di
sekolah semua murid berkumpul di hadapan papan kenyataan.
“Tahniah Azim, kamu dapat 5A!” kata Cikgu
Sulaiman, Guru Besar Sekolah.
Rakan-rakan yang lain terus menyalami Azim. Anita, dapat 4A1B dan Radian, 3A2B juga
mendapat ucapan tahniah. Azim segera menelefon ibunya, memberitakan khabar
gembira itu. Sekali gus meminta izin pergi ke majlis kesyukuran di rumah Edi.
Di sana mereka akan membincangkan lagi soal acara dengan basikal besok.
“Kalau begitu, tunggu sebentar di sekolah
sampai ibu datang. Ayah dan ibu ada hadiah untuk kamu!” pesan Puan Shida.
Lalu Azim pun menunggu dengan perasaan yang
gelisah. Apakah dia akan dibelikan sebuah basikal? Atau akuarium seperti yang
dijanjikan ayahnya dulu?
Tidak lama kemudian kereta Puan Shida tiba di
hadapan pintu gerbang sekolah. Puan Shida menyalami dan memeluk Azim. “Ibu dan
ayah bangga kerana kamu mendapat 5A!” kata Puan Shida, lalu menyerahkan sebuah
bungkusan.
Breeet! Breeet! Azim segera membuka bungkusan
itu. Puan Shida melihat sambil tersenyum. Namun, wajah Azim segera berubah
ketika melihat isinya. Sebuah buku berbahasa Inggeris serta sekeping CD di
dalam bungkusan plastik.
“Terima kasih, bu! Tolong bawa pulang saja.
Azim mahu ke rumah Edi!” kata Azim dengan perasaan yang sungguh kecewa.
“Tak mahu lihat dulu isinya, Zim?” tanya Puan
Shida.
Azim menggeleng. “Nanti malam saja akan Azim
lihat buku tu!” kata Azim.
Puan Shida menggeleng-gelengkan kepala, masuk
ke dalam kereta dan terus pulang.
Di rumah Edi suasana sangat meriah. Ibu Edi
sudah menyediakan berbagai hidangan. Azim memandang basikal-basikal yang
berjajar di ruangan kedai di hadapan rumah Edi. Oooh, walaupun sudah dapat 5A,
ternyata memiliki basikal warna biru masih belum menjadi kenyataan.
Setelah makan, mereka berbincang soal acara
dengan basikal. Beberapa orang
rakannya dibelikan basikal oleh ibu bapa masing-masing dari kedai Edi. Azim
diam saja. Pelik rasanya. Mereka yang tidak dapat 5A pun dapat hadiah basikal,
sedangkan dia hanya dapat sebuah buku berbahasa Inggeris dengan sekeping CD.
Ayah Edi yang masuk ke ruangan itu, sekilas memerhatikan rakan-rakan anaknya
itu.
“Zim, kenapa murung ni? Kamu kan dapat 5A.
Kalau kurang suka dengan basikal warna biru yang dibelikan ayah kamu, boleh
tukar dengan warna lain. Boleh juga ganti model. Tinggal tambah wang sedikit,
atau dikurangi sedikit saja!” kata ayah Edi.
Azim tersentak bagaikan disambar petir.
Ayahnya telah membelikannya basikal warna biru?
“Oooh ...eh... tak, pak cik! Terima kasih,
saya memang suka basikal warna biru!” jawab Azim.
“Kamu ni bagaimana? Ada basikal baru pun nak
membonceng lagi. Sayang ya, sama basikal barunya?” tegur Lina.
Azim menggeleng-gelengkan kepala. Dia terus
minta diri untuk pulang.
Di dalam hati, waktu terasa amat lambat
berlalu. Ingin rasanya Azim terbang ke rumah. Setiba di rumah, Azim melihat
hadiahnya ada di atas meja di ruang tamu. Azim membuka plastik bungkusan dan
mengeluarkan buku berbahasa Inggeris dan CD-nya. Terselit di halaman buku itu dua
helai resit pembelian basikal dan akuarium.
Azim segera berlari ke salon kecantikan di
sisi rumah.
“Ibuuu, terima kasih atas hadiahnya. Banyak
sekali?” Azim meluru dan memeluk Puan Shida! “Ibu, maaf ya, sikap Azim tadi telah
melukakan hati ibu!”
“Tiada maaf bagimu. Ha, ha, ha!” jawab Puan
Shida sambil tertawa. “Semua hadiah ada dalam stor! Kamu dah bersusah payah
untuk dapat 5A, kan?”
Azim segera menelefon ayahnya dan mengucapkan
terima kasih. Lalu menelefon pula Fendi dan Adam untuk memberitahu berita
gembira itu. Ow, indahnya hari itu!
Bakso Mak Cik Enot
BAKSO Mak Cik Enot memang sedap. Tidak hairan
kalau pelanggannya ramai. Biasanya mereka saling mengajak rakan-rakan. Dan
kalau sudah merasa bakso Mak Cik Enot yang sedap itu, dijamin pasti datang lagi
untuk kali kedua.
Rasa sedap itu bukanlah alasan utama Akri
menjadi pelanggan tetap Mak Cik Enot. Tetapi ada alasan lain yang membuatkan
Akri selalu menunggu kedatangan Mak Cik Enot membuka warung. Mak Cik Enot mudah
ditipu.
Kalau Akri mengambil lima butir telur puyuh,
akan dikatakan dua. Jadi, boleh makan banyak, bayar murah. Tindakan menipu Mak
Cik Enot itu tidak pernah tertangkap. Selesa dan selamat selalu. Akri tahu, dua
mata Mak Cik Enot sudah rabun, tidak begitu teliti mengawasi barangan
jualannya. Akri boleh kenyang makan di sana.
Sudah satu minggu ini warung bakso Mak Cik
Enot tutup. Akri jadi serba salah. Kegemarannya makan bakso terpaksa dilupakan beberapa
hari ini.
Pada suatu hari, Akri nekad makan bakso di
warung lain. Tetapi huh...
harganya ternyata sangat mahal. Dua kali ganda dibandingkan dengan harga bakso Mak
Cik Enot.
Lagipun Akri tidak boleh ‘mengebas’ telur
puyuh secara diam-diam. Penjualnya selalu melirik setiap suapan Akri. Dia jadi
terkaku. Bakso yang rasanya biasa saja itu jadi semakin tidak sedap hendak
ditelan. Ketika keluar dari warung itu, Akri bersungut-sungut.
“Huh! Wangku habis untuk makan bakso yang
tidak seberapa. Kalau warung bakso Mak Cik Enot buka... tidak merasalah duit
aku masuk ke warung ni!”
Kerinduan Akri kepada bakso Mak Cik Enot
sudah tidak terbendung lagi. Sekarang sudah 10 hari warung bakso Mak Cik Enot
tutup.
“Nanti petang jadi kan, Kri?!” Suara Aan
membuyarkan sepinggan bakso Mak Cik Enot dalam lamunan Akri.
“Eh... oh... iya, okey!! Nanti petang,
berkumpul di sini!”
Emak Suzidah sudah beberapa hari sakit.
Beberapa kali Suzidah tidak datang ke sekolah kerana harus bergantian dengan
adiknya menjaga ibu mereka. Ayahnya sudah lama meninggal dunia. Hari ini murid-murid
darjah enam itu sudah sepakat melawat emak Suzidah. Suzidah adalah seorang
pelajar yang baik dan ramah. Semua rakan suka kepadanya.
“Kamu seorang ketua darjah yang baik, Kri!”
kata Suzidah sambil tersenyum memandang Akri.
“Ah, saya kan hanya mengikut rakan-rakan kita
yang lain. Merekalah yang patut diacungi ibu jari, kerana sangat mengambil
berat tentang kamu,” balas Akri sambil tersengih. Diam-diam Akri bangga juga
dipuji Suzidah.
“Orang yang baik selalu mengelak kalau dikatakan
baik,” balas Suzidah.
Wajah Akri jadi merah. Dia kelihatan
tersipu-sipu menerima pujian itu.
Petang itu lima murid tersebut sebagai wakil
darjah enam berbasikal ke rumah Suzidah. Rumahnya sangat sederhana. Dindingnya dari
buluh yang sudah lusuh.
“Sepi sekali, Zidah! Ibu kamu tidur ye?”
tanya Akri ketika sudah duduk di anjung rumah tersebut.
“Ada di bilik. Ibu saya sedang menunggu kamu.
Tadi saya sudah bercerita yang kamu semua nak datang. Jum, masuk!” ajak
Suzidah.
Ketika mereka masuk ke bilik ibu Suzidah,
Akri terjingkat. Di tempat tidur kayu itu kelihatan ibu rakan sekelasnya itu
berbaring lemah. Perempuan separuh baya itu terus tersenyum ketika melihat
Akri.
“Ini rakan kamu Zidah? Dia pelanggan ibu yang
sangat setia,” kata Mak Cik Enot sambil menunjuk ke arah Akri.
Akri jadi salah tingkah. Ternyata ibu Suzidah
adalah Mak Cik Enot! Akri tertunduk malu. Sedih rasanya bila teringat lima
butir telur puyuh yang selalu dikunyahnya dengan penuh berselera. Akri tidak
berani memandang wajah Mak Cik Enot.
“Saya harap mak cik akan segera sembuh,” kata
Akri. Lalu dia menyambung dalam hati. ‘Aku akan mengumpulkan wang saku untuk
membayar kembali telur-telur yang telah kuambil itu. Entah berapa jumlahnya
benda haram tu dah masuk ke dalam badanku!!! Ya Allah, ampunilah dosaku!’
Sejak hari itu Akri benar-benar menyesali
perbuatannya. Syukurlah, dia cepat
sedar dari kesilapan.
Usaha yang
Baik
“RASANYA aku ingin berehat sepanjang
hari ini, letih betul badanku!” keluh Puan Latifah sebaik bangun tidur.
Encik Farid mengerti keinginan
isterinya, Puan Latifah itu. Setelah bekerja selama enam hari, tidak ada
salahnya berehat selama satu hari. Lantaran itulah dia mengajak
Nina berjalan-jalan selepas mereka mandi.
“Biarkan emak kamu
berehat di rumah,” kata Encik Farid pada Nina. Kemudian sebelum mereka
berangkat, Encik Farid berkata kepada isterinya, “Kamu tidak usah masak hari
ini. Nanti kami belikan masakan dari restoran.”
Ketika itu Amir
sedang main bola bersama rakan-rakannya. Jadi Puan Latifah benar-benar
sendirian di rumah. Dia mengambil majalah lalu membaringkan tubuhnya di atas
sofa. Hmmm... benar-benar menyenangkan dalam suasana sepi seperti ini, fikirnya.
Ting... tong...
ting... tong...
Suara loceng
mengganggu keasyikannya. Sambil mengeluh Puan Latifah tergesa-gesa bangun dari
sofa. Dilemparkan majalah yang sedang dibacanya ke atas meja, kemudian terus
melangkah ke arah pintu.
“Selamat pagi, mak
cik!”
“Pagi,” balas Puan
Latifah sambil tersenyum kepada murid lelaki sekitar dua belas tahun yang berdiri
di hadapannya. “Nak berjumpa dengan Amir ke? Kalau kamu nak berjumpa dengan
dia, pergilah ke padang bola. Dia di sana bersama rakan-rakannya,”
“Tidak, mak cik!
Saya datang ke sini bukan untuk bertemu dengan Amir, tetapi ingin bertemu dengan
mak cik,” jelas murid lelaki itu sambil tersenyum.
“Nak berjumpa
dengan mak cik?” tanya Puan Latifah sambil menunjukkan dirinya sendiri.
“Ya, mak cik! Saya
mahu menawarkan sabun pencuci pada mak cik!”
“Sabun pencuci?”
“Ya.. sabun pencuci
buatan sendiri, mak cik! Harganya murah. Dijamin mutunya setanding dengan
jenama lain yang ada di pasaran sekarang,” kata murid itu dengan fasih. Dia
segera mengeluarkan sebungkus sabun pencuci dari dalam begnya.
Puan Latifah
menatap murid seusia Amir itu seketika dengan tatapan yang kehairanan. Kemudian
menggeleng diiringi desisan berat di bibirnya. “Maaf! Mak cik tidak berniat
hendak membeli sabun pencuci ini!”
Murid itu
tersenyum tawar lalu bergumam lirih. “Kalau begitu, tidak apalah!!”
Dimasukkannya kembali sabun itu ke dalam begnya.
Puan Latifah
merasa tidak selesa pula melihat senyuman tawar murid tersebut. Dengan segera
dia berkata, “Bukan mak cik tidak mahu menolong kamu, nak! Tetapi sabun pencuci
mak cik masih banyak lagi. Hujung bulan lalu mak cik beli lebih dan belum lagi
digunakan!”
Sekali lagi murid
itu berusaha untuk tersenyum. Meski yang terhias di bibirnya adalah senyuman
kehampaan. “Saya faham, mak cik! Kalau begitu saya mohon diri dulu. Terima
kasih, mak cik!”
Puan Latifah
mengangguk lemah. Dia mengawasi murid itu dengan rasa kasihan. Bajunya
kelihatan sederhana sekali, tetapi bersih. Dan ketika melihat murid itu
berjalan pincang, hatinya mendadak merasa hiba.
“Ah, maafkan mak
cik, nak! Mak cik tidak tahu yang kamu cacat.”
Murid itu segera
berpaling, lalu tersenyum nipis. Puan Latifah merasa agak bersalah kerana
ucapannya tadi. Dia bimbang murid itu tersinggung. Segera dia berkata, “Mak cik
tidak bermaksud apa-apa, cuma kagum dengan usaha yang kamu lakukan. Apakah kamu
tidak merasa berbeza dengan orang lain kerana kecacatan di tubuh kamu itu?”
Murid itu
menggeleng, sambil berkta, “Saya tidak merasa berbeza dengan mereka. Kalau
tidak, tentu saya tidak akan berada di sini. Minta diri dulu, mak cik!”
Murid itu
melangkah kembali. Pada ketika itulah Amir muncul. Di tangannya ada sebiji
bola. Bajunya basah oleh peluh yang mengalir.
“Laa, macam mana
kamu boleh berada di sini, Rul?” tegurnya kehairanan ketika melihat murid
tersebut.
Murid itu
menghentikan langkahnya. “Ya, tadi saya tidak tahu yang ini rumah kamu sehinggalah
ibu kamu menyebut nama kamu tadi,” ujar Sahrul sambil tersenyum.
“Kenapa kamu
mencari saya?” tanya Amir lagi.
“Tentu saja bukan
untuk mengajak kamu bernyanyi,” jawab Sahrul.
Barulah Puan
Latifah tahu bahawa murid itu rakan anak sulungnya. Dia berasa amat berbangga
dengan murid tersebut. Begitu yakin kepada diri sendiri. Kecacatan di kakinya
itu tidak membuatkan dia merasa rendah diri.
“Saya tadi menawarkan
sabun pencuci pada ibu kamu. Sabun buatan saya sendiri. Hasil yang diajarkan oleh
cikgu ketika pelajaran kemahiran hidup minggu lalu,” ujar Sahrul lagi. Dengan
segera dia mengeluarkan sebungkus sabun pencuci. “Ni, lihat Mir! Inilah hasil
usaha saya. Memang sabun ini cukup baik, mampu menghilangkan segala kekotoran
tanpa merosakkan kulit tangan,”
“Wah, hebat kamu,
Rul! Sekarang sudah mampu berniaga. Saya yakin, suatu hari nanti kamu akan
menjadi seorang usahawan yang berjaya. Kamu akan menjadi pembuat sabun pencuci
yang terkenal di dunia!” Amir kekaguman. Dia menoleh pada Puan Latifah. “Sahrul
ini rakan sekelas Amir, mak! Rajin dan cerdas. Walaupun cacat tetapi dia sudah
mampu membiayai perbelanjaan sekolahnya sendiri. Guru-guru pun kagum dengan
ketabahannya!”
Puan Latifah
semakin kagum pada murid itu. Menyesal rasanya kerana tidak membeli sabun pencuci
yang dibawanya tadi.
“Tadi emak beli
sabunnya tak?” tanya Amir.
Puan Latifah
menggeleng berat. “Sabun pencuci mak masih banyak lagi,”
“Tetapi yang Sahrul
jual ini lain, mak! Sabun buatan dia sendiri. Harganya lebih murah dari sabun
pencuci yang dijual di kedai. Iya kan, Rul?”
“Ya,” jawab Sahrul
sambil tersenyum.
“Baiklah! Emak
beli satu bungkus dulu. Kalau sabunnya cantik nanti emak beli lagi.”
“Terima kasih, mak
cik,” kata Sahrul. Kemudian dia mengejitkan sebelah matanya kepada Amir. “Tetapi
ini bukan kerana kamu, kan?”
Amir tergelak.
Puan Latifah juga tersenyum. Sekilas dia melihat mata Sahrul berbinar. Setelah
menerima pembayarannya, Sahrul meninggalkan tempat itu dengan langkah tempang.
Sementara Puan Latifah dan Amir menatapnya dengan perasaan hiba.
Usaha dan ketabahan Sahrul itu memang patut
dijadikan teladan.
Rahsia Hantu Sungai
AZAN Maghrib berkumandang dari arah kampung.
Langit senja berwarna merah dan kuning. Suasana di kawasan paya di pinggir kampung
itu sudah gelap dan sunyi. Pokok-pokok rumbia berdaun lebat tumbuh subur di
situ.
“Upin, Adi, hari sudah gelap, jum kita
pulang!!!” Ari mengingatkan kedua-dua rakan sekelasnya, murid tahun lima
Sekolah Kebangsaan Alor Rambai itu.
“Ah, masih awal lagi ni!” balas Upin sambil
memegang jaringnya.
Sementara Upin sudah berada di tengah paya
sibuk menyauk ikan dengan penyauk. Ari memegang keranjang hasil tangkapan.
Ikan-ikan di dalam keranjang rotan melompat-lompat. Hari itu tangkapan mereka banyak sekali.
Angin senja bertiup perlahan-lahan. Daun-daun
rumbia saling bergesekan dan mengeluarkan bunyi berdesir. Terdengar suara
unggas hutan di pokok rumbia. Ari mulai gelisah. Peluh deras membasahi
keningnya. Padahal udara sekitar sejuk dan segar.
Dia teringat cerita Tok Man bahawa di hutan
rumbia ini banyak ‘penunggunya’. Tidak semena-mena Ari rasa menyesal kerana
mengikut ajakan Upin dan Adi sebaik pulang dari sekolah tadi. Mereka
mengajaknya menangkap ikan di paya hutan rumbia ini.
Ari masih ingat, sewaktu dia menolak ajakan itu,
Upin berkata, “Ah, itu kan hanya cerita Tok Man. Tok Man memang suka buat
cerita dongeng. Mana ada hantu zaman sekarang ni!!”
Tiba-tiba kaki Ari terasa sejuk. Dia mendadak
pucat. Kemudian terdengar suara ketawa Upin dan Adi. Ternyata mereka telah melemparkan
lumut ke kakinya.
“Ha... ha... melamun cerita hantu Tok
Man, ya!” ujar Adi.
Ari tersenyum
tawar.
“Jum pulang! Di paya ni banyak betul
ikannya. Besok kita ke sini
lagi ya!” ajak Upin sambil mulai mengemas.
Ari tidak bersuara. Dia ingin segera pulang.
Dia tidak suka mendengar bunyi gesekan daun-daun rumbia itu. Seperti bunyi
orang bersiul tetapi sangat menyeramkan!
Sebelum pulang, Upin mengajak mereka ke sungai dulu untuk membersihkan
kaki dari lumpur.
“Kita terus pulang saja,” desak Ari cuba membantah.
Dia masih teringat cerita Tok Man, bahawa di sungai itu pernah orang kampung
melihat seorang lelaki tua berjubah putih.
“Kenapa?” tanya Upin. “Kita kan kotor ni,
berselepat dengan lumpur.”
“Tok Man kata ada lelaki tua berjubah putih
di sungai ni,” ujar Ari separuh berbisik.
“Kalau dia ada pun, apa salahnya? Kita
bukannya nak ganggu dia,” balas Adi tersenyum sinis.
Kemudian dia mencuci muka, tangan, kaki, serta
jaring dari kotoran lumpur.
“Brrr, airnya sejuk betul!” ujar Upin yang
juga mencuci kakinya. Tetapi Ari tidak melakukan apa-apa. Matanya berkelintar
ke sana ke mari. Mengawasi kawasan sekitar yang ditumbuhi rumpun bambu,
pokok-pokok liar dan semak-semak.
Ketika mereka hendak meninggalkan sungai, Ari
nyaris menjerit. Dia melihat lembaga putih di atas sebuah batu besar. Entah sejak bila
ada di situ.
“Upin, Adi, kamu nampak lembaga itu tak?”
tanya Ari dengan suara yang bergetar.
“Ya, aku nampak,” balas Upin sedikit kecut.
“Aku juga,” jawab Adi perlahan-lahan.
Mereka berjalan separuh berlari meninggalkan
sungai itu.
Petang keesokan harinya, Ari pergi ke
surau untuk mengaji. Tetapi di perjalanan dia bertemu dengan Upin dan Adi.
Mereka juga seolah-olah hendak pergi ke surau. Tetapi ada gulungan jala di
tangan Upin.
“Ayuh, ikut kami ke sungai,” ajak Adi. Ari
segera menggeleng mengingatkan lembaga putih semalam.
“Kami nak tangkap hantu sungai semalam tu,”
jelas Adi tenang. Dia menunjukkan jala di tangan Upin.
“Tapi kita akan terlambat mengaji nanti.
Ustaz Hamid tentu akan marah,” ujar Ari. “Semalam pun kita dah kena marah!”
“Tak apa! Yang penting kita harus membuktikan
bahawa hantu itu tak wujud,” tegas Adi menyakinkan Ari.
“Ayuh, jangan jadi penakut, Ari!” kata Upin
pula.
Akhirnya Ari bersetuju untuk pergi bersama Upin
dan Adi.
Setibanya di sungai, hari sudah hampir gelap.
Dari tempat mereka
bersembunyi di sebalik semak-semak, kelihatan jelas lembaga putih di atas batu
itu.
Ari mulai menggigil ketakutan. Udara sejuk
membuat dia tambah gementar.
“Kita dekati dia,” bisik Upin. Adi bersedia
dengan jala di tangannya. Ari hanya diam dengan bibir bergetar. Lembaga putih
itu kelihatan mulai bergerak naik dari sungai.
“Seraaaaang...” Adi dan Upin menyergap
lembaga putih itu dengan jala.
Terjadilah pergelutan kecil ketika lembaga
itu menjerit-jerit kerana terkejut.
“Hei, lepaskan aku! Apa ni? Kamu berdosa
mengganggu orang tua macam aku!” ujar lembaga itu marah-marah.
Ari berasa seperti kenal dengan suara itu.
Tok Man dengan sarung putihnya!
“Jaga, aku beritahu Ustaz Hamid yang kamu
ponteng kelas mengaji!!!”
“Maaf, tok! Kami ingat tok hantu berjubah
putih di sungai ini. Kami ingin membuktikannya,” jawab Ari.
“Hantu berjubah putih?! Mana ada hantu di sini.
Setiap petang aku memang mandi di sini. Dan kerana udara sejuk, aku selimut
tubuhku dengan kain putih ini,” jawab Tok Man.
“Habis, bagaimana dengan cerita hantu sungai
itu?” tanya Upin.
“Itu hanya cerita aku saja. Supaya kamu pergi
mengaji di surau dan tak merayau ke mana-mana!”
“Maafkan kami, tok! Kami tak bermaksud nak
menyusahkan tok,” ucap Ari ikhlas.
“Iya, sudah, sudah! Aku mahu cuci kaki lagi! Kamu pijak kaki aku tadi!”
Dalam perjalanan ke surau, ketiga-tiga rakan
baik itu ketawa berpinak-pinak. Mereka gembira kerana berjaya membongkar rahsia
hantu sungai itu. Dan yang paling penting, mereka berjaya mengatasi rasa takut
mereka sendiri. Mereka juga berjanji tidak akan merayau lagi pada waktu petang.
Rakan Baru
“PASTI semalam
kamu masak guna bunga kantan,” ujar Kamalia pagi itu sewaktu mereka di sekolah.
Ziela menoleh dengan
perasaan yang terkejut. “Kamu....,” kata-katanya terputus. Dia menatap wajah
Kamalia lama-lama dengan perasaan yang sungguh hairan.
“Saya kan ada ilmu
batin!” kata Kamalia sambil tertawa. “Mampu meneka apapun yang kamu masak
setiap hari Ahad.”
“Tiap hari Ahad saya
memang selalu bantu ibu saya masak di dapur,” ujar Ziela tanpa berkejip.
“Semalam saya membantu ibu saya masam asam pedas ikan pari campur bunga kantan.
Bunga kantan memang sedap kalau dimasak asam pedas,” tambahnya polos.
“Oo.. ho!” alis Kamalia
terangkat tinggi disertai senyuman manis. “Tetapi, kalau
masak asam pedas tanpa bunga kantan pun tidak apa kan? Kita boleh masukkan
lobak asin sebagai ganti?”
“Itulah, ibu saya
tidak suka pula makan lobak asin. Dia lebih suka makan rebung jeruk dari lobak
asin. Sebab itulah, kalau masak asam pedas, ibu saya lebih suka campur dengan
bunga kantan,” jelas Ziela terus terang.
“Sesuai dengan
kata pepatah ‘tidak ada rotan akar pun berguna’,” balas Kamalia.
“Benar. Lagipun
bunga kantan tu sejenis tumbuhan herba yang banyak khasiatnya,” Ziela
mengangkat ibu jari tangannya, sementara pandangannya tetap lurus ke wajah
Kamalia.
“Sedap ya, enak
dan lazat, tetapi jangan pandang saya macam itu! Saya takut... kamu macam nak
makan saya saja!” Kamalia menolak lembut sebelah pipi Ziela dengan telapak
tangannya. Lantas kedua-duanya tertawa bersama.
Ziela benar-benar
gelisah dengan gelagat rakan barunya itu. Ya, Kamalia baru tiga bulan ini
menjadi rakan sekelas Ziela. Benarkah Kamalia memiliki ilmu batin? Ziela menggaru
kepalanya yang tidak gatal. Lalu tersengih sendiri.
Hari Isnin lalu,
Kamalia juga telah meneka dengan tepat, “Semalam kamu masak menggunakan daun
kari, kan?”
Ya, Ziela pun
menerangkan, dia membantu ibunya membuat kuih siput. Kuih tersebut dibuat dari
campuran tepung, magerin planta, garam dan daun kari yang dihiris halus.
Campuran tersebut diuli menjadi sebati lalu digentel kecil-kecil sebelum
digoreng. Untuk bentuk yang lebih cantik seperti siput, ada acuan khas perlu
digunakan.
“Semalam kamu memasak menggunakan daun pisang
kan!”
Hmm, Ziela pun
menerangkan bahawa dia membantu ibunya membuat lepat pisang. Lepat pisang ialah
campuran pisang yang dilenyek bersama tepung dan gula. Campuran tersebut
diletakkan di atas daun pisang kemudian dibalut sebelum dikukus.
Seminggu kemudian,
tepat pada hari Isnin, lagi-lagi Kamalia berkata: “Ziela, semalam kamu memasak
menggunakan daun selon, kan?”
Kali ini Ziela
agak keliru, namun tetap juga membuatkannya terpaku. “Daun selon itu bukan
untuk dimasak, tetapi untuk dibuat ulam. Sebenarnya, saya membantu ibu saya
membuat kerabu perut lembu dicampur pelbagai tumbuhan herba seperti daun kunyit
muda, daun selon, daun limau purut, daun cekor, bunga kantan, pulur serai,
bawang, air limau kasturi dan lain-lain lagi. Semua tumbuhan herba itu dihiris
halus sebelum dimasukkan air perahan limau kasturi dan digaul sebati. Kerabu
perut lembu itu boleh dimakan dengan nasi. Sedap rasanya lagi berkhasiat,” jelas
Ziela panjang lebar.
“Kamu makan
mentah-mentah?” tanya Kamalia.
“Ya, hanya perut
lembu saja yang perlu direbus terlebih dahulu. Yang lainnya semua mentah,” ujar
Ziela.
“Macam mana
rasanya?”
“Tentulah sedap...
eh.. kamu tidak pernah makan kerabu perut lembu ke?
Kamalia
menggeleng.
“Kalau kamu nak
makan, datanglah ke rumah saya. Bila ibu saya buat nanti, kamu boleh rasa.
Memang sedap,” ujar Ziela.
“Kamu ni memang
kreatif,” puji Kamalia.
“Bukan saya tetapi
ibu saya,” jawab Ziela jujur. “Untuk makanan yang berkhasiat, kita perlu
kreatif,”
“Saya memang
teringin nak makan kerabu perut lembu buatan ibu kamu tetapi bila ya?”
“Bila ibu saya
buat kerabu perut lagi, saya akan jemput kamu,” ujar Ziera.
Kamalia tersenyum
senang. “Eh, berbual-bual saja kita... nanti petang kamu saya jemput ya,”
tambah Kamalia sedikit serius.
“Dijemput ke mana?”
tanya Ziela tercolek ingin tahu.
Kamalia hanya
mengangkat bahu penuh rahsia.
Jam lima
petang, Kamalia benar-benar muncul di rumah Ziela. Tanpa membantah, Ziela mengikuti
saja ke mana arah langkah Kamalia. Ternyata arahnya ke selatan, melintasi lorong-lorong
kecil di antara padatnya rumah-rumah di ibu kota. Inilah bandar raya Kuala
Lumpur, kota yang padat dengan kenderaan juga penduduk
Tidak sampai
sepuluh minit kemudian, Ziela dan Kamalia telah sampai di hadapan sebuah rumah
dua tingkat.
“Inilah rumah saya,”
jelas Kamalia.
“Eh?” Ziela
melongo. “Rumah kamu ni macam pernah saya lihat saja...”
Kamalia tersengih.
“Eh, rumah ini di
tepi rumah saya.. kan?”
Kamalia tersengih
lagi.
Barulah Ziela
sedar yang Kamalia tingal di sebelah rumahnya saja. Tetapi tidak pernah pula
diberitahu oleh Kamalia. Memang perahsia betul rakan barunya itu.
“Patutlah kamu
tahu apa yang kami masak...” ujar Ziela setibanya di bilik Kamalia di tingkat
dua.
Dari jendela,
Ziela menatap lurus ke bawah, ke hamparan tanah kosong ditumbuhi pelbagai
tumbuhan yang dikelilingi pagar papan tanpa pintu. Konon tanah kosong itu milik
‘orang kaya’ yang kelak bakal mendirikan sebuah pasar raya di situ. Pluk! Ziela
menepuk dahinya sendiri.
“Kenapa?” tanya
Kamalia kehairanan.
Ziela mencuit lengan
Kamalia sambil berkata, “Kenapa tak cakap sejak dulu yang rumah kita
bersebelahan?”
“Dan mengapa tak
cakap sejak dulu saya sering melihat kamu masuk ke dalam tanah kosong itu
melalui pagar papan tanpa pintu untuk mencari pelbagai daun untuk dimasak, begitu?”
balas Kamalia tidak boleh lagi menahan ketawanya.
Ziela turut
tertawa.
“Kamu suka
mengintai, ya?” tukas Ziela disela tawanya.
“Bukan setakat
mengintai. Saya juga rajin mencatat resepi-resepi yang kamu masak bersama ibu
kamu. Ni lihat,” Kamalia membalikkan badan dan meraih sebuah buku kecil dari
atas meja belajarnya.
“Senang betul
kerja kamu, ya!” gurau Ziela. Matanya berpijar mengamati
catatan resepi milik Kamalia. “Saya harus dapat bayaran ni!”
“Tenang Ziela!
Selamat hari jadi,” balas Kamalia sedikit memeranjatkan Ziela. Dengan segera
dia menghulurkan sebuah buku cantik yang sama seperti yang dimiliknya. “Untuk
mencatat resepi-resepi baru kamu. Resepi-resipi itu perlu didaftarkan, kalau
tidak akan ditiru orang!”
Ziela menggaru-garu
kepalanya sambil menatap wajah Kamalia. “Kamu ni memang misteri, Lia?
Dari mana kamu tahu tarikh lahir saya? Saya sendiri pun lupa yang hari ini hari
ulang tahun kelahiran saya...”
“Kan saya ada ilmu
batin...” Kamalia terus ketawa.
“Huh,” dengus Ziela.
Diterimanya buku cantik dari Kamalia dengan rasa terharu. “Terima kasih banyak,
Lia!”
“Eh, kamu tungu
sekejap ye!” ujar Kamalia sambil menepuk bahu Ziela. Lantas keluar dari bilik.
Sekembalinya, dia
membawa semangkuk kuih siput. Lagi sekali Ziela melongo.
“Sedap tau kuih
siput ni,” Kamalia mengambil sebiji dan menggigitnya. Kriukk...
“Siapa dulu yang
mencipta resipinya?!” mencelah Ziela seketika kemudian sambil tertawa.
Kamalia turut tertawa.
Setem Rotterdam
ZARHAN kebingungan. Dia membolak-balik kedua-dua
album setemnya. Ditelitinya satu demi satu setemnya. Hmm, mungkin setem itu
terselit di mana-mana, duganya dalam hati.
Tetapi, beberapa minit kemudian wajahnya
kelihatan kecewa. Nampaknya setem itu benar-benar telah hilang. Setem itu dari negeri Belanda,
harganya satu Gulden. Di setem itu ada gambar deretan kincir angin di tengah
taman yang dipenuhi bunga tulip beraneka warna.
Zarhan mendapat setem itu dari surat kiriman Pak
Cik Kamal, adik ayahnya yang tinggal di Rotterdam, Belanda. Zarhan benar-benar merasa
sedih dengan kehilangan setem tersebut. Selama ini dia memang penggemar setem.
Sudah lebih setahun dia mengumpul setem dari pelbagai jenis dan negara sebagai
bahan koleksi.
Bagaimana mungkin setem itu boleh hilang?
Hati Zarhan bertanya lagi. Apakah salah seorang dari ketiga-tiga rakannya telah
mencuri setem itu? Ah, Zarhan merasa bersalah pula kerana telah menuduh mereka.
Sewaktu di sekolah tadi, Zarhan, Ranu, Doni dan
Bobi sepakat untuk tukar-menukar setem koleksi mereka. Mereka sama-sama dalam
satu kelas iaitu kelas Tahun 5B dan mempunyai hobi yang sama iaitu mengumpul
setem.
Keesokan harinya, Zarhan menceritakan tentang
setemnya yang hilang kepada ketiga-tiga rakannya itu.
“Saya ada setem seperti itu. Mak saudara
saya yang tinggal di Amsterdam kirimkan kepada saya,” kata Bobi.
“Ehm... saya pun ada juga, tetapi saya
membelinya dari seorang penjual setem di hadapan pejabat pos lama seberang
Pasar Baru,” Ranu menambah.
Zarhan tambah menyesal, mengapa dia tidak
berhati-hati dalam mengurus setemnya sendiri.
Sebaik pulang dari sekolah, Doni
menghampirinya.
“Sebenarnya saya ingat, yang ada setem itu
hanya dua orang saja. Tetapi saya lupa, dalam album siapa saya ada nampak setem
macam itu. Sayang sekali, salah seorang dari rakan baik kita telah mencurinya
dari kamu,” kata Doni.
“Tetapi, bagaimana kita nak
membuktikannya?” tanya Zarhan.
“Saya ada idea...” jawab Doni.
Doni ingin bertukar-tukar setem lagi, lalu
dia menyuruh ketiga-tiga rakannya itu membawa album setem mereka. Di taman sekolah, mereka saling melihat isi
album setem masing-masing. Tiba-tiba Doni berkata, “Maafkan saya, Bobi! Saya
rasa kamu telah mengambil setem Zarhan!”
Semua terkejut. Bobi segera membantah dengan kuat,
“Sedap saja kamu menuduh saya. Mana buktinya?”
“Kata kamu kelmarin, mak cik kamu tinggal di
Amsterdam. Tetapi cop setem yang tertera di sini adalah ‘t t e r d a m’,” kata
Doni sambil menunjuk ke arah tulisan cop di atas setem. Semua bergantian
melihatnya dengan teliti.
“Zarhan, di mana pak cik kamu tinggal?” tanya
Doni.
“Dulu di The Hague tetapi sekarang dia dah
berpindah ke Rotterdam,” jawab Zarhan.
“Seperti yang saya tahu, perkataan Amsterdam
hanya memiliki satu t. Sedangkan Rotterdam memiliki dua t. Jadi, macam ni?”
jelas Doni dengan tenang.
Bobi terdiam sambil menunduk.
“Memang saya yang mengambilnya. Maafkan saya,
Zarhan!” katanya sejurus kemudian.
Doni menyerahkan setem Belanda itu kepada
Zarhan.
“Ini, saya kembalikan setem kamu… gambar di
setem ini sangat cantik sehingga saya teringin nak memilikinya, tetapi saya
yakin kamu tidak mahu menukarnya,” jelas Bobi.
“Sudahlah, saya sudah memaafkan kamu. Tetapi saya
harap kamu tidak akan mencuri lagi. Kalau kamu betul-betul mahukannya, saya
akan minta Pak Cik Kamal supaya mengirimkannya lagi. Bagaimana?” Zarhan menawarkan.
“Bagaimana dengan saya? Saya pun mahu juga!” Doni menambah riang.
“Tentu saja. Agar menjadi kenang-kenangan
untuk kita,” jawab Zarhan.
“Tetapi, tunggu dulu, Bobi! Mengapa kamu
tidak mengambil setem saya ni?” tanya Ranu.
“Buat apa dia nak ambil setem kamu? Warnanya
sudah kusam,” jawab Doni.
“Ha.. ha.. ha...,” semua ketawa mendengar
jawapan Doni.
“Jaga kamu, Doni!” kata Ranu bernada gerah.
Pintar Akal
HARI ulang tahun Dea kali ini cukup meriah. Ramai rakan sekelasnya bersedia menunjukan kebolehan
mereka. Tono menampilkan sebuah lakonan lucu. Dia meniru gerakan kanak-kanak
yang sedang membaca buku sambil menonton televisyen, sambil makan coklat,
sambil menaikkan satu kaki ke atas meja, sambil matanya melilau ke sana ke mari,
bimbang kalau orang tuanya mendadak muncul. Lucu, sekali!
Fitri yang bersuara merdu, menyanyikan dua
lagu kegemaran Dea, diiringi permainan organ Uzi. Wow, mereka bagai pasangan
artis yang mendapat tepuk tangan paling gemuruh.
“Sebelum berpisah,” kata Tika yang menjadi pengacara
majlis, “Mari kita saksikan persembahan Kupin dan Iwan!”
Sekali lagi tepukan tangan bergemuruh
memenuhi rumah Dea. Kupin dan Iwan segera tampil. Mereka memakai topi hitam khas pemain silap
mata, tongkat hitam, jubah, beberapa helai kain hitam. Ada juga tujuh bendera
kertas berwarna-warni.
“Maaf rakan-rakan, ini bukan silap mata,
bukan sihir,” Kupin memakai topi hitam yang agak besar. Tangan kanannya meraih
tongkat hitam, “Tetapi hanya sebuah permainan penglipur lara.”
Penonton tertawa terpingkal-pingkal melihat
kotnya yang labuh sampai ke lutut. Kupin lalu menutup kedua-dua mata Iwan dengan tiga lapis
kain hitam. Lalu digiring ke sudut ruangan agak terpisah dari penonton. Kupin
sendiri berdiri sekitar tiga meter dari Iwan, bersama dengan penonton.
“Maaf!” Kupin menghampiri Hanif, salah
seorang di antara penonton. “Apakah kamu masih boleh melihat bila kedua-dua
mata kamu ditutup dengan sehelai kain hitam?”
Hanif menggeleng pasti. Kupin lalu mengulangi
pertanyaannya kepada semua tetamu. Dan tidak seorang pun yang berkata boleh.
“Kalau dengan satu lapis saja kita tidak
dapat melihat, bagaimana kalau tiga lapis?” lanjut Kupin.
“Buta!” jawab penonton hampir serentak.
“Nah, dalam keadaan buta, Iwan boleh meneka
dengan tepat warna setiap bendera yang saya angkat. Ayuh kita mulai.”
Kupin mengangkat tinggi-tinggi sebuah bendera
kuning. Mulutnya lalu terkumat-kamit menjampi tongkatnya.
“Simsalabim! Abrakadabra! Kalau kamu
benar-benar hebat, cuba teka warna apa bendera ini, Tuan Iwan?”
“Kuning!” jawab Iwan tepat.
Penonton tidak hanya spontan tepuk tangan,
tetapi juga geli kerana Kupin memanggil Iwan dengan panggilan Tuan. Kini Kupin
mengganti bendera kuning dengan bendera berwarna hijau. Mulutnya terkumat-kamit
lagi.
“Simsalabim! Abrakadabra! Habis kamu kali ini
Iwan, cuba teka yang ini!”
“Itu mudah saja! Tentu hijau kan!” jawab Iwan
tepat.
Penonton saling berpandangan dan kehairanan,
lalu kembali bertepuk tangan.
“Mungkin kamu semua curiga Iwan sudah
menghafal urutan warna bendera yang saya angkat. Sekarang silakan salah seorang
penonton memilih bendera warna yang dia suka,” kata Kupin sejurus kemudian.
Rani segera bangun. Dia memilih-milih sejenak,
lalu mengangkat bendera putih.
“Simsalabim! Abrakadabra! Pasti kali ini kamu
akan gagal, Tuan Iwan. Kerana kini Rani yang memegang bendera, bukan saya. Nah,
apakah kamu masih boleh meneka dengan tepat?”
“Ini lebih mudah. Warnanya seperti kapas!
Iya, kan?” Iwan menjawab dengan tepat sekali. Penonton semakin kagum.
Zulhan yang sejak tadi ingin tahu, terus maju
dan memilih bendera warna biru.
“Simsalabim! Abrakadabra! Bukan silap mata,
bukan sihir! Tuan Iwan, cuba teka warna apa bendera yang diangkat oleh Zulhan?”
“Tentu saja seperti warna langit yang cerah,”
jawab Iwan.
“Lagi! Lagi!” penonton semakin ketakjuban.
“Mungkin ada yang curiga kalau kain penutup
mata Tuan Iwan tembus pandang,” Kupin berusaha menghilangkan rasa curiga
penonton.
Dia lalu minta disediakan selembar kain tuala
tebal. Dea, selaku tuan rumah, segera menyediakannya. Dua orang budak lelaki disuruh
memegang dan menutup mata Iwan. Kini, mata Iwan ditutup tiga lapis kain hitam
dan sehelai tuala tebal.
“Baik! Yang terakhir, saya minta tuan rumah
yang memegang bendera!”
Dea bangkit dengan senang hati. Tetapi dia
ingin memerangkap kedua-dua pemain silap mata tersebut.
Dia tidak mengambil bendera lain, melainkan
bendera yang tadi telah diangkat oleh Rani. Warna putih. Melihat itu, Kupin
tertegun sejenak. Raut mukanya kelihatan berubah. Tetapi dia segera kembali
bersikap bersahaja.
“Simsalabim! Abrakadabra!” suara Kupin lebih
lantang. “Pasti kali ini kamu
akan mengalami kesukaran besar, Tuan Iwan! Kerana mata kamu terhalang oleh
tuala. Tetapi kamu memang sakti, cuba sebutkan warna bendera yang dipegang oleh
Dea!”
“Wah, tuan rumah ini memang sengaja mahu
memerangkap kita!” Iwan menggerutu. “Yang ini ‘kan sudah diteka tadi. Tetapi
demi tuan rumah yang sedang bergembira, semoga puas dengan jawapan saya yang terakhir.
Putih!”
Mendengar jawapan terakhir itu, penonton
memberi tepukan yang luar biasa.
Kupin membuka kain penutup mata Iwan tanda
permainan sudah berakhir. Rakan-rakannya berpusu-pusu memberi salam dan ucapan
tahniah.
Tidak seorang pun tahu bahawa permainan itu
memang bukan sihir. Sebenarnya Iwan tidak dapat melihat apa-apa. Selembar kain
hitam pun sudah membuatkan matanya buta.
Rahsia permainan mereka terletak pada huruf
pertama kata yang diucapkan oleh Kupin selepas kata Simsalabim Abrakadabra. Huruf
itu adalah singkatan dari warna yang akan diteka. Misalnya sewaktu Kupin mengatakan:
“Simsalabim Abrakadabra! Pasti kali ini
kamu akan mengalami kesukaran besar!”
Iwan hanya menandai huruf P dari kata ‘Pasti’
yang bererti putih. Demikianlah seterusnya. Tentu saja permainan itu memerlukan
kerjasama yang rapi dan terancang. Tanpa itu, permainan mereka tidak akan
berjaya.
Tomok
SOTONG raksasa itu menggeliat-geliat.
Tentikel-tentikelnya yang panjang bergerak ke sana ke mari, menghancurkan apa
saja yang ada di sisinya - kereta-kereta, bangunan-bangunan, tiang-tiang
elektrik dan sebagainya. Tembakan-tembakan yang diarahkan ke tubuhnya ternyata
sia-sia saja. Serangan dari kereta-kereta kebal dan helikopter tempur pun tidak
mendatangkan apa-apa hasil. Malah pasukan perang itu seolah-olah tidak tahu
lagi apa yang harus dilakukan.
Sotong raksasa itu memang benar-benar ganas.
Ini adalah kali ketiga dia muncul dari dasar laut lalu mengganas di mana-mana.
Melihat pasukannya kucar-kacir, komandan pasukan akhirnya meminta bantuan Wira Tomok!
Sang komandan mengambil sebuah alat berbentuk pistol lalu menembakannya ke
atas. Dari muncung pistol keluar sinar berwarna-warni. Itu adalah isyarat warna
panggilan untuk Wira Tomok.
Dalam beberapa detik saja, Wira Tomok pun
muncul. Dia terbang dengan laju ke arah sotong raksasa. Melihat ada musuh baru,
sotong raksasa itu menggerakkan tentikel-tentikelnya untuk menangkap Wira
Tomok. Namun wira itu terbang meliuk-liuk hingga sukar untuk ditangkap.
Tanpa menunggu lama, Wira Tomok
mengepalkan kedua-dua tangannya. Lalu membuka dan mendorong ke hadapan, ke arah
sotong raksasa itu. Dari kedua-dua tangannya, muncul sinar putih yang menusuk
tubuh sotong raksasa tersebut.
Baarrrr!!!!!
Sinar laser! Sotong raksasa terguling. Menggeliat-geliat
kesakitan, lalu diam tidak bergerak. Seluruh anggota pasukan bernafas lega. Wira
Tomok melakukan gerakan terbang tinggi di udara. Lalu terbang ke sebuah
bangunan dan berdiri di puncaknya. Tiba-tiba terdengar suara gemuruh. Gempa
bumi! Bangunan tempat Wira Tomok berdiri tiba-tiba bergetar hebat.
Bruukkkkkk!!!!!
Wira Tomok terus jatuh. Dari atap bangunan? Bukan. Dari tempat tidur.
Dia bukan Wira Tomok. Tetapi Tomok, budak laki-laki berusia sebelas tahun.
Terdengar suara ketawa Amir, sepupu Tomok.
Masih dengan mata
merah, Amir terkebil-kebil. “Kenapa Mok, mimpi jadi Wira Tomok pahlawan itu
lagi ya?”
Tomok tersipu-sipu malu. Tiba-tiba terdengar
suara Puan Aishah, ibu Amir.
“Amir, Tomok! Pagi-pagi lagi dah bergurau.
Ayuh cepat, sembahyang subuh. Jangan lupa kemaskan bilik tidur!!”
“Iya, bu!” jawab Amir.
Tomok bangkit. Lalu tergesa-gesa
mengemaskan tilam tempat tidurnya dan tempat tidur Amir. Selepas itu ke bilik
mandi, untuk berwuduk.
Sudah dua bulan Tomok tinggal di rumah
Amir. Puan Aishah dan ayah Tomok adalah adik beradik. Jadi, Amir adalah saudara
sepupu Tomok. Encik Latif, ayah Amir sengaja mengajak Tomok tinggal bersama
mereka. Agar beban orang tua Tomok menjadi ringan.
Kehidupan keluarga Tomok tidaklah sesenang
keluarga Amir. Di rumah Amir, Tomok rajin bekerja. Dia memang ingin membalas
budi baik Encik Latif dan Puan Aishah. Setiap hari, setelah belajar, Tomok
paling suka menonton televisyen. Rancangan kegemarannya adalah filem kartun.
Kerana terlalu seronok menonton filem itu, terhingga terbawa ke dalam mimpi.
Waktu sarapan, Amir masih saja mengusik
Tomok. Encik Latif dan Puan
Aishah hanya tersenyum melihat mereka berdua.
“Lepas makan, Tomok tolong beli paku, ya! Dan
Amir, bantu ayah baiki reban ayam,” ujar Encik Latif kemudiannya.
Tidak lama kemudian, Tomok pun pergi ke kedai
di hujung jalan. Letaknya agak jauh juga. Ketika pulang, Tomok berehat sejenak
di hadapan sebuah rumah besar. Dia bersandar di sebuah kereta yang diletakkan
rapat di pintu gerbang rumah itu. Aneh, fikir Tomok. Rasanya, pemilik rumah ini
tidak mempunyai kereta seperti itu. Apakah ini kereta tetamu mereka?
Tiba-tiba terdengar bunyi kaca pecah. Dari
sebalik pagar tanaman, Tomok melihat beberapa orang lelaki memecahkan kaca
tingkap, lalu masuk ke dalam rumah itu. Jantung Tomok berdebar kencang. Kakinya
gementar. Mereka pasti perompak. Dan ini pasti kereta para perompak itu, fikir
Tomok lagi. Sejenak dia terpaku.
Tetapi beberapa ketika kemudian sebuah fikiran
datang ke dalam benaknya. Tomok memasukkan tangannya ke dalam bungkusan dan
mengambil beberapa batang paku. Perlahan-lahan dicucuknya ke empat-empat tayar
kereta tadi sehingga kempes. Selepas itu Tomok berlari sekuat-kuatnya. Nasib
Tomok agak baik. Sejurus kemudian dia menemui dua orang anggota polis yang
sedang membuat rondaan dengan motosikal. Kepada anggota polis tersebut diceritakan
segala kejadian yang dilihatnya.
Lima belas minit kemudian sepasukan anggota polis
datang. Atas maklumat Tomok mereka segera menuju ke rumah yang dimaksudkan.
Para perompak itu berjaya ditangkap. Mereka tidak dapat melarikan diri kerana
tayar kereta mereka sudah kempes!
Tomok dibawa ke balai polis untuk membantu
siasatan.
Menjelang petang baru dia pulang. Encik
Latif dan Puan Aishah terperanjat melihat Tomok dihantar oleh dua orang anggota
polis.
“Mok, apa yang telah kamu lakukan?” tanya
Puan Aishah cemas.
Salah seorang anggota polis itu segera
menceritakan semuanya. Tentang keberanian Tomok menghalang satu usaha jenayah
pecah rumah. Encik Latif menepuk-nepuk bahu Tomok dengan perasaan yang bangga.
Ketika kedua-dua anggota polis itu pulang, Tomok
terus diserbu pertanyaan. Amir, Encik Latif dan Puan Aishah ingin mendengar
ceritanya dari awal. Mereka mendengar dengan tenang segala yang diceritakan
oleh Tomok.
“Wah, sekarang kamu benar-benar jadi seorang
pahlawan, Mok!” kata Encik Latif.
“Hidup Wira Tomok!” seru Amir.
“Tetapi kali ini, musuhnya bukan lagi raksasa
yang mengerikan. Tetapi perompak betul!” kata Amir sambil mengerling ke arah Tomok.
Semua tertawa. Tomok tersengih. Kepalanya
seperti mahu pecah kerana terlalu bangga.
Hati Penuh Kasih
TERDENGAR kokokan ayam, terus saja Aisyah
membuka matanya, tetapi sejurus kemudian memejamkannya semula. “Ah, masih
terlalu pagi!” kata hatinya. Dari lubang angin kelihatan di luar masih gelap.
Namun, dia tidak boleh tidur lagi. Dan dia memasang telinganya baik-baik ketika
mendengar suara ayah dan ibunya. Kedua-duanya sedang sibuk bekerja di ruang
makan yang kebetulan berada tepat di hadapan bilik Aisyah.
Sebelum fajar, ayah dan ibunya harus bangun. Lalu memotong kuih seri muka di dalam talam.
Terus memasukkan kuih-kuih itu ke dalam bekas plastik. Jam enam akan ada
penjual-penjual kuih yang datang untuk mengambilnya. Begitulah setiap hari,
termasuk juga hari Ahad.
“Seharusnya Aisyah dikejutkan dari tidur. Dia boleh membantu ibu,” terdengar suara ayahnya.
“Biarlah, dia masih kecil!” kata ibunya.
“Ah, dah darjah enam takkan kecil lagi!”
bantah ayahnya.
“Biar saja dia menumpukan pada pelajaran.
Dia juga letih kerana selepas sekolah terpaksa ke kelas tuisyen dan kelas
bahasa Inggeris! Tidak lama lagi dia nak ambil peperiksaan hujung tahun!” balas
ibunya.
“Abang pun letih juga. Kerja seharian di
pejabat, dan pagi-pagi terpaksa bangun bantu kamu buat kuih!” kata ayahnya.
Terdengar ketawa ibunya.
“Siapa suruh abang bangun? Kalau mahu
tidur, tidurlah. Saya boleh buat semua
kerja ni!” kata ibunya.
“Bukan begitu. Abang hanya ingin Aisyah
diberi sedikit tanggungjawab. Kalau dia berjaya, kita beri tanggungjawab yang
lebih besar. Begitu secara bertahap. Kalau sudah besar nanti dia terbiasa
bertanggungjawab!” kata ayahnya. “Abang ni ikhlas bantu isteri tercinta.”
“Oooh, begitu! Baiklah, nanti kita fikirkan
cara yang terbaik!” kata ibunya.
Sambil berbaring Aisyah tersenyum sendiri.
Betapa besar kasih ibu kepadanya. Dan betapa bijaksana pula ayahnya. Ah, ayahnya
juga sangat menyayangi ibunya. Hingga rela setiap hari membantu ibunya pagi
hari. Hati Aisyah terasa hangat. Kedua-dua orang tuanya telah bekerja kuat
untuk membiayai pelajaran dia dan dua adiknya. Mereka hidup mewah. Bahkan
Aisyah boleh menyertai kelas tuisyen bahasa Inggeris dan sebagainya.
Aisyah segera bangun, mengganti baju tidurnya
dengan seluar panjang dan blaus, lalu ke luar bilik.
“Pagi bu, pagi ayah! Aisyah mahu belajar
bantu ibu dan ayah buat kuih!” kata Aisyah, menghampiri meja makan tempat ayah
dan ibunya sedang bekerja.
“Pagi benar kamu bangun hari ini. Tidak
mengantuk ke?” tanya ibunya. Sambil bertanya tangannya terus saja bekerja,
mengeluarkan kuih seri muka dari dalam talam. Lalu meletakkannya empat keping
di dalam bekas plastik.
“Semalam Aisyah cepat tidur. Jadi bangunnya
juga cepat!” jawab Aisyah.
“Kamu pasang penutupnya saja!” kata ayahnya.
“Pergi basuh muka, gosok gigi, basuh tangan... kemudian baru boleh tolong ayah
dan ibu,”
Aisyah terus saja ke bilik air. Beberapa jurus kemudian dia datang semula.
“Boleh buat?” tanya ayahnya
Aisyah tersenyum. “Itu mudah, Aisyah boleh
buat. Tetapi Aisyah mahu belajar memotong kuih di dalam talam!” kata Aisyah.
“Kalau nak belajar, belajar dari ibu!”
ujar ayahnya sambil terus memasang pelekat pada bekas plastik.
Ibu segera mengajar Aisyah cara memotong
kuih seri muka tersebut. Selepas siap dipotong, kemudian mengeluarkan kuih itu
dari dalam talam. Aisyah mencubanya. Yang pertama belum begitu baik hasilnya.
Masih bengkang-bengkok garisan potongnya. Yang kedua lebih baik. Sehingga lima
kali Aisyah mencuba, akhirnya berjaya dengan baik.
“Yesss! Aisyah boleh!” Aisyah tersenyum
gembira.
Ibu dan ayahnya tersenyum. “Ha... senang kan!” ujar ayahnya.
“Iya, senang! Ini bermakna belajar juga!”
kata Aisyah sambil bekerja dengan penuh semangat.
“Hei, kamu harus mandi sekarang. Lepas tu
solat subuh. Cepat, nanti terlambat ke sekolah!” Tiba-tiba ibunya mengingatkan.
Aisyah pun segera bergegas ke bilik air untuk
mandi. Perasaan senang meliputi hatinya. Dia sudah merancang suatu kejutan.
Besok sekolah cuti, kerana hari Deepavali. Malam harinya Aisyah tidur cepat.
Ketika terbangun, suasana masih sepi. Ah, baru jam tiga pagi. Biasanya ibu dan
ayahnya bangun kira-kira jam empat.
Aisyah keluar dari bilik. Dia mengatur
bekas-bekas plastik di atas meja. Kemudian mulai memotong kuih-kuih seri muka
di dalam talam-talam yang tersusun rapi di atas meja. Ternyata makin lama dia
semakin cekap mengerjakannya. Aisyah terus asyik bekerja sehingga terdengar
bunyi pintu bilik ibu dan ayahnya dibuka.
“Laa, kamu sudah bangun?” tanya ibunya
hairan. “Tidurlah lagi, nanti kamu mengantuk di sekolah.”
“Hiii, ibu lupa ya. Ini kan hari cuti!” kata
Aisyah. “Jadi Aisyah boleh bantu ibu dan ayah. Kalau hari sekolah, Aisyah
bangun jam 5.00 pagi, boleh bantu selama satu jam saja!”
“Siapa yang menyuruh kamu?” tanya ayahnya.
“Tidak ada sesiapa pun. Aisyah hanya mahu
belajar sedikit rasa bertanggungjawab!” jawab Aisyah.
Ibu dan ayahnya bertukar pandang, lalu
tersenyum. Ibunya memeluk Aisyah dan berkata, “Macam inilah anak ibu!
Aisyah tersenyum, “Anak siaaaapaaa
niii!!!!!!!”
Mereka tertawa. Dan tidak lama kemudian ketiga-tiganya
sibuk bekerja sambil berbual-bual. Di luar fajar menyingsing. Di dalam rumah,
tiga hati yang penuh kasih menghangatkan suasana pagi.
Akan Beraksi
TANPA sebab-musabab yang jelas, tiba-tiba
Dudi berlari ke arah Ina. “Ina, ada sesuatu di rambut kamu!” ujar Dudi.
Mendadak saja Ina terkejut. Menyangka di
rambutnya ada ulat, atau lebah, atau serangga kecil lainnya. Tidak sedar, setelah
dekat Dudi mencuit hujung rambut Ina seraya menjerit, “Sim salabim!” Tiba-tiba
saja muncul setangkai bunga merah di tangan Dudi. Seolah-olah dia mengambilnya
dari rambut Ina. Ina tersipu-sipu, walau masih terkejut.
“Pandai kamu buat silap mata!” kata
Ina. Dia berterima kasih
ketika bunga itu diberikan kepadanya.
“Eh, Di! Kalau mahu buat silap mata,
beritahulah dulu. Biar kami boleh melihat kehebatan kamu!” usul Lusi, juga
rakan sekelas Dudi.
“Okey, Lus! Ni, saya mahu bermain silap mata.
Sim salabim!” ujar Dudi sopan sekali. Lantas, secepat kilat dia mencuit lengan
Lusi. Seakan-akan mengambil sekuntum bunga mawar dari situ. Bunga mawar itu pun
diberikan kepada Lusi.
“Macam mana kamu buat, Di? Kamu simpan bunga
tu di mana?” desak Lusi.
“Takkan kamu tidak rasa, apa-apa Lusi? Saya
menyimpannya di lengan kamu,” ujar Dudi. Tentu saja dia merahsiakannya.
Di dalam kelas pun Dudi sering beraksi.
Sengaja menghibur rakan-rakan dan gurunya.
“Dudi, tolong ambilkan kapur dari bilik
guru!” pinta Cikgu Latifah. Kapur tulis yang ada di dalam kelas sudah habis.
“Oh, patutlah kotak kapurnya kosong. Anwar
simpan di belakangnya, cikgu!” gurau Dudi membuatkan rakan-rakan dan Cikgu
Latifah terperanjat.
“Kamu ini aneh, Di!” gerutu Anwar.
“Mana mungkin kapur boleh disimpan di belakang?”
ujar Cikgu Latifah kehairanan.
“Silakan lihat buktinya!” tegas Dudi.
Lagi Dudi beraksi. Dari bahagian belakang
baju Anwar dia menarik satu per satu kapur tulis, “Satu, dua, tiga, empat...”
Banyak sekali kapur yang seolah-olah dia ambil dari belakang Anwar. Jumlahnya empat
batang. Terbeliak saja seisi kelas tertawa dan kagum.
“Sudah! Jangan ketawa lagi. Adegan silap mata
ini boleh diteruskan lagi waktu rehat nanti. Sekarang, buka buku pelajaran
kamu!” Cikgu Latifah menenangkan murid-muridnya.
Aksi-aksi Dudi memang menarik untuk
mengurangi ketegangan sewaktu belajar. Rakan-rakannya pun tidak merasa bosan di
dalam kelas. Sebab, Dudi suka buat kejutan. Akan tetapi, rakan-rakan sekelas
jadi hairan ketika Cikgu Latifah meminta Dudi di Bilik Guru sewaktu rehat nanti.
Semua menduga, Dudi mungkin dilarang beraksi silap mata di dalam kelas. Bahkan,
mungkin akan dimarahi. Sedangkan, mereka tidak terganggu sedikit pun oleh aksi-aski
silap mata Dudi. Ah, semua merasa kasihan pada Dudi!
Sewaktu rehat, Dudi masuk ke Bilik Guru.
Sebentar kemudian dia keluar. Rakan-rakannya sudah menunggu di hadapan pintu.
“Bagaimana, Di? Kamu dimarahi cikgu ke?”
tanya Anwar.
“Kena marah? Siapa yang kena marah?” Dudi
balik bertanya.
Dia lalu menjelaskan. Cikgu Latifah telah menawarkannya
main silap mata di atas pentas malam Ahad akan datang. Persatuan Ibu Bapa Dan
Guru akan mengadakan majlis ulang tahun. Kebetulan, suami Cikgu Latifah menjadi
Yang Dipertua PIBG dan menjadi panitia majlis. Acara hiburannya adalah muzik, tarian, dan silap
mata. Tentu sekali Dudi sanggup.
Mendengar cerita itu, Anwar, Lusi, Ina dan
rakan-rakan lainnya saling berpandangan sesama sendiri. Sejurus kemudian Anwar
berkata: “Sebenarnya, beberapa hari ini saya dan rakan-rakan bercakap hal yang serupa,”
Maksudnya, Anwar juga hendak menawarkan Dudi bermain silap mata.
Waktunya pada hari Ahad - siang. Ketika itu
ada acara pertandingan melukis kanak-kanak. Ayah Anwar menjadi ketua panitianya.
Anwar mengusulkan agar acara hiburan selingan diisi dengan aksi silap mata oleh
Dudi. Ayah Anwar setuju.
“Nah, sekarang tawaran itu saya sampaikan
pada kamu, Di! Nasib baik jadual kamu belum lagi penuh, ha... ha!” ketawa
Anwar.
“Baiklah, baiklah! Tawaran seperti itu mana
mungkin saya tolak,” Dudi menyambutnya dengan gembira. Dipandang rakan-rakannya
dengan senyuman khasnya, “Terima kasih, ya! Kamu semuanya baik. Ikut
memikirkan, bagaimana supaya kemampuan silap mata saya boleh berkembang,”
sambung Dudi dengan perasaan yang terharu.
“Kamu juga baik, Di! Kerana menghibur kami
setiap hari,” balas Lusi.
Perbualan murid-murid di hadapan Bilik Guru
itu terhenti, sewaktu loceng berbunyi. Semua masuk ke dalam kelas dengan
gembira. Lebih-lebih Dudi, pemain silap mata kecil itu. Hatinya penuh dengan
rasa gembira. Sebab, hari Ahad dan malam Ahad yang akan datang, dia akan mulai
beraksi di atas pentas.
Emak Zuria
KADANG-KADANG Zuria suka berangan-angan.
Alangkah senangnya hati bila mempunyai emak seperti emak rakannya Salmi, Puan
Amiya. Selalu nampak cantik, berkasut tinggi dan bekerja di pejabat. Langsing,
rambutnya separas bahu, berombak rapi... atau seperti emak Elsa, Puan Inah yang
bekerja di butik pakaian, selalu tampil jelita. Pakaian dan dandanan wajah
serasi. Jemarinya indah dengan warna kuku yang berganti-ganti sesuai dengan
warna bajunya. Kedua-dua emak rakan Zuria itu bagaikan pelakon drama
televisyen.
Tetapi emak Zuria, tak pernah pakai pewarna
kuku. Seharian memakai baju kurung dan bertudung rapi. Tubuhnya gemuk pendek,
dan selalu kelihatan comot dek abuk dan debu jalanan. Pagi-pagi naik basikal ke
pasar untuk membuka gerai buah. Emak Zuria menjual epal, langsat, tembikai dan
anggur. Kalau musim duku, dukulah yang dijualnya.
Emak Zuria pakai gincu bibir hanya bila pergi
ke majlis kenduri. Sebaliknya ayah Zuria selalu berkemeja lengan panjang,
kemas, dan memandu kereta milik syarikat. Dalam hati kadang-kadang Zuria
hairan. Kenapa ayah mahu berkahwin dengan emak?
Bahkan ayahnya sangat menyayangi emak. Tiap
kali pulang kerja ayah selalu bertanya tentang emak.
Hari ini Zuria pulang dari sekolah lebih
cepat kerana ada mesyuarat guru. Tetapi Zuria malas pulang, kerana di rumah
hanya ada Pak Usin, tukang kayu yang sedang memperbaiki dapur. “Lebih baik aku
ke pasar saja, ke gerai emak!” fikir Zuria.
Zuria jarang datang ke gerai emaknya. Kalau
Zuria pulang dari sekolah, biasanya gerai itu sudah ditutup dan emak pun sudah
ada di rumah. Turun dari bas, Zuria masuk ke lorong pasar. Pasar mulai sepi.
Peniaga-peniaga mulai mengemas. Emak sedang memasukkan buah epal ke dalam
kotak.
Di hadapan gerai emak ada peniaga pisang
goreng. Seorang budak laki-laki duduk di sisi gerai itu sambil mengelek kotak
berisi alatan pengilat kasut. Jelas dia bekerja sebagai pengilat kasut.
Pakaiannya kumal, kulitnya hitam.
“Mak, Zuria pulang cepat. Cikgu ada mesyuarat!” kata Zuria.
“Kalau begitu kita boleh pulang sama-sama!”
kata Mak Zaidah. “Tunggu sebentar,
emak siapkan kerja dulu!”
“Mak, ini anak mak ya?” Tiba-tiba budak
pengilat kasut bangkit dan mendekati gerai Mak Zaidah.
“Zuria, ini Ujang. Kerjanya mengilat kasut!”
kata Mak Zaidah.
Dengan perasaan yang segan Zuria meluahkan
senyum nipis. Dalam hati Zuria kurang senang. Apa kena dengan Ujang ni? Panggil
emak Zuria seenaknya. Emak? Emak siapa?
“Pak Usin masih memperbaiki dapur. Emak tak
dapat memasak hari ini. Kita makan ayam goreng saja, ya di hadapan sana!” kata Mak
Zaidah.
Zuria mengangguk. Hatinya kembali senang,
membayangkan ayam goreng, kentang goreng, ais krim.
“Mak, anak mak ni cantik. Suka benar bila
diajak makan ayam goreng!” ujar Ujang. Mak Zaidah tertawa.
“Terima kasih. Ujang pun kacak macam Shah
Rukh Khan. Ayuh, ikut saja kami
makan!” ajak Mak Zaidah.
Zuria melihat mata Ujang berbinar-binar dan wajahnya
berseri-seri.
“Betul ke ni, mak? Boleh ajak Udin sama?”
tanya Ujang penuh harap.
“Ya, ya, lekas ajak dia ke sini. Kalau terlambat, kena tinggal laa!” kata Mak
Zaidah.
Bagaikan anak panah lepas dari busurnya Ujang
berlari, meninggalkan kotak pengilat kasutnya di lantai gerai pisang goreng.
“Mak, budak tu panggil emak, bukan ibu atau
mak cik? Kenapa ye?” bisik Zuria hairan.
“Biarlah! Ibunya ada di kampung. Penjual
sayur, penjual ikan pun sering panggil emak. Apalah ertinya panggilan!” jawab Mak
Zaidah.
“Mak, tidak malu ke bawa budak selekeh tu ke
restoran?” tanya Zuria lagi. Dia gelisah kalau-kalau bertemu rakan sekolahnya
di restoran itu. Emak tersenyum dan menggeleng.
“Zuria, budak-budak itu juga manusia seperti
kita. Cuma, mereka kurang
bernasib baik. Lihatlah, betapa gembira wajah Ujang kerana diajak makan di restoran.
Biarlah sekali-sekala
kita memberi sedikit kebahagiaan pada dia!” kata Mak Zaidah.
Tepat ketika emak mengunci gerai dan
mengeluarkan basikalnya, Ujang dan Udin pun sampai. Zuria menutup hidung kerana
kedua-dua budak lelaki itu berbau hangit matahari. Udin memegang tamborin.
Rupanya dia seorang pemuzik jalanan.
“Mak, dapat rezeki banyak hari ni ya, mahu
belanja kita? Mak, saya minta paha
ayam, ya!” kata Udin tanpa malu-malu.
Mak Zaidah cuma tersenyum, lalu meninggalkan
basikalnya pada Pak Karman, penjual pisang goreng.
“Ya, tinggal saja basikalnya di sini. Asal ada
upah menjaganya!” gurau Pak Karman. Ujang dan Udin juga turut meletakkan kotak
pengilat kasut dan tamborin di situ.
Zuria terperanjat. Ah, emak tidak takut
basikalnya hilang. Emak begitu percaya pada orang.
Mereka berempat jalan ke luar pasar. Ketika Mak
Zaidah dan Zuria masuk ke restoran, ternyata Ujang dan Udin belum masuk. Mereka
bertemu dengan dua orang kawan mereka. Entah pengemis atau pemuzik jalanan,
Zuria tidak tahu.
Mak Zaidah memesan makanan dan ketika kedua-dua
budak laki-laki itu masuk, Mak Zaidah memberi isyarat agar mereka duduk.
Kemudian Mak Zaidah dan Zuria menghantarkan dulang yang berisi ayam goreng,
nasi dan minuman ringan pada Udin dan Ujang.
“Kamu cuci tangan dulu di sana,” kata Mak
Zaidah. Para pelanggan yang sedang makan memerhatikan emak dan kedua-dua budak
lelaki itu. Zuria merasa sedikit malu.
Zuria dan Mak Zaidah kembali mengambil dulang
makanan untuk mereka sendiri. Udin dan Ujang belum mulai makan, kedua-duanya
berbisik-bisik. Mak Zaidah mendekati mereka.
“Ada apa?” tanya Mak Zaidah.
“Mak, boleh tak, satu dulang ni dibawa keluar
untuk Awang dan Seman di luar sana? Nanti dipulangkan balik. Saya dan Udin
makan separuh saja! Kasihan mereka, mak!” pinta Ujang.
Zuria terkesima. Walaupun anak jalanan,
ternyata Ujang mempunyai rasa setia kawan yang besar. Dia dapat makanan enak,
dan dia tidak tergamak menikmatinya sendiri sementara dua kawannya menonton
dari sebalik kaca di luar.
“Ajak saja mereka ke dalam. Emak akan pesankan
lagi!” kata Mak Zaidah.
“Lagi-lagi menyusahkan mak! Emak kan mesti
bayar lagi!” kata Udin dengan wajah yang kesal.
“Oooh, wang emak cukup Din! Hari ini memang
Tuhan kasi rezeki pada kamu!” kata Mak Zaidah. Wajah Mak Zaidah berseri-seri dan
untuk pertama kalinya Zuria melihat bahawa sebetulnya emaknya memang cantik.
Udin dan Ujang keluar. Mak Zaidah memesan
makanan lagi untuk Awang dan Seman. Zuria bangkit untuk menolong emak
membawakan dulang. Hati Zuria terharu. Hati emaknya terlalu baik.
Ketika membayar di kaunter, juruwang berkata,
“Mak cik baik sungguh. Jarang ada orang seperti mak cik! Mahu mengambil berat soal budak-budak
miskin tu!”
“Ah, hanya ini yang mampu saya lakukan!” kata
Mak Zaidah tersipu-sipu.
Namun, dalam hati Zuria merasa bangga.
Kemudian mereka mulai makan. Keempat-empat
tetamu itu makan dengan lahap sekali. Setelah selesai, mereka mengucapkan
terima kasih. Mak Zaidah dan Zuria pulang naik teksi.
Ujang akan kembali ke pasar dan menghantar
basikal Mak Zaidah. Ketiga-tiga budak lainnya terus mengemis
dan bermain muzik di stesen bas.
Petang hari, Zuria bercerita pada ayahnya
tentang emak.
“Sejak dulu memang emak kamu berhati emas.
Itulah sebabnya ayah memilih emak kamu jadi isteri ayah!” kata ayahnya dan dia
menepuk-nepuk bahu Mak Zaidah.
Zuria tersenyum. Rasa bahagia hangat mengalir
di hatinya. Sekali lagi dia melihat emaknya yang sedang tersenyum. Kelihatan
cantik, walaupun tidak memakai gincu dan berdandan ala pelakon filem. Emak
Zuria yang berhati emas. Dan angan-angan Zuria ingin mempunyai emak seperti
emak orang lain terbang entah ke mana.
Kerja Otak
PENGHUJUNG bulan ini abang Zali mengajak Amir
melihat kampung kelahiran Kak Anis, tunangnya. Agar ada teman berbual, Amir
dibolehkan mengajak sahabatnya, Zahari. Tentu saja Zahari gembira. Sebab dia
juga belum pernah mengunjungi Kampung Guar Chempedak yang berada di utara
bandar Sungai Petani.
“Aku sudah dengar daerah itu sangat sejuk dan
tenang,” kata Zahari sewaktu kereta yang dipandu abang Zali mulai bergerak laju
merentasi Lebuhraya Utara Selatan menuju ke utara.
“Kawasan sejuk dan tenang tu di atas puncak
Gunung Jerai,” ujar abang Zali. “Kawasan kampung taklah berasa sejuk kecuali jika
musim hujan. Angin yang bertiup dari arah bendang memang menyegarkan,”
“Saya teringin nak minum susu lembu segar.
Dan kalau malam hari, kita boleh makan jagung bakar empat rasa,” tambah Amir tidak
mahu kalah.
“Empat rasa? Macam mana tu?? Rasa ayam, rasa
lembu, rasa...”
“Bukan begitu, Zahari,” ujar Kak Anis sambil
menahan senyum. “Jagungnya sebelum dibakar disapu dengan mentega dulu, kemudian
disapu pula dengan sambal manis yang pedas. Jadi waktu kita makan jagung bakar
itu akan terasa masin, lemak, manis dan pedas.”
Zahari hanya tersengih. Mereka kemudiannya mengisi
waktu perjalanan dengan main teka-teki. Banyak teka-teki baru yang dilontarkan
oleh Zahari tidak dapat dijawab oleh Amir. Seperti ketika Zahari melontarkan pertanyaan,
“Kalau lembu jadi rumput, manusia jadi apa ye?”
“Manusia jadi
nasi...”
“Sebabnya?”
“Sebab rumput itu makanan lembu, sedangkan
nasi itu makanan manusia,” jawab Amir memberikan alasan.
“Salah! Kalau lembu jadi rumput, manusia jadi
hairan. Kan menghairankan lembu boleh jadi rumput,” ujar Zahari.
Amir tergaru-garu kepala, sementara abang
Zali dan Kak Anis ketawa kecil. Permainan teka-teki mereka terhenti ketika Kak
Anis mengatakan bahawa mereka sudah memasuki perbatasan Negeri Kedah Darul
Aman.
“Wah, benar kata orang. Kiri kanan jalan
menghala ke Alor Star saujana mata memandang dengan sawah padi. Angin yang bertiup
segar dan damai. Udara di kawasan bendang mesti sejuk meski matahari bersinar
terang. Betul tak?” ujar Zahari sambil memandang ke luar jendela kereta.
“Berbanding di luar, dalam kereta lebih sejuk
lagi sebab ada penyejuk udara,” balas Amir.
“Budak kecil pun tahu,” balas pula Zahari
sambil menjegilkan biji matanya. Selepas itu matanya terus memerhatikan pemandangan yang
ada di kiri kanan jalan. Namun ketika kereta ke luar dari jalan raya menuju
jalan kampung, Zahari tercekat melihat sebuah menara usang di sudut satu
selekoh. “Rasa-rasanya saya pernah melihat tempat seperti ini,” ujarnya sambil
mengerutkan keningnya.
“Deja vu!” balas Kak Anis.
“Apa?” Zahari dan Amir saling pandang
memandang.
“Deja vu. Itu perkataan dalam bahasa Perancis.
Mereka akan berkata ‘deja vu’ kalau melihat sesuatu yang pernah mereka lihat.
Tetapi sebenarnya mereka memang baru pertama kali melihatnya,” jelas abang Zali
sambil terus memandu.
“Kenapa boleh jadi begitu, bang?” tanya Amir
ingin tahu.
“Ya, mungkin dia pernah melihatnya di dalam
televisyen, di dalam mimpi, atau sewaktu berkhayal.”
“Kalau tak salah selepas ini kita akan
melewati sebuah jambatan,” ujar Zahari lagi.
“Jangan berkhayal pula! Kamu kan baru sekali
ini ke mari,” tukas Amir.
“Apa yang Zahari kata tu memang betul! Tu di
hadapan... jambatannya,” balas Kak Anis.
Amir terperanjat. Dia memandang wajah Zahari
dengan perasaan yang hairan. “Macam mana kamu boleh tahu?” soalnya sejurus
kemudian.
“Saya sendiri pun tak tahu. Tiba-tiba saja
saya rasa macam pernah melihat semuanya.”
“Jangan-jangan kamu sekarang dah
berubah jadi macam Nostradamus. Kamu boleh tahu lebih dulu apa yang akan
terjadi, seperti cerita yang pernah saya lihat di televisyen,” ujar Amir sambil
memegang bahu sahabatnya. “Cuba, teka sekarang, kalau saya dah besar nanti,
saya akan jadi apa?”
Zahari memejamkan matanya sebentar. “Jadi
tukang sapu sampah,” katanya sambil membuka mata.
Amir terus menjegilkan matanya luas-luas.
Zahari ketawa melihat sahabatnya kesal. “Saya bergurau saja. Sungguh, saya
tidak tahu kamu akan jadi apa bila dah besar nanti,” kata Zahari meredakan
kekesalan Amir. “Lagipun apa yang saya ketahui tadi mungkin secara kebetulan
saja. Saya tidak mahu jadi Nostradamus. Saya mahu jadi seorang ahli korporat.”
“Yey, kalau begitu saya pun nak jadi ahli
korporat juga!” balas Amir.
Kereta yang mereka naiki akhirnya sampai di
halaman sebuah rumah yang basar. Mereka segera turun dan berkenalan dengan kedua-dua orang
tua Kak Anis. Pak Debasa ternyata pemilik ladang buah mangga yang luas di Guar
Chempedak. Di samping itu dia juga ada memelihara lembu tenusu untuk dijual
kepada peniaga-peniaga tempatan. Amir, abang Zali dan Zahari ditempatkan di
sebuah rumah kosong yang agak besar juga di sisi rumah Pak Debasa.
Sewaktu petang tiba mereka duduk di beranda
sambil menikmati susu segar yang sudah diolah menjadi yoghurt. Kak Anis juga
mengolah susu itu dengan tambahan coklat agar tidak terlalu masam.
“Rasanya saya juga sudah pernah berada di
tempat ini. Kak Anis, apakah tidak jauh dari tempat ini ada kolam kecil dengan
itik serati yang berenang setiap hari di dalamnya?” tanya Zahari sambil
menghabiskan yoghurtnya.
“Ya, kolam itu memang ada. Tetapi itik serati
yang biasa berenang itu tidak ada lagi. Mungkin sekitar lima tahun lalu kamu
boleh melihatnya dan....”
Kak Anis menghentikan kalimatnya untuk
berfikir beberapa jenak. Sementara Amir semakin kagum dengan sahabatnya yang
iras Nostradamus itu.
“Kakak tahu sekarang, apa sebabnya Zahari
seolah-olah pernah datang ke tempat ini,” cetus Kak Anis sejurus kemudian.
“Kamu pasti suka baca buku cerita, kan? Ingatkan kembali, apakah kamu pernah
membaca buku cerita yang berjudul Kampung Kami Tercinta?”
Zahari berusaha mengingatkannya. “Ya.. tetapi
sudah lama. Waktu itu saya dalam tahun lima dulu,” jelasnya.
Kak Anis tersenyum. “Buku itu ditulis oleh
bapa saudara Kak Anis empat tahun lalu. Isi buku cerita itu banyak melukiskan
keadaan desa ini. Termasuk kolam kecil dengan itik seratinya. Kerana itik
serati itu memang milik pak cik kakak. Kamu ingat tak nama pengarangnya? Pujangga
Marhaen kan? Itu nama samarannya,” jelas Kak Anis.
Zahari mengangguk-angguk. “Ya, betullah kak!
Baru saya ingat sekarang. Bahkan saya juga ingat kembali bahagian cerita buku
itu. Tapi buku itu memang bagus betul,” ujar Zahari.
“Ya, begitulah kerja otak kita. Ia akan
menyimpan ke dalam bahagian otak yang disebut memori, untuk apa saja yang kita
alami melalui panca indera kita. Sesekali apa yang disimpan dalam memori itu
keluar tanpa sengaja, seperti yang dialami Zahari hari ini,” abang Zali
membantu menjelaskan.
“Wah, kalau begitu tadi bukan satu
keajaibanlah! Saya fikir Zahari
benar-benar macam Nostradamus. Kan hebat kalau dia boleh jadi brilliant
macam tu,” ujar Amir.
“Lebih-lebih lagi kalau saya boleh
menyihir. Akan saya sihir kamu
jadi itik serati!” balas Zahari.
“Jangan jadi ahli sihir, hukumnya berdosa! Itu bukan pekerjaan yang disukai Tuhan!”
tegas abang Zali ikhlas.
Semuanya diam. Amir yang mulanya mahu ketawa
akhirnya turut diam.
Tipu Aping
APING memerhatikan sepasang burung yang
sedang membuat sarang di atap rumah Pak Higuchi. Rumah itu sudah lama kosong.
Tiba-tiba terdengar jeritan Kak Wia. Aping bergegas ke bilik kakaknya.
“Ada apa, kak?”
Puan Ima juga bergegas datang.
“Itu, ma!” Wia menunjuk dengan jijik ke arah
meja belajarnya.
Seekor tikus putih sedang mengendus-endus
buku-buku Kak Wia. Puan Ima terus memandang Aping dengan mata menuduh.
“Kamu yang meletakkan tikus putih itu ya,
Ping?” tukas Puan Ima.
“Tidak, ma!” balas Aping lirih.
“Habis bagaimana tikus itu ada di sana?”
“Aping lupa menutup pintu sangkarnya, ma!”
“Dengar Ping! Kalau tikus putih kamu
berkeliaran lagi, mama akan kirim kepada Pak Cik Pras,” kata Puan Ima dengan tegas.
Aping tersentak. Tidak terbayang jika tikus
putih itu jatuh ke tangan Pak Cik Prass. Pak Cik Pras, adik Puan Ima, mahasiswa tahun akhir di Fakulti Perubatan
Haiwan. Aping takut tikus putihnya itu akan dijadikan tikus kajian oleh Pak Cik
Pras.
Cepat-cepat Aping menangkap tikus putihnya
dan membawanya keluar. Tetapi dia sempat mendengar Kak Wia berkata, “Hantar
saja pada Pak Cik Pras!! Biar dirasakan!”
Malamnya, Aping melamun di sisi jendela
biliknya yang terbuka.
“Tipu, jangan nakal lagi, tau! Aku tidak mahu
kamu diberi pada Pak Cik Pras! Dia tu jahat,” kata Aping sambil membelai tikus
putih di tangannya. Melalui jendela, Aping memandang ke rumah Pak Higuchi yang
telah kosong. Aping terus melamun. Teringat pertama kali dia berkenalan dengan
Pak Higuchi dan Tipu.
Waktu itu Aping sedang memerhatikan rumah baru
itu. Tiba-tiba dia mendengar suara denting piano yang merdu. Aping pun segera mendekati
pintu rumah yang terbuka. Kelihatan seorang lelaki tua sedang menekan tuts-tuts
pianonya.
Rambut lelaki itu telah memutih. Matanya
sepet dan kulitnya kekuningan. Ketika sedar ada yang sedang memerhatikannya,
dia menghentikan petikan pianonya. Dengan segera dia berdiri lalu menghampiri
Aping yang sedang berdiri di muka pintu. Senyumannya mesra sekali.
“Siapa nama kamu?” soalnya dengan mesra.
Aping memandang sejenak. “Aprill! Tetapi saya
lebih suka dipanggil Aping!”
“Nama yang bagus! Nama saya Higuchi Tokugawa!
Kamu boleh memanggil saya… Pak Higuchi,” ujar orang tua itu.
Aping terus berkenalan dengan Pak Higuchi.
“Pak cik sendirian? Tentu sepi?” tanya Aping.
“Tidak! Pak cik ditemani Mang Udil dan Tipu!
Kamu lihat orang yang sedang memotong rumput itu? Namanya Mang Udil!”
“Habis Tipu mana?” soal Aping.
“Kamu ingin berkenalan dengan Tipu?”
Aping cepat-cepat mengangguk. Dia menyangka
Tipu itu seorang gadis kecil yang sebaya dengannya. Pak Higuchi menuju sebuah
meja besar. Di atasnya ada sangkar tikus berbentuk lingkaran. Bila tikus itu
bergerak, lingkaran itu pun turut bergerak.
“Nah, ini Tipu! Singkatan dari tikus putih!”
tangan Pak Higuchi segera meraih seekor tikus putih dan mengelus dengan sayang.
Aping tersenyum. Ternyata Tipu adalah seekor tikus putih. Dengan memberanikan
diri dia menyentuh tikus putih itu.
Sejak hari itu Aping sering bermain di rumah
Pak Higuchi. Aping diajar main piano dan mengenali alam binatang. Tetapi kini
Pak Higuchi sudah kembali ke Jepun kerana tugasnya sudah selesai.
Perpisahan itu membuatkan Aping berasa sedih.
Tetapi Pak Higuchi amat menghiburkan hati Aping. Dia memberikan Tipu kepada
Aping sebagai kenang-kenangan. Sebagai balasan, Aping memberi sekeping lukisan
buatannya berupa gambar seorang tua, seorang budak dan seekor tikus putih. Lukisan
itu menggambarkan mereka bertiga. Pak Higuchi gembira menerima pemberian Aping
yang sudah dianggapnya seperti cucu sendiri itu.
Kepakan sayap burung malam membuatkan Aping
sedar dari lamunannya. Segera dia menutup jendela bilik dan memasukkan Tipu ke
dalam sangkar.
Esok paginya, Aping sangat terkejut. Tipu
tidak ada di dalam sangkarnya. Dengan cemas Aping berlari keluar bilik mencari
Tipu. Tiba-tiba terdengar teriakan Puan Ima memanggilnya. Aping bergegas ke
bilik Puan Ima. Kak Wia ternyata sudah di sana. Puan Ima memandang Aping dengan
wajah yang geram. Di tangannya ada seekor tikus putih.
Aping termangu.
“Kenapa tikus ini ada di dalam almari baju
mama?” tanya Puan Ima dengan nada yang marah.
“Aping tidak tahu, ma!” ujar Aping jujur.
“Hmmm, sesuai dengan perjanjian, kalau tikus
ini berkeliaran lagi akan mama bawa kepada Pak Cik Pras,” ujar Puan Ima geram.
“Jangan ma!” cegah Aping.
Tetapi biarpun Aping memohon, keputusan Puan
Ima tidak boleh diganggu gugat. Dengan sedih Aping meninggalkan bilik Puan Ima.
Kak Wia memandangnya sinis.
Di biliknya Aping menangis sepuas-puasnya.
Sejak Tipu pergi, Aping jadi lebih kurus. Dia
tidak pernah lagi kelihatan bermain di halaman. Setiap kali pulang dari sekolah
Aping terus masuk biliknya dan mengunci diri. Hanya keluar pada waktu makan.
Aping merasa bersalah kerana lalai menjaga pemberian Pak Higuchi. Aping sering
bermimpi tentang Tipu.
Kak Wia memperhatikan keadaan Aping. Suatu
petang dia masuk ke bilik Aping dan tersenyum manis. Menyampah, fikir Aping.
“Ping, maafkan Kak Wia, ya? Kak Wia sungguh
menyesal sering marah pada Aping,” mohon Kak Wia yang duduk di tepi tempat
tidur Aping.
Aping membisu. Setelah berfikir sejenak
akhirnya dia mengangguk.
“Oh iya, hampir lupa! Kak Wia juga minta maaf
pada Tipu!”
“Eh? Kak Wia salah apa dengan Tipu?” tanya
Aping kehairanan.
“Ya... kerana Kak Wia yang memasukkan Tipu ke
dalam almari baju mama,” ujar Kak Wia.
Aping terkejut mendengar pengakuan kakaknya.
Rasanya dia mahu mencakar wajah kakaknya itu. Namun ditahannya kerana kakaknya
telah minta maaf.
“Ping, ke bilik Kak Wia, jum!” ajak Kak Wia.
“Ada sesuatu untuk kamu!” tambahnya lagi.
Setibanya di bilik Kak Wia, Kak Wia menuding
ke arah tempat tidurnya. Aping melihat sebuah kandang tikus berserta seekor tikus
putih di dalamnya.
“Tipu!” Aping menjerit gembira.
Dengan cepat dia meraih Tipu dan memeluk
tikus putih itu. Tipu mencicit senang melihat tuannya lagi. Kak Wia terharu
melihat keakraban Aping dan Tipu.
“Saya sangka dia sudah mati,” kata Aping.
“Nasib baik Pak Cik Pras ada banyak lagi
bahan percubaan sehingga Tipu dilupakan! Jadi kak minta kembali dan Pak Cik
Pras memberikannya,” jelas Kak Wia.
Aping memandang wajah Kak Wia. Lalu memeluk kakaknya itu dengan
tulus.
Anak Katak
HARI itu cuaca panas terik. Cikgu Azmi
mengajar dengan penuh semangat, tetapi tetap saja ada beberapa orang murid yang
kelihatan mengantuk.
“Baiklah, cukup sampai di sini dulu!” kata Cikgu
Azmi, guru Bahasa Malaysia. Beliau masih tetap berdiri di hadapan kelas sambil
menutup buku murid-muridnya.
“Masih ada waktu lima minit, cikgu!” Fahiman
mengingatkan.
“Jangan-jangan Cikgu Azmi nak buat kejutan
lagi!” duga Halim.
“Yessss, kejutan!” spontan murid-murid di
dalam kelas itu bersorak.
Cikgu Azmi tersenyum. Murid-murid tahun enam
ini memang selalu bersemangat, lebih-lebih lagi bila Cikgu Azmi mengajak mereka
bermain kuiz dan membawa hadiah.
“Murid-murid, kali ini ada teka-teki tanpa hadiah,
kerana hadiahnya ada di dalam teka-teki itu sendiri!” Ucapan Cikgu Azmi
membuatkan semua murid memasang telinga lebar-lebar. “Dengarkan baik-baik. Ada
tiga ekor anak katak di atas daun keladi yang sedang dibawa oleh arus sungai.
Salah seekornya berkata, ‘Aku mahu melompat ke dalam sungai!’ Soalannya: Ada
berapa ekor anak katak di atas daun itu sekarang?”
“Dua
ekor, cikgu! Dua ekor!” jawab Halim, sementara beberapa orang murid juga sudah
mengangkat tangan masing-masing. Cikgu Azmi menggeleng. Semua tangan yang
terangkat segera jatuh, kecuali Fuad dan Fahiman.
“Fahiman, berapa ekor?” tanya Cikgu Azmi.
“Tidak
ada lagi anak katak di atas daun, cikgu! Yang dua ekor ikut juga melompat
kerana melihat kawannya melompat!” jawab Fahiman.
“Salah.
Itu namanya katak yang suka meniru orang lain!” kata Cikgu Azmi.
“Ya, sekarang giliran Fuad pula!” kata Cikgu
Azmi.
“Di atas daun sekarang tetap ada tiga anak
katak, cikgu! Yang seekor baru nak melompat, tetapi belum melompat!” jawab Fuad.
Cikgu Azmi bertepuk tangan diikuti
murid-murid yang lain.
“Ya, Fuad memang benar. Sering kita mahu
melakukan sesuatu, niat baik ada, tetapi cuma setakat diucapkan, tidak
dilaksanakan. Itulah hadiah yang terkandung dalam teka-teki tadi. Kalau ada niat
baik, perlu tindakan, bukan sekadar niat!” kata Cikgu Azmi menjelaskan.
“Tidak boleh ‘cako’, ya cikgu!” ujar Halim.
“Apa itu ‘cako’?” Cikgu Azmi kehairanan.
“Cakap kosong, cikgu!” jawab murid-murid lain
bagaikan suara pasukan koir, disusul dengan ringgg.., ringgg... ringgg... bunyi
loceng tanda persekolahan tamat.
Murid-murid pulang. Fahiman sangat terkesan
dengan teka-teki tersebut. Tiba-tiba dia teringat banyak perkara yang mahu
dilakukannya, tetapi tidak dilakukan juga. Misalnya menelefon Lina, kawan
lamanya, membersihkan almari buku, menjahit kancing baju yang putus dan juga
melawat Tok Rahim, jirannya yang sedang sakit. Sudah dua minggu Tok Rahim
sakit, entah sudah sembuh atau belum.
Setelah tiba di rumah, Fahiman bertanya, “Bu,
Tok Rahim sudah sembuh ke belum?”
“Dengar khabarnya, sudah, tetapi belum boleh
pergi berniaga lagi! Sudah tua, kasihan dah tua-tua begitu pun masih terpaksa
berniaga cari rezeki lagi!” kata Puan Milah.
“Selepas makan, Fahiman mahu pergi ke sana
sebentar, bu!” Fahiman memberitahu.
“Baguslah! Ada kemajuan rupanya. Biasanya
kamu banyak kemahuan, tetapi banyak yang tidak dilaksanakan!” kata Puan Milah.
“Fahiman tidak mahu jadi macam anak katak,
bu!” kata Fahiman.
“Anak katak?” Puan Milah melongo.
“Nanti sambil makan Fahiman ceritakan!”
Begitulah, sesudah mengganti pakaian dan
mencuci tangan, Fahiman duduk di kerusi makan. Sambil menikmati makan tengah
hari yang lazat, Fahiman menceritakan teka-teki anak katak kepada ibunya.
Di rumahnya, Tok Rahim sedang duduk di kerusi
tamu sambil bertopang dagu. Kedut-kedut di dahinya kelihatan nyata, matanya
kuyu dan dia kelihatan lesu.
“Tok, jangan melamun. Kan sudah sembuh!” kata
Fahiman. “Ibu bagi telur ni untuk tok dan nenek!” Fahiman meletakkan bungkusan
telur di atas meja.
Nek Senah yang sedang melipat pakaian di
ruang tamu segera berkata, “Terima kasih laa! Tok kamu tu memang dah sembuh,
tetapi fikirannya masih serba salah. Ingin berniaga tapi badan tak kuat. Tak
berniaga, duduk di rumah… bosan pula!”
Di sudut ruang rumah sebungkusan plastik berbentuk
persegi panjang diam membisu, bagaikan turut merasa sedih. Biasanya bungkusan
itu diisi tauhu goreng dan dijual di sebuah gerai di stesen bas oleh Tok Rahim.
“Kalau berat, tidak usah ditanggung atau
dipikul. Tolak saja pakai troli, macam troli di lapangan terbang!” saran Fahiman.
“Benda macam itu kan mahal, Man!” kata Nek
Senah.
Tiba-tiba Tok Rahim bangkit dari duduknya.
Wajahnya berseri-seri dan matanya berbinar-binar. “Tidak, tak mahal. Aku boleh
suruh Pak Dolah tukang basikal memasang roda di kotak kayu yang aku ada.
Bawahnya dipasang kayu dulu, baru dipasang roda. Jadi kotak tu boleh ditarik!
Kamu memang hebat, Man!” kata Tok Rahim dan dia pun mengangkat bungkusan plastiknya,
meletakkannya di atas meja, memeriksa kotaknya.
“Tok
pergi dulu, ya. Kalau hari ini boleh siap, besok Tok boleh jual tauhu ni.
Walah, walah, kalau minggu lalu kamu datang ke mari, kan bagus!” kata Tok Rahim
riang, lalu keluar dari rumahnya.
“Eh, tok kamu ni... tetamu ditinggal!” kata
Nek Senah.
Hati Fahiman rasa berbunga-bunga.
“Tak apalah, nek! Saya pun nak pulang, belum
siapkan kerja sekolah lagi!” kata Fahiman.
“Kalau begitu, kita keluar sama-sama saja!”
ajak Tok Rahim.
Fahiman dan Tok Rahim menuju bengkel basikal
Pak Dolah. Tok Rahim menceritakan rancangannya dan ternyata Pak Dolah sanggup.
Tok Rahim juga bercerita tentang keresahannya kerana tidak boleh berniaga dan
juga tentang kedatangan Fahiman tadi.
“Sekarang juga akan saya kerjakan. Biar Tok
senang!” kata Pak Dolah.
“Murid sekarang ni dah pintar-pintar, panjang
akalnya. Untung ada Fahiman!”
Fahiman tersipu-sipu dan sejurus kemudian dia
memohon diri untuk pulang. Sambil berjalan pulang, hati Fahiman sangat gembira.
Ternyata antara berniat mahu melakukan sesuatu yang baik dengan mahu melaksanakannya
menjadi nyata adalah sangat jauh bezanya. Diam-diam Fahiman bertekad, “Mulai
sekarang aku tidak mahu ‘cako’ dan tidak mahu jadi anak katak lagi!”
Ya, siapa di antara kamu yang suka jadi anak
katak?
Di Rumah Siti
SELESAI sudah Emi
menyapu lantai rumah. Di luar, Dian telah menunggu untuk membeli makanan dari
gerai bergerak Pak Dahlan.
“Dah datang ke
belum?” tanya Emi riang sambil berlari menuruni anak tangga.
“Lari-lari, nanti
jatuh baru tahu,” Dian tersenyum dari atas kerusi rodanya.
Ya, dia murid tahun
lima di sebuah sekolah kebangsaan. Gerai bergerak Mak Saerah
berada di hujung jalan rumah mereka.
Gerai bergerak
yang ditolak Pak Dahlan sudah mahu bergerak. Mi dan bulatan-bulatan laksa beras
kelihatan menggunung di dalamnya. Ini sudah jam 4.00 petang. Pak Dahlan tentu
akan segera membawanya ke stesen bas dan pulang jauh malam. Jadi harus segera
kalau ingin membeli.
Siti, anak Pak
Dahlan, sedang mengupas bawang merah di atas beranda rumah. Melihat Emi dan
Dian datang dia menyapa ramah, “Emi, Dian... mahu beli laksa beras, ya? Belum
masak lagi.”
“Laa, kenapa
lambat hari n?” tanya Emi.
“Ibu saya sakit
lagi. Sekarang bapa saya mahu menghantarnya ke klinik dulu.”
Selesai Emi
bersuara Pak Dahlan kelihatan keluar sambil menuntun basikalnya.
“Mahu beli laksa
beras, ya?” Pak Dahlan memandang Emi dan Dian. “Tunggu sebentar ya! Siti akan
segera masak kuahnya dan menghiris bawang besar,” tambahnya ramah.
Siti bangkit
berdiri sambil mengibaskan belakangnya. Bawang besar yang selesai dikupas berada
dalam sebuah mangkuk yang dipenuhi air. Siti pernah beritahu bahawa bila
direndam demikian, tidak akan pedih mata ketika dihiris nanti.
Emi memapah Dian
naik dan duduk di atas beranda. Sementara Siti dan Pak Dahlan masuk ke dalam
rumah. Ada dua bilah pisau di situ, Emi dan Dian meraihnya satu-satu. Siti
nampaknya juga sedang sibuk dengan kerjanya yang banyak itu. Emi dan Dian
menghiris bawang besar di hadapan mereka tanpa diminta.
Tidak berapa lama
kemudian, Pak Dahlan dan Siti kelihatan ke luar memapah Mak Sepiah menuju ke
basikal di hadapan serambi. Tetapi sebaik saja Mak Sepiah duduk di boncengan,
tubuhnya terkulai. Dia kelihatan lemah sekali.
“Saya tidak kuat
kalau naik basikal, paknya!” ujar Mak Sepiah lirih.
“Baiklah saya akan
memanggil beca. Ayuh naik dulu,” kata Pak Dahlan.
“Mengapa mesti memanggil
beca, pak cik? Hantarlah mak cik Sepiah ke klinik dengan kerusi roda saya ni,”
ujar Dian tiba-tiba.
Gerakan Pak Dahlan
dan Siti terhenti. Segera ditoleh ke arah Dian. Dian mengangguk
meyakinkan. Emi bergegas menyorong kerusi roda berhampiran mereka.
“Aaah... kalau
begitu... terima kasih banyak,” kata Pak Dahlan setelah sejenak terpana. Rasa
gembira dan terharu berbaur menjadi satu.
Mak Sepiah telah
duduk di atas kerusi roda. Pak Dahlan menolaknya ke luar halaman, menyusur sepanjang
tepi jalan, menuju ke klinik yang letaknya sekitar sepelaung saja dari rumah
mereka. Siti berdiri mengawasi dari tepi serambi, hingga ayah dan ibunya
membelok dan hilang dari pandangan.
“Kamu turut
susah,” Siti menoleh pada Dian dan Emi yang sedang sibuk menghiris bawang besar.
“Ah, tak apa,”
ujar Emi dan Dian tulus. “Bawang besarnya tak pedihkan mata,” sambung Emi.
“Iya laaa..” Dian
mengiyakan.
Siti tersenyum
sambil melangkah ke dalam rumah. Kemudian ke luar semula, dia kelihatan membawa
sebiji piring kecil berisi ramuan untuk kuah laksa beras. Ramuan itu
dimasukkannya ke dalam periuk kuah yang berada di bahagian belakang gerobok.
Sebaik penutup
periuk dibuka, wusss... berkepul-kepul asap panas mengudara dari dalamnya.
Selepas itu, Siti masuk ke dalam rumah, dan beberapa waktu kemudian keluar semula.
Begitulah
berulang-ulang. Dia sungguh sibuk. Membuat sambal, membuat acar mentimun,
menghiris daun seledri, mencuci daun selada, dan entah apa lagi. Yang jelas dia
sibuk sekali.
“Nah, bawang besar
sudah selesai dihiris ni, Ti!” kata Emi sewaktu Siti memasukkan mangkuk ke
dalam laci gerobok.
“Terima kasih!”
Siti bergegas melangkah ke dalam rumah, membawa hirisan bawang besar yang menggunung
dalam besen untuk laksa nanti. Sementara Emi dan Dian bersandar di dinding beranda
sambil berbual.
Beberapa minit
berlalu. Selesai sudah semua kerja. Wajah Siti berseri-seri, dia sedia melayani
Dian dan Emi. Dalam soal memasak laksa beras pun Siti sudah tahu.
“Wah, rasanya
tidak ada beza dengan buatan Mak cik Sepiah atau Pak Cik Dahlan!” Emi bersuara
lalu mulutnya berdecap-decap tiada henti.
“Iya ya, Siti
pasti jadi seorang usahawan yang berjaya nanti,” gurau Dian. Emi dan Siti
tertawa mendengarnya.
Emi dan Dian baru
selesai makan laksa beras, ketika Pak Dahlan dan Mak Sepiah pulang. Di dalam
hati mereka berdoa agar Mak Cik Sepiah cepat sembuh. Siti dan Pak Dahlan
memapah Mak Sepiah masuk ke dalam rumah.
Emi menolak kerusi
roda tadi berhampiran tangga beranda. Dibantunya Dian duduk di atasnya. Tidak
lama kemudian Pak Dahlan keluar. Di lehernya terkalung sehelai tuala putih
berukuran kecil.
Ertinya dia sudah
bersedia untuk pergi ke stesen bas. Emi segera menghulurkan lima helai wang
kertas seringgit kepadanya. Itu untuk wang laksa beras Dian dan dirinya. Tetapi
Pak Dahlan tertawa.
“Wah,
jadi berapa ringgit saya harus membayar sewa kerusi roda dan rasa letih kamu
menghiris bawang besar tadi?” tanya Pak Dahlan bergurau sambil menolak wang
yang Emi sodorkan.
Emi dan Dian
terkesima. Mereka saling berpandangan.
“Kali ini kamu tidak
usah bayar. Kita tukar barang saja, ya?” nada suara Pak Dahlan masih saja
berjenaka. Lalu menolak gerobok jualan ke tengah halaman.
“Terima kasih, pak
cik!” seru Emi setelah sejenak terpana.
“Saya juga terima
kasih, pak cik!” Dian menyambung.
Pak Dahlan yang
telah sampai di tengah halaman menoleh sekilas sambil tersenyum manis.
“Sama-sama!” katanya.
“Terima kasih
untuk semuanya Emi, Dian...,” ujar pula Siti yang sudah berada di ambang pintu.
“Sama-sama,” Emi
dan Dian menjawab hampir serentak. Lantas kedua-duanya memohon diri untuk
pulang. Pulang dengan perasaan lapang kerana perut masing-masing sudah kenyang.
MyVy yang Hilang
PIN meletakkan gagang telefon. Perasaan
gugupnya belum hilang. Ini luar biasa. Tidak sangka dia boleh buat keputusan
seperti ini: Menelefon polis.
Tadi sebaik pulang dari sekolah Iwan
menumpang kereta Abang Din lagi. Sewaktu sedang berpeluh kepanasan di hadapan
sekolah, kebetulan Abang Din lalu. Abang Din adalah jiran hadapan rumah Iwan.
Orangnya masih muda. Belum berumah tangga. Baik hatinya. Semua jiran kata
begitu. Dia orang muda yang berjaya. Rumahnya paling cantik di taman perumahan
itu.
Iwan sering bermain di hadapan rumah Abang
Din. Keretanya cantik-cantik belaka. Garajnya yang besar dapat memuatkan tiga
buah kereta. Kadang-kadang dalam sebulan ada saja kereta baru yang Abang Din
bawa pulang ke rumahnya. Kata Abang Din, kerjanya menjual kereta. Jika ada yang
terjual, dibeli lagi satu.
Sudah tentu Abang Din banyak wang. Iwan
sering dibelanjanya. Kadang-kadang Iwan diajak jalan-jalan ke pantai atau ke mana saja. Dan Iwan
pasti dibelikan sesuatu. Pernah juga Iwan diajak ke pusat VCD. Disuruh memilih
sendiri filem kesukaannya. Kadang-kadang VCD itu ditayangkan di rumah Abang
Din. Mereka menonton bersama.
Tadi di hadapan sekolah, kereta yang berhenti
di hadapan Iwan adalah kereta MyVy perak metalik. Di hadapan Iwan, Abang Din
memberi isyarat supaya Iwan naik. Iwan belum pernah melihat kereta ini
sebelumnya di rumah Abang Din.
“Kereta baru ya, bang?” tanya Iwan ketika
kereta mulai bergerak.
Abang Din mengangguk. “Baru saja diambil dari
kilang. Ada bau kereta baru, kan?”
Menurut Abang Din, setiap kereta yang baru
dibeli harus diservis. Ini dilakukan supaya tidak ada sebarang kerosakan
sebelum sampai ke tangan pembeli.
“Wah, kalau begitu duit abang tentu banyak,
ni,” puji Iwan.
Abang Din ketawa. “Ah, kamu ni.. okeylah! Nanti petang abang belanja ya! Jangan ke mana-mana, tau! Ha, kamu turun di
simpang jalan tu saja, ya. Abang mahu ke bengkel,” kata Abang Din lagi.
“Apa yang nak diservis lagi?” tanya Iwan.
“Iya, nak pastikan minyak hitam, minyak berek
dan semuanya cukup. Semuanya harus dalam keadaan baik, sebelum diambil
pembeli,” terang Abang Din.
Tiba-tiba Iwan perasaan sesuatu. Dia segera menoleh ke tempat duduk belakang.
Oh ya! Bahagian belakang kereta ini, sama macam kereta ayah Hazim dulu? Iwan
kini menebar pandang ke seluruh ruang kereta. Ya! Dalamannya berwarna kelabu
gelap.
Pada dashboard di hadapannya, tatapan Iwan
terhenti. Di situ ada bekas
tempelan sticker. Iya! Pada cuti lalu, Iwan dan Hazim menempelkan sticker
monster game di dashboard. Sticker yang mereka dapat dari
dalam bungkusan makanan ringan.
Setelah turun di simpang jalan, Iwan
tertanya-tanya. “Tetapi, kereta itu bernombor plat negeri Johor. Ah, pasti sudah
diganti dengan nombor plat yang baru! Ini kereta MyVy milik ayah Hazim,
rakannya yang tinggal di Rawang, hilang empat minggu lalu!” Iwan menjerit dalam
hati. Tangannya mengepal.
Tetapi Abang Din? Apakah mungkin? Rasanya
semua penghuni di lorong tempat tinggalnya tidak akan percaya jika menuduh
Abang Din pencuri kereta. Abang Din sudah dua tahun tinggal di sini. Semua
mengenalinya sebagai orang baik-baik.
Kemudian Iwan tidak mampu menahan kakinya
melangkah menuju sebuah balai polis terdekat, untuk membuat laporan polis. Jika
Iwan tidak salah membuat tuduhan, bererti kereta ayah Hazim akan dapat kembali.
Jika salah, Iwan akan minta maaf daripada Abang Din. Dan, di dalam laporan dia memohon
pihak polis menyembunyikan identitinya supaya keselamatannya terjamin.
Empat jam setelah sampai di rumah, Iwan lebih
banyak berada di ruang tamu. Melalui kaca jendela dia mengawasi rumah Abang Din
di seberang jalan. Lebih kurang pukul empat Abang Din pun pulang. MyVy perak
metalik itu berhenti di hadapan pagar. Abang Din turun untuk membukakan pintu. Iwan
jadi berebar-debar. Apakah polis akan datang?
Belum sempat Abang Din masuk ke dalam kereta,
dua buah kereta Honda Civic putih berhenti di hadapan rumahnya. Kelihatan ada
enam orang lelaki bergegas turun dari dua kereta itu. Dada Iwan makin berdegup
kencang. Meskipun mereka tidak berpakaian polis, dari rambut dan penampilan
mereka Iwan dapat mengagak memang mereka adalah anggota polis.
Iwan tidak tahu apakah Abang Din telah dibawa
ke balai polis atau tidak. Sehingga hari gelap, Abang Din tidak datang
menjemputnya. Padahal kalau berjanji, Abang Din tidak pernah mungkir.
Sepuluh hari selepas itu, rumah Abang Din
seperti tidak berpenghuni. Dan suatu hari, Hazim menghubunginya dari Rawang.
Dia dengan gembira memberitahu bahawa kereta MyVy ayahnya sudah ditemui semula.
Sekarang ada di balai polis Teluk Intan.
Ceritanya, sewaktu kereta itu diletakkan di
sebuah tempat letak kereta di Kuala Lumpur, kereta itu telah dicuri orang. Kata
Hazim, pencurinya telah berjaya ditangkap bersama beberapa buah kereta curi
lain.
Pencuri kereta itu memang licik. Sudah
bertahun-tahun tidak berjaya dikesan oleh pihak polis. Sehingga suatu petang,
pihak polis menerima panggilan telefon dari seseorang tentang pencuri tersebut.
Tempatnya di Teluk Intan.
“Itu tempat tinggal kamu,” ujar Hazim.
Iwan tersenyum. “MyVy tu dah dibawa pulang?”
soalnya.
“Belum boleh dibawa pulang. Dan kata ayah
saya, catnya sudah diganti oleh pencuri dengan warna perak metalik. Dulu hijau
cerah!” jawab Hazim.
“Ye ke?”
“Iya. Mahu dijual barangkali. Dan nombor
platnya telah ditukar dengan nombor plat Johor,” tambah Hazim.
Iwan merasa lega. Takkan dia mahu
menceritakan pada sesiapa pun tentang semua ini. Dan selepas itu ramai penduduk
taman berbual tentang Abang Din. Iwan tidak mahu ikut menyampuk. Tetapi dia
amat kesal, kenapa pencuri itu kenalan baiknya. Kenapa mesti lelaki yang
bernama Abang Din.
iaitu diriku yang membunuh aku
akanku koyak mereka yang ada dalam diriku
iaitu diriku yang curang
air mata terurai
ketika hati membusuk
lidah kelu tidak bertulang
JINGGA
untuk mengganti warna bajumu yang telah lusuh kerana dosa
telah kubawakan jingga yang kucuri dari purnama
untuk mengganti warna kerudungmu yang pucat kerana dunia
ia akan mengalah sewaktu lengkung malam mulai rebah
bukankah tidak ada yang merindukan purnama itu
bukankah lebih baik jika jingga itu kucuri saja
lalu kujadikan hijab untukmu
tidakkah cahayanya telah redup oleh gemerlap lampu kota
tidak cukup untuk membuatmu berbinar
tidak akan kucuri lagi jingga dari sang fajar
SMahadzir
Buruk Sangka
“KAK, boleh tak
pinjam ballpen kak satu. Ballpen saya dakwatnya dah habis,” Ena
seolah-olah merayu kepada kakaknya.
Leha menggeleng.
“Kakak pun nak pakai juga!”
“Kak kan sedang
melukis!” balas Ena.
“Memang. Tapi
besok kakak ada ujian. Kalau dakwatnya habis ketika sedang ujian, bagaimana?”
ujar Leha.
“Laa… kak! Pinjam
sekejap saja, sikit saja ni, saya sedang buat kerja rumah. Malam nanti saya
ganti dengan ballpen baru,” Ena merayu lagi.
“Kalau kamu mahu
beli, pergilah beli sekarang saja. Kenapa harus tunggu sampai malam pula?”
tanya Leha.
“Dasar kedekut!” Ena
mencemek dan merajuk.
Selalu saja
begitu. Buku, pensil, ballpen, selalu saja jadi bahan pertengkaran. Leha
memang kedekut.
“Kenapa tak mahu
berusaha memenuhi keperluan sendiri. Selalu menyusahkan orang lain saja!” Leha
bersungut ketika Ena sudah pergi.
Tangan Leha sibuk
menyelesaikan sketsa gambar yang ditugaskan oleh gurunya.
“Yahuu, sekarang
tinggal nak warna saja,” kata Leha sambil segera meraih kotak cat air yang
terletak di hujung mejanya. Dan… “Alamak! Kenapa aku boleh lupa ni…” Leha
terbelalak memandangi tiub cat air yang sudah kempes itu. Satu per satu
dipicit-picit. Kering semuanya. Leha lupa bahawa cat airnya sudah habis. Dia
menggunakannya untuk mewarnai gambar Mickey yang dia lekatkan di dinding bilik.
“Aku rasa Ena ada
cat air!” Leha bergumam. “Eh, buat apa nak pinjam dari Ena. Itu bererti memberi
kesempatan kepadanya untuk meminjam barang-barangku. Aku beli saja, ah!” Dengan
segera Leha bergegas keluar dari biliknya. Di pintu hadapan tiba-tiba dia
berpapasan dengan Ena.
“Mahu ke mana kak?”
Ena hairan melihat kakaknya terburu-buru seperti itu.
Leha menunjuk ke
arah hadapan tanpa menjawab.
“Kakak lapar ya,
mahu beli pisang goreng ye...” Ena sekadar menduga.
Leha mendengus.
“Makanan saja yang ada di fikiran kamu. Kak nak beli cat air!”
“Kak...” Ena mahu
mengucapkan sesuatu tetapi tidak jadi sebab Leha sudah tergesa-gesa keluar dari
rumah. “Hairan, Kak Leha tak pernah mahu minta bantuan dari aku. Kalau dia
beritahu aku, pasti aku akan beritahu yang di kedai depan itu tak ada cat air.
Dan aku akan pinjamkan cat airku,” Ena bergumam sendiri.
Di dalam bilik Ena
menimang-nimang cat air miliknya. “Kak Leha pasti dimarahi cikgu kalau
lukisannya tak siap. Aku harus menolongnya. Tapi… biar saja ah! Dia pun
kedekut,” Ena memasukkan semula kotak cat airnya ke dalam laci meja. “Tapi kata
emak, kita tak boleh membiarkan orang yang memerlukan pertolongan dalam
kesusahan,” Ena segera mengeluarkan kembali kotak cat airnya.
“Kupinjamkan…
jangan… pinjamkan… jangan….” Ena mengira-ngira jarinya. “Ah… kupinjamkan saja.
Kasihan Kak Leha…..”
Dengan berjingkat-jingkat
dia masuk ke dalam bilik Leha lalu meletakkan kotak cat air itu di atas meja
belajar kakaknya. Tetapi belum sempat Ena keluar dari bilik tersebut, Leha
sudah pulang sambil tercungap-cungap.
“Berani kamu masuk
bilik kakak tanpa izin. Kamu mahu apa?” Leha terus marah.
“Er... er...” Ena
tergagap-gagap.
“Ayuh keluar!” Leha
segera menolak Ena keluar dari biliknya sebelum adiknya itu sempat memberi
penjelasan. Leha menutup pintu dengan kasar, lalu menghempaskan tubuhnya di
atas kerusi sisi katil.
“Uh! Apa yang
harus aku lakukan. Lukisan perlu disiapkan. Di kedai tak ada cat air. Pinjam
dari Ena? Ah, tak naklah!! Eh, apa itu?” Mata Leha tiba-tiba terpandang pada
sebuah benda di atas meja belajarnya. Kotak cat air. Dia sangat terkejut ketika
membaca sebaris nama di atas penutup kotak itu. “Ena…” Leha berbisik. “Ena
masuk ke bilikku untuk meminjamkan cat air ni… Ah, pasti ada benda yang
dimahunya…!” Leha meraih kotak cat air, lalu bergegas menuju ke bilik Ena.
“Kakak tak
memerlukan ini. Kamu pasti ingin pinjam ballpen kakak kan,” ujar Leha
sambil meletakkan kotak cat air di atas meja Ena.
Sejenak Ena tercengang
kemudian menggeleng.
“Kenapa kamu
renung kakak macam tu?” tanya Leha seolah-olah kurang senang.
“Saya dah beli
tadi. Ini!” Ena mengacungkan ballpen yang baru dibelinya.
“Habis, kenapa
kamu masuk ke bilik kakak?” tanya Leha.
“Saya nak pinjamkan
cat air itu kerana saya tahu kak pasti memerlukannya,” ujar Ena.
“Kamu….?” Leha
menatap wajah Ena lama-lama.
Ena sekadar
mengangguk.
“Err, betul ke apa
yang kamu katakan tu?” Leha bagaikan kurang percaya.
“Pakai saja,
isinya masih banyak!” balas Ena bersahaja. “Saya ikhlas demi kakak yang saya
sayang,”
Leha agak serba
salah dan ragu-ragu.
Ena mengambil dan
meletakkan kotak cat air ke tangan kakaknya. Malu-malu Leha meraihnya, lalu
memeluk Ena erat-erat. Leha menyesal kerana selama ini selalu berprasangka buruk
terhadap adiknya. Bahkan juga pada orang-orang di sekelilingnya. Hari ini Leha
telah sedar. Jika tidak kedekut, hidup jadi lebih menyenangkan.
Rasa Dihargai
SUDAH tiga hari
ini Iqah tidak melihat Mak Odah sewaktu melewati rumahnya. Mak Odah yang sudah
tua itu menghuni rumah kecil di sudut Lorong Margacinta.
Setiap kali pulang
dari sekolah, Iqah melihatnya sedang duduk di beranda. Iqah selalu menghampirinya.
Memerhatikan Mak Odah mengikat manik-manik. Biasanya mereka akan berbual
sebentar.
“Apa pelajaran
kamu hari ini, Iqah?”
“Berapa markah
Matematik, bahasa Inggeris…?”
“Apakah cikgu
sudah mengingatkan kamu yang minggu depan ada ujian?”
Iqah bertanya pada
emaknya, mengapa Mak Odah sangat mengambil berat soal pelajarannya. “Mungkin
kerana Mak Odah itu dulu bekas guru,” kata Mak Mah.
“Oh, begitu!
Kadang-kadang saya rasa malas nak menjawab pertanyaannya, mak!”
“Walau malas,
tetaplah ramah dan sopan dengannya. Kasihan Mak Odah itu. Dia tinggal sendirian
di rumahnya. Anak-anaknya tinggal jauh. Ada yang tinggal di Johor, di Alor Setar,
di Pulau Pinang…” ujar Mak Mah.
“Mengapa Mak Odah
tak mahu ikut anak-anaknya, mak?”
“Katanya, dia tak
mahu meninggalkan tanah pusakanya.”
“Apa itu tanah pusaka?”
“Tanah peninggalan
orang tua.”
Ooo! Sekarang, Iqah
berdiri di luar pagar besi rumah Mak Odah. Dia sudah rindu pada Mak Odah.
Matanya tertuju ke pintu rumah Mak Odah. Ya, seperti kelmarin dan hari sebelumnya,
pintu itu terkunci rapat. Sejak kelmarin Iqah ragu membuka pintu pagar besi
itu. Rasanya tidak sopan.
“Eh, Iqah sedang
buat apa tu?” tiba-tiba Pak Kudin menegurnya.
“Eh, pak cik…” Iqah
agak tergagap. “Mak Odah ke mana ya? Sudah beberapa hari tak kelihatan.”
“La, memangnya
kamu belum tahu? Mak Odah dibawa ke Johor Bahru oleh anaknya yang baru datang
dari sana. Kan Mak Odah kena sakit jantung…”
“Sakit jantung?” Iqah
teringat kepada arwah ayahnya. Ayahnya juga kena sakit jantung dan… meninggal
dunia. Oooh…
“Tiga hari lalu,
kami jumpa Mak Odah pengsan. Kebetulan malam itu anak Mak Odah, baru datang
dari Johor. Jadi Mak Odah terus dibawa ke sana untuk dirawat…”
Iqah pulang dengan
hati yang gundah. Mengapa Pak Kudin tidak memberitahu orang lain tentang Mak
Odah? Bukankah semua warga sekitar Lorong Margacinta mengenali Mak Odah? Ada
yang pelik, fikir Iqah.
“Bukan begitu,”
bantah Mak Mah. “Kata Pak Kudin, anak Mak Odah sudah berpesan agar dia tak
menyebarkan berita tentang Mak Odah…”
“Itu kan pelik!” tukas
Iqah. “Orang sakit, kenapa tak boleh diberitahu? Bukankah itu baik. Supaya ramai
yang akan melawat Mak Odah di hospital.”
“Ya, itupun kalau
penyakitnya tak seteruk Mak Odah,” Mak Mah mengingatkan.
Iqah terdiam. Dia
tahu, pesakit jantung akan ditempatkan di bilik khas. Yang boleh melihat hanya
keluarga terdekat saja. Ya, mungkin itulah alasan mereka, fikir Iqah.
Untuk
menghilangkan rindunya kepada Mak Odah, Iqah melakukan sesuatu. Dia
mengingatkan kembali cara mengikat manik-manik yang diajarkan oleh Mak Odah. Iqah
cuba membuat rantai dari manik-manik yang dibelinya di pasar.
“Rantai ini kamu
yang buat?” tanya Mak Mah seolah-olah ragu.
“Masih banyak lagi
yang akan saya buat, mak!” ujar Iqah.
“Siapa yang ajar
kamu ikat manik-manik ni?”
“Mak Odah. Oh ya,
belum ada khabar dari anaknya, mak?”
“Belum. Tapi Pak
Kudin dah janji akan memberitahu kita kalau ada berita terbaru tentang Mak
Odah.”
Ya, semoga doktor
akan berjaya mengubati penyakit Mak Odah, doa Iqah.
“Kalau dah banyak,
emak mahu menjualnya di bilik guru,” kata Mak Mah kembali memerhatikan rantai
manik-manik hasil buatan tangannya.
“Takkan
rakan-rakan emak mahu?”
“Kenapa tidak?
Rakan-rakan emak kebanyakan ada anak sebaya kamu. Tentu mereka menyukai hasil tangan
kamu. Asal, harganya jangan terlalu mahal…”
Iqah jadi
bersemangat. Diam-diam dia membuat pelbagai hasil tangan dari manik-manik. Ada
rantai, gelang, dompet kecil, bahkan hiasan dinding. Selepas itu, dia
menyerahkannya kepada emaknya.
“Waaaah, bukan
main! Laris betul, Iqah!” kata Mak Mah sebaik pulang dari kerja. Dia
menyerahkan hasil penjualan kerja tangan Iqah. “Tapi jangan lupa belajar, ya?
Minggu depan kan Iqah ada ujian bulanan.”
“Tentu, mak!” Iqah
berjanji. “Lagipun, saya tak mahu memperlihatkan nilai-nilai yang tak baik pada
Mak Odah nanti.”
“Oh ya. Sekarang
Mak Odah dah pulang ke sini dan dah boleh terima tetamu. Tadi anaknya ada
telefon emak. Katanya, Mak Odah ingin bertemu dengan kamu,” ujar Mak Mah.
“Oh, syukurlah…” Iqah
mengucap syukur kepada Tuhan. Setelah hampir dua bulan, akhirnya Mak Odah
berjaya mengharungi masa kritisnya. Wajah Mak Odah berseri-seri dan senyumnya
mengembang melihat kedatangan Iqah. Menurut anaknya, Mak Odah mengalami sakit
jantung kerana terkejut mendengar khabar buruk. Cucu Mak Odah meninggal dunia akibat
kemalangan jalan raya di Johor Bahru. Akibat sakit jantung itu kedua-dua kaki
Mak Odah jadi lumpuh. Tetapi, semangatnya kelihatan tinggi sekali.
Lebih-lebih lagi
sewaktu Iqah menunjukkan hasil kerja tangan dan markah-markah ujian bulanannya.
Iqah mengatakan semua itu berkat jasa Mak Odah. Wajah perempuan tua itu semakin
berseri. Dia merasa amat dihargai oleh Iqah yang sebaya dengan arwah cucunya.
Tembikar Palsu
ZAIRI amat gembira kerana diajak oleh Imran
bercuti ke kampung halamannya. Sudah lama dia ingin melihat kampung Imran di
Kedah itu. Sebab Imran selalu bercerita mengenai keindahan pantai Kuala Kedah.
Sebaik tiba di kampung itu, Zairi berasa amat takjub melihat pemandangan di
hadapannya. Hamparan laut dengan pasir yang berwarna putih, sungguh cantik
mempersonakan.
“Benar-benar indah,” puji Zairi kagum.
“Ya, lebih-lebih lagi kalau kita ke Kuala
Kedah. Kita boleh makan laksa yang terkenal itu. Bahkan di sana ada bekas
sebuah kota lama zaman penjajah,” jelas Imran.
“Petang nanti kita ke sana, kita boleh lihat
matahari tenggelam. Sekarang kita berehat dulu sambil minum air kelapa muda.”
“Boleh juga,” balas Zairi gembira kala mendengar
kelapa muda.
Mereka segera berehat sambil menghabiskan air
kelapa muda yang dipetik Pak Din, bapa saudara Imran.
“Selain ke pantai, kita boleh pergi ke mana
lagi?” tanya Zairi ingin tahu.
“Kalau mahu lihat yang aneh, ayuh kita ke
kampung nelayan,” ajak Pak Din.
“Apanya yang aneh?” tanya Zairi.
“Dua hari lalu ada seorang nelayan telah
menemui sebiji tembikar China dari dasar laut. Nelayan itu kemudiannya bermimpi
didatangi seorang tua dari Negeri China. Dalam mimpinya, orang tua itu berkata
bahawa tembikar itu ajaib. Boleh mengabulkan permintaan sesiapa saja, asalkan memasukkan
wang ke dalam tembikar itu.”
“Wah, menarik juga. Pak cik pernah ke sana?” soal
Zairi.
“Ah, pak cik tak begitu percaya cerita
seperti itu. Tapi orang kampung ini dan kampung lainnya ramai yang ke sana,”
ujar Pak Din.
Zairi menoleh ke arah Imran. “Petang nanti
kita pergi melihat tembikar ajaib itu, ye!” ajak Zairi.
“Boleh. Kebetulan pekan Kuala Kedah tak jauh
dari sana. Eh, kamu percaya ke pada keajaiban tembikar China itu?” tanya Imran.
“Tentu saja tak. Saya cuma ingin melihat
tembikar itu saja,” ujar Zairi.
Pukul empat petang mereka bergegas menuju ke
kampung nelayan tersebut. Tidak sukar mencari rumah nelayan pemilik tembikar
ajaib itu. Ramai orang yang datang ke rumahnya.
“Kalau ingin minta sesuatu, harus dengan
segera. Katanya minggu hadapan tembikar itu mahu dibeli oleh orang Kuala
Lumpur,” terdengar bisik-bisik di antara pengunjung.
Setelah menunggu cukup lama, Zairi dan Imran
akhirnya mendapat giliran. Pak Aman, pemilik tembikar itu agak terkejut melihat
Zairi dan Imran. Baru kali ini dia
menerima tetamu kanak-kanak yang berusia sekitar dua belas tahun.
“Kami dari Kuala Lumpur, pak cik! Sengaja
datang untuk minta tolong pada tembikar ajaib tu,” Zairi dengan segera
mempamerkan wang sepuluh ringgit di tangannya.
Nelayan itu segera mempersilakan Zairi dan
Imran masuk ke sebuah bilik kecil berdinding buluh. Di sudut bilik itulah
mereka melihat tembikar tersebut diletakkan. Ukurannya agak besar juga. Sekitar
setengah meter tingginya. Ada lukisan perempuan bermata sepet dengan
rumpun-rumpun buluh! Seperti umumnya lukisan China, ada tulisan China di sisi
lukisan itu.
“Katakan apa saja permintaan kamu, dan
masukkan wang ke dalam tembikar itu,” ujar Pak Aman.
Zairi menyeluk poketnya. Namun ketika dia
mengeluarkan wang, tiba-tiba sesuatu terjatuh dari dalam poketnya. Kling! Benda
itu menggolek.
“Eh, duit siling!” ujar Zairi. “Tolong
carikan. Di sini gelap. Saya tak berapa nampak sebab bilik ni agak kelam.”
Pak Aman turut membantu Zairi mencari duit
siling tersebut. Setelah agak lama baru Pak Aman berjaya menemukannya. Dengan
segera dia memberikannya kepada Zairi.
“Terima kasih, pak cik! Oh iya, permintaannya
dah saya sebutkan. Wangnya juga dah dimasukkan tadi.” Zairi lalu mengajak Imran
keluar.
Setelah jauh dari rumah itu Zairi tertawa
sendiri.
“Mengapa tertawa?” tanya Imran.
“Sewaktu kamu dan Pak Aman mencari duit
siling saya yang jatuh, saya membaca tulisan China di tembikar tu.”
“Kamu kenal huruf dan bahasa China?”
“Itu bukan huruf dan bahasa China. Setelah Saya perhatikan, ternyata itu huruf
biasa. Namun dihias sehingga mirip huruf kanji yang digunakan oleh orang China.
Bahasanya juga bahasa Malaysia. Kalau mata yang melihatnya kurang teliti, pasti
akan menyangka itu huruf dan bahasa China,” jelas Zairi.
“Habis tulisan apa yang tertera di tembikar
tu?” tanya Imran ingin tahu.
“Tembikar buatan Sayung, akhir Ogos 2010.”
“Sayung? Rasanya saya pernah dengar!”
“Takkan kamu tak tahu? Itu kan nama tempat,
pusat industri tembikar dan labu sayung di Perak yang terkenal. Jadi, bermakna
itu bukan tembikar China asli. Semua cerita tentang tembikar ajaib itu juga
palsu!” Zairi menggeleng. “Kita harus minta bapa saudara kamu melaporkan kes
ini ke balai polis. Kasihan, ramai orang kampung yang tertipu.”
Imran menelan air liurnya sendiri. “Tapi...
kita kan mahu melihat matahari tenggelam di pantai Kuala Kedah...”
“Besok sajalah! Matahari tetap akan terbit
dan tenggelam. Kita pulang dan beritahu dulu pada bapa saudara kamu tu! Ayuh!” desak
Zairi.
Imran mengangkat bahu, lalu mengikut
langkah Zairi. Zairi kelihatan tegas
dengan keputusannya. Walau bagaimanapun Imran bangga memiliki seorang rakan
secerdik Zairi.
Menjaga Adik
HARI minggu,
sememangnya Fahiman tidak bersekolah. Inilah waktunya yang sesuai untuk berehat
setelah lima hari bersekolah. Seperti hari minggu yang lalu, hari minggu ini
murid tahun lima itu tidak berniat hendak keluar ke mana-mana. Dia sekadar duduk
di rumah sambil membaca buku. Jemu membaca di atas sofa di ruang tamu, dia
masuk ke dalam bilik lalu membaca sambil berbaring di atas katil.
Oleh kerana
terlalu asyik membaca, Fahiman tidak sedar apa yang telah terjadi di
sekitarnya. Namun begitu tangisan adik kecilnya telah menamatkan keasyikkan
pembacaannya.
“Fahiman!!! Adik
kamu menangis tu! Emak sedang sibuk memasak ni!” laung Puan Hindun dari dapur.
“Fahiman nak buat
apa?” tanya Fahiman dari dalam biliknya.
“Tolong masukkan
puting dalam mulut adik kamu tu! Puting tidak ada sebab itu dia menangis!” ujar
Puan Hindun.
Fahiman mendengus jengkel, dengan raut wajah
yang masam dia menuju ke bilik adiknya. Dilihatnya, Hazimi yang masih berusia 8
bulan itu sedang menangis, selimutnya berserakan. Fahiman segera menggeleng.
Dia sudah biasa melihat kebiasaan adiknya itu. Setiap kali terjaga dari tidur
mesti melalak kerana minta puting susu.
Sebaik botol susu
dimasukkan ke dalam mulut kecilnya, tangisan terus berhenti. Hazimi hisap
dengan lahapnya.
Tidak lama
kemudian....cur!
“Alamak, betulkah
apa yang aku lihat ni? Kencing lagi. Kencing lagi!” rungut Fahiman
jengkel, “Mak, adik kencinggggg!!!!!”
“Emak masih banyak
kerja ni, Fahiman! Tolonglah gantikan seluarnya!” jawab Puan Hindun.
“Fahiman tak
pandai!!!!” jawab Fahiman cepat.
“Cubalah dulu! Jangan
cakap tak pandai sebelum cuba!!!” balas Puan Hindun.
“Uuuh, tak
mahulah! Kencing adik bau hancing!” tolak Fahiman dengan kuat.
Sewaktu suara
Fahiman mendesing garang di telinganya, Hazimi menghentikan hisapannya
sebentar. Setelah suasana diam kembali, dia meneruskan semula hisapannya. Jelas
susu di dalam botol plastik itu susut perlahan-lahan.
Susu di dalam
botol itu kini tinggal separuh, Hazimi sudah memperlahankan hisapannya.
Sesekali kelihatan dia tersenyum seolah-olah mahu mempamerkan giginya yang baru
tumbuh itu.
Manis betul senyum
itu! Kadang-kadang nampak lucu. Namun Fahiman tidak tertarik pada senyum adik
kecilnya itu. Dia bagaikan enggan melayan keinginan adiknya yang mahu dimanja
itu.
“Dik, apa nak jadi
dengan kamu ni ha? Bila tidak dapat susu, melalak! Bila dapat diam... bila dah
kenyang, kalau atas diisi, yang di bawah kencing! Apa nak jadi dengan kamu ni?”
gerutu Fahiman sambil menggeleng.
Mungkin kerana
alas tidur adiknya sudah basah, tubuh kecil itu pun kembali bergerak ke sana ke
mari seolah-olah rimas dan gelisah.
“Ha.. ha..! Nak
melalak lagilah tu!! Ha.. melalaklah... melalak!! Semalam pun macam ni juga. Habis
satu botol susu, terus kencing kemudian melalak!!!” rungut Fahiman lagi.
Belum habis
Fahiman mengomel, Hazimi pun terus menangis. Mulutnya ternganga luas
seolah-olah baru kena cubit.
“Dah mula dah!!
Dah mula nyanyi dah!!” Fahiman mengeluh panjang. “Kalau tak kencing, menangis!
Kalau tak menangis, kencing! Dua benda ni saja yang kamu tahu buat ye?”
Puan Hindun yang
sudah selesai masak dengan segera meluru masuk ke bilik. Seluar dan alas tidur
Hazimi dengan segera digantinya. Ketika itu juga, tangisan pun berhenti.
Fahiman kembali ke biliknya.
Belum lama suasana
diam, Puan Shimah, jirannya yang mempunyai anak seusia Hazimi datang menemui
Puan Hindun.
“Saya risau ni,
kak! Tidak macam selalu, sejak pagi tadi anak saya belum kencing lagi!” keluh
Puan Shimah cemas.
Dari balik bilik,
Fahiman menggerutu dalam hati. Uuh, apa kenanya dengan Mak Cik Shimah ni? Anak
tak kencing pun kalut. Baguslah kalau tak kencing. Tak payah nak salin seluar,
tak payah nak tukar alas tidur. Kalau anak tak kencing, taklah banyak kerja!
Hidung pun tak tercium bau hancing!!!!”
“Saya bimbang,
jangan-jangan anak saya sakit, kak!” suara Puan Shimah mendatar.
“Kalau begitu,
sebaiknya dibawa saja ke klinik,” ujar Puan Hindun sambil mendukung anak kecil
itu.
Fahiman yang mendengarnya jadi
terkejut dan bertanya-tanya. Dengan segera dia meluru keluar menemui ibunya.
“Ibu! Adik kecil
begini kalau tak kencing bererti sakit ye?” tanya Fahiman sedikit cemas.
“Ya! Kencing dan
menangis itu kebiasaan bagi bayi dan itu pertanda bahawa bayi itu sihat,” jelas
Puan Hindun.
Fahiman diam. Puan
Hindun tersenyum.
Ketika Fahiman
diminta menjaga Hazimi yang mulai tidur, dia tidak menggerutu lagi. Diciumnya
adiknya itu dengan penuh kasih sayang. Mungkin kerana terlalu kuat mencium,
Hazimi terjaga. Adiknya pun menangis lagi. Fahiman segera memberikannya botol
susu, adiknya pun menghisapnya dengan lahap.
“Adik! Adik, kalau
kamu nak kencing... kencinglah! Bukankah kencing itu kebiasaan
kamu? Dengan kencing bererti adik sihat!” hatinya berbisik girang.
Tidak lama
kemudian.....cur!
“Mak! Mak! Adik kencing!
Adik sihat, mak!!! Lihatlah kencingnya banyak betul, mak!” laung Fahiman dengan
wajah yang senang.
Fahiman kini tidak lagi mengeluh atau
menggerutu bila diminta menjaga adiknya.
Ibu Sudah Percaya
“HEI, kita dah
dekat nak sampai ni!” ujar Khauzairi sambil menepuk bahu Zamani yang sejak dari
tadi asyik bersandar saja.
Zamani segera
menoleh sambil tersenyum, berusaha menyembunyikan keterkejutannya. Tetapi...
“Alamak!” Zamani
menepuk dahinya.
“Kenapa, Zamani?”
Khauzairi kehairanan.
“Saya lupa nak
minta duit belanja dari ibu saya tadi,” Zamani seolah-olah kehampaan. Bagaimana
dia nak makan kalau tidak ada duit.
“Tak apalah! Itu
perkara kecil saja!” ujar Khauzairi.
“Perkara kecil
kata kamu.. habis saya nak makan nak pakai apa? Pakai taik hidung? Kamu ingat penjual
kantin tu nak ambil taik hidung saya?” Zamani bagaikan kurang senang.
“Pakai saja wang saya,”
jelas Khauzairi polos.
Beginilah jadinya
kalau terlambat bangun, bisik hati Zamani. Keluar dari rumah tergesa-gesa,
tanpa sempat bersarapan, dan yang paling parah, ya itu, lupa minta duit dari
ibu! Ibu pun lupa juga agaknya. Takkan tak tahu yang dia pergi dan pulang
sekolah dengan bas. Belum lagi untuk beli makanan di kantin sekolah.
Malam tadi Zamani
memang susah tidur. Dia terus memikirkan sikap ibunya yang tidak percaya
kepadanya. Ibu Zamani iaitu Puan Idah menganggap Zamani pemboros, tidak pandai
menggunakan wang, suka belanja yang bukan-bukan, dan banyak lagi tuduhan lain
yang Puan Idah luahkan pada Zamani.
Yang membuatkan
Zamani paling kesal ialah Puan Idah memperlakukannya seperti murid tahun tiga
sedangkan dia sudah pun dalam tahun enam. Setiap kali duit belanja sekolah nak
dihulurkan, ada saja leteran yang keluar dari mulut Puan Idah. Sebal sungguh
hati Zamani mengenangkan tingkah ibunya itu.
“Ibu saya ni
kadang-kadang susah sikit saya nak cakap, Ri! Bila saya minta duit belanja,
ada-ada saja yang akan dileternya. Kalau dah terlupa begini, saya juga yang
susah. Nasib baik ada kamu. Kalau tidak, pada siapalah agaknya saya nak minta
sedekah,” Zamani melontarkan kekesalannya ketika mereka turun dari bas.
Khauzairi
tersenyum. “Itu pun kamu masih lagi bernasib baik sebab ibu kamu tetap juga
beri duit belanja setiap hari. Cuma bila dia terlupa atau kamu yang terlupa nak
minta saja. Ada orang lain terpaksa bawa bekal ke sekolah kerana ibu bapanya
langsung tak ada duit. Kira, kamu ni lebih bernasib baik,” balas Khauzairi.
“Eh, Zamani! Mungkin juga ibu kamu ada sebab kenapa dia selalu meleteri kamu agaknya..”
“Sebab apa? Saya
tak pernah buat apa-apa salah pada ibu saya.. saya juga tak pernah berbohong
pada ibu saya,” tegas Zamani.
“Manalah tahu,
mungkin kamu pernah melakukan apa-apa perbuatan sehingga ibu kamu menganggap
kamu pemboros. Cuba ingatkan kembali....”
“Mmm, dulu saya
memang pernah melakukan kesalahan. Dulu ibu saya selalu memberi saya duit
belanja untuk seminggu. Tetapi baru masuk hari keempat, duit tu dah habis saya
gunakan. Sejak itulah ibu saya memberiku duit belanja secara harian,” jelas
Zamani.
“Ha, itulah
sebabnya. Jadi memang ada alasannya kan, ibu kamu tidak memberi duit secara
mingguan kepada kamu.”
“Ya... tetapi itu
dulu, Ri! Sekarang saya dah insaf tapi ibu saya masih belum mahu mempercayai saya.”
Khauzairi
tersenyum. “Zamani, kamu harus berusaha mengembalikan kepercayaan ibu kamu
dengan melakukan sesuatu.”
Zamani mengerutkan
dahinya, “Melakukan apa?”
“Cuba kamu ketepikan
atau simpan sedikit duit belanja kamu setiap hari. Tunjukkan pada ibu kamu
bahawa kamu mampu berjimat dengan duit belanja harian tu. Mudah-mudahan ibu
kamu akan berubah fikiran tentang kamu.”
“Kamu yakin itu
akan berhasil?” Zamani sedikit ragu.
“Cuba dulu, kalau
kamu tak cuba, macam mana kamu nak tahu!”
Ya, memang tidak
ada salahnya ikut nasihat atau saranan Khauzairi, fikir Zamani. Lagipun
cadangan Khauzairi memang masuk akal. Cuba mendapatkan kembali kepercayaan ibu
dengan melakukan sesuatu. Bukan dengan janji dari bibir seperti biasa.
Zamani pun mulai
menyimpan sedikit duit belanja yang diberi oleh ibunya. Dia juga mulai
belajar mencatatkan apa juga pembelian biarpun lima sen. Tanpa terasa dua
minggu pun berlalu.
“Ah...” Zamani
menarik nafas lega kala memandang catatan-catatan perbelanjaannya di kotak
bekas coklat di atas meja belajarnya. Terdapat juga baki duit belanja yang disimpan
selama ini. “Kenapalah dari dulu aku tak menabung begini,” ujarnya dalam hati.
“Tidak perlu
menyesal. Tidak ada kata terlambat untuk melakukan kebaikan, sayang...” suara
merdu berbisik di telinga Zamani. Zamani segera menoleh.
“Ibu...”
Puan Idah tersenyum
sambil mengusap rambut Zamani. “Ibu tahu kamu sedang berusaha untuk berubah.
Dalam diam ibu selalu memerhatikan apa yang kamu lakukan.”
“Terima
kasih bu! Cuma...” Zamani menggaru-garukan kepalanya.
“Cuma apa!” Puan Idah
mengerutkan dahinya.
“Ibu jangan lupa
lagi bagi duit belanja pada saya setiap hari. Kalau ibu lupa, terpaksalah saya
berhutang dengan kawan bila waktu rehat. Bila balik pula, saya terpaksa
berhutang dengan kondakter bas,”
“Ha.. ha.. ha, itu
tidak akan terjadi lagi, sayang. Mulai besok ibu akan memberikan kamu duit
belanja secara mingguan. Jadi, kalau kamu lupa bawa duit ke sekolah, bukan
salah ibu lagi!” Puan Idah menjentik hidung Zamani.
Zamani memeluk ibunya erat-erat. Zamani sangat gembira. Bukan kerana dia
mendapat duit belanja sekolah secara mingguan, tetapi kerana kepercayaan ibu
terhadap dirinya. Zamani inginkan hari segera pagi. Dia sudah tidak sabar ingin
memberitahu semuanya kepada Khauzairi.
Patung Peringatan
SELAMA ini Hamizan
merupakan seorang murid yang periang, suka bercerita, suka berbual dan suka
bergurau dengan rakan-rakannya yang lain. Dia jarang termenung, jarang bersedih
dan jarang memencilkan diri dari rakan-rakannya. Semua rakannya amat senang
dengan sikap yang ditunjukkan oleh Hamizan.
Hamizan juga sering menjadi tempat
rakan-rakannya mengadu masalah mereka. Dia seolah-olah pakar penasihat yang
mampu memberi cadangan atau pendapat kepada rakan-rakan yang lain terutama yang
mempunyai apa-apa masalah. Cuma jika sesuatu masalah itu terlalu besar, barulah
Hamizan akan membawa mereka bertemu dengan guru penasihat.
Guru-guru juga
amat mengenali Hamizan. Selain dari pandai, Hamizan juga aktif dalam sukan dan
kokurikulum di sekolah. Dia merupakan pemain pasukan
bola jaring dan pembaca sajak. Amizan memang aktif dalam kedua-dua bidang ini.
Di dalam
pertandingan deklamasi sajak peringkat daerah, Hamizan pernah mendapat tempat
pertama. Kejayaannya telah menaikkan nama sekolah. Guru Besar dan semua guru
yang lain amat berbangga dengan kejayaan yang telah berjaya dirangkul oleh
Hamizan itu.
Namun begitu,
sejak kebelakangan ini Hamizan menjadi pendiam. Hamizan sering menyendiri dan
melamun. Bahkan pernah, ketika waktu rehat tiba-tiba air mata Hamizan mengalir
membasahi pipinya yang gebu itu.
Khuzaimah yang
duduk di sebelahnya berasa hairan. “Kenapa Mizan? Kenapa kamu menangis ni?”
soalnya sungguh-sungguh ingin tahu.
Hamizan tidak
menjawab.
“Kalau kamu ada
masalah, beritahulah saya! Mudah-mudahan saya dapat
menolong kamu!”
Hamizan tetap juga
diam.
“Sudahlah, Mizan!
Janganlah kamu menangis lagi. Kalau dilihat oleh rakan-rakan
kita yang lain, apa pula kata mereka. Tentu mereka akan berfikir yang
bukan-bukan pada kamu!” ujar Khuzaimah.
Tetap diam.
“Kamu tak boleh
begini terus-terusan. Kamu mesti meluahkan apa juga masalah kamu. Kamu tak
boleh pendamkan dalam dada. Kalau saya tak dapat bantu kamu, kita boleh bertemu
dengan guru penasihat. Mungkin dia dapat membantu. Jadi, saya harap kamu sedia
memberitahu saya apa masalah kamu yang sebenarnya!”
Hamizan berusaha
menahan tangisannya. Air mata segera diseka dengan hujung tudung putihnya.
Pulang dari
sekolah hari ini Hamizan semakin gelisah. Biasanya kalau hari Sabtu begini
Hamizan paling bersemangat. Selain besoknya cuti, hari Sabtu selalu istimewa
baginya. Sebab ayahnya yang bekerja di Alor Star pasti akan pulang.
Hamizan dapat
bertemu dengan ayahnya hanya pada hari Sabtu dan Ahad. Dalam seminggu, hanya
dua hari itulah dia dapat bermesra dan bergurau senda dengan ayahnya. Pada
hari-hari yang lain, ayahnya jauh di utara Malaysia kerana urusan tugas
pejabat.
Tetapi hari Sabtu
kali ini suasananya berbeza sekali. Segala yang indah seperti sebelum ini,
melenyap entah ke mana. Semuanya bagaikan kabus pagi yang menghilang kala
disirami cahaya matahari.
“Makan dulu,
Mizan! Tenaga kamu kan banyak terbuang di sekolah,” tegur Puan Khalilah.
Hamizan hanya
menggeleng.
“Masih kenyang,
bu!”
Hamizan masuk ke
dalam bilik dan merebahkan badannya di tempat tidur. Fikirkannya mulai
melayang. Yang membuatnya sedih ialah ayahnya telah berjanji akan
menghadiahkannya anak patung beruang besar yang harganya mahal.
Namun, dua hari
lalu Hamizan telah menerima satu tamparan yang hebat dalam sejarah
persekolahannya. Peratus markah untuk ujian tahunannya merosot teruk. Huruf C
tertera di barisan subjek matematik. Sedangkan dalam peperiksaan sebelumnya
Hamizan mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran.
Ayahnya, Encik
Fahmi belum tahu hasil keputusan peperiksaan ini.
Menjelang malam,
terdengar ketukan di pintu. Encik Fahmi segera masuk sambil menjinjing sebuah
bungkusan yang sangat besar. Wajah Encik Fahmi berseri-seri. Tetapi Hamizan
bersembunyi di sebalik bantal. Hamizan tidak berani memandang wajah ayahnya
yang berbinar-binar itu.
“Mizan!!!” panggil
Encik Fahmi sambil duduk di birai katil tidur Hamizan.
Hamizan tidak
berani menjawab. Hamizan tahu ayahnya pasti sangat marah. Kemudian, terdengar
suara ibunya Puan Khalilah yang juga sudah masuk ke biliknya.
“Mizan, bangun
sayang!” kata Puan Khalilah sambil menyentuh bahu Hamizan. “Masalah tidak akan selesai kalau kamu hanya
sembunyi di sebalik bantal.”
Hamizan akhirnya
menggeser bantalnya. Sambil tertunduk, Hamizan duduk di sisi Encik Fahmi.
Dengan
memberanikan diri, dipandang wajah ayahnya yang kelihatan kecewa. Hatinya pedih
dan sebak.
“Maafkan Mizan,
ayah!” katanya perlahan-lahan. “Mizan terlalu banyak main. Mizan terlalu aktif
dalam sukan dan aktiviti kokurikulum di sekolah sehingga mengabaikan pelajaran.
Jangan marah ya, ayah!”
Encik Fahmi
menghela nafas. “Ayah tidak marah. Keputusan peperiksaan kamu
adalah dari hasil usaha kamu sendiri selama ini. Keputusan kamu yang
sebelumnya, bagus, cemerlang. Sayang kalau hasil usaha keras kamu dulu itu jadi
sia-sia,” ujar Encik Fahmi sambil tersenyum mesra.
Hamizan terdiam.
Encik Fahmi
berdiri lalu menyerahkan bungkusan yang dibawanya pulang tadi.
“Anak patung ini
ayah beli untuk kamu. Apa pun hasil keputusan peperiksaan kamu,
terimalah!”
Hamizan menerima
hadiah anak patung itu dengan hati yang sebak dan pedih. Ketika Encik Fahmi
kembali ke Alor Star, Hamizan hanya mampu menatap mata bening beruang yang
berada di hadapannya.
“Beruang, duduklah
kamu di situ sambil melihat aku belajar. Kalau aku malas lagi, aku akan
mengingati kamu sebagai hadiah atas kesalahanku.”
Anak patung itu
masih duduk di atas tempat tidurnya. Hamizan memandangnya setiap ketika. Kini
patung beruang itu menjadi peringatan ketika Hamizan malas belajar atau membuat
ulang kaji. Pandangan matanya seperti memberinya peringatan dan amaran bahawa
kalau malas membuat ulang kaji, keputusan peperiksaan tidak akan cemerlang.
Semangat untuk Belajar
SUDAH hampir
seminggu padang pinggir sekolah kami dipenuhi sepasukan fun-fare. Ada
kincir pusing, rumah hantu, kereta api mini, topeng monyet, tembak bola kecil
dan pelbagai lagi jenis hiburan.
Padang kecil yang
biasa kami gunakan untuk bermain bola itu kini dipenuhi dengan pelbagai gerai
permainan. Tiket yang dijual dengan harga RM 10.00 sentiasa saja habis terutama
pada malam minggu.
Di sisi kincir pusing
ada seorang budak lelaki yang pandai bercakap menggunakan alat pembesar suara.
Suaranya melengking tinggi membuatkan orang ramai jadi tertarik dan membeli
tiket untuk menaiki kincir pusingnya.
Ketika bertugas,
dia selalu berpakaian rapi. Memakai kot dan tali leher berbentuk kupu-kupu,
serta kasut berwarna gelap. Dia juga sering datang ke tepi pagar sambil melihat
ke arah kelas kami. Jika kami dekati, dia segera lari masuk ke dalam
kawasan fun-fare tersebut.
Suatu petang aku
dan kakakku menemani adikku yang teringin hendak naik kincir pusing. Aku
bersemangat sekali kerana sangat suka melihat gelagat budak penjaga kincir
pusing tersebut.
Namun petang itu
dia hanya duduk-duduk di bangku di hadapan pintu masuk sambil membantu menjual
tiket. Wajahnya kelihatan lesu.
“Hai, kenapa tak
berpakaian cantik hari ni?” tanyaku sambil tersenyum kepadanya.
“Saya tak berapa
sihat,” jawabnya sambil mengoyak tiket lalu diserahkan kembali sebahagian lagi
kepada pengunjung.
“Kamu sakit apa?”
soalku lagi sambil mendekatinya. Adikku sudah naik kincir pusing bersama
kakakku.
Dia tidak menjawab
tetapi balik bertanya. “Kamu tak mahu naik ke?” Dia tersenyum sedikit.
“Malaslah!
Lagipun, saya tak berapa minat nak naik kincir pusing tu! Gayat dan pening!”
jawabku panjang lebar.
Kami berbual-bual
agak lama juga. Setelah adik dan kakakku turun, aku terpaksa berpisah
dengannya. Oh ya, nama budak itu ialah Riyanto, warga Indonesia tetapi fasih
berbahasa Melayu. Maklum sudah lama di sini.
Dia ikut rombongan
fun-fare itu kerana bapanya adalah penjaga kincir pusing itu. Katanya,
mula-mula bapanya tidak mengizinkan dia ikut sama dalam pasukan fan-fare
itu, kerana dia perlu bersekolah. Tetapi kerana pernah ikut rombongan sewaktu
cuti panjang, Riyanto jadi seronok dan tak mahu sekolah lagi.
“Saya sudah melihat hampir semua bandar di Semenanjung
Malaysia ini,” kata Riyanto bangga sewaktu kutanya apa seronoknya bekerja
dengan pasukan fan-fare itu. “Tetapi persekolahan saya jadi tak menentu.
Akhirnya saya minta berhenti saja dari sekolah. Bapa saya benarkan. Saya pun
terus bekerja...,”
“Kamu tak menyesal
ke? Bukankah belajar itu lebih baik dari bekerja? Lagipun, kamu masih lagi
kecil.. perlu bersekolah! Kalau kamu bersekolah sampai masuk universiti, tentu
kamu akan dapat kerja yang lebih baik bila kamu sudah besar nanti. Gaji yang
kamu dapat juga tentunya lebih banyak. Kamu betul-betul rugi kerana berhenti
sekolah terlalu awal,” kataku menyedarkannya.
“Ya, kini saya
rasa menyesal pula kerana berhenti sekolah,” balas Riyanto sambil mengeluh
panjang.
Sejak kebelakangan
ini Riyanto tidak pernah lagi kelihatan di tepian pagar sekolah kami.
Rupanya dia
masih belum sihat. Sakitnya membuatkan dia malas keluar. Padahal suaranyalah yang
membuatkan orang ramai tertarik untuk naik kincir pusing.
Pada suatu
hari, suara riangnya kembali terdengar.
“Ayuh.. ayuh.. ayuh! Bapa-bapa, ibu-ibu,
kakak-kakak, adik-adik semua!!! Bersama kami terbang ke angkasa, berputar,
rasakan ketegangannya... kalau tak biasa pening, jangan naik ya! Nanti muntah atas
kepala penumpang lain! Kalau gayat juga jangan naik ya! Nanti menjerit macam
Tarzan atas pokok!!!! Ayuh.. ayuh... ayuh... rasa sekali tentu mahu naik
lagi!!!” begitu jeritnya diselangi jogetan kecil mengikuti irama muzik yang
keluar melalui pembesar suaranya.
Aku bderasa
gembira kerana dia telah sembuh. Melihat aku mendekatinya
Riyanto segera melambaikan tangan sambil tersenyum.
“Besok saya mahu
pergi ke sekolah kamu, boleh tak?” soalnya sebaik saya tiba di hadapannya.
“Oo...bbbooo...leh..
boleh!!” jawabku sedikit gugup.
Petang itu aku
naik kincir pusing secara percuma. Riyanto paksa, kalau tidak aku
tak mahu naik. Lagipun, Riyanto menemaniku naik kincir pusing tersebut.
Pagi berikutnya
kulihat Riyanto sudah berada di sisi pintu pagar sekolah. Melihat aku, dia
tersenyum dan melambaikan tangannya. Kali ini pakaiannya kemas walaupun tidak
memakai seragam biru putih macam pakaian seragam sekolahku.
“Saya ikut kamu ke
dalam kelas, boleh tak?” soal Riyanto.
“O...boleh...apa salahnya!” jawabku tanpa
fikir panjang. Sedangkan aku belum minta izin daripada guruku. Tetapi aku yakin,
apa salahnya. Riyanto ingin belajar. Biarlah dia belajar. Belum sempat aku
berfikir lebih panjang, loceng masuk sudah berbunyi.
Kami masuk ke
dalam kelas. Riyanto duduk di sampingku. Rakan-rakan yang lain kehairanan
melihat aku bersama seorang budak lelaki yang penampilannya agak lusuh. Belum
sempat kukenalkan Riyanto kepada rakan-rakan, Cikgu Latifah sudah pun masuk.
“Selamat pagi
semua!!!” ucapnya seperti selalu.
“Selamat
pagiiiiii, cikgu!!!” jawab kami serentak.
“Eh? Itu siapa?”
tanya Cikgu Latifah agak terperanjat sambil menudingkan jarinya ke arah
Riyanto.
Aku diam. Bingung.
Riyanto menginjak kasutku. Aku diam juga. Kulihat Cikgu Latifah mendekatiku
tetapi aku tidak berani memandang wajahnya.
“Kamu baru
berpindah ke sekolah ini? Berpindah dari sekolah mana?” tanya Cikgu Latifah
lagi.
Riyanto
menundukkan kepalanya. Kakiku diinjaknya sekali lagi.
“Sudah lapor pada
Guru Besar?” Cikgu Latifah terus bertanya.
Riyanto mulai
gelisah. Keringatnya mulai menitis dari dahi dan bawah telinganya. Tiba-tiba dia
berdiri dan berlari keluar kelas. Tanpa fikir panjang kukejar dan kuajak
kembali ke kelas.
“Maaf, cikgu! Ini
rakan baru saya, namanya Riyanto! Riyanto.... Riyanto ini bekerja dengan fun-fare
di sebelah sekolah kita tu, ikut ayahnya. Dia teringin nak belajar, cikgu!
Sebab itulah dia datang ke mari!” jelasku berterus terang.
“Ya, saya ingin
bersekolah lagi. Saya menyesal ikut ayah bekerja di situ..,” ujar Riyanto
sambil meramas-ramas jari-jarinya.
Cikgu Latifah
memandang wajah Riyanto dengan penuh kemesraan.
“Kamu yang setiap petang menjadi juru acara di
tepi kincir pusing tu, ya?” tanya Cikgu Latifah sambil tersenyum.
“Ya, cikgu!”
jawabku bagi pihak Riyanto.
“Betul kamu nak
belajar?” tanya Cikgu Latifah lagi sambil memegang kedua bahu Riyanto. Riyanto
mengangguk sambil tersenyum.
“Bagus! Kalau kamu
betul-betul nak belajar, duduklah. Cikgu tak kisah. Baiklah, mari kita mulai
pelajaran hari ini dengan mendengar cerita dari rakan baru kita ini. Setuju
tak?” tanya Cikgu Latifah.
Tanpa disuruh kami
bersorak gembira.
Mendengarkan
cerita Riyanto, kami jadi lebih bersemangat untuk belajar. Ya, Riyanto mengajar
kami bagaimana mahu menjalani dan mengisi hidup ini. Dia juga telah mengajar
kami supaya tetap bersemangat untuk belajar!
Komputer Riba
SEJAK dihadiahkan
komputer riba oleh ayahnya, Salmi selalu bercakap soal komputer riba saja.
Sebuah alat elektronik tercanggih di abad ini, begitu kata Salmi tentang komputer
ribanya. Salmi bercerita tentang komputer ribanya itu pada rakan bermainnya,
rakan di sekolahnya, atau rakan di tempat tuisyen bahasa Inggerisnya.
“Semalam abang
saya bawa game disc dan kami memainkannya di komputer riba,” cetus Salmi
pagi itu sebelum masuk kelas, di hadapan para pendengar setianya.
“Ah, saya sikit
pun tak hairan,” begitu kata Zarina yang mulai jengkel melihat tingkah ketua
kelasnya itu.
“Abang kamu itu
kan sudah bergelar mahasiswa. Takkan masih main game lagi?” tanya Haris.
“Yeah, refreshing,
refreshing daripada stres otak diamuk pelajaran terus!” kata Salmi dengan
gayanya yang tersendiri.
“CD game boleh
dimainkan di komputer riba, ya Mi?” Udin kehairanan. “Setahu saya, CD hanya
boleh dimainkan di televisyen.” Seperti pernah dilihatnya di rumah Omar, sepupunya.
Sebenarnya dia berpura-pura bodoh dalam soal itu. Walaupun di rumahnya tidak
ada komputer riba tetapi dia selalu menggunakan komputer di kafe siber.
“Boleh ah, Pin! Sebab itulah kamu mesti
berjinak dengan komputer riba. Jangan asyik main dam dan catur atau main bola saja!”
ujar Salmi seolah-olah mengejek Udin. Padahal, semua pelajar sekolah itu sudah
kenal siapa Udin Hamid, pelajar yang sering ke kafe siber untuk bermain komputer.
Udin juga seorang pelajar yang pandai.
Sejak darjah empat
hingga darjah enam, Udin selalu dapat nombor pertama. Ibunya seorang pengarang
cerpen dan novel kanak-kanak. Udin sering membantu ibunya menaip skrip novel di
komputer. Terutama kalau ibunya sedang diburu waktu, digesa para penerbit
karya-karyanya yang terbaru.
“Sombong betul Salmi tu!” gerutu Zarina
kasihan melihat sahabatnya diejek begitu. Namun, Udin kelihatan sabar dan
tersenyum manis.
“Kalau begitu, boleh saya ke rumah kamu, Mi?”
kata Udin beberapa jurus kemudian.
“Buat apa?” Salmi menatap
wajah Udin kehairanan. “Kamu kan tidak suka pergi ke rumah rakan. Tetapi kalau
kamu nak belajar komputer riba, datanglah! Saya akan ajar kamu sampai pandai,”
ujar Salmi bagaikan mahu mengejek Udin lagi.
“Hei, Salmi!” tiba-tiba Zarina
bersuara jengkel. “Hati-hatilah sikit kalau mahu bercakap,”
“Yeee-aah, don’t be angry, friend!”
Salmi cuba menenangkannya, “Di rumah saya setiap ketika saya duduk di hadapan komputer
riba. Sebelum datang ke sekolah tadi, saya juga sempat memainkannya. Pulang sekolah,
sebelum tidur....”
“Waaaah!” ujar rakan-rakanya
yang lain kekaguman.
“Begitulah guys..
kalau mahu jadi celek komputer riba!” kata Salmi sambil melangkah lebar, keluar
dari kelas.
“Sombongnyaaa!!!!!”
desis hati Mila.
“Huh, kalau setiap
ketika duduk di hadapan komputer riba, bila masa solatnya, bila pula masa
belajarnya? Mahu gagal dalam periksa nanti..” ujar Yusni.
Sebaik pulang dari
sekolah, Udin terus menuju ruang kerja ibunya. Biasanya terdengar suara ibunya.
Namun, hari ini ibunya sudah memberitahunya akan pergi menghantar naskhah skrip
ke syarikat penerbitan yang mahukan karyanya.
Udin tidak ingat
lagi, sejak bila dia tahu ibunya seorang pengarang. Barangkali sejak dia pandai
membaca. Di rak buku ada banyak karya ibunya, lalu dia pun mulai membaca
buku-buku cerita itu. Ceritanya bermacam-macam dan seronok bila membacanya!
Kadang-kadang
sampai larut malam ibunya di hadapan komputer yang besar dan berat itu. Semuanya
kerana mahu menyiapkan skrip novel atau cerpen yang mahu dihantar kepada syarikat
penerbitan.
“Ya, andainya emak
mampu membeli sebuah komputer riba yang nipis dan ringan....” fikirnya sambil
mengelus-elus komputer biasa yang diberi nama Si Gemok oleh ibunya itu.
Udin pernah
menyebut tentang kecanggihan komputer riba kepada ibunya. Komputer riba yang
selalu dilihatnya di kafe siber ketika menghabiskan masa di situ.
“Kalau guna komputer
riba kan mudah dibawa ke mana-mana. Emak boleh bekerja di mana-mana saja yang
emak suka sebab komputer riba tu boleh dibawa ke mana saja dalam beg galas!”
Udin seperti
mempromosi komputer riba kepada pembeli. Waktu itu ibunya hanya tersenyum
lembut. Kemudian berkata, “Udin, bukannya emak tidak mahu pakai komputer riba.
Hampir semua pengarang rakan emak memang sudah pakai komputer riba....”
“Habis tu, mak pun
belilah satu... cepat sikit. Kalau tidak orang akan kata sudah ketinggalan
zaman!” ujar Udin.
“Yalah, tengok
sajalah nanti,” emak meneruskan pekerjaannya.
“Masalahnya tentu
sekali kerana belum ada wang,” fikir Udin. Ayah Udin telah meninggal dunia beberapa
tahun yang lalu. Emaknya terpaksa bekerja kuat untuk meneruskan hidup bersama
dua orang anak. Untuk belanja kuliah abang Amir di Universiti Teknologi Malaysia,
emaknya harus membanting tenaga. Belum lagi sewa rumah, belanja sekolah Udin.
Ah, kasihan emak!
Tiba-tiba Udin
berasa menyesal kerana selalu mendesak emaknya supaya membeli sebuah komputer
riba.
Mengapa mesti
cepat panas hati oleh cabaran Salmi? Akibatnya saja sekarang sudah jelas
kelihatan. Prestasi pelajaran Salmi merosot terus. Salmi sudah berjaya
dikalahkan oleh Nani. Sudah beberapa kali juga Cikgu Haninah menegur Salmi.
Kerana murid darjah enam itu sering mengantuk di dalam kelas. Tentu dia terlalu
asyik di hadapan komputer ribanya sehingga jauh-jauh malam!
Hari sudah petang
tetapi emak belum pulang juga. Udin jadi gelisah dan bimbang.
Bagaimana kalau
terjadi sesuatu kepada ibunya? Oh, Tuhan, tolong lindungi emakku, doanya dalam
hati.
“Biarlah kami
tidak ada komputer riba. Asal emak pulang dengan selamat. Komputer tua yang
sangat berjasa ini kan masih boleh dipakai,” doa Udin ketika solat Asar.
Akhirnya emaknya
pulang juga. Sebaik menjenguk di muka pintu, Udin terus memeluknya, menciumnya
penuh kasih sayang. Dia berasa amat senang sekali. Dan lebih lega dan
gembira lagi ketika melihat ole-ole yang emak bawa pulang.
“Komputer riba,
mak? Dari mana? Kata mak, belum ada wang?”
“Ini hadiah dari
penerbit emak. Kerana ada novel emak yang laris di pasaran,” ujar emak tenang
sekali. “Sebab itulah emak pulang lambat sikit. Menunggu pemandu pengurus
syarikat penerbit tu yang akan menghantar mak pulang bersama komputer riba ni!”
Oh, Tuhan, terima
kasih kepada-Mu, Udin bersyukur.
Kenangan Bersama Atok
“ATOK, atok mahu
beri hadiah apa pada hari jadi Lela nanti?” tanya Lela pada datuknya petang
itu.
Haji Aman yang
sedang duduk membaca kitab, segera menutup kitabnya. Dia menatap wajah Lela, murid
tahun lima yang manis ceria. Lela juga menatap wajah datuknya itu yang
rambutnya sudah putih sambil tersenyum. Dalam hati penuh harapan agar mendapat
hadiah yang mahal.
Haji Aman tersenyum,
bola matanya bergerak dan sejurus kemudian menjawab, “Muris sekolah rendah
tahun lima dah besar panjang, tidak perlu apa-apa hadiah lagi. Lela dah
bergelar anak dara sunti. Lagipun, sekarang krisis kewangan, Covid-19 masih
bermaharajalela, atok tidak mahu buang-buang duit beli hadiah?”
“Alaa, kedekut
betul atok ini!” Lela seolah-olah merajuk. “Kalau tidak diberi hadiah, nanti
Lela tidak mahu bercakap dengan atok lagi.”
Haji Aman tertawa
geli hati dengan telatah cucunya itu. “Atok tak kisah... kalau Lela
tak nak bercakap dengan atok. Orang lain boleh bercakap dengan atok!” ujarnya
bersahaja.
“Lela tak nak
panggil atok lagi!” tingkah Lela.
“Habis Lela nak
panggil apa? Atok tak kisah Lela nak panggil apa pun pada atok. Nak panggil
abang ke, nak panggil pak cik ke, nak panggilan tuanku ke, nak panggil nenek
pun tak apa,” Haji Aman terus ketawa.
Dan percakapan itu
terhenti begitu saja kerana Lela diajak solat oleh ibunya, Puan Maimon.
Beberapa hari kemudian Lela menyambut hari jadinya dan memang tidak ada hadiah
dari Haji Aman kerana hari itu dia meninggal dunia. Tetapi dua hari kemudian
Lela menerima sebuah bungkusan besar dari Pejabat Pos. Ketika dibuka, isinya
berupa satu set ensiklopedia, tiga buah buku tebal. Ada kad hari jadi untuk
Lela.
Lela terkejut,
kemudian menitiskan air mata kerana mengenangkan datuknya yang sudah meninggal
dunia. Dan memang dia tidak mampu memanggil datuk lagi, kerana datuknya itu
sudah tidak ada lagi di dunia ini.
Lela duduk termenung
di kerusi di ruang tamu dengan perasaan sedih. Ketiga buah buku tebal itu diam
membisu seolah-olah tidak mahu mengganggu pemiliknya yang sedang berduka.
Berulang-ulang Lela membaca kad hari jadi dari datuknya.
Lela cucu atok
tersayang,
Selamat hari jadi
ke-11 tahun. Atok hanya mampu membawa kamu naik teksi mengelilingi bandar raya
Kuala Lumpur atau Putrajaya yang indah itu. Tetapi buku ini akan membawa kamu
ke seluruh dunia, ke dunia ilmu pengetahuan: dunia tumbuh-tumbuhan, haiwan,
teknologi dan sebagainya. Bacalah, nikmati dan hayatilah!
Salam sayang,
Atok
Haji Aman
(Masih mahu
dipanggil atok kan? Bukan abang, bukan pa kcik, bukan
mak cik dan bukan juga nenek....)
Lela tersenyum.
Dia dapat merasakan kasih sayang yang ikhlas dari datuknya. Datuklah yang
selalu mengajak Lela menemaninya naik bas mengelilingi bandar raya Kuala Lumpur
dan Putrajaya, sehingga Lela tahu di mana letaknya bangunan Parlimen, Dataran
Merdeka, KLCC, KL Tower, Kediaman Resmi Perdana Menteri, Galeri Putra dan
sebagainya. Datuk suka bergurau, datuk begitu dekat di hati Lela.
Banyak cerita yang
Lela dengar dari datuk. Misalnya cerita tentang kenakalan datuk semasa kecil,
memanjat pokok jambu batu milik jiran. Kemudian datuk berkata, “Anak zaman
sekarang malas, tidak boleh memanjat pokok, hanya tahu naik eskalator di pusat
membeli belah saja!”
Dan Lela membalas,
“Anak zaman dulu pun malas juga, tidak mahu belajar main komputer!”
“Eh, zaman dulu
mana ada komputer!” Datuk tidak mahu kalah. “Cuba kalau ada, pasti atoklah
orang yang pertama sekali main komputer!”
“Sekarang, pokok
jambu batu jiran tidak ada. Kalau ada, Lela pun boleh
panjat pokok jambu tu!” Lela juga tidak mahu kalah.
Akhirnya mereka
berdua tertawa. Tidak ada yang menang atau kalah.
Tetapi Lela paling
terkesan ketika dia kehilangan sebuah piala kemenangan. Sewaktu di darjah empat,
Lela menyertai pertandingan sajak mewakili sekolah. Kemudian dia menang, meraih
tempat ke-2 dan mendapat sebuah piala. Piala itu disimpan di dalam almari di
bilik guru buat sementara.
Piala itu akan
dihadiahkan pada hari perhimpunan hari Isnin. Namun begitu, sehari sebelum itu,
bilik guru telah dimasuki pencuri. Antara barangan yang hilang ialah piala kemenangan
milik Lela.
Lela sangat sedih menerima berita tersebut.
Pencuri itu melampau betul. Buat apa curi piala? Bagi Lela piala itu sangat
bererti. Tentunya bagi si pencuri, piala itu hanya boleh dijual dengan harga
tidak sampai pun RM 20.00. Itu pun kalau ada orang mahu.
Lela mengomel dan
mengadu kepada datuknya. Waktu itu Haji Aman menatap wajah Lela dengan perasaan
yang sungguh simpati.
“Kamu benar, Lela!
Piala itu sangat bererti bagi kamu. Pencuri boleh merampas piala itu, tetapi
dia tidak mampu mengambil perasaan kemenangan waktu kamu meraih kejuaraan.
Kenangan manis itu tetap tersimpan di hati kamu dan tidak seorang pun dapat
mengambilnya. Cuba, kenang kembali ketika kamu menyertai pertandingan sajak
itu!” nasihat datuknya yang masih segar dalam ingatan Lela.
Kemudian Lela cuba
mengingatkan kembali sewaktu dia menyertai pertandingan sajak tersebut...
sewaktu menunggu pengumuman keputusan pertandingan, sewaktu dia menerima piala,
ketika orang ramai bertepuk tangan, ketika guru dan kawan-kawan memberi ucapan
tahniah dan memeluknya.
Oh, betapa
indahnya! Benar, piala kemenangan boleh hilang, tetapi kenangan manis tidak
mampu hilang. Dan tiba-tiba satu pengertian baru muncul di benak Lela. Datuk
sudah tidak ada, Lela tidak mampu lagi menatap kerut wajahnya atau matanya yang
bergerak-gerak penuh jenaka.
Namun kenangan
manis bersama datuknya akan tetap tersemat kukuh di dalam hatinya. Perasaan
bahagia timbul ketika kenangan-kenangan itu diingatkan kembali.
“Terima kasih,
atok!” kata Lela dalam hati dan dia pun mulai membuka ensiklopedia itu. Sedia
menjelajah dunia ilmu pengetahuan. Dan seketika perasaan sedihnya merayap pergi
entah ke mana.
Goreng Percuma
ZAHARI terkejut
melihat muka hadapan majalah terbarunya terkoyak. Kali terakhir dia melihat
Amir yang membacanya. Oleh itu dengan segera dia menemui adiknya itu.
“Amir, kenapa kamu
koyak majalah baru ini?” Zahari separuh menengking.
“Tidak sengaja.
Tetapi isinya masih boleh dibaca kan, bang!” balas Amir ketakutan.
“Yang penting kamu
mesti ganti. Kalau tidak, kereta ambulan mainan kamu itu akan abang buang ke
sungai,” ancam Zahari dengan suara yang kuat. “Cepat, sekarang juga!”
Zahari segera
keluar dari bilik Amir dan menunggu di ruang tengah. Dilihatnya Amir ke luar
bilik sambil membawa kereta mainan kesayangannya. Zahari tidak mahu melihat ke
arah Amir, ketika adiknya menelefon rakannya. Bahkan Zahari berpura-pura tidak
mendengar ketika adiknya memohon diri untuk pergi.
Satu jam Zahari
menunggu, Amir belum juga pulang. Dua jam berlalu. Bahkan sehingga Maghrib tiba
Amir tidak juga kembali. Puan Lina yang biasanya melihat Amir di hadapan
televisyen terus cemas.
“Pergi cari adik
kamu, Ri!” arah Puan Lina kebimbangan.
Zahari akur arahan
ibunya. Dalam diam-diam Zahari juga cemas. Dicarinya Amir di setiap rumah rakan
yang diketahuinya. Tetapi setelah berkeliling mengitari pelbagai tempat, tidak
seorang pun rakan Amir yang mengaku melihat Amir. Zahari semakin cemas dan
bimbang. Namun dia sedikit lega ketika tiba di selekoh jalan kerana bertemu
dengan Malik, rakannya yang terkenal sebagai penyiasat kampung itu. Dengan
segera dia menceritakan masalahnya pada Malik.
Malik terdiam
beberapa ketika. “Jadi, kalau begitu kita harus mengesan jejak adik kamu dari
rumah kamu. Ayuh, kita ke rumah kamu dulu!” ajak Malik sejurus kemudian.
Zahari menurut
saja ajakan Malik. Hanya Puan Lina yang kebingungan kerana Zahari bukan membawa
pulang Amir, tetapi mengajak Malik pula pulang ke rumah.
“Sabar, bu! Nanti
Ri jelaskan,” ujar Zahari.
Malik meminta
Zahari mengulangi lagi apa yang dilihatnya sebelum adiknya keluar rumah.
“Yang jelasnya, dia
bawa kereta ambulan mainan, menelefon rakannya, dan pergi,” begitu kata Zahari.
“Hmmm, jadi sempat
guna telefon dulu... kalau begitu saya perlu tahu... siapa di rumah ini yang
guna telefon selepas Amir?” tanya Malik.
Zahari menggeleng.
Puan Lina juga tidak menggunakannya. Ayah belum pulang dari pejabat.
Jadi tidak ada siapa pun yang guna telefon itu selepas Amir.
“Syukurlah kalau
memang demikian. Itu lebih memudahkan kerja kita. Mak cik, saya
pinjam telefon rumah mak cik sekejap ya!” Malik meminta izin dari Puan Lina.
Lalu dia menekan tombol huruf ‘R’ di telefon. Seketika kemudian terdengar satu
suara dari dalam telefon tersebut.
“Selamat malam!
Maaf, saya saudara Amir. Kalau boleh tahu, apakah Amir sedang bermain di sana?”
“Amir? Oooo...
rakan sekelas Farhan itu...ya? Ada! Ada! Kenapa?”
“Ibunya
mencari-cari sejak petang. Kalau begitu, tolong jangan beritahu Amir kami ada
menelefon ke sini. Kami akan ke sana menjemputnya. Di mana alamat
rumah Farhan, pak cik?”
“Jalan Kiambang 13,”
“Terima kasih, pak
cik! Selamat malam!”
Malik meletakkan
gagang telefon. “Sekarang kita hanya perlu pergi menjemputnya. Mudah, kan?”
Zahari menggeleng.
“Belum tentu Amir mahu pulang dengan aku,” bisik hatinya.
“Ya, itu sudah
tugas kamu sebagai abangnya.”
“Ayuhlah, temankan
saya menjemput Amir.”
“Saya bukan tidak mahu,
Ri! Saya belum makan lagi ni! Saya lapar!”
“Itu soal
mudah. Nanti saya belanja kamu makan bihun goreng di warung Pak Akob kalau
berjaya memujuk Amir pulang,” Zahari tahu, Malik paling suka bihun goreng.
“Okeylah kalau
begitu!” balas Malik.
Mereka segera
berbasikal ke Jalan Kiambang 13.
“Macam mana tadi
kamu tahu yang Amir ada di rumah Farhan?” tanya Zahari ingin tahu.
“Mudah saja. Kamu
yang kata, Amir menelefon seseorang sebelum pergi. Jadi saya yakin
dia pasti pergi ke rumah rakannya itu.”
Zahari
mengangguk-angguk. “Habis, dari mana kamu tahu nombor telefonnya?”
“Juga mudah.
Selagi telefon kamu itu belum digunakan oleh orang lain, nombor telefon
terakhir yang dihubungi secara automatik terakam. Kita dapat menghubungi nombor
itu dengan menekan butang redial, ertinya menghubung ulang,” jelas
Malik.
Akhirnya mereka
tiba di rumah Farhan. Dan memang benar Amir ada di situ. Tetapi seperti yang
diduga Zahari, adiknya berkeras tidak mahu pulang.
“Abang Zahari
jahat. Kereta ambulan Amir mahu dibuang ke sungai. Amir bukannya sengaja
mengoyak majalah itu,” Amir mengadu kepada Malik.
“Maksud abang biar
kamu bertanggungjawab dengan apa yang telah kamu lakukan,” sanggah Zahari.
“Amir tidak mahu
pulang!”
“Abang janji tidak
akan meminta Amir menggantikan majalah itu. Juga tidak akan membuang kereta
mainan Amir,” ujar Zahari, bimbang Amir tidak mahu pulang terus.
Amir tersenyum.
“Saksinya abang Malik ye,” balas Amir. Tidak lama kemudian mereka memohon diri
untuk pulang kepada ayah dan ibu Farhan.
Zahari mengayuh
basikalnya sambil membonceng Amir. Sementara Malik dengan
basikalnya mengekor di belakangnya sambil berbual dengan Amir.
“Amir, kamu sering
lari dari rumah ya kalau kena marah,” ujar Malik.
“Kenapa?” tanya
Amir.
“Lepas ni kamu
lari lagi ye! Tetapi kalau nak lari, beritahu abang dulu sebab abang dapat
makan bihun goreng percuma lagi,”
“Ha... ha... ha...
ha... ha..... bihun goreng! Bihun goreng!” Zahari ketawa.
Shakilla dan Lani
SHAKILLA mempunyai
seorang rakan baru. Budak perempuan sebayanya bernama Lani. Mereka berkenalan
di taman di pinggir rumah mereka.
Suatu ketika,
dompet Lani terjatuh di rumput dalam keadaan terbuka. Shakilla melihat sekeping
gambar di dalamnya. Wah, ternyata Lani mempunyai seorang saudara kembar. Kenapa
dia tidak pernah cerita? Sambil mengamati gambar itu, Shakilla mulai berfikir
tentang Lani.
Mereka
berkenalan seminggu lalu. Dalam waktu singkat, Lani berjaya mengubah sikap
Shakilla yang lama. Pendiam dan tidak periang. Lani sangat ramah tetapi agak
cerewet. Awalnya Shakilla berasa sebal juga padanya. Lani datang tiap hari dan
main berjam-jam di rumahnya.
Alasannya,
“Menghabiskan cuti!”
Pada akhirnya,
hati Shakilla melunak dan mulai ikut banyak bercerita tentang dirinya.
“Saya tahu kenapa
waktu pertama kenal, sikap kamu agak kaku dan murung,” ujar Lani membuatkan
Shakilla terperanjat. “Sampai bila kamu mahu menyalahkan diri sendiri? Boleh
saja kamu sedih kerana kematian Elsa. Tetapi tidak selamanya kan?”
Mata Shakilla
membesar. “Kamu tidak tahu rasanya...”
“Tahu!” potong
Lani cepat. “Saya tahu rasanya kehilangan orang yang kita sayangi. Lebih-lebih
lagi jika kita merasa bertanggungjawab atas kematiannya.”
Shakilla terdiam.
Tidak disangkanya Lani akan berkata seperti itu. Lani mengambil gambar dari
dalam dompetnya. “Ini gambar terakhir saya dengan Lina, saudara kembar saya.
Lina meninggal dunia setahun lalu.”
“Apa yang
terjadi?” Shakilla separuh berbisik.
“Hari itu kami
hendak pergi bermain di rumah seorang rakan. Kami harus melalui sebatang
sungai. Saya ingin melalui jambatan gantung yang sudah agak lapuk. Lina ingin
melalui jambatan baru. Saya berkeras ingin melalui jambatan gantung yang sudah
lapuk itu, sebab jambatan baru itu jauh. Akhirnya Lina mengalah, kami melalui
jambatan gantung itu. Ternyata bahagian tengahnya sudah rosak dan reput. Tetapi
terlambat untuk kembali. Tiba-tiba Lina terperosok kerana kayu yang diinjaknya
terlalu lapuk. Dia jatuh, tetapi saya berjaya memegang tangannya. Kami
menjerit-jerit minta tolong. Tetapi tidak ada orang di sekitar sana... ”
Lani berhenti.
Matanya berkaca-kaca. Dia berusaha meneruskan ceritanya.
“Saya berusaha dengan
sekuat tenaga menariknya. Tetapi kayu yang saya jadikan pegangan hampir patah.
Lina tahu jika saya terus memegang tangannya, kami akan jatuh bersama. Tanpa diduga,
dia menggigit tangan saya. Tanpa sedar saya melepaskan pegangan dan Lina...
Lina... jatuh. Tubuhnya tertelan arus sungai yang deras. Saya segera mencari
pertolongan. Tetapi meski ramai orang yang ikut mencari, Lina tidak segera
ditemui. Ketika ditemui dia sudah...”
Lani terisak
lirih. Shakilla ingin memujuk, tetapi lidahnya kelu.
“Saya sangat
menyesal dan merasa amat bersalah. Sejak itu saya berubah. Saya jadi suka
menyendiri dan tidak mahu bergaul. Tetapi lama-lama saya sedar. Saya akan
membuatkan Lina kecewa jika terus seperti itu...”
Mereka berdua
terdiam. Setelah Lani memohon diri untuk pulang, Shakilla menghempaskan dirinya
ke tempat tidur. Air matanya mengalir deras. Kejadian setahun lalu berputar
kembali dalam ingatannya. Dia dan Elsa, kakaknya, jalan-jalan di sebuah pusat
membeli-belah.
Lalu lintas cukup
sesak. Entah kenapa mereka terpisah sewaktu menyeberang jalan. Ketika sedar
Elsa tidak bersamanya, Shakilla mencari-cari. Dia tidak tahu ada sebuah kereta
yang datang ke arahnya. Shakilla merasa tubuhnya ditolak seseorang. Dia baru
sedar apa yang terjadi ketika melihat Elsa terkapar di atas jalan.
Ya, Elsa telah menyelamatkannya,
tetapi dia sendiri meninggal dunia di tempat kejadian.
“Itu kemalangan.
Jangan menyalahkan diri sendiri,” semua orang berkata begitu kepadanya. Tetapi
Shakilla tidak peduli nasihat mereka.
* * *
Cuti sekolah
akhirnya selesai. Pada hari pertama masuk sekolah, Shakilla sangat bersemangat.
Dia akan memberi kejutan pada semua orang. Dia akan tampil sebagai Shakilla yang
ramah dan ceria seperti dulu, sebelum kehilangan kakaknya.
Shakilla tertegun
di pintu kelas. Dia melihat seseorang yang sangat dikenalinya duduk sendirian.
“Lani!” Shakilla nyaris memekik.
“Rupanya kita sekelas.
Kenapa kamu selalu merahsiakan sekolah kamu. Mahu buat kejutan untuk saya ye?”
Lani memandangnya
seolah-olah kelinglungan. “Oh, eh... kita pernah bertemu ke?”
“Eh,
jangan main-main lagi la, Lani!” Shakilla pura-pura kesal.
“Saya tidak
main-main. Nama saya memang Lani. Tetapi saya belum pernah bertemu dengan kamu.
Saya baru berpindah ke sini dua hari lalu.”
Shakilla gugup.
Tetapi melihat Lani bersungguh-sungguh, dia menahan diri. Shakilla menceritakan
tentang perkenalan mereka. Juga semua hal yang dia tahu tentang Lani.
Wajah Lani
mendadak pucat. “Kamu tahu semua tentang saya... ”
“Tentu saja. Kan
kamu yang cerita.”
“Bukan. Sudah saya
katakan, saya belum kenal kamu. Jangan-jangan...” Lani meneruskan, “Semua
cerita kamu tentang saya benar. Tetapi ada satu hal yang salah. Saya berhenti
menyalahkan diri saya sejak saya mimpi bertemu Lina. Dia kata, dia akan sedih
jika saya tidak berubah.”
Shakilla mulai
mengerti.
“Jadi... yang
bermain dengan saya seminggu ini... ”
Shakilla terdiam,
“Lina,” sambungnya dalam hati. Kedua-duanya diam. Akhirnya Shakilla tersenyum.
Diraihnya tangan Lani.
“Kedatangan
Lina adalah anugerah buat saya. Di mana pun dia sekarang, dia pasti sedang
tersenyum melihat kita.”
“Ya!” Lani
tersenyum dengan mata berkaca-kaca.
Tiba-tiba mereka
merasa akrab. Seperti Shakilla dan Lani sebelumnya.
Telur Kesabaran
EPIT ingin sekali
memiliki permainan sega dreamcast. Kata rakan-rakannya mainan itu lebih
canggih dari play station. Tetapi emaknya, Puan Riya telah membelikannya
sebiji telur ayam.
“Nak buat apa?”
tanya Epit hampir tertawa, “Emak salah dengar, ya?”
Puan Riya
tersenyum, lalu menggeleng, “Itu telur ayam ajaib. Telur ayam itu mempunyai satu
rahsia. Kalau kamu mampu menjaganya selama dua minggu tanpa retak atau pecah, emak
akan belikan sega dreamcast yang kamu minta,” jawabnya sambil
mengeluarkan barang-barang yang telah dibelinya.
Epit memerhatikan
telur ayam di tangannya. Hanya sebiji telur ayam yang biasa digoreng untuk
sarapan pagi. Tetapi, kenapa dikatakan telur ajaib? Epit menggaru-garu
kepalanya.
“Bagaimana? Kamu
mahu menjaganya selama dua minggu tanpa retak atau pecah atau tidak dibelikan mainan
itu?” tanya Puan Riya kala melihat Epit diam saja.
“Tetapi mak,
ajaibnya di mana?” Epit kehairanan.
Sekali lagi Puan
Riya tersenyum, “Ajaibnya akan kamu tahu kalau kamu mahu menjaganya. Kamu
berani terima cabaran ini?” soalnya lagi.
“Baiklah, mak!
Tapi, emak janji ya, hanya dua minggu saja?” pinta Epit.
Epit fikir menjaga
telur ayam itu mudah sekali. Tetapi nyatanya, baru satu jam saja, murid tahun
lima itu sudah gelisah. Telur ayam itu diletakkan di atas meja belajar. Epit
lupa yang telur ayam itu bentuknya oval dan boleh menggolek jatuh ke lantai.
Epit membuka laci, mencari kunci basikalnya. Sebaik kunci yang dicarinya
ditemui, dia menutup laci itu dengan kasar.
Akibatnya, telur
ayam itu menggolek. Dengan segera Epit meloncat dan berusaha menangkap telur
itu. Hup! Berjaya!
“Selamat....
selamat....,” katanya sambil mencium telur ayam itu berkali-kali. Tidak wajar
kalau baru satu jam telur ayam itu sudah hancur.
Hari itu juga Epit
meletakkan telur ayam tersebut di dalam bekas plastik air mineral, yang telah
dialas dengan kapas. Tidak mudah pecah kalau dibawa ke mana-mana.
Akan tetapi, pada
hari kedua, ketika Epit tergesa-gesa segera hendak pergi ke sekolah kerana kesiangan,
untuk kali keduanya telur ayam itu hampir-hampir pecah. Ketika Epit membelokkan
basikalnya, tiba-tiba dari sebuah lorong muncul penjual sayur.
Epit menghentikan
basikalnya dengan tergesa-gesa. Telur ayam yang belum sempat dimasukkan ke
dalam beg terlepas dari tangannya dan jatuh. Nasib baik jatuh atas rumput dan
telur tersebut tidak pecah. Sekali lagi dia mengucap syukur dan mencium telur
itu. Penjual sayur kehairanan.
Telur ayam itu
lalu dia masukkan ke dalam beg. Epit kemudiannya mengayuh basikalnya dengan
perlahan-lahan. Sejak itu Epit lebih hati-hati lagi menjaga telur ajaib
tersebut. Dia tidak mahu, gara-gara kealpaannya telur ayam itu pecah. Dan akibatnya
dia tidak akan dibelikan permainan idamannya.
Memang pada
mulanya amat menyiksakan. Biasanya sebaik pulang dari sekolah Epit terus bermain
dulu bersama rakan-rakan. Tetapi kini dia harus terus pulang. Kalau dulu dia
tidak pedulikan sangat hal ehwal biliknya, tetapi kini dia harus lebih berhati-hati.
Dulu biasanya dia menyelesaikan kerja rumahnya secara tergesa-gesa, main baling
bantal ke pintu, letak barang bertaburan, tetapi kini tidak lagi. Dia harus
lebih berhati-hati. Dan tanpa terasa telah dua minggu Epit menjaga telur ayam
itu.
Sebaik pulang dari
sekolah, Epit mencari emaknya. Dia mahu menagih janji kerana telah berjaya
menjaga telur ajaib tersebut. Tetapi Puan Riya tidak ada di rumah.
“Epit, tadi emak kamu
pesan dia mahu ke rumah sakit. Melawat suami Mak Cik Siah kemalangan,” kata Kak
Suri, pembantu rumah.
“O..., terima
kasih, kak!” ucap Epit sambil masuk ke dalam bilik.
Kak Suri mengerutkan
kening mendengar ucapan terima kasih dari Epit. Selalunya, tidak pernah Epit
sesopan itu. Epit sudah berubah? Atau....ah, Kak Suri mengibaskan tangannya
lalu meneruskan pekerjaannya.
Menjelang petang
Puan Riya baru pulang. Epit terus menyambutnya dengan senang.
“Bagaimana keadaan
suami Mak Cik Siah, mak?” tanya Epit.
Puan Riya
menggeleng, “Dia masuk wad kecemasan. Keadaannya parah,”
“Habis?”
“Mak Cik Siah
perlu wang banyak, sebab itu....” sejenak Puan Riya menarik nafas, “Wang yang
sudah emak sediakan untuk beli permainan kamu, emak pinjamkan kepada Mak Cik
Siah,” ujar Puan Riya terus terang.
Epit sungguh
terkejut. Bererti dia tidak akan memiliki dreamcast. Bererti dia...
aduh, macam mana ni? Sedangkan dia sudah beritahu rakan-rakannya yang dia akan
membelinya. Bagaimana kalau rakan-rakan bertanya?
“Kamu tidak marah
kan, Pit?” tanya Puan Riya sambil mengelus kepala Epit.
Untuk beberapa
lama Epit terdiam. Akhirnya perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Puan
Riya tersenyum, lalu memeluknya, “Kalau Mak Cik Siah sudah pulangkan balik wang
tu, emak janji akan terus membelikannya untuk kamu,” ujarnya mengikat janji.
Ting! Tong!
Tiba-tiba loceng berbunyi. Dengan segera Epit berlari ke ruang tamu dan membuka
pintu. Ternyata Adi - anak sulung Mak Cik Siah.
“Ada apa, Adi?”
tanya Puan Riya setelah Adi dipersilakan duduk.
“Ini mak cik, wang
mak cik yang tadi dipinjamkan pada emak. Kata emak, emak tidak jadi pinjam.
Kerana orang yang melanggar ayah mahu membiayai semua kos perawatan ayah,”
jelas Adi sambil menyerahkan sekeping sampul surat berwarna coklat.
Epit hampir-hampir
tidak percaya mendengarnya. Dia ingin melompat dan
menjerit kegembiraan lantaran terlalu seronok. Tetapi dia mampu menahannya.
Inikah rahsia sebiji telur ayam yang dimaksudkan emak?
“Macam mana Pit?
Jadi beli mainan?” tanya Puan Riya setelah Adi pulang.
Epit terdiam,
malah terus masuk bilik. Diambilnya telur ayam itu, lantas diperhatikannya
lama-lama. Tidak ada yang istimewa. Tetapi, dia berasa perlu berterima kasih.
Kerana telur ayam itu telah memberikannya pelajaran paling berharga, iaitu
sebuah kesabaran.
“Macam mana, Pit?”
tanya Puan Riya lagi yang mengikutinya ke bilik.
Perlahan-lahan
Epit menggelengkan kepala, “Tak payahlah, mak! Epit fikir wang itu sebaiknya
digunakan untuk hal yang lebih berfaedah,” ujarnya cukup mengharukan.
Satu Kebanggaan
ZAMRI berlari cepat menyusul Haikal. “Kamu
jalan cepat sangat, Kal!” ujarnya sambil termengah-mengah. “Ini pasti kerana sarapan pagi kamu banyak.
Jadi jalannya cepat!”
Haikal tertawa mendengarnya. “Makan banyak?
Kalau sarapan pagi banyak, saya boleh tertidur dalam kelas!” balasnya. Matanya
tertumbu pada kasut jenama Adidas di kaki Zamri. “Kasut baru, ya?”
“Iya, emak saya yang belikan semalam,” jawab
Zamri. “Cantik tak, Kal?”
Haikal mengangguk. “Cantik. Harganya tentu mahal!”
Zamri mengangkat bahu. “Mungkin juga tapi
saya tak tanya pun berapa harganya!”
Haikal tidak bersuara lagi. Betapa
beruntungnya Zamri. Dia mampu mendapatkan apa saja yang dia inginkan. Minggu
lalu dibelikan telefon bimbit. Hari ini kasut jenama mahal pula. Besok entah apa
lagi agaknya! Sedangkan aku, sukar sekali nak dapat apa pun barang, desis hati
Haikal sambil menarik nafas. Jangankan kasut baru. Kasut sekolah usang ini pun
belum lagi diganti sejak di tahun tiga dulu. Tu lihat, hujungnya dah pun
terkoyak dan warna putihnya pun dah jadi kuning. Andai aku jadi seperti
Zamri...
“Kal,” tegur Zamri sejurus kemudian. “Nanti petang saya ke rumah kamu, ya? Saya
nak belajar matematik lagi. Peperiksaan hujung tahun kita dah semakin hampir.
Boleh, kan?”
“Silakan. Saya seronok kalau kamu mahu
belajar bersama saya.”
Zamri tersenyum.
Malamnya Haikal melamun. Bahkan makan malamnya tidak mampu dihabiskan.
“Kenapa, Kal?” tanya bapanya, Pak Melan
kehairanan. “Kamu tak sihat ke?”
Haikal menggeleng.
Ibunya Mak Munah yang menjawab. “Haikal mahu kasut sekolah baru.”
Pak Melan menghentikan suapannya. “Eh, betul
ke, Kal?” soalnya. “Jadi kamu tak perlu buku-buku pelajaran lagi?”
“Haikal memang perlu buku pelajaran, pak!”
jawab Haikal. “Tapi Haikal juga perlu kasut baru. Kasut yang lama tu dah buruk sangat,”
Pak Melan menggeleng. “Buat masa sekarang,
bapa belum mampu lagi, Kal,” ujarnya. “Wang bapa tak cukup. Jadi kamu harus
bersabar. Bila dah ada duit nanti, bapa belilah!”
“Iya, betul tu!” jawab Mak Munah. “Dan ibu
fikir, buku-buku pelajaran lebih penting dibandingkan kasut baru.”
Haikal menatap bapa dan ibunya bergantian.
“Kenapa Haikal tak jadi seperti Zamri?” keluhnya. “Zamri mampu mendapat apa
yang dia mahu bila-bila masa saja.”
Barulah Pak Melan dan Mak Munah mengerti
penyebabnya.
“Zamri itu anak orang berada, Kal! Bapanya
seorang peniaga yang berjaya?” kata Mak Munah.
“Sedangkan kita? Hidup kita sederhana, Kal! Kamu
harus belajar menerima keadaan,” ujar pula Pak Melan.
Haikal kelihatan belum puas.
“Satu hal yang mungkin kamu lupa, Kal,” Pak
Melan cuba mengingatkan. “Zamri memang lengkap secara zahir. Tapi soal ilmu,
kamu tak kalah, kan. Kamu selalu dapat nombor satu dalam kelas dan keseluruhan pelajar tahun
lima. Apakah itu tak lebih membanggakan kamu?”
Haikal tidak menyahut.
Keesokan harinya, Haikal melangkah dengan perasaan
yang malas ke sekolah. Di hadapan kelas langkahnya terhenti ketika mendengar
namanya disebut-sebut dari dalam kelas.
“Kamu
tahu tak, berapa markah matematik Haikal semalam?” tanya Zamri menyelusup masuk
ke telinga Haikal.
“Seratus!” jawab rakan-rakan yang lain.
“Hah, seratus?” Amin melongo. “Aduh, bila ya
saya akan jadi pandai macam dia?”
“Iya, ingin rasanya jadi pandai macam Haikal.
Tapi tak berjaya juga!” terdengar suara Kumin.
Di luar Haikal tercenung. Selama ini, bagi
Haikal, markah seratus itu sudah biasa. Sangat biasa, kerana dia selalu
mendapatkannya dengan mudah. Tetapi ternyata tidak demikian bagi
rakan-rakannya.
“Kamu pasti nak tahu juga markah saya!” kata
Zamri seolah-olah megah dengan tahap pencapaiannya.
Terdengar suara ketawa rakan-rakan, “Yang
jelas bukan seratus!” ujar mereka.
Zamri tersenyum. “Memang bukan seratus! Tapi
tak seteruk dulu lagi,” ujarnya riang. “Markah lapan puluh!”
Rakan-rakannya kembali melongo. “Eh, macam
mana kamu boleh dapat markah sebanyak itu?”
“Saya kan belajar dari Haikal!” ujarnya
dengan perasaan bangga.
Haikal jadi terkedu. Dia sama sekali tidak
menduga sebangga itu Zamri padanya.
“Orang tua Haikal pasti bangga ada anak macam
dia,” kali ini suara Yani pula kedengaran.
“Bukan hanya orang tuanya, Haikal sendiri
tentu juga bangga pada dirinya sendiri!” sambung Zamri.
Bapa dan ibuku memang sangat bangga pada
diriku, hati Haikal mengiyakan. Tetapi kalau aku sendiri? Haikal menggeleng.
Aku memandang diriku selalu kurang. Terutama dari segi kebendaan.
“Mudah-mudahan Haikal juga bangga pada dirinya
sendiri. Soalnya, selama ini saya lihat Haikal selalu berasa rendah diri.
Padahal...,” suara Kumin kembali terdengar.
Haikal kembali mengiyakannya di dalam hati.
Dia memang sering berasa rendah diri. Kerana tidak seperti rakan-rakannya yang
ada pakaian seragam yang baru, beg dan kasut. Padahal kenapa harus rendah diri,
ya? Dia kan memiliki apa yang tidak dimiliki oleh rakan-rakannya itu. Iaitu...
kecerdasan akal!
Bukankah kata bapa dan rakan-rakannya itu
lebih membanggakan? Barulah Haikal menyedari kekeliruannya selama ini. Hatinya
kini menjadi lega. Belum pernah Haikal merasa sebahagia ini. Dengan langkah
ringan dia kemudiannya masuk ke dalam kelas.
“Assalamualaikum rakan semua!!” sapanya
dengan wajah yang riang.
Terima Kasih Mama
AINA melipat selimutnya. Dikesat air mata yang
meleleh membasahi pipinya. Sebenarnya dia tidak ingin menangis. Tetapi rasa
kecewa itu telah memaksanya untuk menangis.
Lama sekali dia termangu di atas tempat
tidurnya. Bayangan wajah rakan-rakannya yang akan mengucapkan selamat hari jadi
membuatkan dia malas pergi sekolah. Sehingga akhirnya terdengar ketukan halus
di pintu. Disusul dengan panggilan yang menyebutkan namanya. Itu suara mama.
Dengan malas dia berdiri. Tanpa sengaja
dia menoleh ke arah cermin. Dan dia tersentak melihat matanya sembab.
“Aina... bangun! Sudah kesiangan ni!”
panggil Puan Ainon.
“Ya, ma...” sahut Aina perlahan sambil
buru-buru mengesat air matanya agar sembabnya berkurang. Tetapi nampaknya Puan
Ainon melihat juga matanya itu, meskipun Puan Ainon tidak mengatakannya. Puan
Ainon cuma memeluk Aina sambil berbisik.
“Selamat hari jadi, sayang....”
Tanpa majlis. Tanpa hadiah.
Aina menghela nafas panjang. Dia tidak berani
menanyakan perkara itu pada mamanya. Sedangkan semua rakan sekelasnya tahu yang
hari ini adalah hari ulang tahun kelahirannya.
Ada kebiasaan baru dari rakan-rakannya,
iaitu membelanja rakan sekelas makan mi rebus dan minum ais batu campur di
warung Pak Comel. Yuli juga begitu. Sewaktu hari ulang tahunnya, dia mengajak
semua rakan sekelas makan ayam goreng di sebuah restoran Kentucky Fried Chicken
(KFC).
Sebetulnya Aina juga ingin berbuat begitu.
Tetapi dia tidak berani mengutarakannya pada Puan Ainon. Kerana dia tahu
keadaan kewangan mamanya itu. Sebagai pegawai rendah, pada waktu pertengahan
bulan seperti ini tentu gaji papanya juga sudah menipis.
Langkahnya gontai sewaktu dia memasuki
ruang kelasnya. Yati segera menyerbu sebaik melihat kedatangannya.
“Ya, Aina sudah sampai. Selamat hari jadi,
ya!” katanya sambil menyalami tangan Aina. “Ni, hadiah dari saya!”
“Tapi, saya tak buat majlis apa-apa,” kata
Aina lesu.
“Laaa? Habis kamu ingat, kalau tak ada
majlis, hadiah tak boleh diberi?” balas Yati.
Aina hanya tersenyum melihat ketulusan
rakan-rakannya itu. Dia merasa bersyukur kerana tidak ada seorang pun
rakan-rakannya yang menagih untuk dibelanja makan. Mungkin mereka semua
mengerti akan keadaan orang tua Aina.
Sehingga pada jam pelajaran terakhir. Sebaik
loceng berbunyi, Cikgu Hasnah tiba-tiba mengumumkan. “Kamu semua jangan pulang
dulu.”
Murid-murid yang sudah berdiri segera duduk kembali.
“Hari ini ada rakan kamu yang menyambut hari
jadi,” kata Cikgu Hasnah.
Aina menjadi pucat. Ya Allah! Cikgu Hasnah menyebut-nyebut
ulang tahunnya. Macam mana ni?
“Kerana itu cikgu mengajak kamu semua berdoa
bersama untuk Aina.”
Wajah Aina mendadak pucat. Dia merasa
cemas. Takut kalau
rakan-rakannya berkata ‘booooooooo...!! Sebab hanya doa bersama.
Tetapi tidak ada seorang pun yang mengeluh. Dengan tenang mereka menundukkan kepala dan
mengatupkan mata. Cikgu Hasnah yang memimpin doanya.
“Sekarang mari kita rayakan hari jadi Aina!”
kata Cikgu Hasnah setelah mengucapkan amin.
Jantung Aina serasa berhenti berdegup. Rayakan? Aduuuh, apa cikgu ni. Dia tidak
pernah mengatakan akan merayakan hari ulang tahun kelahirannya.
Aina menjadi gelisah. Dan... dan...
Aina tercengang sewaktu pintu kelas dibuka. Puan Ainon masuk sambil membawa nasi satu kotak besar.
Oh, mama... fikir Aina. Hatinya diliputi rasa
bahagia. Meskipun lauk nasinya cuma sayur campur dan sambal goreng tempe, tetapi
semua rakan sekelasnya menyerbu dengan girang. Sementara Aina menatap mereka
dengan mata membasah kerana terharu. Terima kasih mama, bisiknya dalam hati.
Nasihat Terakhir
KATA-KATA orang itu sangat menyakitkan. Masakan aku dikatakannya anak angkat! Padahal
aku tahu benar, aku adalah anak kandung ayah dan ibu! Anak ketiga dari pasangan
Encik Hadi dan Puan Yon, orang tuaku. Aku sudahpun melihat surat lahirku.
“Sudahlah, jangan difikirkan,” pujuk Amy
rakan dekatku. Bagaimana tidak jadi untuk difikirkan. Masalah ini sudah
tersebar baik di sekolah, mahupun di lingkungan rumah. Kedua-dua orang tuaku
cuma berkata, “Biarkan saja, Zairi. Kalau dah letih nanti, mereka berhenti
sendiri.”
Tetapi, kedua-dua kakakku, Irah dan Inah,
pernah berkata, “Memang kebetulan,” usik mereka sambil ketawa gelihati. Sebal!!
Sebenarnya, aku sendiri hairan, siapa
sebenarnya yang jahat sengaja menyebarkan berita itu? Aku kan tidak mempunyai
musuh. Tetapi, mungkin berita itu terjadi kerana aku memang sangat berbeza dengan
orang tua dan kakak-kakakku. Mereka semua berkulit putih dan berambut lurus.
Sedangkan aku berkulit hitam legam dan rambutku keriting kecil-kecil.
“Waktu ibu mengandung dulu, ibu mengidam apa
agaknya ye?” tanyaku ingin tahu.
“Makan mi campur kicap dan mengidam buah
manggis!” ujar Kak Irah sambil ketawa terkekek-kekek.
Puan Yon segera membelai rambut keritingku,
“Mungkin kamu ikut perawakan datuk kamu. Adik ibu juga ada yang mirip kamu,”
ujarnya seraya tersenyum lembut.
“Datuk
dah meninggal dunia ketika Zairi lahir,” gumamku sedih. “Tapi kalau bapa
saudara, apakah dia masih hidup?” soalku cepat.
“Bapa saudara kamu itu bernama Idon. Dia
seorang wartawan perang. Tugasnya membuat liputan di medan pertempuran. Sudah
lima tahun bapa saudara kamu tak pulang. Khabarnya pun tak diketahui. Terakhir
dia ada di sekitar Timur Tengah,” Encik Hadi menjelaskan.
Sementara Puan Yon nampak sedih.
Aku berfikir diam-diam. Usiaku baru empat
tahun waktu bapa saudaraku Idon pergi. Jadi sukar bagiku membayangkan wajahnya.
Menurut ayah, bapa saudaraku itu sangat sayang kepadaku. Dia juga yang
mencadangkan supaya aku diberi nama Zairi sewaktu lahir dahulu.
Waktupun berjalan. Sekarang aku sudah berusia
hampir 11 tahun. Kata-kata orang tentang aku anak angkat, mulai tidak kedengaran
lagi. Sementara itu, prestasiku di sekolah mulai meningkat. Aku juga mulai
menekuni dunia penulisan. Aku cuba menulis beberapa banyak cerpen yang boleh.
Ternyata susah juga.
Sesudah sekian kali ditolak, barulah karyaku
dimuatkan di sebuah majalah kanak-kanak. Suatu kali aku mengarang sebuah cerpen
tentang kerinduanku terhadap bapa saudaraku Idon, yang sudah lama menghilang
tanpa berita. Kisah itu aku ambil dari cerita-cerita mulut keluarga kami.
Baru aku tahu, lengan kiri Pak Cik Idon ternyata
tidak dapat berfungsi kerana terkena pecahan mortar, ketika dia membuat liputan
di sebuah medan perang. Tetapi beliau tetap yakin dengan diri sendiri. Bahkan
telah berjaya mendapat penghargaan kerana prestasinya yang cemerlang sebagai
seorang wartawan.
Cerpen itu disiarkan. Tidak lama berselang
karyaku mendapat hadiah sebagai ‘Cerpen Kanak-kanak Terbaik’ versi majalah
tersebut. Tetapi, sebenarnya aku hanya ingin bapa saudaraku membaca
kerinduanku, walau di manapun dia berada.
Hari itu aku pulang agak malam. Seharian
berkutat di hadapan moniter komputer, di kafe siber kerana menyelesaikan cerpen
terbaruku. Aku sedikit gugup kerana merasa seperti diperhatikan.
Ketika langkahku bergegas keluar dari kafe
siber, tubuh yang tidak kukenali itu seperti mengekoriku. Namun aku berjaya
tiba di rumah dengan selamat. Ayah segera keluar ketika aku mengadu sambil
menggigil ketakutan.
Suatu malam, terdengar suara ayah, “Ibu,
anak-anak, cepat ke mari,” panggil Encik Hadi dengan wajah yang gembira.
Kami segera keluar dengan perasaan yang
tertanya-tanya. Ayah sedang merangkul seorang pemuda berusia lewat 40-an. Ibu
tertegun, lalu memeluk laki-laki itu sambil tersedu-sedu. Kami yang melihat
hanya terpaku. Aku perhatikan tubuh tetamu asing itu. Seperti pernah kulihat.
Ya, setiap kali aku di hadapan cermin. Rambut keriting, kulit hitam legam.
Wajahnya yang lembut dengan pandangan teduh. Dia mirip sekali dengan ibu,
lebih-lebih lagi, denganku!
“Pak
cik!!!!!!” aku terus menjerit.
Ya, bapa saudaraku Idon. Dia melepaskan
rangkulan ibu dan menyambutku dalam pelukannya.
“Zairi
anak saudaraku, Zairi anak saudaraku,” air matanya mengalir perlahan ke pipi.
Kami berpelukan erat. Aku sangat bahagia.
Seakan-akan telah menemui sebahagian dari diriku yang telah hilang. Ayah segera
mengajak kami masuk ke rumah. Setelah membersihkan badan dan makan, kami sekeluarga
duduk di ruang tamu. Tentu saja aku di samping bapa saudaraku itu.
“Kamu ini macam belangkas, tak mahu
berenggang!!” ujar ayah sambil ketawa.
“Kami benar-benar seiras. Bezanya hanya
usia,” kataku.
“Hanya sekadar itu,” balas bapa saudaraku sambil
tersenyum. “Kalau pak cik di medan perang selalu di hadapan dengan gagah
berani. Tapi kamu Zairi, baru diikut saja dah lari!”
Seisi rumah tertawa berderai. Aku hanya mampu
tersipu malu.
Sejak hari itu kami seperti sukar dipisahkan.
Ada rasa keterkaitan yang hanya kami rasakan berdua. Bapa saudaraku juga
hairan, aku mewarisi bakat mengarangnya. Sayang, kami hanya mampu bersama untuk
setengah tahun sahaja. Bapa saudaraku terpaksa pergi lagi untuk menjalankan
tugasnya. Aku sangat sedih ketika berpisah. Dia menggenggam tanganku erat-erat.
“Zairi,” kata bapa saudaraku dengan suara
yang berat. “Jadilah orang yang berkeperibadian kuat. Jangan takut jika kamu
berbeza dengan orang lain. Baik fizikal mahupun sikap kamu. Selagi perbezaan itu
tak menyalahi aturan, kamu harus menjadi Zairi. Bukan jadi salinannya Idon,
bapa saudara kamu ini,”
Itulah kata-kata bijak bapa saudaraku yang
terakhir. Sebulan kemudiannya datang berita, bapa saudaraku terkorban terkena
peluru askar Israel di Palestin ketika membuat liputan di sana. Aku amat sedih
dengan kehilangannya.
Para pengikut lelaki utama
melesat di panggung juang
antara panah dan senjata api
gerah berhadap-hadapan
wajah-wajah berharap syuhada
melewati jalan buram berliku.
Darah siapa meleleh
memerahkan tanah Memali
di tengah putih rintih
dan senandung keagungan.
Untuk dan atas nama-Mu
sejarah kekuasaan
selalu mewariskan
berpuluh-puluh sengsara
sebagai pemilik tunggal
peluru kekejaman
dilesatkan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan