Isnin, 15 Mac 2010

Sembang Tepian Lorong

SMAHADZIR

SATU malam minggu yang recok. Neon malas, malap dan seakan mahu bersembunyi. Dua orang lelaki berketayap hampir sebaya duduk bersembang-sembang di atas sebuah pangkin selepas pulang dari berjemaah solat isya di masjid. Hadapan mereka, sebuah lorong gelap. Kelibat pengunjung sekadar mengelihkan bayang-bayang hitam. Identiti diri sukar dikenali. Lampu samar makin samar kerana dihurung serangga malam membuatkan suasana jadi tambah temaram.

Wayu malam berhapak hambar mengendong pelbagai aroma kurang enak ke rongga hidung namun tidak membuatkan dua lelaki itu mahu berganjak dari tempat duduk mereka. Sebenarnya, mereka sengaja menjalar dan berehat di situ sekadar menjadi penyaksi kepada telatah dan gelagat segelintir makhluk yang bernama manusia. Enaknya menonton protagonis-protagonis yang teateristik bersimpang siur di hadapan mereka. Apalagi watak-watak peran wirawati-wirawatinya yang meruntun jiwa, bergentayangan dan meng-asyikkan.

Malam iseng berinsut terus ke kepekatannya yang tersendiri. Lolongan anjing sumbang dan sesekali cagun, menggerutup dan membingitkan anak telinga.

“Kau lihat protagonis-protagonis dan wirawati-wirawati itu!” cetus lelaki pertama sambil menuding ke gelintin lorong di hadapan mereka.

Lelaki kedua akur, terus melontarkan busar matanya kepada bayang-bayang hitam yang galak beraksi. Wirawati menggeletek miang. Aksinya mengoda dan mampu menghanyutkan imamat. “Kenapa?” soalnya.

“Bukankah itu semua satu lakonan yang sumbang dan menjelirkan? Juga satu kesalahan yang menjijikkan!” ujar lelaki pertama.

Lelaki kedua tersenyum nipis. Mata masih asyik melekat. Bayang-bayang makhluk hitam menghilang ke dalam bilik. Sekilas melirik ke wajah teman yang bertanya.
“Kau harus ingat, selagi tidak ditangkap oleh pihak penguasa, selagi itulah tidak bernama kesalahan!” ujarnya bersahaja. “Maksud bersalah, bermakna setelah ditangkap oleh pihak penguasa agama. Itu pun setelah peristiwa berlaku!”

Lelaki pertama mengesip-ngesipkan biji mata seraya menoleh ke arah lelaki kedua. Apa yang mampu dikelih sekadar warna samar di hujung batang hidung disimbah neon malas dari hujung lorong. “Aku tak faham maksud kau?” ujarnya sejurus kemudian.

“Maksud aku, peristiwa berlaku apabila adanya lelaki dan nisa di tempat yang terasing daripada penglihatan orang ramai. Contohnya, di tempat sunyi, di dalam bilik atau di mana-mana saja yang tersembunyi,” jawab lelaki kedua seraya tersenyum. Hanya menampakkan gigi, itupun kelam.

“Peristiwa berlaku? Apa yang berlaku?” lelaki petama bertanya lagi. Masih ingin tahu.

“Sebenarnya, bukan bermakna apa yang berlaku tetapi wujudnya pasangan yang boleh mendatangkan syak mereka melakukan maksiat!” jawab lelaki kedua. 

“Misalnya, mendatangkan syak mereka bersanggama secara haram.”

“Err, bagaimana kalau mereka tak buat apa-apa? Sekadar bersembang atau berbincang?”

“Itu soal lain!” tegas lelaki kedua. “Kita tak boleh persoalkan itu jika kita melihat kes itu sebagai berkhalwat. Kalau berlaku lebih dari berkhalwat, itu pun satu persoalan lain juga. Yang penguatkuasa agama lihat ialah adanya kes khalwat!”
Lelaki pertama mengangguk-angguk faham. “Yang lain?”

“Sebenarnya tak jadi persoalan pada pering-kat awal!”

“Jadi, kesalahan begitu mudah untuk tersangkut dan sukar nak dinafikan?”

Lelaki kedua terhimbau untuk tersenyum. “Tak juga!” ujarnya sambil menggeleng-geleng.

“Eh, macam mana boleh begitu pula?” lelaki pertama nampaknya kurang senang. Sejenak mata menjeling ke jihat gelintin lorong. Bayang-bayang hitam semakin ramai. Itu protagonis drama kehidupan.

“Kita kena lihat takrifnya dulu!” ujar lelaki kedua. “Seorang lelaki yang didapati bersama-sama dengan seorang atau lebih nisa yang bukan isteri atau mahramnya di tempat sunyi yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan sanggama adalah melakukan satu kesalahan…”

“Ooooo, tak semestilah seorang lelaki dengan seorang nisa saja!” cantas lelaki pertama bagaikan mulai faham.

Lelaki kedua mengangguk-angguk.

“Habis, di mana kita nak pertikaikan?”

“Kita ada Enakmen Jenayah Syariah!” jawab lelaki kedua agak waras. “Untuk mengawal kehidupan kita daripada keliaran tingkah laku, daripada berlaku sewewenang terhadap anak dara dan isteri orang. Jangan fikir kita boleh buat sesuka hati saja. Bukan macam dulu, tidak ada kawalan apa-apa, tidak ada undang-undang yang boleh melindungi diri, hak dan kehormatan anak-anak kita.”

“Tidakkah nanti orang akan berkata bahawa tugas penguatkuasa agama hanya nak menjaga tepi kain orang saja?” tanya lelaki pertama ingin menduga.

Lelaki kedua mendengus. “Astaghfirullah! Tafkir yang terlalu kolot dan jumud dalam era internet,” getusnya agak jengkel. “Semua tuduhan tu bersifat prejudis dan berat sebelah.”

“Bukan kolot, jumud atau bersifat prejudis!” tegas lelaki pertama. “Tapi, itulah juga pendapat dari seorang tokoh agama. Dia tak merestui langsung tenaga penguatkuaa agama sehingga tak ada apa yang perlu untuk diberikan sumbangan atas nama Nahyun Mungkar,” tokoknya lagi cubameredakan kejengkelan temannya.

“Eh, macam mana?” ujar lelaki pertama seraya mengeluh. “Kalau menegah kemungkaran tak boleh diberikan apa-apa hanya atas dasar menyuruh berbuat makruf!”

“Aku tak fikir begitu!” balas lelaki kedua bernada tegas. “Mencegah mungkar bukan bermakna kita kena mengendap atau mengintai pasangan suami isteri yang sah perkahwinannya. Kau mesti faham yang penguatkuasa agama bukan mencari kes semata-mata. Mereka menerima maklumat. Selepas tu barulah mereka bertindak. Bukan mengendap atau mengintai di merata cerok dapur rumah orang atau di rumah-rumah kelamin.”

“Anggapan macam tu tak berapa betul!” balas lelaki pertama.

“Tak berapa betul? Habis, apa yang betulnya?” lelaki kedua separuh terjeda.

“Kalau adik beradik kena berkas, macam mana?” tanya lelaki pertama.

“Itu soal lain!” tegas lelaki kedua. “Kalau sekali imbas, kenapa pula pihak umum nak marahkan sangat kepada penguatkuasa agama? Kita kena fikir secara rasional. Bagaimana kalau isteri kita dibawa oleh lelaki lain tidur di hotel? Bagaimana kalau adik perempuan kita dibawa lari ke Thailand? Bagaimana kalau anak gadis kita dibawa lari ke mana saja yang mereka suka? Cuba fikir, bagaimana perasaan kita?”

Hening sejenak.

Dibebarkan oleh dua tiga tubuh gelandangan berbaring bergebar kumal dan berkerekot. Dengkuran mereka bagaikan lolongan anjing-anjing kelaparan dan bernada protes. Nadanya malas dan lelah.

“Persoalan semakin ruwet!” tiba-tiba suara lelaki kedua mencerlus. Sedih berbaur kesal. “Aku kesal, kerana ada cendekiawan kita yang mencemuh usaha yang dijalankan oleh kakitangan penguatkuasa agama. Sepatutnya, merekalah yang pertama membantu dan memberi sokongan. Bukan menentang, seolah-olah kita ni lebih jahil dari orang yang jahil!”

Lelaki pertama masih mendiamkan diri. Mata mencerlung tunak ke arah tubuh gelandangan pula. Bayang-bayang makhluk hitam sudah ramai hilang ke dalam bilik sunyi. Peran protagonis-protagonis itu memang hebat.

“Kita kembali semula kepada takrif tadi,” suara lelaki kedua terus bergema. 

“Kebanyakan orang berpendapat, satu lelaki dan satu nisa saja yang boleh jadi kes. Bukan begitu?”

Lelaki pertama sekadar mengangguk.

“Sebenarnya, bukan begitu! Satu lelaki
dengan satu nisa dalam suasana yang boleh mendatangkan wasangka adalah nyata bersalah di bawah kesalahan khalwat. Tapi, satu lelaki dengan dua atau tiga nisa juga adalah salah!” tegas lelaki kedua.

“Kalau sebaliknya?” lelaki pertama mulai bersuara.

“Maksud kau?”

“Kalau satu nisa dengan dua atau tiga lelaki? Bagaimana?”

Lelaki kedua tersenyum kerana mendapat respon dari temannya. “Salah juga!” tegasnya, mengangguk sejenak. “Kita boleh lihat, dalam enakmen ada menyebut, ‘seseorang nisa yang didapati bersama-sama dengan seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya di tempat yang sunyi…”

“Hoiiiii! Diamlahhhh! Kalau nak bersembang pergilah jauh-jauh!”

Tiba-tiba satu suara tengkingan bergema kedangsangan dari dalam gebar kumal. Tubuh gelandangan itu sedang beradu di kaki lima di samping dua tiga tubuh yang lain. Tidak wajar disalahkan dia kalau dia begitu marah. Mimpi enaknya telah terganggu.

Lelaki kedua diam. Penjelasannya jadi terbantut. Dari arah sisi, dengkur lelaki gelandangan mendayu-dayu diselit denging nyamuk meleng-king di copeng telinga. Dari arah satu pojok yang lain pula suara para protagonis dan wirawati ber-irama petaka, cagun lagi. Semua nada-nada itu berbaur dalam irama kehidupan era multimedia.

Lelaki kedua berasakan tidak harus mem-pedulikan tengkingan yang berlaku. Ini bukan soal hak asasi manusia. Lantaran itu dia terus mencerluskan suaranya namun agak perlahan supaya tidak mengganggu raja-raja gelandangan beradu. Mimpi menjadi kaya milik mereka tidak wajar digugah.

“Kita boleh lihat, apa yang dah disebut dalam enakmen, ‘Dan hendaklah apabila disabit-kan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.”

“Aku rasa, denda sebanyak tu terlalu tinggi,” lelaki pertama menukas.

“Tak semestinya hakim akan menjatuhkan hukuman denda sebanyak itu,” tegas lelaki kedua. “Itu had maksimum. Lagi pun, itu untuk dijadikan pengajaran, sempadan, pedoman atau teladan yang baik. Jadi ikhtibar supaya orang lain tidak turut melakukan perbuatan yang sama.”

“Tapi, tiga ribu ringgit secara maksimum itu terlalu tinggi!” lelaki pertama masih teguh dengan pendapatnya.

Lelaki kedua terhimbau untuk tersenyum sinis. “Kita semua tahu undang-undang untuk mengawal tingkah laku manusia. Supaya terkawal, supaya tidak melanggar watas-watas yang sengoti diakur, supaya kita kenal dengan siapa ibu bapa kita, siapa adik perempuan kita dan kakak kita - kerana mereka adalah mahram. Yang bukan mahram pula perlu dihormati. Tidak sewewenang dibawa ke sana ke mari sesuka hati. Ada jalan yang lebih afdal iaitu kahwin atau nikah secara halal.”

“Kau rasa, itu semua sudah diketahui oleh semua orang dalam Malaysia ni?” lelaki pertama bagaikan mencabar.

“Sebagai seorang manusia, sebagai seorang rakyat yang beragama Islam, kita kena tahu undang-undang yang telah dibuat di dalam negara kita. Kalau tak tahu, kenalah bertanya dari orang yang tahu,” tegas lelaki kedua, waras dan tegas. 

“Memang, aku tak nafikan yang tidak semua orang tahu Enakmen Jenayah Syariah. Misalnya, katalah kita ini tak tahu undang-undang jalan raya. Kita tetap kena saman juga kalau langgar lampu merah atau tersalah masuk lorong yang no-entry. Bukan persoalan tahu atau tak tahu yang harus wujud di sini. Yang penting, kita semua mesti tahu. Nak buat alasan tak tahu, semua orang boleh buat. Tapi, kalau alasan tak tahu itu diterima pakai sebagai alasan untuk menghindarkan hukuman dikenakan, alamat hancurlah dunia ini. Semua orang akan mengatakan tak tahu dalam semua hal yang salah yang dah dilakukannya.”

Lelaki pertama tersengih. “Sekarang, aku nak tahu pula tentang seksyen khalwat,” ujarnya.

“Errr… Seksyen 54 (1),(2) Enakmen Jenayah Syariah, Perak tahun 1992, boleh?”

“Terserah, asalkan ada fakta-fakta yang aku nak cari.”

“Fakta apa?”

“Tentang pondan… ada?”

“Ada tapi pondan bukannya lelaki.”

Lelaki pertama tersengih. “Siapa kata pondan bukan lelaki?”

“Errr, mereka bukannya khunsa?” Lelaki kedua ketawa kecil.

“Khunsa?” lelaki pertama separuh terlunga.

“Manusia yang dianugerahkan dua alat kelamin. Alat kelamin lelaki ada, alat kelamin perempuan pun ada juga.”

“Errrr, maksud aku bukan khunsa tapi pondan,” ujar lelaki pertama terus terang. 

“Aku nak dengar huraian syariah tentang golongan ni. Aku masih kurang faham.”

“Sebenarnya, bukan kau kurang faham tapi tak faham langsung. Betul tak?”

Lelaki pertama tersengih. Namun di dalam gelap, tidak ada siapa pun yang nampak sengihannya.

“Setahu aku, seorang lelaki yang berpakaian seperti perempuan dan beraksi pula seperti perempuan di mana-mana tempat awam bagi tujuan maksiat, adalah satu kesalahan,” jelas lelaki kedua membariskan pengetahuannya.

“Oooooo… itu takrifnya! Errrrr, macam yang ada di depan kita sekarang ni?” soalnya separuh berbisik.

“Dia tu lelaki,” ujar lelaki kedua sambil mata melirik ke arah seorang protagonis lelaki persis feminin garau suaranya. Kesan misai dan janggut bercukur nyata. Atur langkah lembut gemalai menuju ke lorong gelintin. Gerbak pewangi
meleret-leret ketinggalan di belakang. Beralun-alun menerobos lubang hidung. Bersin lelaki pertama mencerlus spontan tak dapat dibendung.

Tatkala protagonis tersebut menghilang, mulut lelaki pertama termuntah lancar, “Kalau dia berpakaian macam perempuan tanpa niat nak buat maksiat, salah jugakah?”

“Tetap salah!” tegas lelaki kedua. “Tadi, bukankah kau dah dengar takrifnya, kan?”

“Itu bagi tujuan maksiat!” tukas lelaki pertama bersahaja.

Lelaki kedua tersenyum nipis dan sinis. “Tukasanmu prejudis, kawan! Kalau sepuluh orang pondan berpakaian macam perempuan - bajunya, mukanya, bibirnya, kain dalamnya, tiba-tiba kena berkas oleh pegawai penguatkuasa anti maksiat cawangan jabatan agama, kau fikir berapa orang daripada sepuluh orang tu yang tak punya apa-apa tujuan maksiat? Mungkin dua atau tiga orang saja yang akan memberi alasan untuk suka-suka atau berseronok saja atau sengaja berlagak macam perempuan. Tapi soalnya sekarang, mereka semua mesti dihadapkan ke muka pengadilan. Sungguhpun di sebut : ‘bagi tujuan maksiat’. Tapi, syarat-syarat yang telah disebut dalam enakmen itu cukup jelas untuk difahami oleh kita.”
Lelaki pertama terdiam.

“Apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali!” lelaki kedua terus menambah.

“Bagi aku hukuman itu terlalu berat,” lelaki pertama mengeluh seraya menggeleng.

“Itu maksimumnya. Mungkin tak sampai sebanyak tu. Errr, ini bergantung kepada kebijaksanaan hakim yang mengadili perbicaraan atau mendengar kes tu!”

“Kalau macam tu, susahlah kehidupan pondan,” balas lelaki pertama agak kesal.

“Eh, apa yang susahnya pula?” lelaki kedua agak terjeda. “Pondan bukanlah satu profesyen dalam hidup manusia, khususnya untuk mencari rezeki. Lagi pun, ia dilarang dan amat terkutuk di sisi agama Islam. Macam juga lonte. Bukannya profesyen dalam menyara hidup di atas muka bumi al-Khalik ini!”

“Arghhhhhhhhhh! Bisingggggg!!”

Tengkingan kurang senang tiba-tiba cagun melangsing dari dalam gebar kumal. Sembang dua lelaki terganggu. Tubuh gelandangan gesit bangun, terhoyong hayang seraya mendengus kuat. Dia melangkah tubuh-tubuh yang lain lalu di satu pojok sunyi membaringkan semula tubuhnya. Dengkur teman yang tinggal, melemah dan pesimis. Dengkuran mereka adalah dengkuran warga yang terkucul di tengah-tengah pembangunan yang pesat, dengkur yang didera oleh kemajuan. Dan mereka adalah gelandangan yang tak punya pendidikan agama yang tinggi, hanya mengenal alif ba ta dan akhirnya mereka memilih lorong itu sebagai istana persinggahan untuk beradu. Ruwet hidup mereka.

“Lonte dan pondan nampaknya adalah penyakit masyarakat yang tidak sihat,” ujar lelaki pertama sejurus kemudian.

Lelaki kedua ketawa kecil. “Siapa yang tak sihat? Masyarakat atau lonte atau pondan itu sendiri?” soalnya bernada sinis.

“Masyarakatlah!” jawab lelaki pertama penuh yakin. “Kalau pondan membiak, lonte menyubur, macam mana nak sihat? Sarang penyakit - AIDS dan entah apa lagi bala dari Allah. Eh, lonte ada dalam enakmen tak? Apa yang disebut tentang lonte tu?”

“Ada! Kalau tak salah aku, errr… seseorang perempuan yang melonte adalah melakukan kesalahan…”

“Kalau perempuan saja yang berminat jadi lonte tanpa ada lelaki yang berminat kepadanya, tak akan berlaku maksiat tu. Betul tak?” pintas lelaki pertama. “Kalau macam tu, kenapa pula lelaki tak dihukum?”

“Eh, siapa kata lelaki tak kena hukum?” lelaki kedua bersuara agak gerah.

“Tak pula disebut dalam enakmen tentang lelaki yang berpasangan dengan lonte?” jawab lelaki pertama.

“Ada! Lelaki, sama ada dia akan dituduh di bawah kesalahan berkhalwat atau di bawah kesalahan sanggama haram. Kita lihat di mana ianya berkenaan,” suara lelaki kedua mencerlus tenang. “Kalau ketika diberkas oleh penguatkuasa agama, katakan di dalam bilik hotel, dia benar-benar di dalam bilik itu berdua saja dengan lonte tersebut tapi belum lagi melakukan sanggama maka dia akan dikenakan pertuduhan khalwat. Kalau dah terlanjur atau dah melakukan perbuatan yang terkutuk itu atau sedang melakukannya tatkala pintu diketuk oleh penguatkuasa agama yang datang membuat serbuan, maka dia akan menerima pertuduhan kesalahan bersanggama secara haram. Kau faham?”

“Habis, yang mana lebih berat?”

“Tentulah sanggama haram lebih berat!” jawab lelaki kedua. “Dendanya lima ribu ringgit atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan sebat sebanyak enam kali sebatan.”

“Astaghfirullah… berat tu!”

Lelaki kedua tersenyum lega dengan kefahaman temannya. “Itu tak seberat risikonya!” tegasnya. “Kalau kita lihat kepada keruntuhan rumah tangga dan kehidupan manusia yang normal, masih belum setimpal hukuman itu!”

“Tapi, bolehkah menyedar atau menginsafkan orang ramai dengan hukuman sebegitu?”

“Insya-Allah boleh!”

“Boleh kita simpulkan apa yang kita sembang tadi?”

Lelaki kedua tersenyum. “Aku ingat ini sekadar weltanschauung kita saja yang tak ada kena mengena dengan sesiapa pun. Kalau ada hanya kebetulan yang tak disengajakan,” ujarnya merendah.

Embun galak menitis dan menjunam di celah-celah daun. Para protagonis dan wirawati sudah melenyap di dalam gelintin malam yang kian berakhir ke penghujung. Jagat raya semakin dipeluk sepi. Lolongan anjing kurap sudah lama lampus. Sembang-sembang pun tamat. Kedua-dua lelaki itu bangun dan pulang ke rumah masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA