Isnin, 15 Mac 2010

Kai-Kaku Dari Langit Tujuh

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah diantologikan dalam Jihad)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

AKU termenung di hadapan beranda. Rasa kecewa begitu menghenyak. Hasil-hasil karyaku tidak lagi mendapat tempat baik di dalam akbar mahu pun majalah. Pihak pendokong media masa itu seolah-olah telah diserap jiwa penjajah. Mereka lebih ghairah menyiarkan bahan-bahan bacaan yang menyokong penjajah dari karya-karya yang mampu menyuarkan semangat menuntut kemerdekaan.

Lantaran itu, aku seolah-olah ingin mencampakkan pena dan kertas ke dalam tong sampah di belakang rumah. Aku tidak mahu menjadi seorang penulis lagi. Begitulah keputusan sementara yang berligar ligat dalam kotak mindaku waktu itu.
Berita tentang gagasan Malayan Union mahu dicegatkan oleh penjajah heboh diperkatakan oleh masyarakat Tanah Melayu. Aku yang menjadi pengikut setia Dato Onn Jaafar turut menjadi gelisar dan resah dengan berita yang cagun. Beberapa orang rakanku yang sama-sama berjuang untuk kemerdekaan negara pun begitu juga. Kami berasa bahawa gagasan ini akan menghancurkan negara kelahiran kami ini menjadi sebuah negara penjajah. Anak-anak dan cucu kami akan datang pastinya akan terjajah dalam pelbagai aspek sekiranya gagasan tersebut tidak ditentang.
Merdeka!
Merdekaaaaaa!!!!
Merdekaaaaaaaaaaa!!!!!!!
Tiba-tiba laungan bersemangat bertamu mendadak di ruang telinga. Kala aku berpaling ke arah halaman rumah, tiga orang rakanku sudah berdiri cegat di situ sambil menjulang tangan masing-masing ke udara. Aku tahu, mereka tentunya datang untuk bertemu denganku. Tentulah juga kerana gagasan Malayan Union yang sudah gah itu.
Aku tersenyum. “Naiklah Mat, Long, Din!” pelawaku sebaik saja rakan-rakanku itu menjengah di depan tangga beranda. “Amboi, bersemangat sekali kau orang bertiga ni. Ada apa-apa berita yang menarikkah?”
“Kita kena pergi ke Johor Bharu!” ujar Mat sebaik saja punggung mereka berlabuh di atas pangkin di ruang beranda.
“Nak buat apa ke sana?” tanyaku ingin tahu.
“Dato Onn dah arahkan semua pemuda-pemuda Melayu yang sayangkan negara ni supaya berkumpul di sana!” ujar pula Long. Dia adalah anak saudara kepada seorang tokoh pejuang yang sangat tersohor di kampungku iaitu Tok Noh Mengkudu. Menurut cerita orang-orang kampung, Tok Noh Mengkudu pernah berjuang bersama Datok Bahaman Orang Kaya Semantan, Dol Said, Mat Kilau dan Tok Janggut zaman British menjarah dulu. Walaupun namanya tidak tercatat dalam sejarah negara, tetapi orang-orang kampung tetap menganggapnya sebagai seorang pejuang.
“Apa yang kita nak buat di sana nanti?” aku bertanya lagi sejurus kemudian.
“Menurut berita yang kami terima, Dato Onn nak ajak kita semua ke Kuala Lumpur selepas itu. Di hadapan Hotel Majestic, kita akan melancarkan sebuah perhimpunan besar-besaran terhadap British supaya membatalkan gagasan Malayan Union ciptaan mereka tu!” jelas Din dengan nada yang penuh semangat.
“Bila kita semua nak pergi?” aku terus bertanya.
“Seboleh-bolehnya hari ni juga!” tegas Long. “Kata Dato Onn, lagi cepat kita bertindak, lagi bagus. Gagasan tu tak akan berjaya dilaksanakan sekiranya semua rakyat Tanah Melayu ini menentangnya. Kalau kita lambat bertindak, British akan menyangka yang kita bersetuju dengan gagasan tu.”
“Tapi…” aku seperti berbelah bahagi.
“Tapi kenapa, Zin?” tanya Din.
“Aku rasa, aku tak dapat pergi ke Johor Bharu bersama rakan-rakan kita yang lain!” ujarku acuh tak acuh.
“Eh, kenapa pula?” Long seperti terperanjat dengan kata-kataku.
“Walaupun aku tak dapat pergi ke sana, tidak bermakna aku tak boleh berjuang bersama-sama dengan Dato Onn dan kalian semua!” ujarku. “Sebagai seorang penulis, aku boleh mencetuskan semangat perjuangan melalui tulisan tapi entah kenapa pula aku jadi patah semangat untuk menulis lagi.”
Din, Mat dan Long saling berpandangan. Mereka bagaikan tidak percaya kerana selama ini akulah yang sering ke hadapan walau ke mana saja jika berbabitkan soal penjajah dan negara. Aku tidak pernah memencilkan diri di rumah sekiranya ada sesuatu yang berlaku terutamanya ketika ada ceramah umum yang dianjurkan oleh pergerakan pejuang kemerdekaan negara.
Boleh dikatakan, akulah orang yang paling awal tiba di tempat tersebut. Semangat bencikan penjajah, semangat sayangkan negara dan semangat ingin lihat negara ini merdeka serta diperintah oleh rakyat sendiri begitu bersemarak dalam dadaku.
Namun begitu, semua perjuanganku itu hanya tersebar melalui penulisan. Kedatanganku ke majlis-majlis anjuran Dato Onn atau lain-lain pejuang sekadar untuk mendapat gambaran yang jelas lalu aku akan terapkan ke dalam tulisan sebagai saluran perjuanganku. Namun, sejak kebelakangan ini semangatku yang pernah menyala itu tiba-tiba saja menjadi luntur. Aku seolah-olah patah semanat untuk berjuang melalui penulisan.
“Sebab apa kau tak nak pergi ke Johor Bharu?” tiba-tiba Din bertanya. Matanya terkesip-kesip bagaikan tidak sabar mahu mendengar jawapan dariku.
Aku terdiam, mengeluh panjang kemudiannya.
“Barangkali sebab jarak antara Kedah dengan Johor tu terlalu jauh?” Ngah sekadar menduga.
“Ini satu pengorbanan terhadap negara, Zin!” Mat pula memberi semangat. “Kita mesti ingat, usaha menuntut kemerdekaan negara bukanlah satu usaha yang senang macam kopek kulit kacang goreng. Perjuangan ini memerlukan pengorbanan. Ada pejuang kita yang terpaksa berkorban segala kasih sayang terhadap keluarga, rumah tangga hatta nyawa sekalipun semata-mata untuk berjuang membebaskan tanah air dari belenggu penjajahan. Jadi, takkan kerana jarak yang jauh itu menjadi sebab untuk kau tak kamu ke sana.”
“Bukan sebab itu, Mat!” ujarku agak tegas namun bernada serba salah. “Aku tak mahu jadi pejuang lagi.” Entah kenapa aku luahkan kalimat itu membuatkan ketiga-tiga rakan karibku itu seperti orang kelinglungan.
Angin yang menderu segar di persekitaran rumahku, menampan daun-daun pokok nangka di tepian beranda. Beberapa ekor burung jerijit kelihatan berterbangan di celah-celah pokok pisang. Aku memanah busar mata ke situ dengan dada yang sungguh kosong. Rasa kecewa dan kesal bagaikan bergulat dalam diri.
“Cuba kau ceritakan pada kami apa sebabnya kau ambil keputusan yang begini?” tanya Long berjurus-jurus kemudian.
Aku mengeluh rengsa. “Entahlah, Long! Terlalu sukar untuk aku jelaskan di sini. Rasa kecewaku ini bukan mudah untuk difahami oleh orang lain.”
“Kau tak boleh kata macam tu, Zin!” tukas Mat bagaikan kurang senang. “Kalau kau tak beritahu, macam mana kami nak faham masalah yang kau hadapi!”
“Baiklah…” aku mengalah. “Aku nak tanya, berapa ramaikah bangsa kita yang suka membaca?”
Long, Mat dan Din berpandangan sesama sendiri.
“Barangkali kau bertiga sukar nak jawab soalan aku tu… Sebenarnya, bangsa kita memang satu bangsa yang tak suka membaca. Hanya segelintir kecil saja yang menjadikan bahan bacaan sebagai santapan hidup seharian. Kalau begitulah sikap yang masyarakat kita amalkan, bermakna perjuangan aku melalui bidang penulisan nyata sia-sia. Aku gagal terutama dalam menyerapkan semangat perjuangan di dada mereka. Kalau begitu, apa gunanya aku meneruskan perjuanganku ni?” Aku meneruskan gelodak rasa yang amat membuku dalam dada.
“Bermakna kau boleh ubah cara perjuangan kau tu!” ujar Long.
“Bagaimana?” soalku.
“Ikut cara kami pula!” jawab Mat. “Mari kita berjuang melalui gerakan pemuda-pemuda Tanah Melayu bersama Dato Onn.”
Aku menggeleng lemah. “Tuhan dah menganugerahkan aku bakat menulis yang tak semua orang dapat. Hanya ini saja jalan yang aku ada untuk berjuang. Selain dari jalan ini, aku tak minat. Bila dah tak minat, apa yang aku buat pastinya tak seseronok yang disangkakan. Aku tak mahu paksa diri aku berbuat sesuatu yang aku tak minat.”
Wajah Long, Mat dan Din nyata kecewa dengan hujahku. Sejurus kemudian mereka pamit untuk pulang.
“Kalau begitu kata kau, kami tak dapat berbuat apa-apa lagi, Zin!” ujar Long dengan nada yang sungguh kecewa dengan keputusan yang telah aku buat. “Kami bertiga akan tetap pergi ke Johor Bharu untuk bersama-sama dengan Dato Onn dan pejuang-pejuang yang lain.”
Itulah ungkapan terakhir yang ditinggalkan sebelum masing-masing melangkah gontai meninggalkan pekarangan rumahku hari itu. Aku menghantar ketiga-tiga mereka dengan pandangan yang amat sebak mencengkam di sukma. Sesungguhnya, keputusan yang telah aku buat ini terlalu berat dan lahirnya tanpa relaku, bisik hatiku.

* * *

Malam hening dan sepi. Di dada langit, awan bergomol-gomol membentuk gumpalan-gumpalan yang pekat. Sudah tiga hari rakan-rakanku berlepas ke Johor Bharu. Aku dapat membayangkan betapa semangatnya ucapan Dato Onn dan para pemimpin yang lain di hadapan ribuan manusia dari seluruh pelosok Tanah Melayu yang berkampung di situ. Tentunya ucapan yang berapi-rapi akan terluah dari bibir mereka. Semuanya dengan hasrat menyemarakkan semangat penentangan terhadap gagasan Malayan Union.
Aku masih terkedang di atas tikar mengkuang di anjung rumah. Mataku terkesip-kesip merenung mengkawan, kayu kasau dan atap nipah yang samar-samar saja pada penglihatan. Kemiskinan bukan sesuatu yang asing bagiku. Dengan hasil penulisan yang terlalu sedikit, aku tidak berjaya untuk menjadi senang. Namun begitu, dengan gajiku sebagai guru di sekolah rendah, dapatlah juga membantu kehidupan bersama seorang isteri dan dua orang zuriat kami.
Ngiau kucing jantan di halaman rumah mengejutkan aku dari lamunan. Aku cuba membayangkan kembali sejarah perjuanganku di bidang penulisan. Dengan nama samaran Jauhar Zin HS, aku menulis cerpen-cerpen yang berkisar soal perjuangan anak bangsa menuntut kemerdekaan dari penjajah.
Namaku tidak gah di mata masyarakat malah tersembunyi dari pengetahuan sebahagian besar warga kampung. Apa yang mereka tahu, aku hanyalah seorang guru sekolah rendah yang lebih kurang setaraf dengan mereka saja. Mereka tidak pernah memberi apa-apa penghargaan kepada seorang yang bergelar penulis.
Hasil karyaku pula bukanlah dibaca serta dihayati oleh semua orang. Barangkali juga kerana mereka buta huruf. Aku tidak pula mahu menyalah mereka dalam soal ini. Kesedaran terhadap pentingnya berilmu masih belum berjaya terserap dalam jiwa secara total.
Ini semua akibat dari corak pentadbiran yang diamalkan oleh penjajah. Penjajah sengaja tidak mementingkan soal ilmu kepada warga negara. Apa yang mereka tahu hanyalah menjarah hasil kekayaan bumi ini untuk dibawa pulang ke negara asal mereka. Rakyat yang dijajah terus terbiar buta huruf, miskin, terhina dan sebagainya.
Ini semua sudah aku jadikan bahan dan plot cerita di dalam cerpen-cerpen yang aku hasilkan namun amat jarang dijadikan pedoman apalagi pencetus semangat untuk berjuang menghalau penjajah yang menjarah itu dari tanah air sendiri.
Rata-rata bangsaku lebih gemar berhibur sebaik selepas bekerja. Ada yang suka meniup seruling di bawah pohon bambu atau bersembang-sembang kosong di atas dangau di bawah pokok kelapa. Tidak kurang juga ada yang suka melahu tanpa arah tujuan.
Pendek kata, kehidupan masyarakatku sekadar untuk hari ini sahaja. Rezeki yang dicari mereka, akan dicari lagi esok hari sekiranya rezeki yang dicari hari ini sudah habis dimakan. Inisiatif untuk melipatgandakan usaha dan hasil pendapatan, jarang dijadikan amalan hidup. Tanah-tanah kosong sama ada di depan atau belakang rumah banyak yang terbiar ditumbuhi lalang dari pelbagai tanaman kontan yang lain. Ungkapan bahawa rezeki secupak tak akan jadi segantang begitu sinonim dengan hidup dan terlalu sukar untuk dinyahkan dari diri.
Ini semua membuatkan aku rasa sungguh kecewa. Cita-citaku untuk mengubah nasib bangsaku bagaikan terkucel lunyai. Aku gagal sebagai seorang pencetus semangat perubahan melalui penulisan.
Malam terus merangkak dalam kepayahan. Isteri dan dua orang anak kecilku tentunya sudah lama nyenyak dibuai bidadari mimpi. Lampu pelita ayan di satu sudut segera kupadamkan. Aku mulai memajamkan mata rapat-rapat untuk mengusir segala persoalan dan bayangan yang bergentayangan di ruang mata.
Sejurus kemudian, tiba-tiba saja aku dijerba kejut. Dia berpakaian seperti seorang hulubalang zaman silam, lengkap berpasalewa, berkeris lok tujuh tersisip kemas di pinggang. Aku melihat kedatangannya dengan seekor kuda putih yang bersayap turun dari kayangan di halaman rumah. Pelana kuda itu berkilauan dengan kencana kuning lebih-lebih lagi kala disuluh cahaya bulan biarpun amat temaran ditutupi gumpalan awan. Sinarnya berupaya mencerahkan seluruh juzuk rumahku. Aku juga sempat melihat ladan kuda itu yang dibuat dari besi khursana aswad, berdetup detap sewaktu memijak pasir-pasir halus di halaman rumah.
Ingin bertemu dengan dia memang sudah lama terkulum kemas di dasar dadaku. Sejak kecil lagi. Dialah Dewa Sastera yang datang dari Langit Tujuh. Aku sungguh gembira kerana aku antara manusia pilihannya. Hasrat dan cita-cita mahu bertemu dengan Dewa Sastera ini tidak pernah menjadi realiti sejak aku kecil lagi maklumlah, dia di singgahsana persada sedang aku ini persis kura-kura di baruh. Kerdil dan naif. Lantaran itulah jantung bagai mahu terlesit. Lutut kecoh menggelepar. Dada menggerutup. Pelbagai rasa beraduk, bergerawan – gembira, malu, segan dan yang selebihnya tidak percaya.
Aku melihat jarum jam buruk yang tergantung kejap di dinding sudah bersatu di angka dua. Sebaik pintu rumah dikuakkan, dia segera masuk lalu duduk tercongok bersila di atas tikar mengkuang seraya menyadarkan badannya pada tiang seri di anjung. Aku rasa bagai tergamam jola dengan kesudiannya tidak memandang hina dengan keadaan rumahku lantas membuatkan aku terkejur sejenak dengan biji mata terkesip-kesip. Kehairanan dan bagai rasa tidak percaya. lakah yang tercongok bersila itu Dewa Sastera dari Langit Tujuh? Berkali-kali aku menggenyeh-genyeh kelopak mata. Pipi ditampar berkali-kali. Nyata, ini bukan ilusi.
“Maaf kalau kedatangan tanpa izin ini mengganggu keharmonian hidup kamu!” ujarnya sewaktu aku melabuhkan punggung di hadapannya. “Sebenarnya saya datang kerana ada hal mustahak!” tokoknya membuatkan aku jadi lebih terkesima.
“Hal mustahak?” aku tertanya-tanya namun sempat mencapai tepak sireh lalu kuhulurkan kepadanya. Tepak sireh itu adalah kepunyaan ibuku yang sudah tua.
“Kamu menulis lagi?” suaranya mencerlus lunak gesit mematikan lamunan singkatku. Kemamar juga setagal.
“Sikit-sikit, Tok!” ujarku terus terang. “Tapi, sejak dua tiga hari ini saya rasa macam patah semangat untuk meneruskan perjuangan di bidang penulisan. Banyak sangat kekecewaan yang menghenyak perasaan saya.”
“Sebagai penulis, mesti terus menulis. Jangan majal idea. Tulis apa saja. Ingat, kita ini jurubicara sosial. Jangan takut tegakkan kebenaran!” ujarnya polos dan bersahaja. Panjang lebar pula hujahnya. Sambil itu tangannya sempat mencapai sehelai daun sireh, secalit kapur, dua piak pinang dan secubit gambir. Semua ramuan itu dilipat-lipat lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.
Melihat raut wajahnya yang mesra dan ikhlas itu, aku jadi bertambah berani untuk bersembang lebih panjang. Rasa gementar di dada yang tadinya begitu menggemirap kian melenyap entah ke mana. “Sebenarnya, dah agak lama juga saya tak menulis, Tok!” ujar saya setagal kemudian. “Tangan bagai terpotong, saluran bagai tertutup. Entahlah, kadang-kadang rasa jelu jadi penulis. Dunia penulisan di tanah air kita ni bagaikan dah bokrok, lebih teruk dari dunia lain. Bergebar pelbagai kerenah, maki hamun, hina menghina sesama rakan penulis, fitnah dan juga pilih kasih. Itu tak termasuk lagi hasil karya kita yang sukar untuk mendapat tempat. Sudahlah kurang pembaca, ditambah pula dengan sukar mendapat tempat, makin kuranglah cita-cita nak merakyatkannya, argh…” aku mengeluh berat tak berupaya meneruskan. Entah dari mana aku kaut kata-kata begitu. Segalanya terluah tanpa dirancang.
Dia tersenyum dengan keluhanku. “Kalau acuan dah herot tentunya kuihnya juga herot,” mendadak pula dia ketawa sinis. “Tulis balik, jangan mandom. Cari saluran yang memperjuangkan kebenaran. Mereka tak pilih kasih, tak ada pelbagai kerenah dan yang penting idea kebenaran dapat dicegatkan!”
“Errr, saya kurang faham maksud Tok?” aku segera bertanya.
“Zaman sekarang ni, masyarakat kita perelu disedarkan dengan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan dari penjajah,” ujarnya.
“Itu saya tahu, Tok!” balasku. “Memang itulah yang selalu saya tulis. Saya tidak pernah lupa menyerapkan semangat begitu dalam setiap hasil tulisan saya tapi yang menjadi masalahnya, sukar untuk mendapat tempat. Kebanyakan karya yang tersiar lebih menjurus ke arah karya-karya yang bersifat memuji penjajah. Pendokong media masa seolah-olah sudah berada di bawah telunjuk penjajah. Rakan-rakan penulis saya sudah ramai yang rosak akidah perjuangan mereka. Inilah yang amat mengecewakan saya.”
“Jangan pedulikan hakikat itu. Manusia memang dijadikan Allah dalam bentuk fitrah. Ibarat semut, mereka cepat terlena dengan gula yang disogokkan penjajah. Kamu boleh meneruskan perjaungan di bidang penulisan. Kalau pendokong media massa tidak mahukan karya kamu, kamu boleh tulis dan tampalkan di batang-batang pokok kepala sekitar kampung. Yang penting, usaha kamu sudah dilaksanakan. Sama ada masyarakat nak baca atau tidak, itu hak mereka,” jawabnya seraya tersenyum.
Aku sekadar mengangguk nipis. Rasa bersemangat juga tapi rasa kerdil diri menyergap. Siapalah aku, aku bukannya dia yang mampu berbuat apa saja! Menurut cerita orang-orang tua, Dewa Sastera ini mempunyai kesaktian yang sungguh luar biasa, mampu memerahkan air sungai menjadi sirap yang enak dan harum.
Entahlah, aku tidak pernah pula membayangkan bagaimana rupa sungai itu kalau sudah mengalirkan air sirap. Bagaimana dengan sampah sarap yang ada di dalamnya? Begitu juga dengan makhluk-makhluk bernyawa yang lain seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya?
Untuk merealisasikan cadangan Dewa Sastera dari Langit Tujuh ini bukanlah sesuatu yang mudah, fikirku. Untuk menulis itu senang tetapi untuk menampal pada setiap batang pokok kelapa itu yang terlalu sukar untuk dilaksanakan. Berapa banyakkah yang dapat aku tulis. Berapa banyakkah yang mampu aku salin? Kalau ada mesin pencetak sendiri, serasa tidak sukar untuk merealisasikan kerja-kerja ini. Argh… buang masa!
“Cuba dulu!” ujarnya seolah dapat menangkap apa yang berselirat di kepalaku. “Kita dianugerahkan Tuhan dengan akal dan kudrat. Di mana ada usaha, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Yang penting, kalau kita hendak, dengan daya dan usaha serta akal yang pintar, kita akan berjaya sebagai pengungkap reality.”
Aku terjeda. Dalam masa yang sama telinga gesitpula menangkap suara isteri di bilik sebelah. Zuriat nombor duaku memang sukar tidur. Kadang-kadang mengundang tidak sabar. Lebih-lebih lagi pada malam Jumaat.
“Ingat, banyak kebenaran boleh ditegakkan melalui penulisan!”
“Saya tahu itu, Tok!”
“Biar masyarakat sedar dan insaf. Selama ini mereka telah dijajah dan ditindas!” suara Dewa Sastera dari Langit Tujuh terus mencerlus, menyisih bingar dengung nyamuk yang galak di telinga. “Jadi penulis mesti berani, kita ada freedom of expression. Seperti yang telah saya katakan tadi, sama ada khalayak nak baca atau tidak, itu hak mereka. Apa feedback mereka, itu juga hak mereka. Yang penting kita hebahkan kebenaran, hebahkan semangat perjuangan dalam dada mereka supaya mereka dapat bangun menentang penjajah. Kita mahukan supaya penjajah dapat dinyahkan dari bumi Tanah Melayu ini. Bila penjajah sudah tiada, negara ini akan merdeka. Bila sudah merdeka, negara ini akan diperintah oleh rakyat tempatan, bangsa sendiri dan tentulah bangsa sendiri itu akan lebih faham apa yang dimahukan oleh bangsanya. Secara tak langsung, dia akan berusaha untuk mengubah kehidupan masyarakat dan negara menjadi lebih maju.”
“Tidakkah nanti dituduh orang gila kalau saya menampalkan hasil karya pada batang pokok kelapa?” aku sekadar ingin tahu.
Dia tersenyum, menyemarak sinis. “Siapa lebih dulu yang gila? Kamu atau mereka? Kamu yang menampalkan hasil karya yang penuh dengan semangat cintakan tanah air atau mereka yang gemar menyiarkan karya-karya dari rakan-rakan sendiri. Karya-karya itu pula tidak sebaik mana malah lantaran nama yang sudah gah, sering pula mendapat pujian dan sanjungan.”
“Maksud Tok, mereka yang lebih gila itu yang mengajar saya jadi gila seperti mereka juga?”
“Kamu tidak segila mereka. Mereka yang lebih gila sebenarnya kerana menjulang karya sastera yang membodek walau tersasar dari realiti. Yang pedas dan menyungkit bontot dicantas dipangkas dan ditongsampahkan. Itu bukan kerja orang gila yang tak bermaruah namanya?” nada lebih gerah. Figura tenang Dewa Sastera dari Langit Tujuh itu berubah pudar. Aku jadi serba salah pula.
Lengking nyamuk gerapak di telinga, sungguh merimaskan. Bimbangkan nyamuk malaria atau kusta, tangan spontan mencapai kain selimut, gesit melibat kiri kanan.
“Memang perlu dibunuh!” Dewa Sastera dari Langit Tujuh tersenyum sinis.
“Nyamuk memang wajar dibunuh, Tok! Penghisap darah dan pembawa penyakit!” balasku seraya tersenyum juga.
“Bukan itu maksud saya!” tingkahnya.
“Habis, apa maksud Tok?”
“Maksud saya, perasaan takut terutama dalam usaha menegakkan kebenaran perlu dibunuh. Ia umpama nyamuk juga, berdengung cukup hebat, dekat telinga menggerapak bagai nak rak. Bila jauh lenyap menyepi.”
“Saya tak faham apa yang Tok maksudkan?” aku jadi terkesip-kesip. Tangan gesit menggaru perut betis, gatal merenyam.
“Jangan ada sifat nyamuk dalam diri penulis!” ujarnya. “Itu merosakkan survival penulis. Takut untuk menegakkan kebenaran tentang hak dan maruah rakyat, tentang wibawa alat-alat penjajah, tentang kejujuran dan kehidupan masyarakat, tentang soal moral sosial dan kepincangan depan mata. Ini perjuangan penulis!”
“Jadi, Tok mahu saya jadi penulis yang berani begitu?” aku ingin tahu.
Dia tersenyum dan mengangguk tegas. “Ya, ungkapkan realiti, jana taw’iyya terhadap pentingnya al’adl wah ihsan. Biar kita dituduh penulis kurang ajar, tidak di beri gelaran agung di bidang penulisan asal keadilan dan kebenaran sebenar dapat ditegakkan.”
Semangat aku tiba-tiba murup menyala kembali. Ini salam perjuangan baru dari Dewa Sastera dari Langit tujuh untukku. Biar nyamuk semakin galak dan miang mengiang di copeng tetapi aku sempat meneguh azam di hati. Kai Kaku ini akan dijelmakan. Aku akan cegatkan kebenaran dan keadilan melalui penulisan.
Aku akan kembali aktif memegang pen dan kertas. Aku akan terus menghasilkan karya. Sekiranya tidak mendapat tempat di dada media masa, aku akan tampalkannya di batang-batang pokok kelapa sekitar kampung. Kalau seisi warga Tanah Melayu tidak membaca hasil karyaku, cukuplah dengan orang-orang kampung yang membacanya. Aku tidak akan peduli lagi apa kata orang. Mereka berhak bersuara dan mengecam. Namun aku tetap berpegang kepada kata-kata Hassan Al-Banna dalam Risalah Ta’lim, usul yang ke enam.
“Percayalah, saya akan ikut jejak saranan Tok tadi!” janjiku sebelum Dewa Sastera dari Langit Tujuh itu pamit.
Dia tersenyum dan melangkah gesit ke pintu. Aku turut tersenyum. Sejurus kemudian aku mendengar bunyi kepak kuda putih miliknya meredah melayah angkasaraya menuju ke singgahsana Langit Tujuh.
“Hei, apa yang abang tersenyum-senyum ni?” sayup-sayup satu suara tiba-tiba menyergap gegendang serentak pipikuditampar lunak.
Aku gesit terkejut dari tidur. Kemamar sejenak. Berpinau-pinau.
“Perempuan mana pula datang dalam mimpi abang?” isteriku bertanya lagi, beriak cemburu. “Sampai tersenyum macam kambing!”
Aku memandang ke kiri kanan. Bukan bilik tidur tetapi ruang anjung rumah. Terpinga-pinga aku. “Tadi Dewa Sastera dari Langit Tujuh datang jumpa abang!” ujarku, agak lirih.
“Ah, merepeklah abang ni! Baru belajar nak jadi penulis, dah berangan macam-macam. Agaknya, abang ni bercita-cita nak jadi penulis terkenal dengan sekelip mata saja! Cepatlah… tak usah melalut lagi. Hari dah pagi ni, abang tu nak ke sekolah pula!” isteriku mendengus lalu melangkah ke ruang dapur.
Aku cepat bingkas dari pembaringan. Melalui pintu tingkap yang terkuak lebar, aku melihat hari sudah pagi benar. Beberapa ekor ayam sudah berkeliaran di halaman. Beberapa ekor lagi sedang bertenggek di atas bumbung kereta Wira 1.5GLi ku. Aku mendadak geram kala melihat dua tiga ketul najisnya bersepah-sepak atas bumbung kereta tersebut. Sejurus kemudian, dengan hati yang betul-betul menyinga, aku mencapai tuala lalu terus ke bilik mandi. Ayam-ayam itu akan menjadi mangsa sebaik aku pulang dari sekolah nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA